Tafsir Surah Kahfi Ayat 31 – 34 (Kisah dua pemuda)

Ayat 31: Sambungan tabshir ukhrawi.

أُولٰئِكَ لَهُم جَنّٰتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۚ نِعمَ الثَّوابُ وَحَسُنَت مُرتَفَقًا

 Sahih International

Those will have gardens of perpetual residence; beneath them rivers will flow. They will be adorned therein with bracelets of gold and will wear green garments of fine silk and brocade, reclining therein on adorned couches. Excellent is the reward, and good is the resting place.

Malay

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang seperti ini

Iaitu orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut sebelum ini. Mereka itu orang yang beriman sebenar dan beramal dengan amalan yang soleh.

 

لَهُمْ جَنّٰتُ عَدْنٍ

bagi mereka adalah syurga Ad’nin

Mereka akan mendapat nikmat dimasukkan ke dalam Syurga Ad’nin. Syurga ini disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Eden.

 

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai;

Oleh kerana manusia suka kepada air, maka Allah berikan suasana rumah yang ada air sungai di bawahnya. Ini tentunya hebat kerana orang Arab tidak ada sungai di tempat mereka. Jadi bila ada istana yang ada sungai, tentulah mereka amat suka sekali.

Maksud ‘di bawah’ mereka itu juga boleh bermaksud yang sungai-sungai itu (kalimah الْأَنْهٰرُ adalah dalam bentuk jamak, jadi bukan hanya ada satu sungai sahaja, tapi banyak) ‘di bawah perintah’. Maknanya penghuni syurga boleh perintah sungai itu untuk lalu ikut laluan yang dia suka. Ini tentu tidak dapat dilakukan di dunia kerana sungai di dunia sudah tetap. Tapi Allah benarkan penghuni syurga untuk menghias sendiri sungainya. Maka penghuni syurga boleh perintah sungai itu sama ada ikut laluan bawah, ikut laluan atas dan sebagainya.

 

يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ

Mereka akan dipakai dengan perhiasan dari gelang-gelang emas;

Selepas Allah menceritakan tentang istana dan kawasan sekitar, Allah sebut tentang perhiasan bagi penghuni syurga itu. Mereka akan diberikan dengan perhiasan yang amat-amat indah. Maka Allah beritahu yang mereka itu akan dihiaskan dengan emas, iaitu emas dari syurga.

Ini bukanlah emas dunia kerana kualitinya tak sama dengan emas di dunia. Emas dunia hanyalah tiruan dari emas syurga. Begitu juga dengan sutera di dunia, hanya tiruan dari syurga sahaja. Maknanya, yang dari syurga itu lebih baik lagi.

 

وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّنْ سُنْدُسٍ

Dan mereka akan memakai pakaian warna hijau daripada sutera halus

Ahli syurga akan diberikan pakaian dari sutera. Pakaian sebegini selalunya di dunia akan dipakai oleh raja-raja sahaja. Di syurga nanti, semua penghuni syurga akan dilayan seperti raja, malah lebih lagi. Dan pakaian dari sutera memberi isyarat yang ahli syurga tidak bekerja kerana orang tidak bekerja pakai sutera. Ini kerana tidak ada lagi kerja di syurga, malah tidak ada amal ibadat pun lagi yang perlu dilakukan.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan daripada sutera tebal;

Mereka akan diberikan persalinan sutera sebanyak 70 helai. Tadi disebut sutera halus dan sekarang disebut sutera tebal pula. Maksudnya bahagian dalam pakaian mereka adalah dari sutera tebal dan bahagian luar dipakaikan dengan sutera halus.

Atau, ia boleh bermaksud sutera tebal digunakan untuk seluar dan sutera halus untuk baju. Sebagaimana di dunia pun sekarang kita pakai untuk seluar dengan kain yang kasar sikit dan kalau baju menggunakan kain yang lembut supaya sesuai dengan badan.

 

مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ

Mereka bersandar di dalam syurga itu, di atas pelamin-pelamin;

Ahli syurga akan berehat di atas tempat duduk mereka dalam keadaan duduk bersenggeng. Maksudnya duduk berehat dengan senang lenang kerana tidak ada kerja dan ibadat lagi. Mereka hanya duduk menikmati segala nikmat dalam syurga sampai melihat segala harta mereka dalam syurga.

 

نِعْمَ الثَّوَابُ

Sebaik-baik balasan yang diberi; 

Itulah sebaik-baik pemberian balasan yang Allah berikan kepada penghuni syurga di atas usaha dan amal mereka semasa di dunia. Mereka memang layak mendapatnya.

 

وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا

Seindah-indah tempat berehat;

Ini barulah betul tempat berehat. Bandingkan dengan neraka yang bukan tempat berehat. Memang di syurga dapat rehat dengan serehat-rehatnya. Tidak ada kerja dan tidak ada ibadat lagi. Ini juga memberi isyarat yang semasa kita di dunia, kita kena kerja.

Habis bahagian pertama Surah Kahfi ini berkenaan Pemuda Kahfi. Ada 4 cerita dalam surah ini dan kita sudah habiskan cerita yang pertama.

Habis Ruku’ ke 4 dari 12 ruku’ yang ada dalam surah ini.


Ayat 32: Sekarang kita masuk dalam kisah yang kedua. Semua sekali ada 4 kisah besar dalam surah ini. Ini adalah kisah tentang satu orang kafir yang menjadi kaya raya hasil dari bertani dan berniaga. Kekayaan yang didapati oleh lelaki yang disebut dalam ayat ini adalah hebat.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi contoh sikap berbeza dua orang yang ada iman dan seorang lagi tidak ada iman. Allah juga hendak bezakan dengan orang yang tidak berharta dan tentang harta yang diusahakan.

Sebelum ini telah disampaikan tentang penghuni neraka dan penghuni syurga. Sekarang Allah memberi contoh apa yang berlaku dalam dunia ini sekarang. Allah hendak memberitahu yang manusia rosak akidah kerana cintakan dunia.

۞ وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنٰبٍ وَحَفَفنٰهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا

Sahih International

And present to them an example of two men: We granted to one of them two gardens of grapevines, and We bordered them with palm trees and placed between them [fields of] crops.

Malay

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

 

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَّثَلًا

Dan buatlah satu contoh bandingan kepada mereka;

Satu contoh bandingan mestilah sesuatu yang boleh dikaitkan dengan keadaan semasa. Apa yang Allah sampaikan ini adalah perkara yang terjadi pada zaman dulu tapi boleh dikaitkan dengan zaman sekarang. Qur’an memberikan pengajaran yang relevan dengan keadaan semasa. Tidaklah Qur’an ini sesuatu yang jumud walaupun ia telah diturunkan lebih dari seribu tahun dahulu. Maka jangan kata Qur’an ini tidak sesuai untuk zaman sekarang.

Dunia memandang kejayaan seseorang manusia itu dari kekayaan mereka. Begitulah dunia dulu dan sekarang pun. Kalau orang ada harta, kita pandang tinggi padanya. Kalau seseorang itu kaya, kadang-kadang ada yang bangga diri. Sampai mereka memandang rendah kepada orang lain. Padahal, apa yang mereka ada itu, semuanya dari Allah.

 

رَّجُلَيْنِ

Tentang dua orang lelaki;

Allah menceritakan tentang situasi ini dengan memberikan perumpamaan dua orang lelaki yang berjiran. Seorang kaya dan seorang miskin. Ia juga kisah seorang yang kufur dan seorang mukmin. Ada juga yang kata dua-dua orang itu adalah Muslim. Cuma seorang yang baik, seorang tidak.

 

جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا

Kami jadikan bagi salah seorang dari keduanya;

Sekarang Allah sampaikan kisah lelaki pertama. Iaitu salah seorang dari dua orang lelaki yang disebut dalam kisah ini. Lelaki ini bukan seorang yang beriman.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan جَعَلْنَا (Kami jadikan) – bermakna, Allah kata Dia yang jadikan. Allah mengaitkan DiriNya yang menjadikan kebun-kebun itu. Kalau Allah yang menjadikan, tentulah kebun-kebun itu adalah hebat sekali.

 

جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنٰبٍ

dua buah kebun anggur;

Apabila Allah kata Dia berikan dua kebun, mengikut riwayatnya, dalam kebun itu ada 70 jenis anggur pula. Ini adalah satu nikmat dari Allah yang besar. Sebab kebun anggur adalah susah untuk dijaga. Kalau di negara barat sekarang, dipanggil vineyard – dan jenis ladang ini adalah yang paling mahal sekali.

Oleh kerana menjaganya susah, maka memerlukan pekerja yang ramai. Bermakna, lelaki itu ada banyak pekerja di bawahnya untuk menguruskan tanaman anggurnya itu. Maknanya, dia bukan sahaja dia mempunyai harta yang banyak, tapi dia juga ada orang bawahan yang banyak.

Dalam ayat ini, Allah hanya menyebut tentang apa yang telah diberikan kepada yang kaya sahaja. Bermakna yang seorang lagi itu hartanya tidak bernilai sampai tak layak disebut pun.

 

وَحَفَفْنٰهُمَا بِنَخْلٍ

dan Kami kelilingkan dua kebun anggur itu dengan kebun-kebun kurma;

Sudahlah orang itu ada kebun anggur dengan 70 jenis anggur, sekarang Allah sebut kebun anggur itu dikelilingi pula dengan kebun kurma. Dan kurma itu pun ada 70 jenis juga.

Maknanya, besar sangatlah kebunnya itu. Kebun kurma itu menutupi kebun anggurnya. Kerana tanaman anggur itu senang musnah, maka kebun kurma itu dijadikan sebagai pendinding dari ditiup angin kuat. Dan kebun-kebun kurma itu pula boleh juga membuahkan hasil – bukan dijadikan sebagai pendinding sahaja. Sudahlah dia ada kebun anggur, Allah jadikan Security System lagi untuknya.

Sekali lagi ayat menyebut bahawa Dialah وَحَفَفْنَاهُمَا yang mengelilingkan kebun itu dengan kebun-kebun kurma. Maksudnya Allah nak ingatkan yang Dia yang berikan nikmat itu. Bukannya orang itu dapat sendiri.

 

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Dan Kami jadikan di antara dua kebun anggur dan kurma itu, tanaman lain;

Sudah disebut dua jenis tanaman yang orang itu ada dan sekarang Allah sebut dia ada tanaman lain lagi. Ada yang kata tanaman yang dimaksudkan adalah ladang gandum atau jagung. Ladang itu pun tentunya membuahkan hasil bagi tuannya ini. Atau, tanaman dalam ladang ini menjadi makanan bagi ladang kurma dan anggur dia. Bayangkan betapa banyak hasil dia tengah dapat.

Sekali lagi Allah kata وَجَعَلْنَا ‘Kami yang menjadikan’. Allah mengingatkan bahawa Dialah yang menjadikan. Maka ini mengingatkan kita yang apa sahaja nikmat harta yang kita ada, semuanya itu adalah pemberian dari Allah.


 

Ayat 33:

كِلتَا الجَنَّتَينِ ءآتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِّنهُ شَيئًا ۚ وَفَجَّرنا خِلٰلَهُما نَهَرًا

Sahih International

Each of the two gardens produced its fruit and did not fall short thereof in anything. And We caused to gush forth within them a river.

Malay

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikit pun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

 

كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ ءآتَتْ أُكُلَهَا

Setiap dari dua kebun itu mengeluarkan hasilnya; 

Dua kebun yang dimaksudkan adalah kebun anggur dan kebun kurmanya. Sebagai petani, mereka tidak semestinya dapat mengaut hasil tanaman setelah mereka menanam tanaman itu. Kadang-kadang tanaman itu tidak menjadi. Sudahlah kena jaga untuk waktu yang lama, dapat hasil pun setahun sekali – bukan macam kerja makan gaji yang sudah pasti dapat gaji bulanan.

Petani hanya mendapat hasil apabila tanaman mereka dituai. Kadang-kadang hanya setahun sekali sahaja. Tapi kadangkala tanaman itu tidaklah membuahkan hasil sangat. Tapi nikmat yang Allah berikan kepada lelaki ini adalah kebun-kebunnya itu semuanya membuahkan hasil. Tidak ada yang rosak.

Apabila perkataan كِلْتَا  digunakan, ianya bermaksud setiap dahan membuahkan hasil – penghasilan adalah 100%. Ini adalah amat hebat sekali dan selalunya para petani tidak dapat kelebihan ini. Kerana selalunya mesti ada kurang.

 

وَلَمْ تَظْلِمْ مِّنْهُ شَيْئًا

dan Allah tidak kurangkan sedikit pun dari hasil itu;

Kadang-kadang tuaian seorang petani tidak dapat 100% hasilnya. Ada yang hanya 70%, mungkin lebih banyak sedikit atau lagi kurang. Tapi Allah mengatakan dalam ayat ini, tanamannya lelaki itu membuahkan hasil 100%. Tidak kurang dari itu.

 

وَفَجَّرْنَا خِلٰلَهُمَا نَهَرًا

dan Kami pancarkan sungai di antara kebun-kebun itu;

Ini disebut lagi nikmat lain yang diberikan kepada lelaki itu. Di celah kebun-kebun itu ada sungai pula. Bermakna, ini adalah satu kebun yang amat hebat. Dalam kebun orang lain, mungkin kena usaha lebih sebab kena mengambil air dari tempat lain, tapi lelaki ini telah diberikan sungai di tengah-tengah kebun-kebunnya untuk memudahkan dia mendapat air. Bayangkan betapa mudahnya kerja dia. Ini bermakna, kebunnya mendapat air yang cukup. Mewah betul kebun-kebun dia.

Kalau Allah sudah cerita tentang kebun yang sebegini hebat dalam Qur’an, bermakna tidak akan ada kebun yang macam ini dah. Seperti juga Firaun, tidak ada lagi kerajaan yang macam kerajaannya. Begitu juga dengan kerajaan Nabi Sulaiman – tidak ada kerajaan yang macam kerajaannya lagi.

Kalau kita lihat ayat ini dari mula penceritaan, Allah menggunakan perkataan ‘Kami’. Iaitu Allah lah memberikan nikmat semua itu kepada lelaki itu. Bukanlah lelaki itu mendapat semua kelebihan itu dari usahanya sendiri. Kalau Allah tak beri semua itu, dia tidak akan dapat pun.


 

Ayat 34:

وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصٰحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَناْ أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

Sahih International

And he had fruit, so he said to his companion while he was conversing with him, “I am greater than you in wealth and mightier in [numbers of] men.”

Malay

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

 

وَكَانَ لَهُ ثَمَرٌ

Dan adalah baginya buah-buahan;

Asal perkataan ثَمَرٌ dalam ayat ini adalah ‘buah’, tapi maknanya yang hendak disampaikan adalah ‘kekayaan’. Kerana dengan banyaknya hasil dari ladang dan kebunnya itu, dia mendapat rezeki dengan menjual hasilnya, dan dengan itu dia mendapat kekayaan yang banyak.

Bermakna dia ini adalah seorang yang amat kaya. Kekayaan yang ada padanya melimpah ruah. Dan kalau begitu, tentu dia ada kekayaan lain yang dia beli dan kumpulkan. Selalunya orang kaya akan kumpul harta mereka banyak-banyak.

 

فَقَالَ لِصٰحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ

Maka dia berkata kepada sahabatnya semasa mereka sedang bercakap-cakap;

Sekarang kita masuk kepada percakapan antara dua orang lelaki dalam kisah ini. Seorang kaya dan seorang lagi miskin. Dia amat berbangga dengan kekayaan yang dia ada, maka dia bercerita kepada kawannya itu.

Apa yang dia cakap kepada lelaki ini tentang kelebihannya itu, bukanlah dia terus cakap sahaja. Tidak ada orang yang tiba-tiba terus kata dia ada lebih dari orang lain. Bermakna, mereka mulanya bersembang tentang hal-hal lain. Itulah maksud يُحَاوِرُهُ – mereka bercakap-cakap.

Dan dari perkataan itu, kita tahu yang dialah yang memulakan percakapan mereka itu. Mungkin dia yang pergi ke rumah lelaki yang mukmin itu. Asalnya mereka bersembang tentang perkara biasa-biasa sahaja. Mungkin tentang cuaca, tentang anak-anak dan sebagainya.

Tapi dalam mereka bercakap-cakap tentang perkara biasa itu, dia selitkan sedikit tentang kelebihan yang banyak padanya. Macam kita juga dalam dunia ini. Ada yang dalam sembang-sembang biasa, mereka akan selitkan kelebihan mereka. Mereka kata mereka ada itu, ada ini.

Entah kenapa, dalam dunia ini, kalau seseorang itu kaya, mereka akan selalunya suka hendak menceritakan kekayaan mereka kepada orang lain. Mereka kata mereka ada itu, ada ini. Mereka pergi sana, mereka pergi sini. Jarang yang merendah diri dengan apa yang mereka ada. Nampak macam mereka bukan nak mendabik dada, tapi sebenarnya, ya.

Mereka buat macam mereka bukan nak cakap besar, tapi begitulah sebenarnya buat mereka.  Mereka akan ‘melapik’ percakapan mereka. Dalam masa yang sama, secara sedar atau tidak, mereka merendahkan perasaan orang yang tidak ada harta. Contohnya, kalau kita kata kita ada kereta besar, dalam masa yang sama, kita juga mengatakan bahawa orang yang kita bersembang dengannya itu, tidak ada kereta besar.

 

أَنَاْ أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا

Aku lebih banyak harta dari kamu;

Jadi lelaki yang kaya ini menyelit dalam percakapannya yang dia ada banyak harta dari sahabatnya itu. Tidaklah dia kata “aku ada banyak harta, tau!” tapi dia dia selit dalam percakapan mereka itu. Dan sahabat dia yang mukmin itu adalah seorang miskin. Tidak perlu disebut dalam ayat ini kerana kalau tak cakap dia ada macam-macam pun tak perlu, sebab semua orang sudah tahu.

Dalam Allah menyebut tentang kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki yang pertama itu, Allah tidak sebut langsung tentang apakah yang diberi kepada lelaki kedua yang mukmin itu. Ini adalah kerana apa yang lelaki kedua itu ada, tidak setanding langsung dengan apa yang ada pada lelaki pertama, sampai Allah tak sebut pun.

 

وَأَعَزُّ نَفَرًا

Dan aku lebih hebat dengan pengikut yang ramai;

Dia ada banyak pekerja-pekerja untuk menguruskan hartanya yang banyak itu. Jadi, dia rasa dia seorang yang berpengaruh. Dia sekarang telah meninggi diri. Itulah sahaja yang dikehendaki oleh orang yang lupa diri: kekayaan yang banyak dan pengikut yang ramai.

Lihatlah cara dia bercakap itu. Bermakna dia adalah seorang yang kaya lagi sombong dan suka menunjuk-nunjukkan kekayaannya itu dengan menunjukkan kesombongannya itu. Maka pengajaran bagi kita adalah jangan jadi seperti orang ini. Kalau ada harta pun, jangan nak tunjukkan kepada orang lain dan jangan nak sombong.  

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s