Ayat 12: Dalil Aqli di mana Allah suruh lihat kepada alam laut.
وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And not alike are the two seas [i.e., bodies of water]. One is fresh and sweet, palatable for drinking, and one is salty and bitter. And from each you eat tender meat and extract ornaments which you wear, and you see the ships plowing through [them] that you might seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.
(MELAYU)
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.
وَما يَستَوِي البَحرانِ
Dan tiada sama (antara) dua laut;
Allah memberitahu dua jenis laut tidak sama rasanya. Walaupun dua-dua adalah laut, tapi tidaklah rasanya sama keduanya. Ia memberi isyarat yang kehidupan kita pun tidak sama semasa kita di dalam perut dan selepas kita keluar. Walaupun dua-dua ‘hidup’, tapi hidupnya tidak sama.
Dan juga tidak sama kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat. Takkan sama kerana dimensi sudah berbeza. Oleh itu, apabila ada dalil mengatakan Nabi dan wali itu hidup selepas mereka mati, maksudnya mereka hidup dalam dunia mereka dengan cara mereka. Bukanlah mereka hidup macam sekarang, boleh dengar permintaan kita dan boleh tolong kita pula kalau kita berdoa kepada mereka.
Sepertimana janin dalam perut itu pun hidup juga, tapi bolehkah dia dengar apa kita cakap kepada dia? Bolehlah dia nak tolong kita? Bolehkah dia nak sampaikan apa-apa maklumat kepada kita? Tentu tidak, bukan? Kerana keduanya duduk dalam dunia yang berbeza.
هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ
yang ini tawar, segar, sedap diminum
Kalimah عَذبٌ dari katadasar ع ذ ب yang antara lain bermaksud azab yang kita biasa faham. Tapi satu lagi maksudnya adalah manis dan selalunya dikaitkan dengan air. Kalimah فُراتٌ pula dari katadasar ف ر ت yang bermaksud air yang manis juga dan juga menjadi nama Sungai Furat.
Ada air laut yang rasanya tawar dan sedap diminum dan kita boleh minum dan minum lagi dan ia senang saja turun ke dalam tekak kita. Kerana itu digunakan kalimah سائِغٌ yang diambil dari katadasar س و غ yang bermaksud sesuatu yang senang turun melalui tekak, senang ditelan.
Ada yang mengatakan ini merujuk kepada air sungai, bukanlah air laut kerana air laut tentunya masin dan tidak boleh diminum. Jadi ‘dua laut’ yang dimaksudkan itu satunya air sungai dan satu lagi air laut.
وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ
dan yang lain masin lagi pahit.
Dan ada pula air laut yang kita tidak boleh minum kerana masin sangat. Kalimah مِلحٌ bermaksud masin dan kalimah أُجاجٌ pula bermaksud pahit atau pedas. Ia merujuk kepada suatu yang tidak boleh diminum dan dimakan. Dan kalau kita minum juga, ia tidak baik kepada kesihatan dan ia tidak menghilangkan dahaga kita tapi menambah dahaga kita pula. Maka ini memang air laut yang masin itu.
وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا
Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar,
Dari air sungai dan air laut ada binatang seperti ikan yang kita dapat tangkap dan makan dagingnya. Dua-dua air itu ada ikan tapi tak sama ikan sungai dan ikan laut. Ada orang suka ikan laut dan ada orang suka ikan sungai. Kerana rasa kedua-duanya tidak sama.
Allah jadikan kehidupan mereka berlainan. Ikan sungai tidak dapat hidup dalam laut dan ikan laut tidak dapat hidup dalam sungai. Kerana itu rasanya pun tidak sama.
وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها
dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya,
Dan dari dua laut itu juga Allah adakan perhiasan seperti mutiara yang manusia boleh kutip. Ini menjadi perhiasan dan boleh menjadi sumber pendapatan kepada manusia yang bekerja mencarinya.
وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ
dan kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah di dalamnya supaya kamu dapat mencari kurunia-Nya
Allah beri ilham kepada manusia untuk membina kapal dan dengan kapal itu manusia boleh bermusafir di lautan dan di sungai. Kalimah مَواخِرَ dari katadasar م خ ر yang bermaksud sesuatu yang membelah. Perahu akan ‘belah’ sungai dan bawa muatan ke kapal yang lebih besar untuk dibawa ke tempat yang lebih jauh. Dengan cara itu manusia boleh mencari rezeki iaitu melalui perdagangan antarabangsa.
Kita masih lagi gunakan kenderaan laut untuk bawa barang-barang kita. Maka jangan kita kata yang ayat-ayat sebegini tidak dipakai lagi zaman sekarang. Kerana kita masih gunakan lagi pengangkutan laut. Ini adalah kerana walaupun ada kapalterbang yang boleh bawa muatan dengan lebih cepat, tapi cara itu mahal. Kerana itu untuk tujuan kos, pembekalan barangan dari satu negara ke negara yang lain selalunya akan guna kapal laut.
وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
dan supaya kamu bersyukur.
Tujuan Allah berikan kepandaian kepada kita untuk membina kapal dan mengawal kapal itu untuk berlayar di lautan dan kemudian dapat mencari rezeki adalah supaya kita dapat bersyukur. Maka hendaklah kita kenang jasa Allah ini dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kebolehan dan rezeki yang Dia telah berikan kepada kita. Bersyukur kerana Allah benarkan kita mengembara di bumiNya ini dan mencari rezeki dengan agak mudah.
Dan kita kena faham maksud bersyukur kepada Allah. Syukur itu bukan sahaja ucap Alhamdulillah sahaja. Tapi sesungguhnya kita menunjukkan syukur itu dengan taat kepada arahan Allah – melakukan yang Dia suruh dan meninggalkan mana yang Allah suruh tinggalkan. Maka kalau mulut berzikir alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah tapi arahanNya tidak ditaati, itu bukan syukur yang sempurna.
Ayat 13: Dalil Aqli lagi di mana Allah suruh kita lihat alam yang kita dapat lihat setiap hari ini. Jadi ini adalah Dalil Aqli Afaqi.
يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۚ وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He causes the night to enter the day, and He causes the day to enter the night and has subjected the sun and the moon – each running [its course] for a specified term. That is Allāh, your Lord; to Him belongs sovereignty. And those whom you invoke other than Him do not possess [as much as] the membrane of a date seed.
(MELAYU)
Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit tamar.
يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ
Dia memasukkan malam ke dalam siang
Maksudnya Allah menukar siang menjadi malam. Seolah-olah siang itu dimasukkan dengan malam sedikit demi sedikit dan akhirnya tiada lagi siang. Cahaya matahari semakin berkurangan di waktu petang dan lama-lama cahaya semakin hilang dan hari menjadi gelap.
Atau Allah menjadikan siang lebih panjang di sesetengah negara.
وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ
dan memasukkan siang ke dalam malam
Allah menukar malam menjadi siang. Apabila sudah masuk subuh, maka cahaya matahari semakin keluar dan semakin beransur-ansur hari menjadi cerah.
Atau Allah menjadikan malam lebih panjang di sesetengah negara.
وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ
dan Dia menundukkan matahari dan bulan,
Matahari dan bulan adalah dua makhluk Allah yang besar. Kita pun dapat lihat betapa hebatnya matahari dan bulan itu. Tapi walaupun keduanya besar, tapi ia di bawah takluk Allah.
Walaupun kedua-dua makhluk Allah itu besar, tapi kedua-duanya taat dengan arahan Allah. Setiap hari matahari akan tanya kepada Allah sama ada ia akan keluar atau tidak pada pagi itu. Maka apabila Allah benarkan, barulah ia keluar.
كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى
masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan.
Matahari dan bulan taat dan bergerak mengikut ketetapan Allah. Tidak pernah bulan mendahului matahari dan tidak pernah matahari mendahului bulan walaupun ia lebih besar dari bulan. Ada ketetapan Allah yang mereka ikuti dan tidak pernah lagi mereka tidak taat. Mereka terus bergerak tapi tidaklah sampai bila-bila. Apabila sampai masa Kiamat, maka matahari dan bulan akan hancur dan musnah.
Maka Allah hendak perli kita: matahari dan bulan yang besar itu pun taat kepadaNya, maka kenapa kamu wahai manusia dan jin tidak taat? Kenapa kamu masih nak melakukan dosa? Kenapa kamu masih nak seru dan sembah selain Allah?
ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ
Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan.
Yang boleh mengurus dan menundukkan alam itu hanyalah Allah sahaja. Maka hendaklah sembah dan seru kepada Allah sahaja kerana selain Allah tidak ada kuasa ini.
Ada satu perbincangan yang kita mahu letakkan di sini. Sebenarnya tidak ada pun ayat di dalam Al-Qur’an yang berhujah untuk membenarkan kewujudan Tuhan. Ini adalah kerana sudah maklum termasuk semua manusia sudah tahu yang Allah itu memang ada pun. Tidak kira sama ada orang Muslim atau pun tidak. Yang kata Tuhan tidak ada itu adalah mereka yang menolak fitrah mereka sahaja.
Jadi Allah tidak sebut pun tentang kewujudanNya dalam Al-Qur’an kerana fitrah manusia semua sudah kenal Allah dan ayat-ayat Al-Qur’an hanya mengingatkan kepada perkara itu sahaja.
Dan orang kafir itu tidak kenal Allah kerana mereka menanam/menutup perasaan kenal Allah itu dalam-dalam diri mereka. Itulah maksud كفر iaitu menanam dan kemudian kambus bagi tidak nampak. Mereka tanam pengetahuan mereka tentang Allah jauh dalam diri mereka sampai sudah tak nampak lagi.
Jadi semua manusia sebenarnya memang sudah kenal Allah. Dan kalau disebut tentang ‘ragu-ragu’ di dalam Al-Qur’an, ianya hanya menyebut tentang keraguan kepada wahyu dan bukannya kepada kewujudan Tuhan. Kerana manusia memang sudah kenal Allah dari sejak lahir lagi.
Kerana itu untuk mengingatkan manusia kepada Allah, maka Allah suruh lihat kepada alam dan fikirkan siapakah yang melakukannya. Kerana kalau benar-benar kita lihat kepada alam ini dan buka fikiran kita maka tentu keputusan yang kita dapat adalah memang benar Allah wujud. Jadi ayat-ayat itu sebagai peringatan sahaja, tidaklah disebut di mana-mana yang Allah ‘wujud’.
وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ
Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit tamar.
Malangnya manusia ramai yang tidak tahu tentang Allah. Yang sepatutnya mereka kenali adalah Allah dalam bentuk tunggal, dalam bentuk ‘tauhid’. Tapi ramai yang jauh dari fahaman ini dan mereka seru selain Allah seperti Nabi, wali, malaikat dan jin. Ini adalah manusia yang berfahaman syirik.
Maka Allah hendak memberitahu yang mereka seru dan sembah selain Allah itu tidak ada apa-apa pun walau kulit pada biji kurma. Ianya nipis sangat dan tidak ada nilai langsung, tapi itu pun mereka tidak ada. Sedangkan Allah memiliki langit dan bumi dan menguasai dan mengurus alam ini. Maka tidak patut kalau Allah diketepikan dan sembah selain Allah pula.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 4 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
One thought on “Tafsir Surah Fatir Ayat 12 – 13 (Selain Allah tidak memiliki)”