Ayat 14: Dalam ayat sebelum ini Allah telah menyebut yang diseru selain dari Allah itu tidak memiliki apa-apa. Dan sekarang Allah tambah hujah untuk menunjukkan betapa sia-sianya perbuatan manusia yang menyeru selain dari Allah itu.
إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم ۚ وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If you invoke them, they do not hear your supplication; and if they heard, they would not respond to you. And on the Day of Resurrection they will deny your association.¹ And none can inform you like [one] Acquainted [with all matters].
- Of them with Allāh or your worship of them.
(MELAYU)
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.
إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم
Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu;
Allah memberitahu dengan jelas dalam ayat ini, roh-roh selain dari Allah itu tidak dapat mendengar seruan manusia kepada mereka. Ramai manusia yang menyeru kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat.
Ada yang seru kepada Nabi Muhammad, Nabi Khidr, Nabi Sulaiman, Nabi itu dan ini. Ada yang menyeru kepada Syaikh Abdul Qadir Jalani, Wali-wali Songo, Habib Noh dan wali-wali lain (yang tidak tahu pun status mereka sebagai wali itu pasti atau tidak). Ada juga yang seru para malaikat terutama malaikat yang besar-besar itu untuk beri bantuan kepada mereka.
Allah beritahu yang mereka itu tidak dengar pun seruan manusia kepada mereka kerana mereka di dalam alam yang lain. Bukan kerja mereka untuk mendengar seruan manusia. Mereka in sha Allah adalah orang yang baik-baik (kerana status wali kita tidak tahu) dan kerja mereka sudah habis setelah mereka meninggal dunia. Mereka sekarang tinggal (semoga mereka itu orang-orang yang baik-baik) di akhirat menikmati balasan dari Allah atas kerja dan amalan mereka semasa di dunia.
وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم
dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu.
Dan kalaulah mereka boleh mendengar, mereka bukan boleh menjawab pun. Ini kerana mereka di alam yang lain. Mereka tidak dapat buat apa – bukan sahaja hendak jawab, cuba hendak jawab pun tidak boleh. Kerana kalimah استَجابوا yang digunakan adalah wazan yang menunjukkan percubaan.
Itu pun kalau mereka dengar kerana telah disebut sebelum ini yang mereka tidak dapat dengar pun. Tapi kalaulah kita bayangkan mereka boleh dengar, mereka nak cuba jawab pun tidak boleh.
Maka amatlah sia-sia perbuatan manusia yang menyeru selain Allah. Termasuk yang melakukan perbuatan sia-sia ini adalah masyarakat Islam kita yang jauh dari wahyu. Mereka tidak periksa amalan seru menyeru yang diajar oleh guru-guru mereka yang sesat itu. Apabila diberi amalan seru menyeru Nabi, wali dan malaikat itu, para pengikut mereka sangka itu adalah amalan yang benar dan baik untuk dilakukan.
Kerana mereka ikut sahaja apa yang diajar oleh guru mereka. Ini adalah perbuatan yang jauh dari kebenaran. Apa-apa sahaja amalan yang diberikan, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an dan Sunnah dari Nabi. Jangan pakai terima sahaja.
وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم
Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu
Mereka yang menyeru itu tentu berharap roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu akan ingat dulu mereka sudah selalu seru, selalu beri salam, selalu sedekah Fatihah dan amalan-amalan yang lain seperti tawaf kubur mereka, bersihkan kubur mereka, letak bunga dan sebagainya lagi amalan-amalan sesat yang sedang dilakukan oleh orang-orang kita.
Yang disembah itu akan berlepas diri dari apa yang dilakukan oleh golongan penyembah itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ}
Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka. Dan apabila mereka dikumpulkan (pada hari kiamat), nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka. (Al-Ahqaf: 5-6)
Kita tidak perlulah nak sebut tentang amalan orang kafir sebab itu memang sudah amalan sesat mereka yang jauh dari Islam. Yang kita nak sentuh sekarang adalah orang Islam yang tidak sepatutnya melakukan amalan-amalan sebegitu.
Tapi ramai yang melakukan amalan ini di serata dunia termasuklah di negara kita Malaysia ini. Ada yang seru roh-roh Nabi, wali dan malaikat di rumah sahaja dan ada yang sampai pergi ke kubur mereka untuk seru terus di kubur dan buat amalan-amalan syirik di sana. Ini adalah kerana mereka itu jauh dari wahyu.
Apabila usaha telah dilakukan, maka tentulah penyeru-penyeru itu berharap supaya yang diseru akan ingat mereka, akan beri balasan, akan bantu beri berkat dan syafaat di akhirat kelak, bukan? Kalau sudah buat kerja, takkan tidak mahu upahnya dan balasannya, bukan? Mereka sudah ada satu pengharapan dari roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu. Allah akan temukan antara yang menyeru dan diseru di akhirat kelak. Allah akan tanya sama ada yang diseru itu pernah suruh atau redha mereka diseru?
Allah beritahu yang mereka yang diseru itu akan menolak amalan seruan kepada mereka. Mereka yang diseru tidak pernah suruh diseru pun dan tidak redha diri mereka diseru. Maka sia-sialah apa yang dilakukan oleh penyeru-penyeru itu.
وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ
dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.
Yang tahu itu maksudnya Allah dan hanya Allah sahaja yang boleh beritahu tentang semua perkara ini kerana Dia sahaja yang tahu apa yang akan berlaku nanti di akhirat.
Allah juga tahu bahawa Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk membantu orang-orang yang menyeru mereka. Kita sebagai manusia boleh bagi hujah sahaja, tapi yang tahu sebenar-benar tahu adalah Allah Taala. Maka Allah sekarang sedang beritahu kepada kita dan hendaklah kita mengambil pengajaran dari apa yang disampaikan ini.
Habis Ruku’ ke 2 dari 5 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 15: Dalil aqli.
۞ يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ ۖ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O mankind, you are those in need of Allāh, while Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.
(MELAYU)
Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.
يٰأَيُّهَا النّاسُ
Hai manusia,
Khitab ayat ini kepada semua manusia. Tapi bukan semua manusia baca Al-Qur’an ini, bukan? Maka kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kalau bukan kita yang sampaikan, maka siapa lagi? Tapi kalau hendak sampaikan, kenalah kita faham Al-Qur’an ini dan percaya kepadanya dahulu. Sudahkah kita lakukan?
أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ
kamulah yang berkehendak kepada Allah;
Kalimah الفُقَراءُ boleh bermaksud ‘bankrap’ seperti kalimah ‘fakir’. Maksudnya kita tidak ada apa-apa dan sentiasa memerlukan Allah. Apa-apa sahaja yang kita ada telah diberi oleh Allah kerana kita tidak ada apa-apa langsung. Dan apa-apa sahaja yang kita akan dapat nanti pun dari Allah juga. Tiada siapa yang boleh beri rezeki melainkan Allah sahaja.
Allah langsung tidak memerlukan kita atau ibadat kita. Kalau semua makhluk tidak beribadat kepada Allah, tidaklah kemuliaan Allah berkurangan. Tidaklah Allah jadi lemah. Ada agama seperti agama Yunani yang beranggapan yang jikalau mereka tidak menyembah patung-patung berhala tuhan mereka, maka tuhan mereka menjadi lemah. Maka mereka sangka tuhan mereka memerlukan sembahan dari mereka untuk terus jadi kuat.
Allah tidak memerlukan sebegitu, termasuklah ibadat kita. Segala ibadat yang Allah suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita, bukannya ia memberi kebaikan bagi Allah.
وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ
dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.
Yang tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa sahaja hanyalah Allah.
Dan Dia yang Maha Terpuji dan tidak perlu sesiapa pun untuk memujiNya. Kalau tiada sesiapa yang memujiNya pun, Allah tetap terpuji.
Ayat 16: Contoh kayanya Allah. Pertamanya kena ingat yang maksud ‘kaya’ adalah tidak memerlukan sesiapa.
إِن يَشَأ يُذهِبكُم وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If He wills, He can do away with you and bring forth a new creation.
(MELAYU)
Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu).
إِن يَشَأ يُذهِبكُم
Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu
Kita kena sedar diri yang kita tidak bernilai dan kerana itu Allah boleh sahaja musnahkan kita. Mudah sahaja bagi Allah untuk buat begitu. Allah tidak rugi apa-apa pun kalau kita tiada. Bukannya Allah perlukan kita pun.
وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ
dan mendatangkan makhluk yang baru
Allah boleh sahaja jadikan makhluk yang lain ganti kita. Dalam surah lain disebut makhluk itu lebih baik dari kita. Ini menunjukkan kita tidak bernilai pun pada Allah kalau kita tidak taat kepadaNya. Allah boleh sahaja ganti dengan makhluk yang lain. Maka jangan kita sombong dan bongkak.
Ayat 17:
وَما ذٰلِكَ عَلَى اللهِ بِعَزيزٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And that is for Allāh not difficult.
(MELAYU)
Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.
Kalimah عزيز dalam ayat ini bermaksud ‘sukar’. Mudah sahaja bagi Allah nak ganti kita. Maka kenalah sedar kedudukan kita sebagai hamba Allah. Kena sedar yang Allah itu adalah Tuhan dan kita kena taat sepenuhnya kepadaNya.
Ayat 18: Takhwif ukhrawi
وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۗ إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ ۚ وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ ۚ وَإِلَى اللهِ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And no bearer of burdens will bear the burden of another. And if a heavily laden soul calls [another] to [carry some of] its load, nothing of it will be carried, even if he should be a close relative. You can only warn those who fear their Lord unseen and have established prayer. And whoever purifies himself only purifies himself for [the benefit of] his soul. And to Allāh is the [final] destination.
(MELAYU)
Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu).
وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ
Dan orang yang menanggung tidak akan memikul dosa orang lain.
Kita tidak boleh nak sandarkan dosa kita kepada orang lain. Mereka pun ada dosa masing-masing. Memang tidak mampu nak ambil dan pikul dosa orang lain pula. Tidak ada sesiapa yang akan lakukan.
Ini penting diketahui kerana ada Musyrikin Mekah yang mengajak para sahabat yang telah beriman untuk kembali kepada agama syirik. Mereka kata jangan takut, kerana mereka akan tanggung dosa sahabat-sahabat itu kalau benar perbuatan mereka itu berdosa. Maka ini adalah fahaman yang sesat.
Begitu jugalah pada zaman sekarang ada manusia yang sangka guru-guru tarekat mereka akan tanggung dosa mereka. Ini tidak mungkin sama sekali.
وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها
Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu
Kalau di dunia, bolehlah minta tolong orang selesaikan masalah kita, tolong kita itu dan ini. Kalau beban kita berat sangat, kita boleh minta orang lain tolong bawa sedikit. Tapi bolehkah begitu kalau di akhirat kelak? Mungkin ada yang sangka begitu.
لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ
tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun
Allah beritahu dengan jelas yang memang tidak akan ada yang akan tanggung. Tak boleh nak bawa langsung sedikit pun. Sekarang kalau di dunia bolehlah nak tolong angkat barang. Tapi nanti di akhirat, manusia akan lari dari manusia yang lain. Seperti disebut dalam ayat yang lain:
{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ}
Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. (‘Abasa: 34-37)
وَلَو كانَ ذا قُربىٰ
meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya.
Jangan kata orang lain, keluarga sendiri pun tak boleh nak tolong. Selalunya keluargalah yang sanggup tolong kita macam-macam. Mereka sanggup berkorban untuk tolong. Ibubapa tentu nak tolong anak. Anak pun tentu bersedia nak tolong ibubapa dia. Tapi ini tidak akan terjadi di akhirat. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:
{لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا}
seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. (Luqman: 33)
إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ
engkau hanya mengingatkan orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya
Allah telah beri peringatan yang banyak melalui RasulNya. Ada yang terima dan ada yang tidak terima. Allah hendak memberitahu yang faedah peringatan yang diberikan itu hanya boleh diterima oleh mereka yang ada perasaan takut kepada Allah sahaja.
Mereka itu takut kepada Allah walaupun mereka tidak nampak Allah (ghaib). Tidak kira mereka di mana, sama ada di hadapan manusia atau tidak, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka yang Allah sentiasa melihat. Kalau kita dapat sematkan perasaan ini, maka agama tentulah akan terjaga.
وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ
dan mereka mendirikan solat.
Dan yang dapat menerima peringatan itu adalah mereka yang mengerjakan solat. Allah sebut solat kerana ini adalah ibadah yang paling utama. Ianya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Kalau solat pun tidak, tentu susah nak terima peringatan agama.
Dan yang menariknya, solat adalah latihan kepada kita untuk sedar Allah sedar memerhatikan kita. Kerana dalam solat kita kena khusyuk dan kena sedar yang segala gerak geri kita sedang diperhatikan. Selalu dalam solat fikiran kita menerawang, bukan? Maka kita kena sedar yang kita sedang mengadap Allah dan kena bawa kembali fikiran kita kepada solat.
Ini dapat dilakukan kalau kita dapat faham apakah yang kita sedang sebut dalam solat itu. Maka kenalah belajar kalimah-kalimah dalam solat itu. Jangan sebut sahaja, tapi sebutlah dengan pemahaman.
Dan ini adalah latihan. Apabila kita sudah dapat sematkan perasaan Allah sedang memerhatikan kita dalam solat, maka lama kelamaan kita kena bawa perasaan itu di luar solat. Kerana Allah bukan hanya melihat kita di dalam solat sahaja, tapi di mana-mana sahaja. Maka latihan dalam solat, untuk dibawa ke luar solat juga.
وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ
Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri.
Yang dimaksudkan adalah membersihkan jiwa dari sifat syirik. Kerana kalau ada fahaman dan amalan syirik, maka segala ibadat, segala amalan kita di dunia ini sia-sia sahaja kerana tidak ada pahala yang akan melekat. Dan nanti akan dimasukkan ke dalam neraka kekal sampai bila-bila. Maka kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.
Mereka yang membersihkan jiwa mereka itu dari syirik akan mendapat kelebihan untuk diri mereka sendiri dan bukan untuk orang lain.
وَإِلَى اللهِ المَصيرُ
Dan kepada Allahlah kembali(mu).
Mereka yang dapat solat dan membersihkan jiwa itu adalah mereka yang sedar yang mereka nanti selepas mati akan mengadap Allah. Mereka takut nanti akan disoal tentang kesalahan dan akidah mereka.
Maka mereka prihatin dengan agama dan berterusan belajar agama dan memperbaiki amalan mereka. Kerana mereka tahu yang kehidupan mereka bukan di dunia sahaja dan akan mati nanti. Dan mati nanti kena mengadap Allah, bukan?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 4 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi