Tafsir Surah Saba’ Ayat 23 – 27 (Salah faham tentang Syafaat)

Ayat 23: Ayat penjelasan tentang ‘syafaat’.

وَلا تَنفَعُ الشَّفٰعَةُ عِندَهُ إِلّا لِمَن أَذِنَ لَهُ ۚ حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم ۖ قالُوا الحَقَّ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And intercession does not benefit with Him except for one whom He permits. [And those wait] until, when terror is removed from their hearts,¹ they will say [to one another], “What has your Lord said?” They will say, “The truth.” And He is the Most High, the Grand.

  • i.e., the hearts of the angels who will be permitted to intercede.

(MELAYU)

Dan tiadalah berguna syafa’at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa’at itu, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

 

وَلا تَنفَعُ الشَّفٰعَةُ عِندَهُ إِلّا لِمَن أَذِنَ لَهُ

Dan tiadalah berguna syafa’at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya 

Ramai manusia yang bercakap tentang syafaat. Ramai yang mengharapkan ada pemberi syafaat nanti di akhirat kelak. Maka mereka melakukan amalan-amalan kononnya untuk mendapat syafaat dari wali, Nabi dan malaikat. Mereka beri salam, sedekah Fatihah, lawat kubur, qasidah dan macam-macam lagi amalan yang tidak ada dalam ajaran agama.

Allah beritahu dengan jelas dalam ayat ini bahawa syafaat itu bukan hak makhluk tapi hak Allah. Tiada sesiapa yang boleh beri syafaat kecuali yang diberi izin oleh Allah. Maka ramai yang tidak tahu tentang perkara ini maka mereka minta syafaat dari Nabi Muhammad, dari orang yang sudah mati (mereka kata simati itu ‘wali’) dan dari malaikat. Maka ini adalah salah faham dalam hal syafaat. Kerana syafaat itu diminta kepada Allah, bukan kepada makhluk!

Makhluk yang dibenarkan untuk beri syafaat pun tidak berani nak cakap apatah lagi nak beri syafaat tanpa izin dari Allah. Mereka tidak ada kuasa dan tidak akan berani nak bantu sesiapa pun.

Bukan sahaja izin bercakap diperlukan tapi nak beri syafaat mana-mana individu itu pun memerlukan izin dari Allah. Bukanlah mereka boleh beri syafaat kepada sesiapa sahaja. Penerima syafaat pun kena dapat izin dari Allah.

Kita kena tahu bahawa tidak ada makhluk yang mampu berikan syafaat termasuk makhluk yang paling rapat dengan Allah pun, iaitu para Malaikat. Maka nanti Allah menceritakan hal mereka.

 

حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم

sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, 

Iaitu apabila tidak ada ketakutan lagi. Iaitu apabila dihilangkan ketakutan dari hati para malaikat. Mereka ini adalah malaikat tapi mereka pun amat takut dengan Allah. Bila Allah beri arahan, mereka akan menggeletar kerana amat takut.

Ayat ini menceritakan tentang kedudukan Yang Maha besar lagi Maha tinggi bagi Allah Swt., iaitu apabila Dia berfirman, maka semua penduduk langit mendengar firman-Nya, lalu mereka bergetar kerana ketakutan sehingga keadaan mereka sama dengan orang yang pengsan kerana ketakutan yang sangat terhadap Kebesaran dan Keagungan Allah Swt.

Ini disokong dengan banyak hadis, antaranya:

قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ الْكَرِيمَةِ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا عَمْرٌو، سَمِعْتُ عِكْرِمة، سَمِعْتُ أَبَا هُرَيرة يَقُولُ: أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِذَا قَضَى اللَّهُ الأمرَ فِي السَّمَاءِ، ضَرَبَتِ الْمَلَائِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضعانًا لِقَوْلِهِ، كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صفوانَ، فَإِذَا فُزِّع عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا: مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قالوا للذي قال: الحق، وهو العلي الكبير فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرق السَّمْعِ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ -هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ-وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِيَدِهِ-فَحَرّفها وبَدّد بَيْنَ أَصَابِعِهِ-فَيسمع الْكَلِمَةَ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ، ثُمَّ يُلْقِيهَا الْآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ، حَتَّى يلقيَها عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ، فَربما أَدْرَكَهُ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَة، فيقال: أليس قد قال لنا يومَ كذا وكذا: كذا وكذا؟ فيصدق بتلك الكلمة الَّتِي سُمعت مِنَ السَّمَاءِ.

Imam Bukhari dalam kitab sahihnya sehubungan dengan tafsir ayat ini menyebutkan, telah menceritakan kepada kami Al-Humaidi, telah menceritakan kepada kami Sufyan, telah menceritakan kepada kami Amr, dia pernah mendengar Ikrimah mengatakan bahawa Ikrimah pernah mendengar Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah Saw. pernah bersabda: Apabila Allah memutuskan suatu urusan di langit, maka para malaikat bergetar mengepak-ngepakkan sayapnya kerana ketakutan terhadap firman-Nya, (dari sayap mereka keluar bunyi) seperti rantai (yang dijatuhkan) di atas batu licin. Dan apabila ketakutan telah dihilangkan dari hati mereka, maka (sebahagian dari) mereka bertanya (kepada sebahagian yang lain), “Apakah yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Maka mereka (yang ditanya) menjawab kepada yang bertanya, “(Perkataan) yang benar, dan Dialah Yang Maha tinggi lagi Maha besar.” Lalu pembicaraan itu dicuri dengar oleh setan-setan yang mencuri-curi dengar berita dari langit. Setan-setan itu sebahagian berada di atas sebagian yang lainnya. Sufyan (perawi) memperagakan hal itu dengan membuka semua jari tangannya dan menyusunnya. Lalu setan itu mendengarkan pembicaraan tersebut, maka ia menyampaikannya kepada temannya yang ada di bawahnya, lalu si penerima berita menyampaikannya lagi kepada temannya yang ada di bawahnya. Demikianlah seterusnya hingga sampai pada setan yang paling bawah, lalu berita tersebut disampaikannya kepada penyihir dan tukang tenung. Dan barangkali setan yang ada di paling atas ditembak oleh bintang yang menyala-nyala sebelum ia sempat menyampaikannya kepada setan yang ada di bawahnya. Barangkali pula setan itu sempat menyampaikannya sebelum terkena lemparan bintang menyala, maka ia mencampuri berita itu dengan seratus kedustaan darinya. Dan setan itu berkata, “Bukankah telah disampaikan kepada kita bahawa hari anu akan terjadi anu dan anu,” dan secara kebetulan bersesuaian dengan kalimat yang didengar dari langit.” Hadis ini diriwayatkan secara tunggal oleh Imam Bukhari tanpa Imam Muslim melalui jalur ini.

Disebut tentang malaikat dan keadaan mereka kerana ada manusia yang buat syirik dengan malaikat. Mereka sangka malaikat itu salah satu ilah dan ada kuasa. Kerana malaikat itu ada yang ditugaskan untuk turunkan rezeki, ambil nyawa dan sebagainya. Padahal kerja yang mereka lakukan adalah kerana arahan Allah, bukan kehendak dan keputusan mereka.

Malaikat sebenarnya tidak ada kuasa apa pun melainkan yang diberikan oleh Allah. Semua mereka adalah hamba kepada Allah juga, tidak lebih dari itu. Dan Allah tidak perlukan malaikat pun untuk tadbir alam ini. Allah jadikan malaikat untuk jalankan tugas di alam ini kerana nak tunjukkan kuasaNya sahaja. Iaitu Allah ada kerajaan yang amat luas dan pekerja-pekerja yang menjalankan arahanNya.

 

قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم

mereka berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?”

Selepas hilang ketakutan kepada Allah selepas tahu Allah ada berikan arahan, maka baru para malaikat itu berani nak tanya tentang arahan. Apakah arahan yang dimaksudkan?

Mereka tanya tentang arahan itu kepada malaikat yang di atas. Iaitu Malaikat yang lebih tinggi kedudukan mereka. Kerana Malaikat yang duduk di atas yang tahu tentang arahan Allah dulu sebelum yang lain.

 

قالُوا الحَقَّ

Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, 

Maka malaikat yang atas akan beritahu. Mereka akan sampaikan arahan yang benar dari Allah. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa sampaikanlah apa yang telah difirmankan-Nya tanpa ditambah-tambahi dan tanpa dikurang-kurangi, yakni secara apa adanya.

 

وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Malaikat kemudian memuji-muji Allah. Allahlah yang Maha Tinggi dan Maha Besar, bukannya mereka. Mereka hamba Allah sahaja. Maka tidak patut sama sekali untuk berdoa kepada malaikat dan minta syafaat dari mereka.

Satu lagi tafsiran ayat ini adalah berkenaan pemberi syafaat dan penerima syafaat. Apabila pemberi syafaat seperti Nabi meminta syafaat kepada Allah, kedua-dua pemberi syafaat dan penerima syafaat itu dalam ketakutan. Kerana mereka tidak tahu keputusan Allah. Apabila sudah hilang ketakutan, barulah penerima syafaat itu tanya apakah keputusan dari Allah. Maka ada yang diberitahu ‘kebenaran’, iaitu permintaan syafaat telah diluluskan.

Maka ini hendak menceritakan bukannya senang nak dapatkan syafaat. Jangan sangka yang pemberi syafaat senang-senang nak dapatkan syafaat dari Allah. Maka kalau kamu senang-senang kata: “Nabi itu Allah sayang, tentu Allah akan luluskan permintaan syafaat darinya”. Jika ada yang kata begitu, maka mereka tidak faham tentang syafaat.


 

Ayat 24: Dalil Aqli I’tirafi

۞ قُل مَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ قُلِ اللهُ ۖ وَإِنّا أَو إِيّاكُم لَعَلىٰ هُدًى أَو في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Who provides for you from the heavens and the earth?” Say, “Allāh. And indeed, we or you are either upon guidance or in clear error.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

 

قُل مَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?”

Allah suruh Nabi tanya kepada Arab Mekah: Mana datangnya rezeki kamu? Kalau Palestin dan Yaman ada lagi, kamu tidak ada apa. Allah yang susun sampai kamu dapat banyak rezeki yang banyak walaupun tanah air kamu tandus sahaja. Apabila dua kerajaan itu jatuh, barulah Mekah jadi tempat perdagangan yang maju. Ini adalah kerana Kaabah ada di situ.

Maka soalan ini sebenarnya membungkam Musyrikin Mekah. Kerana mereka pun terima yang Allahlah Tuhan yang memberikan rezeki. Tapi mereka menentang ajaran tauhid dan mereka menyembah ilah-ilah lain. Jadi mereka tidak boleh mengiyakan soalan Nabi ini. Tapi mereka nak jawab apa?

Kalau mereka jawab pemberi rezeki itu selain Allah, maka ia sudah pasti satu penipuan dan manusia lain pun tahu yang mereka menipu. Tapi kalau mereka jawab: Allah yang memberi rezeki, maka mereka pun sudah terjerat. Kerana kalau Allahlah pemberi rezeki, kenapa nak puja dan seru selain Allah?

Jadi, jawapan ini mereka tidak dapat jawab, maka Allah suruh Nabi sendiri yang jawab. Sebab itu ada jarak antara soalan dan jawapan. Ada nampak sengkang di antara soalan dan jawapan.

 

قُلِ اللهُ

Katakanlah: “Allah”,

Allah berfirman: jawab sajalah yang Allahlah yang memberi dan menentukan rezeki kerana itulah juga fahaman Musyrikin Mekah. Mereka pun tahu yang Allahlah yang berikan rezeki kepada mereka. Maka Allah ingatkan sahaja.

 

وَإِنّا أَو إِيّاكُم لَعَلىٰ هُدًى أَو في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

Nanti pasti kita semua akan tahu kedudukan kita semua. Kita akan tahu mana satu antara kita yang benar dan yang sesat.

Lihat indahnya ayat ini dan cara dakwah yang Allah ajarkan. Selepas soal jawab tadi, tentu jawapan yang sebetulnya adalah: “Kami Muslim yang benar dan kamu wahai musyrikin adalah dalam kesesatan”.

Tapi Allah tidak suruh kata begitu kerana kata-kata begitu adalah kasar dan dalam dakwah, kita kena gunakan hikmah. Kalau terus kata mereka sesat, maka itu akan menyebabkan mereka terasa hati dan melawan balik. Maka Allah suruh mereka sendiri gunakan hujah yang lembut menggunakan akal fikiran mereka.

Orang Muslim itu sembah dan seru Allah sahaja kerana Dialah sahaja yang memberikan rezeki. Dan golongan musyrik pula seru dan sembah selain Allah. Maka siapa yang benar? Boleh fikirkan sendiri. Kerana tidak mungkin dua-dua sekali benar.

Ungkapan ini termasuk ke dalam Bab “Sindiran”. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa salah satu pihak pasti ada yang batil, dan pihak yang lain benar. Tidak mungkin dikatakan bahawa antara kalian dan kami berada dalam jalan petunjuk atau berada dalam kesesatan, tetapi salah satu dari kita sajalah yang benar.

Dan sebagaimana yang telah kalian ketahui (hai orang-orang musyrik), kami telah mengemukakan bukti yang membenarkan keesaan Tuhan. Hal ini merupakan bukti yang jelas yang membuktikan kebatilan akidah kalian yang mempersekutukan Allah Swt. dengan sesuatu. Maka fikirlah sendiri.


 

Ayat 25: Allah ajar cara tabligh wahyu. Ini adalah tambahan kepada hujah-hujah sebelum ini. Ini hendak suruh mereka terus fikirkan lagi.

قُل لّا تُسئلونَ عَمّا أَجرَمنا وَلا نُسئلُ عَمّا تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “You will not be asked about what we committed, and we will not be asked about what you do.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Kamu tidak akan ditanya (bertanggung jawab) tentang dosa yang kami perbuat dan kami tidak akan ditanya (pula) tentang apa yang kamu perbuat”.

 

قُل لّا تُسئلونَ عَمّا أَجرَمنا

Katakanlah: “Kamu tidak akan ditanya (bertanggung jawab) tentang dosa yang kami perbuat

Quraisy sangka Muslim itu yang sesat kerana bawa ajaran baru. Kerana ianya berlawanan dengan fahaman mereka dulu. Maka Allah ajar cara dakwah dalam ayat ini. Allah suruh katakan: “Kamu tidak akan ditanya tentang apa yang kami buat. Kalau kami berdosa pun, kamu tidak bertanggungjawab. Kalau kami bawa ajaran salah pun, kamu tidak terkesan pun.”

Maka ini adalah bahasa peringkat dakwah. Kalau salah baca, nampak seolah-olah Muslim pula yang buat dosa. Ini kerana kata-kata disebut dalam persepsi kafir Mekah yang anggap golongan Islam itu yang sesat. Disebut cara begini kerana nak dakwah. Maknanya jangan kutuk mereka.

 

وَلا نُسئلُ عَمّا تَعمَلونَ

dan kami tidak akan ditanya (pula) tentang apa yang kamu perbuat”.

Dan cakaplah juga: “Kami juga tidak ditanya tentang apa yang kamu lakukan. Apa kamu lakukan itu akan ditanggung oleh kamu. Kami hanya sampaikan sahaja ajaran wahyu. Tapi kalau kamu tak ikut, kami tidak dipertanggungjawabkan atas amalan kamu itu.”

Maknanya, ini nak suruh mereka fikirkan. Kalau nak buat pilihan tentang agama, maka kenalah fikirkan betul-betul. Jangan ikut sahaja kerana kita yang akan bertanggungjawab atas keputusan kita itu. Maka kalau zaman sekarang pun, semua insan kena buat pilihan sendiri. Jangan jadi pak turut dan ikut sahaja kata-kata orang lain, walaupun dia itu seorang ‘ustaz’. Kerana kita semua akan dipertanggungjawabkan atas keputusan kita. Ustaz itu tidak akan tanggung dosa kita kalau buat kesalahan dalam agama.

Yang dimaksudkan ayat ini juga ialah pernyataan berlepas diri dari apa yang dilakukan oleh mereka (orang-orang musyrik). Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa kalian bukanlah termasuk golongan kami, sebagaimana kami pun bukan termasuk golongan kalian, bahkan kami menyeru kalian untuk menyembah Allah semata dan mengesakan-Nya.

Maka jika kalian memenuhi seruan kami, bererti kalian termasuk golongan kami dan kami termasuk golongan kalian. Tetapi jika kalian mendustakan seruan kami, maka kami berlepas diri dari kalian sebagaimana kalian pun berlepas diri dari kami. Makna ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ}

Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah, “Bagiku amalanku dan bagimu amalanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Yunus: 41)

Dan firman Allah Swt.:

{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ. لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ. وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ. وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ. لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ}

Katakanlah, “Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku.” (Al-Kafirun: 1-6)


 

Ayat 26: Tanya lagi. Suruh mereka berfikir sikit lagi.

قُل يَجمَعُ بَينَنا رَبُّنا ثُمَّ يَفتَحُ بَينَنا بِالحَقِّ وَهُوَ الفَتّاحُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Our Lord will bring us together; then He will judge between us in truth. And He is the Knowing Judge.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Tuhan kita akan mengumpulkan kita semua, kemudian Dia memberi keputusan antara kita dengan benar. Dan Dialah Maha Pemberi keputusan lagi Maha Mengetahui”.

 

قُل يَجمَعُ بَينَنا رَبُّنا

Katakanlah: “Tuhan kita akan mengumpulkan kita semua,

Katakan kepada mereka yang mereka bebas nak buat apa sahaja. Tapi kena ingat yang kita semua akan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Maknanya kehidupan bukan di dunia ini sahaja tapi akan dihakimi di akhirat kelak. Perbezaan kita ini bukan kerana nak menang hujah tapi kerana perkara ini akan dibawa ke hadapan Allah taala.

 

ثُمَّ يَفتَحُ بَينَنا بِالحَقِّ

kemudian Dia memberi keputusan antara kita dengan benar. 

Allah bukan akan kumpulkan sahaja manusia di Mahsyar tapi ada penghakiman yang akan dilakukan. Waktu itu Allah akan menilai segala amalan kita dan Allah akan buat keputusan yang adil. Allah tidak akan zalim kepada hamba-Nya dalam membuat keputusan. Ini bukan mahkamah dunia yang mungkin buat keputusan yang salah.

Dan waktu itu keputusan yang dibuat adalah dengan cara amali. Maknanya selepas itu akan dimasukkan manusia sama ada ke dalam syurga atau neraka. Jadi ini adalah perkara berat, bukan perkara main-main. Maka perbezaan kita antara pengamal tauhid dan pengamal syirik bidaah di zaman ini juga bukan perkara main-main. Semua ini nanti akan dihadapkan di hadapan Allah taala.

 

وَهُوَ الفَتّاحُ العَليمُ

Dan Dialah Maha Pemberi keputusan lagi Maha Mengetahui”.

Kalimah الفَتّاحُ dari kalimah asal ف ت ح yang kita selalu faham sebagai ‘buka’. Ibnu Faris rahimahullah menjelaskan bahawa asal kata yang benar dari nama ini menunjukkan makna lawan kata dari ‘menutup’. Kemudian dari asal makna ini diambil makna-makna lain dari kata ini, seperti menghukumi (memutuskan), kemenangan dan kejayaan.

Ulama lain, Al-Fairuz Abadi rahimahullah menjelaskan bahawa nama ini secara bahasa bererti al-haakim (yang memutuskan hukum). Sementara Ibnul Atsir rahimahullah berkata: “(Erti nama Allah) al-Fattah adalah Yang Membuka pintu-pintu rezeki dan rahmat bagi hamba-hamba-Nya, ada juga yang mengatakan (ertinya), Yang Maha Memberi hukum di antara hamba-Nya”.

Imam Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah berkata, “Allah (Dialah) Yang Maha pemberi keputusan hukum lagi Maha Mengetahui hukum (yang tepat dan adil) di antara hamba-Nya, kerana tiada sesuatu pun (dari keadaan mereka) yang tersembunyi di hadapan-Nya, dan Dia tidak memerlukan saksi untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah”. Maknanya, tidak ada yang tertutup kepada Allah dan kerana itu Allah boleh keputusan yang tepat. Semuanya ‘terbuka’ kepada Allah.

Allah boleh buat keputusan dengan tepat dan adil kerana Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Semuanya ‘terbuka’ bagi Allah. Dia tahu segala apa yang kita telah lakukan. Kalau hakim di dunia tidak dapat lakukan begini kerana dia tidak tahu segala-galanya. Mereka hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti yang sampai kepada mereka sahaja.

Tapi bagi Allah, Dia tahu segala-galanya. Tak payah pakai pendakwaraya dan peguam dalam mahkamah Allah. Allah pun sebenarnya tidak perlukan kepada perbicaraan itu, kerana memang Dia sudah tahu segalanya. Tapi diadakan mahkamah di Mahsyar itu untuk beri kepuasan hati kepada makhluk.


 

Ayat 27: Allah ajar lagi cara dakwah. Allah ajar kita minta dalil. Allah suruh mereka fikir balik sama ada pegangan mereka itu ada sandaran atau tidak?

قُل أَرونِيَ الَّذينَ أَلحَقتُم بِهِ شُرَكاءَ ۖ كَلّا ۚ بَل هُوَ اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Show me those whom you have attached to Him as partners. No! Rather, He [alone] is Allāh, the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Perlihatkanlah kepadaku sembah-sembahan yang kamu hubungkan dengan Dia sebagai sekutu-sekutu-Nya, sekali-kali tidak mungkin! Sebenarnya Dialah Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

قُل أَرونِيَ الَّذينَ أَلحَقتُم بِهِ شُرَكاءَ

Katakanlah: “Perlihatkanlah kepadaku sembah-sembahan yang kamu hubungkan dengan Dia sebagai sekutu-sekutu-Nya,

Allah suruh cakap lagi kepada orang Mekah yang musyrik itu. Minta mereka tunjukkan sekutu-sekutu Allah itu.

Kalimah أَلحَقتُم dari ل ح ق yang bermaksud mengejar sampai dapat menyertai. Maknanya yang boleh sampai ke kedudukan yang sama dengan Allah. Bermaksud makhluk yang dijadikan sama kedudukan dengan Allah.

Tunjukkanlah roh Nabi, wali, malaikat atau jin yang kamu seru dan sembah itu. Yang kamu kata boleh beribadat kepada mereka disamping ibadat kepada Allah. Yang kamu kata mereka itu sekutu Allah. Yang kamu kata boleh seru mereka selain dari seru Allah. Mari ke mari, tunjukkan!

 

كَلّا

sekali-kali tidak mungkin!

Tidak mungkin mereka boleh tunjukkan. Maka katakanlah kepada mereka: “Kamu takkan berjaya nak tunjuk sekutu kepada Allah kerana apa yang kamu nak tunjuk? Adakah kamu nak tunjuk batu yang kamu sembah itu? Itu batu sahaja yang tak boleh buat apa-apa. Kamu yang buat sendiri berhala-berhala itu.”

 

بَل هُوَ اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

Sebenarnya Dialah Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Maka kalau kamu tidak boleh tunjuk, maka ketahuilah bahawa Allah sahaja yang Maha Perkasa dan tidak boleh dikalahkan. Kalau Allah nak azab kamu terus, tidak ada sesiapa pun yang boleh halang Allah.

Tapi Allah juga bersifat Maha Bijaksana. Dia Maha bijaksana dalam semua ucapan, perbuatan, syariat, dan takdir-Nya.

Allah tidak terus beri azab kerana Allah beri peluang untuk manusia bertaubat dan insaf. Kalau Allah terus azab maka kita semua tidak ada peluang masuk syurga. Keputusan ini Allah buat atas kebijaksanaanNya. Maka kalau kamu tidak kena azab sekarang, jangan kata kerana kamu benar. Kamu tidak diazab lagi kerana Allah beri tangguh sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 3 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s