Ayat 67: Ayat 67 – 73 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan ia memberitahu kita kesudahan bagi orang bertaqwa. Ayat 67 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi.
الأَخِلّاءُ يَومَئِذٍ بَعضُهُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ إِلَّا المُتَّقينَ
Close friends, that Day, will be enemies to each other, except for the righteous
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain,
Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana ada kalangan Musyrikin Mekah berdebat dengan Nabi Muhammad. Mereka yang berdebat dengan Nabi Muhammad tentang Nabi Isa dalam ayat-ayat itu adalah kawan-kawan rapat belaka. Itulah sebabnya mereka berani kerana ada kawan untuk sama-sama menggelakkan Nabi Muhammad. Begitulah manusia, apabila ada geng, mereka akan jadi berani terlebih.
Tetapi itulah jenis kawan yang menyebabkan mereka jadi sesat. Mereka sama-sama menempah tempat dalam neraka. Sama-sama bertolongan untuk keburukan, bukan untuk kebaikan. Semasa mereka di dunia, mereka berkawan amat rapat tapi di akhirat nanti, mereka akan menjadi musuh yang amat jauh.
Kalimah الْأَخِلَّاءُ adalah dari kata dasar خ ل ل (Khalil) yang bermaksud ‘menembus’ dan oleh itu ia bermaksud ‘kawan yang amat rapat’ yang menembus ke dalam hati dan bukan kawan yang biasa. ‘Khalil’ adalah persahabatan yang paling rapat sekali. Sepertimana Nabi Ibrahim diberi gelaran Khalilullah.
Selalunya, manusia menjadi sesat sebab ada kawan yang ajak mereka ke arah kesesatan itu. Merekalah yang mengajak kepada perkara yang tidak baik. Kita biasa sangat dengan kawan-kawan yang jenis macam ini. Mereka menjadikan perkara yang buruk nampak baik.
Apabila kita bersama dengan mereka, macam tidak ada apa-apa sahaja kesalahan yang kita lakukan. Kita rasa macam tak berapa bersalah apabila buat kejahatan bersama dengan dia. Mereka itulah yang jadi teman ponteng kelas, hisap rokok, mengintai anak dara orang dan sebagainya.
Bagaimana kawan yang rapat semasa di dunia dulu boleh menjadi musuh pula di akhirat? Sebagai contoh, ada orang yang beriman, tapi berkawan juga dengan kawan yang tidak beriman. Yang beriman itu nanti akan masuk syurga dan yang tidak beriman akan dimasukkan ke dalam neraka.
Semasa di Mahsyar lagi, mereka yang sudah ada masalah itu nanti akan merayu kepada kawannya yang beriman itu. Dia bersungguh-sungguh minta tolong kepada kawannya itu. Tapi kawannya akan memberitahu bahawa dulu semasa mereka di dunia, dia sudah ajak kawannya yang tidak beriman itu banyak kali untuk datang belajar, jangan buat perkara buruk dan sebagainya, tapi kawannya itu tidak mahu.
Maka, itulah sebabnya mereka dibezakan di akhirat kelak. Walaupun mereka di dunia dulu berkawan, tapi di akhirat nanti, mereka sudah tidak berkawan lagi. Mereka tidak boleh menolong orang lain. Mereka sudah jadi musuh sudah waktu itu.
Ada kawan yang halang kawan pergi untuk belajar atau buat kebaikan. Mungkin ada yang hendak pergi belajar Tafsir Al-Qur’an atau belajar di kelas agama, tapi ada pula kawannya yang berkata: “Buat apa yang kau sibuk nak belajar, jom kita pergi makan lagi bagus”. Sampai menyebabkan kawannya itu tidak jadi untuk belajar.
Maka, di akhirat kelak, kawan yang telah dipesongkan itu akan marah dengan kawannya yang menghalangnya itu, dan mereka menjadi musuh waktu itu. Kerana mereka akan kata: “Kalaulah bukan kerana kau, aku tentu sudah belajar dengan bagus dan tidak susah di akhirat ini! Nyah kau dari aku, aku dan kau musuh sekarang!”. Begitulah lebih kurang penjelasan yang boleh kita sampaikan.
إِلَّا الْمُتَّقِينَ
kecuali orang-orang bertaqwa.
Dalam kitab Tafsir Jalalyn, yang dimaksud dengan ‘taqwa’ adalah muwahhidoon – orang yang mengamalkan tauhid.
Persahabatan yang didasari oleh taqwa akan berterusan sampai ke syurga. Mereka itulah yang bersama-sama pergi belajar, bersama-sama berdakwah dan menegakkan hukum Allah. Mereka berkawan ‘kerana Allah’. Mungkin kenal di kelas pengajian dan perkenalan itu berterusan sampai mereka menjadi kawan yang rapat.
Bukanlah mereka berkawan kerana harta atau kerana kerja di tempat yang sama tetapi kerana persamaan akidah. Dan ini adalah persahabatan yang amat manis sekali. Persahabatan itu akan berkekalan sampai ke syurga. Sedangkan persahabatan yang didasari oleh perkara-perkara lain, tidak akan berterusan sampai ke syurga. Mereka hanya setakat berkawan di dunia sahaja.
Kita adalah makhluk yang bersosial. Kita memerlukan teman untuk berbicara, untuk buat kerja sama-sama dan sebagainya. Oleh itu, untuk buat kebaikan, ianya akan lebih mudah dengan adanya kawan yang boleh membantu dan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan usaha kita.
Masalahnya, untuk buat keburukan pun memerlukan kawan juga. Dan kita memang mudah terpengaruh dengan kawan. Kalau kawan itu baik, maka kita selalunya akan jadi baik dan kalau kawan itu jahat, maka kita boleh jadi jahat juga. Maka berjaga-jagalah dalam berkawan.
Ayat ini juga bermaksud, orang yang bertaqwa tidak terikut dengan kelakuan salah kawannya. Walaupun kawannya buat perkara yang tidak baik, dia tidak ikut kerana dia ada prinsip taqwa yang mantap dalam dirinya. Dia akan tegur kesalahan kawannya dan mengajak kawannya ke arah kebaikan.
Kerana dia tahu bahawa apa yang kawannya lakukan itu adalah salah dan akan membawa kepada keburukan di akhirat kelak. Orang yang bertaqwa seperti itu tidak masuk ke neraka disebabkan kawannya. Walaupun kawannya buat perkara syirik atau bidaah, dia tidak terkesan, kerana dia tidak ikut sekali. Dia tetap berkawan kerana dia hendak dakwah kepada kawannya itu.
Kawan yang baik akan mengajak kepada kebaikan. Mereka jugalah yang memberitahu tentang ilmu yang baik kepada kawannya. Kalau belajar agama, dia akan beritahu dan ajak kawannya sekali untuk sama-sama menadah ilmu. Dia akan kongsi bersama ilmu yang dia tahu walau sedikit mana pun.
Oleh itu, kalau anda belajar agama seperti belajar Tafsir Al-Qur’an, belajar Hadis, maka ajak kawan-kawan sekali. Begitu juga anda yang sedang membaca tulisan ini, kongsikan juga kepada kawan. Tidak perlu minta kebenaran, terus sahaja kongsikan. Telah dihalalkan awal-awal lagi. Kita memang memerlukan kawan-kawan yang sebegini.
Semoga Allah berikan kepada kita kawan-kawan yang mengingatkan kita kepada kebaikan, yang mengajak kita kepada kebaikan. Kadang-kadang kita rasa lemah dan lelah juga untuk beramal, malas nak kuliah agama dan sebagainya, harapnya Allah berikan kita kawan yang memberi semangat untuk kita.
Ayat 68: Ayat Tabshir Ukhrawi. Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa itu?
يٰعِبادِ لا خَوفٌ عَلَيكُمُ اليَومَ وَلا أَنتُم تَحزَنونَ
[To whom Allah will say], “O My servants, no fear will there be concerning you this Day, nor will you grieve,
(Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”.
يٰعِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ
Allah Taala berfirman: “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini tidak ada ketakutan ke atas kamu;
Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini (yang tidak disebut) – ini adalah kata-kata sambutan dari Allah. Ini adalah satu penghormatan kepada mereka. Dan ini menunjukkan yang mereka mendapat layanan baik dari Allah sendiri. Allah sendiri sambut mereka di syurga! Semoga kita termasuk dalam golongan ini, aameen.
Mereka yang dirujuk dalam ayat ini adalah orang-orang yang bertaqwa – yang berkawan kerana Allah, menolong sesama sendiri kepada jalan Allah. Allah sambut mereka dengan kata-kata yang menyenangkan apabila mereka sampai ke syurga nanti.
Ketakutan adalah perasaan tidak sedap dengan apa yang mungkin terjadi di masa hadapan. Maksudnya, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak. Mereka akan diselamatkan di setiap tempat pelepasan seperti yang telah disebut dalam ayat Zumar:61
وَيُنَجِّي اللهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
(Dan Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa di tempat ‘pelepasan’ mereka; mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita.)
‘Tempat Pelepasan’ yang dimaksudkan adalah tempat-tempat azab seperti kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka. Itulah tempat-tempat yang akan dikenakan kesusahan dan azab dan mereka yang beriman akan diselamatkan di tempat-tempat itu. Mereka juga akan dapat minum air dari Telaga Kautsar yang apabila minum sahaja air itu, tidak akan dahaga sampai bila-bila.
Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:
Dalam kalimat عِبَادِ itu, sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim. Dalam ilmu balaghah, ini adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia terus meningkatkan ketaqwaannya.
Dalam ayat ini, digunakan kalimah عِبَادِ dengan dihazafkan ي kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang tenang dan telah ditetapkan imannya, tidak akan goyah lagi. Dan yang mendapat kedudukan itu adalah hamba yang istiqamah dalam ibadah.
وَلَا أَنتُمْ تَحْزَنُونَ
dan kamu pula tidak akan berdukacita”.
Kalau ‘takut’ itu adalah perasaan tidak senang kepada apa yang akan terjadi di masa hadapan, ‘dukacita’ adalah perasaan yang tidak sedap dengan apa yang telah terjadi dahulu. Iaitu, apabila kita teringat sesuatu yang terjadi dahulu, menaikkan perasaan sedih. Jadi, ‘takut’ untuk masa hadapan, dan ‘dukacita’ adalah untuk masa lampau.
Termasuk dalam sedih itu adalah perasaan menyesal atas perbuatan mereka yang lalu. Itulah yang akan terjadi kepada mereka yang tersilap memilih kawan sampaikan mereka berbuat benda yang salah sampaikan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan sedih mengenangkan kesilapan lampau yang mereka lakukan.
Apabila dalam syurga, tidak akan ada langsung perasaan sedih. Kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala nikmat. Kalau ada perasaan sedih, akan berkuranglah kenikmatan itu. Di syurga nanti, tidak akan rasa sedih kerana kita tidak ingat pun segala masalah, segala kesusahan semasa di dunia dulu.
Kita sampaikan tidak terkenangkan lagi orang yang kita sayang pun kalau mereka tidak masuk ke syurga. Katakanlah anak kita tidak dapat masuk syurga, atau ayah, atau ibu… kita tidak teringatkan mereka. Allah akan cabut perasaan itu dari kita. Kerana kalau kita terkenangkan mereka, kita akan rasa sedih. Dan Allah tidak mahu kita rasa sedih kalau kita ahli syurga.
Lihatlah penggunaan nahu dalam ayat ini. Allah akan berkata sendiri kepada penghuni syurga itu. Alangkah nikmatnya, Allah sendiri yang akan memberitahu kita yang kita tidak perlu takut dan tidak akan bersedih. Itu akan menenangkan kita. Kalau orang lain yang cakap, belum tentu lagi.
Ayat 69: Siapakah mereka yang selamat itu?
الَّذينَ ءآمَنوا بِئآيٰتِنا وَكانوا مُسلِمينَ
[You] who believed in Our verses and were Muslims.
(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,
الَّذِينَ ءآمَنُوا بِئآيٰتِنَا
(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami,
Mereka itu yang beriman dengan sebenarnya. Apabila mereka beriman, mereka juga kenalah beramal dengan ayat-ayat itu. Maka, hendaklah kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan belajar memahami hadis-hadis Nabi dari mereka yang tahu, supaya kita dapat faham agama ini dari sumber yang sahih. Bukan dari mereka yang jahil.
Kerana salah belajar akan menyebabkan kita salah faham. Maka, bukan hanya memilih kawan sahaja kita kena berhati-hati, tapi memilih guru pun kena lebih berhati-hati lagi. Kerana silap pilih gurulah yang menyebabkan ramai akan salah mengamalkan agama ini.
وَكَانُوا مُسْلِمِينَ
serta mereka dahulu orang-orang Islam yang taat patuh,
Iaitu dulu mereka taat dan patuh dengan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. ‘Muslim’ bermaksud orang yang tunduk patuh seluruhnya kepada arahan Allah dengan ikut syariat. Janganlah kita baca sahaja ayat-ayat Allah tapi kita tidak tunduk patuh. Maka kenalah belajar apakah syariat yang perlu kita ikuti.
Ayat 70: Masih dalam ayat tabshir lagi.
ادخُلُوا الجَنَّةَ أَنتُم وَأَزوٰجُكُم تُحبَرونَ
Enter Paradise, you and your kinds, delighted.”
(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.
ادْخُلُوا الْجَنَّةَ
“Masuklah kamu semua ke dalam Syurga
Inilah nikmat yang amat besar sekali. Yang paling penting, di syurga juga barulah kita dapat melihat Allah. Ini adalah nikmat yang amat besar. Takkan kita tidak teringin hendak melihat Allah yang telah menjadikan kita?
Sekali lagi, Allah sendiri bercakap dengan kita. Alangkah nikmatnya!
أَنتُمْ وَأَزْوٰجُكُمْ تُحْبَرُونَ
kamu dan isteri-isteri kamu, dalam keadaan bergembira”.
Kalimah تُحْبَرُونَ bermaksud mereka itu gembira yang amat sangat sampaikan tidak ada ruang untuk bersedih.
Allah suruh ahli syurga masuk dengan pasangan dia. Kerana ‘kawan yang baik’ termasuklah juga pasangan hidup kita. Bukan di dunia sahaja mereka menjadi pasangan kita, tapi boleh sampai ke syurga. Dengan syarat, mereka juga beriman. Tentulah amat membahagian sekali kalau kita dapat masuk ke syurga dengan pasangan hidup kita semasa di dunia dulu.
Kalimah تُحْبَرُونَ dari katadasar ح ب ر yang bermaksud ‘mencantikkan sesuatu’. Jadi perkataan تُحْبَرُونَ bermaksud ‘dicantikkan’ iaitu apabila muka kita berseri-seri dengan kegembiraan. Itulah kecantikan yang sebenarnya. Kadang-kadang, ada orang yang dipakaikan dengan baju dan perhiasan yang cantik, tapi muka mereka tidak berseri dengan kegembiraan kerana mereka sebenarnya tidak gembira.
Tetapi, apabila dimasukkan ke dalam syurga, memang jelas yang wajah mereka akan berseri dengan kegembiraan. Bukankah kecantikan seseorang itu lebih terserah dengan cahaya kegembiraan pada wajahnya?
Ayat 71:
يُطافُ عَلَيهِم بِصِحافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكوابٍ ۖ وَفيها ما تَشتَهيهِ الأَنفُسُ وَتَلَذُّ الأَعيُنُ ۖ وَأَنتُم فيها خٰلِدونَ
Circulated among them will be plates and vessels of gold. And therein is whatever the souls desire and [what] delights the eyes, and you will abide therein eternally.
Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.
يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ
Mereka diedari dengan talam-talam dari emas dan piala;
‘Diedari’ itu bermaksud mereka akan dihulurkan bersilih ganti dengan talam-talam dan piala-piala itu. صِحَافٍ adalah talam yang saiz makanan di dunia boleh mengenyangkan lima orang.
Kalimah أَكْوَابٍ pula diterjemahkan sebagai ‘piala’ yang merujuk kepada bekas minuman yang besar mulutnya yang tidak ada pemegang padanya. Dan ia memang khas digunakan untuk minum arak. Kalau orang Arab memang sudah anggap yang ia digunakan untuk minum arak dan bukan minum air yang lain.
Ia tidak mempunyai pemegang kerana kita boleh minum dari bahagian mulut mana-mana sahaja, yang susah untuk dilakukan jika ada pemegangnya. Dan kalau ada pemegang, kadang-kadang bukankah pemegangnya tidak selesa? Lihatlah bagaimana detail sekecil itu pun dipermudahkan untuk kita.
Dan ianya diperbuat dari emas syurga, bukan emas dunia, jadi tidak sama kualiti keduanya. Emas di dunia ini hanya ciplak kepada emas di syurga sahaja jadi kualitinya pasti tidak sama. Macam bandingan antara iphone sebenar dengan iphone replika yang diletakkan di kedai.
Kalimah يُطَافُ juga bermaksud mereka akan diberikan dengan hidangan itu dari berbagai arah. Kalau kita di restoran di dunia, kita tahu makanan kita akan sampai dari mana iaitu dari arah dapur sahaja kerana dari situlah makanan datang, bukan? Tapi di syurga nanti, ianya akan diberikan dan dihulurkan kepada kita dari semua arah.
Ini sebagai isyarat yang makanan yang diberikan kepada kita itu banyak sampaikan kena diberikan dari semua arah. Dan memang kita akan makan dengan amat banyak sekali di sana. Seorang ahli syurga akan diberikan dengan nafsu makan seribu orang!
Padahal, ahli syurga bukan lapar pun. Ini kerana lapar adalah satu keburukan dan ketidakselesaan, maka tentu ia tidak ada di syurga. Cuma mereka makan kerana hendak makan sahaja, untuk memuaskan nafsu makan sahaja, untuk menikmati hidangan yang lazat itu. Bukannya makan untuk menghilangkan lapar kerana lapar memang tidak ada.
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ
dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu
Kita akan mendapat apa sahaja yang kita mahu. Dan setiap manusia mempunyai kemahuannya yang berlainan. Ada orang yang suka makanan yang manis dan ada orang suka makanan yang pedas. Ada yang suka berjalan-jalan, ada yang suka bersembang, macam-macam.
Segala keinginan nafsu kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ini tidak salah kerana memang di syurga adalah tempat untuk memuaskan nafsu sahaja – di dunia sahaja kita kena tahan nafsu kita, tapi di syurga, boleh memenuhinya. Begitulah, kalau kita tahan nafsu kita di dunia, kita akan dipuaskan nafsu kita di syurga.
Ada berbagai minat yang berlainan bagi manusia. Sampaikan ada yang mahu bercucuk tanam kerana dia suka, sedangkan segalanya telah tersedia di dalam syurga. Itu pun diberikan kepada ahli syurga itu.
Dari Abu Hurairah, dia mengisahkan, “Pada suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang berbincang-bincang dengan para sahabatnya, di sisi baginda ada seorang laki-laki dari ahli badi’ah (Arab Dusun pen.). Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sesungguhnya ada seseorang dari ahli jannah yang meminta kepada Rabb-nya untuk bertani maka Allah berfirman, ‘Bukankah engkau sudah mendapatkan apa yang engkau inginkan?’ Maka dia menjawab, ‘Ya, tetapi aku suka bercucuk tanam.’ Maka Allah pun mengizinkannya. Lalu dia segera menebar benih, dan dalam waktu sekelip mata, (benih itu) tumbuh, meranum, dan tiba waktu tuainya. Dan hal itu pun (menumpuk) seperti gunung. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, ‘Wahai anak Adam, ambillah (semuanya), maka sesungguhnya hal itu tidak akan mengenyangkan sedikit pun.’ Maka dia (laki-laki dari Arab dusun) itu berkata, ‘Demi Allah, engkau tidak akan menjumpai mereka kecuali (mereka adalah) orang-orang Quraisy atau orang-orang Ansar, kerana mereka adalah orang-orang yang suka bertani, (sedangkan kami bukan orang-orang yang suka bercucuk tanam, pen.). maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pun tertawa.” (HR. Bukhari dalam Kitabul Harsi wal Muzaro’ah, no.2348 dan Ahmad, 2:512)
Allah sebut pemberian di syurga itu dalam lafaz umum sahaja – boleh dapat apa sahaja yang dikehendaki oleh nafsu – kerana tidak boleh nak sebut satu persatu kerana banyak sangat.
وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ
serta dipandang indah oleh mata;
Kalimah تَلَذُّ bermaksud ‘lazat’ iaitu apa yang kita sukai. Maknanya pandangan kita pun ada lazatnya juga. Di syurga nanti ada benda-benda yang hanya dengan melihatnya pun kita sudah menggembirakan kita kerana cantiknya, kerana indahnya. Tidak dapat nak dibayangkan semasa kita di dunia ini.
Kelazatan itu memang ada pada ‘rasa’ dan juga ada pada ‘pandangan’. Selalunya ‘lazat’ itu kita gunakan untuk lidah, bukan? Tapi ada juga lazat untuk pandangan kita. Bukankah sebelum kita makan, kita akan melihat kepada makanan itu? Kadang-kadang dengan melihat kepada rekaan dan susunan pada makanan itu sahaja sudah membuka selera kita.
Sebab itulah sekarang ramai dikalangan orang-orang muda suka menangkap gambar makanan dan menyebarkannya kepada rakan-rakan mereka di Facebook dan Instagram. Walaupun mereka tidak dapat memberi rasa lazat makanan itu kepada kawan-kawan mereka, tapi mereka dapat memberi ‘kelazatan’ pada pandangan mata.
Begitu juga dengan pakaian kita. Sebelum kita pakai dan merasai kesedapan pada kain itu, kita akan melihat kepada warnanya, coraknya, potongannya, bukan?
Lihatlah bagaimana di syurga nanti, kedua-dua jenis kelazatan itu akan diberikan oleh Allah kepada kita. Lazat pada lidah dan pada pandangan mata juga.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
وَأَنتُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.
Kalau dalam dunia apabila kita berada tempat yang kita suka, tempat nyaman, menang kita suka. Tapi sebenarnya dalam hati kita, kita tahu yang lama kelamaan kita perlu meninggalkan tempat itu juga. Contohnya, kita duduk di hotel yang paling mahal di dunia – kita tahu yang kita akan tinggal sekejap sahaja dan akhirnya akan keluar juga.
Pengetahuan itu akan mengurangkan kenikmatan kita di tempat itu kerana kita tahu yang kita kena meninggalkannya. Akan ada sedikit rasa sedih dalam hati kita terutama bila sudah semakin hendak tinggalkan tempat itu.
Tetapi ini tidak akan berlaku di syurga nanti kerana ahli syurga akan tetap kekal di syurga selama-lamanya. Itulah satu nikmat yang besar – kita tahu yang kita akan selamat di dalamnya. Perasaan kita akan tenang mengetahuinya. Dan ini adalah satu lagi tambahan nikmat.
Ayat 72:
وَتِلكَ الجَنَّةُ الَّتي أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
And that is Paradise which you are made to inherit for what you used to do.
Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.
وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا
Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang kamu mewarisinya,
Kita mewarisi syurga itu dari datuk kita Nabi Adam a.s. Tujuan hidup kita adalah hidup di dunia supaya kita kembali mendapat hak kita, iaitu kedudukan kita di syurga.
Dan kita hanya dapat mewarisinya jika kita ada hubungan rapat dengan tuan syurga itu, iaitu Allah. Kalau tidak ada hubungan rapat, tidak mendekatkan diri, jangan haraplah.
بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.
Huruf ب dalam ayat ini adalah ‘ba sababiah’ – penyebab terjadinya sesuatu. Kita masuk syurga kerana usaha kita. Maknanya untuk kita mendapat Syurga itu, memerlukan usaha yang gigih dari kita untuk beramal. Bukanlah hanya duduk-duduk goyang kaki sahaja. Kehidupan dunia ini bukanlah hanya untuk membuang masa sahaja tetapi mestilah dipenuhi dengan amal ibadat yang sah. Jangan pula buat ibadat bidaah.
Kita masuk ke syurga kerana rahmat dari Allah. Tidak layak untuk kita kata kita masuk syurga kerana amal kita. Tapi, dalam ayat ini, Allah yang beritahu kita yang Dia masukkan kita ke dalam syurga kerana apa yang kita telah kerjakan. Bagaimana nak kompromi dua perkara ini?
Itu bezanya – kita sendiri tidak boleh cakap begitu, tapi Allah berhak untuk mengatakannya, kerana Dia yang menentukan apa yang menjadi punca untuk memasukkan kita ke dalam syurga.
Sebagai perumpamaan, katakanlah seorang ayah menjual tanahnya kepada anaknya. Tanah itu berharga sejuta tapi dia jual sepuluh ribu sahaja dengan anak dia. Maka anak itu tidak boleh kata tanah itu berharga sepuluh sahaja kerana itu bukan harga pasaran. Tapi ayahnya kata: “Kau bagi sepuluh ribu, tanah itu kau punyalah”.
Ayat 73:
لَكُم فيها فٰكِهَةٌ كَثيرَةٌ مِّنها تَأكُلونَ
For you therein is much fruit from which you will eat.
“Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya”.
لَكُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ كَثِيرَةٌ
“Untuk kamu di dalamnya berbagai jenis buah-buahan,
Disebut ‘buah-buahan’ kepada bangsa Arab kerana mereka tinggal di tempat yang tidak banyak buah-buahan. Jadi, diberikan motivasi kepada mereka dalam bentuk perkara yang memang dipandang tinggi oleh mereka. Mereka amat suka kepada buah-buahan. Kita pun suka juga makan buah-buahan, bukan?
Dan buah-buahan itu amat banyak. Tidak akan berkurangan dan tidak ikut musim. Ini pun nikmat juga. Macam di dunia, selalunya buah itu ikut musim. Sebagai contoh, durian kena tunggu musim dia baru boleh kita nak beli. Kalau ada duit pun, tapi kalau musim belum sampai lagi, tidak boleh di mana-mana.
مِّنْهَا تَأْكُلُونَ
darinya kamu makan”.
Kalimat مِّنْهَا bermaksud kita boleh makan apa-apa sahaja buah yang ada di dalam syurga itu. Kita boleh pilih mana-mana buah yang kita suka. Dan tidak ada buah yang membahayakan. Kerana kalau dalam dunia, bukan semua buah boleh makan. Kalau makan durian pun, ada orang yang tidak boleh makan.
Dan kalau yang boleh makan pun, tidak boleh makan banyak sangat. Tapi di syurga nanti, tidak ada masalah langsung nak macam buah apa, berapa banyak pun.
Semua yang disebut di atas adalah sebahagian sahaja ‘bayang-bayang’ yang diberikan kepada kita tentang apakah yang kita akan dapat di syurga nanti. Pada hakikatnya tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan tepat. Seperti yang Allah firmankan dalam Sajdah:17
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
Apa yang ahli syurga akan dapat adalah berlebih-lebih lagi dari apa yang telah disebut dalam ayat-ayat Al-Quran. Sampaikan tidak dapat dibayangkan dengan mata dan difikirkan oleh akal. Yang diberitahu adalah sebagai motivasi kepada kita untuk berusaha beramal.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Alhamdulillah… terima kasih atas perkongsian ilmu.. mudah di fahami. Semoga Allah berkati usaha anda.
LikeLike