Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 105

Ayat 103:

2:103

Sahih International

And if they had believed and feared Allah , then the reward from Allah would have been [far] better, if they only knew.

Malay

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا

Dan kalaulah mereka beriman sungguh-sungguh kepada Allah;

Iaitu beriman dengan sempurna, tidak syirik kepada Allah. Kena faham apakah maksud ‘beriman yang sempurna’ ini. Kerana ada manusia yang beriman, tapi tidak beriman dengan sempurna. Maksudnya, mereka mungkin percaya kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada selain Allah juga – ini adalah syirik. 

وَاتَّقَوْا

dan bertaqwa;

Taqwa itu dicapai dengan jaga hukum dan tidak belajar sihir. Dengan menjaga segala perbuatan kita supaya tidak bersalahan dengan arahan Allah dalam segenap kehidupan kita.

 لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ

Pasti pahala disisi Allah itu lebih baik bagi mereka

 

 لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Kalaulah mereka itu mengetahui.

Sesiapa yang belajar sihir, maka dia akan masuk neraka. Sesiapa yang suruh kenakan sihir kepada orang lain, yang beri upah dan sesiapa yang terlibat dengan sihir itu akan masuk neraka. Kalau tolong bagitahu sahaja di mana ada tok bomoh pun dah masuk neraka dah. Katakanlah ada yang bertanya kepada kita: “mana rumah bomoh sekian sekian di kampung ini?”, dan kalau kita tunjuk sahaja di manakah rumah bomoh itu, maka kita pun sudah dikira terlibat juga. Maka, janganlah kita terlibat sedikit pun dengan amalan sihir ini.

Harut dan Marut juga telah memberitahu kepada mereka yang datang belajar kepada mereka, bahawa akan datang nanti manusia yang bawa sesuatu yang kelihatan macam sihir tapi ianya bukan sihir. Perbuatan itu adalah mukjizat yang dapat mengalahkan sihir. Harut dan Marut memberitahu mereka bahawa sesiapa yang bawa perkara sebegitu, maka orang itu adalah seorang Nabi. Dan apabila bertemu dengan orang seperti itu, maka mereka kena ikut. Kerana itulah, apabila ahli-ahli sihir Firaun berlawan dengan Nabi Musa dan apabila mereka melihat mukjizat Nabi Musa itu, mereka terus tunduk sujud dan mengaku bahawa Nabi Musa adalah Nabi dan mereka beriman dengannya dan dengan Allah. Kerana mereka telah diberitahu dari dulu lagi, bahawa apabila datang orang yang dapat mengalahkan sihir mereka, itu tentulah seorang Nabi.

Jadi, dari sini kita telah tahu bahawa sihir boleh dikalahkan dengan mukjizat. Tapi, kerana zaman sekarang Nabi telah tiada, maka mukjizat pun tiada lagi. Yang tinggal hanyalah Quran. Maka, kita kena guna mukjizat Quran untuk mengalahkan sihir.

Apakah itu mukjizat? Sebagai contoh, kita selalu dengar tentang kisah tongkat Nabi Musa. Tongkat Nabi Musa itu telah menjadi seekor ular dan memakan ular-ular jelmaan ahli sihir yang lain. Musa melempar tongkat itu setelah diarahkan oleh Allah. Apabila Musa sendiri melempar, ia tidak akan menjadi ular. Tapi apabila diperintah oleh Allah, barulah tongkat itu menjadi ular. Begitu jugalah, apabila Musa memukul laut, laut terbelah dengan izin Allah, dan apabila Musa memukul batu, keluar air dari batu itu sebagai minuman kepada kaumnya. Semua kejadian itu dimulai dengan suruhan Allah. Kalau Nabi Musa suka-suka buat sendiri, tidak akan menjadi mukjizat itu.

Semasa Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabat dalam musafir, pernah mereka kehabisan air. Maka, pernah Nabi memasukkan tangannya ke dalam bekas dan keluar air dari jari-jari baginda untuk diminum oleh sahabat-sahabat. Tapi, kita tidak pula dengar dalam hadis yang lain bahawa sahabat-sahabat akan minta kepada Nabi untuk mengeluarkan air apabila mereka memerlukan air. Para sahabat tahu bahawa kejadian itu bukan dari kehendak Nabi tapi dari kehendak Allah. Mereka tahu yang mereka tak patut minta kepada Nabi perkara sebegitu. Yang dalam sirah Nabi yang menceritakan berbagai-bagai perkara manusia minta Nabi tunjuk, itu adalah dari mereka yang tidak percaya kepada Nabi sahaja.

Maknanya, mukjizat adalah atas anugerah Allah Taala. Bukan atas kehendak Nabi. Nabi tidak boleh buat mukjizat dengan keinginan sendiri. Mereka juga tidak boleh mengulang-ulang mukjizat itu. Mukjizat itu selalunya akan berlaku sekali sahaja.

Perkara yang hampir sama dengan mukjizat adalah ‘karamah’ yang diberikan kepada wali-wali. Maka, janganlah percaya jikalau ada cerita bagaimana seorang wali boleh melakukan karamah setiap kali mereka mahu. Karamah akan berlaku kepada para wali Allah. Sebagai contoh, pernah Saidina Umar nampak tentera beliau yang berada beribu batu dari tempatnya dan beliau telah memberi nasihat kepada mereka untuk naik ke bukit. Itu adalah adalah contoh karamah yang kita sudah biasa dengar.Ini adalah anugerah dari Allah. Tapi masyarakat kita memang keliru tentang wali ini. Mereka sangka, wali adalah seorang yang kerja mereka berzikir sahaja. Berzikir sampai tak campur orang lain. Itu bukan wali. Ingatlah yang kita tidak boleh kenal siapakah wali itu kerana ianya adalah rahsia dari Allah. Kita juga boleh jadi wali jikalau kita mengamalkan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.

Sama juga dengan mukjizat, wali-wali tidak boleh mengeluarkan ‘karamah’ dengan kehendak mereka sendiri. Dan karamah juga tidak boleh berulang-ulang. Tidaklah boleh Saidina Umar boleh melihat tenteranya setiap kali. Yang boleh berulang-ulang itu adalah sihir. Sihir boleh dilakukan tiap-tiap hari. Allah izinkan sihir itu berlaku. Walaupun Allah tidak redha, tapi Allah benarkan. Dia akan masukkan mereka yang mengamalkan sihir itu ke dalam neraka nanti.

Sihir itu adalah apa sahaja yang dibaca dengan menggunakan ‘tawasul’ – perantaraan, dengan niat untuk mengenakan orang lain. Ada juga yang menyihir dengan menggunakan ayat Kursi. Jadi walaupun seseorang itu pakai ayat Quran, tapi kalau niat mereka tidak baik, maka ianya juga adalah sihir juga. Selalunya, orang yang menyihir itu akan menyeru orang yang hendak disihir itu dengan menggunakan nama orang itu ‘berbinkan’ emaknya. Orang yang telah dikenakan sihir itu, boleh jadi sampai gila akhirnya. Ingatlah, hanya Nabi Isa sahaja dalam dunia ini yang berbinkan kepada emaknya. Orang lain, semua ada bapa, maka bin kita adalah bapa kita. Orang yang menggunakan sihir itu, mesti memerlukan nama emak kepada orang yang disihir itu. Mereka akan menyeru orang yang hendak dikenakan. Itu adalah salah satu cara untuk kita kenal sihir.

Contoh lain adalah mereka yang suka meminta doa-doa atau zikir keramat dari tok-tok guru untuk mereka amalkan supaya mereka mendapat sesuatu kelebihan. Sebenarnya, manusia tidak boleh belajar untuk jadi keramat. Ada yang hendakkan ilmu ghaib dan sebagainya. Termasuklah mereka yang menggunakan sepotong ayat dari Surah Yaasin untuk menutup mata polis di jalanraya. Ini banyak orang amal tanpa sedar bahawa ianya adalah salah. Selain dari itu, ada banyak yang belajar ilmu kebal dari senjata. Ada juga yang belajar supaya mereka boleh menjatuhkan monyet dan binatang lain dari pokok hanya dengan menunjuk dengan jari kearah binatang itu. Itu semua adalah sihir.

Selalunya sihir itu berkisar dalam persilatan dan puak yang mengamalkan tasauf. Bukan semua, tapi biasanya. Apabila buat keramah dengan kehendak sendiri, itu adalah sihir. Kalau kita lihat wirid mereka, sudah pasti akan ada amalan beri salam kepada wali, nabi dan malaikat dan seru kepada selain Allah. Amalan-amalan itu tidak asing bagi mereka kerana amalan itu sudah ada dalam majlis tahlil lagi dah. Apabila dia ambil amalan sihir daripada mana-mana guru, mereka tidak rasa asing lagi kalau ada amalan tawasul di dalamnya sebab dah biasa buat dalam majlis tahlil. Setiap kali dibaca seruan itu, seekor jin akan datang dan berdamping dengan kita.

Dalam satu hadis yang sahih, Nabi pernah berkata, sesiapa yang pergi berjumpa bomoh dan percaya bahawa bomoh itu boleh menyembuhkan penyakit, orang itu sudah kufur dengan agama Nabi Muhammad. Ini adalah perkara akidah dan akidah adalah perkara besar. Kalau minta tolong lebih kurang tidak mengapa. Tapi masyarakat kita lain. Sikit-sikit akan minta kepada bomoh. Sikit-sikit akan minta kepada ‘ustaz’ padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah salah. Janganlah kita ingat semua ustaz itu benar.


Ayat 104: Sebelum ini kita telah banyak belajar tentang sifat golongan Yahudi. Kita sudah tahu yang Yahudi tidak akan senang melihat orang Islam maju. Kerana pada mereka kalau Islam naik, mereka pula yang akan jatuh. Maka mereka akan cuba menjatuhkan umat Islam. Mereka lakukan dengan dua cara. Pertama, mereka bercampur gaul dengan umat Islam dan cuba menjadi penasihat. Mereka lakukan begitu supaya muslim meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sampai susah nak lawan.

Kedua, bila ada peluang dijadikan sebagai penasihat, mereka akan beri nasihat untuk menjatuhkan umat Islam. Maka kena berjaga dengan mereka. Kerana, walaupun mereka beri nasihat, nasihat mereka itu adalah untuk menjatuhkan kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, disebut bagaimana Yahudi cuba menetapkan satu perkataan kepada umat Islam secara senyap yang boleh merosakkan akidah. Oleh itu, Allah suruh para sahabat guna perkataan lain.

Latarbelakang ayat ini: Golongan Yahudi ada juga masuk dalam majlis Nabi, dengar syarahan dan ajaran dari Nabi Muhammad, dan apabila mereka mahu Nabi beri perhatian kepada mereka, mereka kata “ra’ina”. Mereka biasa guna lafaz ini dalam majlis Nabi. Sedangkan lafaz ini boleh bawa maksud baik dan juga maksud yang buruk dalam bahasa mereka. Dari segi zahir, ia bermaksud “beri perhatian kepada kami” tapi dalam bahasa mereka, ia juga bermaksud ‘bodoh dan tolol’. Dan yang lebih teruk lagi, ia juga membawa maka ketuhanan – “engkau mengawasilahlah kami”. Sepatutnya perkataan itu sesuai untuk Allah sahaja. Apabila mereka pakai perkataan itu, para sahabat pun ikut guna juga. Sebab Nabi pun tidak tegur lafaz mereka itu kerana pada Nabi, mungkin itu adalah adat resam mereka. Jadi apabila Nabi tidak tegur, para sahabat pun ikut guna juga. Allah larang guna perkataan ini kerana ia boleh bawa makna yang boleh merosakkan akidah. Kalau kata Nabi bodoh boleh rosak akidah dan kalau kata Nabi ada sifat ketuhanan pun boleh rosak akidah. Oleh kerana itu, Allah tukar kepada perkataan lain.

Oleh itu, ini adalah ayat tentang penggunaan bahasa. Ada perkataan yang sama tapi lain maknanya dari satu tempat ke satu tempat. Ayat ini adalah satu perkataan yang digunakan yang bunyinya serupa, tapi maknanya lain. Ra’ina adalah perkataan yang menghinakan Nabi Muhammad. Kepada orang Yahudi, ia bermakna kutukan kepada Nabi. Tapi kepada sahabat, ianya bermakna: “berilah tumpuan kepada kami”. Dan dalam masa yang sama, ianya boleh menjadi makna yang terlalu menaikkan kedudukan Nabi seperti kedudukan Allah pula.

2:104

Sahih International

O you who have believed, say not [to Allah ‘s Messenger], “Ra’ina” but say, “Unthurna” and listen. And for the disbelievers is a painful punishment.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Khitab ayat ini ditujukan kepada para sahabat Nabi yang beriman. Mereka yang duduk bersama-sama dengan baginda dalam majlis baginda.

 لَا تَقُولُوا رَاعِنَا

Jangan kamu kata ‘ra’ina’;

Allah suruh para sahabat jangan guna lagi perkataan itu apabila ingin mendapatkan perhatian dari Nabi. Mereka cakap macam itu sebab mereka hendak Nabi lihat kepada mereka. Perkataan ini tidak boleh digunakan lagi kerana Yahudi menggunakan perkataan ini untuk menghina Nabi. Dan kerana Allah hendak menjaga kemuliaan Nabi, Allah telah larang para sahabat dari menggunakan perkataan itu lagi. Walaupun para sahabat tidaklah berniat untuk menghina Nabi dengan menggunakan perkataan itu. Allah hendak menutup jalan yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Allah untu menghina Nabi.

Begitu juga, perkataan itu ada membawa maksud ketuhanan kerana ia boleh bermaksud: “Awasilah kami” yang hanya sesuai diberikan kepada Allah sahaja. Jadi, Allah nak tutup kemungkinan kedudukan Nabi dinaikkan ke tahap ketuhanan pula.

 وَقُولُوا انْظُرْنَا

Tapi katakanlah: unzurna

Gunakanlah perkataan ini – yang bermaksud: “berilah perhatian kepada kami”.

وَاسْمَعُوا

dan dengarkanlah;

Maksud perkataan tolonglah انْظُرْنَا adalah: “lihatlah kepada kami, dengarlah kami, kami hendak bertanya kepada kamu”. Dan selepas Nabi telah beri perhatian kepada mereka, dan beri pengajaran atau menjawap pertanyaan mereka, yang lebih penting adalah, mereka hendaklah mendengar dengan baik dan amalkan apa yang telah Nabi sampaikan kepada mereka.

Yang lebih penting dari minta Nabi beri perhatian kepada mereka, adalah mereka yang kena beri perhatian kepada Nabi. Kena dengar betul-betul. Kena terus dengar lagi dan lagi. Kerana mungkin persoalan yang mereka tidak faham ini akan diberikan jawapannya pada masa akan datang. Jangan datang sekali sekala sahaja. Jangan jadi macam puak Yahudi itu, mereka datang ikut suka mereka sahaja. Begitu juga kita dalam belajar agama, kena selalu datang ke kelas. Mungkin ada soalan kita tak faham, tapi kita akan dapat jawapannya kalau kita pergi ke kelas selalu.

Dalam ayat ini juga, ada isyarat untuk dengar dan patuh kepada ajaran Nabi kamu sahaja dan tidak perlu dengar ajaran lain. Terutamanya jangan lagi ambil dari ajaran Yahudi.

Maka jangan terpengaruh dengan orang Yahudi. Contohnya, mereka kata yang muslim adalah pengganas. Maka apabila kita sudah dilabel begitu, kita pun malu, sampaikan jihad pun sudah tidak diajar dalam Islam, padahal ianya adalah salah satu ajaran penting dalam agama. Tapi malangnya, masyarakat kita nak sebut jihad pun takut kerana propaganda Yahudi.

وَلِلْكَافِرِينَ

Dan kepada orang-orang yang engkar;

Iaitu mereka yang menggunakan perkataan ‘ra’ina’ itu lagi, atau setelah ditegur, masih lagi menggunakan perkataan itu.

عَذَابٌ أَلِيمٌ

kepada mereka azab yang pedih.

Kalau kamu kata yang buruk terhadap Nabi, kamu boleh jadi kafir dan azab yang pedih kepada orang kafir.


 

Ayat 105: Ini adalah ayat teguran dari Allah kepada para sahabat.

2:105

Sahih International

Neither those who disbelieve from the People of the Scripture nor the polytheists wish that any good should be sent down to you from your Lord. But Allah selects for His mercy whom He wills, and Allah is the possessor of great bounty.

Malay

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

مَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Amat tidak suka orang-orang kafir itu; 

Dalam ayat ini, Allah menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok dalam hati mereka?

Kenapakah Allah menggunakan perkataan مَا dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit sejarah mereka. Mereka telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Dan mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad. Kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang kerana sama-sama agama dari langit.

Allah menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah nak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi, begitu juga sesetengah orang Yahudi di Madinah. Walaupun mungkin dulu berkawan baik, tapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Quran, ada orang yang sudah tak mahu kawan dengan kita dah kerana kita dah macam lain pula kepada mereka. Mereka sudah pandang serong dengan kita.

مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

yang terdiri dari Ahli Kitab;

Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara kerana mereka telah mendapat kita. Allah hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Kerana ada golongan orang kafir dari kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam.

Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan kafir dalam Quran lain dari pemahaman biasa kita. Ianya bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tapi mereka tolak juga. Ataupun mereka juga memerangi Islam.

Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Islam dan tidak ada berniat buruk terhadap Islam. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah terima Islam tapi belum terbuka lagi hati mereka untuk menerima Islam. Orang yang sebegini tidak dipanggil kafir dalam Quran. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’.

وَلَا الْمُشْرِكِينَ

dan juga dari orang-orang Musyrikin;

Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang Islam. Mereka dari dulu lagi tak suka kepada Nabi Muhammad. Merekalah yang pertama menentang Nabi apabila Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi, tapi kenapa ahli kitab disebut dulu dalam ayat ini?

Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu dalam situasi ini. Kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk membangunkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka dari orang Yahudi itu. Mereka sudah faham tentang tentangan dari orang Musyrik Mekah. Allah hendak memberi peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati.

Apakah yang mereka tidak suka?

 أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَيْرٍ

bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun;

Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.

مِنْ رَبِّكُمْ

dari Tuhan kamu;

Padahal kebaikan itu dari Allah semata-mata. Mereka tak suka orang beriman dapat kebaikan dari Allah. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun. Samada kesenangan, harta atau apa-apa sahaja. Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad yang dapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini bahawa orang-orang Yahudi tidak dapat terima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab. Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat terima Nabi Muhammad diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.

Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sikit, mereka akan mengata. Mereka tak suka orang yang sebar agama dapat kebaikan. Sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya.

 وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ

Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan RahmatNya;

Rahmat itu adalah dari Allah. Allah hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ianya adalah hak Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bukan tempat kita untuk soalkan kepada siapakah yang Allah berikan rahmatNya itu.

مَنْ يَشَاءُ

kepada sesiapa yang Dia kehendaki;

Ikut Allah lah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail. Orang-orang musyrik tidak suka mereka-mereka ini dapat rahmat apa-apa dari Allah. Tapi Allah telah pilih mereka. Itu semua adalah kehendak Allah. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah?

Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan dari Allah. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tapi Allah boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah?

 وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.

Allah ada banyak rahmat yang akan diberikanNya kepada manusia lain yang dipilihNya.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan dari golongan mereka.
Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan dari orang-orang yang mereka sangka patut jadi Nabi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 105”

  1. Tok guru maaf saya ingin bertanya Lazimnya selepas sembahyang dan membaca doa2 imam membaca selawat pada rasul SAW, adakah ini pun di anggap sbg tawasul dan salah pada syariat berdoa Dan juga dalam tahlil membaca Yasin?

    Like

    1. Salam Hasan, terima kasih atas pertanyaan anda.

      1. Selepas solat atau waktu-waktu lainnya, tidaklah salah baca selawat. Dalam ayat lain, memang Allah menganjurkan kita membaca selawat. Tapi kenalah selawat yang diajar oleh Nabi, bukan yang direka oleh manusia. Antara selawat yang mengandungi elemen syirik adalah selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyah. Kerana solat-solat itu adalah menggunakan berkat Nabi sebagai tawasul untuk menyembuhkan dan menyelesaikan masalah. Kita tawasul dengan Nabi pun tidak boleh. Itu samalah seperti tawasul Kristian dengan nabi Isa.

      2. Tidaklah perlu untuk berdoa bersama imam. Selepas solat berjemaah pun, kita doa sendiri sahaja. Dalam hadis, tidak disebut Nabi berdoa dengan sahabat selepas solat. Doa sendiri lebih baik. Kerana kita ada hajat kita sendiri. Tidak sama dengan hajat tok imam. Lagipun, tidak tahu apakah doa yang akan dibaca oleh imam itu. Kadang-kadang saya dengar mereka baca selawat syifa’ dan tafrijiyah juga.

      3. Majlis Tahlil yang dibuat oleh masyarakt kita sekarang adalah bidaah. tidak pernah dibuat Nabi dan sahabat. Sedangkan banyak yang mati zaman mereka, bukan? Kalau ianya baik, tentulah mereka dulu dah buat dah. Kerana iman mereka tentulah lagi tinggi dari kita. Mereka lagi kuat buat amal ibadat dari kita.

      4. Majlis tahlil dibuat adalah untuk sedekah pahala kepada simati? Adakah sampai pahala yang kita sedekahkan kepada simati? Imam Syafie sendiri kata tak sampai sedekah pahala. Beliau berdalilkan kepada ayat Quran Najm:39.

      5. Tentu saudara pernah menghadiri majlis Tahlil (saya dulu pun tekong Majlis Tahlil juga). Mula-mula akan dibacakan: “ila hadratin….” Itu bermakna ke hadrat nabi Muhamad, keluarga baginda…. dan seterusnya. Itulah lafaz tawasul kalau nak tahu. Memohon berkat daripada Nabi, para ahli keluarga baginda, sahabat dan lain-lain lagi.

      Itulah serba ringkat yang saya boleh jawap dalam ruangan ini. Saudara tinggal di mana? Ada baiknya untuk saudara menghadiri sendiri kelas tafsir ini dan boleh bertanya terus kepada guru yang mengajar supaya boleh lebih jelas lagi. Kalau berdepan lagi mudah.

      Silah emel saya di: tafsirsunnah@gmail.com untuk maklumat lanjut.

      Like

  2. Assalamualaikum. Saudara perlu memperbetulkan Saidina Ali kepada Saidina Umar pada permulaan memberi contoh tentang karamah. Saya lihat Saudara betul selepas itu. Sekian

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s