Ayat 114: Ini adalah sambungan dari kes kecurian yang dilakukan oleh satu puak Munafik yang telah diceritakan dalam ayat-ayat sebelum ini. Ayat yang sedang kita bincangkan ini menyentuh tentang perbincangan senyap-senyap mereka untuk melakukan pembohongan.
Sepatutnya mereka serahkan yang mencuri itu supaya boleh dijalankan hukum hudud dan perkara itu akan selesai. Tapi sebaliknya mereka hendak menipu.
Selalunya rancangan jahat akan dibuat malam hari. Tapi tidak semestinya hanya malam hari sahaja, kalau buat siang hari, tapi masih perbincangan yang jahat, itu pun salah juga. Bukanlah larangan total untuk mengadakan perbincangan rahsia. Kalau berbincang untuk buat kebaikan, itu dibenarkan, dan itu adalah elok. Maka sekarang disebut perbincangan rahsia yang baik pula.
۞ لّا خَيرَ في كَثيرٍ مِّن نَّجوىٰهُم إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَو مَعروفٍ أَو إِصلٰحٍ بَينَ النّاسِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
No good is there in much of their private conversation, except for those who enjoin charity or that which is right or conciliation between people. And whoever does that seeking means to the approval of Allāh – then We are going to give him a great reward.
MALAY
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
لّا خَيرَ في كَثيرٍ مِّن نَّجوىٰهُم
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka,
Tidak ada kebaikan langsung dari kebanyakan perbincangan rahsia manusia. Lafaz نَجوا selalunya digunakan untuk perbincangan yang melibatkan tiga orang ke atas. Dan ianya adalah perbincangan yang rahsia sebab tak mahu orang tahu.
Dan selalunya yang dibincangkan adalah perkara yang tidak baik, dan adanya kutuk mengutuk dalam perbincangan itu. Dan kalau ada orang nampak kita bersembang dengan orang lain secara rahsia, tentu mereka akan rasa tidak selesa dan rasa macam kita bercakap tentang mereka pula.
Dalam ayat ini, Allah kata ‘kebanyakan’ dari perbincangan rahsia itu sahaja, bukan semuanya.
إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ
kecuali yang menyuruh bersedekah,
Melainkan perbincangan tertutup yang berbincang untuk sedekah. Katakanlah ada kawan kita yang jatuh susah, kena musibah malapetaka dan sebagainya. Kita pun duduk pakat dengan kawan-kawan lain untuk kumpul duit untuk beri sumbangan kepadanya.
Dan memang perbincangan itu perbincangan rahsia kerana tidak mahu kawan yang kena musibah itu dengar. Kerana kita tidak mahu dia rasa malu.
أَو مَعروفٍ
atau berbuat kebaikan,
atau dengan tujuan untuk melakukan perkara baik yang lain yang dibenarkan oleh syarak. Inilah yang disebut amar ma’ruf nahi munkar.
Perkara ini disebut dalam bentuk yang umum sahaja sahaja dalam ayat ini. Tidak disebut apakah yang ‘makruf’ itu kerana ia boleh jadi macam-macam. Ianya sesuatu yang makruf (semua orang tahu) ianya untuk kebaikan. Kita pun tahu sendiri mana yang baik, mana yang tidak, melainkan kalau bodoh sangat sampai itu pun tak tahu nak bezakan.
Sebagai contoh, kita buat rancangan untuk senyap-senyap pergi kepada seseorang dan nasihat dia untuk solat. Benda macam ini mungkin elok kalau dilakukan secara rahsia kerana tidak mahu memalukan sesiapa. Kerana kalau dia tidak suka ditegur di khalayak ramai, bukan dia nak ikut apa yang kita kata, tapi dia akan marah kepada kita pula kerana memalukan dia.
أَو إِصلٰحٍ بَينَ النّاسِ
atau untuk mendamaikan di antara manusia.
Atau nak mendamaikan mereka yang berbalah. Ada perbalahan yang terjadi antara dua puak, dua orang atau dua keluarga. Kita pun nak jadi orang tengah. Kita buat perbincangan rahsia dengan mereka, sebab tak mahu orang tahu. Ini pun dibolehkan juga.
Mendamaikan sesama manusia adalah perbuatan yang amat mulia sekali.
Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat? Jawab para sahabat: Bahkan (Ya). Sabda baginda: mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” – Riwayat Abu Daud.
Malah, kita dibenarkan untuk ‘menipu’ kalau dalam rangka untuk mendamaikan. Ia tidak dikira sebagai menipu. Dalilnya:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ، حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا صَالِحُ بْنُ كَيْسان، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمِ بْنِ عُبَيد اللَّهِ بْنِ شِهَابٍ: أَنَّ حُمَيْدَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ أَخْبَرَهُ، أن أمه أم كلثوم بنت عقبة أَخْبَرَتْهُ: أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ فَيَنْمِي خَيْرًا -أَوْ يَقُولُ خَيْرًا” وَقَالَتْ: لَمْ أَسْمَعْهُ يُرَخِّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: فِي الْحَرْبِ، وَالْإِصْلَاحِ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثِ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، وَحَدِيثِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا. قَالَ: وَكَانَتْ أُمُّ كُلْثُومٍ بِنْتُ عُقْبَةَ مِنَ الْمُهَاجِرَاتِ اللَّاتِي بَايَعْنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ya’qub, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Saleh ibnu Kaisan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Muslim ibnu Ubaidillah ibnu Syihab, bahawa Humaid ibnu Abdur Rahman ibnu Auf pernah menceritakan kepadanya bahawa ibunya (yaitu Ummu Kalsum binti Uqbah) menceritakan kepadanya bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Bukanlah pendusta orang yang mengadakan perdamaian di antara manusia, lalu dia menyebarkan kebaikan atau mengatakan kebaikan. Ummu Kalsum binti Uqbah mengatakan, “Aku belum pernah mendengar beliau Saw. memberikan rukhsah (keringanan) terhadap apa yang diucapkan oleh manusia barang sedikit pun, kecuali dalam tiga perkara, yaitu dalam peperangan, mengadakan perdamaian di antara manusia, dan pembicaraan suami terhadap isterinya serta pembicaraan isteri terhadap suaminya.”
Imam Ahmad mengatakan bahawa Ummu Kalsum binti Uqbah termasuk salah seorang wanita yang berhijrah dan ikut berbaiat (berjanji setia) kepada Rasulullah Saw.
Dari ayat ini, kita boleh tahu yang tiga jenis perbincangan rahsia jenis tiga ini sahaja yang dapat pahala. Kalau selain dari itu, kebanyakannya hanya menyebabkan dosa sahaja.
Maka kena berhati-hati dalam perbincangan rahsia kita. Amat bahaya perbincangan rahsia kerana ia boleh menuju kearah keburukan. Biasalah bila dah ramai-ramai.
وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا
Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
Sesiapa yang berbuat tiga perkara itu untuk mencari redha Allah, pasti mendapat pahala besar. Jadi ini adalah syarat kenapa perkara itu dilakukan.
Maknanya, dia buat semua itu kerana ikhlas untuk Allah. Pahala besar kerana bukan senang nak buat perkara-perkara macam itu. Ada sahaja yang nak lawan tak mahu terima.
Ayat 115: Ayat takhwif ukhrawi dan tentang kewajipan mengikut sunnah dan para sahabat. Ayat ini menjadi dalil bagi ijma’.
Jadi orang Sunnah tidaklah menolak ijma’ seperti yang dituduh oleh mereka yang jahil. Memang ijma’ adalah salah satu dari sumber hukum dalam Islam selain Qur’an dan Sunnah.
وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَساءَت مَصيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whoever opposes the Messenger after guidance has become clear to him and follows other than the way of the believers – We will give him what he has taken¹ and drive him into Hell, and evil it is as a destination.
- i.e., make him responsible for his choice.
MALAY
Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ
Dan sesiapa yang menolak (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk
Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang munafik yang tidak suka dengan keputusan Nabi Muhammad ﷺ yang akhirnya menyebelahi Yahudi setelah terbukti dia yang bersalah. Maka dia telah melarikan diri ke pihak musuh di Mekah dan bergabung dengan musuh untuk menentang Islam di Madinah.
Tapi ayat ini juga berbentuk umum. Sesiapa sahaja yang menolak ajaran Sunnah Rasulullah ﷺ, setelah nyata kepadanya bahawa itulah jalan hidayat. Sesiapa sahaja, samada orang Islam atau tidak, orang yang berilmu atau tidak. Lafaz يُشاقِقِ bermaksud ‘berpecah’, macam parti politik yang selalu berpecah. Dalam ayat ini, mereka berpecah dari mengikuti Nabi dan kalau begitu, maksudnya mereka menolak.
Menentang itu boleh jadi dalam apa cara sekali pun. Mungkin ada tak suka dengan keputusan Nabi. Mungkin ada yang tidak suka Sunnah Nabi, tidak percaya kepada hadis, dan sebagainya.
Ajaran Nabi adalah ajaran yang kekal sepanjang zaman. Jadi jangan guna alasan yang zaman Nabi lain, zaman kita lain. Perkara ibadat tidak berubah, yang berubah adalah perkara yang terlibat dengan zaman (keadaan semasa – ini dinamakan ‘muamalah’).
Oleh itu, hal kehidupan kita seperti pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya, itu boleh ikut keadaan zaman semasa. Tapi hal ibadat, ianya tetap kekal sepanjang zaman dan tidak berubah. Solat zaman Nabi sama sahaja dengan solat zaman sekarang, tidak perlu diubah-ubah, tidak perlu ditambah-tambah.
Ada ramai yang jahil agama. Tapi ada yang setelah diberitahu kepada mereka kesalahan amalan dan fahaman mereka, mereka masih tolak juga, jadi tidak ada alasan lagi pada mereka. Mereka tidak boleh menggunakan alasan yang mereka tidak tahu, kerana mereka sudah tahu.
Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain menunjukkan kewajipan ikut sunnah Nabi, bukan hanya ikut Qur’an sahaja. Jadi, pegangan golongan anti-hadis yang berhujah, hanya Qur’an sahaja yang patut dipegang adalah berlawanan dengan apa yang disebut oleh hadis ini. Maknanya, mereka pun tidak berpegang kepada Qur’an juga.
وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ
dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman,
Sesudah tolak jalan Rasul, dia ikut pula jalan yang bukan jalan orang mukmin. Dia buat cara yang lain dari cara orang lain yang mukmin.
Ayat inilah dalil untuk ijmak seperti kata Imam Syafie. Beliau mencari dalil bagi ijmak umat Islam dalam Qur’an dan beliau membaca keseluruhan Qur’an selama tiga hari (tiga kali setiap hari) untuk mencari dalilnya. Dan beliau yakin ayat ini adalah dalilnya dan apabila beliau mengutarakannya kepada ulama-ulama yang lain, mereka pun bersetuju.
Ijmak adalah satu sumber hukum dalam agama kerana orang mukmin tidak akan bersetuju semua sekali pada satu jalan yang salah. Ini seperti sabdar Rasulullah ﷺ:
Ertinya: “umatku tidak akan bersepakat untuk melakukan kesalahan.”
(HR. Abu Daud dan Tirmizi)
Yang paling penting, lafaz سَبيلِ المُؤمِنينَ adalah jalan para sahabat Nabi. Merekalah yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad ﷺ, mereka amat sayang kepada baginda dan kepada agama, mereka sanggup berkorban apa sahaja, mereka telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pembantu Nabi menyebarkan agama, maka tentulah ilmu mereka tentang agama adalah yang terbaik sekali selepas Nabi.
Maka, jalan merekalah yang kita kena ikut. Jadi, amalan agama kita kenalah bandingkan dengan mereka. Adakah mereka buat Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Kenduri Arwah, adakah mereka menyambut Mawlid Nabi? Kalau mereka tak buat, tapi kita buat, kita ikut siapa sebenarnya?
Ramai yang mengaku mereka itu dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Tapi apabila kita lihat, amalan mereka bukannya amalan sunnah dan banyak yang amalan bidaah. Amat malu dan menggelikan hati apabila mereka mengaku yang mereka itu Ahli Sunnah wal Jamaah (siap buat kumpulan yang dinamakan Aswaja pula).
Mereka agaknya tidak tahu yang Ahli Sunnah wal Jamaah itu maksudnya mengikut dan berpegang pada hadis yang sahih dan jalan para sahabat.
نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ
Kami akan memalingkannya ikut arah yang dia telah berpaling,
Kerana mereka telah berpaling dari jalan Nabi dan para sahabat, maka Allah terus palingkan mereka jauh dari agama yang benar. Kerana mereka yang hendak begitu. Jadi, mereka akan terus berada di jalan yang salah.
Allah beri mereka nampak amalan mereka sebagai molek sahaja. Sampaikan bidaah pun mereka beri nama ‘Bidaah Hasanah’, supaya nampak molek sahaja amalan yang salah itu.
Di dunia, Allah akan biarkan apa yang dia mahukan. Allah akan bagi ‘menjadi’ apa yang dia ingin lakukan. Sebagai contoh, ramai yang amalkan Selawat Syifa’ yang syirik itu. Dan mereka kata mereka berjaya menyembuhkan orang dengan Selawat itu. Allah bagi ‘menjadi’ amalan salah mereka itu. Kalau orang nak jadi sesat, Allah akan biarkan sahaja.
Kerana manusia ada free will. Jadi, nampak dia boleh sahaja amalkan apa yang dia hendak amalkan, tanpa ada balasan buruk dari Allah. Jadi mereka kata: “Kalau salah, takkan berjaya apa yang kami amalkan ini, takkan Allah benarkan”. Maka, teruslah mereka berada dalam kesesatan. Ingatlah, kalau Allah ‘benarkan’, tidaklah bermakna Allah ‘redha’.
وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ
dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam;
Tapi ingat, di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke neraka jahannam. Jangan dia sangka yang dia bebas nak buat apa sahaja semasa di dunia, bermakna dia bebas juga di akhirat.
وَساءَت مَصيرًا
dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Tidak ada tempat lagi yang lagi buruk dari neraka itu. Maka berhati-hatilah dengan apa pegangan kita. Jangan nak sedap mulut sahaja cakap begitu dan begini. Kena hati-hati kerana kalau silap langkah, akan masuk ke neraka. Tak takut neraka kah?
Habis Ruku’ ke 17 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 116: Telah selesai ayat-ayat urusan pentadbiran seperti terdapat di dalam ayat sebelum ini. Sekarang Allah kembali berbicara mengenai tajuk akidah pula.
Sebelum ini telah disebut pelbagai jenis hukum dan dosa-dosa. Ingatlah bahawa segala jenis dosa yang telah disebut itu akan diberikan keampunan di akhirat kelak hanya jika Allah yang menghendakinya. Ataupun Allah boleh sahaja memasukkan hambaNya ke dalam neraka, dan selepas melalui azab, mereka akan dikeluarkan dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga.
Tetapi terdapat jenis dosa yang tiada keampunan langsung dari Allah. Maknanya, tidak ada peluang untuk memasuki syurga langsung. Dosa tersebut adalah dosa syirik.
Amatlah rugi sekali, jika seseorang tidak memahami ilmu tauhid dan tidak menyedari bahawa amalan yang mereka amalkan itu mengandungi unsur syirik. Ini kerana mereka yang mengamalkan syirik akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
Segala amalan yang dilakukan semasa masih mengamalkan syirik tidak akan mendapat pahala langsung. Amalan mereka itu menjadi sia-sia belaka.
إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Allāh does not forgive association with Him, but He forgives what is less than that for whom He wills. And he who associates others with Allāh has certainly gone far astray.
MALAY
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu
Allah menegaskan di dalam ayat ini yang Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Maka, amatlah bahaya kalau kita mempunyai fahaman syirik atau mengamalkan amalan syirik semasa kita hidup dan tidak sempat untuk bertaubat serta minta keampunan daripadaNya.
Maksud Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik adalah kalau kita tidak sempat untuk meminta keampunan dari Allah sebelum kita mati. Dosa syirik masih lagi boleh diampunkan, tetapi orang yang membuat dosa syirik itu haruslah meminta ampun secara khusus.
Tetapi untuk meminta ampun di atas dosa syirik, seseorang itu haruslah mengetahui yang dia telah melakukan syirik. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui apakah maksud tauhid dan maksud syirik yang sebenar-benarnya.
Kebanyakan dari mereka telah salah faham akan maksud sebenar dua perkara ini. Ini berpunca daripada sikap mereka yang tidak mahu mempelajari tafsir Qur’an. Maka, mereka menyangkakan apa yang mereka buat adalah perkara yang betul, tanpa menyedari hakikat sebenarnya itu adalah perbuatan syirik.
Fahaman syirik adalah fahaman yang bahaya. Syirik adalah perkara di dalam akal kita, jadi manusia lain tidak mengetahui akidah sebenar kita sama ada syirik ataupun tidak. Kalau kita membuat kesalahan di dalam bab ibadat, orang lain boleh nampak dan kalau salah, bolehlah ditegur. Tetapi kalau perkara di dalam akal kita, bagaimana pula untuk menegurnya?
Jadi, setiap umat Islam mestilah mempelajari tafsir Qur’an dan bandingkan fahaman mereka dengan ajaran di dalam Qur’an. Mereka haruslah mengetahui apakah fahaman yang benar dan kemudian bandingkan, sama ada fahaman mereka selari atau tidak dengan Qur’an.
Selepas mempelajari apakah fahaman yang benar, dan kalau kita sebelum itu berfahaman syirik, maka bertaubatlah dan tinggalkan fahaman yang salah itu. Kembalilah kepada agama yang benar. Berdoalah kepada Allah untuk mengampuni dosa syirik kita sebelum itu. Mengakulah yang dulu kita tidak tahu, sekarang setelah belajar, barulah tahu.
Dosa syirik masih boleh diampunkan lagi, tapi dengan syarat, orang yang bersalah itu mestilah memohon keampunan sendiri; dan mesti meminta keampunan semasa dia masih hidup lagi. Kalau mati, maka sudah tidak ada harapan lagi untuknya — hukumannya akan kekal dalam neraka buat selama-lamanya.
Allah menyebutkan tentang syirik selepas menyebut tentang taat kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana ia mempunyai kaitan rapat di antara kedua-duanya. Taat kepada Nabi ﷺ adalah tanda taat kepada Allah kerana Nabi ﷺ menyampaikan arahan terus dari Allah. Tidak mentaati Nabi ﷺ, adalah sama seperti tidak mentaati Allah.
وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ
dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya
Dosa-dosa yang lain boleh sahaja Allah ampunkan, tetapi hanya kepada orang yang dikehendakiNya sahaja. Maka harus difahami bahawa, tidaklah wajib bagi Allah untuk mengampunkan dosa sesiapa pun. Tapi kita hanya mampu untuk mengharapkan Rahmat Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita yang banyak itu.
Maka, hendaklah kita selalu memohon keampunan dari Allah. Dan elakkanlah diri kita daripada berterusan di dalam dosa. Jangan bersikap ringan dengan dosa. Jangan kata: “tidak mengapa, nanti aku akan minta ampun”. Ini kerana tidak belum pasti Allah akan ampunkan.
Maknanya, mereka yang melakukan syirik dan tidak meminta ampun ketika masih hidup, tidak akan diampunkan sampai bila-bila. Mereka akan kekal berada di dalam neraka buat selama-lamanya tanpa ada peluang untuk keluar dari neraka itu. Walau dia orang Islam sekali pun!
Persoalan yang ditimbulkan oleh manusia jahil adalah: kenapa kekal di dalam neraka sedangkan perbuatannya syiriknya itu adalah sekejap sahaja iaitu semasa dia hidup di dunia?
Jawapannya adalah kerana orang yang melakukan syirik itu berfahaman yang amalannya itu benar. Maka dia tentu akan melakukan berterusan perkara itu sampai bila-bila. Kalaulah dia hidup pun buat selama-lamanya, maka tentu dia akan berterusan melakukan amalan syirik tersebut.
Allah lebih mengetahui yang orang itu akan berterusan melakukan perbuatan syirik itu, maka Allah terus meletakkannya di dalam neraka buat selama-lamanya.
وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا
dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
Allah memberitahu kita bahawa dosa syirik itu amatlah bahaya. Mereka yang mengamalkan syirik atau mempunyai fahaman syirik, sebenarnya telah jauh dari kebenaran, jauh yang amat sangat. Apabila berjalan jauh sangat, maka amatlah susah untuk berpatah balik ke tempat yang asal.
Begitulah juga dengan syirik — mengamalkan syirik merupakan satu perbuatan yang amat merbahaya kerana ada yang tidak dapat kembali lagi disebabkan telah terlalu jauh dari kebenaran.
Ayat ini lebih kurang sama maksudnya dengan ayat 48 surah ini juga:
إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Cuma ada perbezaan di kalimat hujung keduanya. Mari kita lihat.
Ayat 48 berakhir dengan: وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا (Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.)
Ayat ini berakhir dengan: وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا بَعيدًا (Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.)
Ulama mufassir mengatakan ayat 48 itu ditujukan kepada golongan Yahudi. Mereka telah mengetahui apakah tauhid, siapakah Allah, siapakah Nabi Muhammad ﷺ, tapi mereka tetap juga meninggalkan tauhid dan mengamalkan ajaran syirik. Dan mereka mengaku yang itu adalah ajaran dari Taurat pula. Sebab itulah mereka dikatakan sebagai افتَرىٰ (mereka-reka) amalan baru.
Sedangkan ayat 116 ini pula ditujukan kepada golongan musyrikin seperti di Mekah itu yang tidak mempunyai kitab agama. Tetapi perbuatan syirik mereka itu jelas bersalahan dengan akal yang sihat dan kerana itu mereka dikatakan telah jauh tersesat. Sesat jauh dari akal yang sihat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 17 Julai 2018
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Subhanallah.. Tadabbur surah An Nisaa 114-116 hari ni sangat kena dengan apa sedang hangat berlaku sekarang .
Orang Islam kita sendiri mempertikai sunnah dan tindakan Rasulullah SAW.
Allahuakbar.. Semoga Allah melindungi kita semua umat Islam dari perkara sebegini.
LikeLike