Tafsir Surah Yaasin Ayat 80 – 83 (Kun fayakun)

Yaasin Ayat 80: Allah ‎ﷻ sambung dengan menceritakan apakah lagi sifat-Nya. Allah ‎ﷻ menceritakan lagi kekuasaan-Nya. Ini adalah satu bukti kekuasaan Allah ‎ﷻ yang boleh menghidupkan semula makhluk yang telah mati.

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِّنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذآ أَنتُم مِّنهُ توقِدونَ

 
Sahih International

[It is] He who made for you from the green tree, fire, and then from it you ignite.

Malay

“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِّنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا

Dialah juga yang menjadikan untuk faedah kamu, pokok-pokok yang hijau yang boleh mengeluarkan api;

Selalunya apabila dijemurkan pokok dan setelah ia menjadi kering, kita boleh nyalakan kayu itu dengan api dan boleh menggunakan api itu. Asalnya pokok itu telah hidup daripada air, hingga menjadi hijau indah, berbuah dan berbunga, kemudian Allah ‎ﷻ menjadikannya kayu-kayu kering untuk menyalakan api. Akan tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu yang pokok yang basah pun Dia boleh jadikan terbakar. Allah ‎ﷻ menunjukkan bagaimana Dia boleh mengeluarkan api daripada pokok yang hijau dan basah, yang secara logiknya tidak mungkin terbakar. Ini adalah sesuatu yang pelik dan ajaib kerana pokok yang hijau itu ada air dan selalunya air itu yang memadam api. Namun ada ketikanya Allah ‎ﷻ terbalikkan hukum alam itu. Ini adalah bukti kekuasaan-Nya untuk menghidupkan kembali manusia daripada tulang belulang yang telah hancur, walaupun pada pandangan akal manusia ia mustahil.

Sebagai bukti, Allah ‎ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah itu kepada dua jenis pokok kayu yang apabila digesek bersama akan mengeluarkan api. Iaitu pokok markh المرخ dan ‘afaar العفار. Orang Arab dahulu sering mengambil ranting daripada pokok markh dan pokok ‘afaar, lalu menggeserkan salah satu ke atas yang lain untuk menghasilkan api. Mereka menggunakan “ranting” markh sebagai zind (alat penggesel) dan “ranting” ‘afaar sebagai zanad (alas yang digesel). Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan kemudahan-kemudahan dalam dunia ini kepada kita. Siapakah yang mengajar kita bahawa dua pokok itu dapat mengeluarkan api? Tentulah Allah ‎ﷻ yang beri ilham kepada manusia untuk menggunakannya. Maknanya, Allah ‎ﷻ bukan sahaja mengajar manusia tentang ilmu syariat, tetapi Allah ‎ﷻ juga memberi ilham kepada kita untuk menjalani kehidupan dalam alam ini. Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam ayat Waqiah: 71&72.

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ (٧١) ءَأَنتُمۡ أَنشَأۡتُمۡ شَجَرَتَہَآ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنشِـُٔونَ (٧٢)
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (71) Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (72)

Di alam Melayu pun ada kayu hijau yang boleh menghasilkan api untuk manusia. Dikatakan dapat ada jenis pohon kayu tusam atau pinus. Kayu pinus atau kayu tusam betul-betul pohon yang hijau berdaun rendang lurus, namun ia mengandungi minyak yang dapat dinyalakan. Zaman sekarang mungkin kita tidak tahu lagi kerana semua api dihidupkan dengan menggunakan ‘lighter’.

Kalau bukan pokok hijau pun, kita boleh katakan yang setiap pokok hijau akhirnya akan menjadi kering juga dan boleh dijadikan sebagai pembakar. Masyarakat pribumi di Asia Tenggara, termasuk Melayu, telah lama mengenal pasti pelbagai jenis kayu yang sesuai untuk tujuan ini, berdasarkan sifatnya seperti kekerasan, kandungan resin, dan kemampuan menghasilkan haba melalui geseran. Contohnya:

    1. Rotan: Meskipun tidak langsung untuk menghasilkan percikan awal, serabut rotan kering sering digunakan sebagai tinder (bahan penyala api) yang sangat baik.
    2. Bambu (Buluh): Geseran buluh kering boleh menghasilkan haba. Serpihan buluh juga boleh digunakan sebagai penyala api.
    3. Pohon Ara (Ficus spp.): Sesetengah jenis kayu dari keluarga Ara boleh digunakan.
    4. Kayu Kering daripada Pelbagai Pokok Hutan: Hampir semua jenis kayu, apabila kering sepenuhnya, boleh digunakan sebagai bahan bakar. Untuk geseran api, kualiti dan kekerasan kayu adalah penting. Kayu yang lebih lembut atau berhabuk sering digunakan untuk papan dasar, manakala kayu yang lebih keras digunakan sebagai rod pemutar.

Maka semua pokok kayu berpotensi untuk mengeluarkan api. Lihatlah kebakaran hutan yang selalu terjadi apabila datang musim kering dan kemarau. Walaupun zaman sekarang kita duduk di hutan batu, namun begitulah yang terjadi dahulu sampai sekarang. Allah ‎ﷻ menyebut tentang pokok dan api di dalam Waqiah: 71&72

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ (٧١) ءَأَنتُمۡ أَنشَأۡتُمۡ شَجَرَتَہَآ أَمۡ نَحۡنُ ٱلۡمُنشِـُٔونَ (٧٢)
Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)? (71) Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya? (72)

Di sini Allah ‎ﷻ hendak membantah hujah Musyrikin Mekah yang tidak dapat menerima kehidupan akan datang daripada tulang belulang yang telah mati. Seolah-olah Allah ‎ﷻ tidak berkuasa untuk menghidupkan semula makhluk yang telah mati. Namun ‎Allah ‎ﷻ kata bagaimana dengan pokok-pokok itu yang telah mati, tetapi masih lagi boleh mengeluarkan api? Allah ‎ﷻ boleh menjadikan api daripada pokok yang mati, maka Allah ‎ﷻ juga boleh menghidupkan manusia yang telah mati. Malah yang lebih hebatnya pokok yang masih hijau lagi pun Allah ‎ﷻ boleh keluarkan api daripadanya. Maka ini adalah perumpamaan kepada Kebangkitan: Sebagaimana api (sifatnya panas dan kering) boleh keluar daripada pokok hijau (sifatnya sejuk dan basah), begitu juga kehidupan (roh) boleh dikembalikan kepada jasad yang telah mati dan hancur.

Namun ini bukan kali pertama Allah ‎ﷻ sebut pokok dalam surah ini, bukan? Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang tanaman dan buah-buahan di dalam ayat 34 & 35

وَجَعَلۡنَا فِيهَا جَنَّـٰتٍ۬ مِّن نَّخِيلٍ۬ وَأَعۡنَـٰبٍ۬ وَفَجَّرۡنَا فِيہَا مِنَ ٱلۡعُيُونِ (٣٤) لِيَأۡڪُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦ وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡ‌ۖ أَفَلَا يَشۡڪُرُونَ
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, (34) Supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan daripada apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur? (35)

Kita telah katakan bahawa ayat-ayat itu memberi gambaran kepada SYURGA kerana di syurga ada banyak pokok dan buah-buahan. Akan tetapi kali ini disebut pokok dan dikaitkan pula dengan api الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا (pokok hijau yang boleh mengeluarkan api). Maka ini mengingatkan kita kepada NERAKA pula. Jadi Allah ‎ﷻ menaikkan semangat kita dengan syurga dan menakutkan kita dengan neraka pula di sini.

 

فَإِذآ أَنْتُمْ مِّنْهُ تُوقِدُونَ

Maka kamu daripadanya nyalakan api

Pokok adalah satu kehidupan yang asalnya menghijau, kemudian menjadi kering dan reput. Ia memberi isyarat kepada kehidupan – manusia daripada kecil menjadi dewasa dan di hujung usia akan menjadi tua dan berkedut juga. Jadi pokok itu boleh menghijau tetapi dalam masa yang sama juga, ia juga boleh mengeluarkan api – isyarat kepada kematian. Kehidupan dan kematian ada dua perkara yang berdekatan sahaja. Hendaklah kita sentiasa mengingati mati. Dari hidup ke mati, bukannya jauh pun. Sekelip mata sahaja ia boleh terjadi.

Tadi kita telah sebut disebut pokok di dalam ayat ini mengingatkan kita kepada neraka. Akan tetapi bukan itu sahaja. Apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang pokok di dalam ayat 35 sebelum, Allah ‎ﷻ sebut Allah ‎ﷻ yang buat pokok-pokok itu وَمَا عَمِلَتۡهُ أَيۡدِيهِمۡ‌ۖ (dan tidaklah mereka membuatnya dengan tangan mereka). Di dalam ayat 80 ini, Allah ‎ﷻ sebut kita yang nyalakan api itu أَنْتُمْ مِّنْهُ تُوقِدُونَ (kalian daripadanya menyalakan api). Ada pengajaran di sini, iaitu yang memasukkan kita ke dalam neraka adalah diri kita sendiri dengan perbuatan kita. Sedangkan untuk masuk ke dalam syurga itu mudah kerana memang Allah ‎ﷻ hendak memasukkan kita ke dalam syurga. Namun dengan tangan kita dan usaha kita sendiri, menyebabkan kita dimasukkan ke dalam neraka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Qasas: 84 

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Barangsiapa datang dengan membawa kebaikan, maka baginya (balasan) yang lebih baik daripada itu; dan barangsiapa datang dengan membawa kejahatan, maka tidaklah dibalaskan kepada orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu melainkan (setimpal) dengan apa yang selalu mereka kerjakan.”


 

Yaasin Ayat 81: Ini satu lagi dalil untuk manusia untuk mengatakan Allah ‎ﷻ berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia selepas matinya. 

أَوَلَيسَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم ۚ بَلىٰ وَهُوَ الخَلّٰقُ العَليمُ

Sahih International

Is not He who created the heavens and the earth able to create the likes of them? Yes, [it is so]; and He is the Knowing Creator.

Malay

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Dia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Tidakkah Dia Dzat yang menciptakan tujuh langit dan bumi

Allah ‎ﷻ mengingatkan Musyrikin Mekah bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Mereka pun terima yang Allah ‎ﷻ adalah Pencipta alam, bukan? Maka kalau alam yang sebegini besar pun Allah ‎ﷻ boleh cipta, tentulah Allah ‎ﷻ berkemampuan untuk menghidupkan kembali manusia. Apalah sangat kalau dibandingkan penciptaan manusia itu dengan penciptaan langit dan bumi? Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ghafir: 57

لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ
Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. 

 

بِقٰدِرٍ

dengan kuasa-Nya

Allah ‎ﷻ boleh buat kerana Allah ‎ﷻ memiliki Qudrat yang Maha Berkuasa. Manusia memang tidak boleh cipta seperti Allah ‎ﷻ. Jadi jangan bandingkan kelemahan manusia dengan qudrat Allah. Kita tidak berkuasa tetapi Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa.

 

عَلَىٰ أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ

boleh menciptakan seperti mereka? 

Kalau Allah ‎ﷻ boleh mencipta alam yang maha luas ini, takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh mencipta semula manusia sebagaimana Dia telah menciptakan manusia pertama kali dahulu? Tentulah Dia berkebolehan menghidupkan kembali manusia. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Ahqaf: 33

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya (bahkan) sesungguhnya Dia Maha kuasa atas segala sesuatu.

 

بَلَىٰ وَهُوَ الْخَلَٰقُ الْعَلِيمُ

Bahkan benar, dan Dialah yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ mampu untuk mengumpulkan kembali tulang belulang mereka dan menghidupkan kembali mereka, tetapi yang lagi susah daripada itu pun Allah ‎ﷻ mampu. Allah ‎ﷻ mampu mengembalikan cap jari mereka. Setiap manusia daripada mula kehidupan sampai kiamat nanti, mempunyai cap jari yang berbeza. Namun Allah ‎ﷻ mampu mengembalikannya seperti disebut di dalam Qiyamah: 3-4

أَيَحۡسَبُ ٱلۡإِنسَـٰنُ أَلَّن نَّجۡمَعَ عِظَامَهُ ۥ (٣) بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُ ۥ (٤)
Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus daripada yang lain). (4)

Allah ‎ﷻ mampu melakukan semua ini kerana Dia adalah الْخَلَّاقُ – Maha Pencipta. Kalimah الْخَلَّاقُ adalah di dalam bentuk mubalaghah sebab kalau pencipta biasa sahaja disebut الخالق. Kalimah الْخَلَّاقُ bermaksud mencipta dengan banyak dan berkali-kali. Begitulah Allah ‎ﷻ telah mencipta dari dulu sampai sekarang. Sama ada benda yang kita tahu atau benda yang tidak tercapai oleh daya imaginasi kita. Allah ‎ﷻ pula bukannya mencipta satu persatu tetapi Dia boleh buat banyak sekaligus entah berjuta benda sekali buat.

Bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ juga menyebutkan Sifat-Nya الْعَلِيمُ – Maha Mengetahui. Selepas Dia cipta kita, Dia tahu apa yang kita perlukan. Maka Dia telah memberikan apa-apa sahaja keperluan kita untuk hidup di dunia ini kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu keperluan hidup kita. Kemudian, selepas mencipta kita, Dia tahu kita di mana dan buat apa. Maka sifat الْعَلِيمُ ini perlu untuk mencipta semula makhluk yang telah lama mati.

Mungkin ada yang rasa ayat-ayat ini tidak penting. Kerana bukankah ia hendak menegur Musyrikin Mekah? Jadi kenapa kita perlu mentadabburi ayat-ayat ini? Kita sudah terima bukan yang memang Allah ‎ﷻ mampu menghidupkan yang telah mati? Jangan kita sangka ia tidak bermakna kepada kita. Kita pun kena selalu baca ayat-ayat ini kerana ia mengingatkan kita kepada kematian. Kerana walaupun kita kononnya telah yakin yang Allah ‎ﷻ pasti akan menghidupkan kita yang telah mati, tetapi bukankah di dalam kehidupan kita, kita seolah-olah lupa yang kita akan hidup kembali dan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan kita semasa di dunia? Bukankah kita sekarang tidak takut pun untuk membuat dosa?


 

Yaasin Ayat 82: Adakah susah bagi Allah ‎ﷻ untuk mencipta? Tidak. Ini adalah salah satu cara penciptaan yang Allah ‎ﷻ gunakan.

إِنَّمآ أَمرُهُ إِذآ أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

 
Sahih International

His command is only when He intends a thing that He says to it, “Be,” and it is.

Malay

Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.

 

إِنَّمَآ أَمْرُهُ إِذَآ أَرَادَ شَيْئًا

Sesungguhnya apabila Allah sudah buat keputusan berkehendak sesuatu

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak (iradah) sepertimana kita juga ada kehendak. Akan tetapi kehendak kita dan kehendak Allah ‎ﷻ tidak sama.

 

أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ

hanya Dia perlu kata kepada benda yang Dia hendak cipta itu: Jadi!

Bila kita berkehendak, tidak semestinya kehendak kita itu akan dipenuhi. Namun kehendak Allah ‎ﷻ akan dipenuhi dengan sempurna. Allah ‎ﷻ cakap ‘kun’ sahaja, maka terjadilah perkara itu. Kalau begini mudahnya Allah ‎ﷻ hendak menjadikan sesuatu apa pun, tentulah mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan semula manusia.

 

فَيَكُونُ

maka jadilah ia. 

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ hanya Dia memerintahkan sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu kepada pengulangan dan bantuan daripada apa-apa pun. Juga tidak memerlukan satu proses kejadian yang susah. Kalau kita yang mencipta sesuatu, kita kena cari bahan mentah, kena adun bahan-bahan itu, kena menggunakan peralatan lain, kena guna tenaga dan perah otak untuk menjadikan sesuatu. Akan tetapi senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ kalau hendak jadikan sesuatu, Dia hanya berkehendak sahaja.

Maka di sini Allah ‎ﷻ beritahu kita yang mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah dimatikan. Sebagaimana mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk mematikan kita semua seperti disebut di dalam ayat 49 sebelum ini,

ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ
Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

Namun begitu, kena ada penjelasan sedikit tentang ayat ini. Kalau silap tafsir ayat ini, akan jadi salah faham. Apabila Allah ‎ﷻ mahukan sesuatu, adakah perlu Dia berkata ‘kun’, baru terjadi benda itu? Sebenarnya, apabila Dia berkehendak/ingin sahaja, terus jadi. Tidak perlu Dia berkata ‘kun’. Maknanya, tujuan ayat ini hendak memberitahu mudahnya Allah ‎ﷻ menjadikan sesuatu. Bukanlah kalau Allah ‎ﷻ mahu menjadikan janin manusia, Dia kena berkata ‘kun’, untuk besarkan sikit, kena kata ‘kun’ dan seterusnya; Allah ‎ﷻ tidak perlu buat begitu. Kejadian itu boleh jadi dalam bentuk serta merta atau mengambil masa, ikut kehendak Allah ‎ﷻ. Sepertimana Allah ‎ﷻ menjadikan malaikat dengan serta merta, tidak perlu ibu bapa.

Sebaliknya dalam penciptaan manusia, sembilan bulan barulah beranak. Tidak sempurna lagi seseorang manusia masa itu. Itu baru lahir sahaja dan selepas itu baru boleh meniarap, berjalan dan sebagainya. Maknanya, itu adalah jenis penciptaan yang mengambil masa. Maka Allah ‎ﷻ menceritakan tentang ‘kun fayakun’ ini kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan kekuasaan-Nya. Ia sebagai perumpamaan mudahnya Allah ‎ﷻ menciptakan sesuatu. Kalau Allah ‎ﷻ mahu menjadikan manusia serta-merta pun boleh, sepertimana Allah ‎ﷻ menjadikan malaikat. Begitulah nanti Allah ‎ﷻ akan bangkitkan semula makhluk di Mahsyar kelak – terus bangkit sahaja, tidak perlu dilahirkan semula dan melalui proses bermula daripada bayi pula. Keluar sahaja dari kubur terus sudah dewasa.

Keseluruhan Bukti-bukti yang disebut di dalam Surah Yaasin

 

Yaasin Ayat 83: Allah ‎ﷻ simpulkan semua sekali dalam ayat ini. Jadi ini adalah khulasah surah ini.

فَسُبحٰنَ الَّذي بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

So exalted is He in whose hand is the realm of all things, and to Him you will be returned.

Malay

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

 

فَسُبْحٰنَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ

Maha Suci Tuhan, Dzat yang di Tangan-Nya sahaja kekuasaan segala sesuatu; 

Subhanallah – Allah ‎ﷻ itu suci dan bebas daripada segala sifat kekurangan dan keburukan. Suci daripada kata-kata tuduhan buruk dan keji daripada golongan yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak mampu membangkitkan makhluk yang telah lama mati. Hanya kepada-Nya kembali segala urusan. Hak-Nya menciptakan dan memerintah alam ini.

Oleh itu, kesimpulan daripada Surah Yaasin ini, kita hendaklah bertasbih dan memuji Allah ‎ﷻ di atas segala kehebatan-Nya dan kemurahan-Nya kepada kita. Kita kena mengagungkan Allah ‎ﷻ dalam segenap hal. Jangan kita ada sedikit pun rasa sangsi dengan kemampuan Allah ‎ﷻ untuk mencipta atau melakukan apa sahaja.

Juga hendaklah kita beriktikad yang segala kerajaan adalah بِيَدِهِ (dalam tangan-Nya). Sekali lagi kita jumpa perkataan ‘tangan Allah’ seperti yang telah disebut di dalam ayat 71 sebelum ini. Kita telah bincangkan tentang apakah maksudnya. Penggunaan perkataan بِيَدِهِ menunjukkan Dia berkuasa penuh. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Ini seperti kita ada memegang kunci di tangan kita, maka kita boleh buat apa-apa sahaja dengan kunci itu. Maka Allah ‎ﷻ boleh buat apa-apa sahaja dengan alam ini ikut apa yang Dia suka.

Ia juga bermakna Allah ‎ﷻ berkuasa penuh kerana kerajaan itu di tangan-Nya. Kalau benda di tangan kita, ia tidak di tangan orang lain. Ini bermakna Allah ‎ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya itu dengan sesiapa pun. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan wakil untuk mentadbir alam ini. Allah ‎ﷻ sendiri yang mengurus alam ini. Jadi kalau ada kefahaman yang Allah ‎ﷻ lantik para wali atau malaikat untuk menjadi wakil dalam mentadbir alam ini, itu adalah fahaman syirik (Syirk fi tasarruf – pengurusan).

Apakah yang Allah ‎ﷻ kuasai? Semua Allah ‎ﷻ miliki di dalam alam ini dengan penggunaan istilah مَلَكُوتُ. Sama ada kecil atau besar, semuanya di dalam kerajaan Allah. Kalimah مَلَكُوتُ adalah di dalam isim mubalaghah dan kerana itu kalimah مَلَكُوتُ lebih kuat daripada kalimah مُلكُ yang biasa digunakan di dalam ayat lain seperti Baqarah: 107

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?

Dalam konteks Al-Qur’an dan bahasa Arab, kalimah مَلَكُوتُ (Malakut) sering dianggap memiliki makna yang lebih luas, lebih mendalam, dan lebih besar daripada kalimah مُلْكٌ (Mulk) atau مَلِكٌ (Malik). Meskipun ketiga kata ini berasal daripada akar kata yang sama (م ل ك), perbezaan pada wazannya (bentuk morfologi) memberikan nuansa makna yang berbeza. Mari kita kupas perbezaannya:

Perbandingan Makna Kalimah

1. مُلْكٌ (Mulk):

    • Makna Asas: Bermaksud kerajaan, kekuasaan, pemerintahan, atau kepemilikan yang bersifat zahir (tampak) dan nyata.
    • Fokus: Lebih kepada aspek kekuasaan dan kepemilikan duniawi yang terlihat dan dipegang oleh makhluk, meskipun pada hakikatnya semua adalah milik Allah ‎ﷻ.

2. مَلِكٌ (Malik):

    • Makna Asas: Bermaksud raja, penguasa, atau pemilik. Ia adalah sifat bagi seseorang yang memiliki “mulk”.
    • Fokus: Lebih kepada personaliti atau entiti yang memiliki kekuasaan.
    • Contoh: “Maliki Yawm al-Din” (Raja Hari Pembalasan). Ini merujuk kepada Allah ‎ﷻ sebagai Raja dan Pemilik mutlak pada Hari Kiamat.

3. مَلَكُوتُ (Malakut):

    • Makna Asas: Ini adalah bentuk mubalaghah (hiperbola) atau penambahan makna daripada mulk. Ia bermaksud kekuasaan yang sangat besar, kekuasaan mutlak, kerajaan yang meliputi segala-galanya, baik yang zahir mahupun yang ghaib, yang tampak mahupun yang tidak tampak. Ia menunjukkan kekuasaan ilahiah yang meliputi seluruh alam semesta.
    • Fokus: Meliputi aspek kekuasaan dan kepemilikan yang sempurna, mendalam, dan menyeluruh, termasuk dimensi alam ghaib yang tidak terjangkau oleh panca indera manusia. Ia adalah kekuasaan yang sejati, hakiki, dan mutlak milik Allah ‎ﷻ.

Kalau kerajaan di dunia, manusia boleh lagi merampasnya daripada seorang raja atau presiden itu. Nampak macam raja atau presiden itu berkuasa ketika itu (walaupun pada hakikatnya tidaklah dia berkuasa sebenarnya). Namun kalau مَلَكُوتُ Allah, tidak ada sesiapa yang boleh buat apa-apa. Itu adalah hak mutlaq Allah . مَلَكُوتُ Allah ‎ﷻ itu meliputi seluruh alam ini kerana semua kerajaan dalam alam ini adalah hak Allah ‎ﷻ.

Perkataan مَلَكُوتُ juga bermakna penguasaan Allah ‎ﷻ itu bukan hanya penguasaan fizikal sahaja. Sebagai contoh, seorang tuan boleh menguasai hambanya; dia boleh suruh hamba itu buat kerja dan sebagainya. Namun dia tidak dapat mengawal perasaan hamba itu. Dia tidak boleh arahkan hamba itu untuk suka atau duka. Sebaliknya penguasaan Allah ‎ﷻ berbeza; penguasaan Allah ‎ﷻ adalah menyeluruh. Dia boleh memberi kita kesihatan dan sakit, suka atau gembira, tenang atau risau dan sebagainya. Tidak tercapai dalam pemikiran kita setakat mana penguasaan Allah ‎ﷻ atas kita.

Ini bukan pertama kali Allah ‎ﷻ sebut pemilihan di dalam surah ini. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam ayat 71

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينآ أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

Pemilikan makhluk ke atas makhluk yang lain memang ada, namun terhad. Kerana itu sekarang Allah ‎ﷻ gunakan kalimah مَلَكُوتُ untuk memberitahu segala apa yang ada dalam alam ini sebenarnya milik Allah ‎ﷻ sepenuhnya.

Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan istilah kekuasaan di sini? Kita suka kalau dapat berkawan dengan orang yang berkuasa, bukan? Maka, siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi yang lebih berkuasa daripada-Nya. Orang-orang yang beriman dahulu seperti para Nabi dan para sahabat telah merapatkan diri mereka dengan Allah ‎ﷻ. Mereka dapat rasa bagaimana Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan mereka. Mereka tahu bahawa segalanya ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Kerana itulah mereka tidak takut apa-apa daripada makhluk kerana mereka telah berdamping yang paling berkuasa di dalam alam ini. Kalau ada masalah apa-apa, mereka akan terus melakukan solat dan mengangkat tangan untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka rasa cukup dengan ada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka telah menyerahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka telah redha Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan mereka seperti yang disebut di dalam hadith daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «مَنْ قَالَ: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ»
“Barangsiapa yang mengucapkan: ‘Aku redha Allah sebagai Rabbku, Islam sebagai agamaku, dan Muhammad sebagai Nabi (dan Rasul)ku,’ maka wajib baginya syurga.”
Imam Muslim dalam Sahihnya (Kitab Adz-Dzikr wa Ad-Du’a wa At-Taubah wal Istighfar), Nombor 1884.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kamu semua akan dikembalikan kepada-Nya;

Sama ada kamu taat kepada-Nya atau tidak, kepada Dia juga kamu akan dikembalikan. ِPerhatikan kalimah إِلَيْهِ ditaqdimkan (diawalkan). Susunan biasa adalah تُرْجَعُون إِلَيْهِ. Apabila ditaqdimkan begitu, ia membawa isyarat eksklusif yang bermaksud *hanya* kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita semua akan dikembalikan. Kita akan mengadap Allah ‎ﷻ dan tidak ada sesiapa yang boleh menjadi penghalang dan peguam bagi kita. Tidak ada Nabi, tidak ada wali yang akan menyelamatkan kita. Sebagai contoh, kalau penganut Kristian, mereka sangka mereka akan bertemu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda akan menyelamatkan mereka. Kalau pengikut tarekat pula, mereka sangka Tok Sheikh mereka akan menunggu mereka di akhirat dan akan menjadi penaung mereka nanti. Ia tidak jadi begitu. Terkejutlah nanti puak-puak tarekat itu.

Apabila kalimah تُرْجَعُون digunakan dan bukan تَرْجِعُون, ia bermaksud mereka itu dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ sama ada mereka suka atau tidak. Ini kerana kalimah تُرْجَعُون adalah di dalam bentuk pasif. Mereka tidak ada daya untuk mengelak daripada dibawa mengadap Allah ‎ﷻ. Orang kafir memang amat menyesal dan kalau boleh, mereka tidak mahu dihadapkan. Kerana itu disebut di dalam Naba’: 40, mereka berharap mereka untuk menjadi tanah sahaja.

إِنَّا أَنذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu azab yang dekat, pada hari (ketika) manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: ‘Alangkah baiknya kiranya aku dahulu adalah tanah’.”

Apabila kembali kepada Allah ‎ﷻ, Dia akan membalas makhluk sesuai dengan amalan dan iman mereka. Inilah yang amat penting untuk kita ingat sentiasa. Kita semua akan kembali kepada-Nya. Sama ada hari ini atau esok, kita tidak tahu, tetapi ia pasti akan terjadi. Tidak ada manusia yang tidak mati. Semuanya akan mati nanti akhirnya dan akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan daripada-Nya. Maka kita perbaikilah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dan amalan kita semasa kita masih hidup lagi ini.

Begitulah Allah ‎ﷻ menutup surah ini dengan mengingatkan kita semua yang kita akan dikembalikan kepada-Nya nanti. Dulu kita sudah baca dakwah dan peringatan daripada Lelaki Beriman yang mengingatkan perkara ini di dalam ayat 22

وَما لِىَ لا أَعبُدُ الَّذى فَطَرَنى وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan?

Namun apabila Lelaki itu beri peringatan, kaumnya yang kufur itu tidak boleh terima dan akhirnya mereka telah membunuh beliau. Nah, sekarang Allah ‎ﷻ pula beri peringatan. Hendak lihat apa yang golongan penentang boleh buat?

 

Mari kita lihat Struktur Cincin bagi ayat 69 – 83 ini. Ia bercakap tentang Al-Qur’an dan Takdir Allah.

Kaitan antara bahagian: 

[Q]/[Q’] – Bahagian [Q] menyebut tentang Kalamullah (Al-Qur’an) dan Bahagian [Q’] menyebut arahan Allah ‎ﷻ (Qadarullah). Al-Qur’an adalah cara utama bagi kita mengetahui Qadarullah.

[R]/[R’] – Di Bahagian [R] Allah ‎ﷻ menyebut jasa-Nya di dalam penciptaan iaitu Allah ‎ﷻ telah memberi kita dengan binatang ternak. Di Bahagian [R’] sekali lagi Allah ‎ﷻ menyebut jasa-Nya di dalam penciptaan dan kali ini disebut penciptaan pohon yang boleh dijadikan api dan bermanfaat bagi manusia.

[S]/[S’] – Di dalam Bahagian [S] Allah ‎ﷻ menyebut tentang bodohnya manusia yang mengambil ilah selain Allah ‎ﷻ sedangkan ilah-ilah itu semua bukannya boleh membantu mereka pun. Sekali lagi disebut kebodohan manusia di dalam [S’] apabila mereka lupa kejadian mereka sendiri (yang dicipta daripada tiada kepada ada) dan sekarang mempersoalkan siapa yang boleh menghidupkan kembali tulang belulang yang telah hancur.

[T] – Di Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang kata-kata manusia. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan hiraukan kata-kata mereka sebaliknya beri perhatian kepada Kalamullah yang disebut di dalam [Q]/[Q’].

 

Allahu a’lam. Sambung ke penutup tafsir surah ini.

Kemaskini: 2 Julai 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Yaasin Ayat 77 – 79 (Mudah sahaja Allah ‎ﷻ cipta kembali)

KUASA ALLAH ‎ﷻ UNTUK MEMBANGKITKAN MAKHLUK YANG TELAH MATI

Yaasin Ayat 77: Sebelum ini telah disebut golongan penentang itu cakap di luar lain daripada apa yang di dalam hati mereka. Kenapa mereka begitu? Kerana kesombongan yang ada dalam diri mereka. Maka sekarang Allah ‎ﷻ mahu mengingatkan mereka asal kejadian mereka. Jadi jangan hendak sombong sangat lah.

أَوَلَم يَرَ الإِنسٰنُ أَنّا خَلَقنٰهُ مِن نُّطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُّبينٌ

Sahih International

Does man not consider that We created him from a [mere] sperm-drop – then at once he is a clear adversary?

Malay

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia daripada (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

 

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسٰنُ أَنَّا خَلَقْنٰهُ

Tidakkah seorang insan itu melihat bahawasanya Kami telah menciptakannya; 

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dialah yang mencipta manusia. Maka tentu sekali Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya tentang mereka. Adakah mereka lupa yang mereka itu dicipta oleh Siapa?

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan iltifat (pertukaran) kata ganti nama di sini. Di awal surah ini, Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada mereka untuk memberikan peringatan kepada mereka. Akan tetapi, apabila mereka berdegil, Allah ‎ﷻ membahasakan mereka dalam pihak ketiga – هم (mereka). Namun ini sudah sampai kepada tahap Allah ‎ﷻ tidak membahasakan mereka dalam pihak ketiga pun – Allah ‎ﷻ hanya sebut ‘manusia’ sahaja. Itu menunjukkan Allah ‎ﷻ sudah murka sangat.

Kalau dilihat asbabun nuzul ayat ini, ia ditujukan kepada pemuka-pemuka Quraish yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Akan tetapi dalam zaman sekarang, ia digunakan untuk mereka yang mempunyai sifat seperti mereka.

Insan

Di dalam ayat 15, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah بَشَرٌ untuk merujuk kepada manusia,

قالوا ما أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِّثلُنا
Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga

Akan tetapi di dalam ayat ini digunakan istilah الْإِنْسٰنُ pula yang juga merujuk kepada manusia. Kemudian di tempat yang lain, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah النّاسِ pula yang juga merujuk kepada manusia. Kenapa ada perbezaan itu? Seperti yang kita tahu, penggunaan istilah oleh Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an mesti tepat dan mengandungi maksud yang tersirat. Ringkasnya, الْإِنْسٰنُ dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah. Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia. Sedangkan النّاسِ digunakan apabila menyebut manusia sebagai makhluk sosial. Manakala بَشَرٌ memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi.

Istilah الْإِنْسٰنُ disebut sebanyak 65 kali dalam Al-Qur’an. Kita boleh mengelompokkan konteks الْإِنْسٰنُ dalam tiga kategori, iaitu:

    • Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.
    • Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.
    • Ketiga, insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.

Kecuali kategori ketiga yang akan kita jelaskan kemudian, semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual. Pada kategori pertama, kita melihat keistimewaan manusia sebagai wujud yang berbeza dengan haiwani. Menurut Al-Qur’an, manusia adalah makhluk yang diberi ilmu. Perhatikan ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥) (Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)) [Alaq: 4-5] dan خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣) عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ (٤) (Dialah yang telah menciptakan manusia. (3) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (4)) [Rahmaan: 3-4]. Manusia diberi kemampuan mengembangkan ilmu dan daya fikirnya. Kerana itu juga, kata الْإِنْسٰنُ berkali-kali dihubungkan dengan kata نظر nazhar. Insan disuruh menazhar (merenungkan, memikirkan, menganalisis, meneliti) perbuatannya: يَوْمَ يَتَذَكَّرُ الْإِنسَانُ مَا سَعَىٰ (Pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya) [Nazi’at: 35]

Kedua, manusia adalah makhluk yang memikul amanah: إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ (Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia) [Ahzab: 72]. Di dalamnya terkandung makna khilafah, manusia sebagai pemikul al-wilayah al-ilahiyyah. Amanah inilah yang dalam ayat-ayat lain disebutkan sebagai perjanjian (مِيثَاقَ). Contoh مِيثَاقَ adalah seperti disebut di dalam Maidah: 7: وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثَاقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taati.’ Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati (mu).)

Ketiga, kerana manusia memikul amanah, maka insan di dalam Al-Qur’an juga dihubungkan dengan konsep tanggungjawab (taklif). Rujuk Qiyamah: 36 أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى (Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan?) Manusia diperintah untuk berbuat baik; amalnya dicatat dengan teliti untuk diberi balasan, sesuai dengan apa yang dikerjakannya.

Keempat, dalam menyembah Allah ‎ﷻ, insan sangat dipengaruhi oleh lingkungannya. Apabila dia ditimpa musibah, dia cenderung menyembah Allah ‎ﷻ dengan ikhlas; apabila dia memperoleh keuntungan, dia cenderung sombong, takbur, bahkan musyrik. Lihat Yunus: 12 وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ (Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya)

Dalam kategori kedua, kata الْإِنْسٰنُ dihubungkan dengan ciri negatif pada diri manusia. Menurut Al-Qur’an, manusia itu,

a. cenderung zalim dan kafir seperti disebut di dalam Ibrahim: 34 إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari;

b. tergesa-gesa, terburu-buru seperti disebut di dalam Isra‘: 11 وَيَدعُ الإِنسٰنُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسٰنُ عَجولًا Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana ia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa;

c. bakhil seperti disebut dalam Isra‘: 100 قُل لَّو أَنتُم تَملِكُونَ خَزَآٮِٕنَ رَحمَةِ رَبِّىٓ إِذًا لَّأَمسَكتُم خَشيَةَ ٱلإِنفَاقِ‌ۚ وَكَانَ ٱلإِنسَـٰنُ قَتُورًا Katakanlah: “Kalau seandainya kamu menguasai perbendaharaan-perbendaharaan rahmat Tuhanku, nescaya perbendaharaan itu kamu tahan, kerana takut membelanjakannya”. Dan adalah manusia itu sangat kikir;

d. bodoh seperti disebut di dalam Ahzab: 72 إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh;

e. banyak menafikan atau membantah seperti disebut di dalam Kahfi: 54 وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya;

f. resah, gelisah, dan enggan membantu seperti disebut di dalam Ma‘aarij: 19 إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).

g. ditakdirkan untuk bersusah payah dan menderita seperti disebut di dalam Insyiqaaq: 6 يا أَيُّهَا الإِنسانُ إِنَّكَ كادِحٌ إِلىٰ رَبِّكَ كَدحًا فَمُلاقيهِ Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya;

h. tidak berterima kasih seperti disebut di dalam ’Aadiyaat: 6 إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya;

i. berbuat dosa seperti disebut di dalam ’Alaq: 6 كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas;

j. meragukan hari akhirat seperti disebut di dalam Maryam: 66 وَيَقولُ الإِنسٰنُ أَءذا ما مِتُّ لَسَوفَ أُخرَجُ حَيًّا Dan manusia (yang kafir) berkata: “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”; 

Apabila dihubungkan dengan sifat-sifat manusia pada kategori pertama, insan menjadi makhluk paradoks, yang berjuang mengatasi konflik dua kekuatan yang saling bertentangan: kekuatan mengikuti fitrah (memikul amanah Allah ‎ﷻ) dan kekuatan mengikut ciri negatif.

Kedua-dua kekuatan ini digambarkan dengan kategori ketiga. Menariknya, proses penciptaan manusia atau asal kejadian manusia dinisbahkan kepada konsep insan dan basyar sekaligus. Sebagai insan, manusia diciptakan daripada tanah liat, intipati tanah, tanah (Hijr: 26; Rahman: 14; Mukminun: 12; Sajdah: 7). Demikian juga basyar berasal daripada tanah liat, tanah (Hijr: 28; Sad: 71; Rum: 20) dan air (Furqan: 54). Ini dapat disimpulkan bahawa proses penciptaan manusia menggambarkan secara simbolik perwatakan basyari dan perwatakan insani. Yang pertama, unsur material dan yang kedua, unsur rohani. Yang pertama, unsur basyari, yang kedua unsur insani. Kedua-duanya harus bergabung dalam keseimbangan. “Tidak boleh (seorang mukmin) mengurangi hak-hak tubuh untuk memenuhi hak roh, dan tidak boleh dia mengurangi hak-hak roh untuk memenuhi hak tubuh,” kata Abbas Mahmud al-’Aqqad.

مِن نُّطْفَةٍ

daripada sperma;

Inilah asal kejadian manusia, iaitu daripada air mani sahaja. Manusia sebenarnya dijadikan bukan daripada air mani, tetapi daripada sperma yang satu daripada banyak-banyak sperma yang ada dalam air mani itu. Namun secara umumnya sperma itu ada di dalam air mani itulah, maka selalunya terjemahan akan sebut ‘air mani’ sahaja. Maka di sini Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia yang Dia telah menjadikan manusia daripada sesuatu yang hina iaitu air mani. Kalau air mani itu jatuh menitik ke bumi, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Kalau terkena pada pakaian kita pun cepat-cepat isteri kita basuh kerana ia dikira sebagai kotor. Keluar pula air mani itu dari tempat keluar air kencing sahaja.

Namun begitu Allah ‎ﷻ telah menjadikan daripada air manilah itu janin yang membesar di dalam rahim ibunya sehingga sampai masa ia boleh keluar. Keluar daripada ibu pun dari tempat keluar darah haid ibu itulah juga. Allah ‎ﷻ beri segala keperluan manusia itu sehingga dia bersifat sempurna. Sewaktu baru lahir itu apa pun tidak tahu, tidak boleh buat. Hendak makan minum kena disuap. Berak merata-rata sampaikan bersusah payah ibu bapa untuk menjaganya dan dipakaikan lampin. Nasib baik comel sahaja  yang menyebabkan ibubapa sanggup menjaganya walaupun menghabiskan duit sahaja tanpa membuat kerja apa-apa. Dari kaki dan tangan yang pendek, akhirnya manusia itu mempunyai rupa yang elok dan Allah ‎ﷻ telah memberikan akal kepada mereka. Asalnya tidak tahu apa-apa tetapi Allah ‎ﷻ yang mengajarnya bermacam-macam perkara boleh faham sehingga bermacam-macam perkara mampu buat. Manusia itu rasa dia hebat sampaikan dia lupa dia dulu berasal daripada air mani sahaja.

 

فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ

Maka mereka tiba-tiba bila sudah jadi manusia, mereka menjadi pembantah yang jelas;

Mereka dijadikan daripada air mani sahaja, tetapi apabila sudah besar sikit, mereka boleh berkata-kata, boleh berbicara. Hebat sekali penciptaan Allah ‎ﷻ dan bagaimana Allah ‎ﷻ membentuk dan membesarkan manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Insan: 2

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

Akan tetapi kemudian mereka membantah Allah ‎ﷻ dengan mengatakan perkara yang salah tentang Allah ‎ﷻ. Antaranya, mereka kata Allah ‎ﷻ memerlukan perantaraan dalam berdoa, atau mereka berkata kalau orang yang banyak dosa, Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa hamba itu; dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka amat jauh daripada wahyu dan kerana itu mereka reka pemahaman sendiri tentang Allah ‎ﷻ. Padahal Allah ‎ﷻ tidak sebut tentang itu dalam mana-mana wahyu.

Perkataan خَصِيمٌ itu digunakan untuk merujuk kepada orang yang menentang dengan keras. Mereka amat sombong sampaikan mereka sanggup melawan dengan kuat, dengan jeritan dan sifat yang degil. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan itu. Ini jenis yang kalau kita minta dia sabar, dia akan jerit balik kepada kita: “Apa sabar sabar?!” Berani sungguh dia buat begitu sedangkan yang dia lawan itu adalah kebenaran. Namun fikirannya telah dikelabui oleh kesombongan dirinya. Dia lupa asal kejadiannya dulu yang dijadikan daripada air mani yang hina.

Diriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ashi bin Wa’il As-Sahmi (ayah daripada Amr bin Ash, yang kemudian masuk Islam). Ashi bin Wa’il pernah mendatangi Rasulullah ﷺ dengan membawa tulang belulang yang sudah lapuk dan hancur, lalu dia meremukkannya di hadapan Nabi ﷺ dan menaburkan serpihannya di udara. Kemudian dia berkata: “Wahai Muhammad, apakah engkau mendakwa bahawa Rabbmu akan menghidupkan kembali ini setelah ia lapuk dan hancur?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Ya, Allah akan menghidupkan kembali ini, dan Dia akan mematikanmu, kemudian menghidupkanmu, dan kemudian memasukkanmu ke dalam neraka.”

Riwayat ini disebutkan oleh para ahli tafsir seperti Ibnu Jarir Ath-Thabari, Ibnu Katsir, dan lainnya dalam tafsir mereka, merujuk pada beberapa jalur periwayatan meskipun mungkin ada perbezaan darjat kesahihannya, namun kisah ini sangat masyhur. Ada juga yang mengatakan bukan Ashi bin Wa’il yang dimaksudkan akan tetapi Ubai bin Khalaf. Maka, setelah peristiwa ini, turunlah ayat 77 hingga akhir surah, yang berbicara tentang penciptaan manusia, kemampuan Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali yang telah mati, dan tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ di alam semesta.

Sekali lagi kita lihat sifat خَصِيمٌ manusia disebut. Sebelum ini telah disebut di dalam kisah kejadian Kiamat di dalam ayat 49,

مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ
“Mereka tidaklah menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar/berbantah.”

Walaupun kedua-dua kalimah خَصِيمٌ dan يَخِصِّمُونَ itu disebut di dalam konteks yang berbeza, akan tetapi ada persamaan antara keduanya, iaitu menceritakan sifat manusia yang suka bertengkar,

    • Mereka bertengkar tentang kebenaran risalah.
    • Mereka bertengkar tentang Hari Kiamat.
    • Mereka bertengkar antara sesama mereka.

Kaitan antara kedua-dua penggunaan kalimah “خَصِيمٌ” ini adalah seperti berikut:

1. Sifat Manusiawi: Kedua-duanya menyebut sifat membantah atau berdebat yang melekat pada manusia, terutamanya mereka yang mengingkari kebenaran.

2. Dari Awal Penciptaan Hingga Akhir Hayat:

    • Ayat 77 (“maka tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata“) menyebut bagaimana sifat membantah ini muncul setelah manusia diciptakan daripada ketiadaan dan diberikan akal. Ini adalah gambaran sifat dasar manusia yang cenderung membantah kebenaran, bahkan tentang asal-usul dan Penciptanya.
    • Ayat 49 (“ketika mereka sedang bertengkar/berbantah“) menunjukkan kelanjutan sifat ini hingga saat-saat terakhir kehidupan mereka di dunia, di mana mereka tetap dalam perdebatan dan penolakan terhadap kebenaran hingga azab datang mengejut.

Kedua-dua ayat ini secara kolektif menggambarkan sikap ingkar dan membantah yang ada pada sebahagian manusia terhadap kebenaran Allah ‎ﷻ, baik tentang kekuasaan-Nya dalam penciptaan dan kebangkitan, mahupun tentang peringatan akan Hari Kiamat. Ini adalah teguran daripada Allah ‎ﷻ kepada manusia agar merenungkan asal-usul dan tujuan hidup mereka, serta tidak terus-menerus membantah kebenaran yang nyata.


 

Yaasin Ayat 78: Ini adalah kata-kata mereka yang membantah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak percaya kepada kehidupan semula dan mereka berhujah dengan Rasulullah ﷺ dengan hujah yang bodoh.

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ

Sahih International

And he presents for Us an example and forgets his [own] creation. He says, “Who will give life to bones while they are disintegrated?”

Malay

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

 

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا

Dan dia membuat contoh bandingan kepada Kami;

Allah ‎ﷻ yang menjadikan mereka, tetapi mereka berani pula buat contoh misalan untuk Allah ‎ﷻ. Mereka reka sifat Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka kata Allah ‎ﷻ begini dan begitu (daripada pemahaman mereka sahaja). Mereka kata Allah ‎ﷻ memerlukan wakil dalam menerima doa daripada manusia. Mereka samakan kerajaan Allah ‎ﷻ dengan kerajaan manusia pula. Mereka kata kalau hendak jumpa Menteri terus, kita tidak boleh dan kenalah melalui orang tengah; jadi dengan Allah ‎ﷻ pun kenalah melalui ‘orang tengah’ juga (sebagai wasilah). Mereka tidak sedarkah yang ini adalah kerajaan Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ tidak pernah ajar pun kena melalui orang tengah untuk berdoa kepada-Nya. Yang Allah ‎ﷻ ajar kita dalam berdoa adalah berdoa terus kepada-Nya.

Tafsiran kedua: Kisah ini terjadi semasa zaman Rasulullah ﷺ. Mereka bawa tulang yang telah reput ke hadapan baginda dan mereka berhujah: “Siapa yang dapat menghidupkan tulang-tulang itu semula?” Ini seperti yang kita telah kongsikan kisah Ashi bin Wa’il di atas tadi. Ini adalah hujah bodoh kedua yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam surah ini yang datang daripada penentang kebenaran. Hujah bodoh sebelum ini telah disebut di dalam ayat 47

قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا أَنُطعِمُ مَن لَّو يَشاءُ اللهُ أَطعَمَهُ
maka orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman: “Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan?”

Mereka sangka mereka pandai dengan hujah mereka itu. Mereka sangka hujah mereka sudah kuat tetapi sebenarnya hujah mereka bodoh sekali kerana akal fikiran mereka telah dikelabui oleh kesombongan mereka. Hujah-hujah bodoh memang akan sentiasa sahaja ada. Contohnya golongan yang tidak kisah dengan bid’ah ada beri contoh: “Kalau tak boleh buat benda baru, puak-puak Wahabi tu kena naik unta lah… sebab Nabi tak pernah naik kereta!” Jawapan kita: ‘Kalau bodoh itu sikit-sikit tidak mengapa, tapi jangan bodoh sangat’. Yang menjadi bid’ah dan dilarang dalam agama adalah bid’ah dalam hal agama, bukan dalam hal kehidupan.

 

وَنَسِيَ خَلْقَهُ

Dan dia lupa penciptaan dia;

Mereka beri hujah bodoh itu dalam keadaan mereka lupa asal kejadian mereka daripada air mani yang hina. Mereka lupa bahawa Allah ‎ﷻlah yang menciptakan mereka mula-mula dahulu daripada tiada kepada ada. Dulu manusia tidak sebut pun nama mereka sebab tidak ada lagi seperti Insan: 1

هَل أَتىٰ عَلَى الإِنسٰنِ حينٌ مِّنَ الدَّهرِ لَم يَكُن شَيئًا مَّذكورًا
Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?

Allah ‎ﷻ sudah pernah menjadikan mereka daripada tidak ada kepada ada, daripada kecil sampai besar; daripada tidak tahu apa-apa sampai boleh bercakap dan sepatutnya boleh berfikir. Akan tetapi mereka tidak mahu berfikir untuk menerima kebenaran? Mereka beri hujah yang bodoh dan tidak masuk akal? Tidakkah mereka fikir, kalau Allah ‎ﷻ sudah pernah jadikan mereka, jadi adakah susah untuk Allah ‎ﷻ jadikan mereka semula? Tentu tidak, kerana senang sahaja bagi Allah ‎ﷻ. Mereka sahaja yang sangka Allah ‎ﷻ tidak mampu untuk hidupkan mereka semula.

 

قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظٰمَ وَهِيَ رَمِيمٌ

Dia berkata: siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang ini yang telah hancur?

Iaitu kisah Ashi bin Wa’il yang telah datang kepada Nabi ﷺ membawa satu tulang yang hancur di tangannya. Dia menghancurkan tulang reput itu dan menaburkannya ke udara dan berkata: “Hai Muhammad! Apakah engkau mengira bahawa Allah akan membangkitkan ini kembali?” Dia hendak kata kalau orang baru mati, bolehlah juga hendak fikir dia boleh dihidupkan semula sebab baru sahaja mati tetapi yang sudah lama mati dan tulang pun sudah reput, macam mana? Yang dia tengok tulang-tulang yang hancur itu tetapi dia lupa tengok kepada alam yang begini punya besar, begini punya hebat.


 

Yaasin Ayat 79: Dalam ayat sebelum ini, diceritakan bagaimana ada golongan Musyrikin Mekah tanya kepada Rasulullah ﷺ dengan cara mengejek, siapakah yang akan membangkitkan semula tulang yang sudah hancur? Maka Allah ‎ﷻ suruh baginda jawab kepada mereka dengan jawapan ini:

قُل يُحييهَا الَّذيٓ أَنشَأَهآ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Sahih International

Say, “He will give them life who produced them the first time; and He is, of all creation, Knowing.”

Malay

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);

 

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِيٓ أَنْشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Katakanlah: yang dapat menghidupkan tulang-tulang itu ialah Tuhan yang telah menciptakannya pertama kali dahulu

Allah ‎ﷻ jawab soalan mereka di sini tanpa menyebut nama-Nya. Soalan mereka adalah: siapa yang hidupkan semula tulang belulang ini kembali? Kalau jawapan pendek: Allah ‎ﷻ. Sebaliknya Allah ‎ﷻ tidak sebut nama-Nya tetapi Allah ‎ﷻ beri hujah dan bukti sekali di sini. Kalau dahulu Allah ‎ﷻ yang buat, takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh hendak buat semula? Buat semula adalah lebih mudah daripada buat yang mula-mula, bukan? Walaupun bagi Allah ‎ﷻ, tidak ada istilah ‘lebih mudah’, kerana sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ.

Ini adalah pengulangan dan tambahan hujah kepada pemberitahuan Allah ‎ﷻ di dalam ayat 12 sebelum ini

إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ
Sesungguhnya Kami menghidupkan yang mati

Di dalam ayat 79 ini Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah أَنْشَأَ – iaitu ia bermaksud bukan hanya menghidupkan tetapi membesarkannya sekali. Tulang yang mereka pegang itu asalnya bukan sebesar itu, tetapi kecil sahaja, bukan? Itulah Allah ‎ﷻ menghidupkan manusia, kemudian membesarkan mereka sesuai dengan tumbesaran tulang-tulang itu. Kalau Allah ‎ﷻ boleh mengadakan tulang itu daripada tiada kepada ada, kemudian membesarkannya, apalah yang hendak dihairankan dengan kuasa Allah ‎ﷻ untuk menghidupkannya semula? Tentulah lebih mudah lagi bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkannya semula.

 

وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala penciptaan-Nya itu, Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻlah yang mengetahui kejadian kita dan apa yang kita perlukan dan segala-galanya tentang kita. Tentulah Dia tahu, sebab Dialah yang menjadikan kita dan makhluk-makhluk yang lain. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui tulang-tulang di seluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya dan di mana hancur luluhnya.

Ini tidak sama dengan cara manusia mencipta. Katakanlah kalau sebuah kilang sudah mengeluarkan satu kereta, sebagai contohnya. Kilang itu tidak tahu pun ke mana kereta itu akan pergi selepas dibeli. Akan tetapi apabila Allah ‎ﷻ telah menciptakan makhluk-Nya, Dia tahu ke mana makhluk itu pergi, apa makhluk itu buat, apa makhluk itu cakap, apa makhluk itu fikirkan dan rasa dalam hatinya. Segala-galanya Allah ‎ﷻ tahu. Dari mula lahir sampai mati, sampai dihidupkan kembali.

Jadi walaupun makhluk itu telah mati lama, entah di mana kuburnya, sudah bersatu dengan tanah, walaupun telah dibakar hancur. Maknanya apa yang terjadi kepada tulang belulang itu juga Allah ‎ﷻ tahu. Jadi tidak perlu dipersoalkan bolehkah Allah ‎ﷻ menjadikan kembali makhluk itu. Contohnya disebut di dalam sebuah hadith ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: «أَسْرَفَ رَجُلٌ عَلَى نَفْسِهِ فَلَمَّا حَضَرَهُ الْمَوْتُ أَوْصَى بَنِيهِ فَقَالَ: إِذَا أَنَا مِتُّ فَأَحْرِقُونِي ثُمَّ اسْحَقُونِي ثُمَّ اذْرُونِي فِي الْبَحْرِ، فَوَاللَّهِ لَئِنْ قَدَرَ اللَّهُ عَلَيَّ لَيُعَذِّبَنِّي عَذَابًا مَا عَذَّبَهُ أَحَدًا مِنْ الْعَالَمِينَ. فَفَعَلُوا ذَلِكَ، فَقَالَ اللَّهُ لِلْأَرْضِ: أَدِّي مَا أَخَذْتِ. فَإِذَا هُوَ قَائِمٌ. فَقَالَ لَهُ: مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا صَنَعْتَ؟ قَالَ: خَشْيَتُكَ يَا رَبِّ – أَوْ مَخَافَتُكَ -. فَغَفَرَ لَهُ بِذَلِكَ.»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Seorang laki-laki telah berbuat melampaui batas (berbuat dosa) terhadap dirinya sendiri. Tatkala kematian menjemputnya, dia berwasiat kepada anak-anaknya, dia berkata: ‘Apabila aku mati, bakarlah aku, kemudian hancurkanlah (remukkanlah) aku, lalu taburkanlah (abuku) di laut. Demi Allah, jika sekiranya Allah mampu (kuasa) atas diriku, nescaya Dia akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah Dia azabkan kepada seorang pun dari alam semesta.’ Maka anak-anaknya melakukan hal itu (setelah dia meninggal). Lalu Allah berfirman kepada bumi: ‘Kembalikanlah apa yang telah engkau ambil!’ Maka tiba-tiba dia (laki-laki itu) berdiri (hidup kembali). Lalu Allah bertanya kepadanya: ‘Apakah yang mendorongmu melakukan apa yang telah engkau perbuat (wasiat itu)?’ Dia menjawab: ‘Ketakutanku kepada-Mu, wahai Rabbku – atau kekhuatiranku kepada-Mu –.’ Maka Allah mengampuninya kerana itu (ketakutan itu).”
Sahih Bukhari: Hadith No. 3481, 6481, 7506. Sahih Muslim: Hadith No. 2756

Lihatlah bagaimana berkuasanya Allah ‎ﷻ. Kalau sudah hancur terbakar dan abu ditiup angin pun Allah ‎ﷻ masih boleh kumpulkan lagi. Maka, siapakah kamu wahai orang-orang kafir untuk mempersoalkan tentang apa yang Allah ‎ﷻ telah jadikan dan apa yang Allah ‎ﷻ mampu dan tidak mampu lakukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 24 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Tafsir Surah Yaasin Ayat 75 – 76 (Allah ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ)

Yaasin Ayat 75: Jadi mereka yang menyeru kepada Nabi, wali dan malaikat itu mengharapkan pertolongan daripada entiti yang diseru itu. Adakah mereka dapat pertolongan itu? Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini:

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُّحضَرونَ

Sahih International

They are not able to help them, and they [themselves] are for them soldiers in attendance.

Malay

Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

 

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم

Mereka tidak mampu untuk menolong mereka; 

Iaitu mereka yang diseru sebagai ma’bud bathil itu tidak dapat membantu mereka yang menyeru. Tidak kira sama ada roh Nabi, wali, malaikat atau apa sahaja sembahan selain Allah ‎ﷻ, tidak mampu menolong orang-orang yang menyembah, menyeru mereka dahulu semasa di dunia. Syarat untuk menolong ada dua: kemahuan dan kemampuan. Pertama, yang menolong itu mesti ada kemahuan dahulu. Setelah ada kemahuan, maka ada lagi syarat, mampu menolong atau tidak? Apabila Allah ‎ﷻ kata mereka tidak mampu, itu sudah cukup kerana kalau pun ma’bud bathil itu mahu menolong pun tetapi tidak mampu, maka tidak bermakna juga. Jika kemampuan tidak ada, maka menafikan kedua-duanya (kemampuan dan kemahuan).

Berhala atau patung yang disembah adalah jelmaan bagi Nabi, wali, malaikat yang dianggap boleh membantu penyembah. Amat bodoh sekali apabila menganggap patung yang mereka buat dengan tangan mereka sendiri itu dapat membantu orang yang menyembahnya. Kerana kalau diri mereka pun dibuat oleh penyembah, apa gunanya mereka itu?

Begitulah sia-sianya perbuatan orang yang menyembah selain Allah ‎ﷻ. Yang memuja mengharap supaya yang dipuja boleh memberi pertolongan di dunia dan akhirat, tetapi mereka yang dipuja itu tidak mampu hendak memberi pertolongan kalau mereka mahu pun. Bagaimana mereka hendak menolong, sedangkan mereka sendiri pun belum tentu selamat? Kerana itu Allah ‎ﷻ bawa ma’bud bathil itu semua sebagai azab rohani kepada ahli neraka. Ahli neraka akan tengok dan barulah tahu yang mereka sembah itu pun kena mengadap di hadapan Allah ‎ﷻ juga rupanya. Malah ada yang Allah ‎ﷻ bakar sekali bersama dengan mereka seperti disebut di dalam Baqarah: 24

فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ”
maka peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.”

Namun yang sebenarnya, yang dipuja itu pun tidak tahu pun mereka dipuja. Yang mereka puja sebenarnya adalah jin sahaja. Bagaimana mereka yang dipuja itu tahu sedangkan mereka tidak dengar pun yang mereka diseru. Ini telah disebut dalam ayat yang lain. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ahqaf: 5

وَمَن أَضَلُّ مِمَّن يَدعو مِن دونِ اللهِ مَن لّا يَستَجيبُ لَهُ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ وَهُم عَن دُعائِهِم غٰفِلونَ
Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru sesuatu yang lain daripada Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari permohonan mereka.

Jelas sekali amat bodohlah kalau manusia menyembah selain Allah ‎ﷻ yang tidak dengar pun permintaan puak bodoh itu. Jadi pasti yang disembah tidak dapat membantu pun mereka yang menyembah. Bayangkan berhala yang disembah oleh manusia itu, bukan boleh berbuat apa-apa pun. Allah ‎ﷻ beri contoh, mereka hendak cipta lalat yang kecil itu pun tidak boleh. Malah kalau lalat itu ambil makanan yang dipersembahkan kepada mereka pun berhala itu tidak boleh buat apa. Hendak tengok pun tidak ada kerana mata pun berhala itu tidak ada melainkan mata lukis sahaja. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hajj: 73

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah ia. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemahlah yang disembah.”

 

وَهُمْ لَهُمْ جُنْدٌ مُّحْضَرُونَ

dan mereka dihadirkan untuk mereka sebagai tentera-tentera;

Segala ma’bul bathil itu nanti akan dihadirkan, dihadapkan ke hadapan Allah ‎ﷻ bersama dengan penyembah mereka. Ini kerana kalimah مُحْضَرُونَ itu di dalam bentuk pasif, iaitu mereka dibawa hadap sama ada mereka rela atau tidak. Kalimah مُحْضَرُونَ juga bermaksud mereka ada bersama-sama di tempat yang sama. Maknanya nampak sahaja mereka yang disembah itu ada bersama tetapi tidak dapat menolong apa-apa. Ini untuk menambah sakit hati kepada mereka.

Akan tetapi ada sedikit masalah di sini. Ada dua هم di dalam ayat ini. Ada yang pertama dan ada yang kedua. Siapakah هم yang pertama dan siapakah pula هم yang kedua? Boleh pening jadinya kita. Ada dua pihak sekarang iaitu yang menyembah dan yang disembah, bukan? Jadi kita kena tafsir siapakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Boleh jadi هم yang pertama adalah yang disembah dan هم yang kedua adalah penyembah; atau هم yang pertama adalah penyembah dan هم yang kedua adalah yang disembah. Ada dua tafsiran:

1. هم yang pertama adalah yang disembah dan هم yang kedua adalah yang disembah. Kalau ini tafsiran yang dipilih, maknanya yang disembah itu akan menjadi tentera yang mengawal mereka yang menyembah mereka di akhirat kelak. Atau, sembahan-sembahan itu akan dibawa hadir sebagai saksi untuk memasukkan mereka ke dalam neraka. Kerana itulah digunakan kalimah جُنْدٌ (tentera) di sini kerana tentera itu memerangi melawan pihak yang lain. Begitulah yang menyembah itu berharap yang disembah itu akan tolong mereka di akhirat, namun sebaliknya yang akan berlaku.

Maka tentulah mereka akan menjadi hampa sangat dan rasa menyesal sangat. Yang disembah itu akan beratur dalam saf yang panjang seperti tentera dan melihat sahaja mereka yang memuja itu diseksa dalam neraka nanti. Ia adalah untuk menambahkan kesesalan kepada mereka. Kerana, dahulu entiti-entiti itulah yang mereka sembah dan puja semasa di dunia. Mereka menjadi harapan kepada pemuja-pemuja. Namun sekarang yang dipuja itu hanya melihat sahaja, hendak tolong sedikit pun tidak ada daya. Bayangkan pedih dan sakitnya hati kita kalau orang yang kita harapkan menolong kita, tetapi mereka melihat sahaja kita di waktu kita benar-benar memerlukan mereka.

2. هم yang pertama adalah yang menyembah dan هم yang kedua adalah yang disembah. Ini adalah kerana yang menyembah itu yang membuat patung berhala itu semua dan sudahlah mereka yang buat, mereka kena jaga sebagai tentera pula. Untuk memahaminya, kena lihat Anbiya’: 68

قالوا حَرِّقوهُ وَانصُروا آلِهَتَكُم إِن كُنتُم فٰعِلينَ
Mereka berkata: “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak”.

‘Dia’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kisah baginda yang menghancurkan berhala-berhala kaumnya itu. Kaumnya itu telah marah kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan membuat keputusan untuk membakar baginda kerana hendak mempertahankan patung berhala mereka itu. Maknanya mereka yang kena bantu dan jaga berhala mereka itu. Mereka pun sedar yang berhala mereka itu tidak boleh berbuat apa-apa. Namun dek kerana kebodohan, mereka tetap sembah juga patung-patung berhala mereka itu.

Kalau zaman sekarang, kita boleh lihat golongan sesat ini menjaga dan menghias kuburan si mati yang mereka anggap sebagai tok wali. Hias punyalah hebat sampai lebih hebat daripada pelamin orang menikah lagi. Mereka menjadi manusia yang bodoh dan mereka menjaga kubur itu dengan susah payah sekali.

Selalu dijadikan contoh adalah patung berhala. Maka kita Muslim yang tidak sembah patung berhala ini selamatlah ya? Kalau tidak kena dengan kita, tidak perlulah baca ayat ini, bukan? Nanti bila baca, ‘skip’ sahaja ayat ini. Jadi kena faham bahawa masalah umat terdahulu itu bukan pada mereka sahaja. Malah kepada umat Islam pun boleh terjadi perkara yang sama. Ini adalah kerana makna ‘menyembah’ itu bukanlah hanya bermakna menyembah seperti orang kafir menyembah berhala itu. Kalau kita memuja, memberi salam dan menghadiahkan Fatihah kepada entiti-entiti itu, itu pun sudah dikira ‘menyembah’ kerana kita buat ibadat kepada mereka. Kita disuruh beribadat hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja – seperti sembah, zikir dan puja. Namun apabila kita melakukan perbuatan dalam bentuk ibadat kepada entiti-entiti itu, ia dikira sebagai perbuatan sembahan juga. Kalau kita berdoa minta tolong kepada selain Allah ‎ﷻ pun, ia termasuk menyembah juga.

Maka, jangan sempitkan fahaman ‘sembah’ itu dengan ‘sujud’ sahaja, tunduk atau kawtao sahaja. Ini penting kerana apabila kita tegur perbuatan manusia yang ‘sembah’ kubur, mereka berdalih: “Eh kami tak sujud pun pada kubur itu…”


 

Yaasin Ayat 76: Ayat ini adalah pujukan (tasliah) kepada Nabi ﷺ. Ini kalau setelah dakwah dan mereka tetap juga menolak.

فَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنّا نَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

Sahih International

So let not their speech grieve you. Indeed, We know what they conceal and what they declare.

Malay

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan kata-kata mereka. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

 

فَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ

Maka janganlah mendukacitakan kamu perkataan-perkataan mereka;

Allah ‎ﷻ memujuk Nabi Muhammad ﷺ: “Jangan kamu bersedih dengan kata-kata mereka itu yang menentang dan mengutuk kamu.” Ini bukan kali pertama Allah ‎ﷻ pujuk baginda. Sebenarnya Allah ‎ﷻ sudah pujuk dan tenangkan hati Nabi ﷺ di awal surah lagi iaitu di dalam ayat 3 & 4

إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٣) عَلَىٰ صِرَٲطٍ مُّسۡتَقِيمٍ (٤)
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, (3) Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (4)

Allah ‎ﷻ memujuk hati Nabi ﷺ (dan termasuk di dalam hal ini, hati para pendakwah) sebab Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang yang sensitif. Baginda tahu apakah yang akan terjadi kepada kaumnya kalau mereka menolak ajakan tauhid itu. Baginda risau kerana baginda amat sayangkan kaumnya dan kerana itu baginda bersedih sangat apabila mereka tidak mahu terima dakwah tauhid. Maka baginda telah menegur mereka kerana hendak membetulkan mereka. Namun biasalah manusia tidak suka ditegur. Mereka marah dengan teguran Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi ﷺ menegur kebiasaan mereka yang telah berkurun mereka amalkan. Tambahan pula itu adalah industri mereka. Mereka jadi terhormat dan Mekah menjadi tempat perniagaan yang laris kerana ramai orang datang kerana hendak beribadat di berhala-berhala itu. Kalau Nabi ﷺ berjaya mengubah masyarakat, maka hilanglah pendapatan mereka.

Kerana itulah juga masyarakat kita susah untuk didakwah. Kerana amalan salah yang telah diamalkan turun temurun nenek moyang diteruskan sampai sekarang. Malah ia juga menjadi industri agamawan. Dengan amalan itulah mereka menjadi tekong, mendapat upah dan bayaran lumayan daripada masyarakat. Kalau kita tegur dan amalan itu tidak diterima lagi oleh masyarakat, maka hilanglah punca pendapatan mereka.

Maka mereka menentang Nabi Muhammad ﷺ habis-habisan. Segala macam cara mereka gunakan. Sudah habis akal mereka gunakan untuk menjatuhkan baginda dan pengikut baginda. Mereka kutuk baginda, tuduh baginda penyair seperti yang kita telah belajar sebelum ini. Mereka juga tuduh baginda orang gila, ahli sihir, orang yang kena sampuk jin. Mereka pulau dan boikot baginda dan keluarga baginda. Mereka ganggu baginda ketika solat, ketika berdakwah, malah ketika baginda berjalan pun. Mereka juga seksa para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ untuk menghalang mereka beriman.

Jadi tentulah baginda sedih kerana ini bukan orang lain, tetapi kaum baginda dan ahli keluarga baginda. Oleh kerana baginda bersedih, maka Allah ‎ﷻ pujuk Nabi ﷺ untuk meneruskan apa yang baginda sedang buat. Allah ‎ﷻ kata jangan larut dalam kesedihan lama sangat. Itulah maksud يَحْزُنْ iaitu berterusan dalam kesedihan. Kalau sedih sekejap, itu tidak boleh dihalang kerana kita manusia ada emosi, termasuklah Nabi ﷺ. Namun jangan dilayan sifat sedih itu. Kerana kalau baginda bersedih sangat, apa kerja dakwah pun tidak boleh jalan nanti kerana sedih menghilangkan semangat. Allah ﷻ pujuk baginda kerana baginda adalah kekasih-Nya (kedudukan baginda adalah sebagai Khalilullah seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini). Allah ‎ﷻ suruh jangan hiraukan apa kata mereka. Kerana apa yang Nabi ﷺ sedang buat adalah perkara yang benar. Berikut adalah beberapa ayat yang menggambarkan kesedihan Nabi ﷺ:

1. Syu’ara: 3

لَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ أَلَّا يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ 
“Boleh jadi engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu (sendiri) kerana mereka tidak beriman.”

2. Kahf: 6

فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰ ءآثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا 
“Maka (apakah) barangkali engkau akan membunuh dirimu kerana bersedih hati mengikuti jejak mereka, jika mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Qur’an)?”

3. An’am: 35

وَإِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَن تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ فَتَأْتِيَهُم بِآيَةٍ ۚ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَىٰ ۚ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجَاهِلِينَ
“Dan jika keengganan mereka terasa amat berat bagimu (Muhammad), maka sekiranya engkau sanggup membuat lubang di bumi atau tangga ke langit lalu engkau mendatangkan mukjizat kepada mereka (maka buatlah). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia menjadikan mereka semua dalam petunjuk. Sebab itu janganlah sekali-kali engkau termasuk orang-orang yang bodoh.”

Ayat-ayat di atas ini menggambarkan betapa sedihnya Nabi Muhammad ﷺ dengan kata-kata dan tindakan kaumnya itu. Maka di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk memujuk baginda. Ini adalah sebagai menunjukkan betapa tingginya kasih sayang Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ.

 

إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati mereka;

Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada di dalam hati Musyrikin Mekah itu dan sesiapa sahaja. Kadang penentang yang tidak suka membuat perancangan jahat secara rahsia untuk menjatuhkan usaha dakwah kepada Tauhid. Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada dalam hati penentang dakwah tauhid kita. Memang ada yang tidak suka dengan dakwah yang kita bawa kepada mereka tetapi mereka cakap dalam hati sahaja. Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka rancang secara rahsia untuk menjatuhkan kita.

 

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka sebutkan;

Ini adalah jenis yang menzahirkan perasaan tidak suka mereka secara berdepan semasa berjumpa dengan orang yang memberi dakwah. Ini pun Allah ‎ﷻ tahu juga walaupun Allah ‎ﷻ tidak berada di dunia. Sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut pun وَمَا يُعْلِنُونَ kerana kalau مَا يُسِرُّونَ pun Allah ‎ﷻ tahu, maka tentulah yang mereka sebut dengan terang pun Allah ‎ﷻ tahu. Namun untuk menghilangkan keraguan, Allah ‎ﷻ sebut juga kata-kata mereka yang jelas terang, takut ada yang kata Allah ‎ﷻ hanya tahu yang rahsia sahaja. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sebut yang rahsia dahulu untuk menekankan hebatnya kuasa Allah ‎ﷻ kerana tahu yang rahsia, sedangkan yang terang itu makhluk pun boleh tahu.

Oleh itu, ada penentang yang cakap berdepan, ada yang cakap di belakang, ada yang bercakap dalam hati sahaja. Semuanya Allah ‎ﷻtahu belaka. Tidak boleh sesiapa pun boleh menyembunyikan walau apa pun daripada Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ pujuk: ‘Tidak mengapa, Aku tahu apa yang kamu semua lalui…..’

Allah ‎ﷻ membiarkan sahaja perbuatan mereka menghina Nabi ﷺ dan menghina pembawa risalah tauhid itu. Mereka itu sebenarnya menambah dosa mereka sahaja. Beginilah cara Allah ‎ﷻ memujuk Nabi ﷺ: Allah memberitahu semua kata-kata secara rahsia atau secara terang, semuanya akan dibalas di akhirat kelak. Yang sabar dengan celaan itu akan mendapat pahala dan yang mengutuk dan menghina pun akan dapat balasan buruk. Maka ia sebagai hiburan kepada Nabi ﷺ kerana baginda akan berpuas hati nanti apabila penentang baginda akan menerima balasan yang sepatutnya. Maka apabila orang kutuk kata kita sesat, kata kita Wahabi, senyum sahaja lah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ bukan tidak tahu perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ catit semua sekali perbuatan mereka, sama ada mereka zahirkan atau tidak. Maksudnya, Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan mereka itu dengan azab di akhirat kelak (kalau tidak di dunia lagi). Maka kalau kita tahu yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan, maka senang sikit hati kita. Kita tidak perlu mengadu sangat, kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu, bukan?

Ini juga adalah cara pujukan daripada Allah ‎ﷻ. Yang menentang baginda itu tentu buat perancangan untuk menjatuhkan baginda, malah membunuh baginda. Namun di sini Allah ‎ﷻ beritahu baginda bahawa semua perancangan mereka sama ada secara rahsia atau terbuka, Allah ‎ﷻ tahu. Ini memberi ketenangan kepada baginda. Seumpama kita lapor kepada polis ada orang yang hendak ganggu kita tetapi polis cakap: “Tidak mengapa encik… segala pergerakan dia dalam pemantauan kami”. Kalau polis cakap pun kita sudah boleh tenang, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang memberi jaminan?

Memang Allah ‎ﷻ memastikan supaya baginda selamat daripada perancangan bahaya musuh baginda. Salah satu riwayat yang paling terkenal terkait hal ini adalah satu kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq dalam kitab sirahnya dan juga disebutkan oleh para mufassir seperti Ibnu Jarir Ath-Thabari dan Ibnu Katsir dalam tafsir mereka mengenai Surah Al-Ma’idah ayat 11. Dikisahkan bahawa suatu hari, Nabi Muhammad ﷺ telah pergi kepada kaum Yahudi Bani Nadir untuk meminta bantuan mereka dalam membayar diyat (tebusan darah) bagi dua orang yang terbunuh (yang bersekutu dengan mereka). Mereka setuju dan meminta Nabi ﷺ untuk duduk di samping tembok rumah mereka. Ketika Nabi ﷺ sedang duduk menunggu, kaum Yahudi itu bersekongkol untuk membunuhnya. Mereka berkata satu sama lain: “Siapa di antara kita yang akan naik ke atas rumah ini dan menjatuhkan batu besar ke atas Muhammad sehingga dia mati dan kita terbebas darinya?” Salah seorang daripada mereka, Amr bin Jahhasy, menawarkan diri. Dia naik ke atas dan bersiap menjatuhkan batu. Namun, Allah ‎ﷻ mewahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang rencana jahat mereka. Nabi ﷺ segera bangkit dan pergi dari tempat itu tanpa memberitahu para sahabatnya yang ikut bersama baginda. Setelah beberapa ketika, para sahabat mencari baginda dan ketika diberitahu oleh seorang penduduk Madinah bahwa Nabi ﷺ telah pergi menuju Madinah, mereka pun menyusulnya. Ketika mereka bertemu Nabi ﷺ, beliau menceritakan apa yang hendak dilakukan oleh kaum Yahudi Bani Nadir itu. Para mufassir mengaitkan peristiwa ini dengan turunnya firman Allah ‎ﷻ dalam Maidah: 11

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika suatu kaum bermaksud hendak mengulurkan tangannya (untuk berbuat jahat) kepadamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sahajalah orang-orang mukmin seharusnya bertawakal.”

Allah ‎ﷻ juga memujuk Nabi ﷺ dengan memberitahu yang puak Musyrikin itu mereka cakap lain daripada apa yang di dalam hati mereka. Apa yang mereka luahkan itu bukanlah apa yang mereka telah percaya di dalam hati mereka. Mereka sebenarnya sudah tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu benar tetapi mereka sahaja yang menolaknya secara terbuka kerana mereka itu degil. Ini seperti yang telah disebut dan dibincangkan di dalam Yaasin: 7

لَقَد حَقَّ القَولُ عَلىٰ أَكثَرِهِم
Demi sesungguhnya, telah tetap perkataan atas kebanyakan mereka

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 24 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Tafsir Surah Yaasin Ayat 74 (Sembah dan berharap kepada selain Allah ﷻ)

MANUSIA YANG TIDAK BERSYUKUR

Yaasin Ayat 74: Allah ‎ﷻ sebut kenapa manusia ada yang sembah selain Allah ‎ﷻ. Mereka ini adalah orang yang tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ seperti yang sepatutnya. Mereka ini jahil dengan wahyu dan kerana itu mereka mengambil selain Allah ‎ﷻ sebagai ilah.

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ ءآلِهَةً لَّعَلَّهُم يُنصَرونَ

 Sahih International

But they have taken besides Allah [false] deities that perhaps they would be helped.

Malay

Dan mereka menyembah beberapa ilah yang lain daripada Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (daripada makhluk-makhluk itu).

 

وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللهِ ءآلِهَةً

Mereka masih juga mengambil selain daripada Allah ilah-ilah lain;

Setelah Allah ‎ﷻ beritahu segala jasa-Nya dan nikmat pemberian-Nya kepada makhluk, sepatutnya puja Allah ‎ﷻ sahaja sebagai ilah, tetapi manusia majoritinya puja selain Allah ‎ﷻ. Sedangkan yang selain Allah ‎ﷻ itu tidak memberi apa-apa pun kepada para penyembah itu. Golongan Kristian puja Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hindu puja malaikat (dalam bentuk berhala), Buddha puja wali-wali (tok nenek mereka yang telah mati). Malangnya kita orang Islam ini, semua sekali kita puja! Lebih teruk daripada agama lain nampaknya.

Ada yang puja dan minta pertolongan kepada Nabi, wali dan malaikat. Ada yang seru Nabi minta tolong, minta syafaat. Ada yang pergi ke kubur yang mereka label sebagai wali (siapa lantik dia jadi wali kita pun tidak tahu) dan mulalah minta itu dan ini. Malah ada yang mengadakan pakej lawatan ke kubur-kubur yang kononnya wali. Maka ramailah orang jahil agama percaya dan ikut golongan sesat sebegini.

Ada yang membuat amalan seru para malaikat dan minta tolong kepada malaikat. Macamlah malaikat itu kuli dia pula. Kalau orang yang bersilat lebih teruk, mereka kalau masuk gelanggang silat, ada seru kepada Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang seru Khadr dan Nabi-Nabi yang lain. Ada yang sebut nama-nama malaikat kononnya para malaikat itu akan lindung dia ketika bersilat. Sekali lawan dengan orang hebat karate, jatuh tumbang juga. Ini semua adalah kejahilan yang merata dalam kalangan masyarakat kita, bukan? Kenapa jadi begini? Kerana sudah lama masyarakat kita jauh daripada ilmu wahyu maka syaitan telah isi dengan berbagai-bagai ilmu syirik, tahyul dan khurafat.

Maka banyaklah kefahaman yang salah tentang Nabi dan wali-wali, sampai ada yang kata pada Lailatul Qadr, Khadr akan turun. Orang kita diajar kalau jumpa Khadr, pegang janggut dia dan minta harta karun dan umur yang panjang. Lihatlah… mereka hanya mahu meminta hal dunia juga! Padahal, kalau betullah Khadr itu boleh memakbulkan doa, mintalah supaya dosa kita diampunkan contohnya. Namun malangnya, itu semua adalah angan-angan kosong sahaja, kerana tidaklah ada dalil yang sahih yang mengatakan Khadr turun pada Lailatul Qadr. Malah tiada dalil sahih yang menunjukkan Khadr masih hidup lagi. Akan tetapi golongan yang jauh daripada wahyu, memang suka percayakan perkara yang tidak sahih itu. Yang sebetulnya, Khadr telah lama mati.

Perkataan آلِهَةً itu bukan sahaja bermaksud ‘tuhan-tuhan’. Ia boleh membawa bermacam-macam makna kerana ilah itu luas maknanya. Ia adalah tempat pengharapan kita. Ia juga adalah apa-apa sahaja yang kita lebihkan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita lebihkan wang daripada Allah, maka wang itulah اله kita. Kalau kita lebihkan Nabi daripada Allah ‎ﷻ, maka Nabi itulah yang jadi اله.

Untuk kita memenuhi tuntutan tauhid ini, hendaklah difahami apakah maksud ‘ilah‘ itu sendiri. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Amat penting sekali kena faham betul-betul tentang ilah ini. Kalau faham, akan mudah faham tafsir Al-Qur’an. Bila kita tahlil pun (tahlil yang sebenarnya, bukan Majlis Tahlil bid’ah itu), akan rasa lain kerana ia akan memberikan kesan ke dalam hati kerana kita sudah faham maksud ilah itu. Apabila kita melafazkan la ilaha illallah, kita sebut dengan kefahaman yang jitu. Waktu itu, kita akan rasa bergantung sungguh kepada Allah ‎ﷻ.

Malangnya masyarakat kita memang ramai yang tidak faham maksud ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita, tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tidak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan mudah benar tersentap jikalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ‎ﷻ semata-mata. Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Ramai yang berkongsi status ilah itu dengan Allah ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah dan malangnya orang kita pun ada akidah ini. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Apa Maksud “Ilah”? “Ilah” (إِلَٰه) dalam bahasa Arab secara umum bermaksud: “Sesuatu yang disembah.” Kata ini berasal daripada akar kata (أ-ل-ه) yang membawa makna penyembahan, pengabdian, atau ketundukan. Ilah bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang disangka oleh kebanyakan orang. Ia lebih luas lagi maksudnya. Berikut adalah beberapa penjelasan yang lebih mendalam mengenai maksud “ilah”:

* Tuhan: Ini adalah makna yang paling umum dan sering digunakan. “Ilah” merujuk kepada zat yang Maha Esa, pencipta, dan penguasa alam semesta yang layak disembah.
* Sesuatu yang disembah dan dipatuhi: Makna ini lebih luas dan mencakup segala sesuatu yang diagungkan, dicintai secara mutlak, dipatuhi perintahnya, dan tempat bergantung.
* Yang diharapkan: “Ilah” juga bermakna sesuatu yang sentiasa diharapkan pertolongan dan kasih sayangnya.
* Yang dicintai: “Ilah” adalah zat yang paling dicintai dan dirindui oleh hamba-Nya.
* Yang ditaati: “Ilah” adalah zat yang segala perintah dan larangan-Nya wajib ditaati.
* Yang ditakuti: “Ilah” adalah sesuatu yang ditakuti kemurkaan dan azab darinya.

Jadi ilah itu boleh jadi makhluk selain Allah ‎ﷻ seperti patung berhala, Nabi, wali, malaikat, jin, manusia, wang, parti politik, sistem pemerintahan, hawa nafsu dan banyak lagi. Ramai yang menjadi ilah selain Allah ‎ﷻ. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh umat manusia dari dahulu sampai sekarang. Semua itu adalah syirik dan penafian syirik ada dalam kalimah لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ. Dalam kalimat “La ilaha illallah” (لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ), yang merupakan kalimat tauhid dalam Islam, “ilah” menafikan segala sesuatu yang disembah selain Allah, dan menetapkan bahawa hanya Allah ‎ﷻ satu-satunya “ilah” yang benar dan berhak disembah. Oleh kerana itu, memahami maksud “ilah” sangat penting dalam memahami konsep ketauhidan dalam Islam.

Tangkal

Ini satu lagi masalah dalam masyarakat Melayu kita yang percaya kepada ilah selain Allah ‎ﷻ. Kepercayaan kepada tangkal (juga dikenali sebagai azimat, jimat, wafak, atau pelaris) adalah fenomena yang telah lama wujud dalam masyarakat Melayu, jauh sebelum kedatangan Islam secara menyeluruh, dan berlanjutan sehingga kini meskipun ajaran Islam melarangnya.

Definisi Tangkal: Tangkal adalah benda-benda yang diyakini memiliki kuasa luarbiasa untuk melindungi pemakainya daripada bahaya, penyakit, sihir, nasib buruk, atau untuk mendatangkan tuah, kekayaan, kasih sayang, dan keberuntungan. Benda-benda ini boleh berupa:

    • Tulisan-tulisan (seringkali ayat Al-Qur’an atau zikir, tetapi ditulis dengan cara yang tidak syar’i, kadang bercampur dengan simbol-simbol aneh atau angka, atau tulisan yang tidak dapat dibaca).
    • Barang-barang semulajadi (batu permata, gigi harimau, kuku beruang, akar kayu, tulang, dll.).
    • Benda buatan manusia (cincin, loket, keris kecil, kain kuning/merah, dll.).
    • Air yang “dijampi” atau “diasma'”.
    • Gambar-gambar orang tertentu.
    • Lambang-lambang seperti yang didakwa sebagai Khatamun Nabi.

Nota: ini bukannya Khatamun Nabi. Mana ada tulisan macam tatu sebegini di belakang Nabi. Pemahaman sesat sebegini berpunca daripada tidak belajar hadith sampaikan boleh percaya benda mengarut ini. Sedangkan bentuk Khatamun Nabi itu disebut jelas dalam hadith rupanya. Daripada Jabir bin Samurah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

«رَأَيْتُ خَاتَمَ النُّبُوَّةِ بَيْنَ كَتِفَيْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، غُدَّةً حَمْرَاءَ، مِثْلَ بَيْضَةِ الْحَمَامَةِ»
“Aku melihat stempel (tanda) kenabian di antara kedua pundak Rasulullah ﷺ, (berupa) gumpalan daging berwarna kemerahan, seperti telur burung merpati.”
(Hadith Riwayat Muslim No. 2344)

Kedudukan Tangkal dalam Islam (Menurut Majoriti Ulama Ahlus Sunnah):

Dalam Islam, kepercayaan dan penggunaan tangkal adalah dilarang keras dan termasuk dalam kategori syirik kecil (syirik asghar), atau bahkan boleh menjadi syirik besar (syirik akbar) jika seseorang menyakini bahawa tangkal itu sendiri yang memberi manfaat atau mudarat, bukan Allah ‎ﷻ.

  • Tawakal kepada Allah ‎ﷻ: Islam mengajar umatnya untuk bertawakal (berserah diri) sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ dalam segala urusan, mencari perlindungan hanya kepada-Nya, dan berikhtiar dengan cara-cara yang halal dan syar’i.
  • Perlindungan daripada Syaitan: Rasulullah ﷺ mengajar zikir-zikir, doa-doa, dan bacaan Al-Qur’an (seperti Ayat Kursi, Surah Al-Falaq, An-Nas) sebagai pelindung yang paling ampuh. Inilah “tangkal” syar’i dalam Islam.
  • Perbuatan yang Melanggar Tauhid: Menggantungkan harapan atau keselamatan kepada benda selain Allah ‎ﷻ adalah melanggar prinsip tauhid (keesaan Allah ‎ﷻ) yang merupakan asas Islam.

Hadith Nabi ﷺ Mengenai Tangkal:

Terdapat banyak hadith yang melarang penggunaan tangkal:

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhani رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

«مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً، فَلاَ أَتَمَّ اللَّهُ لَهُ، وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدَعَةً، فَلاَ وَدَعَ اللَّهُ لَهُ»
“Barangsiapa menggantungkan (memakai) tamimah (tangkal/azimat), maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (urusan atau tujuannya). Dan barangsiapa menggantungkan wad’ah (kulit kerang kecil yang diyakini penolak bala), maka Allah tidak akan memberikan ketenangan baginya.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak. Al-Hakim berkata: “Sanadnya sahih.” Syeikh Al-Albani mensahihkannya dalam Silsilah Al-Hadis Ash-Shahihah no. 492)

Ia jelas termasuk perkara syirik sebagaimana disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhani رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

«مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ»
“Barangsiapa menggantungkan (memakai) tamimah (tangkal/azimat), maka sungguh dia telah berbuat syirik.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya. Syeikh Al-Albani juga mensahihkannya dalam Silsilah Al-Hadis Ash-Shahihah no. 492, dan juga dalam Shahih Al-Jami’ no. 6394)

Di dalam hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

«إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ»
“Sesungguhnya ruqa (jampi-jampi yang tidak syar’i), tamimah (tangkal/azimat), dan tiwalah (jimat pengasih/pemisah) adalah syirik.”
(Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, no. 3883; Imam Ibnu Majah, no. 3530; Imam Ahmad, no. 3615. Syaikh Al-Albani mensahihkannya)

Situasi Semasa dalam Kalangan Umat Melayu:

Meskipun kesedaran Islam semakin meningkat, kepercayaan dan amalan tangkal masih boleh ditemukan di beberapa lapisan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan pedalaman atau dalam kalangan mereka yang kurang memahami tauhid secara mendalam. Ini seringkali didorong oleh ketakutan terhadap perkara ghaib, keinginan untuk cepat kaya, atau mendapatkan perlindungan tanpa usaha yang syar’i.

Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila kebanyakan masyarakat kita berpegang dengan fahaman Asya’irah yang lemah fahaman tauhidnya. Mereka tidak berpegang dengan fahaman tauhid golongan salaf, sebaliknya telah mereka-reka fahaman baru. Bagi mereka, kalau percaya sesuatu perkara itu tidak ada kuasa, tetapi dalam hatinya bergantung kepada Allah‎ ﷻ dan percaya hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memberi bekas, boleh meminta kepada sesiapa sahaja. Mereka ini keliru kenapa Musyrikin Mekah diberi gelaran musyrik. Mereka percaya Musyrikin Mekah itu sembah berhala kerana percaya berhala itu semua adalah Tuhan. Sedangkan bukan begitu. Berhala itu semua adalah perantaraan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Mereka juga sebenarnya tahu dan kenal Allah ‎ﷻ tetapi mereka dipanggil musyrik kerana menggunakan perantaraan.

Percaya kepada Tangkal itu syirik kerana menggantungkan harapan kepada selain Allah ‎ﷻ (Syirik Asghar). Ketika seseorang memakai tangkal dengan keyakinan bahawa tangkal itu (bukan Allah ‎ﷻ) adalah sebab utama atau memiliki kekuatan intrinsik untuk mendatangkan manfaat (seperti rezeki, kasih sayang, perlindungan) atau menolak bahaya (sihir, penyakit, musibah), maka ia sudah termasuk di dalam syirik. Ia merasa yakin kerana memiliki tangkal tersebut. Ini adalah bentuk syirik kecil (syirik asghar) kerana dia menggantungkan hatinya dan harapannya kepada makhluk (benda mati) yang tidak memiliki daya dan upaya apa pun tanpa izin Allah ‎ﷻ. Ini menafikan tawakkal (berserah diri sepenuhnya) kepada Allah ‎ﷻ. Meskipun ia mungkin masih percaya Allah ‎ﷻ itu Tuhan, namun ia telah memberikan sebahagian daripada hak Uluhiyah (ketuhanan) Allah ‎ﷻ kepada objek tersebut.

Lebih teruk lagi kalau dia menyakini Tangkal itu mempunyai kekuatan yang sama dengan Allah ‎ﷻ (Syirik Akbar): Jika keyakinan seseorang terhadap tangkal mencapai tingkat di mana dia percaya bahawa tangkal itu memiliki kekuatan untuk memberi manfaat atau mudarat secara sendiri, tanpa bergantung pada kehendak Allah ‎ﷻ, atau bahkan memiliki pengetahuan ghaib seperti Allah ‎ﷻ. Misalnya, jika dia yakin tangkal itu secara automatik akan menyembuhkan penyakit atau menarik rezeki tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ. Ini adalah bentuk syirik besar (syirik akbar) yang mengeluarkan pelakunya daripada Islam. Dia telah menjadikan makhluk sebagai sekutu Allah ‎ﷻ dalam sifat Rububiyah (penciptaan, pengaturan alam, memberi rezeki, menyembuhkan, dll.) dan Uluhiyah (disembah dan dimintai pertolongan). Ini sama dengan menyembah berhala atau benda mati tersebut.

Atau sekurang-kurangnya dia sudah ada keyakinan yang salah bahawa adanya perantara yang tidak Syar’i (Bid’ah dan Syirik): Beberapa orang mungkin berhujah bahawa mereka tidak menyembah tangkal, tetapi menggunakannya sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ atau sebagai media penyalur berkah. Misalnya, tangkal yang berisi tulisan ayat Al-Qur’an atau asma Allah. Ini adalah salah kerana meskipun niatnya mungkin baik, praktik ini tetap berpotensi syirik kerana:

    • Tidak Ada Dalil: Tidak ada dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah yang sahih yang menganjurkan penggunaan tangkal, bahkan yang berisi ayat Al-Qur’an sekalipun, sebagai cara untuk mendapatkan perlindungan atau keberkahan. Nabi ﷺ dan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ tidak pernah melakukannya.
    • Membuka Pintu Syirik: Amalan semacam ini membuka pintu lebar-lebar kepada syirik. Sebab, daripada keyakinan bahawa “tangkal berisi ayat suci” ini efektif, manusia boleh terjerumus pada keyakinan bahawa tangkal itu sendiri yang berkuasa, bukan Allah ‎ﷻ.

Kesimpulannya, kepercayaan kepada tangkal dalam masyarakat Melayu adalah warisan kepercayaan lama yang bertentangan dengan ajaran tauhid dalam Islam, dan dilarang keras oleh majoriti ulama kerana ia membawa kepada syirik.

