Tafsir Surah Tawbah Ayat 40 – 41 (Rasulullah dan Abu Bakr dalam gua)

Tawbah Ayat 40:

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا ثانِيَ اثنَينِ إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you do not aid him [i.e., the Prophet ()] – Allāh has already aided him when those who disbelieved had driven him out [of Makkah] as one of two,¹ when they were in the cave and he [i.e., Muḥammad ()] said to his companion, “Do not grieve; indeed Allāh is with us.” And Allāh sent down His tranquility upon him and supported him with soldiers [i.e., angels] you did not see and made the word² of those who disbelieved the lowest,³ while the word of Allāh – that is the highest. And Allāh is Exalted in Might and Wise.

  • The second was his companion, Abū Bakr.
  • i.e., their claims and slogans.
  • i.e., degraded and dishonored.

(MALAY)

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya

Ada jumlah muqaddar di sini, iaitu sesuatu yang kena dijelaskan dengan ditambah lafaz pada ayat itu, jika tidak akan susah untuk faham. Di dalam ini sebenarnya Allah hendak memberitahu, jika umat Islam tidak mahu tolong agama Allah (dengan tolong Rasulullah), tidak mengapa pun kerana Allah dan RasulNya memang tidak memerlukan mereka pun. Buktinya Allah telah pernah tolong Nabi.

Dan Allah akan tetap tolong baginda kalau mereka tidak mahu tolong baginda. Allah maha berkuasa untuk buat apa sahaja dan memenangkan agama Islam tanpa bantuan para sahabat. Cuma Allah beri peluang sahaja kepada mereka untuk menyimpan saham menyebarkan agama Islam ini. Dan memang mereka telah lakukan.

Sepatutnya umat Islam membantu Rasulullah menjalankan misi baginda kerana misi itu dibebankan oleh Allah. Tapi kalau tak tolong, yang ruginya adalah umat, kerana Allah beri peluang untuk umat Islam membantu supaya mendapat habuan dari bantuan itu. Tapi kalau tak tolong, Allah sendiri pun sudah cukup untuk membantu baginda.

Secara umum pula, ayat ini bukan sahaja berkenaan tolong Rasulullah, tapi bagi kita ia merujuk juga kepada pemimpin (pemimpin negara) dan secara tidak langsungnya memang terkena kepada kitalah juga. Kita sekarang ini hendak menjalankan kerja dakwah untuk sebarkan agama Islam atau tidak? Kalau tidak ambil peluang, Allah tetap akan sebarkan agama Islam ini dengan caraNya. Berapa ramai yang masuk Islam kerana mereka jumpa sendiri kelebihan agama Islam tanpa ada seorang pun berdakwah kepadanya? Ramai sekali.

 

إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا

ketika orang-orang kafir (Musyrikin Mekah) mengeluarkannya

Allah beri contoh bagaimana Dia pernah bantu Rasulullah. Iaitu ketika baginda ditentang dengan kuat oleh Kafir Mekah, sehingga baginda terpaksa keluar berhijrah ke Madinah. Sebelum baginda keluar, para pemimpin Musyrikin Mekah telah bermesyuarat di Darun Nadwah (tempat mereka bersidang) dan mereka telah membuat keputusan sama ada hendak bunuh, tangkap atau usir baginda dari bumi Mekah.

Waktu itu Rasulullah telah diarahkan oleh Allah untuk berhijrah. Maka baginda telah bergerak dengan cara yang senyap untuk keselamatan. Perancangan baginda amat teliti sekali kerana Musyrikin Mekah sedang mengejar baginda kerana mereka tidak mahu lepaskan baginda.

 

ثانِيَ اثنَينِ

sedang dia salah seorang dari dua orang

Ketika baginda melarikan diri itu, baginda berdua sahaja, iaitu dengan Abu Bakr. Tidak perlu ramai orang pun untuk menemani baginda. Abu Bakrlah teman baginda yang bersama-sama melarikan diri, terpaksa menyembunyikan diri dari ditangkap oleh musuh. Waktu itu Musyrikin Mekah sedang mencari-cari baginda dan mereka berdua terpaksa menjalankan helah untuk menyelamatkan diri. Keluarga Abu Bakrlah yang banyak membantu.

Ini boleh dipelajari secara lanjut dari sirah Nabi. Cuma perlu ditekankan yang kisah ini perlu ‘pemutihan’ dari yang biasa kita dengar. Selalunya kita sudah biasa dengar yang Nabi Muhammad keluar berhijrah ke Madinah di malam hari, waktu itu Sayidina Ali yang menggantikan tempat tidur baginda, bukan?

Sebenarnya kisah ini tidak benar, kerana berdasarkan hadis yang ada dalam Sahih Bukhari, Nabi berhijrah dari rumah Abu Bakr di siang hari (tengahari). Tapi kisah Sayidina Ali itu ditambah dari riwayat Syiah. Mereka memasukkan kisah palsu ini dalam sirah kerana mereka mahu Sayidina Ali terlibat dalam sejarah besar ini. Walaupun tidak ada nama Saidina Ali, mereka tetap sumbat juga bagi ada! Ini kerana pada mereka, Saidina Ali itu adalah Imam mereka (yang mereka lantik ikut suka hati mereka sendiri) dan pada mereka rasa ralat pula bila Imam mereka tidak terlibat dalam peristiwa yang besar itu. Mereka hendak mencapai matlamat mereka, sampaikan mereka sanggup melakukan penipuan dalam sejarah!

 

إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصٰحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا

ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita”.

Dalam mereka berdua melarikan diri, mereka telah berlindung di dalam Gua Thur, untuk menyelamatkan diri dari pihak musyrikin yang mencari-cari mereka. Tempat perlindungan baginda itu bukanlah kubu yang kuat, tapi satu gua sahaja yang pintunya bukan boleh ditutup. Ketika keduanya dalam Gua Thur, musuh telah berada di sekeliling kawasan itu. Perjalanan mereka telah dikepung, sampai mereka kena lari masuk dalam gua menunggu selama tiga hari sampai tidak ada orang keliling mereka lagi.

Mereka berdua tidak dapat terus pergi ke Madinah kerana musyrikin telah kawal selia semua jalan. Ramai yang mencari-cari baginda kerana mereka ditawarkan upah yang lumayan untuk tangkap Nabi; sebab itu ramai yang beriya-iya kejar dan nak tangkap Nabi. Semasa mereka di dalam gua itu, anak Abu Bakr yang bernama Asma’ yang menghantar makanan untuk Nabi dan ayahnya.

Rasulullah telah mengaturkan strategi dan pelbagai ikhtiar dengan menggunakan jalan rahsia dan bersembunyi di Gua Thur, namun dapat dijejak oleh kaum kafir Quraish sampai ke Gua Thur kerana mereka mempunyai ilmu mengesan tapak kaki sehingga jejak tapak kaki terhenti di hadapan Gua Thur. Dengan keadaan Gua Thur yang kecil jika tunduk sahaja pun sudah nampak orang ada atau tiada di dalamnya.

Ketika itu tentunya keadaan amat genting. Waktu itulah Nabi Muhammad berkata kepada Abu Bakr seperti yang termaktub dalam ayat ini. Tentang benarkah yang dimaksudkan ‘seorang lagi teman’ itu adalah Abu Bakr, tidak ada khilaf dari kalangan mufassir yang ianya adalah Abu Bakr.

Sebab itulah Imam Malik telah mengeluarkan fatwa, sesiapa yang kata Abu Bakr telah kufur, orang itu telah kufur kerana engkar dengan ayat ini. Jadi bagaimana dengan pendapat Syiah yang mengatakan Abu Bakr telah murtad setelah Nabi Muhammad wafat?

Semasa Musyrikin Mekah mencari-cari mereka berdua, mereka memang dekat sangat, sampaikan Abu Bakr boleh nampak kaki-kaki mereka dari dalam gua itu. Beliau berkata kepada baginda: “Seandainya salah seorang dari mereka melihat ke arah bawah kakinya, nescaya dia akan dapat melihat kita berdua”. Abu Bakr waktu itu amat takut sangat.

Nabi jawab kepada Abu Bakr: “jangan bimbang”. Kita kena faham bahawa memang Abu Bakr waktu itu takut, tapi bukan takut tentang dirinya sendiri tapi beliau takut Nabi yang dibunuh. Kerana kalau seseorang itu dikatakan takut, dia ‘takut’ atas diri sendiri, tapi apabila dikatakan ‘bimbang’, maksudnya atas orang lain. Beliau takut Nabi Muhammad yang ditangkap dan dibunuh kerana baginda seorang Rasul yang ditugaskan menyebarkan agama Islam.

Oleh kerana itu, Nabi Muhammad sebenarnya memberitahu kepada Abu Bakr, jangan bimbang atas diri baginda. Kata-kata ini ringkas sahaja tapi ia datang dari hati yang tenang murni. Nabi Muhammad berkata begitu kerana baginda tahu yang Allah ada bersama mereka berdua (bersama dari segi ilmu, bukannya duduk sekali dalam gua itu pula). Allah tidak akan biarkan mereka ditangkap dan dibunuh.

Kita selalu dengar kisah tentang labah-labah dan burung merpati buat sarang, bukan? Kisah itu tidak benar, dongeng sahaja. Peristiwa Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah itu diabadikan orang dalam sirah Rasulullah yang diperingati, dibaca, dipidatokan dan dihayati dari dahulu sampai sekarang. Akan tetapi kerana terpesona dengan peristiwa hijrah itu orang sampai terlupa kepada satu hakikat yang bukan hakikat, iaitu satu KHURAFAT yang tersembunyi di sebaliknya. Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam gua Thur itu Rasulullah dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah Rasulullah dan sahabatnya Abu Bakar dari buruan pemuda-pemuda Quraisy yang mengejar baginda.

Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi peristiwa Hijrah itu. Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan sejarah itu menyimpang dari hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya tidak sahih belaka.

 

فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ

Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya ke atasnya

Allah turunkan sakinah ke atas Abu Bakr. Kita tafsirkan yang lafaz عَلَيهِ (ke atasnya) itu merujuk kepada Abu Bakr kerana beliau yang rasa bimbang. Sedangkan Nabi tidak bimbang. (Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir dalam lafaz عَلَيهِ itu merujuk kepada Nabi Muhammad).

Sakinah bermaksud perasaan ketenangan dan Allah berikan kepada beliau kerana dia rasa bimbang dan juga sedih kerana dia melihatkan keadaan Nabi yang diperlakukan sedemikian – sedangkan baginda adalah orang yang paling mulia tapi diperlakukan sedemikian.

Dan beliau bimbang kalau Nabi mati, itu tentunya satu kerugian yang amat besar kerana baginda adalah Nabi dan beliau takut Islam tidak berkembang. Oleh kerana semua kerisauan yang dalam hati Abu Bakr itu, maka Allah turunkan ketenangan kepadanya.

 

وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَّم تَرَوها

dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, 

Dan Allah telah kuatkan Nabi dengan tentera yang manusia tidak dapat tengok. Iaitu Allah telah menurunkan para malaikat untuk membantu baginda semasa di gua itu; dan bukan sahaja di gua itu sahaja, Allah juga menurunkan malaikat di waktu-waktu peperangan lain untuk bantu tentera Muslim. Itu adalah salah satu cara bagaimana Allah bantu baginda Nabi.

Jadi yang Allah hantar adalah para malaikat, bukannya labah-labah dan burung merpati seperti yang banyak disebut oleh orang kita.

 

وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ

dan menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah.

Maksudnya, Allah telah jadikan akidah syirik orang kafir itu duduk di bawah, rendah. Ia duduk luar dari hati manusia. Ia tidak akan berjaya, Islam pasti akan tetap menang.

 

وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا

Dan kalimat Allah itulah yang tinggi.

Dan Allah menjadikan kalimahNya duduk di tempat yang tinggi. Bukanlah Allah naikkan kalimah itu dari bawah ke atas, kerana kalimah Allah tidak pernah rendah. Kalimat yang dimaksudkan adalah Kalimah Syahadah.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Perkasa, Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak, dan tidak ada yang dapat mengalahkanNya. Kalau ada yang hendak membunuh agama Islam, bunuh kalimatNya, mereka tidak akan berjaya.

Dan Allah Maha Bijaksana dalam merancang. Segala yang terjadi adalah dalam perancanganNya dan perancanganNya amat teliti dan pasti akan terjadi.


 

Tawbah Ayat 41: Ini adalah ayat targhib (galakan) kepada jihad. Dalam ayat sebelum ini, Allah telah beritahu kalau tidak menjalankan jihad, Allah akan seksa dan ganti dengan kaum lain, maka kenalah keluar berjihad. Sebelum kena tukar dengan kaum yang lain, baiklah berjihad di jalan Allah.

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Go forth, whether light or heavy,¹ and strive with your wealth and your lives in the cause of Allāh. That is better for you, if you only knew.

  • i.e., young or old, riding or walking, in ease or in hardship – in all circumstances and conditions.

(MALAY)

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

 

انفِروا خِفافًا وَثِقالًا

Keluarlah kamu kamu berperang, baik dalam keadaan ringan mahupun berat,

Kalimah خِفافًا bermaksud ringan dan ثِقالًا bermaksud berat. Ada banyak maksud yang boleh diambil dari dua kalimah ini. Antaranya Allah suruh umat Islam keluar menjalankan kewajipan jihad, sama ada dalam keadaan rasa ringan untuk berperang atau rasa berat hati. Perasaan berat dan ringan itu perasaan sahaja. Ringan juga boleh bermaksud muda dan berat bermaksud sudah tua; ringan boleh bermaksud tidak ada senjata dan berat boleh bermaksud berat dengan senjata.

Walau apa pun, kena keluar juga. Jadi ini adalah arahan wajib terutama sekali pada Perang Tabuk kerana perang ini adalah perang yang wajib. Ini adalah apabila perang yang disertai oleh orang awam, tidak sama dengan askar yang dibayar gajinya oleh kerajaan. Dalam sejarah Islam, bukan semua jihad itu wajib kerana pada peringkat permulaan Islam, jihad adalah sukarela sahaja.

Di dalam Perang Tabuk, Allah mewajibkan golongan mukmin untuk berangkat berperang bersama Rasulullah dalam keadaan apa pun, baik ia dalam keadaan ada semangat mahupun dalam keadaan malas, dan baik dalam keadaan sulit mahupun dalam keadaan mudah. Begitu juga, baik telah berusia lanjut mahu pun berusia muda, semuanya harus berangkat. Kerana itulah para sahabat, tetap juga pergi berperang walaupun pada usia mereka yang lanjut.

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid sehubungan dengan firman-Nya: Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat. (At-Taubah: 41) Para sahabat mengatakan, di kalangan kami terdapat orang yang keberatan, orang yang mempunyai keperluan, orang yang miskin, orang yang sibuk, dan orang yang keadaannya mudah. Maka Allah menurunkan firman-Nya menolak alasan mereka. Tiada lain bagi mereka kecuali harus berangkat, baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat. Yakni mereka tetap harus berangkat dalam keadaan apa pun yang mereka alami.

Setelah ayat ini diturunkan, para sahabat merasa keberatan dengan perintah itu. Maka Allah me-mansukh-nya dengan firman Allah Swt.:

{لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلا عَلَى الْمَرْضَى وَلا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ}

Tidak dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit, dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. (At-Taubah: 91)

Jadi pengecualian diberikan kepada orang yang benar-benar tidak mampu. Akan tetapi kalau mereka tidak ada alasan, mereka kena pergi sama ada mereka suka atau tidak. Tapi kenapa macam ada paksaan pula? Kerana ia adalah penting untuk dilakukan oleh umat Islam. Ia ada kepentingan untuk negara Islam dan juga untuk individu itu sendiri.

Allah terus suruh pergi sebagai arahan yang wajib ditaati. Kerana manusia perlu diberi arahan dan desakan. Kalau hendak tunggu ada motivasi untuk buat, maka tidak akan jadi apa-apa kerana nafsu memang akan malas nak buat benda baik. Nafsu akan suruh hidup senang lenang duduk makan kerepek depan TV sahaja. Jadi arahan tegas perlu diberikan.

Begitu juga dalam kehidupan kita, jangan tunggu ada motivasi baru hendak buat. Kerana motivasi itu mungkin tidak akan datang-datang. Contohnya anda tahu anda kena beriadah untuk jaga kesihatan. Kalau tunggu semangat sampai, memang membuntatlah jawabnya badan anda kerana emosi anda akan timbang antara rehat tidur dan pergi jogging. Memang tidur akan menang. Jadi otak kita kena ambil alih. Iaitu abaikan perasaan kita dan terus buat sahaja sebab kita secara intelek tahu yang memang benda itu memang kena buat pun. Contoh lain: nak terus tidur atau bangun pergi sekolah/kerja? Nak belajar atau pergi main dengan kawan?

Kalau kita beri masa kepada emosi kita untuk ambil alih, maka hidup kita akan jadi porak peranda kerana emosi dan nafsu sentiasa akan pilih benda yang senang. Sebab itu saya hendak promosi anda baca buku yang bertajuk ‘5 Second Rule’ yang amat menarik.

 

وَجٰهِدوا بِأَموٰلِكُم وَأَنفُسِكُم في سَبيلِ اللَّهِ

dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah.

Yang penting adalah untuk keluar jihad kerana agama. Dan untuk berjihad, perlu mengeluarkan harta (kerana jihad memerlukan modal) dan kena diri sendiri keluar juga. Kena bawa diri sendiri untuk berperang. Tidaklah boleh hendak wakilkan orang lain pula seperti puak Syiah upah orang lain untuk pukul diri sampai luka itu.

Jihad qital itu ada dua kemungkinan: ada yang fardhu dan ada yang kifayah. Ia jadi kifayah apabila sudah ada tentera kerajaan untuk keluar jihad. Memang kalau tentera itu kerja mereka memang berperang dan mereka dibayar gaji untuk berperang. Akan tetapi ada juga jihad yang dinamakan nafrul am – semua rakyat yang mampu kena keluar jihad.

Ini seperti yang diwajibkan dalam Perang Tabuk, dan tidak ada keizinan untuk tinggal di rumah waktu itu, kecuali yang diberi kebenaran kerana ada keuzuran. Ini adalah kerana Perang Tabuk itu umat Islam kena berdepan dengan tentera kafir Rom yang ramai. Maka arahan itu adalah arahan wajib kerana memerlukan tentera yang ramai.

Masing-masing pasukan yang Muslim dan pasukan yang kufur akan ada rasa berat dan ringan. Tapi pihak Muslim kena tabahkan hati dan terus sahaja ke medan perang. Ini kerana Allah telah beri banyak arahan dan beri janji yang amat besar kepada mereka. Janji itu tidak ada bagi orang kafir kerana mereka keluar perang kerana keduniaan sahaja.

Dua perkara utama yang perlu dikorbankan dalam jihad adalah harta dan diri. Tapi di dalam ayat Al-Qur’an Allah sebut harta dahulu. Ini kerana walaupun nyawa itu lebih bernilai, akan tetapi ia pra-syarat untuk menjalankan jihad. Kerana kalau tidak ada modal untuk keluar jihad, diri sendiri pun tidak berguna.

Satu lagi, Allah mulakan dengan sebut tentang harta, kerana itulah yang lebih mudah untuk dikeluarkan kalau dibandingkan dengan nyawa.

Dan kena pastikan jihad itu adalah في سَبيلِ اللَّهِ. Ia dinamakan ‘jalan Allah’ kerana jalan itu Allah yang buat. Dan kalau ikut jalan itu, ia pasti membawa menuju kepada Allah. Maka apabila jalan itu Allah yang buat, maka kenalah ikut syarat-syarat yang Allah telah tetapkan. Jangan buat jalan sendiri pula.

Kalau kita pada zaman sekarang tidak ada perang qital, maka kita jalankan usaha kita dengan cara lain. Iaitu jihad kita adalah dakwah yang kita kena sampaikan kepada manusia. Apabila perlu tenaga kita dalam menegakkan Islam, kita kena ke hadapan dan tawarkan diri. Kerana kalau bukan kita yang pertahankan Islam, siapa lagi?

Sebagai contoh, kalau ada yang buat fitnah tentang Islam, maka kitalah yang kena pertahankan agama Islam dengan berhujah dengan mereka yang membuat tohmahan itu; kalau ada aktiviti dakwah yang memerlukan sumbangan kita, berilah sumbangan itu. Maka kita kena sumbangkan ke arah menegakkan agama sama ada dengan tenaga kudrat kita atau dengan bantuan kewangan.

Dan sama seperti jihad perang, jihad dakwah juga perlukan harta dan juga diri. Kadangkala untuk menjalankan jihad, kena modal untuk cetak buku, pamflet, makalah, sewa tempat, bayar internet, dan lain-lain. Dan diri itu bermaksud kita sendiri yang berhadapan dengan orang menyampaikan dakwah. Cuma kadangkala bukan semua orang boleh bercakap, jadi kita buat ikut kemampuan kita. Kalau boleh menulis, maka tulis nasihat kepada manusia. Kalau tidak mampu, maka bantu orang yang pandai bercakap dan menulis itu sampaikan kepada orang lain.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

Kalaulah kita tahu kelebihan yang ada dalam jihad ini, tentu kita tidak akan menahan diri kita. Tentu kita tidak rasa berat hati untuk berperang. Tapi malangnya kadang-kadang iman kita lemah dan tidak nampak kelebihan yang Allah telah janjikan. Kerana pahala itu ghaib, kita tidak nampak kecuali di akhirat kelak. Kita kena percaya sahaja dahulu semasa di dunia.

Jadi ramai yang tidak menjalankan jihad kerana tidak yakin dengan janji Allah kerana kita tidak nampak syurga dan balasan Allah. Mungkin dari segi akademik, kita tahu yang ianya baik, akan tetapi kita tidak yakin benar, sebab itulah kita tidak buat, bukan? Contohnya semua orang tahu solat berjemaah bagi lelaki itu lebih baik, tapi ramai yang tidak buat, bukan? Kerana pahala yang dijanjikan itu tidak nampak.

Maka beruntunglah orang yang yakin dengan janji Allah dan mereka lakukan seperti yang Allah suruh, sama ada mereka faham atau tidak, nampak atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Kisah tidak sahih

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s