Ayat 30:
إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ
To your Lord, that Day, will be the procession.
(Maka) kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan).
Kita semua akan dipandu kepada Tuhan. Seperti Allah telah gunakan dalam Zumar:71
وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا
Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan,
Selepas mati, roh akan diangkat ke langit. Malaikat akan mengiringi roh itu ke langit. Ini kita ketahui dari hadis-hadis yang ada. Ada proses-proses yang panjang yang akan terjadi. Ada roh yang wangi dan ada roh yang busuk. Kemudian semua akan dipandu untuk dibawa kepada Allah.
Rujuk juga al-An’am: 61, 62
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ
Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).
ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلَاهُمُ الْحَقِّ أَلَا لَهُ الْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ
Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.
Oleh itu, sebelum kita bertemu dengan Allah, maka bersihkanlah diri kita dari syirik dan dosa. Kerana kita tentunya tidak mahu bertemu dengan Allah dalam keadaan kita bawa banyak dosa yang akan dipersoalkan kepada kita nanti.
Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.
Ayat 31: Ayat 31 – 35 adalah Perenggan Makro Keenam. Allah tanya soalan: Apakah kamu akan mati dengan kamu tidak bersolat dan infak? Ini adalah sifat-sifat orang yang kufur engkar kepada ayat-ayat Allah.
فَلَا صَدَّقَ وَلَا صَلَّىٰ
And the disbeliever had not believed, nor had he prayed.
(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan menyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!
Inilah sifat-sifat orang kafir. Ini adalah gambaran luaran dan dalaman mereka. Mereka tidak membenarkan kebenaran wahyu. Apabila ada yang datang kepada mereka bawa ajaran tauhid, mereka tidak menerima ia sebagai benar.
Kepercayaan kepada kebenaran adalah amalan dalam hati dan mengerjakan solat adalah amalan badan/fizikal. Kedua-duanya kena ada. Janganlah kita beramal tapi akidah kita ada masalah. Dan janganlah kita sangka yang iman kita telah kuat kalau amalan ibadat kita seperti solat terjaga. Kalau sentiasa solat pun belum tentu selamat lagi. Kena pastikan yang iman kita sempurna (tanpa syirik).
Oleh kerana surah ini adalah tentang Kiamat dan ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiamat, kebenaran yang tidak diakui oleh orang kufur yang dimaksudkan itu adalah membenarkan adanya Hari Kiamat. Dia tidak percaya adanya akhirat.
Ayat 32:
وَلَٰكِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
But [instead], he denied and turned away.
Akan tetapi dia mendustakan, dan berpaling ingkar!
Ini sambungan lagi sifat orang kufur. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan kebenaran dan tidak mengerjakan solat, tapi mereka mendustakan kebenaran dan mereka berpaling. Maka tidaklah ada kebaikan untuk diri orang yang bersifat sebegini.
Ada yang mengatakan yang mereka berpaling itu adalah itu adalah berpaling dari mengerjakan solat kerana ayat sebelum ini adalah ayat tentang solat. Amat ramai manusia yang tidak solat sekarang ini. Ada kalangan orang kita pun biasa sahaja kalau tak solat pun. Mereka culas di dalam mengerjakan solat. Mereka macam rasa tidak ada apa-apa kalau tak solat. Dalam keluarga kita pun kadang-kadang ada orang yang tak solat.
Jadi, kita kena ambil perhatian dengan mereka yang sebegini. Jangan terus biarkan mereka begitu. Kadang-kadang kita pun ada masalah juga – kita lihat orang yang tidak solat, tapi kita buat tak kisah sahaja. Berat mulut kita nak tegur – antaranya kerana kita tak mahu berselisih dengan orang itu kerana kadang-kadang mereka itu ahli keluarga kita, kawan-kawan rapat kita dan kadang-kadang orang yang kita tak berapa kenal untuk tegur mereka.
Memang hendak menegur orang itu amat susah. Tapi, kita kena cari jalan untuk tegur mereka. Pertamanya, kena tunjuk akhlak yang baik.
Ayat 33: Bagaimana keadaannya semasa di dunia dulu?
ثُمَّ ذَهَبَ إِلَىٰ أَهْلِهِ يَتَمَطَّىٰ
And then he went to his people, swaggering [in pride].
Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
Kalimah يَتَمَطَّىٰ dari katadasar م ط و yang bermaksud berjalan dengan berlagak. Maksudnya, dia pergi berjumpa keluarganya dan bergaul dengan mereka, dalam keadaan gembira, jiwanya dalam keadaan jahat, menyombong dan malas. Tidak ada kerunsingan langsung dalam dirinya dan tiada amal yang baik darinya. Dia tak kisah pun sama ada dia ada buat dosa atau tidak.
Dia rileks sahaja, happy sahaja. Rasa macam sudah cukup amalan, sudah cukup apa yang mereka perlu – rumah ada, kereta ada, anak beranak ada. Padahal kita setiap hari tentu melakukan dosa – dosa mata, dosa cakap dan sebagainya. Tapi dia tidak runsing pun dan kalau tidak kisah, tentulah dia tidak meminta ampun.
Kita tidak kisah kalau kita balik dengan keadaan gembira, tambahan lagi kalau bertemu dengan keluarga kita, tapi janganlah gembira sangat sampai tidak teringat mati. Dan jangan gembira sangat sampai tidak memikirkan apakah dosa-dosa kita.
Orang mukmin akan sentiasa memikirkan bilakah mereka akan mati dan apakah persediaan mereka kepadanya. Kerana mereka sedar yang mereka boleh pergi bila-bila masa sahaja.
Ayat ini seperti yang Allah sebutkan juga dalam Mutaffifin:31
وَإِذَا انقَلَبُوا إِلَىٰ أَهْلِهِمُ انقَلَبُوا فَكِهِينَ
Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira;
Juga Allah sebutkan lagi keadaan ini dalam Insyiqaq:13-15
إِنَّهُ كَانَ فِي أَهْلِهِ مَسْرُورًا
Sebenarnya dia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya
إِنَّهُ ظَنَّ أَن لَّن يَحُورَ
Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)!
بَلَىٰ إِنَّ رَبَّهُ كَانَ بِهِ بَصِيرًا
(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan dia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
Buatlah apa sahaja perkara yang baik dalam kehidupan kita, tapi janganlah lupa tentang kematian. Bersedialah untuk menghadapi kematian. Antara perkara yang kita patut lakukan untuk menghadapi mati adalah dengan menyediakan wasiat, supaya kalau kita tiba-tiba mati, keluarga dan orang yang berurusan dengan hal kita akan tahu apa nak buat dengan harta-harta kita. Kerana mati itu boleh datang tiba-tiba sahaja.
Fikir-fikirkanlah selalu tentang persediaan kita ke syurga. Jangan nak sibukkan dengan hal dunia sahaja – rumah nak cat apa, kereta nak tambah setiap tahun dan sebagainya. Buatlah persedian. Anak kita janganlah nak ajar piano, jadi ahli sukan dan sebagainya sahaja, tapi jadikanlah mereka sebagai aset kita di akhirat nanti.
Berilah ajaran agama yang lengkap kepada mereka supaya mereka boleh menyalurkan pahala kepada kita nanti. Yang lain boleh diajar, tapi yang lebih penting adalah pengetahuan agama.
Ayat 34:
أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ
Woe to you, and woe!
(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!
Ini adalah ugutan dan janji buruk yang pasti kepada orang kafir dan sombong dalam perjalanan kehidupannya. Macam kita kata kepada orang yang sudah buat kesalahan: “ha bagus, bagus, buat lagi, buat lagi…”. Tapi kita kata begitu dengan nada yang menghina dan mengejek.
Ini adalah kerana perkara yang mereka tolak itu sekarang semakin dekat kepada mereka. Mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.
Kalau dengan apa yang mereka lakukan itu, neraka adalah layak sangat untuk mereka. Bahasa yang sama digunakan oleh Allah dalam Dukhan:49
ذُقْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ
(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”
Dalam ayat ini, Allah suruh mereka rasa makanan dalam neraka itu dengan nada mengejek.
Dan Allah juga berkata dalam Mursalat:46
كُلُوا وَتَمَتَّعُوا قَلِيلًا إِنَّكُم مُّجْرِمُونَ
Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (wahai orang-orang yang ingkar derhaka) sementara waktu hidup, (kemudian kamu akan menghadapi bahaya), kerana sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa.
Dan Allah berkata dalam Zumar:15
فَاعْبُدُوا مَا شِئْتُم مِّن دُونِهِ قُلْ إِنَّ الْخَاسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”
Begitu juga Allah sebut dalam Fussilat:40
إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا أَفَمَن يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”.
Ayat 35:
ثُمَّ أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ
Then woe to you, and woe!
Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
Allah beri penekanan sampaikan disebut dua kali. Jadi setiap ayat ada disebut dua kali, maknanya, sampai empat kali Allah sebut. Begitulah beratnya ugutan terhadap mereka.
Ataupun yang kali kedua ini disebut selepas orang yang engkar itu sudah mati. Ayat pertama semasa hendak mati dan ayat kedua apabila mereka sudah mati.
Ayat 36: Ayat 36 – 40 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir surah ini. Allah suruh tanyalah hatimu sendiri, percayalah adanya Akhirat.
أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَن يُتْرَكَ سُدًى
Does man think that he will be left neglected?
Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
Adakah mereka sangka mereka diciptakan sia-sia sahaja – dijadikan dan tidak dibangkitkan semula? Dan adakah mereka menyangka mereka tidak akan diperintahkan dan ditegah dari melakukan sesuatu semasa di dunia? Adakah mereka sangka mereka boleh apa-apa sahaja ikut suka hati mereka? Adakah mereka sangka mereka tidak ada tanggungjawab?
Macam sekarang, manusia di dunia ini tak suka kalau ada larangan dari buat apa-apa. Mereka sangka, mereka ada akal, tentulah mereka boleh buat apa yang mereka fikirkan sesuai. Biar mereka fikir sendiri apa yang patut mereka buat. Kalau itu dibenarkan, maka mereka hanya akan ikut nafsu mereka sahaja.
Golongan yang kafir hairan dengan agama Islam kerana agama mereka mudah sahaja. Bayangkan, agama Kristian itu senang sahaja, terima sahaja Nabi Isa sebagai penyelamat mereka, kira sudah boleh masuk syurga terus. Kalau kita lihat kehidupan mereka, seperti tidak ada larangan apa-apa pun, nak makan dan minum apa sahaja, boleh. Tidak buat amalan agama pun tidak mengapa. Sedangkan kalau mereka bandingkan agama mereka dengan kita, tengok solat lima waktu pun sudah nampak susah pada mereka. Begitukah cara untuk masuk syurga?
Ingatlah, kita hidup dalam dunia ini terikat dengan apa yang Allah telah tetapkan hukum untuk kita. Ada benda yang kita boleh buat dan ada benda yang tidak boleh kita lakukan. Allah yang jadikan alam ini dan kerana itu, Allah layak untuk menentukan undang-undang untuk kita. Walaupun Allah menjadikan alam ini memang untuk kita, tapi tidaklah kita boleh buat macam percuma sahaja.
Sebagai contoh, kalau kita ada harta seperti rumah, dan ada orang yang masuk ke rumah kita, tentulah dia tertakluk dengan apa yang kita suka dan tidak. Tidaklah boleh tetamu itu buat seperti rumah dia sendiri (walaupun kita cakap: buatlah macam rumah sendiri). Begitulah juga dengan alam yang Allah telah berikan kepada kita ini. Allah memang benarkan kita hidup dalam alam ini, tapi tidaklah tanpa perlu mengikuti undang-undangNya. Kalau tak suka, boleh cari alam lain untuk hidup.
Adakah manusia sangka mereka tidak akan dibangkitkan semula? Adakah mereka sangka apabila mereka mati, habis begitu sahaja? Tidak, mereka akan dibangkitkan dan akan diadili atas perbuatan mereka.
Ayat 37: Ayat ini sebagai satu lagi hujah mengatakan adanya hari kiamat, Allah ingatkan kembali dengan kejadian asal manusia.
أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِّن مَّنِيٍّ يُمْنَىٰ
Had he not been a sperm from semen emitted?
Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?
Adakah manusia lupa kejadian mereka yang hina dulu? Tidak ada nilai langsung kita pada waktu itu. Kalau mani itu tertumpah ke tanah, ayam tak patuk dan itik pun tak sudu. Orang pun kalau jumpa, geli nak pegang atau tersentuh. Jadi, amat hina kita dulu semasa asal kejadian kita – tapi apabila mereka sudah besar, mereka sudah lupa kejadian asal mereka.
Kalau mereka dulunya, Allah boleh jadikan dari tidak hidup kepada hidup, tentulah Allah boleh menghidupkannya semula. Allah boleh ulang balik untuk menjadikan mereka, kerana Allahlah yang menjadikan mereka pada asalnya.
Ayat 38:
ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّىٰ
Then he was a clinging clot, and [ Allah ] created [his form] and proportioned [him]
Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?
Allah menceritakan bagaimana Dia menjadikan manusia daripada tidak ada kepada ada. Begitu hebat sekali kejadian manusia. Akhirnya Allah telah jadikan kita dalam keadaan sempurna.
Kebanyakan dari manusia bersifat sempurna dan jarang sekali ada orang yang cacat. Peratus orang yang cacat kalau dibandingkan dengan yang sempurna kaki dan tangan adalah amat sedikit. Allah jadikan mereka ada yang cacat adalah supaya kita rasa bersyukur kerana kita dijadikan sempurna. Apabila lihat orang yang cacat, maka timbullah rasa syukur kerana kita dijadikan sempurna.
Bayangkan, kalau semua orang sempurna sahaja, tidak ada cacat, tentu sukar manusia nak membandingkan nikmat kesempurnaan mereka itu. Dengan adanya malam, barulah manusia boleh kenal siang, bukan? Mereka yang cacat itu pula akan mendapat pahala percuma kalau mereka redha dengan keadaan mereka itu.
Ayat 39:
فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
And made of him two mates, the male and the female.
Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.
Allah menjadikan kita dari setitik mani itu kepada lelaki atau perempuan. Maknanya jantina kita pun Allah yang tentukan. Kadang-kadang kita hendak anak lelaki, tapi dapat anak perempuan, bukan? Boleh kita tentukan walaupun kita hendak sangat anak lelaki? Tentu tidak boleh kerana keputusan jadi lelaki atau perempuan itu hak Allah.
Allah hendak ingatkan: “Kamu telah dijadikan dalam proses yang lama, dalam keadaan sempurna kejadiannya, adakah kamu sangka kamu dijadikan begitu sahaja?” Tentu tidak.
Ayat 40: Setelah Allah berikan segala dalil itu, Allah akhiri surah ini dengan satu persoalan sebagai dalil adanya Hari Kebangkitan
أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَن يُحْيِيَ الْمَوْتَىٰ
Is not that [Creator] Able to give life to the dead?
Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu – tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!
Adakah Allah yang telah menjadikan manusia itu tidak mampu menghidupkan semula makhluk yang telah diciptakan dari tidak ada kepada ada? Tentulah Allah mampu nak hidupkan balik manusia. Kalau sudah pertama kali Dia yang buat, tentu senang sahaja untuk Dia jadikan makhluk itu untuk kali kedua. Oleh itu, ketahulah wahai manusia, Kiamat itu pasti ada dan tidak ada bantahan kepadanya.
Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Qiyamah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Insan.
Kemaskini: 18 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Taimiyyah Zubair al-Huda Institute
Nouman Ali Khan Bayyinah Institute
Alhamdulillah terima kasih atas perkongsian ilmu. Namun, Saya ingin bertanya sedikit. Kenapakah berqasidah itu boleh mendatangkan dosa?
LikeLike
kerana reka perkara baru dalam agama.
LikeLike