 

لَعَلَّهُمْ يُنْصَرُونَ

mudah-mudahan mereka mendapat pertolongan;

Tujuan mereka memuja dan menyeru semua entiti itu adalah mengharap pertolongan sebenarnya. Begitulah juga yang pakai tangkal itu adalah kerana mengharapkan pertolongan. Dipuja ilah bathil selain Allah ‎ﷻ itu supaya yang diseru itu membantu mereka di Mahsyar dengan beri syafaat kepada mereka. Kerana itu ada yang seru dan minta kepada Nabi ﷺ untuk beri syafaat kepada mereka Mahsyar nanti. Ini adalah cara yang amat salah sedangkan untuk dapat syafaat adalah dengan beri selawat kepada Nabi ﷺ, bukan beri salam kepada baginda! Bukan minta kepada baginda!

Manusia ada yang puja dewa, malaikat, Nabi dan sebagainya, juga kerana mengharapkan pertolongan daripada Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana itu ada juga yang memberi salam kepada Nabi ﷺ. Mereka beri salam kepada Nabi ﷺ itu kerana mereka ingin berharap supaya Nabi ﷺ ingat dan kenang mereka supaya beri syafaat nanti.

Semua itu adalah perbuatan kufur kepada Tuhan. Inilah salah faham tentang syafaat dalam masyarakat kita. Juga salah faham tentang doa sampai mereka sanggup minta kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah kerana kita hanya boleh minta tolong kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Namun dek kerana salah faham, mereka kalau dapat pergi ke kubur Rasulullah ﷺ, bermacam-macam hajat mereka mintakan dengan baginda. Mereka berhabis duit pergi Umrah dan Haji tetapi malangnya mereka kufur di Madinah. Sebenarnya bagi salam kepada Nabi ﷺ pun tidak perlu dibuat. Cukuplah dengan berselawat sahaja kerana itu memang ada dalam syariat agama Islam. Kerana kita pun sudah selalu beri salam kepada Nabi ﷺ dalam solat kita sebenarnya (dalam Tahiyat).

Tidak boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ, kerana sebenarnya kita kena minta syafaat dengan Allah ‎ﷻ. Tidak boleh kita berkata begini di kubur Nabi ﷺ: “Ya Rasulullah, kami dah sampai ni, semoga kamu ingat kepada kami nanti di Mahsyar. Dari jauh kami datang ni..” Padahal Nabi Muhammad ﷺ sudah wafat, bagaimana pula kita boleh bercakap dengan baginda lagi? Bagaimana baginda dapat mendengar permintaan manusia pula? Kerana ramai tidak faham tentang inilah yang menyebabkan mereka akan kirim salam kepada Nabi Muhammad ﷺ melalui rakan-rakan dan keluarga yang melawat Masjid Nabi. Padahal, kita hanya disuruh untuk berselawat sahaja kepada baginda. Apabila kita berselawat, Nabi Muhammad ﷺ akan dimaklumkan tentang selawat kita itu oleh malaikat. Bukannya Nabi ﷺ dengar sendiri selawat kita itu.

Semua perbuatan mereka itu yang mengharapkan pertolongan daripada entiti-entiti itu adalah sia-sia sahaja. Ia langsung tidak bermanfaat kepada mereka sedikit pun kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat membantu.

Penjelasan Tentang Makna ‘Syafaat’:
Untuk faham makna ”syafaat, kita kena buat perbandingan: Siapa yang sebenarnya ambil nyawa kita apabila telah sampai ajal kita? Tentulah Allah ‎ﷻ yang mengambil nyawa kita, bukan Malaikat Maut, bukan? Allah ‎ﷻ yang suruh Malaikat Maut untuk mencabut nyawa kita. Oleh itu, kalau kita mahukan umur yang panjang, kita minta kepada Allah ‎ﷻ, bukan kepada Malaikat Maut, bukan?

Malaikat yang beri rezeki pula? Semua tahu ia adalah Mikail. Kalau Mikail yang menurunkan rezeki, kenapa tidak minta rezeki dengan Mikail sahaja? Belum pernah pula kita dengar sesiapa buat begini. Kita semua minta rezeki dengan Allah ‎ﷻ, bukan dengan Malaikat Mikail, bukan? Sebab kita tahu rezeki itu bukan daripada Malaikat Mikail tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Mikail hanya sampaikan sahaja.

Oleh itu, sama juga dengan Rasulullah ﷺ dan syafaat, Nabi tugasnya adalah ‘menyampaikan’ sahaja syafaat. Baginda bukan ‘pemberi’ syafaat. Baginda hanya boleh memberi apa yang Tuhan suruh sampaikan sahaja. Hakikatnya Allah ‎ﷻ belaka yang memberikan rezeki, syafaat, pertolongan dan segala-galanya.

Tentu anda pernah ke Majlis Tahlilan, bukan? Selalu dengar bukan lafaz begini: “ila hadratin nabi….” Ini adalah amalan tawasul yang haram. Ketahuilah yang perkataan ‘hadrat’ yang selalu diamalkan dalam bertawasul kepada Nabi ﷺ itu datang dari India. Bukan daripada Nabi ﷺ dan bukan daripada ajaran Islam. Kita selalu dengar tekong majlis tahlil akan memulakan majlis dengan membaca: “ila hadratin Nabiyy….” Ramai yang buat tetapi tidak faham pun apa maksudnya, termasuklah ustaz yang menjadi tekong majlis itu. Maksud mereka adalah Nabi Muhammad ﷺ ‘hadir’ dalam majlis mereka. Padahal, itu adalah kefahaman yang salah. Nabi ﷺ sudah wafat dan tidak mendampingi alam dunia lagi.

Selepas itu, mereka kirim/sedekah al-Fatihah kepada baginda kerana hendak bodek baginda. Tujuannya, adalah untuk mendapatkan berkat daripada Nabi ﷺ, keluarga baginda dan para sahabat baginda. Sebagai ‘upah’ untuk sampaikan doa kepada Allah ‎ﷻ, maka terimalah sedekah pahala Fatihah ini kongsi ramai-ramai. Ini adalah amalan yang salah dan bodoh sangat.

Ramai manusia salah faham tentang syafaat. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ yang tentukan siapa dapat syafaat. Namun bayangkan, kalaulah Nabi Muhammad ﷺ boleh beri syafaat kepada sesiapa sahaja yang baginda hendak, bolehlah baginda beri kepada bapa saudara baginda kerana baginda sayang sangat kepada Abu Talib dan Abu Talib pun sudah banyak berjasa kepada baginda. Namun tidak boleh juga kerana baginda tidak ada kelebihan itu. Abu Talib masuk neraka juga (dan akan mendapat hukuman paling ringan dalam neraka). Nabi ﷺ sayang sangat dengan Abu Talib. Abu Talib bukan sahaja bapa saudara, tetapi dia juga adalah bapa angkat baginda. Beliau juga adalah besan Nabi ﷺ juga kerana anaknya Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah berkahwin dengan Fatimah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا anak Nabi Muhammad ﷺ. Tiga pangkat terdapat pada Abu Talib. Namun Nabi ﷺ tidak boleh juga memberi syafaat kepadanya.

Jadi ingatlah bahawa tidaklah Nabi ﷺ itu pemberi berkat dan pemberi syafaat. Begitu juga kita sebenarnya tidak boleh minta berkat dengan manusia. Ini kerana manusia tidak ada berkat padanya. Namun begitu ada keadaan yang telah diberitahu kita akan mendapat berkat. Contohnya, dalam majlis ilmu, semua yang ada dalam majlis ilmu itu akan mendapat berkat, tidak perlu kita minta kerana akan dapat secara automatik. Jadi bukanlah ustaz yang mengajar itu yang memberi berkat, tetapi majlis itu sendiri yang ada berkat. Ini kita tahu daripada dalil-dalil yang sah. Begitu juga, Allah ‎ﷻ telah beritahu bahawa ada tempat yang diberkati, seperti Tanah Haram dan Ka’bah. Maknanya di sini, untuk mengatakan sesuatu itu ada berkat, kena ada dalil dan bukan buat andaian sendiri.

Sepanjang hidup Nabi ﷺ, tidak ada dalil Nabi ﷺ buat Majlis Tahlil orang mati. Padahal, dalam hidup baginda, ada isteri baginda yang mati, anak baginda pun ada yang mati, sahabat baginda pun ramai yang mati sepanjang hidup baginda. Semua umat Islam tahu yang baginda tidak pernah buat, termasuklah para ustaz yang menjadi tekong Majlis Tahlil itu. Akan tetapi, begitulah, walaupun mereka tahu Nabi ﷺ tidak pernah buat, ramai orang kita pandai-pandai juga buat. Dengan berbagai-bagai alasan dan hujah yang bathil belaka. Padahal Allah ﷻ tidak pernah kata Dia akan beri pahala kalau kita buat tahlil, Nabi ﷺ pun tidak pernah cakap, sahabat pun tidak ada yang mengamalkannya. Jadi mereka yang mengamalkannya sebenarnya berdusta kepada Tuhan mereka.

Mereka dikira berdusta kerana mengatakan perbuatan itu adalah baik dan benda baik apa salahnya. Itu adalah perbuatan bida’ah dalam agama. Ingatlah bahawa orang yang mengamalkan bida’ah ada masalah dengan fahaman agama mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 21 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 72 – 73 (Nikmat binatang ternak)

Yaasin Ayat 72: Tambahan nikmat binatang ternak itu.

وَذَلَّلنٰها لَهُم فَمِنها رَكوبُهُم وَمِنها يَأكُلونَ

Sahih International

And We have tamed them for them, so some of them they ride, and some of them they eat.

Malay

Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

 

وَذَلَّلْنٰهَا لَهُمْ

Dan Kami jinakkan binatang ternak untuk mereka;

Allah ‎ﷻ kata Dialah yang menjinakkan binatang itu. Kalaulah kambing itu garang sikit, kita pun sudah susah untuk sembelih. Kalau binatang ganas, kita pun tidak boleh bela. Sebab itu ada binatang seperti harimau kita tidak boleh bela, bukan? Ada banyak jenis binatang dalam dunia ini yang telah dijadikan oleh Allah ‎ﷻ, namun bukanlah semua kita boleh jinakkan. Allah ‎ﷻ beri ada binatang tidak jinak supaya kita dapat menghargai nikmat binatang yang jinak itu.

Allah ‎ﷻ tundukkan binatang yang menjadi makanan kita padahal binatang itu semua lebih kuat daripada kita. Namun punyalah jinak binatang itu yang Allah ‎ﷻ tundukkan sampai budak-budak pun boleh naik ke atasnya. Satu lagi nikmat, Allah ‎ﷻ jadikan binatang yang ganas dan berbahaya itu kecil-kecil belaka. Bayangkan kalau kala jengking, nyamuk itu besar seperti unta, macam mana? Rahmat Allah ‎ﷻ Dia menjadikan binatang yang berbahaya kecil sahaja.

Maka, menjinakkan binatang sampai kita boleh mendapat manfaat daripadanya adalah nikmat besar daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang nikmat itu kepada kita. Bayangkan kalau makanan kita Allah ‎ﷻ kata harimau, bagaimana? Sebelum sempat tangkap harimau, kitalah agaknya yang mati dahulu.

Satu lagi nikmat, Allah ‎ﷻ jadikan binatang ternak yang menjadi makanan kita itu besar-besar supaya berbaloilah untuk disembelih dan kenyang kita makan. Kalaulah binatang ternak itu sebesar lalat atau nyamuk, berapa banyak kita kena tangkap untuk kita kenyang makan? Ini pun nikmat juga, sekali sembelih ramai orang boleh makan.

Allah ‎ﷻ telah tundukkan binatang ternak ini untuk kita tetapi janganlah kita berlaku zalim terhadap mereka. Di dalam Islam, ihsan kepada binatang juga diajar kepada kita. Jadi kenapa kita tidak kagum dengan agama yang hebat ini? Daripada Syaddad bin Aus رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda,

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
“Sesungguhnya Allah memerintahkan berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan senangkanlah haiwan yang akan disembelih.”
(HR. Muslim No. 1955, Bab “Perintah untuk berbuat baik ketika menyembelih dan membunuh dan perintah untuk menajamkan pisau”)

Kita mungkin sangka binatang itu tidak mempunyai perasaan, jadi apa perlunya kita berbuat baik kepada mereka? Namun pernah berlaku di mana seekor unta mengadu kepada Rasulullah ﷺ akan kekejaman yang telah dilakukan terhadapnya oleh tuannya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Ja’far رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata:

“أَرْدَفَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلْفَهُ ذَاتَ يَوْمٍ، فَأَسَرَّ إِلَيَّ حَدِيثًا لَا أُحَدِّثُ بِهِ أَحَدًا مِنْ النَّاسِ، وَكَانَ أَحَبَّ مَا اسْتَتَرَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَاجَتِهِ هَدَفٌ أَوْ حَائِشُ نَخْلٍ، فَدَخَلَ حَائِطًا مِنْ حِيطَانِ الْأَنْصَارِ فَإِذَا جَمَلٌ قَدْ أَتَاهُ فَبَرَكَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَجَرَّ جَرِيرَتَهُ فَدَمَعَتْ عَيْنَاهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‘مَنْ رَبُّ هَذَا الْجَمَلِ؟ لِمَنْ هَذَا الْجَمَلُ؟’ فَجَاءَ فَتًى مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ: ‘لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ.’ فَقَالَ: ‘أَفَلَا تَتَّقِي اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِي مَلَّكَكَ اللَّهُ إِيَّاهَا؟ فَإِنَّهُ شَكَا إِلَيَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ.'”
“Suatu hari Rasulullah ﷺ memboncengku di belakangnya, lalu baginda membisikkan sesuatu kepadaku yang tidak kuceritakan kepada siapa pun. Rasulullah ﷺ paling suka berlindung di balik bukit kecil atau kebun kurma ketika buang hajat. Pernah baginda memasuki salah satu kebun kurma milik kaum Ansar. Tiba-tiba seekor unta datang kepadanya, lalu ia berlutut di hadapan baginda dan mengeluarkan suara rintihan, dan kedua matanya menitiskan air mata. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Siapa pemilik unta ini? Milik siapa unta ini?’ Lalu seorang pemuda daripada kaum Ansar datang dan berkata: ‘Milikku, wahai Rasulullah.’ Maka baginda bersabda: ‘Tidakkah engkau bertaqwa kepada Allah terkait binatang ini yang telah Allah jadikan milikmu? Sesungguhnya ia mengadu kepadaku bahawa engkau membuatnya kelaparan dan membebaninya dengan pekerjaan berat.'”
(Hadith riwayat Abu Dawud No. 2549, Ahmad No. 17757, dan dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Abi Dawud).

Ada pengajaran tentang rohani juga apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang binatang ternak ini. Mereka itu Allah ‎ﷻ beri manusia miliki dan Allah ‎ﷻ tundukkan mereka. Siapa pula yang memiliki kita? Bukankah Allah ‎ﷻ? Adakah kita tunduk kepada-Nya? Allah‎ﷻ sentuh binatang ternak itu tunduk kerana itulah tugas mereka dan Allah ‎ﷻ sentuh, tugas kita pun adalah untuk tunduk kepada-Nya. Kalau ada binatang ternak tidak bersifat seperti yang sepatutnya, apa yang tuannya akan buat? Tentu akan disembelih dari awal lagi, bukan? Maka kalau kita yang tidak tunduk kepada Allah ‎ﷻ ini, Allah ‎ﷻ azab kita, adakah itu tidak patut? Tentu patut sekali!

 

فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ

maka sebahagian daripadanya dijadikan tunggangan

Sekali lagi Allah ‎ﷻ ulang tentang kenderaan seperti yang telah disebut di dalam ayat 41 dan 42 sebelum ini,

وَءَايَةٌ لَّهُمۡ أَنَّا حَمَلۡنَا ذُرِّيَّتَہُمۡ فِى ٱلۡفُلۡكِ ٱلۡمَشۡحُونِ (٤١) وَخَلَقۡنَا لَهُم مِّن مِّثۡلِهِۦ مَا يَرۡكَبُونَ (٤٢)
Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat; (41) Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya. (42)

Ada binatang yang jinak sangat sampai boleh dijadikan sebagai kenderaan seperti unta. Unta memiliki berbagai kelebihan yang membuatnya sangat sesuai dan menjadi ‘kapal padang pasir’. Orang Arab yang pertama menerima Al-Qur’an ini amat faham tentang kegunaan unta ini. Kelebihan-kelebihan ini merupakan adaptasi luar biasa terhadap lingkungan gurun yang ekstrem:

1. Kemampuan Bertahan Hidup Tanpa Air (dan Makanan) dalam Waktu Lama:

    • Penyimpanan Air: Unta tidak menyimpan air di pundaknya (pundak itu untuk menyimpan lemak), tetapi mereka memiliki mekanisme tubuh yang sangat efisien untuk menyimpan air. Mereka dapat minum air dalam jumlah besar (hingga 100-150 liter) dalam sekali minum dan dapat bertahan tanpa air selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan jika ada cukup tumbuhan yang lembap.
    • Toleransi Dehidrasi: Unta dapat kehilangan hingga 25% berat tubuhnya kerana dehidrasi tanpa mengalami gangguan fungsi tubuh yang serius, jauh lebih tinggi dibandingkan haiwan lain (manusia hanya dapat tahan kalau hilang air sekitar 10-12%).
    • Metabolisme Air: Metabolisme unta sangat efisien dalam menghasilkan air dari oksidasi lemak di pundaknya.
    • Ketahanan Tanpa Makanan: Unta dapat bertahan hidup berminggu-minggu tanpa makanan, dengan memakan lemak di pundaknya.

2. Adaptasi untuk Gurun Pasir:

    • Kaki Lebar dan Kusyen: Kaki mereka lebar dengan bantalan empuk yang memungkinkan mereka berjalan di pasir lembut tanpa tenggelam, seperti memakai sepatu salji.
    • Bulu Tebal dan Warna Cerah: Bulu tebal melindungi mereka dari panas matahari yang menyengat di siang hari dan dinginnya gurun di malam hari. Warna bulunya yang cerah juga memantulkan panas jadi mereka kurang kepanasan.
    • Hidung dan Bulu Mata Khusus: Lubang hidung unta dapat ditutup rapat untuk mencegah pasir masuk. Mereka juga memiliki dua baris bulu mata yang sangat panjang dan tebal untuk melindungi mata dari pasir dan angin.
    • Pundak: Pundaknya menyimpan simpanan lemak yang boleh ditukar menjadi tenaga dan air ketika makanan dan air kurang.

3. Regulasi Suhu Tubuh yang Unik:

Unta dapat membiarkan suhu tubuh dalamannya berubah hingga beberapa darjah Celsius (dari sekitar 34°C di pagi hari hingga 41°C di siang hari). Ini mengurangi keperluan untuk berpeluh untuk mendinginkan diri, sehingga dapat mengurangkan keperluan air.

4. Kemampuan Memakan Tanaman Gurun:

Mulut dan bibir unta yang kuat dan tebal membolehkan mereka memakan tanaman gurun yang berduri atau berserat keras yang tidak dapat dimakan oleh haiwan lain.

5. Penglihatan dan Penciuman:

Memiliki penglihatan dan penciuman yang baik untuk menemukan sumber air dan makanan di hamparan gurun yang luas.

Kerana semua kelebihan adaptasi ini, unta telah menjadi alat pengangkutan, sumber makanan (daging dan susu), dan tenaga kerja yang tak tergantikan bagi peradaban di padang pasir selama ribuan tahun. Sampaikan Allah ‎ﷻ sebut dan suruh kita tengok dan kaji unta itu kerana betapa hebatnya ia. Lihat Ghasyiyah:17. 

“أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ”
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?”

Maka unta itu sangatlah sesuai sebagai binatang pengangkutan. Memang Allah ‎ﷻ jadikan sesuai sangat bagi orang Arab itu. Unta ini mempunyai kaki yang kuat. Masa kita hendak letak barang, kita suruh dia turun dan kita senang hendak isi barang dagangan ke atasnya. Kemudian unta itu boleh naik. Kalau lembu atau kambing kita suruh duduk dan kemudian letak barang, mereka tidak boleh hendak naik pun sebab kaki mereka tidak kuat. Ini pun nikmat. Dengan unta itulah penduduk Mekah boleh pergi sehingga ke Yaman untuk berniaga dan meningkatkan ekonomi mereka. Ia adalah perjalanan yang jauh sekitar 800 – 1000 KM. Jarak ke Syam pula adalah sekitar 1,200 – 1,400 KM. Allah ‎ﷻ sebut tentang dua perjalanan ini di dalam Quraish:1-2

لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِیلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢)
Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (1) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2)

 

وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ

dan ada sebahagian yang boleh dimakan;

Ada pula binatang yang kita makan dagingnya iaitu jenis-jenis seperti kambing dan lembu. Ada pula yang boleh ditunggang dan dimakan sekali, macam unta. Kalau kita buat kenderaan seperti kereta, bolehkah kita makan? Tentu tidak boleh.

Memang makanan kita sebahagian besarnya adalah daging. Jarang kita banyak hari tidak makan daging, bukan? Ini adalah kerana ia adalah sumber protein yang tinggi. Jadi kalau ada yang hendak jadi ‘vegetarian’ dengan alasan kasihan terhadap binatang, memang rugilah. Hilang satu nikmat dunia orang kata. Ia tidak menjadi kesalahan membunuh binatang ternak itu kerana memang ia dijadikan oleh Allah ‎ﷻ sebagai makanan buat kita. Sekiranya kita menghalang orang daripada memakannya, kita sudah jadi salah. Kalau tidak lalu makan kerana sebab individu, itu pilihan sendiri, tetapi jangan halang orang lain.


 

Yaasin Ayat 73: Ada lagi nikmat lain

وَلَهُم فيها مَنٰفِعُ وَمَشارِبُ ۖ أَفَلا يَشكُرونَ

 Sahih International

And for them therein are [other] benefits and drinks, so will they not be grateful?

Malay

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

 

وَلَهُمْ فِيهَا مَنٰفِعُ

Dan bagi mereka binatang-binatang itu padanya berbagai-bagai lagi manfaat lain;

Binatang ternak itu bukan sahaja untuk ditunggangi dan dimakan sahaja, tetapi ada lagi kegunaan dan faedah lain seperti bulu, kulit, tulang, gigi dan lain-lain lagi yang manusia boleh gunakan dalam kehidupan mereka. Antaranya,

    • Bulu: Untuk membuat pakaian, selimut, karpet, dan alat tenun lainnya.
    • Kulit: Untuk membuat pakaian, alas kaki, perkakas, dan peralatan rumah tangga.
    • Baja: Kotoran binatang ternak dapat digunakan sebagai baja untuk menyuburkan tanah pertanian.
    • Tenaga Kerja: Digunakan untuk membajak sawah, menarik gerabak, memutar alat penggiling, dan pekerjaan berat lainnya dalam pertanian atau pembangunan.
    • Kehangatan: Keberadaan binatang ternak dapat memberikan kehangatan di tempat tinggal mereka.
    • Perdagangan: Menjadi komoditi dagang yang penting, memberikan keuntungan ekonomi.

Allah ‎ﷻ memberi isyarat tentang nikmat yang banyak pada binatang ini dalam ayat Nahl:80:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ جُلُودِ الْأَنْعَامِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ ۙ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ
“Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat kediaman. Dan Dia menjadikan bagimu rumah-rumah (tenda/khemah) dari kulit binatang ternak yang kamu merasa ringan (membawanya) pada waktu kamu bepergian dan pada waktu kamu bermukim; dan daripada bulu domba, bulu unta, dan bulu kambing, (dijadikan-Nya) perkakas rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).”

وَمَشَارِبُ

dan sebagai minuman;

Bukan sahaja dagingnya boleh dimakan, tetapi ada binatang yang juga ada sumber minuman iaitu susu daripada binatang-binatang itu. Jadi setelah disebut makanan, disebut pula minuman di sini kerana manusia memerlukan makanan dan minuman sekali. Malah susu itu pula hebat, bukan macam air biasa. Berikut adalah beberapa kebaikan utama susu binatang ternak:

1. Sumber Nutrisi Lengkap:

    • Protein Tinggi: Susu adalah sumber protein haiwan yang berkualiti tinggi yang penting untuk pertumbuhan, perbaikan tubuh, dan pembentukan enzim serta hormon.
    • Kalsium dan Vitamin D: Sangat kaya dengan kalsium, yang penting untuk kesihatan tulang dan gigi yang kuat. Seringkali susu juga diperkuat dengan Vitamin D, yang membantu penyerapan kalsium.
    • Vitamin dan Mineral Penting: Mengandung berbagai vitamin seperti Vitamin B2 (riboflavin), B12, dan A, serta mineral seperti fosfor, kalium, dan selenium, yang penting untuk fungsi tubuh yang optimal.
    • Lemak Sihat (dalam jumlah moderat): Menyediakan tenaga dan membantu penyerapan vitamin larut lemak.

2. Mendukung Pertumbuhan dan Perkembangan:

    • Terutama penting untuk anak-anak dan remaja kerana kandungan protein dan kalsiumnya yang mendukung pertumbuhan tulang dan otot.

3. Kesihatan Tulang dan Gigi:

    • Kombinasi kalsium, fosfor, dan Vitamin D (jika diperkuat) sangat efektif dalam mencegah osteoporosis dan menjaga kepadatan tulang seiring bertambahnya usia.

4. Sumber Tenaga:

    • Kandungan karbohidrat (laktosa) dan lemak dalam susu menyediakan sumber tenaga yang siap digunakan oleh tubuh.

5. Hidrasi:

    • Selain nutrisi padat, susu juga mengandung air yang membantu menjaga tubuh tetap terhidrasi.

6. Memperkuat Kekebalan Tubuh:

    • Protein dan vitamin tertentu dalam susu berperanan dalam mendukung sistem kekebalan tubuh.

7. Mudah Dicerna (bagi sebahagian orang):

    • Meskipun ada isu intoleransi laktosa pada sebahagian orang, secara umum susu adalah makanan cair yang relatif mudah dicerna dan diserap nutrisinya.

8. Fleksibiliti:

    • Susu dapat diolah menjadi berbagai produk turunan yang juga kaya nutrisi, seperti keju, yogurt, mentega, dan lain-lain yang memperluas pilihan manfaatnya.

Begitu juga air kencing binatang juga boleh dijadikan ubat, seperti air kencing unta. Rasulullah ﷺ pernah suruh sahabat yang jatuh sakit apabila sampai di Madinah (cuaca Madinah sebenarnya tidak bagus) supaya mereka minum susu dan juga air kencing unta. Ini menandakan ia boleh menjadi ubat dan ia tidak najis. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

“أَنَّ نَاسًا كَانَ بِهِمْ سَقَمٌ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آبِنَا، فَأَبَوْا أَنْ يُجَمُّوا، قَالَ: فَسَقَاهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْوَالَ الْإِبِلِ وَأَلْبَانَهَا حَتَّى صَحُّوا.”
“Sesungguhnya ada beberapa orang yang menderita sakit. Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, berilah kami tempat tinggal.’ Mereka enggan tinggal (di Madinah karena tidak sesuai dengan iklimnya). Maka Nabi ﷺ memberi mereka minum air kencing unta dan susunya hingga mereka sembuh.”
(Hadith Riwayat Bukhari No. 5686, 233 dan Muslim No. 1671).

 

أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Kenapakah mereka tidak bersyukur?

Dengan segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita, sepatutnya kita sedar dan kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Namun ramai yang tidak bersyukur. Kenapa masih lagi tidak ikut ajaran Islam yang betul? Kenapa tidak sembah Allah ‎ﷻ sahaja dengan segala apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita?

Bagaimana cara bersyukur? Jika mengikut suruhan Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ, barulah dikatakan bersyukur. Maka lafaz syukur adalah ‘alhamdulillah’ manakala perbuatannya adalah dengan taat dan menjalankan arahan Allah ﷻ. Barulah layak kalau hendak cakap Alhamdulillah kalau telah melakukan apa yang Allah ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ﷻ larang. Kena ikut semua ajaran Tuhan dan Nabi. Bukan hanya senang-senang sahaja mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan sangka kita telah bersyukur. Kita telah bincangkan tentang syukur di dalam ayat 35 sebelum ini.

Ringkasannya, ada tiga cara atau peringkat yang kita kena bersyukur. Ketiga-tiganya kena ada:

1. Syukur dengan HATI (قَلْب)

Iaitu menyedari dan mengakui dalam hati bahawa semua nikmat berasal daripada Allah ‎ﷻ. Contoh: Merasa cukup dan redha dengan rezeki. Kemudian tidak sombong atau merasa nikmat itu hasil usaha sendiri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nahl:53

وَما بِكُم مِّن نِّعمَةٍ فَمِنَ اللهِ
Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allah-lah (datangnya),

Jangan kita sangka apa yang kita dapat adalah daripada hasil usaha kita semata-mata. Memang usaha kita dipandang oleh Allah ‎ﷻ, akan tetapi kena sedar yang Allah ‎ﷻ yang jadikan usaha itu berjaya. Allah ‎ﷻ hendak lihat usaha kita sahaja. Sebagai contoh, kalau kita kaya dan berjaya itu semestinya daripada Allah ‎ﷻ. Kerana kalau hendak dikira usaha, ramai sahaja yang berusaha lebih tetapi tidak berjaya juga, bukan? Allah ‎ﷻ telah ingatkan kita sifat kufur ini di dalam Qasas:78

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي
Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.

Lihatlah bagaimana sombongnya Qarun yang hanya meletakkan kepandaian dirinya sahaja ke atas kejayaannya. Di mana Qarun sekarang? Dalam perkara kecil pun kita kena ingat kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh kita dapat bangun awal, kita kena sedar yang Allah ‎ﷻ yang gerakkan kita waktu bangun itu. Memang kita telah usaha dengan mengunci jam dan sebagainya, tetapi jangan kita mendabik dada dengan mengatakan: aku memang senang bangun pagi. Kita lihat satu lagi karektor sombong yang Allah ‎ﷻ kenalkan di dalam Zukhruf:51

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

Maka ingat sungguh-sungguh, jangan kita ikut ‘sunnah’ Qarun dan Firaun ini kerana tidak selamat hidup kita dunia dan akhirat kalau kita lupa akan hal ini.

 

2. Syukur dengan LISAN (لِسَان)

Iaitu dengan menyebut dan memuji Allah ‎ﷻ atas nikmat-Nya. Contoh: Mengucap “Alhamdulillah” atas segala nikmat dan kena selalu berzikir dan memuji nama Allah.

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الْأَكْلَةَ، فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا، أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ، فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا
“Sesungguhnya Allah reda terhadap seorang hamba yang apabila dia makan sesuatu, dia memuji-Nya (dengan bersyukur); dan apabila dia minum sesuatu, dia memuji-Nya.”
(Sahih Muslim, No. 2734)

Kerana itulah Allah ‎ﷻ ajar kita di dalam Dhuha:11

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

 

3. Syukur dengan ANGGOTA BADAN (جَوَارِح)

Iaitu dengan menggunakan nikmat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, bukan untuk maksiat. Contoh: Gunakan mata untuk melihat kebaikan; Gunakan harta untuk membantu orang lain; Gunakan kekuatan untuk menolong, bukan menzalimi. Kita telah sebut kita kenalah taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dan jangan melawan larangan  yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalil kena beramal adalah seperti firman di dalam Saba’: 13

اعمَلوا ءآلَ داوودَ شُكرًا
“Beramallah wahai keluarga Daud untuk bersyukur kepada Allah.”

Manakala beramal itu mestilah mengikut amal yang diajar wahyu. Kenapa kita tidak ikut sahaja ajaran Nabi Muhammad ﷺ? Kenapa ada yang buat amalan yang tidak diajar oleh baginda? Sebagai contoh: Tidak ada dalil hadith yang sahih mengatakan ada amalan baca Yaasin pada setiap malam Jumaat. Tidak ada dalil yang sahih. Padahal hadith yang ada adalah baca Surah Kahfi pada hari Jumaat, bukannya baca Surah Yaasin. Begitu juga tidak ada hadith yang sahih yang menyuruh kita membacakan Yaasin kepada orang yang hampir mati dan orang yang telah mati. Namun sekarang ia dibuat secara menyeluruh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 21 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah