Tafsir Surah Ibrahim Ayat 6 – 8 (Kepentingan syukur dalam kenal Sunnah)

Ibrahim Ayat 6: Apakah cara dakwah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم إِذ أَنجٰكُم مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ وَيُذَبِّحونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [recall, O Children of Israel], when Moses said to his people, “Remember the favor of Allāh upon you when He saved you from the people of Pharaoh, who were afflicting you with the worst torment and were slaughtering your [newborn] sons and keeping your females alive. And in that was a great trial from your Lord.

(MALAY)

Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia menyelamatkan kamu daripada Fir’aun dan pengikut-pengikutnya, mereka menyeksa kamu dengan seksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cubaan yang besar daripada Tuhanmu”.

 

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم

Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Ingatlah nikmat Allah atasmu

Ada muqaddar pada kalimah إذ itu, iaitu pada kalimah ُأُذكُر (ingatlah). “Maksudnya ingatlah nikmat Allah ﷻ kepada kamu.” Ini adalah salah satu cara dakwah. Iaitu dengan mengingatkan orang lain dengan kebaikan dan jasa yang telah dilakukan. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan Bani Israil tentang nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka.

 

إِذ أَنجٰكُم مِّن ءآلِ فِرعَونَ

ketika Dia menyelamatkan kamu daripada Fir’aun dan pengikut-pengikutnya, 

Antara kebanyakan nikmat yang telah diterima oleh mereka, nikmat yang paling besar adalah mereka telah diselamatkan daripada keganasan Firaun. Sudah lama mereka diperhambakan oleh bangsa Qibti di bumi Mesir.

 

يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ

mereka menyeksa kamu dengan seksa yang pedih, 

Firaun telah mengazab mereka dengan azab yang teruk. Kalau العَذابِ itu pun kita sudah tahu ia teruk, tetapi Allah ﷻ tambah kalimah سوءَ untuk menekankan yang azab yang dikenakan kepada mereka itu memang amat teruk. Firaun telah mengaibkan mereka dengan menjadikan Bani Israil sebagai hamba di bumi Mesir selama lebih empat ratus tahun. Generasi demi generasi mereka telah ditindas dan diseksa. Ini pun sudah amat memalukan dan menyakitkan mereka. Akan tetapi yang lebih teruk adalah mereka itu ditindas di bawah pemerintahan Firaun. Malah bukan itu sahaja, ada lagi yang lebih teruk lagi yang akan disebut.

 

وَيُذَبِّحونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم

dan mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, dan membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; 

Amat teruk sekali Firaun itu sampai dia sanggup membunuh anak lelaki Bani Israil. Ini adalah kerana Firaun percaya bahawa ada anak lelaki dalam kalangan mereka yang akan menjatuhkannya, maka dia memberi arahan untuk membunuh semua anak lelaki pada waktu itu. Firaun bermimpi api merayap dari arah Baitul Maqdis dan kemudian membakar seluruh negeri Mesir dan bangsa Qibti. Anehnya Bani Israil tidak terbakar. Esoknya, Firaun mengumpulkan seluruh ahli nujum dan ahli sihir kerajaan.

Firaun bertanya erti mimpi yang dialaminya. Mereka mengatakan bahawa kelak akan lahir seorang anak lelaki daripada Bani Israil yang menjadi duri dalam kerajaan dan berakhir dengan kekalahan kuasa Firaun. Di atas petunjuk itu, Firaun telah memerintahkan seluruh tenteranya membunuh setiap bayi lelaki yang baru lahir dan hanya membiarkan bayi-bayi perempuan hidup.

Jika kita lihat pada kalimah يُذَبِّحونَ, ia bukanlah sembelih biasa. Apabila ada syaddah (sabdu) pada kalimah ini, ia bermaksud sembelih yang berkali-kali, bukan sekali sahaja sepertimana kita sembelih lembu korban. Maknanya mereka sangatlah kejam sampai mereka tarik dan tolak berkali-kali semasa menyembelih anak-anak lelaki itu. Maka kerana itulah pembunuhan ini dikatakan sebagai سوءَ العَذابِ.

Untuk anak-anak perempuan pula dibiarkan hidup, bukankah ini perkara baik? Sesekali tidak, kerana Firaun hendak jadikan perempuan-perempuan itu sebagai hamba dan gundik mereka. Apabila lelaki dibunuh maka yang tinggal adalah perempuan yang tentunya digunakan untuk meletakkan benih bangsa Qibti. Maka dia harap akan terhapuslah bangsa Israil selepas itu.

Ini lebih menyakitkan hati lagi – kerana kalau dibunuh anak lelaki, sekali sahaja sakitnya; tetapi sekiranya ibu bapa sentiasa dapat melihat anak perempuan mereka dijadikan hamba seks, sakit hati itu berterusan. Kerana inilah juga azab ini adalah سوءَ العَذابِ.

Maka nikmat Allah ﷻ ke atas Bani Israil, dengan bimbingan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dengan izin Tuhan, mereka telah dapat diselamatkan meninggalkan negeri Mesir itu, dan tenggelamlah Firaun dengan seluruh bala tentaranya di lautan ketika mereka mengejar. Hal ini disuruh mereka ingati selalu.

 

وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظيمٌ

dan pada yang demikian itu ada cubaan yang besar daripada Tuhanmu”.

Kalimah بَلاءٌ dalam ayat ini ada dua terjemahan. Ini adalah satu contoh bagaimana satu perkataan di dalam bahasa Arab boleh mempunyai dua maksud yang berlawanan.

1. Ia boleh bermaksud ‘ujian’. Maka apa yang dikenakan kepada mereka itu adalah ujian yang amat besar, merujuk kepada perhambaan mereka dan azab yang dikenakan oleh Firaun. Semua ujian sebenarnya datang daripada Allah ﷻ dan apa yang mereka dapat itu adalah amat berat.

2. Ia juga boleh diterjemahkan kepada ‘nikmat’. Ia merujuk kepada pembebasan mereka daripada azab yang dikenakan oleh Firaun itu. Maka itu nikmat besar bagi mereka.

Di sini Allah gunakan kalimat مِن رَّبِّكُم, bukan مِنَ اللهِ. Allah ﷻ menekankan sifat رَبِّ kerana setelah Dia mencipta dan menjadikan kita, Dia juga bertindak sebagai murabbi yang memberi tarbiyah kepada manusia. Maka segala ujian dan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada manusia adalah untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada kita.


 

Ibrahim Ayat 7: Sebelum ini disebut nikmat yang besar yang diberikan, maka apa yang perlu dilakukan? Kenalah bersyukur.

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when your Lord proclaimed, ‘If you are grateful, I will surely increase you [in favor]; but if you deny, indeed, My punishment is severe.’ “

(MALAY)

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

 

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, 

Kalimah تَأَذَّنَ bermaksud أخبر (memberi khabar). Iaitu menyampaikan perkhabaran dengan bersungguh-sungguh. Maka ini adalah maklumat yang amat besar daripada Allah ﷻ. Apakah ia? Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu satu kaedah yang amat besar. Ayat ini adalah ayat yang amat besar kepentingannya dan kerana itulah ada tambahan kalimah تَأَذَّنَ ini yang tidak ada pada ayat-ayat lain.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu Bani Israil yang mereka patut bersyukur kerana mereka dapat pengetahuan agama dan segala nikmat-nikmat yang lain. Sekiranya mereka bersyukur dengan nikmat yang ada, Allah ﷻ akan tambah lagi nikmat-nikmat itu.

Namun apakah nikmat yang utama dan paling besar? Itulah nikmat iman. Nikmat taat kepada Allah ﷻ. Nikmat kenal jalan Sunnah dan mengamalkan amat yang Tauhid dan Sunnah dan meninggalkan amalan yang syirik dan bid’ah. Ini memang nikmat yang paling besar. Bukan sahaja nikmat duduk dalam Islam, tetapi duduk di atas jalan Sunnah adalah nikmat yang lain. Ini kerana ramai sekali yang Muslim tetapi tidak kenal pun jalan Sunnah. Kalau kita bersyukur tentang hal ini, Allah ﷻ akan tetapkan kita di atas jalan ini dan berikan ketetapan kepada kita untuk kekal di atasnya.

Selepas itu barulah nikmat-nikmat yang lain. Namun nikmat seperti harta itu nikmat biasa sahaja (kalau dibandingkan dengan iman dan Sunnah) walaupun ramai orang gunakan ayat ini bab harta sahaja. Oleh itu, jika kita pun bersyukur atas nikmat-nikmat itu, Allah ﷻ akan tambah lagi nikmat itu. Maka perlu kenang segala nikmat yang banyak kita ada dan bersyukur dengan nikmat-nikmat itu. Jangan tahu hendak merungut sahaja, sebaliknya latih diri kita untuk bersyukur.

Bagaimana cara Allah ﷻ tambah nikmat itu? Sebenarnya Allah ﷻ tidak sebut apakah nikmat itu maka ia boleh jadi apa-apa sahaja yang Allah ﷻ hendak beri. Iaitu dengan beri lebih lagi nikmat, sama ada nikmat yang sama, atau nikmat yang lain. Nikmat itu ada banyak seperti harta, kesihatan, ilmu, kelapangan, ketenangan dan lain-lain. Atau Allah ﷻ kekalkan nikmat itu kerana nikmat tidaklah selalu kekal. Akan tetapi jikalau kita bersyukur, maka Allah ﷻ tidak tarik balik nikmat itu. Nikmat itu pastinya hebat dan pasti kerana kalimah yang digunakan adalah لَأَزيدَنَّكُم. Ada dua taukid (penekanan) iaitu huruf ل dan syaddah pada huruf ن. Maknanya Allah ﷻ pasti akan beri dan beri itu pula dengan nikmat yang hebat-hebat.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita menerima sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakapnya? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Oleh itu, di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh.

Oleh itu, dengan mentaati Allah ﷻ dan mengerjakan amalan soleh, maka kita boleh mendapat rezeki yang bertambah. Bukannya dengan cara kerja dan kerja sampai tidak ingat lagi benda yang lebih penting seperti agama, keluarga dan kesihatan. Ramai bukan yang tidak faham tentang hal ini? Mereka sibuklah bekerja dan bekerja sampaikan mengabaikan segala perkara lain. Yang mereka ingat hanya dunia dan dunia sahaja. Amat malang bagi mereka kerana mengejar keduniaan yang tidak akan puas. Sedangkan jikalau mereka faham wahyu, mereka akan sedar yang jikalau mereka bersyukur dengan rezeki yang Allah ﷻ berikan, Allah ﷻ akan tambah rezeki itu lagi.

 

وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ

dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Namun ingat, jika tidak mensyukuri, malah ingkar dengan nikmat yang telah ada, maka azab yang akan dikenakan adalah sangat dahsyat. Ini adalah tentang ‘kufur nikmat’. Iaitu mereka yang tidak menghargai nikmat-nikmat yang telah diberikan. Mereka dapat nikmat yang Allah ﷻ berikan tetapi digunakan untuk perkara maksiat. Contohnya dapat harta yang banyak tetapi digunakan untuk melakukan kezaliman, maksiat dan perkara-perkara lain yang dilarang dalam agama.

Satu lagi cara kufur nikmat adalah dengan tidak melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ. Maka mereka ini diancam dengan azab di dunia dan juga di akhirat. Kalau di dunia, Allah ﷻ boleh tarik nikmat itu balik. Atau, Allah ﷻ buatkan halangan untuk dia menggunakan nikmat itu. Sebagai contoh, duit banyak tetapi hanya boleh makan bubur sahaja kerana penyakit yang dihidapi. Atau, Allah ﷻ boleh kenakan dengan apa-apa sahaja musibah dan azab yang lain semasa di dunia lagi.

Cuma azab musibah yang dikenakan itu tidaklah ditekankan seperti janji nikmat. Kalau janji nikmat, Allah ﷻ gunakan kalimah لَأَزيدَنَّكُم sebagai penekanan. Akan tetapi apabila Allah ﷻ sebut azab bagi orang yang ingkar, ia adalah janji dalam bentuk biasa sahaja. Maknanya, ada kemungkinan orang yang kufur nikmat itu tidak dikenakan dengan azab kerana Allah ﷻ beri peluang kepadanya untuk bertaubat. Ini menunjukkan betapa kasihnya Allah ﷻ kepada hamba-Nya.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Hazaf ya mutakallim yang membawa maksud istimrar (berterusan) dan dawam (kebiasaan). Apabila disebutkan huruf ya mutakallim, ia menunjukkan tahawul (perubahan) dan putus. Bandingkan dengan perbincangan ini dalam [Sad: 8] .

Ini adalah ayat yang popular tetapi mungkin ramai yang kurang faham daripada sudut balaghah seperti yang sepatutnya. Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah عَذَابِي dengan zikru (dikekalkan) ya’ mutakallim.

Ramai yang kata azab yang dimaksudkan dalam itu adalah azab neraka tetapi sebenarnya ‘azab dunia’ yang dimaksudkan. Kita dapat tahu kerana ya mutakallim dikekalkan. Maksudnya azab yang tidak kekal, maka ia adalah azab dunia.

Dalilnya kita boleh lihat ayat Nahl: 112

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ
Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Mereka telah dikenakan dengan pakaian kelaparan dan ketakutan. Ini adalah kisah Negeri Saba’. Selepas Ratu Balqis sudah tiada, penduduk tempat itu tidak mengamalkan tauhid lagi. Mereka telah menjadi terlalu mewah dan akhirnya mereka telah menjadi malas. Mereka banyak menghabiskan masa dengan temasya dan berjalan melancong sahaja.

Akhirnya Allah ﷻ timpakan bala kepada mereka di mana empangan mereka yang hebat itu Allah ﷻ telah pecahkan. Maka negeri mereka menjadi mundur dan berada dalam kelaparan. Bukankah kelaparan dan ketakutan ini azab dunia? Allah ﷻ sebut dalam Taha: 124 yang Allah ﷻ akan berikan kehidupan yang sempit kepada mereka,

وَمَن أَعرَضَ عَن ذِكري فَإِنَّ لَهُ مَعيشَةً ضَنكًا وَنَحشُرُهُ يَومَ القِيامَةِ أَعمىٰ
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.


 

Ibrahim Ayat 8:

وَقالَ موسىٰ إِن تَكفُروا أَنتُم وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا فَإِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ حَميدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “If you should disbelieve, you and whoever is on the earth entirely – indeed, Allāh is Free of need and Praiseworthy.”

(MALAY)

Dan Musa berkata: “Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.

 

وَقالَ موسىٰ إِن تَكفُروا

Dan Musa berkata: “Jika kamu kufur,

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengulang kembali kata-kata Allah ﷻ berkenaan mereka yang kufur nikmat itu. Kalau mereka tetap juga, bagaimana? Adakah Allah ﷻ rugi? Tentu sekali tidak.

Di sini juga kita dapat belajar yang kalau tidak bersyukur, maka seseorang itu akan menjadi kufur. Kalimah شكر dan كفر pun lebih kurang, bukan? Maka tidak ada di tengah-tengahnya, kalau tidak syukur, maka kamu sebenarnya akan kufur. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Lihatlah di dalam ayat ini Allah ﷻ kata hendaklah bersyukur dan lawannya adalah kufur. Allah ﷻ suruh kita syukur dan jangan kufur. Maksudnya kalau tidak bersyukur, maka kufur. Akan tetapi yang ramainya dalam kalangan manusia adakah mereka syukur atau kufur? Allah ﷻ beritahu jawapannya di dalam Saba: 13

وَقَليلٌ مِّن عِبادِيَ الشَّكورُ
Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang berterima kasih.

Maknanya majoriti manusia tidak bersyukur. Kita pun tahu majoriti umat manusia adalah orang kafir, bukan? Kalau yang Muslim pun, mereka bukannya faham agama maka mereka pun tidak bersyukur. Ini kerana ramai dalam kalangan Muslim sebenarnya ‘non practicing Muslim’. Setakat nama sahaja Muslim tetapi tidak faham satu habuk pun pasal Islam. Kerana itu Allah ﷻ sebut dalam A’raf: 10 dalam bentuk lain pula,

قَليلًا مّا تَشكُرونَ
Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Adakah anda tahu perbezaan antara ayat Saba: 13 dan A’raf: 10? Dalam Saba: 13 ia berkenaan ramai manusia yang tidak bersyukur. Sedangkan di dalam A’raf: 10 ia tentang manusia yang sudah bersyukur tetapi sedikit sahaja. Mereka tidak banyak bersyukur dan menghargai segala pemberian yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Pemberian Allah ﷻ amat banyak tetapi mereka tidak mengenangnya dengan saksama. Mereka bersyukur lebih kurang sahaja. Maka ini mengajar kita supaya sekali lah kita memikirkan tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita ini supaya kita lebih menghargai apa yang Allah ﷻ telah berikan. Allah ﷻ mengingatkan kita banyak kali di dalam Al-Qur’an tentang syukur, seperti di dalam Nahl: 114

فَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَهُ حَلالًا طَيِّبًا وَاشكُروا نِعمَتَ اللهِ إِن كُنتُم إِيّاهُ تَعبُدونَ
Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.

Allah ﷻ berfirman dalam Dhuha: 11

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan

Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ dalam mentafsirkan ayat ini berkata:

“Sebarkanlah apa yang Allah ﷻ kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah ﷻ. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah ﷻ dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.”

Marilah kita melazimi berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Naml: 19

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh”.

أَنتُم وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا

kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya

Tidak kiralah seorang kufur, ataupun semua makhluk di dunia ini kufur kepada Allah ﷻ, adakah ini memberi kesan kepada Allah ﷻ?

Namun agaknya kenapa manusia tidak bersyukur? Allah ﷻ jelaskan di dalam Fatir: 5

فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ
maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

Manusia tidak bersyukur kerana mereka tertipu dengan keindahan dunia dan leka dengannya, dan kerana mereka tertipu dengan syaitan yang sentiasa menghasut mereka untuk lalai dengan dunia dan lupa kepada akhirat yang bermula dengan lupa kepada Allah ﷻ. Dunia dan syaitan adalah dua perkara yang selalu disebut-sebut di dalam Al-Qur’an sebagai penyebab manusia kufur dengan Allah ﷻ dan lupa kepada akhirat. Maka kita mestilah memahami hakikat dunia dan penipuan yang syaitan lakukan kepada kita supaya kita boleh selamat.

Kedua-dua perkara ini Allah ﷻ selalu sebut di dalam Al-Qur’an. Sekiranya kita selalu membaca Al-Qur’an dan memahaminya, maka kita akan ada peluang untuk menyelamatkan diri kita. Akan tetapi jikalau kita mengabaikan ajaran di dalam Al-Qur’an maka kita pastinya tidak akan selamat. Maka kerana itu kita mestilah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh mengambil pelajaran daripada Al-Qur’an yang kita sayang dan selalu baca ini.

Iblis sebenarnya sudah dapat agak yang ramai dalam kalangan manusia yang tidak akan bersyukur seperti disebut dalam A’raf: 17. Dia tidak sebut mereka tidak ‘beriman’ tetapi dia sebut manusia tidak akan ‘bersyukur’. Ini menunjukkan kepentingan syukur. Ia mengajar kita apa yang syaitan akan lakukan untuk menyesatkan manusia iaitu supaya jangan bersyukur.

وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ
Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

Di dalam ayat A’raf: 17 ini Iblis berjanji akan menyesatkan manusia dan dia sudah agak yang ramai manusia tidak akan bersyukur. Adakah dia berjaya? Ya dia berjaya seperti disebut dalam Saba: 20

وَلَقَد صَدَّقَ عَلَيهِم إِبليسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعوهُ إِلّا فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ
Dan sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman.

Semoga ini menjadi pengajaran kepada kita supaya kita tidak termasuk golongan yang berjaya ditipu oleh syaitan dan semoga kita menjadi sebahagian kecil golongan yang tetap bersyukur kepada Allah ﷻ.

 

فَإِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ حَميدٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.

Janganlah kamu rasa hebat. Allah ﷻ beritahu yang Dia tidak terkesan langsung dengan kekufuran kamu. Kerana Allah itu bersifat غَنِيٌّ. Maksud غَنِيٌّ adalah ‘tidak memerlukan’ (seperti orang kaya yang tidak memerlukan harta orang lain) dan tidak berhajat kepada makhluk. Sebaliknya kita yang berhajat kepada Allah ﷻ dalam setiap perkara.

Allah ﷻ tidak perlukan kesyukuran daripada kita semua. Allah ﷻ tidak perlukan langsung ibadah daripada kita. Maka seandainya kita semua kufur pun, tidak memberi kesan kepada Allah ﷻ. Lihatlah pengertian maksud ayat ini di dalam satu hadith Qudsi yang panjang,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا رَوَى عَنْ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَّهُ قَالَ يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلَّا مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلَّا مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلَّا مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضَرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئًا يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا يَا عِبَادِي لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ إِنْسَانٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلَّا كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ يَا عِبَادِي إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْرًا فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
Daripada [Abu Dzar] daripada Nabi ﷺ dalam meriwayatkan firman Allah ﷻ yang berbunyi: “Hai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan diri-Ku untuk berbuat zalim dan perbuatan zalim itu pun Aku haramkan di antara kamu. Oleh kerana itu, janganlah kamu saling berbuat zalim!
Hai hamba-Ku, kamu sekalian berada dalam kesesatan, kecuali orang yang telah Aku beri petunjuk. Oleh kerana itu, mohonlah petunjuk kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikannya kepadamu!
Hai hamba-Ku, kamu sekalian berada dalam kelaparan, kecuali orang yang telah Aku beri makan. Oleh kerana itu, mintalah makan kepada-Ku, nescaya Aku akan memberimu makan!
Hai hamba-Ku, kamu sekalian telanjang dan tidak mengenakan sehelai pakaian, kecuali orang yang Aku beri pakaian. Oleh kerana itu, mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya Aku akan memberimu pakaian!
Hai hamba-Ku, kamu sekalian senantiasa berbuat salah pada malam dan siang hari, sementara Aku akan mengampuni segala dosa dan kesalahan. Oleh kerana itu, mohonlah ampunan kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu!
Hai hamba-Ku, kamu sekalian tidak akan dapat menimpakan mara bahaya sedikit pun kepada-Ku, tetapi kamu merasa dapat melakukannya. Selain itu, kamu sekalian tidak akan dapat memberikan manfaat sedikit pun kepada-Ku, tetapi kamu merasa dapat melakukannya.
Hai hamba-Ku, seandainya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang belakangan serta manusia dan jin, semuanya berada pada tingkat ketaqwaan yang paling tinggi, maka hal itu sedikit pun tidak akan menambahkan kekuasaan-Ku.
Hai hamba-Ku, seandainya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang belakangan serta jin dan manusia semuanya berada pada tingkat kederhakaan yang paling buruk, maka hal itu sedikit pun tidak akan mengurangi kekuasaan-Ku.
Hai hamba-Ku, seandainya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang belakangan serta semua jin dan manusia berdiri di atas bukit untuk memohon kepada-Ku, kemudian masing-masing Aku penuhi permintaannya, maka hal itu tidak akan mengurangi kekuasaan yang ada di sisi-Ku, melainkan hanya seperti benang yang menyerap air ketika dimasukkan ke dalam lautan.
Hai hamba-Ku. sesungguhnya amal perbuatan kalian senantiasa akan Aku hisab (adakan perhitungan) untuk kalian sendiri dan kemudian Aku akan berikan balasannya. Barang siapa mendapatkan kebaikan, maka hendaklah dia memuji Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan barang siapa yang mendapatkan selain itu (kebaikan), maka janganlah ia mencela kecuali dirinya sendiri.”
(Sahih Muslim (4674))

Allah ﷻ tetap bersifat حَميدٌ (terpuji) sama ada ada orang puji Dia atau tidak. Sifat Allah ﷻ itu tidak memerlukan orang puji, baru Dia jadi terpuji. Allah ﷻ bukan seperti manusia (kalau tidak ada orang puji, dia tidak terpuji).

Kalau kita tidak ambil peluang puji Allah ﷻ, sudah ada makhluk lain yang memuji-Nya seperti para malaikat dan seluruh alam ini seperti langit, bulan, matahari, tanah, batu dan segalanya sentiasa memuji Allah ﷻ dan bertasbih.

Maka yang Allah ﷻ suruh kita puji Dia adalah untuk kebaikan bagi kita, kerana Allah ﷻ tidak perlukan pujian kita. Ini sama dengan ibadah-ibadah kita seperti solat dan puasa. Semua itu adalah kebaikan untuk kita, bukan untuk Allah ﷻ.

Kalau kita perhatikan, kalau Allah ﷻ sebut tentang sifat-Nya yang غَنِيٌّ (kaya), selalunya ia digandingkan dengan sifat حَميدٌ (terpuji). Ada apa dengan gandingan ini? Satu-satu sifat itu sendiri sudah hebat, namun apabila ia digandingkan, ia menambah kehebatan makna bagi nama-nama itu. Kalau kita perhatikan di dunia sekarang, kalau orang yang kaya, ramai yang tidak suka dan memandang sinis dalam benci kepada orang kaya. Ini kerana ramai orang dengki kepada orang kaya. Akan tetapi dengan Allah ﷻ berlainan. Walaupun Allah ﷻ itu amat kaya, namun kekayaan itu tidak menimbulkan kebencian, malahan mendapat pujian daripada makhluk. Ini kerana makhluk berharap bantuan daripada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 September 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Cabaran kepada Para Rasul) Part 1

Yusuf Ayat 110: Ini adalah Dakwa Keempat: Allah ‎ﷻ hendak beritahu, seteruk mana pun ujian yang datang, akhirnya orang Mukmin akan berjaya. Memang dalam menjalankan kerja dakwah, akan ada banyak ujian. Namun Allah ‎ﷻ hendak ingatkan bahawa seteruk mana pun ujian yang diterima di awal dakwah, kesudahannya adalah baik.

Ayat ini juga mengajar kita semua untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan kalaulah kita telah berdoa dan lambat dimakbulkan, jangan khuatir kerana ia akan tetap dimakbulkan – lambat atau cepat sahaja. Tidak semestinya terjadi terus apa yang kita hajati itu. Yang penting kita terus bersabar dan jalankan tugas dakwah kita.

Mengkaji Ayat 110 daripada Surah Yusuf menuntut ketelitian intelektual yang luar biasa kerana ia mengandungi dimensi makna yang sangat kompleks dalam tradisi tafsir dan linguistik.

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم قَد ڪُذِبُواْ جَآءَهُم نَصرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They continued] until, when the messengers despaired and were certain that they had been denied, there came to them Our victory, and whoever We willed was saved. And Our punishment cannot be repelled from the people who are criminals.

(MALAY)

Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah menyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.

 

حَتّىٰ إِذَا استَيأَسَ الرُّسُلُ

Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa

Kalimah حَتّىٰ jarang digunakan di permulaan ayat dan tidak sesuai selalunya dengan kaedah bahasa. Akan tetapi, Allah ‎ﷻ meletakkannya di sini memberi isyarat bahawa proses itu bukan tiba-tiba, tetapi mengambil masa yang lama. Lama sudah para Rasul itu berdakwah, namun kaum mereka tetap menentang. Bukan sehari dua mereka berusaha untuk menyampaikan kebenaran, tetapi lamaaaa sungguh.

Maka, ia memberi isyarat kepada kita betapa lama para Rasul itu menjalankan tugas menyampaikan dakwah tauhid dan mendidik masyarakat mereka. Mereka tidak mengabaikan daripada tugas mereka itu, حَتّىٰ (sehinggalah) sampai kepada situasi yang kita akan bincangkan ini.

Ada muqaddar dalam ayat ini. (Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, istilah Muqaddar (المُقَدَّر) merujuk kepada perkataan atau ayat yang tidak tertulis secara zahir (tersurat) dalam teks ayat, tetapi difahami kewujudannya berdasarkan konteks (tersirat) untuk melengkapkan makna ayat tersebut.) Muqaddar dalam ayat ini adalah: Para Rasul mendapat dugaan yang berlarutan dan tidak sampai-sampai lagi bantuan Allah ‎ﷻ kepada mereka. Bantuan itu lambat sangat, sampai para Rasul hampir putus asa.

Dan kita boleh kaitkan dengan ayat sebelum ini, أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)). Jadi, ancaman telah diberikan bahawa para penentang akan dikenakan azab yang besar. Namun bila? Para penentang itu telah dijanjikan dengan azab, tetapi yang mereka lihat tidak datang-datang pun azab itu? Mana azabnya? Bila tidak ada azab yang mendatang, lagilah mereka naik tocang! Mereka menjadi semakin berani dan semakin teruk menentang para Rasul. Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ sudah hampir dibunuh (setelah pemuka Quraisy membuat perancangan untuk menggabungkan semua kabilah kecuali kabilah Bani Hashim). Jadi, ada persoalan di sini dan ia dijawab di dalam ayat ini yang dimulakan dengan kalimah حَتّىٰ ini. Sehinggalah para Rasul telah hampir berputus asa.

Kalimah ‘hampir’ ini kita kena tambah kerana tidak mungkin para Rasul akan berputus asa dengan rahmat dan bantuan Allah ‎ﷻ. Inilah pendapat yang diketengahkan oleh Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ dengan memberikan hujah yang kuat. Kalau anda masih ingat, kalimah استَيأَسَ telah pernah digunakan di dalam Ayat 80,

فَلَمَّا ٱستَيـَٔسُواْ مِنهُ خَلَصُواْ نَجِيًّا‌
Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri

Di dalam Ayat 80 itu juga ia bermaksud ‘hampir’ hilang segala harapan. Tidak hilang kesemuanya. Kerana apa? Perhatikan kata abang besar mereka: أَو يَحكُمَ ٱللَّهُ لِى‌ (atau Allah memberi keputusan terhadapku). Maknanya dia berharap walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Al-Aziz) tidak melepaskan adiknya Bunyamin ketika itu, dia tetap hendak tinggal di Mesir, kerana entah nanti Al-Aziz akan berubah fikiran ataupun Allah ‎ﷻ menentukan sesuatu yang lain. Itu tanda dia masih berharap lagi. Tidaklah putus semua harapan. Kerana hati manusia boleh sahaja berubah, bukan? Entah Al-Aziz bukan lagi pemerintah, entah penjara penuh, entah berbagai kemungkinan boleh berlaku, selagi Bunyamin tidak mati, bukan?

Dan kata dasar bagi kalimah استَيأَسَ ada juga digunakan di dalam Ayat 87,

إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيـَٔسُ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلقَومُ ٱلكَـٰفِرُونَ
Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir

Perhatikan di dalam Ayat 87 ini, kalimah putus asa untuk orang kafir adalah يَاْيـَٔسُ sedangkan untuk para Rasul di dalam Ayat 110 ini adalah استَيأَسَ. Jadi ia tidak sama. Kalau orang kafir sahaja yang ada يَاْيـَٔسُ, maka tidak mungkin para Rasul ada يَاْيـَٔسُ pula. Mereka tidak akan ada putus asa sepenuhnya. Mereka (para Rasul) mungkin ada استَيأَسَ, tetapi tidak mungkin ada يَاْيـَٔسُ. Ini kerana haram hukumnya berputus asa daripada Allah ‎ﷻ.

Kalau hendak pening lagi, kita boleh lihat kalimah استَيأَسَ ini di dalam bentuk Wazan استفعل. Ini berlaku apabila ada penambahan است pada sesuatu kalimah asal. Berikut adalah penggunaan utama dan fungsi wazan ini:

1. Fungsi Utama: Menunjukkan Permintaan (الطَّلَبُ)

Ini adalah fungsi yang paling umum yang selalu digunakan dan kita selalu jumpa. Wazan ini digunakan untuk menunjukkan perbuatan meminta sesuatu daripada kata dasar tersebut.

Contoh:

Kata dasar: غَفَرَ (Ghafara) = Mengampuni. Setelah menggunakan wazan استفعل ia menjadi: اسْتَغْفَرَ (Istaghfara) = Meminta ampun (Memohon ampun).

Kata dasar: جَابَ (Jaba) = Menjawab. Setelah menggunakan Wazan استفعل ia menadi: اسْتَجَابَ (Istajaaba) = Meminta jawapan (Mengabulkan/Memakbulkan). Dalam bahasa kita selalu digunakan sebagai: mustajab.

2. Fungsi Kedua: Menunjukkan Perubahan Keadaan (الصَّيْرُورَةُ)

Wazan ini menunjukkan seseorang atau sesuatu itu menjadi atau berubah menjadi suatu keadaan yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَجَرَ (Hajara) = Batu. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi: اسْتَحْجَرَ (Istahjara) = Menjadi keras seperti batu / Membatu.

Kata dasar: حَلَبَ (Halaba) = Memerah susu. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi اسْتَحْلَبَ (Istahlaba) = Menjadi seperti susu / Mengeluarkan susu.

3. Fungsi Ketiga: Menunjukkan Anggapan/Keyakinan (Al-I’tiqad)

Wazan ini menunjukkan bahawa subjek menganggap objek mempunyai sifat yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَسُنَ (Hasuna) = Baik/Indah. Apabila menggunakan Wazanاستفعل ia menjadi: اسْتَحْسَنَ (Istahsana) = Menganggap baik / Memandang elok / Menyetujui. Dalam bidang Usul Fiqh, ada satu konsep yang dinamakan Istihsan.

Kata dasar: عُظْمَ (Uzhma) = Besar/Agung. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi: اسْتَعْظَمَ (Istazhama) = Menganggap besar / Mengagungkan.

Kalau kita lihat contoh penggunaan yang pertama, ia merujuk kepada permintaan. Ia tidak sesuai bagi استَيأَسَ di dalam Ayat 110 ini kerana takkan ada orang yang minta hendak menjadi putus asa pula, bukan? Jadi penggunaan yang kedua itulah yang sesuai, iaitu merubah kepada sesuatu yang lain. Maka, kalimah استَيأَسَ bermaksud mereka menuju kepada putus asa, tetapi belum lagi menjadi putus asa.

Kemudian, tidak disebut para Rasul itu hampir berputus asa dalam hal apa? Ia tidak disebut secara jelas di dalam ayat ini, jadi ia membuka kepada beberapa tafsiran. Ada beberapa kemungkinan.

1. Para Rasul itu hampir berputus asa dengan umat mereka. Nampaknya mereka tidak akan berubah, tipis sangat kebarangkalian mereka akan berubah dan beriman.

2. Kalau kita perhatikan sifat para Rasul itu, mereka selalunya merasa bersalah, seolah-olah mereka tidak cukup lagi berdakwah sampai kaum mereka beriman. Mereka putus asa dengan diri mereka sendiri. Mereka meletakkan diri mereka yang bersalah kerana mereka itu orang yang amat halus dan amat prihatin. Mereka mula memikirkan, kalaulah mereka boleh berikan segala mukjizat sebagai bukti yang diminta oleh kaum mereka. Ini disebut banyak kali di dalam Al-Qur’an, antaranya An’am:35

وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang jahil.

Allah ‎ﷻ tidak mahu ini terjadi kepada para Rasul. Allah ‎ﷻ mahu mereka terus berdakwah walaupun kepada orang yang tidak mahu terima pada mulanya. Kerana kalau sudah ada rasa hendak putus asa, apa yang akan berlaku dalam fikiran seseorang? Lemah semangat, tidak mahu lagi buat kerja, bukan? Kerana mereka rasa ia sudah sia-sia. Maka Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan para Rasul itu berterusan di dalam keadaan itu. Kerana itulah nanti kita akan bertemu selepas ini di mana Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak mahu mereka terus patah semangat. Allah ‎ﷻ tidak mahu para Rasul itu terus meninggalkan umat mereka. Tapi tidaklah Allah beri di awal.

Namun, bayangkan sejenak apa yang para Rasul terutama sekali Nabi Muhammad ﷺ harus lalui. Surah ini diberikan ketika baginda kehilangan dua tonggak/tongkat baginda iaitu isterinya yang tersayang Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan bapa saudara baginda Abu Thalib. Kaum baginda telah menolak baginda, sedangkan mereka itu bukan orang lain, malah orang yang sama yang menyanjung baginda dahulu tetapi sekarang menentang baginda dengan keras sekali. Baginda dihina, dimalukan, dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Apa perasaan baginda ketika itu? Tentunya berbaur dengan berbagai perasaan. Dalam baginda hendak menyelamatkan mereka, baginda ditolak dengan keras! Namun, adakah baginda dan para Rasul lain dibenarkan untuk berhenti berdakwah dalam keadaan begitu? Tidak! Allah ‎ﷻ suruh mereka pergi lagi dan lagi kepada kaum mereka, tidak ada hentinya. Dakwah tetap harus diteruskan walaupun kaum mereka telah menolak! Allahu Akbar! Begitulah kerja para pendakwah yang kita semestinya mengambil pengajaran dan semangat daripada mereka.

Apabila kita mengenang perjuangan Rasulullah ﷺ dan para sahabat, ia memberi pandangan yang berbeza tentang Al-Qur’an yang di tangan kita. Ia bukan datang dengan percuma, ia bukan datang dengan mudah. Ia dibayar dengan peluh dan air mata, malah dengan darah! Kita dapat percuma sahaja, itu pun kita buat tidak tahu sahaja, tidak mempelajarinya. Sedangkan para penerima pertama dahulu kena bermati-matian mempertahankannya. Sekarang bagaimana sikap kita terhadap Al-Qur’an yang agung ini?

Kaitan Ayat 110 dengan ayat sebelumnya: Di dalam ayat sebelum ini, kita telah membaca: أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)). Sekarang di dalam Ayat 110 ini kita sebenarnya baca apa yang terjadi sebelum itu, iaitu bagaimana para Rasul itu telah ditolak. Sebelum mereka yang menentang itu dikenakan dengan azab. Maka, kisah di dalam Ayat 110 ini datang sebelum kisah di dalam Ayat 109. Allah ‎ﷻ menceritakan detik-detik yang terjadi sebelum puak penentang itu dimusnahkan. Ia mengajar kita yang Allah ‎ﷻ tidak membiarkan para Rasul dan orang beriman terkontang-kanting tanpa bantuan. Dan Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan penentang Rasul itu selamat. Ya, bantuan mungkin lambat datang, tetapi ia tetap akan datang. Apabila ia datang pada ketika yang kritikal, maka ia lebih bermakna; kalau datang dari awal lagi, kesannya tidak sama.

Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa pertolongan-Nya diturunkan atas rasul-rasul-Nya semuanya di saat mereka dalam kesempitan dan menunggu pertolongan daripada Allah ‎ﷻ dalam waktu-waktu yang sangat genting. Iaitu ketika mereka hampir putus asa. Akan tetapi kalimah استَيأَسَ ini perlu dibincangkan kerana di dalam ayat ini ia dinisbahkan kepada para Rasul, bukan?

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai pandangan yang sangat mendalam mengenai kalimah استَيْأَسَ (istay’asa) dalam ayat ini. Beliau melihat ayat ini bukan sekadar cerita sejarah, tetapi sebagai sunnatullah (hukum alam) dalam perjuangan para Rasul dan orang beriman. Berikut adalah ringkasan tafsiran beliau yang dipetik daripada karya-karyanya seperti Majmu’ al-Fatawa:

1. Ada perbezaan antara “Putus Asa” Biasa dengan “استَيْأَسَ”

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menjelaskan bahawa penambahan huruf س dan ت pada perkataan يَئِسَ menjadi استَيْأَسَ menunjukkan puncak atau kesudahan sesuatu keadaan. Ini kerana di dalam bahasa Arab, penambahan huruf membawa kepada penambahan makna. Menurut beliau, para Rasul tidak pernah putus asa terhadap rahmat Allah ‎ﷻ. Jadi menurut beliau, maksud استَيْأَسَ di sini ialah para Rasul telah sampai ke tahap “putus harap terhadap kaumnya”. Mereka sedar bahawa selepas segala usaha dakwah dilakukan, kaum yang ingkar itu memang tidak akan beriman lagi.

2. Hubungan dengan Ujian yang Memuncak

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menekankan bahawa pertolongan Allah (نصرالله) hanya akan turun apabila keadaan sudah mencapai tahap paling kritikal. Beliau sering memetik ayat ini untuk menjelaskan bahawa:

    • Apabila bebanan ujian terasa sangat berat
    • Apabila musuh kelihatan sangat kuat
    • Apabila para Rasul merasa pengikut mereka mula goyah,

Pada saat itulah Allah ‎ﷻ mendatangkan pertolongan agar manusia sedar bahawa kemenangan itu murni datangnya daripada Allah ‎ﷻ, bukan atas kekuatan manusia semata-mata. Iaitu pada ketika manusia memang sudah rasa mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.

3. Tafsiran Mengenai Kebimbangan Rasul (ظَنّوا)

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan bahawa para Rasul itu Ma’sum (terpelihara) daripada bersangka buruk kepada Allah ‎ﷻ. Nanti kita bawakan dalil daripada riwayat A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang hal ini sebentar lagi. Beliau menafsirkan استَيْأَسَ dan ظَنّ dalam ayat ini sebagai: “Ketakutan manusiawi para Rasul bahawa ujian yang terlalu lama akan menyebabkan fitnah (kerosakan iman) kepada pengikut mereka yang lemah.” Mereka juga manusia, jadi mereka pun ada perasaan emosi kemanusiaan seperti orang lain juga.

4. Kaedah “Kesusahan Membawa Kemudahan”

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan Ayat 110 ini untuk membina kaedah dakwah: “Semakin gelap malam, semakin dekat waktu subuh.” Beliau berpendapat bahawa kemuncak keputusasaan para Rasul terhadap sokongan manusia adalah isyarat (tanda) bahawa pintu kemenangan daripada Tuhan akan segera terbuka. Sabar sedikit sahaja lagi.

Kesimpulan: Bagi Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, ayat ini adalah penawar bagi hati yang sedang diuji. Beliau mahu pembaca faham bahawa jika para Rasul yang paling mulia pun pernah melalui fasa “hampir hilang harapan terhadap manusia”, maka orang beriman biasa tidak seharusnya merasa pelik jika mereka juga diuji dengan perasaan yang sama sebelum datangnya kejayaan.

 

وَظَنّوا أَنَّهُم قَد كُذِبوا

dan mereka telah menyakini bahawa sesungguhnya mereka, mereka telah didustakan,

Frasa ini antara yang paling sukar untuk ditafsirkan kerana ia banyak wajah/bentuk, jadi ia membawa beberapa kebarangkalian makna. Pertama kalimah ظَنّوا (kalau mufrad: ظَنّ). Ada beberapa pendapat tentang siapakah yang ظَنّوا.

Sebelum lebih panjang, kita lihat apakah maksud kalimah ظنّ. Kata ظنّ dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna yang berbeza, dan penggunaannya dalam Al‑Qur’an datang dalam beberapa bentuk bergantung kepada konteks ayat. Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan dalam tafsirnya:

“Orang Arab kadang-kadang menamai yakin itu dengan ظَنَّ, sebagaimana juga mereka pernah menamai gelap dengan sadafah (صَدَفَة) dan terang dinamainya juga sadafah. Orang yang menyeru meminta tolong mereka namai shaarikh (صَارِخ), dan orang tempat memohonkan pertolongan itu kadang-kadang mereka namai shaarikh juga. Dan ada lagi beberapa perumpamaan pemakaian nama-nama yang lain, iaitu menamai sesuatu keadaan dengan lawannya.”

Para ahli bahasa menjelaskan bahawa ظنّ boleh merangkumi:

• keyakinan (yaqin)
• sangkaan kuat
• sangkaan lemah atau waham
• maksud mengira atau menganggap

Menurut al‑Rāghib al‑Aṣfahānī, “الظن اسم لما يحصل عن أمارة”, yakni ia merujuk kepada sesuatu kesimpulan yang terbina atas petunjuk atau tanda. Jika petunjuk itu kuat, ظنّ membawa makna ilmu atau keyakinan; jika lemah, ia tidak melepasi tahap tekaan. Di dalam Al‑Qur’an, ظنّ digunakan dalam beberapa makna utama:

A. Makna yakin. Contoh: ﴾الذين يظنون أنهم ملاقو ربهم﴿ Baqarah:46. Maksudnya “mereka yang yakin bahawa mereka akan bertemu Tuhan mereka”. Al‑Rāghib menyatakan bahawa ayat ini adalah “اليقين”, dan ia juga dihuraikan oleh para ulama lain sebagai ظنّ yang bermaksud ilmu dan yakin.

B. Makna sangkaan yang kuat tetapi tidak sampai yakin. Contoh: ﴾وظن أهلها أنهم قادرون عليها﴿ Yunus:24. Maksudnya “dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya). Di sini ظنّ bermaksud sangkaan kuat yang masih boleh tersilap.

C. Makna sangkaan lemah / waham. Contoh: ﴾إن نظن إلا ظنا وما نحن بمستيقنين﴿ Jathiya:32.  Maksudnya “Kami tidak mengetahui apa hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali menyakininya“. Di sini menunjukkan ظنّ sebagai tekaan tanpa kepastian.

D. Makna ‘mengira’ atau ‘menyangka’. Contoh: ﴾إنه ظن أن لن يحور﴿ Insyiqaq:14. Maksudnya “Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).” Ini adalah penggunaan yang paling lemah sekali.

Ringkasnya, ظنّ dalam Al‑Qur’an tidak selalu bererti ‘sangka’ semata‑mata, tetapi berubah mengikut kekuatan dalil dan konteks ayat. Ulama menjelaskan bahawa ia boleh bermakna keyakinan penuh, sangkaan kuat, atau sangkaan lemah — dan semua bentuk ini digunakan dalam Al‑Qur’an dengan kehalusan makna yang berbeza. Dan oleh kerana tafsir bagi ayat ini nanti mempunyai pelbagai makna, ia berubah-ubah mengikut konteks; ia salah satu daripada tiga:

    • Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian.
    • Keyakinan
    • sangkaan kaum bahawa para Rasul telah berdusta

Kalimah ظَنّوا bermaksud ‘mereka sangka’. Akan tetapi siapa pula ‘mereka’ itu? Ia tidak disebut dan ia membuka kepada beberapa interpretasi. Jadi kalimah ظَنّوا  itu boleh jadi bermaksud:

1. Para Rasul itu sangka, atau
2. Umat itu sangka. Dan umat ini boleh jadi orang kafir atau boleh juga jadi orang beriman. Iaitu selain daripada para Rasul itu.

Kemudian ada pula perbincangan tentang pelbagai makna bagi kalimah كُذِبوا. Ini pun perbincangan yang sukar kerana ia melibatkan bahasa juga. Ia pula ada dua qira’at yang sahih dan kerana itu ia boleh memberi berbagai makna dan kita cuba sebutkan di sini sebagai bandingan. Ada 4 perbezaan maksud:

1. Sampai mereka (Para Rasul) rasa yang mereka telah didustakan oleh Allah ‎ﷻ kerana lambat sangat bantuan sampai kepada mereka. Ini adalah tafsiran pertama. Ini semua adalah sangkaan dalam hati mereka sahaja. Kita boleh katakan ia adalah ijtihad para Rasul itu daripada pembacaan mereka. Dan ulama’ juga ada berijtihad, bukan? Akan tetapi ijtihad ulama’ dan ijtihad para Rasul tidak sama. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan mereka di dalam ijtihad yang salah. Kerana itu, setelah mereka rasa putus asa, Allah ‎ﷻ akan menyelamatkan mereka.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan tafsiran ini tidak sesuai disandarkan kepada para Rasul. Oleh itu, tafsir yang lebih baik bukanlah mereka rasa didustakan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi oleh pengikut-pengikut mereka. Ini kita akan bincangkan dalam tafsiran yang lain. Mereka takut kalau keadaan teruk sangat, maka mereka yang beriman itu pun meninggalkan mereka. Ini seperti disebut dalam satu riwayat:

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَايِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّهَا قَالَتْ لَهُ وَهُوَ يَسْأَلُهَا عَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى‏:‏ ‏{‏حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ‏}‏ حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا – أَوِ كُذِّبُوا؟ قَالَتْ عَايِشَةُ: كُذِّبُوا. قَالَ قُلْتُ: فَقَدِ اسْتَيْقَنُوا أَنَّ قَوْمَهُمْ كَذَّبُوهُمْ فَمَا هُوَ بِالظَّنِّ؟ قَالَتْ: أَجَلْ لَعَمْرِي لَقَدِ اسْتَيْقَنُوا بِذَلِكَ‏.‏ فَقُلْتُ لَهَا: {وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا}؟ قَالَتْ: مَعَاذَ اللَّهِ، لَمْ تَكُنِ الرُّسُلُ تَظُنُّ ذَلِكَ بِرَبِّهَا‏.‏ قُلْتُ: فَمَا هَذِهِ الآيَةُ؟ قَالَتْ: هُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُلِ الَّذِينَ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَصَدَّقُوهُمْ، فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْبَلاَءُ، وَاسْتَأْخَرَ عَنْهُمُ النَّصْرُ، حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ مِمَّنْ كَذَّبَهُمْ مِنْ قَوْمِهِمْ، وَظَنَّتِ الرُّسُلُ أَنَّ مَنْ آمَنَ بِهِمْ قَدْ كَذَّبُوهُمْ، جَاءَهُمْ نَصْرُ اللَّهِ عِنْدَ ذَلِكَ‏.‏
Daripada Ibnu Syihab (al-Zuhri) yang berkata: Telah menceritakan kepadaku Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, bahawa beliau (Urwah) pernah bertanya kepada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang firman Allah: “Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (berputus asa)…” (Surah Yusuf: 110). Urwah bertanya: “Adakah ia dibaca كُذِبُوا [Kuzibu] (mereka didustai) atau كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka berdusta)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Bahkan ia dibaca كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka telah didustakan oleh kaumnya).” Urwah berkata: “Aku bertanya lagi: Bukankah para Rasul itu telah yakin bahawa kaum mereka mendustakan mereka? Jadi mengapa ia disebut sebagai Zan (dugaan/sangkaan)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Benar, demi umurku, mereka sememangnya telah yakin akan hal itu (bahawa kaum mereka mendustakan mereka).” Urwah berkata lagi: “Lalu bagaimana pula dengan (bacaan lain) Kuzibu (tanpa sabdu – yang bermaksud para Rasul menyangka mereka telah dibohongi oleh janji Allah)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Maha Suci Allah (Aku berlindung dengan Allah)! Tidak mungkin para Rasul mempunyai sangkaan sedemikian terhadap Tuhan mereka.” Urwah bertanya: “Jadi, apakah maksud ayat ini sebenarnya?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjelaskan: “Mereka (yang dimaksudkan dalam ayat itu) adalah para pengikut Rasul yang beriman kepada Tuhan mereka dan membenarkan (dakwah) Rasul mereka. Namun, ujian dan bencana menimpa mereka dalam tempoh yang sangat lama, manakala pertolongan Allah terasa lambat sampai kepada mereka.

(Sahih al-Bukhari No. 4695)

Namun begitu, untuk menolak Qira’at كُذِبُوا pun agak tidak patut kerana ia juga adalah mutawatir dan ia dinisbahkan kepada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Jadi kita tidak boleh tolak begitu sahaja. Oleh itu, kita kena tafsirkan dengan pemahaman yang sesuai bagi para Rasul. Para Rasul tidak akan putus asa dengan Allah ‎ﷻ kerana mereka percaya kepada janji kemenangan daripada Allah ‎ﷻ. Namun, yang ‘menipu’ mereka adalah kiraan mereka sendiri, iaitu ijtihad mereka. Kita ambil contoh kisah Perjanjian Hudaibiyah.

Para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah pada Tahun 6 Hijrah. Ini tidak lama selepas Perang Ahzab berlaku. Jadi, bayangkan baru sahaja bertemu musuh, sekarang pergi ke tempat musuh pula! Tapi kenapa mereka melakukannya? Kerana Rasulullah ﷺ telah bermimpi menunaikan ibadah Umrah. Namun, alangkah terkejutnya baginda dan para sahabat kerana apabila mereka hampir tiba, mereka telah dihalang. Dipendekkan cerita, terjadilah Perjanjian Hudaibiyah. Ketika akan termeterainya perjanjian itu, ramai sahabat tidak berpuas hati, termasuklah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, kerana bukankah Rasulullah ﷺ telah bermimpi dan mimpi itu benar? Kenapa kena tunduk kepada kehendak musuh pula?

Jadi memang benar Rasulullah ﷺ telah bermimpi menunaikan Umrah dan pasti Allah ‎ﷻ akan menjadikan itu kepastian. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun bila. Jadi perkiraan Rasulullah ﷺ yang tersilap. Maka Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fath:27

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
“Demi sesungguhnya, Allah tetap membuktikan mimpi Rasul-Nya itu benar: Bahawa sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjidil Haram – insya-Allah – dalam keadaan aman (dengan mencukur kepala kamu, dan ada yang menggunting rambutnya), serta kamu tidak merasa takut (akan serangan musuh). Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak ketahui, lalu Dia menjadikan sebelum (terlaksananya mimpi) itu satu kemenangan yang dekat (iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan pembukaan Khaibar).”

Maka tidak salah kalau para Rasul mempunyai sangkaan bahwa mereka telah didustakan. Bukanlah mereka tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ, namun oleh kerana terlalu lama, hati mereka pun boleh goyang juga. Ini kerana fikiran (عقل) lain, hati (قلب) lain. Perhatikan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila meminta Allah ‎ﷻ menunjukkan bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Perhatikan Baqarah:260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan iman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda sanggup masuk ke dalam api, baginda sanggup meninggalkan anaknya di padang tandus Mekah, baginda sanggup menyembelih anak kesayangannya sendiri. Akan tetapi iman itu di minda; yang baginda minta adalah supaya hatinya juga tenang. Jadi, minda dan hati tidak sama. Para Rasul itu semuanya yakin dengan janji Allah ‎ﷻ, tapi hati mereka berbolak-balik.

 

Untuk lihat tafsiran lain, sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 5 (Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

KISAH NABI MUSA عليه السلام

Ibrahim Ayat 5: Ayat mithal tafsili (terperinci) iaitu Allah ﷻ beri contoh dengan sebut nama Nabi ﷺ. Sekarang disebut tentang Nabi Musa عليه السلام. Ayat 5 sehingga ayat 8 adalah Perenggan Makro ke 2. Ia menyentuh tentang Syukur dan Kufur dan pembalasan kepada kaum Nabi Musa عليه السلام.

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا أَن أَخرِج قَومَكَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ وَذَكِّرهُم بِأَيّٰمِ اللهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly sent Moses with Our signs, [saying], “Bring out your people from darknesses into the light and remind them of the days¹ of Allāh.” Indeed in that are signs for everyone patient and grateful.

  • Days of blessings bestowed upon the Children of Israel. Also interpreted as days of punishment and destruction of the former nations.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya): “Keluarkanlah kaummu dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur.

 

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami,

Allah ﷻ sekarang menarik perhatian kita kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Banyak kali kisah baginda disebut dalam Al-Qur’an kerana perjuangan baginda ada banyak persamaan dengan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, ada banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Terutama sekali kisah tentang kesabaran baginda melayan kerenah kaum yang paling teruk. Maka ia menjadi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ mengenangkan ujian yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Daripada (Abdullah Ibn Mas’ud) dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah ﷺ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membahagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah ﷺ.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih daripada ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
(Sahih Bukhari (1759))

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu diperkenalkan lagi kerana banyak sekali kisah-kisah baginda dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan membawa wahyu daripada Allah ﷻ untuk disampaikan kepada Firaun, bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Kisah baginda disebut di 136 tempat di dalam Al-Qur’an dan kisah musuhnya Firaun pula disebut di 74 tempat. Ini adalah kerana dakwah baginda yang berat dan musuh baginda juga hebat. Betapa teruknya Firaun sampai mengaku tuhan yang tidak pernah dilakukan oleh manusia lain.

Selain itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga berhadapan dengan Bani Israil yang semua sangatlah teruk dan kaum yang degil. Kisah baginda banyak diceritakan supaya menjadi pengajaran bagi Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai umat baginda. Cuma di dalam surah ini kisah baginda tidak panjang kerana di tempat lain sudah ada banyak kisah yang panjang.

Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul, begitu juga dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ diutuskan kepada kaumnya dan menyampaikan kitab wahyu di dalam bahasa kaumnya, maka begitu jugalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan ajaran wahyu di dalam bahasa kaumnya juga. Baginda diutuskan kepada Bani Israil dan baginda tidak datang dakwah kepada mereka dengan tangan kosong. Baginda datang dengan membawa tanda: sama ada dalam bentuk wahyu dan juga dalam bentuk mukjizat.

Allah ﷻ juga telah menghantar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tanda-tanda kebesaran-Nya, iaitu dengan membawa mukjizat sebagai tanda kenabian baginda. Banyak sekali mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Allah ﷻ sebut baginda diberi dengan 9 mukjizat seperti disebut dalam Isra’: 101

وَلَقَد آتَينا موسىٰ تِسعَ آياتٍ بَيِّناتٍ
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata

Apakah 9 mukjizat itu? Al-Qur’an memberikan keterangan terkait sembilan mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu tongkat, tangan yang memancarkan cahaya, taufan/banjir, belalang, kutu, katak, darah, laut yang terbelah, dan gunung (Sinai) diangkat.

Kisah tongkat baginda menjadi ular banyak disebut dalam Al-Qur’an, antaranya di dalam A’raf: 107

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ
Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Kemudian mukjizat tangan baginda yang bercahaya disebut dalam ayat seterusnya.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ
Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Allah ﷻ sebut lagi tanda-tanda lain dalam A’raf: 133

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Terbelahnya lautan disebut dalam Syuara’: 63

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

Terangkatnya Gunung Sinai disebut dalam Baqarah: 63

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu

 

أَن أَخرِج قَومَكَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

“Keluarkanlah kaummu daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang

Ini adalah arahan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga disuruh untuk mengeluarkan kaumnya daripada kegelapan syirik ke cahaya tauhid. Ini sama dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Cuma ada kelainan sedikit kerana untuk Nabi Muhammad ﷺ ayatnya لِتُخرِجَ النّاسَ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ. Kalau diperhatikan, untuk Nabi Muhammad ﷺ disebut النّاسَ sedangkan untuk Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut قَومَكَ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ diutus untuk setiap umat sedangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk kaumnya sahaja. Ini merangkumi Bani Israil dan juga bangsa Qibti yang ada Mesir pada ketika itu.

Allah ﷻ boleh sahaja mengatakan membawa kaumnya kepada hidayah, tetapi Allah ﷻ gunakan perumpamaan cahaya supaya kita senang faham. Kerana kita tidak suka gelap dan senang apabila berada dalam cahaya, bukan?

 

وَذَكِّرهُم بِأَيّٰمِ اللهِ

dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah”.

Kalimat أَيّٰمِ اللهِ (Hari-hari Allah ﷻ) merujuk kepada suka duka perjalanan hidup manusia di dalam sejarah. Kita sebagai manusia yang hidup di zaman kini hendaklah mengambil pelajaran daripada apa yang telah terjadi pada umat-umat terdahulu. Kerana itulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk mengingatkan Bani Israil tentang azab-azab yang Allah ﷻ telah berikan kepada kaum terdahulu yang ingkar. Itu adalah peristiwa-peristiwa yang telah terjadi di masa lalu. Allah ﷻ ingatkan tentang kaum yang ingkar dengan wahyu Allah ﷻ dan Nabi-nabi mereka dan mereka telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ, maka mereka pun perlulah beringat.

Diceritakan tentang mereka yang dimusnahkan dahulu, mudah mudahan hati mereka menjadi takut dan mahu ikut kebenaran. Ini adalah cara ‘fear motivation’ – mengubah orang dengan menakutkan mereka. Atau dalam istilah kita disebut takhwif duniawi.

Selain berita azab kaum terdahulu, ingatkan juga nikmat yang telah diberikan kepada kaum yang taat. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang sebegini kerana ada orang yang hanya mahu ikut apabila ditakutkan dengan azab dan musibah. Ada pula yang boleh ikut kalau diberikan berita-berita nikmat. Maka Allah ﷻ mengajak kepada kebenaran dengan pelbagai cara.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur.

Apa yang dibawa oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah tanda-tanda yang sepatutnya menjadi panduan kepada orang yang penyabar dan bersyukur. Orang yang mampu mengikut para Nabi adalah mereka yang sabar dan bersyukur sahaja. Dua sifat ini penting kerana mereka akan berdakwah dan dakwah memerlukan sabar. Semasa sabar itu, kena juga bersyukur kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ pilih mereka sebagai pendakwah kepada jalan Allah ﷻ.

Dengan ayat ini menarik fikiran kita kepada perjuangan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjadi i’tibar bagi ummat yang datang di belakangnya. Iaitu kejayaan sesuatu perjuangan ialah pertemuan di antara dua sikap yang sangat penting, pertama sabar dan kedua syukur. Di waktu bahaya datang menimpa, sabarlah! Kerana menderita dalam perjuangan itu tidaklah akan lama; ia akan berganti pula dengan yang menggembirakan. Sebaliknya jika datang hal yang menggembirakan hati, lekas-lekaslah bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan. Jelas sekali bahawasanya perjuangan hidup Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan setiap orang yang menempuh jalan hidup menuruti jejak Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu adalah perimbangan di antara kedua sikap inilah yang penting; di antara sabar dan syukur.

Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini diterangkan secara demikian dalam ayat, ialah agar ummat yang mengikuti Nabi Muhammad ﷺ pun bersikap demikian pula dalam membawa perjuangan agamanya, supaya mereka hidup dalam perimbangan di antara sabar dan syukur. Sebab hidup berjuang bukanlah semata-mata pahit saja; di samping pahit ada manisnya. Tidaklah angin akan tenang selalu; tiba-tiba di waktu angin sedang tenang-tenang, ribut besar akan tiba dengan tidak disangka-sangka. Kemudian terletak di dalam hati sendiri, terutama orang yang bertanggungjawab sebagai pemimpin. Kadang-kadang didatangkan dugaan, supaya jiwa menjadi kuat. Sesungguhnya kekuatan jiwa adalah yang sangat penting bagi orang Mukmin.

Kalimah sabar yang digunakan di dalam ayat ini adalah dalam bentuk mubalaghah (hyperbole) kerana kalimah yang digunakan adalah صَبّارٍ dengan adanya syaddah pada huruf ب. Maknanya kena kuat sabarnya, selalu sabar.

Begitu juga kalimah شَكورٍ adalah dalam bentuk mubalaghah juga keran kalimah yang biasa adalah شكر sahaja. Maknanya شَكورٍ itu adalah suruhan untuk banyak-banyak bersyukur, bukan syukur yang biasa.

Sabar

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Mereka ini adalah orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya dengan sabar. Kalimah صَبَرُ ini perlu dilihat daripada makna bahasa Arabnya kerana kalau menggunakan bahasa kita, mungkin kita tidak berapa faham. Dari segi syariat, صَبَرُ bermaksud terus melakukan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan Allah ﷻ walau apa pun terjadi. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tetapi mereka tetap sabar melakukannya kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah ﷻ.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Akan tetapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Soalan: bilakah perlu sabar? Ia hendaklah bermula sejak pertama kali ia berlaku. Kita selalunya melenting apabila sesuatu yang kita tidak suka terjadi, bukan? Namun dua tiga hari selepas itu barulah datang sabar. Ini tidak dikira sabar kerana itu adalah perkara normal bagi manusia (lama kelamaan apabila sudah terima hakikat, memang semua orang akan jadi sabar). Akan tetapi itu tidak dikira sebenarnya kerana Rasulullah ﷺ beritahu kita yang sabar itu dari mula-mula lagi,

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصَّبْرُ فِي الصَّدْمَةِ الْأُولَى
Daripada [Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Kesabaran itu ada pada saat pertama kali tertimpa (musibah) “.
(Sahih Bukhari (908))

Oleh itu sekiranya baru bersabar setelah lama masa berlalu, itu bukannya kerana Allah ﷻ lagi, tetapi kebiasaan manusia. Ia tidaklah mencabar sangat kalau sabar setelah lama ujian itu berlalu maka ia bukanlah sesuatu hebat sangat. Mukmin yang sebenar akan terus sabar dari mula lagi kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ. Mereka tahu yang Allah ﷻ suka kalau hamba-Nya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian daripada-Nya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Qalam: 48 tentang contoh orang yang tidak sabar,

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تَكُن كَصاحِبِ الحوتِ إِذ نادىٰ وَهُوَ مَكظومٌ
Maka bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Yang dimaksudkan adalah Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sabar dengan penolakan kaumnya. Maka ia menjadi contoh bagi kita untuk bersabar kerana Allah ﷻ. Kerana sabar itu kalau bukan kerana Allah ﷻ, ia tidaklah mendapat pahala. Semua orang boleh sabar sebenarnya. Namun sabar yang dituntut adalah kerana mencari redha Allah ﷻ.

Ramai orang boleh bersabar tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Sebagai contoh, seorang pencuri penyabar juga orangnya. Dia akan tunggu sehingga tuan rumah tidur, kemudian sabar untuk membuka pintu rumah orang itu. Kemudian sabar memilih benda-benda yang dia boleh ambil. Atau, bila masuk rumah tengok tidak ada apa yang boleh diambil, dia pun sabar juga dan berlalu pergi rumah orang lain pula. Ini bukanlah sabar terpuji, bukannya kerana mencari redha Allah ﷻ, bukan?

Allah ﷻ janjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

Di dalam ayat lain, Allah ﷻ beritahu yang Dia bersama orang yang sabar iaitu Anfal: 46

وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

 

Syukur

Hendaklah mereka bersyukur di atas nikmat Taurat yang telah diberikan kepada mereka. Itu adalah sebesar-besar nikmat. Kita mensyukuri sesuatu nikmat itu dengan menggunakannya untuk kebaikan. Maka, kita umat Islam ini pun sudah mendapat Al-Qur’an. Sekiranya kita tidak menggunakan Al-Qur’an ini untuk kebaikan, untuk mengurus hidup kita, sebagai pedoman dalam diri dan masyarakat dan juga negara, maka kita tidak dianggap mensyukuri nikmat itu sepenuhnya. Bayangkan, ada orang beri barang kepada kita, tetapi kita tidak menggunakannya, bagaimanakah itu?

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya. Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang akan disentuh lagi dalam ayat-ayat seterusnya.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

Maka kepada Bani Israil, maksud bersyukur kepada mereka adalah dengan menerima Taurat dan mengamalkannya. Untuk mengamalkannya, kenalah faham isi kandungan Taurat itu. Sama juga dengan kita, untuk mengamalkan Al-Qur’an, kena faham dulu isinya dengan mempelajari tafsir dan kemudian tadabbur ayat-ayatnya. Hendaklah selalu dibaca setiap hari.

Antara cara mensyukuri nikmat ilmu yang kita dapat dari mana-mana kelas agama atau daripada tafsir Al-Qur’an adalah dengan mengamalkannya. Bukan itu sahaja, ia hendaklah disampaikan kepada orang lain juga. Jika tidak diamalkan ilmu itu, maknanya orang itu dianggap kufur dengan nikmat ilmu itu.

Syukur itu bukan sahaja dilafazkan dengan mulut sahaja (sebut alhamdulillah, alhamdulillah) tetapi syukur itu bermaksud ikut dan taat kepada hukum Allah ﷻ. Maka kalau kita syukur, maka kita akan memperbanyakkan taat, memperbanyakkan ibadah kepada Allah ﷻ. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رضي الله عنها,

Nabi ﷺ berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda ﷺ: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah ﷻ telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda ﷺ menjawab:
يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”
(Riwayat al-Bukhari (4837))

Begitulah dua sifat yang seorang Mukmin mesti ada. Ini kerana hidup kita berputar antara sabar dan syukur. Ada masalah sabar, ada nikmat syukur. Kedua-dua ini baik bagi kita seperti disebut di dalam hadith,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 3 – 4 (Kepentingan faham wahyu)

Ibrahim Ayat 3: Sekarang disebut sifat orang kafir dan kenapa mereka kufur. Pertama mereka cintakan dunia dan kedua, mereka akan halang orang lain daripada kebenaran. Ketiganya, mereka cari kebengkokan di dalam Al-Qur’an.

الَّذينَ يَستَحِبّونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا عَلَى الآخِرَةِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللهِ وَيَبغونَها عِوَجًا ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ بَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who prefer the worldly life over the Hereafter and avert [people] from the way of Allāh, seeking to make it [seem] deviant. Those are in extreme error.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat, dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh.

 

الَّذينَ يَستَحِبّونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا عَلَى الآخِرَةِ

orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat,

Sekarang Allah ﷻ beri penjelasan siapakah yang kufar. Mereka itu lebih suka kehidupan dan kesenangan dunia daripada kelebihan di akhirat. Oleh kerana itu, mereka menjadi kafir. Sedarlah, sekiranya kita pun melebihkan dunia ini daripada akhirat, maka kita pun ada sifat mereka juga dan ini tidak patut ada dan amat bahaya.

Amat bahaya sekiranya kita mengaku Muslim, nama pun ada bau-bau Islam, tetapi kita ada sifat-sifat mereka. Amat bahaya kerana perkara ini ada dalam hati kita dan kita kena selidik dan tanya diri kita sendiri. Kalau kita ada perasaan dan kecenderungan begitu, maka itu sudah satu masalah besar dan kita perlu ubah diri kita. Allah ﷻ mengingatkan kita di dalam Tawbah: 55

فَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَلا أَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ
Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

Oleh itu, pengetahuan ini pertamanya untuk diri kita, untuk kita periksa diri kita; bukannya untuk kita gunakan hendak melabelkan orang lain. Maka jangan kita sewenang-wenangnya hendak kata orang lain ‘kafir’ atau tidak.

Manusia yang ingkar, mereka kalah dengan dunia. Mereka terlajak dalam kesukaan mereka terhadap dunia. Mereka lupa yang kehidupan di dunia ini adalah sekejap sahaja. Malang sekali benda yang sekejap inilah yang mereka terkejar-kejar dan suka sangat untuk dimiliki.

Bukanlah salah kalau kita hendak mencari dan menggunakan dunia, namun janganlah bangga sangat dengan kehidupan dunia sahaja sampai tidak hiraukan akhirat. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja – maka gunakanlah sekadar yang cukup itu sudah memadai. Janganlah kerana hendakkan dunia, sanggup membuat perkara-perkara bid’ah seperti mengambil upah menjadi tekong Tahlilah, Selamatan, Solat Hajat berjemaah dan lain-lain lagi.

Kalimah الدُّنيا daripada katadasar د ن و yang bermaksud dekat; lebih rendah; kurang; lebih berkemungkinan; dalam jangkauan; dunia ini. Maka dunia ini sebenarnya rendah jika hendak dibandingkan dengan akhirat. Namun ia adalah dalam jangkauan, senang didapati kerana di depan mata kita sahaja.

Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)

Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?

 

وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللهِ

dan menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah

Ini pula adalah sifat kedua orang kafir. Mereka bukan sahaja tidak mahu ikut agama, tetapi mereka mahu orang lain pun tidak ikut juga. Mereka halang orang lain daripada kebenaran, melalui pelbagai cara sehingga menyebabkan orang lain jadi keliru tentang agama Islam. Mereka dengki jika orang lain mahu kepada agama, kerana jika begitu, akan jelaslah yang mereka itu lain daripada orang lain. Sebagai contoh, mereka akan kata Islam adalah agama pengganas, mengamalkan hukum Hudud yang kejam dan sebagainya.

Maka mereka akan ajak orang lain pun jadi seperti mereka, supaya mereka tidaklah pelik jika dibandingkan dengan orang lain. Sekiranya semua masyarakat rosak seperti mereka, senanglah mereka hendak hidup dalam masyarakat itu. Namun bayangkan sekiranya masyarakat baik dan ikut agama, tetapi mereka tidak ikut agama, tentu mereka akan rasa canggung, bukan? Akan tetapi adakah mereka akan berjaya? Tidak sesekali, seperti disebut dalam Saf: 8

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ
Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Golongan agama pun ada menghalang manusia dari jalan Allah ﷻ. Ini bagi agamawan yang mengambil upah daripada masyarakat dalam menjadi tekong majlis-majlis bid’ah. Maka apabila ditegur kesalahan itu, mereka melenting dan menuduh kita yang hendak nasihat ini sebagai Wahabi dan sebagainya. Maka masyarakat pun menjadi takut untuk ikut jalan Sunnah kerana takut jadi Wahabi? Kenapa? Kerana asatizah yang tidak Sunnah itulah. Mereka takut pekung mereka terbuka kerana kita bongkarkan ajaran salah mereka, maka mereka label kita untuk menakutkan masyarakat. Mereka tidak membenarkan masyarakat dengar apa yang asatizah Sunnah hendak sampaikan, larang daripada mengajar di masjid/surau dan gunakan kuasa untuk menekan kita.

Bagaimana pula dengan kita? Kadangkala kita tidak perasan bagaimana kita menjauhkan orang daripada agama. Contohnya kita tidak mengajar agama kepada anak-anak, kita tidak beri contoh yang baik seperti solat dan baca Al-Qur’an di hadapan anak. Malah kita beri pula anak-anak itu dengan gajet yang semakin menjauhkan mereka daripada agama (dan kehidupan normal).

 

وَيَبغونَها عِوَجًا

dan mereka mencari di dalamnya kebengkokan.

Kalimah يَبغونَ daripada katadasar ب غ ي yang bermaksud melanggar; melepasi sempadan; bertindak tidak adil atau kurang ajar; berbohong; menindas sesiapa sahaja; memperlakukan secara tidak adil; benci; mencari; keinginan; mengingini; mahu; tidak suci; penzinaan; pelacuran;

Maksudnya orang-orang kafir itu mencari kebengkokan. Kebengkokan apa? Ada dua tafsiran di sini.

1. Mereka mencari perkara-perkara yang memusykilkan tentang agama (daripada Al-Qur’an dan Sunnah) dan mereka ceritakan kepada orang lain. Mereka pilih satu-satu topik yang boleh menyebabkan orang lain rasa tidak selesa dengan agama Islam ini. Ini adalah pendapat Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ.

Sebagai contoh, mereka serang Hukum Hudud dan mereka kata bahawa agama Islam ini tidak benar kerana bagaimana boleh potong tangan orang lain? Mereka gunakan hujah daripada akal mereka supaya orang yang lemah akal fikiran pun menjadi keliru dan terikut-ikut dengan cara mereka.

2. Mereka sudah ada satu fahaman sesat, kemudian mereka cari dalilnya di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Ini adalah pendapat Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ. Mereka bukannya mencari kebenaran, tetapi ‘pembenaran’. Mereka hendak cari dalil bagi menghalalkan fahaman sesat mereka. Sepatutnya mereka baca Al-Qur’an dan Sunnah kemudian ikut ajaran di dalamnya. Sebaliknya mereka ini buat yang bertentangan pula: mereka pegang fahaman dahulu, kemudian cari dalilnya. Ini adaah terbalik.

Mereka tentunya salahguna ayat-ayat Al-Qur’an dan Sunnah itu kerana mereka ini bukannya golongan belajar agama dengan betul. Maka mereka petik dan mereka goreng sampai kena dengan fahaman mereka. Namun memang tidak berkenaan langsung dengan fahaman sesat mereka. Ada banyak contohnya dan tidak terkira banyaknya. Antaranya sebagai contoh,

◦ Zikir dengan suara yang kuat berjemaah tidak ada diajar oleh Rasulullah ﷺ, tetapi bila ditegur, mereka cari hujahnya di dalam Al-Qur’an.

◦ Zikir menari, melompat, tergolek pun tidak ada tetapi bila ditegur, mereka cari juga hujah dalam Al-Qur’an.

◦ Homoseks haram, tetapi ada yang kata dalam Al-Qur’an sebut tentang Allah ﷻ akan bagi pemuda-pemuda sebagai pelayan. Maka golongan Kunyit ini kata itu Allah ﷻ bagi jantan untuk golongan homoseksual.

◦ Golongan Anti-Hadith lagi banyak menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk membenarkan fahaman sesat mereka.

◦ Tawasul dengan orang mati adalah haram dan syirik tetapi ramai yang menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai dalil tanpa melihat kepada ayat-ayat yang lain.

Akan tetapi bukankah ayat ini tentang orang kafir, bukan orang Islam? Jangan salah faham apabila Allah ﷻ sebut tentang kufur, ia hanya merujuk kepada orang kafir sahaja. Seperti kata Imam Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, kalau orang Islam pun ada sifat-sifat ini, mereka juga mendapat ancaman yang sama.

 

أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ بَعيدٍ

Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh.

Mereka yang bersifat seperti itu adalah mereka yang jauh daripada kebenaran. Apabila sudah tersasar jalan jauh sangat, tentu susah hendak kembali kepada pangkal jalan, bukan? Maka mereka itu susah untuk dibentuk dan susah untuk diberi hidayah lagi. Sekiranya Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup terus hati mereka (khatmul qalbi), mereka tidak akan ada peluang lagi untuk kembali. Tiada sesiapa yang boleh ajak dan dakwah mereka lagi.


 

CARA PENYAMPAIAN DAKWAH

Ibrahim Ayat 4: Ayat mithal (perumpamaan) secara ijmali (umum). Allah ﷻ beri mithal Rasul-rasul yang terdahulu (tanpa disebut nama mereka).

وَما أَرسَلنا مِن رَّسولٍ إِلّا بِلِسانِ قَومِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُم ۖ فَيُضِلُّ اللهُ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not send any messenger except [speaking] in the language of his people to state clearly for them, and Allāh sends astray [thereby] whom He wills¹ and guides whom He wills. And He is the Exalted in Might, the Wise.

  • i.e., those who refuse His guidance.

(MELAYU)

Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَما أَرسَلنا مِن رَّسولٍ إِلّا بِلِسانِ قَومِهِ

Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya,

Seperti yang kita telah tahu, Allah ﷻ telah turunkan ramai Nabi dan Rasul kepada umat-umat manusia. Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Rasul yang pertama. Apabila Allah ﷻ berikan Rasul kepada umat itu, Allah ﷻ bangkitkan Rasul itu dalam kalangan mereka, yang bercakap bahasa mereka. Untuk bangsa Arab, maka dibangkitkan Rasulullah ﷺ yang berbahasa Arab.

Maka setiap Nabi khusus menyampaikan risalahnya hanya kepada umatnya sahaja, bukan umat yang lainnya. Akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ mempunyai keistimewaan dengan keumuman risalahnya yang mencakupi semua manusia. Di dalam kitab Sahihain disebutkan sebuah hadith melalui Jabir yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ وَأُحِلَّتْ لِي الْغَنَائِمُ وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ
“Jabir bin ‘Abdullah berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun daripada Nabi-Nabi sebelumku; aku dibantu melawan musuhku dengan ketakutan mereka sepanjang sebulan perjalanan, bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan suci; maka di mana sahaja seorang laki-laki daripada ummatku mendapati waktu solat hendaklah dia solat. Dihalalkan harta rampasan untukku, para Nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia, dan aku diberikan (hak) syafa’at”.
(Sahih Bukhari (419))

Allah ﷻ mencipta manusia yang pertama Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian daripada baginda telah bercambah biak berbagai keturunan dan bangsa. Mereka tinggal berjauhan dan bahasa pun tentu berbeza kerana mereka tinggal berjauhan. Keperluan dan cara hidup juga berbeza. Tamadun pun berkembang dan kemajuan fizikal dan pemikiran pun berbeza dari zaman ke zaman. Allah ﷻ di dalam kebijaksanaan-Nya memberikan syariat yang sesuai bagi zaman itu.

Syariat boleh bertukar dan berkembang mengikut kesesuaian umat. Akhirnya Allah ﷻ bangkitkan Nabi Muhammad ﷺ dan diberikan dengan syariat yang terbaik, terlengkap dan boleh diterimapakai pada setiap zaman selepasnya sehinggalah ke Kiamat. Kerana itulah tidak ada keperluan lagi Allah ﷻ bangkitkan Rasul yang lain kerana agama sudah lengkap. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Maidah: 3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu.

Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah ﷺ,

عَنْ جَابِرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلِي وَمَثَلُ الْأَنْبِيَاءِ كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى دَارًا فَأَتَمَّهَا وَأَكْمَلَهَا إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ فَجَعَلَ النَّاسُ يَدْخُلُونَهَا وَيَتَعَجَّبُونَ مِنْهَا وَيَقُولُونَ لَوْلَا مَوْضِعُ اللَّبِنَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنَا مَوْضِعُ اللَّبِنَةِ جِئْتُ فَخَتَمْتُ الْأَنْبِيَاءَ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Perumpamaanku dengan Nabi-Nabi sebelumku adalah seperti orang membangun rumah, lalu disempurnakannya buatannya, kecuali sebuah sudut (belum terpasang) dengan sebuah bata. Maka masuklah orang banyak ke rumah itu. Mereka mulai kagum akan keindahannya. Lalu mereka berkata; ‘seandainya batu di sini sudah dipasang tentu bangunan ini menjadi lebih sempurna.’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maka akulah yang memasang bata itu, aku datang sebagai Nabi terakhir.”
(Sahih Muslim (4240))

 

لِيُبَيِّنَ لَهُم

supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.

Dibangkitkan Rasul yang tahu bahasa kaumnya supaya mereka dapat menjelaskan agama kepada kaum mereka dengan jelas. Hendaklah mereka baca wahyu yang sesuai dengan bahasa mereka, menggunakan bahasa yang mudah difahami kerana jika digunakan bahasa lain, nanti mereka tidak faham pula, dan kalau tidak faham, nanti boleh sahaja menjadi alasan pula untuk mereka tidak ikut (“Bagaimana kami hendak ikut, kami tidak faham pun apa dia cakap?”).

Kenapa ini penting? Kerana tujuan wahyu diberikan adalah untuk bagi umat faham. Kalau umat tidak faham, apa gunakan dakwah? Kalau orang Arab diberikan dengan kitab wahyu dalam bahasa Jepun, apa pula kata mereka? Tentulah mereka ada alasan untuk menolak wahyu itu, bukan? Allah ﷻ berfirman di dalam Dukhan: 58

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Qur’an dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

Oleh kerana itulah selalunya para Rasul diangkat daripada kaum itu sendiri kerana dia tahu bahasa kaum itu. Cuma ada pengecualian bagi Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda dari Iraq tetapi baginda telah berhijrah dan menjadi Rasul ke Syria. Namun baginda kemudian telah mengahwini wanita Syria maka bahasa Syria menjadi bahasanya dan baginda menyampaikan dakwah di dalam bahasa kaum itulah juga.

Mungkin timbul persoalan: kenapa wahyu untuk kita dalam bahasa Arab juga (bukan bahasa Melayu?) Kita kena faham, kita diberikan dengan wahyu dalam bahasa Arab walaupun kita berbahasa Melayu, kerana kita masih boleh faham lagi Al-Qur’an itu dengan terjemahan. Lihatlah sekarang kita baca tentang Al-Qur’an pun sudah boleh faham walaupun ramai antara anda yang tidak tahu bahasa Arab pun. Ini adalah kerana bahasa Arab itu boleh diterjemahkan dan boleh dijelaskan kepada orang yang tidak tahu bahasa Arab.

Walaupun Rasulullah ﷺ itu Rasul bagi setiap umat, tetapi Allah ﷻ tetapkan wahyu terakhir (Al-Qur’an) di dalam satu bahasa sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja memberikan terjemahan Al-Qur’an itu di dalam semua bahasa yang ada pada waktu itu (beratus bahasa atau mungkin beribu). Namun ini tidaklah sesuai dengan kesatuan umat pula. Kalau sudah Al-Qur’an dalam banyak bahasa, lagilah teruk kita jadinya. Sekarang dalam satu bahasa pun kita berpecah, apatah lagi kalau banyak bahasa?

Lagi pun bahasa Arab adalah bahasa terbaik. Ia adalah bahasa yang amat kaya yang mempunyai lenggok bahasa yang hebat untuk memudahkan penerangan tentang agama ini kepada manusia. Kita yang baru mula belajar bahasa Arab pun boleh nampak keindahan bahasa Arab ini. Malah Lauh Mahfuz pun ditulis di dalam bahasa Arab seperti disebut dalam Burooj: 21-22

بَل هُوَ قُرءآنٌ مَّجيدٌ
Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al-Qur’an yang mulia,

في لَوحٍ مَّحفوظٍ
yang (tersimpan) dalam Lauh Mahfuzh.

Maknanya Al-Qur’an ini sudah tersedia ada di Lauh Mahfuz sebelum ia diturunkan ke langit dunia. Sebagaimana ia diturunkan di dalam bahasa Arab, kita juga boleh katakan yang ia juga di dalam bahasa Arab semasa di Lauh Mahfuz juga. Ada juga yang kata bahasa Arab adalah bahasa yang digunakan di syurga berdasarkan hadith. Akan tetapi kedua-dua hadith itu tidak kuat. Hadith itu adalah,

أَنَا عَرَبِيٌّ وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ وَلِسَانُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ
“Aku seorang Arab, al-Qur’an di dalam bahasa Arab dan lidah (bahasa) ahli syurga adalah bahasa Arab.”

Hadith di atas adalah dikatakan riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Satu lagi daripada Abdullah bin Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا iaitu:

أُحِبُّ الْعَرَبَ لِثَلاَثٍ: لِأَنِّي عَرَبِيٌّ ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ ، وَكَلَامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ
“Aku mencintai Arab kerana tiga perkara: Kerana aku adalah Arab, al-Qur’an di dalam bahasa Arab dan ucapan ahli syurga adalah bahasa Arab.

Namun begitu memang lebih eloklah sekiranya dapat belajar bahasa Arab sendiri supaya kita lebih dapat memahami Al-Qur’an apabila kita baca sendiri. Walau bagaimanapun, seandainya kita tidak tahu bahasa Arab sangat, tetapi kita sama faham sahaja dengan Al-Qur’an setelah diterjemahkan dan ditafsirkan. Ia tidak susah untuk difahami asalkan mahu buka hati untuk memahaminya.

Begitulah, kalau kita belajar, kita mungkin akan menjadi lebih faham daripada orang Arab yang tidak belajar. Ini adalah kelebihan yang Allah ﷻ letakkan pada bahasa Arab. Kerana bahasa Arab adalah bahasa yang kaya dan boleh menceritakan sesuatu perkara dengan mendalam walaupun dengan perkataan yang ringkas.

Selalu Allah ﷻ tekankan tentang Al-Qur’an di dalam bahasa Arab ini, padahal semua orang sudah tahu Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab. Ia adalah bahasa yang kaya dan tepat. Kalau dibandingkan bahasa Melayu kita dan bahasa Arab, amatlah miskin bahasa kita ini. Kerana itulah Allah ﷻ pilih untuk menurunkan Kitab Wahyu terakhir di dalam bahasa Arab.

Sudahlah Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab yang kaya dan tepat, menggunakan pula bahasa Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah. Namun kena ingat yang bahasa Arab yang digunakan dalam percakapan harian sekarang tidak sama dengan bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ini kerana bahasa Arab percakapan bangsa Arab telah melalui proses perubahan. Sepertimana bahasa percakapan kitalah juga, tidaklah sama dengan zaman Kesultanan Melaka dulu, bukan? Maka bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an itu lebih tinggi nilainya dan kehebatannya. Bahasa Arab yang di dalam Al-Qur’an ini adalah bahasa Arab klasik. Sebab itulah orang Arab pun kena belajar tafsir juga walaupun Al-Qur’an itu di dalam bahasa mereka.

Maka kenapa Allah ﷻ sebut Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, sedangkan ia diberikan kepada orang bangsa Arab yang bercakap Arab. Ini sebagimana kita hadiahkan anak kita novel Melayu kemudian beritahu dia, “Ha ini ayah belikan novel dalam bahasa Melayu untuk awak.” Kenapa lagi perlu diberitahu?

Allah ﷻ beritahu kerana hendak menekankan yang Dia berikan wahyu itu dalam bahasa yang mereka faham. Allah ﷻ tidak beri dalam bahasa langit, atau bahasa yang pelik-pelik. Kalau bagi bahasa yang mereka tidak faham, tentulah susah mereka. Yang hendak disampaikan adalah wahyu ini untuk mereka fahami, untuk mereka senang amalkan. Allah ﷻ telah mudahkan kerana Allah ﷻ hendak mereka faham.

Akan tetapi bagaimana dengan kita yang orang Melayu ini? Maka sebenarnya sudah menjadi wajib belajar bahasa Arab. Kerana kita wajib faham Al-Qur’an dan kerana Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maka jatuh wajib untuk kita mempelajari bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an. Ini adalah kerana ada kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب (Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib).

Belajar bahasa Arab asalnya tidaklah wajib kerana ia bukan bahasa kita. Namun ia menjadi wajib kerana bersabit dengan keperluan memahami Al-Qur’an. Ini adalah sepertimana wudhu’ yang hukum asalnya juga tidaklah wajib. Namun untuk mendirikan solat yang wajib yang tidak akan sempurna tanpa wudhu’, maka hukum wudhu’ itu pula bertukar menjadi wajib.

Saya tahu ramai yang mengeluh. Namun saya bukanlah saya menyeru anda terpaksa memanjat gunung Everest. Ini hanya belajar bahasa Arab sahaja. Berjuta-juta orang yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab yang sudah melakukannya. Ia antara mahu atau tidak, rajin atau tidak, tahu kepentingan Al-Qur’an atau tidak, mahu masuk syurga atau tidak. Itu sahaja. Ia juga memerlukan kesabaran seperti firman Allah ﷻ dalam Insan: 23-24

إِنّا نَحنُ نَزَّلنا عَلَيكَ القُرآنَ تَنزيلًا
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur.

فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.

Ini kerana hendak belajar bahasa Arab kena sabar, untuk belajar tafsir pun kena sabar, untuk beramal dengannya pun kena sabar, dan kemudian untuk menyampaikan kepada masyarakat dan menghadapi penolakan mereka pun kena bersabar. Kuncinya adalah sabar, sabar, sabar dan sabar.

Namun bukanlah kita suruh tunggu sampai sudah tahu bahasa Arab baru boleh belajar tafsir. Itu entah berapa tahun pula kena tunggu. Pembelajaran Tafsir sekarang sudah dimudahkan kerana sudah banyak kitab-kitab tafsir di dalam bahasa Melayu dan guru-guru pun sudah banyak yang mengajar dalam bahasa Melayu. Cuma untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam maka perlu untuk anda mempelajari bahasa Arab. Allah ﷻ telah beritahu yang Dia permudahkan (bukan mudahkan) Al-Qur’an ini 4 kali disebut dalam Surah Qamar antaranya di dalam ayat 17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Maka janganlah pula kita mengeluh berkata Al-Qur’an ini sukar, bahasa Arab susah untuk dipelajari sebelum anda mula belajar. Memang untuk peringkat permulaan bolehlah menggunakan tafsir-tafsir dan belajar dengan guru-guru yang ada. Kerana sesuatu itu kena dimulakan dengan mudah dahulu. Memang kita tahu yang Al-Qur’an ini amat tinggi perbahasannya, namun kalau kita gunakan bahasa yang tinggi sangat dalam dakwah, takut ada yang tidak dapat faham pula. Kita kena ingat yang orang Quraish itu dulu ‘simple’ sahaja akal mereka. Maka, kena tunjuk yang mudah dilihat sahaja. Cubalah mudahkan dakwah dan ajaran kita kepada manusia kerana kalau kita guna bahasa tinggi sangat, mereka pun tidak faham dan nanti mereka akan cemuh kepada agama.

Maka, ada masa untuk lihat secara mendalam dan ada masa untuk mudahkan. Apabila mahu memperkenalkan agama kepada orang yang baru, mudahkan sahaja ajaran kita. Oleh itu, kalau kita sudah belajar sikit, boleh terus cerita tentang apa yang kita telah belajar itu kepada keluarga. Kita juga sudah boleh ajar kepada anak kita walaupun mereka itu budak-budak sahaja – ajar sekadar yang mereka boleh faham.

Ingatlah yang apabila hendak mula mengajar, tidak perlu tunggu bergelar ustaz, tidak perlu tunggu menjadi alim. Tidak perlu ada sanad baru boleh cerita kepada orang. Bila sudah semakin lama belajar, barulah lihat Al-Qur’an itu dengan secara mendalam. Apabila kita berusaha amalkan Al-Qur’an setakat yang kita sudah tahu, Allah ﷻ akan beri ilmu yang lain.

Sebenarnya pemahaman anda akan lebih cepat dan mantap apabila anda sudah mula mengajar. Ini kerana apabila anda mengajar, anda sebenarnya belajar dua kali. Anda akan mendalami sesuatu perkara itu kerana anda hendak mengajar. Maka pemahaman anda semakin tinggi jadinya. Ini bukan dalam bidang agama sahaja, malah dalam mana-mana bidang pun. Ia adalah jalan pintas untuk mendapat pemahaman yang lebih di dalam mana-mana topik.

Akan tetapi ingatlah yang hidayah ini perlu dicari, kena ada usaha. Memang kita minta hidayah setiap hari di dalam solat kita apabila kita baca Fatihah, tetapi adakah kita berusaha untuk mendapatkannya? Atau anda tunggu sahaja goyang kaki. Sekarang bandingkan dengan permintaan rezeki. Anda ada doa minta rezeki, bukan? Namun selepas anda berdoa, adakah anda goyang kaki sahaja tunggu rezeki? Tidak, bukan? Anda berusaha kerja atau meniaga. Bab rezeki tahu pula anda pergi cari, tetapi bab hidayah anda tidak mahu cari pula?

 

فَيُضِلُّ اللهُ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ

Maka Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Walaupun bahasa telah jelas, penerangan tentang wahyu telah diberikan, tetapi masih ada juga yang tidak mahu terima dan pilih untuk menjadi sesat juga. Allah ﷻ sesatkan sesiapa yang Dia mahu, kerana orang itu juga yang mahu sesat. Mereka menjadi sesat kerana mereka degil untuk terima kebenaran. Ini kerana untuk dapat keimanan dan kefahaman, perlu ada kehendak dalam diri itu dahulu, baru boleh terima.

Sekiranya degil tidak mahu diajar, tentu tidak akan dapat hidayah. Walaupun mereka tahu bahasa Arab (seperti Musyrikin Mekah itu) dan walaupun mereka faham Al-Qur’an setelah diajar. Tidak mahu ikut itu adalah kerana degil.

Makna penting yang kita kena faham adalah: Allah ﷻ tidak buat keputusan untuk menyesatkan manusia dari awal lagi – sebaliknya keputusan itu dibuat setelah mereka tetap menolak segala jenis peluang untuk beriman setelah disampaikan dengan segala hujah dan dalil.

Allah ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahu menerima kebenaran. Iaitu mereka yang membuka hati mereka untuk menerima kebenaran. Mereka sanggup menerima kebenaran walaupun ia perkara baru untuk mereka. Walaupun selama ini mereka di dalam kesesatan tetapi hati nurani mereka mahu mencari kebenaran. Kepada mereka itu, Allah ﷻ akan tarik mereka kepada hidayah. Maknanya, yang penting adalah kena ada keinginan. Jangan sombong untuk terima kebenaran.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka barulah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menutup hati mereka daripada terima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi (penutupan hati) dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ramai pula yang kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Inilah akibatnya kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah memandai-mandai membuat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi dia memilih untuk beriman dan membersihkan hatinya daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Maka di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk membuat keputusan apa sahaja. Kita sebagai hamba perlu ikut kehendak Allah ﷻ.

Akan tetapi bukanlah Allah ﷻ memerintah dengan ganas atau semberono kerana Allah ﷻ ialah al-Hakeem. Allah ﷻ memerintah dan juga membuat hukum dengan penuh bijaksana.

Allah ﷻ Maha bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Maka Dia menyesatkan orang yang berhak disesatkan, dan memberi petunjuk kepada orang yang layak mendapat petunjuk.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 109 (Ambil Pengajaran daripada Orang Dahulukala) Part 2

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi 

Walaupun Allah ‎ﷻ telah mengutuskan Rasul dalam kalangan mereka juga, masih ramai lagi yang menolak. Maka Allah ‎ﷻ tanya: tidakkah mereka berjalan mengembara di dunia? Ini bukan soalan untuk mendapatkan fakta, tetapi ia mempunyai makna di sebaliknya. Soalan retorik ini mencabar manusia untuk melihat bukti sejarah. Runtuhan bangsa-bangsa yang musnah bertebaran di seluruh bumi. Sepatutnya mereka fikir, kenapa bangsa-bangsa itu dimusnahkan? 

Soalan retorik tentang mengembara dan memerhati ada kaitan dengan teguran Allah ‎ﷻ di dalam Ayat 105 tentang manusia yang melewati tanda-tanda di langit dan di bumi dalam keadaan lalai (مُعرِضُونَ).

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Begitulah orang yang lalai ingkar: mereka melihat tanda-tanda kosmik pada alam, mereka melewati runtuhan sejarah, namun mereka tetap tidak merenung. Maka jangan jadi seperti mereka, wahai orang-orang Mekah (dan kamu yang sedang membaca ayat ini). Yang pertama menerima ayat ini adalah golongan Arab Mekah yang duduk di dalam rumah-rumah yang dibuat daripada tanah liat; ada yang duduk dalam khemah sahaja berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Mereka tidak mempunyai apa-apa pun. Minyak belum lagi ditemui, maka kerajaan besar pada ketika itu tidak hairan pun tentang mereka. Buat apa hendak dijajah Tanah Arab? Buang masa sahaja ke sana kerana tidak ada apa-apa. Jadi Allah ‎ﷻ perli mereka yang tidak ada apa-apa itu tetapi punyalah sombong macam dunia mereka yang punya. Tidakkah mereka tahu ada tamadun sebelum mereka yang lebih hebat daripada mereka? Inilah ironinya, orang yang tidak ada apa-apa tetapi sombong. 

 

فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka?

Tidakkah mereka lihat kesan-kesan peninggalan mereka yang telah menolak agama dan wahyu serta Nabi mereka? Huruf  ف yang digunakan di dalam فَيَنظُروا bukan bermaksud ‘dan’ sahaja. Dalam bahasa Arab, huruf فاء (ف) memang digunakan untuk memberi kesan akibat atau sebab-musabab, dan fungsi ini dibincangkan secara jelas dalam beberapa rujukan nahu klasik. Antara penjelasan yang paling penting ialah ف boleh berfungsi sebagai فاء السببية, iaitu fā’ yang menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan terjadi sebagai akibat bagi sesuatu sebelumnya. Maksudnya di sini, kalau kamu telah berjalan di muka bumi, maka kesannya, sepatutnya kamu ambil pengajaranlah. Malangnya ramai yang pergi melancong namun yang mereka lihat hanyalah luaran sahaja. Mereka kagum dengan tempat yang dilawati itu tetapi mereka tidak kagum dan tidak takut dengan Allah ‎ﷻ.

Tidakkah mereka lihat bagaimana mereka semua yang menentang Allah ‎ﷻ itu telah dimusnahkan? Bukankah banyak sudah kisah disebut dalam Al-Qur’an seperti kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya? Lihatlah apa kesan yang telah dikenakan kepada mereka yang menolak kebenaran itu. Mereka tidak selamat, bukan? Jadi takkan hendak jadi seperti mereka pula?

Semasa melihat itu, kenalah lihat dengan mata hati juga, bukannya sebagai pelancong. Malah kita tidaklah disuruh pergi ke tempat-tempat itu sebenarnya, melainkan kalau kita memang lalu di situ. Kerana kalimah yang digunakan adalah فَيَنظُروا yang tidak semestinya melihat dengan mata, tetapi boleh juga dengan akal. Macam kita sekarang sudah tahu kisah-kisah tempat itu, maka kita gunakan akal kita untuk berfikir. Jadi ayat ini bukan suruh kita melancong, tetapi memikirkan. 

Malangnya, kecenderungan manusia sekarang yang hanya menjadikan tempat-tempat sebegini sebagai tarikan pelancong dan hiburan (sibuk mengambil gambar selfie sahaja) dan ini mewakili satu kelalaian yang teramat sangat. Apa yang sepatutnya memberi inspirasi kepada kesedaran tentang kematian dan ketakutan kepada Allah ‎ﷻ menjadi sekadar tontonan. Mereka membuat perkara yang suka-suka sahaja tanpa mengambil pengajaran pun. Ini menunjukkan bagaimana manusia boleh hanyut daripada pengajaran yang dimaksudkan melalui ayat-ayat (tanda-tanda) ini kalau mereka tidak menggunakan mata hati mereka. Inilah teguran Allah ‎ﷻ di dalam Ayat 105 yang lalu, bukan? 

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Amat menakutkan sekali bagaimana kita sebenarnya sudah termasuk dalam teguran Allah ‎ﷻ ini. Pergi ke tempat-tempat Allah ‎ﷻ turunkan azab hanya kerana hendak melancong sahaja! Penekanan pada pengembaraan untuk memerhati runtuhan bangsa terdahulu mengajar bahawa sejarah adalah guru yang hidup. Akan tetapi pengembaraan fizikal tidak bermakna tanpa renungan intelektual dan rohani. Anda boleh berdiri di hadapan piramid namun tidak belajar apa-apa, atau anda boleh merenunginya dan memahami sifat sementara bagi semua kuasa duniawi. Al-Qur’an mengajar orang beriman menjadi pelajar sejarah yang mengambil iktibar daripadanya, bukan sekadar pengguna fakta yang menarik.

Dari segi politik, ayat ini mencabar tanggapan bahawa kekuatan menentukan kebenaran (Might Makes Right). Empayar Mesir dengan piramidnya dan tamadun yang hebat — semuanya menjadi runtuhan. Tiada jumlah kuasa ekonomi, kekuatan ketenteraan atau kemajuan teknologi yang dapat menyelamatkan mereka daripada penghakiman Allah ‎ﷻ apabila tiba masanya. Ini menyamakan kedudukan antara kaum Quraisy yang berkuasa dengan Nabi ﷺ serta pengikut baginda yang kelihatan tidak berdaya. Mereka sangka mereka kuat, tetapi Allah ‎ﷻ suruh mereka perhatikan balik kepada puak yang lebih kuat daripada mereka yang hancur juga. Jadi jangan perasan sangat kamu berkuasa penuh. Apabila datang keputusan Allah ‎ﷻ, kuasa yang kamu ada pun akan hancur. Ternyata ini adalah peringatan kepada puak yang ada kuasa. Jangan perasan. Sekarang ya kamu di atas, tetapi bila-bila masa sahaja Allah ‎ﷻ boleh turunkan kamu. 

Secara sosial, terdapat kritikan hebat terhadap budaya selebriti dan pemujaan pencapaian. Ada orang yang sombong kerana mereka terkenal dan berjaya, tetapi itu adalah fatamorgana sahaja. Kerana mereka sebenarnya tidak ada apa-apa, namun masih sombong! Malah orang Arab purba dengan rumah lumpur dan struktur ringkas mereka pun boleh merasa sombong — dan Allah ‎ﷻ mempersoalkan apa yang ada pada mereka untuk disombongkan. Mereka bukannya memiliki apa-apa pun, tetapi masih tetap sombong! Jadi jangan perasan hebat sangat wahai manusia.

Ini menyentuh satu ironi rasa tidak selamat yang menjelma sebagai keangkuhan. Saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah contoh bagi perkara ini — keangkuhan mereka berakar umbi daripada rasa tidak selamat yang mendalam tentang kasih sayang bapa mereka. Mereka rasa rendah jadi mereka mahu menaikkan kedudukan mereka dengan berlaku zalim terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Corak ini berulang di seluruh masyarakat manusia. Mereka tidak mempunyai jati diri dan untuk menaikkan jati diri mereka, mereka melakukan sesuatu yang boleh menampakkan mereka hebat, bukan? Jadi mereka menindas orang lain, menghina orang lain, berbuat zalim kepada orang lain dan bermacam-macam lagi. Itu semua adalah psikologi dalaman manusia untuk menaikkan jati diri mereka yang lemah. 

Perintah untuk memerhatikan bagaimana bangsa terdahulu berakhir menghubungkan ayat ini kepada pelbagai petikan awal dalam Surah Yusuf di mana akibat daripada tindakan ditonjolkan — seperti kesudahan saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas rancangan mereka gagal, kehinaan isteri menteri yang cuba hendak menggunakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, nasib para tahanan dalam penjara, dan akhirnya penyatuan semula yang menunjukkan hikmah ilahi. Tema aaqibah (kesudahan) berjalan di seluruh Surah ini yang menjadi pengajaran kepada kita semua. Segala perbuatan kita ada kesannya. 

Kalimah عاقِبَةُ daripada kata dasar ع ق ب yang bermaksud “mengikuti di belakang” atau “datang kemudian”. Seperti seseorang yang berjalan, tumitnya akan mengikuti langkah kakinya. Ia juga adalah sesuatu yang melekat seperti daging dan tendon yang melekat kepada tulang dan susah untuk dibuang (sebab itu boleh buat sup tulang). Kalau kita masak sesuatu dan hangit, maka bahan yang tertinggal di dalam bahagian bawah periuk yang susah dibuang itu dipanggil aqba.

Kalimah عاقِبَةُ digunakan di dalam Al-Qur’an merujuk kepada sesuatu yang tinggal selepas kita, yang melekat, yang tidak boleh dibuang. Ia kesan daripada perbuatan kita semasa di dunia ini yang ada akibatnya. Ia tidak hilang begitu sahaja. Nanti akan ketemu nanti kesannya di akhirat kelak. Musyrikin Mekah tidak mahu mempercayai adanya hari kebangkitan kerana mereka tidak mahu fikir akibat daripada perbuatan mereka semasa mereka hidup. Mereka hendak ia hilang begitu sahaja, tetapi ia tidak akan berlaku. Mereka akan kena hadap kesan akibatnya nanti.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap manusia sedang dalam perjalanan menuju ke arah عاقِبَةُ. Persoalannya bukanlah sama ada akan ada kesan daripada kehidupan kita, tetapi apakah rupa kesan tersebut. Kerana kesan akibat pasti akan ada. Namun, persoalannya adalah: Adakah ia akan menjadi seperti runtuhan bangsa yang dimusnahkan yang berfungsi sebagai amaran kepada orang lain? Atau adakah ia akan menjadi amal soleh dan iman yang membawa kepada negeri akhirat yang lebih baik serta kekal selama-lamanya?

 

وَلَدارُ الآخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذينَ اتَّقَوا

dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. 

Namun begitu, ayat ini tidak membiarkan kita hanya dengan ketakutan. Pemusnahan bangsa-bangsa terdahulu bukanlah keseluruhan ceritanya. Bagi mereka yang mempunyai تَقْوَىٰ (kesedaran ketuhanan, sentiasa mengingati Allah ﷻ), ada sesuatu yang jauh lebih baik menanti: iaitu tempat tinggal yang kekal abadi.

Ini adalah teguran kepada para penentang. Mereka mungkin ada kelebihan keduniaan: kekayaan, kuasa, banyak pengikut. Tapi itu bukanlah hebat mana kalau dibandingkan dengan kelebihan dan balasan abadi bagi orang yang beriman. 

Janji bahawa “negeri akhirat adalah lebih baik” bagi mereka yang bertaqwa memberikan kelegaan dan motivasi. Ia memberi harapan kepada kita yang tidak ada apa-apa di dunia ini. Dan ia memberi peringatan kepada mereka yang berkuasa dan merasa hebat di dunia. Tidak kira betapa hebatnya tamadun duniawi, ia tetap bersifat sementara dan akan menjadi runtuhan ditelan zaman. Sebaliknya rumah yang kekal di akhirat (syurga) mempunyai dua kualiti yang tidak dapat ditandingi oleh apa pun di dunia ini: ia lebih baik dari segi kualiti (خَيرٌ) DAN ia tidak pernah rosak (أَبقىٰ). Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’la:17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Rujukan kepada دارُ الآخِرَةِ (negeri akhirat) yang lebih baik mengulang tema awal tentang kepuasan yang tertangguh dan keadilan muktamad. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menanggung kesusahan selama bertahun-tahun untuk mendapatkan kesudahan yang “lebih baik” — baik di dunia ini mahupun yang dijanjikan di akhirat kelak. Saudara-saudaranya yang mencari keuntungan segera (dengan menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) akhirnya menghadapi kesudahan yang tidak pernah mereka jangkakan. Keuntungan segera itu tidak berharga, tetapi negeri akhiratlah yang kita patut buat persediaan. Negeri akhiratlah yang kita kena kejar keberuntungan di sana. 

Manusia ramai menolak wahyu dan kebenaran yang disampaikan oleh para Nabi kerana tidak mahu meninggalkan keuntungan dunia yang sementara. Mereka mahu kebaikan di dunia, mereka tidak mahu kehilangan nikmat-nikmat dunia. Ini kerana kadang-kadang mereka lihat, kalau ikut agama berlandaskan wahyu ini, banyak yang mereka akan rugi – mereka tidak boleh zalim dan menindas orang lain, tidak boleh menipu dalam perniagaan, tidak boleh mencuri daripada orang dan sebagainya. Maka Allah ‎ﷻ beritahu, akhirat itu lebih baik daripada apa yang mereka tinggalkan dari bahagian dunia. Dunia itu tidak bernilai apa-apa kalau dibandingkan dengan kelebihan akhirat. Tidak rugi kalau tinggalkan kelebihan dunia itu.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Maka tidakkah kalian memikirkannya?

Allah ‎ﷻ tanya lagi: Kenapa kamu tidak menggunakan akal untuk berfikir? Mana yang mereka mahu? Kelebihan dunia yang sedikit dan tidak kekal ini, atau kelebihan akhirat yang lebih banyak dan berkekalan sampai bila-bila?

Apakah ‘akal’? Secara bahasa, akal bukan sekadar “fikiran”, tetapi ia adalah “ikatan”. Ia daripada Akar Kata (ع – ق – ل). Akar kata عَقَلَ (‘aqala) pada asalnya bermaksud mengikat atau menahan. Kata terbitan yang paling masyhur dalam konteks fizikal adalah:

    • Al-‘Iqal (العِقَال): Tali yang digunakan oleh orang Arab untuk mengikat kaki unta agar ia tidak lari atau merayau. Kemudian mereka mengikat tali itu di kepala mereka untuk menyimpan. Dari sinilah kita boleh melihat orang Arab memakai shimagh mereka dengan tali pada kepala. Dulu ia dipanggil Iqal, namun sekarang ia dipanggil Igal.
    • Al-Ma’qil (المَعْقِل): Kubu pertahanan yang “menahan” musuh daripada masuk.

Mengapa “Fikiran” dipanggil “Akal”? Ulama bahasa (seperti Ar-Raghib al-Asfahani) menjelaskan mengapa daya fikir manusia dipanggil akal kerana ia berfungsi seperti tali unta. Ia mengikat dan menahan pemiliknya daripada melakukan perkara yang tidak sopan, bodoh, atau mengikut Hawa Nafsu. Jadi, orang yang ada akal itu mampu menahan diri: Seseorang yang berakal (‘aqil) adalah orang yang mampu menahan emosinya agar tidak bertindak melulu.

Oleh itu, akal manusia itu fungsinya “menahan” nafsu dan bukannya sekadar “berfikir” sahaja. Kejelasan intelektual yang sebenar memerlukan kawalan emosi. Akal yang perlu memandu emosi dan bukan sebaliknya. Apabila manusia dikuasai oleh emosi seperti kemarahan, ketakutan, ketamakan atau mana-mana emosi yang meluap-luap, minda tidak dapat berfungsi dengan baik. Ketika itu, akal dipandu, diseret dan digunakan oleh nafsu. Analoginya, kalau kita menunggang kuda, kita mesti menggunakan tali kendali, bukan? Ini menggambarkan keperluan untuk mengawal emosi tanpa mematikannya — emosi itu perlu tetapi mesti dibimbing tanpa dibiarkan begitu sahaja. Kita yang hidup dalam zaman moden yang ramainya mahukan kepuasan segera dan terikut-ikut dengan dorongan emosi sangat memerlukan hikmah ini. Bayangkan, kuda yang tidak dikawal akan menjatuhkan penunggangnya. 

Emosi ini bahaya tuan-tuan. Allah ‎ﷻ telah beri amaran tentang emosi menjadi tuhan seperti disebut di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكونُ عَلَيهِ وَكيلًا
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?,

Ayat ini menunjukkan bahaya utama pemuasan emosi yang melampau. Ini kalau kita ikut sahaja kehendak nafsu tanpa kekangan. Antaranya ikut kehendak nafsu untuk bergembira. Buat apa sahaja asalkan gembira, tidak kira halal haram. Apabila merasa bahagia menjadi matlamat tertinggi, maka kebahagiaan telah menjadi tuhan! Apabila anda mengikut setiap dorongan hati, dorongan tersebut yang mengawal anda dan bukannya anda yang mengawal mereka. Ini adalah lawan kepada aql — ia adalah jahiliyyah (kejahilan) sebenarnya.

Manusia akan menghadapi masalah kalau emosi mereka tidak dikawal oleh akal. Lihatlah golongan remaja yang tidak mampu merenungkan soalan yang bermakna (contohnya, apa tujuan mereka hidup, ke mana mereka akan pergi nanti selepas mati dan sebagainya) adalah kerana emosi mereka yang “tidak terkawal”. Mereka hendak bergembira sahaja, ikut kehendak hati mereka sahaja. Ia merujuk kepada psikologi perkembangan dan cabaran pertumbuhan rohani dalam kalangan belia. Sebab itu, kebanyakan kita lihat mereka kebingungan sahaja rupanya, bukan? Apabila perasaan berleluasa ke pelbagai arah, pemikiran peringkat tinggi menjadi mustahil. Ini juga terpakai kepada orang dewasa yang dorongan hati mereka kekal tidak terkawal. Ini jenis manusia yang mengikut nafsu sahaja. 

Ayat ini menyediakan pentas bagi petikan akhir Surah (Ayat 110 – 111) yang akan membincangkan apabila pertolongan Allah ‎ﷻ datang kepada para Rasul dan bagaimana Al-Qur’an itu berfungsi sebagai pengajaran serta peringatan terakhir. Corak yang ditetapkan ialah: Rasul-rasul diutus, mereka ditolak, kaum mereka dimusnahkan, dan sisa peninggalan kekal sebagai tanda — tidakkah kalian akan belajar daripada ini sebelum terlambat?

Perhatikan bahawa ini adalah salah satu keadaan yang jarang berlaku dalam Al-Qur’an Ayat Makkiyah di mana Allah ﷻ menyapa orang kafir secara langsung dengan kata ganti nama orang kedua. Biasanya, Allah ‎ﷻ bercakap tentang mereka dalam kata ganti nama orang ketiga. Akan tetapi di sini, mesej itu menjadi lebih peribadi dan lebih langsung, seolah-olah membawanya lebih dekat kepada diri sendiri: “Tidakkah kalian mahu berfikir? Tidakkah kalian mahu menggunakan intelek kalian?” “Otak itu hendak letak di mana?” Dari segi bahasa, ini adalah ayat jenis mukhattab – Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan golongan Musyrikin Mekah. Allah ‎ﷻ terus menegur mereka secara langsung kali ini. Ini adalah kerana ada penekanan yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan kepada mereka yang degil itu.

Ayat ini menggunakan teknik retorik yang canggih yang dipanggil iltifat (peralihan), iaitu pertukaran antara menyapa Nabi ﷺ dan bercakap tentang orang-orang kafir. Iltifat ini adalah sebahagian daripada Ilmu Balaghah. Selama ini Allah ‎ﷻ berfirman kepada Nabi ﷺ tetapi secara berterusan merujuk kepada kaum Quraisy dalam orang ketiga (yang Allah ﷻ selalu sebut sebagai “mereka” sahaja tanpa disebutkan siapa yang dimaksudkan). Perhatikan kalimah-kalimah seperti يَسِيرُواْ, kemudian يَنظُرُواْ dan akhir sekali قَبلِهِم. Itu semua tentang pihak ketiga. Ini mewujudkan kesan penjarakan — Allah ﷻ sangat murka kepada mereka sehingga Dia tidak mahu memuliakan mereka dengan sapaan langsung, sebaliknya bercakap tentang mereka seolah-olah mereka tidak hadir walaupun mereka boleh mendengar. Tentulah mereka mendengar kerana mereka sedang mendengar bacaan ayat-ayat Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ. Teknik ini kita boleh lihat di seluruh petikan-petikan akhir Surah Yusuf. Anda boleh perhatikan daripada ayat 103 di mana Allah ﷻ sedang menegur Musyrikin Mekah sebenarnya. Allah ﷻ bukan bercakap kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tentang mereka!

Namun di sini tiba-tiba terdapat peralihan dramatik di penghujungnya dengan bacaan أَفَلا تَعقِلونَ (tidakkah kalian semua berfikir), yang tiba-tiba bertukar daripada bercakap tentang pihak ketiga (mereka) kepada orang kedua (kamu semua). Ini tentunya mengejutkan pendengar — mereka yang menyangka mereka hanya berada di latar belakang dengan selamat, tiba-tiba mendapati diri mereka disapa/ditegur secara langsung. Ia seperti seorang guru yang sedang membincangkan “segelintir pelajar” yang menipu dalam peperiksaan dan kemudian tiba-tiba memanggil satu nama yang khusus. Ini mewujudkan rasa tidak selesa bagi mereka yang bersalah kerana sekarang namanya telah disebut! Sebelum itu, dia tenang-tenang sahaja sebab dia sangka dia selamat, bukan dia yang dimaksudkan. Namun tiba-tiba bam! Namanya disebut! Ini memberi kesan yang tepat dan mendalam. Kerana kalau asyik sebut tentang orang lain sahaja… ramai yang perasan mereka selamat, bukan? Maka ia memberikan aplikasi sejagat untuk semua pembaca merentas zaman. Sebab ia bukan hanya untuk Musyrikin Mekah sahaja akan tetapi kita pun termasuk juga. Jangan perasan kita selamat!

Berikut adalah pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf ayat 109 dalam bentuk poin:

Sejarah sebagai Guru Kehidupan: Mengembara di muka bumi bukan sekadar untuk melancong atau hiburan, tetapi bertujuan untuk melihat dan mengambil pengajaran daripada kesudahan umat-umat terdahulu yang menolak kebenaran.

Kerapuhan Kuasa Duniawi: Kekuatan ekonomi, ketenteraan, atau kemajuan teknologi (seperti Piramid Mesir) tidak dapat menyelamatkan sesebuah tamadun daripada penghakiman Allah ‎ﷻ jika mereka berlaku zalim.

Konsep Aaqibah (Kesudahan): Setiap perbuatan manusia mempunyai kesan yang melekat (seperti sisa makanan di dasar periuk) yang tidak akan hilang dan perlu dihadapinya di akhirat kelak.

Keutamaan Akhirat: Negeri akhirat adalah jauh lebih baik dari segi kualiti dan lebih kekal abadi bagi orang yang bertaqwa berbanding keuntungan dunia yang sementara.

Fungsi Sebenar Akal: Akal bukan sekadar untuk berfikir, tetapi berfungsi sebagai “tali pengikat” yang menahan manusia daripada bertindak melulu mengikut hawa nafsu atau emosi yang tidak terkawal.

Bahaya Menjadikan Emosi sebagai Tuhan: Apabila kebahagiaan atau dorongan hati menjadi matlamat tertinggi tanpa batasan halal dan haram, manusia sebenarnya telah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan mereka.

Teguran Terhadap Kelalaian: Sifat lalai (mu’ridun) dalam memerhatikan tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ, sama ada pada alam kosmik mahupun runtuhan sejarah, adalah punca manusia gagal mendapat hidayah.

Akauntabiliti Peribadi: Peralihan bahasa dalam ayat ini daripada menceritakan “mereka” (pihak ketiga) kepada menyapa “kamu” (pihak kedua) menunjukkan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk menggunakan akal mereka.

Kuiz Pemahaman: Soalan Jawapan Pendek

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

No.
Soalan
1
Apakah tujuan sebenar soalan retorik Allah tentang pengembaraan di muka bumi dalam ayat ini?
2
Mengapakah keadaan kaum Arab Mekah pada waktu itu dianggap ironi dari segi sikap kesombongan mereka?
3
Jelaskan fungsi tatabahasa huruf Fa (ف) dalam perkataan fayanzuru mengikut konteks ayat ini.
4
Bagaimanakah teks membezakan antara melihat dengan “mata kepala” berbanding “mata hati” semasa melawat runtuhan sejarah?
5
Apakah mesej politik yang ingin disampaikan melalui kemusnahan empayar besar seperti Mesir kuno?
6
Terangkan kaitan antara rasa tidak selamat (insecurity) dengan keangkuhan berdasarkan contoh saudara-saudara Nabi Yusuf.
7
Apakah maksud literal dan kiasan bagi istilah Aaqibah (kesudahan) menurut etimologi bahasa Arab?
8
Mengapakah golongan Musyrikin Mekah enggan mempercayai hari kebangkitan?
9
Apakah dua kualiti utama “Negeri Akhirat” yang menjadikannya lebih baik daripada dunia?
10
Bagaimanakah teknik Iltifat (peralihan kata ganti nama) memberi kesan psikologi kepada pendengar ayat ini?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Aaqibah (عاقِبَةُ)
Kesudahan atau kesan yang tinggal selepas sesuatu perbuatan; sesuatu yang melekat dan tidak boleh dibuang.
Aql (عقل)
Secara bahasa bermaksud “ikatan” atau “tahanan”; daya fikir yang berfungsi menahan pemiliknya daripada melakukan perkara bodoh atau mengikut hawa nafsu.
Iltifat (التفات)
Teknik retorik dalam Ilmu Balaghah yang melibatkan peralihan kata ganti nama (contoh: dari “mereka” kepada “kamu”) untuk menarik perhatian pendengar.
Taqwa (تَقْوَىٰ)
Kesedaran ketuhanan atau keadaan sentiasa mengingati Allah ﷻ yang membawa kepada perlindungan daripada azab-Nya.
Al-Iqal (العِقَال)
Tali yang digunakan oleh orang Arab untuk mengikat kaki unta agar tidak lari; akar kata yang sama dengan “Aql”.
Al-Ma’qil (المَعْقِل)
Kubu pertahanan yang berfungsi menahan atau menghalang musuh daripada masuk.
Jahiliyyah (جهلية)
Keadaan kejahilan yang berlaku apabila manusia mengikut setiap dorongan hati dan hawa nafsu tanpa kekangan akal.
Darul Akhirah (دارُ الآخِرَةِ)
Negeri akhirat atau tempat tinggal yang kekal abadi selepas kehidupan di dunia.
Khayrun wa Abqa (خَيرٌ وَأَبقىٰ)
Sifat akhirat yang bermaksud “lebih baik” dari segi kualiti dan “lebih kekal” kerana tidak akan rosak.
Mu’ridhun (مُعرِضُونَ)
Golongan yang lalai atau berpaling daripada tanda-tanda kekuasaan Allah walaupun mereka melaluinya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)