Tafsir Surah Yunus Ayat 37 – 40 (Cabaran buat surah seperti Al-Qur’an)

Yunus Ayat 37: Sebelum ini telah disebut manusia yang berpegang kepada sangkaan sahaja. Perbuatan ini berbahaya kerana ada kemungkinan tidak benar. Maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang Al-Qur’an iaitu sumber utama hukum bagi kita. Golongan agamawan atau orang awam sekali pun, tetap wajib kena faham Al-Qur’an.

وَما كانَ هٰذَا القُرءآنُ أَن يُفتَرىٰ مِن دونِ اللَّهِ وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَتَفصيلَ الكِتٰبِ لا رَيبَ فيهِ مِن رَّبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

And it was not [possible] for this Qur’an to be produced by other than Allah , but [it is] a confirmation of what was before it and a detailed explanation of the [former] Scripture, about which there is no doubt, from the Lord of the worlds.

Malay

Dan bukanlah Al-Qur’an ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

 

وَمَا كَانَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan bukanlah Al-Qur’an ini

Allah ﷻ sekarang fokus kepada Al-Qur’an pula. Allah ﷻ sedang memberitahu kepada kita tentang Al-Qur’an kerana ia amat penting untuk keluar daripada fahaman kesyirikan. Terlalu banyak ilmu yang disampaikan di dalamnya. Amat rugi apabila orang kita buat tidak endah sahaja tentang ilmu tafsir Al-Qur’an. Sudah semakin banyak kelas pengajian tafsir dan tadabbur sekarang, Alhamdulillah. Namun masih ramai lagi yang tidak menyertainya. Semoga Allah ﷻ buka pintu hati mereka dan kita.

 

أَن يُفْتَرَىٰ مِن دُونِ اللَّهِ

sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain daripada Allah;

Al-Qur’an itu tidak mungkin boleh direka oleh makhluk. Tidak boleh dibuat oleh makhluk yang lemah akalnya. Ia pasti hanya daripada Allah ﷻ. Jika ia bukan daripada Allah ﷻ, tentulah ada banyak kekeliruan dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini. Tentulah ada kesalahan di mana-mana.

Akan tetapi kita yang belajar Al-Qur’an ini, tidak pernah ditemui lagi bahagian manakah yang salah dalam Al-Qur’an ini. Sememangnya kita tidak akan menemuinya kerana ia adalah daripada Allah ﷻ. Ia adalah Kalam Allah ﷻ.

 

وَلَٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

Al-Qur’an membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya,

Sebelum Al-Qur’an diturunkan, telah ada kitab-kitab terdahulu daripada Kalam Allah ﷻ iaitu kitab samawiyah seperti Taurat, Injil dan Zabur. Sama sahaja perkara berkenaan akidah dan tauhid yang terkandung dalam kitab dulu dan Al-Qur’an. Al-Qur’an membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab tersebut.

 

وَتَفْصِيلَ الْكِتٰبِ

dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum dalam kitab terdahulu;

Banyak topik-topik yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan Al-Qur’an memperjelaskannya lagi. Ini kerana kitab-kitab itu telah banyak yang diubah dan ajaran Nabi yang terdahulu telah banyak ditukar. Maka Al-Qur’an datang memperbetulkan ajaran agama.

Lagi satu maksud, ia memperjelaskan tentang hukum-hukum agama yang penting. Perincian mestilah didapati daripada pembelajaran Hadith, akan tetapi perkara utama telah disentuh di dalam Al-Qur’an.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Qur’an itu

Tidak ada mana-mana ayat yang bercanggah antara satu sama lain. Semuanya bertepatan dan saling menyokong serta menguatkan maklumat yang diberikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain. Maklumat yang ada dalam Al-Qur’an tidak mungkin diketahui oleh makhluk. Ada perkara yang telah lama diberitahu oleh Al-Qur’an berzaman dahulu dan hanya baru berjaya diterokai pada abad moden ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam masa 23 tahun. Walaupun diturunkan dalam masa yang lama, tetap tidak ada kekeliruan dalam Al-Qur’an. Sama sahaja topik dan hukum yang diberikan dari mula sampai habis. Tidak ada pertukaran hukum daripada satu ayat ke ayat yang lain.

Cuba bandingkan dengan kita yang menulis sebuah esei dan kita mengambil masa seminggu, tentulah akan ada banyak perubahan yang kita lakukan kerana sekejap kita berfikir begini, kemudian sekejap kita akan berfikir lain pula. Sebaliknya dengan Al-Qur’an, walaupun Al-Qur’an itu diturunkan dalam masa 23 tahun sedikit demi sedikit, tidak ada percanggahan atau pertukaran informasi yang diberikan kerana ia adalah daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak keliru dan berubah fikiran sebagaimana kita makhluk yang lemah ini.

Maka jangan sesekali berasa ragu dengan ajaran yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Adakah anda ada ragu dengan Al-Qur’an? Apakah tanda anda tidak meraguinya? Kalau tidak ada ragu, maka anda sepatutnya menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pedoman hidup anda setiap hari untuk setiap sudut dari pagi sehingga ke malam hari. Kalau anda tidak hiraukan, apakah maksudnya? Tepuk dada dan tanyalah iman anda.

 

مِن رَّبِّ الْعٰلَمِينَ

datangnya daripada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Al-Qur’an itu datangnya daripada Allah ﷻ, bukan daripada makhluk. Allah ﷻ yang telah menjadikan kita dan Dia yang Maha Berkuasa. Dia tahu apa yang kita perlukan maka dianugerahkan kepada kita Al-Qur’an yang hebat ini. Maka, jangan kita ambil sambil lewa sahaja Al-Qur’an ini. Ia adalah panduan hidup kita yang diberikan oleh yang menjadikan kita.

Sekiranya kita ada menerima sepucuk surat yang diposkan kepada kita, tidaklah begitu penting untuk kita tidak baca pun. Namun Al-Qur’an ini telah diberikan khas kepada kita, daripada Allah ﷻ, maka kita kena baca dengan teliti. Kalau kita buat tidak hirau sahaja tentangnya, maka ia menunjukkan ada masalah iman di dalam hati kita.


 

Yunus Ayat 38: Ayat Syikayah (Allah ﷻ sebut semula kata-kata golongan kafir).

أَم يَقولونَ افتَرىٰهُ ۖ قُل فَأتوا بِسورَةٍ مِّثلِهِ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِّن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

Or do they say [about the Prophet], “He invented it?” Say, “Then bring forth a surah like it and call upon [for assistance] whomever you can besides Allah , if you should be truthful.”

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرىٰهُ

Adakah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an”.

Antara hujah Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an adalah dengan mengatakan yang Al-Qur’an itu bukannya daripada Allah ﷻ tetapi daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Mereka kata Nabi ﷺ reka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak ada hujah untuk melawan Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka terpaksa beri berbagai-bagai hujah untuk merendahkan martabat Al-Qur’an dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Antaranya mereka tuduh yang Al-Qur’an itu rekaan baginda sahaja.

Kalau difikirkan dengan akal yang sihat, hujah ini langsung tidak boleh diterima. Mana mungkin baginda boleh mendapat maklumat tentang:

1. Cerita umat dahulu dan Nabi mereka
2. Tentang masa hadapan yang belum berlaku
3. Tentang perkara ghaib yang baginda sendiri tidak nampak?

 

قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu,

Ini adalah jawapan balas dan cabaran yang Allah ﷻ berikan kepada mereka yang tidak percaya bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ dan kata Nabi Muhammad ﷺ menghasilkan sendiri Al-Qur’an itu. Jika mereka kata yang manusia boleh hasilkan Al-Qur’an, sepertimana mereka menuduh Nabi Muhammad ﷺ mengadakan sendiri Al-Qur’an itu, maka cubalah mereka buat sendiri sebuah surah yang sama dengan Al-Qur’an. Tidak perlu banyak, buat sebuah surah sahaja.

Tentulah kalau ikut logik akal, mereka pun boleh buat juga, kerana kalau Nabi Muhammad ﷺ itu orang Arab, mereka pun orang Arab juga. Nabi Muhammad ﷺ pula bukan penyair, tetapi mereka terdiri daripada ramai penyair yang pandai dan terkenal. Sudah tentulah lebih baik lagi surah yang mereka boleh buat. Hah! Maka, silalah hasilkan sebuah surah yang sama hebat juga.

Maka cubalah kamu buat kalau boleh. Namun syaratnya بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ surah yang mereka reka itu mestilah mempunyai ciri-ciri Al-Qur’an juga. Mereka boleh buat surah yang pendek tetapi mestilah sedap dibaca, tidak jemu walau dibaca berulang kali dan mestilah juga ada pengajaran di dalamnya. Bukanlah seperti puisi yang hanya sedap didengari tetapi tidak ada pengajaran yang bermakna.

 

وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ

dan panggillah sesiapa sahaja yang kamu mampu panggil, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu),

Kemudian jika mereka berasa mereka tidak boleh buat berseorangan sahaja surah seperti Al-Qur’an itu, maka mereka boleh ajak sesiapa sahaja yang mereka boleh ajak untuk menjadi pasukan komiti mereka untuk mencipta surah yang sama seperti yang ada di dalam Al-Qur’an. Ajak sahaja tok syeikh kamu, penyair-penyair kamu, ahli fikir kamu dan sesiapa sahaja.

Kalau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ boleh buat Al-Qur’an itu seorang diri, maka tentulah kalau mereka ramai, mereka boleh buat Al-Qur’an yang lebih baik daripada apa yang Nabi Muhammad ﷺ buat. Hah! Maka buatlah sebuah surah yang sama juga.

 

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Kalau kamu rasa kamu betul, maka buatlah sebuah surah yang sama seperti yang ada dalam Al-Qur’an itu. Jangan cakap-cakap sahaja, tetapi tunjuklah yang manusia pun boleh buat ayat-ayat Al-Qur’an.

Cabaran ini Allah ﷻ ulang di dalam Baqarah: 23

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Dalam Surah Baqarah ini, Allah ﷻ cabar untuk dibawakan مِّن مِّثْلِهِ (yang seperti Al-Qur’an). Sebab Baqarah adalah Surah Madaniah (surah sebelum Hijrah), maka sudah dikurangkan cabaran itu. Sedangkan dalam surah Yunus (surah selepas Hijrah) yang diturunkan di Mekah ini, cabarannya adalah dibawakan sebuah surah yang benar-benar sama dan setanding serta mempunyai ciri-ciri seperti Al-Qur’an.

Akan tetapi setelah sekian lama cabaran itu diberikan seperti di dalam Surah Baqarah dan mereka yang menolak masih tidak mampu untuk menghasilkan sebuah surah yang sebanding, maka Allah ﷻ merendahkan cabaran dengan mencabar kitab yang ‘seperti’ Al-Qur’an sahaja, tidak sama sangat pun tidak mengapa. Ini kita dapat tahu kerana ada penambahan harf من di dalamnya. Namun itu pun mereka tidak mampu buat.

Mereka dimalukan dengan penurunan cabaran itu. Ini seolah-olah Allah ﷻ berkata: “Kalau kamu tak boleh buat banyak ni, buatlah sikit lagi.” Sementara ayat yang dalam Surah Yunus pun sebenarnya sudah dimudahkan lagi cabarannya kerana dalam Hud: 13, cabarannya adalah 10 buah surah:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Adakah mereka boleh buat? Tentu tidak, seperti yang disebut dalam Baqarah: 24

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Allah ﷻ beritahu sekali lagi dalam Isra’: 88

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

Tidak mungkin makhluk boleh menghasilkan ayat-ayat Al-Qur’an yang lain selain daripada yang dihasilkan oleh Allah ﷻ. Walaupun seluruh generasi manusia dan seluruh generasi jin bersatu padu untuk membuatnya.

Allah ﷻ mencairkan lagi cabaran-Nya dalam Thur: 34 di mana Allah ﷻ mengatakan kalau mereka tidak boleh buat sebuah Al-Qur’an, atau sepuluh buah surah, atau hanya sebuah surah pun, maka sekurang-kurangnya bawalah sepatah perkataan yang agak-agak serupa seperti Al-Qur’an.

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُوا صَادِقِينَ

(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata seperti Al-Qur’an itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.

Al-Qur’an itu adalah satu mukjizat daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Macam-macam sifat yang terdapat pada Al-Qur’an itu yang melayakkannya dipanggil mukjizat. Salah satu mukjizat Al-Qur’an yang kita belajar di sini adalah, Al-Qur’an itu tidak boleh ditiru. Tidak boleh dibuat oleh makhluk pun, walau hanya satu ayat yang sama seperti sifat Al-Qur’an yang dibuat oleh Allah ﷻ.

Oleh itu, cabaran ini amat hebat sebenarnya kerana ia mematahkan hujah lawan. Kita lawan hujah mereka dengan hujah yang lain, bukannya kita maki dan caci mereka. Dikatakan ramai juga yang cuba untuk mencipta tulisan yang seperti Al-Qur’an namun sampai sekarang kita tidak dengar mana-mana daripada mereka yang berani untuk mengeluarkan surah ciptaan mereka kepada umum. Tentu mereka takut untuk dikritik kerana pasti apa sahaja yang mereka cipta itu tidak akan sama dengan Al-Qur’an.


 

Yunus Ayat 39: Kenapakah manusia menolak Al-Qur’an?

بَل كَذَّبوا بِما لَم يُحيطوا بِعِلمِهِ وَلَمّا يَأتِهِم تَأويلُهُ ۚ كَذٰلِكَ كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمينَ

Sahih International

Rather, they have denied that which they encompass not in knowledge and whose interpretation has not yet come to them. Thus did those before them deny. Then observe how was the end of the wrongdoers.

Malay

Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Qur’an yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).

 

بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ

Bahkan mereka mendustakan Al-Qur’an kerana fahaman mereka tidak dapat meliputinya dengan ilmu pengetahuan mereka,

Mereka tidak tahu langsung tentang Al-Qur’an tetapi mereka sudah tolak awal-awal lagi. Cepat sangat mereka menolak tanpa benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Manusia memang memusuhi apa yang mereka tidak ketahui. Kalau mereka tahu, mereka akan jatuh cinta. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, “Tak kenal maka tak cinta”.

Orang-orang kafir ramai yang menolak agama Islam dan menolak Al-Qur’an tanpa mereka sendiri pernah membaca Al-Qur’an itu. Sampai ada yang benci sangat sampai hendak buat kempen membakar Al-Qur’an. Padahal jikalau ditanya kepada mereka, adakah pernah mereka membaca Al-Qur’an dan mempelajari Al-Qur’an, mereka akan kata tidak pernah lagi.

Macam orang kita juga yang ramai amat jahil tentang Al-Qur’an. Memang mereka kenal apakah Al-Qur’an itu. Mereka tahu membaca Al-Qur’an itu memang bagus. Mereka pun mungkin setiap hari membaca Al-Qur’an tetapi mereka tidak belajar tafsir, maka mereka sebenarnya tidak ada ilmu pun tentang Al-Qur’an. Kemudian apabila diberitahu apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu, mereka kehairanan. Mereka tidak sangka yang pegangan mereka selama hari ini amat berlainan dengan apa yang ada di dalam Al-Qur’an!

Mereka kata tidak sama seperti apa yang mereka faham tentang agama. Mereka kata mereka tidak pernah dengar ajaran seperti itu. Sudah sememangnya mereka tidak pernah dengar sebab mereka tidak pernah belajar. Yang mereka belajar adalah dengan guru-guru yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an.

Apabila mereka tidak biasa dengar, maka mereka tolak. Mereka kata kita tafsir salah pula. Padahal mereka tidak pernah belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an. Sebab itu mereka bungkam apabila kita tanya semula: “Kalau aku tafsir ini salah, jadi apa tafsir yang sebenarnya?” Mereka terus menolak mentah-mentah kerana mereka tidak pernah dengar.

 

وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ

dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya.

Kalimah تَأْوِيلُ bermaksud ‘interpretasi’. Ia juga bermaksud ‘penjelasan’. Perkataan تَأْوِيلُ berasal daripada katadasar أ و ل (awal, asal) iaitu bermaksud ‘balik ke asal’. Oleh itu, perkataan تَأْوِيلُ bermaksud ‘pulang kepada maksud yang asal’. Maka ia bermaksud tafsiran kepada Al-Qur’an.

Ia juga bermaksud ‘apabila sesuatu itu terjadi seperti yang dikatakan’. Ia adalah natijah di mana dikatakan kalau menentang, akan dikenakan dengan azab. Namun ia belum datang lagi, bukan? Al-Qur’an banyak menyebut tentang perkara yang akan terjadi. Apabila ia benar-benar terjadi, itu adalah تَأْوِيلُ kepada ayat itu. Ini bermaksud, mereka telah menolak Al-Qur’an itu sebelum perkara yang Al-Qur’an kata akan terjadi belum terjadi.

Maknanya, mereka terburu-buru menolak. Menolak kerana perkara yang disebut di dalamnya belum berlaku lagi. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah selalu bertanya kepada Nabi, bilakah Hari Kiamat. Nabi ﷺ akan menjawab yang baginda tidak tahu, kerana memang baginda tidak tahu. Disebabkan Nabi ﷺ jawab begitu, mereka jadikan itu sebagai alasan untuk tidak beriman. Sedangkan kejadian itu memang belum berlaku lagi, bukan?

Mereka juga tidak nampak lagi kejayaan Nabi Muhammad ﷺ dan Islam seperti yang dijanjikan oleh Al-Qur’an. Maka mereka tidak mahu beriman, kerana apa yang disebut dalam Al-Qur’an belum benar-benar berlaku di hadapan mata mereka lagi

Musyrikin Mekah juga selalu mencabar Nabi ﷺ untuk menurunkan azab kepada mereka. Walau bagaimanapun azab tidak terus diturunkan kepada mereka maka mereka makin besar kepala dan terus tetap tidak mahu beriman. Maknanya, mereka tidak beriman kerana mereka tidak dikenakan azab.

Sementara orang kita pula tidak beriman dengan Al-Qur’an kerana mereka tidak tahu takwil Al-Qur’an itu. Mereka memang sudah belajar agama tetapi mereka belum benar-benar faham lagi tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak tadabbur Al-Qur’an itu. Untuk tadabbur, pertamanya kena belajar tafsir Al-Qur’an terlebih dahulu. Allah ﷻ telah mengutuk golongan kafir dan munafik yang tidak tadabbur Al-Qur’an di dalam Nisa’: 82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ

Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

‘Tadabbur’ adalah membaca ayat Al-Qur’an dan memikirkan maknanya, mengambil pengajaran daripadanya. Bukan hanya baca sahaja dan tahu terjemahan sahaja kerana kalau baca terjemah sahaja, tidak akan nampak keindahan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau orang kafir dan munafik pun dikutuk kerana tidak tadabbur Al-Qur’an, maka sama jugalah kalau orang Islam pun tidak tadabbur.

Kalau tidak belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an, sudah tentu pengetahuan agama seorang Muslim itu tidak kemas. Tidak kira sama ada mereka telah belajar di Mesir atau mana-mana tempat pun. Mereka yang belum habis belajar tafsir sepatutnya tidak patut lagi mengajar kerana mereka akan ajar ajaran yang salah disebabkan mereka sendiri pun belum beres lagi agama mereka. Akan tetapi begitulah sikap manusia. Mereka malas untuk tadabbur Al-Qur’an kerana kalau buat, mereka terpaksa meninggalkan kehendak nafsu mereka yang ternyata mereka tidak mahu tinggalkan. Hati mereka ini telah tertutup seperti Allah ﷻ sebut dalam Muhammad: 24

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها

Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Kita terpaksa sebut di sini kerana banyak alasan puak bid’ah yang berbunyi: “Ustaz itu dan ini telah belajar di Mesir, tentulah dia tahu”. Ingatlah bahawa ‘belajar di Mesir’ bukanlah dalil yang mengatakan seseorang itu sudah pandai, sudah pasti berada di jalan yang benar. Yang benar adalah mereka yang boleh memberi dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, tidak kiralah sama ada dia belajar di Malaysia, Pakistan, India atau Madinah sekalipun.

Maka janganlah terburu-buru menolak dalil yang diberikan daripada Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Sekiranya ada tafsir ayat Al-Qur’an yang tidak sama dengan fahaman agama kita, maka janganlah terus menolaknya. Fikirkan dahulu dan berdoalah kepada Allah ﷻ untuk memberikan pemahaman kepada kita.

 

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan

Sebelum Musyrikin Mekah lagi, telah ada kaum-kaum yang menolak agama Allah ﷻ, yang telah menolak Nabi-Nabi mereka. Yang mereka dustakan adalah wahyu dan umat Nabi Muhammad ﷺ pula mendustakan Al-Qur’an.

Sebelum golongan musyrik dan bid’ah zaman sekarang menentang ajakan dakwah sunnah, telah ramai lagi golongan yang menolak sebelum mereka semenjak zaman berzaman lagi. Bukan mereka sahaja yang menolak, malah ramai lagi. Terlalu ramai sebenarnya. Ini adalah perkara biasa dan kita tidak perlu hairan. Ramai yang menentang malah menghalang manusia lain mendekati wahyu. Antaranya mereka akan membuat kacau dan buat bising seperti disebut dalam Fussilat: 26

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمِينَ

Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu

Mereka yang menolak ajaran wahyu dan juga para Nabi mereka, telah berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka. Inilah yang telah terjadi kepada kaum-kaum terdahulu seperti Aad, Tsamud, Firaun dan banyak lagi yang disebut dalam Al-Qur’an (juga banyak lagi yang tidak disebut) sebagai contoh dan pengajaran buat kita semua.


 

Yunus Ayat 40: Ayat Tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para pendakwah

وَمِنهُم مَّن يُؤمِنُ بِهِ وَمِنهُم مَّن لّا يُؤمِنُ بِهِ ۚ وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِالمُفسِدينَ

Sahih International

And of them are those who believe in it, and of them are those who do not believe in it. And your Lord is most knowing of the corrupters

Malay

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

وَمِنْهُم مَّن يُؤْمِنُ بِهِ

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Qur’an,

Dalam banyak-banyak penduduk Mekah yang musyrik itu, ada juga antara mereka yang akan beriman dengan Islam. Tidaklah sia-sia usaha dakwah yang Nabi ﷺ dan sahabat lakukan. Allah ﷻ menghiburkan hati Nabi ﷺ supaya tidaklah baginda bersedih sangat. Allah ﷻ sebut di dalam Luqman: 23

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah ﷻ memujuk hati Nabi ﷺ kerana hati baginda amat prihatin terhadap umat baginda. Baginda sedih sangat, malah terlebih sedih kalau mereka menolak kebenaran seperti disebut dalam Kahf: 6. Perasaan itu membahayakan baginda.

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Begitu juga dalam masyarakat kita, akan ada orang yang beriman dengan ajaran Sunnah ini apabila disampaikan kepada mereka. Memang sekarang nampak tidak ramai, namun sebenarnya mereka ada di mana-mana. Kadang-kadang mereka yang mengamalkan tauhid yang sebenar itu mendiamkan diri sahaja dan kadang-kadang ada yang duduk di tempat-tempat terpencil.

Mereka tidak ramai dan kerana itu mereka tidak menampakkan diri. Mereka tidak berani hendak menampilkan diri kerana mereka adalah puak minoriti jika dibandingkan dengan puak-puak syirik dan bid’ah yang ramai sekarang. Mereka takut kalau dituduh dan ditohmah oleh masyarakat setempat. Inilah dugaan menjadi orang yang ‘benar’ di dalam masyarakat yang ‘tidak benar’.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana ada yang terburu-buru menolak ayat-ayat Al-Qur’an sebelum memikirkannya. Ayat ini pula menyebut ada antara mereka yang akan beriman akhirnya. Mula-mula memang mereka menolak, akan tetapi tidak semestinya sampai bila-bila. Lihatlah bagaimana penentang Nabi Muhammad ﷺ di awal Islam yang menentang tetapi memeluk Islam akhirnya. Sebagai contoh, Abu Sufyan, Umar al Khattab dan Khalid al Walid رضی اللہ عنھم dan ramai lagi.

Maknanya, kadangkala terdapat orang yang menolak dakwah sunnah pada awalnya itu tidaklah semuanya sampai bila-bila akan terus menolak. Apabila sampai masanya, in sha Allah, dia akan terima. Yang penting tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada mereka dengan sejelas mungkin.

 

وَمِنْهُم مَّن لَّا يُؤْمِنُ بِهِ

dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya;

Akan tetapi ada juga yang tidak akan beriman sampai bila-bila. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana bukan di bawah kuasa kita untuk memberi hidayah, tetapi Allah ﷻ. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Namun manusia yang menolak itu kerana salah satu daripada dua sebab sahaja: sama ada jahil atau degil. Mereka itu tidak akan beriman sampai bila-bila seperti disebut dalam Baqarah: 6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

 

وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِالْمُفْسِدِينَ

dan Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Allah ﷻ lebih mengetahui keadaan diri mereka. Allah ﷻ beritahu Dia tahu apa yang mereka lakukan kerana Dia akan membalas penolakan mereka kepada Al-Qur’an dan kebenaran lain. Jangan sangka yang mereka akan selamat dunia dan akhirat. Mereka mungkin ramai dan lebih berpengaruh di dunia, namun di akhirat kelak mereka akan menerima balasannya.

Habis Ruku’ 4 dari 11 surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment