Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 – 45 (Minta tolong dengan solat dan sabar)

Ayat 43: Ayat ini adalah sebagai rawatan/penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Dalam agama, kalau tidak mencintai Allah ‎ﷻ tetapi sebaliknya lebih mencintai dunia, maka kita tidak akan ke mana-mana. Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Bila sudah ada hubungan rapat, barulah senang untuk menerima segala arahan dari Allah ‎ﷻ. Kalau jauh dengan Allah ‎ﷻ, maka akan ada yang sanggup untuk meninggalkan arahan. Kalau rapat dengan Allah ‎ﷻ, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ ingin merawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ia adalah arahan daripada ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Sahih International

And establish prayer and give zakah and bow with those who bow [in worship and obedience].

Malay

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Kenalah perbaiki sifat hubbul jah (cinta kepada kedudukan) yang ada di dalam diri mereka. Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Mengakulah hina dina di hadapan Allah ‎ﷻ.

Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah ‎ﷻ dan menghinakan diri kita. Lihatlah kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, lagi rendah dari binatang. Maka itu isyarat menghinakan diri kita.

Maka kenalah bersungguh-sungguh dalam melakukannya. Kalau tidak faham konsep ini, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah ‎ﷻ itu tinggi.

Oleh kerana kepentingan solat itu, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Kalau sebelum ini mereka telah pernah mencampur adukkan yang haq dan batil, maka berhentilah dari berbuat kesalahan itu. Hentikan berbuat benda yang salah dan buatlah benda yang benar, iaitu solat.

Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat. Kerana ia adalah amalan yang boleh merapatkan hubungan antara hamba dengan Allah ‎ﷻ. Solat adalah ibadah terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Kerana apabila kita sudah takbir, kita tidak dibenarkan membuat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah ‎ﷻ. Maka kita hanya bermunajat kepada Allah ‎ﷻ sahaja pada waktu itu.

Tidak sama dengan ibadat Puasa, Haji dan sebagainya – masih boleh membuat macam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada yang bercakap dalam telefon lagi, masih ada yang ambil gambar lagi. Dan tawaf itu masih lagi sah. Tetapi tidak dengan solat – hendaklah tawajuh kepada Allah ‎ﷻ dari mula sampai habis.

Sungguh malang kalau sudah berada dalam solat tetapi tidak mengingati Allah ‎ﷻ – ini mafhum dari ayat Al-Qur’an. Oleh itu, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah ‎ﷻ, tidak ada amalan yang sehebat solat.

 

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

dan keluarkanlah zakat;

Ini umumnya adalah titah supaya tidak menzalimi orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah ‎ﷻ iaitu ibadat. Itulah beza di antara ibadat dan adat.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda). Kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam dahulu dan sekarang termasuk Bani Israil. Maka kenalah menunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu.

Maka kenalah infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi bantuan dan mengambil pahala bagi kita. Kita telah mengambil harta dari Allah ‎ﷻ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ‎ﷻ memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah dari perasaan kasihan belas kepada orang lain, kerana kita berikan harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayangkan harta kita, tetapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga. Semasa beri zakat itu mestilah dengan perasaan suka dan gembira hendak memberi bantuan kepada yang memerlukan.

Kalau tidak ada belas kasihan terhadap orang lain, maka tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ mensyariatkan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kita kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Apa kena mengena jangan zalim dengan ibadah zakat ini? Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan berbuat zalim atau menyusahkan orang lain. Iaitu jangan disebabkan kita, orang lain mendapat susah pula. Yang paling baik adalah kita susah untuk senangkan orang lain.

Dan di tengah-tengah, kita sama-sama senang. Dan paling kurang kita kena lakukan adalah dengan mengeluarkan zakat. Allah ﷻ beri latihan kita sayang dan kasihan kepada orang lain dengan mengeluarkan zakat.

 

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Dalam ibadat mereka pun sebenarnya ada mendirikan solat juga, cuma sebab sudah banyak perubahan dari agama asal, maka ramai dari mereka yang sudah tidak solat lagi.

Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ sebab baginda adalah Rasul mereka juga. Maka sertailah mereka yang rukuk, iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama dengan orang lain. Walaupun sudah menjadi seorang khalifah sekalipun, namun tidak meninggi diri kerana masih solat bersama dengan orang lain juga.

Seperti khalifah ar Raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh manusia biasa. Ini adalah kerana mereka menganggapkan diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu dari merasa diri lebih dari orang lain.

Allah ‎ﷻ berkata: “hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk”. Ini maksudnya kenalah solat berjemaah dengan orang lain. Ia mengajar kita supaya jangan duduk seorang diri tetapi hendaklah bermasyarakat. Dan kalau bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali.

Ia sesuatu yang perlu dilakukan terlebih dahulu daripada perkara-perkara ibadat yang lain. Kalau tidak boleh bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar menjadi baik. Jadi, kenalah memulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan mengikut imam.

Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin dapat bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan menjadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Masyarakat itu akan senang untuk bermusuhan. Inilah cara Allah ‎ﷻ mengajar manusia.

Dalam amalan Yahudi, tidak ada amalan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Jadi, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad ﷺ.

Mereka sudah kena mengikut syariat Nabi Muhammad ﷺ. Barulah mereka akan selamat kalau mereka berbuat begitu. Kalau duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan menjadi. Syariat dalam dalam Taurat mereka sudah tidak laku dan tidak boleh diamalkan lagi kerana telah dimansukhkan.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu hendaklah dibuat di masjid. Tidak boleh buat di rumah. Iaitu ia adalah wajib bagi golongan para lelaki yang mampu. Tetapi malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak dan isteri. Mereka berkata buat macam itu boleh dapat pahala 27 darjat.

Padahal, bagi orang lelaki untuk mendapat 27 darjat itu kenalah solat berjemaah di masjid. Tetapi para wanita, hendaklah solatnya di rumah sahaja. Kepada orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri. Iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah ‎ﷻ tidak adil dengan memberikan kelebihan kepada perempuan dalam hal ini? Tidak sama sekali. Keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan menjaga anak, sekali sekala datang haidh dan sebagainya. Maka Allah ‎ﷻ menggantikan kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit.

Mereka dapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Maka ketahuilah yang Allah itu Maha Adil. Namun itu adalah untuk perempuan. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.


 

Ayat 44: Satu lagi sifat Pendeta Yahudi

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

Do you order righteousness of the people and forget yourselves while you recite the Scripture? Then will you not reason?

Malay

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

 

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ

Patutkah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan;

Iaitu Allah tegur mereka yang hanya pandai menyuruh orang lain belajar agama. Ini adalah ayat teguran kepada puak Yahudi. Sebelum itu kita kena faham perangai mereka. Ada kalangan puak Yahudi yang datang duduk mendengar ajaran agama dalam majlis Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah mereka akan dengar tentang perkara-perkara baik yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Maka, selepas itu mereka akan pergi menceritakan apa yang mereka dengar kepada pendeta-pendeta mereka. Mereka tanya adakah benar apa yang diajar oleh Muhammad ﷺ itu? Pendeta mereka pun menjawab, memang benar apa yang Muhammad ﷺ ajar, tidak salah.

Maka, pengikut mereka pun bertanya, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu betul, kenapa tidak ikut dia sahaja? Pendeta menjawab yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi berbangsa Arab dan mereka adalah bangsa Yahudi jadi mereka tidak ikut kerana bukan Nabi mereka.

 

وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ

tapi kamu lupa diri kamu sendiri;

Mereka suruh orang lain belajar agama, tetapi mereka sendiri tidak belajar. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ menegur mereka. Mereka suruh orang lain ikut, tetapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka tidak memikirkan keselamatan iman mereka sendiri.

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Takut kita termasuk dalam golongan macam ini. Takut kita berikan nasihat kepada orang lain, tetapi kita sendiri tidak menjaga perbuatan kita. Contohnya, kita hantar anak ke sekolah agama, tapi kita sendiri jahil agama.

Atau, kita hanya melakukan perkara yang pada zahirnya nampak Islam, tetapi kita tidak membuat perkara-perkara lain yang disuruh oleh agama. Contohnya, mengambil rasuah. Berapa banyak negara Islam yang rakyatnya yang berpangkat mengambil rasuah? Kalau hendak cepat berurusan dengan kerajaan di negara Islam, kenalah bagi rasuah sikit, baru jalan kerja itu. Di negara kita ini pun banyak juga.

Walaupun kita beragama Islam, tetapi malangnya akhlak kita selalunya buruk. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak memandang tinggi kepada agama Islam. Kepada mereka, kalau agama itu baik, tentulah orang yang beragama itu pun menjadi baik juga, bukan? Tapi kalau lihat umat Islam, tidak menarik langsung!

Jadi, kita kenalah ingat yang kita adalah duta kepada agama Islam. Tetapi malangnya kita menjadi duta yang teruk untuk Islam. Kerana akhlak kita yang buruk, orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Realiti ini kita terpaksa terima, walaupun pahit.

 

وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتٰبَ

sedangkan kamu baca Kitab;

Allah ‎ﷻ menegur lagi mereka. Sedangkan mereka itu membaca kitab Taurat, tetapi tidak mahu belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sebenarnya kaum yang telah diberikan Kitab Taurat, dan memang mereka baca kitab itu, oleh itu sepatutnya mereka tahu apakah kebenaran.

Tapi mereka telah salah fahaman. Mereka sangka mereka diamanahkan untuk jaga Taurat sahaja. Sedangkan anak murid mereka, mereka suruh pula pergi belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka pun tahu yang Islam itu adalah agama yang benar juga. Cuma mereka sangka, mereka sebagai pendeta yang tidak layak untuk menerima Islam.

Begitulah ada dalam kalangan orang-orang agama di negara kita ini. Mereka sepatutnya sudah tahu banyak tentang Islam, tetapi mereka masih tidak belajar tafsir Al-Qur’an lagi. Kalau kita tanya kepada guru-guru itu, adakah elok kalau belajar tafsir, mereka akan kata elok. Tetapi mereka sendiri tidak belajar.

Maka, anak-anak murid mereka pun, apabila melihat guru mereka sendiri tidak mementingkan pembelajaran tafsir, mereka pun tidak mahu pergi belajar juga. Oleh itu, ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang bersifat seperti pendeta Yahudi.

Macam kita juga, Allah ‎ﷻ telah takdirkan kita bernasib baik kerana kita ada Al-Qur’an di tangan kita (senang sahaja nak baca Al-Qur’an). Namun ramai antara kita tidak pakai ajaran yang ada dalam Al-Qur’an pun. Padahal, dari kecil lagi kita telah diberitahu yang Al-Qur’an ini adalah sumber pedoman kita. Tetapi sampai ke tua, sampai mati tidak belajar apakah yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Ini amat-amat menyedihkan. Tidak tahulah macam mana kita hendak jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti.

Antara sebab kita tidak mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an adalah kerana kita sendiri tidak belajar apakah yang Al-Qur’an suruh kita buat sebab kita tidak belajar tafsir. Padahal, ilmu tafsir Al-Qur’an ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an, bagaimana kita hendak beramal sebagaimana yang disarankan oleh Al-Qur’an?

Ramai yang kata mereka sudah baca terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Tetapi soalannya, adakah dengan membaca terjemahan itu sahaja, mereka sudah faham apakah yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat Al-Quran itu? Saya rasa tidak. Kerana kalau kita baca terjemahan pun, kita tidak faham kerana ia memerlukan penjelasan dari orang yang tahu tentang tafsir.

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Tidakkah kamu memikirkan?

Allah ‎ﷻ menegur lagi golongan Yahudi itu: Tidakkah kamu memikirkan betapa teruknya kamu dan betapa jauhnya kamu dari kebenaran?

Perkataan ‘aqal’ dalam bahasa Arab asalnya adalah dari perkataan ‘ikat’. Iaitu orang Arab akan mengikat unta mereka supaya tidak lari dengan tali. Dan tali itu pula ada yang diikat di kepala mereka apabila tidak digunakan. Maka, dari situ datang perkataan ‘aqal’. Ianya bermaksud keupayaan mengikat nafsu kita. Orang yang berakal akan berupaya untuk mengawal nafsu mereka. Orang yang tidak menggunakan akal akan mengikut sahaja kehendak nafsunya.

