Ayat 21: Ini adalah ‘Dakwa’ Surah Al-Baqarah yang pertama. Ada tiga dakwa Surah Al-Baqarah.
Ayat 1-20 telah menceritakan tentang golongan-golongan yang celaka. Ada yang selamat dan ada yang celaka. Maka ayat seterusnya ini adalah rawatan kepada mereka yang celaka itu.
Ayat 21 – 29 ini adalah seruan kepada Tauhid kepada sekalian manusia. Mereka kena kembali kepada ajaran agama yang sebenar. Ayat 21 dan 22 adalah tentang tauhid – iaitu mengajar manusia untuk sembah Allah sahaja. Kemudian ayat 23 dan 24 tentang Risalah (Kenabian) kerana untuk kita kenal agama dan selamat dunia akhirat, kita kena ikut ajaran Nabi.
Jadi kalau nak selamat, kena terima tauhid dan Risalah. Kalau terima, Allah beritahu dalam ayat 25 yang natijah kalau terima keduanya, balasannya adalah syurga. Jadi syurga adalah tentang akhirat. Memang ayat-ayat Al-Qur’an selalunya berlegar antara tiga perkara ini: Tauhid – Risalah – Akhirat.
يٰأَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
O mankind, worship your Lord, who created you and those before you, that you may become righteous –
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
يٰأَيُّهَا النَّاسُ
Wahai manusia semua sekali;
Sekarang Allah bercakap kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang itu Muslim, tidak kira sama ada orang itu kafir. Semua manusia kena dengar nasihat ini. Ini adalah kerana setelah Allah terangkan tentang tiga golongan tadi, Allah nak rangkumkan apakah yang perlu manusia lakukan.
Tetapi, kita pun tahu yang orang kafir ramai yang tidak baca Al-Qur’an. Lalu bagaimana mana hendak tahu? Maka kitalah yang kena sampaikan. Inilah tanggungjawab kita sebagai pelajar Al-Qur’an ini untuk menyampaikan kepada mereka. Jangan kita jadi macam orang Yahudi yang menyimpan kalam suci Allah dengan mereka sahaja dan tidak sampaikan kepada orang lain.
اعْبُدُوا رَبَّكُمُ
Sembahlah Tuhan kamu sahaja;
Inilah yang penting sekali manusia kena lakukan; sembah Allah sahaja. Pujalah, ibadatlah, sembahlah, agungkanlah Allah sahaja. Buatlah ibadat kepada Allah sahaja.
Kenapa kena sembah dan buat ibadat kepada Dia sahaja? Allah beritahu dalil dalam bahagian yang seterusnya.
Maksud اعْبُدُوا juga adalah ‘menghambakan’ diri kepada Allah. Maksudnya bukan sahaja melakukan ibadat tapi kena terima kedudukan sebagai hamba kepada Allah. Dan bila jadi hamba, maka kena taat kepada apa sahaja yang Allah suruh kita buat.
الَّذِي خَلَقَكُمْ
Kerana Dialah Dzat yang mencipta kamu;
Dan setiap Dakwa, mesti ada dalil. Selepas Allah suruh buat sesuatu, Allah beritahu kenapa kita kena ikut arahanNya itu.
Dalil pertama yang diberikan adalah jenis ‘Dalil Aqli Anfusi – iaitu Allah suruh lihat kepada diri kita sendiri. Kita kena taat kepada Allah kerana Allah sahaja yang boleh menjadikan kita. Kita kena sembah Allah sahaja, kerana makhluk lain tidak dapat cipta kita.
وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
dan orang-orang yang sebelum kamu;
Dalil yang kedua, Allah sebut yang bukan kita sahaja yang dicipta tetapi semua yang sebelum kita pun telah dijadikan oleh Allah. Semua sekali, bapa, datuk dan nenek kita semua sekali telah diciptakan oleh Allah. Dari Nabi Adam sampailah ke manusia terakhir yang mati pada Hari Kiamat. Sebab itu kita kena sembah Dia.
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu akan dapat taqwa.
Dalil-dalil ini diberi supaya kita boleh terima dan buat ibadat dan menghambakan diri kepada Allah dan semoga kita bertaqwa. Dengan menghambakan diri kepada Allah dan taat kepada segala perintahNya, kita boleh menjadi orang yang bertaqwa.
Ayat 22: Ini dalil ketiga, bukan setakat Dia cipta manusia sahaja,
الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا وَالسَّماءَ بِناءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ
[He] who made for you the earth a bed [spread out] and the sky a ceiling and sent down from the sky, rain and brought forth thereby fruits as provision for you. So do not attribute to Allah equals while you know [that there is nothing similar to Him].
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ
Dialah juga yang mencipta untuk kamu, bumi ini
Allah juga yang jadikan bumi sebagai hamparan buat kita. Sebagai tempat duduk dan tempat cari rezeki. Bumi ini adalah tempat ujian bagi kita dan Allah yang tentukan ia begitu.
Potongan ayat ini juga sebagai dalil bahawa bumi ini dijadikan untuk kita. Segala yang ada di bumi ini adalah untuk kegunaan kita. Sebagai contoh, ada binatang juga hidup di dunia ini, bukan? Maka binatang itu untuk kita sebenarnya.
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa tempat tinggal untuk manusia ini adalah planet bumi ini, bukan tempat yang lain. Kalau boleh pergi ke planet lain, boleh lawatlah sahaja, bukan untuk tinggal.
فِرٰشًا
terhampar;
Allah hamparkan bumi ini seluas-luasnya untuk mudah kita tinggalkan di atasnya. Dan Allah tetapkan bumi ini tidak bergerak dan bergegar, walaupun bumi ini sebenarnya bergerak pada kelajuan yang tinggi mengelilingi matahari di angkasa. Bayangkan, kalau bergegar sahaja bumi, rumah akan runtuh. Tak boleh bawa kereta dan sebagainya. Tak boleh buat apa-apa.
وَالسَّمَاءَ بِنَاءً
Dan langit sebagai binaan yang kukuh
Dan dalil keempat, Allah mengingatkan kita yang Dia juga yang jadikan langit. Langit adalah satu binaan yang kukuh dan luas. Langit adalah pasangan bagi bumi. Bumi itu ibarat perempuan dan langit itu ibarat lelaki.
وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
Dan Dia menurunkan dari langit air
Allah mengingatkan kita bahawa air hujan yang kita lihat turun sentiasa itu adalah dari Allah. Bukanlah hujan itu turun sendiri tapi ianya adalah dari perbuatan Allah. Maka setiap kali hujan turun, kita diingatkan dengan kuasa Allah. Kerana itulah Nabi Muhammad selalu membuka bajunya apabila hujan dan mengenakan kulit tubuhnya dengan air hujan itu.
عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ أَنَسٌ : ” أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ ، قَالَ : فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا ؟ قَالَ : ” لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى ”
Anas RA berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah SAW menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya). Kami bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau lakukan hal ini. Baginda SAW menjawab: Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru ciptakan. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Istisqa, no. 898)
فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ
Dan Allah keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai buahan sebagai rezeki kepada kamu;
Air hujan itu amat diperlukan untuk tanaman. Air hujan itu sejenis sahaja tapi berbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang timbul dengannya. Ia menjadi rezeki kepada kita kerana kita makan tanam-tanaman itu yang berbagai jenis.
Itulah segala bukti yang Allah berikan. Kalau Allah yang jadikan semua ini, sembahlah Allah sahaja dan kenapa nak sembah selain Dia? Kenapa nak puja Nabi, wali atau malaikat? Apa yang mereka buat?
Oleh sebab itu:
فَلَا تَجْعَلُوا لِلهِ أَنْدَادًا
Jangan kamu jadikan bagi Allah itu, tandingan-tanding;
Jangan jadikan tandingan untuk Allah dalam berdoa. Sepatutnya kita hanya sembah dan doa kepada Allah sahaja, bukan? Tapi kenapa Allah kena bertanding dengan selain Dia pula? Ada pula orang yang minta kepada selain Allah.
Sebagai contoh, ada yang minta tok guru buang sial pada kereta mereka dan sebagainya. Mereka kalau ada kemalangan, akan pergi berjumpa kepada Tok Guru, dan minta tok guru buang sial.
Atau kalau beri kereta baru, mereka akan minta Tok Guru pakai kereta itu untuk beberapa hari supaya kereta itu ada berkat. Mereka akan bayar guru itu untuk ‘perkhidmatan’ guru itu. Banyak yang kaya raya sebab buat kerja macam ni. Macamlah mereka boleh pula nak sekat-sekat bala Tuhan.
Semuanya itu adalah pemahaman yang salah. Tidak ada sesiapa pun boleh sekat bala yang Allah hendak beri. Tetapi mereka meneruskan juga amalan ini kerana mereka menjadikan kerja-kerja itu sebagai punca pendapatan mereka. Ini tidak ubah seperti kerja Sami Hindu sahaja.
وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Sedangkan kamu tahu;
Kamu sendiri tahu bahawa Allah tidak berkongsi di dalam penciptaan langit dan bumi. Semasa Allah cipta alam ini, tidak ada sesiapa pun yang tolong Dia. Maka kenapa rasa yang ada makhluk yang ada kuasa seperti Allah?
Insya Allah nanti kita akan masukkan amalan-amalan salah tok guru-tok guru untuk kita ceritakan di manakah kesalahan mereka. Kita akan tunjukkan mana amalan salah itu dan manakah yang syiriknya dengan amalan itu. Atau anda boleh tanya berkenaan amalan-amalan pelik manusia yang anda dengar dan boleh kita semak sama-sama sama ada amalan itu benar atau tidak.
Ayat 23: Allah ajar kita cara untuk taat kepadaNya selepas kita terima tauhid.
وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَداءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
And if you are in doubt about what We have sent down upon Our Servant [Muhammad], then produce a surah the like thereof and call upon your witnesses other than Allah , if you should be truthful.
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا
Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang Al-Qur’an yang Kami turunkan ke atas hamba Kami,
Allah mulakan dengan perkataan وَإِن كُنتُم في رَيبٍ (Dan kalau kamu ada menaruh syak). Iaitu ada yang ragu-ragu dengan wahyu Allah kerana Nabi Muhammad itu nampak macam manusia biasa sahaja. Mungkin ada yang susah nak terima apa yang disampaikan oleh baginda kerana baginda nampak biasa sahaja.
Musyrikin Mekah mengejek Nabi dengan mengatakan Nabi Muhammad itu sama sahaja macam mereka, duduk hidup dan makan minum macam mereka sahaja. Banyak ayat-ayat yang disebut dalam Al-Qur’an bagaimana Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad kerana sama macam manusia lain sahaja. Keraguan itu telah dibisikkan oleh syaitan kepada mereka.
Macam masyarakat kitalah juga, kalau ada orang yang nampak luar biasa sikit, boleh buat perkara ajaib, ramai yang percaya kepada guru-guru sesat itu.
Musyrikin Mekah dan golongan munafik nampak Nabi itu macam manusia biasa sahaja. Tetapi tentulah Allah menurunkan seorang pendakwah yang sama sahaja dengan manusia yang hendak disampaikan dakwah itu.
Maka, hasil dari bisikan syaitan, mereka telah ragu-ragu kepada Nabi. Mereka rasa patutnya malaikatlah yang Allah turunkan untuk beri peringatan kepada mereka (barulah mereka nak dengar). Tapi fikirkan: Takkan makhluk lain pula nak dijadikan contoh kepada manusia? Kerana kalau malaikat yang dijadikan pendakwah kepada manusia, tentu manusia akan kata: mereka tidak boleh ikut malaikat-malaikat itu kerana malaikat tidak ada nafsu.
Jadi, memang selayaknya yang diutus untuk menyampaikan dakwah kepada manusia adalah manusia juga.
Penerimaan kepada Nabi Muhammad adalah perkara pertama yang perlu diterima oleh masyarakat sebelum dapat menerima tauhid. Maka, hal Nabi hendaklah dijelaskan dengan betul. Inilah kepentingan menerima ilmu Risalah. Kerana, apabila boleh terima Nabi Muhammad sebagai Rasul, barulah ajaran agama boleh diterima.
فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّنْ مِّثْلِهِ
maka kamu bawalah satu surah yang seperti Al-Qur’an
Sebelum kita dapat menerima seseorang sebagai layak untuk melakukan sesuatu, kita kenalah melihat bukti kelayakan seseorang itu bukan? Sebagai contoh, untuk kita berubat dengan seorang doktor, kenalah kita lihat sijil kelayakan dia, bukan? Dan kita nak pastikan yang sijil dia itu adalah sijil yang asli.
Jadi, bagaimana kita nak tahu yang Nabi itu adalah sebenar-benar Nabi? Maka, Allah beri hujjahNya dalam ayat ini. Sekiranya kamu ragu dengan apa yang disampaikan oleh Nabi itu, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu. Sekurang-kurangnya tiga ayat kerana sependek-pendek ayat dalam satu surah adalah tiga ayat. Ini adalah ayat cabaran dari Allah.
Musyrikin Mekah ada dua tuduhan terhadap Qur’an:
1. Al-Qur’an itu adalah rekaan dari Nabi Muhammad sendiri. Atau,
2. Nabi Muhammad dapat Al-Qur’an itu dari orang lain, yang mereka kata Nabi Muhammad belajar dengan orang itu. Atau baginda cedok dari kitab-kitab yang lain.
Allah cabar mereka, kalau tak percaya, maka buatlah Al-Qur’an itu kalau mereka mampu. Kerana kalau mereka kata Nabi Muhammad yang manusia itu boleh buat Al-Qur’an, maka tentunya mereka manusia yang lebih pandai dari segi bahasa, boleh buat satu surah dari Al-Qur’an juga, bukan?
Cabaran yang diberi kepada mereka adalah untuk buat ayat-ayat macam Al-Qur’an dengan menggunakan ketinggian bahasa. Kerana bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa yang biasa. Salah satunya adalah, Allah boleh buat ayat-ayat hukum dalam bentuk sastera yang sedap dibaca. Ini memang hebat dan tidak mampu dilakukan oleh manusia. Lihatlah kalau kita baca buku undang-undang, ianya dalam nada tegas sahaja. Dan kalau tulisan sastera pula, ianya tidak ada undang-undang di dalamnya.
Dan banyak lagi mukjizat Al-Qur’an yang dikaji oleh ulama zaman berzaman sampai sekarang. Bidang ini dikenali sebagai i’jazul Qur’an. Jadi, cubalah buat satu surah sahaja yang sama dengan Al-Qur’an itu kalau kamu tidak percaya yang Al-Qur’an itu dari Allah.
وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ
dan kamu panggillah sekutu-sekutu kamu;
Iaitu panggillah orang-orang yang mahir dari kalangan kamu. Panggillah sesiapa sahaja. Dalam ayat yang lain, Allah cabar minta tolong jin sekali.
Allah sebut lagi: “kalau kamu sendiri tak mampu buat, maka panggillah sesiapa sahaja yang kamu rasa boleh tolong kamu.” Kalimah شُهَداءَكُم dalam ayat ini adalah sembahan-sembahan mereka yang mereka rasa boleh tolong mereka. Kerana kalau perkara yang susah, tentulah mereka memerlukan pertolongan. Tidak kira, boleh panggil sesiapa sahaja untuk tolong mereka.
مِنْ دُونِ اللهِ
selain dari Allah
Kerana mereka puja selain dari Allah, maka mintalah pertolongan kepada sembahan-sembahan mereka yang selain Allah itu.
إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ
sekiranya kamu benar;
Ayat ini adalah cabaran dari Allah kepada manusia yang masih tidak percaya. Mereka masih tidak percaya selepas diberikan dakwah kepada mereka.
Tidaklah cabaran ini diberikan terus kepada orang yang kita mula-mula nak dakwah. Kita kenalah memberikan ajaran-ajaran dari Al-Qur’an dulu. Janganlah kita jumpa orang kafir, kita terus suruh dia buat satu surah dari Al-Qur’an pula. Dia kenal Al-Qur’an pun tidak. Kitalah yang kena kenalkan Al-Qur’an kepada dia.
Ini adalah satu cabaran yang hebat. Selalunya kalau manusia yang tulis buku, mereka tidak berani berkata begitu, sebab mereka tahu tentulah ada salah silap dalam penulisannya. Tapi kerana ini datangnya dari Allah, maka Allah tahu yang Al-Qur’an itu adalah satu yang sempurna dan tidak akan ada yang dapat menandinginya.
Cabaran ini sebenarnya telah disahut oleh orang Kafir. Mereka telah cuba mengadakan ayat-ayat seperti Al-Qur’an. Tapi sebenarnya ia langsung tidak sama. Ia boleh menipu orang yang tidak tahu tentang Al-Qur’an. Tapi kepada mereka yang tahu betapa indahnya bahasa Al-Qur’an, mereka akan dapat nampak bahawa apa yang mereka buat itu tidak sama langsung dengan Al-Qur’an.
Ayat 24: Ayat ini adalah dalam bentuk takhwif ukhrawi – menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak.
فَإِن لَّم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ
But if you do not – and you will never be able to – then fear the Fire, whose fuel is men and stones, prepared for the disbelievers.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
فَإِنْ لَّمْ تَفْعَلُوا
Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukannya;
Perkataan ‘لَمْ’ dalam ayat ini bermakna perkara yang sudah lepas. Ini bermakna, orang-orang kafir itu telah cuba untuk membuat ayat Al-Qur’an untuk menandingi kehebatan Al-Qur’an.
وَلَنْ تَفْعَلُوا
dan tak mungkin selama-lamanya kamu dapat melakukannya;
Tapi cubaan mereka itu tidak berjaya. Kerana bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa manusia biasa, tapi ianya adalah Kalam Allah. Allah kata: وَلَن تَفعَلوا – kamu tidak akan mampu buat sampai bila-bila kerana ianya adalah Kalam Allah. Kerana perkataan لَن itu bermaksud ‘tidak sampai bila-bila’.
Ayat cabaran dan amaran ini sepatutnya sudah cukup untuk mematahkan hujah orang-orang kafir yang tidak percaya dengan Al-Qur’an. Kalau kita berdebat dengan orang-orang kafir sekarang pun, sepatutnya kita gunakan hujah ini sahaja. Tapi malangnya, kerana ramai tak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak boleh nak berhujah dengan orang kafir.
Lihatlah bagaimana para sahabat yang boleh sebar agama Islam ke seluruh dunia dengan berbekalkan Al-Qur’an sahaja. Kalau kita faham Al-Qur’an seperti mereka, kita pun boleh buat usaha sebegitu juga. Kita juga boleh jadi hebat seperti mereka yang menakluk dunia.
فَاتَّقُوا النَّارَ
maka takutlah kamu akan api neraka;
Allah berfirman lagi: “kalau kamu tidak boleh buat, dan masih lagi degil untuk menerima Al-Qur’an, maka ingatlah yang kamu akan diazab di neraka nanti. Ini adalah ayat amaran yang keras yang diberikan kepada semua manusia.
Allah juga suruh mereka supaya bersedia dengan apa yang mereka ada untuk menyelamatkan diri mereka dari api neraka. Apa-apa sahaja yang mereka boleh usaha untuk selamatkan diri mereka nanti, gunalah kalau boleh. Kerana Allah sudah suruh mereka takut kepada Allah dalam ayat ini. Kerana sebelum ini diajak takut kepada Allah, mereka tak mahu. Sekarang bersedialah untuk api neraka itu.
الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
Allah beri sedikit gambaran tentang neraka. Allah sebut apakah bahan bakar dalam neraka itu. Iaitu manusia dan batu. Apa salah batu kena bakar sekali dalam neraka?
Allah akan bakar batu-batu dalam neraka adalah kerana mereka yang menyembah selain Allah akan dimasukkan dengan apa yang mereka sembah itu. Kerana ada antara mereka yang sembah batu, maka mereka akan dimasukkan sekali dengan batu yang mereka sembah itu.
Supaya bila mereka lihat batu itu pun kena bakar sekali dengan mereka, habislah harapan mereka. Kerana batu yang mereka sembah pun kena bakar, apatah lagi mereka?
أُعِدَّتْ لِلْكٰفِرِينَ
yang disediakan khas untuk orang-orang kafir;
Makna perkataan ‘kafir’ itu diambil dari kata asal ‘ك ف ر’ yang bermaksud ‘dalam tanah’. Orang kafir itu sebenarnya menyembunyikan (tanam dalam-dalam) iman yang sebenarnya telah ada dalam diri mereka. Allah telah letakkan fitrah keimanan dalam diri setiap insan, tapi orang-orang kafir tidak mahu mengeluarkannya. Mereka menyembunyikan fitrah keimanan itu dalam diri mereka.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa neraka dan begitu juga syurga, telah ada sekarang ini. Sedang menunggu sahaja siapa yang akan masuk ke dalamnya. Ini menolak pendapat mereka yang mengatakan yang syurga dan neraka hanya akan dijadikan selepas Kiamat nanti.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Syukran Alhamdulillah
LikeLike