Tafsir Surah Kahfi Ayat 98 – 101 (Kemunculan Ya’juj Ma’juj)

Kahf Ayat 98:

قَالَ هَـٰذَا رَحمَةٌ مِّن رَّبِّى‌ۖ فَإِذَا جَآءَ وَعدُ رَبِّى جَعَلَهُ ۥ دَكَّآءَ‌ۖ وَكَانَ وَعدُ رَبِّى حَقًّا

Sahih International

[Dhul-Qarnayn] said, “This is a mercy from my Lord; but when the promise of my Lord comes, He will make it level, and ever is the promise of my Lord true.”

Malay

(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.

 

قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّنْ رَّبِّي

Dzul-Qarnain berkata: Dinding ini adalah suatu rahmat daripada Tuhanku.

Rahmat daripada dinding itu adalah dapat menghalang Ya’juj Ma’juj daripada keluar membunuh manusia. Sudah sekian lama ia menghalang mereka kepada kita. Maka di sini kita dapat tahu bahawa rahmat itu bukan sahaja bermaksud pemberian sesuatu benda akan tetapi termasuk juga perlindungan daripada mara bahaya. Kadangkala kita berdoa kepada sesuatu akan tetapi kita tidak dapat perkara yang kita minta itu. Akan tetapi mungkin Allah telah beri sesuatu yang lebih baik kepada kita iaitu menyelamatkan kita, dan bukankah ini lebih baik? Oleh itu, jangan kecewa kalau kita tidak dapat apa yang kita minta kerana mungkin Allah ‎ﷻ beri yang lebih baik lagi. Perhatikan hadith ini:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ
دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا
نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1) Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2) Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3) Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.”
(Riwayat Ahmad 3/18 – Sahih)

Dzul-Qarnain terlibat secara langsung dalam pembinaan dinding itu. Lihatlah bagaimana beradabnya Dzul-Qarnain. Beliau telah membantu untuk membina tembok itu, tetapi beliau tetap berkata dengan rahmat Allah ﷻlah tembok itu boleh disiapkan. Beliau tidak sesekali berkata yang beliau yang bina tetapi beliau pulangkan kembali kepada Allah ﷻ. Maknanya tidaklah beliau mendabik dada dengan hasil usahanya, sebaliknya beliau memulangkan usahanya itu kepada Allah ﷻ. Kalau bukan Allah ﷻ yang bantu, maka tidaklah mampu beliau berbuat apa yang telah dilakukan itu. Maka kita boleh ambil pengajaran daripada sikap beliau ini. Jangan hanya letak kejayaan sesuatu pekerjaan itu pada diri kita sahaja. Kita boleh lihat contoh kata-kata Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Naml: 40

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ ۚ فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada Al Kitab: “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

 

فَإِذَا جَآءَ وَعدُ رَبِّى جَعَلَهُ ۥ دَكَّآءَ‌ۖ

Dan apabila datang janji Tuhanku, nescaya Allah akan jadikan dinding ini hancur;

Memang tembok itu kukuh, tetapi tidaklah sampai bila-bila kerana akan sampai masanya yang dinding itu akan hancur juga, iaitu janji untuk mengatakan Hari Kiamat. Kalimah دَكَّآءَ‌ daripada katadasar د ك ك yang bermaksud menghancurkan; runtuh sama rata dengan bumi; hancur berkeping-keping; hancur sepenuhnya dan hancur berkeping-keping. Apabila itu terjadi, Ya’juj Ma’juj akan keluar. Ia sudah ada dalam takdir Allah ﷻ. Memang sudah ada perancangan Allah ﷻ dalam hal ini dan tentunya dengan kebijaksanaan-Nya.

 

وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا

Dan adalah janji Tuhanku benar;

Sudah pasti Allah ﷻ akan hancurkan tembok itu pada satu masa nanti. Sebagaimana pastinya hari Kiamat itu akan berlaku seperti yang dijanjikan Allah ﷻ, begitu jugalah tembok itu akan pecah. Ini sebenarnya amat menakutkan. Semoga kita diselamatkan daripada mengalaminya.


 

Kahf Ayat 99: Apa yang akan berlaku apabila tempoh itu tiba dan dinding itu hancur? Ini jikalau kita melihat ayat ini sebagai sambungan daripada kisah DzulQarnain lagi. Akan tetapi ada juga yang mengatakan kisah DzulQarnain telah tamat dan sekarang adalah Takhwif Ukhrawi, menceritakan kejadian pada Hari Kiamat.

۞ وَتَرَكنا بَعضَهُم يَومَئِذٍ يَموجُ في بَعضٍ ۖ وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَجَمَعنٰهُم جَمعًا

Sahih International

And We will leave them that day surging over each other, and [then] the Horn will be blown, and We will assemble them in [one] assembly.

Malay

Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.

 

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ

Dan Kami biarkan sebahagian mereka bercampur baur pada hari itu;

Pada hari yang ditakdirkan itu, Ya’juj dan Ma’juj dapat keluar dari tempat itu dan akan bercampur antara manusia biasa dan Ya’juj dan Ma’juj. Kalimah يَمُوجُ daripada katadasar م و ج yang bermaksud menjadi gelisah; bermasalah; membengkak; lonjakan; menekan dengan kuat seperti ombak; kemarahan. Mereka begitu ramai sampai dibayangkan mereka seperti ombak yang membelah pantai. Seperti yang telah disebut sebelum ini: nisbah kita adalah satu dan mereka 99 orang. Apabila mereka keluar ramai-ramai, manusia waktu itu memang akan dilanggar oleh mereka begitu sahaja.

Mereka akan melakukan kerosakan kepada harta manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki. Mana-mana manusia yang mereka jumpa, mereka akan bunuh. Senang sahaja mereka bunuh seperti memijak budak-budak sahaja nanti. Tidak pernah terjadi kejadian macam itu dalam sejarah manusia. Itu akan terjadi sebelum kiamat dan setelah keluar Dajjal. Apabila Ya’juj Ma’juj telah keluar, itu adalah tanda tidak lama lagi akan kiamat. Ini telah disebut di dalam Anbiya’: 96

حَتّىٰ إِذا فُتِحَت يَأجوجُ وَمَأجوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلونَ
Hingga apabila dibukakan (tembok) Ya’juj dan Ma’juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi.

Kemunculan mereka amat menakutkan. Ini seperti disebutkan dalam riwayat Al-Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ, daripada Ibnu Harmalah, daripada makciknya, beliau berkata:

خَطَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَاصِبٌ إِصْبَعَهُ مِنْ لَدْغَةِ عَقْرَبٍ فَقَالَ: إِنَّكُمْ تَقُولُونَ لاَ عَدُوَّ وَإِنَّكُمْ لاَ تَزَالُونَ تُقَاتِلُونَ عَدُوًّا حَتَّى يَأْتِيَ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ عِرَاضُ الْوُجُوهِ صِغَارُ الْعُيُونِ شُهْبُ الشِّعَافِ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ كَأَنَّ وُجُوهَهُمُ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ
Rasulullah ﷺ berkhutbah dalam keadaan jarinya dibalut kerana disengat kala jengking. Baginda bersabda: “Kamu mengatakan tidak ada musuh. Padahal sesungguhnya kamu akan terus memerangi musuh sampai datangnya Ya’juj dan Ma’juj, lebar mukanya, kecil (sepet) matanya, dan ada warna putih di rambut atas. Mereka mengalir dari tempat-tempat yang tinggi, seakan-akan wajah-wajah mereka seperti perisai.”
(Riwayat Ahmad di dalam Musnad: 22331)
Status: Dhaif

Sekalipun hadith di atas Dhaif, tetapi rujuk pula hadith sahih selepas ini. Ia menceritakan yang Ya`juj dan Ma`juj ketika keluar tidaklah melalui sesuatu kecuali dirosaknya. Tidaklah melalui danau kecuali meminumnya hingga habis. Tidaklah mendapati manusia kecuali dibunuhnya sampai ketika mereka merasa menang membantai seluruh penduduk bumi, mereka menentang pula penduduk langit. Inilah kesombongan yang luar biasa Ya`juj wa Ma`juj.

ثُمَّ يَسِيرُونَ حَتَّى يَنْتَهُوا إِلَى جَبَلِ الْـخُمَرِ وَهُوَ جَبَلُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَيَقُولُونَ: لَقَدْ قَتَلْنَا مَنْ فِي اْلأَرْضِ هَلُمَّ فَلْنَقْتُلْ مَنْ فِي السَّمَاءِ. فَيَرْمُونَ بِنُشَّابِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ فَيَرُدُّ اللهُ عَلَيْهِمْ نُشَّابَهُمْ مَخْضُوبَةً دَمًا
“Kemudian mereka berjalan dan berakhir di gunung Khumar, iaitu salah satu gunung di Baitul Maqdis. Kemudian mereka berkata: “Kita telah membantai penduduk bumi, mari kita membantai penduduk langit.” Maka mereka melemparkan panah-panah dan tombak-tombak mereka ke langit. Maka Allah kembalikan panah dan tombak-tombak mereka dalam keadaan berlumuran darah.”
(Riwayat Muslim dalam kitab Al-Fitan wa Asyrathus Sa’ah)

Seperti yang telah disebut, ada juga ulama’ yang mengatakan ini ayat ini menceritakan keadaan di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ akan biarkan mereka yang derhaka itu bercampur aduk satu sama lain.

Sebenarnya kita boleh lihat bagaimana tafsiran ulama’ berkenaan mereka ini berubah mengikut zaman. Golongan ulama’-ulama’ yang terdahulu tidak berani untuk memberitahu dengan spesifik siapakah golongan Ya’juj dan Ma’juj ini tetapi golongan yang kemudian mula membuka minda mereka untuk merujuk kepada sesuatu kaum.

Antara pendapat moden tentang mereka ini adalah merujuk kepada bangsa Eropah kerana mereka itu datang dari tempat yang tinggi dan mereka datang menakluk negara-negara yang mundur dan kaum mereka telah memakan hasil daripada negara-negara mundur itu.

Kita tidak tahu dengan pasti bagaimanakah pemahaman yang sebenarnya tetapi kita hendak memberitahu bagaimana pentafsiran sesuatu ayat itu berubah mengikut zaman. Maknanya persekitaran semasa sedikit sebanyak memberi warna kepada tafsiran kita kepada Al-Qur’an. Tambahan pula akal manusia berlainan tahap dan berlainan jenis. Maka kerana itu tafsiran ulama’ berbeza-beza. Kita pilihlah mana yang sesuai dan rapat dengan dalil yang ada.

Ya’juj dan Ma’juj itu akan turun dari tempat-tempat yang tinggi dan mereka akan membunuh mana-mana sahaja manusia yang mereka temui. Di dalam kitab tafsir disebut bahawa yang selamat hanyalah mereka yang duduk di dalam masjid sahaja. Oleh kerana mereka dikatakan turun dari tempat tinggi, itu memberi isyarat yang pergerakan mereka laju. Bukanlah seperti zombie dalam filem yang bergerak perlahan sahaja.

Pada pendapat kita, perkara ini lambat lagi terjadi. Dalam riwayat disebut bagaimana mereka itu akan keluar apabila matahari naik dari arah barat sampai tengahari dan turun semula ke barat. Dari mula kejadian itu sebagai alamat terakhir, kiamat akan berlaku 120 tahun selepas itu.

Waktu matahari naik dari arah barat dan sebelum turun itu adalah waktu terakhir untuk bertaubat. Maknanya taubat selepas itu tidak akan diterima selama 120 tahun. Kiamat akan berlaku kepada orang-orang yang tidak beriman. Semoga kita diselamatkan daripada keadaan itu kerana ia adalah amat menakutkan sekali.

Hadith panjang yang dapat memberi gambaran tentang kejadian ini adalah seperti hadith di bawah. Ia dimulai dengan kisah Dajjal kerana keluarnya Ya’juj dan Ma’juj adalah selepas Dajjal keluar dan selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun ke bumi:

قَالَ [الْإِمَامُ] أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ أَبُو الْعَبَّاسِ الدِّمَشْقِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ، حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ جَابِرٍ الطَّائِيُّ -قَاضِي حِمْصَ-حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ جُبَير بْنِ نُفَير الْحَضْرَمِيُّ، عَنِ أَبِيهِ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّوّاس بْنَ سمْعانَ الْكِلَابِيَّ قَالَ: ذَكَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدَّجَّالَ ذَاتَ غَداة، فخَفَض فِيهِ ورَفَع، حَتَّى ظَنَنَّاهُ فِي طَائِفَةِ النَّخْلِ، [فَلَمَّا رُحْنَا إِلَيْهِ عَرَفَ ذَلِكَ فِي وُجُوهِنَا، فَسَأَلْنَاهُ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَكَرْتَ الدَّجَّالَ الْغَدَاةَ، فَخَفَّضْتَ فِيهِ وَرَفَّعْتَ حَتَّى ظَنَنَّاهُ فِي طَائِفَةِ النَّخْلِ]. فَقَالَ: “غَيْرُ الدَّجَّالِ أخْوَفُني عَلَيْكُمْ، فَإِنْ يَخْرُجْ وَأَنَا فِيكُمْ فَأَنَا حَجِيجُه دُونَكُمْ، وَإِنْ يَخْرُجْ وَلَسْتُ فِيكُمْ فَامْرُؤٌ حَجِيجُ نَفْسِهِ، وَاللَّهُ خَلِيفَتِي عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ: إنه شاب جَعْدُ قَطَط عينه طَافِيَةٌ، وَإِنَّهُ يَخْرُجُ خَلَةَ بَيْنَ الشَّامِ وَالْعِرَاقِ، فَعَاثَ يَمِينًا وَشِمَالًا يَا عِبَادَ اللَّهِ اثْبُتُوا”. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا لُبْثُهُ فِي الْأَرْضِ؟ قَالَ: “أَرْبَعِينَ يَوْمًا، يَوْمٌ كَسَنَةٍ، وَيَوْمٌ كَشَهْرٍ، وَيَوْمٌ كَجُمُعَةٍ، وَسَائِرُ أَيَّامِهِ كَأَيَّامِكُمْ”.قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَذَاكَ الْيَوْمُ الَّذِي هُوَ كَسَنَةٍ، أَتَكْفِينَا فِيهِ صَلَاةُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ؟ قَالَ: “لَا اقْدِرُوا لَهُ قَدْرَهُ”.قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَمَا إِسْرَاعُهُ فِي الْأَرْضِ؟ قَالَ: “كَالْغَيْثِ اسْتَدْبَرَتْهُ الرِّيحُ”. قَالَ: “فَيَمُرُّ بِالْحَيِّ فَيَدْعُوهُمْ فَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ، وَالْأَرْضَ فَتُنْبِتُ، وَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ وَهِيَ أَطْوَلُ مَا كَانَتْ ذُرَى، وَأَمَدُّهُ خَوَاصِرَ، وَأَسْبَغُهُ ضُرُوعًا. وَيَمُرُّ بِالْحَيِّ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قولَه، فَتَتْبَعُهُ أَمْوَالُهُمْ، فَيُصْبِحُونَ مُمْحلين، لَيْسَ لَهُمْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ. وَيَمُرُّ بالخَربة فَيَقُولُ لَهَا: أَخْرِجِي كُنُوزَكِ، فَتَتْبَعُهُ كُنُوزُهَا كَيَعَاسِيبِ النَّحْلِ”. قَالَ: “وَيَأْمُرُ بِرَجُلٍ فيُقتَل، فَيَضْرِبُهُ بِالسَّيْفِ فَيَقْطَعُهُ جَزْلتين رَمْيَةَ الغَرَض، ثُمَّ يَدْعُوهُ فَيُقْبِلُ إِلَيْهِ [يَتَهَلَّلُ وَجْهُهُ]. فَبَيْنَمَا هُمْ عَلَى ذَلِكَ، إِذْ بَعَثَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ، فَيَنْزِلُ عِنْدَ الْمَنَارَةِ الْبَيْضَاءِ، شَرْقِيَّ دِمَشْقَ، بَيْنَ مَهْرُودَتَين وَاضِعًا يَدَه عَلَى أَجْنِحَةِ مَلَكين، فَيَتْبَعُهُ فَيُدْرِكُهُ، فَيَقْتُلُهُ عِنْدَ بَابِ لُدّ الشَّرْقِيِّ”. قَالَ: “فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ، إِذْ أَوْحَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ: أَنِّي قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا مِنْ عِبَادِي لَا يَدَانِ لَكَ بِقِتَالِهِمْ، فَحَوّز عِبَادِي إِلَى الطُّورِ، فَيَبْعَثُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَهُمْ كَمَا قَالَ اللَّهُ: {مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ} فَيَرْغَبُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ نَغَفًا فِي رِقَابِهِمْ، فَيُصْبِحُونَ فَرْسى، كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ. فَيَهْبِطُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ، فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ بَيْتًا إِلَّا قَدْ مَلَأَهُ زَهَمُهم ونَتْنهُم، فَيَرْغَبُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ، فَيُرْسِلُ عَلَيْهِمْ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ البُخْت، فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ”.
قَالَ ابْنُ جَابِرٍ فَحَدَّثَنِي عَطَاءُ بْنُ يَزِيدَ السَّكْسَكيّ، عَنْ كَعْبٍ -أَوْ غَيْرِهِ-قَالَ: فَتَطْرَحُهُمْ بالمَهْبِل. [قَالَ ابْنُ جَابِرٍ: فَقُلْتُ: يَا أَبَا يَزِيدَ، وَأَيْنَ المَهْبِل؟] ، قَالَ: مَطْلَعُ الشَّمْسِ.
قَالَ: “وَيُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لَا يَكُنَّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَر وَلَا وَبَر أَرْبَعِينَ يَوْمًا، فَيَغْسِلُ الْأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كالزّلَقَةِ، وَيُقَالُ لِلْأَرْضِ: أَنْبِتِي ثَمَرَتَكِ، ورُدي بَرَكَتَكِ”. قَالَ: “فَيَوْمَئِذٍ يَأْكُلُ النَّفَرُ مِنَ الرُّمَّانَةِ وَيَسْتَظِلُّونَ بقحْفها، ويُبَارك فِي الرَسْل، حَتَّى إِنَّ اللَّقْحَةَ مِنَ الْإِبِلِ لَتَكْفِي الفِئَامَ مِنَ النَّاسِ، وَاللَّقْحَةَ مِنَ الْبَقَرِ تَكْفِي الْفَخِذَ، وَالشَّاةَ مِنَ الْغَنَمِ تَكْفِي أَهْلَ الْبَيْتِ”. قَالَ: “فَبَيْنَمَا هُمْ عَلَى ذَلِكَ (، إِذْ بَعَثَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ رِيحًا طَيِّبَةً تَحْتَ آبَاطِهِمْ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُسْلِمٍ -أَوْ قَالَ: كُلِّ مُؤْمِنٍ-وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ يَتَهَارَجُونَ تَهَارُجَ الْحَمِيرِ، وَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ”.
Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ telah mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Al-Walid ibnu Muslim, Abul Abbas Ad-Dimasyqi, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Yazid ibnu Jabir, telah menceritakan kepadaku Yahya ibnu Jabir At-Ta-i (kadi Himsa), telah menceritakan kepadaku Abdur Rahman ibnu Jubair ibnu Nafir Al-Hadrami, daripada ayahnya; dia mendengar An-Nawwas ibnu Sam’an Al-Kalabi mengatakan bahawa pada suatu siang hari Rasulullah ﷺ menceritakan tentang Dajjal dengan suara yang terdengar adakalanya rendah dan adakalanya keras, sehingga kami menduga baginda berada di dalam kebun kurma. Nabi ﷺ bersabda, “Bukan Dajjal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika Dajjal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan aku tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang muslim wajib membela dirinya, dan Allah-lah yang menjaga setiap orang muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya Dajjal adalah seorang yang berusia muda, berambut keriting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba Allah, berpendirian teguhlah kalian.”
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lamakah Dajjal tinggal di bumi?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Empat puluh hari; sehari ada yang lamanya sama dengan satu tahun, sehari ada yang lamanya sama dengan satu bulan, sehari ada yang lamanya sama dengan satu minggu, sedangkan hari-hari lainnya sama dengan hari-hari kalian sekarang ini.”
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, tentang sehari yang lamanya sama dengan satu tahun, apakah cukup bagi kita mengerjakan solat sehari semalam di dalamnya?” Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak boleh, tetapi tentukanlah perhitungan waktunya oleh kalian.”
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah kecepatan perjalanan Dajjal (dan pasukannya) di muka bumi ?” Rasulullah ﷺ bersabda, “Seperti hujan yang diiringi dengan angin besar. Lalu melewati suatu kampung, maka Dajjal dan bala tenteranya menyeru mereka. Dan bila mereka menerima seruannya, maka Dajjal memerintahkan kepada langit untuk hujan, lalu turunlah hujan; dan memerintahkan kepada bumi untuk menumbuhkan tumbuhan, maka tumbuhlah tumbuhan dengan suburnya, sehingga ternakan mereka berkembang dengan pesat dan berbadan gemuk-gemuk serta berlimpah air susunya. Bila Dajjal melewati suatu kampung dan menyeru mereka, tetapi mereka menolaknya, maka harta benda mereka (yakni ternakan mereka) mengikuti Dajjal, sehingga mereka tidak mempunyai harta lagi, tiada sesuatu pun yang tersisa daripada milik mereka. Bila Dajjal melewati suatu daerah yang tandus, maka dia berkata, ‘Keluarkanlah semua perbendaharaanmu.” Maka semua perbendaharaan tanah tandus itu muncul dan mengikutinya bagaikan lebah mengikuti ratunya.”
Rasulullah ﷺ melanjutkan kisahnya, bahawa Dajjal memerintahkan untuk membunuh seorang lelaki, lalu lelaki itu dipukulnya dengan pedang hingga terpotong menjadi dua bahagian dalam keadaan terpental jauh. Kemudian Dajjal memanggilnya, ternyata lelaki itu hidup kembali dan datang kepadanya. Ketika Dajjal dan pasukannya dalam keadaan demikian, Allah menurunkan Al-Masih Isa putra Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun di menara putih yang ada di sebelah timur kota Dimasyq dengan memakai dua lapis baju berwarna kuning seraya meletakkan kedua tangannya di antara sayap dua malaikat. Lalu Isa putra Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengejar Dajjal dan dapat mengalahkannya di pintu gerbang sebelah timur Kota Ladd, lalu Dajjal dibunuhnya.
Rasulullah ﷺ melanjutkan kisahnya, bahawa ketika mereka dalam keadaan demikian (bersama Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), tiba-tiba Allah menurunkan wahyu-Nya kepada Isa putra Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, “Bahawasanya Aku telah mengeluarkan sebahagian daripada hamba-hamba-Ku yang tidak akan mampu bagimu memerangi mereka, maka selamatkanlah hamba-hamba-Ku yang beriman ke Bukit Thur.”
Lalu Allah mengeluarkan Ya’juj dan Ma’juj, sebagaimana yang disebutkan oleh firman-Nya: dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. (Al-Anbiya: 96) Maka Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sahabat-sahabatnya berdoa kepada Allah dengan penuh harap. Kemudian Allah mengirimkan wabak ulat yang menjangkiti tengkuk Ya’juj dan Ma’juj, sehingga mereka mati semuanya bagaikan matinya seseorang kerana wabak tersebut. Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan para sahabatnya turun, mereka tidak menjumpai suatu rumah pun melainkan dipenuhi dengan bangkai dan bau busuk Ya’juj dan Ma’juj. Lalu Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan para sahabatnya kembali memohon kepada Allah dengan penuh harap (agar dibebaskan daripada bencana itu). Maka Allah mengirimkan burung-burung yang besar tiap seekornya sama dengan unta yang paling besar, lalu burung-burung itu membawa bangkai Ya’juj dan Ma’juj untuk membuangnya ke tempat yang dikehendaki oleh Allah.
Ibnu Jabir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ata ibnu Yazid As-Saksaki, dari Ka’b atau lainnya yang mengatakan bahawa burung-burung itu membuang bangkai Ya’juj dan Ma’juj ke Al-Mahyal. Ibnu Jabir bertanya, “Hai Abu Yazid, di manakah Al-Mahyal itu ?” Abu Yazid menjawab, “Tempat terbitnya matahari.”
Abu Yazid melanjutkan kisahnya, bahawa lalu Allah menurunkan hujan lebat yang melanda semua bangunan kota dan kampung-kampung selama empat puluh hari tanpa berhenti; hujan itu mencuci bumi sehingga menjadi bersih dan licin. Lalu dikatakan kepada bumi, “Keluarkanlah tumbuhanmu dan keluarkanlah keberkatanmu.” Maka pada masa itu satu buah delima dapat mencukupi bagi beberapa orang makan, mereka dapat bernaung di bawah daunnya. Ternakan diberkati pula sehingga perahan susu seekor unta betina dapat mencukupi untuk minum sejumlah besar orang, perahan susu daripada seekor sapi betina dapat mencukupi banyak orang, dan perahan susu seekor kambing betina cukup untuk satu keluarga. Ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba Allah mengirimkan angin yang berbau harum, lalu angin itu menerpa bahagian bawah ketiak mereka dan mencabut roh setiap orang muslim, atau setiap orang mukmin. Sehingga yang tertinggal di bumi ini hanyalah orang-orang jahat saja, sikap mereka sama dengan sekumpulan keldai liar, maka hari kiamat terjadi di atas mereka.
(HR. Ahmad 5/196, Muslim no. 5361, Hakim no. 8732)

Daripada hadith ini dan beberapa hadith lain, ia menunjukkan kemunculan Ya’juj dan Ma’juj ini datang berdekatan dengan Kiamat. Ia berlaku selepas kemunculan Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh itu, ia menolak pendapat yang mengatakan Ya’juj dan Ma’juj sudah keluar sampaikan ada dikatakan mereka itulah bangsa Tartar, bangsa Eropah, Mongolia dan berbagai pendapat lagi. Itu semua tidak benar.

 

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Maka Kami akan tiupkan sangkakala;

Tidak lama selepas dikeluarkan Ya’juj Ma’juj itu, maka Kiamat akan berlaku. Akan ditiupkan sangkakala untuk mematikan semua makhluk yang ada di dalam alam ini. Setelah semuanya hancur, mereka akan dikumpulkan. Tiupan yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Tiupan Kedua iaitu apabila hendak dikumpulkan semua makhluk di Mahsyar.

 

فَجَمَعْنٰهُمْ جَمْعًا

Kami akan kumpulkan mereka bersama;

Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar. Ini adalah peringatan tentang Hari Kiamat. Ringkas sahaja diceritakan di sini, sebab di tempat lain sudah banyak diceritakan dengan panjang lebar.

Di sini kalimah جَمْعًا adalah maf’ul mutlaq. Maksudnya berkumpul sebenar-benar berkumpul, ertinya tidak ada yang akan ketinggalan dan tidak akan ada perbezaan penghargaan kerana semua manusia sama di sisi Allah ‎ﷻ. Cuma di atas dunia ini juga manusia yang kerapkali meminta keistimewaan penghargaan kononnya darjat mereka yang berbeza. Maka ketika akan menghadapi perhitungan dan penelitian amal, akan samalah darjat kesemua manusia, tidak ada yang mendapat pengecualian.

Selesai kisah DzulQarnain. Begitulah dapat kita fahami di sini bahawa tidak kiralah betapa hebat sekalipun DzulQarnain itu dengan segala kekuatan yang telah diberikan kepada beliau, ternyata tidak dapat beliau mengalahkan Ya’juj Ma’juj itu. Beliau hanya dapat mengurung mereka sahaja di sebalik tembok besi. Begitulah juga nanti dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, pun tidak dapat mengalahkan Ya’juj Ma’juj itu, melainkan baginda mesti meminta bantuan Allah ‎ﷻ juga akhirnya.

Akan tetapi kenapa kita tidak dapat nampak Ya’juj Ma’juj ini sekarang? Sudah banyak kajian telah dilakukan oleh berbagai pihak, eksplorasi dan sebagainya, masih lagi tidak tahu kedudukan mereka yang sebenar. Jawapannya kerana sekarang ini tidak ada sesiapa yang menguasai semua wilayah dunia sebagaimana DzulQarnain itu. Maka ada kawasan yang tidak dapat dimasuki oleh kerajaan sekarang.


 

NASIB MUSYRIK DI HARI PENGHAKIMAN

Kahf Ayat 100:

وَعَرَضنا جَهَنَّمَ يَومَئِذٍ لِّلكٰفِرينَ عَرضًا

Sahih International

And We will present Hell that Day to the Disbelievers, on display –

Malay

Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;

 

Neraka akan ditarik keluar oleh malaikat ke Mahsyar untuk ditunjukkan kepada makhluk yang berada di Mahsyar terutama sekali kepada ahli neraka. Neraka akan dipanaskan sekali ganda daripada kehangatan dunia. Manusia akan dapat mendengar neraka itu menggelegak. Kejadian ini juga disebut di dalam Fajr: 23

وَجِيءَ يَومَئِذٍ بِجَهَنَّمَ ۚ يَومَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإِنسٰنُ وَأَنّىٰ لَهُ الذِّكرىٰ
Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.

Berapa besar neraka itu sampai boleh dibawa-bawa pula?

Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda,
يُؤتى بالنارِ يومَ القيامةِ لها سبعون ألفَ زمامٍ مع كلِّ زمامٍ سبعون ألفَ ملَكٍ يجرُّونَها
“Neraka (Jahannam) pada hari kiamat akan didatangkan, ia memiliki 70,000 tali. Pada setiap talinya terdapat 70,000 malaikat yang menariknya”
(Riwayat Sahih Muslim No. 2842)

Ternyata neraka bukanlah kecil tetapi amat besar. Ia akan ditarik ke Mahsyar kelak untuk ditunjukkan kepada ahli neraka. Kejadian ini adalah untuk beri mereka azab takut dahulu dengan melihat neraka sebelum benar-benar dimasukkan ke dalamnya.


 

Kahf Ayat 101: Penjelasan siapakah orang kafir itu. Bagaimana keadaan mereka di dunia.

الَّذينَ كانَت أَعيُنُهُم في غِطاءٍ عَن ذِكري وَكانوا لا يَستَطيعونَ سَمعًا

Sahih International

Those whose eyes had been within a cover [removed] from My remembrance, and they were not able to hear.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.

 

الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ

Iaitu orang-orang yang mata mereka dulu dalam tutupan;

Maksudnya semasa mereka hidup di dunia, mereka lalai dan leka daripada menerima pengajaran agama. Mata hati mereka tertutup daripada wahyu Al-Qur’an. Kalimah غِطَاءٍ adalah daripada katadasar غ ط ي yang bermaksud penutup; tudung; kejahilan. Apabila ditunjukkan kebenaran kepada mereka, mereka tidak mampu melihatnya kerana ada tutupan maknawi (dari segi makna sahaja) pada mata mereka.

Kita boleh lihat ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak عين adalah أعيُن bagi mata dan عُيُون bagi mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

عَنْ ذِكْرِي

dari peringatan Kami;

Yang ditutup itu adalah daripada peringatan Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan ‘peringatan’ itu adalah sama ada pengajaran daripada Al-Qur’an atau dari mana-mana guru yang mengajar. Mata mereka bagaikan tertutup dan kerana itu mereka tidak dapat melihat kebenaran walaupun ia ada di depan mata mereka.

 

وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا

dan mereka tidak dapat mendengar;

Bukan sahaja mata mereka tertutup daripada melihat kebenaran, telinga mereka tidak dapat mendengar wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Bila dibacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka, mereka tidak dapat terima kerana telinga mereka bagai ditutup. Macam masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Tidak sanggup mendengar, ertinya bahawa tiap-tiap dibicarakan orang di hadapannya suatu seruan kebenaran, tidak sanggup telinganya mendengarkan, kerana hidupnya telah terpukau oleh nafsu-nafsu yang jahat, sampai dia merasa berat akan meninggalkan kejahatan itu. Sebab itu dia merasa lebih baik jangan didengarkan sahaja seruan-seruan orang kepada kebenaran itu. Seumpama seseorang itu diajak mendengarkan ajaran-ajaran agama, dia tidak mahu menuruti ajakan itu kerana dia takut kata-kata guru yang mengajar itu akan menyindir dirinya saja. Atau mengancam akan masuk neraka barangsiapa yang melanggar perintah Tuhan. Sehingga ada mereka yang mencela ahli-ahli dakwah itu, katanya tidak pandai menarik hati orang, hanya mengancam saja. Padahal yang disampaikan itu bukanlah kehendak orang yang mengatakan itu, melainkan seruan Allah ﷻ jua, namun telinganya tidak sanggup mendengarkannya, dia takut dikritik.

Sekian Ruku’ ke 11 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 28 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 111 (Penutup Surah Isra’)

Isra’ Ayat 111: Ini juga adalah ayat Dakwa Surah iaitu berkenaan Tauhid. Ada lima pengajaran di dalam ayat ini tentang Tauhid.

وَقُلِ ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ فِى ٱلمُلكِ وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ‌ۖ وَكَبّرهُ تَكبِيرَۢا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Praise to Allāh, who has not taken a son and has had no partner in [His] dominion and has no [need of a] protector out of weakness; and glorify Him with [great] glorification.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan tidak memerlukan penolong kerana hina dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

 

وَقُلِ ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَم يَتَّخِذ وَلَدًا

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak

Segala puji kita adalah untuk Allah ﷻ kerana apa-apa sahaja pujian, akan kembali kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh kalau anda puji saya kacak, pujian itu kembali kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang menjadikan saya kacak, bukan?

Sekiranya tahmid dinisbahkan kepada Musyrikin Mekah (kerana mereka yang mula-mula menerima ayat ini), ia menekankan yang mereka juga ada menggunakan kalimah al-hamd akan tetapi ia digunakan juga untuk ilah-ilah mereka selain Allah ﷻ. Di sini ia bermaksud Al-Hamd adalah pujian yang khusus diberikan kepada entiti yang ada sifat Tuhan dan ia hanya boleh diberikan kepada Allah ﷻ. Di sini Allah ﷻ menolak fahaman syirik mereka itu dan memperbetulkan bahawa al-hamd itu hanya untuk Allah ﷻ sahaja.

Penerangan lanjut tentang maksud ‘Alhamdulillah’ telah disentuh dengan panjang lebar di dalam Surah Fatihah.

Salah satu Sifat Allah ﷻ yang hendak ditekankan adalah Allah ﷻ tidak mengambil anak. Kita puji Allah ﷻ kerana Allah ﷻ terpuji kerana tidak mengambil anak. Keperluan kepada anak adalah keperluan makhluk sahaja untuk meneruskan legasinya, membantunya dan menggembirakannya. Akan tetapi Allah ﷻ tidak memerlukan anak kerana Dia tidak lemah dan tidak akan mati-mati.

Ini adalah teguran kepada agama-agama yang mengatakan Allah ﷻ memerlukan ‘wakil’ di dalam penyembahan dan doa. Ini adalah kerana ‘anak’ yang dimaksudkan adalah ‘wakil’. Iaitu wakil untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Ini adalah fahaman syirik yang mengatakan Allah ﷻ memerlukan perantara dalam sembahan dan doa kepada-Nya. Oleh kerana itu, Musyrikin Mekah mengatakan Allah ﷻ mengambil para malaikat sebagai anak Allah ﷻ; penganut Kristian mengatakan yang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah anak Allah ﷻ; Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah ﷻ.

Umat Islam yang jahil wahyu pun mengatakan Allah ﷻ memerlukan wakil dalam doa. Kerana itu ada yang menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam sembahan dan doa. Kerana itu ada yang seru Nabi Muhammad ﷺ (dan nabi-nabi lain), seru wali (sampai pergi ke kubur yang kononnya dikatakan wali) dan juga seru para malaikat (seperti Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Mikail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Kalau anda bercampur gaul dengan masyarakat Melayu kita, memang akan berjumpa dengan hal-hal sebegini.

 

وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ فِى ٱلمُلكِ

dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya

Allah ﷻ tidak memerlukan syarik (sekutu) dalam pentadbiran Kerajaan-Nya. Allah ﷻ memerintah alam ini sendirian berhad dan tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa langsung. Allah ﷻ juga tidak menyerahkan mana-mana bahagian daripada pemerintahan-Nya kepada Nabi atau wali.

Ini adalah kerana ada fahaman sesat yang mengatakan bahagian yang besar, Allah ﷻ pantau sendiri tetapi ada bahagian-bahagian kecil yang diberikan kepada ‘wakil-wakil-Nya’. Kononnya ada wali itu jaga kawasan ini dan ada wali itu jaga kawasan itu. Ini adalah syirik fi tasarruf (syirik dalam pentadbiran). Mereka beriktikad yang ada wali yang menjaga daerah tertentu, negara tertentu. Lihatlah bagaimana mereka sanggup menyamakan Kerajaan Allah ﷻ sebagaimana kedudukan seorang ADUN dalam kerajaan Malaysia pula! Ini adalah fahaman yang tersimpang jauh dan syirik. Maka Allah ﷻ ingatkan yang Dia tidak perlu bantuan dalam mentadbir alam ini.

 

وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ‌ۖ

dan tidak memerlukan penolong kerana hina

Memang tiada wali bagi Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak hina. Maknanya Allah ﷻ tidak perlukan penolong langsung kerana Allah ﷻ tidak lemah. Kita yang lemah inilah yang memerlukan wali dan pembantu, tetapi Allah ﷻ tidak lemah langsung. Maka buat apa Allah ﷻ perlukan pembantu dalam mentadbir alam ini?

 

وَكَبّرهُ تَكبِيرَۢا

dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Maka agungkan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ memang layak diagungkan. Besarkanlah Allah ﷻ dari segi hati, lidah dan perbuatan. Jangan setakap cakap sahaja. Makna itu juga yang hendaknya tercermin dalam tingkah laku seseorang dalam bentuk merendahkan diri kepada-Nya serta patuh pada perintah-perintah-Nya.

Potongan ayat ini adalah tentang ‘takbir’. Maka ayat ini terikat dengan ayat pertama surah ini – dalam ayat 1 itu ada ‘subhanallah’ dan ayat ini sambung dengan alhamdulillah dan Allahu Akbar – maka melengkapkan zikir yang kita selalu baca selepas solat – subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaaha illallah walallahu akbar.

Ternyata ayat ini adalah tentang tauhid dan penerangan tentang syirik. Banyak disebut dalam Al-Qur’an, namun malangnya ramai yang tidak faham tentang tauhid dan tentang syirik. Kita kena faham bahawa syirik adalah meninggikan kedudukan makhluk sama dengan Allah ﷻ. Atau merendahkan kedudukan Allah ﷻ sama dengan makhluk.

Itu adalah dua ekstrem yang tidak boleh ada dalam iktikad kita. Allah ﷻ tidak akan sama dengan makhluk. Malangnya, ramai yang sangka syirik itu hanya kalau menyamakan ‘keseluruhan’ sifat Allah ﷻ kepada selain Allah ﷻ. Padahal, kalau salah satu sahaja sifat Allah ﷻ disamakan dengan makhluk pun sudah dikira sebagai syirik.

Maka, penganut Kristian telah melakukan syirik kerana terlalu meninggikan kedudukan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan ke tahap ketuhanan.

Puak Yahudi pula bersalah kerana telah merendahkan kedudukan Allah ﷻ – antaranya mereka kata tangan Allah ﷻ terikat, Allah ﷻ miskin dan sebagainya. Mereka buat tohmahan sebegitu seolah-olah Allah ﷻ itu sifat macam manusia pula!

Ayat ini menekankan untuk mengagungkan Allah ﷻ sebagaimana selayaknya bagi Allah ﷻ. Jangan jadi seperti Bani Israil yang merendahkan kedudukan Allah ﷻ. Dalam ayat terakhir ini disentuh akidah puak Yahudi kerana surah ini adalah tentang mereka, maka fahaman mereka diserang dalam surah ini. Nanti kita akan lihat surah selepas ini tentang orang Kristian pula. Kita kena tahu akidah-akidah yang salah ini sebagai peringatan untuk kita.

Masyhur dalam kalangan imam-imam masjid dan surau di negara kita, apabila selesai memberi salam selepas sembahyang, zikir pertama yang dibaca ialah:

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِيْ لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَّلَمْ يَكُنْ لَّهٗ شَرِيْكٌ فِى الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَّهٗ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا ࣖ

Iaitu ayat Isra: 111 ini.

Membaca bacaan ini selepas sembahyang, tidak ada disebut dalam mana-mana hadith sahih mahupun dhaif. Para sahabat yang menceritakan perihal solat Nabi ﷺ, tidak ada seorang pun menukilkan Nabi ﷺ membaca ayat ini selepas solat. Oleh itu, menjadikan ayat ini sebagai satu zikir khas yang dibaca selepas solat, dengan menganggap ia satu ibadah, adalah salah satu satu bentuk penambahan dalam agama selepas sempurnanya Islam.

Oleh itu, sebagai umat Muhammad ﷺ, hendaklah kita mengambil tatacara ibadah dari awal hingga akhirnya daripada baginda sendiri, sebagaimana sabdanya: “Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang“.

Kemungkinan, penambahan bacaan yang berlaku di kalangan pak-pak imam masyarakat kita adalah kerana:

o Melihat kepada kemuliaan ayat tersebut, di mana ada disebut dalam beberapa hadith dhaif ayat tersebut dinamakan sebagai: ayat al-Izzah (ayat kemuliaan).

o Ayat tersebut diakhiri dengan “Dan bertakbirlah kepada Allah“. Mungkin sebagai isyarat supaya bertakbir selepas sembahyang, sebagaimana disebut dalam hadith, sahabat mengetahui selesainya solat Nabi ﷺ apabila mendengar laungan takbir. Oleh itu dibaca ayat tersebut untuk memperingatkan supaya bertakbir.

Walau bagaimanapun, yang diambilkira dalam ibadah ialah mengikut tatacara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ. Maka kita tidak menyokong amalan masyarakat kita berkenaan hal ini.

Demikian ayat terakhir surah ini bertemu dengan awalnya. Awalnya adalah menyucikan Allah ﷻ secara sempuma darpadai segala macam kekurangan, dan akhirnya adalah memuji-Nya dengan menetapkan bagi-Nya segala macam kesempurnaan yang layak untuk-Nya. Penyucian dan pujian adalah dua hal yang di dalam Al-Qur’an selalu digandingkan dengan mendahulukan penyucian atas pujian. Demikian juga pada surah ini, mendahulukan penyucian Allah ﷻ baru kemudian memuji dan mengagungkan-Nya. Maha Suci dan Maha Agung Allah ﷻ lagi Maha Benar dan serasi firman-firman-Nya.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Isra’. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Kahfi.

Nota: Kita telah habis bahagian kedua Al-Qur’an ini. Kita telah pernah sebutkan yang Al-Qur’an ini boleh dibahagikan kepada 4 bahagian dan setiap bahagian dimulai dengan kalimah alhamdulillah. Selepas ini kita akan masuk dalam bahagian ketiga Al-Qur’an iaitu apabila dimulai dengan Surah al-Kahfi.

 

Kemaskini: 10 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 109 – 110 (Asmaul Husna)

Isra’ Ayat 109: Selepas disebut tentang Ahli Kitab itu jatuh sujud, sekarang disampaikan Ayat Sajdah di dalam surah ini.

وَيَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ يَبكُونَ وَيَزِيدُهُم خُشُوعًا ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they fall upon their faces weeping, and it [i.e., the Qur’ān] increases them in humble submission.

(MELAYU)

Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.

 

وَيَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ يَبكُونَ

Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis

Ini adalah kali kedua dikatakan mereka tersungkur. Ibn ‘Asyurr رَحِمَهُ اللَّهُ menilainya hanya tersungkur sekali sahaja, kerana dalam ayat yang sebelum ini belum disebut keadaan mereka sewaktu sujud adalah dalam keadaan meratap, maka diulangilah kata mereka menyungkur untuk maksud tersebut, yakni ketersungkuran mereka itu dalam keadaan menangis.

Ulama lain seperti al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ menilai bahawa ketersungkuran tersebut terjadi dua kali bahkan berulang-ulang kali, kerana berulangnya ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca atau dengar. Baca sikit tersungkur, baca sikit tersungkur, begitulah.

Thabathaba’i رَحِمَهُ اللَّهُ memahami ketersungkuran pertama berkaitan dengan badan, dan yang kedua berkaitan dengan hati, dan dengan demikian ayat-ayat di atas menggambarkan ketundukan dan kepatuhan sekaligus kekhusyukan kepada Allah ‎ﷻ.

Apa pun pendapat yang diberikan, sekarang disebut mereka sujud sambil menangis kerana hati mereka tersentuh dengan apa yang terjadi. Begitulah kalau hati tersentuh sangat, boleh menangis kerana kegembiraan. Ini juga telah disebut di dalam Maryam: 58

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

Perbuatan menangis semasa membaca Al-Qur’an merupakan sifat para salaf serta syiar hamba-hamba Allah ﷻ yang soleh. Telah warid beberapa nas daripada syarak serta atsar salaf yang menunjukkan kepada hal ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abu Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا
Sesungguhnya Al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.
(Riwayat Ibn Majah No. 1337)

Akan tetapi kenalah faham apa yang kita baca itu, barulah boleh menangis. Kalau tidak faham maksud Al-Qur’an dan tafsirannya, maka seseorang itu tentunya susah tersentuh (atau pun tidak akan mungkin tersentuh). Orang yang faham Al-Qur’an dan faham falsafah solat, maka keduanya itu akan mencegahnya daripada kemungkaran seperti disebut di dalam Ankabut: 45

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kerana itu kalau kita lihat orang yang tidak tinggal solat, tetapi masih lagi melakukan kemungkaran, ini kerana mereka tidak memahami Al-Qur’an dan Solat. Maka keduanya itu tidak memberi kesan kebaikan kepada orang itu.

Di sini disebut orang-orang yang berilmu yang menangis apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka. Ini termasuk juga daripada golongan Yahudi dan Kristian dan perlakuan mereka ini ada disebut di dalam Maidah: 83

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad).

Memang perasaannya terlalu indah jika kita faham apa yang kita baca dan hayati kalimah-kalimah Al-Qur’an ini. Ia akan memberi kesan yang mendalam kepada diri kita. Ia akan menjadi penghibur kita yang tidak tolok bandingnya. Allah ﷻ berfirman di dalam Zumar: 23

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Qur’an itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya);

Lihatlah bagaimana emosi kita akan dimainkan oleh Al-Qur’an itu; sekejap takut sekejap gembira. Inilah keindahan Al-Qur’an.

 

وَيَزِيدُهُم خُشُوعًا

dan mereka bertambah khusyu’.

Bacaan Al-Qur’an dapat meningkatkan hati mereka dalam khusyuk. Khusyuk bermaksud perasaan takut yang sampai menyebabkan badan kaku. Begitulah yang mereka rasa apabila mereka mendengar ayat Al-Qur’an dibacakan.

Mereka faham apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu dan kerana itulah bacaan Al-Qur’an itu berkesan kepada mereka. Namun begitu orang kita yang tidak faham tafsir Al-Qur’an, mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu tanpa memahami pun apa yang mereka baca. Kalau ayat menakutkan pun mereka selamba sahaja baca, bukan?

Ini kerana ramai dalam kalangan masyarakat kita yang selalu baca Al-Qur’an, malah khatam berkali-kali namun mereka tidak ambil pengajaran daripadanya. Mereka baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak sedar yang mereka melakukan amalan yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Alangkah ruginya!

Hukum: di ayat ini disunatkan untuk Sujud Tilawah.

Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjelaskan pula:

“Jangan terburu sujud, menangislah dahulu. Kalau airmata tak berair kerana tangis mata tak ada, menangislah hati. Untuk menimbulkan tangis, sedihkanlah hati. Dan untuk menimbulkan sedih ingatlah ancaman yang ada di dalamnya, ingatlah janji-janji yang telah engkau ikat dengan Allah, dan ingat pula kelalaian dan banyaknya sia-siamu dalam hidup, membuang waktu percuma. Dan kalau sudah sampai demikian tidak juga timbul dukacita dan sedih, sehingga hati tak tergerak dan mata pun tak berair, maka tangisilah dirimu. Sebab perasaanmu itu benarlah yang telah kasar. Itulah musibah dan bencana yang paling besar yang telah menimpa dirimu.”


 

NASIHAT KEPADA RASULULLAH ﷺ

Isra’ Ayat 110: Ini adalah Dakwa Utama surah ini. Iaitu Dakwa berkaitan Tauhid. Allah ﷻ boleh diseru dengan Nama-nama-Nya yang banyak, asalkan seru Dia sahaja dan jangan seru selain-Nya. Di awal surah ini kita lihat ada pujian tasbih yang disebut di dalam ayat pertama. Sekarang apabila hendak ditutup surah ini, kembali menyatakan tentang pemujian kepada-Nya.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ menghubungkan ayat ini dengan yang sebelumnya dengan memunculkan satu pertanyaan yang lahir daripada ayat-ayat yang lalu. Iaitu setelah terbukti kebesaran Allah ﷻ dan kebenaran serta keagungan Al-Qur’an, dan setelah dihuraikan bahawa orang-orang yang diberi ilmu sujud kepada Allah ﷻ dengan penuh khusyuk, sedang saat sujud adalah saat paling tepat untuk berdoa, maka di sini seakan-akan mereka yang tadinya enggan percaya berkata: “Kini kami percaya, maka bagaimana dan dengan nama apa kami bermohon?” Nah, ayat ini menjawab pertanyaan itu.

قُلِ ٱدعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدعُواْ ٱلرَّحمَـٰنَ‌ۖ أَيًّا مَّا تَدعُواْ فَلَهُ ٱلأَسمَآءُ ٱلحُسنَىٰ‌ۚ وَلَا تَجهَر بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِت بِہَا وَٱبتَغِ بَينَ ذٰلِكَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Call upon Allah or call upon the Most Merciful [ar-Raḥman]. Whichever [name] you call – to Him belong the best names.” And do not recite [too] loudly in your prayer or [too] quietly but seek between that an [intermediate] way.

(MELAYU)

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu”.

 

قُلِ ٱدعُواْ ٱللَّهَ أَوِ ٱدعُواْ ٱلرَّحمَـٰنَ‌ۖ

Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman.

Kita disuruh untuk serulah salah satu daripada nama-nama Allah yang banyak. Dalam ayat ini disebut asma’ Allah iaitu ar-Rahman. Itu adalah nama Allah juga dan diberitahu kepada Musyrikin Mekah kerana mereka tidak tahu. Mereka jahil agama kerana maklumat agama mereka tidak ada, mereka sudah lama tidak ada Nabi dan tidak ada kitab, maka maklumat agama sangat sedikit. Yang banyak ada hanyalah kata-kata tok nenek mereka yang reka hal agama, sampaikan mereka menjadi sesat dan amalkan amalan syirik.

Oleh kerana jahil, apabila Allah ﷻ sebut sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an, mereka menjadi hairan. Mereka dengar seolah-olah nama Allah banyak pula, maka mereka bertanya mana satukah yang hendak diseru. Disebutkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ sering mengucapkan kalimat “Ya Allah, Ya Rahman”. Maka orang-orang musyrik kata: “Dia melarang kita untuk menyembah dua Tuhan, sedangkan dia sendiri menyeru tuhan lain disamping-Nya”.

Itulah hasil daripada kejahilan mereka. Mereka sangka Allah dan ar-Rahman itu dua entiti berbeza pula. Maka Allah ﷻ beritahu, nama Allah sahaja yang banyak, tetapi Dzat-Nya hanya satu sahaja. Yang banyak itu nama sifat sahaja, maka janganlah keliru.

Makhul رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah ﷺ melakukan sembahyang tahajjud, lalu baginda berseru dalam doanya: “Ya Rahman, Ya Rahim.” Terdengar oleh seorang daripada golongan musyrikin, sedang di Yamamah ada seseorang bernama Rahman. Maka berkatalah si musyrik itu: “Bagaimana Muhammad ini? Di samping memanggil nama Allah Ya Rahim dipanggilnya pula nama Rahman. Apakah si Rahman yang ada di Yamamah?” Maka datanglah penjelasan pada ayat 110 ini: Baik diseru nama-Nya ya Allah, atau diseru namanya Ya Rahman, adalah sama sahaja. Sebab Allah itu mempunyai berbagai nama-nama yang indah dan terbaik. Ada Rahman yang boleh diertikan Kasih, ada Rahim yang boleh diertikan Sayang. Ada Ghafur, yang bererti pemberi ampun, demikian juga Ghaffar. Ada Syakur yang bererti membalas dengan baik bagi sesiapa yang berbuat baik, dan lebih daripada 99 nama yang lain, yang menunjukkan sifat-sifat-Nya yang Mulia lagi Agung. Maka serulah Dia dengan salah satu daripada nama itu, namun yang diseru tidak lain daripada yang Esa juga. Allah! Bukanlah nama yang berbagai-bagai itu nama daripada tuhan yang berbilang.

Pemilihan kata ar-Rahman di sini, bukan sahaja kerana sifat Allah ﷻ yang paling dominan adalah rahmat-Nya, atau kerana ayat ini ditujukan kepada semua makhluk, baik yang mukmin mahupun yang kafir, dan kerana permohonan kepada-Nya boleh berkaitan dengan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Akan tetapi juga kerana ar-Rahman sebagai nama dan sifat Allah ﷻ tidak dikenal oleh kaum musyrikin, bahkan mereka mengingkarinya seperti disebut di dalam Furqan: 60, sehingga dengan perintah menyeru Allah ﷻ dengan nama ar-Rahman semakin mantap sebagai pengenalan sifat ini bagi Allah ﷻ.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اسجُدوا لِلرَّحمٰنِ قالوا وَمَا الرَّحمٰنُ أَنَسجُدُ لِما تَأمُرُنا
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Sujudlah kamu sekalian kepada Ar-Rahman”, mereka menjawab: “Siapakah Ar-Rahman itu? Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami (bersujud kepada-Nya)?”

 

أَيًّا مَّا تَدعُواْ فَلَهُ ٱلأَسمَآءُ ٱلحُسنَىٰ‌ۚ

Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) 

Allah ﷻ beritahu lagi, mana-mana sahaja nama yang diseru, itu adalah nama-nama yang indah hak Allah ﷻ. Ia adalah nama yang ‘husna’ (terbaik) kerana nama Allah ﷻ itu ada sifat. Asmaul Husna itu ada hakikat di dalamnya, bukan nama kosong sahaja. Semua nama itu milik Allah ﷻ, merujuk kepada-Nya, bukannya kepada tuhan yang lain pula.

Sebagai contoh, kalau kita sebut nama Allah ar-Razzaq (Pemberi Rezeki), memang Allah ﷻ yang memberi rezeki kepada makhluk. Namun kalau nama kawan kita Razak, itu hanya nama dia sahaja, tidak ada hakikat. Kadang-kadang orang itu pun miskin, bagaimana hendak bagi rezeki?

Perintah memuji dan menyucikan Allah ﷻ di sini setelah sebelumnya ada perintah untuk berdoa dengan menyebut nama Allah, atau ar-Rahman atau nama-nama-Nya yang indah selain keduanya, – perintah memuji itu – bertujuan mengingatkan kaum musyrikin dan penyembah berhala bahawa nama-nama yang mereka seru sebagai tuhan-tuhan adalah sekadar nama sahaja tanpa makna dan substansi. Nama-nama itu walaupun mereka nilai sebagai nama-nama tuhan, tetapi ia sama sekali tidak memiliki sedikit pun kemampuan. Adapun kata Allah ﷻ atau ar-Rahman atau nama-nama-Nya yang lain, yang menunjuk kepada Allah ﷻ maka itu adalah lafaz yang penuh erti, dan tertuju kepada Dia Yang Maha Esa, kerana itu puji dan esakanlah Dia.

Bolehlah seru Dia dengan salah satu daripada nama itu, masing-masing menurut tempat dan waktunya. Misalnya engkau digagahi oleh sesamamu manusia, ditekannya engkau serba kekerasan dan kezaliman, maka sebutlah dan serulah nama-Nya: “Ya Allah, Ya Qahhar!” Sebab erti Al-Qahhar ialah yang lebih gagah daripada segala yang gagah. Atau kita sedang merencanakan suatu perbuatan yang baik dan mulia, tetapi kita kekurangan belanja buat meneruskan. Waktu itu tidak ada salahnya kita seru nama-Nya: “Ya Allah, Ya Ghaniyyu!” Ya Allah Tuhan Yang Maha Kaya! Oleh sebab itu maka daripada nama yang mana pun kita masuk menyeru-Nya, terserahlah kepada pilihan kita yang tetap. Maka bertambah ketaatan kita kepada Allah ﷻ, nescaya bertambah kenallah kita akan khasiat (keistimewaan) tiap-tiap nama itu. Inilah yang telah diajar oleh Allah ﷻ di dalam A’raf: 180

وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,

Oleh kerana nama-nama Allah itu ada hakikat, maka kalau minta tolong dengan menyeru nama-nama itu, Allah ﷻ memang boleh tolong. Maka serulah nama-nama Allah ﷻ dalam doa-doa kita. Inilah tawasul yang digalakkan. Gunakanlah nama-nama Allah yang banyak itu sebagai pujian kepada-Nya dan mintalah apa yang hendak diminta. Kalau berdoa minta rezeki, maka serulah nama Allah ar-Razzaq itu. Gunakanlah nama Allah yang sesuai dengan apa yang diminta.

Berhentilah menggunakan nama-nama wali, Nabi dan malaikat. Tidak ada amalan itu dalam agama. Itu adalah amalan musyrikin sebelum Islam – zaman jahiliyah. Itu adalah rekaan manusia sahaja. Oleh kerana masyarakat sekarang jahil, mereka seru nama-nama Nabi, wali dan malaikat seolah-olah kembali kepada zaman jahiliyah.

Mereka menjadikan nama-nama wali, Nabi dan malaikat itu sebagai wasilah untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Namun masalah tidak selesai pun kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat menyelesaikan masalah dan mereka tidak dapat menyampaikan doa kita kepada Allah ﷻ.

Tidak perlu pun guna mereka untuk sampaikan doa kerana Allah ﷻ sentiasa dengar doa kita. Maka serulah nama Allah yang bertepatan, kerana apabila nama Allah diseru, Allah ﷻ boleh selesaikan masalah kita dan menyampaikan kehendak dan hajat yang kita mahu.

 

وَلَا تَجهَر بِصَلَاتِكَ

dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu

Sekarang Allah ﷻ memberi nasihat kepada Nabi ﷺ dan orang mukmin: jangan mengeraskan bacaan dalam solat terlalu kuat. Ini adalah kerana kalau orang musyrik dengar, mereka akan mencari Nabi ﷺ dan para sahabat lalu akan mencaci pula Al-Qur’an dan Allah ﷻ yang telah menurunkannya. Menurut suatu riwayat daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ayat ini diturunkan, agar jangan bersuara keras, sebab kaum Muslimin di Mekah masih lemah. Bacaan yang dikeraskan menyebabkan kecohnya orang musyrikin mencemuh dan mengejek. Kalau kaum Muslimin tidak tahan diejek, akan menimbulkan perkelahian pula kerana melawan golongan musyrikin itu.

Maka walaupun dalam melakukan ibadah, jangan sampai menjerit pula. Ini sama juga larangan untuk berzikir dengan suara yang kuat seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ أَبَا مُوسَى الْأَشْعَرِيَّ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَلَمَّا دَنَوْا مِنْ الْمَدِينَةِ كَبَّرَ النَّاسُ وَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّ الَّذِي تَدْعُونَهُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ أَعْنَاقِ رِكَابِكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا مُوسَى أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ فَقُلْتُ وَمَا هُوَ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Bahawa Abu Musa Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; aku pernah bersama Rasulullah ﷺ dalam suatu perjalanan, kemudian tatkala mereka mendekati Madinah orang-orang bertakbir, dan mengeraskan suara mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai para manusia, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat Yang tuli, dan tidak pula Yang tidak hadir. Sesungguhnya Dzat yang kalian seru ada di antara kalian dan leher haiwan kenderaan kalian.” Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai Abu Musa, mahukah aku tunjukkan kepada harta terpendam di antara harta-harta terpendam Syurga?” Maka aku katakan; apakah itu? Baginda berkata: “LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLAA BILLAAH” (Tidak ada daya dan kekuatan kecuali kerana Allah).
(Sahih Bukhari No. 1305)

Ia juga termasuk tentang doa seperti yang diberitahu oleh Saidatina A’isyah رضي الله عنها,

عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أُنْزِلَ ذَلِكَ فِي الدُّعَاءِ
Daripada [Hisyam] daripada [Bapanya] daripada [‘Aisyah رضي الله عنها] dia berkata; “Ayat di atas turun berkenaan dengan do’a.”
(Sahih Bukhari (4354))

Ini memang benar kerana kalimah صلاة memang asalnya dari segi bahasa bermaksud ‘doa’. Cuma dalam istilah keagamaan, solat digunakan dalam erti bacaan dan gerak-gerak tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Banyak ulama memahami kata tersebut pada ayat ini dalam kedua makna tersebut, apalagi ada solat dalam pengertian kedua di atas, yang hendaknya dilaksanakan dengan suara yang terdengar dan ada juga yang hendaknya tidak didengar kecuali oleh pembacanya.

Bacaan yang kuat juga sebenarnya boleh mengganggu orang lain. Maka ini pun dilarang oleh Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam hadith Nabi ﷺ, yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: «أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ
“Ketika Nabi ﷺ beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Qur’an) sedangkan ketika itu baginda berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat”
(Riwayat Abu Daud No. 1135 dengan sanad yang sahih).

Ini pun ramai orang Melayu kita tidak faham atau tidak tahu langsung. Ramai juga geng masjid/surau yang rajin ke surau tetapi tidak belajar agama dengan benar. Mereka pun bacalah Al-Qur’an, qasidah, zikir munajat, ceramah sekuat-kuatnya sambil memasang speaker luar agar dapat didengari seluruh alam. Mereka sangka mereka telah melakukan kebaikan dengan mengeraskan bacaan itu, konon bagi orang luar (yang tidak ke masjid) dengar. Mereka pun tidak kisah waktu siang, malam atau entah orang lain hendak tidur, hendak belajar, anak-anak kecil atau orang-orang tua hendak berehat, tidur dan sebagainya.

Ini pun sudah banyak viral di mana orang yang marah kepada geng surau ini. Ramai pula yang memarahi orang yang menegur, walaupun yang salah adalah geng surau itu yang jahil tidak tahu agama. Mereka telah menyakiti orang lain tanpa sedar. Bayangkan baca Al-Qur’an menggunakan suara keras pun baginda tegur dan larang, apatah lagi kalau menggunakan speaker? Si geng surau marah pula kerana mereka rasakan apa yang mereka bacakan itu Al-Qur’an, qasidah, zikir, secara nyaring dan lantang itu tidak salah. Lalu bagaimana dengan hadith Nabi ﷺ melarang baca Al-Qur’an yang mulia itu dengan kuat?

 

وَلا تُخافِت بِها

dan janganlah pula merendahkannya

Namun begitu janganlah pula baca rendah sangat sampai tidak dapat didengari langsung. Kalimah تُخافِت daripada kata خفت khafata yang bermaksud ‘merahsiakan’. Maksudnya janganlah baca senyap sangat kerana kalau baca ringan sangat sampai tidak didengari oleh para sahabat dan orang lain yang mukmin, mereka tidak dapat mengambil manfaat pula daripada bacaan itu. Atau kalau kita menjadi imam tetapi makmum tidak dengar apa kita baca, maka tidak kenalah juga.

Dikatakan bahawa Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ membaca Al-Qur’an perlahan sangat sedangkan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pula membaca terlalu kuat. Maka Nabi Muhammad ﷺ menegur keduanya.

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَبِي بَكْرٍ مَرَرْتُ بِكَ وَأَنْتَ تَقْرَأُ وَأَنْتَ تَخْفِضُ مِنْ صَوْتِكَ فَقَالَ إِنِّي أَسْمَعْتُ مَنْ نَاجَيْتُ قَالَ ارْفَعْ قَلِيلًا وَقَالَ لِعُمَرَ مَرَرْتُ بِكَ وَأَنْتَ تَقْرَأُ وَأَنْتَ تَرْفَعُ صَوْتَكَ قَالَ إِنِّي أُوقِظُ الْوَسْنَانَ وَأَطْرُدُ الشَّيْطَانَ قَالَ اخْفِضْ قَلِيلًا
Daripada [Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda kepada Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Aku melewatimu ketika engkau sedang membaca ayat dan engkau merendahkan suaramu.” Maka dia (Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) menjawab, sesungguhnya aku sedang memperdengarkan Dzat yang aku bermunajat kepada-Nya, baginda bersabda: “Keraskan sedikit suaramu.” lalu baginda berkata kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Aku melewatimu ketika engkau sedang membaca ayat dan engkau meninggikan suaramu.” Maka dia (Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) menjawab, sesungguhnya aku sedang membangunkan orang yang tertidur dan mengusir syaitan. Kemudian baginda bersabda: “Rendahkan sedikit suaramu.”
(Sunan Abi Dawud (409))

 

وَابتَغِ بَينَ ذٰلِكَ سَبيلًا

dan carilah jalan tengah di antara kedua itu”.

Maka sebaiknya, carilah suara yang pertengahan antara terlalu kuat dan terlalu perlahan. Oleh itu, dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar manusia cara berdoa kepada-Nya – jangan nyaringkan doa itu atau solat itu. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فِي قَوْلِهِ تَعَالَى { وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا } قَالَ نَزَلَتْ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُخْتَفٍ بِمَكَّةَ كَانَ إِذَا صَلَّى بِأَصْحَابِهِ رَفَعَ صَوْتَهُ بِالْقُرْآنِ فَإِذَا سَمِعَهُ الْمُشْرِكُونَ سَبُّوا الْقُرْآنَ وَمَنْ أَنْزَلَهُ وَمَنْ جَاءَ بِهِ فَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ } أَيْ بِقِرَاءَتِكَ فَيَسْمَعَ الْمُشْرِكُونَ فَيَسُبُّوا الْقُرْآنَ { وَلَا تُخَافِتْ بِهَا } عَنْ أَصْحَابِكَ فَلَا تُسْمِعُهُمْ { وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا }
Daripada [Sa’id bin Jubair رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengenai firman Allah ﷻ: “dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya,” (Al Israa: 110). Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; ayat ini turun ketika Rasulullah ﷺ sembunyi-sembunyi di Makkah. Baginda ﷺ bila mengimami solat para sahabatnya, baginda mengeraskannya saat membaca al Qur`an. Tatkala orang-orang musyrik mendengarkan hal itu, mereka mencela Al-Qur`an, mencela yang menurunkannya dan yang membawakannya. Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada Nabi-Nya: (Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu) maksudnya adalah dalam bacaanmu sehingga orang-orang musyrik mendengarnya dan mereka mencela Al-Qu`ran dan: Dan janganlah pula merendahkannya daripada para sahabatmu sehingga mereka tidak dapat mendengarkan dan mengambil Al-Qu`ran daripadamu dan: Maka carilah jalan tengah di antara kedua itu.
(Sahih Bukhari (4353))

Ayat ini memerintahkan untuk membaca Al-Qur’an ketika solat atau berdoa di luar solat dengan tidak terlalu mengeraskan suara dan tidak juga merahsiakannya. Ini untuk menghindari gangguan terhadap orang lain sekaligus menghindari gangguan daripada orang lain. Nabi ﷺ melaksanakan tuntunan ini dalam pelaksanaan solat dan doa. Itu sebabnya pada ketika orang-orang musyrik masih berkeliaran, di waktu Zuhur dan Asar, bacaan-bacaan solat dilakukan dengan suara yang rahsia (sangat perlahan). Sedangkan di waktu subuh ketika mereka masih nyenyak tidur demikian juga Maghrib dan ‘Isya ketika mereka telah kembali ke rumah masing-masing, solat-solat itu dilaksanakan Nabi ﷺ dengan bacaan yang dapat terdengar secara jelas oleh para makmum.

Berkenaan cara berdoa telah disebut di dalam A’raf: 55

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا وَخُفيَةً ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 105 – 108 (Orang berilmu akan senang beriman)

KEMULIAAN AL-QUR’AN

Isra’ Ayat 105: Setelah menguraikan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama umatnya dan penolakan mereka terhadap mukjizat-mukjizat yang dibawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – huraian yang bertujuan menenangkan hati Nabi Muhammad ﷺ – kini Allah ‎ﷻ kembali membicarakan Al-Qur’an yang menjadi bahan uraian kelompok ayat-ayat yang lalu.

Di sini Allah ﷻ memuji Al-Qur’an yang diturunkan-Nya. Bermula ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro ke 10. Allah ﷻ memberitahu dalam perenggan ini tentang menjaga hak Al-Qur’an dan juga Tauhid.

وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ۗ وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And with the truth We have sent it [i.e., the Qur’ān] down, and with the truth is has descended. And We have not sent you, [O Muḥammad], except as a bringer of good tidings and a warner.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan (Al Qur’an) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur’an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

 

وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ۗ

Dan Kami turunkan (Al Qur’an) itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur’an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. 

Ini adalah titah Allah ﷻ kepada orang Mekah dan setiap manusia. Allah ﷻ hendak menekankan yang diturunkan Al-Qur’an itu adalah untuk menyampaikan kebenaran. Ini adalah kerana orang Mekah itu sangka mereka benar, kerana mereka kata mereka ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi tidak sebenarnya. Oleh itu, Allah ﷻ beritahu kebenaran yang sebenarnya melalui Al-Qur’an ini dan memang berlainan sekali dengan apa yang mereka faham.

Al-Qur’an itu turun dengan kebenaran. Tidak ada perubahan langsung dari dulu sampai sekarang. Segala apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu tidak ada yang bersalahan antara satu sama lain dan tidak bertentangan langsung dengan fitrah kehendak manusia.

Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap dan mantap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ‌ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?

Firman-firman-Nya pun adalah haq yakni tidak berubah-ubah. Kebenaran yang tidak bersumber daripada Allah ﷻ, sifatnya relatif, boleh jadi hari ini benar dan esok boleh jadi salah. Boleh jadi juga sebahagian kandungannya benar dan sebahagian lainnya keliru. Sesuatu yang diragukan tidaklah bersifat haq, kerana ia tidak mantap di hati, demikian juga kebatilan, kerana kebatilan pasti lenyap, cepat atau lambat.

Ada dua kalimah al-haq digunakan dalam ayat ini. Menurut ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ, kata al-haq yang pertama adalah dengan erti lawan kepada keraguan (kerana itu tidak ada keraguan yang menyentuh Al-Qur’an), manakala al-haq yang kedua dalam erti lawan kebathilan.

Atau kita boleh tafsirkan kalimah بِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ bermaksud tujuan Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an adalah untuk menegakkan kebenaran dan kalimah بِٱلحَقِّ نَزَلَ‌ bermaksud Al-Qur’an ini penuh dengan kebenaran baik akidah dan syariat, mahupun akhlak dan semua informasinya.

 

وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Nabi Muhammad ﷺ diutus untuk memberi peringatan dan berita gembira. Kepada mereka yang beriman dan mahu mengikut wahyu yang benar itu, mereka akan mendapat berita gembira; sebaliknya kepada mereka yang degil dan menolak wahyu itu, mereka akan diberikan dengan ancaman dan peringatan. Jadi engkau tidak perlu risau dan bersedih hati jika umatmu menolak kebenaran Al-Qur’an, kerana tugasmu tidak lebih daripada sekadar menyampaikan dan menjelaskan.

Ini juga sebagai penegasan bahawa Nabi ﷺ tidak memiliki sedikit campur tangan pun dalam wahyu Ilahi itu kecuali menyampaikan dan menjelaskannya. Baginda tidak dapat menambah atau mengurangi atau menggantinya, baik atas kehendaknya sendiri, mahupun atas usul umatnya atau para penentang.

Dari sini kita dapat tahu yang tugas Nabi hanya menyampaikan. Bukan ada yang lain, kerana susunan ayat itu adalah إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا. Didahulukan kalimahإِلَّا sebagai penegasan. Ini berbeza dengan orang yang menggunakan ayat “saya datang untuk mengajar” dengan “saya tidak datang melainkan untuk mengajar sahaja”. Dua-dua mengajar bukan? Akan tetapi kalau yang pertama itu boleh jadi juga dia buat benda yang lain. Namun begitu ayat yang kedua menegaskan dia tidak buat benda lain melainkan mengajar semata-mata.

Fakta menarik: ayat ini ada bomoh gunakan untuk berubat. Ia tidak ada kena mengena dengan perubatan.

.


 

Isra’ Ayat 106: Setelah menjelaskan tujuan kehadiran Al-Qur’an dan kandungannya yang kesemuanya adalah haq dan benar, kini dijelaskan bahawa cara turunnya adalah haq dan benar.

 

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [it is] a Qur’an which We have separated [by intervals] that you might recite it to the people over a prolonged period. And We have sent it down progressively.

(MELAYU)

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

 

وَقُرءَانًا فَرَقنَـٰهُ لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكثٍ

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia

Kalimah فَرَقنَـٰهُ boleh bermaksud tujuan Al-Qur’an ini adalah untuk memisahkan antara golongan yang beriman dengannya dan yang tidak beriman. Ia juga membezakan antara kebenaran dan kebathilan, kerana itulah nama lain bagi Al-Qur’an adalah Al-Furqaan.

Maksudnya yang lain adalah Allah ﷻ menurunkan ayat-ayat Al-Qur’an itu sedikit demi sedikit. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an tidak diturunkan sekaligus seperti Kitab Taurat. Kalimah فَرَق bermaksud pecahkan, iaitu Allah ﷻ pecahkan Al-Qur’an itu kepada beberapa bahagian. Allah ﷻ menunggu kejadian-kejadian yang berlaku supaya umat dapat menggunakannya apabila perlu. Maka Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit dan ini adalah rahmat sebenarnya. Tidaklah Al-Qur’an itu diturunkan dengan sekali gus sampai menyusahkan para sahabat untuk mengamalkannya.

Ini juga sebagai jawapan kepada golongan penentang yang mempersoalkan kenapa Al-Qur’an tidak diturunkan serentak, kenapa kena tunggu sikit-sikit? Allah ﷻ telah jawab di dalam Furqan: 32

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

Ketika kaum musyrikin mengusulkan agar Al-Qur’an turun sekaligus, Allah ﷻ menjelaskan bahawa turunnya beransur-ansur adalah untuk memperkuat hati Nabi ﷺ dengan kedatangan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setiap kali dengan datangnya membawa wahyu-wahyu Ilahi; dan membacakannya dengan tartil sehingga mudah dihafal dan beransur dapat diamalkan, agar setiap kali ada pertanyaan atau persoalan yang muncul, Nabi Muhammad ﷺ terus dapat memperoleh jawaban dan solusinya dengan segar dan jelas, tanpa harus bersusah-payah mencari seandainya Al-Qur’an turun sekaligus.

Maka Rasul dan sahabat عَلىٰ مُكثٍ (menunggu-nunggu) kedatangan ayat Al-Qur’an untuk memperjelaskan satu-satu perkara dan permasalahan. Apabila sesuatu kejadian berlaku yang memerlukan hukum daripada Allah ﷻ, Nabi dan para sahabat menunggu wahyu daripada Allah ﷻ. Maka ayat-ayat yang turun itu amat bermakna kerana menyelesaikan masalah dan isu yang mereka sedang hadapi.

Untuk kita hari ini, begitulah juga kita ini kena bersabar untuk belajar Al-Qur’an ini sedikit demi sedikit. Jangan hanya cepat mahu habis sahaja, sampaikan tidak tahu mana satu hendak diamalkan dahulu. Jikalau terlalu banyak dipelajari dalam satu masa, mungkin tidak faham sangat jadinya.

Kalimah yang digunakan adalah لِتَقرَأَهُ ۥ عَلَى ٱلنَّاسِ. Ini bermaksud Al-Qur’an ini untuk semua manusia, bukan orang tertentu sahaja, bukan juga hanya untuk orang Islam sahaja. Orang bukan Islam pun harus disampaikan dengan ajaran Al-Qur’an juga. Namun adakah kita melakukannya? Akan tetapi bagaimana kita orang Islam hendak menyampaikannya kalau kita sendiri tidak faham? Buat malu sahaja kerana kalau mahu cerita apa Al-Qur’an ini pun kita tidak tahu.

Setakat tahu baca sahaja tidak cukup. Orang Melayu kita tahu baca sahaja, bukan? Yang ada sedikit kesedaran mahu juga mereka membacanya sehingga khatam sekali setahun Sahaja iaitu ketika bulan Ramadan. Semasa kecil ramai sahaja belajar baca, kemudian apabila mula dewasa dan bekerja, sibuk dengan kehidupan sendiri. Bila sudah tua bangka tidak boleh hendak buat apa-apa lagi, barulah ingin kembali kepada Islam kononnya. Mulalah hendak pergi kelas. Namun kelas apa? Kelas baca Al-Qur’an balik! Baca pun tergagap-gagap, agak-agaknya bila pula boleh faham Al-Qur’an? Apatah lagi hendak sampaikan kepada orang bukan Islam lagi. Namun bila lihat orang kafir buat itu dan ini, tidak hormatkan Al-Qur’an, tahu pula marah. Padahal kita sendiri pun tidak menghormati Al-Qur’an itu. Padahal orang kafir itu buat benda salah kerana mereka tidak tahu apa itu agama Islam. Kenapa? Kerana orang Islam sendiri tidak sampaikan ajaran Islam kepada mereka. Maka kalau kita lihat orang lain menentang agama Islam, kita kena tanya diri kita: sudah adakah orang sampaikan ajaran Al-Qur’an kepada dia ini?

Akhir sekali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut di dalam surah ini. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.

3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.

4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

5. Di dalam ayat 60 disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.

6. Di dalam ayat 78 kita diberitahu yang para malaikat hadir untuk mendengar bacaan Al-Qur’an di waktu Solat Subuh.

7. Di dalam ayat 82 kita diberitahu yang Al-Qur’an ibarat serampang dua mata. Sebagaimana ia menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang mukmin, ia juga menjadi sebab kepada orang-orang yang zalim bertambah rugi.

8. Di dalam ayat 88 sebelum ini, Al-Qur’an mencabar sekalian manusia dan jin untuk saling bekerjasama menulis kalam seperti Al-Qur’an. Nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya.

9. Di dalam ayat 89, kita diberitahu menggunakan kaedah تصريف, Al-Qur’an telah mengemukakan banyak sekali hakikat dengan penuh kebijaksanaan untuk untuk menyempurnakan hujah terhadap manusia. Maksud تصريف ialah menggunakan pelbagai gaya bahasa dan ragam bahasa dalam mengemukakan sesuatu perkara, walaupun begitu kebanyakan manusia tetap dengan pendirian mereka menolaknya.

10. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad ﷺ selama 23 tahun. Penurunan yang secara beransur-ansur ini dapat dimanfaatkan oleh para sahabat yang menerimanya buat pertama kali.

 

وَنَزَّلنَـٰهُ تَنزِيلاً

dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.

Oleh kerana keperluan manusia itu berperingkat, maka kerana itu penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama selama lebih kurang 23 tahun. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat-ayat Al-Qur’an, pengharaman arak mengambil masa tiga peringkat. Oleh kerana ia dilakukan sedikit demi sedikit, maka ia memberi kesan yang bagus untuk mengubah masyarakat.

Ini kerana kalaulah pengharaman itu dilakukan terus, tentu ramai yang akan menentang kerana mereka sudah lama minum arak. Tentu mereka akan memberontak kalau tiba-tiba diharamkan terus arak itu. Oleh itu, Allah ﷻ mulakan dengan mengatakan ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan – kemudian Allah ﷻ meletak hukum tidak boleh minum arak apabila hendak solat sahaja kerana tidak boleh solat dalam keadaan mabuk – kemudian barulah diharamkan terus setelah sekian lama.

Oleh kerana fikiran para sahabat sudah dikondisi dengan keburukan arak itu, akhirnya mereka sudah bersedia untuk meninggalkannya terus apabila ayat haram arak diturunkan. Turunlah ayat secara beransur itu ketika timbul suatu persoalan yang sedang dihadapi atau pertanyaan yang memerlukan jawapan. Dapat dibacakan Nabiﷺ kepada sahabat dengan bertenang, tidak terburu-buru, sehingga dapat difahamkan betul-betul.


 

Isra’ Ayat 107: Setelah diberitahu ciri-ciri Al-Qur’an yang hebat itu, maka sekarang ajak manusia untuk beriman dengannya.

قُل ءَامِنُواْ بِهِۦۤ أَو لَا تُؤمِنُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Believe in it or do not believe.” Indeed, those who were given knowledge before it¹ – when it is recited to them, they fall upon their faces in prostration,

  • i.e., the righteous among the People of the Scriptures who recognize the truth contained in the Qur’ān.

(MELAYU)

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman (sama saja bagi Allah). Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,

 

قُل ءَامِنُواْ بِهِۦۤ أَو لَا تُؤمِنُوٓاْ‌ۚ

Katakanlah: “Berimanlah kamu kepadanya atau tidak usah beriman

Setelah diberikan dengan segala hujah, Allah ﷻ pulangkan kepada manusia yang mendengar Al-Qur’an ini – pilih sama ada mahu ikut beriman dengan Al-Qur’an ini atau tidak. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa sesiapa untuk beriman. Allah ﷻ beri kelebihan memilih kepada manusia dan jin. Sama sahaja kedudukan Allah ﷻ sama ada kamu beriman atau tidak.

Kerana itu manusia dan jin diberikan dengan akal untuk memilih. Apabila sudah ada akal, maka telah diberikan hujah yang panjang lebar dalam wahyu dan telah dibangkitkan para Rasul untuk menyampaikannya. Kalau gunakan akal, maka tentu akan sampai kepada kebenaran.

Ayat ini bukanlah beri pilihan kepada manusia untuk tidak beriman pula. Jangan salah faham dengan ayat ini. Arahan untuk beriman memang sudah ada, namun kalau tidak mahu beriman juga, memang akan dikenakan dengan hukuman yang keras nanti di akhirat.

Al-Qur’an tidak memerlukan orang beriman kepadanya kerana bukti tentang kebenarannya telah sangat jelas lagi sempurna, dan dengan demikian ia tidak memerlukan keimanan siapa pun. Di dalam ayat 105 pun telah disebut وَبِٱلحَقِّ أَنزَلنَـٰهُ وَبِٱلحَقِّ نَزَلَ‌. Kalau ada yang beriman kepadanya, maka itu untuk kemaslahatan diri orang yang beriman itu sendiri, dan yang mengingkarinya pun akan menghadapi sendiri konsekuensi pengingkarannya.

Maka kena ingat yang kalau tidak mahu beriman, memang boleh, maka kena azablah nanti. Kalau berani tidak beriman, silakan. Allah ﷻ tidak memerlukan iman kita kerana Allah ﷻ tidak memerlukan iman kita. Begitulah maksudnya.

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas dagu-dagu mereka sambil bersujud,

Maka gunakanlah akal kamu untuk memilih jalan mana. Sama ada mahu beriman dengan wahyu Al-Qur’an ini atau tidak. Namun Allah ﷻ ingatkan tentang mereka yang sudah ada kitab – iaitu Ahli Kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasara. Iaitu segolongan kecil dalam kalangan mereka yang soleh. Iaitu mereka yang berpegang kepada kitab sucinya dan menegakkannya serta tidak mengubah dan tidak menggantikannya dengan yang lain.

Begitulah orang-orang yang ada ilmu, yang telah membaca kitab-kitab yang dahulu, baik Taurat atau Injil, atau Mazmur Daud, atau Amsal Sulaiman atau Munajat Ayub atau yang lain, demi dibacakan Al-Qur’an itu kepada mereka, menggeletar terus pengaruhnya atas mereka, hingga langsung mereka tersungkur meniarapkan muka ke bumi, bersujud kepada Tuhan, kerana percaya akan kebenaran wahyu itu. Orang-orang itu ada terdapat di Makkah, seperti Zaid bin ‘Amr bin Nufail dan orang tua Waraqah bin Naufal, dan terdapat juga di Madinah, seperti Abdullah bin Salam.

Begitulah ada orang seperti Zaid bin ‘Amr bin Nufail, yang telah banyak mengembara ke negeri lain, terutama ke negeri Syam dan suka bertanya-tanya. Meskipun belum ada agama yang dipeluknya, namun beliau mengakui bahawa Allah ﷻ itu Esa adanya dan dia benci penyembahan kepada berhala.

Waraqah bin Naufal pun telah mempelajari agama Nasrani, sampai beliau mengetahui isi kandungan Injil. Beliau telah mendapat intisari ajaran Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang Tauhid. Sebab itu setelah Khadijah رضي الله عنها, anak saudaranya, membawa Nabi Muhammad ﷺ menemuinya seketika mula-mula baginda menerima wahyu, Waraqah bin Naufal dengan serta-merta mengatakan bahawa yang mendatangi Muhammad ﷺ itu adalah Nomus (Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), atau Ruhul-Qudus, yang telah datang juga kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sampai beliau sendiri mengatakan kepercayaannya kepada risalah Nabi Muhammad ﷺ, dan akan datang masanya kelak baginda akan diusir orang dari negerinya, dan sekiranya beliau masih hidup di waktu itu beliau bersedia mengikut baginda ke mana pun pergi. Namun beliau wafat tidak berapa lama kemudian.

Abdullah bin Salam pula adalah seorang pendeta Yahudi di Madinah, yang bebas berfikir kerana ilmunya yang luas. Ketika Rasulullah ﷺ mulai pindah ke Madinah, di hari yang pertama beliau menyelinap ke tengah orang ramai untuk memperhatikan dan mendengarkan syarahan Rasulullah ﷺ yang pertama. Syarahan itu tidak panjang namun beliau terus tertarik dan mengakui “Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Muhammad adalah RasulAllah.

Itulah orang-orang berilmu ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ. Baik di zaman Mekah, atau kelak sesudah itu di Madinah, ataupun seterusnya, selama orang itu masih memegang ilmunya. Ilmu apa? Ilmu mengenal Allah ﷻ. Orang yang otaknya bagus, boleh menerima pelajaran. Begitulah orang yang bijak pandai, banyak pengalaman dan otaknya cerdas, senang untuk menerima ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kerana itu kalau kita perhatikan, banyak golongan professional yang menerima ajaran Sunnah kerana ia mesra akal. Yang masih lagi di takuk lama adalah orang-orang kampung yang tidak banyak belajar dan tidak berpendidikan tinggi.

Allah ﷻ menceritakan bagaimana apabila mereka mendengar Al-Qur’an dibacakan, mereka tidak dapat mengawal diri, sampai terjatuh atas dagu mereka. Kita boleh faham mereka tidak dapat kawal diri kerana kalimah yang digunakan adalah لِلأَذقانِ bukannya على لأَذقانِ untuk mengisyaratkan bahawa kekhusyukan menjadikan mereka tersungkur dalam keadaan tanpa menguasai diri. Ini kerana kalau terjatuh sendiri, kita akan terjatuh atas dagu kita, bukannya dahi kita.

Kalimah لأَذقانِ adalah daripada ذ ق ن yang bermaksud ‘dagu-dagu’. Ada yang mentafsirkan dagu itu sebagai wajah kerana dagu adalah sebahagian daripada wajah. Mereka amat terkesan dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini dan mereka menerimanya dan merasa takjub dengannya. Mereka juga kenal Allah ﷻ dan kerana mereka kenal Allah ﷻ, mereka takut kepada Allah ﷻ sampai terus sujud kepada-Nya. Allah ﷻ telah sebut di dalam Fatir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang-orang yang berilmu)

Akan tetapi kenapa dagu pula? Sepatutnya kalau sujud di atas dahi, bukan? Memang selalunya sujud atas dahi tetapi mereka terjatuh atas dagu mereka kerana tidak dapat mengawal diri akibat terpesona sangat. Ini adalah rabbi-rabbi Bani Israil yang sekian lama tertunggu-tunggu kedatangan Nabi akhir zaman yang hampir tidak percaya yang mereka dapat bertemu dengan baginda. Ini kerana keturunan mereka turun temurun sudah lama menunggu baginda dan mereka terkejut kerana mereka diberi peluang untuk melihat perkara itu berlaku ketika mereka masih hidup.

Keturunan nenek moyang mereka hanya dapat sampaikan pesanan supaya tunggu kedatangan Nabi akhir zaman itu di Madinah (Yathrib) dan diturunkan pesanan itu turun temurun. Apabila mereka yang berada pada zaman itu yang dapat memenuhi harapan itu mereka rasakan betapa bertuahnya mereka! Kerana itu mereka terjatuh di atas dagu, dan bukan atas dahi mereka.

Ataupun, memang ada umat dahulu yang sujud di atas dagu mereka. Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an telah tersilap menggunakan kalimah dagu kerana manusia hanya sujud pada dahi sahaja. Ini tidak benar setelah kajian Egyptologist mendapati memang ada paderi Mesir yang sujud di atas dagu. Ini adalah maklumat baru yang kita hanya tahu di zaman moden ini setelah dibongkar gambar-gambar tentang kehidupan mereka. Tapi dengan maklumat ini, sekali lagi maklumat Al-Qur’an didapati tepat seperti yang telah berlaku di zaman dahulu. Inilah mukjizat Al-Qur’an yang menunjukkan ia adalah Kalamullah dan tidak pernah menipu.

.

Bukti Paderi Mesir yang sujud di atas dagu

Isra’ Ayat 108: Ayat sebelum ini adalah tentang perbuatan mereka yang terus sujud dan ini adalah kalimah yang keluar daripada mulut mereka pula.

وَيَقُولُونَ سُبحَـٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعدُ رَبِّنَا لَمَفعُولاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “Exalted is our Lord! Indeed, the promise of our Lord has been fulfilled.”

(MELAYU)

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

 

وَيَقُولُونَ سُبحَـٰنَ رَبِّنَآ

dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami,

Sambil mereka sujud, mereka menyucikan Allah ﷻ. Tasbih maksudnya mengatakan Allah ﷻ suci daripada kata-kata manusia yang tidak patut tentang Allah ﷻ.

Sebagai contoh, ada yang kata Allah ﷻ ada anak, maka tasbih itu menolak fahaman itu; ada yang kata Allah ﷻ memerlukan perantara untuk berdoa kepada-Nya, maka tasbih menolak fahaman syirik itu. Maksudnya, mereka menolak segala fahaman syirik tentang Allah ﷻ.

Tafsiran kedua, tasbih mereka itu adalah bermaksud: Allah ﷻ suci daripada memungkiri janji. Ini adalah kerana Ahli Kitab itu memuji Allah ﷻ kerana telah memenuhi janji untuk mengangkat Nabi akhir zaman dari Yathrib seperti yang disebut dalam kitab-kitab mereka.

Apa yang mereka lakukan ini adalah zikir jenis terbaik. Apa itu zikir terbaik? Iaitu yang dilakukan apabila kita sedar kebesaran Allah ﷻ atau melihat kebesaran Allah ﷻ. Yang kedua adalah kita zikir dan kemudian baru kita memikirkan kebesaran Allah ﷻ. Yang ketiga jenis zikir lemah sedikit, iaitu sebut sahaja tetapi tidak faham apa-apa. Ini yang banyak dilakukan oleh orang kita.

Satu lagi contoh zikir setelah melihat kebesaran Allah ﷻ adalah seperti disebut di dalam Ali Imran: 191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.

 

إِن كَانَ وَعدُ رَبِّنَا لَمَفعُولاً

sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”.

Mereka sekarang memuji Allah ﷻ kerana janji Allah ﷻ itu telah dipenuhi. Iaitu janji untuk mengangkat Nabi akhir zaman. Sekarang mereka menjadi umat yang berpeluang untuk bertemu dan beriman dengan Rasul akhir zaman itu. Alangkah beruntungnya mereka!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 101 – 104 (9 Mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

FIRAUN MENCABAR NABI MUSA عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Isra’ Ayat 101: Ayat berkenaan mukjizat lagi. Ia berkenaan mukjizat yang telah diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di awal surah ini telah disebut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang hampir ke penghujung surah, sekali lagi disentuh kisah baginda.

Kelompok ayat-ayat yang lalu menunjukkan bahawa kebanyakan manusia enggan menerima kebenaran, walaupun sekian banyak bukti-bukti telah dipaparkan. Ini tentu sahaja menyedihkan Nabi Muhammad ﷺ yang sangat ingin mencurahkan semua tenaga dan fikiran agar semua manusia beriman. Sekarang kita akan lihat kelompok ayat-ayat yang mengandung hiburan untuk baginda dengan menghuraikan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Bani Israil, sekaligus mengisyaratkan bahawa seandainya kepada kaum musyrikin Mekah itu dipaparkan dengan ayat-ayat (tanda-tanda atau mukjizat) yang mereka minta, nescaya mereka tetap tidak akan percaya sebagaimana keadaan kaum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

وَلَقَد ءَاتَينَا مُوسَىٰ تِسعَ ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ فَسـَٔل بَنِىٓ إِسرٰءِيلَ إِذ جَآءَهُم فَقَالَ لَهُ ۥ فِرعَونُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰمُوسَىٰ مَسحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Moses nine evident signs, so ask the Children of Israel [about] when he came to them and Pharaoh said to him, “Indeed I think, O Moses, that you are affected by magic.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata, maka tanyakanlah kepada Bani Israil, tatkala Musa datang kepada mereka lalu Fir’aun berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku sangka kamu, hai Musa, seorang yang kena sihir”.

 

وَلَقَد ءَاتَينَا مُوسَىٰ تِسعَ ءَايَـٰتِۭ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan mukjizat yang nyata, 

Allah ‎ﷻ menceritakan bahawa Dia telah mengutus Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mem¬bawa sembilan mukjizat yang jelas. Seperti yang kita tahu baginda diutuskan kepada Bani Israil dan juga bangsa Qibti (bangsa Firaun). Mukjizat-mukjizat itu merupakan bukti yang tepat yang membenarkan kenabiannya dan membenarkan apa yang telah baginda sampaikan kepada Firaun daripada Tuhan yang telah mengutusnya.

Bukti-bukti itu semuanya boleh dilihat dengan pancaindera (seperti yang diminta oleh Musyrikin Mekah). Mukjizat-mukjizat itu ialah tongkat, tangan, kemarau, terbelahnya laut, banjir, belalang, kutu, katak, dan darah; semuanya merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah ﷻ yang membuktikan kebenaran Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Demikianlah menurut Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.

Muhammad ibnu Ka’b رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa mukjizat-mukjizat itu adalah tangan, tongkat, dan lima mukjizat yang disebutkan di dalam A’raf: 133, kutukan, serta batu.

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengata¬kan pula, juga Mujahid, Ikrimah, Asy Sya’bi, dan Qatadah رحمهم الله, bahawa mukjizat-mukjizat itu ialah tangannya, tongkatnya, kemarau, berkurangnya buah-buahan, banjir, belalang, kutu, katak, dan darah.

Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ menyatukan kemarau dan kekurangan buah-buahan, dan menurutnya mukjizat yang kesembilan ialah tongkatnya yang menelan semua yang diperbuat oleh tukang sihir Fir’aun.

HAMKA menyenaraikan 9 perkara:

1) Tongkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat menjelma menjadi ular yang dapat mengalahkan sihir tukang sihir, dan tongkat itu pula yang disuruh Allah ﷻ pukulkan ke laut sehingga lautan terbelah dua dan Bani Israil dapat menyeberangi lautan untuk berpindah ke seberangnya.

2) Apabila baginda kepitkan tangan kanannya ke dalam ketiaknya sebelah kiri, lalu dikeluarkannya kembali, bercahayalah tangan itu bersinar-sinar.

3) Taufan besar yang menghancurkan bangunan-bangunan.

4) Serangan belalang yang memakan musnah tanaman penduduk Mesir.

5) Serangan agas dan kutu busuk yang sangat mengganggu, dan tuma’

6) Serangan katak yang tiba-tiba muncul dengan banyaknya sehingga sangat mengganggu.

7) Sungai Nil yang luas dan panjang itu mengalirkan air menyerupai darah dan berbau darah.

8)    Mesir ditimpa kemarau yang sangat panjang.

9) Rosaknya hasil bumi dan berjangkitnya penyakit.

Penyusun kitab al-Muntakhab menyenaraikan pula 1) Tongkat, 2) Tangan Nabi Musa as. yang menjadi putih bercahaya, 3) Angin taufan, 4) Belalang, katak serta darah, 5) Kekeringan dan kekurangan buah- buahan, 6) Terbelahnya laut, 7) Air yang memancar daripada batu, 8) Terangkatnya gunung, dan 9) Kalam/pembicaraan langsung dengan Allah ﷻ.

Al-Biqa‘i yang merujuk kepada Perjanjian Lama menyebut; 1)Tongkat, 2) Darah, 3) Katak, 4) Kutu, 5) Matinya binatang, 6) Dingin yang melampaui batas, 7) Belalang, 8) Kegelapan dan 9) Kematian pemuda-pemudi.

Sayyid Quthub حفظه الله menyebut kesembilan bukti itu adalah; 1) Tangan putih bercahaya, 2) Tongkat, 3) Kemarau yang berkepanjangan, 4) Masa kemarau, 5) Angin Taufan, 6) Belalang, 7) Kutu/hama, 8) Katak, dan 9) Darah.

Ternyata tidak ada kesepakatan. Ringkasnya, ada banyak pendapat tentang 9 mukjizat yang dimaksudkan. Sebenarnya kalau disenaraikan, adalah lebih daripada 9 sampaikan ada pendapat yang mengatakan ada 16 perkara semua sekali. Cuma 9 itu adalah yang lebih utama. Kenapa Allah ﷻ sebut 9 sahaja? Kerana hendak memberitahu yang Bani Israil ini bangsa yang amat degil. Dengan ada banyak tanda dan mukjizat yang ditunjukkan pun, mereka tetap menolak kebenaran juga.

Sedangkan ada sebuah hadith yang statusnya hasan berkenaan perkara ini:

عَنْ صَفْوَانَ بْنِ عَسَّالٍ قَالَ قَالَ يَهُودِيٌّ لِصَاحِبِهِ اذْهَبْ بِنَا إِلَى هَذَا النَّبِيِّ قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ لَا تَقُلْ نَبِيٌّ لَوْ سَمِعَكَ كَانَ لَهُ أَرْبَعَةُ أَعْيُنٍ فَأَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَأَلَاهُ عَنْ تِسْعِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ فَقَالَ لَهُمْ لَا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا تَسْرِقُوا وَلَا تَزْنُوا وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا تَمْشُوا بِبَرِيءٍ إِلَى ذِي سُلْطَانٍ وَلَا تَسْحَرُوا وَلَا تَأْكُلُوا الرِّبَا وَلَا تَقْذِفُوا الْمُحْصَنَةَ وَلَا تَوَلَّوْا يَوْمَ الزَّحْفِ وَعَلَيْكُمْ خَاصَّةً يَهُودُ أَنْ لَا تَعْدُوا فِي السَّبْتِ فَقَبَّلُوا يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ وَقَالُوا نَشْهَدُ أَنَّكَ نَبِيٌّ قَالَ فَمَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تَتَّبِعُونِي قَالُوا إِنَّ دَاوُدَ دَعَا بِأَنْ لَا يَزَالَ مِنْ ذُرِّيَّتِهِ نَبِيٌّ وَإِنَّا نَخَافُ إِنْ اتَّبَعْنَاكَ أَنْ تَقْتُلَنَا يَهُودُ
Daripada  Shafwan bin ‘Assal, dia berkata; seorang Yahudi berkata kepada temannya; pergilah bersama kami kepada Nabi ini. Lalu temannya berkata kepadanya; jangan engkau katakan Nabi, jika dia mendengarmu dia akan memiliki empat mata (maksudnya berlagak). Lalu mereka berdua mendatangi Rasulullah ﷺ dan bertanya mengenai sembilan ayat yang jelas, lalu baginda bersabda kepada mereka: “Janganlah kalian menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, janganlah kalian mencuri, janganlah kalian berzina, janganlah kalian membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan haq, janganlah kalian berjalan membawa orang yang tidak bersalah kepada yang penguasa, janganlah kalian berbuat sihir, janganlah kalian makan harta riba, janganlah kalian menuduh seorang yang suci berbuat zina, janganlah kalian berpaling di hari bertemu dengan musuh, dan wajib khusus bagi kalian hai orang Yahudi agar tidak melampaui batas pada hari Sabtu. Lalu mereka mencium tangan dan kaki baginda dan berkata; kami bersaksi bahawa engkau adalah Nabi, kemudian baginda bersabda:” Lalu apa yang menghalangi kalian untuk mengikutiku,” mereka menjawab kerana Dawud  menyeru bahawa masih ada Nabi daripada keturunannya, dan kami khuatir jika kami mengikutimu maka orang-orang Yahudi akan membunuh kami.
(Sunan Nasa’i (4010) )
Status: Hasan

Jikalau kita pegang hadith ini, ‘ayat’ yang dimaksudkan adalah ajaran agama. Oleh kerana pandangan ini disertai dengan hadith yang sahih, maka pendapat ini adalah kuat dan ramai ulama’ dikatakan berpegang dengan pendapat ini.

Sebelum ini telah disebut tentang permintaan-permintaan daripada Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ menyebut tentang sembilan tanda ini kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa walaupun pengikut Firaun dan Firaun sendiri telah diberikan dengan sembilan tanda, mereka tetap tidak mahu beriman dan begitulah juga dengan Musyrikin Mekah. Kalaulah mereka diberikan dengan segala apa yang mereka minta itu sebagai tanda, mereka tetap juga tidak akan beriman.

.

 

فَسـَٔل بَنِىٓ إِسرٰءِيلَ إِذ جَآءَهُم

maka tanyakanlah kepada Bani Israil, tatkala Musa datang kepada mereka

Kisah ini kena ditanya kepada Ahli Kitab. Keturunan Bani Israil waktu itu sampai sekarang, walaupun mereka tidak ada waktu itu, tetapi kisah itu telah disampaikan turun temurun. Tanyakanlah kepada Bani Israil yang ada masa itu, yang telah memberi idea soalan untuk ditanya kepada Musyrikin Mekah (tiga soalan salah satunya tentang roh), atau tanya kepada Yahudi yang beriman dengan baginda nanti di Madinah.

Tanya mereka apa kisah apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang dengan mukjizat-mukjizat itu kepada Firaun dan pengikutnya. Tanya mereka tentang entah berapa banyak tanda-tanda yang diberikan kepada mereka, tetapi mereka tetap berdegil juga. Tanyakanlah hal itu agar engkau semakin yakin bahawa semua Nabi diperlakukan serupa dengan perlakuan kaummu terhadapmu Wahai Nabi Muhammad, serta menolak mukjizat-mukjizat yang mereka bawa. Allah ﷻ juga suruh tanya Bani Israil di dalam Baqarah: 211 untuk menekankan kedegilan mereka.

سَلْ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ كَمْ اٰتَيْنٰهُمْ مِّنْ اٰيَةٍ ۢ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَنْ يُّبَدِّلْ نِعْمَةَ اللّٰهِ مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَتْهُ فَاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah dia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

 

فَقَالَ لَهُ ۥ فِرعَونُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰمُوسَىٰ مَسحُورًا

lalu Fir’aun berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku sangka kamu, hai Musa, seorang yang kena sihir”.

Kita mungkin pernah baca Firaun menuduh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini seorang ahli sihir, tetapi sebelum itu dia pernah kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkena sihir pula. Mereka akan tukar tuduhan kerana mereka tidak tetap pendirian dan kerana tuduhan itu sebagai tohmahan sahaja. Begitulah sekejap tukar begini dan sekejap tukar jadi begitu pula. Bukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ sahaja terkena hal ini, namun para Nabi yang lain juga seperti disebut dalam Dzariyaat: 52

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Firaun menuduh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkena sihir kerana hendak kata yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah hilang akal. Kerana orang yang terkena sihir adalah orang yang hilang akal, macam gila. Maka dia hendak kata yang apa yang diperkatakan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah kata-kata karut belaka.

Begitulah Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi Muhammad ﷺ yang bukan baginda sahaja yang pertama dituduh terkena sihir seperti disebut di dalam ayat 47 surah ini tetapi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun turut dituduh begitu.

وَإِذ هُم نَجوَىٰٓ إِذ يَقُولُ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلاً مَّسحُورًا
dan sewaktu mereka berbisik-bisik (iaitu) ketika orang-orang zalim itu berkata: “Kamu tidak lain hanyalah mengikuti seorang laki-laki yang kena sihir”.


 

Isra’ Ayat 102: Ini adalah daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai penegasan yang mukjizat itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak berikan, baginda pun tidak dapat buat mukjizat itu.

قَالَ لَقَد عَلِمتَ مَآ أَنزَلَ هَـٰٓؤُلَآءِ إِلَّا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ بَصَآٮِٕرَ وَإِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰفِرعَونُ مَثبُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “You have already known that none has sent down these [signs] except the Lord of the heavens and the earth as evidence, and indeed I think,¹ O Pharaoh, that you are destroyed.”

  • i.e., I am certain.

(MELAYU)

Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Tuhan Yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Fir’aun, seorang yang akan binasa”.

 

قَالَ لَقَد عَلِمتَ مَآ أَنزَلَ هَـٰٓؤُلَآءِ إِلَّا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ بَصَآٮِٕرَ

Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Tuhan Yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata;

Nabi Musa  berhujah kepada Firaun: “Kamu pun tahu apa yang aku sampaikan ini adalah benar, datangnya dari Allah, tapi kenapa kamu nak lawan juga?”. Maknanya, Firaun itu bijak, dia bukan tidak tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan itu adalah kebenaran. Bukannya dia tidak kenal ada Tuhan sebenarnya kerana bukti telah jelas. Kerana itu ada kalimah بَصَآٮِٕرَ iaitu jamak bagi بصيرة iaitu ‘mata hati’. Ia bukanlah pandangan mata fizikal tetapi mata hati yang dapat melihat kebenaran setelah memikirkan.

Akan tetapi dek kerana terlalu degil dan kerana tidak mahu kehilangan kuasanya dan kekayaannya, maka dia tolak juga. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ * وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka, “Ini adalah sihir yang nya¬ta.” Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati mereka menyakini (kebenarannya).
(Naml: 13-14)

Oleh itu, bukanlah kerja baginda membawakan mukjizat sahaja (bila minta sahaja, dapat). Kita kena faham dengan perkara-perkara khawariqul adah (mencarik adat) iaitu perkara luar biasa. Antaranya mukjizat dan karamah. Mukjizat untuk para Nabi manakala karamah untuk para wali.

Para Nabi dan para wali tidak mempunyai mukjizat dan karamah pada diri mereka sendiri. Mereka hanya diberikan pada ketika-ketika tertentu sahaja, apabila Allah ﷻ beri sahaja. Bukanlah mereka ada kuasa itu sendiri – bukanlah kalau mereka mahu menggunakannya sahaja, maka muncul mukjizat/karamah itu. Ia hanya berlaku sekali sekala sahaja. Bila masa untuk tunjukkan mukjizat atau karamah adalah ketentuan daripada Allah ﷻ semata-mata.

Jikalau ada tok guru atau tok sheikh boleh buat magik, itu perkara yang tidak boleh dipercayai mereka akan kuasa atau karamah. Kerana karamah itu pemberian dan bukanlah setiap masa. Kalau mereka boleh buat magik setiap kali, itu bukannya karamah tetapi sihir. Atau, ada sahaja golongan ini yang buat sulap mata. Sekarang ini sudah ada pembongkar yang menceritakan semula bagaimana sulap mata itu dibuat.

 

وَإِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰفِرعَونُ مَثبُورًا

dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Fir’aun, seorang yang akan binasa”.

Asal kalimah مَثبورًا maksudnya mati yang akibat racun. Ia digunakan untuk menerangkan seseorang yang diracun dan sudah tidak nampak ada harapan untuk sembuh, maka mereka itu dikatakan sebagai مَثبورًا.

Begitulah juga orang-orang yang telah melihat neraka dari jauh dan mereka sudah tahu yang mereka tidak ada harapan lagi. Begitulah kalimah yang digunakan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Firaun sebagai isyarat yang Firaun tidak ada harapan lagi. Firaun akan binasa bila-bila masa. Tunggu masa sahaja untuk mati dan dikenakan dengan azab. Dia sebenarnya sudah binasa, tetapi kehancurannya datang sedikit demi sedikit. Kelak nanti dia akan masuk ke dalam neraka dan akan menerima kebinasaan seperti disebut di dalam Furqan: 13-14. Kalimah مَثبورًا dan ثُبورًا adalah daripada katadasar yang sama.

وَإِذا أُلقوا مِنها مَكانًا ضَيِّقًا مُّقَرَّنينَ دَعَوا هُنالِكَ ثُبورًا
Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan.

لا تَدعُوا اليَومَ ثُبورًا وٰحِدًا وَادعوا ثُبورًا كَثيرًا
(Akan dikatakan kepada mereka): “Jangan kamu sekalian mengharapkan satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang banyak”.

Agak kasar juga kata-kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini, bukan? Sedangkan Allah ﷻ telah pernah suruh baginda dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap lembut dengan Firaun seperti disebut di dalam Taha: 44

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Kita kena faham yang kata-kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini setelah sekian lama baginda berdakwah dan berhujah dengan Firaun. Baginda telah nampak tanda-tanda yang dia tidak akan beriman. Maka kerana itu keras sikitlah kalimah yang digunakan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Akan tetapi perhatikan bahasa yang digunakan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu لَأَظُنُّكَ (aku mengira engkau…). Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini tidak menyatakan keyakinannya tentang kebinasaan Firaun, kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menentukan kebahagiaan dan kebinasaan seseorang. Ini adalah satu pelajaran yang sangat penting bagi semua pihak, agar tidak menyatakan kebahagiaan dan kesengsaraan seseorang berdasar penilaiannya sendiri. Nabi agung seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak menentukan hal tersebut, padahal yang dihadapinya adalah Firaun yang semua kita tahu bagaimana kederhakaannya.

Oleh itu kita sebagai pendakwah atau ahli agama yang telah belajar, jangan cepat dan memandai hendak menerakakan orang, menyesatkan orang, mengatakan seseorang itu tidak ada harapan. Jangan kita senang hendak kafirkan orang Islam walau apa pun yang mereka lakukan. Kita boleh kata perbuatan mereka kufur, taetpi tahan lidah dan tangan kita daripada menulis mengatakan mereka telah kafir.


 

Isra’ Ayat 103: Oleh kerana tidak dapat melawan hujah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Firaun berhasrat untuk mengusir Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pengikut baginda dari Mesir. Ini sama dengan apa yang hendak dilakukan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Lalu lihatlah balasan yang dikenakan kepada Firaun itu. Maka ayat ini adalah jenis Takhwif duniawi (ayat penakutan dengan azab dunia).

فَأَرَادَ أَن يَستَفِزَّهُم مِّنَ ٱلأَرضِ فَأَغرَقنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُ ۥ جَمِيعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he intended to drive them from the land, but We drowned him and those with him all together.

(MELAYU)

Kemudian (Fir’aun) hendak mengusir mereka (Musa dan pengikut-pengikutnya) dari bumi (Mesir) itu, maka Kami tenggelamkan dia (Fir’aun) serta orang-orang yang bersama-sama dia seluruhnya,

 

فَأَرَادَ أَن يَستَفِزَّهُم مِّنَ ٱلأَرضِ

Kemudian (Fir’aun) hendak mengusir mereka (Musa dan pengikut-pengikutnya) dari bumi (Mesir) itu,

Oleh kerana puak Musyrikin Mekah mahu mengeluarkan Nabi Muhammad ﷺ dari Mekah, maka Allah ﷻ menceritakan semula bagaimana Firaun juga mahu mengeluarkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan  pengikutnya dari Mesir. Maknanya, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang baru dapat idea untuk keluarkan Rasulnya dari tempat mereka, malah Firaun dulu pun sudah ada idea itu.

Kalimah يَستَفِزَّهُم adalah perkataan yang sama yang telah digunakan di dalam ayat 76.

وَإِن كَادُوْا لَيَستَفِزُّونَكَ مِنَ ٱلأَرضِ لِيُخرِجُوكَ مِنهَا‌ۖ
Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya

 

 

فَأَغرَقنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُ ۥ جَمِيعًا

maka Kami tenggelamkan dia (Fir’aun) serta orang-orang yang bersama-sama dia seluruhnya,

Oleh kerana keinginan Firaun yang jahat itu, maka Allah ﷻ telah melemaskan Firaun dan pengikutnya di dalam laut. Allah ﷻ hendak beritahu kepada Musyrikin Mekah, mereka pun boleh dikenakan azab macam Firaun itu juga.

Sekiranya mereka rasa mereka selamat kerana mereka jauh dari laut, maka Allah ﷻ telah ingatkan mereka dalam ayat-ayat sebelum ini bagaimana kalau duduk di daratan pun tidak pasti selamat lagi. Allah ﷻ boleh hancurkan mereka di mana-mana sahaja, adakah mereka rasa aman?


 

Isra’ Ayat 104: Ini adalah firman Allah ﷻ kepada Bani Israil setelah mereka selamat menyeberang laut.

وَقُلنَا مِنۢ بَعدِهِۦ لِبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ ٱسكُنُواْ ٱلأَرضَ فَإِذَا جَآءَ وَعدُ ٱلأَخِرَةِ جِئنَا بِكُم لَفِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We said after him [i.e., Pharaoh] to the Children of Israel, “Dwell in the land, and when there comes the promise [i.e., appointment] of the Hereafter, We will bring you forth in [one] gathering.”

(MELAYU)

dan Kami berfirman sesudah itu kepada Bani Israil: “Diamlah di negeri ini, maka apabila datang masa berbangkit, nescaya Kami datangkan kamu dalam keadaan bercampur baur (dengan musuhmu)”.

 

وَقُلنَا مِنۢ بَعدِهِۦ لِبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ ٱسكُنُواْ ٱلأَرضَ

dan Kami berfirman sesudah itu kepada Bani Israil: “Diamlah di negeri ini,

Setelah Firaun dan rakyatnya mati lemas, Bani Israil pun telah selamat menyeberang, maka Allah ﷻ beri arahan kepada Bani Israil untuk hidup dengan aman di bumi. Yang dimaksudkan adalah bumi Mesir. Mereka pula yang menguasai bumi Mesir yang sebelum itu dikuasai oleh Firaun. Ada juga yang kata bumi yang dimaksudkan adalah di tempat lain kerana waktu itu mereka sudah duduk di Palestin. Allahu a’lam kerana tidak disebutkan di sini negeri mana.

 

فَإِذَا جَآءَ وَعدُ ٱلأَخِرَةِ جِئنَا بِكُم لَفِيفًا

maka apabila datang janji Hari Akhirat, nescaya Kami datangkan kamu dalam keadaan bercampur baur

Allah ﷻ memberitahu mereka apabila datang janji daripada-Nya, iaitu Hari Kiamat, maka mereka akan dikumpulkan dengan orang lain, termasuk musuh-musuh mereka. Kemudian mereka akan diperhitungkan. Kalimah لَفِيفًا daripada katadasar ل ف ف yang bermaksud menggulung, melipat, membalut, melibatkan, bercantum, terjerat (pokok), bertimbun, bercantum tebal, padat dan subur, melimpah.

Mengikut tafsiran Ibnu Jarir at-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ, maksud لَفِيفًا ialah “dalam keadaan campur-baur, telah berpadu yang setengah kamu kepada yang setengah; tidak lagi kenal-mengenal. Dan tidak lagi menggabung seseorang daripada kamu kepada kabilahnya atau kelompok kampung halamannya.”

Ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini memperkatakannya tentang apa yang terjadi pada zaman sekarang. Seperti yang kita tahu, Bani Israil telah berpecah ke merata tempat dan sekarang baru mereka mengambil tempat di Palestin. Di Palestin itu puak-puak Yahudi dari merata dunia telah berkumpul. Mereka jadikan negara itu negara mereka pula padahal mereka sebenarnya tidak ada negara lagi.

Ada hadith yang mengatakan bagaimana apabila Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun nanti, baginda akan menghukum bani Israil sekali gus. Maka pendapat ini mengatakan, untuk membolehkan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghukum mereka di satu tempat maka kenalah mereka berada di dalam satu tempat. Kerana kalau mereka berada di merata tempat tentu susah untuk buat perkara itu. Jikalau ini benar, maka tidaklah perlu untuk kita risau apabila mereka berkumpul di satu tempat kerana tujuan mereka berkumpul itu adalah untuk mudah memusnahkan mereka. Ini merujuk balik kepada perbincangan di dalam ayat 6 di awal surah ini tentang tafsiran

فَإِذا جاءَ وَعدُ الآخِرَةِ لِيَسُٓئوا وُجوهَكُم
dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu

Maka di atas adalah pendapat yang moden. Kitab-kitab lama sebelum penjajahan Palestin memang tidak ada pendapat sebegini. Pendapat yang lama tentang ayat ini adalah mereka akan dikumpulkan di akhirat kerana di akhirat memang akan dikumpulkan semua makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah