Ayat 10: Tadi telah disebut tentang langit, sekarang sebut tentang bumi pula. Allah suruh lihat kepada nikmat yang diberiNya kepada kita di bumi pula. Dari ayat ini dan sampai ayat 20, Allah akan banyak menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia dan jin.
Iaitu nikmat umum yang diberikan kepada semua makhluk jin atau manusia. Beriman atau tidak, manusia dan jin tetap juga dapat nikmat-nikmat itu. Ini kerana nikmat itu ada yang diberikan kerana usaha dan ada nikmat yang diberikan tanpa usaha pun. Sekarang Allah mulakan sebut nikmat umum dulu, iaitu nikmat yang semua makhluk dapat.
وَالأَرضَ وَضَعَها لِلأَنامِ
And the earth He laid [out] for the creatures.
Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:
Perkataan أنام bermaksud semua kehidupan yang bernyawa. Ia dari katadasar أ ن م yang bermaksud yang tinggal di bumi dan mempunyai roh. Ini mengikut pendapat ibn Abbas, yang mengatakan ia bermaksud apa sahaja yang ada roh. Manusia, binatang, serangga dan sebagainya.
Ia berbeza sedikit dengan makhluk yang bermaksud semua yang dicipta. Tapi bukan semua makhluk ada roh seperti kerusi, meja, batu dan sebagainya. Maka kalimah أنام merujuk kepada makhluk yang ada roh.
Bukannya dunia ini dijadikan untuk manusia dan jin sahaja tapi semua makhlukNya yang hidup di dunia ini. Mereka juga tinggal di atas bumi ini dan memerlukan sumber rezeki untuk kehidupan mereka. Maka hendaklah kita menghormati juga kehidupan mereka.
Maka jangan kita tindas mereka. Kena buat baik dengan makhluk lain. Ini penting kerana ada manusia yang menyeksa binatang-binatang dalam alam ini. Dan kerana pembangunan, manusia telah memotong tanaman-tanaman untuk kepentingan mereka. Itu adalah kerana jahil dengan sifat keadilan seperti yang diajar dalam wahyu. Kita banyak tidak adil dengan alam.
Ayat 11: Allah bukan jadikan bumi ini kosong sahaja, tapi macam-macam Allah berikan kepada kita di dalamnya.
فيها فاكِهَةٌ وَالنَّخلُ ذاتُ الأَكمامِ
Therein is fruit and palm trees having sheaths [of dates]
Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;
فِيهَا فَاكِهَةٌ
Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan
Allah terus sebut tentang makanan sebab inilah keperluan utama makhluk. Bayi yang baru lahir pun terus nak makanan, bukan? Walaupun disebut buah-buahan dalam ayat ini tetapi ia mewakili semua makanan.
Perkataan فَاكِهَةٌ asalnya bermaksud ‘gembira’. Dari segi bahasa, ia digunakan untuk merujuk kepada buah-buahan kerana apabila makan buah-buahan, kita jadi suka dan tersenyum. Rasanya yang enak telah menggembirakan kita.
Allah nak beritahu bahawa Allah beri kehidupan ini dan segala keindahannya adalah untuk manusia dan juga makhluk-makhluk lain yang ada di bumi. Semua makhluk dapat makan segala rezeki yang Allah kurniakan. Tapi yang dapat menghargai makanan yang sedap adalah manusia.
Ini kerana manusia makan bukan kerana setakat nak hidup sahaja. Kita pandai makan makanan yang beri kepuasan untuk kita. Kita sanggup mencari makanan yang sedap-sedap kerana kita dapat menghargai makanan. Oleh itu, lihatlah rahmat Allah kepada kita. Kalau nak bagi cukup makan untuk kelangsungan hidup sahaja, tak perlu nak bagi makanan yang sedap pun.
وَالنَّخْلُ
dan pohon-pohon kurma
Walaupun Allah telah sebut makanan secara umum (menggunakan kalimah buah-buahan), tetapi Allah tetap khususkan sebut kurma juga. Ini kerana orang Arab tetap mahukan kurma macam kita hendak makan nasi juga apabila pergi mana-mana. Maka Allah sebut jugalah kurma untuk memuaskan hati mereka. Kerana kalau tiada, maka mereka tidak akan puas hati.
Dan memang hebat kurma ini kerana ia adalah makanan berzat dan tidak berubah harganya dari zaman dulu sampai sekarang. Ini kelebihan kurma. Ia boleh menjadi makanan ruji bagi manusia.
Dan pokok kurma adalah sesuatu yang cantik kepada orang Arab. Bukan hanya kepada mereka sahaja. Ada tempat-tempat lain dalam dunia ini, yang menunjukkan manusia suka kepada pokok palm ini. Lihatlah kawasan California yang banyak pokok palm. Dan ia menjadi satu tempat yang mahal. Kerana ia memberi perasaan gembira dan puas kepada mereka yang melihatnya.
Allah selalu sebut pokok kurma dalam Al-Qur’an kerana Al-Qur’an mula diturunkan kepada bangsa Arab. Jadi, mereka sudah biasa dengan kurma. Bukanlah nak kata hanya pokok kurma sahaja yang ada dalam dunia ini. Kalau di tempat kita, banyak lagi jenis buah-buahan lain. Tapi kalau dengan orang Arab diceritakan tentang rambutan, sudah jadi satu kerja pula nak menerangkan kepada mereka apakah rambutan itu kerana mereka tak pernah tengok pokok rambutan.
Kurma juga adalah tumbuhan tapi Allah sebut secara berasingan kerana ianya ada kelebihan. Ianya boleh digunakan sama ada dalam bentuk basah atau kering. Semasa basah sedap, semasa kering pun sedap juga.
ذَاتُ الْأَكْمَامِ
yang ada kelopak;
Bukan dengan buah sahaja, tapi Allah beri buah kurma itu dengan kelopak sekali. Buah itu ada pembalut sekali sebagai pelindung. Itulah hadiah Allah kepada manusia. Bandingkan kalau kita beri hadiah kepada seseorang, kalau hadiah itu penting, maka kita akan balut hadiah itu dulu.
Kehebatan hadiah itu boleh dilihat dengan hebat balutannya juga. Kadang-kadang, tengok pembalut sahaja kita sudah suka kerana dibalut dengan cantik dan kemas. Kalau balutan pun sudah cantik, maka hadiah itu pun selalunya lagi cantik.
Food packaging adalah satu perniagaan yang bernilai trillion dollar. Hampir semua makanan dijual dengan bungkusan yang cantik-cantik. Tapi pembungkus makanan manusia menyebabkan keburukan kepada alam sekitar. Selepas barang dalamnya diambil, maka kotak itu dibuang yang merosakkan alam menjadi sampah untuk jangka masa yang lama.
Tapi lihatlah pembungkus makanan yang dibuat oleh Allah: kalau kita buang pembungkus kelopak itu ke tanah, ia tidak akan mencemarkan tanah kerana ianya biodegradable. Ia akan hancur dan tidak menyebabkan pencemaran kepada alam.
Tapi pembungkus makanan manusia, kalau dibuang begitu sahaja, akan menyebabkan kerosakan pada tanah. Tapi Allah jadikan pembungkus makanan dalam buah-buahan dan tanaman amat baik sekali. Tak kisah kalau nak buang ke tanah. Bahkan ianya akan menjadikan tanah itu lebih subur lagi. Ma sha Allah. Lihatlah nikmat Allah ini.
Ayat 12:
وَالحَبُّ ذُو العَصفِ وَالرَّيحانُ
And grain having husks and scented plants.
Malay
Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;
وَالْحَبُّ
Demikian juga terdapat biji-bijian
Ini pula adalah jenis makanan ruji seperti gandum dan juga beras. Ia adalah jenis makanan yang dalam bentuk biji-bijian. Ini selalu dijadikan sebagai makanan ruji bagi penduduk setempat. Macam di negara kita, makan nasi; di kebanyakan negara lain, makan gandum.
