JATUH
OLEH NOUMAN ALI KHAN
BAHAGIAN 1
Ini adalah kerangka untuk penulisan ini. Ia merupakan sebuah topik yang besar maka kita memerlukan peta minda. Kita akan menceritakan kisah Nabi Adam. Kisah Adam ada diceritakan sebanyak 7 kali di dalam Qur’an tetapi diceritakan secara terperinci di dalam Surah Baqarah dan Surah A’raf. Namun kisah di dalam kedua surah itu tidak serupa walaupun sama. Apa yang Allah rincikan dalam Surah A’raf tidak dirincikan dalam Surah Baqarah. Di sini kita akan lihat kisah Nabi Adam di dalam Surah Baqarah secara terperinci.
Kita akan lihat kisah baginda dengan membiarkan Allah menceritakannya kepada kita. Ia mungkin berbeza berbanding dengan kisah daripada sumber-sumber yang lain yang kita biasa dengar. Mungkin juga kisah-kisah itu telah dicampuradukkan daripada pelbagai sumber. Sekarang, kita hanya akan melihat penceritaan daripada Allah sahaja.
Allah memulakan kisah ini di tempat yang paling tidak diduga di dalam (Al-Baqarah: 29)
هُوَ الَّذِيْ خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِى الْاَرْضِ جَمِيْعًا
Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu
Ini bermaksud dua perkara: apa sahaja yang Allah ciptakan di dunia ini adalah hanya untuk kamu. Segala-gala sumber yang Dia jadikan adalah untuk kegunaan manusia.
Maksud kedua pula adalah sumber yang dijadikan itu adalah untuk kamu semua. Untuk semua orang, bukannya sebahagian sahaja. Sumber alam ini sepatutnya dikongsi bersama oleh semua manusia. Malangnya fitrah manusia mudah menjadi tamak, ramai yang mengaut lebih dari yang sepatutnya. Sedangkan sepatutnya semua negara mendapat sumber dengan selayaknya. Allah sudah beri kecukupan sebenarnya untuk kegunaan manusia seluruhnya, tiada yang dapat lebih daripada yang lain. Maka ayat ini mengajar kita cara-cara untuk menggunakan sumber tersebut yang telah Allah sediakan. Kita harus belajar bagaimana untuk hidup bersama-sama dengan semua orang di atas muka bumi ini. Dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja.
Kemudian Allah sambung:
ثُمَّ اسْتَوٰٓى اِلَى السَّمَاۤءِ فَسَوّٰىهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ ۗ
lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit.
Sebelum ini telah disebut yang Allah telah menjadikan bumi, sekarang Dia bercerita tentang langit pula. Allah telah membahagikan langit kepada tujuh lapis. Dan di akhir ayat ini Dia menyatakan yang Dia Maha Mengetahui.
وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ
Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
Jadi kita sudah tahu yang Allah mula mencipta bumi, kemudian langit. Kita mungkin merasakan bahawa kita tiada kaitan dengan langit ini kerana kita tinggalnya di bumi, tetapi sebenarnya kedua-dua tempat ini amat berkait rapat dengan manusia. Dan kita akan jelaskan lagi nanti.
Walaupun Allah telah menjadikan bumi untuk kita, kemudian apabila Dia menyebut pula tentang langit, kerana Dia sebenarnya mahu menyatakan tentang Jannah, yang berada di langit. (An-Najm: 15)
عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوٰىۗ
di dekatnya ada syurga tempat tinggal,
Ayat ini adalah tentang peristiwa mikraj Rasulullah ke langit. Jadi kita sekarang sudah tahu yang Jannah itu letaknya di langit. Dan kita semua tahu tentang kisah Adam yang bermula di syurga. Maka, inilah bahagian pertama kisah ini:
Tajuk: ‘Langit atau Bumi?’
Allah telah berfirman di dalam (Al-Baqarah: 30)
وَاِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اِنِّيْ جَاعِلٌ فِى الْاَرْضِ خَلِيْفَةً ۗ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”
Allah memberitahu kepada malaikat tentang manusia. Manusia belum dijadikan lagi ketika itu, tetapi Dia sudah menceritakan kepada mereka tentang manusia. Dia akan menjadikan makhluk yang digelar manusia yang akan menetap di bumi. Maka, ini memberitahu kita yang sebelum Nabi Adam dijadikan lagi, sudah ada perancangan yang manusia akan diletakkan di bumi.
Ini penting kerana terdapat di antara kita yang menyangka Adam dan Hawa diturunkan ke bumi sebagai hukuman setelah melanggar perintah Allah kerana telah terpedaya dengan bisikan Iblis. Di sini kita jelas bahawa Adam dan Hawa dari awal lagi telah dirancang untuk turun ke bumi. Maka, penurunan mereka ke bumi bukanlah satu bentuk hukuman. Kita memang sudah dirancang untuk diletakkan di bumi. Dalam ayat (Al-Baqarah: 29), Allah telah menyebut bahawa bumi telah dijadikan untuk kita, bukan? Oleh sebab itu, kita sebagai Muslim sepatutnya sudah jelas mengenai perkara ini: Dunia ini bukanlah hukuman buat kita.
Bagaimana kita dapat lebih memahami perkara ini? Perhatikan analogi berikut. Bayangkan seorang lelaki yang bekerja di sebuah syarikat. Majikannya telah menghantar email ke seluruh kakitangan mengatakan lelaki ini akan dihantar ke negeri lain. Semua kakitangan lain mendapat email ini, kecuali lelaki itu sendiri. Pada minggu berikutnya, lelaki itu datang ke pejabat lewat 30 saat sahaja. Majikannya memanggilnya dan memberitahu yang disebabkan kelewatannya itu, dia akan dihantar ke negeri lain.
Soalan: Adakah adil dia dihukum begitu teruk hanya kerana kelewatan 30 saat sahaja? Padahal kakitangan lain sudah sedia maklum dari awal lagi yang lelaki itu akan dihantar ke negeri lain. Maka, kita tahu yang dia dihantar ke negeri lain itu bukanlah kerana kelewatan 30 saat itu, tetapi ia merupakan perancangan majikannya dari awal lagi. Tapi digunakan insiden lewat itu sebagai penyebab dia mula dihantar sahaja.
Nabi Adam juga sudah tahu sebenarnya dari awal lagi yang baginda akan diturunkan ke bumi. Ini kerana Iblis sudah datang dan mengkhabarkan berita tersebut kepadanya. Kemudian Iblis memperdaya baginda dengan mengatakan jika baginda ingin kekal tinggal di Jannah, maka baginda harus memakan buah daripada pohon terlarang itu. Ini kerana Iblis telah mendakwa yang hanya malaikat dan penduduk tetap hanya layak tinggal di Jannah selama-lamanya. Dan Nabi Adam bukanlah tergolong daripada golongan yang layak itu. Maka, tujuan Adam makan buah itu kerana baginda percaya yang baginda akan menjadi malaikat atau penduduk tetap Jannah.
Ramai yang mempersoalkan perkara ini: Sekiranya Allah telah memutuskan apa yang akan terjadi kepada kita dan apakah pengakhiran kita, maka bagaimana pula kita dipersalahkan? Adakah ini semua satu ‘muslihat’?
Persoalan tentang takdir adalah persoalan paling lama dalam dunia falsafah. Ia dibincangkan zaman berzaman oleh sangat ramai orang. Persoalan ini boleh saja ditanyakan terus oleh manusia pertama iaitu Adam, bukan?
Mari kita lihat satu lagi analogi untuk cuba menjelaskan perkara ini. Bayangkan seorang pemuda yang bekerja di sebuah syarikat dan dia bermula bekerja dengan memegang jawatan paling rendah, katakanlah tukang sapu. Kemudian dia dinaikkan menjadi pengawal keselamatan, kemudian penjaga kaunter hadapan. Seterusnya dia dinaikkan pula menjadi pengurus pejabat. Begitulah dia terus dinaikkan pangkat selama 40 tahun bekerja di syarikat itu. Sampailah dia sudah menjadi Naib Presiden syarikat. Hanya tinggal satu jawatan sahaja yang lebih tinggi daripadanya iaitu Presiden.
Pada suatu hari, Presiden itu masuk ke dalam pejabatnya dengan seorang pemuda berusia 16 tahun. Pemuda itu adalah anak saudaranya. Presiden itu mengarahkan Nabi Presiden itu untuk memberikan jawatan Naib Presiden itu kepada budak itu. Siap beri arahan lagi: “Sekarang pergi ambilkan kopi untuk kami”.
Bolehkah anda bayangkan apa yang berlaku selepas itu? Sudah tentu Naib Presiden itu naik marah, bukan? Mungkin dia menjerit-jerit dalam kemarahannya kerana sudah tidak dapat dibendung lagi. Dan jika kita yang mendengar kisah sebegini, sudah pasti kita merasa simpati dengannya, bukan? Kerana tidak masuk akal perkara sebegini boleh terjadi, bukan?
Tetapi kita bukan hendak menceritakan kisah malang Naib Presiden itu di sini sebenarnya. Ia hanya analogi sahaja. Kita sebenarnya sedang bercakap tentang kisah Iblis laknatullah. Dia telah berusaha keras sepanjang hidupnya untuk menaikkan darjatnya sehingga hampir setaraf malaikat. Dia telah membantu menghalau jin yang membuat kerosakan di bumi. Namun, tiba-tiba Allah telah membuat pengumuman yang para malaikat mesti sujud kepada Nabi Adam. Adakah ini kedengaran adil? Iblis mesti telah berkata: “Selama ini aku yang bersusah payah bekerja keras berkhidmat sepanjang hidupku. Tiba-tiba orang lain yang dinaikkan?”
Adakah Adam dimuliakan Allah? Ya. Pada suatu ketika, Iblis juga telah mendapat kemuliaan itu. Adam telah diberikan kedudukan yang tinggi, begitu juga Iblis. Adam telah melanggar perintah Allah, begitu juga Iblis. Maka, sehingga saat itu, mereka masing-masing mempunyai persamaan, bukan? Kerana dua-dua pernah buat kesalahan. Cuma ada satu perbezaan. Ketika Adam diturunkan ke dunia, baginda boleh sahaja bertanya kepada Allah: “Ya Allah, Kau sejak awal lagi sudah merancang aku turun ke bumi, maka bagaimana pula perkara yang berlaku ini adalah salahku?” Namun adakah baginda bertanyakan soalan itu? Tidak.
Iblis boleh juga bertanyakan satu soalan yang logik: “Engkau telah jadikan aku daripada api, dan Engkau jadikan dia daripada tanah. Jadi apakah hebatnya dia?”
Kedua mereka boleh sahaja bertanyakan soalan begitu kepada Allah. Namun salah seorang daripada mereka telah dilaknat selamanya, manakala seorang lagi pintu harapan sentiasa terbuka untuknya. Kenapa? Kerana dia sedar, walaupun apa sahaja keputusan Allah bagaikan tidak logik di akalnya, tetapi dia mesti yakin dengan kebijaksanaan Allah. Jika terdapat kepincangan, semua itu salah dirinya dan dia yang harus bertanggungjawab di atasnya.
Berlainan dengan Iblis. Apabila dia melakukan kesilapan, dia terus menyalahkan Allah. Oleh sebab itu, jika kita suka menyalahkan Allah di atas sesuatu perkara, maknanya kita telah mengikut sunnah Iblis. Tetapi jika kita sanggup mengambil tanggungjawab di atas kesilapan kita, maka kita telah mengikut sunnah Nabi Adam. Itulah perbezaan di antara Adam dan Iblis.
Mari kita sambung. Kita kena ingat yang kita berada di bumi bukanlah sebagai hukuman atau sumpahan daripada Allah. Kepercayaan Kristian mengatakan yang bumi ini adalah hukuman dan manusia dilahirkan dalam dosa (Konsep ‘Dosa Asal’). Ini bukanlah konsep dalam Islam. Allah sebenarnya mahu memuliakan kita dengan meletakkan kita di bumi ini. Dia mahu kita hidup dengan aman di bumi dan bukakan jalan kita ke Jannah.
Akan tetapi ramai yang mempunyai persoalan mengenai takdir. Mereka berhujah yang jikalau semua perkara telah ditakdirkan oleh Tuhan, maka kita sebenarnya tidak bersalahlah, bukan? Jikalah kita boleh mengambil kasut dan melemparkan kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan persoalan takdir ini, adakah dia akan berasa marah? Sudah pasti dia marahkan kita yang melempar kasut itu kepadanya. Tetapi, katakanlah kita jawab: “Itu adalah qadr Allah. Allah telah menetapkan bahawa kamu akan dibaling dengan kasut, bukannya salah aku!”
Sudah pasti orang itu masih marahkan kita. Dia mahukan kita memikul tanggungjawab kesalahan kita itu. Apa yang kita buat itu tetap salah, walaupun itu adalah takdir Allah.
Adam yang telah membuat keputusan untuk memakan buah daripada pohon terlarang itu, dan baginda mengambil tanggungjawab di atas kesalahannya itu dan bertaubat kepada Allah. Bandingkan perbuatan ini dengan Iblis yang membuat kesalahan tetapi kemudian telah menyalahkan Allah di atas kesalahannya itu.
Sekarang, mari kita beralih ke bahagian kedua topik ini: Apakah maksud ‘Khalifah’?
Oleh kerana Allah meletakkan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini, maka kita seharusnya memahami apakah sebenarnya maksud khalifah ini. Terdapat banyak maksud khalifah, tetapi kita akan tekankan 3 maksud sahaja di sini.
Maksud pertama adalah ‘pengganti’. Sebagai contoh, sekiranya seorang guru besar sebuah sekolah bersara dan ada guru besar mengambil alih tempatnya, maka guru besar yang baru itulah pengganti kepada yang lama. Contoh yang lain pula adalah jika seorang datuk meninggal dunia dan anaknya yang paling tua mengambil tempat sebagai ketua keluarga. Ini juga maksud khalifah. Dia akan mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab ketua keluarga.
Maksudnya di sini, Allah meletakkan manusia bertanggungjawab menjaga dunia. Kita mengambil alih tugas ini daripada orang sebelum kita dan apabila kita meninggal dunia, orang yang selepas kita pula yang akan memikul tanggungjawab itu. Lihat contoh Allah berfirman di dalam (Al-An’am: 133) menggunakan kalimah khalifah:
وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ ذُو الرَّحْمَةِ ۗاِنْ يَّشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَسْتَخْلِفْ مِنْۢ بَعْدِكُمْ مَّا يَشَاۤءُ كَمَآ اَنْشَاَكُمْ مِّنْ ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ اٰخَرِيْنَ
Dan Tuhanmu Mahakaya, penuh rahmat. Jika Dia menghendaki, Dia akan memusnahkan kamu dan setelah kamu (musnah) akan Dia ganti dengan yang Dia kehendaki, sebagaimana Dia menjadikan kamu daripada keturunan golongan lain.
Maksud kedua khalifah adalah seseorang yang dibiarkan membuat keputusan sendiri tanpa dipantau. Katakan kita akan meninggalkan rumah kita, dan kita memberi tanggungjawab kepada anak kita untuk menjaganya. Maksudnya anak kita pada waktu itu menjadi khalifah. Ketika itu dia ada kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang dia inginkan kerana kita sebagai ketua rumah tidak ada. Kita mungkin telah menggariskan peraturan dan larangan yang dia boleh dan tidak boleh buat, tetapi kita tiada di rumah untuk memantaunya.
Maka, khalifah di sini bermaksud, seseorang yang mempunyai pilihan untuk melakukan apa sahaja. Mereka boleh melakukan apa yang sepatutnya dilakukan tetapi mereka boleh melakukan yang sebaliknya. Keputusan di tangan mereka. Oleh yang demikian, inilah yang diberikan oleh Allah kepada kita. Dia telah memberikan kita kebebasan untuk membuat pilihan. Allah tidak memaksa kita. Dia tidak memaksa kita untuk solat. Dia tidak memaksa kita untuk berbuat baik, atau bercakap benar sepanjang masa. Semua terpulang ke atas diri kita sama ada kita mahu atau tidak.
Maksud yang ketiga adalah seseorang yang diberi tanggungawab bagi pihak orang lain. Dan ini adalah berbeza dengan pemilikan. Ini kerana kita diberikan tanggungjawab mengurus bumi ini di mana seterusnya kita akan menyerahkan tanggungjawab itu kepada yang lain pula. Maka kita tidak memiliki sepenuhnya tanggungjawab itu selamanya, tetapi sementara sahaja.
Begitulah manusia yang diletakkan di dunia ini seharusnya memahami yang mereka tidak memiliki apa-apa. Allahlah pemilik sepenuhnya langit dan bumi. Kita mungkin rasakan yang kita memiliki baju dan kasut yang kita pakai ini, tetapi akhirnya kita sedar yang kita harus mengembalikan semua barang itu. Ini kerana kita akan mati dan kita tidak akan membawa semua itu ke akhirat. Begitu juga dengan tubuh badan kita ini. Kita tidak memilikinya sepenuhnya. Semua anggota tubuh badan ini akan menjadi saksi dan akan bercakap bagi pihak kita akhirat kelak.
Oleh hal yang demikian, ketiga-tiga maksud di atas dapat menjelaskan maksud khalifah. Ia adalah sebuah tanggungjawab yang begitu besar sekali dan telah diumumkan kepada malaikat di langit. Kerana itulah para malaikat amat terkejut dengan pengumuman tersebut.
Dan ini membawa kita kepada bahagian ketiga perbincangan kita ini: Malaikat yang mengadu.
Sebelum manusia hidup di dunia ini, jin yang telah dulu dijadikan khalifah. Sepertimana kita, mereka juga telah diberikan pilihan untuk membuat keputusan dan mereka telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi. Akhirnya, Allah memutuskan untuk menghantar tentera malaikat-Nya untuk melenyapkan terus jin dari muka bumi ini. Terdapat satu jin yang melakukan kebaikan sepanjang hidupnya sehingga dia dinaikkan setaraf dengan malaikat dan dapat bersama-sama malaikat untuk membanteras jin-jin perosak. Mereka telah menghantar jin-jin ke dalam lautan dan keamanan bumi akhirnya dapat dipulihkan.
Sekarang, Allah mengatakan yang Dia akan meletakkan khalifah yang lain pula di dunia ini. Ini bermaksud tanggungjawab serta kebebasan untuk memilih dan ini telah mengejutkan para malaikat. Mereka baru sahaja melalui peperangan yang dahsyat untuk melenyapkan jin-jin perosak itu dan mereka dikejutkan dengan berita ada khalifah baru pula akan diletakkan di bumi? Dan kerana itu mereka bertanyakan soalan kepada Allah (Al-Baqarah: 30)
اَتَجْعَلُ فِيْهَا مَنْ يُّفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاۤءَۚ
Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana?,
Dan inilah apa yang sedang berlaku sekarang, bukan?
Tetapi, ketika itu, mereka masih belum kenal pun siapa kita ini. Nabi Adam pun belum dicipta lagi. Bagaimana pula mereka boleh tahu yang kita akan melakukan perkara tersebut? Ini adalah berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini dengan jin. Ini kerana mereka tahu, apabila Allah menjadikan makhluk yang bebas membuat pilihan, kesudahannya nanti makhluk itu akan melakukan pilihan yang salah.
Mereka juga menambah:
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۗ
sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?”
Malaikat mengatakan yang mereka sahajalah yang tidak akan melakukan kesalahan dan sentiasa tunduk patuh kepada segala perintah Allah. Jadi mengapa perlunya diciptakan makhluk lain pula?
Kejadian ini menimbulkan persoalan lain pula. Soalan malaikat ini berbunyi yang malaikat seolah-olah sedang memuji diri mereka sendiri, bukan? Adakah mereka meletakkan kedudukan mereka lebih tinggi daripada manusia? Adakah ini satu keangkuhan? Tetapi, bukankah yang mempunyai masalah keangkuhan ini adalah si Iblis? Menarik bukan jika difikir-fikirkan?
Sekarang kita lihat situasi yang berbeza ini:
Adam mempunyai persoalan tetapi baginda tidak bertanya;
Begitu juga Iblis, ada persoalan tetapi dia juga tidak bertanya;
Malaikat sahaja yang menyuarakan persoalan mereka.
Kita jelas mengapa malaikat bertanyakan soalan tersebut, tetapi bagaimana pula dengan tindakan seolah-olah seperti memuji diri sendiri itu? Kita cuba jelaskan di sini.
Apakah maksud ‘tasbih’? Di dalam bahasa Arab kata-kata tasbih diucapkan apabila terdengar sesuatu celaan terhadap tuhan. Contohnya sekiranya seseorang mengatakan yang Allah ada anak, ucapan yang harus diberikan adalah subhanallah. Ini bermaksud apabila seseorang melakukan sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan Allah, maka kita harus mengucapkan subhanallah. Iaitu untuk menyingkirkan kata-kata yang tidak sepatutnya dikatakan tentang Allah. Inilah perbuatan yang dinamakan ‘tasbih’. Ringkasnya ia bermaksud mensucikan apa yang telah dicemar.
Sebenarnya ketika malaikat tidak faham tujuan Allah meletakkan manusia sebagai khalifah di bumi, dan mereka terus bertanya Allah, kemudiannya mereka berasa yang mereka telah bertindak melampaui batas. Kerana bukankah mereka sedang mempersoalkan tindakan Allah? Maka, di sini bukanlah mereka sedang memuji diri mereka sendiri, tetapi mereka sedang mengisytiharkan kepada Allah yang walaupun mereka bertanyakan soalan tersebut, bukanlah mereka bermaksud mereka mempersoalkan kesempurnaan Allah itu. ‘Engkau Maha Sempurna, walaupun kami tidak mampu memahami keputusan-Mu itu.’
Mereka sebenarnya di dalam ketakutan ketika bertanyakan soalan tersebut. Namun, mereka tetap tanyakan juga.
Dan apakah maksud ‘taqdis’ pula? Adakah ia bermaksud mengisytiharkan kesucian Allah? Apakah perbezaan di antara ‘taqdis’ dan ‘tasbih’ (mengisytiharkan kesempurnaan Allah)? Apakah pula perbezaan di antara kesempurnaan dan kesucian?
Kesempurnaan adalah tentang segala sifat Allah. Rahmat Allah adalah sempurna, keadilan-Nya, kebijaksanaan-Nya, kesemuanya dan banyak lagi dapat diungkap dengan tasbih.
Manakala kesucian pula berkait rapat dengan kebaikan. Dalam erti kata lain, keadilan adalah sebahagian daripada kebaikan, rahmat juga sebahagian daripada kebaikan, menghapuskan kejahatan juga adalah sebahagian daripada kebaikan. Maka, apabila malaikat melakukan taqdis kepada Allah, mereka tidak menyifatkan kejahatan kepada Allah kerana Allah terlalu sempurna dan suci untuk mereka mengatakan yang Allah telah melakukan sesuatu yang jahat. Mereka hanyalah keliru, itu sahaja.
Malaikat tidak pernah ingkar segala perintah Allah. Mereka tidak pernah melakukan apa-apa pun yang di luar daripada apa sahaja yang Allah perintahkan. Tetapi mereka ada persoalan dan mereka tanya kepada Allah. Maka, di sini kita faham bahawa bertanya kepada Allah bukanlah satu perbuatan yang mengingkari Allah. Jadi, tidak salah untuk bertanya.
Malangnya, di seluruh dunia ini, kadangkala seolah-olah ada guru yang berkedudukan terlalu tinggi sampaikan sudah tidak boleh dipersoalkan lagi oleh pelajarnya. Mereka yang bertanya akan dijatuhkan, seolah-olah perbuatan bertanya itu seperti mencela guru mereka pula. Adakah benar pemahaman sebegini?
Iblis telah mempersoalkan Allah, begitu juga malaikat telah memberi soalan kepada Allah. Tetapi terdapat perbezaan yang besar di antara mereka. Cara pertanyaan mereka itu yang membezakannya. Apabila kita bertanyakan soalan kerana benar-benar mahu memahami, dan bukan untuk mempersoalkan kedudukan Allah, maka pertanyaan sebegini dibenarkan sebagaimana yang malaikat lakukan. Namun sebaliknya apabila kita bertanyakan soalan yang mempersoalkan tujuan Allah, mempersoalkan kesempurnaan-Nya, maka di sinilah pertanyaan yang ternyata salah dan tidak dibenarkan. Malah dengan cara nada suara bertanya juga boleh menzahirkan sama ada seseorang itu mempersoalkan Allah atau tidak.
Bukanlah tidak digalakkan untuk bertanya pula, tetapi kita tidak digalakkan untuk bertanya dengan sikap yang salah. Di akhirnya nanti, inilah yang menyebabkan kita menjadi seperti sikap Iblis. Golongan muda seharusnya dibenarkan untuk bertanyakan soalan yang mereka tidak jelas, tetapi harus diingatkan jika mereka mempunyai sikap yang salah di dalam persoalan itu, maka mereka bukan sahaja menyakiti guru mereka, malah menyakiti Allah juga.
Dan di sini telah memberi pengajaran kepada kita, yang sekiranya malaikat pun dibenarkan bertanya kepada Allah, maka sesiapa sahaja juga boleh bertanyakan soalan kepada sesiapa sahaja dan bersedia untuk dipersoalkan oleh sesiapa juga. Malangnya, ini jarang berlaku di dunia kita hari ini.
Oleh sebab itu, ketika malaikat bertanya kepada Allah, apakah pula jawapan Allah kepada mereka?
قَالَ اِنِّيْٓ اَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ
Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Allah mengetahui apa yang para malaikat itu tidak tahu. Seolah-olah Allah memberitahu kepada para malaikat: Kamu mungkin fikir perkara yang sama akan berlaku jika meletakkan manusia di bumi, bukan? Tetapi ada suatu yang berbeza pada kali ini.
Dan Allah akan memberitahu mereka apakah itu.
Sekian. Sambung ke Bahagian 2