Tafsir Surah al-An’am Ayat 60 – 63 (Allah yang menghidup dan mematikan)

Ayat 60: Tidak boleh engkar adanya kiamat. Allah beri dalil dalam ayat ini.

وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ ثُمَّ يَبعَثُكُم فيهِ لِيُقضىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيهِ مَرجِعُكُم ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And it is He who takes your souls by night and knows what you have committed by day. Then He revives you therein that a specified term may be fulfilled. Then to Him will be your return; then He will inform you about what you used to do.

Malay

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيْلِ

Dan Dialah yang mengambil roh kamu di malam hari

Perkataan يَتَوَفَّاكُم dari katadasar و ف ي yang bermaksud ‘mengambil sesuatu dengan lengkap’. Ambil habis sampai tak tinggal lagi dah. Selalunya digunakan untuk bermaksud ‘mematikan’ kerana keseluruhan Ruh akan di ambil oleh Allah apabila telah habis ajal seseorang.

Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud ‘tidur’ kerana waktu kita tidur, roh kita akan dipisahkan dari badan. Tapi manusia ada dua jenis ruh. Satu dinamakan ‘roh hayat’ dan satu lagi ‘roh kesedaran’. Apabila kita tidur, hanya roh kesedaran kita sahaja yang diambil.

Tetapi kita tidak mati lagi kerana ruh hayat masih ada lagi. Oleh kerana bukan semua roh diambil, maka perkataan يَتَوَفَّاكُم digunakan. Iaitu ianya dalam bentuk isim fa’il. Allah menyebut bahawa Allah menidurkan kita seperti juga difirmankan dalam ayat Zumar:42.

Kalimah اللَّيْلِ ‘Malam hari’ disebut dalam ayat ini kerana kebiasaannya manusia akan tidur waktu malam. Fitrah manusia memerlukan tidur di malam hari. Kalau kita tidak tidur di malam hari, maka kita telah melawan fitrah yang Allah telah jadikan untuk manusia. Jadi, kalau malam tak tidur, maka akan ada masalah di siang hari nanti.

Malangnya, ramai yang tidur lambat di malam hari sampaikan mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada siang hari. Ada yang buang masa dengan bermain game, ada yang clubbing dan sebagainya. Lainlah kalau dia beribadat, barulah ada faedah untuknya. Tapi, kalau qiyamullail pun, sunnah mengajar kita bagaimana Nabi pun tidur sebelum baginda bangun mengerjakan solat malam.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa tidur itu diberi oleh Allah. Tidur itu pun suatu nikmat juga. Kalau Allah tak berikan kita nikmat tidur walaupun di malam hari, maka kita pun tidak dapat tidur. Pusinglah macam mana pun, tapi kita tidak dapat tidur.

Kita tidak dapat kawal sepenuhnya tidur kita. Kadang-kadang kita hendak sangat tidur tapi tak boleh nak tidur. Tapi, kadang-kadang kita tak mahu tidur, tapi Allah tidurkan juga kita. Sebagai contoh, kita sedang memandu tapi keadaan mengantuk sangat. Entah berapa ramai yang tertidur semasa sedang memandu itu.

Jadi, kalau kita ada masalah dengan tidur kita, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah untuk memperbetulkannya. Kerana tidur itu dikawal oleh Allah. Kita mintalah kepada Allah untuk memberi nikmat tidur kepada kita.

Kalau kita tidak dapat tidur di malam hari, mungkin itu bermakna Allah hendak kita solat dan berdoa kepadaNya. Mungkin waktu itulah kalau kita berdoa, doa itu akan dimakbulkan. Daripada berpusing-pusing atas katil tidak boleh tidur, baik kita bangun untuk solat, baca Qur’an dan berdoa kepadaNya.

Maka Allah hendak memberitahu yang Dia boleh ‘matikan’ kita di malam hari, Allah boleh ambil roh kita bagaimana Dia kehendaki. Maka Allah tentu sahaja boleh matikan kita terus dan jadikan Kiamat sebagaimana kehendak Dia.

وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ

dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari,

Tadi Allah ceritakan tentang malam. Sekarang tentang siang pula. Apa sahaja yang kita lakukan pada siang hari, Allah mengetahui mengenainya. جَرَحْتُم dari katadasar ج ر ح yang asalnya bermaksud ‘memberi luka kepada seseorang’.

Dalam ayat ini boleh bermaksud ‘perbuatan yang dilakukan oleh seseorang’. Macam-macam perbuatan yang kita lakukan sepanjang hari. Perbuatan itu boleh jadi perbuatan yang baik dan boleh jadi perbuatan yang jahat.

Jadi, Allah tahu segala-galanya yang kita lakukan sepanjang hari kita. Oleh itu hendaklah kita memikirkan apakah yang kita lakukan sepanjang hari dari pagi sampai ke malam. Adakah ia sesuatu yang buang masa sahaja atau adakah ianya sesuatu yang akan beri manfaat kepada kita di hari akhirat nanti? Tidakkah kita malu yang Allah sedang memerhatikan perbuatan kita itu kalau perbuatan kita itu menjemput dosa?

ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ

kemudian Dia membangunkan kamu padanya (siang hari)

Apabila kita telah tidur di malam hari, apabila siang, Allah akan bangunkan kita. Bangun di siang hari juga adalah satu nikmat. Kerana ada yang Allah tidak bangunkan kita. Sebab itu kita diajar untuk mengucapkan syukur apabila kita bangun dari tidur.

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.

Waktu siang memang waktu untuk berjaga. Sebab itu adalah amat susah untuk kita tidur pada siang hari. Sudahlah cahaya terang, bunyi pula bising. Memang keadaan yang tidak sesuai kalau hendak tidur. Kecuali kalau kita penat sangat atau kita tidak sihat.

Tujuan apa Allah hidupkan kita balik di pagi hari?

لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى

untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan,

Masa kita daripada kita mula lahir sampai kita mati telah ditetapkan oleh Allah. Itulah yang dinamakan ‘ajal’. Ajal itu bermaksud masa yang telah ditetapkan dari saat kita lahir sampailah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kita akan memenuhkan masa itu. Selagi belum sempurna masa itu, Allah akan beri kita bangun dari tidur lagi.

Kalimah لِيُقْضَىٰ bermaksud ‘untuk disempurnakan’. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukan untuk disia-siakan. Ada tujuan kita hidup ini dan ianya hendaklah disempurnakan.

Satu persoalan: memang kita tahu tujuan dan tugas kita di dunia ini. Iaitu untuk menjadi hamba Allah dan beribadat kepadaNya. Tapi BAGAIMANA kita memenuhi tanggungjawab itu? Sepanjang kita hidup dari pagi sampai ke malam hari, adakah kita buat sesuatu untuk mencapai tujuan hidup kita itu?

ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Allah-lah kamu kembali,

Sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan dimatikan dan akan dikembalikan kepada Allah. Samada kamu bersedia atau tidak. Samada kamu muda atau tua. Ajal tidak mengenal usia. Kita bila-bila masa sahaja boleh mati. Kerana kita tidak tahu bilakah saat kita akan mati.

Maka, hendaklah kita bersedia setiap masa. Entah-entah sekejap lagi kita akan mati. Maka sampai satu masa, Allah akan matikan semua makhluk dan semuanya akan kembali mengadap Allah.

ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Kalimah يُنَبِّئُكُم dari perkataan naba’ yang bermaksud ‘maklumat-maklumat yang penting’. Allah tahu segala-galanya yang kita telah lakukan dalam hidup kita. Dari kita lahir sampai kita mati. Kita sendiri lupa semua yang kita lakukan tetapi Allah tidak lupa.

Kalau setakat semalam dan pagi tadi, mungkin kita masih ingat lagi, tapi apakah yang terjadi semasa kita berumur 20 tahun? Allah tahu segala apa yang kita telah lakukan dan hari akhirat nanti Allah akan memberitahu kepada kita apakah nilai perbuatan perbuatan tersebut. Dan Allah akan balas, samada dengan kebaikan atau dengan keburukan, bergantung kepada apakah amalan itu.

Ini bermakna, bukan sia-sia sahaja kita dibangkitkan kelak. Bukan untuk suka-suka, tapi akan dibentang apakah yang kita telah lakukan.

‘Yang dahulu kamu kerjakan’: ini bermakna, ‘pahala pos’ tiada. Pahala sedekah tidak ada. Hanya apa yang kita lakukan sahaja. Beratus kali ayat ada macam ini. Sebab nak beritahu kepada kita bahawa memang tidak ada sedekah pahala. Maka, amalan tahlil untuk sedekah pahala itu adalah sia-sia, kerana tidak sampai.

Dan amatlah sia-sia apabila kita dengar sahaja orang mati, ramai yang terus otomatik sebut: ‘Al-fatihah’. Mereka yang buat macam itu berniat hendak menghadiahkan pahala bacaan fatihah itu kepada simati. Tapi itu bukan dari ajaran Islam dan ianya adalah amalan sia-sia.

Allah ceritakan balik apa yang kita telah lakukan itu bukan sengaja nak cerita, tapi Allah hendak mengadili dan akan hukum segala perbuatan kita itu.


Ayat 61: Takhwif Ukhrawi.

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ

Sahih International

And He is the subjugator over His servants, and He sends over you guardian-angels until, when death comes to one of you, Our messengers take him, and they do not fail [in their duties].

Malay

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan mutlak di atas semua hamba-Nya,

Ini kali kedua perkataan الْقَاهِرُ digunakan. Mungkin pada kali pertama ianya disebut dalam surah ke 18, kita tidak nampak kekuasaan Allah itu. Maka dalam ayat-ayat selepas ayat ke 18 itu, Allah telah memberikan berbagai-bagai dalil tentang kekuasaan Allah. Dan sekarang Allah mengulang lagi perkataan الْقَاهِرُ  dan kali ini kita sepatutnya semakin faham.

Allah boleh buat apa sahaja dengan makhlukNya kerana Allah ada hak keatas kita. Kekuasaan atas kita adalah mutlak. Tidak boleh dikalahkan tidak boleh dihalang. Kita pun ada kuasa ke atas sesuatu, tapi kekuasaan kita tidak mutlak.

Contohnya, kita ada hak kuasa ke atas anak-anak kita, tapi kita tak boleh suruh mereka buat apa yang mereka tak mahu buat. Atau kita tidak ada kuasa untuk suruh mereka lakukan perkara yang maksiat.

Dan kita tidak boleh kawal perasaan mereka. Sebagai contoh, kalau kita suruh jadi sedih, jadi gembira, mereka tak boleh terus nak dapatkan perasaan itu. Tapi, kekuasaan Allah ke atas kita adalah mutlak. Allah boleh buat apa sahaja kepada kita.

وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً

dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga,

Allah memberikan kepada kita malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Ada beberapa makna yang kita boleh ambil dari maksud ‘malaikat penjaga’ itu.

Pertamanya, ianya bermaksud kita sentiasa diawasi. Seperti yang disebut dalam Ayat Infithar:10-11.

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
كِرَامًا كَاتِبِينَ
yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),

Ini bermakna, ada malaikat Hafazah yang ditugaskan untuk menulis setiap perbuatan kita. Lihat pula ayat Qaf: 17-18.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
(yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Ayat dari surah Qaf itu memberitahu kepada kita bahawa malaikat-malaikat itu bukan hanya menulis apa yang kita buat tetapi apa yang kita cakap pun. Mereka duduk di kiri dan kanan kita.

Ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam perbuatan dan percakapan kita. Kadang-kadang kita membuang masa dengan bercakap dan melakukan perkara yang lalai sahaja. Masa yang telah diberikan kepada kita hilang begitu sahaja. Alangkah malunya nanti apabila setiap percakapan kita dan tulisan kita di Facebook dan di twitter dibentangkan kepada semua manusia untuk dilihat. Apa yang ada hanyalah perkara sia-sia sahaja.

Ada hadis dalam Sahih Bukhari yang meceritakan bagaimana ada malaikat yang berada bersama kita bergilir-gilir. Mereka berkumpul pada waktu fajar dan asar. Mereka kemudian akan naik bertemu Allah. Allah bertanya kepada mereka bagaimana mereka meninggalkan kita.

حدثنا عبد الله بن يوسف، قال حدثنا مالك، عن أبي الزناد، عن الأعرج، عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ‏”‏ يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر، ثم يَعرج الذين باتوا فيكم، فيسألهم وهو أعلم بهم كيف تركتم عبادي فيقولون تركناهم وهم يُصلون، وأتيناهم وهم يُصلون ‏”‏‏.‏

522. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah telah menceritakan kepada kami Malik dari Abu Az Zinad dari Al A’raj dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu salat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang bermalam di kalangan kamu naik. Lalu Allah Ta’ala bertanya kepada mereka, dan Allah lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu?‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan salat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan salat’.”

Bayangkan kalau waktu Asar itu kita hanya sibuk dengan kerja-kerja kita tanpa melakukan solat Asar? Bayangkan kalau waktu Subuh itu kita sedang tidur? Tidak malukah kita kalau malaikat-malaikat itu melaporkankan kepada Allah tentang keadaan diri kita yang leka dalam beribadah kepadanya?

Selain daripada mengawasi apa yang kita lakukan, malaikat Hafazah itu ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman dari dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita. Tidak boleh nak masuk dalam badan kita. Kalau tidak ada malaikat yang jaga kita, sudah lama jin akan ganggu kita.

Tapi, apabila buat syirik sahaja, tiada penjagaan dah. Apabila kembali kepada tauhid, jin dan syaitan kembali tidak boleh ganggu kita dah. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu kena kacau dengan hantu, boleh nampak hantu dan sebagainya, apabila mereka kembali belajar tauhid, tiada lagi hantu yang kelihatan. Itu adalah kerana hantu sudah tidak boleh mengganggu mereka dah.

Lihat ayat Rad:11.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Selain dari menjaga kita dari gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti dari kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat.

Tapi begitulah Allah telah tugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum sampai habis ajal kita, selagi itu kita akan diselamatkan dari kematian.

Lihat juga ayat at-Tariq: 4.

إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
tidak ada suatu jiwapun (diri) melainkan ada penjaganya.

Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.

Sebenarnya Allah yang menjaga kita tetapi Allah telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah kepada kita sampai Allah menghantarkan Malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Bukan seorang malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi banyak malaikat diberikan kepada manusia itu.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,

Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun dah habis dah. Waktu itulah kalau kemalangan, maka itulah sebab kematian kita.

تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا

ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami,

Kemudian, ada pula Malaikat yang diwakilkan untuk ambil nyawa kita. Lihat Ayat Sajdah:11.

۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.

Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah sahaja. Dan daripada Hadis kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jikalau kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik kita dengan ganas kalau kita roh yang jahat.

وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya.

Malaikat yang telah ditugaskan itu tak boleh nak cepat atau lewatkan apa-apa arahan kepada mereka. Mereka hanya turut perintah Allah sahaja. Mereka tidak akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka taat dan tidak akan terima rasuah dari manusia.

Malaikat-malaikat itu tidak akan memberi belas kasihan sedikit pun kepada mereka yang tidak layak. Walaubagaimana kuat dan bagaimana cara pun kita merayu kepada malaikat-malaikat itu untuk memberi belas kasihan kepada kita. Malaikat-malaikat itu langsung tidak akan menangguhkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah.

Ayat ini mengingatkan kepada kita supaya tidak leka dan lalai dalam menjalankan tugas dan ibadat kita. Jangan kita tunggu-tunggu untuk membuat benda-benda yang baik. Jadilah kita seperti malaikat itu yang tidak lalai dalam menjalankan perintah Allah. Jangan kita kata nak buat esok, nak buat minggu depan, nak buat bulan depan, nak buat tahun depan dan sebagainya.

Kalau benda itu baik, hendaklah kita lakukan terus. Kalau solat, hendaklah kita dirikan solat itu dalam waktunya. Kerana kita pun sebenarnya tak tahu samada kita akan terus hidup petang nanti. Lalu bagaimana kita akan yakin yang kita ada masa untuk membuat perkara-perkara yang kita sepatutnya lakukan itu? Oleh itu, jangan tangguh.


Ayat 62: Selepas mereka dimatikan, apa yang akan berlaku kepada mereka?

ثُمَّ رُدّوا إِلَى اللهِ مَولٰهُمُ الحَقِّ ۚ أَلا لَهُ الحُكمُ وَهُوَ أَسرَعُ الحٰسِبينَ

Sahih International

Then they His servants are returned to Allah, their true Lord. Unquestionably, His is the judgement, and He is the swiftest of accountants.

Malay

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللهِ

Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah,

Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah satu persatu. Tidak ada sesiapa pun yang akan tinggal di dunia ini selama-lamanya. Moyang kita mati, datuk kita mati, kemudian ayah kita mati dan kita pula mati – satu persatu kita semua akan mati. Oleh, apabila kita lihat orang yang kita kenal mati, samada sahabat kita atau kawan-kawan kita, maka ketahuilah bahawa masa kita mungkin tidak lama lagi.

Apabila kita telah mati, kita akan dibawa di hadapan Allah untuk dipertimbangkan hisab amalan kita. Bukanlah kita akan berjalan-jalan keliling dunia ataupun dikembalikan ke dalam tubuh badan yang lain, bukan. Itu adalah fahaman sesat agama agama lain seperti agama Buddha yang ada fahaman reincarnation. Kita akan dikembalikan kepada Allah sebenarnya. Dan akan ditanya apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia dahulu.

مَوْلٰهُمُ الْحَقِّ

Pemelihara, penjamin, penjaga mereka yang sebenarnya.

Wali yang selain Allah bukanlah pelindung yang sebenarnya. Sebelum ini telah disebut tentang malaikat yang menjaga keselamatan kita. Dalam ayat ini Allah menekankan bahawa sebenarnya Allah lah yang menjaga kita. Allah cuma wakilkan sahaja kepada malaikat-malaikat itu. Hakikatnya Allah lah yang menjaga kita.

Maula juga bermaksud ‘tuan punya’. Allah lah tuan punya kita yang sebenarnya. Malangnya, di dunia ini ramai antara kita menjadi hamba kepada harta benda, perempuan, pangkat dan sebagainya. Sepatutnya Allah lah maula kita yang sebenarnya yang perlu kita penuhi tuntutanNya.

أَلَا لَهُ الْحُكْمُ

Ketahuilah! bahwa segala hukum kepunyaan-Nya.

Allah beritahu kepada kita bahawa pada hari akhirat nanti hanya Allah sahaja yang akan menjadi hakim dan berhukum kepada kita. Tidak ada yang lain. Keputusan di dalam tangan Allah.

Sesiapa yang taat kepada Allah, mereka akan berjaya. Sesiapa yang tidak taat kepada Allah, maka mereka akan mendapat nasib buruk.

وَهُوَ أَسْرَعُ الْحٰسِبِينَ

Dan Dialah Pembuat Perhitungan yang paling cepat.

Di Mahsyar Allah akan mengambil masa separuh hari sahaja untuk menyelesaikan perhitungan hisab amal manusia. Ini disebut dalam hadis walaupun begitu punya ramai makhluk pada waktu itu. Iaitu setelah Allah memulakan hisab amal. Kerana sebelum perhitungan hisab amal itu dijalankan, semua makhluk akan lama menunggu di Mahsyar nanti. Tapi apabila sudah dimulakan, masa yang diambil sekejap sahaja iaitu separuh hari sahaja.

Itu bermakna Allah cepat sekali menjalankan hisab amal itu. Kalau dalam dunia ini kita mengambil masa yang lama untuk audit sesuatu company sampaikan berhari-hari. Dalam dunia ini banyak orang tugasnya menghitung kira-kira seperti akauntan contohnya. Juga ada banyak software yang membuat kira-kira dalam syarikat.

Tapi apabila Allah telah mula mengambil ‘akaun’ kita, ianya tidak mengambil masa yang lama. Masa ini hanya daripada pagi sampai ke waktu zuhur sahaja. Cuba bayangkan semua makhluk dari yang mula kejadian sampaikan ke hari Kiamat, akan bangun serentak. Tak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk waktu itu. Tapi Allah akan selesaikan perhitungan hisab amal semua sekali dalam masa separuh hari sahaja.

Perhitungan itu juga bermula dengan cepat. Ada dua jenis perhitungan: satu semasa di Mahsyar dan satu lagi apabila kita masuk sahaja ke dalam kubur. Bila kita masuk dalam kubur sahaja, kita telah disoaljawab oleh malaikat munkar dan nakir. Malaikat yang dua itu akan datang dengan tiba-tiba dan akan terus tanya kepada kita. Tidak beri peluang untuk tinggal lama dalam kubur.

Soalan-soalan yang akan ditanya pun kita dah tahu. Kalau kita beriman, maka kita akan senang untuk menjawab soalan-soalan daripada malaikat-malaikat itu. Tapi kalau kita bukan Muslim sejati, iaitu kalau kita seorang munafik, kita akan ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu. Begitu juga kepada orang-orang kafir dan musyrik, langsung tidak boleh menjawab.


Ayat 63: Dalil Aqli Iktirafi. Orang Mekah pun terima akidah ini.

قُل مَن يُنَجّيكُم مِّن ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ تَدعونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفيَةً لَّئِن أَنجٰنا مِن هٰذِهِ لَنَكونَنَّ مِنَ الشّٰكِرينَ

Sahih International

Say, “Who rescues you from the darknesses of the land and sea [when] you call upon Him imploring [aloud] and privately, ‘If He should save us from this [crisis], we will surely be among the thankful.’ “

Malay

Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”.

قُلْ مَن يُنَجِّيكُم

Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu

Allah tanya siapa lagi yang boleh selamatkan kita? Ini adalah soalan dalam bentuk retorik. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh menyelamatkan kita melainkan Allah.

مِّن ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dari kegelapan di darat dan di laut,

Kadang kita di dalam keadaan gelap, siapakah yang dapat menyelamatkan kita apabila tiada cahaya untuk membantu kita? Contohnya dalam kegelapan malam yang kita tak nampak apa-apa. Tiba-tiba ada orang yang serang kita. Siapakah lagi yang dapat membantu kita waktu itu?

Atau kita berada dalam kegelapan gua. Tiba-tiba gua itu bergegar nak runtuh. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita? Begitu juga dalam kegelapan di lautan. Kita dalam kapal di laut lepas. Laut bergelombang, suasana gelap, tak nampak daratan atau kapal-kapal yang lain – siapa yang dapat selamatkan kita waktu itu? Ini adalah makna literal dari maksud ‘kegelapan’ itu.

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘kegelapan’ dalam ayat ini adalah sebagai isyarat. Iaitu kesusahan yang dialami oleh manusia semasa di darat dan lautan. Kalau begitu, ia boleh bermaksud apa-apa sahaja kesusahan. Sebagai contoh, dalam keadaan bumi sedang bergegar, hujan turun yang tidak berhenti-henti, diserang belalang yang memakan tanaman kita dan sebagainya.

Dan kalau di lautan, berbagai-bagai kesusahan yang lebih teruk lagi – seperti ombak yang memukul kapal kita, iceberg yang besar, taufan, tsunami dan lain-lain lagi.

تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

kamu berdoa kepada-Nya sahaja dengan rendah diri dengan suara yang lembut

Waktu kita sedang dalam kesusahan itu, kita hanya sebut Allah sahaja. Samada kafir atau Islam, sama-sama akan memohon pertolongan kepada ‘Tuhan yang satu’. Berdoa pula dengan suara yang perlahan dan berharap sangat.

Kepada yang kafir, mereka akan terus kata ‘o My God’. Tak sempat dah nak sebut tuhan lain – tak sempat nak sebut Jesus, Siva, Guru Nanak, Buddha dan sebagainya.

Kepada puak Islam yang buat tawasul, dah tak sempat nak seru wali, malaikat, Nabi mana-mana dah. Tak sempat nak buat tawasul dah. Tak sempat nak sebut ‘ila hadratin’ lagi dah. Waktu itu baru mereka terus berdoa kepada Allah secara direct sahaja.

Kalimah تَضَرُّعًا bermaksud mereka akan merendahkan diri mereka di hadapan Allah. Mereka waktu itu amat sedar tentang kerdilnya diri mereka. Mereka dah rasa mereka tidak ada kuasa lagi dah. Dan waktu itu mereka mengharap sangat kepada Allah. Waktu berdoa itu, mereka sungguh-sungguh berdoa. Mereka amat khusyuk dalam doa mereka.

Kalimah تَضَرُّعًا juga bermaksud mereka menyebut nama Allah dalam doa itu dengan suara yang jelas. Kerana dibandingkan dengan perkataan خُفْيَةً yang bermaksud mereka berdoa dalam hati mereka. Maksudnya mereka berdoa dengan suara yang jahr (ada suara) dan dalam hati dan minda mereka juga.

Ini mengajar kita bahawa kalau kita berdoa kepada Allah dengan merendahkan diri kepadaNya, maka Allah akan membantu kita. Walaupun yang berdoa itu seorang kafir tetapi kalau dia merendahkan diri, Allah akan membantunya juga.

Kalimah خُفْيَةً bermaksud mereka berdoa dengan amat ikhlas sekali – kerana mereka berdoa tanpa keluar suara atau suara yang amat lembut sekali sampai orang di sebelah pun tak dengar. Itu adalah doa yang ikhlas. Kerana kalau kita doa dengan suara yang orang boleh dengar, ada kemungkinan kita nak menunjuk, nak riak sahaja. Tapi apabila خُفْيَةً digunakan, bermaksud mereka memang doa dengan tulis ikhlas.

Ada orang yang malu hendak berdoa kepada Allah kerana mereka tak biasa doa. Jadi mereka malu nak berdoa dengan suara yang orang boleh dengar. Maka, mereka akan berdoa dalam keadaan خُفْيَةً, dengan lemah lembut, tanpa suara.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita dibolehkan untuk berdoa kepada Allah sama ada dengan suara yang kuat dan juga suara yang lembut. Kita memang tidak perlu berdo’a dengan suara yang kuat kerana Allah memang mampu mendengar suara kita.

Tetapi kita dibenarkan juga untuk berdoa dengan suara yang boleh didengari. Tapi bukanlah dengan suara yang menjerit-jerit. Sebagai contoh, ada masanya kita doa beramai-ramai. Waktu itu, kita kena jelaskan suara kita supaya orang lain boleh dengar. Sebab kalau tidak didengari, tidak tahu apakah doa itu. Ini penting kerana seseorang yang berdoa mewakili orang lain perlulah menguatkan suaranya supaya didengari oleh orang lain.

Kita yang meng’amin’kan doa itu pun kena dengar juga apa yang dibaca. Supaya kita dapat pastikan yang doa itu tidak dalam bentuk doa yang syirik atau yang melibatkan perbuatan tawasul.

Kadang-kadang kita dengar doa yang dibaca oleh imam pun memusykilkan. Mereka baca dalam bahasa Arab, jadi ramai yang tidak faham. Maka, ada yang baca doa dimulakan dengan tawasul. Itu sudah salah. Dan ada yang memulakan doa mereka dengan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah – itu ada dua jenis selawat yang syirik kepada Allah. Maka, kalau ada orang yang berdoa seperti itu, maka jangan kita aminkan sekali.

لَّئِنْ أَنجٰنَا مِنْ هَٰذِهِ

(dengan mengatakan: “Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini,

Mereka amat berhadap semoga Allah menyelamatkan mereka.

لَنَكُونَنَّ مِنَ الشّٰكِرِينَ

tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur””.

Barulah mereka nak jadi orang yang baik, mulalah nak sembahyang, barulah rasa nak buat baik, rasa nak belajar agama dan macam-macam lagi perkara yang baik-baik.  Itulah maksudnya mereka nak jadi ‘orang yang bersyukur’.

Kalau musyrikin Mekah yang sebut, maksud ‘syukur’ dalam ayat ini adalah bermaksud ‘tauhid’. Kalau mereka diselamatkan, mereka berjanji yang mereka akan mengamalkan tauhid sahaja tidak sembah selain Allah. Mereka akan seru Allah taala sahaja.

Iaitu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan. Mereka nak hargai apa yang Allah telah berikan. Kalau sebelum ini, mereka buat tak kisah sahaja. Mereka tidak jaga solat, mereka tidak pergi haji walaupun mereka mampu dan sebagainya. Mereka dulu lalai dalam menjalankan perintah agama.

Tapi sekarang, dalam mereka berdoa kepada Allah sambil mengharap kepadaNya, mereka berjanji nak jaga perintah agama.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s