Tafsir Surah Yunus Ayat 12 – 14 (Musyrikin banyak berdoa rupanya)

Yunus Ayat 12: Ayat Zajrun (teguran) lagi

وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ الضُّرُّ دَعانا لِجَنبِهِ أَو قاعِدًا أَو قائِمًا فَلَمّا كَشَفنا عَنهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّم يَدعُنا إِلىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ ۚ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلمُسرِفينَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

And when affliction touches man, he calls upon Us, whether lying on his side or sitting or standing; but when We remove from him his affliction, he continues [in disobedience] as if he had never called upon Us to [remove] an affliction that touched him. Thus is made pleasing to the transgressors that which they have been doing

Malay

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada dia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana dia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسٰنَ الضُّرُّ

Dan apabila manusia dirasakan dengan mudharat

Manusia akan sentiasa dikenakan dengan kesusahan sebagai ujian bagi mereka. Sememangnya kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Namun lihatlah satu jenis manusia dan apa yang mereka lakukan apabila mereka disentuh dengan kesusahan, yang sekarang diceritakan dalam ayat ini sebagai pengajaran bagi kita.

دَعَانَا لِجَنبِهِ

dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring di lambungnya,

Apabila manusia dikenakan bala, mereka akan bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah ﷻ termasuklah golongan musyrikin ini. Waktu mereka terbaring pun, mereka ingat kepada Allah ﷻ dan tidak putus-putus mereka berdoa dan mengharap kepada Allah ﷻ untuk mengeluarkan mereka daripada masalah yang telah dikenakan kepada mereka.

Ini tidak ada masalah sebenarnya. Yang jadi masalah adalah kepada mereka yang hanya berdoa kepada Allah ﷻ apabila mereka ditimpa kesusahan sahaja. Waktu-waktu lain mereka tidak berdoa pula kepada Allah ﷻ kerana mereka tidak ingat kepada Allah ﷻ.

Ini juga hendak memberitahu sifat manusia yang buruk di mana mereka hanya mula berdoa kepada Allah ﷻ apabila sudah teruk sampai terbaring tidak boleh buat apa-apa. Pada waktu itu dia sudah habis ikhtiar dan sekarang barulah mula hendak berharap kepada Allah ﷻ.

Atau sebelum ini dia sudah berdoa secara syirik dengan bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat namun kesusahannya tidak diselesaikan. Pada waktu itu, barulah dia hendak berdoa terus kepada Allah ﷻ.

أَوْ قَاعِدًا

atau sedang duduk

Bukan sahaja waktu berbaring, waktu duduk-duduk pun mereka teringat dan berdoa kepada Allah ﷻ. Kalau tadi teruk sangat sampai terbaring, sekarang sudah boleh duduk kerana Allah ﷻ telah angkat sedikit masalah mereka itu tetapi mereka masih lagi berdoa kerana belum baik lagi.

أَوْ قَائِمًا

atau berdiri,

Apabila manusia ditimpa kesusahan barulah mereka akan ingat Allah ﷻ dalam semua keadaan sama ada berbaring, duduk ataupun berdiri. Maknanya, sepanjang masa mereka ingat dan doa kepada Allah ﷻ (apabila dalam kesusahan). Doa mereka pula banyak sampai tidak turun tangan mereka seperti disebut dalam Fussilat: 51

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسٰنِ أَعرَضَ وَنَئا بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (daripada bersyukur); dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

Bandingkan dengan orang beriman pula seperti disebut dalam Ali Imran: 191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring

Maknanya orang beriman itu ingat Allah ﷻ dalam semua keadaan, ketika masih sihat dan selesa. Orang tidak beriman pula, hanya ingat Allah ﷻ apabila sudah ada masalah, sudah sakit dan sebagainya. Yang sepatutnya: Ingatlah Allah ﷻ semasa senang, supaya Allah ﷻ ingat kita di waktu kita susah.

ingatlah-allah

Lihatlah pengajaran daripada kisah Nabi Yunus عليه السلام. Nabi Yunus عليه السلام adalah hamba Allah ﷻ yang sangat rajin mensucikan nama-Nya, rajin bertasbih, dan selalu berusaha memurnikan semua ibadah hanya kepada-Nya.

Allah ﷻ selamatkan Yunus عليه السلام, kerana baginda rajin bertasbih. Bertasbih pada saat kondisi lapang, bukan hanya ketika sedang kesusahan. Andaikan bukan kerana baginda rajin bertasbih, Nabi Yunus عليه السلام akan tetap berada di perut ikan sampai kiamat.

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ . فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ . لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

”Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Kalau sekiranya dulu dia bukan termasuk orang-orang yang banyak bertasbih, nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.” [As-Shaffat: 142 – 144]

Jelaslah ayat ini mengutuk sifat golongan musyrik yang hanya berdoa ketika susah sahaja. Akan tetapi timbul persoalan, bagaimana pula orang yang sudah lama bergelumang dengan kesyirikan, boleh pula berdoa terus kepada Allah ﷻ? Bukankah mereka sudah biasa berdoa kepada perantaraan mereka (Nabi, wali, malaikat atau jin)? Ini tidak pelik sebenarnya, kerana memang berdoa terus kepada Allah ﷻ adalah fitrah semulajadi dalam diri manusia. Cuma golongan yang cenderung kepada syirik sahaja yang mengubahnya. Namun apabila keadaan mendesak, mereka lupakan terus perantaraan mereka dan berdoa terus kepada Allah ﷻ.

فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ

tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya,

Ini adalah apa yang mereka lakukan apabila Allah ﷻ mengangkat kesusahan itu. Iaitu, apabila dia sudah menjadi senang semula, masalah pun sudah tiada, lihatlah apa yang dia lakukan.

مَرَّ

dia berlalu

Dia berlalu pergi bagaikan tidak ada apa-apa. Maksudnya selepas kesusahan yang dihadapi itu telah diangkat, dia berlalu pergi. Dia hidup balik macam biasa, macam sebelum itu (dalam tidak taat kepada Allah ﷻ).

Dia pun berlalu meninggalkan doanya itu. Sebelum ini dia bersungguh-sungguh berdoa, waktu baring, duduk dan berdiri dia sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi sekarang dia sudah tinggalkan, kerana dia sudah tidak berharap kepada Allah  ﷻ (habis madu, sepah dibuang).

Kalimah مَرَّ juga bermaksud ‘berterusan’ iaitu dia berterusan dalam derhaka kepada Allah ﷻ. Mereka meneruskan amalan syirik mereka dalam berdoa. Sudah mula berdoa melalui perantaraan rekaan mereka itu.

كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ

seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya.

Semasa dia susah, bersungguh-sungguh dia berdoa kepada Allah ﷻ untuk menghilangkan kesusahannya itu. Namun bila kesusahannya itu diangkat oleh Allah ﷻ, dia buat biasa sahaja. Macam dia tidak pernah berdoa kepada Allah ﷻ untuk mengangkat kesusahannya itu dulu. Dia lupa yang Allah ﷻlah yang telah mengangkat kesusahannya itu.

Maksudnya, dia tidak mengucapkan syukur langsung kepada Allah ﷻ kerana telah menyelamatkannya. Dia pun sudah meninggalkan aktiviti berdoa terus kepada Allah ﷻ. Dia hanya ingat kepada Allah ﷻ apabila dalam kesusahan sahaja. Apabila masalahnya diselesaikan, dia lupa yang Allah ﷻlah yang telah menyelesaikan masalahnya itu. Perkara yang sama juga disebut di dalam Luqman: 32

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang pertengahan.

Juga disebut dalam Ankabut: 65

فَإِذا رَكِبوا فِي الفُلكِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ إِذا هُم يُشرِكونَ

Maka apabila mereka naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)

Apa perasaan kita dengan hal ini, adakah patut? Tentu tidak, bukan? Bayangkan ada orang yang masa dia susah berkali-kali meminta pertolongan kepada kita. Maka kita pun beri pertolongan kepadanya tetapi bila dia sudah selesai masalahnya, jumpa kita pun tidak beri salam langsung. Apakah perasaan anda terhadap orang sebegini?

كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ

Begitulah dihiasi kepada orang-orang yang melampaui itu

Kalimah مُسْرِفِينَ adalah ‘orang-orang yang melampau’. Apabila mereka melakukan sesuatu mereka melampau-lampau dalam perbuatannya itu. Terutama sekali di dalam kesyirikan mereka. Lihatlah bagaimana semasa susah, mereka berdoa kepada Allah ﷻ waktu berbaring, waktu duduk dan waktu berdiri. Kemudian apabila masalahnya telah diangkat, mereka melampau pula dalam lupa kepada Allah ﷻ.

Golongan musyrik pula beramal dengan berdoa melalui perantaraan kepada Nabi, wali dan malaikat. Dihiasi perbuatan syirik mereka ini sampaikan mereka sangka inilah amalan yang benar lagi hebat. Mereka rasa hebat beramal sebab amalan itu tok guru mereka ajar, ada dalam kitab sekian dan sekian, orang lain tidak tahu cara ini (kononnya mereka sahaja tahu), dan sebagainya.

Mereka telah melampau dalam kehidupan. Kerana melampau dalam hiduplah yang menyebabkan manusia menghadapi masalah. Melampau dalam bergembira, melampau dalam menonton TV dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang dilakukan secara ekstrem akan menyusahkan kita akhirnya.

Ini mengajar kita supaya tidak melampau di dalam hidup kita. Termasuklah di dalam melakukan amal ibadat dan doa sekalipun. Biarlah amal ibadah kita sedikit, tetapi hendaklah ia berterusan (istiqamah). Jangan jadi seperti orang yang melampau seperti yang disebut di dalam ayat ini. Pada waktu dia susah, dia berdoa dengan banyak sekali, namun di waktu yang lain, dia langsung lupa kepada Allah ﷻ.

Bukanlah ayat ini memarahi mereka yang banyak berdoa sampaikan berdoa sewaktu berbaring, duduk dan berdiri. Memang sudah menjadi lumrah manusia akan banyak berdoa apabila mempunyai masalah. Ini adalah normal dan tidak salah. Waktu susahlah yang kita lebih mengharap kepada Allah ﷻ. Yang Allah ﷻ marah adalah bila dalam waktu dia senang, dia lupa kepada Allah ﷻ.

مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

apa yang selalu mereka kerjakan.

Orang yang melampau itu nampak cantik amalan yang dilakukannya itu. Dia sangka dia sudah hebat sangat bila banyak berdoa kepada Allah ﷻ. Dia lupa bahawa dia hanya banyak berdoa kepada Allah ﷻ bila dia mempunyai masalah sahaja. Waktu lain, dia lupa langsung.

Ayat ini juga bukanlah menghalang kita daripada berdoa langsung walaupun sebelum itu kita banyak lupa Allah ﷻ. Jangan keliru pula dengan ayat ini dan jangan terbelit dengan hasutan syaitan. Syaitan akan bisikkan kepada kita untuk tidak berdoa. Syaitan akan kata: “kau masa senang tak ingat Allah langsung. Sekarang sudah susah, baru kau nak ingat Dia?! Baik kau jangan doa kepada Allah.” Kalau kita terpedaya dengan bisikan syaitan ini, maka kita telah ditipu dengan teruk sekali.

Selain itu, orang-orang yang melampau selalunya mereka akan nampak amalan-amalan ibadat mereka yang melampau itu elok. Sebagai contoh, apabila berzikir, sampai beribu ribu zikir yang mereka lakukan tetapi dalam mencari ilmu agama, mereka tidak mahu meluangkan masa pula lebih-lebih jika diajak untuk belajar memahami Kitab Al-Qur’an ini. Ada sahaja alasan diberikan oleh mereka.

Begitulah yang terjadi sekarang ini dengan pengikut-pengikut Habib. Mereka sangka amalan zikir mereka, sambutan Mawlid, Qasidah dan selawat rekaan mereka itu cantik sahaja pada pandangan mata mereka. Padahal, iaa adalah amalan bid’ah yang mungkar.

Ataupun orang yang melampau ini akan menggunakan nama lain untuk dosa-dosa yang mereka lakukan untuk ‘mencantikkan’ perbuatan mereka. Sebagai contoh, dalam perbankan mereka menggunakan nama ‘faedah’ padahal yang sebenarnya ia adalah ‘riba’. Ini bertujuan supaya dosa yang mereka lakukan itu nampak ‘cantik’ dan ‘halal’. Untuk amalan bid’ah pula, mereka gelar sebagai ‘Bidaah Hasanah’ kononnya apa yang mereka buat itu sebenarnya ‘baik’. Namun baik pada pandangan mereka sahaja, baik dalam penilaian mereka sahaja.


Yunus Ayat 13: Ayat 11 disebut tentang manusia yang meminta disegerakan azab. Di dalam ayat ini disebut tentang azab. Sebenarnya tidak perlu minta azab daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sudah tahu siapa yang perlu diazab dan bila perlu diazab.

Ini adalah ayat jenis takhwif duniawi (ancaman azab dunia). Ia memberi peringatan agar jangan disangka semua akan selamat di dunia. Ada yang Allah ﷻ beri tangguh dan hanya azab di akhirat, tetapi ada juga yang Allah ﷻ azab semasa di dunia lagi. Maka kena ambil peringatan takut di dunia lagi dikenakan azab. Allah ﷻ menceritakan azab di dunia kerana ada manusia yang tidak nampak azab di akhirat, tetapi mereka takut dengan azab di dunia.

وَلَقَد أَهلَكنَا القُرونَ مِن قَبلِكُم لَمّا ظَلَموا ۙ وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ وَما كانوا لِيُؤمِنوا ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Sahih International

And We had already destroyed generations before you when they wronged, and their messengers had come to them with clear proofs, but they were not to believe. Thus do We recompense the criminal people

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu,

Kalimah أَهْلَكْنَا berasal daripada هلك yang bermaksud Allah ﷻ musnahkan dengan menghancurkan mereka sampai tidak ada tinggalkan kesan langsung. Begitulah yang Allah ﷻ lakukan terhadap umat yang terdahulu. Namun sekarang tidak ada lagi. Azab tetap ada, tetapi tidaklah sampai mematikan semua manusia sehingga tidak ada kesan langsung.

‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya adalah Musyrikin Mekah. Namun sekarang ia ditujukan kepada kita yang sedang membaca ayat ini dan kepada orang-orang zaman sekarang dan seterusnya hingga ke akhir zaman. Jangan kita sangka ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya ditujukan kepada orang lain sahaja tetapi hendaklah kita merasa Allah ﷻ sedang berkata-kata dengan kita.

Memang telah banyak golongan-golongan yang sebelum kita telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ. Ini kita boleh tahu daripada sejarah yang kita boleh baca.

لَمَّا ظَلَمُوا

apabila mereka berbuat kezaliman,

Mereka yang dimusnahkan itu adalah kerana mereka telah berbuat kezaliman. Ada berbagai-bagai jenis kezaliman yang manusia lakukan. Kezaliman yang paling tinggi adalah apabila manusia melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Kemudian mereka menolak dakwah daripada rasul-rasul mereka.

Mereka juga telah melakukan kezaliman sesama mereka dengan menindas orang yang lemah dalam kalangan mereka dan macam-macam lagi.

Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Satu lagi maksud adalah ‘mengurangkan’. Ini seperti disebut dalam Kahf: 33

كِلتَا الجَنَّتَينِ ءآتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِّنهُ شَيئًا

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikit pun dari hasil itu;

Lihat ada kalimah تَظلِم di dalam ayat daripada surah Kahf ini. Maka, antara lain maksud zalim adalah mengurangi hak Allah ﷻ. Sepatutnya kita hanya menyembah Dia sahaja, minta doa kepada-Nya sahaja kerana itu hak Allah ﷻ. Malangnya manusia menyembah juga selain menyembah Allah ﷻ. Ini adalah syirik dan kezaliman yang paling besar seperti firman Allah ﷻ di dalam Luqman: 13

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنٰتِ

padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata,

Bukanlah mereka yang dimusnahkan itu tidak tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah zalim. Mereka tahu kerana mereka telah diberikan dengan peringatan dan ancaman daripada Rasul-Rasul mereka.

Ancaman-ancaman itu pula adalah jelas nyata, bukan samar-samar. Sama seperti penerangan tentang Tauhid dan syirik di dalam Al-Qur’an yang jelas dan disebut berkali-kali. Kerana itulag Allah ﷻ meletakkan kalimah بِالْبَيِّنٰتِ untuk memberitahu yang segala hujah dan bukti jelas telah diberi, namun mereka menolak kerana degil sahaja, bukan kerana tidak faham.

Mereka itu sudah diberi dengan peringatan yang banyak. Allah ﷻ tidak akan memusnahkan sesuatu kaum itu melainkan mereka telah diberi peringatan dan setelah diberi peringatan itu, mereka ingkar. Kerana itulah kita katakan yang Allah ﷻ tidak zalim sama sekali kerana segala peringatan telah diberi. Ini seperti disebut dalam Syuara’: 208

وَما أَهلَكنا مِن قَريَةٍ إِلّا لَها مُنذِرونَ

Dan Kami tidak membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberi peringatan;

وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا

tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman.

Walaupun mereka telah diberi dengan peringatan dan ancaman, tetapi mereka tetap tidak mahu beriman. Mereka tidak mahu beriman itu kerana degil sahaja. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah dan golongan seperti mereka. Padahal mereka tahu tentang kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu seperti Allah ﷻ sebut di dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ ۖ أَفَلا يَسمَعونَ

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

Namun tetap mereka tidak ambil pengajaran. Macam orang kita juga, walaupun tahu kebenaran, tetapi masih tidak mahu terima. Apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, mereka masih lagi hendak percaya kata-kata ustaz dan guru mereka. Mereka masih lagi tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an.

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.

Tidak kira siapa mereka, sekiranya mereka zalim bermaksud mereka telah berdosa, maka mereka akan diberi balasan yang buruk. Ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ yang amat banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an.


Yunus Ayat 14:

ثُمَّ جَعَلنٰكُم خَلٰئِفَ فِي الأَرضِ مِن بَعدِهِم لِنَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ

Sahih International

Then We made you successors in the land after them so that We may observe how you will do.

Malay

Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

ثُمَّ جَعَلْنٰكُمْ خَلٰئِفَ فِي الْأَرْضِ

Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti di muka bumi

Kalimah خَلَائِفَ berasal daripada katadasar خ ل ف yang bermaksud seseorang yang ganti golongan yang sebelumnya. Selepas kaum yang dahulu tiada, mereka pula yang mengganti. Selepas kaum-kaum yang zalim itu dimusnahkan, dibangkitkan kaum yang lain pula untuk menggantikan mereka. Macam kita umat Islam sekarang adalah ganti kepada umat Islam terdahulu yang telah meninggalkan agama mereka (Yahudi dan Nasara).

Ayat ini juga mengingatkan kita yang kita tidak akan kekal lama di dunia ini. Sebagaimana kita telah menggantikan umat sebelum kita, kita juga akan diganti akhirnya. Maka jangan kita termakan sangat dengan pujukan dunia ini kerana kita akan meninggalkannya juga nanti.

مِن بَعْدِهِمْ

sesudah mereka,

Kita ini menggantikan keturunan sebelum kita dan kita pula akan diganti dengan keturunan kita selepas ini. Agaknya bagaimanakah iman keturunan kita nanti? Bagaimanakah dengan anak-anak dan cucu-cucu kita nanti? Adakah mereka terus beriman ataupun sebaliknya?

Kalau kita dapat memastikan anak-anak dan cucu kita beriman, itu sudah cukup baik. Sebab kita hanya dapat bertemu dengan mereka sahaja. Kemudian anak-anak kita pula hendaklah memastikan anak-anak cucu mereka pula beriman. Itulah harapan kita.

Oleh itu kenalah sampaikan ajaran agama kepada mereka. Kita kena ajar mereka. Jangan harap sangat kepada orang lain, kepada ustaz di sekolah, kepada guru sekolah dan sebagainya. Mengajar agama ini adalah tanggungjawab bapa sebenarnya. Oleh itu, kenalah dia juga belajar agama supaya dia sendiri faham agama dan boleh mengajar anak dan isterinya. Kalau tidak dijalankan, entah apalah akidah umat kita selepas kita.

لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.

Bukanlah perkara main-main kita mengganti orang yang sebelum kita tetapi ia adalah sebagai ujian. Jangan sangka pangkat khalifah itu adalah untuk anugerah kosong untuk bergembira pula. Apa sahaja yang kita lakukan, akan diperhatikan. Kemudian segala perbuatan kita akan dibalas, bukan diperhatikan sahaja. Allah ﷻ akan lihat apa yang kita lakukan dan di akhirat nanti, akan dibalas segala perbuatan kita itu.

Maka ingatlah yang Allah ﷻ akan melihat apakah amalan yang kita lakukan. Seperti firman Allah ﷻ dalam Mulk: 2

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Daripada ayat Mulk: 2 ini kita dapat tahu yang amal yang dikehendaki adalah amal yang baik, yang mengikut sunnah dan bertepatan dengan syariat. Bukannya amal yang buruk termasuk amal-amal bid’ah.

Oleh itu yang penting, kita beramal dengan kebaikan. Maknanya, ada tugas kita dijadikan di dunia ini. Kita hidup di dunia ini bukan untuk main-main sahaja, bukan untuk makan, untuk bergembira sahaja, bukan untuk berlagak dengan kedudukan sebagai khalifah di bumi tetapi untuk melakukan amalan kebaikan.

Malah, bukan sahaja Allah ﷻ  melihat amal-amal kita, tetapi Rasul dan juga golongan mukmin pun melihat dan menilai seperti Allah ﷻ sebut dalam Tawbah: 105

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat amalanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Maka bukan Allah ﷻ sahaja memerhatikan, tetapi jiran tetangga dan orang di sekeliling juga memerhatikan juga dan mereka menjadi saksi ke atas kita. Dalam hal ini memang ada dalil dan salah satunya adalah hadith yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Hurairah رضي الله عنه:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَشْهَدُ لَهُ ثَلَاثَةُ أَهْلِ أَبْيَاتٍ مِنْ جِيرَانِهِ الْأَدْنَيْنَ بِخَيْرٍ إِلَّا قَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ قَبِلْتُ شَهَادَةَ عِبَادِي عَلَى مَا عَلِمُوا وَغَفَرْتُ لَهُ مَا أَعْلَمُ

“Tidak ada orang muslim yang meninggal lalu tiga orang tetangga terdekatnya menyaksikan kebaikan padanya kecuali Allah berfirman “Sungguh Aku telah menerima persaksian hamba-hambaku atas apa yang mereka tahu dan Aku telah ampuni pada mayit apa yang Aku ketahui”

(Riwayat Imam Ahmad, no 13,541 status: Hasan Gharib).

Maka amalkanlah ilmu yang baik yang kita telah pelajari. Jangan setakat belajar sahaja, tetapi tidak diamalkan. Pepatah Arab ada mengatakan,

عِلْمٌ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ

“Ilmu tanpa amal bagaikan pohon yang tidak berbuah.”

103103433_591372604717881_6449259255778674432_n

Maka daripada ayat ini kita tahu yang Allah ﷻ sedang memerhatikan amal kita. Ini dikuatkan lagi dengan hadith terkenal tentang ihsan yang telah dijelaskan oleh Nabi sendiri dalam hadith Arbain no. 2,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau”

Kalaulah kita dapat merasa yang Allah ﷻ melihat apa yang kita sedang lakukan, tentulah ibadah kita mencapai tahap yang tinggi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s