Tafsir Surah Saffat Ayat 1 – 11 (Malaikat, Jin dan Anbiya’)

Pengenalan

Surah ini adalah satu daripada lima surah yang dimulai dengan ayat-ayat sumpah yang panjang. Jadi ada penekanan yang banyak di dalam surah ini kerana qosam (sumpah) mengandungi penekanan dari Allah.

Di dalam Surah Yaasin sebelum ini telah diberitahu bahawa yang dipuja selain Allah seperti roh Nabi, wali, malaikat dan juga jin itu tidak akan dapat membantu pemujanya. Sudahlah perbuatan itu sia-sia, malah ia adalah perbuatan syirik yang paling Allah murka dan mereka yang melakukannya akan dimasukkan ke dalam neraka dan tidak akan keluar sampai bila-bila. Maka ini bukanlah perkara yang main-main.

Di dalam surah ini pula Allah hendak memberitahu bahawa yang dipuja selain Allah itu sendiri adalah lemah. Mereka sendiri yang mengaku seperti yang akan disebut nanti. Maka kerana itu mereka tidak layak sama sekali dipuja dan diseru. Kerana kalau lemah, nak jadi wakil Allah macam mana? Macam mana layak untuk menjadi ilah selain Allah kalau lemah? Memang tidak patut sama sekali.

Kita selalu sebut ‘Nabi, wali, malaikat dan juga jin’ kerana memang seluruh manusia yang berfahaman syirik akan seru salah satu dari empat entiti ini sahaja. Cuma nama sahaja diubah-ubah. Sebagai contoh, penganut Hindu itu menyeru malaikat, tapi mereka gelar sebagai ‘dewa’. Oleh kerana hanya ada empat golongan selain Allah yang disembah, maka surah ini dibahagikan kepada beberapa bahagian:

Ayat 1 – 148 adalah bahagian 1. Dalam bahagian ini Allah menyebut tiga golongan yang selalunya dipuja oleh manusia iaitu malaikat, jin dan juga para nabi. Penyeruan kepada wali disebut dalam surah yang lain. Dalam bahagian ini juga kita akan belajar bahawa mereka yang disembah itu juga adalah makhluk yang lemah. Bahagian 1 ini pula dibahagikan lagi kepada tiga:

Ayat 1 – 5 tentang malaikat.

Ayat 6 – 10 pula tentang jin.

Ayat 79 – 148 pula tentang para anbiya’.

Dan ayat-ayat selepas ayat 148 sehingga ke akhir adalah ayat-ayat teguran dan kesimpulan kepada surah ini.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 74 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menceritakan balasan berbeza kepada orang beriman dan orang yang engkar.

Oleh kerana ia panjang, maka ia boleh dipecahkan lagi. Ayat 1 – 3 adalah ayat-ayat Sumpah di mana Allah bersumpah dengan para MalaikatNya. Sumpah digunakan dalam Al-Qur’an sebagai penekanan kepada perkara yang hendak disampaikan selepas itu. Dalam masa yang sama, Allah hendak menceritakan tentang para malaikat.

وَالصّٰفّٰتِ صَفًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṣ-Ṣāffāt: Those Lined Up.

By those [angels] lined up in rows

(MELAYU)

Demi yang bersaf-saf dengan sebenar-benarnya,

 

Saf bermaksud barisan, seperti barisan dalam solat, dalam kawad tentera, perbarisan tentera itu.

Ada banyak pendapat tentang siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kerana ia tidak disebut. Adakah ia merujuk kepada malaikat? Atau adakah ia merujuk kepada angin atau ada juga pendapat-pendapat yang lain. Pendapat yang masyhur adalah ia merujuk kepada malaikat dan pendapat yang kedua merujuk kepada angin. Ini dikuatkan dengan hadis:

قَالَ مُسْلِمٌ: حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَة، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْل، عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ، عَنْ رِبْعِيّ، عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “فُضِّلنا عَلَى النَّاسِ بِثَلَاثٍ: جُعلت صُفُوفُنَا كَصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ، وَجُعِلَتْ لَنَا الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدًا وجُعلت لَنَا تُربتها طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ”

Imam Muslim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fadil,dari Abu Malik Al-Asyja’i, dari Rib’i dari Huzaifah r.a. yang telah mengatakan bahawa Rasulullah Saw. Pernah bersabda: Kami diberi keutamaan di atas manusia dengan tiga perkara, iaitu saf kami dijadikan seperti ‘saf para malaikat, bumi ini semuanya dijadikan bagi kami sebagai masjid, dan dijadikan bagi kami tanahnya alat bersuci bila kami tidak menjumpai air.

Jadi Allah bersumpah menggunakan para malaikat dalam ayat ini; ataupun menggunakan angin.

Tetapi kenapakah digunakan kalimah jamak untuk perempuan di dalam ayat ini? Ini adalah kerana ia merujuk kepada jamak yang kecil, iaitu jam’u qilla. Maknanya, bukanlah para malaikat itu berjantina perempuan pula.

Jadi ayat ini merujuk kepada barisan para malaikat yang beratur di dalam saf-saf yang bersedia untuk menerima arahan Allah. Jadi ia tidak merujuk kepada semua malaikat tetapi golongan malaikat yang tertentu sahaja. Kerana itu ia dalam bentuk jamak yang kecil.

Bayangkan kalau zaman sekarang ini di dalam tentera ada pasukan tentera yang bawa jet pejuang dan ada yang bawa helikopter dan ada batalion-batalion yang lain. Dan semua tentera-tentera itu sudah bersedia untuk menerima arahan dari Allah. Maknanya para malaikat itu tidak memandai-mandai buat kerja sendiri tetapi membuat arahan dari Allah.

Dan mereka sudah bersedia menerima arahan dari Allah.  Semua malaikat itu adalah tentera Allah dan menunggu arahan dari Allah sahaja. Jadi kalau minta tolong kepada mereka, bagaimana mereka nak menolong kerana mereka tidak boleh lakukan apa-apa dengan kehendak sendiri. Mereka juga pastinya tidak menerima arahan dari kita. Siapa kita nak beri arahan kepada para malaikat?

Apabila disebut tentang saf para malaikat ini, maka apabila kita bersaf dalam solat jemaah, maka terkenanglah kita safnya para malaikat. Kerana kita juga tentera Allah, bukan? Ini disebut dalam hadis yang lain:

Imam Muslim, telah meriwayatkan pula bersama Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah melalui hadis Al-A’masy:

عَنِ المُسَيَّب بْنِ رَافِعٍ، عَنْ تَمِيمِ بْنِ طَرَفة، عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَة قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسلم “ألا تَصُفّون كَمَا تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهِمْ؟ ” قُلْنَا: وَكَيْفَ تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهِمْ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يُتِمون الصُّفُوفَ الْمُتَقَدِّمَةَ ويَتَراصون فِي الصَّفِّ”

dari Al-Musayyab ibnu Rafi’, dari Tamim ibnu Tarfah, dari Jabir ibnu Samurah r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: “Tidakkah kalian bersaf sebagaimana para malaikat bersaf-saf di hadapan Tuhan mereka?” Kami bertanya, “Bagai­manakah para malaikat bersaf-saf di hadapan Tuhan mereka?” Beliau Saw. bersabda, “Mereka menyempurnakan saf terdepan dan berhimpitan sejajar di dalam saf (mereka).”

Maka hendaklah kita juga kemaskan saf kita sepertimana kemasnya saf para malaikat. Kalau kita dapat hayati hadis ini, maka senanglah kita nak rapatkan saf dalam solat.

Ini memang ada masalah dalam masyarakat kita kerana tidak ditekankan sangat. Ramai yang hendak selesa sahaja dalam solat jadi mereka nak ada ruang antara orang di sebelah dan kerana itu saf tidak rapat.


 

Ayat 2:

فَالزّٰجِرٰتِ زَجرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who drive [the clouds]

(MELAYU)

dan demi yang melarang dengan sebenar-benarnya,

 

Ini adalah sambungan daripada sumpah sebelum ini kerana huruf ف yang digunakan dan bukan و. Kerana kalau و yang digunakan maka ia adalah sumpah yang baru.

Kalimah زَجرًا dari ز ج ر yang bermaksud ‘menahan’, ‘menghalang’, ‘menjerit kuat’, ‘memandu’, ‘meniup’ dan lain-lain. Seperti yang kita pun tahu, ada malaikat yang boleh menjerit kuat dan dengan jeritan mereka itu sahaja boleh memusnahkan seperti yang telah dikenakan kepada kaum-kaum penentang dahulu.

Kalau sumpah ini masih merujuk kepada para malaikat, maka ayat ini bermaksud para malaikat itu dapat menghalang jin-jin dengan sangat kuat. Iaitu jin-jin yang cuba untuk naik ke langit untuk mendengar perbualan para malaikat.

Atau ia boleh bermaksud malaikat yang meniup dan memandu angin untuk dibawa ke tempat hujan diturunkan.

Atau, ia juga bermaksud mereka menyumpah manusia yang melakukan kemungkaran. Dan sumpahan mereka itu menjadi musibah dan bala yang menyebabkan kesusahan kepada manusia. Dan apabila manusia mendapat musibah, maka mereka terkenang kesalahan mereka dan mengubah amalan mereka.


 

Ayat 3:

فَالتّٰلِيٰتِ ذِكرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who recite the message,¹

  • To the prophets or among themselves. Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) swears by these three kinds of angels to the fact mentioned in the following verse.

(MELAYU)

dan demi yang membacakan peringatan,

 

Majoriti ulama tafsir berpendapat tiga ayat pertama ini adalah berkenaan para malaikat. Ini termasuk Abdullah bin Mas’ud, Ibn `Abbas, Qatadah, Masruq Said bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Suddi, Ibn Zaid dan Rabi’ bin Anas.

Kalimah فَالتّٰلِيٰتِ dari katadasar ت ل و yang bermaksud ‘ikut’, ‘tiru’, juga bermaksud ‘membacakan’ kerana apabila kita baca, kita ikut apa yang tertulis di kertas atau kitab, bukan?

Dalam ayat ini ia bermaksud adalah pasukan malaikat yang lain dari dua ayat sebelum ini dan mereka itu jenis yang ikut Jibrail untuk menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Mereka membacakan wahyu kepada Nabi seperti kitab yang ada di Lauh Mahfuz.


 

Ayat 4: Ini adalah Jawaabul Qosam kepada sumpah dalam tiga ayat sebelum ini. Selepas ada sumpah, ada perkara penting yang hendak disampaikan. Dari ayat 4 – 7 mengandungi Dalil-dalil Tauhid Rububiyah

إِنَّ إِلٰهَكُم لَوٰحِدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your God is One,

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa.

 

Allah membawa ajaran tauhid yang selalu diulang-ulang dalam Al-Qur’an. Ilah itu hanya Allah sahaja, tidak ada yang selainNya. Termasuk bukan ilah adalah malaikat. Tiga ayat pertama tadi adalah tentang malaikat. Allah jadikan malaikat sebagai qosam untuk mengingatkan manusia yang para malaikat itu bukanlah ilah. Mereka itu semuanya hamba Allah yang menjalankan arahan Allah seperti yang disebut di atas. Mereka pastinya bukan ilah.

Dalam ayat sebelum ini telah disebutkan yang ada malaikat yang membacakan peringatan iaitu wahyu kepada manusia. Maka inilah ajaran tauhid yang dibawa oleh para malaikat itu, iaitu memberitahu bahawa ilah hanyalah Allah sahaja. Allah hendak memberitahu bahawa malaikat yang mereka puja dalam amalan syirik mereka itu sebenarnya mengajar fahaman tauhid kepada manusia.

Surah ini dimulai dengan penceritaan tentang para malaikat kerana salah satu daripada pemujaan yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah adalah kepada malaikat yang mereka kata anak-anak perempuan Allah. Maka Allah hendak memberitahu bahawa mereka itu bukanlah anak Allah tetapi mereka itu adalah tentera Allah.

Dan Allah hendak memberitahu bahawa malaikat yang mereka seru dan puja itu Allah boleh arahkan untuk memusnahkan mereka. Bayangkan yang dipuja-puja itu pula nanti yang akan menghancurkan mereka.

Selalunya ayat-ayat sumpah di dalam surah-surah lain, selepas disebut sumpah ia kemudian terus memberitahu tentang hari akhirat. Tetapi surah ini agak unik kerana selepas ayat sumpah Allah memberitahu tentang tauhid.


 

Ayat 5: Siapakah Ilah yang Satu itu? Apakah SifatNya?

رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما وَرَبُّ المَشٰرِقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lord of the heavens and the earth and that between them and Lord of the sunrises.¹

  • i.e., each point or place of sunrise.

(MELAYU)

Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari.

 

رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما

Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di antara keduanya

Allah sahaja layak menjadi ilah kerana Dia Rabb langit dan bumi. Bukan itu sahaja, Dia juga Rabb segala apa yang di antara langit dan bumi. Apa yang ada di antaranya pun kita tidak tahu. Tapi Allah adalah Rabb kepada semua dalam alam ini.

Dan maksud Rabb, bukan sahaja ‘Tuhan’, tapi yang mencipta, memelihara dan menjaga. Selepas Allah jadikan alam ini, Allah jaga dan menyempurnakannya. Maka kalau Allah yang menjaga dan memelihara alam ini, maka kenapa nak kena minta kepada selain Allah? Memang tidak patut kalau begitu. Mereka yang disembah selain Allah itu bukan boleh buat apa-apa pun.

 

وَرَبُّ المَشٰرِقِ

dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari.

Allah hanya sebut tentang Timur iaitu tempat terbit matahari dan tidak sebut tentang Barat. Tidak perlu disebut kerana setiap Timur akan menjadi Barat juga kepada orang lain. Iaitu bila kita pandang ke timur, itu adalah ‘barat’ bagi orang di sebelah timur, bukan?

Dan kalimah المَشٰرِقِ dalam bentuk jamak kerana timur bukan satu sahaja dan bukanlah matahari itu sebenarnya terbit dari Jepun sahaja. Maka tempat terbit matahari itu banyak, maka kalimah jamak yang digunakan.

Dan lagi satu, tempat terbitnya matahari itu memberi isyarat kepada ‘cahaya’ kerana matahari terbit dari timur, bukan? Seperti yang telah disebut, para malaikat itu ada yang membawa wahyu yang menjadi penerangan cahaya kepada umat manusia. Setelah mereka sekian lama berada di dalam kegelapan syirik sepertimana kegelapan malam, maka sekarang sudah sampai masanya untuk mereka menerima cahaya tauhid.


 

Ayat 6:

إِنّا زَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِزينَةٍ الكَواكِبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have adorned the nearest heaven with an adornment of stars

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, iaitu bintang-bintang,

 

Allah memberitahu yang Dia menghiasi langit dunia dengan bintang-bintang besar iaitu planet-planet. Planet-planet itu besar, tapi kerana ianya amat jauh, maka di malam hari, kita hanya nampak mereka seperti kerdipan cahaya bintang sahaja.

Entah berapa banyak bintang di langit itu, kita pun tidak mampu nak kira. Tapi kerana banyaknya bintang-bintang itu di langit dan jelas nampak di malam hari yang gelap, maka ia seolah-olah perhiasan bagi langit. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ}

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka seksa yang menyala-nyala. (Al-Mulk: 5)

Memang itulah tujuan Allah jadikan bintang itu untuk kita. Kita orang Melayu mungkin jarang tengok bintang kerana kita sudah ada banyak lagi hiburan lain seperti TV, handphone dan sebagainya. Tapi bagi orang Arab, mereka amat suka kepada bintang di malam hari. Mereka akan duduk melihat bintang malah mereka selalu tidur di atas bumbung rumah mereka sampai melihat bintang. Bumbung rumah mereka tidaklah seperti kita dan kerana itu mereka boleh sahaja baring tidur di bumbung rumah mereka.

Jadi semua bintang-bintang itu adalah sebagai perhiasan langit. Maka ini mengajar kita yang selagi ada bintang, selagi itu ianya masih dalam langit dunia lagi. Dan kita pun tahu yang saintis tidak jumpa lagi hujung langit yang tidak ada bintang.

Semakin hari semakin banyak bintang yang saintis dapat kesan. Itu semua masih lagi dalam langit pertama (atau dipanggil ‘Langit Dunia’) dan tidak jumpa hujungnya lagi. Maka amat luas sekali alam ini dan kita tidak dapat nak bayangkan. Itu belum kira langit kedua lagi. Jadi memang tidak dapat dibayangkan keseluruhan alam Allah ini.


 

Ayat 7: Sekarang mula disebut tentang jin selepas disebut tentang langit.

وَحِفظًا مِّن كُلِّ شَيطٰنٍ مّارِدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as protection against every rebellious devil

(MELAYU)

dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap syaitan yang sangat durhaka,

 

Di langit dunia terdapat pengawalan dari malaikat yang menghalang jin untuk mencuri maklumat dari langit. Dalam Surah Jin ada disebut bagaimana jin-jin itu cuba untuk duduk mengintai perbualan malaikat di langit.

{وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا. وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا. وَأَنَّا لَا نَدْرِي أَشَرٌّ أُرِيدَ بِمَنْ فِي الأرْضِ أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا}

Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu), tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk menembaknya). Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka mengkehendaki kebaikan bagi mereka. (Al-Jin: 8-10)

Ini juga disebut dalam ayat yang lain:

{حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ}

sehingga apabila, telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata, “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?” Mereka menjawab “(Perkataan) yang benar, “dan Dialah Yang Maha tinggi lagi Maha besar. (Saba: 23)

Perkataan para malaikat itulah yang mereka cuba pasang telinga. Tapi apabila wahyu diturunkan, maka ada malaikat yang berjaga di langit dan oleh kerana itu jin tidak dapat melepasi langit pertama kerana mereka akan dilontar dengan bola api oleh para malaikat. Ini disebut dalam ayat yang lain:

{وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَاءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ وَحَفِظْنَاهَا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ. إِلا مَنِ اسْتَرَقَ السَّمْعَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ مُبِينٌ}

Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandanginya), dan Kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk, kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat), lalu dia dikejar oleh sumber api yang terang. (Al-Hijr: 16-18)

Atau memang ada lapisan yang kita tidak nampak yang menghalang makhluk biasa dari naik ke atas. Kita pun tahu bagaimana susahnya roket kalau nak naik ke atas. Oleh itu, walaupun nampak langit itu macam kosong sahaja, tapi ada lapisan yang menghalang.

Allah sebut ‘syaitan’ dalam ayat ini tapi yang hendak dimaksudkan adalah ‘jin’ kerana ‘syaitan’ adalah salah satu dari sifat jin. Iaitu jin kafir yang hendak memperdayakan umat manusia dari kebenaran. Apabila jin itu adalah jin jahat, maka ia mendapat status sebagai ‘syaitan’.

Dalam usaha mereka hendak menipu manusia, maka mereka cuba mencuri maklumat langit. Mereka dapat satu berita benar dan mereka akan tambah dengan berita-berita tipu supaya manusia percaya kepada mereka. Kerana kalau ada satu sahaja benda benar, manusia yang jahil akan terus percaya kepada perkara lain yang ditambah.

Oleh itu, hendaklah kita ingat bahawa jin tidak tahu perkara ghaib kerana ada orang yang sangka begitu. Mereka sangka jin-jin ini hebat kerana tahu banyak benda dan kerana itu ada yang kata jin tahu ilmu ghaib. Ini ditolak dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Antaranya diceritakan bagaimana jin kuli kepada Nabi Sulaiman tidak tahu pun yang baginda telah meninggal dunia. Kalau mereka tahu ilmu ghaib, tentu mereka sudah tahu yang Nabi Sulaiman sudah wafat.

Jadi para jin tidak ada ilmu ghaib dan mereka itu dapat tahu tentang ilmu ghaib hanya kerana mereka mencuri maklumat itu daripada malaikat yang sedang membawanya. Tetapi semasa penurunan wahyu kepada para Nabi, langit ditutup daripada mereka supaya mereka tidak dapat mendengar berita langit.

Ini kerana Allah nak pastikan yang wahyu yang turun kepada manusia adalah berita benar sahaja dan tidak bercampur dengan berita penipuan dari jin syaitan.


 

Ayat 8: Ayat 8 – 10 memberitahu kita yang terdapat syaitan yang cuba mencuri dengar rahsia langit. Mereka diburu dan dilempar dengan rejaman api.

لّا يَسَّمَّعونَ إِلَى المَلَإِ الأَعلىٰ وَيُقذَفونَ مِن كُلِّ جانِبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[So] they may not listen to the exalted assembly [of angels] and are pelted from every side,¹

  • By flaming meteors.

(MELAYU)

(Supaya) syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru.

 

لّا يَسَّمَّعونَ إِلَى المَلَإِ الأَعلىٰ

(Supaya) syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) para malaikat

Tujuan mereka dihalang dari naik ke langit itu adalah supaya mereka tidak dapat mendengar perbualan malaikat tentang berita langit. Kerana kalau mereka tahu maka mereka akan sampaikan kepada rakan mereka golongan kaahin (tukang tilik). Tujuan mereka beritahu itu adalah untuk menipu manusia.

Kerana mereka dapat maklumat benar dari perbualan malaikat, jadi mereka campur yang benar dengan yang tipu. Kerana manusia senang ditipu, kalau mereka dengar ada satu sahaja yang benar, maka manusia akan lebih senang nak percaya kesemua sekali termasuk yang penipuan sekali.

 

وَيُقذَفونَ مِن كُلِّ جانِبٍ

dan mereka dilempari dari segala penjuru.

Mereka cuba untuk mendengar maklumat yang dibawa oleh malaikat yang tinggi tetapi mereka dibaling dengan bebola api dari segenap arah. Maka mereka terpaksa melarikan diri.


 

Ayat 9:

دُحورًا ۖ وَلَهُم عَذابٌ واصِبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Repelled; and for them is a constant punishment,

(MELAYU)

Untuk mengusir mereka dan bagi mereka seksaan yang kekal,

 

دُحورًا

Pengusiran

Mereka ditolak dan diusir dari mendekati para malaikat itu dengan lemparan api. Kalau sudah kena lempar dengan api, tentulah mereka mencicit lari.

Ayat-ayat tentang penjagaan langit supaya berita langit tidak sampai kepada jin adalah sebagai penjelasan bagi kekeliruan manusia, terutama zaman Nabi. Zaman itu, ada banyak tukang tilik yang digelar sebagai kaahin. Mereka ini kerjanya menilik nasib, cari barang, bagi nasihat tentang apa yang akan berlaku dan sebagainya.

Mereka inilah yang menjadi pakar rujuk kepada masyarakat zaman itu dan mereka dipercayai. Mereka kata mereka ada jin-jin yang boleh beri maklumat kepada mereka.

Apabila Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul dan menyampaikan wahyu kepada manusia, maka ada tuduhan yang mengatakan Nabi Muhammad juga adalah seorang kaahin, ada jin juga yang baginda pakai. Maka Allah jawab dalam ayat-ayat dalam Al-Qur’an bahawa jin tidak dapat nak ambil maklumat dari langit. Kalau mereka dapat naik ke langit pun, mereka akan direjam dengan api. Yang bawa maklumat kepada Nabi Muhammad adalah malaikat, bukannya jin.

 

وَلَهُم عَذابٌ واصِبٌ

dan bagi mereka seksaan yang kekal,

Dan mereka akan dikenakan dengan azab di neraka kelak kerana kekufuran mereka. Kalimah واصب dari katadasar و ص ب yang bermaksud kekal berterusan, teguh dan tidak berhenti.


 

Ayat 10:

إِلّا مَن خَطِفَ الخَطفَةَ فَأَتبَعَهُ شِهابٌ ثاقِبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except one who snatches [some words] by theft, but they are pursued by a burning flame, piercing [in brightness].

(MELAYU)

Melainkan (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan); maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.

 

إِلّا مَن خَطِفَ الخَطفَةَ

Melainkan (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan); 

Akan tetapi ada juga jin yang dapat mencuri sedikit maklumat daripada para malaikat itu. Katadasar خ ط ف bermaksud mengambil sesuatu dengan keras, dengan cepat, kemudian lari dengan cepat. Maknanya ada juga jin yang berjaya mencuri maklumat langit kerana mereka cepat.

 

فَأَتبَعَهُ شِهابٌ ثاقِبٌ

maka ia dikejar oleh suluh api yang terang benderang.

Tetapi mereka tidak dapat melarikan diri juga kerana mereka dikejar oleh bebola api yang dilontarkan oleh para malaikat yang akan memusnahkan mereka. Katadasar ث ق ب bermaksud lubang, ditembus, hebat, bakaran api yang terang. Maksudnya jin-jin itu dilempar dengan api yang terang benderang dan ia menembusi tubuh mereka.

Ini adalah tentang syaitan-syaitan yang hendak mencuri-curi dengar dari pembicaraan para malaikat, kemudian syaitan itu menyampaikannya kepada syaitan lain yang ada di bawahnya, lalu disampaikan lagi kepada yang di bawahnya lagi, hingga seterusnya.

Dan adakalanya syaitan yang telah berhasil mencuri dengar itu diburu dan dihentam oleh bintang yang menyala-nyala sebelum ia sempat menyampaikannya kepada syaitan yang ada di bawahnya.

Adakalanya ia sempat menyampaikan apa yang telah dicuri dengarnya itu ikut takdir Allah, sebelum ia dikejar oleh bintang yang menyala dan yang membakarnya. Maka maklumat itu dipegang oleh syaitan lain yang ada di bawahnya hingga sampailah kepada tukang tenung (kaahin), sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis.


 

Ayat 11: Ayat zajrun. Sekarang sudah masuk kepada perbincangan tentang para anbiya’ kerana manusia juga ramai yang salah faham dengan kedudukan para Nabi itu.

Ayat 11 – 39 menceritakan tentang golongan sesat yang membantah seruan Rasul. Mereka menolak dengan sendaan dan ejekan. Allah membalas ejekan mereka dengan kehinaan dan azab yang tidak terperi.

فَاستَفتِهِم أَهُم أَشَدُّ خَلقًا أَم مَّن خَلَقنا ۚ إِنّا خَلَقنٰهُم مِّن طينٍ لّازِبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then inquire of them, [O Muḥammad], “Are they a stronger [or more difficult] creation or those [others] We have created?” Indeed, We created them [i.e., men] from sticky clay.

(MELAYU)

Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): “Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?” Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat.

 

فَاستَفتِهِم

Maka tanyakanlah kepada mereka

Sekarang Allah ajar Nabi Muhammad cara untuk berhujah dengan musyrikin Mekah itu. Ini adalah dakwah cara tanya kerana apabila kita beri pertanyaan sebegini, ia akan menyebabkan mereka terfikir. Kadangkala manusia pakai ikut sahaja apa yang manusia lakukan. Tapi bila kita tanya, kenapa dia buat sesuatu perkara itu, maka ia akan memaksa mereka untuk berfikir balik samada apa yang mereka lakukan itu benar atau tidak.

Maka Nabi disuruh tanya mereka. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini, minta ‘fatwa’ dari mereka. Kalau pandai sangat, sila jawab soalan ini:

 

أَهُم أَشَدُّ خَلقًا أَم مَّن خَلَقنا

“Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?”

Ini adalah cara untuk menjawap kesamaran di kalangan musyrikin Mekah. Mereka tidak dapat terima yang Hari Kiamat akan berlaku dan seluruh makhluk akan dibangkitkan semula. Pada mereka itu adalah mustahil. Pada mereka, Allah tidak akan mampu nak hidupkan balik entah berapa ramai manusia yang telah lama mati.

Maka Allah suruh mereka fikirkan, adakah mereka itu sukar dijadikan atau alam yang begini punya luas? Kalau nak dikirakan, tentulah buat alam lagi sukar kerana alam lagi luas dari manusia. Kalau alam yang begini punya luas pun Allah boleh buat, apalah sangat kalau nak bangkitkan balik manusia itu? Tentu lagi mudah, bukan? Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Al-Mu-min: 57)

Cuba fikirkanlah sikit. Musyrikin Mekah itu pun bukannya tidak terima Allah sebagai Tuhan. Mereka pun sudah tahu yang Allah yang menjadikan mereka dan menjadikan alam ini dari tiada kepada ada. Maka kenapa nak mempersoalkan kemampuan Allah untuk menghidupkan balik manusia di Hari Akhirat nanti?

 

إِنّا خَلَقنٰهُم مِّن طينٍ لّازِبٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat.

Mereka itu tidak sedar diri sedangkan mereka itu sendiri Allah yang jadikan. Dan Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka dijadikan daripada tanah liat yang hina sahaja.

Yang diciptakan dari tanah itu adalah Nabi Adam a.s. Kita anak cucu baginda dijadikan dari air mani (lebih tepat lagi, sperma) tapi air mani itu pun dari manusia juga yang makan makanan dari tanah juga. Jadi akhirnya, kita pun dijadikan dari tanah juga. Ada elemen tanah pada diri kita ini.

Kalau Allah boleh jadikan manusia dari tanah sahaja, kenapa Allah tak boleh nak jadikan semula manusia dari tanah juga?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 7 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s