Yunus Ayat 17: Ayat ini adalah tentang mereka yang buat bid’ah. Ingatlah bahawa mereka yang buat amalan bid’ah itu adalah mereka yang menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Maka ini adalah ayat Zajrun.
فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ المُجرِمونَ
So who is more unjust than he who invents a lie about Allah or denies His signs? Indeed, the criminals will not succeed
Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.
فَمَنْ أَظْلَمُ
Maka siapakah yang lebih zalim
Apabila Allah ﷻ bertanya ‘siapakah yang lebih zalim’, itu bermaksud tidak ada yang lebih zalim. Siapakah yang dimaksudkan itu?:
مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah
Mereka berdusta dengan mengatakan sesuatu amalan itu akan dapat pahala walaupun Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah mengatakan sedemikian. Dalil pun mereka tidak boleh bawa apabila diminta. Sebagai contoh, ramai ahli bid’ah mengatakan amalan Majlis Tahlil adalah baik dan dapat pahala dan pahala daripada Majlis Tahlil itu boleh disampaikan pula kepada si-mati.
Ini adalah penipuan padahal Allah ﷻ tidak pernah suruh dan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah menganjurkan majlis ini dan tidak pernah mengatakan yang pahala sedekah atau pahala hadiah boleh sampai kepada orang yang telah mati. Perbuatan mereka itu telah melawan apa yang telah ditentukan di dalam ayat Al-Qur’an seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam Najm: 39
وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya,
Malah berbagai-bagai lagi amalan bid’ah yang telah direka oleh manusia. Apabila mereka mengatakan sesuatu amalan itu boleh mendapat pahala padahal tidak ada dalil terhadapnya, maka mereka telah berdusta di atas nama Allah ﷻ. Ini kerana hanya Allah ﷻ yang memberikan pahala atas sesuatu amalan itu, dan hanya Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diutuskan untuk mengkhabarkan dan mengajarkannya kepada kita dan memberitahu pahala kepada sesuatu amalan itu.
Oleh itu, amat berat apa yang ahli bid’ah itu lakukan. Mereka sangka apa yang mereka buat itu baik tetapi sebenarnya mereka berdusta di atas nama Allah ﷻ.
Ayat sebegini banyak terdapat di dalam Al-Qur’an kerana ia adalah perkara yang penting. Ia banyak dilakukan oleh manusia. Maka, ia banyak sekali diulang-ulang.
أَوْ كَذَّبَ بِئآيٰتِهِ
atau mendustakan ayat-ayat-Nya?
‘Mendustakan ayat-ayat-Nya’ boleh ditafsirkan sebagai ‘menolak ayat-ayat Allah ﷻ’. Entah berapa ramai manusia yang mengaku mereka beragama Islam tetapi kerana mereka tidak belajar agama dengan benar, maka mereka telah menolak ayat-ayat Al-Qur’an tanpa mereka sedari. Mereka sangka apa yang mereka buat itu adalah baik namun apabila mereka menolak ayat Al-Qur’an, mereka sebenarnya telah kufur.
Ayat ini juga mengajar kita supaya ikhlas dalam mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an. Jangan kita berdusta dengan memberikan pentafsiran yang lain daripada yang sepatutnya. Jangan kerana kita takut kepada seseorang atau kepada sesuatu puak, kita tukar makna sesuatu ayat itu. Itu juga dikira sebagai ‘berdusta’.
Mungkin orang kita tidak berani menolak Al-Qur’an secara berdepan. Mereka pun tidak berani kata Al-Qur’an ini kata-kata dusta sahaja. Akan tetapi, kalau tidak menghiraukan Al-Qur’an (iaitu untuk memahaminya) maka ia boleh dikira mendustai Al-Qur’an juga. Kenapa? Kerana jika dia benar-benar percaya yang Al-Qur’an ini adalah panduan daripada Allah ﷻ yang boleh membawa ke syurga, maka tentulah mereka akan ambil perhatian, ambil pusing dan mempelajarinya walau dengan apa cara sekali pun.
Akan tetapi kalau buat tidak tahu sahaja, maka seolah-olah mereka anggap Al-Qur’an ini hanyalah kata-kata dusta dan menganggapnya sebagai tidak penting. Berapa ramai orang yang sebegini? Yang tidak pernah terfikir pun untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an? Malangnya sangat-sangat ramai, bukan? Ada yang daripada keluarga anda, ada dalam kalangan kawan-kawan anda, majoriti rakyat Muslim Malaysialah kita boleh katakan.
Oleh itu marilah kita popularkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Sampaikan mana-mana tempat belajar kepada kawan-kawan anda. Sambungkan penulisan seperti ini kepada mereka supaya mereka pun boleh baca dan boleh nilai.
إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ
Sesungguhnya, tiadalah beruntung orang-orang yang berbuat dosa.
Tidak akan beruntung mereka yang berdusta itu. Mereka mendustakan akidah Tauhid maka mereka ini adalah golongan musyrik. Mereka sangka mereka akan dapat pahala tetapi sebenarnya, mereka akan mendapat dosa. Mereka tidak akan beruntung langsung, malah mereka akan rugi. Mereka rugi di dunia kerana membuang masa dengan amalan mereka itu dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan mendapat dosa.
Mereka juga tidak akan menang. Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ tidak akan berjaya dan kita pun tahu daripada sejarah bagaimana mereka telah dikalahkan.
Orang-orang yang menentang ayat Allah ﷻ pun tidak akan berjaya. Sebagai contoh, puak-puak bid’ah di negara ini. Mereka tidak akan menang, kerana mereka tidak ada hujah. Hujah-hujah mereka hanyalah hujah-hujah akal dan kata-kata manusia. Sedangkan puak yang mendukung sunnah menggunakan hujah Al-Qur’an dan hadith Nabi.
Yunus Ayat 18: Huraian lagi tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka yang disebut sebelum ini.
وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم وَيَقولونَ هٰؤُلاءِ شُفَعٰؤُنا عِندَ اللَّهِ ۚ قُل أَتُنَبِّئونَ اللَّهَ بِما لا يَعلَمُ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ
And they worship other than Allah that which neither harms them nor benefits them, and they say, “These are our intercessors with Allah ” Say, “Do you inform Allah of something He does not know in the heavens or on the earth?” Exalted is He and high above what they associate with Him
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.”
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ
Dan mereka menyembah selain daripada Allah
Musyrikin Mekah dan puak musyrik yang lainnya, menyembah selain Allah ﷻ. Kita tahu yang mereka sembah berhala (yang mereka buat sendiri) seperti al-Latt, al-Uzza dan sebagainya. Akan tetapi bukan berhala sahaja yang disembah sebagai ilah, sebagai tuhan. Ada banyak lagi yang boleh dikira sebagai مِن دُونِ اللَّهِ (selain Allah ﷻ). Contohnya harta, wanita, takhta, hawa, dan sebagainya. Contohnya Allah ﷻ berfirman dalam Jathiya: 23
أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ
bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah
Kita perlu meluaskan makna ‘sembah’. Sembah bukan sahaja bermakna kita tunduk sujud kepada berhala atau patung, malah ia adalah lebih lagi. Ia bermaksud taat, puja, melakukan ibadat kepada sesuatu.
Oleh itu, apabila kita beri salam, atau hadiah fatihah kepada sesuatu entiti selain Allah ﷻ, maka itu pun sudah dikira ‘sembah’. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita patut buat ibadat, maka kalau kita ada buat ibadat untuk makhluk lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita hanya boleh sembah Allah ﷻ sahaja.
مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ
apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) boleh memberi kemanfaatan,
Tentulah satu kebodohan jika membuat sesuatu yang tidak memanfaatkan kita. Contohnya kita kerja di satu syarikat tetapi tidak mendapat gaji. Sebulan dua bolehlah lagi kita kerja di situ, tetapi takkan sampai setahun kerja tanpa dapat gaji, bukan? Itu bodoh namanya. Atau seorang wanita yang bernikah dengan seorang lelaki yang langsung tiada apapun untuk diberikan kepadanya, nafkah zahir tidak, nafkah batin pun tidak. Maka, apakah manfaat lelaki itu kepada isterinya itu?
Entiti-entiti yang golongan musyrik itu sembah dan buat ibadat seperti hadiah Fatihah dan beri salam pada malam hari itu, bukanlah boleh memberi manfaat atau mudarat kepada mereka. Segala ibadat itu tiada membawa kesan apapun sama ada kepada mereka atau entiti yang mereka sembah itu. Sia-sia sahaja apa yang mereka lakukan itu.
Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh memberi manfaat dan memberi mudarat kepada sesiapa pun sekarang kerana baginda sudah lama wafat dan tidak ada dalil yang mengatakan yang baginda akan membantu kita selepas baginda wafat. Baginda telah menjalankan tugas baginda menyampaikan Al-Qur’an dan ajaran agama kepada kita semasa hayatnya.
Namun sebaliknya sedang berleluasa sekarang fahaman-fahaman sesat yang mengatakan roh Nabi Muhammad ﷺ masih hidup dan berkeliaran dalam kalangan kita dan mendengar apa yang kita katakan kepada baginda. Ada Majlis Qasidah, Nabi ﷺ datang, ada Marhaban, Nabi ﷺ datang, sebelum azan kena baca selawat dulu sebab Nabi ﷺ hendak datang. Malah bermacam-macam lagi kepercayaan karut dalam masyarakat kita.
Itu semua tidak ada dalil yang sah melainkan agak-agak sahaja. ‘Agak-agak’ tidak ada nilai dalam agama terutama sekali dalam perkara-perkara ghaib dan akidah. Masyarakat kita masih tidak tahu hendak meminta dalil dari mereka yang mengajar. Maka, yang mengajar itu boleh cakap apa-apa sahaja dan masyarakat kita terima bulat-bulat.
Sekiranya Nabi Muhammad ﷺ, seorang nabi dan manusia paling mulia pun tidak boleh beri manfaat atau mudarat, apatah lagi manusia biasa lain? Maka, kalau ada yang beri salam dan hadiah Fatihah kepada wali dan malaikat, itu adalah satu ajaran yang amat salah sekali. Malangnya, ia amat berleluasa sekarang dalam masyarakat kita yang jahil tentang tafsir Al-Qur’an dan agama yang benar. Mereka hanya mengikut apa yang dikatakan oleh guru-guru sesat.
وَيَقُولُونَ هَٰؤُلَاءِ شُفَعٰؤُنَا عِندَ اللَّهِ
dan mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah”.
Ada sebab kenapa pemuja-pemuja itu melakukan ibadah kepada sembahan-sembahan mereka itu. Mereka tahu yang berhala itu bukanlah tuhan, sebab mereka sendiri yang membuat berhala itu dan berhala itu tidak boleh buat apa-apa pun. Namun mereka mempunyai satu fahaman yang sesat.
Lihatlah kata-kata sesat mereka yang Allah ﷻ nukilkan dalam ayat ini yang lahir daripada akidah sesat mereka. Musyrikin Mekah kata berhala yang mereka sembah seperti Latt dan Uzza itu kerana mereka berakidah bahawa berhala-berhala itu akan memberi Syafaat (pertolongan) kepada mereka nanti.
Niat mereka adalah kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ sebenarnya. Namun walaupun niat mereka begitu, tetapi tetap berlaku syirik juga kerana cara yang mereka lakukan itu adalah salah.
Begitu juga, sekarang ini sudah ramai yang ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ, mereka nyanyikan Qasidah untuk baginda, beri salam kepada baginda, hadiah Fatihah kepada baginda, dan semua itu mereka lakukan kerana mereka hendakkan Syafaat daripada baginda.
Tujuan mereka adalah untuk mendekatkan diri mereka dengan Allah ﷻ sebenarnya. Ini seperti yang disebut dalam Zumar: 3
وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,
Walaupun tujuan mereka boleh dikatakan baik, tetapi ia adalah dengan cara yang salah dan sesat. Kerana itulah mereka dipanggil dengan gelaran ‘Musyrikin’. Perbuatan yang salah ini lahir daripada salah faham manusia tentang Syafaat. Mereka rasa yang mereka itu tidak layak untuk menerima rahmat daripada Allah ﷻ kerana dosa-dosa mereka, maka mereka memohon pertolongan melalui perantaraan yang mereka lantik sendiri. Allah ﷻ tidak pernah ajar tentang hal ini. Allah ﷻ suruh minta terus kepada-Nya.
Hujah mereka adalah mereka samakan kerajaan Allah ﷻ dengan kerajaan di dunia. Untuk bertemu raja tentunya rakyat kebanyakan tidak boleh, bukan? Maka untuk bertemu raja hendaklah melalui perantaraan dengan orang yang rapat dengan raja. Ya hujah ini masuk akal tetapi kerajaan Allah ﷻ tidak boleh disamakan dengan kerajaan dunia! Allah ﷻ berkali-kali suruh kita terus berdoa kepada-Nya di dalam Al-Qur’an. Kalaulah ia sesuatu yang baik dan bagus, tentulah Allah ﷻ akan sebut caranya di dalam Al-Qur’an.
Inilah salah faham kebanyakan manusia tentang syafaat. Ia menjadi satu syirik (Syirk fis Syafa’ah). Tentang Syafaat ini telah diterangkan dalam ayat-ayat yang lain. Cara mereka untuk mendapatkan syafaat itu adalah salah sama sekali. Antaranya boleh dibaca dalam ayat Maryam: 87
لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا
Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!
Satu lagi, kekeliruan ini timbul kerana kita telah diajar dengan fahaman salah yang orang mati boleh mendengar cakap kita. Kalau kita lihat dalam filem dan drama pun, dipaparkan bagaimana manusia bercakap-cakap dengan orang dalam kubur. Kemudian apabila ada orang yang mati, dibacakan talqin kepada mereka seumpama mereka itu boleh mendengar ajaran kita. Ini sebenarnya berlawanan dengan ayat Fatir: 22
وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ
dan tidak sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.
Ayat ini memberitahu kepada kita, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat memberi pendengaran kepada orang yang mati. Kita tidak sekali-kali dapat memperdengarkan percakapan kita kepada mereka.
Oleh kerana salah faham yang timbul tentang syafaat, maka ramai manusia menyembah entiti selain Allah ﷻ kerana mengharapkan syafaat mereka. Asas kepada kesyirikan manusia adalah kerana salah faham tentang perantaraan. Apakah jawapan Allah ﷻ kepada alasan yang mereka berikan?
قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ
Katakanlah: “Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya
Adakah kamu hendak mengajar Allah ﷻ? Adakah ada perkara yang kamu tahu yang Allah ﷻ sendiri tidak tahu? Adakah kamu pandai sangat, lebih pandai daripada Allah ﷻ? Lihatlah bagaimana sinisnya teguran Allah ﷻ kepada mereka.
Mereka seolah-olah hendak mengajar Allah ﷻ kena ada ini dan itu. Sedangkan kalaulah perkara itu penting dalam agama, sudah tentu Allah ﷻ beritahu di dalam Al-Qur’an sama ada di dalam ayat pendek ataupun panjang. Atau pun Rasulullah ﷺ yang sampaikan kepada kita. Namun tidak ada langsung.
Adakah mereka ajar Allah ﷻ yang perantara mereka seperti Nabi, wali dan malaikat itu adalah wasilah kepada Allah ﷻ? Adakah Allah ﷻ beritahu dia itu dan ini boleh beri syafaat? Sedangkan Allah ﷻ tidak pernah beritahu.
فِي السَّمٰوٰتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ
baik di langit dan tidak (pula) di bumi?”
Adakah mereka mahu mengajar Allah ﷻ cara beribadat? Adakah mereka hendak beritahu kepada Allah ﷻ bahawa ada pemberi Syafaat di langit dan di bumi yang Allah ﷻ tidak tahu? Adakah kerana mereka cakap perkara yang Allah ﷻ tidak pernah cakap, maka adakah mereka lebih tahu daripada Allah ﷻ?
Maknanya, ayat ini memberitahu kepada kita, jika Allah ﷻ tidak pernah cakap dan ajar kita buat begitu, maknanya ia tidak ada. Janganlah guna akal dan agak-agak sahaja.
Sebagai contoh, adakah Allah ﷻ atau Nabi ﷺ ajar kita untuk selawat dan Qasidah beramai-ramai? Adakah Allah ﷻ atau Nabi ﷺ ajar kita untuk mengadakan majlis Maulid? Janganlah beri dalil dengan menyebut Syeikh ini atau Syeikh itu kata ia boleh dan molek malah digalakkan pula. Jika ada, datangkan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith kerana itulah sepatutnya pegangan kita.
Selain daripada itu, ayat ini juga menempelak pemahaman syafaat yang salah dalam kalangan manusia. Syafaat itu adalah pertolongan dalam bentuk rekomendasi. Pemberi syafaat akan tolong dengan meminta pertolongan Allah ﷻ untuk belas kasihan kepada seseorang yang diberikan bantuan itu. Untuk sesiapa beri rekomendasi kepada kita, hendaklah orang itu tahu sesuatu yang kita tidak tahu.
Sebagai contoh, seorang pengurus memberitahu kepada pemilik syarikat yang seorang pekerja itu patut naik pangkat kerana dia seorang yang rajin. Mungkin pemilik syarikat itu tidak tahu kerajinan pekerja itu dan kerana itulah dia perlu diberitahu oleh pengurus.
Tetapi di dalam hal syafa’at, apakah lagi yang boleh diberitahu oleh pemberi syafaat itu kepada Allah ﷻ sedangkan Allah ﷻ tahu segala apa yang berlaku di langit dan di bumi? Allah ﷻ telah tahu segalanya tentang semua makhluk-Nya. Tidak ada perkara lain lagi yang boleh diberitahu tentang seseorang melainkan Allah ﷻ telah tahu belaka.
Oleh itu, pemahaman syafaat mereka yang memuja selain Allah ﷻ itu adalah salah.
سُبْحٰنَهُ وَتَعٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dan apa yang mereka mempersekutukan (itu).
Maha Suci Allah daripada tidak tahu semua perkara, sampai mereka kena beritahu Allah ﷻ, kena ajar Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak memerlukan sekutu-sekutu dalam pentadbiran alam ini. Allah ﷻ tidak memerlukan pemberi-pemberi syafaat untuk menyelamatkan sesiapa pun. Pemberi-pemberi syafaat itu tidak boleh memaksa Allah ﷻ dalam membuat keputusan.
Allah Maha Tinggi daripada pemahaman yang mengatakan Dia bersifat seperti makhluk. Dengan manusia, bolehlah untuk kita pujuk atau paksa dia, namun tidak dengan Allah ﷻ.
Yunus Ayat 19: Kadang-kadang selalu kita berdakwah dan ditolak, maka kita pun terfikir alangkah baiknya jika Allah ﷻ menjadikan semua umat ini sebagai satu ummat sahaja; iaitu ummat yang dalam satu akidah sahaja, tidak berpecah belah.
Kita rasa kalau semua manusia menjadi satu ummat, kita fikir yang semuanya akan bersatu padu. Tidaklah nanti kita susah dalam berhujah dan berlawan dengan mereka agaknya. Allah ﷻ jawab dalam ayat ini:
وَما كانَ النّاسُ إِلّا أُمَّةً وٰحِدَةً فَاختَلَفوا ۚ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم فيما فيهِ يَختَلِفونَ
And mankind was not but one community [united in religion], but [then] they differed. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been judged between them [immediately] concerning that over which they differ.
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.
وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وٰحِدَةً
Manusia dahulunya adalah satu umat,
Umat manusia ini memang umat yang satu semenjak dahulu lagi. Kalimah ummat digunakan dalam empat maksud di dalam Al-Qur’an:
1. Sekumpulan manusia
2. Zaman
3. Imam yang diikuti seperti Nabi Ibrahim عليه السلام
4. Millah (agama).
Di dalam ayat ini ia bermaksud millah, satu agama; iaitu ketika zaman Nabi Adam عليه السلام. Kemudian keturunan mereka berpecah dan terkeluar akidah mereka ketika zaman Nabi Nuh عليه السلام. Dikatakan oleh Ibnu Abbas رضي الله عنهما, antara Nabi Adam عليه السلام dan Nabi Nuh عليه السلام, terdapat sepuluh generasi dan semua mereka di atas Tauhid. Keturunan Nabi Adam عليه السلام tentulah telah berkembang biak dan hidup merata dan bahasa mereka pun mungkin berbeza. Namun Allah ﷻ tetap mengatakan mereka umat yang satu kerana sama-sama di atas akidah Tauhid. Cuma mereka berpecah ketika di zaman Nabi Nuh عليه السلام. Kesyirikan mereka adalah kerana ghuluw dalam mengagungkan 5 orang soleh mereka seperti disebut dalam Nuh: 23
وَقالوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُم وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُواعًا وَلا يَغوثَ وَيَعوقَ وَنَسرًا
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.
Lima nama yang disebut itu asalnya adalah orang soleh mereka. Namun lama kelamaan telah disembah oleh golongan yang kemudian kerana ghuluw. Diringkaskan cerita mereka semua telah dimatikan di dalam banjir besar. Oleh itu manusia kembali menjadi umat yang satu selepas itu. Ingatlah apabila turunnya pengikut-pengikut Nabi Nuh عليه السلام daripada bahtera baginda selepas Banjir Besar. Waktu itu semuanya beriman belaka dan tidak melakukan syirik. Ini kerana hanya yang beriman sahaja yang menaiki kapal itu. Tidak ada yang membuat syirik dan tidak juga mereka buat bid’ah. Ada riwayat yang kata ada dalam 40 orang, dan ada pula riwayat yang kata ada dalam 80 orang.
Maka kita jika di atas akidah tauhid yang sama, kita dianggap sebagai satu umat sebenarnya. Hanya zaman sekarang sahaja kita berpecah dan membeza-bezakan antara negara itu dan ini, bangsa itu dan ini, walaupun semuanya Muslim belaka. Inilah fitnah zaman ini. Kita telah lama meninggalkan pertalian iman sesama kita. Padahal itulah yang dulunya berlaku. Kerana itulah Khalifah negara Islam seluruh dunia ada satu sahaja.
فَاخْتَلَفُوا
kemudian mereka berselisih.
Namun, lama kelamaan keturunan Kaum Nabi Nuh عليه السلام yang beriman itu akhirnya berpecah belah dan berselisih juga. ‘Perselisihan’ itu bermaksud ada yang beriman ada yang kufur. Ada yang masih ikut ajaran Nabi dan ada pula yang reka fahaman baru. Maknanya, amalan syirik ini adalah baru sebenarnya, kerana asalnya manusia adalah ahli tauhid belaka.
Umat Islam semenjak dulu sampai sekarang pun ada banyak perselisihan. Antara sesama Islam pun banyak perselisihan. Sebagai contoh, puak Sunnah mengatakan bahawa orang yang mati tidak boleh mendengar. Ini berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Namun sebaliknya puak ahli bid’ah mengatakan yang orang yang sudah mati boleh pula mendengar. Ini adalah perselisihan yang jauh berbeza yang tidak ada titik persamaan langsung antara keduanya.
Bagaimana mungkin kedua-dua pendapat itu benar sedangkan ia jauh berbeza? Tentu ada satu pendapat sahaja yang betul, bukan? Itu baru satu perselisihan, dan ada banyak lagi perselisihan yang timbul antara yang benar dan yang batil.
Oleh kerana ada perselisihan sebegini, maka kita hendaklah mencari manakah pandangan yang betul. Hendaklah kita mencari ilmu dan belajar sampai kita yakin mana satu pegangan yang betul. Tidaklah boleh kita biarkan sahaja dan duduk tanpa berbuat apa-apa kerana tidak mungkin kedua-duanya benar. Sebab ini adalah perkara agama dan kita kena pastikan manakah yang betul. Ini kerana pegangan yang salah akan menyebabkan kita masuk neraka dan kita tentu tidak mahu masuk neraka, bukan?
Malangnya yang ramai dalam negara ini adalah ahli bid’ah dan mereka bukan sahaja tidak mahu mencari kebenaran, tetapi mereka mencaci kita pula apabila kita memberitahu mereka mana yang benar kepada mereka. Mereka hanya ambil jalan mudah dengan menerima sahaja apa kata guru-guru dan ustaz mereka. Mereka tidak minta dalil manakah yang dipakai oleh guru mereka. Mereka tidak mahu menggunakan akal mereka. Mereka membiarkan akal mereka ditetapkan oleh orang lain.
Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa umat manusia di dunia ini memang ditakdirkan pasti akan ada perselisihan antara mereka. Tidaklah perlu hairan lagi dan tidaklah kita risau apabila melihat perpecahan antara manusia ini. Memang ia akan terjadi.
Ingatlah bahawa ini memberi peluang kepada kita mengaut pahala berdakwah kepada mereka. Kalau semua umat manusia ini beriman dan sunnah belaka, maka siapakah yang hendak kita dakwahkan lagi?
وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ
Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada daripada Tuhanmu dahulu,
Mungkin kita tertanya-tanya: Kenapakah Allah ﷻ tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik? Bukankah Allah ﷻ telah memusnahkan kaum-kaum terdahulu yang telah melakukan syirik, seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام itu? Kenapa sekarang ini walaupun banyak kesyirikan dilakukan manusia, tetapi Allah ﷻ seperti biarkan sahaja mereka? Kenapa tinggalkan ahli tauhid sahaja yang hidup?
Allah ﷻ tidak memusnahkan terus mereka yang melakukan syirik kerana Allah ﷻ telah menetapkan sesuatu ke atas Diri-Nya. Ketetapan yang Allah ﷻ telah tetapkan itu adalah Dia akan melewat-lewatkan azab ke atas manusia. Allah ﷻ tidak terus musnahkan sahaja mereka yang melakukan syirik.
Allah ﷻ melewatkan azab ke atas mereka sampai mereka mati nanti. Allah ﷻ beri peluang kepada manusia untuk bertaubat. Itu adalah salah satu daripda rahmat Allah ﷻ. Hanya apabila mereka tidak bertaubat, barulah mereka akan diazab di akhirat kelak.
Allah ﷻ beri peluang kepada manusia selagi masih hidup bernafas di dunia. Kalau sudah mati, maka sudah tidak ada harapan lagi. Banyak kali ayat ini diulang-ulang di dalam Al-Qur’an.
لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ
pastilah telah diberi keputusan di antara mereka,
Kalau Allah ﷻ memberi terus azab kepada manusia apabila mereka membuat syirik atau dosa, maka akan matilah semua manusia kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa. Cuba bayangkan, sebaik seorang manusia yang membuat syirik terus sahaja dia dipanah petir, atau selepas membuat dosa akan terus dilanggar kereta. Maka Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat.
فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
tentang apa yang mereka perselisihkan itu.
Sekiranya Allah ﷻ mematikan semuanya, tentulah perselisihan yang mereka hadapi itu akan selesai belaka. Namun bukanlah begitu cara Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak mematikan manusia walaupun mereka berdosa atau melakukan syirik sekali pun. Kita dulu pun mungkin pernah melakukan syirik kerana jahil tetapi Allah ﷻ masih lagi beri peluang kepada kita, bukan?
Perselisihan akan tetap dan sentiasa berlaku. Yang sepatutnya kita lakukan adalah mencari apakah fahaman yang benar. Itu tentunya kita hanya boleh dapat dengan belajar wahyu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair