Tafsir Surah al-Hijr Ayat 1 – 3 (Panjangnya angan-angan)

Pengenalan:

Surah ini dinamakan Al-Hijr mengambil sempena nama tempat tinggal kaum Tsamud. Erti yang asal daripada kalimat ini ialah “Batu Besar”, atau “Batu Gunung”. Disebut tempat tinggal kaum Tsamud itu dengan al-Hijr, kerana negeri mereka terjadi daripada lembah-lembah dan gunung-gunung batu. Akan tetapi mereka mempunyai kepintaran membangun rumah-rumah dan gedung-gedung yang indah megah, yang dapat mempertalikan bukit-bukit dengan lembah, dan dapat memahat batu-batu gunung itu untuk dijadikan bangunan. Diambil nama tempat mereka itu menjadi nama surah ini, kerana kisah mereka ada tersebut pada ayat 80 sampai ayat 84.

Nabi mereka adalah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda adalah salah satu di antara Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan bangsa Arab. Nabi-nabi daripada Arabi ialah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ. Termasuk juga Nabi Arabi adalah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebab baginda diutus kepada Bani Jurhum yang daripada bangsa Arab.

Dakwa Surah ini adalah tentang Tauhid. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita yang manusia lalai leka tidak menerima tauhid adalah kerana mereka leka dengan dunia. Maka surah ini mengingatkan kita supaya jangan terpengaruh dan lalai dengan dunia. Khulasah (ringkasan) surah ini adalah kalau tidak juga mahu terima Tauhid, akhirnya manusia itu akan dikenakan azab. Ini seperti yang terjadi kepada Ashabul Hijr yang akan diceritakan nanti.

Di hujung Surah Ibrahim telah disebut tentang Ulul Albaab dan penyesalan orang kafir. Maka disambung di dalam Surah Hijr ini penyesalan orang kafir setelah dikenakan dengan azab.

Surah ini diturunkan di peringkat awal Makkah dan kerana itu ayat-ayatnya pendek-pendek sahaja. Ada keindahan pada bacaan surah ini menunjukkan keindahan pembacaan Al-Qur’an. Hujungnya pun sama sahaja dan ada ritma yang indah dan amat sedap dibaca.

Begitulah Al-Qur’an mesti dialami dengan pendengaran (mesti didengari selalu). Maksud asal Al-Qur’an pun adalah ‘bacaan’. Orang Islam, kalau tidak faham Al-Qur’an pun, sekurang-kurangnya mereka dapat menghargai keindahan bacaan Al-Qur’an yang berlagu. Kalau dibaca dengan tartil, tajwid dan makhraj yang betul, ia amat merdu sekali.

Dalam surah ini kita akan bertemu dengan kisah iblis yang ketiga. Sebelum ini telah ada kisah iblis dalam surah Baqarah dan A’raf. Dalam surah ini pula tentang dialog dia dengan Allah ﷻ. Maka di sini dikisahkan kembali tentang pertentangan Manusia Pertama, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan lblis, dan betapa Iblis diberi kesempatan melakukan tipudayanya kepada Insan, dan Tuhan memberi ingat kepada lblis bahawa hamba-hamba Tuhan yang ikhlas tidaklah akan dapat dikuasainya, sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa kita bahawasanya keselamatan kita hanya akan terjamin bilamana mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ dengan sungguh-sungguh pengabdian.

Kemudian ada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada kisah tambahan dengan Surah Ibrahim sebelum ini. Allah ﷻ banyak mempersembahkan dimensi lain bagi kisah yang sama. Ini salah satu daripada keindahan penceritaan dalam Al-Qur’an. Maknanya, untuk tahu kisah penuh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an, hendaklah dibaca kesemua surah agar menjadi sebuah cerita yang lengkap.

Kemudian akan disebut kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian kisah lain. Akhirnya kembali kepada perkara asal iaitu tasliah kepada Nabi. Marilah kita tadabbur ayat-ayat surah ini satu persatu, in sha Allah.

Surah Hijr merupakan surah Makkiyah yangditurunkan pada tahun ke 11 hingga 13 di Makkah. Ia merupakan surah ke 15 dalam tertib mushaf dan mengandungi 99 ayat. Surah ini terdiri daripada 6 ruku’ dan 5 Perenggan Makro seperti berikut:

Perenggan Makro 1: (Ayat 1 hingga Ayat 15)
Mengandungi ancaman kebinasaan kerana melabel Nabi Muhammad ﷺ gila dan mengolok-olok Al-Qur’an.

Perenggan Makro 2: (Ayat 16 hingga Ayat 25) merupakan Dalil Afaqi (alam). Lihatlah ayat-ayat Allah ﷻ di alam semesta sebagai bukti adanya akhirat.

Perenggan Makro 3: (Ayat 25 hingga Ayat 50) merupakan Dalil Anfusi (diri). Renungan dan mencari kesimpulan dalam diri daripada Kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Iblis, Pertentangan Baik dan Buruk. Hukum balasan Baik dan Buruk.

Perenggan Makro 4: (Ayat 51 hingga Ayat 84) mengandungi Dalil Tarikihi (sejarah). Kisah teladan daripada sejarah. Kaum-kaum yang dibinasakan Kaum Nabi Lut, Penduduk Aikah dan penduduk Al-Hijr.

Perenggan Makro 5: (Ayat 85 hingga Ayat 99) mengandungi motivasi dan pujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan pejuang tauhid. Surah ini diturunkan di waktu Nabi ﷺ dan para sahabatnya ditentang keras oleh Musyrikin Makkah. Mengetahui kisah-kisah Nabi terdahulu membuatkan hati Nabi Muhammad ﷺ lebih tabah.

Mesej Utama Surah

1. Dalil Afaqi (alam), Anfusi (diri) dan Tarikihi (sejarah)
Gunakan mata, deria, akal dan hati untuk menerima tauhid dan beriman tentang Hari Akhirat. Cara untuk mengenal Allah ﷻ:

a) Mempelajari ayat-ayat yang berada di luar wujud manusia. Hal yang demikian disebut ayat Āfāqi.
b) Mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ yang ada di tubuh dan dalam jiwa manusia. Hal yang demikian disebut ayat Ānfusi.
c) Mempelajari pula bukti-bukti daripada kesan sejarah (Dalil Tarikhi)

2. Setiap kaum ada zamannya
Rujuk ayat 4 dan 5: Dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang ditetapkan. Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan(nya).

3. Mempersendakan Rasul utusan Allah ﷻ dan menolak Al-Qur’an adalah punca sesuatu kaum itu dibinasakan. Ini boleh dilihat dalam ayat 11 hingga 13:
Ayat 11: Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka, melainkan mereka selalu memperolok-oloknya.
Ayat 12: Demikianlah, Kami memasukkan (rasa ingkar dan memperolok-olokkan itu) ke dalam hati orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir).
Ayat 13: mereka tidak beriman kepadanya (Al-Qur’an) dan sesungguhnya telah berlalu sunnatullah terhadap orang-orang dahulu.

Dalil Aqli Afaqi dapat dibuktikan jelas dengan fakta sains:

1. Angin sebagai agen pendebungaan
Rujuk ayat 22: Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.

2. Komposisi unsur kimia manusia sama dengan unsur kimia tanah
Rujuk ayat 26: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.

Manakala Dalil Tarikihi pula dapat dilihat dalam ayat-ayat berikut:

Allah ﷻ kata kota kaum yang dibinasakan itu terletak di laluan umum yang jelas. Antara kaedah arkeologi mencari tapak kota purba ialah dengan mengambil gambar dari udara laluan kafilah-kafiah zaman dahulu. Kesan binaan kota mereka dahulu masih dapat dilihat oleh manusia hari ini sebagai pengajaran.

Ayat 79: maka Kami membinasakan mereka. Dan sesungguhnya kedua kota itu benar-benar terletak di jalan umum yang terang.
Ayat 82: dan mereka memahat rumah-rumah daripada gunung-gunung batu (yang didiami) dengan aman.
Ayat 83: Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di waktu pagi

Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur di waktu pagi [15:83]


 

AMARAN KEPADA ORANG KAFIR

Hijr Ayat 1: Surah ini mempunyai 5 Perenggan Makro. Ayat 1 – 15 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia berkenaan ancaman kerana melabel Nabi ﷺ gila dan mengolok-olok Al-Qur’an.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ وَقُرءآنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥijr: The Valley of Stone. It was inhabited by the tribe of Thamūd (mentioned in verses 8084), who carved palaces and dwellings out of the rock.

Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the Book and a clear Qur’ān [i.e., recitation].

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Alif, laam, raa. (Surat) ini adalah (sebahagian daripada) ayat-ayat Al-Kitab (yang sempurna), iaitu (ayat-ayat) Al Qur’an yang memberi penjelasan.

 

الر

Alif, laam, raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Ada pendapat yang mengatakan bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas.

Akan tetapi, ada juga pendapat yang mengatakan memang tidak ada. Kerana, jikalau ia ada makna tetapi Allah ﷻ sahaja yang tahu, mesti Rasulullah ﷺ sudah beritahu. Namun begitu tidak sampai maklumat kepada kita tentang hal ini. Maka ia kekal sebagai pendapat sahaja yang mungkin benar dan mungkin tidak. Pendapat ini mengatakan memang ayat-ayat muqatta’ah ini tidak ada makna kerana kalau terputus begitu, ia tidak membawa apa-apa maksud. Contohnya kalau ك ت ا ب tidak ada makna, tetapi kalau disambungkan menjadi كتاب, barulah ada makna.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Ibrahim ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Allah ﷻ sebenarnya mencabar bangsa Arab untuk membuat Al-Qur’an yang lain kerana Al-Qur’an ini menggunakan huruf-huruf mereka juga. Maka Allah ﷻ beri huruf-huruf itu dan cabar mereka. Kalau hebat sangat, buatlah satu lagi kitab yang seperti Al-Qur’an ini dan gunakanlah huruf-huruf itu.

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ

ini adalah ayat-ayat Al-Kitab

Ini merujuk kepada Al-Qur’an di Lauh Mahfuz dan Al-Qur’an yang di tangan kita dan sedang dibaca di dunia ini. Allah ﷻ mengaitkan antara keduanya kerana hendak memberitahu bahawa kedua-duanya adalah sama. Ia telah disampaikan dengan selamat kepada kita dan keasliannya terjaga. Ini penting kerana ada yang mempertikaikannya.

Apabila digunakan kalimah الكِتٰبِ di sini, ia memberi isyarat yang Al-Qur’an ini juga mengandungi perkara-perkara yang telah disentuh di dalam kitab-kitab terdahulu. Maka bukan sahaja hal semasa disentuh di dalam Al-Qur’an akan tetapi ia juga membenarkan kebenaran Tauhid seperti yang telah disentuh di dalam kitab-kitab terdahulu. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 3

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

 

وَقُرءآنٍ مُّبينٍ

dan bacaan yang jelas nyata.

Al-Qur’an ini adalah jelas nyata. Segala perkara yang penting dan kita perlukan untuk keselamatan hidup dunia akhirat telah diberikan dengan jelas. Yang tidak jelas adalah mereka yang tidak belajar tafsir sahaja. Malangnya ramai daripada masyarakat kita yang tidak meluangkan masa untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an. Maka mereka keliru tentang agama kerana sumber utama iaitu Al-Qur’an pun mereka tidak faham.

Apabila digunakan kalimah مُبينٍ di awal surah ini, ini bermakna surah ini akan menyampaikan dalil dalam bentuk naqli. Ini adalah salah satu tanda yang ada dalam Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 2: Ini adalah Dakwa Surah ini maka kita kena berikan perhatian lebih kepada ayat ini.

رُّبَما يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا لَو كانوا مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps those who disbelieve will wish¹ that they had been Muslims.

  • On the Day of Judgement or at the time of death.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir itu seringkali (nanti di akhirat) menginginkan, kiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang-orang Muslim.

 

Allah ﷻ menceritakan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Allah ﷻ beritahu tentang hari-hari di hadapan supaya kita dapat ambil pengajaran mulai sekarang (supaya jangan sesal di akhirat kelak). Waktu itu orang-orang kafir itu akan menyesal sangat-sangat. Kalimah رُبَما di dalam bahasa Arab boleh diterjemahkan sebagai sesekali atau selalu. Ulama’ lebih cenderung menggunakan maksud ‘selalu’. Mak ia berkenaan orang kafir yang selalu sangat berharap yang mereka dulu di dunia menjadi mukmin. Keadaan mereka ini sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata, “Kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman,”
(Al-An’am: 27)

Bukan sahaja orang kafir yang akan menyesal, tetapi orang Islam pun akan menyesal juga jikalau mereka tidak benar-benar menjadi Muslim sejati. Ini kerana maksud ‘muslim’ itu adalah berserah sepenuhnya kepada Allah ﷻ, taat kepada suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukankah ada ramai orang Islam yang tidak melakukan seperti itu?

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ini juga berlaku di dunia. Ini kerana orang-orang kafir yang telah terlanjur menentang agama itu, kadang-kadang merasa juga dalam hati sanubarinya bahawa apa yang diserukan oleh Muhammad ﷺ itu adalah benar. Maka timbullah satu perasaan dalam hati keinginan hendak masuk Islam. Namun mereka tidak juga masuk Islam kerana merasa diri lebih baik dan tinggi. Mereka ini amat berlainan dengan Saidina Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, yang sebaik sahaja membaca beberapa ayat daripada Surah Taha, terus sahaja datang kepada Rasulullah ﷺ dan menyatakan diri masuk Islam.

Maka pemuka-pemuka Quraisy itu pun ada juga yang di dalam hati kecilnya mengakui kebenaran Islam, terasa juga ingin masuk Islam. Namun ditolak rasa itu disebabkan merasa diri mereka terlalu tinggi untuk datang bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Sebaliknya mereka mahu Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjemput mereka dan menyediakan tempat yang istimewa bagi mereka untuk belajar. Mereka tidak mahu duduk bersama golongan yang lemah seperti hamba-hamba abdi yang telah dahulu masuk Islam.

Akan tetapi oleh kerana Islam hanya mengenal taqwa, taat dan menyediakan tempat bagi sesiapa saja yang suka, dengan tidak memilih kedudukan dan darjat, maka Nabi kita Muhammad ﷺ tidak sekali-kali akan menjemput mereka, kecuali kalau terang-terang mereka meminta datang dan meminta diajar. Maka banyaklah pemuka-pemuka Quraisy itu yang kadang-kadang telah merasa akan kebenaran Islam, tetapi tidak jadi masuk Islam sampai mereka mati dalam kufur.

Di dalam Al-Qur’an ada disebut tentang seorang Musyrik yang bernama Walik al-Mughirah. Dia memang telah nampak kebenaran Al-Qur’an tetapi dia menentang. Allah ﷻ sebut kisahnya di dalam Muddaththir: 16 – 25

كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami

سَأُرهِقُهُ صَعودًا
Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.

إِنَّهُ فَكَّرَ وَقَدَّرَ
Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Qur’an) –

فَقُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?

ثُمَّ قُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ
Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?

ثُمَّ نَظَرَ
Kemudian dia merenung dan memikirkan

ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ
Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;

ثُمَّ أَدبَرَ وَاستَكبَرَ
Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,

فَقالَ إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ يُؤثَرُ
Serta dia berkata: ” (Al-Qur’an) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (daripada ahli-ahlinya);

إِن هٰذا إِلّا قَولُ البَشَرِ
“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Walid al-Mughirah ini. Asalnya dia telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi namun kerana didesak oleh pemuka Quraisy yang lain, maka dia reka tuduhan kepada Al-Qur’an itu! Dengan ini diteroponglah hati kecil mereka sebagai manusia. Sebab di dalam hati kecil itu pasti ada juga terselit pengakuan akan kebenaran, tetapi sejak dari mula telah terlanjur menentang. Maka di dalam duduk sendirian, ditinjau-tinjau dan dibanding, terasa benarnya apa yang diserukan oleh Muhammad ﷺ, tetapi tidak dipunyai keberanian moral, ketangkasan budi buat merubah pendirian, sehingga akhirnya berlarut-larut dan tidak dapat untuk diperbaiki lagi.

Ini pun menjadi pengajaranlah bagi kita yang datang di belakang, jangan sampai sebagai keadaan penentang-penentang Quraisy itu pula. Kita takut ada yang sudah nampak kebenaran yang dibawa oleh jalan Sunnah ini, namun kerana dari mula sudah meratib Wahabi, Wahabi, (mengutuk orang yang hendak mengamalkan sunnah) maka mereka menjadi segan pula untuk terima. Akibatnya mereka terus abaikan perasaan kecil mereka dan terus mencari kesalahan di dalam jalan Sunnah ini.


 

Hijr Ayat 3:

ذَرهُم يَأكُلوا وَيَتَمَتَّعوا وَيُلهِهِمُ الأَمَلُ ۖ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let them eat and enjoy themselves and be diverted by [false] hope, for they are going to know.

(MELAYU)

Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan mereka).

 

ذَرهُم يَأكُلوا وَيَتَمَتَّعوا

Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang

Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai pendakwah hanya boleh sampaikan sahaja agama dan ajakan tauhid kepada mereka. Kalau mereka masih juga tidak terima, masih juga mahu menentang kita, maka Allah ﷻ kata: biarkan mereka. Biarkan mereka bersenang lenang dalam dunia ini, sementara menuju sampai hari akhirat itu. Kerana kamu telah menjalankan kerja kamu mengajak dan berdakwah kepada mereka. Kalau layan mereka juga, nanti akan buang masa kamu sahaja.

Mereka sahaja yang tidak mahu dengar dan berfikir kerana mereka hanya memikirkan perut dan hendak memuaskan hawa nafsu mereka sahaja seperti disebut dalam Muhammad: 12

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعٰمُ وَالنّارُ مَثوًى لَّهُم
Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Kita orang Islam juga makan dan minum, bukan? Akan tetapi bukan itulah sahaja yang kita lakukan. Kerana kita tahu tujuan hidup di dunia ini bukan untuk memenuhkan perut, sebaliknya ada tugas kita yang kita kena lakukan untuk menghadapi akhirat nanti.

 

وَيُلهِهِمُ الأَمَلُ

dan dilalaikan oleh angan-angan

Kalimah يُلهِهِمُ bermaksud ‘mereka dilalaikan’. Kalimah الأَمَلُ pula bermaksud harapan yang panjang. Bagi Musyrikin Mekah itu mereka sangka dan berangan yang mereka akan kekal berkuasa selama di dunia dan nanti apabila mati, mereka terus mati sahaja dan tidak ada kebangkitan semula. Begitulah juga manusia yang dalam fikiran mereka, panjang angan-angan mereka, hendak buat itu dan ini. Sememangnya kebanyakan manusia fikir benda ini sahaja.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُرَبَّعًا وَخَطَّ فِي وَسَطِ الْخَطِّ خَطًّا وَخَطَّ خَارِجًا مِنْ الْخَطِّ خَطًّا وَحَوْلَ الَّذِي فِي الْوَسَطِ خُطُوطًا فَقَالَ هَذَا ابْنُ آدَمَ وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ وَهَذَا الَّذِي فِي الْوَسَطِ الْإِنْسَانُ وَهَذِهِ الْخُطُوطُ عُرُوضُهُ إِنْ نَجَا مِنْ هَذَا يَنْهَشُهُ هَذَا وَالْخَطُّ الْخَارِجُ الْأَمَلُ
Daripada [Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Rasulullah ﷺ membuat garis kotak, di tengah-tengahnya baginda membuat satu garis, satu garis di luarnya dan beberapa garis di sekitar tengahnya lalu baginda bersabda: “Ini adalah anak cucu Adam, ini ajalnya mengitarinya, yang ada di tengah ini manusia dan garis-garis ini halangan-halangannya, bila dia selamat daripada yang ini dia digigit oleh yang ini (maksudnya kematian), sementara garis yang di luar adalah angan-angan.”
(Sahih Bukhari (2378))

Ramai yang mahu tambah harta sahaja kerana mereka hendak buat itu dan ini, pergi jalan ke sana dan sini, beli itu dan ini. Itulah sahaja matlamat hidup mereka (setakat dunia sahaja mereka fikirkan). Mereka dilalaikan dengan angan-angan yang panjang itu sampai lupa tauhid, lupa belajar agama, lupa perbaiki diri. Mereka fikir mahu senang di dunia sahaja. Maka mereka tidak buat persiapan untuk akhirat.

Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ اتِّبَاعُ الْهَوَى، وَطُولُ الْأَمَلِ. فَأَمَّا اتِّبَاعُ الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ، وَأَمَّا طُولُ الْأَمَلِ فَيُنْسِي الْآخِرَةَ
“Perkara yang paling aku takutkan adalah mengikuti hawa nafsu dan panjang angan-angan. Adapun mengikuti hawa nafsu, ia akan memalingkan daripada kebenaran. Adapun panjang angan-angan, ia akan membuat lupa akan akhirat”
(Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’, 1/76).

Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga mengatakan:

لا يطولنّ عليكم الأمد ولا يلهينّكم الأمل فإنّ كلّ ما هو آت قريب، ألا وإنّ البعيد ما ليس آتيا
“Janganlah kalian panjang angan-angan, dan jangan sampai kalian terlena oleh panjang angan-angan. Sesungguhnya semua yang sedang terjadi itu yang dekat. Dan sesuatu yang jauh adalah yang belum datang”
(HR. Ibnu Majah no. 3 secara marfu‘, namun yang sahih adalah mauquf daripada Ibnu Mas’ud. Disebutkan Ibnul Qayyim dalam al-Fawaid, hal. 200)

Malangnya kita selalu terjebak dalam perkara ini kerana ia percuma sahaja. Bukan kena bayar pun untuk angan-angan, bukan? Maka sikit-sikit kita berangan, sikit-sikit berangan. Bukan orang muda sahaja, orang tua yang kubur sudah melambai-lambai itupun begitu juga seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لاَيَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيْرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ : فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ
“Orang yang sudah tua senantiasa berhati muda pada dua perkara: dalam cinta dunia dan panjangnya angan-angan.”
(Sahih Bukhari No. 6420)

Namun begitu tidaklah semua angan-angan dilarang dalam islam. Bahkan jika itu bentuknya kebaikan, kita dianjurkan untuk berangan-angan untuk mendapatkannya. Daripada Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ bersabda,

إِذَا تَمَنَّى أَحَدُكُم فَلْيُكثِر ، فَإِنَّمَا يَسأَلُ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
Ketika kalian berangan-angan, perbanyaklah… kerana sejatinya dia sedang meminta Rabb-nya subahnahu wa ta’ala.
(Riwayat Ibnu Hibban 2403, Thabrani dalam al-Ausath 2/301 dan disahihkan al-Albani)

Syarah: Ketika menyebutkan hadith ini, al-Baghawi menjelaskan,

هَذَا فِيمَنْ يَتَمَنَّى شَيْئًا مُبَاحًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاهُ وَآخِرَتِهِ، فَلْيَكُنْ فَزَعَهُ فِيهِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَمَسْأَلَتُهُ مِنْهُ، وَإِنْ عَظُمَتْ أُمْنِيَتُهُ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ}
Ini berlaku bagi orang yang berangan-angan sesuatu yang mubah, terkait perkara dunia atau akhiratnya, agar dia jadikan tempat bergantungnya kembali kepada Allah, doanya kepada Allah, meskipun angan-angannya sangat besar. Allah berfirman (yang ertinya), “Mintalah kepada Allah kurnia-Nya.”
(Syarh as-Sunah, 5/208).

Di antara angan-angan baik yang kita dianjurkan untuk mendapatkannya adalah berangan-angan untuk memiliki sesuatu agar boleh beramal soleh dengannya. Dalam hadith daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda,

لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللهُ مَالًا، فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَآخَرُ آتَاهُ اللهُ حِكْمَةً، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا، وَيُعَلِّمُهَا
Tidak boleh ada hasad kecuali untuk 2 orang:
Orang yang diberi harta oleh Allah, lalu dia gunakan harta itu untuk membela kebenaran. Yang kedua, orang yang diberi ilmu oleh Allah, lalu dia memutuskan perkara berdasarkan ilmu agamanya dan dia mengajarkannya.
(Riwayat Ahmad 4109, Bukhari 1409 dan yang lainnya).

Syarah: di dalam hadith ini mengandungi dua angan-angan yang dibenarkan. Satu untuk dapat banyak harta supaya dia dapat infak, dan keduanya supaya dia dapat ilmu banyak supaya dia dapat mengajar.

 

Maka kena berhati-hati kalau berangan-angan, takut angan-angan itu adalah angan-angan yang salah. Al-Ḥasan al-Baṣrī رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

مَا أَطَالَ عَبْدٌ الأَمَلَ إِلَّا أَسَاءَ الْعَمَلَ
“Seorang hamba yang panjang angannya pasti buruk amalnya.”

Fuḍail bin ‘Iyāḍ رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan,

إِنَّ مِنَ الشِّقَاءِ طُوْلَ الأَمَلِ وَمِنَ النَّعِيْمِ قِصَرَ الأَمَلِ
“Panjang angan-angan adalah suatu bentuk kesengsaraan, sedangkan pendek angan adalah suatu bentuk kebahagiaan.”

 

فَسَوفَ يَعلَمونَ

maka kelak mereka akan mengetahui 

Biarkan mereka dan serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Tahulah Allah ‎ﷻ apa yang akan dilakukan kepada mereka. Kerana nanti bila sudah mati nanti, mereka pasti akan mengetahui. Mereka akan sedar dengan sebenar-benar sedar akan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Maka Allah ‎ﷻ yang akan uruskan hal mereka, Rasulullah ﷺ dan para pendakwah tidak perlu menjadi penghukum kerana manusia tidak mampu menghukum pun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Oktober 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 35 – 36 (Doa-doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

DOA NABI IBRAHIM عليه السلام

Ibrahim Ayat 35: Dalil naqli tafsili tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ayat ini sehingga ke ayat 41 adalah Perenggan Makro ke 7 berkenaan Syukur dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini juga adalah nikmat khusus bagi penduduk Mekah.

Sekarang kita akan mula belajar tentang seorang contoh yang baik yang kita patut ikut. Allah ﷻ sebutkan tentang kisah para Nabi lain dalam Al-Qur’an kerana hendak memberitahu kepada manusia, bukan Nabi Muhammad ﷺ yang mula bawa agama Islam ini. Sebelum Rasulullah ﷺ beritahu tentang agama, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun sudah sampaikan.

Hanya kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang penting sahaja yang dimasukkan dalam Al-Qur’an kerana Allah ﷻ mahu sampaikan perkara tertentu sahaja. Kita kena ingat yang Al-Qur’an bukan buku sejarah, dan bukan buku hiburan; maka bukan semua kisah disampaikan. Yang Allah ﷻ pentingkan adalah untuk beri kefahaman dan mengajar tentang ketaatan kepada manusia. Maka tidaklah disebut kesemua kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ pilih-pilih mana perkara yang perlu disampaikan sahaja.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Abraham said, “My Lord, make this city [i.e., Makkah] secure and keep me and my sons away from worshipping idols.

(MELAYU)

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

 

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman,

Kalimah إِذ ada ulama’ yang mengatakan ia اذكر (ingatlah). Maksudnya kena tahu untuk mengambil pengajaran. Maka ini adalah suruhan kepada kita untuk tahu. Perintah daripada Allah ﷻ bukan sahaja dari segi perbuatan, akan tetapi ada perintah untuk kita tahu. Maka Allah ﷻ menceritakan kembali doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah disebutnya beribu tahun dahulu.

Baginda berdoa supaya Allah ﷻ jadikan Mekah itu satu tempat yang selamat. Baginda doa begini selepas Mekah menjadi bandar. Itu sebab dalam ayat ini, digunakan kalimah البَلَدَ (ada alif lam). Walaupun tidak disebut nama Mekah di sini, akan tetapi apabila ditambah alif lam makrifah, maka ia merujuk kepada sesuatu yang diketahui. Tambahan pula selepas ini akan disebut Baitullah, maka memang yang dimaksudkan adalah Mekah.

Doa-doa para Nabi di dalam Al-Qur’an menjadi pengajaran kepada kita. Oleh itu kita patut belajar cara mereka berdoa dengan melihat kepentingan doa mereka itu. Di sini kita lihat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya dijadikan tempat itu aman sentosa kerana aman itu penting. Untuk beribadah kepada Allah ﷻ juga memerlukan keamanan. Kalau tempat kacau bilau, maka susah kita hendak amalkan agama. Bayangkan penduduk Palestin yang tidak ketentuan hidup mereka, bagaimana hendak beribadah dengan tenang? Kerana itu mereka tetap berusaha untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman Israel.

Ayat ini menyuruh Nabi Muhammad ﷺ memperingatkan kembali kepada kaum Quraisy itu bahawasanya yang memulai memancang negeri Makkah tempat mereka berdiam itu ialah nenek-moyang mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Daripada sebuah lembah yang belum ada penghuninya, sehingga menjadi sebuah negeri besar. Daripada keturunan Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, timbullah kaum Adnan, yang disebut Arab Musta’ribah, yang terjadi sebab perkahwinan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan perempuan kaum Jurhum Kedua. Adnan itulah yang menurunkan dua cabang suku, iaitu Rabi’ah dan Mudhar. Mudhar inilah yang menurunkan Quraisy dan salah seorang daripada keturunannya ialah Qushai. Qushai inilah yang datang memperbaiki kembali Ka’bah dan memuliakannya. Daripada keturunan Qushai inilah segala cabang persukuan Quraisy itu.

Oleh itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diingatkan kembali kepada Musyrikin Mekah kerana baginda adalah datuk mereka. Masyarakat Arab telah melakukan syirik yang amat besar hanya kerana mengikut ajaran dan amalan tok nenek mereka. Maka sekarang mereka diingatkan yang datuk mereka yang asal mengamalkan tauhid. Orang selepas baginda yang telah merosakkan agama maka jangan ikut mereka, tetapi ikutlah datukmu yang asal iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Baginda berdoa begini setelah meninggalkan anak dan isterinya dan kemudian baginda datang kembali dari masa ke semasa. Doa ini baginda sebut apabila Mekah sudah menjadi satu bandar. Allah‎ ﷻ mengabulkan permintaannya, seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik.
(Ankabut: 67)

Ini adalah kerana penduduk Mekah dihormati di Tanah Arab kerana mereka itu adalah penjaga Ka’bah dan bangsa Arab menghormati Ka’bah. Tambahan pula penduduk semenanjung Tanah Arab meletakkan berhala mereka di Ka’bah dan mereka tidak berani mengganggu penduduk Mekah kerana takut berhala-berhala mereka akan diapa-apakan pula. Maka penduduk Mekah mendapat kelebihan tidak diganggu di dalam perjalanan mereka, sedangkan zaman itu lebih teruk lagi dari zaman koboi kerana tidak selamat perjalanan ke mana-mana pun. Namun berbeza nasib penduduk Mekah seperti disebut di dalam Quraisy: 1-2

لِإيلافِ قُرَيشٍ
Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

Begitulah kelebihan yang Allah ﷻ letakkan pada Ka’bah, sampaikan mereka yang menjaganya dimuliakan. Ini tidaklah pelik kerana Ka’bah adalah ‘Rumah Allah ﷻ’ dan Allah ﷻ akan sentiasa menjaganya. Kita pun tahu kisah kegagalan Abrahah untuk menghancurkannya seperti disebut dalam Fiil: 1-2

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ
Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ
Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

Pernah dahulu baginda berdoa semasa bina Ka’bah, waktu itu tidak ada apa lagi di situ. Maka baginda minta diberikan buah-buahan (makanan) di situ. Ayat ini sekarang, terjadi apabila baginda datang kembali dan keperluan sudah ada di Mekah. Makanan sudah ada, maka baginda doa meminta keselamatan pula. Doa baginda semasa Mekah tidak ada apa-apa adalah di dalam Baqarah: 126

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”.

Dalam Surah Baqarah itu, digunakan kalimah بَلَدًا dalam bentuk nakirah (umum) sahaja kerana waktu itu Mekah itu tidak ada apa lagi, belum jadi negeri. Dalam Surah Ibrahim ini, Mekah sudah menjadi negeri dan rezeki sudah banyak, makanan pun sudah ada. Akan tetapi walaupun makanan sudah ada, tempat itu tidak semestinya selamat. Baginda seorang yang bijak, maka baginda tahu yang untuk satu-satu tempat itu menjadi maju, memerlukan ekonomi stabil dan keamanan. Kalau salah satunya tidak ada, maka tidak ramai yang akan duduk tinggal di situ. Allah ﷻ makbulkan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini seperti disebut di ayat yang lain,

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا
Sesungguhnya rumah yang mula-mula di bangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu), menjadi amanlah dia.
(Ali Imran: 96-97)

Makkah disebut Tanah Haram kerana daerah ini diharamkan atas perbuatan zalim, seperti memburu binatang, menebang pohon, mencuri, lebih-lebih lagi membunuh. Maka ia bukanlah tempat yang biasa akan tetapi ada larangan-larangan yang termaktub padanya. Jangan katakan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan pun aman di Mekah.

Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ banyak disebut di dalam Al-Qur’an (walaupun tidak sebanyak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Nama baginda disebut di dalam 25 surah dan diulang sebanyak 69 kali. Ada banyak kisah-kisah baginda kerana baginda melalui berbagai fasa hidup. Semua itu menjadi pengajaran kepada kita dan kerana itulah kita kena baca dan faham kesemuanya supaya dapat menjadi sebuah kisah yang lengkap.

 

وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ

dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.

Doa yang kedua Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah berkenaan syirik kerana kalau amalkan syirik, apa pun tidak berguna. Baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya diri baginda dan anak keturunannya diselamatkan daripada menyembah berhala. Selepas baginda berdoa supaya Mekah diberikan keamanan, baginda sebut tentang berhala pula. Ini kerana kalau negeri aman, tetapi penduduknya sembah berhala dan buat syirik pun tidak berguna langsung. Buat apa berjaya di dunia tetapi akhirnya rugi di akhirat?

Kita pun tahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang membangunkan Ka’bah. Adapun maksud baginda mendirikan negeri Makkah itu ialah kerana hendak mendirikan sebuah rumah persembahan kepada Allah Yang Maha Esa, dan sunyi daripada berhala.

Lihatlah susunan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda sebut keselamatan dirinya dahulu (وَاجنُبني dan jauhkanlah aku). Setiap orang yang berdoa dianjurkan agar mendoakan dirinya sendiri, lalu buat kedua orang tuanya dan kemudian anak cucunya. Kalau kita naik kapal terbang, pramugari akan sebut sekiranya dijatuhkan alat bantuan pernafasan, hendaklah dipakaikan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum diberikan kepada orang lain, bukan? Kerana kalau diri tidak selamat, bagaimana hendak menyelamatkan orang lain?

Makna yang kita boleh ambil daripada ayat ini, hendak selamat daripada syirik pun kena doa kepada Allah‎ ﷻ. Kerana untuk selamat daripada buat syirik memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah‎ ﷻ, bukan daripada kekuatan kita sahaja.

Kenapa baginda minta baginda diselamatkan? Bukankah baginda itu seorang Nabi lagi Rasul dan telah dijanjikan oleh Allah ﷻ akan tempatnya di syurga? Ini mengajar kita agar jangan perasan. Orang seperti Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun berhati-hati dan tidak perasan akan selamat. Kerana itulah baginda berdoa supaya baginda diselamatkan. Namun bagaimana dengan kita? Kita yang tidak ada jaminan selamat ini pun jarang berdoa, bukan? Maka jangan perasan sangat selepas ini. Kena berdoa kepada Allah ﷻ untuk selamatkan iman kita.

Kalimah yang merujuk kepada ‘berhala’ ada banyak jenis dalam Al-Qur’an kerana berhala pun ada banyak jenis juga. Kalimah الأَصنامَ yang digunakan di dalam ayat ini merujuk kepada jenis berhala yang dibuat daripada emas, perak atau kayu yang dibuat cantik untuk dijual. Kita boleh katakan, ini adalah jenis berhala yang datang daripada industri pembuatan berhala.

Baginda menggunakan kalimah ini kerana baginda tahu sangat perkara ini kerana bapa baginda dahulu seorang pengukir berhala jenis ini dan menjualnya. Maka baginda ada pengalaman dan baginda takut kalau-kalau perkara ini terjadi lagi terutama kepada anak cucu baginda. Maka baginda minta baginda dan anak cucunya dijauhkan daripada menyembah dan menyeru kepada selain Allah‎ ﷻ kerana amat bahaya sekali kalau ia terjadi kepada umat manusia.

Sebenarnya manusia yang ada akal tahu yang mereka buat sendiri patung berhala itu. Mereka pun tahu yang patung batu itu tidak boleh berbuat apa-apa. Maka kenapa mereka sembah? Kerana berhala itu sebagai simbolik sahaja kepada sembahan atau tujuan yang lain seperti Nabi, wali, malaikat atau jin. Kerana semua itu tidak ada atau tidak nampak, maka mereka sembah patung untuk menghalakan (memusatkan) fokus mereka dalam ibadat sesat mereka itu. Kerana itu namanya ber’hala’. Bukanlah semua patung dijadikan berhala, bukan? Hanya kalau kita ada anggapan yang patung itu mewakili sesuatu yang lain barulah ia menjadi berhala.

Apabila tidak faham hal ini, maka ada manusia jahil yang sembah atau berdoa kepada selain Allah ﷻ tetapi mereka kata mereka tidak membuat syirik hanya kerana mereka tidak minta kepada patung. Mereka tidak faham bahawa yang sembah patung itu pun sebenarnya meminta kepada Nabi, wali, malaikat dan jin juga. Cuma mereka mengadakan wakil dalam bentuk patung sahaja. Ini memang salah tetapi minta kepada Nabi, wali, malaikat atau jin pun salah dan syirik juga. Janganlah pula rasa selamat hanya kerana Al-Qur’an sebut berhala sahaja. Kena lihat semula apakah latarbelakang berhala itu.

Jangan sangka berhala itu dalam bentuk patung dan gambar sahaja. Zaman sekarang manusia sudah semakin pandai dan sudah berasa bodoh menyembah patung yang mereka sendiri buat. Maka berhala dalam bentuk patung dan gambar semakin berkurangan, akan tetapi ada juga berhala yang moden. Perkataan ‘berhala’ yang disebut di dalam Al-Qur’an merujuk kepada patung yang disembah. Namun di dalam kamus-kamus Bahasa Arab tidak mengkhususkan kepada patung semata-mata. Boleh jadi ia hanya sekadar gambar dan boleh menjadi apa-apa sahaja. Patung pula tidak dikhususkan kepada material batu semata-mata. Boleh jadi kayu, emas dan sebagainya.

Di dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua menyatakan maksud berhala ialah patung-patung dewa yang dipuja oleh beberapa golongan bukan Islam. Ia juga boleh bermaksud kuil, iaitu rumah khas tempat memuja patung-patung dewa. Walau bagaimanapun kita harus faham kata kunci dalam istilah berhala ini ialah sesuatu yang dipuja dan disembah.

Dari sudut Bahasa Inggeris, berhala adalah patung atau sebarang objek yang mewakili dewa-dewi di mana dalam penyembahan atau pemujaan keugamaan ditujukan atau sebarang orang atau benda yang dihormati, disayangi, atau ditaati secara membuta tuli (“blind admiration, adoration, or devotion“). Secara mudahnya dalam Bahasa Inggeris ia diterjemahkan sebagai idola.

Idola itu boleh jadi bermacam-macam zaman sekarang. Contohnya penyembahan kepada orang soleh. Asalnya adalah untuk menghormati mereka tetapi golongan kemudian menghormati dan memuja berlebihan sampai menjadi menyembah. Allah ﷻ menceritakan kewujudan 4 ketul berhala yang dibina di zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.””
(Nuh: 23)

Imam Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan riwayat daripada Imam Ibn Jarir At Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ:

وقال ابن جرير : حدثنا ابن حميد ، حدثنا مهران ، عن سفيان ، عن موسى عن محمد بن قيس ) [ يغوث ] ويعوق ونسرا ) قال : كانوا قوما صالحين بين آدم ونوح وكان لهم أتباع يقتدون بهم ، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم : لو صورناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم ، فصوروهم ، فلما ماتوا وجاء آخرون دب إليهم إبليس فقال : إنما كانوا يعبدونهم وبهم يسقون المطر ، فعبدوهم .

Petikan ini menyatakan bahawa Wadd, dan Suwaa’, Yaghuth dan Ya’uuq, serta Nasr merupakan orang soleh yang hidup di antara zaman Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hingga Zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Setelah mereka mati, para pengikut generasi pertama membina patung mereka sebagai tugu peringatan, untuk menambahkan kerinduan ketika beribadah.

Namun apabila generasi pertama ini sudah mati, generasi kedua diperdaya oleh syaitan menyatakan bahawa generasi pertama dulu menyembah patung-patung ini, sehinggalah generasi kedua itu pun menyembah patung-patung itu kononnya mengikuti cara generasi pertama. Ini kita lihat semakin ramai pula umat Islam yang semakin ke arah itu seperti yang dilakukan oleh golongan Habib dari Yaman itu. Mereka terlalu memuja golongan mereka yang telah mati sampai ada dihiasi gambar dan kuburan mereka. Golongan ini memang sesat dan mereka sudah mula membawa kesesatan kepada umat Islam di negara ini sekarang. Mereka ini ramai peminat, tetapi kita kena sedarkan masyarakat tentang kekarutan mereka ini supaya umat Islam kita jangan terpesong.

Maka kita boleh lihat bagaimana konsep penyembahan dan pemujaan hari ini sudah berevolusi kepada idol atau idola. Sepertimana yang disebutkan tadi, idol itu sendiri diterjemahkan sebagai berhala, kerana ia dipuja. Agama Hindu dan Budhha masih mengekalkan cara penyembahan patung. Manakala Generasi X, Y dan Z lebih cenderung kepada menyembah dan memuja “manusia”.

Penyembahan manusia ini dimaksudkan sebagai projek melahirkan artis-artis yang di”idola”kan. Di mana mereka berada, mereka ditatang bagai berhala di zaman dulu. Kalau dulu manusia memuja batu yang dirupakan dengan rupa dewa atau roh, hari ini manusia memuja manusia atas tiket hiburan.

Secara sejarahnya, alatan muzik sudah wujud pada zaman Nabi Idris عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Yang digunakan untuk berhibur dan ber”hedonism”. Manakala artis bermaksud orang yang menghasilkan sesuatu karya seni seperti pelukis, penyajak, pemain muzik. Ia juga bermaksud penghibur, seperti penyanyi, pelakon, rakaman penyanyi atau pemuzik yang merakamkan persembahannya dalam sesebuah album.

Sejarah hedonism walaupun dikatakan bermula sejak zaman Nabi Idris عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun ia mula diistilahkan sebagai satu ideologi pada 433 SM iaitu di era Socrates. Dia lebih menumpu kajian falsafahnya mencari matlamat akhir seseorang manusia. Lalu disambut oleh Aristippos menjawab bahawa matlamat seseorang manusia itu ialah “mengejar kesenangan”. Lalu diolah oleh Epikuros yang merupakan pendasar aliran pemikiran Epikurean (أبيقورية) menterjemahkan dalam bentuk “kenikmatan”.

Lalu generasi Epikurean mengolah kepada kebebasan daripada segala kerisauan atau dipanggil ketenteraman. Pengertian hedonisme berasal daripada Bahasa Yunani “hedone” yang bererti “kepuasan”. Bahkan di dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary, “Hedonism” diertikan sebagai “the belief that pleasure should be the main aim in life.“

Ada pula manusia yang menjadikan berhalanya duit dan harta. Hidup mereka berpaksikan dan berkiblatkan pencarian harta dan menambahnya sahaja. Itu sahaja yang difikirkannya. Rasulullah ﷺ telah memberi peringatan tentang hal ini di dalam sabda baginda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ وَعَبْدُ الْقَطِيفَةِ وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ وَإِنْ لَمْ يُعْطَ لَمْ يَفِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Binasalah hamba dinar, hamba dirham, hamba sutera dan hamba pakaian, jika diberi dia redha dan jika tidak diberi dia tidak taat.”
(Sahih Bukhari (4125))

Begitulah sebahagian daripada berhala zaman moden yang kita kena perhatikan dan berhati-hati. Ini hanya sebagai contoh dan ada banyak lagi perkara lain yang boleh menjadi berhala kita (bukannya patung sahaja). Jikalau bukan Allah ‎‎ﷻ dan Rasul-Nya di dalam hati kita, maka perkara-perkara itu boleh menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan. Ini adalah kerana kalau bukan Allah ‎‎ﷻ dan Rasulullah yang dijadikan ikutan, maka kita akan menjadikan hawa nafsu kita sebagai ilah seperti disebut di dalam Jathiya: 23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya

Maka apa-apa sahaja yang kita sembah, taat, puja selain Allah ‎ﷻ adalah nafsu dan kita jadikan sebagai berhala atau ilah kita.


 

Ibrahim Ayat 36: Sambungan tentang berhala-berhala itu. Ini penting kerana semasa ayat ini diturunkan, Musyrikin Mekah sedang menyembah berhala. Maka ayat ini tepat ditujukan kepada mereka. Sebelum ini Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya mereka diselamatkan daripada menyembah berhala, tetapi kenapa?

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضلَلنَ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَني فَإِنَّهُ مِنّي ۖ وَمَن عَصاني فَإِنَّكَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, indeed they have led astray many among the people. So whoever follows me – then he is of me;¹ and whoever disobeys me – indeed, You are [yet] Forgiving and Merciful.

  • i.e., of my religion.

(MELAYU)

Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضلَلنَ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak daripada manusia, 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah pernah melihat bagaimana berhala yang dibuat di rumahnya sendiri. Baginda sudah nampak bahayanya penyembahan berhala itu dan kerana itu baginda guna kalimah إِنَّهُنَّ sebagai penekanan. Baginda tahu sangat yang berhala telah banyak menyesatkan ramai manusia.

Nabi lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah banyak mengembara, sejak dari tanah kelahirannya di Babil, (negeri Iraq sekarang), sampai ke Palestina, tanah yang dijanjikan Tuhan pula buat keturunannya, sampai ke Mesir, tempat baginda mengahwini Hajar ibu Ismail, dilihatnya di seluruh negeri itu betapa sesatnya manusia kerana menyembah berhala, bahkan sampai baginda bertentangan dengan ayahnya sendiri dan dengan rajanya. Sekarang dibukanya negeri baru, lembah yang tidak ada tanam-tanaman itu, ialah kerana hendak mendirikan sebuah daerah yang bersih daripada berhala, bersih daripada yang menyesatkan manusia.

Cuma berhala itu patung sahaja, bukan? Adakah ia berkuasa untuk menyesatkan manusia? Tentu tidak kerana ia tidak ada apa-apa kehendak. Maka maksud Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah dengan sebab berhala itu, manusia boleh menjadi sesat.

Walaupun disebut berhala dalam ayat ini, tetapi ia juga sebagai nasihat untuk kita juga. Walaupun mungkin ada yang kata, kita tidak sembah berhala pun. Akan tetapi ia berkaitan juga sebenarnya kerana bukan patung itu yang disembah, namun merujuk kepada roh-roh yang diseru. Patung itu sebagai tempat tawajjuh (fokus) sahaja.

Maka, sekiranya orang Islam kita sembah kubur seperti yang dilakukan oleh puak-puak Habib itu, termasuk jugalah dalam perkara ini. Cuma sekarang belum jadi dalam bentuk berhala sahaja. Jikalau kita tidak tegur, lama-lama sudah jadi berhala. Sekarang pun kita boleh lihat diletakkan gambar besar-besar arwah Habib mereka. Itu memang sudah mengarah ke arah penyembahan.

Kita pun tahu yang gambar dilarang di dalam Islam. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya:

اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ادْخُلْ فَقَالَ كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ
Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk masuk ke rumah Baginda. Nabi ﷺ menyebut: masuklah. Kata Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: bagaimana aku mahu masuk sedangkan di dalam rumah engkau ada langsir yang ada lukisan padanya. Sama ada engkau potong kepala (lukisan tersebut) atau dijadikan alas yang dipijak-pijak.
(Riwayat al-Nasai’y (5270))

Apa salahnya gambar, bukan kita sembah pun? Ia dilarang kerana ia boleh membawa kepada syirik. Kita yang mula-mula gantung mungkin sebagai peringatan sahaja. Namun bagaimana apabila kita tiada nanti dan rumah itu terbakar? Ditaqdirkan pula gambar itu tidak terbakar. Mungkin anak cucu kita akan ada sangkaan yang gambar tok nenek dia itu ada kelebihan, atok kita orang sekian-sekian ada kelebihan, wali dan patut dipuja. Sebab itulah kita pandang bahayanya apabila golongan Habib itu suka sangat menggantung gambar habib-habib mereka itu.

 

فَمَن تَبِعَني فَإِنَّهُ مِنّي

maka barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku,

Baginda kata, sesiapa yang ikut baginda, sama ada anak keturunannya atau sesiapa sahaja, maka mereka dikira dalam kalangan baginda. Maknanya mereka dikira sebagai Muslim. Iaitu mereka yang ikut ajaran tauhid dan meninggalkan syirik, maka mereka itu dikira sebagai pengikut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan akan selamat.

Ini mengajar kita kepentingan mengikut ajaran Rasul. Itulah jalan yang selamat, iaitu kena ikut betul-betul jejak langkah mereka. Bukannya setakat baca sejarah mereka sahaja, tetapi kena ikut. Kerana itulah kita pentingkan kepentingan belajar Sunnah, untuk lihat bagaimana Rasulullah ﷺ mengamalkan agama ini. Bukannya buat rekaan baru pula. Kerana tidak faham perkara inilah agama ini sudah menjadi kacau bilau kerana ramai yang suka amalan baru, bukannya ikut ajaran Rasul. Sedangkan kita sendiri pun sudah diperintahkan untuk ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ seperti disebut di dalam Ali Imran: 31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku

Masyarakat Arab berbangga kononnya mereka itu keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan agama yang mereka amalkan itu adalah daripada ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi kalau kita lihat apa yang mereka amalkan, dibandingkan dengan apa yang disebut oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Musyrikin Mekah itu amat jauh daripada ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bayangkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya mereka tidak menyembah berhala, tetapi Musyrikin Mekah itu pergi sembah berhala pula. Maka, mereka tidak boleh mengaku ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Mereka perasan sahaja yang mereka ikut. Bagaimana dengan kita? Adakah kita sekadar perasan juga yang kita ini telah mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ?

 

وَمَن عَصاني فَإِنَّكَ غَفورٌ رَّحيمٌ

dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Derhaka kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu maksudnya melakukan syirik. Sesiapa yang derhaka tidak taat kepada ajaran baginda, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji Allah ‎ﷻ sebagai yang Maha Pemaaf. Kenapa baginda puji Allah ‎ﷻ pula dan menyebut secara khusus sifat pengampun Allah ﷻ? Ini kerana baginda tidak minta mereka diazab jikalau tidak ikut baginda, sebaliknya baginda minta supaya Allah ‎ ﷻ maafkan mereka. Baginda terus puji yang Allah‎ ﷻ maha pengampun. Maksudnya, supaya Allah ‎ ﷻ menggunakan sifat keampunan-Nya untuk beri ampun kepada mereka yang tidak taat. Kerana Allah ﷻ boleh azab mereka dan Allah ﷻ boleh ampunkan mereka seperti disebut dalam Maidah: 118

إِن تُعَذِّبهُم فَإِنَّهُم عِبادُكَ ۖ وَإِن تَغفِر لَهُم فَإِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Maka ini adalah doa baginda yang amat halus dan baik sekali. Kerana kalau ikut kaedah ayat, sekiranya yang ikut akan menjadi sebahagian daripada baginda (dan masuk syurga), maka kalau tidak ikut, maka terkeluar daripada umat baginda (dan tentulah masuk neraka) bukan? Akan tetapi baginda tidak sebut begitu. Baginda tidak sampai hati menerakakan mereka, sebaliknya baginda berharap semoga Allah ﷻ mengampunkan mereka. Ini kerana baginda ada sifat hilm, maksudnya tenang, tidak mudah dipengaruhi/diganggu, karakter yang menghadapi setiap sesuatu dengan sabar, dengan ilmu dan hikmah. Ia ada pada orang yang ada kuasa untuk membalas, tetapi tidak membalas sebaliknya memaafkan.

Ini kita boleh lihat bagaimana apabila bapanya menolak dan menghalaunya, baginda tidak melenting marah sebaliknya mengatakan yang baginda akan meminta ampun untuk bapanya. Ini disebut dalam Maryam: 47

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي
Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu;

Begitulah kita lihat kata-kata Rasulullah ﷺ pun begitu juga tidak menerakakan orang. Baginda menggunakan bahasa yang lembut seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, ”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Nabi ﷺ menjawab: “Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang menderhakaiku dialah orang yang enggan.”
(Sahih Bukhari No. 6737)

Tidaklah baginda kata mereka masuk neraka terus! Begitulah kita sepatutnya di dalam hidup ini. Jangan senang sangat mahu menerakakan orang. Ini makan keropok lekor dengan darah tidak dibasuh pun dikatakan masuk neraka. Janganlah senang-senang sahaja hendak kata orang lain masuk neraka, lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat berhati-hati daripada menyebut perkataan itu. Maka sekiranya orang ikut dakwah kita, bagus; tetapi kalau orang tidak ikut, janganlah kata mereka masuk neraka pula. Doakanlah sahaja mereka dapat hidayah.

Allah ﷻ mendengar doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan tanda alamat Ampun dan Sayang Tuhan, maka diutus-Nyalah Nabi Muhammad ﷺ membawa kembali ajaran Tauhid Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Ini sesuai dengan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain dan termaktub dalam Baqarah: 129

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلكِتَـٰبَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Tidaklah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa agar orang yang buat syirik diampunkan kerana tidak ada keampunan bagi pelaku syirik. Namun yang sebenarnya adalah supaya mereka diberi hidayah untuk tidak melakukan syirik dan meninggalkannya. Lalu ﷻ Allah bangkitkan Nabi Muhammad ﷺ untuk tujuan itu.

Ada juga pendapat yang mengatakan memang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya Allah ﷻ ampunkan dosa syirik jika dilakukan oleh anak cucunya. Namun kalau pegang pendapat ini, ia mestilah dikatakan doa ini sebelum Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberitahu yang haram meminta ampun bagi dosa pelaku syirik.

Maka adalah lebih baik kalau kita katakan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta ampun bagi mereka itu adalah supaya mereka itu diberikan taufik supaya dapat meninggalkan fahaman dan amalan syirik. Apabila mereka telah meninggalkan syirik, maka berilah ampun kepada mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 32 – 34 (Nikmat tidak mampu dikira)

JASA-JASA DARI ALLAH KEPADA MANUSIA

Ibrahim Ayat 32: Dalil aqli ketiga. Ia adalah dalil nikmat dunia yang kita boleh lihat dan fikirkan. Ia adalah nikmat am yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia termasuk penduduk Tanah Arab yang pertama kali menerima Al-Qur’an ini.

اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is Allāh who created the heavens and the earth and sent down rain from the sky and produced thereby some fruits as provision for you and subjected for you¹ the ships to sail through the sea by His command and subjected for you the rivers.

  • i.e., made serviceable to you.

(MELAYU)

Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

 

اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi

Kenapa kita kena sembah dan seru Allah ‎‎ﷻ sahaja dalam doa? Kerana Allah ‎ ﷻ yang jadikan langit dan bumi ini. Roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak jadikan apa-apa pun. Semua yang ada dalam alam ini yang kita gunakan adalah daripada ciptaan Allah‎ ﷻ. Allah ﷻ tetap berikan segala macam nikmat kepada manusia walaupun kebanyakan manusia ingkar kepada-Nya.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut dijadikan langit dahulu, sedangkan dari segi kronologi, bumilah yang dijadikan dahulu seperti disebut dalam Baqarah: 29

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna;

Maka kenapa Allah ﷻ sebut langit dahulu di dalam banyak ayat Al-Qur’an? Kerana langit menunjukkan kehebatan Allah ﷻ disebabkan langit lebih hebat, lebih besar, dijadikan tanpa tongkat, begitu sempurna sekali. Juga sebagai tanda kemuliaan kerana di situlah para malaikat berada, juga para Nabi yang telah wafat dan juga tempat turunnya wahyu.

 

وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ

dan Dia menurunkan air hujan dari langit,

Manusia, tumbuhan dan haiwan memerlukan air hujan untuk kehidupan kita. Seandainya tidak ada air hujan, memang tidak ada kehidupan. Allah ﷻ ingatkan yang Dialah menurunkan air hujan itu. Ini kita semua sudah tahu tetapi apakah kepentingannya?

Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Namun kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu sekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Dia sejatkan air itu agar naik ke langit, Allah ﷻ simpan di dalam awan dan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ.

Lalu kenapa Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah mendapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan?

 

فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم

kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; 

Dengan air hujan itulah, tumbuhan boleh hidup. Kita makan tumbuh-tumbuhan itu; binatang juga boleh makan tumbuh-tumbuhan itu; dan kita pula makan binatang-binatang itu. Jelas sekali air ini amat penting bagi kita dan kerana itu kalau beberapa hari sahaja tidak turun air kerana kemarau, kita sudah susah hati.

Betapa hebatnya Allah ﷻ, dengan air yang satu jenis itu, tumbuh berbagai-bagai jenis tumbuhan. Kita mencipta minyak untuk kereta pun terpaksa menggunakan banyak jenis minyak (minyak untuk kereta, lain; untuk brek, lain; untuk enjin lain pula). Namun Allah ﷻ beri satu jenis air sahaja tetapi keluarkan berbagai-bagai jenis tumbuhan.

Malah air itu satu warna sahaja, tetapi keluar daripadanya tumbuhan yang berbagai-bagai warna. Jangankan kata yang berlainan jenis, tumbuhan daripada pokok yang sama pun berlainan warnanya. Lihatlah epal pun ada banyak jenis warna dan rasa yang berlainan. Dalam satu pokok pun boleh berlainan warna seperti buah rambutan itu yang ada warna kuning, warna merah dan sebagainya. Sebiji buah pun boleh jadi berlainan warna ikut tahapnya – waktu muda berwarna hijau, sudah masak sedikit menjadi warna kuning, bila sudah masak betul menjadi warna merah pula. Kalau warna sama sahaja dari muda sampai masak, kita pun susah untuk tahu ia sudah masak atau tidak, bukan? Ma shaa Allah, Allah ﷻ memang hebat.

Buah-buahan itu adalah rezeki bagi kita. Maka rezeki itu bukanlah dari segi harta sahaja tetapi ia bermakna apa-apa sahaja yang memberi kepentingan kepada kita. Oleh itu kalimah الثَّمَرٰتِ bukan hanya buah-buahan sahaja tetapi termasuk segala rezeki kita seperti makanan, pakaian, rumah dan sebagainya. Akan tetapi kita selalu anggap rezeki itu sebagai harta dan duit sahaja, bukan? Sebab itu orang kita bersungguh sekali amalkan Solat Dhuha sebab sangka ia adalah amalan yang boleh menambahkan duit, beriya sekali menghafal Surah Waqiah pun kerana mereka percaya ia boleh menambah duit mereka. Sedangkan makanan itu rezeki, kesihatan itu juga rezeki, masa lapang untuk beribadah dan baca Al-Qur’an pun rezeki juga dan terlalu banyak lagi.

Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu kita yang rezeki itu Dia yang beri. Maka apa kita kena buat untuk mendapatkan rezeki? Tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.

وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?


Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.

Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58

إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الفُلكَ لِتَجرِيَ فِي البَحرِ بِأَمرِهِ

dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya,

Kemudian Allah ‎ﷻ beritahu jasa-Nya menundukkan bahtera untuk kita. Kalimah سَخَّرَ daripada katadasar س خ ر yang bermaksud mengejek; ketawakan; mempersendakan; ejekan; memandang rendah / memaksa bekerja tanpa bayaran; menjadikan sesuatu itu tunduk; memaksa beri perkhidmatan; abah-abah; meletakkan di bawah kawalan; menundukkan. Maksud ‘tunduk’ itu adalah kita boleh menggunakan bahtera itu untuk kegunaan kita. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita menggunakannya. Allah ‎ ﷻ yang memberikan ilham kepada kita bagaimana cara untuk membina kapal kemudian Allah ‎ ﷻ tundukkan kapal dan juga lautan untuk kita agar dapat menggunakannya untuk kemudahan kita. Dengan itu, mudahlah kita gunakan laluan laut untuk kita bermusafir dan berniaga.

Kalau kita meletakkan besi ke dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan itu tetapi boleh pula timbul? Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.

Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita.

Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan adalah dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.

Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الأَنهٰرَ

dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.

Lautan adalah jalan untuk pergi ke tempat-tempat yang jauh. Dalam negara kita juga ada laluan lain, iaitu laluan sungai. Kerana itulah Allah ‎ ﷻ sebut tentang sungai kerana ia telah digunakan sebagai cara pengangkutan di daratan. Kerana itulah tamadun, bandar dan komuniti zaman dahulu maju jikalau ia berdekatan dengan kawasan laluan sungai. Dengannya manusia dapat bergerak ke tempat-tempat yang lain untuk berniaga dan sebagainya. Sampai sekarang ia menjadi kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman.

Hebatnya air sungai itu dari tempat yang tinggi turun ke tempat rendah dan sentiasa mengalir tanpa henti. Dengan air itu juga memberi sumber rezeki kepada kita untuk berniaga. Ia juga menjadi sumber makanan kerana ada yang menangkap ikan padanya. Kita juga dapat berehat di kawasan yang ada sungai kerana ia memang menyegarkan. Ia juga merupakan sumber bekalan air mentah. Ia juga berfungsi sebagai habitat penting flora dan fauna. Sekarang ia juga digunakan sebagai sumber tenaga kuasa elektrik serta boleh diperbaharui malah bertindak sebagai sistem saliran semula jadi.


 

Ibrahim Ayat 33: Ayat tentang ‘taskhir’ (penundukan) diteruskan.

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ دائِبَينِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He subjected for you the sun and the moon, continuous [in orbit], and subjected for you the night and the day.

(MELAYU)

Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan

Allah ‎ﷻ juga menundukkan matahari dan bulan untuk kita. Maksudnya kita boleh gunakan untuk kemudahan kita. Bukanlah bermaksud matahari dan bulan di bawah kawalan kita pula, tetapi Allah ﷻ tundukkan matahari dan bulan untuk berkhidmat bagi manusia. Manusia jadikan matahari dan bulan itu sebagai penanda waktu. Kalau kita gantung kalendar dan jam di dinding, Allah ‎ﷻ gantung ‘kalendar’-Nya di langit. Kalendar bulanan adalah bulan dan jam menggunakan kedudukan matahari yang Allah ‎ﷻ gantung di langit.

Dengan adanya matahari kita boleh menjemur pakaian kita, jemur makanan untuk dikeringkan, senang untuk kita bergerak di siang hari, menumbuhkan tanam-tanaman dan tentunya banyak lagi. Sinaran suria adalah penting untuk mengekalkan kehidupan di Bumi. Selain menjadi sumber utama haba di planet ini, ia membekalkan tenaga untuk fotosintesis tumbuhan dan organisma kloroplas lain dan mempengaruhi irama sirkadian makhluk hidup.

Dengan adanya bulan selain menjadi kalendar kita, ia juga menjadi lampu untuk kita bergerak di malam hari. Matahari adalah kehadiran pusat, sumber tenaga yang membolehkan kewujudan makhluk hidup di planet kita, tetapi Bulan juga memainkan peranan asas. Kehadirannya menstabilkan Bumi, yang jika ia tidak mempunyai satelit yang begitu besar, Bumi akan menari seperti gasing yang hampir jatuh.

 

دائِبَينِ

yang terus menerus beredar

Matahari dan bulan sentiasa bergerak mengikut orbit masing-masing. Kalimah دائِبَينِ daripada katadasar د ا ب yang bermaksud rajin; bersemangat; berusaha secara berterusan; menggesa; memandu; mengadakan laluan sendiri; bekerja keras secara berterusan; kebiasaan; adat; cara; kes; urusan; cara melakukan sesuatu; kerja. Matahari dan bulan tidak berhenti bergerak dan berputar walaupun sesaat, kerana Allah ‎ ﷻ tidak benarkan seperti di dalam firman-Nya:

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.
(Yaasin: 40)

Namun bukanlah ia akan berterusan kerana nanti akan sampai satu masa kedua-duanya akan berlanggar satu sama lain.

Nota: Ini juga menjadi dalil yang bumi dan planet-planet tidaklah ‘pegun’ seperti yang diperkatakan oleh sesetengah orang.

Allah ﷻ menjadikan matahari dan bulan bergerak silih berganti supaya berlakunya siang dan malam buat kita. Kalau hanya ada malam sahaja susah, kalau siang sahaja pun susah kerana kita memerlukan siang dan malam silih berganti. Siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.

Allah mencipta matahari dan bulan. Matahari dan bulan itu beredar dalam orbit masing-masing.

Pergerakan matahari dan bulan ini sebagai satu lagi tanda kehebatan Allah ﷻ. Kedua-duanya adalah makhluk yang amat besar tetapi Allah ﷻ mampu mengawal pergerakannya tanpa lari sedikit pun daripada orbitnya. Ia telah berlangsung selama entah berapa ribu juta tahun kita pun tidak tahu. Pergerakannya sangat tepat sampaikan kita boleh menggunakannya sebagai kiraan masa dan juga sebagai panduan arah bagi pengembara di malam hari (kompas mungkin tiada atau rosak).

 

وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

dan telah menundukkan bagimu malam dan siang.

Allah ‎ﷻ tundukkan malam dan siang untuk kita juga. Malam adalah masa untuk berehat dan siang Allah ‎ ﷻ terangkan untuk memudahkan kita bekerja. Allah ‎ ﷻ yang menjadikan siang dan malam, bukan terjadi sendiri.

 


Apabila sesuatu direndahkan untuk kita gunakan, tentu kita lebih tinggi kedudukan daripadanya, bukan? Contohnya, kalau ada orang buat kerja-kerja ringan kita, itu adalah untuk memudahkan kita. Maknanya kita ada kerja yang lebih penting lagi, sampaikan kita susah untuk fikirkan benda-benda yang kecil. Ini sepertimana seorang ketua syarikat yang mempunyai pembantu peribadi untuk membuat kerja-kerja ringan kerana dia sendiri ada kerja yang lebih penting untuk dibuat.

Itu adalah perkara biasa dan itulah masanya kita memerlukan pembantu. Akan tetapi ia adalah salah seandainya semua perkara dilakukan untuk seseorang itu sedangkan dia sendiri tidak ada kerja penting untuk dilakukan.

Pengajaran daripada ayat ini, Allah ‎ ﷻ menjadikan alam ini di bawah kekuasaan kita dan kita boleh gunakan, kerana kita ada kerja yang lebih penting untuk kita lakukan: iaitu taat dan berkhidmat untuk Allah‎ ﷻ sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu kenalah faham kepentingan Allah ‎ ﷻ berikan segala kemudahan untuk kita. Kita kena gunakan alam ini untuk memudahkan kita menjadi khalifah di bumi.


 

Ibrahim Ayat 34:

وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ ۚ وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها ۗ إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He gave you from all you asked of Him.¹ And if you should count the favor [i.e., blessings] of Allāh, you could not enumerate them. Indeed, mankind is [generally] most unjust and ungrateful.²

  • Something of what you asked and all of what you continually require, according to His wisdom.
  • i.e., disbelieving and denying of Allāh’s favor.

(MELAYU)

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

 

وَآتىٰكُم مِّن كُلِّ ما سَأَلتُموهُ

Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya.

Allah ﷻ beritahu yang Dia beri apa sahaja yang kita minta. Akan tetapi adakah semua yang kita doa kepada-Nya setiap hari diberikan? Tentu tidak, bukan? Maknanya Allah ﷻ beri apa yang sesuai untuk diberikan kepada kita. Kadangkala kita minta sesuatu akan tetapi tidak diberikan kepada kita kerana ia tidak sesuai buat kita atau perkara itu belum sampai waktunya. Allah ﷻ lagi mengetahui apa yang kita perlu dan bilakah kita memerlukannya. Sebagai contoh kita minta dijadikan kaya raya, tetapi Allah ﷻ tidak beri kerana Allah ﷻ tahu yang kalau kita kaya raya, hanyut kita jadinya.

Kerana itu perlu diketahui bahawa setiap doa yang kita panjatkan, tidak semestinya dikabulkan mengikut keinginan kita. Boleh jadi, Allah ﷻ mengabulkannya dengan cara lain. Nabi ﷺ menjelaskan bahawa ada tiga bentuk pengabulan oleh Allah ﷻ terhadap doa para hambanya sebagaimana disebut dalam hadith berikut:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ
دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا
نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1). Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2). Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3). Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.”
(HR Ahmad – Sahih)

Oleh kerana itu kita kena ingat yang kalau kita tidak dapat apa yang kita minta, mungkin Allah ﷻ beri yang lebih baik. Kita sahaja yang tidak tahu ia lebih baik tetapi Allah ﷻ yang Maha Tahu. Sebagai contoh, kita minta kaya tetapi Allah ﷻ beri keselamatan kepada kita, dan keselamatan itu lebih baik daripada kekayaan harta. Kita mungkin minta kesihatan, tetapi Allah ﷻ beri kita sakit kerana dengan sakit itu kita menjadi rapat dengan Allah ﷻ. Lihatlah juga bagaimana ibu Maryam berdoa supaya diberikan anak lelaki tetapi diberikan anak perempuan seperti disebut dalam Ali Imran: 36

فَلَمّا وَضَعَتها قالَت رَبِّ إِنّي وَضَعتُها أُنثىٰ وَاللَّهُ أَعلَمُ بِما وَضَعَت وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ
Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan;

Allah ﷻ berikan anak perempuan kepada ibu Maryam dan kita pun tahu kedudukan Maryam yang mulia dan menjadi ibu pula kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka ini adalah contoh bagaimana Allah ﷻ beri yang lebih baik daripada apa yang kita minta.

Kalimah سَأَل boleh bermaksud ‘minta’, dan boleh juga bermaksud ‘perlukan’. Maknanya, perkara yang kita minta kepada Allah ﷻ ada dua peringkat. Ada permintaan kita yang kita sebut dan ada juga yang kita minta daripada perlakuan kita. Sebagai contoh kita hendak kenyang, maka kita makan. Waktu kita makan itu, tidaklah kita berdoa supaya kita kenyang, bukan? Namun perbuatan makan itu adalah usaha dan perbuatan kita untuk mengenyangkan perut kita. Begitu juga kalau kita bersenam untuk mengekalkan kesihatan kita. Tidaklah semasa kita bersenam itu kita berdoa supaya sihat, bukan? Namun itulah usaha kita untuk mengekalkan kesihatan kita. Antara perkara yang kita minta dan perkara yang kita hendak dan usahakan, yang kita hendak itulah yang lebih banyak Allah ﷻ telah berikan kepada kita.

Bukan semua keperluan kita diminta secara khusus. Ada orang yang minta sesuatu dan Allah ﷻ beri apa yang dia minta itu. Ada yang diperlukan (didambakan) oleh diri kita. Ini adalah kerana kehendak yang mendesak – seperti oksigen, air dan sebagainya. Ini kita tidak minta pun kepada Allah ﷻ supaya diberikan oksigen setiap hari, tetapi Allah ﷻ berikan kerana memang kita memerlukannya. Ini mengajar kita yang memang semua makhluk memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ pun – oleh itu semua permintaan dan pemenuhan desakan adalah daripada Allah ﷻ.

Ini penting untuk difahami, kerana kalau kita kata سَأَل itu hanya bermaksud ‘minta’ sahaja, nanti boleh dihujah: orang kafir tidak minta kepada Allah ﷻ pun – mereka minta kepada tuhan mereka. Namun sebenarnya walaupun mereka tidak minta, tetapi diri mereka sendiri ada menuntut daripada Allah ﷻ juga. Maknanya, mereka tetap memerlukan pemberian daripada Allah ﷻ kerana mereka juga memerlukan keperluan hidup seperti oksigen, air dan sebagainya. Kalau bukan Allah ﷻ yang beri, siapa lagi yang beri?

 

وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. 

Allah ﷻ beritahu sekiranya mahu dihitung segala nikmat yang diberikan-Nya, kamu tidak akan terhitung. Kalaulah boleh kira pun, kita tidak boleh faham kepentingan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, salah satu nikmat yang kita boleh sedar, adalah nikmat boleh bercakap. Ini nampak macam biasa sahaja kerana ramai orang yang boleh bercakap. Namun itu pun ada banyak perkara yang terlibat yang kita tidak perasan pun. Kelebihan yang ada dalam kebolehan bercakap itu pun sudah hebat, bukan?

Selalunya kita terus cakap sahaja, tetapi kalau kita fikirkan, faham bahasa yang kita ucapkan itu pun sudah hebat. Kerana bukan senang sebenarnya untuk faham bahasa dan lenggok bahasa orang, bukan? Maka waktu bercakap itu, otak kita berpusing sentiasa, bukan? Dengan satu nikmat bercakap pun kita tidak dapat faham secara keseluruhannya kerana satu nikmat itu juga melibatkan nikmat-nikmat yang lain.

Maka Allah ﷻ beritahu terlampau banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, maka hendaklah kita menghargainya dengan bersyukur. Namun hendaklah belajar cara bersyukur dengan betul. Ini kita telah sentuh panjang lebar di dalam ayat Ibrahim: 7. Kalau kita bersyukur, maka kita akan selamat daripada azab seperti firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 147

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Maknanya yang dikenakan azab selama ini adalah kerana kita tidak bersyukur dengan sebenarnya. Namun begitulah hakikatnya ramai yang tidak bersyukur kepada Allah ﷻ.

 

إِنَّ الإِنسٰنَ لَظَلومٌ كَفّارٌ

Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari 

Memang sudah terlalu banyak nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, cuma insan ini sifatnya لَظَلومٌ (sangat zalim) dan tidak menghargai nikmat (kufur nikmat). Kalimah ظَلومٌ itu adalah di dalam bentuk sighah mubalaghah (bersangatan) dan ditambah pula dengan huruf taukid (penekanan) ل itu. Maka mereka ini memang teruk betul. Mereka tidak fikirkan pun nikmat yang mereka sudah banyak mereka dapat. Mereka makan dan menggunakan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan, tetapi mereka ingkar dengan arahan Allah ﷻ.

Kalimah كَفّارٌ itu bermaksud ‘kufur berkali-kali’, kerana ada syaddah di dalamnya. Ini juga di dalam bentuk sighah mubalaghah. Maknanya, bukan sekali atau sekali sekala sahaja mereka kufur, tapi banyak kali – selalu. Sentiasa sahaja kita tidak hargai nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita sepanjang masa. Namun mereka sentiasa melanggar arahan Allah ﷻ.

Jangan lupa yang kita semua ini akan ditanya tentang segala nikmat yang kita dapat semasa di dunia ini. Ini diingatkan di dalam Takathur: 8

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Bukan hanya benda-benda besar sahaja akan ditanya, akan tetapi perkara-perkara kecil pun seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ لَيْلَةٍ فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ فَقَالَ مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ قَالَا الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا قُومُوا فَقَامُوا مَعَهُ فَأَتَى رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ قَالَتْ مَرْحَبًا وَأَهْلًا فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيْنَ فُلَانٌ قَالَتْ ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنْ الْمَاءِ إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي قَالَ فَانْطَلَقَ فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ فَقَالَ كُلُوا مِنْ هَذِهِ وَأَخَذَ الْمُدْيَةَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكَ وَالْحَلُوبَ فَذَبَحَ لَهُمْ فَأَكَلُوا مِنْ الشَّاةِ وَمِنْ ذَلِكَ الْعِذْقِ وَشَرِبُوا فَلَمَّا أَنْ شَبِعُوا وَرَوُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ الْجُوعُ ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah ﷺ pergi keluar rumah, tiba-tiba baginda bertemu dengan Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Lalu baginda bertanya: “Mengapa kalian keluar rumah malam-malam begini?” Mereka menjawab; ‘Kami lapar, ya Rasulullah! ‘ Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam Tangan-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti kalian. Marilah!” Mereka pergi mengikuti baginda ke rumah sahabat Anshar (Abu Haitsam bin At Taihan). Namun sayang dia tidak di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah ﷺ datang, dia mengucapkan; “Marhaban wa Ahlan (selamat datang).” Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Ke mana si Fulan (Abu Haitsam)?”‘ Isterinya menjawab; ‘Dia sedang mengambil air tawar untuk kami.’ Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah ﷺ berserta dua sahabat baginda, maka dia berkata; ‘Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia daripadaku hari ini, kerana kedatangan tetamu yang mulia.’ Lalu dia mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak, dan yang sudah masak betul. Katanya; ‘Silakan dimakan ini.’ Sambil dia mengambil pisau. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan disembelih yang lagi mempunyai susu.’ Maka dipotongnya seekor kambing, lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum. Setelah semuanya kenyang dan puas makan dan minum, Rasulullah ﷺ bersabda kepada Abu Bakar dan ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam Tangan-Nya, kalian akan ditanya pada hari kiamat tentang nikmat yang kalian peroleh ini. Kalian keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini.’
(Sahih Muslim (3799))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (2) (Penjelasan segala sesuatu?)

ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ

Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat,

Ini berkaitan dengan Dakwa ketiga, iaitu hujah bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar seorang Rasul. Buktinya adalah baginda dapat membawakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang memang tidak ada dalam sejarah orang Arab. Namun, baginda boleh menyampaikannya dan ia adalah sama dengan kisah yang ada dalam kalangan Bani Israil. Oleh itu, ia bukan perkataan yang direka oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah حَديثًا dan ini pun boleh menjadi isu juga. Terutama kepada orang yang jahil dan sombong seperti golongan Anti-Hadith. Mereka kata Hadith yang sebenar adalah ayat Al-Qur’an, bukannya kata-kata Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan ayat ini dan beberapa ayat lain yang menggunakan istilah حَديث bagi Al-Qur’an. Malah di dalam Zumar:23 Allah ‎ﷻ menggelarnya sebagai أَحسَنَ الحَديثِ,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an

Jadi kita kena jelaskan sedikit apakah maksud حَديث ini. Istilah Hadith (حَدِيث) mempunyai akar bahasa yang sangat unik. Memahami etimologinya akan menjelaskan mengapa Al-Qur’an (Kalam Allah) dan Sunnah (Kata-kata Rasulullah ﷺ) kedua-duanya menggunakan istilah ini.

Secara bahasa, Hadith berasal daripada kata dasar ح د ث yang membawa dua maksud utama:

1. Sesuatu yang Baharu (Al-Jadid). Lawan bagi Hadith ialah Qadim (Sesuatu yang sedia kala/lama). Ia dipanggil hadith kerana berita atau maklumat tersebut baru sahaja sampai atau disampaikan kepada pendengar yang sebelumnya mereka tidak ketahui. Malah kalau ‘zaman moden’, di dalam bahasa Arab adalah حديث. Kalau kemalangan, ia adalah حادثة kerana ia baru terjadi.

2. Percakapan atau Berita (Al-Khabar). Sesuatu yang diucapkan dan dipindahkan daripada seorang penyampai kepada pendengar. Di dalam Bahasa Arab, percakapan ada beberapa jenis, seperti كلام dan juga حَدِيث. Dan حَدِيث digunakan jikalau perkataan itu baharu.

Jadi, kenapa Al-Qur’an disebut “Hadith”? Walaupun Al-Qur’an adalah Kalam Allah yang bersifat Qadim (pada zat Allah), ia disebut sebagai Hadith kerana:

    • Berita Baharu: Al-Qur’an membawa berita-berita tentang umat terdahulu, hari kiamat, dan hukum-hakam yang “baharu” bagi telinga manusia ketika ia diturunkan. Kebanyakan manusia ketika itu tidak mengetahuinya.
    • Kesan yang Segar: Ayat-ayat Al-Qur’an sentiasa terasa “baharu” dan segar setiap kali dibaca, tidak pernah usang walaupun diulang ribuan kali.

Kenapa kata-kata Rasulullah ﷺ juga disebut “Hadith”? Secara istilah teknikal, hadith merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi ﷺ sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan (takrir), atau sifat baginda. Sekarang kalau disebut hadith, kebanyakan daripada kita terus terfikir tentang makna ini, bukan? Kerana itulah penggunaan yang lebih banyak digunakan. Sebab penggunaan istilah ini untuk Rasulullah ﷺ:

    • Pembeza dengan Al-Qur’an: Pada awal Islam, istilah “Hadith” digunakan secara khusus untuk membezakan antara wahyu matlu (Al-Qur’an) dengan kata-kata manusiawi Nabi ﷺ agar tidak bercampur aduk.
    • Penyampaian Berita: Para sahabat menyampaikan “berita” tentang apa yang mereka lihat dan dengar daripada Nabi ﷺ kepada orang lain. Proses “bercerita” ini dipanggil tahdith (تحدث). Dan kalau anda ada belajar hadith, di permulaan setiap hadith itu ketika menyampaikan sanad perawi, selalunya kita akan baca  حَدَّثَنَا (telah meriwayatkan kepada kami).

Jadi, kalimah حَديثًا boleh sahaja digunakan untuk Al-Qur’an dan boleh sahaja digunakan untuk kata-kata Rasulullah ﷺ. Namun begitu, cuma di dalam penggunaan biasa, ia selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi ﷺ tetapi ia bukanlah secara eksklusif. Jadi jangan tidak tahu pula selepas ini.

Kembali kepada maksud حَديثًا يُفتَرىٰ. Ia bukanlah sesuatu yang direka-reka. Bayangkan seseorang disuruh untuk bercerita, dan dia bercerita mengikut imaginasinya, itu adalah حَديثًا يُفتَرىٰ. Al-Qur’an bukan begitu. Ia adalah berita benar yang Allah ‎ﷻ sampaikan dan tentulah Allah ‎ﷻ tidak reka-reka akan sesuatu. Kalau manusia buat cerita, kalau ia daripada kisah benar, selalunya ditambah gula dan garam agar kedengaran hebat, bukan? Bukan begitu daripada kisah yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Allah ‎ﷻ sampaikan kisah yang benar-benar berlaku, tidak ada penambahan. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ hendak perli golongan Yahudi dan Nasrani yang juga ada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini di dalam kitab-kitab mereka dan penceritaan mereka, tetapi mereka tidak memberikan kisah yang benar. Mereka ada ubah, mereka ada tambah sesuka hati mereka sahaja.

Kalimah (يُفْتَرَىٰ) berasal daripada akar kata (فرى) yang bermaksud: Mengada-adakan secara dusta / Rekaan / Fitnah. Dalam konteks ini, ia bermaksud sesuatu cerita yang sengaja dicipta atau direka-reka oleh manusia. Akan tetapi, kalimat yang digunakan bukanlah حَديثًا يُفتَراً tetapi حَديثًا يُفتَرىٰ di mana يُفتَرىٰ itu di dalam bentuk fi’il mudhari‘. Kalau dua-dua isim (حَديثًا يُفتَراً) maka ia diterjemahkan sebagai perkataan yang direka. Namun, apabila ia di dalam bentuk حَديثًا يُفتَرىٰ, ia bermaksud perkataan yang TIDAK langsung boleh direka. Ia bersamaan dengan banyak hujah di dalam Al-Qur’an yang berkali-kali mengatakan Al-Qur’an ini bukan rekaan, tidak boleh ditiru oleh manusia mahu pun jin, walaupun mereka bekerjasama untuk melakukannya.

Sedikit lagi tentang kalimah يُفتَرىٰ. Kalimah asal فرى digunakan untuk perbuatan menukar sesuatu kepada bentuk yang lain. Contohnya, kita memotong kulit binatang dan menjadikannya kasut. Akan tetapi, apabila kalimah فرى ditambah menjadi افترى (wazan yang berbeza), ia bermaksud lebih lagi, seperti berlebihan menggunting kulit itu sampai menjadikannya rosak. Dari segi bahasa, kalimah افترى adalah satu perbuatan yang mengambil daripada kisah yang benar, kemudian ditambah sana dan sini menjadikan sesuatu kisah yang lain. Ini seperti filem, bukan? Ada filem yang berasaskan kisah benar, tetapi tukang buat skrip tambah sana dan sini sampai ia tidak lagi menjadi kisah yang asal. Dalam erti kata yang lain, kita telah menipu bukan kalau kita افترى?

Jadi di sini, Allah ‎ﷻ hendak menekankan yang kisah-kisah di dalam Al-Qur’an secara umumnya dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidak mungkin kisah yang direka. Tidak mungkin sama sekali. Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut tentang hal ini di hujung di dalam Ayat 111, selepas kisah itu selesai disampaikan. Bukan di awal surah. Bayangkan begini: Katakan seseorang hendak menjual sesuatu barang, maka dia akan kata barang dia baik, tunjuk gambar brosur, tunjuk testimoni kepada orang yang belum menggunakan lagi barang itu. Kalau kita sudah beri seseorang itu menggunakan barang itu dan kita tanyakan kepadanya, “Amacam barang ini? Baik tak?” Jadi ini lebih hebat kerana orang itu telah gunakan barang itu. Maka begitulah dengan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Allah ‎ﷻ ceritakan dahulu dan kemudian Allah ‎ﷻ beritahu: Takkan kisah ini kisah rekaan kot… begitu punya hebat kisah ini!

Perhatikan Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ما sebagai النَّافِيَةُ (penolakan) di sini dan bukan لا. Kalimah ما lebih kuat daripada لا, di mana ما digunakan apabila hendak menolak kata-kata atau pandangan seseorang. Jadi apabila ما yang digunakan di sini, ia memberi isyarat bahawa ada yang mengatakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah ini adalah rekaan, dan Allah ﷻ menolak kata-kata itu.. tidak, ia bukan rekaan manusia. Kalau hendak reka, pun tidak akan mampu. Nah, surah ini mulanya didengari oleh Quraisy Mekah yang tidak tahu apa-apa tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mungkin Mesir pun. Jadi, bagi mereka, mereka pertama kali mendengar kisah ini dan mereka tidak ada rujukan untuk membandingkan kisah itu. Akan tetapi, mereka tetap dapat mendengar bagaimana hebatnya kisah itu disampaikan oleh Allah ﷻ dalam bahasa yang tepat dan menarik.

Persoalan di sini, yang tahu kisah para Nabi itu, siapa? Itulah golongan Yahudi yang waktu itu berada di Yathrib (nama lama bagi Madinah). Ketika surah ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ masih lagi di Mekah dan tidak ada interaksi berhadapan dengan mereka lagi. Golongan Yahudi itu mesti terkejut apabila mendapat tahu orang Arab tahu tentang kisah para Nabi itu kerana ia terdapat dalam riwayat mereka. Dan apabila mereka membandingkan dengan kisah-kisah yang ada di tangan mereka, adakah ia sama? Tentu tidak. Mereka mungkin menuduh kisah yang Muhammad ﷺ sampai itu tidak benar, tidak sama dengan kisah yang mereka ada. Namun, Allah ﷻ dengan tegas mengatakan ما, ia bukan kisah rekaan manusia, bukan rekaan Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam masa yang sama, Allah ﷻ memberi isyarat yang golongan Yahudi itu telah melakukan افترى iaitu telah menokok tambah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sehingga menjadi kisah yang lain. Kita sendiri boleh periksa hal ini jikalau kita baca kisah tersebut disampaikan di dalam kitab mereka. Digunakan kalimah افترى kerana mereka telah rosakkan, telah jadikan benda yang lain, telah memotong dengan teruk sekali sehingga menjadikan benda yang asalnya cantik menjadi buruk! Mereka telah merosakkan sejarah dan nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang di dalam Surah Yusuf ini Allah ﷻ sedang mengembalikan maruah para Nabi itu kepada keadaan yang sebenarnya.

Namun begitu, jikalau kamu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ tidak kira sama ada daripada Yahudi atau Nasrani, atau daripada Quraisy yang tidak pernah mendengar kisah itu, jikalau kamu membaca dan menekuni kisah ini dengan hati yang suci murni, kamu akan dapat rasa dengan yakin yang kisah yang di dalam Al-Qur’an inilah kisah yang benar.

Malah bukan mereka sahaja… Bagaimana dengan kita yang sudah lama tahu tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tetapi sekarang baru melihatnya di dalam tafsir dan tadabbur? Kisah yang kita dahulu sudah tahu apa yang terjadi, namun sekarang apabila kita kupas dan kita bentangkan, perkara yang kita tahu dahulu semakin terbuka kepada kita. Malah kita takkan habis mengkaji surah ini dan kisah ini kerana semakin lama kita mengkajinya, semakin terbuka ilmu-ilmu baru yang Allah ‎ﷻ buka kepada kita.

Di dalam masa yang sama, sekarang ini ada pengkaji-pengkaji Al-Qur’an yang non-Muslim yang sedang mengkaji Al-Qur’an dan mencari kesalahan dan kesilapan di dalamnya. Mereka adalah sarjana yang bekerja keras dan bagi mereka, tentunya Al-Qur’an ini adalah rekaan. Ia hebat, tetapi bagi mereka ia tetap rekaan manusia. Kepada mereka ini juga Allah ‎ﷻ dengan tegas mengatakan ما، ini bukan kisah rekaan. Kamu kaji sedikit lagi dan kamu akan dapati yang ia bukan rekaan. Masalah dengan mereka adalah mereka ini sudah ada prejudis terhadap agama Islam dan Al-Qur’an, mereka sudah ada keputusan bahawa Al-Qur’an ini rekaan, jadi kerana itu mereka mencari-cari kesalahan. Bagi mereka ini, Allah ‎ﷻ ada berpesan di dalam Muhammad:24

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka adakah mereka sengaja tidak mentadabbur Al-Qur’an? Atau mungkinkah hati mereka telah terkunci rapat?”

Hati mereka telah terkunci rapat kerana mereka telah ada prejudis yang Al-Qur’an ini rekaan Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam Nisa’:82 Allah ‎ﷻ menegur mereka dan suruh mereka berfikir:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Qur’an? Kalaulah Al-Qur’an itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati di dalamnya banyak perselisihan.”

 

وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ

akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya

Sekarang Allah ‎ﷻ akan menyebut 4 kualiti yang ada pada Al-Qur’an. Ia bukan rekaan, tetapi ia adalah kebenaran dan sekarang akan dibuktikan. Yang pertama, ia adalah sama dengan apa yang ada di tangan Bani Israil zaman itu. Kalimat بَينَ يَدَيهِ secara literal: di antara dua tangannya. Jadi ia bermaksud yang di hadapan mereka, iaitu kitab yang ada di tangan mereka (Taurat dan Injil). Orang yang bertanya tentang kedatangan Bani Israil ke Mesir itu, mereka pun ada kitab dan soalan mereka dijawab dengan kisah ini, yang membenarkan apa yang mereka tahu. Jadi, mereka boleh rujuk sendiri dan pastikan bahawa ini bukanlah cerita rekaan. Ada golongan Ahli Kitab yang menangis apabila membaca Al-Qur’an kerana mereka nampak kebenaran yang di dalam Al-Qur’an sepertimana yang mereka tahu terdapat di dalam kitab mereka. Ini disebut di dalam Maidah:83

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad ﷺ).

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini terdapat di dalam Genesis 37-50. Kisah itu disampaikan dengan panjang lebar. Namun, tidaklah sama penegasan dan perjalanan cerita itu kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an. Kisah di dalam kitab mereka panjang cerita tentang fakta, secara kronologi tetapi Al-Qur’an lebih menegaskan tentang pengajaran. Agak membosankan kalau baca di dalam Genesis itu. Ternyata, memang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada di dalam kitab mereka.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah, baginda akan bersemuka dengan puak Yahudi di sana. Akan ada ayat-ayat yang lebih terperinci tentang sejarah Bani Israil. Akan tetapi semasa Nabi Muhammad ﷺ berada di Mekah lagi, mereka di sana telah mendengar tentang kisah-kisah mereka disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Kandungan Al-Qur’an sebenarnya 2/3 daripada keseluruhannya telah diturunkan di Mekah. Dan orang Yahudi telah mendengar kisah tok nenek mereka disebut ketika itu. Macam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bunyamin dan abang-abang mereka itu adalah leluhur mereka. Ada 12 adik beradik semua sekali, bukan? Daripada 12 adik-beradik itulah mereka dibahagikan kepada 12 puak. Nama mereka Bani Israil dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itulah Israil! Maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kembali kisah para Nabi itu yang memang telah ada dalam sejarah hidup mereka. Jadi Allah ‎ﷻ membenarkan (تَصديقَ) apa yang ada di tangan mereka.

Namun begitu, terdapat satu terjemahan تَصديقَ yang menarik. Ia bermaksud mengeluarkan yang benar daripada sejarah itu. Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam sejarah mereka, ada yang benar dan ada yang tidak benar (penipuan). Maka Allah ﷻ keluarkan mana yang benar dan tidak sentuh kisah yang tidak benar itu. Maknanya Allah ﷻ sekarang melakukan pemurnian/pemutihan terhadap kisah yang ada pada mereka.

Jadi, tidaklah Nabi Muhammad ﷺ menciplak kitab mereka itu. Allah ﷻ telah tegaskan yang kisah ini مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ (daripada berita-berita yang ghaib) seperti disebut di dalam Ayat 101

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ
Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Bukti Nabi Muhammad ﷺ tidak ciplak:

1. Nabi Muhammad ﷺ seorang ummiy (tidak boleh menulis dan membaca) jadi tidak mungkin baginda boleh baca apa yang ada di dalam kitab mereka.
2. Kisah di dalam Al-Qur’an mengandungi fakta yang tidak ada di dalam kitab mereka. Antaranya kisah di dalam penjara dan dialog dengan Raja Mesir.
3. Kisah di dalam Al-Qur’an tidak sama dengan kisah di dalam kitab terdahulu. Antaranya kisah antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz. Al-Qur’an menegaskan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah, berbeza dengan apa yang disampaikan di dalam kitab mereka.

Jadi ada kisah di dalam kitab-kitab mereka dan kisah di dalam Al-Qur’an. Mana yang benar? Maka untuk menerima kisah yang benar, ia memerlukan orang yang أُولِي الأَلبابِ, iaitu mereka yang ada minda dan hati yang suci. Barulah dia boleh menilai mana kisah yang lebih bagus dan lebih menjaga nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mana kisah yang ada pengajaran di dalamnya.

 

وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ

dan penjelasan segala sesuatu,

Dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja ada kisah-kisah, pemurnian sejarah yang lama dahulu, namun ia ada penjelasan bagi ‘semua perkara’ (كُلِّ شَيءٍ). Maknanya, Al-Qur’an bukan sahaja memandang kepada masa lampau, tetapi juga menjelaskan tentang kehidupan yang di hadapan kita sekarang. Ia menjadi panduan bagi kehidupan kita. Ia tidak hanya terhad kepada perbincangan perkara yang telah berlaku zaman dahulu.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’? Kalau kita baca satu per satu, tidaklah Al-Qur’an menceritakan semua perkara tentang dunia, bukan? Contohnya, tidaklah Al-Qur’an menceritakan tentang sains sepenuhnya, tentang sejarah semuanya. Tidaklah Al-Qur’an sentuh tentang mikrobiologi, sosiologi, virus dan lain-lain bidang akademik. Ia tidak mengajar matematik dan geometri. Ajar tentang membuat roti canai pun tidak ada. Bukanlah Al-Qur’an ini buku akademik yang menceritakan semua, bukan?

Lalu, apakah maksudnya? Maksudnya, Al-Qur’an menceritakan semua yang manusia perlukan untuk memastikan bahawa Al-Qur’an ini adalah wahyu. Semua perkara yang penting tentang agama telah disentuh dalam Al-Qur’an. Benda yang paling penting ada dalam Al-Qur’an. Perkara yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan kita di dunia dengan baik ada di dalam Al-Qur’an ini.

Kita bayangkan sebuah suasana di mana anda datang dan bertanya tentang cara mengambil wudhu’. Saya pun jelaskan satu per satu sampai anda faham dan kemudian saya tanya: “Sudahkah saya jelaskan semuanya?” Anda pun jawab: “Ya, ustaz, ustaz dah jelaskan semuanya.” Semuanya? Saya ada cerita tentang alam, tentang ekonomi kah? Tidak, bukan? Tetapi saya sudah jelaskan semuanya tentang soalan awak tentang wudhu’, bukan? Adakah maklumat itu penting bagi awak? Adakah awak perlukan maklumat itu ketika itu? Ya, bukan? Bukankah saya telah jawab semua soalan awak? Mari kita berpatah balik ke awal surah ini di dalam Ayat 7.

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Bukankah ada persoalan di situ? Soalan dikemukakan untuk mendapatkan penjelasan. Di akhir Surah, penjelasan telah diberikan untuk segala-galanya yang ditanya dan diperlukan, yang bermaksud semua yang telah diminta. Setiap isu yang anda ada dalam hidup, setiap kebimbangan yang anda ada, setiap tempat di mana anda memerlukan bimbingan, setiap kali anda terjebak dan tidak tahu apa yang betul untuk dilakukan, setiap kali anda putus asa dan mencari harapan, setiap kali anda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi ketakutan anda, bagaimana untuk menangani keputusasaan anda, setiap kali anda terluka oleh seseorang dan tidak tahu bagaimana menanganinya. Adakah Allah ‎ﷻ membantu orang yang terluka oleh orang lain? Ya, lihat kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bukankah baginda terluka dengan begitu mendalam sekali oleh perbuatan anak-anaknya? Bagaimana anda hendak uruskan pengkhianatan? Bagaimana anda uruskan fitnah? Semua ini bukankah telah diceritakan dan dijelaskan?

Bagaimana anda menguruskan semua ini? Bagaimana anda menangani apabila orang melakukan perkara-perkara buruk kepada anda? Bagaimana anda boleh mencari kekuatan dalam? Allah ‎ﷻ telah menjawab kepada semua soalan ini, mengenai perjuangan anda, rasa ingin tahu anda. Jadi maksudnya bukanlah pertanyaan tentang astronomi, bukan mengenai aerodinamik, bukan mengenai itu semua. Yang anda perlukan adalah tentang apa yang berlaku di dunia dan kesannya kepada anda, di dalam kompas moral anda, kompas rohani anda, perjuangan anda, ujian anda, naik dan turun anda di dalam kehidupan. Semua persoalan tentang kehidupan anda, yang anda perlukan, ada di dalam surah ini. Kerana Al-Qur’an bukannya buku sejarah, buku perubatan dan buku sains, tetapi ia buku kehidupan. Ya, Al-Qur’an ada sentuh semua perkara sedikit, tetapi yang lebih penting, ia adalah tentang kehidupan.

Sekarang kita hendak pecah dan kupaskan kalimah تَفصيلَ. Terjemahan ringkasnya adalah: penjelasan. Ia daripada kata dasar ف ص ل yang bermaksud mengasingkan; membezakan; had; bahagian; berlepas; buat keputusan; ditetapkan; bahagikan kepada bahagian; menjelaskan secara terperinci; memberi penjelasan; hakim; menceritakan sesuatu perkara secara terperinci; cerai susu; keluarga; kerabat. Daripada ini kita ada kalimah seperti مفصل yang bermaksud engsel, yang menghubungkan antara dua pintu. مفصل juga adalah bahagian yang memegang antara dua tulang dalam tubuh kita. Kalau daging dipotong dan dibahagikan ikut bahagian masing-masing, ia dipanggil فَصَّلَ.

Jadi kalimat ini ada kena-mengena dengan pemisahan, akan tetapi menyambung juga. Macam antara dua tulang itu, ia memisahkan satu tulang daripada tulang yang lain, tetapi bukankah tulang itu bersambung juga? Ia tidak terpisah, satu di sana, satu di sini. Konsep ini juga digunakan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Perhatikan di dalam Fussilat:3

كِتٰبٌ فُصِّلَت ءآيٰتُهُ
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu

Untuk menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ telah pisahkan setiap ayat satu persatu. Tetapi adakah setiap ayat itu tidak berkaitan? Tentu ia berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Kerana itu di dalam ilmu tafsir, kita kena lihat kepada ayat sebelum dan ayat selepasnya untuk memahami konteks sesuatu ayat itu.

Satu lagi kalimah yang menarik untuk kita bincangkan dan lebih memahami konsep ini adalah kalimah فِصالًا di dalam Baqarah:233

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما
kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu

Kalimah فِصالًا adalah putus susu dengan anak. Ibu itu tidak lagi menyusukan anaknya itu; tetapi adakah putus terus hubungan ibu itu dengan anak? Jadi konsep pisah tetapi bersambung, tetap ada. Kalau kita perhatikan, kata dasar ini juga ada digunakan di dalam Ayat 94,

وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلعِيرُ
Tatkala kafilah itu telah ke luar (dari negeri Mesir)

Maknanya, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bertolak meninggalkan Mesir, bukan? Akan tetapi, adakah mereka terus terputus hubungan dengan Mesir? Tidak. Mereka membawa barang-barang dari Mesir dan nanti mereka akan kembali ke sana kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyuruh mereka membawa keluarga mereka ke Mesir, bukan?

Di dalam Ayat 111, ia digunakan di dalam bentuk penjelasan. Ini kerana apabila kita hendak menjelaskan sesuatu, kita kena pisahkan setiap topik supaya dapat dibezakan antara satu sama lain. Kerana itu kalau kita belajar biologi contohnya, kita akan pisahkan antara tubuh, bahagian tangan, bahagian kaki dan sebagainya. Namun, adakah setiap bahagian itu betul-betul terpisah daripada badan? Tidak, bukan? Cuma untuk jelaskan, hendaklah dipisahkan satu persatu supaya nampak perbezaan dan ini memberi pemahaman kepada pelajar. Begitulah apabila kita mengajar, kita akan pisahkan konsep untuk senang difahami oleh pelajar. Kalau kita gaulkan semua sekali, tentu akan ada kekeliruan.

Maka di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, konsep yang banyak telah dipisahkan di dalam kisah-kisah di dalam setiap ayat. Ini supaya kita mudah faham dan kita terapkan di dalam kehidupan kita.

Konsep pisah dan bersambung juga terpakai antara kita dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita terpisah dengan baginda dari segi masa yang ribuan tahun dan kedudukan geografi yang jauh. Akan tetapi, setelah kita menekuni kisah baginda, bukankah kita terasa ada kaitan antara baginda dan kita? Apa yang baginda lalui, kadang-kadang kita juga lalui. Allah ‎ﷻ telah menjadikan kisah baginda ini ada sahaja kaitannya dengan kita. Tentulah tidak semua, tetapi pasti ada.

Begitulah Al-Qur’an ini memandu kita di dalam kehidupan kita dengan memberikan berbagai-bagai konsep tentang kehidupan. Supaya kita dapat mengaplikasikan di dalam setiap sudut kehidupan kita yang berliku-liku. Allah ‎ﷻ telah terangkan segalanya di dalam Al-Qur’an. Kerana inilah yang kita perlukan, bukan? Iaitu panduan hidup di dunia untuk membawa kita ke akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Ibrahim Ayat 29 – 31 (Ibadah sebelum terlambat)

Ibrahim Ayat 29: Ini adalah badal kepada ayat sebelum ini – apakah yang dimaksudkan dengan ‘lembah kebinasaan’ itu?

جَهَنَّمَ يَصلَونَها ۖ وَبِئسَ القَرارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] Hell, which they will [enter to] burn, and wretched is the settlement.

(MELAYU)

iaitu neraka jahannam; mereka masuk ke dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

 

جَهَنَّمَ يَصلَونَها

iaitu neraka jahannam; mereka masuk ke dalamnya; 

Yang dimaksudkan adalah mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan dimasukkan secara paksa iaitu dengan diheret kepala mereka.

Kalimah يَصلَونَ daripada katadasar ص ل ي yang bermaksud membakar; dimasukkan/dibuang ke dalam api untuk dibakar; merasai panasnya api; menahan panas api; meletakkan sesuatu di dekat atau di atas api; panggang. Maka kalimah يَصلَونَ bukan sahaja masuk, akan tetapi ia juga bermaksud merasai. Mereka bukan sahaja masuk dalam neraka sekadar melawat melancong, tetapi mereka juga akan dirasakan dengan segala azab di dalamnya.

 

وَبِئسَ القَرارُ

dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

Itulah tempat yang yang paling buruk sekali dan tidak ada tempat lain yang lebih buruk. Lebih teruk lagi mereka tetap dan tegap di situ.


 

Ibrahim Ayat 30: Mereka yang ingkar itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kenapa mereka jadi begitu.

وَجَعَلوا للهِ أَندادًا لِّيُضِلّوا عَن سَبيلِهِ ۗ قُل تَمَتَّعوا فَإِنَّ مَصيرَكُم إِلَى النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they have attributed to Allāh equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy yourselves, for indeed, your destination is the Fire.”

(MELAYU)

Orang-orang kafir itu telah menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah supaya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah kamu, kerana sesungguhnya tempat kembalimu ialah neraka”.

 

وَجَعَلوا للهِ أَندادًا

Orang-orang kafir itu telah menjadikan sebandingan-sebandingan bagi Allah

Mereka dimasukkan ke dalam neraka dan akan kekal di dalamnya kerana mereka jadikan ‘tandingan-tandingan’ bagi Allah ﷻ ﷻ. Iaitu sama seperti Allah ﷻ pula boleh minta doa kepada mereka, beri berkat, beri rahmat, dan sebagainya (sedangkan semua itu adalah hak mutlak Allah ﷻ). Ini kerana kalimah أَندادًا daripada katadasar ن د د yang bermaksud pertandingan; lawan; sama setara; gambar; berhala; saingan. Sepatutnya Allah ‎ ﷻ sahaja yang disembah dan diseru dalam doa, tetapi mereka jadikan tandingan untuk Allah‎ ﷻ.

Kalau orang hendak bertanding/berlawan dengan kita, sepatutnya dia sama tahap dengan kita, bukan? Ini karut kerana tidak ada sesiapa yang setara dengan Allah ﷻ! Takkan pula Allah ‎ ﷻ kena bertanding dengan roh-roh Nabi, wali dan malaikat untuk mendapatkan sembahan dan doa daripada makhluk?

Maknanya mereka telah melakukan syirik dengan mengadakan sekutu bagi Allah ﷻ. Mereka sembah selain Allah ‎ ﷻ dan mereka seru benda selain daripada Allah ‎ﷻ . Seolah-olah makhluk itu sama kedudukan pula dengan Allah ﷻ dan ini adalah satu fahaman yang amat jauh tersimpang daripada kebenaran.

 

لِّيُضِلّوا عَن سَبيلِهِ

supaya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya.

Bukan sahaja mereka sendiri sesat dengan buat syirik, tetapi mereka menyesatkan orang lain juga dalam perkara ini kerana mereka ajak orang lain untuk berbuat syirik juga. Mereka beri berbagai hujah dan alasan dan ramai yang jahil menerima ajakan mereka itu.

 

قُل تَمَتَّعوا

Katakanlah: “Bersenang-senanglah kamu semua,

Allah ‎ ﷻ suruh beritahu kepada mereka: bersuka-sukalah kamu sementara boleh. Sementara kamu duduk di dunia ini. Nanti bila sudah mati, siaplah kamu! Begitulah yang Allah ﷻ telah janjikan kepada penduduk Mekah apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa supaya diberikan Mekah itu menjadi tempat yang aman damai dan sentosa. Ini disebut dalam Baqarah: 126

وَاِذْ قَالَ اِبْرٰهٖمُ رَبِّ اجْعَلْ هٰذَا بَلَدًا اٰمِنًا وَّارْزُقْ اَهْلَهٗ مِنَ الثَّمَرٰتِ مَنْ اٰمَنَ مِنْهُمْ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِۗ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَاُمَتِّعُهٗ قَلِيْلًا ثُمَّ اَضْطَرُّهٗٓ اِلٰى عَذَابِ النَّارِ ۗ وَبِئْسَ الْمَصِيْرُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

Maknanya selagi mereka hidup dan duduk di tanah Mekah itu, mereka boleh mendapat segala nikmat yang ada di tanah itu. Akan tetapi itu semua adalah nikmat yang sementara sahaja iaitu semasa mereka hidup di dunia.

 

فَإِنَّ مَصيرَكُم إِلَى النّارِ

kerana sesungguhnya tempat kembalimu ialah neraka”.

Bila mati nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Itu sahaja destinasi terakhir mereka kerana mereka tidak akan ke mana-mana lagi. Tidak ada peluang untuk mereka masuk syurga walaupun setelah duduk lama di neraka.

Ini adalah kerana kalau seseorang itu berbuat syirik, dia akan kekal di neraka. Sebenarnya, mereka sudah mula bergerak ke neraka pun dari sekarang tetapi mereka sahaja yang tidak sedar.

 


 

ARAHAN KEPADA NABI

Ibrahim Ayat 31: Sekarang diberikan suruhan yang perlu dilakukan oleh orang Mukmin. Amalan-amalan itu juga adalah amalan yang sepatutnya diamalkan untuk menolak azab. Maknanya di sini Allah ‎ﷻ ajar kaedah untuk menolak azab. Bukannya dicari ‘ustaz’ untuk buat amalan tolak bala, mandi bunga, mandi buang sial dan amalan-amalan mengarut yang lain. Kalau ada ustaz yang ajar perkara sebegitu, maka itu bukanlah ustaz yang Sunnah, tetapi ustaz yang punah.

قُل لِّعِبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا يُقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَيُنفِقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ وَلا خِلٰلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[O Muḥammad], tell My servants who have believed to establish prayer and spend from what We have provided them, secretly and publicly, before a Day comes in which there will be no exchange [i.e., ransom], nor any friendships.

(MELAYU)

Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman: “Hendaklah mereka mendirikan salat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan.

 

قُل لِّعِبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا

Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman:

Tolong beritahu kepada orang beriman, yang telah mengaku beriman. Di sini ada penghormatan daripada Allah ﷻ kepada orang Islam kerana kalimah عِبادِيَ (hamba-Ku) digunakan. Maknanya Allah ﷻ memanggil kita sebagai hamba-Nya dan ini adalah kerana kasihnya Allah ﷻ terhadap kita. Bukan itu sahaja, kemudiannya Allah ﷻ mengatakan kita ءآمَنوا (telah beriman). Selepas memuji kita, kemudiannya Allah ﷻ mengajar kita apa yang kita perlu lakukan untuk menyelamatkan diri kita di akhirat kelak.

Balaghah: Konsep Hazfu wa zikru – dalam ayat ini, ada ya mutakallim pada kalimah عِبادِي. Bandingkan dengan kalimah عِبادِ dalam ayat Zukhruf: 68 (يٰعِبادِ لا خَوفٌ عَلَيكُمُ اليَومَ وَلا أَنتُم تَحزَنونَ) yang tidak tidak ada ya mutakallim. Kedua-dua kalimah itu selalunya diterjemahkan bermaksud ‘hamba-Ku’ tetapi satu ada ي dan satu lagi tidak ada. Maka tentu ada beza.

Apabila ada zikru ya seperti dalam ayat ini, ia membawa makna tahawul (berhenti-henti). Ini bermaksud hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hamba yang belum tetap iman dan belum istiqamah dalam agama lagi. Maka mereka kena diingatkan untuk solat dan infak sebelum terlambat.

Maknanya sekarang mereka masih cuai dan culas dalam hal agama mereka. Kerana itu Allah‎ ﷻ ingatkan mereka. Ibadah mereka masih putus-putus dan belum mantap. Oleh sebab itu Allah‎ ﷻ ingatkan mereka sebelum terlambat.

 

يُقيمُوا الصَّلَوٰةَ

“Hendaklah mereka mendirikan salat,

Mereka hendaklah membuktikan iman mereka itu dengan amalan ibadat yang diwajibkan oleh Allah‎ ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ‎ ﷻ sebut dirikanlah solat. Bukanlah ini sahaja ibadat yang perlu dilakukan, tetapi solat mewakili ibadat antara Allah ‎ ﷻ dan hamba. Ada lagi ibadat-ibadat lain, tetapi yang paling penting adalah solat.

Yang dimaksudkan dengan mendirikan solat ialah menunaikannya pada waktu masing-masing, memelihara batasan-batasannya, rukuk, khusyuk, dan sujudnya. Maka kenalah belajar cara-cara solat yang sunnah.

Selalu Allah ﷻ menyebut tentang solat di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Manakala perincian tentang solat ini ada dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka mestilah dipelajari ilmu fiqh solat supaya kita menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan dia berkata, saya mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun apabila datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak melakukan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan ibadah puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Kalau orang kata kenapa kita kena solat? Maka jawapannya ada di dalam Al-Qur’an iaitu untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha: 114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Untuk mengerjakan solat ini juga memerlukan sabar, kerana bukan semua orang boleh buat. Kalau kita lihat zaman sekarang, ramai sangat orang Islam yang tidak solat. Mereka tidak sabar untuk melakukannya, untuk luangkan barang 5 minit, dan kemudian melakukannya lagi selepas itu. Maka dengan selambanya mereka tidak solat. Memang ia berat bagi orang yang tidak takut dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam Baqarah: 45

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Maka kita boleh lihat Allah ﷻ selalu memberi peringatan tentang solat termasuk di dalam ayat ini kerana ia adalah amalan yang amat penting dan hendaklah kita mengambil pengajaran di sini dengan menjaganya.

 

وَيُنفِقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan

Selain daripada ibadat terus kepada Allah‎ ﷻ seperti solat, ada ibadat yang menjurus kepada perhubungan dengan manusia. Allah ﷻ sebut amalan tentang hubungan dengan Allah ﷻ iaitu solat dahulu kerana itulah pertama sekali yang kita kena jaga. Orang yang boleh jaga hubungan dengan Allah ﷻ barulah layak untuk menjaga hubungan dengan manusia yang lain.

Tambahan pula bagi orang yang solat berjemaah, mereka akan senang bergaul dan bercampur dengan masyarakat. Mereka akan lebih tahu tentang masalah yang dihadapi oleh komuniti tempatnya. Kalau hidup sendirian sahaja, mungkin tidak tahu pun apa-apa masalah yang dihadapi oleh orang kampung dia sendiri.

Maka infaklah daripada apa yang Allah ‎ ﷻ berikan. Ini adalah ibadat juga, tetapi bukan beri kepada Allah‎ ﷻ, tetapi beri kepada mereka yang memerlukan. Bukan sahaja mereka taat dengan Allah‎ ﷻ, tetapi mereka juga dapat menjalinkan hubungan baik dengan orang lain yang menerima infaq itu. Di dalam ayat ini tidak diberitahu beri kepada siapa kerana ia disebut di dalam ayat-ayat yang lain.

Sebelum ini disebut solat dan sekarang disebut tentang mengeluarkan harta. Selalunya memang begini (apabila sebut solat, disebut infak). Ini adalah kerana untuk mengeluarkan harta kita, tentu susah bagi kebanyakan orang. Mereka rasa mereka telah berusaha untuk mendapatkannya dan rasa sayang pula untuk mengeluarkannya. Namun Allah ﷻ mulakan sebut tentang solat dahulu kerana orang yang solat akan lebih mudah untuk infak kerana di dalam solat kita sembah Tuhan yang Pemurah, maka kita hendaklah jadi pemurah juga.

Infak adalah wakil kepada ‘hubungan antara makhluk’ (habluminannas). Apabila kita infak kepada orang lain, bukan sahaja kita taat kepada Allah ﷻ, tetapi kita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan orang lain. Apabila kita beri sedekah kepada mereka, tentunya mereka akan gembira dan baik dengan kita. Kalau Solat tadi berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ, maka infak ini adalah berkenaan hubungan dengan manusia pula.

Allah ‎ ﷻ mengingatkan, harta yang dikeluarkan itu pun bukan hasil daripada kita pun, tetapi Allah ‎ ﷻ yang beri. Maka yang kita beri itu pun bukanlah kepunyaan kita pun. Maka ini sepatutnya meringankan perasaan kita untuk mengeluarkannya kerana kalau kita sedar ia bukan milik kita, maka senanglah untuk kita memberinya.

Ia juga adalah isyarat kepada zakat. Zakat itu ada kiraan bahagiannya, iaitu 2.5% daripada harta kita. Maka Allah ﷻ ingatkan di sini yang sedikit sahaja yang kita kena beri, bukannya keseluruhan. Isyaratnya adalah, kalau sedikit sahaja, takkan tidak boleh bagi? Kenapa mahu kedekut sangat?

Infak itu boleh diberi dalam semua keadaan: secara rahsia atau berdepan dengan orang lain. Kua-dua jenis itu boleh dilakukan. Akan tetapi dari segi balaghah, Allah ‎ ﷻ sebut infak dalam bentuk rahsia dahulu, kerana itulah infak yang paling baik. Seandainya infaq itu tidak diketahui oleh orang, ia adalah lebih selamat daripada perasaan riak. Kita takut kita tidak dapat menjaga hati kita sekiranya kita perasan yang ada orang sedang melihat pemberian kita itu. Maka jikalau kita orang yang tidak boleh menjaga hati kita lagi daripada berasa riak, maka eloklah kita mengeluarkan infak dengan cara tersembunyi.

Satu lagi pentingnya sedekah secara rahsia adalah untuk menjaga nama penerima kerana ada orang yang susah tetapi maruah mereka amat tinggi. Sampaikan mereka tidak meminta-minta kerana malu dan tidak mahu menyusahkan orang. Orang sebegini juga kita kena bantu walaupun mereka tidak meminta-minta. Namun kita pun kena sedar yang mereka itu tidak mahu dicanang yang mereka itu susah dan mengharap bantuan. Maka dengan orang sebegini, hendaklah diberi secara rahsia. Maka perbuatan pemberian yang diambil gambar kemudian disebarkan di medsos perlu diperhatikan kembali.

Sebenarnya dengan kita mengambil gambar mereka dan kita sebarkan, ia menyebabkan maruah mereka tercalar. Mereka lebih sanggup berada di dalam kesusahan daripada dicanang yang mereka dalam kesusahan. Malangnya masalah dengan dunia sekarang yang semuanya hendak dicanang di medsos, kerana semua perkara hendak dijadikan content. Mereka ini tidak prihatin dengan hati perasaan penerima.

Namun begitu ada kalanya, boleh untuk infak supaya orang lain nampak kerana ia boleh memberi motivasi kepada orang lain lagi untuk infak sama. Maka kenalah pandai menjaga hati dalam memberi infak kepada orang lain. Jangan kita berasa bangga pula kerana kena ingat yang apa yang kita beri itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ sebenarnya.

Maka tidaklah terus menjadi salah kalau infak secara terbuka. Jangan pula kita tuduh orang yang buat begitu hendak riak pula. Siapa kita yang kononnya tahu apa yang di dalam hati manusia? Tambahan pula infak seperti zakat tidak ada masalah kalau orang lain nampak sebab semua orang pun kena keluarkan zakat. Ulama’ ada mengatakan kalau zakat dan zakat fitrah hendaklah dilakukan secara terang-terangan kerana ia memang sudah wajib, tetapi kalau sedekah itu seeloknya dilakukan secara tersembunyi kerana ia adalah sunat.

Allah ﷻ beri keluasan kepada kita sama ada untuk infak secara sembunyi atau secara terang-terangan supaya kita tidak sukar untuk membantu orang lain. Ini kerana mungkin pada waktu kita hendak memberi itu, ada orang lain di sekeliling . Jikalau kita hanya boleh infak semasa tiada orang, maka tentu ini akan menyusahkan kita. Akan tetapi sama ada kita beri pada waktu siang atau pada waktu malam, secara tersembunyi atau secara terang-terangan, semuanya ini akan menjadi pahala bagi kita seperti di sebut di dalam Baqarah: 274

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Di dalam Surah Baqarah ini ada tambahan lagi iaitu بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ. Maknanya Allah ﷻ memberi pilihan kepada kita sama ada untuk mengeluarkan infak ketika waktu siang atau waktu malam. Allah ﷻ tidak menetapkan masa tertentu kerana jikalau kita hanya boleh sedekah di waktu malam, maka itu tentu menyusahkan kerana kena tunggu waktu malam pula. Begitu juga jikalau kita hanya boleh sedekah di waktu siang sahaja. Maka untuk memudahkan kita membantu orang lain maka Allah ﷻ tidak tetapkan bila masanya supaya kita sentiasa dapat membantu orang lain pada bila-bila masa sahaja.

Oleh itu tidaklah perlu sedekah pada waktu subuh sahaja. Ini kerana ada yang mengajar tentang sedekah subuh. Ramai yang mempromosikan amalan ‘Sedekah Subuh’. Ini timbul apabila merujuk kepada hadith berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا ‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda: Setiap kali hamba-hamba Allah memasuki waktu pagi, dua malaikat akan turun. Salah satu malaikat itu berkata:
اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا ‏”‏‏.
Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: ‘Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya.
(Muttafaq ‘Alaih; Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, no: 1442, Sahih Muslim, Kitab al-Zakat, Bab no: 1010)

Syarah: Hadith ini menunjukkan pada waktu awal pagi dua malaikat akan turun mendoakan kebaikan untuk orang yang bersedekah, dan mendoakan kerugian kepada yang kedekut daripada bersedekah. Hadith ini tidaklah menghadkan fadhilat doa malaikat ini kepada orang yang bersedekah pada waktu Subuh sahaja. Waktu Subuh atau pagi yang disebutkan dalam hadith ini merujuk waktu malaikat itu berdoa, bukan merujuk waktu orang bersedekah. Tambahan pula terdapat hadith lain menunjukkan doa yang sama oleh malaikat pada waktu Maghrib.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada Abu al-Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
” مَا طَلَعَتْ شَمْسٌ قَطُّ إِلَّا بُعِثَ بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ، يُسْمِعَانِ أَهْلَ الْأَرْضِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ:
Tidaklah matahari terbit melainkan akan diutus dua malaikat di dua sisi matahari yang akan menyeru, lalu seruan itu didengari oleh penduduk bumi kecuali jin dan manusia.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ هَلُمُّوا إِلَى رَبِّكُمْ فَإِنَّ مَا قَلَّ وَكَفَى خَيْرٌ مِمَّا كَثُرَ وَأَلْهَى،
Wahai sekalian manusia, marilah kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya apa yang sedikit dan mencukupi itu lebih baik daripada yang banyak tetapi melalaikan.
وَلَا آبَتْ شَمْسٌ قَطُّ إِلَّا بُعِثَ بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ يُسْمِعَانِ أَهْلَ الْأَرْضِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ:
Tidaklah tenggelam matahari kecuali diutus dua malaikat di dua sisi matahari, dua malaikat itu akan menyeru, lalu seruan itu didengari penduduk bumi kecuali jin dan manusia:
اللهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا مَالًا تَلَفًا
Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: ‘Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya.
(Musnad Ahmad, no: 21721, Al-Arna’ut menyatakan Isnadnya Hasan; Sahih Ibn Hibban, no: 3329, Al-Arna’ut berkata Isnadnya Sahih atas syarat Imam Muslim)

Oleh itu waktu Subuh dan Maghrib dalam dua hadith ini merujuk kepada waktu malaikat itu berdoa, bukannya merujuk waktu khusus untuk bersedekah agar mendapat fadhilat itu. Setiap orang boleh bersedekah pada bila-bila masa yang sesuai dengan dirinya sama ada sebelum Subuh, waktu Subuh, selepas Subuh, pagi, petang, siang malam, insya-Allah, akan tetap mendapat doa daripada malaikat ini.

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ

sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli

Buatlah amal ibadat ketika masih hidup di dunia ini sebelum datangnya Hari Kiamat. Kalimah يَومٌ boleh bermaksud Kiamat Besar atau pun Kiamat Kecil iaitu kematian kita. Sementara ada nyawa lagi dan kita masih mampu untuk melakukan ibadat. Jangan menyesal kalau sudah mati. Lakukanlah amal kebaikan sebelum sampai masa yang tidak ada jual beli lagi untuk menyelamatkan diri daripada Allah ﷻ kerana kita boleh dapat sumber harta daripada urusan jual beli semasa hidup di dunia. Akan tetapi bila sudah mati, tidak ada peluang lagi.

Ia juga bermaksud, tidak ada sesiapa pun yang boleh menebus diri mereka dengan harta. Seandainya ada emas sepenuh bumi pun, tidak akan diterima tebusan itu kerana harta dunia sudah tidak laku di akhirat lagi. Sedangkan di dunia pun kita harus menukar duit kepada matawang negara yang kita akan pergi kerana matawang negara kita tidak laku di negara lain. Maka begitulah juga ‘matawang’ untuk akhirat. Ia sudah menggunakan ‘matawang’ lain. Yang diterima adalah amal ibadat dan infak kita yang akan menunggu kita di sana nanti seperti disebut dalam Baqarah: 100

اَوَكُلَّمَا عٰهَدُوْا عَهْدًا نَّبَذَهٗ فَرِيْقٌ مِّنْهُمْ ۗ بَلْ اَكْثَرُهُمْ لَا يُؤْمِنُوْنَ
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.

Maknanya yang terpakai adalah ‘matawang’ dalam bentuk pahala yang menunggu kita itu. Maka amat mengarut apabila ada orang yang hendak menebus solat-solat yang telah ditinggalkan dengan amalan solat ganti kononnya. Kononnya dengan memberi bayaran upah kepada orang untuk ganti solat seseorang yang telah mati. Siap pak lebai itu tawar menawar harga lagi dengan keluarga si mati.

Atau pun amalan baca Al-Qur’an di kuburan setelah kematian, 3 hari, 7 hari, sebulan dan sebagainya. Ini pun hendak dimakan upah juga. Siap ada pakej tertentu. Ini semua sangat mengarut.

.

 

وَلا خِلٰلٌ

dan persahabatan.

Di akhirat nanti tidak ada kawan setia lagi yang dapat membantu. Tiada siapa pun yang kasih sangat kepada kita untuk membantu kita. Kalau semasa di dunia tentu ada teman setia yang boleh bantu kita kalau kita susah, tetapi tidak ada lagi di akhirat kelak. Maka jangan lepaskan peluang untuk infak semasa di dunia kerana di akhirat nanti tidak akan ada sahabat yang boleh menolong kita. Ayat ini lebih kurang sama seperti yang disebut di dalam Baqarah: 254

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ وَلا خُلَّةٌ وَلا شَفٰعَةٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat.

Ia juga bermakna, sia-sia sahaja kalau bersahabat dengan roh-roh yang telah mati. Ramai dalam kalangan manusia, termasuk juga orang Islam yang menyeru roh-roh Nabi, wali dan malaikat, kononnya kalau seru mereka itu, akan mendapat syafaat nanti di akhirat. Ini adalah fahaman sesat. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat lain:

Allah ﷻ juga telah berfirman:

وَاتَّقُوا يَوْماً لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئاً وَلا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلا هُمْ يُنْصَرُونَ
Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikit pun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafaat kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.
(Al-Baqarah: 123)

Akan tetapi bukanlah semua kawan tidak bermanfaat. Kalau berkawan itu kerana Allah ﷻ dan membawa kebaikan kepada agama, ia tetap memberi kelebihan seperti disebut di dalam Zukhruf: 67

الأَخِلّاءُ يَومَئِذٍ بَعضُهُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ إِلَّا المُتَّقينَ
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

Persahabatan yang didasari oleh taqwa akan berterusan sampai ke syurga. Mereka itulah yang bersama-sama pergi belajar, bersama-sama berdakwah dan menegakkan hukum Allah ﷻ. Mereka berkawan ‘kerana Allah ﷻ’. Mungkin kenal di kelas pengajian dan perkenalan itu berterusan sampai mereka menjadi kawan yang rapat.

Bukanlah mereka berkawan kerana harta atau kerana kerja di tempat yang sama tetapi kerana persamaan akidah. Ini adalah persahabatan yang amat manis sekali. Persahabatan itu akan berkekalan sampai ke syurga. Sedangkan persahabatan yang didasari oleh perkara-perkara lain, tidak akan berterusan sampai ke syurga. Mereka hanya setakat berkawan di dunia sahaja.

Kita adalah makhluk yang bersosial. Kita memerlukan teman untuk berbicara, untuk buat kerja sama-sama dan sebagainya. Oleh itu, untuk buat kebaikan, ia akan lebih mudah dengan adanya kawan yang boleh membantu dan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan usaha kita.

Masalahnya, untuk membuat keburukan pun memerlukan kawan juga. Kita memang mudah terpengaruh dengan kawan. Kalau kawan itu baik, maka kita selalunya akan menjadi baik dan kalau kawan itu jahat, maka kita boleh menjadi jahat juga. Maka berjaga-jagalah dalam berkawan.

Ayat ini juga bermaksud, orang yang bertaqwa tidak terikut dengan kelakuan salah kawannya. Walaupun kawannya buat perkara yang tidak baik, dia tidak ikut kerana dia ada prinsip taqwa yang mantap dalam dirinya. Dia akan tegur kesalahan kawannya dan mengajak kawannya ke arah kebaikan.

Ini kerana dia tahu bahawa apa yang kawannya lakukan itu adalah salah dan akan membawa kepada keburukan di akhirat kelak. Orang yang bertaqwa seperti itu tidak masuk ke neraka disebabkan kawannya. Walaupun kawannya buat perkara syirik atau bid’ah, dia tidak terkesan, kerana dia tidak ikut sekali. Dia tetap berkawan kerana dia hendak dakwah kepada kawannya itu.

Kawan yang baik akan mengajak kepada kebaikan. Mereka jugalah yang memberitahu tentang ilmu yang baik kepada kawannya. Kalau belajar agama, dia akan beritahu dan ajak kawannya sekali untuk sama-sama menadah ilmu. Dia akan kongsi bersama ilmu yang dia tahu walau sedikit mana pun.

Oleh itu, kalau anda belajar agama seperti belajar Tafsir Al-Qur’an, belajar Hadith, maka ajak kawan-kawan sekali. Begitu juga anda yang sedang membaca tulisan ini, kongsikan juga kepada kawan. Tidak perlu minta kebenaran, terus sahaja kongsikan. Kita memang memerlukan kawan-kawan yang sebegini.

Semoga Allah ﷻ berikan kepada kita kawan-kawan yang mengingatkan kita kepada kebaikan, yang mengajak kita kepada kebaikan. Kadang-kadang kita rasa lemah dan lelah juga untuk beramal, malas hadiri kuliah agama dan sebagainya, harapnya Allah ﷻ berikan kita kawan yang memberi semangat untuk kita.

Kembali kepada ajakan untuk melakukan infak semasa kita ada kesempatan. Semoga kita tidak menyesal nanti kerana menahan infak kita. Di dalam ayat lain disebut penyesalan mereka yang tidak infak semasa hidup di dunia dan maut telah datang menjemput mereka. Rujuk Munafiqoon: 10

وَأَنفِقوا مِن مّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ أَحَدَكُمُ المَوتُ فَيَقولَ رَبِّ لَولا أَخَّرتَني إِلىٰ أَجَلٍ قَريبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصّٰلِحينَ
Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin