Ayat 117: Allah سبحانه و تعالى telah menyambung lagi penjelasan mengenai syirik. Syirik adalah yang lain dari dosa-dosa yang telah disebut sebelum ini. Sebarang kesalahan yang disebut sebelum ini tidak sama dengan dosa syirik. Maka, penumpuan harus diberikan lebih lagi berkenaan perkara syirik ini.
Sedikit penjelasan tentang syirik. Ada jenis Syirik I’tiqadi – iaitu fahaman dalaman. Ia berbeza dengan Syirik Amali kerana seorang manusia mungkin tidak membuat amalan yang syirik, tapi dalam hatinya ada fahaman syirik. Ini adalah kerana Syirik I’tiqadi itu berada di dalam akal dan hati, di mana orang lain tidak mungkin akan nampak. Tapi ia tetap syirik walau dia tidak mengamalkan perbuatan yang syirik pun.
Mungkin orang yang mempunyai fahaman sedemikian pun tidak mengetahui yang ianya adalah syirik. Tapi itu bukanlah alasan untuk menyelamatkan dirinya, kerana pengetahuan tentang tauhid dan syirik adalah perkara yang setiap manusia mesti tahu dan fahami sebagai seorang hamba Allah.
Dan untuk mengetahui tentang maksud tauhid dan syirik, mestilah mempelajarinya dari kitab Allah, iaitu Qur’an. Itulah sebabnya kita mesti mempelajari tafsir Qur’an supaya boleh memahami apakah yang Allah hendak sampaikan kepada kita. Kita mesti belajar tentang tauhid dan syirik dari Qur’an.
Memang terdapat ulama yang membuat kaedah ringkasan Tauhid dari Qur’an. Tapi itu tidak memadai. Kita tetap kena dapatkan maklumat penuh dari tafsir Qur’an. Susunan itu seperti ‘nota ringkas’ sahaja. Macam di sekolah, kena belajar dulu buku teks asal sebelum baca nota ringkas, bukan?
Mereka yang melakukan ringkasan Tauhid itu juga berkata yang kita semua mesti belajar tafsir Qur’an. Tidak cukup dengan hanya membaca kaedah ulama sahaja. Kaedah itu untuk mereka yang telah benar-benar memahami Qur’an. Ianya hanya sebagai senarai untuk mengingatkan kita kembali kepada ayat-ayat serta dalil-dalil dari Qur’an.
Masalahnya dengan masyarakat kita, kebanyakan daripada mereka tidak mempelajari tafsir Qur’an. Mereka berkata tauhid mereka sudah benar sebab mereka telah mempelajarinya dari Kitab Tauhid. Kalau mempelajari tauhid dari kitab ulama sahaja memang tidak mencukupi. Ini mesti diambil berat kerana kalau kita mempunyai akidah syirik, dosa itu tidak akan diampuni sampai bila-bila.
Bila tidak akan diampuni, itu bermaksud tidak akan keluar dari neraka sampai bila-bila. Ini yang amat kita bimbangkan kalau terjadi kepada kita atau kepada orang yang rapat dengan kita.
Tauhid dan syirik adalah perkara di dalam hati yang orang tidak nampak. Kalau perkara luaran, orang lain boleh nampak, dan mereka boleh sahaja untuk menegurnya tapi kalau perkara di dalam hati sahaja, memang sesiapa pun tidak akan nampak. Maka mestilah mempelajari tafsir Qur’an supaya boleh diperiksa kefahaman Qur’an dengan kefahaman kita.
Ingatlah bahawa amal ibadat yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai akidah syirik tidak akan diterima. Maknanya, walaupun mereka tidak meninggalkan solat dan puasa, dan sentiasa bersedekah sana sini, serta pelbagai lagi amalan kebaikan yang mereka lakukan, tetapi jika terdapat akidah syirik dalam diri, maka segala amal ibadat mereka itu tidak diterima lagi oleh Allah. Alangkah rugi dan penatnya, setelah berusaha membuat amal ibadat, tapi tidak ada nilai pahalanya langsung!
Seperti yang telah disebut, terdapat dua jenis akidah: samada i’tiqadi (iktikad) atau amali (perbuatan). Menyembah berhala, menghalalkan atau mengharamkan sesuatu tanpa dalil adalah termasuk dalam Syirik Amali kerana sesuatu telah dilakukan. Perkara ini banyak yang berlaku, di mana terdapat ramai yang telah mengharamkan perbuatan yang halal serta menghalalkan perbuatan yang haram tanpa bukti.
Malangnya ramai yang tidak mengetahui atau menyedarinya kerana mereka tidak menggunakan lafaz ‘haram’ tetapi lafaz ‘tidak boleh’ atau ‘pantang’ yang digunakan. Bila menggunakan lafaz sedemikian, tidaklah kelihatan seolah-olah mereka telah mengeluarkan hukum dalam agama, walaupun sebenarnya mereka telah mengharamkan perbuatan yang halal tanpa mereka sedar.
Ini amatlah bahaya kerana kalau kita membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan Allah, kita sebenarnya telah menjadi ‘tuhan’ ketika itu. Sepatutnya hukuman menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah semata-mata tapi kita telah memandai-mandai membuatnya sendiri, maka perbuatan itu adalah syirik yang amat besar sekali.
Ayat ini akan menghuraikan tentang syirik i’tiqadi, iaitu syirik yang ada dalam hati.
إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنٰثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطٰنًا مَّرِيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They call upon instead of Him none but female [deities], and they [actually] call upon none but a rebellious Satan,
MALAY
Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;
إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنٰثًا
Apa yang mereka seru yang lain dari Allah itu, hanyalah perempuan
Apa yang diseru Musyrikin Mekah selain Allah itu adalah ‘perempuan’. Iaitu mereka berkata malaikat adalah ‘anak-anak perempuan Allah’. Mereka beriktikad jika ingin menyelesaikan masalah dengan cepat, maka mestilah menyeru anak perempuan Allah, kerana Allah sayangkan anak perempuanNya.
Jadi mereka akan menyeru malaikat dan meminta pertolongan dari mereka supaya malaikat itu dapat menyampaikan kepada Allah. Inilah akidah syirik mereka. Ini memang ada disebut di dalam Qur’an.
Telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Salamah Al-Bahili, dari Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Hisyam (yakni Ibnu Urwah), dari ayahnya, dari Siti Aisyah sehubungan dengan firman-Nya: Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah berhala. (An-Nisa: 117) Siti Aisyah mengatakan, yang dimaksud dengan inasan ialah berhala.
Musyrikin Mekah memang suka menisbahkan berhala mereka kepada jantina perempuan. Lat, Manat dan Uzza adalah berhala sembahan Musyrikin Mekah di dalam bentuk perempuan. Pandai-pandai sahaja mereka mereka-rekakan fahaman sedemikian sedangkan tidak ada dalil pun yang membenarkannya. Lafaz a-Aziz menjadi Uzza, lafa Ilah menjadi Lat. Dan berhala-berhala itu juga dibina dengan rupa yang menyerupai perempuan.
Ubay ibnu Ka’b mengatakan bahawa setiap berhala yang dibina itu mempunyai jin perempuannya, iaitu jin itu akan menduduki berhala tersebut.
أَخْبَرَنَا عَلِي بْنِ الْمُنْذِرِ قَالَ حَدَثَنَا بْن فُضَيْلٍ قَالَ حَدَثَنَا الْوَلِيْدُ بْنُ جميعٍ عَنْ أَبِي الطُفَيْلِ قَالَ : لمَاَّ فَتَحَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَّ مَكَّةَ بَعَثَ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيْدِ إِلَى نخَلْةَ ٍوَكَانَتْ بِهَا الْعُزَّى فَأَتَاهَا خَالِدٌ وَكَانَتْ عَلَى ثَلَاثِ سَمُرَاتٍ فَقَطَعَ السَّمُرَاتِ وَهَدَمَ الْبَيْتَ الَّذِي كَانَ عَلَيْهَا ثُمَّ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ تَصْنَعْ شَيْئًا فَرَجَعَ خَالِدٌ فَلَمَّا أَبْصَرَتْ بِهِ السدنة وَهُمْ حجبتها أَمْعَنُوْا فِي الْجَبَلِ وَهُمْ يَقُوْلُوْنَ يَا عُزَّى فَأَتَاهَا خَالِدٌ فَإِذَا هِيَ امْرَأَةٌ عُرْيَانَةٌ ناَشِرَةُ شَعْرِهَا تَحْتَفِنُ التُّرَابَ عَلَى رَأْسِهَا فَعَمَمَهَا بِالسَّيْفِ حَتَّى قَتَلَهَا ثُمَّ رَجَعَ إِلَى النَّبِيِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ تِلْكَ العُزَّى
Dari Abu Al-Thufail, beliau bercerita, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menaklukkan kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala ‘Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi ‘Uzza, dan ternyata ‘Uzza adalah tiga buah pohon Samurah. Khalid pun lantas menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Komentar Nabi, ‘Kembalilah karena engkau belum berbuat apa-apa.’ Akhirnya kembali. Tatkala para juru kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada di dekat lokasi sambil berteriak, “Wahai ‘Uzza. Wahai ‘Uzza.” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata ‘Uzza itu berbentuk perempuan telanjang yang mengurai rambutnya. Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun menyabetkan pedang ke arah jin perempuan ‘Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Komentar Nabi, “Nah, itu baru ‘Uzza.” (HR. An-Nasa’I, Sunan Kubro no. 11547)
Ad-Dahhak mengatakan pula, bahawa lalu mereka menjadikannya sebagai sesembahan-sesembahan mereka, dan membuat patung-patung mereka dalam bentuk perempuan, lalu mereka menghiasinya dan memberinya kalung, kemudian mereka berkata, “Berhala-berhala ini mirip dengan anak-anak perempuan Allah yang kita sembah,” maksud mereka di sini adalah para malaikat.
Tafsir ini mirip dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:
أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىMaka apakah kalian patut (hai orang-orang musyrik) menganggap Lata dan Uzza (sebagai anak perempuan Allah)? (An-Najm: 19)
Oleh itu, fahaman Musyrikin Mekah adalah Allah mempunyai wakilNya. Begitulah juga akidah syirik kebanyakan manusia tentang wakil Allah. Masyarakat kita juga mempunyai fahaman sedemikian. Sebab itulah ramai dari kalangan kita yang menyeru Nabi, wali dan malaikat kerana mereka beriktikad yang mereka itu adalah ‘wakil Allah’.
Maka sama sahaja akidah mereka dengan Musyrikin Mekah. Tapi, oleh kerana mereka tidak belajar, mereka merasakan bahawa akidah mereka adalah benar, padahal tidak sama sekali.
وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطٰنًا مَّرِيدًا
mereka tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;
Yang mereka seru sebenarnya bukanlah malaikat kerana tiada dalil pun yang menyatakan bahawa malaikat itu adalah anak Allah. Fahaman itu datangnya dari bisikan syaitan. Oleh itu, yang mereka seru itu sebenarnya adalah syaitan. Ini sama seperti disebut dalam ayat lain:
بَلْ كانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَbahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu. (Saba’: 41)
Memang manusia tidaklah menjadikan syaitan sebagai tuhan dan menyembah syaitan sebagaimana mereka menyembah tuhan. Tapi maksud mereka menjadikan syaitan sebagai tuhan adalah apabila mereka mengikut sahaja arahan dari syaitan.
Syaitan akan menyebabkan mereka berasa apa yang mereka buat itu benar. Mereka akan membuat bunyi -bunyian kepada berhala yang disembah itu. Oleh kerana ramai manusia yang jahil, mereka mudah mempercayai yang berhala itu mempunyai kuasa. Sedangkan kemungkinan besar bunyi tersebut datangnya dari syaitan qarin yang berada bersama manusia itu.
Syaitan Qarin sememangnya berupaya menyebabkan manusia dapat mendengar bunyi-bunyi yang pelik, tapi mereka hanya boleh melakukannya terhadap manusia yang kufur akidah sahaja. Mereka jugalah yang menjelmakan diri mereka di dalam pelbagai rupa kepada manusia yang kufur itu. Sebab itu orang tertentu sahaja yang nampak. Orang yang tidak ada masalah, tidak nampak pun.
Begitulah yang terjadi dalam masyarakat kita yang jahil agama, lebih-lebih lagi mereka yang jahil Qur’an. Jika terdapat perkara yang pelik atau ajaib sedikit, mereka mula gelabah dan berasa kagum serta mudah untuk percaya.
Kemudian akan adalah guru sesat yang berkata ada wali itu, wali ini yang mendatangi mereka di dalam bentuk lelaki berjubah dan sebagainya menyampaikan ajaran baru. Ramai yang mempercayainya sehinggalah sekarang sedangkan yang datang itu adalah syaitan.
Kita telah berikan kisah Khalid al Walid yang membunuh jin perempuan yang duduk di dalam berhala tadi. Allah menzahirkannya untuk membuktikan kebenaran, bahawa memang apa yang dipuja itu adalah syaitan. Memang terdapat syaitan di dalam setiap patung yang dipuja, tapi ianya tidak jelas tetapi kali ini Allah telah menzahirkannya supaya ia menjadi pengajaran buat kita.
Sifat syaitan disebut di dalam ayat ini bersifat مَّرِيدًا. Maksudnya ‘yang memberontak’. Mereka mengetahui yang perkara itu adalah salah tetapi mereka tetap ingin melakukannya juga. Itulah sifat Syaitan.
Mereka juga bersikap suka membuat kesalahan secara bersungguh-sungguh. Begitulah juga sikap segelintir dari kalangan orang kita. Walaupun telah diberitahu mana yang salah dan mana yang syirik, tapi mereka masih juga ingin melakukannya. Ini adalah seolah-olah sifat syaitan telah memasuki diri mereka.
Ayat 118: Oleh kerana buruknya sifat syaitan itu, maka Allah melaknati mereka. Allah menceritakan perihal syaitan kepada kita di dalam ayat-ayat seterusnya supaya kita dapat mengenali mereka. Lihatlah janji-janji syaitan di dalam ayat-ayat ini.
لَّعَنَهُ اللَّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Whom Allāh has cursed. For he had said, “I will surely take from among Your servants a specific portion.
MALAY
Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);
لَّعَنَهُ اللَّهُ
Yang telah dilaknat oleh Allah,
Allah melaknat syaitan. Mereka tidak mempunyai peluang untuk bertaubat dan menjadi baik. Jadi, kalau kita mengikuti syaitan, kita juga akan mengalami nasib yang sama.
وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu
Kemudian Allah membuka rahsia syaitan supaya kita mengetahuinya dan dapatlah kita mengambil sikap berhati-hati dengan tipu daya mereka. Syaitan berkata yang dia akan mengambil sebahagian dari kalangan hamba Allah. Sebahagian yang mana?
Itulah golongan yang jahil yang tidak memahami wahyu. Mereka yang telah ditetapkan untuk menjadi ahli neraka. Mereka yang tidak ada keinginan untuk mempelajari wahyu Allah dan kerana itu mereka jahil dan senang ditipu oleh syaitan.
Maksud مَّفْرُوضًا adalah ‘mereka yang telah ditetapkan’. Syaitan akan mengambil kebanyakan dari golongan manusia untuk tinggal bersamanya di dalam neraka. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan ini.
Dan dari hadis Nabi, sememangnya lebih ramai manusia yang memasuki neraka daripada syurga. Malah, hanya 1 dari 1,000 orang sahaja yang memasuki syurga. Seperti sabda Nabi:
“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka ia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk surga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, kerana kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyaknya, yaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Ayat 119: Allah menyambung lagi kata-kata syaitan:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعٰمِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And I will mislead them, and I will arouse in them [sinful] desires, and I will command them so they will slit the ears of cattle, and I will command them so they will change the creation of Allāh.” And whoever takes Satan as an ally instead of Allāh has certainly sustained a clear loss.
MALAY
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka
Syaitan akan menyesatkan bahagian manusia yang telah ditetapkan akan masuk ke neraka bersamanya kelak. Di dalam hadis, ada diriwayatkan bahawa 999 daripada 1,000 orang manusia akan masuk ke dalam neraka.
Sesat yang pertama adalah dari segi akidah. Sekiranya syaitan dapat menyesatkan manusia dari segi akidah, itu adalah pencapaian yang amat tinggi sekali. Kerana mereka yang sesat akidah, akan duduk di neraka selama-lamanya.
وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ
dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong,
Kemudian, syaitan akan membisikkan khayalan-khayalan, angan-angan untuk mendapatkan sesuatu kelebihan, pahala dan sebagainya. Inilah yang banyak terjadi kepada ahli tarekat. Mereka telah disesatkan dengan kepercayaan kononnya mereka akan mendapat kelebihan tertentu.
Padahal tiada pun amalan dan kelebihan yang dikatakan oleh guru mereka kerana mereka menggunakan hadis palsu yang bertentangan dengan wahyu. Hadis palsu itu adalah daripada bisikan syaitan. Mereka berpandukan hadis palsu itu kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan sejak awal lagi.
Maknanya, syaitan akan membisikkan khayalan kepada mereka bahawa mereka akan mendapat kelebihan-kelebihan istimewa. Pahala sebesar langit dan bumi, naik ke tingkatan maqam yang tinggi, dan bermacam-macam lagi. Ketahuilah, kelebihan-kelebihan yang dikatakan itu sebenarnya dibisikkan oleh syaitan, bukannya datang dari Allah.
Untuk mengenal mana yang benar, maka amat perlu membandingkan dengan wahyu samada ia dari Qur’an atau dari Hadis Nabi yang sahih. Tetapi malangnya, mereka yang belajar ilmu tarekat dan tasawuf itu, kebanyakannya tidak belajar wahyu pun, mereka hanya mendengar kata-kata guru mereka sahaja. Guru mereka pula mendapat ilmu dari mimpi dan khayalan semata-mata.
Untuk peringkat orang biasa, dia akan membisikkan dengan harapan yang berbagai seperti – mendapat itu dan ini, akan menjadi kaya, akan menjadi terkenal, dan bermacam-macam lagi. Dan untuk mendapatkan semua itu ada yang sanggup membuat dosa dan kezaliman kepada orang lain. Itu semua adalah dari bisikan syaitan. Syaitan sangat ingin kita membuat perkara yang salah.
Itulah jenis syirik i’tiqadi. Selepas ini akan membicarakan syirik amali pula. Ayat ini menceritakan kedua-dua bahagian syirik.
فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعٰمِ
dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka tebuk telinga binatang-binatang ternak,
Selepas mereka mengikut bisikan syaitan, manusia akan mengikut arahan syaitan dan meninggalkan wahyu dari Qur’an dan sunnah. Mereka membuat ilmu sendiri dan ini amat banyak terjadi.
Syaitan boleh memerintah manusia yang lemah akidah melalui bisikan. Syaitan sebenarnya susah hendak membisik masuk kepada manusia disebabkan manusia ada pengawal dari malaikat. Tetapi apabila manusia lalai leka dan sudah rosak akidah, malaikat akan meninggalkan manusia itu dan syaitan pun boleh masuk.
Syaitan akan menyuruh mereka menebuk lubang pada telinga binatang ternak. Ini merujuk kepada fahaman Musyrikin Mekah dahulu. Setelah akidah mereka rosak, mereka akan membuat amalan syirik pula. Ada binatang ternak mereka yang diserahkan kepada wakil Allah seperti Nabi, wali, jin dan malaikat. Haiwan-haiwan diberi gelaran bahirah, saibah, dan wasilah.
Mereka menebuk telinga binatang itu sebagai tanda ianya “sembahan” untuk wakil-wakil Allah. Supaya binatang itu tidak diganggu sampai mati. Binatang yang sebegitu tidak boleh dimakan sehingga ia mati sendiri. Maksudnya, sekiranya ada orang nampak binatang itu dengan telinga yang ditebuk, mereka tidak akan kacau haiwan itu.
Sama seperti di zaman sekarang, kita boleh lihat bagaimana agama Hindu memuliakan lembu. Sehingga mereka tidak kacau lembu yang berjalan berkeliaran. Mereka tidak menangkapnya dan mereka juga tidak makan dagingnya. Sehinggakan kalau lembu itu menghalang laluan keretapi pun, mereka akan membiarkan sahaja (keretapi yang kena berhenti dan menunggu lembu berlalu).
Maknanya, syaitan akan menyuruh manusia membuat perkara baharu di dalam agama. Di zaman sekarang kita boleh tengok ramai manusia yang jahil yang memakai logo capal, lambang capal, kopiah capal dan bermacam-macam lagi. Kononnya dengan memakai logo dan lambang capal itu, mereka akan mendapat berkat, akan mendapat kelebihan-kelebihan. Ini adalah karut sekali.
وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ
dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.
Dan syaitan akan menyuruh mereka sehingga mereka mengubahsuai agama Allah. Ibn Abbas mengatakan lafaz خَلْقَ اللهِ bermaksud ‘agama Allah’. Mereka mencipta amalan syirik dan bidaah dan mereka mendakwa itu adalah sebahagian dari agama, tanpa diberikan dalil.
Mereka juga menghalal dan mengharamkan makanan atau apa-apa sahaja, dengan itu mereka telah mengambil tugas Allah. Maka perbuatan pantang memantang adalah bahaya kerana ia mengharamkan makanan yang Allah telah halalkan.
Kalau diterjemah خَلْقَ اللهِ di dalam maksud biasa, ia mengenai mengubah kejadian yang Allah telah tetapkan. Contohnya di zaman sekarang, ramai lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Kerana mereka tidak setuju dengan apa yang Allah telah jadikan. Maka mereka telah mengubah-ngubah mana yang mereka tidak suka.
Begitu juga, ada yang memakai tattoo. Kulit yang elok-elok comel, mereka rosakkan dengan memakai tattoo dan sebagainya. Perempuan pula ada yang menukar rambut asal mereka, ada yang mencabut kening dan sebagainya.
Ada yang tidak suka dengan warna mata mereka dan memakai contact lense untuk warnakan mata mereka menjadi warna lain dan bermacam-macam lagi perubahan yang manusia jalankan kepada diri mereka. Kalau mereka cacat dan mahu dipulihkan semula seperti orang biasa, itu dibenarkan.
Menurut hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim (muttafaq alaih):
لعن الله الواشمات والموتشمات ، والمتنمصات ، والمتفلجات للحسن ، المغيرات خلق اللهArtinya: Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya, melakukan tatu di wajahnya (mutawasshimah), menghilangkan rambut dari wajahnya, menyambung giginya, demi kecantikan, mereka telah merubah ciptaan Allah.
Dan mengubah ciptaan Allah ini juga termasuk menukar sifat asal sesuatu perkara yang Allah telah jadikan. Sebagai contoh, perbuatan homoseksual termasuk dalam perkara ini kerana ianya bukanlah perlakuan seksual yang normal. Begitu juga kalau memandulkan wanita kerana wanita memang dilahirkan untuk melahirkan.
Begitu jugalah kalau mengkasi lelaki menjadi pondan. Juga kalau memaksa wanita melakukan kerja lelaki. Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh termasuk dalam perkara ini.
وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللهِ
Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah,
Iaitu mereka mengikut bisikan dan arahan dari syaitan itu.
فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.
Mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia, mereka membuat perkara yang sia-sia dan di akhirat kelak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 120:
يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطٰنُ إِلَّا غُرُورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He [i.e., Satan] promises them and arouses desire in them. But Satan does not promise them except delusion.
MALAY
Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ
Syaitan menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong;
Syaitan menjanjikan bahawa ada kebaikan di dalam amalan yang salah. Mereka membisikkan janji-janji pahala yang banyak sekiranya mereka melakukan amalan-amalan syirik dan bidaah. Mereka mengajarkan akidah yang salah dan membisikkan ganjaran palsu.
Dan syaitan juga memberikan harapan palsu kepada manusia supaya hanya menumpukan kehidupan mereka dengan kejayaan dunia sahaja sehingga mereka langsung melupakan tentang akhirat. Mereka akan membiarkan manusia berangan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jadi, manusia akan mengejar dan terus mengejar, segala impian hidup mereka tetapi akhirnya sia-sia. Oleh sebab itu ramai yang leka dengan pekerjaan dunia sehingga melupakan akhirat hanya semata-mata ingin mengejar janji syaitan itu.
Itulah bahayanya materialism. Iaitu mementingkan kebendaan — sekarang manusia mementingkan pakaian yang dipakai, kereta yang cantik, rumah yang besar… dan sebagainya. Itu sahaja yang mereka fikirkan dan banggakan.
Tujuannya? Supaya manusia terikat dengan dunia dan melupakan akhirat. Kerana untuk mendapatkan segala keindahan dunia itu, memerlukan ruang masa yang banyak sehinggakan tidak ada masa lagi untuk belajar.
Kemudian mereka akan disibukkan pula untuk menjaga hartabenda. Dan apabila sudah menjadi kaya, terbukalah peluang untuk membuat dosa yang pelbagai jenis, kerana sudah mempunyai wang ringgit serta peluang yang banyak. Pelbagai cara yang boleh digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia.
Maka, kita haruslah berhati-hati. Bukanlah tidak boleh untuk mencapai kejayaan dunia, tetapi janganlah sampai kejayaan dunia itu menyesatkan dan menjerumuskan kita ke dalam neraka.
وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطٰنُ إِلَّا غُرُورًا
dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
Yang dijanjikan syaitan adalah penipuan semata-mata. Tujuan syaitan itu, hanyalah untuk melalaikan kita. Ghurur adalah penipuan yang berjaya dilakukan jikalau kita lalai. Maka, janganlah kita lalai. Dia mengajak kita mengikuti jalannya, tetapi nanti di akhirat dia akan berbahas pula mengatakan memang dia telah sengaja menipu kita dan mengapa pula kita mengikut dia? Ini ada disebut di dalam Ibrahim:22.
Jika ingin mengetahui sama ada janji dari syaitan itu benar ataupun tidak, kita mesti membandingkannya dengan nas yang sahih. Sekiranya ada si fulan yang mengatakan amalan itu dan ini akan mendapat ganjaran begitu dan begini, mintakan dia agar memberikan dalil yang sahih. Jikalau dia tidak dapat memberikan dalilnya, maka ingatkanlah dia, supaya meninggalkan sahaja amalan tersebut. Amalkan amalan yang sudah pasti sahihnya.
Syaitan mahu manusia melupakan akhirat dan memberikan tumpuan hanya kepada dunia sahaja. Sama ada syaitan akan menipu manusia dengan berkata: “Takkan akhirat itu ada”; atau syaitan membisikkan kepada manusia yang “Akhirat itu tidak ada apa-apa, kamu pasti akan selamat”. Maka manusia akan terus hanyut lalai dan leka dengan kehidupan dunia.
Ayat 121:
أُولَٰئِكَ مَأْوىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The refuge of those will be Hell, and they will not find from it an escape.
MALAY
Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.
أُولَٰئِكَ مَأْوىٰهُمْ جَهَنَّمُ
Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam,
Apabila terpedaya dengan bisikan dan janji syaitan, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam. Sememangnya itulah yang dikehendaki oleh syaitan.
وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا
dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.
Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak dapat menjumpai jalan untuk keluar dan juga tempat untuk berlindung.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 Julai 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani