Tafsir Surah Yunus Ayat 10 – 11 (Ucapan di syurga)

Yunus Ayat 10: Apakah percakapan mereka di syurga nanti?

دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ ۚ وَءآخِرُ دَعوىٰهُم أَنِ الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Their call therein will be, “Exalted are You, O Allah ,” and their greeting therein will be, “Peace.” And the last of their call will be, “Praise to Allah , Lord of the worlds!”

Malay

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’ Dan akhir doa mereka ialah ‘segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’

دَعْوىٰهُمْ فِيهَا سُبْحٰنَكَ اللَّهُمَّ

Ucapan mereka di dalamnya ialah: “Maha Suci Engkau ya Allah,

Inilah kata-kata mereka di syurga nanti. Kebanyakan kata mereka adalah puji pujian kepada Allah ﷻ kerana mereka berasa amat-amat bersyukur dengan segala nikmat yang tela mereka peroleh. Juga kerana mereka kagum dengan segala nikmat di dalam syurga itu.

Ini kerana kalimah دَعْوىٰهُمْ berasal daripada katadasar د ع و yang juga digunakan untuk doa. Akan tetapi penghuni syurga tidaklah perlu berdoa untuk mendapat apa-apa lagi kerana semuanya telah diberikan kepada mereka. Teringat sahaja apa-apa nikmat, akan diberikan kepada mereka. Maknanya tidak perlu diminta.

Ada tafsir yang menyebutkan ini seperti disebut dalam sebuah hadith

يقول الله عز وجل: من شغله ذكري عن مسألتي، أعطيته أفضل ما أعطي السائلين.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Barang siapa yang sibuk mengingatiku (berzikir) sehingga menyebabkan dia lupa utk meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberikannya sesuatu yang lebih baik daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta kepada-Ku.

Makna hadith ini adalah, dengan berzikir kepada Allah ﷻ sahaja, Allah ﷻ akan ganti dengan memberikan apa sahaja keperluannya tanpa perlu seseorang itu menyebut secara spesifik apa yang diminta. Akan tetapi hadith ini dinilai lemah oleh Syeikh Albani رحمه الله maka tidak boleh dijadikan hujah.

Oleh itu, kalimah tasbih yang mereka sebut itu adalah kalimah puji pujian dan tidaklah dikira sebagai ibadah kerana di syurga tidak ada ibadah lagi. Akan tetapi disebut kerana rasa bersyukurnya mereka. Mereka diilhamkan oleh Allah ﷻ untuk bertasbih seperti disebut di dalam hadith yang telah diriwayatkan daripada Jabir رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِنَّ أَهْلَ الْجَنَّةِ يَأْكُلُونَ فِيهَا وَيَشْرَبُونَ، وَلَا يَتْفُلُونَ، وَلَا يَبُولُونَ، وَلَا يَتَغَوَّطُونَ، وَلَا يَتَمَخَّطُونَ قَالُوا: فَمَا بَالُ الطَّعَامِ؟ قَالَ: جُشَاءٌ وَرَشْحٌ كَرَشْحِ الْمِسْكِ، يُلْهَمُونَ التَّسْبِيحَ وَالتَّحْمِيدَ كَمَا تُلْهَمُونَ النَّفَسَ

“Sesungguhnya ahli syurga makan minum mereka itu dan mereka tidak berludah dan tidak kencing dan tidak berak dan tidak berhingus. Kemudian para sahabat bertanya: Maka macam mana pula dengan makanan? Jawab Rasulullah ﷺ: Ada sendawa dan keluar peluh seperti wangian kasturi mereka diilhamkan bertasbih dan bertahmid seperti kamu diilhamkan dengan bernafas.”

(Hadis riwayat Muslim No. 2835)

Kata-kata sebegini dikeluarkan oleh mulut mereka kerana mereka takjub. Takjub dengan apa yang mereka akan terima dalam syurga nanti. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, kita sentiasa dapat melihat nikmat yang tidak putus-putus yang Allah ﷻ berikan kepada kita, namun kita anggap biasa sahaja. Maka, bagaimana kalau kita di syurga nanti, adakah begitu? Kalau hari-hari kita dapat nikmat, agaknya setelah beribu-ribu tahun mendapat nikmat itu, adakah kita akan rasa biasa sahaja dengan nikmat itu nanti?

Tidak sama sekali kerana di syurga nanti, nikmat yang diberikan kepada kita tidak ada tandingan. Mulut mereka automatik akan sentiasa bertasbih memuji Allah ﷻ. Tidak dapat disebutkan dengan lidah dan tidak dapat dibayangkan dengan akal kita sekarang nikmat itu semua. Mereka akan tetap terpesona dengan segala nikmat itu sampaikan ahli syurga itu akan sentiasa berkata سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ setiap kali mendapat nikmat itu. Walaupun beribu atau berjuta tahun menginap di syurga nanti. Semoga kita termasuk golongan mereka, aameen.

Hebat sekali nikmat-nikmat itu yang akan semakin hebat dan semakin hebat. Sampaikan ahli syurga akan ternanti-nanti apakah nikmat baru yang Allah ﷻ akan berikan kepada kita. Seperti yang disebut dalam Kahfi: 3

مَّاكِثِينَ فِيهِ أَبَدًا

mereka menunggu-nunggu di dalamnya untuk selama-lamanya.

Mereka menunggu-nunggu nikmat apakah lagi yang akan diberikan oleh Allah ﷻ kerana mereka sudah mendapat banyak nikmat sebelum itu malah nikmat mereka itu akan bertambah-tambah kualitinya. Sebab itu mereka tertunggu-tunggu untuk melihat apa pula yang Allah ﷻ akan beri lagi. Belum sempat mereka berasa bosan dengan nikmat yang mereka sedang dapat, Allah ﷻ akan beri nikmat yang lebih lagi. Yang berlainan dengan nikmat yang mereka sudah dapat. Ini disebut dalam Baqarah: 25

كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِن ثَمَرَةٍ رِّزْقًا قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِن قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

Ahli syurga akan diberi dengan buah yang ‘serupa’ tetapi ‘tidak sama’ iaitu buah itu akan lebih sedap lagi daripada yang sebelumnya. Ma sha Allah!

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan apabila ahli syurga memerlukan apa-apa sahaja, mereka hanya perlu sebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ dan mereka akan terus dapat apa yang mereka kehendaki. Oleh kalau ikut pendapat ini, maka kalimah tasbih yang diucapkan adalah sejenis doa juga.

وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلٰمٌ

dan kata-kata aluan mereka ialah: “Salam” (Sejahtera).

Kalimah التحيات adalah jamak kepada تَحِيَّة. ‘Tahiyat’ bermaksud kata-kata aluan yang baik. Ia adalah kata-kata aluan apabila berjumpa seseorang. Telah lama digunakan dalam bangsa Arab sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi. Ia daripada kalimah ح ي ي yang bermaksud ‘hayat’, ‘hidup’. Kita pun sepatutnya faham kerana kita pun menggunakan kalimah yang sama juga: “sehingga hayat dikandung badan.” Mereka menggunakan kalimah حَيَّكَ الله (hayyakallah) yang bermaksud: semoga Allah ﷻ memanjangkan hayatmu. Ucapan ini dipanggil تَحِيَّة. (Macam lafaz Allahu Akbar dipanggil Takbir, lafaz Alhamdulillah dipanggil Tahmid).

Apabila Islam bangkit, maka kalimah حَيَّكَ الله tidak lagi digunakan tetapi diganti dengan ‘assalamualaikum’. Namun terma tahiyyah masih lagi digunakan untuk ucapan yang diberikan kepada orang lain apabila bertemu. Ia juga digunakan di dalam tahiyyat kita di dalam salat. Dalam Al-Qur’an pun menggunakan perkataan itu. Kita boleh lihat dalam Nisa’: 86

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Ahli-ahli syurga akan mengucapkan kata-kata yang sejahtera sahaja sesama mereka. Maknanya ahli syurga akan bertemu sesama sendiri nanti di syurga. Tidak terkata perkataan-perkataan yang lain. Mereka berasa terlalu bersyukur kerana mereka telah selamat daripada api neraka. Mereka akan bercerita tentang berbagai nikmat yang mereka sedang dapati itu. Ini juga ada disebut dalam Waqiah: 25-26

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا

Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (daripada satu kepada yang lain).

Maka, perkataan تَحِيَّة ada kena mengena dengan ‘kehidupan’. Ayat ini memberi isyarat bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang penuh salam, penuh selamat dan sejahtera. Itulah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Di dunia, belum tentu lagi.

Bukan sahaja ucapan ini digunakan sesama mereka, tetapi daripada Allah ﷻ juga seperti disebut dalam Yaasin:58

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ

sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم

(sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima shabartum”.

Sekali lagi, kalimah salam ini bukanlah seperti doa yang kita sebut di dunia ini apabila kita memberi ucapan salam Assalamualaikum itu. Di dalam ucapan salam ini ada mengandungi kalimah doa permohonan kesejahteraan. Akan tetapi di syurga nanti memang sudah sejahtera maka ia adalah sebagai penyataan kegembiraan mereka.

وَءآخِرُ دَعْوىٰهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

Dan penutup kata mereka ialah: “Alhamdulilaahi Rabbil ‘aalamin” (segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam).

Selepas mereka mendapat menikmati setiap nikmat yang mereka dapat di syurga itu, mereka akan mengucapkan perkataan ini – Alhamdulillah. Atau, selepas ahli syurga bertemu sesama sendiri mereka akan ucap tahmid.

Sepertimana kita di dunia, kita berdoa kepada Allah ﷻ dan berkomunikasi dengan manusia lain, begitu juga di syurga nanti. Di syurga, kita berkomunikasi dengan Allah ﷻ dengan menyebut سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ; dan kita berkomunikasi dengan manusia lain dengan menyebut سَلَامٌ. Dengan malaikat pun nanti, kita akan menyebut سَلَامٌ kepada mereka di syurga nanti. Kemudian apabila mendapat nikmat, mereka akan memuji-muji Allah ﷻ. Di akhirat nanti memang banyak disebut tentang tahmid yang diucapkan oleh ahli syurga dan juga para malaikat, seperti disebut di dalam Zumar: 74-75

وَقالُوا الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ ۖ فَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Serta mereka berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

Oleh itu, untuk mendapat kelebihan ini, maka kita hendaklah membiasakan dengan perkataan-perkataan ini semasa di dunia lagi. Hendaklah kita selalu memuji-muji Allah ﷻ. Kalau kita bercakap dengan manusia, mulakan dengan memberi salam kepada mereka. Semoga nanti kerana kebiasaan kita menyebarkan salam di dunia ini, kita akan mendapat ucapan salam daripada Allah ﷻ di syurga nanti.

Apabila diberikan ucapan salam itu, bermakna kita sudah masuk ke dalam syurga. Ini kerana Allah ﷻ hanya berjumpa dengan hamba-Nya yang masuk syurga sahaja. Rasulullah ﷺ telah memberitahu kelebihan menyebarkan salam di dalam hadith riwayat Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنه berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : ( تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ )

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: Islam manakah yang paling baik? Nabi ﷺ bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.

(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56)

Perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dalam ucapan mereka itu juga mengingatkan mereka kepada surah Fatihah yang mereka baca setiap hari yang mereka jadikan sebagai panduan hidup. Kita memang ‘umat Alhamdulillah’ iaitu selalu membiasakan kalimah tahmid ini. Semoga di akhirat nanti kita terus banyak menyebut kalimah tahmid ini seperti golongan yang disebut dalam Fatir: 34

وَقالُوا الحَمدُ ِللهِ الَّذي أَذهَبَ عَنَّا الحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنا لَغَفورٌ شَكورٌ

Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Kalimah akhir ahli syurga adalah tahmid. Oleh kerana itulah ada ulama’ yang mengatakan mustahab untuk mengucapkan Alhamdulillah di hujung doa kita. Malah Imam Qurtubi رحمه الله menganjurkan untuk membaca ayat daripada Saffat: 180-182

سُبحٰنَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمّا يَصِفونَ

Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka katakan.

وَسَلٰمٌ عَلَى المُرسَلينَ

Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.

وَالحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

Ini adalah kerana ayat-ayat daripada Surah Saffat ini mengandungi ketiga-tiga elemen daripada ayat 10 Surah Yunus ini iaitu Tasbih – Salam – Tahmid.

Habis Ruku’ 1 daripada 11 surah ini.


Yunus Ayat 11: Ayat Zajrun (teguran) daripada Allah ﷻ. Ayat ini adalah sambungan tentang golongan malang yang telah disebut dalam ayat 7 dan 8 sebelum ini. Lihatlah ada persamaan kalimat الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا.

وَلَو يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنّاسِ الشَّرَّ استِعجالَهُم بِالخَيرِ لَقُضِيَ إِلَيهِم أَجَلُهُم ۖ فَنَذَرُ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنا في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ

Sahih International

And if Allah was to hasten for the people the evil [they invoke] as He hastens for them the good, their term would have been ended for them. But We leave the ones who do not expect the meeting with Us, in their transgression, wandering blindly

Malay

Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.

وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ

Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan (yang mereka minta) bagi manusia

‘Kalaulah Allah menyegerakan’ – ini bermaksud, Allah ﷻ tidak segerakan, Allah ﷻ cuma cakap *kalau* Dia segerakan. Allah ﷻ hendak beritahu kepada kita apakah kesannya kalau Allah ﷻ buat begitu. Namun menyegerakan apa?

Kalimah يُعَجِّلُ berasa daripada katadasar ع ج ل yang bermaksud cuba untuk ‘mendapatkan sesuatu sebelum masanya’. Sebagai contoh, untuk mendapatkan sesuatu barang yang kita tempah biasanya 2 hari baru dapat, jika mengikut proses normal. Namun disebabkan oleh sifat gopoh, kita cuba untuk mendapatkan barang itu dalam masa sehari sahaja. Itulah dinamakan عجل. Boleh juga diterjemahkan sebagai ‘tergesa-gesa’ atau ‘gopoh’. Ini berlainan dengan kalimah سرع yang bermaksud bersegera. Ini pula boleh menjadi sesuatu baik sebagai contoh bersegera ke masjid, bersegera buat kebaikan dan sebagainya. Seperti disebut dalam Ali Imran: 133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Kalimah الشَّرَّ pula bermaksud ‘keburukan’. Boleh bermaksud keburukan untuk dirinya. Kadang-kadang manusia mendoakan keburukan untuk diri mereka sendiri. Bagaimana pula begini terjadi?! Lihatlah kadang-kadang, ada manusia yang semasa menghadapi masalah yang mereka sudah tidak sanggup hadapi, mereka ada yang berdoa begini: “Alangkah elok kalau aku mati sahaja….” Ini amat tidak elok sama sekali.

Sekarang Allah ﷻ mengulang kata-kata Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak ada hujah maka akhir sekali mereka cabar Nabi ﷺ mengenakan azab kepada mereka. Ini seperti yang disebut oleh An-Nadhr Ibn Harits seperti yang Allah ﷻ nukilkan di dalam Anfal: 32,

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ

Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.

Itulah doa meminta keburukan untuk diri sendiri. Sepatutnya yang diminta adalah petunjuk hidayah. Maka Allah ﷻ tegur kesalahan mereka di sini.

Kita pun ada melakukan kesalahan ini juga kerana kadang-kadang apabila kita marah sangat kepada seseorang sampaikan kita mendoakan keburukan untuk orang itu. Sudahlah doa keburukan untuk diri sendiri, malah untuk orang lain juga. Ini adalah dua contoh bagaimana manusia meminta disegerakan keburukan kepada diri sendiri dan ini tidak baik. Nabi ﷺ telah melarang kita daripada berbuat begini. Nabi ﷺ bersabda:

لا تَدْعُوا عَلَى أنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوْا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أمْوَالِكُمْ، لَا تُوافِقُوا مِنَ اللَّهِ تَعالى ساعَةً يُسأَلُ فِيْهَا عطاءٌ فَيَسْتَجِيبَ لكم

“jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri sendiri, anak-anak dan harta kamu, tidak bertepatan satu masa yang dimustajabkan oleh Allah, melainkan akan diperkenankan untuk kamu (apa yang kamu minta tersebut).” (Sahih Muslim, Kitab az-Zuhd No. 3006)

Di sini juga Allah ﷻ mengajar kita supaya jangan tergesa-gesa dalam berdoa kerana ia boleh memburukkan diri kita sendiri. Sebagai contoh ibubapa janganlah mendoakan keburukan kepada anak kalau anak kita buat perangai. Jangan cepat hendak kata: “Celaka budak ni!” Sebaliknya kenalah kita mendoakan kebaikan kepada mereka. Kerana kita tidak tahu bilakah doa kita akan dimakbulkan.

Alangkah ruginya kalau waktu kita katakan yang buruk kepada anak kita, Allah ﷻ makbulkan doa itu? Atau kepada diri kita sendiri jangan kita laju sahaja mulut memburukkan diri seperti kita kata, “Matilah aku…..!”. Sebaliknya bercakaplah doa yang baik-baik sahaja. Manusia ini bersifat tergesa-gesa kerana tidak tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Ini Allah ﷻ sebut di dalam Baqarah: 216

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Keranalah itu kebanyakan kita laju sahaja meminta itu dan ini tanpa memikirkan kesannya. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Isra’: 11

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Manakala Allah ﷻ sebut juga di dalam Anbiya’: 37 sifat manusia yang buruk ini:

خُلِقَ الإِنسٰنُ مِن عَجَلٍ ۚ سَأُوريكُم آيٰتي فَلا تَستَعجِلونِ

Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.

Kenapa pula kita hendak kelam kabut mendoakan yang buruk-buruk? Sedangkan apa yang terjadi kepada kita adalah baik-baik belaka. Asalkan kita faham maksud syukur dan sabar dan menggunakannya di waktu yang perlu, seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) dia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) dia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.”

(Sahih Muslim No. 5318)

IMG_20230605_195408_473

Sekiranya kita bersyukur apabila mendapat nikmat, maka kita akan beroleh pahala, malah pahala itu lebih hebat daripada nikmat itu. Manakala jika kita mendapat musibah, bersabarlah. Dengan sabar itu kita beroleh pahala pula. Dapat senang boleh jadi pahala, dapat masalah pun boleh jadi pahala juga! Maka bersabarlah walaupun orang yang kita sayang diambil oleh Allah ﷻ seperti disebut di dalam satu hadith yang telah diriwayatkan daripada daripada Usamah bin Zaid رضی اللہ عنھما, katanya:

Ketika kami sedang bersama Nabi ﷺ, datang seorang utusan daripada salah seorang anak perempuan Baginda yang memanggilnya untuk datang kepada anaknya (cucu Baginda) yang hampir meninggal. Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya:

ارْجِعْ إِلَيْهَا فَأَخْبِرْهَا أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Kembalilah kepada dia dan beritahulah dia bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisi-Nya telah ditentukan tempoh waktunya. Maka perintahkanlah agar hendaklah dia bersabar dan mengharapkan pahala.”

(Muttafaqun alaih)

Maka sifat tidak terburu-buru (dipanggil sifat الأَنَاةُ) perlu dibentuk dalam diri kita. Rasulullah ﷺ pernah memuji seorang sahabat yang datang dari Oman untuk bertemu baginda di Madinah. Apabila sampai, beliau tidak terus berjumpa baginda tetapi mengambil masa untuk membersihkan dirinya terlebih dahulu. Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya,

إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الحِلْمُ، وَالأَنَاةُ

“Sesungguhnya pada dirimu ada dua perangai yang Allah cintai iaitu mudah memaafkan dan tidak terburu-buru.”

(At-Tirmidzi No. 2011)

Disahihkan oleh Al-Albani رحمه الله

Apakah yang akan terjadi sekiranya Allah ﷻ memakbulkan doa-doa mereka ini yang meminta keburukan disegerakan itu? Sebagai contoh, kalau Allah ﷻ makbulkan doa mereka yang mahu dimatikan sahaja, entah berapa ramai manusia akan mati begitu sahaja, bukan? Akan tetapi disebabkan oleh rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak makbulkan. Ini kerana apa yang mereka minta itu bukanlah mereka benar-benar hendakkan keburukan itu. Mereka minta dalam keadaan tidak sedar. Mulut sahaja cakap begitu.

Selain daripada itu, perkataan الشَّرَّ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘kesan buruk’ daripada dosa yang dilakukan oleh manusia. Kalaulah Allah ﷻ terus beri azab kepada manusia di atas dosa mereka, tentulah tidak ada lagi tinggal manusia di dunia ini.

Sebagai contoh, kalau ada yang membuat dosa besar dan dia dihukum dengan dimatikan terus, entah berapa ramai orang yang akan mati. Siapa pula yang akan tinggal di dunia ini? Ataupun, kalau ada yang berkata tidak benar dan Allah ﷻ kelukan lidahnya, entah berapa orang yang tidak dapat bercakap-cakap atau menjadi bisu terus. Maka sebab itulah Allah ﷻ tidak mempercepatkan balasan azab kepada dosa yang manusia lakukan.

اسْتِعْجَالَهُم بِالْخَيْرِ

seperti permintaan mereka untuk menyegerakan kebaikan,

Dalam kita meminta doa kepada Allah ﷻ untuk kebaikan, kita sentiasa mahu Allah ﷻ segera berikan kebaikan itu kepada kita. Bagaikan tidak sabar-sabar hendak dapat. Kalau boleh, hendak waktu itu juga.

Bagaimanakah kalau Allah ﷻ mempercepatkan balasan azab atau Allah ﷻ memperkenankan doa manusia untuk keburukan orang lain sebagaimana mereka mahukan kebaikan diberikan segera kepada mereka? Tentulah habis manusia di alam ini.

Alam ini tidak memerlukan manusia. Maknanya, kalaulah manusia pupus, tidak ada seorang pun, alam ini masih masih boleh berfungsi. Manusia adalah satu-satunya makhluk yang tidak diperlukan di alam ini. Daripada kajian saintis, kalau ada binatang-binatang atau serangga yang pupus, tentu ada kesan kepada flora dan fauna dalam alam ini. Namun, sekiranya manusia tidak ada, tidak ada apa-apa kesan pun.

Daripada ayat ini juga mengajar kita yang Allah ﷻ selalunya memberi balasan baik kepada manusia dengan cepat. Namun untuk balasan yang buruk, selalunya Allah ﷻ tangguh. Salah satu Al-Asmā’ al-Ḥusnā (nama-nama Allah Yang Maha Terbaik) adalah Al-Ḥalīm. Secara bahasa, Al-Ḥalīm memiliki makna, antara lain, “tidak buru-buru.” Menurut penuturan Syaikh As-Sa’di رحمه الله, Al-Ḥalīm adalah yang memiliki sifat penyantun yang sempurna, yang sifat santun-Nya juga meliputi orang-orang kafir dan ahli maksiat. Dia menahan hukuman-Nya untuk segera ditimpakan kepada orang-orang yang berbuat zalim dengan memberi mereka waktu untuk bertaubat.

لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ

pastilah diakhiri umur mereka.

Sekiranya disegerakan keburukan kepada manusia, tentulah tidak ada manusia yang hidup di dunia ini, kerana ajal mereka akan disampaikan. Tentu manusia akan rosak binasa kerana dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan kerana doa-doa mereka untuk keburukan diri sendiri dan keburukan orang lain tu dimakbulkan Allah ﷻ. Tentulah semua manusia akan mati.

Namun, seperti yang telah disebut, Allah ﷻ tidak buat begitu. Allah ﷻ sanggup beri tangguh kepada kita, beri peluang untuk kita bertaubat. Allah ﷻ sebut di dalam Fatir: 45

وَلَو يُؤاخِذُ اللهُ النّاسَ بِما كَسَبوا ما تَرَكَ عَلىٰ ظَهرِها مِن دابَّةٍ وَلٰكِن يُؤَخِّرُهُم إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Dan kalau sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun akan tetapi Allah menangguhkan (penyeksaan) mereka, sampai waktu yang tertentu;

فَنَذَرُ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا

Maka Kami biarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami,

Sekali lagi Allah ﷻ menyebut tentang mereka yang tidak mengharap untuk bertemu dengan-Nya. Allah ﷻ tidak terus beri balasan kepada mereka. Allah ﷻ boleh beri tangguh kerana Allah ﷻ amat sabar. Mereka itu melakukan kesalahan yang besar maka Allah ﷻ suruh kita tinggalkan mereka, jangan hiraukan mereka, jangan sesekali ikut mereka kerana mereka akan menerima nasib yang buruk.

فِي طُغْيٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ

bergelimangan di dalam kesesatan mereka.

Allah ﷻ membiarkan mereka terus melakukan kesalahan dan dosa. Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada mereka. Allah ﷻ tidak terus balas semasa mereka di dunia. Sebagai contoh, tidaklah orang-orang Hindu yang menyembah berhala mereka itu mati kesakitan selepas mereka memuja berhala mereka.

Orang-orang kita yang jumpa bomoh, selepas itu tidaklah mereka jatuh sakit pula. Mereka rasa macam biasa sahaja. Malah ada yang sembuh sakit mereka konon serasi dengan bomoh itu pula. Bila manusia melakukan dosa dan tidak ada apa-apa yang terjadi kepada mereka, maka mereka merasakan bahawa tidak salah apa yang mereka buat itu. Akibatny mereka akan terus melakukan dosa tanpa rasa takut.

Musyrikin Mekah berkata kepada Nabi ﷺ, kalau betul mereka salah, maka turunkan azab kepada mereka. Seperti yang disebut dalam Maarij: 1

سَأَلَ سَائِلٌ بِعَذَابٍ وَاقِعٍ

Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa,

Itu bermakna, mereka sudah meminta keburukan untuk diri mereka. Namun Allah  ﷻ tidak beri. Itu adalah satu rahmat sebenarnya.

Begitu juga dalam surah Ra’d:6 telah disebut bagaimana mereka meminta dipercepatkan azab kepada mereka:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ الْمَثُلَاتُ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ الْعِقَابِ

Mereka meminta kepadamu supaya disegerakan (datangnya) seksa, sebelum (mereka meminta) kebaikan, padahal telah terjadi bermacam-macam contoh seksa sebelum mereka. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekali pun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksa-Nya.

Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka. Sepatutnya mereka meminta kebaikan dan hidayah, sebaliknya mereka meminta agar dipercepatkan azab ke atas mereka pula. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan doa kita – jangan kita minta benda yang buruk, sebaliknya mintalah kebaikan daripada Allah ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mei 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s