Yunus Ayat 15: Ayat ini adalah jenis ayat tasjil (Allah ﷻ ceritakan betapa degilnya manusia) dan juga ayat Syikayah (pengaduan Allah ﷻ)
وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآياتُنا بَيِّنٰتٍ ۙ قالَ الَّذينَ لا يَرجونَ لِقاءَنَا ائتِ بِقُرءآنٍ غَيرِ هٰذا أَو بَدِّلهُ ۚ قُل ما يَكونُ لي أَن أُبَدِّلَهُ مِن تِلقاءِ نَفسي ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۖ إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ
And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who do not expect the meeting with Us say, “Bring us a Qur’an other than this or change it.” Say, [O Muhammad], “It is not for me to change it on my own accord. I only follow what is revealed to me. Indeed I fear, if I should disobey my Lord, the punishment of a tremendous Day.”
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Qur’an yang lain daripada ini atau tukarkanlah ia”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيَاتُنَا بَيِّنٰتٍ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata,
Allah ﷻ mengadu tentang golongan yang menolak apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Pertamanya, dari sini mengajar kita bahawa kita hendaklah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Kerana begitulah cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Kita hendaklah berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Bila mereka telah terima Al-Qur’an dan telah menerima ajakan tauhid, barulah kita ajar mereka dengan hadith-hadith Nabi ﷺ.
Kalimah تُتْلَىٰ bukan sahaja bermaksud baca tetapi ia juga bermaksud ‘ikut’. Ia berasal daripada katadasar ت ل و yang bermaksud baca, membacakan (kepada orang), berlatih, isytihar, ikut, tiru, kejar. Oleh itu ia juga bermaksud ikut seperti yang digunakan juga di dalam Syams: 2
وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya,
Oleh itu dengan Al-Qur’an, kita bukan setakat baca sahaja, tetapi kena ikut ajaran di dalamnya. Janganlah sebut sahaja tanpa faham; janganlah sudah faham tidak diikuti pula.
Kemudian apabila sudah faham kita kena sampaikan kepada orang lain juga. Oleh itu, bukanlah berdakwah dengan manusia itu menggunakan akal semata-mata. Bukan juga berdakwah dengan menggunakan lagu nasyid, puisi-puisi, sajak-sajak, qasidah-qasidah dan sebagainya. Ketahuilah yang ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi hikmah dan mukjizat yang dapat membuka hati manusia. Ia mengandungi hujah-hujah yang tepat dan padu. Kita pun tidak tahu ayat yang mana yang membuka hati manusia, jadi kita bacakan kesemuanya sekali.
Oleh itu, bacakan kepada manusia ayat-ayat Al-Qur’an. Beritahu mereka apakah maksud ayat-ayat itu. Apakah sifat ayat-ayat Al-Qur’an itu? Ia bersifat بَيِّنَاتٍ iaitu jelas nyata. Ini bermaksud ayat-ayat Al-Qur’an itu jelas makna-maknanya, tidak keliru dan tidak pusing-pusing.
Maka di sini Allah beritahu yang ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah jelas. Ternyata salah lah pendapat sesetengah orang kita yang kata belajar tafsir Al-Qur’an hanya bagi ustaz dan ulama’ sahaja, orang biasa tidak boleh faham. Pernah seorang kenalan membaca tulisan saya ini tetapi kemudian ditegur oleh seorang ‘ustaz’ yang melarangnya. Ini amat pelik sekali kerana sepatutnya semua orang kena belajar tafsir Al-Qur’an dan bukannya dihalang. Tidak menjadi sesat kalau belajar tafsir Al-Qur’an. Yang jadi sesat bila tidak belajar.
Rasulullah ﷺ telah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi apakah reaksi mereka selepas dibacakan dan mereka faham apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu?
قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا
orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami berkata:
Golongan Musyrikin Mekah telah menolak Al-Qur’an yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Bukan mereka sahaja tetapi sepanjang zaman akan ada sahaja golongan yang apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, mereka akan menolaknya. Mereka inilah orang yang tidak mahu bertemu dengan Allah ﷻ atau tidak terfikir yang mereka akan bertemu dengan Allah ﷻ. Berkali-kali mereka ini disebut di dalam surah ini.
Allah ﷻ tidak sebut yang mereka itu orang kafir (walaupun sebenarnya mereka memang kafir pun). Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menjelaskan yang salah satu sifat Musyrikin Mekah yang kafir itu adalah menolak Hari Akhirat. Mereka tidak percaya yang Akhirat itu ada dan mereka akan dibangkitkan. Akidah tentang Akhirat telah lama ditolak oleh mereka, walaupun mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan telah diajar oleh baginda. Mereka tolak kerana mereka tidak mahu dipertanggungjawabkan nanti di akhirat.
Allah ﷻ juga tidak kata mereka itu ‘kufur’ dengan hari akhirat. Mungkin mereka tahu yang mereka akhirnya akan mati dan akan bertemu dengan Allah ﷻ tetapi apabila dikatakan mereka itu tidak ‘mengharap’ untuk bertemu dengan Allah ﷻ, bermaksud mereka tidak menjadikan pertemuan dengan Allah ﷻ itu sebagai fokus hidup mereka. Oleh kerana itu mereka tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Persediaan bagi orang yang hendak bertemu dengan Allah ﷻ telah disebut di dalam Kahf: 110
فَمَن كانَ يَرجو لِقاءَ رَبِّهِ فَليَعمَل عَمَلًا صٰلِحًا وَلا يُشرِك بِعِبادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya
Oleh itu, sifat ini termasuk juga sifat orang-orang Islam yang walaupun mengaku beragama Islam tetapi tidak menjadikan hari akhirat sebagai fokus mereka. Mereka hidup di dunia ini seperti tidak akan mati, tidak akan bertemu dengan Allah ﷻ. Sepatutnya mereka lakukan seperti disebut dalam Kahf: 10 ini iaitu beramal soleh dan meninggalkan syirik.
Ini adalah kali ketiga mereka yang tidak mengharap untuk berjumpa dengan Allah ﷻ disebut dalam surah ini. Marilah kita lihat apa kata mereka:
ائْتِ بِقُرْءآنٍ غَيْرِ هَٰذَا
“Datangkanlah Al-Qur’an yang lain daripada ini
Musyrikin Mekah tidak suka dengan Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi ﷺ kerana ia adalah terlalu berat bagi mereka, maka mereka tidak mahu terima. Sukar untuk merek terima kerana Al-Qur’an itu telah membongkar kesalahan-kesalahan yang mereka telah dan sedang lakukan. Tambahan pula dalam Al-Qur’an itu tidak ada ruang yang membenarkan perlakuan syirik. Mereka tidak mahu berubah, kerana mereka hendak terus melakukan apa yang mereka sudah amalkan itu sejak zaman berzaman.
Oleh kerana Al-Qur’an yang Nabi ﷺ bacakan itu mengandungi segala larangan dan arahan bertentangan dengan amalan mereka, maka mereka mahu Nabi ﷺ bawakan Al-Qur’an yang lain, yang tidak mengandungi teguran tentang Tauhid dan syirik, Mereka mahu melihat dahulu Al-Qur’an yang baru itu, dan jika ia bersesuaian dengn citarasa mereka, barulah mereka akan luluskan. Mereka hendak juga Al-Qur’an, tetapi yang hanya mengikut selera tekak mereka sahaja. Seolah-olah Nabi ﷺ memerlukan kelulusan dan pengiktirafan mereka pula untuk menyampaikan Al-Qur’an!
Kenapakah mereka boleh sanggup kata begitu? Kerana mereka tidak terima yang Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ. Pada mereka ia adalah tulisan atau rekaan daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja, maka bolehlah baginda tukar, bukan?
Mereka tolak Al-Qur’an kerana mereka faham apa yang Al-Qur’an sampaikan (dan ia tidak sesuai dengan jiwa mereka). Mereka tolak setelah mereka faham. Sementara sebaliknya pula berlaku di dalam masyarakat kita hari ini, di mana mereka tolak sebelum faham. Mereka tidak datang belajar pun lagi, tetapi terus tolak dengan tohmahan bahawa ustaz-ustaz yang mengajar tafsir itu adalah Wahabi. Mereka canangkan ustaz-ustaz itu tafsir salah, tafsir ikut fahaman sendiri, tidak layak mengajar tafsir kerana tafsir Al-Qur’an itu bukan sebarangan orang boleh belajar dan mengajar. Kesudahannya ustaz-ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an ini pula yang dituduh sesat. Mereka yang menuduh ini pula ramai pengikut. Akibatnya semakin ramai yang tidak berani untuk belajar tafsir Al-Qur’an kerana takut di cop sebagai wahabi dan sesat.
Pelik sungguh mereka itu. Mereka itulah ahli-ahli syirik dan ahli bid’ah yang tidak suka dengan tafsir yang diajar. Ini kerana tafsir yang sebenar dengan jelas menghalang amalan syirik dan amalan bid’ah yang mereka suka lakukan. Oleh itu, mereka tolak. Mereka tidak jauh bezanya dengan Musyrikin Mekah yang tidak terima Al-Qur’an yang ini, tetapi mahu Al-Qur’an yang lain.
Bezanya golongan umat Islam sekarang, mereka tidaklah minta ditukarkan Al-Qur’an yang lain tetapi mereka minta tafsir yang lain. Ini kerana mereka kata tafsir yang kita bagi pula yang salah, padahal ia amat jelas dan nyata. Selalunya, yang cakap tafsir kita itu salah ataupun tidak tepat, acap kalinya mereka pun belum belajar lagi tafsir. Namun sebab tidak kena dengan selera syirik dan amalan bid’ah mereka, mereka tolak mentah-mentah. Guru-guru mereka pun mulalah memberikan tafsir ikut apa yang mereka faham, ikut bersesuaian dengan amalan-amalan mereka.
أَوْ بَدِّلْهُ
atau ubahlah ia”.
Atau, mereka kata kalau Nabi ﷺ tidak boleh membawa Al-Qur’an yang lain, sekurang-kurangnya, ubah sedikit Al-Qur’an yang sudah ada itu. Maknanya tidaklah tukar semua, tukar sahaja mana bahagian yang mereka tidak setuju. Ubah pula kenalah ikut kemahuan mereka. Yang haram jadi halal dan yang halal jadi haram. Yang azab jadi rahmat dan sebaliknya.
Begitulah juga yang dilakukan oleh ahli bid’ah sekarang. Mereka akan ubah terjemahan Al-Qur’an itu mengikut citarasa mereka. Mereka tidak boleh mengubah ayat Al-Qur’an itu sendiri, tetapi mereka akan ubah tafsir yang telah diberikan oleh ulama-ulama dahulu.
Ayat ini mengajar kita bahawa kita yang mesti mengubah hidup kita mengikut Al-Qur’an, bukannya mengubah Al-Qur’an mengikut kehendak hati kita. Banyak manusia yang apabila Al-Qur’an itu tidak kena dengan cara hidup mereka, mereka mahu mengubah ia kepada makna yang lain. Ini tidak boleh.
Ia juga mengajar yang Al-Qur’an ini bukanlah sentiasa sedap didengar tafsirannya. Kadangkala ia menegur kesalahan yang kita lakukan. Maka kita kenalah ubah mengikut kehendak Allah ﷻ seperti disebut di dalam Al-Qur’an. Bukannya marah kepada Al-Qur’an kerana kalau begitu, marah Allah ﷻ sebenarnya!
Jangan hairan kalau ada sesetengah ayat Al-Qur’an menegur tepat terkena batang hidung kita jika ada fahaman yang salah, atau amalan yang salah yang kita lakukan. Ini biasa sahaja. Sebelum anda yang baca ini kena, saya yang belajar dan menulis ini pun sudah terkena dari awal lagi. Yang sepatutnya kita lakukan adalah terima teguran itu dan ubah diri dan sikap kita supaya selari dengan wahyu, bukannya wahyu itu pula yang ditukar.
Malangnya, ramai yang seperti disebut di dalam ayat ini, mereka menentang. Mereka minta tafsiran yang lain. Mereka mahukan tafsiran yang ikut selera mereka.
قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِن تِلْقَاءِ نَفْسِي
Katakanlah: “Tidaklah mungkin bagiku menggantinya daripada pihak diriku sendiri.
Nabi ﷺ disuruh untuk memberitahu kepada Musyrikin Mekah yang baginda tidak boleh suka-suka untuk mengubah Al-Qur’an itu. Bukan hak baginda untuk mengubah Al-Qur’an yang telah diturunkan itu. Al-Qur’an itu sendiri bukan datang daripada baginda, tentulah baginda tidak boleh ubah. Bukannya baginda buat, tetapi ia datang daripada Allah ﷻ, Tuhan mereka semua juga.
Perkataan تِلْقَاءِ berasal daripada katadasar ل ق ي yang bermaksud ‘berjumpa’. Maka, perkataan تِلْقَاءِ bermaksud ‘tempat perjumpaan’. Ia juga boleh diambil sebagai ‘arah tujuan’ kerana tempat perjumpaan yang telah ditetapkan akan menjadi arah tujuan kita. Oleh itu, ayat ini bermaksud: Nabi ﷺ tidak boleh mengubah Al-Qur’an itu mengikut arah tujuan baginda, tetapi kena ikut apa yang Allah ﷻ kehendaki.
Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengubah tafsiran mana-mana ayat. Janganlah kerana kita hendak memuaskan hati sesiapa maka kita ubah makna atau tafsir ayat Al-Qur’an. Tafsir Al-Qur’an ini telah dikupas oleh ulama-ulama salaf yang lebih faham tentang Al-Qur’an ini. Mereka telah mengupas ayat Al-Qur’an ini satu persatu dan kita hanya menyampaikan sahaja.
Pemahaman makna Al-Qur’an itu telah ada, cuma kita berikan contoh-contoh keadaan semasa supaya pembaca lebih faham sahaja. Bukanlah kita suka-suka tafsir ayat Al-Qur’an ini mengikut citarasa kita. Ayat Al-Qur’an itu ditafsirkan dengan ayat Al-Qur’an sendiri, kemudian dengan hadith Nabi ﷺ, kemudian dengan kata-kata sahabat (kerana mereka belajar sendiri dengan Nabi ﷺ), kemudian dengan kata-kata tabein (kerana mereka belajar dengan sahabat), kemudian dengan pemahaman bahasa Arab Quraish. Maknanya, Al-Qur’an ini bukanlah boleh ditafsir dengan akal.
إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ
Sesungguhnya aku tidak mengikut kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.
Tentulah Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengubah apa-apa kerana Nabi ﷺ juga mengikut apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Itulah tugas dan “jobscope” seorang Nabi ﷺ. Maka kita kena ikut begitu juga. Kalau apa yang ditafsirkan itu mereka tidak suka, kita tidak boleh buat apa-apa, kerana itulah tafsirannya.
Kita pun kena ikut apa yang telah disampaikan oleh Allah ﷻ. Sebab kita kenalah ikut Nabi ﷺ kita, bukan? Barulah boleh dikira pengikut Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ pun kena ikut Al-Qur’an, begitulah juga para ulama’, para asatizah dan orang awam sekali pun. Maka tidak boleh kita hendak ubah tafsir untuk ayat yang telah jelas. Manakala tentang ayat-ayat mutashabihat yang tidak jelas maknanya kepada kita dan tidak pernah diberitahu oleh Nabi ﷺ, kita terima tanpa mentakwilkan apakah maksudnya.
إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي
Sesungguhnya aku takut jika menderhakai Tuhanku
Nabi Muhammad ﷺ pun takut derhaka kepada Allah ﷻ kalau mengubah Al-Qur’an itu. Kalau Nabi Muhammad ﷺ, seorang Rasul yang mulia yang telah dijamin syurga pun takut dengan Allah ﷻ, lalu bagaimana pula dengan kita manusia biasa ini? Maka takkan kita boleh sesuk hati pula berani hendak tafsir ayat Al-Qur’an mengikut kehendak kita? Malangnya ramai yang buat begitu.
عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
seksa hari yang besar (kiamat)”.
Kesan kalau ubah ayat-ayat Allah ﷻ adalah amat berat, tidak akan selamat pada hari akhirat nanti. Adakah kita sanggup untuk mengadap Allah ﷻ dengan membawa satu dosa yang amat besar itu?
Yunus Ayat 16: Satu lagi jawapan yang diajar oleh Allah ﷻ. Maka ini adalah ayat menjawab Syikayah sebelum ini.
قُل لَو شاءَ اللَّهُ ما تَلَوتُهُ عَلَيكُم وَلا أَدرىٰكُم بِهِ ۖ فَقَد لَبِثتُ فيكُم عُمُرًا مِّن قَبلِهِ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ
Say, “If Allah had willed, I would not have recited it to you, nor would He have made it known to you, for I had remained among you a lifetime before it. Then will you not reason?”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Qur’an ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Qur’an ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Qur’an ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”
قُل لَّوْ شَاءَ اللَّهُ
Katakanlah: “Jikalau Allah menghendaki,
Kehendak Allah ﷻ adalah qada’-Nya yang tidak dapat dielak lagi. Apa sahaja yang Allah ﷻ kehendaki, Dia akan jadikan.
مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ
nescaya aku tidak membacakannya kepadamu
Nabi Muhammad ﷺ beritahu yang baginda baca dan sampaikan Al-Qur’an itu kepada umatnya itu kerana Allah ﷻ yang suruh baginda. Ini seperti arahan Allah ﷻ kepada baginda di dalam Ankabut: 45
اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ
Bacakanlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah salat.
Kalau bukan kehendak Allah ﷻ, tidaklah Al-Qur’an ini diturunkan kepada kita dan dibacakan kepada kita dan tidaklah kita sedang mempelajari tafsirnya sekarang. Allah ﷻ telah takdirkan yang Al-Qur’an inilah yang menjadi panduan hidup kita sekarang dan kita kena taat kepada Al-Qur’an ini kerana ia daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ suruh kita ikut Al-Qur’an ini.
Kalau Allah ﷻ mahu, tiadalah juga kita perlu bersusah-payah untuk menyampaikan tafsir ini kepada manusia. Namun Allah ﷻ telah memerintahkan kita untuk berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Al-Qur’an. Maka janganlah marah kalau kita tulis tafsir ini dan sampaikan kebenaran. Malangnya, ramai yang tidak membuka hati mereka kepada kebenaran dan menuduh kita dengan macam-macam tuduhan. Ia tidak memberi kesan pun kerana kita tahu yang dia itu tidak tahu.
وَلَا أَدْرىٰكُم بِهِ
dan tidaklah Dia memberitahu kamu tentangnya (tentang Al-Qur’an)
Kalau bukan atas kehendak Allah ﷻ, kita tidak akan tahu akan Al-Qur’an ini. Namun Allah ﷻ telah takdirkan kita untuk mengetahui tentangnya. Maka bersyukurlah banyak-banyak kalau kita ini orang yang suka untuk belajar tafsir.
Juga Allah ﷻ yang telah pilih dan lantik Nabi Muhammad ﷺ menjadi Nabi untuk menyampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia.
Kalimat أَدْرَاكُم berasal daripada kata أدْرَى yang diambil daripada katadasar د ر ي iaitu ‘mengetahui sesuatu daripada tandanya’. Seperti kita tahu ada api daripada asapnya sebagai – walaupun kita tidak nampak api, tetapi kita tahu ada api daripada sebab kita nampak asap itu.
Oleh itu, Musyrikin Mekah sepatutnya tahu yang Al-Qur’an itu adalah benar kerana mereka boleh lihat sendiri sifat Nabi Muhammad ﷺ yang tidak pernah menipu. Takkan Nabi Muhammad ﷺ hendak menipu tentang Al-Qur’an ini pula? Juga mereka tahu sangat bahasa Arab dan mereka tahu yang bahasa yang ada di dalam Al-Qur’an ini bukan bahasa Arab yang biasa dituturkan oleh manusia.
فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِ
Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu lama sebelumnya.
Nabi Muhammad ﷺ telah lama tinggal dengan kaumnya itu. Kalimah عُمُرًا bermaksud umur yang panjang. Bayangkan selama 40 tahun baginda tinggal tetap bersama mereka. Mereka sepatutnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang yang jujur dan tidak pernah menipu.
Kalau baginda tidak pernah menipu tentang perkara lain, kenapa pula baginda hendak menipu tentang Al-Qur’an ini pula? Sepanjang hidup baginda tidak menipu, tetapi bila sudah umur lanjut tiba-tiba hendak menipu pula? Tentu tidak masuk akal. Maka ini adalah salah satu tanda kepada mereka bahawa Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar.
Nabi Muhammad ﷺ disuruh oleh Allah ﷻ untuk memberitahu kepada kaumnya tentang sifatnya yang mulia. Ini mengajar kita supaya mempunyai sifat-sifat yang mulia, supaya mereka yang kita dakwah itu yakin untuk mengikut kita. Cara hidup kita dilihat oleh manusia lain, seumpama kita ini duta kepada Islam, maka hendaklah kita menjaga budi pekerti kita.
Antara sebab masyarakat yang kafir tidak teringin untuk mempelajari Islam adalah kerana mereka melihat perangai kebanyakan umat Islam yang buruk sekali. Sampaikan mereka boleh kata: “kalau Islam itu adalah agama yang baik, tentulah penganutnya pun baik juga…” Lihatlah bagaimana nama Islam buruk disebabkan perangai umat sendiri yang buruk.
Kadang-kadang orang yang sudah lama hidup dengan kita menilai diri kita. Itulah orang yang kita sudah lama bersama mereka seperti ahli keluarga kita dan rakan kenalan kita. Mereka sudah kenal sangat dengan kita dan kita pun sudah kenal sangat dengan mereka. Kadang-kadang ada yang sama-sama nakal sewaktu kecil dahulu. Kadang-kadang sama-sama ponteng salat ponteng puasa dan sebagainya.
Akan tetapi kita telah belajar Al-Qur’an ini dan belajar agama dan kita telah faham. Namun kadang-kadang, manusia akan menilai kita berdasarkan kepada sifat dan perangai kita yang dahulu. Kalau ini terjadi kepada kita, kita mengakulah yang kita memang sudah lama tinggal dengan mereka dan mereka pun sudah kenal kita dengan perangai kita yang dahulu. Maka kita beritahu mereka, yang dahulu tidak semestinya kekal begitu.
Beritahu mereka: Kalau Allah ﷻ sudah beri hidayah kepada kita, tentu kita boleh berubah. Namun bagaimana dengan mereka? Adakah mereka mahu kekal hidup seperti dahulu juga?
Satu lagi Allah ﷻ suruh mereka berfikir: selama baginda duduk tinggal dengan mereka, adakah pernah Nabi Muhammad ﷺ menulis puisi, sajak dan sebagainya? Tentu tidak pernah. Jangan kata puisi, hendak tulis surat cinta pun tidak boleh sebab baginda tidak boleh membaca dan menulis. Maka kenapa tiba-tiba mereka hendak kata Al-Qur’an yang begini punya hebat boleh datang daripada baginda? Allah ﷻ sebut dalam Ankabut: 48
وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ
Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu
أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maka apakah kamu tidak memikirkannya?
Tidakkah puak musyrikin itu mahu memikirkan, kenapa Nabi Muhammad ﷺ hendak menyusahkan diri baginda menyampaikan Islam kalau Islam itu tidak benar? Baginda pun tahu betapa susah hidup baginda selepas baginda membawa dakwah Islam ini.
Kalau dulu baginda dipandang tinggi, sampaikan baginda digelar al-Amin (Yang Dipercayai), tetapi baginda kehilangan itu semua selepas baginda bawa mesej tauhid. Baginda sudah mula dicaci, dicemuh, dihina dan sebagainya. Namun baginda teruskan juga kerana itu adalah tugas baginda yang telah diamanahkan oleh Allah ﷻ.
Begitu juga keadaan kita yang membawa dakwah tauhid ini kepada manusia sekarang. Apabila kita bawakan ajaran ini, manusia mencemuh kita, marah kepada kita, caci kita dan sebagainya. Bukanlah kita sengaja hendak meletakkan diri kita dalam keadaan ini. Kalau kita ikut amalan-amalan syirik dan bid’ah dalam masyarakat kita, kita tidak akan ada masalah-masalah ini.
Namun kerana apa yang kita sampaikan inilah kebenaran, maka kita tidak ada pilihan lain. Walaupun apa sahaja dugaan, kita tetap akan sampaikan juga. Maka kenapakah puak-puak bid’ah tidak mahu memikirkan? Mereka sangka kita sukakah untuk dikutuk dan dicaci? Tentu tidak, tetapi kita sampaikan juga kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kita. Orang yang tahu kena sampaikan kepada orang yang tidak tahu.
Begitu juga dengan ahli keluarga dan kenalan kita yang sudah lama kenal kita. Tidakkah mereka terfikir bagaimana kita sudah berubah kerana kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an? Kita sudah ubah perangai daripada yang buruk kepada yang baik. Kenapakah mereka tidak mahu berubah juga?
Tadi telah disebut Nabi Muhammad ﷺ telah lama tinggal dengan mereka dan mereka tentunya telah kenal baginda, apa yang baginda belajar dan tahu, ke mana baginda telah pergi. Maka setelah baginda mendapat wahyu, tidakkah mereka nampak perubahan pada diri baginda yang lain daripada yang dahulu? Tidakkah mereka fikirkan?
Satu lagi pengajaran bagi kita adalah dalam menilai seseorang. Sifatnya yang selama ini juga boleh diperhatikan adalah sebagai tanda untuk menilai seseorang. Contohnya kalau kita hendak melantik seseorang ke jawatan yang memerlukan sifat amanah. Kita kenalah perhatikan adakah sebelum ini dia seorang yang amanah? Al-Qur’an sedang mengajar kita untuk pandai menilai manusia. Jangan hanya melihat luaran sahaja, tetapi pandanglah apa yang disampaikannya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
2 thoughts on “Tafsir Surah Yunus Ayat 15 – 16 (Minta Qur’an yang lain)”