ذُو الْعَصْفِ
yang ada kulit,
Untuk biji-bijian pula Allah jadikan kulit sebagai pelindung kepada bijian itu. Bila kita nak makan, kita kena tampi dan proses dulu. Dengan kulit itu barulah bijian itu segar dan kekal sedap. Kulit-kulit itu pula cantik. Kadang-kadang digunakan dalam corak yang dijadikan manusia.
Kulit itu juga boleh dijadikann makanan binatang. Iaitu jerami. Kena fikirkan juga sebab binatang perlukan makanan juga. Orang Arab kalau tempat tidak ada makanan untuk unta dia, dia tak mahu duduk di situ. Kerana mereka memerlukan unta mereka dan unta mereka memerlukan makanan juga.
وَالرَّيْحَانُ
dan berbau harum;
Kalimah الرَّيْحَانُ dari katadasar ر و ح yang bermaksud keluar di waktu petang, angin kuat, angin yang sepoi. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah angin yang berbau harum. Jenis angin yang bawa bau yang sedap dihidu dan menyegarkan.
Ini boleh dialami kalau kita pergi ke kawasan ladang apabila musim menuai. Akan dapat menghidu bau wangi itu. Kita akan rasa tenang dan senang di tempat sebegitu.
Itu semua adalah keindahan-keindahan yang diberikan kepada manusia. Manusia kafir tidak nampak segala keindahan alam ini kerana mereka sudah biasa nampak. Mereka anggap ia sebagai biasa sahaja. Mereka tak nampak bahawa yang menjadikan segala itu adalah Allah.
Dan Allah telah memberi segala kehebatan dan keindahan itu kepada manusia. Maka kita janganlah jadi seperti mereka yang nampak, tapi tidak menghargai. Hendaklah kita melihat alam ini dengan mata hati. Hendaklah kita ingat yang ia adalah dari pemberian nikmat Allah. Maka kerana itu Allah ingatkan dalam ayat-ayat ini. Mengingatkan kita yang apa yang kita biasa nampak itu bukanlah perkara biasa sebenarnya.
Musyrikin Mekah minta nak lihat perkara-perkara ajaib dari Nabi Muhammad, tapi mereka lupa bahawa semua yang mereka lihat dalam alam ini semuanya yang ajaib-ajaib belaka. Mereka sahaja yang tertutup pintu hati mereka sampai mereka tak nampak. Oleh itu, mereka minta nak lihat Allah, nak lihat malaikat. Mereka minta supaya tanah Arab yang padang pasir itu dijadikan menghijau. Dan macam-macam lagi yang mereka minta.
Kononnya, mereka kata: ‘seeing is believing’. Tapi itu hanya alasan mereka sahaja. Kalau mereka melihat alam ini dengan mata hati, mereka telah nampak tanda kewujudan Tuhan. Kerana alam yang amat indah ini tentunya tidak akan terjadi sendiri. Tapi hati mereka telah tertutup mati.
Ayat 13: Inilah ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali di dalam surah ini. Sekarang adalah penyebutan pertama. Apabila Allah memperkatakan tentang neraka, ayat ini diulang tujuh kali. Apabila memperkatakan tentang syurga, Allah mengulang ayat ini sebanyak lapan kali pula. Iaitu sama dengan bilangan pintu syurga dan pintu neraka.
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
So which of the favors of your Lord would you deny?
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
فَبِأَيِّ آلَاءِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat
Segala benda yang Allah telah jadikan dalam alam ini, dengan segala keindahan dan kegunaannya, apa lagi yang kamu hendak? Apa lagi yang kamu rasa Allah tak cukup beri lagi? Apa nikmat yang Allah telah berikan kepada kamu yang kamu tak mengaku datang dari Dia?
Nikmat mana yang kamu tak nampak lagi? Kamu nak tengok kebenaran, tidakkah kamu nampak semuanya yang telah ada dalam alam ini? Apakah kamu tidak nampak? Kerana kalau tidak nampak, itu maknanya buta mata hati sahaja.
Kalimah آلَاءِ dalam ayat ini dan akan diulang-ulang selepas ini mengandungi banyak makna dan boleh ditafsir dalam berbagai-bagai cara. Selalunya ditafsirkan sebagai ‘nikmat’ seperti yang diterjemahkan dalam ayat ini. Tapi ia juga boleh membawa makna ‘kuasa’, iaitu kekuasaan Allah.
Dari segi bahasa, ia dari katadasar أ ل و yang bermaksud tidak cukup memenuhi kewajipan yang perlu dilakukan, lambat, perlahan, sumpah, yang memiliki, yang diberi tanggungjawab mengawasi, penganugerahan.
رَبِّكُمَا
Tuhan kamu berdua,
Apabila digunakan perkataan كما (kamu berdua) dalam ayat ini, ia merujuk kepada ‘dua entiti’. Siapakah yang dimaksudkan? Tidak disebut dalam ayat ini, hanya sebagai isyarat sahaja. Akan diterangkan selepas ini.
تُكَذِّبَانِ
yang kamu hendak dustakan?
Dengan segala apa yang Allah telah jadikan untuk kita, apa lagi yang kita hendak? Perkataan ‘dustakan’ itu bermaksud macam tidak mengaku telah menerima segala nikmat-nikmat itu.
Janganlah kamu nak kata ada entiti lain yang buat apa sahaja nikmat yang kamu pakai itu. Mana ada selain Allah yang buat? Maka kalau Allah yang buat semua, kenapa kamu tak taat kepada Allah sahaja? Jangan guna nikmat Allah tapi derhaka kepada Allah.
Cara mendustakan itu juga dalam bentuk tidak mengaku yang ada Tuhan yang menjadikannya. Kerana ada juga fahaman seperti atheist dan agnostik yang tidak percaya kewujudan Tuhan. Mereka kata dunia ini terjadi sendiri atau terjadi secara tidak sengaja. Ini memang fahaman yang amat bodoh sekali. Mana mungkin alam yang begini punya indah terjadi sendiri?
Ada juga yang mengaku Allah yang menjadikan alam ini. Tapi dalam masa yang sama mereka juga melakukan ibadat kepada selain Allah; mereka juga memuja selain Allah; mereka juga berdoa kepada selain dari Allah. Ini adalah mereka yang musyrik. Ini juga lagi teruk.
Sudahlah mereka sudah terima Allah sebagai Khaaliq tapi mereka menjadikan ilah-ilah selain Allah. Maka Allah ada soal dalam ayat yang lain: mereka yang kamu sembah itu ada buat apa-apakah dalam dunia ini?
Ada juga jenis manusia yang mengaku Allah itu pencipta alam ini dan mereka pun tidak menyembah selain Allah. Tapi mereka tidak sanggup untuk ikut taat kepada arahan Allah. Mereka hidup seolah-olah bukan Allah yang jadikan alam ini. Seolah-olah Allah jadikan alam ini tidak menetapkan cara hidup seperti yang dikehendakiNya.
Jadi, mereka tidaklah kata Allah bukan Tuhan, tapi dari cara amalan dan cara mereka menjalani kehidupan mereka sudah menunjukkan mereka menidakkan ketuhanan Allah. Kerana kalau kita terima ketuhanan Allah, kenalah taat kepadaNya, bukan? Allah telah beri banyak hukum dan undang-undang yang kita kena taat, takkan kita ada hak untuk menidakkan kehendak Allah?
Jadi ada berbagai-bagai cara manusia dan jin mendustakan nikmat dan kekuasaan Allah. Maka Allah tanya dan kutuk mereka dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain.
Mesej Islam yang diingatkan kepada manusia (dan jin) adalah untuk bersyukur kepada Allah. Kita kena bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah diberikan, memang tidak akan mampu kita hendak mengiranya.
Malangnya, kebanyakan dari kita hanya pakai sahaja tapi tak bersyukur pun. Segala makanan, kesenangan, keamanan dan segala-galanya sampai tidak terkira. Kita sekarang ada makanan banyak sangat sampai banyak yang terlebih dan dibuang begitu sahaja. Itu adalah tanda orang yang tidak bersyukur apabila membazir. Kerana kalau kita menghargai sesuatu pemberian, kita tidak akan mensia-siakannya.
Nikmat itu kita selalu sangat dapat sampaikan kita rasa sudah biasa sangat dengan nikmat itu. Kita sudah tidak melihat ia sebagai satu pemberian kurnia dari Allah. Kita rasa kita memang layak dapat benda itu. We take things for granted. Kalaulah sekali kala kita tak dapat atau kalau kita hanya dapat jarang-jarang, baru kita tahu erti nikmat itu.
Orang miskin senang sahaja untuk jadi gembira. Dapat barang sikit pun mereka sudah gembira. Tapi orang kaya yang kononnya macam-macam mereka ada, selalu sahaja dalam kegelisahan. Selalu sahaja ada yang tak cukup. Ada sahaja masalah yang mereka nampak dalam dunia dan dalam kehidupan mereka. Kalau ada masalah yang menyebabkan mereka susah sikit sahaja pun, mereka sudah resah gelisah. Kerja mereka asyik hendak mengadu dan merungut sahaja.
Lagi malang bila zaman sekarang ada media sosial. Ia tempat manusia merungut dan mengaku macam-macam hal. Kita yang tidak kena mengena pula sampai kena baca rungutan karut mereka. Mereka banyak sangat merungut, padahal mereka macam-macam sudah ada. Yang mereka nampak benda yang kurang sahaja, tak nampak nikmat yang sudah banyak mereka dapat. Itulah sebabnya kejadian bunuh diri amat tinggi di negara yang maju. Kerana mereka nampak masalah mereka sahaja.
Ini semua terjadi kerana kita tidak mengajar konsep ‘bersyukur dengan apa yang ada’ – ini adalah sifat ‘qana’ah’. Kita tidak ajar anak-anak kita bagaimana menghargai nikmat yang ada. Oleh itu, mereka nak merungut sahaja kalau ada kekurangan sedikit. Padahal sudah banyak mereka diberikan dengan nikmat dari Allah.
Ini terjadi apabila mereka rasa tinggi diri. Mereka sangka mereka ada kedudukan. Maka, Allah jelaskan siapakah kita yang sebenarnya dalam ayat selepas ini.
Ayat ini dalam bentuk pertanyaan dan ada dinaqalkan jawapan jin tentang soalan ini. Mereka jawap: اللهم، ولا بشيء من آلائك ربنا نكذب، فلك الحمد (“Ya Allah, tiada sesuatu pun dari nikmat-nikmat-Mu yang kami ingkari, maka bagi-Mulah segala puji.”)
Ayat ini disebutkan di dalam surah ini sebanyak tiga puluh satu kali. Istifham atau kata tanya yang terdapat dalam ayat ini mengandung makna taqrir atau penetapan (bahawa nikmat itu semua dari Allah). Demikian itu kerana ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Hakim melalui Jabir r.a. yang telah menceritakan,
Bahawa Rasulullah saw. membacakan kepada kami surah Ar Rahman hingga selesai. Kemudian baginda bersabda, “Mengapa kalian ini diam saja?” Sungguh jin lebih baik jawabannya daripada kalian. Kerana sesungguhnya tiada sekali-kali aku bacakan kepada mereka ayat ini, “Maka manakah nikmat-nikmat Rabb kamu berdua yang kamu dustakan?” (Q.S. Ar Rahman, 13) melainkan mereka menjawabnya, “Wahai Rabb kami, tiada satu pun nikmat-Mu yang kami dustakan, bagi-Mu segala puji.”
Dan Ibn Abbas juga biasa menjawap begini pula: لا بأيها يا رب (“Tidak, lalu yang manakah, wahai Tuhanku?”)
Ayat 14: Dalil Aqli. Satu lagi nikmat Allah kepada kita adalah kita dijadikan olehNya. Maka dari apakah kita dijadikan?
خَلَقَ الإِنسٰنَ مِن صَلصٰلٍ كَالفَخّارِ
He created man from clay like [that of] pottery.
Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,
خَلَقَ الْإِنسٰنَ
Dia telah menciptakan manusia
Yang dimaksudkan di sini adalah Allahlah yang menjadikan manusia itu. Ini adalah salah satu lagi nikmat Allah kepada kita yang amat hebat. Dulu kita tidak ada, tidak disebut orang pun. Tapi bila kita sudah lahir, barulah orang kenal kita dan beri nama kepada kita. Kalau Allah yang jadikan kita, hendaklah kita taat kepadaNya dan sembah kepadaNya sahaja.
Konsep penciptaan ini tidak disanggahi oleh Musyrikin Mekah. Mereka memang terima pun yang Allah sebagai Pencipta alam ini. Kerana itu kita terima yang mereka itu ada Tauhid Rububiyyah. Maksudnya mereka kenal yang Allah itu adalah Rabb. Masalah mereka adalah dengan Tauhid Uluhiyyah.
مِن صَلْصٰلٍ
dari tanah liat kering
Allah beritahu asal kejadian kita kerana Allah yang menjadikan kita. Maka Dia tahu dan sekarang diberitahu kepada kita. Kalau tidak diberitahu, kita pun tidak tahu.
Kalimah صَلْصَالٍ dari katadasar ص ل ص ل yang bermaksud berbunyi bila diketuk, menjadi kering, tanah yang kering. Ia adalah jenis tanah yang kita lihat sudah pecah-pecah. Iaitu apabila tanah itu telah lama tidak mendapat air. Jenis yang kalau kita jentik, ia akan berbunyi.
Dalam Al-Qur’an, banyak disebut tentang asal kejadian manusia. Dan lain-lain kalimah digunakan. Ini menunjukkan ada proses-proses yang dilalui sebelum manusia dijadikan. Kalau kita senaraikan kalimah-kalimah yang digunakan seperti berikut:
-
-
- Turab تُرابٍ (tanah) seperti yang disebut dalam Ali Imran:59
- Tin طينٍ (tanah liat) seperti yang disebut dalam Sajdah:7
- Tin-i-lazib طينٍ لازِبٍ (tanah liat yang melekat) disebut dalam Saaffat:11
- Hama in musnun حَمَإٍ مَّسْنُونٍ seperti yang disebut dalam Hijr:26
- Salsalin kalfakhkhar; seperti yang disebut dalam ayat ini.
- Bashar disebut dalam Sad:71
- Sulala-tin-min-ma ‘in mahin سُلالَةٍ مِن ماءٍ مَهينٍ (saripati air yang hina) seperti yang disebut dalam Sajdah:8
-

كَالْفَخَّارِ
seperti tembikar,
Dari tanah liat yang kering itu, boleh dibakar dan dijadikan tembikar. Tapi kalau tembikar sudah pecah, ada guna lagi tak? Tidak berguna langsung. Ini hendak mengingatkan diri kita betapa rendahnya diri kita. Maka jangan sangka kita ini hebat sangat. Kita sangka kita ada kepentingan dan ketinggian, tapi tidak sebenarnya. Kita patut rasa rendah diri dan sedar kejadian diri kita ini.
Orang yang rendah diri selalunya senang bersyukur. Apabila mereka dapat nikmat, mereka akan menghargai nikmat pemberian itu. Yang rasa tinggi diri sahaja yang selalunya susah untuk bersyukur.
Ayat 15: Sekarang disebut makhluk lain pula. Makhluk apa pula?
وَخَلَقَ الجانَّ مِن مّارِجٍ مِّن نّارٍ
And He created the jinn from a smokeless flame of fire.
Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;
وَخَلَقَ الْجَانَّ
dan Dia menciptakan jin
Bukan sahaja Allah menciptakan manusia seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini, tapi Allah juga yang mencipta golongan jin. Dalam ayat ini, Allah mula menyebut tentang jin. Tahulah kita bahawa yang dimaksudkan Tuhan ‘kamu berdua’ itu merujuk kepada manusia dan jin.
Ada banyak persamaan antara jin dan manusia. Mereka juga ada muka, kaki dan tangan. Mereka juga ada nafsu seperti kita juga. Mereka juga ada tanggungjawab agama sepertimana juga kita. Cuma bezanya, mereka tidak ada Rasul dari kalangan mereka.
Mereka ada yang boleh terbang. Mereka boleh terbang sampai ke langit. Mereka tidak terbang dengan sayap kerana mereka tidak ada sayap. Mereka ada tanduk dan mereka ada kaki seperti kaki kambing. Malaikat pula ada sayap. Seperti Jibril, ada 600 sayap. Jin boleh terbang dengan kehendak mereka. Tidaklah semua, tapi ada jenis-jenis jin yang boleh terbang.
Dalam ayat ini baru disebut jin. Tapi dalam ayat ke 13 sebelum ini telah diberi isyarat tentang mereka apabila Allah menggunakan perkataan كما (kamu berdua) yang merujuk kepada manusia dan jin. Mufassir berkata, ini dilakukan kerana Allah tahu bahawa ada jin-jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an ini dan mereka telah disebut secara isyarat sebelum diceritakan tentang mereka.
مِن مَّارِجٍ
dari nyalaan pucuk
Ini adalah tentang penciptaan jin itu. Mereka dijadikan dari api (kalau manusia dijadikan dari tanah). Iaitu kalau kita lihat bahagian api itu, ianya adalah bahagian atas api itu. Iaitu bahagian api yang kita tak nampak. Bahagian itulah yang paling panas sekali. Dan bahagian ini tidak ada asap.
مِّن نَّارٍ
dari api.
Asal kejadian jin berlainan dengan manusia. Mereka dijadikan dari api dan kerana itu ada sifat-sifat api pada mereka. Tapi sebagaimana kita ini tidaklah macam tanah lagi maka jin yang ada sekarang pun bukanlah dalam bentuk api. Kerana Nabi Adam sahaja yang dijadikan dari tanah, tapi kita dijadikan dari bahan lain, bukan?
Ayat ini mengajar kita yang jin juga dijadikan dari bahan alami (dari alam), bukanlah mereka itu dalam bentuk roh pula. Tapi kita sahaja tidak dapat nampak mereka.
Ayat 16: Kali kedua ayat ini diulang.
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
So which of the favors of your Lord would you deny?
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan?
Ayat ini sama dengan ayat yang sebelum ini dan sama dengan ayat-ayat yang lain. Tapi ulama’ membezakan apakah yang dimaksudkan, supaya bersesuaian dengan ayat sebelumnya. Kerana walaupun ayatnya sama sahaja, tapi tafsirnya tidak sama. Bagaimana?
Sebelum ini disebut tentang kejadian manusia dari tanah liat dan jin pula dijadikan dari api. Tapi kalau kalimah آلَاءِ diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja, ia akan melarikan maksud dan kita pun tidak faham. Maka kalimah آلَاءِ boleh membawa maksud yang lain.
Ia juga boleh membawa maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’. Jadi dalam ayat ini, lebih sesuai kalau digunakan maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’. Iaitu menceritakan tentang kehebatan kuasa Allah yang menjadikan makhluk manusia dan jin dengan hebat. Kekuasaan Allah yang mana yang kamu nak dustakan?
Dan dalam masa yang sama, juga ada nikmat yang Allah telah berikan kepada manusia dan jin. Jadi kalau آلَاءِ diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ juga boleh dalam ayat ini. Kerana dengan rahmat Allah juga menjadikan kita dalam bentuk kita sekarang.
Bayangkan kalau kita ada akal seperti yang kita ada sekarang, tapi Allah jadikan kita dalam bentuk ikan, contohnya? Tidakkah susah hidup kita? Tapi Allah jadikan kita ada kaki, tangan, telinga dan sebagainya. Maka kita boleh gunakan kelebihan akal kita itu dengan lebih bermanfaat lagi, bukan?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 April 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Syeikh Nasir Jangda
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Alhamdulillah..Terima kasih ats perkongsian..tafsiran yg Sgt baik, mudah difahami & bermanfaat utk kita Semua..
LikeLike
tuan tulis pada tajuk
ayat 9 – 16
tapi sebenarnya
ayat 10 – 16
LikeLike