Maidah Ayat 8:
يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, be persistently standing firm for Allāh, witnesses in justice, and do not let the hatred of a people prevent you from being just. Be just; that is nearer to righteousness. And fear Allāh; indeed, Allāh is Acquainted with what you do.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ
Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah,
Jadilah golongan penegak agama Allah ﷻ dan penjaga syariat Allah ﷻ. Lafaz قَوَّامِينَ adalah dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan) maknanya kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh. Usaha untuk mengamalkan apa yang Allah ﷻ suruh kita buat.
Ayat ini juga menyuruh kita berusaha untuk menegakkan keadilan. Maksudnya kena jaga hak dengan Allah ﷻ dan hak dengan hamba. Maka, kena jaga keadilan. Jangan tindas manusia dan jangan zalimi mereka.
Ini adalah suruhan sejagat, orang bukan Islam pun faham tentang keadilan ini. Namun kita orang Islam melakukannya kerana Allah ﷻ yang suruh kita dan kerana kita taat dengan suruhan Allah ﷻ. Manusia bukan Islam pun jaga keadilan tetapi kita buat kerana Allah ﷻ.
شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ
menjadi saksi dengan adil.
Salah satu perkara penting yang kita kena lakukan adalah bersaksi dengan benar. Jangan jadi saksi palsu, jangan menipu dalam persaksian. Ini amat penting sekali kerana kalau kita tidak bersaksi dengan benar, keadilan tidak dapat ditegakkan. Berapa ramai yang manusia yang melanggar perkara ini.
Dengan melanggarnya, ada orang bersalah terlepas begitu sahaja dan lebih malang lagi, ada orang yang tidak bersalah yang dipenjarakan atau dihukum bunuh. Bukan hanya dalam mahkamah sahaja kita kena bersaksi benar, tetapi dalam kehidupan seharian kita pun.
Arahan berlaku adil ini juga telah disebut di dalam Surah An-Nisa’ (Ayat 145) sebelum ini. Cuma ada sedikit perubahan daripada susunan ayat. Kenapa begitu? Ada dua sebab utama yang menahan manusia daripada berlaku adil. Pertama kerana mereka mementingkan diri sendiri dan keluarga; dan keduanya kerana kebencian kepada pihak yang lain. Ayat daripada Surah An-Nisa’ itu menyentuh sebab yang pertama dan ayat daripada Surah Maidah ini tentang sebab yang kedua.
Di dalam ayat ini, Allah ﷻ memerintahkan kita untuk menjadi saksi yang baik. Ini penting kerana saksi diperlukan untuk menegakkan keadilan. Hakim hendaklah mendapatkan maklumat yang benar daripada saksi. Malangnya, ramai yang lari daripada menjadi saksi. Kerana itulah keadilan susah hendak ditegakkan. Ini pun tidak boleh disalahkan sangat kepada orang yang menyaksikan kejadian sesuatu perkara.
Ini kerana sistem kehakiman di negara kita menyusahkan saksi. Mereka disoal jawab dengan teruk, kena datang berkali-kali ke mahkamah dan lain-lain lagi. Ini telah menyebabkan ramai yang menyembunyikan diri dan buat tidak tahu sahaja. Sedangkan di dalam sistem kehakiman Islam, para saksi sepatutnya tidak disusahkan.
Persaksian di dalam kehidupan kita bukan di mahkamah sahaja. Di mana-mana pun ada saksi. Di tempat kita, mungkin ada kawan kita yang dituduh; di kampung kita pun begitu juga; kita kadang kala ditanya tentang seseorang, maka waktu itu pun kena jadi saksi benar; dan pelbagai keadaan lagi. Semua ini memerlukan keikhlasan dan ketakutan kepada Allah ﷻ. Jangan kita bermudah-mudah dalam perkara ini kerana kita sedang diperhatikan oleh Allah ﷻ (adakah menjadi saksi baik atau tidak).
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا
Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.
Jangan kerana benci sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak adil. Jangan kerana kamu tidak suka dengan seseorang, kamu tidak berlaku adil kepada mereka. Ada orang yang berlaku adil kepada orang yang mereka ada hubungan baik tetapi dengan mereka yang bermusuhan, mereka tinggalkan keadilan langsung. Ini adalah amat buruk sekali.
Kita kena pandai ketepikan perasaan kita supaya kita berlaku adil. Ini memang susah hendak dilakukan dan memerlukan tahap iman yang tinggi. Ini kerana kita sedar kalau kita tidak berlaku adil, kita kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ nanti. Tidak berbaloi kalau kita tidak berlaku adil.
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ
Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.
Dalam Al-Qur’an, banyak disebut tentang suruhan supaya kita bertaqwa. Dan sekarang, kita dapat tahu bahawa salah satu syarat untuk taqwa adalah berlaku adil – sama ada kepada orang kita suka atau tidak.
وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Sekali lagi disebut tentang taqwa. Satu perkara yang dapat mendorong kita untuk taqwa adalah dengan mengingati bahawa Allah ﷻ tahu segalanya tentang kita dan apa yang kita lakukan. Perkara yang di dalam lubuk hati kita pun Allah ﷻ amat tahu.
Kalau dilihat kepada susunan ayat ini kita boleh lihat ia disusun sebegini: إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ. Kadangkala disusun dengan disebut kalimah تَعْمَلُونَ dahulu. Susunan sebegini pun ada mempunyai maksud tertentu. Kalau disebut lafaz خَبِيرٌ dulu, ayat itu tentang perbuatan hati. Kalimah خَبِيرٌ bermaksud tahu secara mendalam. Maka memang Allah ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati kita secara mendalam.
Maidah Ayat 9: Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira).
وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has promised those who believe and do righteous deeds [that] for them there is forgiveness and great reward.
(MALAY)
Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal saleh, (bahawa) untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.
وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ ءآمَنُوا
Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman
Ini adalah janji Allah ﷻ kepada orang yang beriman. Iman itu mestilah iman yang sempurna – iaitu iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Itulah iman yang sempurna. Untuk mengetahuinya, kenalah dipelajari keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya untuk memahami apakah yang dimaksudkan ‘tauhid’ dan apakah yang dimaksudkan ‘syirik’.
وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
dan yang beramal saleh,
Kita bukan kena beriman sahaja, tetapi kenalah beramal dengan amalan yang soleh. Jangan mulut sahaja kata beriman, tetapi goyang kaki tanpa melakukan amal kebaikan (amal soleh).
Amalan yang soleh pula adalah amalan yang sunnah, iaitu amalan yang ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Bukannya amalan yang bid’ah (amalan rekaan yang baru tanpa contoh dalam nas), walaupun dinamakan ‘Bidaah Hasanah’ oleh mereka yang tidak faham apakah bid’ah.
Kalau nama yang baik dan ‘mesra’ diberikan kepada amalan yang salah, ia tetap salah. Ini adalah seperti riba yang diberi nama ‘interest’ (kepentingan), ia adalah tetap riba yang haram walaupun namanya telah ditukar. Walaupun ia telah diberi gelaran ‘bunga’, tidaklah ia menjadi harum, tetapi masih tetap busuk dan buruk.
لَهُم مَّغْفِرَةٌ
untuk mereka ampunan
Untuk mereka yang beriman dan beramal soleh, Allah ﷻ menjanjikan keampunan yang besar untuk mereka. Keampunan Allah ﷻ amat diharapkan oleh kita kerana kita manusia yang banyak dosa. Kalau Allah ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita terlebih dahulu dan kita pastinya tidak mahu langsung masuk neraka, bukan?
وَأَجْرٌ عَظِيمٌ
dan pahala yang besar.
Pahala yang besar juga adalah harapan kita. Ini kerana di akhirat kelak, wang ringgit tidak ada nilai. Yang ada nilai adalah pahala kita. Dengan pahala dapat meningkatkan kedudukan kita di akhirat kelak.
Maidah Ayat 10: Ini ayat Takhwif Ukhrawi (ayat menakutkan tentang azab).
وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِئآيَٰتِنَا أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who disbelieve and deny Our signs – those are the companions of Hellfire.
(MALAY)
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu adalah penghuni neraka.
وَالَّذِينَ كَفَرُوا
Dan adapun orang-orang yang kafir
Ini adalah mereka yang kufur kerana degil. Setelah dibawakan dalil bukti kepada mereka, mereka menolaknya kerana mereka degil tidak mahu menerima kebenaran yang telah disampaikan.
وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا
dan mereka telah mendustakan ayat-ayat Kami,
Mereka tidak mahu menerima ajaran daripada wahyu. Kepada pendakwah yang membawakan ajaran wahyu kepada mereka, mereka kata: “Kamu dusta”.
Begitulah yang banyak terjadi. Apabila diberikan tafsir Al-Qur’an kepada masyarakat dan mereka tidak mahu terima, mereka kata tafsiran kita adalah salah. Mereka tidak dapat terima kerana tidak sama dengan apa yang mereka amalkan selama hari ini.
أُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ الْجَحِيمِ
mereka itu adalah penghuni neraka.
Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana penolakan mereka itu. Apabila dikatakan mereka itu ‘sahabat neraka’, maksudnya mereka itu adalah ‘pemegang geran’ dalam neraka. Mereka akan kekal di dalamnya kerana mereka ada geran tanah, maka itu memang tempat tinggal mereka untuk selama-lamanya.
Ini berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang hanya masuk neraka sekejap sahaja. Orang mukmin ada yang masuk neraka sekejap tetapi akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka bukanlah ‘sahabat neraka’.
Maidah Ayat 11:
يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, remember the favor of Allāh upon you when a people determined to extend their hands [in aggression] against you, but He withheld their hands from you; and fear Allāh. And upon Allāh let the believers rely.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepadamu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka dari kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.
يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ
Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah kepadamu,
Tentunya ada nikmat daripada Allah ﷻ yang tidak terkira banyaknya. Namun dalam ayat ini adalah nikmat yang khusus yang hendak diingatkan kepada orang mukmin, iaitu nikmat bantuan keselamatan kepada mereka.
إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ
di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu
Ketika ada kaum yang sangat hendak menyerang kamu. Tujuan mereka adalah untuk memusnahkan kamu. Ini adalah ketika Musyrikin Mekah yang bertujuan hendak memusnahkan kaum Muslimin.
فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ
maka Allah menahan tangan mereka dari kamu.
Namun Allah ﷻ telah menahan tangan mereka daripada membunuh kamu. Allah ﷻ menahan hati mereka untuk terus melakukan kejahatan terhadap kamu. Banyaklah contoh yang boleh diberikan. Salah satu daripadanya adalah Peperangan Khandak di mana Musyrikin Mekah telah datang untuk menyerang umat Islam di Madinah. Mereka tidak dapat masuk ke dalam Kota Madinah.
Mereka bercadang hendak menyerang kaum Muslimin secara habis-habisan. Ramai puak yang bersekongkol dengan mereka pada waktu itu untuk terus menghapuskan Islam, tetapi selepas kekalahan itu, mereka sudah tidak mahu bekerjasama dengan Musyrikin Mekah. Selepas kejadian itulah terjadinya Perjanjian Hudaibiyah.
Dalam sirah juga ada disebut beberapa kali telah ada perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ tetapi Allah ﷻ telah menyelamatkan baginda.
وَاتَّقُوا اللهَ
Dan bertaqwalah kepada Allah,
Maka kerana nikmat Allah ﷻ menyelamatkan kamu itu maka bertaqwalah kepada Allah . Jagalah hukum dan taat kepada perintah-Nya.
وَعَلَى اللهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal.
Allah ﷻ suruh orang mukmin bertawakal kepada Dia. Mereka akan berserah diri kepada Dia dan berharap kepada Dia sahaja. Memang akan ada pihak musuh yang hendak merosakkan kita dan usaha dakwah kita. Kita memang tidak ada daya upaya untuk menghalang mereka, maka orang mukmin akan serahkan sahaja urusan mereka kepada Allah ﷻ.
Kita boleh berusaha setakat yang kita boleh lakukan, tetapi selebihnya terpulang kepada Allah ﷻ. Kalau apa-apa pun yang terjadi, kita terima itu adalah ketentuan daripada Allah ﷻ. Kita sebagai makhluk-Nya yang lemah, tertakluk kepada kehendak Allah ﷻ sahaja.
Sekian Ruku’ 2 dari 16 ruku’ dalam surah ini.
Maidah Ayat 12: Allah ﷻ memberikan contoh mereka yang mungkir janji iaitu Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Mereka dahulu pun sudah dapat perjanjian dengan Allah ﷻ, tetapi mereka telah memungkiri janji mereka. Allah ﷻ memulakan dengan golongan pertama: Yahudi.
وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثٰقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh had already taken a covenant from the Children of Israel, and We delegated from among them twelve leaders. And Allāh said, “I am with you. If you establish prayer and give zakāh and believe in My messengers and support them and loan Allāh a goodly loan,¹ I will surely remove from you your misdeeds and admit you to gardens beneath which rivers flow. But whoever of you disbelieves after that has certainly strayed from the soundness of the way.”
- By spending in the cause of Allāh, seeking His reward.
(MALAY)
Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat diantara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ
Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (daripada) Bani Israel
Allah ﷻ memberikan contoh apakah yang telah dilakukan oleh Bani Israel. Mereka telah berjanji dengan Allah ﷻ juga. Perjanjian itu adalah untuk mentaati hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ kepada mereka.
وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا
dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin
Allah ﷻ telah melantik 12 ketua agama dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka itu ramai dan terbahagi kepada 12 puak kerana anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام pun adalah 12 orang. Puak yang 12 itu adalah daripada keturunan anak-anak Nabi Ya’kub عليه السلام.
Yang dimaksudkan dengan naqib ialah pemimpin atas kabilahnya masing-masing untuk mengajak mereka berbaiat (berjanji setia) untuk tunduk dan taat kepada Allah ﷻ, rasul, dan kitab-Nya.
Demikian pula halnya ketika Rasulullah ﷺ membaiat orang-orang Ansar di malam Al-Aqabah. Jumlah mereka adalah dua belas orang pemimpin: Tiga orang daripada kabilah Aus; mereka adalah Usaid ibnul Hudair, Sa’d ibnu Khaisamah, dan Rifa’ah ibnu Abdul Munzir, yang menurut suatu pendapat digantikan oleh Abul Haisam ibnut Taihan رضي الله عنهم. Sembilan orang dalam kalangan kabilah Khazraj pula adalah; Abu Umamah As’ad ibnu Zurarah, Sa’d ibnur Rabi’, Abdullah ibnu Rawwahah, Rafi’ ibnu Malik ibnul Ajian, Al-Barra ibnu Ma’rur, Ubadah ibnus Samit, Sa’d ibnu Ubadah, Abdullah ibnu Amr ibnu Haram, dan Al-Munzir ibnu Umar ibnu Hunaisy رضي الله عنهم.
Jumlah mereka disebut oleh Ka’b ibnu Malik dalam syair yang dibuatnya. Makna yang dimaksudkan ialah bahawa mereka adalah juru penerang atas kabilahnya masing-masing pada malam itu yang menyampaikan perintah Nabi ﷺ kepada mereka mengenai hal tersebut. Merekalah yang menangani perjanjian dan baiat kaumnya kepada Nabi ﷺ untuk bersedia tunduk dan taat kepada baginda.
Ada hadith yang disebutkan di dalam kitab Sahihain melalui riwayat Jabir ibnu Samurah رضي الله عنه yang menceritakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
“لَا يَزَالُ أَمْرُ النَّاسِ مَاضِيًا مَا وَلِيَهُمُ اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا”
Urusan manusia masih tetap lancar selagi mereka diperintah oleh dua belas orang lelaki.
Kemudian Nabi ﷺ mengucapkan suatu kalimat yang tidak dapat kudengar dengan baik, lalu aku menanyakan (kepada orang lain) tentang apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ. Maka ia menjawab bahawa Nabi ﷺ bersabda:
“كُلُّهُمْ مِنْ قُرَيْشٍ”
Mereka semuanya dari kabilah Quraisy.
Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Makna hadith ini mengandungi berita gembira yang menyatakan bahawa kelak akan ada dua belas orang khalifah yang soleh yang menegakkan perkara hak dan bersikap adil dalam kalangan manusia. Hal ini tidak memastikan berturutnya mereka, yakni masa-masa pemerintahan mereka.
Bahkan terdapat empat orang daripada mereka yang berturutan masa pemerintahannya, seperti empat orang Khalifah Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali رضي الله عنهم. Di antara mereka ialah Umar ibnu Abdul Aziz, tanpa diragukan lagi menurut para imam, dan sebahagian khalifah dalam kalangan Bani Abbas. Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum mereka semuanya memerintah, sebagai suatu kepastian.
Menurut lahiriahnya salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi yang diberitakan melalui banyak hadith yang menyebutkan berita gembira akan kedatangannya. Disebutkan bahawa nama imam ini sama dengan nama Nabi ﷺ dan nama ayah Nabi ﷺ, lalu beliau akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kearifan, seperti halnya bumi dipenuhi oleh kezaliman dan kemungkaran sebelumnya.
Akan tetapi, Imam Mahdi ini bukanlah imam yang ditunggu-tunggu kedatangannya — menurut dugaan orang-orang Rafidah, dia akan muncul dari lubang-lubang kota Samara— kerana sesungguhnya hal tersebut tidak ada kenyataannya dan tidak ada sama sekali nas yang sahih. Bahkan hal tersebut hanyalah merupakan igauan akal-akal yang rendah dan ilusi daripada akal yang lemah.
Oleh itu, bukanlah yang dimaksudkan dengan dua belas orang itu adalah para imam yang jumlahnya dua belas orang menurut keyakinan orang-orang Rafidah (satu mazhab daripa Syi’ah). Mereka mengatakan demikian kerana kebodohan dan kekurangan akal mereka.
Di dalam kitab Taurat disebutkan berita gembira mengenai kedatangan Ismail عليه السلام dan bagaimana Allah ﷻ akan melahirkan daripada tulang sulbinya dua belas orang pembesar (pemimpin). Mereka adalah para khalifah yang jumlahnya dua belas orang yang disebutkan di dalam hadith Ibnu Mas’ud dan Jabir ibnu Samurah.
Sebahagian orang Yahudi yang telah masuk Islam yang kurang akalnya dan terpengaruh oleh sebahagian golongan Syi’ah menduga bahawa mereka adalah para imam yang dua belas orang itu (yang dalam kalangan Syi’ah lazim disebut “Isna “Asy-ariyah”), sehingga akibatnya banyak dalam kalangan mereka yang masuk Syi’ah kerana kebodohan dan kedunguan mereka, juga kerana lemahnya ilmu mereka serta ilmu orang-orang yang mengajar mereka akan hal tersebut tentang sunnah-sunnah yang telah terbukti bersumber daripada Nabi ﷺ.
Kembali kepada potongan ayat ini. Kenapa dilantik naqib dalam kalangan mereka? Ini adalah kerana Islam iktiraf kumpulan-kumpulan masyarakat. Mereka lebih mengenali dan memahami apa yang dilalui dalam kalangan mereka, apakah harapan mereka dan sebagainya. Maka dilantik pemimpin dalam kalangan juga yang lebih mengenali hati budi mereka.
Masyarakat mereka juga tentu lebih mengenali ketua dalam kalangan mereka. Begitulah kalau dilantik wakil rakyat untuk bertanding, selalunya diambil dalam kalangan penduduk tempatan. Jarang diambil daripada golongan orang luar, bukan?
وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ
dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu,
Allah ﷻ berjanji yang Dia akan sentiasa bersama mereka dengan syarat-syarat yang akan diberitahu nanti: syarat-syarat itu adalah kesimpulan perjanjian hamba dengan Allah ﷻ iaitu pemeliharaan-Nya, perlindungan-Nya, dan pertolongan-Nya selalu menyertai mereka.
Ia juga bermaksud yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang mereka lakukan. Kalau mereka melanggar bai’ah mereka, maka mereka akan dipertanggungjawabkan nanti.
لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ
jika kamu mendirikan salat
Pertama disebut salat. Ini adalah contoh dari segi amalan perbuatan badan.
Ini juga bermakna yang syariat Salat juga ada dikenakan kepada Bani Israel (malah bagi setiap umat dan Nabi mereka).
وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ
dan menunaikan zakat
Dan hendaklah ditunaikan Zakat. Ini adalah contoh amalan dari segi harta iaitu mengeluarkan harta. Ia juga adalah mengeratkan hubungan sesama manusia, sedangkan salat adalah hubungan antara manusia dengan Allah ﷻ.
Malangnya bab zakat ini kurang dijaga oleh masyarakat kita kerana kejahilan tentang kewajipannya dan bagaimana memenuhinya. Maka masyarakat haruslah lebih cakna tentang perkara ini dan belajar tentang apakah yang perlu dizakatkan daripada pendapatan mereka.
وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ
serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka
Ini pula adalah dari segi Akidah. Hendaklah beriman dengan sekalian rasul, tidak boleh tolak satu pun. Termasuk yang perlu mereka beriman adalah rasul-rasul yang akan datang kemudian. Bani Israel ada masalah untuk beriman dengan Nabi Isa عليه السلام dan juga Nabi Muhammad ﷺ dan kerana itu mereka ada masalah dengan Allah ﷻ.
Bukan sahaja beriman dengan mereka, tetapi kenalah bantu mereka ketika bertemu musuh. Bantu kerana hormat kepada mereka.
وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا
dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik
Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang pinjaman. Ini berkenaan dengan harta lagi selepas disebut tentang zakat sebelum ini. Pinjaman yang dimaksudkan adalah infaq harta selain zakat. Inilah derma, dan pemberian kepada orang yang memerlukan. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Qur’an tentang infaq harta ini.
Qardun Hasan adalah pinjaman yang ikhlas yang tidak mengharapkan balasan keduniaan. Maka pinjaman kepada Allah ﷻ adalah infaq yang ikhlas yang mengharapkan balasan daripada Allah ﷻ sahaja di akhirat kelak.
Sebelum ini telah disebut tentang zakat, maka Qardun Hasan bukanlah zakat (yang wajib) akan tetapi ia bermaksud sedekah dan infaq yang selain zakat iaitu infaq sunat. Maka ini mengajar kita yang kita bukan sahaja kena bayar zakat sahaja. Zakat itu memang sudah wajib, tetapi ada lagi infaq selainnya.
Jadi kalau zakat itu fardhu ain, Qardun Hasan ini adalah fardhu kifayah yang perlu diperhatikan oleh umat Islam. Sebagai contoh, mendirikan masjid dan tempat pengajian untuk mengajar umat tentang agama.
لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ
sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu.
Natijahnya Allah ﷻ akan menutup kesalahan dengan memberikan keampunan-Nya.
وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai.
Jika menjaga hukum, Allah ﷻ akan masukkan ke dalam syurga, dengan segala nikmat di dalamnya.
فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ
Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
Sekiranya mungkir janji, kufur dengan segala arahan dalam ayat ini, maka itu bermaksud mereka telah sesat dari jalan yang benar. Kesannya mereka akan menjalani kehidupan yang salah di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Maidah Ayat 13: Oleh kerana mereka memungkiri janji, maka Allah ﷻ timpakan 5 perkara ke atas mereka.
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So for their breaking of the covenant We cursed them and made their hearts hardened. They distort words from their [proper] places [i.e., usages] and have forgotten a portion of that of which they were reminded.¹ And you will still observe deceit among them, except a few of them. But pardon them and overlook [their misdeeds]. Indeed, Allāh loves the doers of good.
- In the Torah concerning the coming of Prophet Muḥammad (ṣ).
(MALAY)
(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ
Kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka,
1. Maka Allah ﷻ laknat mereka. Jika Allah ﷻ telah melaknat, maka tidak ada peluang untuk mendapat rahmat iaitu Allah ﷻ menjauhkan mereka daripada perkara yang hak dan mengusir mereka dari jalan hidayah. Maka umat Islam sekarang kena berhati-hati supaya jangan jadi seperti mereka.
وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
dan Kami jadikan hati mereka keras membatu.
2. Hati mereka keras seperti batu untuk menerima kebenaran dan keras hati untuk menerima nasihat. Apabila nasihat disampaikan kepada mereka, ia tidak memberi bekas. Ya Allah, janganlah Kau jadikan kami seperti mereka! Aameen.
Perkara ini adalah sama seperti karat pada hati yang Allah ﷻ telah sebut dalam Mutaffifin:14
كَلّا ۖ بَل ۜ رانَ عَلىٰ قُلوبِهِم ما كانوا يَكسِبونَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.
Ada satu hadith tentang hal ini di mana Rasulullah ﷺ telah mentafsir ayat ini. Kita boleh lihat hadith daripada Abi Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}.
Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
(Riwayat al-Nasa’iy (11594))
Apabila sudah hitam hatinya, maka dia sudah tidak kisah lagi dengan perbuatannya. Dia sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk. Semua ikut nafsu dia sahaja; apa yang dia hendak buat, dia buat sahaja tanpa banyak fikir lagi,
Dia sentiasa membuat dosa yang sama umpama daya inersia (kekal dalam keadaan yang sama) kerana dia sudah lali dengan perbuatan dosa. Dia sudah tidak dapat ‘brek’ lagi daripada perbuatan dosanya itu. Dia bagaikan sudah ketagih dengan dosanya sendiri; dosa tersebut menjadi tabiat yang kekal sebati dalam jiwanya.
يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ
Mereka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya,
3. Iaitu mereka mengubah matan (teks) Kitab Taurat. Atau, mereka ubah makna daripada yang sepatutnya (beri penafsiran yang lain, jauh daripada yang kebenaran). Ini terjadi apabila sudah lali dengan perbuatan dosa. Sampai mereka sanggup membuat dosa yang amat tinggi sekali iaitu mengubah kalam Allah ﷻ sendiri.
Mengubah kalam Allah ﷻ adalah perbuatan yang buruk. Begitu jugalah seperti kebanyakan perbuatan guru-guru kita yang salah dalam mengajar. Mereka menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi mereka telah mengubah maknanya sampai keliru orang awam yang tidak faham bahasa Arab dan yang tidak belajar tafsir.
Kerana itulah ramai yang melakukan ibadah yang salah dan fahaman yang syirik dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Ini kerana ramai yang tidak tahu tentang Al-Qur’an dan mereka diberikan maklumat yang salah tentangnya.
وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ
dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan dengannya,
4. Mereka lupa sebahagian besar hukum yang mereka perlu taati. Sedangkan ayat-ayat itu tentang perkara yang mereka selalu diingatkan untuk menegakkannya. Ini juga kesan daripada kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.
Maka kerana mereka lupa, mereka tidak beramal dengannya. Memang banyak daripada Taurat yang mereka tidak amalkan. Mereka amalkan mana yang mereka mahu sahaja. Jika ada yang mereka rasa susah untuk amal dan tegakkan, mereka buat tidak kisah sahaja.
وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ
dan kamu senantiasa akan melihat kekhianatan daripada mereka kecuali sedikit di antara mereka
5. Berlaku khianat dalam kalangan mereka dan mereka juga akan melakukan khianat kepada muslimin. Hati mereka tidak tenteram kalau melihat umat Islam berjaya. Mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Perkara ini telah banyak dibincangkan dalam Surah Baqarah sebelum ini.
Allah ﷻ memberitahu kita yang kebanyakan daripada mereka akan melakukan khianat dan sedikit sahaja yang masuk Islam.
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ
maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka,
Kita disuruh memaafkan mereka dan jangan pedulikan mereka. Jangan hukum lagi apa yang mereka buat dahulu. Dakwah sahaja kepada mereka dahulu. Ada benda lain yang lebih penting lagi daripada menghukum mereka. Biarlah sahaja Allah ﷻ yang menghukum.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat:
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الآخِر
Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian. (At-Taubah: 29), hingga akhir ayat.
إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
Allah ﷻ sukakan hamba yang memiliki hati yang baik. Yang juga cuba memperbaiki diri mereka dari masa ke semasa.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 31 Oktober 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an