Ayat 12:
بَل عَجِبتَ وَيَسخَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But you wonder, while they mock,
(MELAYU)
Bahkan kamu menjadi takjub dan mereka menghinakan kamu.
بَل عَجِبتَ
Bahkan kamu menjadi hairan
Qatadah mengatakan bahwa Nabi Muhammad Saw. merasa hairan dan orang-orang yang sesat menghinakannya. Nabi Muhammad sendiri hairan kenapa kaum baginda tidak terkesan dengan apa yang baginda sampaikan. Mesej yang baginda berikan adalah jelas dan senang sahaja, tapi masih juga baginda ditolak. Baginda hairan kenapa mereka boleh tolak kebangkitan semula.
Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah ini kadang-kadang kita hairan kenapa orang yang kita dakwah itu tidak terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan ancaman dari Allah. Sudah berkali-kali kita jelaskan dan dalil yang kita bawa adalah dari Al-Qur’an dan sunnah tapi mereka berat hati juga nak terima dan tetap mempertahankan amalan tok nenek yang telah lama diamalkan.
Mereka juga ada hujah, tapi hujah mereka itu bukan dari Al-Qur’an dan sunnah melainkan kata-kata guru mereka, kitab itu dan ini dan hujah akal sahaja. Mana mungkin itu semua boleh melawan kekuatan hujah dari Al-Qur’an dan sunnah.
Satu lagi tafsir: kamu takjub dengan kehebatan alam yang Allah jadikan ini, tapi mereka tidak. Bahkan mereka mengejek-ngejek hujah yang kita gunakan.
وَيَسخَرونَ
dan mereka memperolok-olok
Dan Nabi Muhammad hairan kenapa orang-orang yang baginda sampaikan dengan hidayah itu mempersendakan apa yang baginda sampaikan. Mereka tidak dapat terima dakwah yang disampaikan. Tapi mereka bukan sahaja tidak menerima, tapi mereka juga melawan. Dan kerana mereka tidak dapat menolak dengan hujah, mereka akan buat lawak, senda, ejek dan sebagainya.
Begitulah juga sekarang kalau orang yang nak menolak dakwah sunnah, mereka akan gunakan kata-kata ejekan, persendaan dan juga lawak untuk menentang dakwah sunnah. Ini kerana mereka tidak ada hujah dan dalil, jadi itu sahaja yang mereka ada. Jadi kalau ada yang menggunakan hujah ejek-ejekan, maka kita tahulah yang mereka tidak ada dalil dan hujah sebenarnya, maka mereka pakai kata-kata kesat sahaja.
Kita pun kalau berhadapan dengan orang begitu, tahulah kita yang mereka itu orang yang jahil. Kasihanilah mereka dan bercakap baiklah dengan mereka. Kerana mereka sebenarnya tidak tahu, maka kitalah yang kena beritahu mereka. Jangan kita perli dan maki mereka balik, tapi bercakap lembut dengan mereka. Kerana kita nak mereka berubah.
Ayat 13:
وَإِذا ذُكِّروا لا يَذكُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when they are reminded, they remember not.
(MELAYU)
Dan apabila mereka diberi peringatan, mereka tiada mengingatnya.
Dan apabila mereka diberikan dengan peringatan dari wahyu, mereka tidak sedikit pun cuba untuk mengambilnya. Mereka memang tidak suka dengan ajaran wahyu.
Begitulah dengan orang kita pun, tidak ramai yang mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka sanggup berhabis masa dan wang untuk belajar perkara lain, tapi tafsir Al-Qur’an mereka tidak pandang pun. Apabila diajak, mereka rasa macam tidak penting belajar tafsir Al-Qur’an. Pada mereka, kalau sudah pandai baca Al-Qur’an, maka cukuplah.
Ayat 14:
وَإِذا رَأَوا ءآيَةً يَستَسخِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when they see a sign, they ridicule
(MELAYU)
Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda kebesaran Allah, mereka sangat menghinakan.
Apabila Musyrikin Mekah nampak mukjizat yang ditunjuk oleh Rasulullah, mereka mengejek mukjizat itu dengan mengatakan ianya adalah sihir sahaja. Mereka bukannya takjub dengan mukjizat itu tapi jadi bahan jenaka mereka pula. Ini kerana mereka amat degil.
Ayat 15:
وَقالوا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And say, “This is not but obvious magic.
(MELAYU)
Dan mereka berkata “Ini tiada lain hanyalah sihir yang nyata.
Mereka kata apa yang baginda tunjukkan itu adalah sihir sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak dapat nak jelaskan bagaimana Nabi Muhammad boleh buat mukjizat itu, maka mereka nak lawan juga, mereka kata “ini bukan apa… ini sihir sahaja… jangan percayalah!”
Ayat 16: Ayat syikayah. Allah menceritakan salah satu perkara yang menyebabkan mereka susah untuk terima dakwah tauhid. Mereka tidak percaya kepada kebangkitan semula.
أَءذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا وَعِظٰمًا أَءِنّا لَمَبعوثونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
When we have died and become dust and bones, are we indeed to be resurrected?
(MELAYU)
Apakah apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah serta menjadi tulang belulang, apakah benar-benar kami akan dibangkitkan (kembali)?
Tulang hancur selalu disebut di dalam Al-Qur’an kerana itu adalah benda yang paling akhir sekali hancur. Musyrikin Mekah tahu yang tulang mereka akan hancur dan mereka tidak dapat nak terima yang Allah boleh bangkitkan balik manusia dari tulang yang hancur itu. Kerana pada mereka, tidak pernah ada orang yang telah lama mati yang hidup semula.
Ayat 17:
أَوَءآباؤُنَا الأَوَّلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And our forefathers [as well]?”
(MELAYU)
Dan apakah bapak-bapak kami yang telah terdahulu (akan dibangkitkan pula)”?
Sudahlah mereka tidak dapat terima mereka akan dibangkitkan, yang tambah menghairankan lagi, kalau orang-orang yang lagi lama sudah mati? Kalau baru mati, bolehlah juga kalau nak fikir hidup balik, tapi bagaimana dengan tok nenek yang sudah berkurun mati dalam kubur?
Mereka terfikir: Kalau tulang hancur sudah tidak dapat dikesan, bagaimana Allah nak nak cari balik tulang-tulang itu dan kembalikan jasad seseorang itu?
Ayat 18: Ini jawapan kepada salah faham mereka itu.
قُل نَعَم وَأَنتُم دٰخِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Yes, and you will be [rendered] contemptible.”
(MELAYU)
Katakanlah: “Ya, dan kamu akan terhina”
قُل نَعَم
Katakanlah: “Ya,
Allah suruh Nabi Muhammad jawab kepada mereka yang memang mereka akan dihidupkan semula di akhirat kelak. Ia pasti akan berlaku dan waktu itu baru mereka akan tahu kerana ia sudah terjadi.
وَأَنتُم دٰخِرونَ
dan kamu akan terhina”
Dan Allah suruh beritahu yang mereka akan dihidupkan semula tapi dalam keadaan hina dina kerana mereka akan dihumbankan ke dalam neraka. Ini adalah kerana mereka menolak ajakan tauhid dan menolak wahyu dari Al-Qur’an. Kerana mereka menolak, maka mereka akan melakukan perkara yang salah dan berdosa.
Ayat 19:
فَإِنَّما هِيَ زَجرَةٌ وٰحِدَةٌ فَإِذا هُم يَنظُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It will be only one shout, and at once they will be observing.
(MELAYU)
Maka sesungguhnya kebangkitan itu hanya dengan satu teriakan saja; maka tiba-tiba mereka melihatnya.
فَإِنَّما هِيَ زَجرَةٌ وٰحِدَةٌ
Maka sesungguhnya kebangkitan itu hanya dengan satu teriakan saja;
Makhluk akan dibangkitkan semula dengan satu jeritan sahaja. Ini adalah tiupan Sangkakala kedua dan tiupan Sangkakala itu hanya sekali sahaja dan waktu itu semua makhluk akan bangkit semuanya sekali tanpa melalui proses bayi dari kecil hingga besar. Semua akan bangkit dalam keadaan dewasa.
Menarik kerana digunakan kalimah ‘jeritan’. Seolah-olah memberi isyarat manusia yang tidur lama di dalam kubur akan digerakkan dan dibangunkan dengan satu jeritan yang kuat.
Allah nak beritahu, senang sahaja Allah nak bangkitkan mereka, bukan susah pun. Pada mereka sahaja sahaja susah kerana mereka tidak boleh buat. Tapi Allah bukan mereka, kerana Allah Maha Berkuasa. Allah telah berhujah bahawa alam yang hebat dan mereka sendiri pun Allah sudah jadikan, takkan Allah nak bangkitkan semula tidak boleh?
فَإِذا هُم يَنظُرونَ
maka tiba-tiba mereka melihatnya.
Waktu itu mereka hanya dapat tengok sahaja apa yang berlaku. Mereka tidak ada apa-apa usaha lagi yang mereka boleh lakukan untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka menunggu sahaja apa yang akan dikenakan kepada mereka. Mereka mungkin hebat dan berkuasa waktu mereka hidup, tapi di alam akhirat mereka sikit pun tidak ada kuasa.
Ayat 20:
وَقالوا يٰوَيلَنا هٰذا يَومُ الدّينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will say, “O woe to us! This is the Day of Recompense.”
(MELAYU)
Dan mereka berkata: “Aduhai celakalah kita!” Inilah hari pembalasan.
Ini adalah kata-kata penyesalan mereka. Mereka sudah tahu yang mereka akan celaka kerana menolak hari kebangkitan itu. Waktu itu barulah mereka nak terima bahawa memang benar-benar hari akhirat itu ada. Inilah dulu yang diberitahu kepada mereka, tapi masa diberitahu dulu mereka tidak percaya. Nah, sekarang ia sudah ada di depan mata.
Ayat 21: Akan dikatakan kepada mereka.
هٰذا يَومُ الفَصلِ الَّذي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[They will be told], “This is the Day of Judgement which you used to deny.”
(MELAYU)
Inilah hari keputusan yang kamu selalu mendustakannya.
Ini adalah kata-kata dari Allah atau dari malaikat (tidak pasti kerana tidak diberitahu) kepada mereka. Ianya adalah untuk menyakitkan hati mereka lagi sebagai takzib rohani (azab emosi). Macam kalau kita dengan orang yang tidak dengar cakap kita dan jatuh dapat musibah, maka kita kata kepada dia: “ha… inilah dulu aku nasihat kau, tapi kau tak mahu dengar…. “
Tamat Ruku’ 1 dari 5 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 22:
۞ احشُرُوا الَّذينَ ظَلَموا وَأَزوٰجَهُم وَما كانوا يَعبُدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[The angels will be ordered], “Gather those who committed wrong, their kinds,¹ and what they used to worship
- Those similar to them in evil deeds. Another possible meaning is “their wives.”
(MELAYU)
(kepada malaikat diperintahkan): “Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah,
احشُرُوا الَّذينَ ظَلَموا وَأَزوٰجَهُم
“Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman seperti mereka
Ini adalah perintah kepada para malaikat. Ingat tak lagi Allah sebut tentang para malaikat di awal surah ini yang menjadi tenteraNya? Sekarang kumpulan malaikat yang disebut di awal surah ini disuruh untuk mengumpulkan orang-orang yang zalim itu.
Al-Nu’man ibnu Basyir r.a. mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan أَزوٰجَهُم ialah orang-orang yang serupa dan yang semisal dengan mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Ibnu Abbas, Sa’id ibnu Jubair, Ikrimah, Mujahid, As-Saddi, Abu Saleh, Abul Aliyah, dan Zaid ibnu Aslam.
Saidina Umar mengatakan bahawa para penzina dikumpulkan bersama-sama para penzina lainnya, para pemakan riba dikumpulkan bersama para pemakan riba lainnya, dan para peminum khamr dikumpulkan dengan para peminum khamr lainnya.
وَما كانوا يَعبُدونَ
dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah,
Allah suruh kumpul mereka yang menyembah dan juga kumpulan-kumpulan mereka yang sama-sama buat ibadat syirik. Yang dimaksudkan adalah golongan jin syaitan. Ini kerana apa yang mereka sembah itu sebenarnya jin, bukannya Nabi, wali dan malaikat.
Mereka sahaja sangka mereka sembah dan seru wali, Nabi dan malaikat tapi sebenarnya mereka sembah jin.
Ayat 23:
مِن دونِ اللهِ فَاهدوهُم إِلىٰ صِرٰطِ الجَحيمِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Other than Allāh, and guide them to the path of Hellfire
(MELAYU)
selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka.
مِن دونِ اللهِ
selain Allah;
Yang disembah itu adalah selain dari Allah. Maka ini adalah perbuatan yang syirik. Sepatutnya kita sembah dan seru kepada Allah sahaja dalam ibadat. Tapi mereka yang jauh dari wahyu telah menyembah dan menyeru selain dari Allah. Mereka tertipu dengan ajakan jin.
فَاهدوهُم إِلىٰ صِرٰطِ الجَحيمِ
maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka.
Semua manusia yang buat syirik dan jin syaitan itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan diseret ke dalam neraka. Allah suruh malaikat bawa mereka ke dalam neraka.
Jadi, tidaklah semua yang disembah itu kena panggil dan dimasukkan ke dalam neraka. Sebagai contoh, Nabi Isa pun disembah juga, tapi bukan baginda bersalah. Baginda tidak pernah suruh baginda disembah. Jadi yang sebenarnya disembah adalah jin syaitan. Maka merekalah yang dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 24:
وَقِفوهُم ۖ إِنَّهُم مَّسئولونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And stop them; indeed, they are to be questioned.”
(MELAYU)
Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya:
وَقِفوهُم
Dan tahanlah mereka
Semasa dibawa manusia dan jin ke neraka itu, Allah suruh malaikat tahan mereka.
إِنَّهُم مَّسئولونَ
kerana sesungguhnya mereka akan ditanya:
Mereka kena tahan kerana mereka akan disoal. Di dalam Surah Rahman ada disebut yang mereka tidak ditanya dengan dosa-dosa mereka. Tetapi itu adalah peringkat awal di mana mereka baru sahaja dikeluarkan daripada kubur masing-masing dan waktu itu semua sudah tahu siapa yang berdosa dan siapa yang tidak.
Tetapi apabila sampai masanya, maka mereka akan ditanya tentang dosa-dosa yang mereka telah lakukan. Jadi kena baca kesemua ayat-ayat Al-Qur’an supaya kita dapat faham keseluruhan jalan cerita. Jangan ambil satu ayat sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 7 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi