Tafsir Surah Quraish Ayat 1 (Nikmat kepada Puak Quraish)

Pengenalan:

Seperti yang kita sudah tahu, tanah Mekah itu dari segi tumbuhan tidak ada apa tapi Allah beri kelebihan kepada penduduk Mekah itu kerana mereka ada Ka’bah.

Ada beberapa kaitan antara surah ini dan surah sebelumnya, Surah Feel. Terutama sekali pada ayat terakhir surah ini: الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ [Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.] Ini adalah ayat utama surah ini. Allah telah memberi mereka: آمَنَهُم مِن خَوفٍ [keselamatan dari takut].

Keselamatan dari ketakutan ini telah disentuh dalam Surah Feel. Jadi ada perkaitan yang amat rapat antara dua surah ini. Sampaikan ada riwayat yang mengatakan bagaimana Saidina Umar membaca Surah Feel dan Quraish di dalam satu rakaat tanpa meletakkan bismillah antara keduanya. Ini adalah kerana walaupun dua surah itu memang surah yang berlainan, tapi ia amat rapat antara satu sama lain.

Pemberian dari Allah ada dua jenis utama:

    1. Menjauhkan dari bahaya, menyelesaikan masalah. Ini telah disentuh dalam Surah Feel.
    2. Memberi pemberian yang diperlukan oleh manusia. Dan inilah yang disentuh dalam Surah Quraish ini.

Apabila kita sedar dan menghargai pemberian-pemberian dari Allah dalam dua jenis di atas, kita akan jadi rela untuk menjadi hambaNya dan menunjukkan kesyukuran kita. Inilah juga yang kita lakukan dalam Surah Fatihah apabila kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ – waktu itu kita mengucap syukur kepada Allah dan kita mengaku yang Allah itu adalah Rabb kita.

Ianya adalah tindakan yang semulajadi sahaja, tidak perlu dipaksa sebenarnya. Tapi ada manusia yang ada masalah dengan perkara ini kerana mereka tidak dapat terima yang mereka itu status hamba sahaja. Tapi Allah ingatkan kepada Quraish tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, maka Allah ingatkan mereka, kenalah menghambakan diri kepadaNya: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ [Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).]

Salah satu tempat yang Quraish pergi berniaga adalah di Yaman. Kalaulah Abrahah berjaya menghancurkan Ka’bah, tentulah Quraish sudah tidak dapat pergi ke sana lagi. Pertama kerana Ka’bah telah dimusnahkan dan kedua, tentu Abrahah tidak membenarkan mereka pergi ke sana lagi kerana dia tidak suka kepada Quraish Mekah.

Tetapi kerana Ka’bah masih tegak berdiri, Quraish bebas mengembara dalam rihlah perniagaan mereka kerana puak-puak Arab yang lain takut untuk menyerang mereka kerana mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah dan kerana mereka takut berhala-berhala mereka yang berada di Ka’bah itu akan diapa-apakan pula oleh Quraish. Kita telah bincangkan perkara ini di dalam Surah al-Feel.

Keselamatan dan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada Quraish ini adalah kerana doa Nabi Ibrahim a.s. seperti yang disebut dalam Baqarah:126

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.

Dalam ayat ini, kedua-dua perkara utama itu telah diminta oleh Nabi Ibrahim a.s.

1. بَلَدًا آمِنًا (negeri yang aman)
2. وَارزُق أَهلَهُ (berilah rezeki kepada ahlinya)

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini dalam Surah Feel, dua-dua perkara ini diperlukan untuk satu-satu tamadun dan negara itu maju. Dan Allah telah sentuh tentang keselamatan dalam Surah Feel dan sekarang dalam Surah Quraish ini disentuh tentang rezeki.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu yang Kaum Quraish dan usaha dagang mereka dihormati kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah. Mereka menumpukan usaha dagang kerana tidak punya tanah pertanian yang subur. Tetapi mereka terkenal juga dengan sikap tamak dan bakhil.

لِإيلافِ قُرَيشٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Quraysh: (The tribe of) Quraysh.

For the accustomed security of the Quraysh¹ –

  • i.e., the honor and reputation Allāh had given them as guardians of the Holy Ka‘bah, which allowed them to travel without fear of being harmed.

(MALAY)

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

 

Huruf ل bermaksud: ‘untuk’

Kalimah إيلافِ diambil dari katadasar أ ل ف yang bermaksud mempunyai hati yang lembut terhadap seseorang.  Dari katadasar yang sama, ada digunakan kalimah أَلَّفَ dalam Ali Imran:103

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم إِذ كُنتُم أَعداءً فَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِكُم فَأَصبَحتُم بِنِعمَتِهِ إِخوانًا

dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara;

Allah mempersatukan hati-hati mereka dengan memasukkan rasa kasih hati antara mereka. Ini adalah tentang Arab Madinah (Aus dan Khazraj)

yang akhirnya digelar sebagai golongan Ansar. Asalnya mereka itu bermusuhan akan tetapi apabila Allah memberikan kasih antara mereka, maka tidaklah ada permusuhan lagi dan mereka telah bersatu hati menyokong Rasulullah dalam perjuangan baginda.

Dalam surah Ali Imran itu, digunakan kalimah أَلَّفَ sedangkan di dalam Surah Quraish digunakan kalimah إيلافِ. Kalimah إيلافِ tidak sama dengan أَلَّفَ kerana أَلَّفَ mengambil masa yang lama sedangkan kalau إيلافِ, ianya berlaku serta merta. Tidaklah suku Aus dan Khazraj itu terus menyayangi antara satu sama lain sebaik sahaja mereka mengucap syahadah kerana mereka telah lama bermusuhan dan berperang. Tentunya mengambil masa untuk mereka berbaik.

Akan tetapi, untuk Quraish, mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk lembut hati mereka. Kerana apa yang Allah telah berikan kepada mereka itu amat banyak sekali. Antara yang sudah disebut dalam Surah Feel adalah mereka diselamatkan dari Tentera Abrahah. Itu adalah satu nikmat yang amat besar yang Allah berikan khusus kepada mereka.

Maka sebenarnya tidak ada alasan untuk mereka tidak kembali kepada Allah. Bayangkan kalau kita dapat sesuatu nikmat yang kita amat suka, kita akan terus bersyukur. Sampaikan kalau orang tidak kuat agama pun secara automatik akan berkata: “Thank God!”. Maka sepatutnya mereka tidak perlu masa yang lama pun untuk lembut hati taat kepada arahan Allah.

Sekarang kita kembali membincang tentang ل (untuk). Ulama’ bincang panjang tentang perkara ini. Ada perbezaan pendapat tentang apakah maksudnya kalimah ل ini.

1. Pendapat pertama mengaitkan ل ini terus dengan kisah dari Surah Al-Feel. Allah memusnahkan Tentera Abrahah itu itu sebagai nikmat untuk mereka yang tinggal berdekatan Ka’bah itu.

Sepatutnya segala apa yang Allah sebut dalam Surah Feel itu menjadikan hati puak Quraish itu jadi lembut. Kejadian itu sepatutnya menyebabkan mereka berusaha untuk mencari kebenaran, supaya mereka kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s.

2. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa Allah hendak menakjubkan Rasulullah; jadi ل dalam ayat ini adalah ‘lam ta’jub‘:

a. lihatlah bagaimana Allah masih lagi boleh melembutkan hati golongan Quraish itu walaupun mereka telah lama bergelumang dalam dosa syirik (dan dosa-dosa lain seperti bunuh anak perempuan dan banyak lagi). Allah masih lagi beri peluang kepada mereka.

Bayangkan teruk sekali mereka itu sampaikan mereka sanggup meletak berhala di sekeliling Ka’bah itu. Ini adalah kerana Sifat Rahmat Allah yang amat besar. Menakjubkan sekali Rahmat Allah itu – walaupun mereka sudah buat dosa-dosa yang teruk dan banyak, Allah masih lagi mahu melembutkan hati mereka.

b. juga bermaksud, amat menakjubkan sekali Quraish itu. Walaupun Allah sudah beri banyak nikmat kepada mereka, mereka masih lagi tidak kembali kepada agama tauhid yang benar. Memang manusia jenis apa mereka itu!?

3. Ada pula yang mengatakan, ayat ini tidak ada kaitan dengan surah sebelum ini. Mereka mengatakan ل dalam ayat ini adalah hendak memberitahu tujuan Allah memberikan nikmat-nikmat yang disebut dalam ayat ini kepada mereka adalah supaya mereka bersyukur kepada Allah.

Dan hati Quraish itu memang telah patut lembut terhadap Ka’bah itu. Nabi Ibrahim sudah berdoa kepada Allah supaya Allah lembutkan hati manusia terhadap Ka’bah itu. Ini disebut dalam Ibrahim:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan manusia lembut hati kepada Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatan dengannya. Dan kita pun tahu bagaimana orang Islam memang lembut hati mereka terhadap Ka’bah itu dan hormat kepada mereka yang tinggal di Mekah. Sentiasa sahaja kita simpan hasrat untuk ke sana dan sesiapa yang telah ke sana akan terus teringat-ingat kepadanya.

Kalau orang lain pun sudah lembut hati terhadap Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatannya dengannya, mereka yang menjaga Ka’bah itu sendiri sepatutnya lebih lagilah lembut terhadap Ka’bah itu. Mereka kenalah menjaganya dengan baik sekali. Dan kerana itulah Allah telah memudahkan hidup mereka, supaya mereka dapat beribadat kepada Allah dan menjaga Ka’bah dan tidak perlu risau sangat tentang mencari rezeki.

Dan Allah telah memudahkan sangat hidup mereka, sedangkan penduduk di tempat lain hidup dalam kesusahan, penduduk Mekah hidup dalam kesenangan. Ini adalah kerana Allah nak biarkan mereka hidup senang dan boleh tumpukan perhatian buat ibadat dan jaga Ka’bah sahaja.

Quraish itu walaupun tinggal di tempat yang tidak ada tumbuh-tumbuhan dan sumber ekonomi (minyak belum dijumpai lagi), tapi kehidupan mereka itu mewah sahaja. Kerana ramai yang datang berniaga ke Mekah kerana melawat Ka’bah. Dan mereka akan bawa berbagai jenis makanan dan buah-buahan.

Sampaikan penduduk Mekah itu walaupun mereka tidak pergi ke mana-mana pun, mereka tidak kebuluran. Tapi Quraish masih juga lagi menyibukkan diri mereka dengan perniagaan. Ini kerana ada orang yang sudah kaya pun masih lagi nak kaya lagi banyak dan mereka sibuk menggunakan harta mereka.

Begitulah manusia ini, ramai yang masih rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Akan tetapi, ada juga orang yang sudah rasa cukup, mereka akan gunakan masa untuk buat ibadat. Sebagai contoh, ada orang yang boleh buat duit banyak, tapi mereka tidak sibuk mencari harta kerana mereka rasa cukup dengan apa yang mereka ada. Mereka tahu kalau mereka sibuk kejar harta, mereka akan kurang masa untuk beribadat kepada Allah. Maka mereka kerja setakat cukup sahaja, dan masa luang mereka gunakan untuk belajar, untuk beribadat dan untuk bersama dengan keluarga mereka.

Lihatlah, kalau seseorang itu banyak habiskan masa mencari duit, ketahuilah yang selalunya keluarga mereka yang jadi mangsa. Ini perkara yang kita biasa lihat. Mereka kata mereka nak luangkan masa dengan keluarga tapi mereka tak buat pun. Ini adalah kerana mereka sibuk nak cari duit. Anak-anak pun tidak rapat dengan mereka.

Dan lihatlah nanti bila sudah tua, anak-anak pun tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Kerana anak-anak tidak rapat dengan ayah mereka sejak dari kecil lagi. Waktu itulah mereka akan mengadu dengan orang lain (dengan ustaz) yang anak-anak mereka tidak hormatkan mereka. Padahal, masalah itu dimulai oleh mereka. Mereka yang jauhkan diri dari anak-anak. Maka jangan salahkan anak kalau begitu.

Oleh itu, Puak Quraish itu sebenarnya sudah cukup harta dan senang, segala keperluan mereka sudah ada disediakan oleh Allah. Mereka sepatutnya tidak menghabiskan masa mereka untuk menambah kekayaan dunia. Mereka sepatutnya meluangkan banyak masa mereka untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Kalimah قُرَيشٍ dari تقرّش yang bermaksud mengumpulkan orang dari banyak tempat. Ini berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama al Muj’im yang mengumpulkan manusia yang duduk berpisah di padang pasir untuk tinggal di Mekah (ini disebut dalam Surah al Feel).

Pendapat yang kedua mengatakan قرش bermaksud binatang besar di laut seperti ikan paus atau sotong besar yang boleh merosakkan kapal di lautan. Apabila digunakan kalimah قُرَيشٍ, ianya adalah versi kecil dari binatang yang dimaksudkan itu. Sebagai contoh, hasan yang kecil dipanggil husain. Kalimah ini dikatakan untuk memberi isyarat kepada kedudukan puak Quraish yang kuat.

Itu adalah sebahagian dari pendapat-pendapat yang mengkaji dari manakah asalnya datangnya perkataan قُرَيشٍ itu. Allahu a’lam.

Ada kebenarannya kerana selepas Tentera Abrahah dimusnahkan kerana hendak menyerang Ka’bah, ianya menguatkan lagi kedudukan Quraish di mata orang Arab. Ia meneruskan kedudukan Quraish sebagai kuasa ekonomi di Tanah Arab dan meneruskan kedudukan mereka yang tinggi di mata orang Arab.

Orang Arab sekitar melihat peristiwa kebinasaan Abrahah dan tenteranya itu sebagai dalil bahawa Allah melindungi Quraish dan tempat mereka dari ancaman musuh. Kalau sebelum itu ada yang tidak berapa percaya dengan kedudukan Quraish, maka kejadian pada Tahun Gajah itu telah menjadi ‘dalil’ bagi mereka.

Dan sepatutnya dengan pertolongan Allah itu, sepatutnya menjadikan Quraish lembut hatinya terhadap Allah. Allah telah memuliakan mereka sebagai penjaga Ka’bah yang mulia itu. Mereka sepatutnya menjadi pemudah bagi manusia lain untuk menyembah Allah dengan cara yang betul. Tapi ini tidak mereka lakukan. Dan kerana itu Allah murka kepada mereka.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah menyebut tentang Quraish itu dalam kataganti ketiga (gha’ibah). Ini memberi isyarat yang Allah murka dengan mereka.

Ia juga adalah tindakan menjauhkan diri dari mereka (tab’eed) kerana mereka pun mendengar juga, tapi Allah tidak bercakap terus dengan mereka. Bayangkan kalau kita bercakap tentang seseorang yang ada di situ, tapi kita bercakap dengan orang lain, tak cakap pun dengan orang itu. Tentu kita sendiri sudah dapat rasa yang orang yang bercakap itu tidak suka, bukan? Begitulah, dalam ayat ini, Allah bercakap dengan Rasulullah, ‘tentang’ Quraish yang tentunya sedang mendengar, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s