Tafsir Surah Ibrahim Ayat 25 – 28 (Kalimah yang buruk)

Ibrahim Ayat 25: Dalam ayat sebelum ini telah diberi perumpamaan Kalimat yang baik seperti pokok yang baik. Kalau pokok itu baik, tentu buahnya banyak.

تُؤتي أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها ۗ وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It produces its fruit all the time, by permission of its Lord. And Allāh presents examples for the people that perhaps they will be reminded.

(MELAYU)

pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

 

تُؤتي أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها

pohon itu diberikan rasanya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.

Pokok yang baik itu berbuah setiap masa daripada hasil yang baik. Ini memberi isyarat kepada amalan baik seseorang yang baik itu akan keluar dengan banyak daripadanya. Amalan itu akan menjadi baik, berfaedah dan banyak. Ini adalah kerana amalan yang baik menjadikan banyak amalan yang baik lagi. Bila kita mula membuat amalan baik, ia akan menjadi pemangkin kepada amalan baik yang lebih baik – maknanya, kena mulakan buat amal dulu. Jangan terus fikirkan buat amalan yang banyak, tetapi mulalah buat sikit-sikit dan istiqamah dalam amalan yang sedikit itu. Kemudian tambah sedikit demi sedikit.

Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan كُلَّ حينٍ ialah setiap pagi dan petang. Menurut pendapat lain, setiap bulan, sedangkan pendapat lainnya mengatakan setiap dua bulan. Pendapat lain menyebutkan setiap enam bulan, ada yang mengatakan setiap tujuh bulan, ada pula yang mengatakan setiap tahun.

Makna lahiriah konteks ayat menunjukkan bahawa perumpamaan orang mukmin sama dengan pohon yang selalu mengeluarkan buahnya setiap waktu, baik di musim panas mahu pun di musim dingin, siang dan malam hari. Begitu pula keadaan seorang mukmin, amal solehnya terus-menerus diangkat (ke langit) baginya, baik di tengah malam mahu pun di siang hari, setiap waktu.

Apabila dalaman kita baik, amalan luaran turut menjadi baik dan apa yang dibuat adalah baik belaka. Sampaikan kalau tidur pun boleh dapat pahala kerana buat dengan cara sunnah. Dalam tidur pun akan mendapat pahala kerana kita niat untuk rehat demi menguatkan badan untuk buat amalan kebaikan. Oleh itu, semua perbuatan mereka akan menghasilkan pahala sahaja. Itulah seperti pokok yang tidak bermusim – sentiasa keluarkan buah sahaja tidak kira waktu.

Semua itu pun dengan izin Tuhan juga. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang pimpin kita ke arah kebaikan, kita pun tidak mungkin mampu menjadi baik. Samalah seperti pokok yang mengeluarkan buah yang banyak itu pun kerana izin Allah ﷻ juga. Maka kalau kita dapat beramal dengan amalan yang baik-baik, itu pun kena bersyukur kepada Allah ﷻ kerana Dia yang benarkan dan pimpin kita.

 

وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Allah ﷻ gunakan contoh pokok untuk beri kita faham. Kerana kita semua dapat melihat pokok, maka bila kita lihat pokok, mudah untuk faham. Perumpamaan pokok itu memang tepat, kerana pokok ambil masa untuk menjadi besar – bukannya ditanam terus tumbuh tinggi, bukan?

Begitu juga kita, bukan terus menjadi baik. Proses pembaikan diri kita pun ambil masa juga, bukannya belajar, terus jadi baik. Begitulah juga para sahabat dahulu, mereka pun melalui proses pembaikan, bukan terus jadi baik. Nabi ﷺ pun ambil masa juga untuk beri petunjuk kepada mereka.

Namun jangan lupa, apabila sudah besar pun pokok itu, masih lagi pokok itu memerlukan air dan baja juga lagi. Begitulah juga dengan kita. Sebagaimana pokok sentiasa memerlukan air, maka kita pun sentiasa perlukan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Walaupun sudah belajar tafsir Al-Qur’an, masih tetap kena tadabbur juga ayat-ayat Al-Qur’an itu selalu.


 

Ibrahim Ayat 26: Sekarang tentang kalimat yang buruk pula.

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبيثَةٍ اجتُثَّت مِن فَوقِ الأَرضِ ما لَها مِن قَرارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the example of a bad word is like a bad tree, uprooted from the surface of the earth, not having any stability.

(MELAYU)

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.

 

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبيثَةٍ

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk,

Sekarang tentang kalimah yang buruk pula – ini termasuk kalimah syirik, kata-kata ke arah akidah rosak, atau kata-kata yang tidak elok, kata-kata yang dosa, dan benda-benda lain yang tidak baik. Itulah kata-kata yang Allah ﷻ tidak suka dan merosakkan kita.

Allah ‎ ﷻ beri perumpamaan: kata-kata itu adalah seperti pokok yang buruk. Sebagai contoh, kita boleh bayangkan pokok berduri. Ada riwayat yang mengatakan ia adalah pokok Hanzal atau Colocynth.

Nota: potongan ayat ini dan sambung dengan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

اجتُثَّت مِن فَوقِ الأَرضِ

yang tercabut dari permukaan bumi;

Ia adalah jenis pokok yang tidak ada akar yang kuat. Jenis pokok yang duduk atas tanah dan hanya tumbuh di permukaan bumi. Kalau pokok jenis begitu, memang tidak ada kekuatan. Apabila ditiup angin kuat sahaja sudah boleh tercabut macam pokok kacang cambah. Kalimah اجتُثَّت daripada katadasar ج ث ث yang bermaksud memotong; mencabut; tarik keluar; koyak. Ini adalah perumpamaan kepada akidah dan pegangan fahaman kafir, ia tidak mempunyai dasar yang kukuh dan oleh itu ia senang dipatahkan.

Keduanya, apabila ia rendah, dekat dengan tanah, maka ia senang untuk dicemari dengan kotoran tanah. Untuk pokok seperti kurma, ia tinggi maka ia selamat daripada gangguan dan kekotoran. Begitulah akidah orang kafir yang senang berubah-ubah kerana mendapat gangguan daripada kekotoran alam. Senang mengambil amalan dan akhlak yang buruk dari dunia luar. Lihatlah bagaimana homoseksual senang menyelinap masuk ke dalam agama Kristian contohnya, sampaikan ada paderi dalam kalangan gay dan perkahwinan sesama jenis dibenarkan di dalam agama itu. Mereka ini ikut sahaja kehendak nafsu manusia.

Ketiganya, buah hasil daripada pokok sebegini tidak ada nilai. Maka kerana itulah hasil daripada fahaman dan akidah yang sesat tidak ada nilai. Mereka menjadi orang yang tidak ada akhlak, mengganggu orang lain dan berlaku zalim kepada manusia.

 

ما لَها مِن قَرارٍ

tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.

Ia adalah pokok yang tidak tegap, tidak stabil. Tidak ada yang dapat menegakkannya. Senang dicabut malah dibuang orang kerana ia tanaman yang tidak ada manfaat. Ini isyarat kepada Musyrikin Mekah, mereka itu tidak ada apa-apa pun, tunggu masa untuk dibuang sahaja. Allah ‎ﷻ juga perli mereka dengan mengatakan mereka itu tidak ada apa, dan amat senang sahaja untuk dibuang. Yakni tidak ada landasan dan tidak ada keteguhan baginya.

Demikian pula halnya orang-orang kafir, mereka tidak mempunyai pokok, tidak pula cabang, tiada suatu amal pun daripadanya yang dinaikkan (diterima), dan tiada sesuatu pun yang diterima daripadanya.


 

KALIMAH YANG KUKUH

Ibrahim Ayat 27: Ini pula tentang kelebihan yang diberikan kepada orang yang beriman.

يُثَبِّتُ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا بِالقَولِ الثّابِتِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللهُ الظّٰلِمينَ ۚ وَيَفعَلُ اللهُ ما يَشاءُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh keeps firm those who believe, with the firm word,¹ in worldly life and in the Hereafter.² And Allāh sends astray the wrongdoers. And Allāh does what He wills.

  • The testimony that there is no deity except Allāh and that Muḥammad () is the messenger of Allāh.
  • When questioned in their graves by the angels after death.

(MELAYU)

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah buat apa yang Dia kehendaki.

 

يُثَبِّتُ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا بِالقَولِ الثّابِتِ

Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu

Kepada mereka yang beriman dengan kalimah Tauhid itu, Allah ‎ﷻ akan beri keteguhan hati kepada mereka. Ini dinamakan Robtul Qalbi (ikatan hati) di mana hati mereka tidak goyah lagi dan tetap atas iman, walau apa pun yang terjadi. Syaratnya adalah mereka bukan sahaja menyebut, tetapi memahami dan mengamalkannya. Keteguhan inilah yang kita dambakan seperti yang disebut di dalam hadith,

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، أَخْبَرَنِي عَلْقَمَةُ بْنُ مَرْثَد قَالَ: سَمِعْتُ سَعْدَ بْنَ عُبَيْدَةَ، عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “اَلْمُسْلِمُ إِذَا سُئِلَ فِي الْقَبْرِ، شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ}
Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Walid, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, telah menceritakan kepadaku Alqamah ibnu Marsad; dia pernah mendengar Sa’d ibnu Ubaidah menceritakan hadith daripada Al-Barra ibnu Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Orang Muslim apabila ditanya di dalam kuburnya, dia mengemukakan persaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah‎ ﷻ, dan bahawa Muhammad ﷺ adalah utusan Allah‎ ﷻ. Yang demikian itu adalah firman-Nya, “Allah ‎meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (Ibrahim: 27).
(Sahih Bukhari (4699))

Beginilah yang dialami seperti Bilal bin Rabah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tetap teguh imannya walaupun diseksa dengan dihempap batu di atas dadanya di tengah panas terik; begitulah juga tetap teguhnya hati Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda sedang menyembunyikan diri bersama Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ di dalam Gua Thur. Baginda telah menenangkan Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang ketakutan waktu itu seperti disebut dalam Tawbah: 40

إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا
di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”.

 

فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ

dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; 

Mereka yang beriman itu akan ditetapkan di dunia dan akhirat. Allah ‎ﷻ akan teguhkan mereka di dunia dan akhirat. Di dunia lagi mereka sudah diberikan ketetapan hati di atas iman yang tidak boleh digoyah. Mereka hidup dengan tenang sahaja di dunia ini kerana mereka redha dengan ketentuan daripada Allah ﷻ.

Bukan sahaja di dunia tetapi lebih penting lagi di akhirat. Keteguhan di akhirat lebih penting dari dunia kerana akhirat itu lebih lama. Malangnya ramai antara kita lebih mementingkan dunia daripada akhirat kerana tidak nampak kepentingan akhirat. Lalu bagaimana ketetapan itu diberikan semasa di akhirat?

Ia bermula bermula daripada mereka hampir hendak mati lagi. Mudah sahaja mereka mengucapkan kalimah Tauhid kerana itu memang telah sebati dengan diri mereka. Mereka tidak takut menghadapi kematian kerana mereka yakin yang mereka telah melakukan yang terbaik semasa mereka hidup di dunia ini. Sebab maut itu dipandangnya hanya perpindahan daripada hidup yang sempit ini kepada hidup yang lebih lapang, iaitu hidup untuk bertemu dengan Tuhan. Tuhan yang telah diakuinya dengan segenap jiwa raganya dan pengorbanannya.

Kemudian apabila mereka ditanya di dalam kubur oleh dua malaikat, mereka akan dapat jawab kerana mereka telah beriman dan beramal soleh semasa di dunia lagi. Sedangkan keadaan itu pastinya amat menakutkan kepada manusia, bukan? Rasulullah ﷺ telah membayangkan keadaan di dalam kubur itu nanti seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya,

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِنَا الطَّيْرُ وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فِي الْأَرْضِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَاهُنَا وَقَالَ وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ قَالَ هَنَّادٌ قَالَ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ رَبِّيَ اللَّهُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ دِينِيَ الْإِسْلَامُ فَيَقُولَانِ لَهُ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ قَالَ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَقُولَانِ وَمَا يُدْرِيكَ فَيَقُولُ قَرَأْتُ كِتَابَ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ { يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا } الْآيَةُ ثُمَّ اتَّفَقَا قَالَ فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ قَدْ صَدَقَ عَبْدِي فَأَفْرِشُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى الْجَنَّةِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ الْجَنَّةِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا قَالَ وَيُفْتَحُ لَهُ فِيهَا مَدَّ بَصَرِهِ قَالَ وَإِنَّ الْكَافِرَ فَذَكَرَ مَوْتَهُ قَالَ وَتُعَادُ رُوحُهُ فِي جَسَدِهِ وَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ لَهُ مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ لَهُ مَا دِينُكَ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيَقُولَانِ مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ فَيَقُولُ هَاهْ هَاهْ لَا أَدْرِي فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ أَنْ كَذَبَ فَأَفْرِشُوهُ مِنْ النَّارِ وَأَلْبِسُوهُ مِنْ النَّارِ وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا إِلَى النَّارِ قَالَ فَيَأْتِيهِ مِنْ حَرِّهَا وَسَمُومِهَا قَالَ وَيُضَيَّقُ عَلَيْهِ قَبْرُهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ فِيهِ أَضْلَاعُهُ زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ قَالَ ثُمَّ يُقَيَّضُ لَهُ أَعْمَى أَبْكَمُ مَعَهُ مِرْزَبَّةٌ مِنْ حَدِيدٍ لَوْ ضُرِبَ بِهَا جَبَلٌ لَصَارَ تُرَابًا قَالَ فَيَضْرِبُهُ بِهَا ضَرْبَةً يَسْمَعُهَا مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ فَيَصِيرُ تُرَابًا قَالَ ثُمَّ تُعَادُ فِيهِ
Daripada Al Bara bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, “Kami bersama Rasulullah ﷺ keluar untuk melihat jenazah seorang lelaki Ansar, kami pun tiba di perkuburan. Ketika lubang lahad telah dibuat, Rasulullah ﷺ duduk, lalu kami ikut duduk di sisinya. Kami diam, seakan-akan di atas kepala kami ada burung. Saat itu baginda memegang sebatang kayu yang ditancapkan ke dalam tanah, baginda lalu mengangkat kepalanya dan bersabda:
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada seksa kubur.” Baginda ucapkan kalimat itu hingga dua atau tiga kali. Demikianlah tambahan dalam hadith Jarir.
Baginda menyambung: “Sungguh, mayat itu akan dapat mendengar bunyi tapak selipar mereka ketika berpaling pulang; iaitu ketika ditanyakan kepadanya, ‘Wahai orang yang ditanya ini,
Siapa Rabbmu?
Apa agamamu?
 Dan siapa Nabimu?’
-Hannad menyebutkan; Baginda bersabda: – “lalu ada dua malaikat mendatanginya kemudian mendudukkannya. Malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Rabbku adalah Allah.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Agamaku adalah Islam.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki ini yang diutus kepada kamu semua?” Dia menjawab, “Dia adalah Rasulullah ﷺ.” malaikat itu bertanya lagi,
“Apa (cara yang kamu lakukan sehingga) kamu ketahui (cara untuk menjawab soalan tadi)?” Dia menjawab,
“Aku membaca Kitabullah, aku beriman (mempelajari) dengannya dan membenarkannya (menyebarkannya).”
Dalam hadith Jarir menambahkan, “Maka inilah makna firman Allah:
“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman…” hingga akhir ayat Ibrahim: 27

Kemudian kedua perawi sepakat pada lafaz, “Baginda bersabda: “Kemudian ada suara dari langit yang menyeru, “Benarlah apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, hamparkanlah permadani untuknya di syurga, bukakan untuknya pintu-pintu syurga dan berikan kepadanya pakaian syurga.” baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya wewangian syurga, lalu kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.”
Baginda melanjutkan:
“Jika yang meninggal adalah orang kafir, maka rohnya akan dikembalikan kepada jasadnya. Saat itu datanglah dua malaikat seraya mendudukkannya. Kedua malaikat itu bertanya,
“Siapa Rabbmu?” Dia menjawab, “Hah, hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya,
“Apa agamamu?” Dia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.” Malaikat itu bertanya lagi,
“Siapa lelaki yang diutus kepada kalian ini? ‘ ia menjawab, “Hah, hah. Aku tidak tahu.”
Setelah itu terdengar suara dari langit: “Dia telah berdusta. Berilah dia hamparan permaidani dari neraka, berikan pakaian dari neraka, dan bukakanlah pintu-pintu neraka untuknya.” Baginda melanjutkan: “Kemudian didatangkan kepadanya panas dan baunya neraka. Lalu kuburnya disempitkan hingga tulangnya saling berhimpitan.”
Dalam hadith Jarir ditambahkan,
“Baginda bersabda: “Lalu dia dibelenggu dalam keadaan buta dan bisu. Dan baginya disediakan sebuah pemukul daripada besi, sekiranya pemukul itu dipukulkan pada sebuah gunung nescaya akan menjadi debu.” Baginda melanjutkan:
“Lelaki kafir itu kemudian dipukul dengan pemukul tersebut hingga suaranya dapat didengar oleh semua makhluk; dari hujung timur hingga ujung barat -kecuali jin dan manusia- hingga menjadi debu.” Baginda meneruskan ceritanya: “Setelah itu, rohnya dikembalikan lagi.”
(H.R. Abu Daud Kitab as Sunnah fil Mas-alati fil Qabri wa ‘Azabil Qabri)

Jadi ini adalah antara dalil adanya nikmat alam kubur iaitu mereka akan diberikan dengan keteguran menjawab soalan di dalam kubur. Kalau dapat jawab dengan mantap, maka apa yang datang selepas itu adalah nikmat belaka. Begitulah keadaan orang yang mempelajari agamanya dengan benar dan balasannya Allah ‎ﷻ beri keteguhan hati kepada mereka. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita dan beri keteguhan kepada kita nanti dari alam kubur dan tentunya sehingga Mahsyar dan juga masuk ke dalam Syurga. Aameen.

Kerana itulah antara doa yang baik kita minta apabila berada pada jenazah yang baru dikuburkan adalah mendoakan semoga simati diberikan ketetapan hati seperti yang disebut di dalam satu hadith,

عن عثمان بن عفان قال
كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا فرغ من دفن الميت وقف عليه فقال استغفروا لأخيكم وسلوا له بالتثبيت فإنه الآن يسأل
Daripada Uthman bin ‘Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata; Nabi ﷺ apabila setelah selesai menguburkan mayit baginda bersabda, “Mintakanlah keampunan untuk saudara kalian, dan mohonkanlah keteguhan untuknya, kerana sesungguhnya sekarang dia sedang ditanya.”
(Sunan Abu Dawud (2804) dengan sanad yang sahih)

Maka, kita boleh berdoa begini,

اللهم ثَبِّتهُ عِندَ السُّؤَال
Ya Allah berilah ketetapan kepadanya ketika disoal

 

وَيُضِلُّ اللهُ الظّٰلِمينَ

dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim

Sedangkan orang yang zalim akan disesatkan oleh Allah ‎ﷻ. Bukan Allah ‎ ﷻ yang hendak mereka sesat dari awal lagi (jangan kita silap faham pula). Akan tetapi Allah ‎ ﷻ membuat keputusan untuk sesatkan mereka setelah mereka sendiri menutup pintu hati mereka dan mereka tetap menentang pendakwah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Maka, ia ada banyak peringkat. Sekiranya bid’ah yang mereka buat itu dalam hal akidah, maka boleh menjadi syirik; jikalau dalam hal amalan, maka ia berdosa.

Kezaliman yang paling besar, ialah kezaliman syirik. Ini seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Secara umumnya, zalim itu ada tiga jenis:

1. Zalim Akbar iaitu Syirik seperti ayat Luqman: 13 di atas.

2. Zalim kepada orang lain dengan tidak memberi haq mereka, atau menindas mereka dan sebagainya.

3. Zalim kepada diri sendiri dengan tidak mengikut arahan agama seperti disebut dalam Fatir: 32

فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ
lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri

Jangan kita buat mana-mana kezaliman pun kerana ia akan menyusahkan kita di akhirat kelak terutama sekali Zalim Akbar itu.

Di dalam ayat ini kita diberitahu yang Allah ﷻ sesatkan mereka yang zalim. Namun kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk tutup hati mereka daripada terima kebenaran. Ini kita telah sentuh tentang Khatmul Qalbi dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang keliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, mak bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf: 29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi dia memilih untuk beriman dan membersihkan hatinya daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams: 8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Maka di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

وَيَفعَلُ اللهُ ما يَشاءُ

dan Allah buat apa yang Dia kehendaki.

Apabila Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk menyesatkan sesiapa, tidak ada sesiapa lagi yang boleh beri hidayah kepada orang itu. Ini adalah keputusan Allah ‎ ﷻ dan tidak ada yang boleh mempersoalkan-Nya. Mana yang Dia hendak masukkan ke dalam neraka, Dia boleh masukkan; mana yang Dia hendak masukkan ke dalam syurga, Dia akan masukkan.

Meskipun Allah ﷻ berbuat apa yang Dia kehendaki, namun sekali-kali tidaklah keluar daripada landasan adil dan patut, sekali-kali tidak Dia melakukan kehendak-Nya dengan aniaya, cuma insan jualah yang selalu zalim (aniaya) akan dirinya sendiri. Kita kena yakin yang Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan melakukan kezaliman.

 


 

BALASAN KEPADA ORANG YANG KUFUR NIKMAT

Ibrahim Ayat 28: Ini adalah Peristiwa Kelima di dalam surah ini dan ia memperkatakan tentang Akhirat. Ayat ini sehingga ke ayat 34 adalah Perenggan Makro ke 6. Ia adalah berkenaan ancaman azab jika tidak bersyukur. Diberitahu di sini yang kaum yang menukar atau membalas nikmat Allah‎ ﷻ dengan kekufuran akan dimasukkan ke tempat yang buruk iaitu Neraka Jahannam.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ بَدَّلوا نِعمَتَ اللهِ كُفرًا وَأَحَلّوا قَومَهُم دارَ البَوَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who exchanged the favor of Allāh for disbelief¹ and settled their people [in] the home of ruin?

  • They met Allāh’s blessing with denial instead of gratitude.

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?,

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ بَدَّلوا نِعمَتَ اللهِ كُفرًا

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran

Ini tentang orang Quraish Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ.

ابْنَ عَبَّاسٍ، ‏{‏أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَةَ اللَّهِ كُفْرًا‏}‏ قَالَ هُمْ كُفَّارُ أَهْلِ مَكَّةَ‏.‏
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata sehubungan dengan makna firman Allah ‎ﷻ: Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah ‎dengan kekafiran. (Ibrahim: 28). Bahawa mereka adalah orang-orang kafir penduduk kota Mekah.
(Sahih Bukhari (4700))

Ini adalah kerana merekalah yang telah menukar nikmat keimanan dengan kekufuran. Seperti yang kita tahu, Musyrikin Mekah telah mendapat banyak nikmat, tetapi mereka tukar nikmat itu yang telah menjadi sebab kepada kekufuran mereka. Mereka berasa selesa kerana dapat duduk senang di kawasan yang tidak senang sepatutnya (padang pasir, tiada air dan tumbuh-tumbuhan), tetapi tempat itu menjadi senang dan mewah kerana ada Ka’bah di situ. Nikmat yang diberikan itu pun adalah kerana doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang akan disebut dalam ayat 35 nanti.

Oleh kerana itu, mereka tinggal dengan aman di situ, makanan senang datang, pergi mana-mana pun orang hormat tidak berani kacau (kerana orang Arab lain hormat dan takut kepada mereka kerana mereka penjaga Ka’bah dan berhala di Mekah). Begitulah Allah ‎ﷻ telah pelihara mereka. Sepatutnya mereka jadikan itu sebagai sebab untuk mereka beriman kepada agama tauhid. Namun apabila Nabi Muhammad ﷺ dibangkitkan menjadi Rasul mereka, mereka tolak baginda mentah-mentah.

Akan tetapi jangan kita hadkan kepada Musyrikin Mekah sahaja kerana kita kena bandingkan kesalahan mereka dengan kita. Sekiranya kita pun sama sahaja fahaman, akidah dan amalan seperti mereka, maka kita pun samalah sahaja dengan mereka dan akan mendapat nasib yang sama dengan mereka. Contoh-contoh kaum yang Allah ﷻ berikan di dalam Al-Qur’an seperti golongan Yahudi, Kristian, Musyrikin Mekah dan lain-lain itu adalah sebagai contoh bandingan bagi kita untuk mengambil pelajaran dari mereka.

Nikmat yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini boleh terdiri daripada dua jenis, iaitu nikmat keduniaan seperti harta, pakaian, kesihatan dan sebagainya dan juga boleh jadi nikmat rohani seperti wahyu Al-Qur’an, Rasulullah, hidayah dan sebagainya. Kerana semua nikmat itu adalah daripada Allah ﷻ dan apabila Allah ﷻ beri nikmat maka kita mestilah menggunakan segala nikmat itu ke arah kebaikan. Sekiranya kita tidak ambil peluang, maka kita yang bersalah dan rugi serugi-ruginya. Allah ﷻ sebut nikmat dibangkitkan Rasulullah ﷺ dalam kalangan umat Mekah itu di dalam Ali Imran: 164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada mereka juga disebut dalam Baqarah: 231

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ
Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya.

Akan tetapi manusia menolak dua nikmat yang amat besar ini bermula dengan Musyrikin Mekah itu. Sampai sekarang ramai yang tidak mengendahkan dua nikmat yang Allah ﷻ berikan ini. Ramai yang tidak ikut pun Sunnah Rasulullah ﷺ sebaliknya mereka reka amalan-amalan baru. Tentang Al-Qur’an pula, majoriti umat Islam tidak mengendahkannya. Amalan Sunnah ditukar dengan amalan bid’ah, Al-Qur’an ditukar dengan ajaran daripada kata-kata manusia. Maknanya masyarakat kita pun telah menukar nikmat Allah ﷻ dengan perkara yang lain.

Begitu juga kalau kita baca Al-Qur’an tetapi langsung tidak faham apa yang dibaca. Bacaan Al-Qur’an sekadar bacaan sahajalah, tanpa diambil pengajaran daripadanya. Segala larangan dan ancaman Allah ﷻ dilanggar begitu sahaja tanpa rasa bersalah. Ramai juga menghafalnya, namun setakat hafal sahajalah, bagaikan si burung kakak tua. Lebih teruk lagi disalahgunakan menjadi ayat pengasih, azimat, pendinding dan dijadikan sebagai perhiasan ditampal di dinding, dalam kenderaan pun ada. Diajar dan disebarkan pula oleh para ustaz dan ustazah jadian serta selebriti dan pempengaruh di dalam Tiktok. Khatam berkali-kali sekadar adat. Malah dibanggakan pula sehingga diadakan Majlis Khatam Perdana di seluruh peringkat, dari peringkat sekolah anak-anak sehingga lah ke peringkat datuk nenek yang sudah pencen. Sayang sekali apabila ayat-ayat Allah ﷻ ini dialun begitu indah serta dilagukan mendayu-dayu namun maknanya tidak pula difahami apatah lagi untuk sampai ke jiwa dan hati yang mendengarnya. Begitulah situasi umat Islam kita yang cukup parah pada hari ini dalam menukar nikmat Allah ﷻ yang satu ini.

وَأَحَلّوا قَومَهُم دارَ البَوَارِ

dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?,

Oleh kerana itu, mereka telah membawa kemusnahan ke atas diri mereka sendiri. Mereka sendiri yang menghalalkan diri mereka ke dalam lembah kebinasaan. Kalimah أَحَلّو daripada katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah kedudukan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Maka sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Kalimah البَوَارِ pula daripada katadasar ب و ر yang bermaksud binasa, menjadi pupus, musnah, menjadi buruk/rosak, merosakkan, dalam keadaan binasa/memudaratkan/kekurangan, tidak berkesan, jumud/kusam, tidak dicari/diingini. Maknanya mereka menurunkan atau menjatuhkan musibah kerosakan kepada kaum mereka. Itulah azab yang diberikan kepada mereka. Walaupun surah ini diturunkan di Mekah ketika Islam lemah lagi kedudukannya, tetapi ia sudah membayangkan kehancuran Musyrikin Mekah dan kemenangan umat Islam bermula Perang Badr dan berakhir dengan kemenangan Pembukaan Kota Mekah nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Januari 2025

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (1) (Kisah untuk Ulul Albab)

KISAH PARA RASUL DI DALAM AL-QUR’AN

Yusuf Ayat 111: Ini adalah ayat terakhir Surah Yusuf ini. Allah ‎ﷻ telah mulakan kisah ini dari awal surah ini dan sekarang hendak menutup dengan memberi khulasah (ringkasan) terhadap kisah yang panjang itu. Sebelum ini telah disebut tentang penolakan umat terhadap para Rasul mereka dan azab yang telah dikenakan kepada mereka. Sekarang Allah ﷻ menyuruh kita mengambil pengajaran daripada semua yang telah disampaikan.

لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ وَتَفصِيلَ ڪُلِّ شَىءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There was certainly in their stories a lesson for those of understanding. Never was it [i.e., the Qur’ān] a narration invented, but a confirmation of what was before it and a detailed explanation of all things and guidance and mercy for a people who believe.

(MALAY)

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

 

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ

Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

Ayat ini sebagai pelengkap kepada Ayat 3 di awal surah ini,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang terbaik

Mungkin ada yang bertanya: terbaik bagaimana? Filem-filem di dalam Netflix lagi menarik perhatian kepada kebanyakan manusia. Jadi di mana terbaiknya? Maka, sekarang Allah ﷻ jelaskan dan buktikan yang kisah inilah kisah yang terbaik. Kerana itu Allah ﷻ gunakan dua taukid (penegasan) di dalam kalimah لَقَد iaitu huruf ل dan قد. Maknanya Allah ﷻ hendak kata ini bukan kisah main-main. Ia menolak dengan tegas hujah mereka yang mengatakan kisah ini bukan kisah yang terbaik. Atau bagi mereka yang rasa kisah ini tidak ada apa-apa yang menarik. Jadi apakah faktor-faktor yang menjadikan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang terbaik? Yang pertama, ia adalah عِبرَةٌ.

Perhatikan isim كان (muzakkar) yang digunakan di sini sedangkan ia merujuk kepada عِبرَةٌ (muannath). Kenapa tidak digunakan isim كانت? Kerana kalau كانت yang digunakan, ia hanya merujuk kepada عِبرَةٌ sahaja. Sedangkan apabila كان digunakan, ia merangkumi banyak perkara lagi. Contohnya ia merangkumi elemen seperti petunjuk, peringatan, ancaman, mukjizat, bukti dan lain-lain lagi, bukan عِبرَةٌ sahaja.

Penggunaan kalimah في (di dalam) juga penting kerana tidak digunakan kalimah من (dari). Kalimah في lebih kuat daripada kalimah من. Ia memberi isyarat bahawa pengajaran hebat daripada kisah-kisah ini terdapat jauh di dalam kisah itu, jadi kena masuk dalam kisah itu, perhatikan, kaji dan tadabbur supaya kita dapat mengambil manfaatnya. Ia bukan sesuatu yang sekali baca sahaja sudah dapat, tetapi memerlukan usaha untuk menggalinya. Kalau kalimah من sahaja digunakan, ia tidak memberi isyarat sebegini.

 

Siapakah ‘mereka’ di dalam قَصَصِهِم? 

Allah ‎ﷻ menyebut di sini tentang قَصَصِهِم (kisah mereka) akan tetapi siapakah ‘mereka’ itu? Ia tidak disebut. Ia boleh menjadi beberapa kemungkinan.

1. Kisah-kisah di dalam Surah Yusuf dan kita telah belajar tentang banyak kisah yang berkaitan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pelakon-pelakon yang lainnya.

2. Kalau kita lihat ke ayat yang sebelum ini (Ayat 110), ada disebut tentang para Rasul (حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ) “Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa”. Jadi mungkin yang dimaksudkan adalah kisah-kisah para Rasul yang menceritakan dakwah mereka, penentangan yang mereka hadapi, apa kesudahan mereka dan seterusnya. Sebagaimana firman Allah ﷻ di dalam Hud:120

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ ۚ وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

3. Di dalam Ayat 110 juga Allah ‎ﷻ telah menyentuh tentang golongan penjenayah (فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ) “Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang penjenayah“. Maka mungkin ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan kafir yang banyak dosa dan menentang para Rasul mereka. Kita banyak membaca apakah dosa mereka, cara penentangan mereka, salah faham mereka dan pengakhiran mereka menerima azab daripada Allah ‎ﷻ akhirnya.

Kita tidak perlu menetapkan salah satu kerana semua kisah-kisah ini penting belaka dan menjadi pengajaran kepada kita. Walaupun tidak disebut secara spesifik siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan, kita boleh sahaja masukkan semua yang disebut di atas sebagai ‘mereka’ yang kita boleh pengajaran daripada kisah-kisah mereka.

 

Penjelasan kalimah قَصَصِ

Jadi kita tahu yang kisah-kisah itu banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Kita belajar kisah-kisah Para Rasul dahulu, kisah penghancuran kaum yang menentang mereka, termasuklah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarga baginda ini, dan apa-apa kisah sahaja yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ada banyak kisah tetapi Allah ‎ﷻ gunakan kalimah قَصَصِ di dalam bentuk mufrad (singular). Kerana kalau kalimah yang biasa, ia adalah قِصَّة dan jamaknya adalah قِصَص. Perhatikan perbezaan pada harakat huruf ق itu. Kenapa begitu? Bukankah ada banyak kisah?

1. Beberapa mufassir menjelaskan bahawa lafaz قَصَصِهِم dalam ayat ini datang dalam bentuk mufrad (قَصَص) walaupun merujuk kepada banyak cerita, kerana kalimah قَصَص secara bahasa ialah dalam bentuk masdar yang boleh menggambarkan himpunan kisah secara keseluruhan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri mengandungi banyak bahagian, maka masdar digunakan untuk merangkumi kesemuanya. Jadi satu kisah besar ini terdiri daripada banyak episod (dipisahkan daripada keluarga, dijual, menjadi hamba, digoda, dipenjara, berkuasa), sehingga masdar قَصَص digunakan untuk mencakupi keseluruhan episod-episod itu semua.

Dalam bahasa Arab, Maṣdar (مَصْدَر) secara mudahnya bermaksud: Kata Terbitan atau Kata Nama Terbitan. Untuk faham dengan senang, kita bandingkan antara Perbuatan (Fi’il) dan Nama (Isim):

Kata Kerja (Fi’il): Menunjukkan perbuatan + Masa.

Contoh: Makan (tengah makan/sudah makan).

Masdar: Menunjukkan perbuatan SAHAJA (tiada unsur masa).

Contoh: Penyusuan, Pembacaan, Makan (sebagai subjek, contoh: “Makan itu perlu”).

2. Dengan menggunakan bentuk mufrad, seolah-olah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan keseluruhan kisah-kisah itu. Ia hendaklah dipandang sebagai satu sahaja walaupun ia banyak bahagian padanya. Sebagaimana adanya banyak sungai, tetapi semuanya menuju kepada satu tempat sahaja: laut. Maka semua kisah itu tujuannya satu sahaja. Begitulah kisah para Rasul itu sebenarnya adalah satu kisah sahaja; iaitu kisah yang panjang bermula daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Pada kita, semua Nabi dan Rasul itu membawa perkara yang sama iaitu Tauhid kepada Allah ﷻ. Syariat berubah-ubah mengikut zaman dan ini tidak menjadi masalah. Namun, malangnya di dalam agama Yahudi dan Kristian, ada masalah. Kerana bagi Yahudi, mereka hanya menggunakan undang-undang Taurat Zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Jadi soalan cepu emas: sebelum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka menggunakan undang-undang apa? Dan Kristian pula kata Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Penyelamat. Jadi yang sebelum Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bagaimana mereka hendak selamat sedangkan mereka tidak kenal pun Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi kedua-dua agama ini kena bersilatlah untuk membenarkan hujah mereka itu. Dalam Islam tidak ada masalah ini kerana para Rasul boleh sahaja guna undang-undang syariat mereka tanpa perlu kenal Nabi Muhammad ﷺ dan ikut syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Para Nabi dan Rasul itu berbeza, tetapi kisah mereka sama sahaja. Kerana itu Allah ‎ﷻ sampaikan kisah-kisah mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kita untuk beritahu yang apa sahaja yang baginda lalui, ia perkara yang sama sahaja dari dahulu lagi.

3. Kalimah قَصَص di dalam bentuk masdar juga membawa maksud cara penceritaan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini telah diceritakan turun temurun oleh mereka yang mengetahuinya. Setiap orang ada cara bagaimana dia menceritakan kepada orang lain. Kita yang sudah tahu ini juga, apabila kita menceritakan kepada orang lain, ada cara kita. Sekarang kita telah belajar bagaimana cara Allah ﷻ sendiri menceritakannya kepada manusia. Dan tentulah cara Allah ﷻ yang terbaik. Kalau manusia yang cerita, tentu ada perkara yang dia tekankan yang dia suka seperti keturunan Nabi Yusuf, nama tempat dan sebagainya. Sebaliknya, cara Allah ﷻ berbeza. Bukan hanya cerita sahaja yang penting, tetapi cara penceritaan juga penting. Ada perkara yang perlu ditekankan dan ia ada terdapat di dalam cara penceritaan Allah ﷻ. Kerana itulah Allah ﷻ beritahu kepada kita di awal surah ini yang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kisah yang terbaik,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik

 

Penjelasan kalimah عِبرَةً

Kalimah عِبرَةً adalah daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; mentafsir; nyatakan dengan jelas; melalui; pertimbangkan; renungkan; mengambil kira; dapatkan pengalaman; amaran; hormat; contoh; pengajaran; ambil pengajaran. Kalau seseorang menyeberangi sungai, dikatakan (عَبَرَ النَّهْرَ) bermaksud: “Dia telah menyeberangi sungai.” Dan tangisan juga adalah عَبْرَة. Ini kerana pakar bahasa Arab menjelaskan bahawa air mata dipanggil عَبْرَة kerana air mata “menyeberang” atau melintas keluar dari kelopak mata ke pipi. Ia adalah sesuatu yang “meluap” dan berpindah dari dalam (hati/perasaan) ke luar (wajah). Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini juga meluap dan berpindah dari minda ke dalam hati. Ia bukan hanya perbincangan akademik, tetapi ia sesuatu yang mengubah jiwa kita.

Oleh itu, ‘Ibrah’ adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita menangis kerana ia ialah pelajaran yang sangat kuat. Ia adalah sesuatu yang menusuk ke dalam kalbu dan mendekatkan kita kepada Allah ﷻ. Ia sesuatu yang kita lihat secara zahir akan tetapi ia boleh menyampaikan kita kepada sesuatu yang tidak zahir. Sebagai contoh, kita melihat langit yang zahir, tetapi ia mengingatkan kita kepada kebesaran Allah ﷻ yang tidak zahir. Bayangkan kita melihat asap dan dengan asap itu, kita boleh tahu yang tentu ada api. Maka, kisah-kisah di dalam Surah Yusuf ini mengajar kita untuk menggunakan akal. Supaya kita tidak hanya melihat dunia di hadapan kita sahaja, tetapi memandang dan memahami tentang akhirat.

Kita telah lihat kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kehilangan anak kesayangannya. Memang baginda berada di dalam kesedihan yang amat dalam, namun baginda tahu yang Allah ﷻ ada perancangan. Jadi baginda terus memandang ke hadapan, terus berharap dan menunggu bilakah janji Allah ﷻ akan tiba. Bagi kita yang sedang mengalami kesusahan hidup ini, ia memberi harapan kepada kita. Mungkin Allah ﷻ sudah menyiapkan pengakhiran yang baik untuk kita dan ujian ini sementara sahaja. Dan kalau pun di dunia ini kita tidak merasakan kebaikan itu, kita tetap ada akhirat yang menunggu kita dengan segala nikmatnya.

Bila kita menangis? Apabila hati kita tersentuh sangat kerana kesedihan yang mendalam atau kegembiraan yang tinggi. Sebagaimana anak yang menangis kerana ditinggalkan ibunya dan menangis lagi apabila dapat bertemu ibunya kembali. Maka dengan Allah ﷻ begitu juga. Kita menangis apabila mengenangkan selama ini kita tidak menghiraukan ayat-ayat Allah. Sudah tua barulah berjumpa dengan pengajaran yang tinggi di dalam susunan ayat-ayat Allah ini. Dan apabila kita memahaminya, kita sekali lagi menangis kerana terkesan dan bersyukur atas kegembiraan kerana Allah ﷻ memberi peluang kepada kita untuk memahaminya. Dan apabila kita diingatkan dengan banyaknya nikmat yang Allah ﷻ telah taburkan ke atas kita, kita sekali lagi menangis, bukan? Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini juga sepatutnya ada tempat-tempat yang kita menangis teresak-esak…. kerana apa? Kerana di dalam kisah baginda itu ada kisah kita. Mungkin bukan semua, tetapi sedikit sebanyak terdapat persamaan pengalaman dan ujian yang kita alami. Kita membaca kisah baginda sepertimana kita membaca kisah kita.

Begitulah kisah-kisah di dalam Al-Qur’an itu semuanya عِبرَةٌ (sesuatu yang mengesankan sampai boleh menyebabkan tangisan). Kita telah bincangkan bagaimana kalimah قَصَص di dalam bentuk mufrad walaupun ada banyak kisah. Sekarang kita bincangkan kalimah عِبرَةً yang juga di dalam bentuk mufrad. Kalau jamak, عِبَر. Secara literal ia bermaksud kisah yang Allah ﷻ sampaikan satu pengajaran. Satu pengajaran? Bukankah ada terlalu banyak pengajaran di dalam kisah-kisah dan ayat-ayat Al-Qur’an ini? Yang kalau kita gali, tidak habis-habis. Satu ayat pun boleh dikeluarkan berpuluh pengajaran darinya, tetapi sekarang Allah ﷻ kata satu pengajaran? Begitulah Allah ﷻ meringkaskan pengajaran di dalam penggunaan kalimah عِبرَةٌ. Di dalam Surah Luqman, kita belajar tentang seorang lelaki yang mulia, Luqman al-Hakim. Beliau telah diberikan dengan banyak nikmat agama, tetapi Allah ﷻ ringkaskan segala nikmat itu dengan satu nikmat sahaja, syukur, seperti disebut di dalam Luqman:12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah

Malah ada banyak pengajaran daripada kisah Luqman itu, di mana beliau mengajar anaknya banyak perkara. Namun, segala nasihat itu dirangkumkan di dalam satu perkara yang paling besar: syirik. Ini disebut di dalam ayat seterusnya,

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Ia mengajar kita segala kebaikan itu membawa kepada bersyukur kepada Allah ﷻ dan segala keburukan itu akhirnya satu sahaja, syirik. Begitulah ringkasan keseluruhan Al-Qur’an ini kita boleh ringkasnya kepada dua kalimah sahaja: Allah Tuhan, kita hamba. Semuanya kembali kepada Allah ﷻ sebagaimana juga عِبرَةٌ terbesar yang kita boleh ambil adalah Allah ﷻ, taat kepada Allah ﷻ, jangan buat syirik dengan Allah ﷻ.

Allah ﷻ menegaskan ada pengajaran di dalam kisah-kisah di dalam surah ini dengan menggunakan kalimah penegasan لَقَد dan كانَ. Ini kerana ada orang yang tidak nampak pengajaran yang ada. Ada orang yang tidak menghiraukan dan tidak ambil kisah. Sekarang bayangkan kalau saya kata saya ada sejongkong emas di dalam rumah. Ada orang yang akan mencarinya dan ada orang yang tidak percaya. Sama ada orang cari atau tidak, jongkong emas itu tetap ada. Begitulah bagi mereka yang tidak percaya, Allah ﷻ tegaskan yang pengajaran memang ada. Sebagaimana juga kalau orang tidak menghiraukan sejongkong emas itu, tidaklah bermakna emas itu tidak ada. Ia hanya akan didapati oleh orang yang mahu mengambilnya, mencarinya.

Dari segi penggunaan bahasa, ada satu lagi tempat di mana kata dasar yang sama bagi ibrah digunakan iaitu di dalam Ayat 43, iaitu kalimah تَعبُرُونَ.

وَقَالَ ٱلمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ وَسَبعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ
Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering”. Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’bir mimpi”.

Mereka waktu itu bergantung kepada tukang tilik untuk menafsirkan perkara yang mereka lihat di dalam mimpi supaya tukang tilik untuk itu menjelaskan apakah maksudnya di dunia nyata. Kita telah mengatakan ibrah digunakan untuk melihat perkara yang zahir daripada yang tidak zahir (lihat asap bermakna ada api). Maka tukang tilik menzahirkan maksud mimpi yang tidak zahir itu. Walaupun mereka zaman itu paling maju dan mampu membina bermacam-macam jenis pembangunan, tetapi kepercayaan karut tetap ada. Dan bukan sahaja mereka, zaman sekarang pun tetap ada juga di dalam kebanyakan agama. Malangnya, orang Islam pun percaya kepada perkara tahyul ini. Ada yang pergi jumpa bomoh dan pawang dan tanya itu ini. Ada yang masih lagi gemar membaca horoskop.

Allah ﷻ mengubah kepercayaan itu di dalam ayat ini. Allah ﷻ menggunakan ibrah dengan penggunaan wahyu. Kamu tidak perlu lagi percaya kepada tukang tilik, bomoh, pawang, ustaz mengarut. Yang kamu perlukan adalah wahyu yang membimbing hidup kita.

Satu lagi penggunaan ibrah dan kisah adalah ‘ikut jejak langkah’. Ini seperti digunakan di dalam Qasas:11 apabila ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh kakak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengikut jejak baginda setelah dihanyutkan di dalam sungai,

وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ
Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara perempuan Musa (kakaknya): ‘Ikutilah jejaknya

Maka di dalam surah ini ia mengajar kita untuk mengikuti jejak langkah para Rasul. Kisah-kisah mereka menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya mendidik kita untuk menjalani kehidupan kita. Kerana pengalaman mereka juga adalah pengalaman kita juga, bukan? Ditambah dengan istilah ibrah yang bermaksud menyeberang, ia membawa kita menyeberang ke arah kebaikan, ke arah Allah ‎ﷻ.

Di dalam Ayat 7 Allah ‎ﷻ telah berfirman tentang kisah-kisah di dalam Surah ini,

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Ayat 7 ini menarik kerana ada beberapa persamaan dengan Ayat 111. Ia seolah-olah ada pengulangan antara permulaan surah dan penghujung surah ini.

1. Dua-dua menggunakan taukid لَقَد.
2. Dua-dua menggunakan kalimah فِى.
3. Fokus kepada adanya penerima, satu لِلسَّآٮِٕلِينَ dan satu lagi لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ.
4. Dua-dua menyebut ada pengajaran, satu menggunakan istilah ءَايَـٰتٌ dan satu lagi menggunakan istilah عِبرَةٌ.

Jadi telah digunakan istilah ءَايَـٰتٌ (tanda-tanda) dan sekarang Allah sebut pula عِبرَةٌ. Apakah beza antara dua istilah ini?

Tanda adalah penunjuk arah, bukan? Kalau kita sedang memandu, kita memerlukan penunjuk arah untuk menjadi panduan bagi perjalanan kita. Dan عِبرَةٌ pula adalah perbuatan menyeberangi. Jadi setelah kita tahu arah tujuan, hendaklah kita menyeberanginya menuju ke arah tujuan itu. Begitulah cantiknya kaitan antara dua istilah yang Allah ‎ﷻ gunakan. Di permulaan perjalanan, kita memerlukan arah tujuan; kemudian perjalanan kita akan menyusul. Begitulah di permulaan surah ini, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah  ءَايَـٰتٌ kerana ia di permulaan surah, dan sekarang digunakan istilah عِبرَةٌ kerana sepatutnya perjalanan kita sudah menyeberangi dan sampai ke penghujungnya.

Di dalam Ayat 7 Allah ‎ﷻ kata kisah ini bagi لِّلسَّآٮِٕلِينَ bagi orang-orang yang bertanya. Dan sekarang di dalam Ayat 111 ini diberitahu yang kisah-kisah ini bagi أُولِي الأَلبابِ. Siapakah yang selalu bertanya? Ia adalah orang yang mahukan jawapan, orang yang mahu belajar, orang yang mahu mendapat kebenaran daripada Allah ‎ﷻ. Namun kalau setakat bertanya sahaja, tetapi sumbat telinga pada semua yang dia dengar, maka itu tidak bagus. Jadi kena ada keinginan bertanya dan kena ada sifat الأَلبابِ yang kita akan terangkan nanti.

Begitulah hebatnya maksud عِبرَةٌ yang Allah ‎ﷻ gunakan. Akan tetapi perhatikan kalimah عِبرَةٌ di dalam bentuk nakirah (umum) berserta tanwin. Jadi apabila ia digunakan di dalam bentuk ini, ia memberi beberapa isyarat:

1. Memberi isyarat banyak. Ia bukan mengandungi satu sahaja pengajaran tetapi berbagai-bagai mutiara yang kita boleh gali.
2. Kehebatan. Apabila ada tanwin, ia menguatkan sesuatu kalimah itu. Ini kerana kisah-kisah ini hebat-hebat belaka.
3. Tidak spesifik. Apabila ia di dalam bentuk nakirah (umum), maka ia tidak terhad dan spesifik. Kisah ini boleh memberi pengajaran yang berlainan bagi individu yang berbeza. Ada orang boleh ambil pengajaran ini dan orang lain pengajaran itu pula.
4. Bentuk umum itu juga menyebabkan kita tertanya-tanya dan mencari apakah pengajaran yang kita boleh ambil darinya.

Namun perhatikan susunan ayat ini: فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ dan bukannya عِبرَةٌ فِى قَصَصِهِم. Allah ‎ﷻ beritahu قَصَصِ sebelum sebut عِبرَةٌ. Ini untuk pembaca fokus kepada kisah itu dan mencari apakah pengajarannya. Kalau disebut pengajarannya dahulu, jadi keliru pula kerana hendak dicari di mana pengajaran itu? Jadi Allah ‎ﷻ suruh fokus kepada kisah dan carilah pengajaran-pengajaran itu di dalam kisah itu.

Di hujung ayat ini, setelah memberitahu kisah-kisah itu semua, Allah ‎ﷻ menegaskan yang semua itu bukan semata-mata kisah, tetapi ada pengajaran. Bandingkan kalau kita menonton filem, belum tentu ada pengajaran yang kita boleh dapat daripada filem itu. Kita yang banyak menonton filem ini bukan hendak cari pengajaran pun, kerana selalunya memang tidak ada, bukan? Kita buang masa menonton filem kerana hendak checkout dari dunia realiti sebentar.

 

Siapakah أُولِي الأَلبابِ? 

Kisah ini disampaikan kepada semua orang, tetapi siapa yang akan menghargainya? Kalimah عِبرَةٌ itu luas, tetapi kalimah أُولِي الأَلبابِ terhad. Maknanya, pengajaran daripada عِبرَةٌ itu sangat banyak, tidak terhad, akan tetapi yang boleh mengambilnya adalah orang yang terhad sahaja. Malangnya, bukan semua orang akan menghargainya, kecuali أُولِي الأَلبابِ. Orang yang ada sifat ini sahaja yang akan membaca kisah-kisah ini dengan minda dan hati yang terbuka dan akan menjadikannya sebagai terapi dan penasihat di dalam kehidupan. Kalau tidak ada sifat ini, seseorang yang membaca kisah Surah Yusuf ini cuma akan fikir: “Aku dah tahu dah kisah ni dari kecik lagi, takde benda baru pun!”

Kita telah belajar perjalanan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, contoh أُولِي الأَلبابِ yang tertinggi. Namun apakah maksud أُولِي الأَلبابِ? Sekarang kita akan huraikan kalimah ini kerana ia sangat penting dan selalu disebut. Sampai sekarang pun ada sekolah yang dinamakan Ulul Albab, bukan?

Kalimah الأَلبابِ adalah bentuk jamak kepada لُبّ, yang bermaksud isi, teras, atau sari pati (Kernel/Core). Orang Arab menggunakan perkataan لُبّ untuk merujuk kepada isi buah, bahagian dalam kacang/badam. Iaitu merujuk kepada bahagian dalam yang boleh dimakan selepas kulitnya dikupas. Atau Teras kayu: Bahagian tengah batang pokok yang paling keras dan kukuh.

Kalimah أُولِي الأَلبابِ selalu diterjemahkan kepada ‘orang-orang yang mempunyai akal’ tetapi ia bukanlah akal sahaja (kerana semua orang ada akal) tetapi akal yang sihat. Akal yang sihat memang mencari-cari kebenaran. Mereka yang sebeginilah yang akan membaca kisah dalam surah ini (dan Al-Qur’an secara umum) dan mereka akan dapat mengambil pengajaran daripadanya. Al-Qur’an sebagai kalam Allah yang kaya dengan bahasa dan pengajaran menggunakan berbagai istilah bagi akal. Selain daripada ‘aql’ yang paling banyak digunakan, ada istilah lain seperti أُولِي النُّهىٰ yang digunakan di dalam Taha:54

كُلوا وَارعَوا أَنعامَكُم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang berakal fikiran.

Kalimat أُولِي النُّهىٰ berasal daripada نهى (melarang/berhenti). Ia merujuk kepada akal yang sudah mencapai tahap kematangan moral. Ia bukan sekadar faham logik, tetapi akal yang cukup kuat untuk melarang tuannya daripada mengikut hawa nafsu atau melakukan kejahatan. Orang yang ada akal, dia akan dapat menghalang nafsunya dari melakukan sesuatu yang bodoh. Jadi, fungsi akal yang ditekankan di sini adalah fungsi melarang.

Kemudian ada pula istilah ذي حِجرٍ seperti digunakan di dalam Fajr:5

هَل في ذٰلِكَ قَسَمٌ لِّّذي حِجرٍ
Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.

Ia berasal daripada حجر (batu/tembok). Ia menyentuh tentang akal sebagai sesuatu yang kukuh. Ia merujuk kepada intelektual yang teguh dan tidak mudah goyah dan ditukar dengan sewenang-wenangnya. Orang yang ada حِجرٍ tidak akan mudah tertipu dengan hujah yang batil. Jadi di sini fungsi akal sebagai sesuatu yang teguh.

Al-Qur’an juga sering menyandarkan perbuatan berfikir kepada hati, seperti dalam Hajj:46

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami

Kalimah قُلوبٌ berasal daripada قلب (berbolak-balik). قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها merujuk kepada akal yang berpaksikan wahyu dan perasaan. Dalam Islam, akal yang sejati tidak terpisah daripada hati. Ia adalah pusat kesedaran di mana ilmu bertukar menjadi keimanan. Jadi apabila digunakan istilah قُلوبٌ ia merujuk kepada fungsi akal yang merasa dan memahami.

Jadi ada berbagai istilah yang Allah ‎ﷻ gunakan untuk merujuk kepada akal, masing-masing dengan fungsi yang Allah ‎ﷻ hendak tekankan. Maka begitu juga dengan أُولِي النُّهىٰ ini. Akan tetapi sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa daripada الأَلبابِ menjadi akal? Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘Aql (akal biasa) dalam istilah ini, sebaliknya menggunakan Al-Albāb kerana:

  • Penembusan Kulit: Sebagaimana kita perlu mengupas kulit buah untuk mendapatkan isinya (lubb), seorang Ulul Albab adalah orang yang mampu “mengupas” lapisan luaran sesuatu peristiwa (zahir) untuk sampai kepada hakikat dan hikmahnya (batin).
  • Kualiti vs Kuantiti: Semua orang ada otak/akal (zahir), tetapi tidak semua orang sampai kepada tahap “isi” (hakikat). Ulul Albab adalah golongan yang akalnya tidak terhenti pada permukaan sahaja.
  • Kaitan dengan ‘Ibrah: Ini sangat berkait dengan perbincangan kita tentang ‘Ibrah (menyeberang). Ulul Albab menggunakan akal mereka untuk “menyeberang” dari kulit ke isi.

Jadi, kena ada sifat itu dalam diri manusia, baru boleh dapat hidayah daripada wahyu dan kisah-kisah di dalam Al-Qur’an. Kalau tidak ada sifat itu, seseorang itu mungkin tidak akan dapat menghargai apa yang dia sendiri baca. Selalu kita hairan kenapa ada orang yang baca Al-Qur’an, mengkaji Al-Qur’an, tetapi mereka masih juga tidak beriman. Ini seperti golongan Orientalis dan juga profesor-profesor yang mengajar tentang Islam di universiti-universiti Barat, bukan? Ini adalah kerana dalam hati mereka sendiri tidak ada perasaan mahukan kebenaran. Untuk kebenaran masuk ke dalam hati, tidak cukup dengan hujah yang kuat daripada Al-Qur’an sahaja, tetapi kena ada percikan keinginan kepada kebenaran di dalam hati manusia itu.

Kalimah الأَلبابِ daripada kata dasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; suci; tahan karat; saripati; seorang yang diberi kelebihan pertimbangan yang wajar. Jadi لُبّ merujuk kepada bahagian tengah seperti bahagian tengah buah. Kalau buah, bahagian tengah itulah yang dimakan, kulitnya dibuang. Bahagian tengah itu jugalah yang paling manis. Ia juga boleh merujuk kepada bahagian teras pokok, iaitu bahagian yang paling kuat. Ia juga adalah saripati, iaitu yang utama. Sebagai contoh, ada orang berucap selama sejam lamanya, tetapi saripatinya apa? Apakah yang penting yang dia hendak sampaikan?

Bahagian dalam itu juga selalunya yang paling lembut, bukan? Kerana ia lembut, ia perlu dipelihara dengan kulit, contohnya. Sebagaimana hati/jantung kita lembut dan dipertahankan oleh tulang rusuk. Jadi ia juga bermaksud kelembutan. Di dalam bahasa Arab Klasik, orang yang ada لُبّ itu adalah orang yang lembut, yang manis, yang baik dengan semua orang.

Daripada maksud teras ini, ia juga membawa maksud suci, kerana bahagian dalam buah itu yang suci, bukan? Kita kupas kulit pisang untuk mendapatkan bahagian yang suci di dalamnya. Jadi, antara terjemahan bagi الأَلبابِ adalah akal yang suci. Akal yang tidak dikotori dengan perkara-perkara buruk dan jijik. Akal yang suci tidak diganggu oleh emosi buruk seperti marah, berat sebelah dan bias. Ia juga adalah akal yang tidak dicemari oleh maklumat yang salah. Fikiran mereka tidak dipengaruhi oleh kecenderungan politik, bangsa atau kasta. Ia tidak sama dengan intelek. Intelek boleh sahaja wujud bagi semua orang, tetapi tidak semestinya ia suci. Yang kita maksudkan dengan الأَلبابِ adalah intelek yang suci daripada semua perkara yang tidak patut.

Intelek atau kemahiran berfikir, semua orang ada; beza tinggi atau tidak sahaja. Namun intelek yang suci? Bukan semua ada. Akan tetapi, asalnya kita semua makhluk yang dilahirkan di atas fitrah, maka fikiran kita pun semestinya suci sejak lahir, sebelum ia dicemari dengan kekotoran fikiran yang rosak. Jadi semua fikiran kita sebenarnya الأَلبابِ asalnya, sehinggalah ia dirosakkan. Rasulullah ﷺ bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak yang dilahirkan itu dilahirkan di atas Fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau seorang Nasrani, atau seorang Majusi.”

Sahih Bukhari (1358); Sahih Muslim (2658)

Kita selalu dengar tentang tazkiyatun nafs (pembersihan hati). Contohnya, jika hati yang ada sifat pemarah, maka seseorang itu kena berusaha untuk mengawal kemarahannya itu kerana marah bukanlah emosi yang baik. Antaranya kena banyakkan ingat kepada Allah ‎ﷻ untuk melembutkan hati. Malah bukan hati sahaja yang perlu disucikan, tetapi fikiran juga. Ada bukan kita jumpa orang yang nampak baik sangat, lembut sahaja perkataannya, tetapi di dalam masa yang sama dia berpandangan boleh minta tolong kepada ahli kubur, kepada malaikat dan sebagainya. Jadi hatinya sudah bagus, tetapi apa yang ada masalah sekarang? Akidahnya yang di dalam ruang lingkup minda, fikiran, ada masalah. Fikiran dia tidak suci kerana telah dicemari oleh akidah yang rosak. Jadi dia yang sebegini bukanlah أُولِي الأَلبابِ kerana seorang yang ada sifat ini mesti suci hatinya dan inteleknya.

Orang yang hatinya suci semestinya mendapatkan sumber rohani dari tempat yang suci juga, iaitu nas Al-Qur’an dan hadith. Sebagaimana orang yang menjaga tubuhnya daripada penyakit, dia akan makan makanan yang suci, maka orang yang hati suci pun mesti mengisi hati dan rohaninya dengan perkara yang suci juga. Dia juga mengisi mindanya dengan perkara yang baik-baik. Benda yang mengarut, dia tidak akan baca dan lihat. Kalau ambil ilmu agama pun, dia akan memilih dengan siapa dia akan ambil. Kerana bukan semua ustaz, sama.

Kita telah belajar kisah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita, antaranya kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kisah dan penceritaan adalah sesuatu yang manusia amat suka. Yang muda sampai ke tua suka dengar cerita. Sekarang ia dipersembahkan di dalam berbagai bentuk, seperti novel, buku, video dan berita pun dijadikan sebagai bentuk cerita. Jadi untuk menarik minat manusia, di dalam Al-Qur’an juga ada dimasukkan kisah. Hasilnya ada banyak kisah, tetapi adakah semua kisah di luar sana yang kita hendak tengok? Itulah maksudnya kita kena pilih sumber yang bagus dan baik. Ada banyak media sosial sekarang seperti Facebook, Instagram, Threads dan entah apa lagi. Itu adalah tempat dan di dalamnya ada banyak bahan. Adakah semua kita hendak layan? Kalau kita layan semua, maka malangnya bagi kita kerana bukan semua itu baik. Kalau zaman dahulu ada penapisan daripada kerajaan seperti penapisan filem, sekarang sudah susah untuk ditapis lagi. Maka kita sendirilah yang kena tapis. Ini kerana kita hendak menjaga kesucian hati kita.

Kesannya lebih-lebih lagi teruk kepada anak-anak kita. Kita sangka kartun tidak ada apa-apa, bukan? Tapi ada banyak perkara buruk mereka belajar daripada kartun; contohnya belajar menipu, belajar kenakan kawan, belajar jadi pemarah kerana bila marah baru selamat, dan sebagainya. Bukan anak sahaja boleh terpengaruh, tetapi orang dewasa pun boleh. Kita selalu lihat rancangan lawak dengan bahasa yang tidak baik, menjadi ikutan dalam kalangan orang dewasa, bukan?

Jadi itulah sahaja yang disembangkan apabila duduk bersama, kisah itu dan ini yang mereka lihat di dalam rancangan TV. Dan bukan itu sahaja, perkara seperti politik juga boleh mengisi minda manusia. Setiap hari ada sahaja benda pelik yang dilakukan oleh ahli politik dan orang yang tidak ada jawatan apa-apa pun, sibuklah hendak komen. Sekali sekala tidak mengapalah, tapi kalau hari-hari dan setiap masa, buat apa? Bila hendak bersembang tentang agama, tentang Al-Qur’an?

Dan kesannya apabila kita memenuhi otak kita dengan benda-benda yang tidak penting, kisah daripada Allah ‎ﷻ pula yang tidak memberi kesan kepada kita. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ contohnya, sepatutnya menyentuh hati kita tetapi oleh kerana kita bukan أُولِي الأَلبابِ kerana semua benda kita masukkan dalam minda kita, ia tidak memberi kesan langsung. Kerana Allah ‎ﷻ kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci).

Maka marilah kita sucikan balik hati dan minda kita dengan Al-Qur’an. Kita kena kembali menekuni ayat-ayat Allah supaya kita kembali suci. Ia seperti spiritual detox yang kita kena lakukan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:151

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ
Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan menyucikan kamu

Dalam detox, kita kena menghindari diri daripada bahan yang kotor dan mengisi dengan bahan yang baik. Minda kita ini sentiasa berjalan, fikir itu dan ini, dan kalau kita tidak mengawal bahan untuk dia fikirkan, syaitan akan ambil peluang membisikkan was-was tentang perkara yang buruk. Supaya otak kita jangan menunggu-nunggu bila episod baru kegemaran kita akan keluar, tetapi kita tertunggu-tunggu bila kelas seterusnya, bila kita akan masuk ke ayat baru yang kita akan belajar untuk tadabbur.

Sebelum ini kita telah kaitkan ayat ini dengan Ayat 7, apabila disebutkan yang kisah ini adalah bagi orang yang mahu bertanya, mencari jawapan, mencari kebenaran. Namun selepas bertanya dan mendapat jawapan, seseorang itu hendaklah memastikan jawapan yang dia dapat adalah bersih dan berkualiti. Ini supaya fikiran dia tidak dicemari dengan kekotoran dan maklumat yang salah. Jadi, ini mengajar kita bahawa kita yang mahu menjaga kesucian minda dan hati kita, hendaklah bertanya kepada orang yang tahu.

Istilah أُولِي الأَلبابِ ini disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Qur’an. Antara ciri utama mereka menurut Ali Imran:190-191:

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٠) ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab Neraka. (191)

  • Zikir: Sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan (berdiri, duduk, baring).
  • Fikir: Memerhati penciptaan langit dan bumi secara mendalam.
  • Kesimpulan: Mereka sampai kepada satu keyakinan: “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia.”

Ulul-Albab yang pertama tentulah para sahabat. Mereka amat suka mendengar kisah ini. Ada menyebutkan daripada Ibnul ‘Atha, beliau berkata:

“Tidaklah seseorang yang sedang berduka mendengarkan Surah Yusuf, melainkan ia akan merasa tenang/lapang dadanya.”

Sebab itulah, ketika para sahabat berada dalam keadaan tertekan di Mekah (khususnya pada Tahun Kesedihan), mereka sangat suka mendengar surah ini kerana ia membuktikan bahawa kesabaran yang panjang akan berakhir dengan kemuliaan yang tinggi, persis seperti yang dialami Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Malah terdapat juga atsar (perkataan tabiin) yang menggambarkan betapa cintanya umat terdahulu terhadap surah ini. Khalid bin Ma’dan, seorang ulama tabiin yang terkemuka, pernah berkata:

“Ahli syurga di dalam syurga tetap membaca (atau mendengarkan) Surah Yusuf dan Surah Maryam kerana keindahan dan kelembutan kisahnya.” Walaupun ini adalah ungkapan tentang keadaan di syurga, ia menunjukkan kedudukan surah ini sebagai “hiburan spiritual” yang paling tinggi di mata para salafus soleh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 23 – 24 (Masuk syurga kerana amal atau rahmat?)

GANJARAN KEPADA ORANG BERIMAN

Ibrahim Ayat 23: Ayat tabshir ukhrawi. Setelah diberitahu dengan berita buruk tentang balasan kepada mereka yang ingkar, sekarang diberi berita gembira tentang mereka yang taat pula. Begitulah selalunya seimbang ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Setelah disebut tentang tentang neraka, disebut pula tentang syurga. Ini adalah untuk menyeimbangkan perasaan kita. Kerana kalau disebut tentang neraka sahaja, tentulah kita akan takut sangat, putus asa dan tidak mampu untuk bekerja, belajar dan sebagainya.

وَأُدخِلَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم ۖ تَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believed and did righteous deeds will be admitted to gardens beneath which rivers flow, abiding eternally therein by permission of their Lord; and their greeting therein will be, “Peace!”

(MELAYU)

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah “salaam”.

 

وَأُدخِلَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga

Melalui bahasa ayat ini, kita dapat tahu yang ahli syurga itu tidak masuk sendiri ke dalam syurga, tetapi dimasukkan. Maknanya mereka dibawa masuk, dijemput dan dipersilakan masuk. Inilah balasan yang diberikan kepada orang yang baik, berlawanan dengan balasan kepada orang yang kufur seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Memang begitulah kita apabila mempelajari tafsir Al-Qur’an dan membaca ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini, kadang rasa takut, kadang rasa tenang seperti disebut dalam Zumar: 23

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Siapakah yang boleh memasuki syurga itu? Mereka yang ada iman yang sempurna dan beramal soleh. Iman yang sempurna adalah iman yang tidak ada syirik. Mereka ini faham apakah syirik itu dan mereka meninggalkannya. Kefahaman ini tidak mungkin boleh dicapai melainkan kita memahami ayat-ayat Al-Qur’an kerana penerangan syirik banyak terkandung di dalam Al-Qur’an.

Iman yang benar hendaklah diikuti dengan amal yang soleh. Apakah pula amal soleh? Itulah amal yang mengkut ajaran Sunnah, bukannya amalan bid’ah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang. Oleh itu mestilah diperiksa mana-mana amalan dan fahaman supaya ia bertepatan dengan ajaran wahyu. Jangan hanya mengikut sahaja kerana ia akan menjadi sia-sia.

Ini kerana prasyarat sesuatu amalan itu diterima, mesti kena ada dua: pertama ikhlas kerana Allah ‎ﷻ dan kedua, amalan itu mesti ada sandaran kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Kalau tidak ada salah satu atau keduanya sekali, amalan itu tertolak dan menjadi sia-sia tidak kira sebanyak mana pun ia dilakukan.

Jikalau ada dua perkara itu, barulah dapat masuk ke dalam syurga. Akan tetapi bukankah kita tidak masuk syurga dengan amal melainkan dengan rahmat Allah ﷻ? Bukanlah Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Namun ayat di atas mengatakan orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Malah ada banyak lagi ayat-ayat lain seperti A’raf: 43

وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Begitu juga di dalam Baqarah: 25

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Tentu tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim (8))

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.

2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung lagi dengan ihsan kepada manusia.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Malah bukan itu sahaja, kita kena ingat yang untuk membuat amal soleh pun memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ juga. Hanya dengan rahmat Allah ﷻ barulah seseorang itu dapat mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam ertikata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah ﷻ dan amal soleh untuk masuk syurga.

Rahmat Allah ﷻ bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah ﷻ, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat riya’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah ﷻ. Oleh itu janganlah berbesar diri atau angkuh seandainya tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan amal soleh. Kedudukan dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah ﷻ. Oleh itu hendaklah mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah ﷻ berhak untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja.

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini teramat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka padang pasir sahaja dan tidak ada sungai. Maka kenyataan ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Lihatlah kisah tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk masuk ke dalam syurga.

 

خٰلِدينَ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم

mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. 

Mereka kekal di syurga dengan izin Allah ﷻ. Ini adalah satu nikmat yang amat besar, kerana kita dapat tenang dengan mengetahui yang akan dapat tinggal di dalamnya sampai bila-bila. Kerana katakan kita dapat duduk hotel paling mewah di dunia ini, kita tahu yang lama kelamaan kita kena keluar juga, bukan? Akan tetapi dengan syurga ini kita akan tinggal di situ sampai bila-bila.

 

تَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah “salaam”.

Kalimah التحيات adalah jamak kepada تَحِيَّة. ‘Tahiyat’ bermaksud kata-kata aluan yang baik. Ia adalah kata-kata aluan apabila berjumpa seseorang. Telah lama digunakan dalam bangsa Arab sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi. Ia daripada kalimah ح ي ي yang bermaksud ‘hayat’, ‘hidup’. Kita pun sepatutnya faham kerana kita pun menggunakan kalimah yang sama juga: “sehingga hayat dikandung badan.” Mereka menggunakan kalimah حَيَّكَ الله (hayyakallah) yang bermaksud: semoga Allah ﷻ memanjangkan hayatmu. Ucapan ini dipanggil تَحِيَّة. (Macam lafaz Allahu Akbar dipanggil Takbir, lafaz Alhamdulillah dipanggil Tahmid).

Apabila Islam bangkit, maka kalimah حَيَّكَ الله tidak lagi digunakan tetapi diganti dengan ‘assalamualaikum’. Namun terma tahiyyah masih lagi digunakan untuk ucapan yang diberikan kepada orang lain apabila bertemu. Ia juga digunakan di dalam tahiyyat kita di dalam solat. Dalam Al-Qur’an pun menggunakan perkataan itu. Kita boleh lihat dalam Nisa’: 86

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Oleh itu, Allah ﷻ memberitahu yang ucapan pertemuan mereka di dalam syurga adalah ‘salam’ (kesejahteraan). Inilah yang mereka ucapkan apabila mereka berjumpa dan bergembira sesama ahli syurga. Mereka sejahtera dalam menikmati kebaikan sesama mereka. Mereka amat suka dan gembira sekali kerana mereka dapat berjumpa dengan ramai orang yang beriman dahulu dan selepas mereka.

Ahli-ahli syurga akan mengucapkan kata-kata yang sejahtera sahaja sesama mereka. Maknanya ahli syurga akan bertemu sesama sendiri nanti di syurga. Tidak terkata perkataan-perkataan yang lain. Mereka berasa terlalu bersyukur kerana mereka telah selamat daripada api neraka. Mereka akan bercerita tentang berbagai nikmat yang mereka sedang dapati itu. Ini juga ada disebut dalam Waqiah: 25-26

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا
Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (daripada satu kepada yang lain).

Maka, perkataan تَحِيَّة ada kena mengena dengan ‘kehidupan’. Ayat ini memberi isyarat bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang penuh salam, penuh selamat dan sejahtera. Itulah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Di dunia, belum tentu lagi.

Bukan sahaja ucapan ini digunakan sesama mereka, tetapi daripada Allah ﷻ juga seperti disebut dalam Yaasin: 58

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ
(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ
sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم
(sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima sabartum”.

Sekali lagi, kalimah salam ini bukanlah seperti doa yang kita sebut di dunia ini apabila kita memberi ucapan salam Assalamualaikum itu. Di dalam ucapan salam ini ada mengandungi kalimah doa permohonan kesejahteraan. Akan tetapi di syurga nanti memang sudah sejahtera maka ia adalah sebagai penyataan kegembiraan mereka.

Semenjak daripada mereka mula hendak memasuki syurga lagi pun sudah diberikan salam oleh para malaikat. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلامٌ عَلَيْكُمْ
Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu, sedangkan pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya, “Kesejahteraan (dilimpahkan) atas kalian.”
(Az-Zumar: 73)


PERUMPAMAAN KALIMAH BAIK DAN KALIMAH BURUK

Ibrahim Ayat 24: Ayat ini sehingga ke ayat 27 adalah Perenggan Makro ke 5. Ia berkenaan Kalimah Toyyibah (kalimah baik) dan Khobitsah (kalimah buruk).

Allah ﷻ membuat perumpamaan kalimah toyyibah itu adalah seumpama pokok yang teguh akarnya. Sebaliknya kalimah khobitsah pula termasuk kalimah syirik, kata-kata ke arah akidah rosak, atau kata-kata yang tidak elok, kata-kata yang dosa, dan benda-benda lain yang tidak baik bagaikan pokok yang tercabut akarnya.

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِي السَّماءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered how Allāh presents an example, [making] a good word like a good tree, whose root is firmly fixed and its branches [high] in the sky?

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah ﷻ telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

 

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan

Allah ﷻ suruh kita gunakan akal untuk melihat perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan dalam Al-Qur’an. Ada banyak perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan untuk memberi pemahaman kepada kita tentang agama ini. Ini adalah cara pengajaran yang bagus, di mana dalam kita beri penjelasan kepada orang pun, kita akan gunakan analogi kepada orang yang kita ajar itu.

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah Swt. telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya berasa tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya? Sedangkan Allah ﷻ suruh kita perhatikan (yang bermaksud kenalah faham) akan perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ berikan seperti disebut dalam Hajj: 73

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu.

 

كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ

kalimat yang baik seperti pohon yang baik,

Allah ﷻ gunakan pokok sebagai perumpamaan kerana semua orang tahu tentang pokok dan boleh dilihat di mana-mana. Maka selepas ini apabila kita melihat pokok, secara automatik kita akan teringat dengan ayat ini.

Pokok yang baik diibaratkan كَلِمَةً طَيِّبَةً ‘kalimah yang baik’ – membawa maksud ‘Kalimah Tauhid’ (La ilaaha illallah). Allah ﷻ bandingkan Kalimah Tauhid ini seperti pokok yang baik. Selain daripada Kalimah Tauhid, termasuk juga dalam kategori kalimah-kalimah yang baik adalah seperti syahadah dan selawat.

Perumpamaan pokok juga telah pernah digunakan oleh Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam hadith,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “أَخْبِرُونِي عَنْ شَجَرَةٍ تُشْبِهُ -أَوْ: كَالرَّجُلِ -اَلْمُسْلِمِ، لَا يَتَحَاتُّ وَرَقُهَا [وَلَا وَلَا وَلَا] تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ”. قَالَ ابْنُ عُمَرَ: فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ، وَرَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ لَا يَتَكَلَّمَانِ، فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ، فَلَمَّا لَمْ يَقُولُوا شَيْئًا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هِيَ النَّخْلَةُ”. فَلَمَّا قُمْنَا قُلْتُ لِعُمَرَ: يَا أَبَتَا، وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَ وَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ. قَالَ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَكَلَّمَ؟ قَالَ: لَمْ أَرَكُمْ تَتَكَلَّمُونَ، فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ أَوْ أَقُولَ شَيْئًا. قَالَ عُمَرُ: لَأَنْ تَكُونَ قُلْتَهَا أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كَذَا وَكَذَا
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan, “Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, ‘Ceritakanlah kepadaku tentang pohon yang menyerupai seorang Muslim, ia tidak pernah gugur daunnya, baik di musim panas mahupun di musim dingin, dan ia mengeluarkan buahnya setiap musim dengan seizin Tuhannya’.” Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan, “Lalu terdetik di dalam hatiku jawapan yang mengatakan bahawa pohon itu adalah pohon kurma. Tetapi aku melihat Abu Bakar dan Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tidak bicara, maka aku merasa segan untuk mengemukakannya. Setelah mereka tidak menjawab sepatah kata pun, bersabdalah Rasulullah ﷺ bahawa pohon tersebut adalah pohon kurma. Ketika kami bangkit (untuk pergi), aku berkata kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ‘Wahai ayahku, demi Allah, sesungguhnya telah terdetik di dalam hatiku jawapannya, bahawa pohon itu adalah pohon kurma.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Apakah yang mencegahmu untuk tidak mengatakannya?’Aku menjawab, ‘Aku tidak melihat kalian menjawab, maka aku segan untuk mengatakannya atau aku segan mengatakan sesuatu.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Sesungguhnya jika kamu katakan jawapan itu lebih aku sukai daripada anu dan anu’.”
(Sahih Bukhari (4698))

Kenapakah pokok kurma? Pertamanya kerana itulah pokok yang amat rapat dengan bangsa Arab, penerima pertama Al-Qur’an ini. Maka Allah ﷻ beri contoh dengan benda yang mereka kenal sangat. Kurma adalah makanan ruji mereka dan ia memang hebat pun. Akarnya memang dalam dan pokoknya pun tinggi. Apabila tinggi, ia selamat daripada gangguan. Buah kurma itu pula amat versatile, boleh dimakan dengan berbagai cara, sama ada basah atau kering, boleh dijadikan jem dan juga air minuman pun ada. Ia boleh disimpan lama membolehkannya dimakan sepanjang tahun. Batang, pelepah dan daunnya juga boleh digunakan. Pendek kata keseluruhan bahagian pohon kurma itu dapat memberi manfaat kepada manusia. Begitulah perumpamaan bagi orang yang baik dan fahaman yang baik – sangat-sangat berguna bagi manusia.

 

أَصلُها ثابِتٌ

akarnya teguh

Kenapakah pokok itu dianggap baik? Kerana akarnya tertunjang jauh ke dalam tanah. Sekiranya akar itu dalam dan kuat, itu menandakan yang pokok itu kukuh tidak berganjak. Kalimat inilah yang diumpamakan dengan pohon yang baik, berurat teguh ke bumi, berdahan kuat ke langit. Oleh kerana subur tumbuhnya dan teguh uratnya bermula dari dalam tanah, dengan sendirinya pohonnya pun menjadi subur. Apabila pohon subur, dahan banyak dan daun pun rendang, maka dahan-dahan dan daun-daun pun dapat menyerap cahaya matahari dan itulah yang menambah kesuburan keseluruhannya. Kesuburan suatu pohon bergantung kepada baiknya penyerapan sari bumi (air dan mineral daripada tanah) daripada urat akar dan baiknya penyerapan sari udara (gas karbon dioksida) serta daripada cahaya matahari dan daun-daun.

Apakah bandingan dengan agama? Maksudnya, akar yang kuat dan dalam itu memberi isyarat kepada iman yang kuat. Sekiranya kalimat Syahadat ini sudah tertanam dalam jiwa, bererti kita telah menanam Syajaratul Hayah, atau Pohon Hidup, atau Pohon Terang. Maka seluruh gerak-geri kehidupan seorang Muslim dimulai dengan kalimat ini dan disudahi dengan kalimat ini juga. Mulai dia tumbuh, lalu dipupuk baik-baik, disiram, diberikan udara dan cahaya matahari yang secukupnya, hasilnya bertambah kuatlah cabang, dahan dan rantingnya dan daun-daunnya. Itulah hidup yang subur, atau itulah yang sebenarnya hidup. Seandainya tidak ada itu semua, bererti sama seperti mati kerana jiwa sudah mati.

وَفَرعُها فِي السَّماءِ

dan dahannya (menjulang) ke langit,

Bukan sahaja akarnya dalam di tanah, tetapi cabangnya meninggi naik ke langit. Ini hanya berlaku kalau akar sesuatu pokok itu kuat, bukan? Ini menandakan pokok itu pokok yang sihat yang boleh memberi manfaat.

Apabila cabangnya tinggi dan banyak, buah pun tentu banyak. Ini merujuk kepada amalan yang dilakukan hasil daripada iman yang benar. Banyaklah amalan yang perlu dijaga dan ini memerlukan pembelajaran yang berterusan. Antaranya boleh lihat firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 177

۞ لَيْسَ الْبِرَّاَنْ تُوَلُّوْا وُجُوْهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ وَالْكِتٰبِ وَالنَّبِيّٖنَ ۚ وَاٰتَى الْمَالَ عَلٰى حُبِّهٖ ذَوِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِۙ وَالسَّاۤىِٕلِيْنَ وَفىِ الرِّقَابِۚ وَاَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ ۚ وَالْمُوْفُوْنَ بِعَهْدِهِمْ اِذَا عَاهَدُوْا ۚ وَالصّٰبِرِيْنَ فِى الْبَأْسَاۤءِ وَالضَّرَّاۤءِ وَحِيْنَ الْبَأْسِۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Ayat daripada surah Baqarah ini memberi ringkasan kepada perkara yang perlu dijaga dalam amalan kehidupan kita. Untuk mendapatkan balasan yang baik, maka amalannya pun hendaklah baik juga seperti yang dikehendaki oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ memberitahu kita di dalam ayat ini yang dahannya menjulang ke langit. Ini memberi isyarat yang amalan itu naik ke atas dan diterima oleh Allah ﷻ. Iaitu memberi isyarat amalan orang itu naik untuk menemui Tuhan untuk disimpan amalan itu di sisi-Nya. Ini penting kerana bukan semua amalan diterima. Kita telah sebutkan sebelum ini bahawa dua syarat yang amalan itu akan diterima: ikhlas kerana Allah ﷻ dan mengikut panduan Sunnah.

Akar yang kukuh menghasilkan dahan kuat tinggi menjulang ke langit

Akan tetapi untuk cabang pokok itu dapat naik tinggi ke langit, ia memerlukan akar yang kukuh, kerana kalau tidak, pokok itu tidak teguh. Maka untuk amal naik ke langit, ia memerlukan iman yang teguh sepertimana akar pokok yang teguh, baru ia boleh naik tinggi. Kerana itulah pemahaman Tauhid dan Akidah mesti diperkemaskan semenjak awal-awal lagi. Kalau ada masalah dengan hal ini, maka amalan itu akan menjadi sia-sia sahaja walaupun amalan itu mengikut Sunnah. Maka kedua-duanya penting seperti firman Allah ﷻ di dalam Fatir: 10

إِلَيهِ يَصعَدُ الكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالعَمَلُ الصّٰلِحُ يَرفَعُهُ
Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh menaikkannya.

Maka ayat ini menjadi hujah bahawa iman dan amal itu adalah perkara yang bersangkutan. Seandainya beriman sahaja tetapi tidak diteruskan dengan perbuatan yang baik, maka itu adalah sia-sia. Sebagai contoh, kalau seseorang itu mengucapkan tahlil (la ilaaha illallah) sebaliknya perbuatannya adalah syirik seperti tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, maka ini adalah tidak betul dan tidak sah tahlilnya itu.

Maka malanglah orang yang beramal banyak, tetapi akidah dia tidak benar lagi. Dia rajin beribadat, tetapi dia tidak faham tauhid kerana dia tidak belajar. Dia ada lagi fahaman syirik dan amalan syirik kerana dia tidak tahu yang dia sedang melakukan syirik.

Tidaklah dia sengaja mahu berbuat syirik, tetapi dek kerana kejahilan itulah yang menyebabkan dia melakukannya. Ini kerana fahaman dan amalan syirik itu diajar dan dibisikkan oleh jin syaitan. Begitulah apabila dia tidak ada kayu pengukur wahyu, maka dia tidak tahu sama ada ajaran bisikan syaitan itu benar atau tidak, maka dia amalkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 22 (Khutbah iblis)

iblis MENYAMPAIKAN KATA-KATANYA

Ibrahim Ayat 22: Setelah ahli neraka gagal mendapat pertolongan daripada para pemimpin mereka seperti disebut dalam ayat sebelum ini, maka mereka mencari Iblis dan menyalahkannya pula. Ini adalah penyebab utama ramai manusia ikut semasa di dunia sampai tersesat, adalah syaitan. Maka penghasut sebenarnya adalah syaitan. Mereka membisikkan perkara yang jahat dan mengajar ilmu-ilmu yang salah. Ahli neraka marah dan hendak menyalahkan iblis dan syaitan kerana semasa di dunia, mereka menjanjikan macam-macam kepada manusia yang lalai, tetapi lihatlah apa yang syaitan akan syarah nanti.

وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Satan will say when the matter has been concluded, “Indeed, Allāh had promised you the promise of truth. And I promised you, but I betrayed you. But I had no authority over you except that I invited you, and you responded to me. So do not blame me; but blame yourselves. I cannot be called to your aid, nor can you be called to my aid. Indeed, I deny your association of me [with Allāh] before.¹ Indeed, for the wrongdoers is a painful punishment.”

  • By your obedience to me instead of Him during life on earth.

(MELAYU)

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

 

وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan:

Kejadian ini berlaku di akhirat. Yang dimaksudkan berkata ini adalah syaitan yang asal iaitu kita kenali sebagai Iblis. Syaitan akan beri ucaptama setelah selesai hisab dijalankan. Ini setelah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menghumban mereka semua ke dalam neraka. Maknanya, syaitan sedang bercakap dengan ahli neraka. Dia hendak menjelaskan apa yang telah terjadi.

Syaitan/Syaithan berasal daripada bahasa Arab yang didasarkan kepada ش ط ن yang bermaksud keras kepala; songsang; jauh daripada kebenaran dan rahmat Tuhan; memberontak; syaitan. Bukan sahaja mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, mereka juga hendak menjauhkan manusia dan jin daripada Allah ﷻ. Sebenarnya aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud “terbakar“, “kesulitan“, “hancur terbakar” dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.

Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud “segala yang buruk dan jahat“. Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal daripada kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot – jamak] yang turut merujuk kepada “kejahatan” dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.

Oleh itu, kalimah ‘Syaitan’ sebenarnya adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.

Ramai yang tidak tahu dan pelik apabila kita beritahu hal ini kerana mereka sangka syaitan ini satu jenis bangsa makhluk pula. Mereka sangka ada manusia, malaikat, jin dan juga syaitan. Tidak sebenarnya, kerana makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja iaitu jin, manusia, malaikat. Maka ‘syaitan’ ini boleh jadi dalam kalangan jin dan juga kalangan manusia. Benar, jangan pelik manusia pun ada yang mempunyai sifat syaitan itu. Dalilnya daripada ayat yang kita selalu baca, iaitu Nas: 6

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia”.

Maknanya ayat ini memberitahu kita bahawa ada syaitan jin dan juga ada syaitan manusia. Bukan itu sahaja, ada lagi dalil-dalil lain seperti ayat Baqarah: 36

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu

Di dalam ayat Baqarah ini, ia adalah kisah Iblis menghasut Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa. Pada peringkat awal, disebut namanya sebagai Iblis. Akan tetapi di ayat 36 disebut ia sebagai ‘syaitan’ sedangkan ia adalah entiti yang sama. Kita pun tahu bahawa Iblis adalah daripada bangsa jin. Di dalam ayat Baqarah: 14 pula para pendita Yahudi juga menggunakan istilah syaitan bagi mereka:

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

Kalau sifat mereka itu jauh daripada Allah ﷻ dan menjauhkan orang lain daripada Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya adalah ‘syaitan’. Maka jangan pelik sangat apabila kita katakan yang ‘syaitan’ itu sebenarnya sifat. Akan tetapi itu adalah penerangan secara umum apakah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’. Hendaklah dilihat konteks ayat untuk melihat Allah ﷻ merujuk kepada siapa. Di dalam ayat yang kita sedang baca ini, ia merujuk kepada bapak syaitan iaitu Iblis Laknatullah. Itu ada seekor sahaja.

Bilakah syaitan menyampaikan khutbahnya ini? Allah ﷻ sebut لَمّا قُضِيَ الأَمرُ (tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan). Ini bermaksud kejadian ini terjadi setelah Allah ﷻ telah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba-Nya, di mana Allah ﷻ telah memasukkan orang-orang mukmin ke dalam syurga serta menempatkan orang-orang kafir di dalam lapisan bawah neraka. Mungkin juga bermaksud setelah orang yang ada di dalam neraka hanyalah mereka yang kekal sahaja (yang layak masuk syurga telah dimasukkan ke dalam syurga setelah duduk sekian waktu di dalam neraka).

Maka pada hari itu berdirilah iblis dalam kalangan ahli neraka seraya berkhutbah kepada mereka untuk menambah kesedihan di atas kesedihan yang sedang mereka alami, menambahkan kerugian di atas kerugian, dan kekecewaan di atas kekecewaan. Maka, ini adalah dikira sebagai ‘azab rohani’. Ini kerana akan disebut apa yang telah berlaku semasa di dunia dan ahli neraka akan sedar yang mereka langsung tidak ada harapan lagi.

 

إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ

“Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar,

Syaitan mengingatkan mereka yang telah ditetapkan masuk neraka itu kepada janji Allah ﷻ. Syaitan kata Tuhan sudah berjanji untuk beri balasan mengikut apa yang dilakukan oleh manusia. Kalau taat kepada-Nya, akan dibalas dengan syurga dan kalau tidak taat, akan dibalas dengan neraka. Janji ini ada dalam kitab wahyu, ada dalam Al-Qur’an dan janji ini dibawa oleh para Rasul.

Janji itu disampaikan melalui lisan rasul-rasul-Nya, dan Dia menjanjikan kepada kalian apabila kalian mengikuti para Rasul, Dia akan menyelamatkan dan menyejahterakan kalian; dan janji Allah ﷻ itu dipenuhi-Nya, kerana janji-Nya adalah benar dan beritanya benar pula. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 94

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Maknanya kita kena pastikan janji itu daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam wahyu sama ada Al-Qur’an ataupun hadith. Bukannya ikut kata-kata tok guru yang menjanjikan berbagai-bagai pahala tetapi dalilnya tidak ada. Banyak bukan amalan rekaan daripada manusia tetapi mereka menjanjikan pahala sekian dan sekian. Memandai sahaja mereka letak ganjaran pahala itu dan ini. Maknanya itu bukan daripada wahyu tetapi daripada syaitan!

Lihatlah bagaimana syaitan pun tahu bahawa janji Allah ﷻ itu benar dan Allah ﷻ tidak menipu. Apa yang dijanjikan-Nya pasti ditepati. Ini kerana syaitan bukannya tidak kenal Allah ﷻ. Malah Iblis itu lebih kenal Allah ﷻ daripada kita. Akan tetapi masalahnya adalah dia degil.

 

وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم

dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. 

Syaitan kata dia pun ada berjanji juga. Macam-macam dijanjikan syaitan kalau ikuti dia. Dia janjikan pahala, kedudukan, kesenangan dan macam-macam lagi. Semua itu dijanjikan kalau buat amalan yang syirik dan bid’ah kerana ajaran syirik dan bid’ah adalah daripada janji syaitan sebenarnya. Kerana Allah ﷻ dan Nabi tidak pun ada berjanji untuk beri pahala kalau buat benda-benda itu. Yang menjanjikan akan dapat pahala adalah syaitan.

Syaitan kata memang dia ada janjikan, tetapi dia mengaku yang dia tidak penuhi janjinya itu. Dia cuma menipu sahaja kita hidup-hidup. Allah ﷻ berjanji benar, tetapi janji syaitan adalah sebaliknya. Ini kita tahu melalui firman-Nya:

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka.
(An-Nisa: 120)

 

وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ

Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu,

Akan tetapi syaitan akan kata yang dia tidak pernah ada kuasa untuk memaksa mereka mengikutinya. Allah ﷻ pun tidak paksa manusia ikut kerana Allah ﷻ beri pilihan kepada manusia sama ada hendak taat atau tidak. Kalau taat, akan dibalas baik dan kalau ingkar akan dimasukkan ke dalam neraka.

Kalimah سُلطٰنٍ juga boleh ditafsirkan sebagai dalil. Maknanya apabila syaitan memberikan angan-angan kosong, dia tidak beri dalil pun. Begitulah kemudian disampaikan oleh guru-guru yang ambil ilmu dengan cara yang salah (bukan dengan jalan wahyu). Yang mengikutnya adalah orang-orang yang jahil sahaja. Kalau seseorang itu pandai, dia akan minta dalil bagi mana-mana amalan.

Oleh kerana itu banyak kali Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan tertipu dengan syaitan. Jangan ikut langkah syaitan kerana syaitan akan menyesatkan kita. Antara caranya adalah seperti disebut dalam Baqarah: 168-169

يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Di sini kita tahu yang syaitan sentiasa mengajar untuk melakukan perbuatan dosa dan keji. Dia akan mereka-reka fahaman tentang Allah ﷻ yang tidak ada dalil. Maka kerana itulah ramai yang tertipu dengan amalan-amalan bid’ah, kononnya Allah ﷻ suka kalau kita melakukannya. Padahal amalan bid’ah tidak ada dalil, bukan? Semuanya adalah hanya berdasarkan angan-angan Mat Jenin sahaja. Allah ﷻ juga berfirman di dalam Baqarah: 268

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya.

Di dalam ayat ini syaitan telah mengaku yang dia tidak ada سُلطٰنٍ. Akan tetapi kalau kita perhatikan di dalam Nahl: 100 disebut dia ada سُلطٰنٍ pula ke atas manusia. Bagaimana kita hendak menjamakkan pemahaman kedua-dua ayat ini kerana nampak berlawanan pula?

إِنَّما سُلطانُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ
Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

Pertamanya, syaitan tidak ada kuasa untuk memaksa. Nanti dia akan cakap yang dia hanya boleh ajak sahaja. Namun di dalam masa yang sama, dia ada kuasa juga untuk menipu orang-orang yang jahil. Itulah maksudnya kuasa atau سُلطٰنٍ. Iaitu kuasa untuk menghiasi amalan buruk agar nampak baik. Ini mereka boleh lakukan terhadap orang yang jahil iaitu jenis yang tidak peka tentang kepentingan dalil dalam beramal. Begitulah Allah ﷻ sebut dalam Ra’d: 33

بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم
Sebenarnya orang-orang kafir itu dijadikan (oleh syaitan) memandang baik tipu daya mereka

 

إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي

melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, 

Syaitan kata dia cuma ajak mereka sahaja. Allah ﷻ hantar Nabi sebagai utusan kepada manusia dengan segala dalil dan hujah, sedangkan dia hanya ajak sahaja tanpa beri apa-apa dalil pun. Lalu syaitan salahkan kembali kepada ahli neraka – dia ajak sahaja tetapi mereka yang ikut ajakan itu. Mereka yang sengaja ikut dan dengan ikhtiar mereka sendiri. Tidak ada sesiapa yang paksa mereka buat amal syirik dan amal bid’ah itu. Mereka yang bodoh sebab ikut ajaran tanpa dalil.

Syaitan menipu manusia melalui perantaraan tok guru-guru sesat. Macam-macam mereka ajak tetapi satu habuk dalil pun tidak diberikan. Maka ramai yang jahil pakat ikut beramai-ramai. Sedih apabila kita lihat ramai sungguh pengikut ajaran-ajaran sesat ini seperti Tarekat, Persilatan, Habaib, Ayah Pin, ajaran Si Hulk dan lain-lain lagi.

Yang lebih menakjubkan adalah kalimah فَاستَجَبتُم (lalu kamu terus mengikuti). Cepat sangat terima, cepat sangat ikut kerana harf ف itu bermaksud terus melakukannya. Begitulah kita lihat betapa mudahnya orang jahil mengikut ajaran tok guru sesat kerana perawakan tok guru itu yang seperti alim, warak dek kerana pakaian dan kata-kata sahaja. Apabila dibawa ajaran Al-Qur’an dan Sunnah, banyak pula songel tanya itu dan ini kerana ragu, sebaliknya dengan fahaman dan amalan sesat, cepat pula mereka terus terima.

Oleh itu, syaitan hanya boleh menghasut sahaja. Akan tetapi hasutan mereka ini sangatlah hebat kerana mereka kenal manusia dan kelemahan manusia. Oleh itu kita kena tahu bagaimana cara mereka menipu manusia dengan tipu helah yang amat licik. Kerana itu sebuah kitab yang disarankan untuk dipelajari adalah Talbis Iblis karangan Imam Ibn Qayyim al-Jawziyya رَحِمَهُ اللَّهُ. Cuma sebagai ringkasan di sini, kita beri di sini tahap-tahap bagaimana cara syaitan menghasut manusia.

1. Paling utama syaitan mahu manusia syirik kepada Allah ﷻ kerana ini adalah dosa terbesar dan Allah ﷻ tidak akan ampunkan. Maka mereka akan cuba menghasut manusia ke arah syirik dahulu supaya manusia itu kekal dalam neraka.

2. Kalau gagal menjadikan manusia itu syirik, maka syaitan akan cuba supaya manusia melakukan perkara bid’ah, iaitu menambah perkara baru dalam agama dan amalan kerana ini adalah perbuatan yang sesat. Syaitan tahu yang orang yang suka membuat bid’ah paling susah untuk bertaubat kerana mereka sangka mereka melakukan perkara yang baik. Kalau orang buat maksiat, mereka tahu yang mereka sedang melakukan dosa. Namun pelaku bid’ah tidak sangka mereka sedang melakukan dosa, maka mereka tidak akan bertaubat daripadanya.

3. Kalau manusia tidak melakukan bid’ah, maka syaitan akan cuba menghasut manusia melakukan dosa besar. Ini pun masalah juga. Bayangkan kalau kaki masjid tetapi derhaka kepada ibu bapa; solat tidak tinggal tetapi dalam masa yang sama dia juga berzina; ada yang terlibat dengan rasuah; kaki mengumpat dan sebagainya.

4. Kalau itu pun gagal, sekurang-kurangnya syaitan akan cuba menghasut manusia untuk melakukan dosa-dosa kecil kerana dosa-dosa kecil boleh membawa kepada dosa besar juga akhirnya. Ini seperti pembaziran masa, makanan dan sebagainya; bercakap perkara yang sia-sia dan sebagainya.

5. Kalau itu pun tidak berjaya, syaitan akan suruh manusia melakukan perkara yang harus dan meninggalkan perkara yang wajib. Maknanya dia tidaklah membuat amalan haram, tetapi kerana perbuatannya itu, sampai terciduk amalan yang wajib pula. Contohnya jaga anak sampai lewat solat atau tertinggal solat; berkebun itu harus tetapi terlalu sibuk sampai meninggalkan mempelajari Al-Qur’an.

6. Akhir sekali cubaan syaitan adalah menghasut manusia buat benda yang baik, tetapi meninggalkan benda yang lebih baik. Contohnya syaitan suruh manusia solat malam lama-lama, tetapi kerana penat solat sunat itu sampai tertinggal solat Subuh; syaitan suruh manusia betulkan bacaan Al-Qur’an tetapi halang manusia daripada belajar memahami tafsir Al-Qur’an.

 

فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم

oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku akan tetapi celalah dirimu sendiri.

Oleh itu, syaitan kata jangan salahkan dia tetapi salahkan diri mereka sendiri. Tidak payahlah cela dia tetapi celalah diri sendiri. Kerana memang sudah kerja dia menyesatkan manusia. Kalimah تَلوموني dan لوموا daripada katadasar ل و م yang bermaksud menyalahkan seseorang; teguran; orang yang mencari kesalahan; seseorang yang sentiasa menyalahkan orang lain atau menyalahkan diri sendiri; mencela diri sendiri; menyalahkan diri sendiri. Daripada katadasar inilah juga terbentuk kalimah Nafsu Lawwamah.

Syaitan mengejek mereka supaya tidak payahlah sibuk hendak salahkan dia pula. Mereka yang salah sebenarnya kerana lemah sangat dan mudah mengikut ajakan. Sedangkan Allah ﷻ dan Nabi sudah ajar manusia supaya kenal syaitan dan bagaimana syaitan buat kerja agar tidak tertipu.

 

ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ

Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku.

Kalimah صرخ bermaksud menjerit minta tolong. Kalimah مصرخ bermaksud orang yang menjawab jeritan meminta tolong itu (orang yang dapat tolong). Ia daripada katadasar ص ر خ yang bermaksud penolong; memanggil atau menangis meminta pertolongan; menangis dengan kuat.

Syaitan beritahu yang dia tidak boleh membantu mereka yang sudah masuk neraka itu dan mereka pun tidak boleh membantunya. Oleh itu, jangan buang masa untuk meminta tolong dan merayu lagi. Sama-sama sudah masuk dalam neraka. Tidak perlulah cari dia untuk minta tolong kerana dia memang tidak dapat tolong dan berbuat apa-apa melainkan menyakitkan hati mereka sahaja. Maka menyesallah semampu kamu kerana kamu tidak akan dapat keluar dari neraka ini.

 

إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ

Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. 

Syaitan menarik diri (berlepas diri) daripada akidah mereka yang masuk neraka itu – dia kata dia tidak ada kena mengena dengan perbuatan syirik yang mereka lakukan dulu. Dia sendiri tolak akidah syirik mereka. Lihatlah bagaimana dia pun tidak setuju dengan akidah mereka itu. Akan tetapi dia suka kerana dia mahu mereka masuk neraka bersama dengannya. Sedangkan syaitan sendiri tidak berani dengan akidah yang syirik.

Begitulah syaitan. Ia akan hasut manusia untuk melakukan kufur dan kemudian setelah manusia melakukannya, ia akan tarik diri. Ini seperti telah disebut di dalam Hashr: 16

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

 

 

إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

Akhirnya, syaitan menutup syarahannya dengan memberitahu yang orang yang zalim memang akan dikenakan azab.

Kalimah الظَّالِمِينَ mempunyai banyak makna. Secara umum, ia merujuk kepada mereka yang berbuat jahat. Orang kita sangka, buat amalan bid’ah itu kecil sahaja, namun sebenarnya ia adalah amat besar sekali. Mereka sanggup buat kerana mereka tidak belajar dan sangka itu perkara kecil sahaja, yang menyebabkan mereka tidak segan silu melakukan amalan bid’ah itu. Mereka dikatakan zalim kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Amalan ibadat patutnya diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Akan tetapi mereka ambil pula rekaan amalan daripada manusia pula.

Mereka pula pandai berhujah (hujah bathil): “Takkan salah apa yang ustaz-ustaz itu buat”, “walaupun Nabi tak buat, tapi kalau benda baik, tak salah kalau kita buat”, “kalau niat kita ikhlas, Allah akan terima,” “takkan berdosa pula kalau aku buat begini?” dan entah berapa banyak lagi contoh-contoh hujah bathil yang mereka akan beri lagi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Maka, ia ada banyak peringkat. Kalau bid’ah yang mereka buat itu dalam hal akidah, maka boleh menjadi syirik; kalau dalam hal amalan, maka ia berdosa.

Kezaliman yang paling besar, ialah kezaliman syirik. Ini seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Secara umumnya, zalim itu ada tiga jenis:

1. Zalim Akbar iaitu Syirik seperti ayat Luqman: 13 di atas.

2. Zalim kepada orang lain dengan tidak memberi haq mereka, atau menindas mereka dan sebagainya.

3. Zalim kepada diri sendiri dengan tidak mengikut arahan agama seperti disebut dalam Fatir: 32

فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ
lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri

Janganlah kita melakukan mana-mana kezaliman pun kerana ia akan menyusahkan diri kita sendiri di akhirat kelak, lebih-lebih lagi Zalim Akbar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 18 – 21 (Amalan baik orang kafir)

AMALAN YANG RUGI

Ibrahim Ayat 18: Allah ﷻ beri perumpamaan tentang amal kebaikan orang kafir di dunia. Ayat ini sehingga ke ayat 23 adalah Perenggan Makro ke 4. Ia menyentuh tentang amalan orang kafir dan dialog mereka di neraka kelak. Kaum yang mengikut-ngikut sahaja akan menyalahkan pemimpin-pemimpin atau guru-guru mereka kerana menyebabkan mereka sesat.

مَّثَلُ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم ۖ أَعمٰلُهُم كَرَمادٍ اشتَدَّت بِهِ الرّيحُ في يَومٍ عاصِفٍ ۖ لّا يَقدِرونَ مِمّا كَسَبوا عَلىٰ شَيءٍ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الضَّلٰلُ البَعيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of those who disbelieve in their Lord is [that] their deeds are like ashes which the wind blows forcefully on a stormy day; they are unable [to keep] from what they earned a [single] thing. That is what is extreme error.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.

 

ّمَّثَلُ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم

Perumpamaan orang-orang yang kafir (ingkar) kepada Tuhannya,

Sekarang Allah ﷻ membuat satu perbandingan. Memang banyak ayat Al-Qur’an yang berupa perbandingan untuk memberi kefahaman kepada kita yang membacanya. Persoalan yang hendak dijawab di sini adalah tentang amalan perbuatan orang-orang yang kufur. Mungkin ada kebaikan yang manusia ingkar itu lakukan semasa di dunia. Mereka mungkin orang yang selalu menderma, selalu menolong orang, cipta peralatan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh manusia dan macam-macam lagi kebaikan.

Tidak dinafikan ada ramai orang bukan Islam yang baik-baik belaka dan malah ada yang lebih baik dari segi khidmat dan adab mereka kepada manusia yang lain. Ini kita tidak dapat nafikan kerana ramai sahaja orang baik-baik dalam kalangan orang bukan Islam, malah ada yang lebih baik lagi daripada Muslim pun. Namun apakah tidak ada langsung balasan kebaikan buat mereka itu? Sekarang Allah ﷻ beri perumpamaan apakah yang terjadi dengan perbuatan baik mereka itu.

 

أَعمٰلُهُم كَرَمادٍ اشتَدَّت بِهِ الرّيحُ في يَومٍ عاصِفٍ

amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. 

Mungkin orang kafir juga ada melakukan perkara baik semasa di dunia dulu. Contohnya, mereka berbuat baik kepada ibu bapa mereka, menolong orang miskin, menderma dan sebagainya. Itu memang perbuatan yang baik, namun itu tidak bernilai bagi membantu mereka di akhirat kelak. Kalau mereka ada buat amal baik, amal mereka diumpamakan seperti debu/abu sahaja.

Waktu mereka di akhirat itu, mereka pun katalah yang mereka ada buat itu dan ini benda-benda yang baik, tetapi akan diberitahu yang amalan mereka itu tidak berguna di akhirat. Amalan baik mereka itu bagaikan seseorang yang membawa abu untuk ditawarkan sebagai ganti untuk membeli barangan. Tentulah tidak ada nilai. Seperti disebut dalam ayat lain:

مَثَلُ مَا يُنْفِقُونَ فِي هَذِهِ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ
Perumpamaan harta yang mereka nafkahkan di dalam kehidupan dunia ini adalah seperti perumpamaan angin yang mengandungi hawa yang sangat dingin, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri sendiri, lalu angin itu merosakkannya. Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
(Ali Imran: 117)

Sudahlah tidak ada nilai, lalu ditiup angin pula maka abu itu pun langsung tidak ada. Untuk air yang bertiup biasa pun sudah boleh menghilangkan abu itu, apatah lagi ayat ini mengatakan angin kencang – maka memang tidak ada kesan langsung.

Akan tetapi, itu adalah di akhirat nanti. Untuk di dunia, mereka boleh mendapat balasan baik bagi amalan baik mereka. Namun begitu Allah ﷻ terus balas di dunia supaya mereka tidak boleh minta balasan di akhirat. Contohnya kalau mereka selalu menderma, Allah ﷻ akan murahkan rezeki mereka. Maka seandainya mereka tuntut di akhirat tentang perbuatan derma mereka itu, Allah ﷻ akan beritahu yang Dia sudah membalasnya siap-siap di dunia lagi. Dalilnya adalah Furqan: 23

وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلنٰهُ هَباءً مَّنثورًا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

Kalimah قَدِمنا bermaksud Allah ﷻ akan awalkan balasan kepada mereka. Iaitu semasa di dunia, namun di akhirat mereka tidak ada bahagian apa-apa lagi yang mereka boleh tuntut.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

لا يَقدِرونَ مِمّا كَسَبوا عَلىٰ شَيءٍ

Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun dari apa yang telah mereka usahakan

Mereka tidak mampu untuk mengambil manfaat daripada amal-amal baik yang mereka buat semasa di dunia walaupun sedikit. Seperti orang yang hendak mengambil semula abu yang telah ditiup oleh angin yang kencang. Mana boleh ambil balik! Ini adalah kerana mereka berbuat syirik atau kufur kepada Allah ﷻ. Maka, mereka amat rugi sekali kerana amalan baik mereka semasa di dunia dulu tidak bernilai langsung.

 

ذٰلِكَ هُوَ الضَّلٰلُ البَعيدُ

Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.

Apa yang mereka lakukan itu adalah sesat dan sesat yang jauh. Bila jauh, sudah susah untuk kembali lagi. Melainkan kalau mereka memikirkan tentang kebenaran dengan hati yang tulus ikhlas hendak mencari kebenaran.


 

PERINGATAN KEPADA MANUSIA

Ibrahim Ayat 19: Ini dalil tauhid ke-dua dalam surah ini. Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللَهَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ إِن يَشَأ يُذهِبكُم وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not seen [i.e., considered] that Allāh created the heavens and the earth in truth? If He wills, He can do away with you and produce a new creation.

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak? Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mengganti(mu) dengan makhluk yang baru,

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللَهَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak?

Maksud Allah ﷻ tanya soalan ini adalah: “Tidakkah kau lihat? Tidakkah kau memikirkan?, Tidakkah engkau mengetahui?” Maknanya bukanlah lihat dengan mata, tetapi lihat dengan akal. Ini benda yang penting sekali – kena lihat apa yang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita mengetahui dengan ilmu dan selepas itu menerima Allah ﷻ sebagai satu-satunya Tuhan.

Kalau tidak terima tauhid ini, tidak terima bahawa Allah ﷻ itu adalah satu-satunya ilah, tidak ada yang lain, maka segala kehidupan kita tidak bermakna, segala perbuatan baik tidak berguna di akhirat. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ beritahu yang amalan orang kafir itu tidak bernilai, bagaikan abu/debu yang ditiup angin.

Kadang-kadang, mereka lebih baik daripada orang Islam pun yang tidak berbuat apa-apa. Namun Allah ﷻ hendak beritahu, kalau tidak terima Allah ﷻ sebagai satu-satunya ilah, maka amalan kebaikan mereka itu tidak dikira sebagai pahala – ia tidak akan dapat membantu mereka di akhirat kelak.

Untuk menerima Allah ﷻ sebagai satu-satu Tuhan, maka kenalah kita sebagai manusia melihat alam ini. Memang kita hidup di dunia sekarang dengan menikmati segala kesenangan, segala nikmat. Namun Allah ﷻ jadikan alam ini bukanlah untuk kita hidup dan kemudian mati begitu sahaja. Allah ﷻ jadikan alam ini untuk dengan ‘haq’ iaitu untuk menzahirkan kebenaran.

Apakah kebenaran itu? Iaitu Allah ﷻ lah sahaja yang mencipta. Maka kerana itu, Dia sahaja yang berhak dipuja dan disembah. Kalau Dia yang jadikan alam ini, kenapa entiti lain pula yang dipuja, kenapa entiti lain pula yang disembah? Tentulah Allah ﷻ murka kalau ada manusia buat begitu.

Kalau yang disembah itu boleh menjadikan alam, maka bolehlah kalau rasa hendak sembah mereka. Adakah Jesus buat alam? Adakah Buddha buat alam? Adakah Nabi Muhammad ﷺ cipta alam ini? Tentu tidak. Maka kenapa masih lagi menyembah mereka? Kenapa lagi berdoa kepada mereka?

Ayat ini juga sebagai dalil aqli untuk manusia menerima bahawa Allah ﷻ boleh menjadikan kita semua selepas kita mati nanti. Kalau Allah ﷻ boleh mencipta alam yang amat luas ini, tentulah Dia boleh jadikan kita semua daripada mati kepada hidup semula. Kerana Dia sudah boleh cipta kita daripada tiada kepada ada, bukan? Maka untuk menghidupkan semula itu tentu lebih mudah, bukan? Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah kerana menciptakannya, kuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya, (bahkan) sesungguhnya Dia Maha berkuasa atas segala sesuatu.
(Al-Ahqaf: 33)

 

إِن يَشَأ يُذهِبكُم وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mengganti(mu) dengan makhluk yang baru,

Allah ﷻ jadikan kita hidup di alam dunia ini sebagai ujian buat kita. Allah ﷻ mahukan kita kenal yang Dialah sahaja Tuhan dan ilah yang sebenarnya, tidak ada yang lain. Kalau kita tidak terima perkara yang utama ini, Allah ﷻ boleh sahaja mematikan kita semua dan tukar dengan makhluk jenis lain. Kerana tidak ada gunanya lagi kita semua kalau begitu.

Lihatlah ramai sekali orang kafir yang risau dengan keadaan dunia sekarang, kerana ada banyak binatang yang semakin pupus. Kepada mereka yang risau binatang banyak yang pupus, ketahuilah yang mereka pun Allah ﷻ boleh pupuskan! Allah ﷻ boleh gantikan manusia dengan makhluk yang baru. Banyak lagi ayat yang lebih kurang sama dengan ayat ini:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ إِنْ يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ وَمَا ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ بِعَزِيزٍ
Hai manusia, kalianlah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kalian dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kalian). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.
(Fathir: 15-17)

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
Dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kalian) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kalian.
(Muhammad: 38)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ
Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kalian yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.
(Al-Maidah: 54)


 

Ibrahim Ayat 20:

وَما ذٰلِكَ عَلَى اللهِ بِعَزيزٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that is not difficult for Allāh.

(MELAYU)

dan yang demikian itu sekali-kali tidak sukar bagi Allah.

 

Untuk matikan kita semua dan ganti dengan makhluk yang lain, tidak susah pun untuk Allah ﷻ. Ini adalah kerana kuasa dan qudrat ada di Tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ itu Tuhan, maka Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang Allah ﷻ daripada melakukan apa yang Dia kehendaki. Jangan rasa kita ini hebat sangat, sampaikan kita sangka yang manusia akan kekal di dunia ini.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah lakukan kepada alam. Ada tempat yang penuh dengan tumbuhan subur menghijau. Namun Allah ﷻ boleh jadikan tempat itu kemarau dan tidak ada tanaman langsung. Kemudian Allah ﷻ turunkan air kepada tempat itu dan tumbuh pula tumbuhan yang lain. Sampaikan orang yang lalu di kawasan itu sangka itu adalah tempat lain sedangkan dia pernah melalui kawasan itu.

Begitu juga dengan kita yang sudah ada peluang untuk belajar agama dengan benar, tetapi tidak mengambil peluang itu. Allah ﷻ boleh sahaja gantikan dengan pelajar baru yang memang hendak belajar. Entah berapa ramai pelajar silih berganti. Allah ﷻ tidak perlukan kita yang sangka diri kita hebat. Kita hidup sementara ini untuk menumpang sahaja sementara waktu. Maka jangan lepaskan peluang untuk mengenal Al-Qur’an ini.


 

PENGIKUT MEMISAHKAN DIRI DARI PEMIMPINNYA

Ibrahim Ayat 21: Sekarang Allah ﷻ sebut tentang kejadian dan dialog yang akan berlaku di akhirat kelak. Ia belum berlaku lagi, maka ia adalah sebagai peringatan kepada kita.

وَبَرَزوا ِللهِ جَميعًا فَقالَ الضُّعَفٰؤ لِلَّذينَ استَكبَروا إِنّا كُنّا لَكُم تَبَعًا فَهَل أَنتُم مُّغنونَ عَنّا مِن عَذابِ اللهِ مِن شَيءٍ ۚ قالوا لَو هَدىٰنَا اللَهُ لَهَدَينٰكُم ۖ سَواءٌ عَلَينا أَجَزِعنا أَم صَبَرنا ما لَنا مِن مَّحيصٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will come out [for judgement] before Allāh all together, and the weak will say to those who were arrogant, “Indeed, we were your followers, so can you avail us anything against the punishment of Allāh?” They will say, “If Allāh had guided us, we would have guided you. It is all the same for us whether we show intolerance or are patient: there is for us no place of escape.”

(MELAYU)

Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: “Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja? Mereka menjawab: “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh atau kah bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri”.

 

وَبَرَزوا ِللهِ جَميعًا

Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah,

Kalimah بَرَزو bermaksud keluar dan timbul iaitu semua makhluk akan dikeluarkan untuk mengadap Allah ﷻ. Semua akan jelas kepada Allah ﷻ dan tidak ada yang boleh sorok daripada-Nya. Semua kita nanti akan mengadap Allah ﷻ dan tidak ada yang mengadap kepada entiti lain. Tidak ada pergi tempat lain dulu, melainkan ke Mahsyar juga menunggu penghakiman daripada Allah ﷻ. Waktu itu sudah nampak kedahsyatan akhirat dan orang kafir sudah takut sangat.

Kenapa dikatakan di sini yang akan dijelaskan semuanya kepada Allah ﷻ pada hari Akhirat? Bukankah di dunia ini juga tidak ada tersembunyi bagi Allah ﷻ? Ya benar. Cuma diberi penekanan tentang akhirat di sini kerana waktu itu memang jelas bagi makhluk yang mereka tidak boleh sorok daripada Allah ﷻ. Kalau semasa di dunia ini, ada yang sangka mereka boleh sorok daripada Allah ﷻ. Namun di akhirat nanti mereka tidak boleh menolak lagi.

Bukan hanya jelas bagi Allah ﷻ, tetapi makhluk yang lain pun akan nampak. Di dunia ini kita tidak tahu siapa yang beriman dan siapa yang kufur, bukan? Akan tetapi di akhirat nanti semua akan dapat kenal siapa yang kufur dan siapa yang beriman kerana orang yang beriman itu wajahnya berseri bercahaya. Jelas sekali suasana di akhirat nanti tidaklah sama dengan dunia.

Ayat ini adalah tentang orang-orang yang ingkar dengan agama. Mereka sangka mereka ada pembantu lain yang boleh menyelamatkan mereka seperti Buddha, Jesus, Wali itu dan ini. Itu semua tidak akan terjadi kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh menyelamatkan mereka di akhirat kelak melainkan Allah ﷻ sahaja.

Waktu itu mulalah mereka mencari orang yang mereka boleh salahkan.

 

فَقالَ الضُّعَفٰؤ لِلَّذينَ استَكبَروا

lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: 

Mereka itu dikatakan sebagai orang yang lemah fikiran, kerana mereka ikut sahaja apa yang disampaikan kepada mereka. Lemahnya mereka untuk memikirkan mana yang benar. Mereka itu adalah orang-orang yang lemah pendiriannya kerana tidak mahu menggunakan akalnya, lalu dia menjadi Pak Turut sahaja kepada orang-orang yang terkemuka, yang dengan percakapan manis dan sombong telah mengajak si lemah tadi supaya mengikut mereka, walaupun ajakannya itu kepada kesesatan. Kadang-kadang orang-orang ini sebagai pemimpin agama atau kepala pemerintahan atau pengejar untung.

Orang-orang yang lemah itu tidak menggunakan akal mereka untuk memikirkan sama ada apa yang disampaikan kepada mereka itu benar atau tidak, ikut dalil atau tidak. Mereka hanya mengikut sahaja. Yang mereka ikut adalah orang-orang yang sombong, iaitu sombong untuk menerima kebenaran. Mereka itu menzahirkan kesombongan mereka kepada pendakwah dan juga kepada pengikut mereka. Selalunya mereka ini yang berada di kedudukan yang tinggi, yang ada kuasa, yang ada pangkat, ada ramai anak murid dan pengikut. Bila mereka ditegur tentang amalan dan ajaran salah mereka, mereka tidak mahu terima. Pengikut mereka pun mengikut sahaja dek kerana kesombongan mereka itu.

Orang yang lemah fikiran itu ikut sahaja tanpa usul periksa, lalu mereka pun dimasukkan juga ke dalam neraka bersama dengan orang-orang yang sombong itu. Mereka tidak boleh menggunakan alasan ‘kami ikut sahaja’ kerana Allah ﷻ telah berikan akal dan pancaindera kepada mereka untuk menilai. Sekarang Allah ﷻ sebut perbualan antara mereka di neraka kelak.

 

إِنّا كُنّا لَكُم تَبَعًا

“Sesungguhnya kami dahulu benar-benar adalah pengikut-pengikutmu,

Mereka yang masuk ke dalam neraka itu sudah menggelabah tidak tahu bagaimana hendak menyelamatkan diri, maka mereka berkata kepada orang atasan (golongan sombong) itu, yang mereka dulu adalah pengikut yang taat: “Dulu kami ikut kamu dengan taat. Apa sahaja kamu kata, kami ikut. Kamu kata ini bagus, kami ikut, kamu buat ini bagus, kami pun ikut juga.”

Mereka cakap begitu untuk apa? Untuk menyelamatkan diri dari neraka sebenarnya. Sudahlah mereka masuk neraka kerana golongan yang sombong itu, sekarang minta tolong pula kepada mereka? Allah ﷻ zahirkan bagi kita lihat bagaimana bodohnya mereka itu. Masih lagi berharap kepada tok guru mereka walaupun sudah jadi begitu?

 

فَهَل أَنتُم مُّغنونَ عَنّا مِن عَذابِ اللهِ مِن شَيءٍ

maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit sahaja?

“Kami dulu ikut kamu kerana kami percaya kepada kamu. Maka sekarang tolonglah kami sedikit.” Itulah kata pengikut kepada idola mereka. Dulu semasa di dunia, mereka ikut sahaja, sekarang mereka minta tolong pula. Mereka minta supaya bolehlah ketua-ketua dan guru mereka itu menghalang mereka daripada azab neraka itu, walaupun sedikit. Maknanya, mereka tahu yang kalau keluar terus memang tidak dapat, tetapi kalau dapat keluar sehari pun mereka sudah kira OK. Atau kalau kurangkan azab sedikit pun sudah tidak mengapa.

Ayat ini mengajar kita bahawa yang kita kena ikut adalah ajaran daripada Al-Qur’an dan sunnah, bukan ikut manusia. Ini penting dan sebab itu Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an sebagai panduan kita. Maka janganlah kita bersangka baik sahaja dengan manusia, ikut sahaja mereka tanpa usul periksa, tanpa periksa sama ada ajaran yang dibawa itu selari atau tidak dengan wahyu.

Terutama dalam bab akidah, kita memang tidak boleh taklid sahaja. Kita kena tahu apa yang kita ikut. Itu memerlukan kita rajin untuk belajar dan mendalami agama. Kalau malas belajar dan malas berfikir, susahlah. Kerana memang jalan yang mudah itu adalah ikut sahaja tanpa soal, bukan? Namun lihatlah akibatnya nanti. Kita jangan lupa bahawa Allah ﷻ telah beri pancaindera dan akal kepada kita, maka gunakanlah untuk mencari kebenaran.

.

 

قالوا لَو هَدىٰنَا اللَهُ لَهَدَينٰكُم

Mereka menjawab: “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. 

Golongan atasan yang sombong itu pun jawab: “Kalau Allah beri petunjuk taufiq kepada kami, kami pun sudah beri petunjuk kepada kamu semua dulu. Dan sekarang, kami tidak ada kuasa langsung.” Maknanya, mereka pun kata dulu semasa di dunia pun mereka tidak mendapat taufiq, mereka pun salah dalam hal agama. Sebab itu apa yang mereka ajar kepada pengikut mereka pun ajaran yang salah juga.

Lihatlah bahasa yang digunakan oleh para pemimpin itu. Mereka menyalahkan Allah ﷻ pula kerana tidak memberi hidayah kepada mereka sedangkan hidayah itu Allah ﷻ sudah beri tetapi mereka sahaja yang tidak mahu menerimanya. Di dunia mereka tidak faham dan di akhirat juga mereka masih tidak faham.

 

سَواءٌ عَلَينا أَجَزِعنا أَم صَبَرنا

Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh ataukah kita bersabar. 

Mereka sambung: “Kita sama-sama dalam neraka sekarang. Kita tidak boleh buat apa lagi. Sama ada kita keluh kesah kah, atau kita sabar kah, ia tidak akan beri kesan kepada kita.” Kerana sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi. Kalau tidak suka dengan neraka itu pun, tidak boleh buat apa. Kalau sabar pun, tetap dikenakan azab juga – sama sahaja ikut mana pun. Sabar ini hanya bernilai semasa di dunia. Kalau di neraka baru hendak bersabar, memang tidak ada apa-apa nilai pun.

Kalimah أَجَزِع adalah lawan kepada ‘sabar’. Ia boleh juga bermaksud ‘gelisah’. Ia tidak berguna bagi mereka. Sabar atau gelisah, sama sahaja keadaan mereka di dalam neraka. Ini seperti yang dinukilkan oleh Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitabnya,

قال عبد الرحمن بن أسلم‏:‏ إن أهل النار قالوا‏:‏ تعالوا فإنما أدرك أهل الجنةِ الجنةَ ببكائهم وتضرعهم إلى اللّه عزَّ وجلَّ، تعالوا نبك ونتضرع إلى اللّه، فبكوا وتضرعوا، فلما رأوا أنه لا ينفعهم، قالوا‏:‏ إنما أدرك أهل الجنة الجنة بالصبر، تعالوا حتى نصبر فصبروا صبراً لم ير مثله، فلم ينفعهم ذلك، فعند ذلك قالوا‏:‏ ‏{‏سواء علينا أجزعنا أم صبرنا‏}‏ الآية‏
Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam mengatakan bahawa sesungguhnya sebahagian daripada ahli neraka berkata kepada sebahagian yang lain, “Marilah kalian semua, sesungguhnya ahli syurga memperoleh syurga tiada lain berkat tangisan dan permohonan mereka dengan rendah diri kepada Allah عزَّ وجلَّ. Sekarang marilah kita menangis dan memohon dengan rendah diri kepada Allah.” Lalu menangislah mereka seraya memohon kepada Allah dengan berendah diri. Setelah mereka merasakan bahawa hal itu tidak bermanfaat, berkatalah mereka, “Sesungguhnya ahli syurga memperoleh syurga tiada lain berkat kesabaran mereka, maka marilah kita bersabar.” Kemudian bersabarlah mereka dengan kesabaran yang belum pernah terlihat mereka melakukan-nya. Akan tetapi, ternyata kesabaran mereka tidak bermanfaat pula. Maka saat itu juga mereka berkata: Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh atau kah bersabar. (Ibrahim: 21), hingga akhir ayat.

Ini juga dalil bahawa tidak ada ibadah lagi di dalam neraka. Tidak ada ibadah yang dapat menyelamatkan kita. Mahu berdoa, bersabar, solat dan sebagainya sudah tidak ada lagi. Kesemua ibadah itu hendaklah dikerjakan semasa di dunia, bukannya di akhirat kerana akhirat bukan tempat ibadat tetapi tempat untuk menerima hukuman.

 

ما لَنا مِن مَّحيصٍ

Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri”.

Mereka mengaku: “sabar atau tidak, kita tidak ada tempat untuk bersembunyi. Memang tiada pelepasan lagi untuk kita.” Perkara ini disebutkan juga oleh Allah ﷻ dalam beberapa tempat di dalam Al-Qur’an seperti firman-Nya:

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنْتُمْ مُغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِنَ النَّارِ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُلٌّ فِيهَا إِنَّ اللَّهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ
Dan (ingatlah) ketika mereka berbantah-bantahan dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, “Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikut kalian, maka dapatkah kalian menghindarkan daripada kami sebahagian azab api neraka?” Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab, “Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka, kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-Nya).”
(Ghafir: 47-48)

Oleh itu, pengajarannya kenalah kita berhati-hati dan mendalami agama semasa kita hidup lagi. Jangan kita menyesal kerana tidak ada gunanya di akhirat kelak seperti yang Allah ‎ﷻ sebutkan dalam ayat lain:

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولا وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلا رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.
(Al-Ahzab: 67-68)

Para pemimpin dan ketua mereka itu bukannya akan berterusan dengan pengikutnya di akhirat kelak. Ketua-ketua itu awal-awal lagi berlepas diri daripada pengikut mereka. Pengikut sahaja terhegeh-hegeh semasa di dunia ini; memuja, menyanjung, taksub mendengar kata-kata tok guru mereka itu dengan mulut ternganga, tolong kopek udang, rasa hebat sangatlah guru mereka itu. Kononnya guru itu nantilah yang akan menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Begitu bukan kita lihat pengikut-pengikut sekarang? Sedarlah! Mereka itu sedikitpun tidak dapat diharap langsung. Mereka itu awal-awal lagi akan memutuskan hubungan seperti disebut dalam Baqarah: 166-167

إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ
(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنَ النّارِ
Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.

Maka sebenarnya banyak sudah ayat-ayat Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an tentang guru dan pengikut yang tegar itu. Namun begitulah, mereka itu bukannya kenal wahyu, maka senanglah tertipu. Jangan hairanlah kalau sekarang kita lihat begitu ramai sekali pengikut yang bodoh-bodoh air itu, kerana memang ada disebut dalam Al-Qur’an tentang golongan mereka ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien