Ayat 13: Ayat Syikayah.
أَم يَقولونَ افتَراهُ ۖ قُل فَأتوا بِعَشرِ سُوَرٍ مِثلِهِ مُفتَرَياتٍ وَادعوا مَنِ استَطَعتُم مِن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صادِقينَ
Or do they say, “He invented it”? Say, “Then bring ten surahs like it that have been invented and call upon [for assistance] whomever you can besides Allah, if you should be truthful.”
Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Qur’an itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ
Atau mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) mereka-reka;
Musyrikin Mekah ada yang menuduh bahawa Nabi Muhammad sendiri mereka-reka ayat-ayat dalam Qur’an itu. Mereka nak kata Nabi Muhammad buat perkara bidaah (perkara baru) dalam agama. Kerana mereka kononnya berpegang dengan syariat Nabi Ibrahim dan mereka kata Nabi Muhammad bawa benda yang baru pula.
Padahal, syariat Nabi Ibrahim itu mereka yang telah ubah-ubah dan tambah sendiri. Macam zaman sekarang, apabila kita bawa ajaran sunnah yang kembali kepada ajaran Qur’an dan Sunnah Nabi, puak ahli bidaah pula yang kita pula yang bawa ajaran baru. Padahal merekalah yang bawa ajaran baru yang tidak ada dalam ajaran Islam.
Memang ada persamaan sedikit syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Seperti nikah kahwin dan cerai, memang ada persamaan. Banyak persamaan yang masih lagi diamalkan pada zaman Nabi Muhammad pun. Maka, ada yang Nabi teruskan dan ada yang Nabi tukar.
قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ
katakanlah (wahai Muhammad): “maka datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu.
Kalimah مُفْتَرَيَاتٍ bermaksud buatan/rekaan. Kalau kamu kata Qur’an itu buatan manusia, maka tentu kamu boleh buatkan yang sama macam itu juga bukan? Kamu tentu lagi pandai dari Muhammad, kerana kamu lebih pandai tentang bahasa dan syair dari Nabi.
Maka, buatlah surah-surah yang sama macam itu juga. Bukan banyak, buat sepuluh surah sahaja. Surah yang pendek-pendek pun tidak mengapa. Kalau kamu kata Nabi yang buat, tentu kamu pun boleh buat juga, bukan?
Di dalam ayat ini, Allah hendak mengingatkan kita kepada ketinggian al-Qur’an itu. Dalam ayat pertama surah ini, telah diberitahu kepada kita bagaimana ayat-ayat Qur’an itu bersifat أُحْكِمَتْ dan فُصِّلَتْ . Maka, mereka kenalah bawa surah yang bersifat begitu juga.
Mereka tidak akan boleh hendak membawakan sepuluh surah sepertinya. Jangan kata sepuluh surah, satu surah pun tidak mampu. Kerana ayat-ayat dalam Qur’an itu bukanlah dari percakapan manusia sepertimana Allah itu tidak sama dengan makhluk.
Mereka sendiri mengaku betapa ayat-ayat Qur’an itu menakjubkan. Sampai ada antara mereka tak mahu dengar Nabi baca ayat-ayat Qur’an kepada mereka. Kerana mereka rasa, kalau mereka dengar, mereka akan terpesona dan akan masuk Islam akhirnya. Mereka pun tak bagi orang lain dengar ayat-ayat Qur’an dibacakan. Kerana mereka tahu, ramai yang akan masuk Islam dan ikut Nabi Muhammad kalau dengar ayat-ayat Qur’an yang menakjubkan itu.
وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم
dan kamu panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya,
Cabaran diteruskan lagi: Panggillah sesiapa sahaja yang kamu nak panggil. Kalau nak panggil penyair-penyair yang terkenal pun boleh, nak panggil orang Yahudi atau Nasrani pun boleh, nak panggil jin atau tuhan-tuhan berhala yang kamu sembah itu pun boleh. Panggillah mereka untuk tolong kamu. Panggillah sesiapa sahaja yang kamu mampu, Allah tidak kisah.
مِّن دُونِ اللَّهِ
yang lain dari Allah,
Panggillah sesiapa sahaja asalkan yang selain dari Allah. Kerana Nabi itu manusia dan kamu kata manusia boleh reka Qur’an, maka kamu rekalah juga surah-surah yang macam Qur’an. Tentu ada manusia yang kamu rasa hebat dalam bahasa sampai boleh buat juga surah seperti surah dalam Qur’an itu.
إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Ini adalah ayat cabaran dari Allah kepada mereka. Ada lagi ayat cabaran lain yang diberikan dalam Qur’an.
Ada manusia yang masuk Islam disebabkan oleh ayat cabaran ini. Kerana ayat-ayat cabaran ini adalah menakjubkan. Kerana kalau ada cabaran yang sebegini, tentunya ianya sesuatu yang benar. Bayangkan, kalau kita menulis satu buku, satu thesis atau seumpamanya, beranikah kita nak beri cabaran kepada manusia lain untuk kritik tulisan kita itu?
Kita pun tak berani nak beri cabaran sebegitu sebab kita tahu takkan sempurna penulisan kita itu. Kadang-kadang salah eja, salah fakta dan sebagainya. Tapi Allah, dengan segala kesempurnaanNya, tidak takut untuk mencabar manusia. Maka ramai yang terkesan dan takjub dengan cabaran Allah ini dan mereka yakin yang memang Qur’an ini dari Allah. Kerana kalau selain dari Allah, tentu tidak berani nak beri cabaran sebegitu.
Ayat 14:
فَإِلَّم يَستَجيبوا لَكُم فَاعلَموا أَنَّما أُنزِلَ بِعِلمِ اللَّهِ وَأَن لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَهَل أَنتُم مُسلِمونَ
And if they do not respond to you – then know that the Qur’an was revealed with the knowledge of Allah and that there is no deity except Him. Then, would you [not] be Muslims?
Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Qur’an), maka ketahuilah bahawa Al-Qur’an itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?
فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ
Oleh itu, jika mereka tidak dapat melaksanakan permintaan kamu
Iaitu, permintaan untuk tolong cuba buat yang sama macam Qur’an. Lihat bagaimana perkataan فَإِلَّمْ digunakan dalam ayat ini. Dari segi nahu, ayat itu dalam bentuk past tense. Bermakna, kafir musyrikin telah cuba untuk membuat seperti Qur’an itu tetapi tidak berjaya.
Surah Hud ini diturunkan di hujung zaman Nabi di Mekah (Peringkat Empat baginda di Mekah). Jadi telah banyak perkara yang telah berlaku sebelum ayat ini diturunkan. Antaranya, mereka telah melakukan usaha untuk mencipta ayat-ayat seperti ayat-ayat Qur’an itu. Tapi tidak berjaya kerana apa sahaja yang mereka cuba bawakan, tidak sampai ke tahap bahasa Qur’an yang indah dan mantap.
فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنزِلَ بِعِلْمِ اللَّهِ
maka ketahuilah bahawa Al-Qur’an itu diturunkan hanyalah dengan ilmu Allah,
Kalau kamu dan mereka yang kamu minta tolong itu tidak boleh buat surah-surah yang serupa dengan Qur’an, maka yakinlah kamu bahawa ianya dari Allah. Takkan nak persoalkan lagi?
Memang mereka tidak mampu buat, dari dulu sampai sekarang. Dan memang ada sampai kepada kita surah-surah cubaan mereka itu. Ada kalangan orang kafir yang cuba buat ayat-ayat Qur’an. Syiah pun ada reka surah juga. Tapi, tidak sama bahasa yang digunakan dan tidak sama kesempurnaan yang mereka hendak sampaikan. Manusia tidak akan mampu.
Allah beritahu dalam ayat ini bahawa Qur’an itu diturunkan dengan ‘ilmu’ Allah. Kalau ianya diturunkan dengan ilmu Allah, maka tentunya tidak ada salah dan cacat cela dalam ayat-ayat Qur’an itu. Tentu manusia tidak akan mampu untuk mencapainya.
وَأَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia sahaja.
Maka, terimalah hakikat bahawa tidak ada tuhan selain Allah. Dalam banyak-banyak ayat-ayat Qur’an, ayat tentang tauhid lah yang paling penting sekali. Ini yang paling penting sekali dan yang perlu ditegakkan adalah kalimah tauhid ini.
Kerana itulah, kita kena belajar tafsir Qur’an supaya kita dapat faham apa itu akidah tauhid. Untuk faham Tauhid, kena ambil dari Qur’an, bukannya ambil dari susunan ulama’ sahaja. Kena dapatkan terus dari Qur’an. Tulisan ulama tentang Tauhid itu hanyalah sebagai rumusan sahaja, tapi ianya kena diambil dari Qur’an.
فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ
Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu hendak berserah diri?
Iaitu tidakkah kamu mahu berserah diri menerima tauhid, berserah diri bulat-bulat kepada Allah? Soalan ini sepatutnya kena jawab: ‘Ya!’
Apa lagi yang kamu hendak lawan? Masih lagi kamu tidak mahu terima Islam yang benar ini? Kenapa kamu tidak mahu terima? Hanya kerana ianya lain dari pemahaman kamu selama ini? Kamu sanggup tidak terima kebenaran, hanya kerana ianya lain dengan apa yang kamu faham dan kamu amalkan?
Begitulah juga dengan puak-puak bidaah di Malaysia ini. Apabila kita telah berikan dengan hujah-hujah dari Qur’an, mereka masih tidak mahu terima. Hanya kerana ianya berlainan dari apa yang mereka telah belajar dari kecil? Hanya kerana ianya berlainan dari apa yang diajar oleh guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah mereka biasa.
Atau ustaz-ustaz yang mereka biasa lihat di YouTube dan televisyen. Padahal, walaupun mereka terkenal, belum tentu mereka itu betul. Yang betul adalah yang memberikan dalil dari Qur’an dan Hadis sahih.
Ayat 15: Ini adalah ayat Takhwif untuk guru-guru yang mengambil upah dalam mengajar. Guru mengajar agama sebenarnya tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Lain dengan guru-guru yang ditugaskan mengajar oleh kerajaan. Macam KAFA dan yang seperti itu, mereka boleh makan gaji. Kerana mereka telah dilantik oleh kerajaan.
Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak bekerja dengan kerajaan. Yang mengajar di surau-surau, masjid-masjid dan sebagainya. Mereka selalunya buat duit dengan mengajar agama. Mereka telah tetapkan berapa bayaran yang perlu dibayar. Paling kurang yang kita dengar, sekali mengajar tak sampai dua jam, kena bayar RM500. Kalau sudah terkenal, sampai beribu-ribu pun ada. Ada yang hidup mewah hasil dari mengajar agama.
Ayat ini adalah ayat teguran kepada sesiapa yang mengajar ugama ambil upah dan ia juga berkenaan mereka yang buat ibadat dan ambil upah. Sebagai contoh, ambil duit bila solat jenazah, Solat Hajat, baca Talqin, baca Doa Selamat, upah jaga tunggu kubur bila seseorang baru meninggal, jadi imam Solat Terawih dan macam-macam lagi.
مَن كانَ يُريدُ الحَياةَ الدُّنيا وَزينَتَها نُوَفِّ إِلَيهِم أَعمالَهُم فيها وَهُم فيها لا يُبخَسونَ
Whoever desires the life of this world and its adornments – We fully repay them for their deeds therein, and they therein will not be deprived.
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Qur’an tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.
مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia
Iaitu yang ajar agama dan buat ibadat kerana hendakkan upah. Kenapa mereka hendakkan juga balasan di dunia, dan tidak buat ibadat-ibadat itu dengan ikhlas kerana Allah sahaja?
Kerana kalau serah diri kepada Islam, mereka sangka mereka tak dapat dunia. Padahal, mereka fikir mereka kena makan, kena ada pakaian dan sebagainya. Mereka takut mereka jatuh miskin kalau mereka tak minta upah, mereka akan kelaparan atau kesusahan hidup.
Mereka takut kalau mereka tak letak harga, tiada orang akan beri duit kepada mereka. Mereka mengharapkan pemberian dari anak-anak murid mereka. Ini kerana mereka hendak kehidupan yang senang.
وَزِينَتَهَا
dan perhiasannya;
‘Kehidupan dunia’ bermaksud ‘upah’ dari segi kebendaan. ‘Perhiasannya’ pula bermaksud perkara lain seperti glamor, pujian dan pujaan, jadi terkenal dan sebagainya. Kerana kadang-kadang manusia tidak mahukan duit sebab mereka banyak duit, tapi mereka hendak terkenal. Mereka hendak orang rujuk mereka kalau ada hal apa-apa. Mereka bangga kalau mereka jadi begitu.
Mereka ambil kehidupan dunia dan tukar dengan amal mereka. Sebagai contoh, mereka yang solat jenazah, mereka ambil upah. Sekurang-kurangnya, setiap orang akan dapat RM10 kalau di Malaysia ini. Itu kepada jemaah, kalau kepada imam, lebih lagi sekurang-kurangnya RM50. Ada tempat yang pernah kedengaran, puak surau tanya: “ini makcik nak habis berapa ringgit?” Ma sha Allah?! Kenapa sampai teruk begitu sekali?
Sampaikan keluarga si mati akan sakit kepala kalau ada ahli keluarga mereka yang mati. Mereka kena susah untuk siapkan duit untuk bayar orang yang solat jenazah itu. Itu belum campur dengan upah mandi mayat, upah kafan, upah bawa mayat ke kubur, upah baca talqin.
Itu belum masuk lagi nak beri makan kepada perut-perut mereka yang datang berziarah tengok si mati. Sampai ada yang bergadai untuk keluarkan duit buat kenduri. Ada yang sampai kena keluar 9 ribu ringgit nak bayar kepada orang yang solat jenazah itu. Itu tak termasuk nak kena bayar kepada orang yang tunggu kubur.
Ini selalunya dibuat oleh sekolah-sekolah pondok. Mereka yang banyak ajar bayar upah benda-benda macam ini. Mereka sudah ada ‘menu’ untuk diberikan kepada orang ramai: kalau jadi imam berapa bayaran, jadi jemaah solat berapa bayaran, baca talqin berapa, tunggu kubur sehari semalam berapa, tiga malam berapa, seminggu berapa.
Masalahnya, apabila dimulakan oleh guru-guru dan pelajar pondok, maka masyarakat yang jahil agama, sangka itulah perkara yang benar. Kerana mereka sangka tentulah pelajar dan guru-guru pondok itu betul agama mereka. Maka, masyarakat sudah rasa biasa sahaja kena keluarkan duit. Walaupun susah, tapi kerana mereka sangka memang itu yang kena buat dalam agama, maka mereka keluarkanlah juga.
Yang kenyang adalah mereka yang kononnya ‘orang agama’ di kampung itu – termasuklah tok imam, pak lebai, tok siak, ahli surau/masjid dan sesiapa sahaja, termasuklah guru-guru dan pelajar pondok. Mereka memang tidak ada hati perut. Sudahlah orang yang kematian ahli keluarga itu dalam kesedihan dan dalam kesusahan kerana ada ahli keluarga mereka yang mati, mereka sanggup lagi nak susahkan orang sebegitu? Itulah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.
Pernah ada cerita, ahli keluarga si mati hanya benarkan beberapa orang sahaja jadi makmum Solat Jenazah kerana dia hanya mampu bayar beberapa orang sahaja. Ma sha Allah, apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Kenapa jahil agama sangat? Kenapa senang sangat ditipu oleh mereka yang ambil kesempatan?
Adakah orang-orang miskin yang tak mampu bayar kepada juak-juak ini tak boleh mati? Sebab kalau mati, entah berapa banyak duit yang perlu dikeluarkan? Adakah nanti ada golongan masyarakat miskin terpaksa buang sahaja mayat ahli keluarga dalam lubang atau parit sebab tak mampu nak sediakan wang kepada mereka yang ambil upah untuk urus jenazah ahli keluarga mereka?
Kalau anda tidak pernah mengalami perkara ini, kerana belum ada ahli keluarga anda yang mati, maka kalau ada dengar sesiapa yang mati dalam masyarakat anda, pasanglah telinga dan dengarlah berapakah bayaran yang perlu dikeluarkan kepada pengambil-pengambil upah itu. Kalau boleh, tegurlah sedikit kepada mereka yang jenis macam ini. Mereka mungkin berani buat kerana tidak ada orang tegur mereka.
Cubalah tegur sekali, bagi mereka fikir dan guna otak mereka. Bukankah segala amal ibadat itu perlu dilakukan kerana ikhlas? Bukan kerana nak buat duit?
Itu baru upah solat jenazah. Bagaimana pula dengan ‘Doa Selamat’? Kenduri Tahlil? Solat Hajat dan lagi dan lagi? Pengetahuan serba sedikit baca doa dan baca zikir sudah boleh jadi modal untuk dijadikan sebagai satu profesi di Malaysia ini. Boleh pakai kereta mewah kalau terkenal. Boleh kahwin dua tiga empat dan lima. Kalau imam kampung, ini sudah jadi salah satu pendapatan tambahan pula (selain dari jadi imam, boleh buat duit tambahan tukang baca doa).
Masyarakat kita pula memang sudah jahil, tidak dapat dinafikan lagi. Mereka sampai tak tahu nak buat benda-benda asas dalam agama. Kerana itulah mereka terpaksa panggil ‘orang surau’, ‘orang masjid’ untuk buat doa, uruskan jenazah, uruskan itu dan ini. Maka mereka pun terpaksalah bayar kepada pengambil upah itu.
Walaupun jahil, tapi kalau ajak belajar, mereka tidak mahu pula, katanya sibuk dengan hal-hal dunia lain. Maka, berterusanlah masyarakat kita dalam keadaan kena ditipu sahaja. Kerana jahil menyebabkan mereka asyik nak ‘outsource’ segala perkara agama kepada orang lain.
نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا
maka Kami akan sempurnakan amalan-amalan mereka di dunia,
Allah beri imbuhan kepada mereka yang mahu upah itu semasa di dunia seperti yang mereka hendak. Kerana mereka hendakkan harta, Allah akan beri harta kepada mereka. Kerana mereka hendak makan nasi kenduri, Allah beri mereka makanan itu. Kerana mereka hendak kedudukan, Allah beri kedudukan yang mereka mahukan.
Mereka inilah penunggang agama yang dikenali sebagai tok siak, bilal, tok imam dan apa-apa sahaja yang mereka mahu. Tidak ada masalah kepada Allah untuk beri apa yang mereka mahu. Kerana segala perhiasan dunia ini tidak ada nilai apa-apa pun sebenarnya. Berapa sahaja mereka mahu, Allah boleh beri kepada mereka. Tapi ingatlah, mereka tak dapat pahala.
وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.
Mereka tak boleh nak mengadu nanti di akhirat yang mereka tidak dapat apa yang mereka sepatutnya dapat. Kerana Allah sudah beri wang, kedudukan dan kemewahan yang mereka mahukan itu semasa di dunia lagi. Tak kurang sedikit pun.
Kalimah بْخَسُ digunakan apabila dalam sistem pertukaran barter, tidak sama nilai satu barang dengan barang yang dipertukarkan. Ayat ini bermaksud, mereka akan dapat apa yang mereka patut dapat, tidak dikurangkan. Mereka sudah dapat segala perkara itu di dunia, jadi jangan tuntut pula lagi di akhirat nanti.
Segala amal ibadat mereka, segala yang mereka ajar itu, mereka tidak akan dapat pahala sebagai bekalan di akhirat. Allah dah ‘bayar’ siap-siap di dunia lagi.
Ayat 16: Apakah kesan kepada mereka dan amalan yang mereka lakukan itu?
أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Those are the ones for whom there is not in the Hereafter but the Fire. And lost is what they did therein, and worthless is what they used to do.
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada api neraka,
Mereka akan diganti dengan api neraka atas upah yang mereka ambil itu. Mereka tidak dapat pahala, tapi diganti dengan api neraka. Bayangkan betapa beratnya hukuman yang dikenakan. Mereka sangka kecil sahaja RM10, RM50, RM200 itu. Mereka tidak tahu bahawa hasil yang mereka ambil itu adalah balasan neraka dari Allah. Allah akan balas ganti upah mereka itu dengan api neraka! Fikirlah balik, berbaloikah?
Tapi ramai yang tidak dapat terima apa yang kita cakap ini. Kalau ditegur, imam-imam yang buat kerja-kerja ini, mereka tidak dapat terima hujah ini dan mereka akan marah. Kalau kita mengajar di masjid mereka, lepas tegur sudah tak dapat mengajar di sana lagi. Mereka kata kita memandai-mandai sahaja bawa ajaran baru. Mereka kata kita Wahabi, puak sesat dan sebagainya. Mereka marah kerana punca pendapatan mereka telah tiada kalau manusia terima ajaran Sunnah ini.
Orang yang beriman mengharapkan balasan di akhirat, bukan di dunia. Kerana kalau dapat di akhirat, ianya berlebih-lebih kali ganda dari apa yang telah dilakukan. Sampaikan ada sahabat yang takut apabila mereka mendapat kemewahan, kerana mereka takut tidak ada balasan bagi mereka di akhirat kelak – kerana mereka lebih pentingkan balasan di akhirat, bukan di dunia.
Ini berlaku setelah kerajaan Islam berkembang, sehingga para sahabat telah mendapat banyak kekayaan. Mereka takut apabila mereka mendapat kekayaan itu kerana mereka takut mereka dibalas di dunia sahaja, sedangkan mereka hendak amalan dan pekerjaan agama yang mereka lakukan itu dibalas di akhirat, bukan di dunia.
وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا
dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan semasa di dunia,
Amalan-amalan ibadat yang mereka telah buat itu, tidak dikira. Tidak dapat pahala langsung. Gugur segala pahala solat mereka, baca doa mereka, dan sebagainya.
Kalimah صَنَعُوا bermaksud berbuat sesuatu yang ambil masa. Ada proses yang terlibat dalam melakukannya. Memang ibadat itu mengambil masa untuk dilakukan. Patutnya bolehlah diharapkan pahala dari amalan itu.
وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
Kalau buat sesuatu amal ibadat kerana mahukan upah, maka batal amalan yang mereka lakukan. ‘Batal’ bermaksud tidak ada nilai di sisi Allah. Kalau solat jenazah, solat mereka batal, tidak sah.
Maka bayangkan: kalau semua yang solat itu terima upah, bermakna solat jenazah itu tidak sah lagi. Kalau tanam terus, maka jenazah itu belum disolatkan lagi. Kita tak kasihankah, tanam si mati tanpa disolatkan lagi?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Mac 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair