Tafsir Surah an-Nisa Ayat 122 – 124 (Fadhail Amal)

Ayat 122: Ini adalah ayat tabshir.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ خٰلِدِينَ فِيهَا أَبَدًا وَعْدَ اللهِ حَقًّا وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who believe and do righteous deeds – We will admit them to gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. [It is] the promise of Allāh, [which is] truth, and who is more truthful than Allāh in statement.

MALAY

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman

Iaitu orang yang beriman dengan sempurna yang juga membawa maksud mereka yang tidak melakukan syirik. Ini kerana kalau setakat beriman sahaja, ramai yang percaya dengan Allah ‎ﷻ , tetapi dalam masa yang sama, mereka masih juga percaya kepada ilah yang lain.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

serta beramal soleh,

Bukan hanya sekadar beriman, tetapi iman itu juga perlu ditunjukkan dengan beramal. Syarat beramal itu mestilah amal yang soleh. Amal soleh adalah amalan yang menepati sunnah, dan bukan bidaah. Walaupun banyak beramal, tetapi jika amalan itu amalan bidaah, ia tidak memberikan apa-apa kebaikan pun, malah akan mendatangkan akibat yang buruk kepada pengamalnya.

 

سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ

Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga

Mereka yang beriman sempurna serta beramal soleh, akan dimasukkan ke dalam taman-taman syurga. Ini adalah nikmat yang amat mulia sekali. Syurga adalah tempat penuh dengan nikmat.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Syurga tidak dapat digambarkan sepenuhnya kerana ianya tidak ada persamaan dengan dunia langsung. Tetapi terdapat beberapa persamaan yang telah Allah ‎ﷻ  berikan, supaya kita mendapat sedikit bayangan bagaimanakah keindahan syurga itu.

Air adalah sesuatu yang menjadi nikmat kepada masyarakat Arab yang kekurangan air. Juga kepada bangsa lain, air adalah suatu yang hebat. Contohnya seperti di tempat-tempat peranginan, manusia gemar untuk berehat dan menghabiskan masa di tempat seperti tepi laut atau sungai dan air terjun kerana air memberi ketenangan kepada manusia.

Maka Allah ‎ﷻ mengatakan yang di dalam syurga itu nanti, terdapat beberapa sungai yang mengalir. Sungai itu pelbagai jenis dan di bawah kawalan kita. Kalau kita inginkan sungai itu bergerak mengikut laluan mana pun boleh.

Ayat ini juga boleh membawa maksud: Sungai-sungai itu ‘di bawah’ kawalan mereka. Maka mereka boleh mengarahkan ke mana sahaja laluan sungai itu seperti hendak lalu  di atas atau pusing mengikut dinding dan sebagainya.

 

خٰلِدِينَ فِي هَا أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,

Jika sudah dapat tinggal di tempat yang amat baik, tetapi tidak kekal di situ, maka itu bukanlah nikmat yang sebenar. Apabila kita mengetahui yang kita akan meninggalkan tempat yang indah itu,  ia akan menyebabkan kita berasa sedih. Jadi, Allah ‎ﷻ  memberitahu bahawa penghuni syurga itu akan kekal di dalam syurga.

 

وَعْدَ اللهِ حَقًّا

janji Allah yang benar

Apa yang Allah  ‎ﷻ  katakan akan benar-benar terjadi. 

 

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

Tidak ada kata yang lebih boleh dipercayai selain daripada kata-kata Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan bisikan syaitan di dalam ayat-ayat sebelum ini yang menjanjikan benda yang tidak benar.

Realisasi syurga adalah pasti benar dan bukan harapan kosong sahaja. Sedangkan syaitan menjanjikan dengan harapan kosong, tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan sesuatu dengan kebenaran. Kalam Allah adalah kalam yang paling benar sekali. Nabi ﷺ selalu berkhutbah di dalam khutbahnya, dengan bersabda:

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كَلَامُ اللهِ، وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍصلى الله عليه وسلّم، وَشَرَّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِي النَّار

“Sesungguhnya perkataan yang paling benar itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”

[H.R. Muslim]


 

Ayat 123: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana syaitan menjanjikan balasan-balasan yang tidak ada dalil. Mereka akan membisikkan kepada manusia: “Kalau buat begitu, dapat begini”.

Di dalam syarak, kelebihan melakukan sesuatu amal dinamakan ‘fadhail amal’. Cuma kita perlu  ingat, fadhail amal itu hendaklah berdasarkan amal yang sahih. Bukannya berdasarkan angan-angan semata-mata. Saya jelaskan:

Seperti yang kita telah ketahui, ada hadis yang dhaif dan ada hadis yang sahih. Kalau tentang fadhail amal, memang boleh menggunakan hadis dhaif tetapi mesti ada sandaran dari hadis sahih tentang amalan itu.

Sebagai contoh, untuk mengatakan kelebihan Solat Istikharah, mestilah ada dalil dari hadis yang sahih tentang adanya Solat Istikharah itu. Kalau ada hadis sahih tentang amalan Solat Istikharah, tetapi hadis tentang fadhail amal Solat Istikharah itu dhaif, maka masih boleh diterima lagi. Sebaliknya,  jika tidak ada hadis sahih tentang amalannya, maka tidak boleh digunakan lagi hadis tentang fadhail amalnya itu.

Sebagai contoh, ramai orang kita mengamalkan Solat Hajat tetapi tidak ada dalil sahih tentang Solat Hajat. Maka, kalau ada hadis tentang kelebihan amal itu, maka ia tidak boleh digunakan.

Untuk memahami dengan lebih mendalam lagi, perlulah belajar ilmu hadis. Itu adalah satu bidang yang lain dan tidak mampu dimasukkan ke dalam penulisan ini. Hendaklah bertanya kepada mereka yang belajar hadis dan pakar di dalam bidang ini. Ini adalah kerana mereka telah belajar yang manakah hadis yang sahih dan manakah yang tidak. Selain dari belajar tafsir Quran, anda juga harus belajar hadis juga.

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It [i.e., Paradise] is not [obtained] by your wishful thinking nor by that of the People of the Scripture. Whoever does a wrong will be recompensed for it, and he will not find besides Allāh a protector or a helper.

MALAY

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

 

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ

tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata,

Sememangnya manusia amat berminat untuk mengetahui apakah kelebihan di dalam amalan-amalan mereka. Barulah ada semangat untuk melakukannya. Di dalam ayat ini, Allah  ‎ﷻ  memberitahu yang kelebihan-kelebihan dari amalan bukanlah dari angan-angan kosong sahaja tetapi mestilah dari dalil yang kuat.

Agama bukanlah dari kelebihan-kelebihan yang direka sendiri oleh manusia atau khayalan guru. Contoh yang paling banyak kita lihat adalah di dalam ajaran Tarekat. Mereka paling banyak menyebut tentang kelebihan-kelebihan amal mereka. Ajaran-ajaran itu pula ada yang sampai kepada masyarakat umum dan mereka pun beramal juga berdasarkan dari dalil yang sebenarnya tidak wujud.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa, agama bukanlah dari angan-angan. Janganlah berangan yang kita akan mendapat kelebihan hanya kerana kedudukan kita, sebab kita orang Islam, sebab kita anak ulama’ atau apa-apa sahaja. Tetapi balasan kita adalah bergantung kepada amalan kita.

 

وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ

dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab

Bukan juga dari kelebihan yang diajar oleh ahli kitab. Ajaran agama dari mereka tidak boleh digunakan kerana agama mereka telah diresapi dengan pelbagai ajaran yang salah.

Begitu juga, ayat ini hendak memberitahu golongan Ahli Kitab, janganlah mereka berangan yang mereka adalah insan terpilih oleh Tuhan kerana keturunan mereka dari Ahli Kitab dan dari para Nabi. Itu adalah angan-angan kosong sahaja.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Masruq: bahawa kaum Nashara saling menyombongkan diri dengan kaum Muslimin, dengan berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Kaum Muslimin berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Lalu Allah menurunkan ayat ini (An-Nisa ayat 123) yang menegaskan bahawa keutamaan itu tidaklah menurut angan-angan mereka, akan tetapi selaras dengan amalnya yang akan dibalas oleh Allah سبحانه و تعالى .

 

مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ

Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, 

Sesiapa yang melakukan dosa akan dibalas di akhirat kelak. Ibn Abbas berkata yang dimaksudkan itu adalah ‘dosa syirik’.

Para sahabat, apabila mendengar ayat ini, mereka ketakutan kerana mereka mengetahui yang mereka juga ada melakukan kesalahan. Kalau setiap kesalahan diberikan balasan, tentulah mereka semua akan dikenakan azab. Tetapi Allah ‎ﷻ membalas dengan mengatakan bahawa setiap musibah yang menimpa mereka, akan menghapuskan kesalahan mereka.

Telah diriwayatkan bahawa ketika ayat ini diturunkan, hal ini terasa berat di kalangan kebanyakan sahabat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْر، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي زُهَيْرٍ قَالَ: أخْبرْتُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ الصَّلَاحُ بَعْدَ هذه الآية: {لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ} فَكُل سُوءٍ عَمِلْنَاهُ جُزِينَا بِهِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “غَفَر اللَّهُ لكَ يَا أَبَا بَكْرٍ، ألستَ تَمْرضُ؟ ألستَ تَنْصَب؟ أَلَسْتَ تَحْزَن؟ أَلَسْتَ تُصيبك اللَّأْوَاءُ ؟ ” قَالَ: بَلَى. قَالَ: “فهو ما تُجْزَوْنَ به”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Numair, telah menceritakan kepada kami Ismail, dari Abu Bakar ibnu Abu Zuhair yang menceritakan, “Aku mendapat berita bahwa Abu Bakar رضي الله عنه pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah keberuntungan itu sesudah ayat ini,’ yaitu: (Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-angan kalian yang kosong, dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. (An-Nisa: 123) Sedangkan semua perbuatan buruk (jahat) yang kami lakukan, maka kami mendapat balasannya?” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Hai Abu Bakar, semoga Allah memberikan keampunan kepadamu, bukankah kamu pernah sakit, bukankah kamu pernah mengalami kepayahan, bukankah kamu pernah mengalami kesedihan, bukankah kamu pernah tertimpa musibah?” Abu Bakar menjawab, “Memang benar.” Nabi  ﷺ. bersabda, “Itu termasuk balasan yang ditimpakan kepadamu.”

 

وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

dan dia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

Kalau Allah  ‎ﷻ  sudah membalas perbuatan dosa itu dengan azab di akhirat, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong atau memberi perlindungan.

Ayat ini semakna dengan ayat lain, iaitu firman-Nya:

{فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. (Az-Zalzalah: 7-8)


Ayat 124: Ini adalah targhib kepada Dakwa surah ini. Apabila Allah ‎ﷻ menolak kelebihan-kelebihan yang palsu, maka Dia memberitahu yang Dia hanya menerima amal yang soleh sahaja.

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does righteous deeds, whether male or female, while being a believer – those will enter Paradise and will not be wronged, [even as much as] the speck on a date seed.

MALAY

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.

 

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan,

Seperti yang kita selalu tekankan, amal soleh adalah amalan yang tsabit perbuatannya dari Sunnah Nabi ﷺ. Di dalam mana-mana kitab pun yang menyebut tentang sesuatu amal, hendaklah diberikan dalil yang sahih. Jikalau setakat menyebut sahaja amalan itu tanpa diberikan dalilnya, maka patut ditinggalkan sahaja.

Ada yang berpandangan salah dengan mengatakan jika kita mengamalkan sesuatu amalan dengan hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ akan menerimanya. Ini adalah fahaman yang salah. Kalau hendak dikatakan amalan ikhlas akan diterima, penganut agama lain pun beramal juga, mereka pun ikhlas juga, dan malah amalan mereka lebih baik daripada kita.

Sebagai contoh, paderi atau sami yang tinggal di gereja dan kuil dan beramal sepanjang hidup mereka. Jikalau mereka tidak ikhlas, tentu mereka tidak sanggup hendak melakukannya. Tetapi adakah amalan mereka itu diterima? Tentulah tidak, kerana ianya bukanlah dari ajaran agama.

 

وَهُوَ مُؤْمِنٌ

sedang ia beriman, 

Sesuatu amalan hanya diterima daripada mereka yang beriman sempurna, iaitu tidak melakukan syirik. Jika pengamal syirik membuat amal ibadat, walaupun amal ibadat itu menepati sunnah, dia tetap tidak diberikan pahala.

Sebagai contoh, solat sunat ada di dalam syarak. Tetapi kalau orang yang mengamalkannya ada fahaman syirik, maka dia tidak akan mendapat pahala dari amalan solat sunatnya itu.

Ia juga bermakna, amalan itu mestilah dilakukan dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu maksudnya mengharapkan pahala dari Allah ‎ﷻ sahaja, bukan kerana sebab lain seperti kerana dipaksa atau ada sifat ingin menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Oleh itu, ada dua syarat untuk amalan diterima: amal mestilah soleh, dan ikhlas dilakukan dengan iman yang sempurna.

Jadi, ini menunjukkan walaupun ahli agama lain ada membuat amal kebaikan, tetapi oleh kerana akidah mereka tidak benar, maka mereka tidak mendapat pahala dari Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah kita amat mementingkan akidah.

 

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga, 

Balasan kepada mereka yang beriman dan melakukan amal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan syurga untuk mereka.

 

وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.

Balasan kepada mereka tidak dikurangkan walau sedikitpun. Kalimah نَقِيرًا maksud asalnya adalah titik pada biji tamar. Titik itu tentunya sangat kecil, hendak tengok pun susah — maknanya, manusia tidak dianiaya sebanyak itu, ataupun tiada langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s