Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 19 – 23 (Naik tingkatan syurga)

Ayat 19: Dari ayat ini sehingga ke ayat 29 adalah Perenggan Makro ke 2. Ia memberitahu kita bahawa mereka yang beriman kepada Tauhid adalah Golongan Ulul Albab dan mereka yang menolak akidah yang benar adalah golongan yang bodoh.

Allah adakan bandingan dalam ayat ini. Sebenarnya, ada dua jenis manusia sahaja: yang beriman dan yang tidak beriman. Maka kenalah perhatikan apakah beza antara keduanya supaya kita termasuk golongan beriman kerana tidak ada golongan pertengahan.

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is he who knows that what has been revealed to you from your Lord is the truth like one who is blind? They will only be reminded who are people of understanding –

(MALAY)

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

 

أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَبِّكَ الحَقُّ

Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar

Ini adalah tentang orang yang beriman. Mereka orang yang tahu bahawa Allah telah berikan wahyu yang benar kepada Nabi Muhammad. Maka mereka beriman dan belajar apakah ajaran wahyu itu dan kemudian mereka beramal dengannya. Kerana kalau yakin, kenalah beramal, jangan buat tak tahu sahaja. Maka ini adalah satu pihak.

Apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad itu adalah perkara yang haq yang tiada keraguan di dalamnya, tiada kebimbangan, tiada kebingungan, dan tiada pertentangan di dalamnya. Bahkan semuanya adalah benar, sebahagian darinya membenarkan sebahagian yang lain, tiada sesuatu pun darinya yang bertentangan dengan lainnya.

Semua berita yang disebutkan di dalam Al-Qur’an adalah benar, dan semua perintah serta larangannya adalah adil. Maka kenalah kita semua belajar dan amalkan. Jangan sombong dan malas untuk belajar tafsir Qur’an ini. Kena luangkan masa dan ajak orang lain belajar.

 

كَمَن هُوَ أَعمىٰ

sama dengan orang yang buta?

Pihak yang kedua adalah pihak yang tidak yakin dan tidak terima sepenuhnya wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Allah tanya: adakah orang yang yakin itu sama dengan orang yang buta? Allah ibaratkan mereka yang tidak yakin itu seperti buta. Ini adalah kerana mereka buta untuk melihat keindahan alam ini dan menisbahkannya kepada Allah. Mereka buta hati dari melihat kebenaran wahyu yang Allah sampaikan kepada kita ini.

 

إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبابِ

Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

Allah kata bahawa orang yang boleh terima kebenaran hanyalah mereka yang ada akal yang cerdik sahaja. Oleh itu, sebenarnya Allah hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali.

Maka dalam Islam yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Tapi malangnya, ramai dari kalangan masyarakat kita rasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama.

Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, tapi mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.


 

Ayat 20: Siapakah orang yang beriman itu? Allah jelaskan dalam ayat ini tentang sifat-sifat mereka. Ini adalah ayat tentang Akidah.

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ وَلا يَنقُضونَ الميثاقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who fulfill the covenant of Allāh and do not break the contract,

(MALAY)

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

 

الَّذينَ يوفونَ بِعَهدِ اللهِ

(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah

Mereka itu adalah orang yang memenuhkan perjanjian mereka dengan Allah. Iaitu janji untuk menyempurnakan tauhid kepada Allah. Ada banyak janji kita dengan Allah dan yang penting sekali adalah untuk taat kepada suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Perkara ini banyak disebut dalam Qur’an. Sebab itu kena belajar semua ayat Qur’an supaya tahu apakah perjanjian kita dengan Allah. Dan yang paling-paling penting sekali adalah: Mentauhidkan Allah. Kita semua sudah mengucap dua kalimah syahadah, bukan? Maka itu pun adalah salah satu perjanjian dengan Allah juga.

 

وَلا يَنقُضونَ الميثاقَ

dan tidak merosak perjanjian,

Kalimah الميثاقَ digunakan apabila dua-dua pihak sedar tentang kepentingan perjanjian itu. Oleh itu, ia adalah perjanjian yang kuat dan besar dan perlu dipenuhi. Dan kalau tidak dipenuhi, akan menyebabkan masalah besar. Maka ketahuilah yang ini bukan perjanjian yang biasa.

Bukan sahaja perjanjian dengan Allah yang perlu dijaga, tapi segala perjanjian kita dengan makhluk lain. Orang yang beriman sebenar tidak sama dengan orang-orang munafik yang apabila seseorang dari mereka mengadakan perjanjian, maka dilanggarnya; apabila bersengketa, mereka curang; apabila berbicara, dusta; dan apabila dipercaya, khianat.


 

Ayat 21: Kalau ayat 20 tadi tentang Akidah, ayat 21 ini pula tentang amalan. Maka selepas akidah benar, maka amalan pun kenalah benar juga.

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيَخشَونَ رَبَّهُم وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who join that which Allāh has ordered to be joined¹ and fear their Lord and are afraid of the evil of [their] account,

  • i.e., they uphold the ties of relationship.

(MALAY)

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

 

وَالَّذينَ يَصِلونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ

dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, 

Mereka juga menghubungkan apa yang Allah suruh hubungkan. Ini adalah ayat yang penting dan ia disebut secara umum sahaja di sini. Ini adalah amat kerana banyak yang Allah suruh kita hubungkan dan jangan pisahkan dan tidak dapat disenaraikan di dalam satu ayat.

Antaranya hubungan yang kita hubungkan adalah hubungan dengan Allah, dengan keluarga, dengan Nabi dan sebagainya. Ini memang kena rujuk ayat-ayat yang lain kerana disebut secara ringkas sahaja di sini. Oleh itu kenalah belajar tafsir Qur’an dan syarah Hadis supaya kita tahu apakah semua perkara itu.

Tapi kalau kita hendak ringkaskan, ada dua jenis hubungan yang penting secara umumnya: Hubungan dengan Allah dan Hubungan dengan makhluk. Habluminallah dan habluminnnas. Hubluminallah adalah ‘ibadat’ dan habluminnas adalah ‘adat’ (amalan).

Antara lain perkara yang perlu dihubungkan adalah: seperti silaturahim, berbuat baik kepada kaum kerabat dan sanak famili, juga kepada kaum fakir miskin, orang-orang yang memerlukan bantuan, dan mendermakan kebajikan. Ini semua disebut di ayat-ayat yang lain dan juga di dalam syarahan hadis-hadis.

 

وَيَخشَونَ رَبَّهُم

dan mereka takut kepada Tuhan mereka

Mereka sentiasa takut kepada Allah. Mereka rasa Allah sentiasa sahaja memerhatikan mereka. Mereka takut serta gerun kerana mereka kenal Allah. Mereka tahu yang Allah ada sifat baik dan ada sifat kuasa. Mereka tahu yang kalau mereka tidak taat kepada Allah, Allah akan menggunakan kuasaNya untuk beri azab kepada kita dan kalau berbuat baik, Allah akan menggunakan Sifat RahmahNya untuk beri segala macam nikmat kepada kita.

Tapi mereka tetap takut kerana mereka takut sangat kalau tersilap langkah. Kerana sentiasa takut itulah yang menyebabkan mereka akan jaga segala tingkah laku mereka.

 

وَيَخافونَ سوءَ الحِسابِ

dan mereka takut kepada hisab yang buruk.

Mereka bukan sahaja takut kepada Allah, tapi mereka juga takut ‘audit’. Iaitu takut hisab yang buruk. Kerana mereka takut segala amalan mereka akan dikira satu persatu. Kerana kalau dikira satu persatu, tentu akan ada masalah nanti.

Yang kita semua harapkan adalah kalau pengiraan hisab itu dibuat ringan sahaja, iaitu tengok sambil lalu sahaja. Itulah ‘hisab yang ringan’. Ini macam kalau kita di imigresen di lapangan kapal terbang, pegawai di situ tengok barang-barang kita lebih kurang sahaja. Kalau pegawai itu cakap sahaja: “encik sila ke tepi, cik?” pun kita sudah takut, bukan? Maka kalaulah di akhirat nanti segala perkara yang kita lakukan diperiksa dengan terperinci, tentu kita susah hati, bukan?


 

Ayat 22: Sambungan sifat-sifat mereka itu dan apa yang mereka lakukan.

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلاةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقناهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who are patient, seeking the countenance of their Lord, and establish prayer and spend from what We have provided for them secretly and publicly and prevent evil with good – those will have the good consequence of [this] home¹ –

  • i.e., the world and its trials, its good consequence being Paradise.

(MALAY)

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

 

وَالَّذينَ صَبَرُوا ابتِغاءَ وَجهِ رَبِّهِم

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhan mereka,

Mereka orang yang ‘sabar dalam taat’. Maksudnya mereka mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya dengan sabar. Mungkin ada yang mereka rasa susah untuk lakukan, tapi mereka tetap sabar melakukannya. Kerana mereka mahu tetap taat kepada Allah.

Ini memerlukan kesabaran kerana syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk meninggalkan taat. Antaranya syaitan akan beri kita rasa bosan untuk melakukan ibadat. Tapi orang yang beriman akan tetap sabar untuk melakukannya.

Mereka terus sabar kerana hendak mencari redha Allah. Mereka tahu yang Allah suka kalau hambaNya sabar dengan melakukan taat dan sabar dalam menghadapi ujian dariNya.

 

وَأَقامُوا الصَّلاةَ

dan mendirikan salat,

Mereka dapat mendirikan solat, walau dalam keadaan mana pun. Antaranya, mungkin mereka kena solat di tempat yang sejuk. Antaranya mereka kena solat di tempat yang susah untuk solat seperti di lautan, contohnya. Tapi walaupun susah, mereka tetap melakukannya.

Bukanlah mereka solat sahaja, tapi solat adalah wakil kepada amal-amal ibadat yang lain. Kerana ianya adalah amal ibadat yang terpenting, maka ia dijadikan sebagai wakil. Ini adalah wakil kepada ‘hubungan dengan Allah’ (habluminallah).

Selalu Allah menyebut tentang solat. Dan detail tentang solat ini ada dalam hadis dan sunnah Nabi Muhammad dan para sahabat. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

 

وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقناهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan

Dan mereka infak dari apa yang Allah berikan kepada mereka. Allah ingatkan yang rezeki yang kita dapat ini adalah dari Allah. Maka Allah suruh kita beri rezeki ‘yang Dia beri’, bukan hasil usaha kita pun sangat.

Infak adalah wakil kepada ‘hubungan antara makhluk’ (habluminannas). Kerana apabila kita infak kepada orang lain, bukan sahaja kita taat kepada Allah, tapi kita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain. Kerana apabila kita beri sedekah kepada mereka, tentunya mereka akan gembira dan baik dengan kita.

Infak itu boleh diberikan secara rahsia atau secara terang. Yang sebaiknya dilakukan secara rahsia supaya dapat mengelakkan dari riak. Tapi ada kalanya baik untuk dilakukan secara terang kerana orang lain akan nampak dan memberi semangat kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama.

 

وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ

serta menolak kejahatan dengan kebaikan;

Kalimah يَدرَءونَ bermaksud tolak dengan kuat untuk menyelamatkan seseorang. Bayangkan ada orang yang hampir hendak dilanggar kereta, maka kita yang nampak keadaan itu, tentu kita akan tolak dia dengan kuat kerana kita hendak menyelamatkannya.

Tapi dalam ayat ini, ia berkenaan menolak untuk menyelamatkan diri sendiri. Kalau setelah berbuat dosa, terus lakukan kebaikan. Maknanya, tolak keburukan dengan cara kebaikan.

Satu lagi maksud: mereka membalas perbuatan jahat orang lain dengan perbuatan yang baik. Untuk itu, apabila seseorang menyakiti mereka, maka mereka membalasnya dengan kebaikan dan ia datang dari sikap sabar mereka. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ}

Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah­-olah teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar. (Fussilat: 34-35)

 

أُولٰئِكَ لَهُم عُقبَى الدّارِ

orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),

Mereka yang ada tujuh sifat yang telah disebut di atas, akan mendapat kesudahan yang terbaik. Dan kesudahan yang baik itu tentunya di akhirat kelak di mana mereka akan diberikan dengan balasan tinggal di dalam syurga dan mereka akan mendapat segala nikmat yang mereka dambakan.


 

Ayat 23: Apakah kebaikan yang mereka akan dapat?

جَنّاتُ عَدنٍ يَدخُلونَها وَمَن صَلَحَ مِن آبائِهِم وَأَزواجِهِم وَذُرِّيّاتِهِم ۖ وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Gardens of perpetual residence; they will enter them with whoever were righteous among their fathers, their spouses and their descendants. And the angels will enter upon them from every gate,

(MALAY)

(iaitu) Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

 

جَنّاتُ عَدنٍ يَدخُلونَها

syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya

Kebaikan yang dimaksudkan dalam ayat sebelum ini adalah Syurga Adnin. Di dalam syurga itu ada banyak taman-taman (bukan satu sahaja). Ini sebagai isyarat kepada begitu hebatnya nikmat yang diberikan kepada mereka. Kerana manusia tentu suka kepada taman yang subur. Kalau satu sahaja sudah bagus, apatah lagi kalau banyak.

 

وَمَن صَلَحَ مِن آبائِهِم وَأَزواجِهِم وَذُرِّيّاتِهِم

dengan orang-orang yang saleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, 

Mereka bukan seorang sahaja tapi akan masuk dengan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana kita suka untuk berkongsi dan bermesra dengan ahli keluarga kita, bukan? Kerana merekalah yang rapat dengan kita dari kita lahir lagi. Jadi kalau dapat duduk dalam syurga dengan mereka, alangkah nikmatnya!

Apakah maksudnya dari kalangan keluarga mereka dimasukkan sekali? Maksudnya dimasukkan sekali duduk dalam syurga di tingkatan yang sama. Kita kena tahu yang syurga itu ada banyak tingkatan (satu pendapat mengatakan ada 100 tingkatan). Jadi ada yang amalan tidak sama, jadi ada yang dapat masuk syurga tingkatan rendah dan tinggi.

Tapi Allah beri peluang mereka dikumpulkan sekali dalam satu tingkatan. Kalau yang duduk di tingkatan bawah, mereka boleh dinaikkan ke tingkatan yang atas supaya dapat duduk dengan ahli keluarga. Katakanlah ada anak yang duduk di tingkatan ke 50, maka kalau emak dia duduk di tingkatan 25, maka emak dia akan dinaikkan ke tingkatan 50, bukannya anak kena turun ke tingkatan 25 pula. Ianya menaik, bukan menurun.

Tapi kena pastikan kena masuk syurga dulu. Kerana itu disebut mereka itu adalah orang yang soleh, yang jaga agama. Mereka yang di tingkatan rendah itu memang sudah masuk syurga, cuma duduk di tingkatan rendah sahaja. Jadi kalau duduk di neraka, tidaklah termasuk dalam maksud ayat ini. Maksud ayat ini adalah menaikkan dari tingkatan rendah ke tingkatan tinggi.

Dan keturunan ini pula sama ada keturunan atas kita, atau keturunan bawah kita. Bukan bapa sahaja, tapi datuk dan ke atas; bukan anak sahaja, tapi cucu, cicit dan ke bawah lagi. Maknanya, generasi demi generasi. Begitu pemurahNya Allah!

 

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ

sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

Dan para malaikat akan datang kepada ahli syurga itu dari berbagai pintu yang ada di syurga itu. Maksudnya para malaikat itu datang dengan bawa ahli keluarga mereka yang dinaikkan dari tingkatan bawah ke tingkatan mereka yang tinggi.

Juga mungkin bermaksud para malaikat itu datang untuk ucap tahniah kepada ahli syurga itu kerana telah berjaya dapat masuk syurga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s