Mereka berfikir tanpa dipengaruhi oleh nafsu. Masalahnya kalau kita tidak dapat mengawal nafsu, tingkah laku kita bukan berdasarkan kepada fikiran yang waras, tetapi hasil dari ikutan nafsu kita. Orang yang tidak menggunakan akal, adalah mereka yang mengikut nafsu mereka.


 

Ayat 45: Ayat ini adalah sebagai penawar bagi kesalahan-kesalahan yang telah disebut di atas tadi.

Kenapa mereka boleh jadi sampai begitu? Kerana mereka mengejar keduniaan. Sebelum Nabi Muhammad ﷺ ‎datang, mereka mempunyai ramai anak murid dan ramai orang yang rujuk kepada mereka. Jadi mereka telah ada kedudukan dalam masyarakat.

Tetapi kalau mereka sekarang kena belajar pula dengan Nabi ﷺ, masuk majlis Nabi ﷺ, tentulah mereka pula yang kena menjadi anak murid dan tidak ada yang datang belajar dengan mereka lagi. Mereka sudah tidak menjadi guru yang menjadi tempat rujukan lagi. Mereka tidak boleh terima kalau jadi macam itu. Mereka tidak bersedia untuk menjadi anak murid semula. Kerana mereka sudah biasa dilihat sebagai seorang yang ada ilmu.

Ini adalah masalah dalam hati dan kenalah dirawat secepat mungkin masalah hati itu. Kenalah minta pertolongan dengan solat dan sabar. Sabarlah dengan kata-kata manusia yang mengejek mereka – kalau ada yang mengejek mereka dengan berkata: “Eh, dulu jadi guru, sekarang jadi anak murid pula?”

Mintalah bantuan dengan Allah ‎ﷻ dengan sifat sabar, sebab sabar itu menerima seadanya dalam segala keadaan, apa sahaja kata-kata orang terhadap mereka atau perbuatan orang terhadap kita. Jangan pedulikan kata-kata orang lain yang mengejek.

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

Sahih International

And seek help through patience and prayer, and indeed, it is difficult except for the humbly submissive [to Allah ]

Malay

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

Dan hendaklah kamu meminta pertolongan dengan bersabar;

Sekarang Allah ‎ﷻ mengajar bagaimana cara berdoa. Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam taqdir Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela.

Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Asal-asal kelas penuh tetapi seorang demi seorang tidak datang kerana mereka sangka sehari dua belajar terus jadi pandai agaknya.

Ini memang dugaan dari syaitan yang tidak suka kita belajar. Maka hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak dari kita. Jangan sangka kita boleh terus pandai kalau baru belajar. Memang belajar memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi.

Hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan kita kesanggupan untuk belajar. Kerana pembelajaran selalunya akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Hendak datang kelas dan hendak faham pun memerlukan usaha dari kita.

Jadi kita kena minta ilmu dengan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak tolong kita dan memberi taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tetapi lama-lama layu. Ini biasa sahaja kita lihat. Ramai yang belajar ‘tidak habis’. Dan amat bahaya kalau kita tahu agama ini sedikit-sedikit sahaja. Kita kenalah mendalaminya. Belajarlah sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukan belajar untuk menjadi ustaz.

Perkataan اسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Tetapi semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga ada melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun.

Contohnya, kita meminta tolong orang untuk menukar tayar kereta kita yang pecah di jalan raya. Takkan kita duduk dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang menukarkan tayar itu, bukan? Tentulah kita pun kena buat sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Kita kenalah ada usaha kita juga. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah membantu tentera Badr dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Tetapi para sahabat tidak duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.

Pertolongan yang sebenarnya adalah dari Allah ‎ﷻ. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara. Kerana pertolongan Allah ‎ﷻ itu mungkin tidak datang dengan serta merta.

Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Jangan hendak cerita sangat masalah kepada manusia, sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah ‎ﷻ. Kerana Allah ‎ﷻ akan membantu kita, bukannya orang.

Apabila kita mengadu kepada Allah ‎ﷻ, lambat laun Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Kerana kalau kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah ‎ﷻ tidak bantu kerana kita sudah meletakkan pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada Allah ‎ﷻ. Maka pilih-pilihlah untuk menceritakan masalah kepada orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَالصَّلَوٰةِ

Dan bersembahyang;

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat. Selepas solat dan lebih baik lagi dalam solat, kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Terutama sekali dalam sujud kita. Banyakkan berdoa dalam solat. Ia lebih hebat dari berdoa selepas solat.

Mintalah pertolongan kepada Allah ‎ﷻ dengan amalan solat. Kerana solat itu adalah amalan di mana kita memberitahu dan mengadu keadaan kita kepada Allah  ‎ﷻ. Waktu itu kita boleh luahkan segala perasaan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan kekuatan kepada kita. Allah ‎ﷻ tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya. Dia boleh meredakan keadaan buruk yang ada pada diri kita.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada puak ahli Kitab, kalau mereka menghadapi masalah seperti yang disebutkan, maka mengadulah kepada Allah ‎ﷻ dengan sabar dan dengan solat.

 

وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ

Dan sesungguhnya ini adalah perkara yang besar;

Maksudnya, sabar dan solat itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amat payah untuk sabar dalam belajar dan juga menjaga sembahyang. Kalau kita melihat solat itu sebagai satu ibadat biasa sahaja, maka ia akan menjadi susah.

Tetapi kalau kita tahu bahawa dengan solat itu adalah cara untuk memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ, dan kita memang memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ dalam semua hal, maka kita akan rasa mudah untuk mendirikan solat. Kita akan tertunggu-tunggu untuk mengadu kepada Allah ‎ﷻ.

Satu pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan sukar itu adalah solat. Dan ada yang berpendapat meminta pertolongan itu pun sukar juga. Iaitu ada orang yang tidak nampak kepentingan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap perkara. Maka mereka banyak meminta pertolongan kepada manusia tapi tidak merayu bersungguh-sungguh kepada Allah.

Padahal, sepatutnya kita sentiasa kena berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah ‎ﷻ. Memang kita kadang-kadang ada meminta tolong kepada orang lain, dan kita juga ada usaha kita juga, bukan? Tetapi sebelum kita berusaha dan sebelum kita meminta tolong kepada orang lain, kita kenalah meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ terdahulu. Inilah adab kita dalam menguruskan hidup kita.

 

إِلَّا عَلَى الْخٰشِعِينَ

Melainkan kepada orang-orang yang takut patuh

Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Orang yang khusyuk sahaja yang boleh buat. Hanya orang sebegitu yang boleh sabar dan berdoa selepas solat dengan mudah.

Siapakah orang yang khusyuk? Mereka itu orang yang sentiasa fikirkan akhirat. Dia tahu dan sedar yang dia akan dibalas segala perbuatannya di akhirat nanti. Maka hatinya sentiasa ingat dan fikir tentang akhirat. Hendak buat apa-apa sahaja, dia akan fikirkan tentang kesannya di akhirat. Maka, Allah ‎ﷻ jelaskan siapakah yang ada sifat khusyuk itu di dalam ayat seterusnya.

Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah ‎ﷻ. Dia takut memikirkan apakah yang akan dihadapinya kelak di akhirat. Oleh itu, dia akan patuh kepada arahan Allah ‎ﷻ. Apabila dia takut dan patuh, maka dia akan menjadi orang yang khusyuk dalam sembahyang dan juga dalam belajar.

Dan kita kena takjub kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita berasa gerun dan takjub dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan mendapat khusyuk dalam solat. Tetapi kalau kita tidak berasa gerun berhadapan dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berasa biasa sahaja solat itu.

Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi siapakah mereka yang ada sifat khusyuk itu dalam ayat seterusnya.

Kemaskini: 25 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

7 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 – 45 (Minta tolong dengan solat dan sabar)”

  1. PEMBETULAN PERKATAAN..

    “Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah taala. Kerana Allah akan bantu kita, bukannya orang. Lambat laun Allah akan bantu kita. Kerana kalau kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah tidak bantu kerana kita sudah letak pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada MANUSIA.”

    MANUSIA atau ALLAH?

    Like

  2. salam ustaz. nak tanya pasal ayat 48 tafsir bagI kalimah وَلا هُمْ يُنْصَرونْ. Orang akan minta allah masukkan maknya ke neraka tu ada tak ayat quran sebutkan mengenai perkara ini? jazakallahukhairan

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s