Tafsir Surah Naml Ayat 23 – 28 (Kisah Ratu Balqis)

Ayat 23: Hud-hud memulakan kisahnya untuk menyelamatkan dirinya dari disembelih oleh Nabi Sulaiman.

إِنّي وَجَدتُّ امرَأَةً تَملِكُهُم وَأُوتِيَت مِن كُلِّ شَيءٍ وَلَها عَرشٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I found [there] a woman ruling them, and she has been given of all things, and she has a great throne.

(MELAYU)

Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgasana yang besar.

 

إِنّي وَجَدتُّ امرَأَةً تَملِكُهُم

Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka,

Burung Hud-hud itu memberitahu yang dia ada maklumat tentang seorang wanita yang memerintah di negeri Saba’. Ini adalah berita besar kerana wanita memerintah satu negara bukan perkara biasa.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa wanita itu bernama Ratu Balqis binti Syarahil yang menguasai negeri Saba’. Dia adalah pemimpin wanita yang terkenal. Seorang lagi pemimpin wanita yang terkenal di Yemen itu adalah Queen Arwa yang memerintah sekitar 500 selepas Hijrah. Dia adalah seorang Syiah Ismailiah dan sekarang kuburnya dijadikan sebagai tempat sembahan di Masjid Queen Arwa (oleh orang Islam yang sesat).

Di Yemen memang ada banyak kumpulan yang menyembah kubur, bukan golongan Habib sahaja. Semoga kita diselamatkan dari kesyirikan ini kerana amalan-amalan di kubur sudah mula dibawa ke negara kita. Dan ramai dari kalangan masyarakat Muslim kita kurang pengetahuan agamanya, dan senang ditipu dengan perawakan manusia yang nampak sahaja alim, tapi amalan mereka rapat dengan kubur dan tawasul.

Maka kita kena sampaikan kepada sebanyak-banyak umat bahawa agama ini tidak memerlukan kita buat ibadat di kubur dan bertawasul dengan ahli kubur. Malah ada larangan dari Nabi untuk meninggikan kubur, beribadat di kubur dan melawat kubur sebagai eid (diulang lawat).

 

وَأُوتِيَت مِن كُلِّ شَيءٍ

dan dia dianugerahi segala sesuatu 

Maksudnya Hud-hud memberitahu yang Ratu Balqis itu mendapat banyak nikmat. Maknanya dia memiliki kerajaan yang besar. Memang tempat itu adalah kawasan yang subur. Dan tamadun negara itu sudah lama kerana banyak raja dari sana.

Maknanya, mereka mempunyai kekayaan yang banyak kerana semakin lama sesuatu kerajaan itu, semakin banyaklah pula kekayaan yang telah dikumpul dan disimpan.

 

وَلَها عَرشٌ عَظيمٌ

serta mempunyai singgahsana yang besar.

Ada satu maklumat tambahan dari Hud-hud berkenaan singgahsana Balqis. Mungkin dia terpesona sampai dia kata Balqis ada tahta yang hebat. Maksudnya, singgahsana tempat duduknya sangat besar dihiasi dengan emas dan berbagai macam batu permata dan mutiara.

Zuhair ibnu Muhammad mengatakan bahawa singgahsana Balqis terbuat dari emas, sedangkan bahagian permukaannya dihiasi dengan batu yaqut dan zabarjad, panjangnya lapan puluh hasta dan lebarnya empat puluh hasta.


 

Ayat 24: Tadi tentang kehebatan mereka, sekarang Hud-hud menceritakan tentang akidah mereka pula.

وَجَدتُّها وَقَومَها يَسجُدونَ لِلشَّمسِ مِن دونِ اللهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ فَهُم لا يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I found her and her people prostrating to the sun instead of Allāh, and Satan has made their deeds pleasing to them and averted them from [His] way, so they are not guided,

(MELAYU)

Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk,

 

وَجَدتُّها وَقَومَها يَسجُدونَ لِلشَّمسِ مِن دونِ اللهِ

Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah;

Lihatlah bagaimana burung Hud-hud memisahkan perbuatan Permaisuri itu dan perbuatan kaumnya (‘dia’ dan kaumnya – padahal kata ‘mereka’ sahaja, sudah dikira termasuklah permaisuri itu sekali, bukan?). Ini kerana Allah hendak menunjukkan bahawa perbuatan dan juga agama seorang pemimpin itu akan memberi kesan dan menjadi agama kepada rakyatnya juga. Kalau Raja (pemimpin) amalkan agama dengan baik, maka kebanyakan rakyat pun akan amalkan agama yang baik juga.

Jadi seorang pemimpin atau raja itu ada tanggungjawab yang berat, kerana rakyat banyak ikut mereka sahaja. Rakyat bukannya nak fikir banyak sangat pun, ramai yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang atasan. Kalau orang atasan ambil mudah sahaja hal agama macam sekarang, maka rakyat pun tidaklah kisah sangat tentang agama.

Maka para pemimpin itu akan disoal juga nanti tentang apa yang mereka lakukan. Bukan apa yang mereka lakukan sahaja, tapi apa yang dilakukan oleh pengikut-pengikut mereka juga. Maka menjadi pemimpin adalah tugas berat yang tidak sepatutnya dikejar sangat. Kerana buat susah kena soal sahaja nanti.

Jadi Hud-hud menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh penduduk Saba’ itu dimana mereka sembah matahari, tidak sembah Allah sahaja. Mungkin mereka pun ada sembah Allah juga, tapi mereka buat syirik dengan sembah matahari sekali. Ini sama sahaja dengan puak Habib dan sebagainya – mereka bukannya tidak sembah Allah, tapi mereka sembah kubur dan wali mereka juga.

Ini adalah kedangkalan fikiran manusia yang menyembah sesuatu yang mereka lihat sebagai hebat. Kalau agama Hindu, busut besar sikit pun mereka sudah sembah. Yang hairannya, kalau orang Melayu yang beragama Islam pun ada juga kadangkala fikiran sebegini juga.

Sebagai contoh, ada yang rasa ada kelebihan pada capal Nabi. Cium capal Nabi pun sudah ada masalah, ada yang cium replika capal pun ada. Yang lagi teruk, letak logo capal di baju, di kopiah dan songkok! Begitulah kalau capal yang patut letak di kaki, mereka letak di kepala! Nampak memang bodoh sangat.

Maka kebodohan mereka sama juga seperti Balqis dan rakyatnya yang menyembah matahari. Kerana mereka melihat matahari itu hebat. Sedangkan Yang menjadikan matahari itulah yang lagi hebat. Seperti yang dijelaskan oleh firman Allah:

{وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ}

Dan sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari, dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah (pula) kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah Yang menciptakannya, jika kalian hanya kepada-Nya saja menyembah. (Fussilat: 37)

Setakat ini, berita yang kita baca ini adalah dari seekor burung. Ini menunjukkan burung pun tahu perkara tauhid. Jadi kalau manusia tak tahu perkara tauhid, memang malu sungguh, burung pun lagi hebat dari mereka. Kalau tak tahu tentang tauhid, akal orang itu lagi kurang dari akal burung, sedangkan burung memang akalnya kecil sahaja.

 

وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم

dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka

Awal surah ini disebut Musyrikin Mekah dicantikkan amal salah mereka. Tapi Allah nak beritahu dalam ayat ini yang bukan mereka yang pertama. Memang syaitan menggunakan cara yang sama sahaja zaman berzaman. Syaitan akan kelabui mata manusia untuk bagi nampak amalan syirik dan bidaah yang dilakukan manusia itu indah, baik sahaja.

Syaitan akan bisikkan dan beri pujian kepada mereka. Kerana itulah ramai yang senang tertipu dan teruskan buat amalan yang syirik seperti berdoa, solat dan beribadat di kubur seperti yang dilakukan oleh puak Habib itu.

 

فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ فَهُم لا يَهتَدونَ

lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk,

Dan syaitan itu telah menghalang manusia dari jalan yang benar dan lurus. Jalan lurus ada, tapi mereka tertipu dengan bisikan syaitan. Dan memang iblis telah berjanji akan menghalang manusia dari jalan yang benar. Maka kitalah yang kena tahu apakah cara-cara dan taktik mereka supaya kita tidak tertipu.


 

Ayat 25: Ini adalah Ayat Sajdah

أَلّا يَسجُدوا ِللهِ الَّذي يُخرِجُ الخَبءَ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَيَعلَمُ ما تُخفونَ وَما تُعلِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] so they do not prostrate to Allāh, who brings forth what is hidden within the heavens and the earth and knows what you conceal and what you declare –

(MELAYU)

agar mereka tidak menyembah Allah Yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan Yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

أَلّا يَسجُدوا ِللهِ الَّذي يُخرِجُ الخَبءَ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

agar mereka tidak menyembah Allah Yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi

Syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia dan memalingkan manusia dari sembah Allah sahaja. Itu sudah memang kerja mereka, sedangkan tugas kita pula adalah menentang mereka. Dan untuk menentang mereka, senjatanya adalah dengan ilmu. Syaitan akan mudah sahaja memesongkan manusia yang jahil agama.

Dan kerana ramai dari kalangan masyarakat kita memang jahil agama, maka senang sahaja ditipu dengan perawakan Habaib yang pakai pakaian ulama, berjanggut, berperawakan baik dan mengaku sebagai keturunan Rasulullah. Tanpa fikir panjang, ramai yang kata: “takkan mereka itu salah? Mereka keturunan Nabi tu….”

Kalimah الخَبءَ bermaksud ‘harta tersembunyi’. Juga bermaksud segala kegunaan yang ada di dalam bumi. Makna yang dimaksudkan ialah apa yang tersembunyi di langit dan di bumi yang ada kaitannya dengan rezeki makhluk; hujan dari langit dan tumbuhan dari bumi.

Allah mengingatkan kepada manusia bahawa semua yang mereka dapat daripada langit dan bumi itu adalah daripada Allah semata-mata. Kalau Allah sahaja yang boleh berikan segala keperluan manusia, maka kenapa nak sembah kepada selain Dia? Tapi syaitan telah membisikkan ajaran-ajaran yang salah dalam diri manusia.

 

وَيَعلَمُ ما تُخفونَ وَما تُعلِنونَ

dan Yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

Allah tahu apa yang kita sembunyikan dan apa yang kita cakap.

Kenapa nak beritahu Allah tahu benda yang dinyatakan lagi, setelah memberitahu yang Allah tahu apa yang ada di dalam hati? Bukankah kalau Allah telah tahu apa yang di dalam hati, itu bermaksud yang kalau di luar juga tentu Allah sudah tahu?

Allah cakap dua-dua perkara itu kerana kadang-kadang benda yang manusia cakap tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya. Mulut cakap lain, hati cakap lain. Allah nak beritahu yang perbezaan antara percakapan luar dan dalam itu pun Allah tahu. Jadi jangan rasa yang apa yang di dalam hati kita itu Allah tidak tahu. Janganlah nak cakap perkara yang lain dari dalam hati kita. Jangan nak menipulah maksudnya.


 

Ayat 26:

اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh – there is no deity except Him, Lord of the Great Throne.”

(MELAYU)

Allah, tiada Tuhan Yang disembah kecuali Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘Arsy yang besar”.

اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada ilah kecuali Dia,

Berkemungkinan besar kalimah ini disebut oleh Nabi Sulaiman di mana baginda sedang mengajar tentang tauhid.

Ini adalah kalimah tauhid yang kita semua sudah selalu dengar. Tapi adakah kita faham maksudnya? Adakah kita amalkan seperti yang kita cakap? Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang cakap di mulut dan cakap di hati, bukan? Ini sekarang sudah keluar satu contohnya. Berapa ramai yang kuat sahaja mulutnya bertahlil mengucapkan la ilaaha illallah, tapi dalam hatinya ada iktikad syirik. Maksudnya, mulut sahaja cakap tauhid uluhiyyah, tapi dalam hati ada iktikad syirik.

Ini semua kerana jahil agama dan jahil tauhid. Pengajaran tauhid tidak diajar dengan betul. Kerana itu ia amat longgar di negara kita. Tauhid ini kena dipelajari terus dari Al-Qur’an, maka kena belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, bila ada yang mengajar tafsir, dan diajar perkara yang lain dengan fahaman masyarakat setempat, bukan masyarakat yang tukar akidah mereka, tapi ustaz mengajar itu yang kena tukar! Ini kebodohan siapa pun kita tidak tahu – masyarakat? AJK Masjid? Imam Masjid? Atau semuanya bodoh-bodoh belaka?

 

رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

Tuhan Yang mempunyai ‘Arsy yang besar”.

Sebelum ini burung Hud-hud mengatakan singgahsana Permaisuri Balqis itu hebat, maka Nabi Sulaiman memberitahu bahawa Arasy Allah lebih hebat. Nabi Sulaiman terus memberitahu tentang Allah dan tidak bandingkan pun singgahsana Balqis dengan singgahsana baginda.

Kerana kalau orang lain, bila sebut kereta orang lain hebat, tentu dia akan sebut kereta dia lebih hebat, bukan? Tapi Nabi Sulaiman tidak begitu. Ini bukan nak tunjuk siapa yang hebat, tapi nak kata Allah yang paling hebat, tidak ada lebih hebat dari Allah.

Kata-kata di atas adalah kata-kata daripada Burung Belatuk (atau Nabi Sulaiman seperti yang disebut tadi) yang faham dan kenal ilmu tauhid dan kalaulah ada manusia yang tidak tahu tentang tauhid ini maka mereka itu lebih teruk daripada Burung Belatuk lagi.

Maknanya kita boleh juga gunakan kisah burung ini untuk mengajak manusia kepada tauhid dengan memberitahu kepada mereka lihatlah burung pun tahu tentang tauhid. Ini adalah cara yang amat bagus kerana manusia suka dengan cerita. Kalau duduk berjam-jam dengar cerita memang manusia suka.

Sebab itu ada ustaz yang bawa cerita dongeng dan karut pun boleh cari makan di masjid dan surau. Bila ustaz yang ajar benda betul dihalang, bila ustaz yang ajar benda karut pula yang didendang. Ternganga mulut mereka dengar kisah karut di masjid dan surau.


 

Ayat 27: Ini adalah jawapan daripada Nabi Sulaiman dan baginda tidak terus percaya dengan kata Hud-hud dan baginda meminta dalil. Maka tidak salah untuk minta dalil dan bukti kerana itulah yang diajar di dalam agama kita dan janganlah marah kalau diminta bukti dan dalil.

Ustaz yang marah kalau diminta dalil hanyalah kerana mereka sendiri tidak ada dalil. Sebab itu kalau anak murid minta dalil, kena marah pula anak murid itu.

۞ قالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقتَ أَم كُنتَ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Solomon] said, “We will see whether you were truthful or were of the liars.

(MELAYU)

Berkata Sulaiman: “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

 

Nabi Sulaiman berhati-hati dengan apa yang disampaikan oleh burung Hud-hud itu kerana entah-entah burung itu memberitahu perkara ini hanya untuk menyelamatkan dirinya dari dibunuh sahaja.

Ini juga menunjukkan yang seorang Nabi tidak tahu perkara ghaib, kerana jikalau Nabi Sulaiman memang tahu perkara ghaib, maka tentulah baginda sudah tahu perkara itu, dan tentulah baginda tidak memerlukan bukti daripada burung Hud-hud.

Inilah akidah kita: Allah sahaja yang tahu perkara ghaib dan kerana itulah Allah sahaja yang mempunyai keberkatan. Manusia tidak tahu perkara ghaib melainkan yang diberitahu sahaja termasuklah para Nabi lagi Rasul. Kalau Rasul pun tidak tahu perkara ghaib, maka apatah lagi kalau manusia.

Memang ada masalah akidah dalam masyarakat kita dalam perkara ini. Ada yang kata tok guru mereka tahu perkara ghaib, tahu isi hati manusia dan sebagainya. Ini adalah fahaman syirik kerana menyamakan sifat manusia dengan sifat Allah.

Kalau golongan Habib itu, mereka memang kononnya ada Habib mereka yang mereka kata tahu apa sahaja yang berlaku di Tarim (tempat pembelajaran mereka) dan ada pula seorang Habib lain yang tahu hati mereka yang berada di Tarim. *Tarim: tempat pengajian mereka di Hadramawt, Yemen. Tempat mereka menyebarkan ajaran sesat mereka. Ramai juga rakyat Malaysia yang belajar ke sana dan menyebarkan pula fahaman mereka di negara ini.


 

Ayat 28: Ada arahan yang Nabi Sulaiman suruh sampaikan kepada Balqis.

اذهَب بِّكِتٰبي هٰذا فَأَلقِه إِلَيهِم ثُمَّ تَوَلَّ عَنهُم فَانظُر ماذا يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take this letter of mine and deliver it to them. Then leave them and see what they will return.”

(MELAYU)

Pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”

 

اذهَب بِّكِتٰبي هٰذا

Pergilah dengan (membawa) suratku ini,

Kerana Hud-hud yang telah pernah ke tempat Balqis itu, maka Nabi Sulaiman suruh Hud-hud pergi ke tempat itu semula dan bawakan surat dari baginda. Baginda nak dakwah kepada mereka.

 

فَأَلقِه إِلَيهِم ثُمَّ تَوَلَّ عَنهُم

lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, 

Kalimah فَأَلقِه dimatikan ha itu (bukan fa’alqihi) untuk menunjukkan yang Nabi Sulaiman memberi penekanan seolah-olah marah dengan burung Hud-hud atau dengan Balqis.

Baginda suruh lemparkan sahaja surat itu kepada Balqis supaya dia boleh jumpa, tapi jangan tunggu di situ. Cuma tinggalkan dan berpaling. Hantar surat dan jangan tunggu di situ kerana itu seperti menunjuk yang kita terdesak dan beriya-iya sangat nak tahu apakah balasan dari mereka.

 

فَانظُر ماذا يَرجِعونَ

lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”

Tapi jangan tinggalkan terus – tinggalkan surat itu dan kemudian lihat sahaja apa yang mereka akan balas setelah membaca surat itu. Terbang duduk dalam lubang mana-mana untuk melihat apakah yang dilakukan oleh mereka.

Jadi ini adalah salah satu daripada Sunnah para rasul iaitu menghantar surat untuk berdakwah dengan mengajak ketua negara-negara lain untuk masuk ke dalam agama Islam. Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ada hantar surat dakwah kepada pemimpin negara lain. Tapi ini masih lagi memerlukan kajian yang lebih mendalam kerana kita lihat bahawa tidak ada semua surat diberikan kepada semua negara tetapi dipilih juga.

Menurut suatu pendapat, surat itu dibawa Hud-hud di dalam sayapnya sebagaimana biasanya burung pengantar surat, menurut pendapat yang lain mengatakan dengan paruhnya, ia terbang menuju ke negeri mereka, dan ia hinggap di istana Ratu Balqis, di tempat yang sepi yang biasa dipakai oleh Ratu Balqis ketika menyendiri.

Lalu Hud-hud melemparkan surat itu melalui celah yang ada di istananya, tepat berada di hadapan Ratu Balqis, setelah itu Hud-hud menjauh sebagai sikap etika dan sekaligus berjaga-jaga. Ratu Balqis kebingungan menyaksikan pemandangan yang menakjubkan itu sehingga membuatnya terpana sejenak. Kemudian dia menuju ke tempat surat itu dijatuhkan, lalu mengambilnya dan membuka serta membacanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s