Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 71 (Kumpulan mana kita nak masuk?)

Ayat 68: Keadaan di akhirat kelak dengan diberikan juga takhwif ukhrawi.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ

 

Sahih International

And the Horn will be blown, and whoever is in the heavens and whoever is on the earth will fall dead except whom Allah wills. Then it will be blown again, and at once they will be standing, looking on.

Malay

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

 

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiup pada sangkakala

Ini adalah tiupan Sangkakala yang pertama. Israfil (ada pendapat kata namanya bukan Israfil) akan tiup pada sangkakala apabila diarahkan oleh Allah ﷻ apabila sampai masanya. Kenapa Allah ﷻ gunakan tiupan sangkakala dan bagaimanakah keadaannya? Kita tidak tahu dengan tepat kerana ini adalah termasuk perkara ghaib.

Tetapi kalau kita cuba, apa yang kita boleh bayangkan, tiupan sangkakala itu adalah satu tiupan yang kuat. Yang akan menyebabkan kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ia. Begitu juga sekarang ini pun, kalau ada bunyi hon yang kuat, kita akan terperanjat dan tertanya-tanya apakah sebabnya bunyi itu. Kalau kita tengok filem perang, kalau ada serangan, kem akan bunyikan siren dengan kuat, bukan?

Itu semua untuk beri makluman kepada orang lain. Begitulah nanti Allah ﷻ akan memberikan satu bunyi yang kuat yang akan menyebabkan kita terkejut. Dan tentunya tidak dapat kita bayangkan bagaimanakah bunyi Sangkakala itu.

فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ

apa sahaja makhluk yang berada di bumi dan langit akan mati semuanya,

Tiupan Sangkakala yang pertama itu akan mematikan seluruh makhluk di alam ini. Tidak kira sama ada mereka berada di langit atau di bumi. Tetapi Allah ﷻ sebut ‘langit’ dahulu kerana permulaan kiamat itu dari langit. Langit yang akan dapat kesannya dahulu. Langit yang akan hancur dahulu.

Kalimah صَعِقَ bermaksud jatuh pengsan dulu dan kemudian mati. Dan waktu itu tentulah sudah ramai yang mati. Maka mereka yang sudah mati, roh mereka pun akan pengsan dan mati juga.

Pada hari kiamat itu berlaku, manusia yang hidup waktu itu semuanya kafir belaka. Maka tidak ada orang mukmin yang akan merasai kesusahan pada Hari Kiamat itu kerana ianya amat teruk sekali. Ini adalah kerana ianya adalah pengalaman yang amat teruk sampaikan Allah ﷻ tidak sanggup kenakan kepada orang Mukmin. Maka orang yang mukmin akan dimatikan dengan cara yang lembut sebelum itu lagi.

إِلَّا مَن شَاءَ اللهُ

melainkan sesiapa yang dikehendaki Allah.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada juga makhluk yang tidak dimatikan dengan tiupan sangkakala. Siapakah mereka itu ada diceritakan dalam hadis.

Iaitu lapan malaikat yang menongkat Arasy, dan empat malaikat besar: Jibrail, Mikail, Malaikat Maut dan Israfil. Jadi, ada 12 malaikat yang tidak mati dengan tiupan sangkakala. Mereka akan dimatikan satu-satu dengan perintah Allah ﷻ. Allahu a’lam.

Maksudnya, tiupan Sangkakala itu tidak mematikan mereka. Tetapi tidaklah bermaksud mereka tidak mati langsung. Mereka akan tetap mati juga akhirnya, tetapi dengan cara yang lain, bukan dengan tiupan Sangkakala itu. Semua makhluk akan mati, kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang akan terus hidup.

نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ

dan ditiupkan pada sangkala kedua,

Tiupan sangkakala kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk. Selepas ditiupkan pada Sangkala pertama dan kemudian setelah dimatikan semua makhluk yang tidak mati semasa tiupan Sangkakala pertama itu, hanya Allah ﷻ sahaja yang tinggal. Dalam riwayat, ada disebut tinggal Israfil dan Allah ﷻ sahaja maka Allah ﷻ mematikan Israfil dengan perintahNya.

Kemudian Allah ﷻ mula-mula menghidupkan Israfil dan beliau diarahkan untuk meniupkan tiupan kedua untuk menghidupkan kembali semua makhluk.

فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

maka mereka semua tiba-tiba bangkit berdiri dari kubur, hadir menunggu.

Kita semua akan bangkit dalam keadaan gelap gelita. Dibangkitkan untuk dibicarakan. Dan waktu dihidupkan itu tidaklah macam kita lahir ke dunia dulu. Kerana dulu kita lahir dari perut emak kita dan kita waktu itu bayi dan lama kelamaan membesar jadi dewasa.

Di akhirat nanti, apabila dibangkitkan, terus dalam keadaan dewasa. Cuma ahli syurga akan dibangkitkan sebagai ahli syurga dan ahli neraka akan dibangkitkan sebagai ahli neraka. Tanda mereka akan mengikut amal masing-masing.

Waktu itu, kita semua tidak tahu hendak pergi mana. Kemudian kita semua akan dihalau untuk pergi ke Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada hari itu. Kerana semua sekali akan dihidupkan dari mula kehidupan sehingga Hari Kiamat. Semuanya nanti akan dihidupkan semula serentak. Semua dapat melihat makhluk yang lain. Tidak dapat dibayangkan berapa ramai makhluk akan ada pada hari itu.


 

Ayat 69: Satu lagi ayat mutashabihah.

وَأَشرَقَتِ الأَرضُ بِنورِ رَبِّها وَوُضِعَ الكِتٰبُ وَجِيءَ بِالنَّبِيّينَ وَالشُّهَداءِ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَهُم لا يُظلَمونَ

 

Sahih International

And the earth will shine with the light of its Lord, and the record [of deeds] will be placed, and the prophets and the witnesses will be brought, and it will be judged between them in truth, and they will not be wronged.

Malay

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka akan terang benderang bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhannya.

Cerah macam mana? Kita tidak tahu keadaannya macam mana. Tidak boleh digambarkan. Tidak perlu untuk kita fikirkan dan bayangkan. Kerana ini adalah perkara ghaib.

Tidak perlu kita hendak takwil. Tidak pernah diberitahu oleh Nabi ﷺ, jadi tidak perlu kita susah payah hendak cari maksudnya. Dari lafaz ayat ini, memberi isyarat bahawa Allah ﷻ menampakkan DiriNya. Tetapi tidaklah dalam bentukNya yang sebenar.

وَوُضِعَ الْكِتٰبُ

dan akan dibawakan kitab suratan amal.

Setiap kita akan diberikan dengan kitab amalan kita sendiri. Amalan kita sehari akan diletakkan dalam satu skrol. Apabila dibentangkan, ianya adalah sejauh mata memandang. Kita sendiri akan baca amalan harian satu persatu. Yang jadi saksi adalah Malaikat Raqid Atid kerana merekalah yang menulis amalan mereka.

Ada kisah bagaimana Allah ﷻ akan arahkan malaikat untuk campakkan amalan mereka. Maka, malaikat pencatit akan kata bahawa mereka menyaksikan bahawa mereka manusia itu ada buat amalan itu. Tetapi Allah ﷻ akan tanya balik sama ada malaikat tahu apakah yang ada dalam hati manusia itu?

Ini bermakna, malaikat tidak tahu isi hati kita. Kalau malaikat pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata manusia boleh tahu pula? Ada kalangan orang kita yang takut bila hendak bertemu dengan guru mereka kerana mereka sangka guru mereka tahu apakah dalam hati mereka.

Ini adalah satu kepercayaan yang karut sama sekali. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu isi hati kita. Janganlah kita percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Teruk sangat kepercayaan masyarakat kita kerana telah dimomok-momokkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran sesat.

Ada yang dapat kitab amal dengan tangan kanan. Mereka yang banyak amal akan rasa bangga semasa membaca amalan mereka dan mereka yang jahat akan rasa sangat-sangat malu sambil membaca kitab amalan mereka.

Tafsiran kedua potongan ayat ini: dibawakan Kitab Wahyu umat masing-masing sebagai bukti sama ada mereka ikut atau tidak kitab wahyu mereka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ

Dan dibawa datang semua Nabi-Nabi dan segala saksi-saksi.

Apabila mahkamah Allah ﷻ dimulakan, para Nabi akan menjadi saksi ke atas umat-umat mereka. Termasuklah Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi saksi ke atas kita, umatnya. Ini telah disebut dalam Nisa:41.

Dalam ayat-ayat lain ada disebut bagaimana para Nabi akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah mereka. Maka berlakukan perbicaraan antara umat dan Nabi mereka. Ini kita akan belajar dalam surah-surah yang lain.

Siapakah pula saksi-saksi itu? Mereka yang melakukan tabligh (dakwah) untuk sebar agama. Yang menyebarkan ajaran tauhid. Yang pertama sekali adalah tentunya para Nabi kerana mereka yang mula menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kemudian pengikut para Nabi seperti yang disebut dalam Hajj:78.

Kemudian akan diteruskan oleh pendakwah yang meneruskan tugas para Nabi dan Rasul itu. Mereka akan beritahu siapakah orang-orang yang mereka telah dakwahkan tetapi tidak mahu terima. Mereka akan beritahu siapakah yang telah menghalang mereka dari mengajar dalam masjid, dalam surau dan sebagainya. Mereka akan bentangkan siapakah guru-guru, ustaz-ustaz yang cuba menyekat guru-guru ajaran sunnah dari dapat mengajar kepada masyarakat.

Mereka yang mengamalkan bidaah dan syirik akan cuba untuk halang kerana kalau dibenarkan guru ajaran tauhid dan sunnah mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka yang tidak tahu tentang agama. Mereka itu tidak tahu tentang agama kerana mereka tidak pernah lagi belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis Nabi.

Tetapi masalahnya merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat sekarang. Sampai mereka boleh masuk suratkhabar, TV, radio dan sebagainya. Merekalah yang buat duit dengan mengambil upah daripada masyarakat yang jahil untuk jadi pembaca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya.

Para malaikat juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam Qaf:21. Selain dari itu, tubuh badan kita juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam Yaasin:65.

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

dan akan dihakimi diantara mereka dengan adil,

Akan dijalankan pengadilan dengan seadil-adilnya. Allah ﷻ sudah tahu apakah yang makhluk telah buat. Allah ﷻ boleh sahaja masukkan ahli syurga ke dalam syurga dan ahli neraka ke dalam neraka. Tetapi Allah ﷻ jadikan majlis perbicaraan untuk menunjukkan keadilanNya. Supaya mereka dapat rasa yang hujah mereka didengari.

Semua makhluk akan mengadap Allah ﷻ dalam duduk berlutut dalam keadaan telanjang. Semuanya akan mengadap Allah ﷻ ada yang semasa berkumpulan dan ada yang semasa berseorangan, tidak ada yang bersama kita. Waktu itu, kita tidak mampu hendak menolak atau memberi alasan lagi diatas perbuatan kita. Kita terpaksa mengaku semuanya sekali.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.

Satu dosa akan dibalas satu atau boleh jadi, lagi kurang dari itu dan dimaafkan langsung. Satu pahala pula dibalas sekurang-kurangnya sepuluh atau lebih lagi berganda-ganda. Bermakna, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi oleh Allah ﷻ.

Mana boleh kita hendak kata Allah ﷻ berlaku zalim, sedangkan Allah ﷻ hanya membalas kejahatan dengan keburukan atau dimaafkan, tetapi yang melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang mereka buat.


 

Ayat 70:

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت وَهُوَ أَعلَمُ بِما يَفعَلونَ

Sahih International

And every soul will be fully compensated [for] what it did; and He is most knowing of what they do.

Malay

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ

Dan akan diberikan balasan setiap jiwa

Allah ﷻ dengan segala keadilanNya akan beri balasan yang setimpal. Dengan cukup. Tidak akan ada makhluk yang akan mempersoalkan keadilan Allah ﷻ pada waktu itu.

مَّا عَمِلَتْ

daripada apa yang telah mereka lakukan

Amalan baik akan dibalas baik. Amalan jahat dan zalim akan dibalas dengan keburukan. Tidaklah mereka akan dihukum atas perbuatan yang mereka tidak lakukan; kalau di dunia, ada kemungkinan manusia dihukum atas kesalahan yang mereka tidak lakukan; dan tidak ada amalan kebaikan yang tidak dibalas dengan kebaikan.

Allah ﷻ boleh berikan pengadilan yang adil kerana Allah ﷻ tahu belaka apa yang kita telah lakukan. Tidak akan tertinggal satu pun kebaikan melainkan akan dibalas.

Allah ﷻ Maha Adil dan tidak pernah dan tidak akan zalim. Bukanlah Allah ﷻ hendak menyeksa hambaNya, tetapi segala azab yang akan dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan manusia sendiri. Mereka telah diberi dengan segala penerangan dan peringatan, tetapi mereka masih lagi hendak menolak taat kepada Allah ﷻ.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

tetapi Allah sudah sedia tahu apa yang mereka amalkan.

Allah ﷻ lebih tahu apa yang telah mereka lakukan dahulu semasa di dunia. Bukanlah dibentangkan amalan itu sebab Allah ﷻ tidak tahu. Allah ﷻ memang sudah tahu segala-galanya. Tetapi Allah ﷻ hendak menunjukkan keadilanNya. Allah ﷻ bentangkan balik segala apa yang kita lakukan sampai kita tidak boleh hendak buat helah lagi. Kadang-kadang kita sendiri sudah lupa apa yang kita lakukan, tetapi Allah ﷻ tahu.

Habis Ruku’ ke 7 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 71: Ayat 71 – 75 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia memberitahu kesan bertaqwa dan kesan kalau kafir. Ayat 71 ini adalah Takhwif Ukhrawi, tentang golongan ahli neraka. Janganlah kita jadi golongan ini. Kalau anda yang baca ini rasa ada sifat mereka, maka tukarlah sifat anda.

وَسيقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها فُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَتلونَ عَلَيكُم ءآيٰتِ رَبِّكُم وَيُنذِرونَكُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا ۚ قالوا بَلىٰ وَلٰكِن حَقَّت كَلِمَةُ العَذابِ عَلَى الكٰفِرينَ

Sahih International

And those who disbelieved will be driven to Hell in groups until, when they reach it, its gates are opened and its keepers will say, “Did there not come to you messengers from yourselves, reciting to you the verses of your Lord and warning you of the meeting of this Day of yours?” They will say, “Yes, but the word of punishment has come into effect upon the disbelievers.

 

Malay

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Tidakkah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan akan dihalau orang-orang yang kafir itu ke arah neraka jahanam berkumpulan-kumpulan.

Ayat ini diturunkan di Mekah. Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan di sini asalnya adalah kafir musyrikin. Tetapi, jangan kita sangka ianya hanya ditujukan kepada mereka sahaja. Mungkin ada yang sangka ini adalah hanya ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima dakwah Nabi ﷺ seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya sahaja.

Al-Qur’an ini bukanlah hendak menceritakan tentang mereka sahaja. Al-Qur’an hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi macam mereka. Kalau kita jadi seperti mereka, maka kita pun akan dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

Adakah kita ada persamaan dengan mereka? Bagaimana pula kita disamakan dengan mereka? Ketahuilah bahawa ada banyak persamaan kita dengan mereka. Mereka tahu Allah ﷻ itu adalah Tuhan. Mereka menganggap Kaabah itu suci dan kita juga anggap begitu. Mereka menerima Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai Nabi. Mereka juga tawaf keliling Kaabah.

Mereka juga ada yang solat (peninggalan dari syariat Nabi Ibrahim), mereka iktikaf, bernazar dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik. Mereka menyembah berhala, mereka bertawassul kepada berhala, mereka memohon doa kepada selain Allah ﷻ. Dan banyak lagi perbuatan syirik yang mereka buat.

Jadi, kalau kita pun buat seperti mereka juga – bertawassul, mengamalkan pantang selepas bersalin, percaya kepada perkara khurafat, ambil berkat dengan guru dan sebagainya, kita pun jadi musyrik juga dan termasuk dalam ancaman Allah ﷻ dalam ayat ini. Ingatlah bahawa Al-Qur’an ini adalah pedoman sepanjang zaman, ianya untuk mengingatkan kita di zaman sekarang. Ianya ditujukan kepada kita.

Jangan kita sangka ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya hendak menceritakan tentang kesalahan-kesalahan orang dahulu kala sahaja. Jangan sangka kita terselamat kerana kita orang Islam. Kalau kita tidak belajar, dan tersilap langkah dalam kepercayaan akidah kita, kita pun boleh masuk neraka juga tidak keluar-keluar. Walaupun kita sangka kita orang Islam, walaupun kita sangka kita sudah mengamalkan amalan-amalan yang banyak dalam agama.

Kalimah وَسِيقَ dari katadasar و س ق yang bermaksud mengumpulkan sesuatu yang bercerai berai dan membawanya.

Mereka yang engkar akan diheret seperti binatang diheret ke padang ragut dan kembali ke kandang mereka. Bayangkan keadaan apabila petang, dan penggembala lembu akan menghalau ternakan mereka untuk masuk kandang kembali. Begitulah juga nanti akan dilakukan kepada manusia yang engkar dengan perintah Tuhan ﷻ.

Mereka akan dimasukkan ke Neraka dalam keadaan berpuak-puak. Ikut dosa yang mereka lakukan – mereka dibahagikan ikut dosa mereka. Kita tidak pasti bagaimana pengkhususan itu – mungkin sebagai contoh, ikut kampung dan ikut masa.

Contohnya, ini kumpulan penduduk kampung Paya Jaras, tinggal pada tahun 2000 dan sebagainya. Ini adalah sebagai contoh sahaja untuk memahamkan ayat ini. Bukanlah semestinya tepat seperti yang Allah ﷻ akan lakukan. Allahu a’lam.

Mereka semuanya akan dihadapkan di pintu neraka. Akan dilempar dahulu yang paling jahat antara kumpulan itu. Kemudian yang kurang jahat selepas dia dan selepas dia ikut tahap kejahatan. Akan dipegang kepala dan kakinya oleh malaikat, kemudian akan dilempar ke dalam jurang neraka. Jauhnya dasar neraka itu, 70 tahun baru sampai ke dasar. Semasa jatuh itu, badannya akan terbakar sepanjang masa dia jatuh. Dan dia akan jatuh akan mukanya dahulu ke dasar neraka.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا

sehingga ketika mereka sampai ke neraka.

Mereka akan diheret ke pintu neraka kerana mereka takkan mahu hendak pergi sendiri. Sewaktu mereka sampai ke neraka, pintu neraka masih tertutup lagi. Jadi mereka kena tunggu di situ. Tunggu itu pun satu seksaan sebenarnya. Mereka tidak tahu bilakah mereka akan masuk. Tetapi mereka sudah nampak neraka itu dan azab yang ada di dalamnya.

Dan mereka sudah pasti yang mereka akan masuk ke dalamnya. Maka ia adalah azab emosi yang amat sangat. Bayangkan kalau orang yang akan digantung itu diletakkan di bilik yang bersebelahan sahaja dengan bilik gantung itu.

Bayangkan, kalau kita sudah nampak penjara yang kita akan masuk pun kita sudah rasa semacam. Apatah lagi kalau hendak masuk neraka. Tentunya lagi menakutkan. Tunggu pula dalam keadaan terseksa, dalam lapar dan dahaga, dalam kepanasan. Dalam Surah Yaasin, telah disebutkan tangan mereka diikat ke tangan dan tangan itu diikat ke leher. Memang azab di atas azab yang akan dikenakan kepada mereka. Semua ini untuk beri peringatan kepada kita.

فُتِحَتْ أَبْوٰبُهَا

barulah dibuka pintu neraka

Setelah sekian lama, setelah mereka diseksa dengan perasaan takut tidak tahu bilakah mereka akan dimasukkan, barulah dibuka pintu neraka itu. Maka mereka akan dimasukkan dan cara dimasukkan itu ada disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Kemudian pintu neraka itu akan ditutup rapat tidak dibuka lagi. Pintu neraka tidak terbuka, sebab tidak mahu kepanasan di dalamnya keluar. Macam pintu penjara, hanya dibuka apabila ada yang akan dimasukkan atau hendak keluarkan seseorang. Kerana kalau dibuka, akan ada yang cuba lari.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا

Maka berkatalah penjaga-penjaga neraka kepada mereka.

Sebelum mereka dicampak ke dalam neraka, malaikat penjaga neraka itu akan bertanya kepada mereka. Ada 19 malaikat sahaja yang jaga neraka. Bukannya ramai pun. Walaupun tidak ramai, tetapi semua yang masuk neraka akan taat kepada malaikat. Tidak berani hendak ambil air untuk minum walaupun air ada di kaki. Walaupun mereka amat dahaga.

Seribu tahun mereka minta hendak minum baru dapat. Itu pun akan diberikan air nanah dan air peluh yang panas sampai menyiatkan muka mereka.

Kata-kata malaikat itu adalah sebagai takzib rohani – untuk tambah menyakitkan hati mereka lagi. Mereka sudahlah takut akan masuk neraka, dan tubuh mereka akan diseksa dengan teruk sekali. Tetapi dalam masa itu, mereka akan dihina lagi oleh para malaikat mengingatkan akan kesalahan mereka. Apakah kata-kata malaikat itu?

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul dari kalangan kamu juga?

Selain daripada rasul-rasul itu, termasuklah juga mereka yang mengajar tauhid, kerana zaman kita tidak ada rasul lagi. Tidakkah datang kepada mereka pendakwah-pendakwah yang datang hendak mengajar mereka?

Rasul atau pendakwah itu dari kalangan kita juga. Masyarakat Arab dahulu diberikan dengan rasul dari kalangan mereka. Yang memahami keadaan mereka dan bahasa mereka. Supaya senang sampai maklumat kepada mereka. Kerana kalau dihantar bukan dari kalangan mereka, tentulah mereka tidak tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Rasul-rasul itu.

Begitu jugalah dengan kita, kalau pendakwah itu, mestilah dari kalangan bangsa itu juga. Kerana mereka kenal dan faham dengan situasi masyarakat itu. Bahasa pun senang faham.

Dan Rasul-rasul yang dipilih itu diambil dari orang yang paling baik dari kalangan mereka. Supaya mereka patutnya senang hendak ikut. Kerana itu akhlak para Nabi tidak pernah menjadi hujah dari penentang mereka, kerana memang mereka itu orang yang terbaik dalam masyarakat mereka.

يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ ءآيٰتِ رَبِّكُمْ

yang mereka membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu.

Bukanlah para pendakwah itu telah bacakan wahyu kepada kamu? Mereka telah membacakan wahyu tanpa tambah dan tanpa kurangkan. Apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu disampaikan oleh guru dan pendakwah itu.

Maknanya hendak tabligh manusia adalah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an dahulu. Kemudian apabila mereka sudah terima, baru dibaca hadis. Bukan terus diajar dengan kitab itu dan kitab ini. Kena dimulakan dengan mengajar mereka tafsir Al-Qur’an.

Tetapi realitinya, pengajaran tafsir Al-Qur’an amat jarang di Malaysia ini. Yang ada hanyalah pengajaran kitab yang ditulis manusia yang kebanyakannya diambil dari akal manusia. Lagi menyedihkan, guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar agama kepada masyarakat itu sendiri pun tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an. Ini termasuklah dengan mereka yang sepatutnya menjaga agama Islam di pejabat agama, majlis agama dan sebagainya. Termasuklah dengan mufti-mufti kita sendiri pun.

Maka, tidak hairanlah berapa ramai orang Islam yang sudah keluar dari Islam, masuk agama lain. Atau kalau mereka tidak masuk agama lain pun, mereka tidak mengendahkan agama Islam ini lagi. Kerana guru-guru yang mengajar pun tidak tahu apakah yang mereka ajar.

Sepatutnya mereka mengajar dari ayat-ayat Al-Qur’an seperti yang disebut dalam ayat ini, tetapi kerana mereka sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana mereka hendak mengajar tafsir Al-Qur’an?

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepada kamu tentang perjumpaan kamu pada hari ini

Selalu pendakwah tauhid akan mengingatkan kita tentang hal kematian. Sama ada kita buat baik atau tidak baik, kita akan bertemu juga dengan Allah ﷻ akhirnya untuk menerima balasan kita. Mereka akan selalu ulang perkara itu kerana banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an mengingatkan kita tentang perkara ini.

Kenapa malaikat penjaga neraka tanya macam itu? Itu juga sebagai seksaan kepada mereka. Mereka sudah tahu pun bahawa mereka telah celaka, akan dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi apabila ditanya sebegitu, akan menambahkan penyesalan kepada diri mereka. Mereka akan teringat dan menyesal – kalaulah mereka dahulu mendengar kata-kata Rasul, kata-kata guru yang mengajar, tentulah mereka tidak akan jadi begini.

قَالُوا بَلَىٰ

Mereka jawab: bahkan ada.

Soalan itu ditanya kepada mereka sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Mereka mengaku memang ada yang datang ajar dan ajak mereka kepada tauhid dan kepada Allah ﷻ. Tidak boleh hendak jawab lain lagi dari kebenaran. Mereka terpaksa mengaku yang benar sahaja waktu itu. Mereka tidak boleh menipu dengan kata tidak ada pendakwah yang datang kepada mereka.

Dan memang telah disebut bagaimana ada saksi yang akan membenarkan perkara itu, lalu bagaimana lagi hendak menipu? Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an menceritakan bagaimana penghuni syurga mengaku bahawa mereka telah didatangi oleh pemberi peringatan.

Maknanya, mereka sudah dengar dakwah, tetapi kenapa tidak ikut? Kerana mereka itu degil sahaja. Iaitu tidak ada sifat ingin tahu. Orang bukan Islam sudah tahu tentang Islam, tetapi mereka tidak ingin hendak tahu apakah Islam itu sebenarnya. Begitu juga, orang Islam tahu tentang Al-Qur’an, tetapi tidak teringin hendak tahu apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Jadi ada persamaan sahaja antara mereka.

Maka, Allah ﷻ kaitkan bahawa mereka itu masuk ke dalam neraka kerana mereka tidak ada hubungan dengan wahyu Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah beritahu untuk ikut wahyu, tetapi kalau degil, maka akan masuklah ke dalam neraka.

وَلَٰكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكٰفِرِينَ

tetapi sudah tetap keputusan azab atas orang-orang kafir.

Sama ada mereka sendiri berkata, atau malaikat yang berkata: walaupun mereka telah mengaku, telah beriman waktu itu dengan sebenar-benar iman, tetapi keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka telah ditetapkan dan tidak akan diubah lagi.

Kerana walaupun telah datang para pendakwah kepada mereka, mereka telah mendustakan para pendakwah itu atau degil untuk menerima dakwah daripada mereka.

Oleh kerana itu, mereka jadi kafir disebabkan degil atau jahil. Kerana ada dua jenis kafir – sama ada kerana dia tahu kebenaran tetapi degil untuk ikut; atau kerana dia tidak tahu kerana tidak belajar. Kafir berlaku kerana dua perkara ini sahaja. Satu dinamakan ‘kafir degil’ dan satu lagi dinamakan ‘kafir jahil’.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 71 (Kumpulan mana kita nak masuk?)”

    1. waalaikum salam. Tafsir tidak menggunakan spesifik kitab. Ianya adalah pemahaman gabungan dari kitab-kitab yang muktabar. Yang berasaskan sunnah. Disampaikan dalam bentuk yang senang difahami. Dan digunakan contoh-contoh yang masyarakat kita sendiri lakukan supaya lebih mudah diterima dan difahami.
      Semoga pemahaman Quran itu lebih mudah difahami oleh masyarakat kita dan boleh kita amalkan. Harap disebarkan kepada masyarakat. Dan sebaiknya, datang sendiri ke kelas supaya boleh lebih faham dan lebih berkah.
      Kelas-kelas yang lain, boleh dilihat di youtube. youtube.com/tafsirsunnah. Tidak sempat dimasukkan lagi ke dalam blog sebagai rujukan.

      Like

    2. Alhamdulillah, ianya bermanfaat untuk anda. Kata-kata semangat dari pembaca seperti anda lah yang memberikan semangat untuk saya terus meneruskan usaha ini.

      Tafsir diambil dari kitab-kitab muktabar. Tidak hanya satu-satu kitab sahaja. Sebagai contoh, kitab tafsir Ibn Kathir, Jalalyn, Ibn Abbas dan lain-lain lagi. Juga penafsiran dari segi penggunaan makna ayat-ayat yang digunakan dalam Quran berdasarkan bahasa Arab Klasik.

      Jikalau ada yang kurang jelas, harap boleh beritahu supaya dapat diterangkan dengan jelas lagi.

      Like

  1. Salam tuan,
    Syukran atas perkongsian yang sangat hebat ini.disini saya ingin ambil kesempatan jika Tuan Haji dpt menerangkan pula asal kejadian Nabi Adam.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s