Tafsir Surah Baqarah Ayat 98 – 101 (Buang wahyu ke belakang)

Ayat 98: 

مَن كانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِ وَجِبريلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ

Sahih International

Whoever is an enemy to Allah and His angels and His messengers and Gabriel and Michael – then indeed, Allah is an enemy to the disbelievers.

Malay

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

 

مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ

Sesiapa yang bermusuh dengan Allah;

Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu bahawa golongan Yahudi bermusuh dengan Jibrail عليه السلام. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat bahawa sesiapa yang bermusuh dengan malaikat-Nya, sebenarnya dia menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai musuh. Tentunya tidak akan berjaya sesiapa yang memusuhi Allah ‎ﷻ, bukan?

 

وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ

dan segala malaikat-malaikatNya;

Mereka tidak suka kepada Jibrail عليه السلام sahaja, tetapi dikatakan mereka memusuhi semua malaikat. Ini adalah kerana kalau marah kepada satu malaikat, bermakna marah kepada semua malaikat sekali. Seperti kalau kita sakiti seorang, bermakna kita juga menyakiti semua sahabatnya atau saudaranya sekali. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

 

وَرُسُلِهِ

dan segala rasul-rasulNya

Dan kalau bermusuh dengan rasul dari kalangan malaikat, maka bermakna dia bermusuh dengan semua rasul sama ada dari kalangan manusia atau malaikat. Dan kalau bermusuh dengan mana-mana utusan Allah ‎ﷻ, (sama ada mereka itu utusan dari jenis manusia, atau dari jenis malaikat), sebenarnya mereka bermusuh dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻlah yang mengutus mereka.

Para Rasul itu hanya menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau posmen hantar surat, dan kita marah kepada posmen itu kerana beri surat saman, ini tidak patut. Kalau kita marah, maksudnya kita marah kepada orang yang menghantar surat itu, bukan?

 

وَجِبْرِيلَ

dan (lebih-lebih lagi) Jibril;

Dalam ayat ini disebut Jibril عليه السلام sekali lagi walaupun Jibril عليه السلام adalah salah seorang dari malaikat. Ini adalah sebagai pengulangan dan penekanan kepadanya. Ini adalah kerana kedudukannya yang tinggi di sisi Allah ﷻ.

 

وَمِيكَٮٰلَ

dan Mikail;

Sebelum ini telah disebut yang mereka kata mereka sukakan Mikail عليه السلام. Ini ada disebut dalam kitab-kitab mereka. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kalau tidak sukakan Jibril عليه السلام bermaksud Mikail عليه السلام pun mereka musuhi juga.

 

فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ

Maka Allah itu musuh bagi orang kafir;

Allah ‎ﷻ sebut perkataan ‘kafir’ di sini. Bermakna, sesiapa yang marahkan walaupun satu sahaja malaikat Allah ‎ﷻ, maka orang itu sudah dikira menjadi kafir. Sememangnya Allah ‎ﷻ bermusuh dengan orang kafir.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka mengatakan mereka orang beriman, tetapi Allah ‎ﷻ ingin memberitahu di dalam ayat ini, bukan sahaja mereka tidak beriman, tetapi Allah ‎ﷻ sudah menjadikan mereka sebagai musuh-Nya. Alangkah beratnya kesalahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan.


 

Ayat 99: Mereka bukan sahaja berbalah dengan utusan Allah ‎ﷻ yang membawa wahyu itu, tetapi mereka sebenarnya berbalah dengan wahyu Allah ‎ﷻ. Sedangkan wahyu itu untuk kebaikan dunia dan akhirat.

وَلَقَد أَنزَلنا إِلَيكَ ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ ۖ وَما يَكفُرُ بِها إِلَّا ٱلفَـٰسِقُونَ

Sahih International

And We have certainly revealed to you verses [which are] clear proofs, and no one would deny them except the defiantly disobedient.

Malay

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Qur’an), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.

 

وَلَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu;

Iaitu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini hendak memberikan kekuatan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Pelbagai tohmahan dan hujah batil yang diberikan oleh orang Yahudi untuk menentang Nabi Muhammad ﷺ. Maka, Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada baginda bahawa memang telah diturunkan Al-Qur’an itu kepada baginda.

Siapakah yang menurunkannya?: Allah ‎ﷻ. Memang melalui Malaikat Jibril عليه السلام tetapi sebenarnya, Allah ‎ﷻlah yang menurunkan. Jibril عليه السلام hanya sebagai pengutus sahaja.

Kepada siapakah wahyu itu diturunkan? Kepada Nabi Muhammad ﷺ. Seorang insan yang mulia yang tidak ada apa-apa perkara buruk yang boleh dikatakan tentang baginda oleh musuh-musuhnya. Oleh itu mereka mencemuh Al-Qur’an dan cuba menjatuhkan nilainya kerana mereka tidak ada ruang dan fakta untuk mencemuh baginda kerana akhlak baginda yang mulia.

Oleh itu, kita sebagai pendakwah, kenalah mempunyai nilai-nilai akhlak yang murni. Jangan disebabkan oleh akhlak kita yang buruk di mata manusia menyebabkan mereka tidak mahu menerima mesej Al-Qur’an dan Islam yang perlu disampaikan. Kadangkala apa yang kita sampaikan itu memang kebenaran, tapi kerana ‘cara’ kita yang tidak kena dan menjengkelkan, orang tidak mahu dengar.

Amat menyedihkan jikalau ada kalangan orang-orang yang mengaku ahli agama tetapi mempunyai akhlak yang buruk. Ia memburukkan agama Islam di mata manusia dengan orang-orang sebegini. Walaupun kita menyampaikan perkara yang baik, tetapi kalau kita sampaikan dengan cara yang buruk, boleh menjauhkan manusia dari ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Kena bercakap dengan cara baik dengan manusia yang datang ke kelas pengajian. Mereka sudah datang belajar, maka ajarlah mereka dengan baik. Jangan kita marah mereka, maki mereka, perli mereka, tuduh mereka macam-macam, lebih-lebih lagi tuduh mereka sebagai ‘munafik’. Ini amat tidak patut sekali.

Jangan kita ceritakan keburukan mereka kepada pelajar yang lain. Jangan kita cari kesalahan anak-anak murid kita. Jangan kita bercakap dengan nada yang tidak elok sampai boleh menyakitkan hati pelajar-pelajar. Mereka sudah datang belajar dengan kita, maka kenalah layan mereka dengan baik.

 

ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ‌

ayat-ayat yang jelas nyata;

Ayat-ayat Al-Qur’an memang jelas. Yang tak jelas kepada kamu adalah kerana kamu yang tidak belajar.

Jadi, ayat Al-Qur’an itu telah diturunkan oleh Allah ‎ﷻ sendiri dan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang jelas mempunyai akhlak yang mulia. Tidak ada apa yang boleh dicemuh tentang Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ. Ia adalah “perfect combination” (kombinasi sempurna). Al-Qur’an itu adalah jelas nyata.

Jadi,

Pemberi wahyu itu adalah haq.

Penerimanya adalah haq.

Dan maklumat yang diterima itu juga adalah haq.

 

وَمَا يَكْفُرُ بِهَا

Dan tidaklah akan kufur dengan Al-Qur’an itu

Memang akan ada sahaja yang akan kufur dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Tetapi siapakah mereka yang sanggup kufur dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu?

 

إِلَّا ٱلفَـٰسِقُونَ

melainkan orang-orang fasik sahaja;

Iaitu orang yang banyak berbuat dosa. Yang tidak mahu menerima adalah orang-orang yang fasik. Namun begitu janganlah pula cepat sahaja untuk panggil orang lain fasik. Mereka menjadi fasik selepas tidak mahu menerima Al-Qur’an, apabila telah didakwahkan kepada mereka.

Tetapi kita kena tanya balik: adakah kita telah berdakwah kepada mereka? Berapa kali kita sudah jelaskan kepada mereka tentang ayat-ayat Al-Qur’an dan kepentingan belajar tafsir? Adakah kita pernah dakwah kepada mereka, atau kita terus panggil mereka fasik tanpa kita berdakwah untuk menyampaikan Al-Qur’an itu dahulu kepada mereka? Oleh itu, jangan senang-senang menuduh orang lain sebagai fasik pula.

Ditakuti kalau kita cuba menyampaikan kepada mereka tetapi cara dakwah kita pula yang tidak bagus. Kalau begitu, kita kena pertingkatkan lagi teknik dakwah kita. Mungkin cara kita tidak kena, jadi kita kena berbincang dengan orang lain yang ada pengalaman berdakwah. Maka kena belajar sedikit ilmu komunikasi.

Atau mungkin sikap dan akhlak kita yang menjadi punca mereka tidak mahu menerima Al-Qur’an itu. Kalau begitu, itu adalah salah kita maka kita kenalah banyak menilai diri kita sendiri.


 

Ayat 100: Allah ‎ﷻ menempelak mereka yang memungkiri janji mereka dengan Allah ‎ﷻ. Puak Yahudi telah mengadakan perjanjian taat setia dan mengikut ajaran dalam Taurat, tetapi mereka telah memungkirinya.

أَوَكُلَّما عَـٰهَدُواْ عَهدًا نَّبَذَهُ فَريقٌ مِّنهُم ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Is it not [true] that every time they took a covenant a party of them threw it away? But, [in fact], most of them do not believe.

Malay

Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.

 

أَوَكُلَّمَاعَـٰهَدُواْ عَهْدًا

Apakah setiap kali mereka buat perjanjian setia;

Perjanjian yang dimaksudkan itu adalah perjanjian yang dibuat dengan Allah ‎ﷻ. Bukan dengan manusia, tetapi dengan Allah ‎ﷻ.

 

 نَّبَذَهُ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ

maka setengah daripada mereka membuangnya?

Perkataan نَبَذَ itu bermaksud membuang sesuatu yang kita tidak perasan bahawa ia adalah penting. Kita tidak tahu bahawa ia adalah penting dan kerana itu senang-senang sahaja kita buang. Maknanya, orang jahil sahaja yang membuat perkara itu.

Adakah kita juga membuat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ? Tentu sekali. Inilah yang kita sebut setiap hari dalam syahadah kita. Kita sebut syahadah itu dalam setiap kali kita salat. Dalam syahadah itu, kita berjanji dengan Allah ‎ﷻ yang kita akan hanya menyembah dan memohon kepada-Nya sahaja.

Tetapi banyak di antara kita tidak menepati perjanjian ini. Antaranya adalah kerana tidak faham bahawa itu adalah satu perjanjian kita dengan Allah ‎ﷻ dan ia adalah amat penting sekali. Ia adalah satu perjanjian yang berat. Bukan perjanjian main-main. Ingatlah bahawa itu adalah perjanjian kita dengan Allah ‎ﷻ.

 

بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Bahkan sebenarnya kebanyakan mereka itu tidak beriman;

Kalau mereka tidak kisah langsung akan perjanjian itu bermakna mereka tiada iman. Kebanyakan dari golongan Yahudi itu memang tidak beriman. Mereka tahu apakah kebenaran itu tetapi mereka tolak kerana mereka degil sahaja.

Oleh itu, kalau kita pun berperangai begitu, maka kita ini ada sifat Yahudi.


 

Ayat 101:

وَلَمّا جاءَهُم رَسولٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم نَبَذَ فَريقٌ مِّنَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ ڪِتَـٰبَ اللَّهِ وَراءَ ظُهورِهِم كَأَنَّهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

And when a messenger from Allah came to them confirming that which was with them, a party of those who had been given the Scripture threw the Scripture of Allah behind their backs as if they did not know [what it contained].

Malay

Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).

وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maka tatkala datang kepada mereka rasul dari sisi Allah;

Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul utusan dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang utus baginda. Allah ‎ﷻ yang telah pilih baginda untuk menjadi Rasul, bukannya Jibril عليه السلام.

 

مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ

yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Nabi Muhammad ﷺ bukan membawa ajaran akidah yang lain, tetapi ia adalah ajaran akidah yang sama sahaja dalam kitab mereka, iaitu kitab Taurat.

 

نَبَذَ فَرِيقٌ مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلكِتَـٰبَ

Dibuang juga oleh sebahagian dari orang yang telah diberi Kitab Taurat.

Perhatikan cara penggunaan perkataan dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أُوتُوا الْكِتَابَ (telah diberikan kitab). Ia adalah di dalam bentuk pasif. Selalu digunakan kalimat ini apabila merujuk kepada ahli Kitab. Ia adalah gelaran yang menunjukkan kebencian Allah ‎ﷻ kepada mereka. Ini adalah kerana mereka telah diberi dengan kitab Taurat, tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Namun apabila apabila Allah ‎ﷻ bercakap tentang pemberian Al-Qur’an kepada Nabi, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ (yang Kami turunkan kepada kamu) – dalam bentuk aktif. Menunjukkan nada kemesraan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dari segi penggunaan bahasa pun ada makna dan isyarat yang kita boleh ambil.

 

ڪِتَـٰبَ اللَّهِ

Kitab itu adalah kitab Allah.

Yang mereka buang itu adalah Kitab dari Allah ‎ﷻ – Kalam Allah ‎ﷻ! Amat teruk sekali apa yang mereka telah lakukan. Jadi kalau kita tidak endahkan Al-Qur’an yang berada di hadapan kita ini, kita pun teruk juga.

 

وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ

ke belakang mereka;

Cara mereka buang itu adalah dengan tidak mengambil peduli. Seperti membuang sampah sahaja lagaknya. Contohnya, katakanlah kita tulis surat, tetapi surat itu kita tidak suka, jadi kita akan keromok surat itu dan baling ke belakang kita.

Maksud dalam ayat ini adalah, mereka tidak mahu mempelajari isi kandung Kitab Taurat kerana mereka tidak memandangnya sebagai satu perkara yang penting. Mereka tolak ia ke belakang sahaja.

 

كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

seakan-akan mereka itu tidak pernah mengetahui;

Mereka buat macam mereka tidak pernah kenal Kitab Taurat itu. Mereka sebenarnya tahu, tetapi mereka buat-buat tidak tahu.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan mereka tahu ia terkandung juga di dalam Kitab Taurat mereka, mereka akan berkata yang mereka tidak tahu menahu apakah yang sedang disebutkan oleh Nabi ﷺ. Begitulah perangai mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Malah ada sesetengah dari kita pun seperti itu juga. Al-Qur’an itu ramai yang tidak ambil peduli. Kita boleh lihat bagaimana mushaf Al-Qur’an penuh tersusun di masjid namun keadaan kebanyakan Al-Qur’an itu macam tidak pernah dibuka pun. Nampak elok sahaja Al-Qur’an itu.

Ini adalah kerana masyarakat Muslim Malaysia lebih suka membaca wirid lagi daripada membaca Al-Qur’an. Padahal, membaca Al-Qur’an lebih afdhal dari membaca wirid. Maksudnya pahala lagi banyak dari wirid. Tetapi telah diajar kepada masyarakat kita oleh guru-guru kita untuk banyak berwirid.

Bukanlah salah wirid, tapi kalau kita hendak berniaga pun, tentu kita hendak untung yang lebih banyak, bukan? Maka kenapa kita tidak cari pahala yang lebih banyak dengan baca Al-Qur’an dan menjadikan ia sebagai zikir harian kita?

Sampaikan kalau pergi ke Mekah pun, orang kita hanya banyak berwirid kalau dibandingkan dengan bangsa lain. Mereka lebih percaya kepada guru mereka daripada percaya kepada hadith Nabi ﷺ dan perbuatan sahabat-sahabat رضي الله عنهم.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 21 November 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 98 – 101 (Buang wahyu ke belakang)”

  1. Assalamualaikum Tuan, untuk tafsir ayat 101 ini. Yang di campak kan kebelakang ada kitab Allah. Adakah ianya Al-Quran atau Taurat?

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s