Tafsir Surah Tawbah Ayat 42 – 45 (Orang munafik tidak sertai jihad)

Tawbah Ayat 42: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 4 surah ini. Dalam perenggan ini, perkara utama yang Allah tekankan adalah perang kepada orang kafir dan kepada orang munafik. Maka sekarang masuk kisah orang munafik pula. Mereka pun perlu diperangi juga tapi dengan cara yang benar. Nanti akan disebutkan dengan jelas. Perenggan ini panjang dan berterusan sehingga ke ayat 127. Mulanya diceritakan yang mereka itu berat untuk menyertai jihad.

Dalam Perang Tabuk itu, orang mukmin semua pergi keluar jihad kecuali lapan orang. Selain dari itu semua mukmin pergi berperang kecuali mereka yang dibenarkan untuk bertahan di Madinah. Dari 8 orang itu, 5 orang dari kumpulan Lubabah dan 3 lagi dari kumpulan Ka’ab bin Malik. Mereka itu mukmin tapi ada masalah pada mereka, kerana itu mereka tidak pergi. Kisah mereka ini nanti akan disebut di hadapan nanti.

Selain dari itu, ada ramai lagi golongan munafik yang tidak pergi berperang. Mereka itu tidak dikira mukmin dan mereka itu lagi ramai yang tidak pergi. Kumpulan Munafik itu pula terbahagi kepada 4 golongan. Dua kumpulan yang pertama adalah:

1. ada yang minta izin kepada Nabi untuk tidak berjihad

2. ada yang tidak minta izin pun dan apabila Nabi balik, baru mereka beri alasan.

Selain dari dua jenis ini, ada dua kumpulan pula yang pergi juga berjihad. Di dalam ayat ini disebut tentang mereka yang tidak pergi. Allah beri teguran kepada mereka dalam ayat ini. Jadi ayat ini adalah jenis Ayat Zajrun. Munafik itu tidak pergi berperang kerana munafik itu pilih keuntungan dunia. Mereka itu memang tidak ada iman langsung atau mereka lemah iman.

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا وَسَفَرًا قاصِدًا لَّاتَّبَعوكَ وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم يُهلِكونَ أَنفُسَهُم وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had it been a near [i.e., easy] gain and a moderate trip, they [i.e., the hypocrites] would have followed you, but distant to them was the journey. And they will swear by Allāh,¹ “If we were able, we would have gone forth with you,” destroying themselves [through false oaths], and Allāh knows that indeed they are liars.

  • When you return from the Tabūk expedition.

(MALAY)

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

 

لَو كانَ عَرَضًا قَريبًا

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh

Menurut Ibnu Abbas, yang dimaksudkan dengan ‘aradan qariban ialah ghanimah (rampasan perang) yang dekat (mudah diperoleh).

Sekarang Allah beritahu apa yang dalam hati orang-orang Munafik itu: sekiranya apa yang dijanjikan itu mudah dapat, mereka akan ikut serta kerana mereka tahu mereka akan untung. Kerana yang mereka hendak dapat berperang itu adalah harta rampasan perang. Tapi mereka tidak mahu susah payah. Mereka tidak mahu berkorban untuk agama. Mereka nak benda yang senang sahaja, yang mudah dicapai.

Maka kena tanya diri kita: Adakah kita pun macam itu juga? Adakah kita juga berkira-kira untuk berkorban dalam hal agama? Adakah kita hanya mahukan keuntungan yang mudah? Kalau ada untung baru kita hendak beribadah atau hendak berdakwah?

 

وَسَفَرًا قاصِدًا

dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,

Dan kalau untuk mendapatkannya perjalanan pun dekat, tidak susah sangat, maka mereka pun akan pergi juga. Seperti yang telah disebut sebelum ini, kedudukan Tabuk itu adalah jauh dan musim itu sedang panas pula. Kena berjalan pula kerana kalau ada unta pun kena berkongsi sepuluh orang. Maka tentunya golongan munafik itu tidak ada selera nak pergi.

 

لَّاتَّبَعوكَ

pastilah mereka mengikutimu,

Kalau senang dapat dan perjalanan tidak jauh, Allah kata nescaya puak munafikin itu akan ikut serta orang-orang mukmin menyertai Perang Tabuk itu. Memang ada perang jihad yang mereka sertai kerana mereka rasa perang tak susah dan kalau pergi, boleh dapat harta ghanimah nanti. Tapi kali ini Allah uji dengan satu perang yang amat payah.

Maka kita dapat tahu yang mereka nak harta rampasan perang sahaja sebenarnya. Mereka bukannya hendak menegakkan agama Allah di bumi ini. Itulah yang dimaksudkan dengan عَرَضًا iaitu pulangan yang nampak dengan mata. Sedangkan pahala dan balasan syurga mereka tidak nampak, bukan?

Jadi kita dapat tahu dari sini yang golongan munafik ini sanggup buat ibadah yang mudah-mudah sahaja. Itu pun kerana untuk ditunjukkan kepada orang lain seperti disebut di dalam ayat yang lain. Maka kalau kita pun begitu juga, malas nak beribadah juga, maka kita pun ada ciri-ciri munafik sebenarnya. Dan ini kita amat takut. Adakah kita solat setakat yang fardhu sahaja? Adakah kita sebagai lelaki hanya solat sendirian sahaja? Adakah kita buat ibadah ‘cukup-cukup makan’ sahaja? Asal ada nampak sebagai Muslim sahaja?

 

وَلٰكِن بَعُدَت عَلَيهِمُ الشُّقَّةُ

akan tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.

Akan tetapi Tabuk itu nampak jauh bagi mereka, maka mereka tidak mahu pergi. Yang dimaksudkan dengan syuqqah ialah jauh dan dalam kes Perang Tabuk, mereka kena menuju ke negeri Syam. Mereka rasa payah kalau mereka menyertainya.

Kerana itulah nama lain bagi perang ini juga ialah perang Al-Fadhihah yang bermaksud “mengungkap hakikat kaum munafik.” Hal ini adalah kerana peperangan ini menyerlahkan perangai sebenar puak munafik, cara permusuhan mereka, dan mengungkap permusuhan mereka kepada kaum Muslimin. Allah hendak tunjukkan mana mukmin dan mana yang munafik kerana yang munafik akan berat untuk pergi jihad.

Jadi puak munafik ramai yang tidak pergi dan ada antara mereka yang tidak pergi jumpa Nabi pun untuk minta keizinan pelepasan. Sepatutnya, kerana ini adalah nafrul am (arahan wajib), maka semua kena pergi dan kalau tidak boleh pergi, kena beritahu kepada Nabi menjelaskan kenapa tidak boleh pergi.

Jadi, mereka tidak jumpa Nabi untuk minta izin tidak sertai perang dan apabila Nabi balik dari peperangan, baru mereka jumpa Nabi untuk beri alasan. Jadi ini adalah munafik yang jenis paling teruk.

 

وَسَيَحلِفونَ بِاللَّهِ لَوِ استَطَعنا لَخَرَجنا مَعَكُم

Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu”.

Allah beritahu, pasti mereka akan datang kepada Nabi dan bersumpah dengan nama Allah: “kalau kami mampu, tentu kami pergi juga; akan tetapi kami tidak mampu”. Maka mereka telah datang bertemu Nabi Muhammad dengan beri berbagai alasan.

Sampai ada yang kata, oleh kerana Nabi ajak pergi berperang dengan ‘orang putih’, dan orang-orang perempuan mereka cantik bermata biru, mereka kata mereka takut nanti kalau mereka nampak, mereka akan terpikat dan rosak diri mereka pula nanti. Mereka kata nafsu mereka lemah dan elok mereka duduk di Madinah sahaja. Ini memang alasan kelas murahan betul.

Golongan munafik menggunakan senjata sumpah untuk menguatkan hujah mereka. Mereka kena pakai kerana kata-kata mereka itu lemah, maka kena kuatkan dengan sumpah. Kerana mereka sendiri sedar yang kalau mereka cakap kosong sahaja, mereka pun tahu yang orang lain tidak akan percaya. Maka kalau suka bersumpah, itu adalah perangai orang munafik sebenarnya dan ini disebut dalam Munafiqoon:2

اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً

Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai

 

يُهلِكونَ أَنفُسَهُم

Mereka membinasakan diri mereka sendiri 

Allah beritahu bohongan mereka itulah yang membinasakan diri mereka kerana mereka berbohong. Tambahan pula mereka bersumpah dengan nama Allah pula dan ini amat berat kerana mempermainkan nama Allah.

Mereka beri alasan sahaja dan Allah tahu yang ianya tidak benar kerana Allah tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kita memang tidak tahu, tapi Allah tahu. Maka dari sini kita tahu yang alasan dari mereka tidak diterima oleh Allah. Kerana Allah telah beri segala peluang kepada mereka untuk mereka gunakan tapi mereka tidak gunakan.

Allah kata mereka binasa kerana sudahlah tidak pergi berjihad, main sumpah pula dalam beri alasan yang lemah. Maka dari sini kita tahu yang bukan jihad yang membinasakan manusia, tapi binasa itu kerana tidak pergi jihad. Yang munafik mungkin rasa selamat nyawa mereka kerana tidak mati di medan perang, tapi sebenarnya mereka telah binasa, mereka sahaja tidak tahu.

Bagaimana dengan kita? Mari lihat satu senario. A pergi ke kelas pengajian, tapi B tidak pergi kelas pengajian walaupun diajak oleh A. Dalam perjalanan ke kelas, A kemalangan dan mati. Apa agaknya kata B nanti? Adakah dia akan kata, “selamat aku sebab tak ikut si A tu pergi kelas, kalau tak dengan aku sekali mati!” Kalau inilah kata-katanya maka dialah yang tersilap kerana A walaupun telah mati kemalangan, tapi mati dalam perjalanan menuntut ilmu bermakna syahidlah balasan untuknya. Sedangkan B tidak dapat apa-apa pun melainkan kebodohan yang berpanjangan.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Allah tahu yang mereka memang berbohong dan Allah beritahu Nabi Muhammad kerana baginda tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka. Kerana baginda itu manusia sahaja dan tidak dapat baca niat dan bisikan hati manusia. Sampaikan Allah sendiri yang beritahu, barulah Nabi tahu.


 

Tawbah Ayat 43: Ayat Zajrun (teguran) kepada Nabi Muhammad. Kenapa pula Allah tegur baginda? Kita kena faham keadaan waktu itu. Semasa Perang Tabuk, jihad telah diwajibkan kepada semua yang mampu pergi. Apabila telah diwajibkan, maka kalau ada yang tidak dapat pergi, mereka kena minta izin dari Nabi untuk tidak pergi.

Inilah disiplin yang diajar dalam hal ini. Kita dalam kerja pun kena ada disiplin, bukan? Kita kena ikut cara dan protokol tempat kerja kita – kalau tidak dapat kerja, kenalah laporkan kepada majikan atau kepada HR. Takkan buat tidak tahu sahaja dan ambil cuti sendiri, bukan? Ini penting, kerana kalau tidak ada protokol, maka akan kacau bilau satu-satu organisasi itu.

Masalah besar bagi mukmin di Madinah adalah golongan munafik. Mereka itu adalah ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’. Mereka bercampur gaul dengan puak mukmin dan berlagak sebagai orang yang beriman, tapi sebenarnya tidak. Hati mereka sebenarnya benci kepada Islam.

Mereka itu tidak boleh dipercayai kerana mereka mungkin boleh pecahkan rahsia umat Islam. Tambahan pula waktu itu sedang zaman peperangan dengan puak kafir, puak Ahli Kitab. Tapi golongan mukmin tidak kenal siapakah golongan munafik kerana sifat munafik itu dalam hati dan kita tidak dapat baca hati orang, bukan? Kalau ada tanda di dahi siapa yang munafik, mudahlah mereka nak berhati-hati dengan orang yang sebegitu. Tapi tidak ada tanda yang jelas.

Oleh itu, Perang Tabuk adalah satu peluang untuk puak mukmin tahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka. Kalau ada yang tidak pergi berperang, maka tahulah yang mereka itu munafik dan kena berhati-hati dengan mereka. Ini adalah peluang kerana berlainan dari peperangan sebelum itu.

Peperangan sebelum itu adalah fardhu Kifayah sahaja dan tidak wajib, jadi kalau puak munafik tidak pergi, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana memang tidak wajib pun. Mereka yang tidak mahu pergi pun tidak perlu minta izin. Tapi Perang Tabuk ini Allah telah jadikan sebagai peluang untuk membongkar hati puak munafik itu.

Tetapi, apabila diwajibkan berjihad ke Tabuk, ada dari kalangan golongan munafik yang minta izin dari Nabi, dan Nabi Muhammad seorang yang berhati lembut, telah beri izin kepada mereka untuk tidak menyertai Perang Tabuk itu. Maka hilanglah peluang untuk mengetahui siapa yang munafik. Kerana kalau ditanya kenapa mereka tidak pergi, mereka boleh jawab: “Kami sudah minta izin dari Rasulullah dan baginda benarkan kami tidak sertai perang ini”.

Jadi, kerana itulah Nabi Muhammad ditegur oleh Allah dalam ayat ini.

عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

May Allāh pardon you, [O Muḥammad]; why did you give them permission [to remain behind]? [You should not have] until it was evident to you who were truthful and you knew [who were] the liars.

(MALAY)

Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

 

عَفَا اللَّهُ عَنكَ

Semoga Allah memaafkanmu. 

Ayat ini dimulakan terus dengan beritahu yang Allah maafkan Nabi Muhammad. Memang Allah tegur Nabi tapi ayat ini dimulakan dengan pemaafan. Maknanya ada kesalahan yang telah dilakukan boleh baginda sebenarnya. Tapi kenapa Allah beri kemaafan sedangkan seorang Nabi itu maksum dan tidak ada dosa? Kita kena faham yang bukanlah Nabi tidak melakukan kesalahan, tapi kesalahan itu tidaklah berat sampai ke tahap berdosa. Ia dipanggil khilaaful awla (berlawanan dengan cara yang terbaik).

Mungkin ada yang tidak senang hati untuk mengatakan Nabi telah bersalah. Tapi di sini Allah sendiri yang menegur dan menyatakan yang Nabi telah bersalah. Maka kita terima seadanya, tidak berlebih-lebih. Dan kita kena ingat yang Allah sahaja yang boleh menegur baginda. Jangan kita berlebihan pula dalam hal ini menyalahkan baginda atau merendahkan kedudukan baginda.

Permulaan ayat ini agak pelik dan kalau tidak belajar tafsir tentu tidak tahu latar belakang ayat ini dan kenapa Allah terus maafkan baginda. Selalunya sebelum peperangan, Nabi tidak memberitahu kepada puak Muslim, ke mana mereka akan berperang. Ini adalah sebagai taktik peperangan kerana takut musuh dalam selimut sampaikan berita kepada orang kafir.

Sebagai contoh, kadangkala kalau baginda hendak menyerang di timur, baginda akan tanya khabar bahagian barat. Contohnya baginda sengaja bertanya mana tempat ada air, tempat persinggahan dan sebagainya. Itu adalah untuk mengelirukan musuh dalam selimut – supaya mereka beritahu kepada kawan mereka dari pihak musuh yang Nabi nak serang ke barat. Tetapi esoknya Nabi hantar tentera ke arah lain. Inilah hikmah Nabi dalam strategi peperangan.

Akan tetapi lain dengan Perang Tabuk. Awal-awal lagi Nabi sudah beritahu yang mereka akan pergi ke Tabuk untuk berperang dengan tentera Rom. Itu adalah tempat paling jauh yang pasukan tentera Islam pernah pergi. Dan waktu itu musim pula musim panas. Bagi penduduk Madinah, tanaman utama mereka adalah kurma dan masa itulah buah kurma akan dikutip kerana sudah masak dan ranum. Ini adalah kerana pada musim panas, lagi manis buah itu.

Dan kita jangan lupa yang hasil tahunan mereka bergantung kepada pokok kurma itu. Dan kalau belum dapat hasil lagi, sementara nak dapat tuaian, tapi nak kena pergi jihad, puak Muslim selalunya akan berhutang dengan Yahudi yang mereka kenal untuk dapatkan modal pergi berjihad. Mereka tidak jadikan kekurangan wang sebagai alasan untuk tidak berjihad. Dan nanti bila sudah ada hasil kurma, mereka akan bayar balik kepada Yahudi yang mereka pinjam itu.

Tapi sekarang, masa mereka nak tuai hasil pula yang Nabi suruh pergi ke Tabuk, sudahlah jauh dan panas. Dan dalam perang ini, tidak ada yang terkecuali dimana semua kena pergi, tidak macam perang-perang yang lain. Ini adalah perang yang lain adalah fardhu kifayah, sedangkan Perang Tabuk ini adalah fardhu ain atau dinamakan nafrul am.

Allah sebenarnya tidak mahu Nabi beri izin kepada sesiapa pun untuk tinggal, melainkan kalau ada uzur syar’ie. Tujuannya kerana Allah nak tunjukkan siapakah yang munafik. Nanti akan dapat lihat bagaimana yang tidak pergi jihad itulah yang munafik. Allah buat begini supaya orang-orang mukmin senang kenal mereka selepas itu. Begitulah cara untuk mengenal orang munafik dan selepas ini sampai bila-bila, kalau infak dan jihad disyariatkan dan ada yang tidak menyertainya atau menghulurkan infak, mereka itu adalah munafik.

Inilah satu kaedah pengecaman yang Allah telah berikan kepada kita. Ianya berguna kepada khalifah negara Islam supaya mereka dapat gunakan kaedah ini untuk tahu siapa munafik dan mereka bolehlah berjaga-jaga dengan mereka. Kerana bahaya kalau ada munafik dalam negara kerana mereka boleh menghancurkan umat Islam dari dalam.

Tetapi masalahnya, Nabi telah beri izin kepada para munafik yang datang kepada baginda dan beri alasan berbagai-bagai untuk tidak menyertai Perang Tabuk ini dan Nabi telah beri izin. Semuanya baginda beri izin tanpa periksa dengan mendalam. Dan dengan sebab izin itu, orang mukmin tidak dapat nak tahu, sama ada orang yang tidak pergi perang itu adalah kerana mereka munafik atau tidak kerana Nabi telah izin.

Oleh kerana Nabi telah beri izin kepada mereka, Allah tegur baginda. Kerana ini memang satu kesalahan atau kesilapan. Tetapi Allah telah maafkan awal-awal lagi kesilapan Nabi itu. Lihat kepada permulaan ayat ini, terlebih dahulu Allah maafkan dulu kesilapan Nabi sebelum Allah tegur. Ini menunjukkan sayangnya Allah kepada baginda. Tapi tegur tetap kena tegur juga kerana ia menjadi pengajaran bagi kita.

 

لِمَ أَذِنتَ لَهُم

Mengapa kamu memberi izin kepada mereka

Sekarang barulah disebut teguran Allah kepada baginda. Allah mulakan dengan beri kemaafan sebelum sebut kesalahan baginda kerana kalau dimulakan dengan teguran, tentulah hati Nabi akan pecah kerana baginda sangat terkesan dengan teguran dari Allah.

Begitulah sayangnya Allah kepada baginda, Allah mulakan dengan pemaafan dahulu. Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Abu Husain ibnu Sulaiman Ar-Razi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Uyaynah, dari Mis’ar, dari Aun yang mengatakan, “Apakah kalian pernah mendengar suatu teguran yang lebih baik daripada ayat ini? Iaitu seruan yang menyatakan pemberian maaf sebelum penyaksian.” Allah Swt. telah berfirman: Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang)? (At-Taubah: 43)

Apakah teguran Allah? Allah tanya baginda kenapa baginda cepat sangat beri izin kepada mereka, sedangkan Allah tidak beri izin lagi? Ini pula adalah perang yang fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Sepatutnya Nabi kena tanya balik apa masalah mereka itu sebenarnya kalau betul ada masalah. Janganlah terus terima sahaja kerana mungkin alasan mereka tidak masuk akal dan tidak patut diterima.

Tentulah suka hati golongan munafik itu sebab dapat izin dari baginda. Mereka pun canang keliling kampung kata mereka berjaya menipu Rasulullah. Atau mereka kata senang sahaja dengan Rasulullah ini, boleh dibuat main-main sahaja. Dan mukmin lain tidak tahu sama ada orang yang tidak pergi jihad itu munafik atau tidak kerana mereka dapat izin dari Nabi. Seolah-olah mereka sudah dapat ‘lesen’ tidak pergi jihad. Maka kerana itulah Allah tegur Nabi, kenapalah baginda gopoh dengan beri izin kepada mereka?

 

حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذينَ صَدَقوا

sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar

Sepatutnya baginda tidak beri izin (kena tangguh dulu) sehingga nyata kepada baginda siapa orang yang benar. Kalau nak beri izin pun, biarlah kepada yang betul-betul ada uzur. Kalau tidak, maka wajibkan juga mereka untuk berjihad kerana ini cara untuk tahu siapa yang benar beriman dan siapa yang mengaku sahaja. Iaitu, mereka yang pergi berjihad ke Tabuk itulah yang benar dalam iman mereka dan merekalah orang mukmin yang sebenar.

Dan yang tidak pergi, buat tidak tahu sahaja, buat senyap sahaja apabila orang lain pergi, maka ketahuilah yang mereka itu sebenarnya hati mereka ada sifat munafik. Oleh itu, selepas itu jangan lagi beri izin kepada mereka yang datang minta izin tanpa memberikan alasan yang benar.

 

وَتَعلَمَ الكٰذِبينَ

dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?

Sepatutnya Nabi tidak beri izin sehingga nyata kepada baginda siapa yang berbohong. Iaitu berbohong dalam hal iman mereka (kata beriman tapi sebenarnya tidak). Ini dapat diagak dari alasan yang mereka berikan.


 

Tawbah Ayat 44: Sebelum ini disebut sifat golongan munafik dan sekarang disebut tentang orang Mukmin sejati pula. Allah jadikan bandingan siapa yang kita jangan ikut tadi, dan sekarang Allah ajar kita sifat siapa yang kita patut ikut.

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who believe in Allāh and the Last Day would not ask permission of you to be excused from striving [i.e., fighting] with their wealth and their lives. And Allāh is Knowing of those who fear Him.

(MALAY)

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

 

لا يَستَئذِنُكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ أَن يُجٰهِدوا

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk tidak ikut berjihad 

Inilah cara untuk mengenal siapakah yang benar-benar beriman dan yang munafik. Mereka akan taat apabila arahan dari Rasulullah sudah keluar. Kerana kalau sudah keluar arahan nafrul am, tidak boleh minta izin untuk ponteng. Mereka akan pergi walaupun berat bagi mereka. Orang yang betul beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan cari alasan untuk tidak keluar berjihad apabila arahan jihad yang wajib telah dikeluarkan. Kerana mereka tahu kepentingan jihad itu.

Dalam Surah Nur juga ada disebut tentang minta izin. Tapi itu adalah keizinan dalam perkara yang lain. Jadi kena pandai bezakan. Surah Tawbah ini adalah tentang jihad. Iaitu jihad yang memerlukan semua orang Islam turun. Ayat dari Surah itu adalah Nur:62

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Mukminin tidak akan meminta izin untuk tidak menyertai peperangan kerana mereka percaya kepada janji yang Allah telah berikan dan mereka amat berharap. Sifat mereka ini disebut juga di dalam Mukminoon:61

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ

mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

Maknanya mereka tidak akan lepaskan peluang untuk mendapat kebaikan.

 

بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

dengan harta dan diri mereka. 

Apabila arahan jihad  dikeluarkan, orang mukmin kena berkorban dengan diri dan harta mereka. Kerana jihad memerlukan belanja yang banyak. Dan kebanyakan dari mereka mereka apabila hendak keluar jihad tu memang kena keluar belanja sendiri. Bukan sahaja belanja untuk diri mereka tapi kena ditinggalkan belanja untuk keluarga mereka. Maka ini memang memerlukan pengorbanan dan inilah yang tidak sanggup dilakukan oleh golongan munafik yang kedekut dan amat sayangkan harta mereka.

Dan bukan keluarkan harta sahaja, diri pun kena keluar juga untuk berperang. Mereka sendiri kena memberanikan diri untuk berjihad. Dan ini memang agak berat kerana mereka mungkin akan kehilangan nyawa. Akan tetapi kalau mereka percaya kepada janji Allah, maka mereka sebenarnya berharap yang mereka mati di medan jihad kerana ia adalah jalan pintas ke syurga.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالمُتَّقينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.

Allah tahu apa yang dalam hati manusia. Dia tahu siapa yang bertaqwa dan yang tidak. Cuma Allah zahirkan siapa yang munafik dengan mengadakan kewajipan jihad. Kerana mereka yang tidak keluar jihad tanpa alasan yang munasabah adalah tanda golongan munafik. Allah tahu siapa yang beriman taqwa dan siapa yang munafik, cuma Allah zahirkan kepada orang mukmin kerana orang mukmin tidak tahu apa yang di dalam hati manusia.


 

Tawbah Ayat 45:

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَارتابَت قُلوبُهُم فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Only those would ask permission of you who do not believe in Allāh and the Last Day and whose hearts have doubted, and they, in their doubt, are hesitating.

(MALAY)

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

 

إِنَّما يَستَئذِنُكَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, 

Allah beritahu yang minta izin itulah yang munafik. Mereka nampak macam Muslim tapi mereka sebenarnya tidak beriman dengan sebenar.

 

وَارتابَت قُلوبُهُم

dan hati mereka ragu-ragu, 

Hati mereka ragu tentang agama Islam. Ada perkara yang mereka terima dan ada yang mereka tidak terima. Sebagai contoh, mereka tidak percaya kepada janji Allah tentang jihad. Sebab itu mereka sanggup cari alasan untuk tidak keluar berjihad.

 

فَهُم في رَيبِهِم يَتَرَدَّدونَ

kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan.

Hati mereka berada dalam goyang kebimbangan kerana keraguan yang sudah ada dalam hati mereka. Apabila sudah diwajibkan jihad, mereka sudah bimbang. Mereka bimbang sebab mereka tidak mahu berjihad, tidak mahu susah, tidak mahu keluarkan harta mereka, tapi kalau mereka tidak pergi, mereka takut pecah tembelang mereka. Jadi hati mereka nak pergi kah atau tidak mahu pergi?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s