Ayat 16: Sambungan penceritaan nikmat minuman dalam syurga.
قَواريرَ مِن فِضَّةٍ قَدَّروها تَقديرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Clear glasses [made] from silver of which they have determined the measure.
(MELAYU)
(iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya.
قَواريرَ مِن فِضَّةٍ
(iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak
Jag yang digunakan untuk menuang air minuman ahli syurga itu dijadikan dari perak yang lut cahaya. Maknanya hebat sangatlah sebab kalau zaman sekarang nak cipta perak sebegini tidak mampu lagi nak cipta. Ini kerana ia nipis sangat sampai cahaya pun boleh masuk.
قَدَّروها تَقديرًا
yang telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya.
Yakni sesuai dengan ukuran pemiliknya, tidak lebih dan tidak kurang, bahkan memang disediakan untuknya dan diukur sesuai dengan selera pemiliknya.
Demikianlah pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Sa’id ibnu Jubair, Abu Saleh, Qatadah, Ibnu Abza, Abdullah ibnu Ubaid ibnu Umair, Qatadah, Asy-Sya’bi, dan Ibnu Zaid, juga dikatakan oleh Ibnu Jarir dan selainnya yang bukan hanya seorang. Hal ini menunjukkan perhatian yang sangat dan penghormatan yang tiada taranya bagi pemiliknya.
Atau, ia bermaksud pelayan-pelayan dalam syurga itu akan beri air minuman sebanyak mana yang dikehendaki oleh tuan mereka. Mereka tahu banyak mana yang tuan mereka suka. Tak lebih dan tak kurang. Begitu terperinci sekali sukatan air minuman itu.
Ayat 17:
وَيُسقَونَ فيها كَأسًا كانَ مِزاجُها زَنجَبيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they will be given to drink a cup [of wine] whose mixture is of ginger
(MELAYU)
Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah halia.
وَيُسقَونَ فيها كَأسًا
Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman)
Ini adalah layanan yang telah dinaiktaraf. Sebelum ini mereka kena ambil sendiri air dan sekarang air itu ‘diberikan’ kepada mereka.
Kalimah كَأسًا bermaksud bekas minuman, tapi bukanlah minuman biasa. Ianya selalu digunakan untuk minum arak. Orang Arab kalau dengar kalimah كَأسًا memang terus teringat ini bekas untuk minum arak sahaja. Maka di syurga nanti memang ahli syurga akan diberi minum arak tapi bukanlah arak di dunia ini. Arak di syurga jauh lebih hebat dari arak dunia. Dan tidak berdosa minum arak di syurga. Dan arak itu tidak memabukkan dan memeningkan.
كانَ مِزاجُها زَنجَبيلًا
yang campurannya adalah halia.
Air minuman yang diberikan kepada mereka itu ada campuran halia. Terkadang minuman mereka diberi campuran kafur yang rasanya sejuk, dan terkadang diberi campuran dengan halia yang rasanya hangat, sehingga rasanya beragam.
Atau bukanlah air itu dicampur halia, tapi sumber air itu sendiri ada rasa halia. Ini adalah kerana tekak orang Arab suka minuman yang ada rasa halia. Macam orang kita pun suka minum Teh Tarik Halia. Tidaklah semestinya air begini sahaja yang ada, kerana pasti ada air jenis lain yang akan disukai oleh tekak kita. Tapi Allah memberikan contoh yang boleh dibayangkan oleh orang Arab waktu itu.
Ayat 18:
عَينًا فيها تُسَمّىٰ سَلسَبيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[From] a fountain within it [i.e., Paradise] named Salsabeel.
(MELAYU)
(Yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil.
Dari segi bahasa, Salsabil bermaksud ‘turun dengan senang’ iaitu turun melalui tekak. Menunjukkan air itu sedap dan sangat senang turun di dalam tekak. Sedap apabila diminum. Rasa lega semasa minum.
Ini adalah penjelasan ayat sebelum ini di mana disebut ada rasa halia. Disebut campuran halia tadi tapi tidaklah macam halia dunia. Halia syurga tentulah hebat sangat. Kalau halia dunia ada sedikit rasa pahit, tapi rasa air Salsabil ini sangat hebat.
Ada juga penafsir yang mengatakan ‘salsabil’ itu bukanlah nama mata air itu, tapi ianya adalah sifat air itu yang sedap dan senang diminum. Allahu a’lam.
Ayat 19:
۞ وَيَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُّخَلَّدونَ إِذا رَأَيتَهُم حَسِبتَهُم لُؤلُؤًا مَّنثورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There will circulate among them young boys made eternal. When you see them, you would think them [as beautiful as] scattered pearls.
(MELAYU)
Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka mutiara yang bertaburan.
وَيَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُّخَلَّدونَ
Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda.
Pelayan-pelayan dalam syurga digambarkan sebagai budak yang muda kerana mereka itu tidak ada kerja lain dan akan kekal sebagai pelayan. Umur mereka tidak bertambah dan akan kekal muda. Ini kerana kalau jadi tua tidak sesuai pula jadi pelayan.
Begitulah kalau di dunia ini pun selalunya pelayan di kedai makan selalunya budak muda. Mereka yang baru habis belajar dan sementara tunggu nak masuk universiti atau cari kerja yang lain yang lebih tetap. Memang molek kalau pelayan sebegitu budak yang muda kerana senang hendak diarah-arah. Takkan mereka tua dan masih jadi kuli kita.
Mereka itu ramai dan sentiasa ke sana sini menjalankan tugas mereka melayan ahli syurga dan memastikan keselesaan ahli syurga. Mereka akan sentiasa bertanya apa ahli syurga itu nak. Mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada tuan mereka. Mereka pun tidak ada kerja lain lagi.
إِذا رَأَيتَهُم حَسِبتَهُم لُؤلُؤًا مَّنثورًا
Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka sebagai mutiara yang bertaburan.
Mereka itu sudahlah ramai dan sekali tengok macam mutiara. Maksudnya mereka itu sepesen sahaja. Pakai pakaian yang sama sahaja. Macam pelayan di kedai makan eksklusif ada uniform mereka, bukan?
Ertinya, jika engkau lihat mereka menyebar dalam menunaikan tugasnya melayani majikan-majikan mereka penghuni syurga, jumlah mereka yang banyak serta penampilan mereka yang cerah ceria, warna mereka dan juga pakaian dan perhiasan mereka yang indah-indah, tentulah kamu mengira mereka adalah ‘mutiara yang bertaburan’.
Untuk menggambarkan keadaan mereka, tiada perumpamaan yang lebih indah selain dari mutiara yang bertaburan di tempat yang indah. Allah hendak menggambarkan suasana yang hebat di syurga nanti.
Ayat 20:
وَإِذا رَأَيتَ ثَمَّ رَأَيتَ نَعيمًا وَمُلكًا كَبيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when you look there [in Paradise], you will see pleasure and great dominion.
(MELAYU)
Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar.
وَإِذا رَأَيتَ ثَمَّ رَأَيتَ نَعيمًا
Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan
Macam-macam kenikmatan akan nampak dalam syurga itu. Ini adalah kerana nikmat yang amat banyak sekali. Tengok sana, nikmat; tengok sini pun nikmat juga.
Apabila disebut melihat dua kali, ia memberi isyarat yang ahli syurga ada tempat lain yang jadi milik mereka juga. Istana dan kerajaan ahli syurga bukan satu sahaja. Macam orang kaya pun ada rumah yang banyak merata-rata bukan? Kalau ahli syurga, bukan rumah sahaja banyak, syurga pun mereka ada banyak.
وَمُلكًا كَبيرًا
dan kerajaan yang besar.
Mereka akan nampak kerajaan mereka yang amat besar. Allah boleh jadikan mereka ada kerajaan di mana mereka akan dilayan sebagai raja. Dulu semasa di dunia mereka mungkin hidup sebagai orang yang paling miskin, tapi dia akan dapat hidup sebagai seorang raja di akhirat kelak.
Di dalam hadis sahih telah disebutkan bahawa Allah berfirman kepada orang yang paling akhir dikeluarkan dari neraka (dan dimasukkan ke syurga), yang bererti dia adalah orang yang paling akhir masuk syurga, “Sesungguhnya bagimu di dalam syurga semisal dengan dunia dan sepuluh kali gandanya.”
Bayangkan, kalau yang paling teruk pun (sebab dia paling akhir keluar neraka) dapat sepuluh kerajaan (ada juga pendapat yang kata 5 kerajaan), apatah lagi kalau yang awal-awal sudah masuk syurga?
Ayat 21: Sekarang disebut tentang pakaian pula.
عٰلِيَهُم ثِيابُ سُندُسٍ خُضرٌ وَإِستَبرَقٌ ۖ وَحُلّوا أَساوِرَ مِن فِضَّةٍ وَسَقٰهُم رَبُّهُم شَرابًا طَهورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Upon them [i.e., the inhabitants] will be green garments of fine silk and brocade. And they will be adorned with bracelets of silver, and their Lord will give them a purifying drink.
(MELAYU)
Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat dari perak, dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih.
عٰلِيَهُم ثِيابُ سُندُسٍ خُضرٌ وَإِستَبرَقٌ
Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal
Apabila pakai sutera ia adalah isyarat yang mereka tidak buat kerja kerana orang pakai sutera hanya untuk rehat atau hadiri majlis sahaja. Ia pakaian kebesaran kerana orang miskin selalunya tidak pakai sutera. Orang yang buat kerja pun tak pakai sutera.
Jadi ia adalah isyarat kepada pakaian yang hebat. Di dunia ini juga ada pakaian sutera tapi sutera dunia adalah tiruan sutera syurga sahaja. Tentu tidak sama antara keduanya. Orang lelaki haram pakai sutera semasa di dunia. Kalau kita tahan diri kita dari pakai sutera dunia, maka kita ada kemungkinan boleh pakai sutera di syurga yang jauh lebih hebat.
Allah sebut sutera lembut dan sutera tebal. Kain lembut selalunya dibuat baju dan yang tebal untuk seluar. Begitulah juga di syurga nanti.
وَحُلّوا أَساوِرَ مِن فِضَّةٍ
dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat dari perak,
Ini pula perhiasan yang dipakaikan kepada mereka. Ia lambang keagungan dan kedudukan yang tinggi. Mungkin kita di dunia tidak pakai perhiasan dan tak teringin pun nak pakai gelang. Tapi nanti di syurga ia jadi sesuatu yang memang suka dipakai. Ini adalah kerana tanda kebesaran zaman dulu-dulu memang begitu di mana raja-raja akan pakai perhiasan seperti gelang.
Mungkin ada kata lelaki tak pakai perhiasan. Tapi cuba fikirkan, lelaki pun ada perhiasannya juga. Antaranya jam tangan mahal, cermin-mata hitam dan lain-lain lagi. Maknanya manusia pakai perhiasan yang sesuai dengan kesukaan dirinya. Maka nanti di syurga pun perhiasan itu akan jadi sesuai. Tak malu untuk dipakai.
Dalam ayat surah lain disebut gelang emas pula dan ayat ini sebut gelang perak. Ini memberi isyarat bahawa ahli syurga ada pilihan nak pakai gelang emas atau perak, atau nak pakai kedua-duanya sekali pada satu masa.
Atau, ayat ini merupakan gambaran ‘orang-orang Abrar’, sedangkan yang dialami oleh orang-orang Muqarrabun adalah seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:
يُحَلَّوْنَ فِيها مِنْ أَساوِرَ مِنْ ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤاً وَلِباسُهُمْ فِيها حَرِيرٌ
Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera. (Al-Hajj: 23)
Maknanya, Allah hendak bezakan tingkatan antara golongan ‘Abrar’ dan juga ‘Muqarraboon’. Tidaklah sama kedudukan di dalam syurga itu. Dari hadis telah diberitahu yang ada 100 tingkatan dalam syurga. Semoga kita mendapat kedudukan di tempat yang tertinggi. Aameen.
وَسَقٰهُم رَبُّهُم شَرابًا طَهورًا
dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih.
Sekali lagi disebut tentang minuman. Kenapa banyak kali bab minuman? Kenapa ulang perkara yang sama? Sebenarnya tidak sama semua minuman-minuman itu kerana minuman ini minuman jenis lain. Ianya lebih lebih hebat dari yang telah disebut sebelum ini.
Kalau kita cuba ringkaskan:
Level 1: ambil minuman sendiri.
Level 2: akan diberi oleh pelayan.
Level 3: Allah sendiri bagi minuman itu.
Nikmat pemberian air dan jenis air semakin hebat. Jadi Allah bagi motivasi dengan pakai perumpamaan air minuman sahaja. Semua ini untuk menarik minat manusia untuk berusaha mendapatkannya.
Dan manusia memang suka dengan minuman. Dari pagi sampai malam ada masa melepak untuk duduk-duduk minum. Minum pagi, minum petang, mengeteh dan sebagainya. Dan dalam semua masyarakat. Kalau masyarakat Barat yang non-Muslim, mereka memang suka duduk di bar dan minum arak. Maka mereka kena tahu yang di syurga nanti ada akan duduk minum arak sahaja. Tapi kenalah tinggalkan arak di dunia.
Air minuman ini bukan sahaja untuk beri sedap kepada ahli syurga, tapi ia juga untuk membersihkan mereka. Maksudnya, Allah membersihkan batin mereka dari hasad, dengki, iri hati, penyakit, dan semua akhlak yang hina, seperti yang telah diriwayatkan kepada kita dari Amirul Mu’minin Ali ibnu Abu Talib r.a.
Dia pernah mengatakan, “Apabila ahli syurga sampai di depan pintu syurga, maka di sana mereka menjumpai dua buah mata air, lalu seakan-akan mereka diberi ilham untuk pergi kepada kedua mata air itu. Lalu mereka minum dari salah satu mata air itu, maka Allah melenyapkan semua penyakit yang ada di dalam perut (rongga tubuh) mereka, kemudian mereka mandi dari mata air yang satunya lagi, maka sesudahnya terpancarlah dari tubuh mereka pandangan kehidupan yang penuh dengan kenikmatan.”
Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 22:
إِنَّ هٰذا كانَ لَكُم جَزاءً وَكانَ سَعيُكُم مَّشكورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[And it will be said], “Indeed, this is for you a reward, and your effort has been appreciated.”
(MELAYU)
Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu, dan usahamu adalah disyukuri (diberi balasan).
إِنَّ هٰذا كانَ لَكُم جَزاءً
Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu,
Allah sebut semua nikmat itu kerana hendak memberi motivasi kepada manusia. Yang mereka akan dibalas kerana susah payah mereka semasa di dunia. Maka tidak sia-sia amal ibadah kita di dunia. Tidak sia-sia kita berbuat baik dengan manusia dan alam. Semua itu dibalas oleh Allah.
وَكانَ سَعيُكُم مَّشكورًا
dan usahamu adalah disyukuri
Segala usaha kita melakukan amal kebaikan bukan sia-sia sahaja tapi akan dibalas oleh Allah.
Kalimah sa’i bermaksud usaha yang kuat. Seperti para hujjaj bersai’e berlari-lari di antara Safa dan Marwah. Maka ini memberi isyarat yang usaha mereka itu bukannya mudah tapi ada usaha yang perlu dilakukan. Maka memang kena ada usaha. Bukannya duduk goyang kaki sahaja di dunia. Nak buat ibadah pun ada halangan dan cabaran; nak buat baik pun begitu juga. Maka kena sabar dalam taat. Nak taat pun memang kena sabar. Dunia memang tempat ujian.
Ayat 23: Untuk menjadi orang yang baik dan beramal soleh, kuncinya adalah Al-Qur’an. Kena belajar tafsir Al-Qur’an dan rapat dengan Al-Qur’an. Ayat 23 – 26 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberitahu kita yang orang yang bersyukur tidak patuh kepada pemimpin yang tidak bersyukur.
إِنّا نَحنُ نَزَّلنا عَلَيكَ القُرآنَ تَنزيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, it is We who have sent down to you, [O Muḥammad], the Qur’ān progressively.
(MELAYU)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur.
Allah menegaskan yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an itu. Ianya bukan dari Nabi Muhammad atau dari mana-mana entiti lain. Musyrikin Mekah tidak mahu menerima kebenaran dari Al-Qur’an dan kerana itu mereka tuduh Al-Qur’an itu bukan dari Nabi Muhammad. Begitu jugalah alasan yang diberikan oleh penentang-penentang Al-Qur’an. Mereka kata Al-Qur’an itu tulisan Nabi Muhammad.
Maka Allah menegaskan yang Al-Qur’an itu dari Dia. Maka kalau ianya dari Allah, maka tentulah kita mesti ikut apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Jangan buat tidak tahu sahaja, jangan degil untuk taat kepada Al-Qur’an.
Dan mesti belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau tak belajar, maka tentu tidak akan tahu kehendak Allah dan bagaimana nak jalankan apa yang Allah kehendaki dari kita. Masalahnya ramai yang belajar baca Al-Qur’an sahaja tapi tidak mahu pun nak belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami Al-Qur’an. Mereka rasa mereka cukup dengan pandai baca sahaja. Kerana itu kalau ditanya tentang agama Islam, ramai yang tidak tahu walaupun mereka pandai baca Al-Qur’an.
Maka pandai baca bukanlah penentu kebenaran. Bukan sahaja baca, kalau hafal Al-Qur’an pun belum tentu tahu agama lagi. Kerana ramai yang hafal sahaja tanpa faham apa yang mereka baca. Mereka dapat hafal kerana Al-Qur’an itu indah dan dapat dibaca berkali-kali sampai senang dihafal.
Allah beritahu dalam ayat ini yang cara penurunan Al-Qur’an itu beransur-ansur dan tidaklah sekaligus seperti penurunan Taurat dan Injil. Al-Qur’an mengambil masa lebih kurang 23 tahun untuk lengkap diturunkan. Ada banyak perbincangan tentang kenapa ianya diturunkan sedikit demi sedikit.
Antaranya kerana memberi ketetapan hati kepada umat pada waktu itu. Mereka dapat baca sedikit demi sedikit dan dapat amalkan agama dengan sempurna. Kerana kalau diberikan sekaligus, tentu susah mereka nak amalkan kerana tentu ia banyak sekali.
Allah tegaskan dalam ayat ini yang Dialah yang menentukan Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit. Ini menjawab tohmahan penentang Al-Qur’an yang mengatakan Al-Qur’an itu mereka dapat sedikit demi sedikit kerana direka sebegitu oleh Nabi Muhammad. Mereka kata Muhammad tak mampu nak buat satu kitab sekaligus dan kerana itu dia mampu buat sikit-sikit sahaja. Maka Allah jawab dalam ayat ini: keputusan nak turunkan sedikit demi sedikit itu adalah keputusan dari Allah dan ada hikmahnya kenapa begitu.
Ayat 24: Maka kena terima dan amalkan Al-Qur’an kalau nak selamat. Maka kita kena sampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia. Kena ajar tafsir Al-Qur’an dan kena ajak mereka belajar tafsir.
Tapi bagaimana pula kalau tak terima? Ramai yang tidak mahu menerima ajaran Al-Qur’an, maka ini adalah tasliah (pujukan) kepada para pendakwah.
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So be patient for the decision of your Lord and do not obey from among them a sinner or ungrateful [disbeliever].
(MELAYU)
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antar mereka.
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu,
Hendaklah bersabar dalam menjalankan dakwah. Ia memang kerja yang berat dan amat memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang amat tinggi. Tapi kita kenalah ingat yang kita ditugaskan untuk sampaikan sahaja. Kalau orang yang kita sampaikan Al-Qur’an itu tidak terima, ia bukan sesuatu yang kita boleh ubah.
Lagi satu, kita kena sabar dalam menjadi hamba Allah. Ada banyak dugaan dalam dunia ini, kerana dunia ini adalah tempat ujian. Maka janganlah terkesan sangat dengan dunia. Kena terima apa ketentuan takdir yang Allah telah tetapkan kepada kita.
Dan nak mengamalkan agama pun kena sabar juga. Kerana bukan senang nak istiqamah dalam ibadat. Ada masa kita senang nak solat dan ada masa kita susah juga kerana penat dan sebagainya; ada masa senang nak sedekah kerana duit banyak tapi ada masa kita pun sempit jadi susah nak sedekah; ada masa senang nak puasa tapi ada masa kelaparan sangat kerana lupa sahur; dan macam-macam lagi.
Begitu juga, hendak dakwah pun bukan senang. Akan menerima banyak tentangan dari manusia. Hendak mengajar pun susah juga. Kena tahan telinga kena perli, kena kutuk, kena tohmah. Ada yang mempertikaikan kelayakan kita (belajar di mana, tauliah ada atau tidak) dan macam-macam lagi.
وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.
Asim ertinya orang yang durhaka dalam perbuatannya, yakni pendosa; dan al-kafur artinya orang yang kafir (engkar kepada kebenaran).
Hendaklah terus mengamalkan agama Islam dan jangan ikut orang yang engkar dengan hukum Allah. Mereka mungkin nampak berjaya dalam hidup atau mereka nampak senang sahaja hidup mereka, tapi jangan jadikan mereka sebagai contoh kita.
Jangan ikut orang yang menentang kebenaran. Jangan takut dengan mereka. Jangan ikut golongan yang menolak ajaran Al-Qur’an sebaliknya mereka perlu ditentang.
Jangan kerana ditentang dalam dakwah, sampai menyebabkan berhenti berdakwah. Macam kita juga, jangan kerana kita dikutuk oleh orang dan dihalang usaha kita, janganlah menyebabkan kita putus asa. Kalau begitu, kita sudah ‘ikut’ kehendak penentang kerana mereka memang hendak kita berhenti pun. Janganlah beri mereka menang.
Jangan ikut kehendak manusia yang mahu kita ubah pendirian kita. Jangan terikut-ikut dengan mereka. Jangan kerana nak puaskan hati manusia, kita ubah wahyu Allah ini. Ada pengajar agama yang takut nak ceritakan hal sebenar tentang agama kerana takut anak murid tidak dapat terima. Jadi mereka kata tidak apa kalau nak buat sesuatu amalan bidaah. Ini adalah salah sama sekali.
Ayat 25: Dalam ayat tasliah, Allah suruh kita tumpukan perhatian kepada perkara ibadat, jangan hiraukan penolakan orang terhadap dakwah kita. Kerana kalau kita asyik teringat, kita yang akan susah hati dan tidak dapat jalankan tugas kita. Oleh itu tetaplah terus ikut wahyu.
وَاذكُرِ اسمَ رَبِّكَ بُكرَةً وَأَصيلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And mention the name of your Lord [in prayer] morning and evening
(MELAYU)
Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.
Tumpukan perhatian dan hati kita kepada Allah. Teruskan buat ibadat terutama sekali solat pada setiap waktu. Apabila disebut ‘pagi dan petang’, maka ia bermaksud setiap waktu.
Bayangkan berzikir kepada Allah. Kerana kalau kita sibukkan diri dengan zikir, tidaklah teringat penentang orang terhadap kita. Juga ia memberi kekuatan kepada kita. Dan kalau kita ingat kepada Allah, hati kita akan menjadi tenang.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 19 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan