Tafsir Surah Saba’ Ayat 28 – 31 (Bahaya taklid)

Ayat 28: Musyrikin Mekah ada minta Nabi keluarkan mukjizat seperti yang mereka hendak. Maka Allah jelaskan apakah tugas Nabi Muhammad sebenarnya. Bukannya kena layan permintaan mereka nak itu dan ini.

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا كافَّةً لِّلنّاسِ بَشيرًا وَنَذيرًا وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have not sent you except comprehensively¹ to mankind as a bringer of good tidings and a warner. But most of the people do not know.

  • Literally, “inclusively, without exception.”

(MELAYU)

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

 

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا كافَّةً لِّلنّاسِ

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya

Dalam ayat ini Allah memberitahu bahawa Nabi Muhammad itu dihantar kepada seluruh manusia pada zaman baginda sampailah zaman sekarang tidak kira di mana mereka berada. Ini adalah kelebihan kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak diberikan kepada para Rasul yang lain.

Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain yang di-marfu ‘-kan oleh sahabat Jabir r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ. وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، فَأَيُّمَا رَجُلٌ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ. وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ، وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي. وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ. وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً”.

Aku dianugerahi lima perkara yang belum pernah dianugerahkan kepada seorang nabi pun sebelumku: Aku diberi pertolongan dengan rasa gentar yang mencengkam hati musuh sejauh perjalanan satu bulan; bumi ini dijadikan bagiku sebagai masjid dan suci lagi menyucikan, maka barang siapa dari kalangan umatku yang memasuki waktu solat hendaklah dia salat (di mana pun berada); dan dihalalkan bagiku ghanimah, padahal ghanimah belum pernah dihalalkan kepada seorang pun sebelumku; aku diberi izin untuk memberikan syafaat; dan dahulu seorang nabi diutus khusus hanya kepada kaumnya, sedangkan aku diutus untuk seluruh umat manusia.

 

بَشيرًا وَنَذيرًا

sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, 

Baginda ditugaskan untuk memberi berita gembira kepada mereka yang taat dan beri ancaman kepada mereka yang degil. Dan bukanlah Nabi Muhammad boleh mengeluarkan mukjizat seperti yang mereka minta.

Tugas Nabi Muhammad sebenarnya adalah untuk sampaikan ajaran wahyu dan bukan untuk keluarkan mukjizat. Kerana kuasa mukjizat tidak ada pada Nabi melainkan ianya diberikan oleh Allah sahaja. Allah yang tentukan apakah mukjizat yang akan diberikan.

Maka tidak perlu layan permintaan mereka untuk lihat mukjizat. Mereka minta mukjizat itu pun bukannya mereka hendak beriman tetapi nak main-main sahaja.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

Allah kata ramai yang ‘tidak tahu’. Allah tidak kata ramai yang ‘tidak beriman’ dalam ayat ini. Ini kerana ramai daripada manusia yang tidak tahu berkenaan Nabi Muhammad dan berkenaan Islam. Kerana itu ramai yang tidak beriman.

Maka tugas kita adalah untuk menyampaikan ilmu agama ini kepada manusia sebenarnya. Biar mereka pun tahu dan biarlah mereka buat keputusan untuk beriman atau tidak setelah tahu. Kita cuma mulakan dengan memberi tahu sahaja.


 

Ayat 29: Ini adalah Syikayah. Ayat 29 – 42 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan sikap kaum yang sombong dan bagaimana keadaan mereka di hari pembicaraan di akhirat.

Orang yang sombong berkata mereka tidak akan beriman kepada ajakan Rasul. Di akhirat pula pemimpin dan pengikut saling tuduh menuduh siapa yang menjadi punca kesesatan. Akhirnya masing-masing akan diam dan menyesali kekafiran masing-masing.

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Bilakah (datangnya) janji ini, jika kamu adalah orang-orang yang benar?”.

 

Apabila Nabi Muhammad memberitahu tentang Kiamat yang akan tiba dan selepas itu semua akan dibangkitkan dan diadili tentang baik atau buruk amalan setiap manusia, mereka tidak percaya. Mereka minta ditunjukkan azab yang dijanjikan itu. Mereka nak lihat janji itu dengan mata kepala mereka sendiri. Mereka nak tengok hari Kiamat terjadi barulah mereka hendak percaya.

Atau mereka nak ejek baginda sahaja kerana pada mereka Nabi Muhammad menipu sahaja dengan kisah-kisah tentang Kiamat dan Hari Pembalasan itu. Kerana itu mereka berani cakap: “kalau betul ada maka datangkanlah hari itu kalau benar ada.”

Dan mereka nak ejek Nabi Muhammad kerana Nabi sudah bagi ancaman kepada mereka. Tapi mereka kata mereka sudah lama mereka lawan dan tolak baginda, kenapa tak kena-kena lagi dengan azab itu? Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ} الْآيَةَ

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahwa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). (Asy-Syura: 18), hingga akhir ayat.


 

Ayat 30: Ini adalah jawab kepada syikayah para penentang dalam ayat sebelum ini. Allah beri cara untuk berhujah dengan mereka.

قُل لَّكُم مّيعادُ يَومٍ لّا تَستَئخِرونَ عَنهُ ساعَةً وَلا تَستَقدِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “For you is the appointment of a Day [when] you will not remain thereafter an hour, nor will you precede [it].”

(MELAYU)

Katakanlah: “Bagimu ada hari yang telah dijanjikan (hari kiamat) yang tiada dapat kamu minta mundur daripadanya barang sesaat pun dan tidak (pula) kamu dapat meminta supaya diajukan”.

 

قُل لَّكُم مّيعادُ يَومٍ

Katakanlah: “Bagimu ada hari yang telah dijanjikan

Kamu akan nampak sendiri hari yang telah dijanjikan itu apabila ia datang. Jangan takut, nanti akan nampak juga nanti. Nanti kamu akan dapatlah balasan kamu. Silalah bersabar dulu. Buatlah apa yang kamu nak buat dulu.

 

لّا تَستَئخِرونَ عَنهُ ساعَةً

yang tiada dapat kamu minta mundur daripadanya barang sesaat pun

Ianya pasti datang seperti yang dikehendaki oleh Allah. Masanya telah ditetapkan oleh Allah. Kita sahaja yang tidak tahu. Tapi bila sampai masanya, kamu tidak boleh minta temujanji kamu dengannya dilambatkan walau sesaat pun.

 

وَلا تَستَقدِمونَ

dan tidak (pula) kamu dapat meminta supaya diawalkan”.

Dan kamu pun tidak boleh nak awalkan temujanji itu. Kerana penetapan itu dari Allah. Kalau di dunia bolehlah kita nak ubah-ubah masa kita nak jumpa orang, bukan? Tapi dengan hari Kiamat tidak akan berlaku.

Maknanya, Allah bukan nak kena ikut kehendak mereka. Walaupun mereka sudah ejek-ejek bila lagi nak datang azab itu, tapi tidaklah Allah tertekan dengan kata-kata mereka sampai nak kena balas waktu itu juga. Tidaklah Allah mempercepatkan azab atau kiamat ini kerana mereka pula. Kata-kata mereka itu tidak memberi kesan kepada Allah.

Habis Ruku’ 3 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 31: Ayat Syikayah.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَن نُّؤمِنَ بِهٰذَا القُرءآنِ وَلا بِالَّذي بَينَ يَدَيهِ ۗ وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ مَوقوفونَ عِندَ رَبِّهِم يَرجِعُ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ القَولَ يَقولُ الَّذينَ استُضعِفوا لِلَّذينَ استَكبَروا لَولا أَنتُم لَكُنّا مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say, “We will never believe in this Qur’ān nor in that before it.” But if you could see when the wrongdoers are made to stand before their Lord, refuting each others’ words…¹ Those who were oppressed will say to those who were arrogant, “If not for you, we would have been believers.”

  • Having been left to the imagination, the conclusion of this sentence is estimated to be “…you would see a dreadful sight.”

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir berkata: “Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada Al Qur’an ini dan tidak (pula) kepada kitab yang sebelumnya”. Dan (alangkah hebatnya) kalau kamu lihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya, sebahagian dari mereka menghadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain; orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: “Kalau tidaklah kerana kamu, tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman”.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَن نُّؤمِنَ بِهٰذَا القُرءآنِ

Dan orang-orang kafir berkata: “Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada Al Qur’an ini 

Orang kafir Mekah kata mereka tidak akan beriman dengan Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Mereka terus tolak begitu sahaja. Mereka pun memang tidak ada kitab wahyu di kalangan mereka, jadi konsep kitab wahyu ini asing bagi mereka.

 

وَلا بِالَّذي بَينَ يَدَيهِ

dan tidak (pula) kepada kitab yang sebelumnya”.

Bukan sahaja mereka tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an, mereka juga kata mereka tidak mahu beriman kepada Taurat dan Injil yang telah diturunkan sebelum Al-Qur’an. Pada mereka, sama sahaja semua kitab itu.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Musyrikin Mekah itu sudah pernah mendengar Taurat dibacakan kepada mereka. Dan mereka nampak ada persamaan diantara apa yang disampaikan di dalam Taurat itu dengan Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Maka kepada mereka, ianya adalah sesuatu yang sama dan seolah-olah kedua-dua kitab itu bersekongkol sahaja. Jadi kalau Taurat dan Injil pun mereka sudah tidak percaya, maka kepada Al-Qur’an pun mereka tidak mahu percaya.

Maka ini sebagai dalil bahawa Musyrikin Mekah pun sudah nampak persamaan antara Taurat dan Al-Qur’an. Maka mengapakah para pendeta Yahudi tidak nampak perkara itu? Sedangkan mereka tahu Taurat dan sekarang mereka dengar Al-Qur’an pula. Kalau Musyrikin Mekah yang tiada ilmu kitab pun boleh nampak, kenapa mereka yang kononnya ada ilmu agama, tidak nampak? Atau sengaja tak mahu nampak?

 

وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ مَوقوفونَ عِندَ رَبِّهِم

Dan (alangkah hebatnya) kalau kamu lihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya,

Allah suruh bayangkan keadaan di akhirat kelak bagaimana balasan yang akan kena kepada mereka. Apa yang mereka akan lakukan di akhirat nanti?

Kalaulah kamu dapat melihat ketika mereka di hadapan Allah. Waktu itu mereka sudah tidak berlagak lagi. Waktu itu mereka akan menyesal kerana mereka sudah nampak azab di hadapan mata mereka.

 

يَرجِعُ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ القَولَ

sebahagian dari mereka menghadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain; 

Ketika itu kamu akan melihat bagaimana orang kafir itu akan berkata dan menuduh sesama mereka. Waktu ini mereka sudah marah dan mulalah mencari salah orang lain. Kerana kadang-kadang manusia nak marah sahaja walaupun ia tidak menolong apa-apa pun.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut. Jadi kalimat بَعضٍ القَولَ dibaca بَعضِنِ القَولَ (ba’dinil qawla).

 

يَقولُ الَّذينَ استُضعِفوا لِلَّذينَ استَكبَروا

orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: 

Orang yang lemah bermaksud orang yang mengikut sahaja kata orang yang di atas. Mereka itu orang bawahan, orang-orang awam. Mereka hanya mengikut sahaja kata-kata dan pendapat orang yang di atas mereka yang mereka nampak sebagai ada pengetahuan agama dan ada kedudukan dalam masyarakat.

Orang yang di atas itu mungkin dalam bentuk pemimpin ataupun dalam bentuk ketua agama. Mereka itu ada autoriti yang menyebabkan orang ikut sahaja apa yang mereka katakan. Ini adalah kerana pada orang bawahan, kalau orang di atas sudah beri sesuatu keputusan itu, nak ada pilihan lain apa lagi? Mereka pun malas nak fikirkan mana yang benar dan mana yang salah, maka mereka terima sahaja.

 

لَولا أَنتُم لَكُنّا مُؤمِنينَ

“Kalau tidaklah kerana kamu, tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman”.

Kalau keputusan orang atasan itu benar dan bertepatan dengan agama, maka selamatlah mereka yang di bawah. Tapi kalau yang di bawah pakai ikut sahaja amalan dan fatwa orang atasan, maka mereka akan terjerumus sekali masuk dalam neraka.

Yang mengikut itu dinamakan taqlid sahaja. Ikut tanpa dalil. Ini adalah perbuatan yang bahaya kerana kalau yang diikuti itu benar maka bolehlah selamat, tapi kalau yang diikuti itu tidak benar, maka akan kena dosa sekali. Yang taqlid itu tidak boleh gunakan alasan dia ikut sahaja, kerana Allah telah berikan pancaindera dan akal untuk digunakan sama ada jalan itu betul atau tidak.

Oleh kerana mereka telah dimasukkan ke dalam neraka kerana pemimpin mereka buat keputusan dan mereka ikut sahaja, maka mereka akan marah kepada orang-orang di atas mereka itu. Pada mereka, kerana mereka ikut kata orang di atas itulah yang menyebabkan mereka tidak beriman.

Orang di bawah itu kata, kalaulah bukan kerana orang yang di atas itu yang menghalang mereka, bagi ajaran yang salah, tentu mereka telah dengar ajaran tauhid yang benar, ajaran sunnah yang benar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 3 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment