Tafsir Surah Tawbah Ayat 46 – 50 (Perangai orang Munafik)

Tawbah Ayat 46: Ini adalah penjelasan kenapa Rasulullah tidak patut cepat sangat beri keizinan kepada mereka. Allah bongkar apa yang di dalam hati mereka. Alasan yang mereka berikan tidak patut diterima.

۞ وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم فَثَبَّطَهُم وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had intended to go forth, they would have prepared for it [some] preparation. But Allāh disliked their being sent, so He kept them back, and they were told, “Remain [behind] with those who remain.”¹

  • i.e., the women and children.

(MALAY)

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. Dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

 

وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً

Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu,

Alasan yang mereka beri kepada Rasulullah itu hanyalah alasan sahaja. Ini kerana kalaulah mereka memang ada kehendak untuk keluar berjihad, nescaya mereka akan buat persiapan awal lagi. Baik persediaan dari segi harta dan diri mereka. Tidaklah mereka lengah-lengahkan sampai hujung waktu. Ini kerana Rasulullah sudah beritahu awal-awal rancangan untuk ke Tabuk.

Mereka beri alasan kepada Nabi setelah sudah dekat waktu nak pergi keluar jihad. Kerana masa sudah  suntuk, maka alasan mereka tidak dapat dipastikan benar atau tidak. Tapi Allah pecahkan tembelang mereka. Allah buka rahsia dalam hati mereka.

Kalau mereka benar hendak pergi berjihad, tentu mereka sudah buat persiapan awal lagi. Tetapi mungkin ada perkara yang menghalang di saat akhir yang menyebabkan mereka tidak boleh pergi. Ini barulah alasan yang benar. Seumpama seorang yang telah buat rancangan untuk Solat Jumaat, tapi kemudian dia kemalangan di rumah yang menghalang dia untuk bergerak. Barulah betul dia ada niat hendak beribadah. Maka Allah akan beri pahala sama seperti dia telah pergi Jumaat.

Satu lagi contoh seorang yang buat rancangan untuk bangun Solat Subuh. Dia telah kunci jamnya, malah telah pesan kepada kawan dia untuk gerakkan supaya boleh solat sekali. Kemudian entah macam mana, mungkin kerana penat sangat, sampai tidak sedar bunyi jam. Dua-dua berdengkur. Maka ini adalah alasan yang diterima. Rasulullah pun pernah kejadian seperti ini. Baginda dan rombongan berehat setelah kepenatan dalam perjalanan dan baginda telah pesan kepada Saidina Bilal untuk gerak semua orang. Tapi kemudian tidak ada seorang pun perasan waktu Subuh termasuklah Bilal.

Maka ini mengajar kita yang dalam ibadah kita pun kena buat persediaan awal. Sebagai contoh, kalau kita suka solat, maka kita akan buat persediaan awal, bukannya apabila masa sudah masuk. Begitu juga bagi orang yang hendak solat berjemaah. Kalau memang dia jenis yang solat berjemaah, dia akan buat persiapan kerana solat berjemaah kena awal, bukan?

 

وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم

tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka,

Kalimah انبِعاثَهُم dari katadasar ب ع ث yang bermaksud bangkit, bergerak. Oleh kerana mereka munafik, Allah tidak suka pemergian mereka ikut berjihad. Kalau mereka tidak pergi pun memang bagus. Kerana kalau mereka pergi, mereka akan buat kucar sahaja. Mereka akan mengotori iman para pejuang yang lain. Mereka akan lemahkan semangat orang mukmin yang ada.

Nanti akan disebut apakah yang golongan munafik lakukan (kerana ada juga golongan munafik yang pergi ikut sekali ke Tabuk).

 

فَثَبَّطَهُم

maka Allah melemahkan keinginan mereka.

Kalimah فَثَبَّطَهُم dari katadasar ث ب ط dan ia digunakan dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud tahan, halang. Maksudnya Allah lemahkan semangat mereka untuk ikut serta dalam rombongan jihad. Allah menahan mereka dari pergi.

Memang mereka sendiri tidak mahu pergi dengan beri berbagai alasan. Akan tapi sebenarnya Allah pun tidak mahu mereka pergi. Mereka jadi terhegeh-hegeh untuk buat persediaan. Hendak tidak hendak sahaja buat persediaan.

Maka ini memberi satu lagi pengajaran yang menakutkan kepada kita. Iaitu kalau Allah tidak suka kepada kita, Allah akan halang kita dari buat ibadah. Kalau Allah tak suka dengar suara kita baca Al-Qur’an, akan ada sahaja halangan untuk kita membaca. Kalau Allah tidak suka kita, solat sunat selepas solat fardhu pun kita tidak dapat buat! Ada sahaja perkara yang menyibukkan kita dengan perkara keduniaan yang remeh temeh. Atau, kalau dia beribadah pun, ibadah-ibadah yang bid’ah (yang tidak ada nilai). Ma sha Allah, semoga kita tidak termasuk golongan ini.

Yang kita berharap adalah semoga Allah jadikan kita minat kepada agama, senang untuk belajar, ringan untuk beribadah, benci kepada dosa seperti yang Allah telah berikan kepada para sahabat dan disebut dalam Hujurat:7

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ

tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan.

Maka kalau kita suka dan ringan untuk beribadah seperti solat sunat, baca Al-Qur’an, hafal Al-Qur’an dan sebagainya, maka itu adalah nikmat yang amat-amat besar kerana bukan semua orang dapat buat perkara itu. Maknanya Allah suka hendak menerima ibadah kita. Kerana itu antara doa yang diajar oleh Rasulullah adalah doa Nabi Dawud seperti di bawah:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ

“Ya Allah, aku mohon padaMu cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu, amalan yang mengantarkanku menggapai cintaMu.Ya Allah, jadikan kecintaanku kepadaMu lebih aku cintai daripada cintaku pada diriku sendiri, keluargaku, dan air dingin.”

Jami’ Tirmizi (3490) Status: Hasan

 

وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ

dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.

Lalu Allah arahkan mereka untuk tidak sertai. Tapi arahan ini dengan cara taqwini, bukan dengan syarak. Atau, dengan secara takdir, iaitu Allah takdirkan mereka tidak sertai. Bukannya Allah beri keizinan mereka untuk tidak pergi atau bercakap terus dengan mereka.

Maknanya tidaklah mereka diberi arahan dari Nabi yang mereka tidak perlu berjihad. Kerana arahan jihad tetap keluar untuk mereka. Tapi  Allah campakkan dalam hati mereka, tidak ada keinginan untuk pergi jihad. Allah jadikan mereka duduk bersama dengan orang-orang yang duduk tidak berperang (kerana ada keuzuran atau kanak-kanak dan perempuan).

Memang ada orang yang tidak diwajibkan jihad kerana mereka perempuan, kanak-kanak dan orang yang uzur. Sedangkan puak munafik itu sihat sahaja. Tapi Allah jadikan mereka duduk dengan golongan yang dibenarkan untuk tidak sertai. Maka ini sepatutnya memalukan mereka, kerana zaman dahulu kalau tidak pergi berperang, maknanya pengecut dan duduk pula bersama dengan golongan yang lemah. Jadi ayat ini sebenarnya memperlekehkan mereka kerana dikatakan mereka macam budak dan perempuan sahaja.

Dalam ayat ini, Allah tidak khitab terus dengan mereka kerana Allah marah kepada mereka. Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka tapi disebut dalam pihak ketiga sahaja.


 

Tawbah Ayat 47: Allah jelaskan kenapa Dia tidak suka puak munafik itu ikut serta dalam jihad. Ini adalah hikmah tidak adanya golongan munafik dalam tentera Muslim. Ramai yang tidak pergi walaupun ada juga yang terlepas dan ikut serta pergi berjihad.

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Had they gone forth with you, they would not have increased you except in confusion, and they would have been active among you, seeking [to cause] you fitnah [i.e., chaos and dissension]. And among you are avid listeners to them. And Allāh is Knowing of the wrongdoers.

(MALAY)

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

 

لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka,

Dan kalau orang-orang munafik itu pergi juga bersama tentera Islam, mereka tidak menambahkan melainkan kerosakan. Sebab mereka bukan jiwa beriman. Kerana itu Allah gunakan kalimah فيكُم (di dalam kamu) dan bukan مَعَكُم kerana mereka tidak pernah beriman lagi. Mereka bukan bersama (مع) dengan golongan mukmin. Lihatlah Allah menggunakan kalimah yang tepat di dalam Al-Qur’an dan kita boleh mengetahui maksud tambahan kalau kita tadabbur (melihat dengan lebih mendalam) penggunaan ayatnya.

Lafaz خَبالًا bermaksud anggota badan yang tidak sihat, ada sakit. Maknanya, mereka itu bukan menambahkan kekuatan, tapi melemahkan umat Islam adalah. Mereka akan mengadu domba, menyebarkan fitnah dan permusuhan di kalangan umat Islam yang pergi jihad itu.

Jadi memang molek bila mereka tidak menyertai tentang Muslim kerana mereka akan buat onar. Mereka akan mengomel dan kutuk macam-macam hal, contohnya. Ini akan melemahkan semangat para pejuang yang lain. Mereka tidak membantu pun tapi mereka akan hanya hendak menyelamatkan diri mereka sahaja. Kalau hendak kalah, mereka dulu yang lari ke belakang nanti.

 

وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ

dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu;

Dan mereka akan memecut laju di celah-celah orang beriman. Kenapa? Mereka akan pergi ke sana ke sini, bercakap-cakap dengan puak Muslim yang lain supaya wujud fitnah di kalangan pasukan. Contohnya mereka mengadu kenapalah perjalanan ini jauh, kenapa keluar perang ketika berjihad, bolehkah melawan tentera Rom yang kuat itu, dan sebagainya. Ini bahaya kerana boleh menyebabkan lemah semangat kepada orang lain. Jadi hikmah bila mereka tidak ikut kerana mereka akan menghuru-harakan pasukan tentera Muslim.

Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan itu adalah kerosakan dalam agama. Tujuan mereka adalah hendak merosakkan akidah. Lafaz أَوضَعوا dari katadasar و ض ع yang bermaksud ‘letak ke bawah’. Digunakan dalam ayat ini untuk menjelaskan bagaimana mereka bawa kuda mereka dengan laju, dimana mereka akan menekan leher kuda itu ke bawah. Mereka buat begitu supaya kuda itu lari dengan laju. Maka ini adalah isyarat pergerakan mereka yang cepat di tengah-tengah para pejuang Muslim.

Ini adalah kerana rombongan perang itu tentu bergerak perlahan kerana ramai orang. Mereka yang munafik itu pula naik kuda. Jadi mereka dapat bergerak dengan laju di kalangan tentera itu. Mereka akan pergi satu kumpulan ke satu kumpulan menyebarkan fitnah mereka. Mereka akan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok. Antaranya mereka akan rendahkan Nabi, kutuk apa yang sedang berlaku dan sebagainya.

Contohnya, mereka mungkin berkata: “ish, kenapalah kita kena pergi berjihad ini… kalau duduk-duduk di Madinah sahaja, bukankah senang?”. Kemudian mereka pecut ke kawasan lain pula dan bersembang dengan orang lain pula mengatakan perkara yang sama. Kata-kata sebegini boleh merendahkan motivasi mereka yang ikhlas mahu berjihad. Maka sebenarnya golongan munafik itu buat kerja syaitan bagi pihak syaitan.

 

وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم

sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. 

Dan dari kalangan Muslim ada yang suka dengar kata-kata mereka itu. Iaitu golongan Muslim yang senang ditipu dan terpesona dengan kata-kata manusia. Mereka pun dengarlah sahaja kerana yang datang kepada mereka pun nampak orang Islam juga, jadi mereka sangka orang itu adalah dari kalangan mereka juga, sedangkan mereka itu adalah munafik.

Ada lagi maksud lain, iaitu dari kalangan munafik itu ada ‘pendengar’. Mereka yang curi dengar apakah yang dilakukan oleh pihak mukmin. Mereka masuk dalam kumpulan mukmin dan pasang mata, pasang telinga dan dengar apa yang dirancang oleh pihak mukmin.

Kemudian mereka akan sampaikan kepada kawan mereka dari kalangan munafik yang tegar. Kerana ada yang munafik tegar, langsung tidak mahu pergi jihad atau campur dengan mukmin yang lain. Mereka dapat maklumat dari munafik lembut yang boleh lagi bercampur dengan pihak mukmin.

Begitu jugalah, zaman sekarang pun tentu ada orang-orang yang sebegini. Pihak yang ikhlas hendak berjuang, menegakkan sunnah ada, tapi ada juga yang hanya datang untuk mencuri-curi dengar dan sampaikan maklumat kepada mereka yang anti-sunnah. Mereka masuk dalam kumpulan-kumpulan whatsapp pihak sunnah dan printscreen dan sampaikan kepada kawan mereka dari kalangan anti-sunnah.

Oleh itu, maksud potongan ayat ini ada dua:

1. Ada dari kalangan mukmin yang mendengar dan memikirkan apa yang dikatakan oleh pihak munafik itu. Itu pun sudah tidak bagus; sepatutnya jangan dilayan mereka itu.

2. Dalam kalangan Muslim, ada pihak yang jadi mata-mata untuk sampaikan maklumat kepada musuh.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

Dan Allah mengetahui hati-hati mereka. Maka ada yang Allah takdirkan untuk tidak sertai langsung rombongan jihad itu. Golongan mukmin tidak kenal mereka maka sekarang Allah ceritakan tentang mereka dan apakah sifat-sifat mereka.


 

Tawbah Ayat 48: Masih lagi Allah membuka rahsia dalam hati golongan munafik.

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ وَهُم كٰرِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They had already desired dissension before and had upset matters for you¹ until the truth came and the ordinance [i.e., victory] of Allāh appeared, while they were averse.

  • Or “turned matters related to you over [in their minds, considering how to cause you failure].”

(MALAY)

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk (merosakkan)mu, hingga datanglah kebenaran (pertolongan Allah) dan menanglah agama Allah, padahal mereka tidak menyukainya.

 

لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ

Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah

Allah beritahu tentang sifat orang-orang munafik itu lagi: sebelum Perang Tabuk ini pun mereka telah cuba menabur fitnah, menimbulkan kekacauan dalam fikiran umat Islam. Mereka telah buat banyak kerosakan dalam Madinah, antaranya mereka menuduh Aisyah telah berzina dengan lelaki lain.

Ini kita dapat tahu dari kisah dalam Surah Nur dan dari pembelajaran hadis. Mereka juga telah buat tuduhan lain-lain juga untuk melemahkan umat Islam. Mereka buat tuduhan-tuduhan seperti itu supaya menyusahkan Rasulullah SAW dan menimbulkan salah sangka dalam kalangan umat Islam.

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah tindakan mereka di dalam Perang Uhud. Apabila perang hendak berlaku, Rasulullah telah bertanya pandangan umat Islam. Golongan munafik mencadangkan supaya perang dilakukan di Madinah sahaja (kerana senang mereka nak lari perang terus masuk rumah). Akan tetapi Rasulullah telah menerima pandangan orang-orang muda yang hendak berperang luar Madinah.

Oleh kerana tidak berpuas hati, golongan munafik telah meninggalkan medan perang. Asalnya tentera Muslim seramai seribu orang tapi 300 dari mereka meninggalkan perang diketuai oleh Abdullah bin Ubay. Maknanya 1/3 dari kekuatan tentera Muslim telah hilang begitu sahaja! Ia telah menyebabkan Muslim lain pun mula goyang, malah ada yang hampir hendak ikut meninggalkan medan perang seperti disebut dalam Ali Imran:122

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

 

وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ

dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk menyusahkanmu,

Dan mereka telah mengatur berbagai-bagai helah untuk menyusahkan Nabi dan merosakkan keadaan umat Islam. Mereka tidak suka Nabi dan mereka buat pelbagai rancangan untuk menyusahkan baginda. Sampaikan kalimah yang digunakan adalah قلبوا dari katadasar ق ل ب yang bermaksud berbolak balik, tunggang terbalik, dan selalu digunakan untuk hati/jantung kerana hati/jantung itu berbolak balik.

Mereka membolak balikkan kebenaran. Yang benar jadi buruk dan yang buruk jadi baik. Contohnya mereka kata sebab keluar berperang luar Madinahlah yang menyebabkan umat Islam kalah.

Mereka ini musuh dalam lipatan sebenarnya. Sampaikan mereka pernah buat perancangan untuk menghalau keluar golongan mukmin dari Madinah. Mereka telah bergabung dengan Yahudi untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka beri maklumat kepada musuh, dan sebagainya.

 

حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ

hingga datanglah kebenaran

Mereka cuba buat onar, sampailah Allah datangkan kebenaran – janji Allah. Sebagai contoh, Allah telah bersihkan nama Aisyah dari tohmahan mereka itu. Allah juga telah beri kemenangan kepada umat Islam walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh golongan munafik itu. Allah hendak menegakkan kebenaran, maka Allah tetap bantu umat Islam yang mukmin, yang benar-benar beriman.

 

وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ

dan menanglah agama Allah,

Sehingga zahirlah kehendak Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Allah buat seperti mana yang Allah kehendaki dan tidak ada sesiapa yang boleh halang. Segala usaha golongan munafik atau musuh itu tidak berjaya. Islam tetap juga berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam. Maka kita jangan takut sangat usaha untuk menjatuhkan Islam kerana Allah tetap beri kemenangan kepada Islam, agamaNya.

Di awal Islam di Madinah lagi, Allah telah beri kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr seperti Allah sebut dalam Ali Imran:123.

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah

Ini telah menyebabkan puak-puak munafik mula nampak bahawa Islam ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijatuhkan. Tapi mereka tetap juga berusaha dan Allah sekarang suruh kita berhati-hati dengan mereka.

 

وَهُم كٰرِهونَ

padahal mereka tidak menyukainya.

Allah zahirkan kemenangan Islam, walaupun golongan munafik itu tentu tidak suka. Kemenangan demi kemenangan diberikan kepada umat Islam, dan agama Islam telah tersebar luas ke kampung-kampung dan kawasan-kawasan lain.

Tentunya mereka tidak suka begitu. Mereka tidak suka rancangan mereka tidak berjaya, tapi Allah tidak kisah dengan rancangan mereka.


 

Tawbah Ayat 49: Ini adalah ayat zajrun. Allah menceritakan salah satu dari alasan yang mereka berikan kenapa tidak menyertai Perang Tabuk (dan mana-mana jihad pun). Ada dari kalangan munafik itu yang berani meminta izin kepada Nabi untuk tidak menyertai peperangan dengan alasan yang bodoh. Dalam riwayat ada disebutkan yang namanya adalah ibn Qais.

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي ۚ أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them is he who says, “Permit me [to remain at home] and do not put me to trial.” Unquestionably, into trial they have fallen.¹ And indeed, Hell will encompass the disbelievers.

  • By avoiding their obligation, they fell into destruction.

(MALAY)

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”. Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

 

وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي

Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”.

Ini adalah kisah seorang munafik yang bernama Jadd ibnu Qais. Dia telah minta izin kepada Nabi dan minta Nabi jangan masukkan dia dalam fitnah (ujian). Dia kata begitu kerana dia dengar yang wanita-wanita kafir itu cantik-cantik belaka dan kononnya dia takut dia rosak akidah kerana tertarik dengan wanita-wanita itu nanti dan dia pun masih muda. Dia kata dia tidak boleh tahan dengan wanita cantik. Itulah sebabnya dia minta dibenarkan tidak menyertai ekspedisi ke Tabuk itu. Dan Nabi telah beri izin kepadanya. Ibn Kathir meriwayatkan kisah ini di dalam tafsirnya:

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan dari Az-Zuhri, Yazid ibnu Rauman, Abdullah ibnu Abu Bakar. Asim ibnu Qatadah dan lain-lainnya. Mereka mengatakan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah Saw. sedang bersiap-siap untuk berangkat berjihad, baginda bersabda kepada Jadd ibnu Qais, saudara lelaki Bani Salamah,

هل لك يا جد العام في جلاد بني الأصفر؟) فقال: يا رسول اللّه أو تأذن لي ولا تفتني، فواللّه لقد عرف قومي ما رجل أشد عجباً بالنساء مني، وإني أخشى إن رأيت نساء بني الأصفر أن لا أصبر عنهن، فأعرض عنه رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم وقال: (قد أذنت لك)، ففي الجد بن قيس نزلت هذه

“Hai Jadd, mengapa tahun ini kamu tidak berangkat untuk memerangi Banil Asfar (orang-orang Romawi)?” Jadd menjawab, “Wahai Rasulullah, berilah saya izin untuk tidak berangkat, dan janganlah engkau jerumuskan diriku ke dalam fitnah. Demi Allah, sesungguhnya semua kaumku telah mengetahui bahawa tidak ada seorang lelaki pun yang lebih suka kepada wanita selain diriku. Dan sesungguhnya aku merasa khuatir bila melihat kaum wanita Banil Asfar, maka aku tidak dapat mengekang diriku lagi dari mereka.” Maka Rasulullah Saw. berpaling darinya dan bersabda, “Aku memberi izin kepadamu untuk tidak berangkat.” Sehubungan dengan peristiwa Al-Jadd ibnu Qais inilah diturunkan ayat ini.

Ibnu Ishaq meriwayatkan secara muallaq, Ibnu Hisyâm, 4/216- 217; at-Thabari, at-tafsîr, 14/287-288

Ini memang alasan yang bongok sekali. Ia seumpama kalau ada orang kata dia tidak mahu pergi solat berjemaah di masjid kerana takut jadi riak! Atau ada yang kata dia tidak pergi kelas pengajian kerana nanti kena tanya, atau nanti jadi pandai sangat, susah! Itu semua alasan mengarut sahaja. Yang sebenarnya mereka tidak mahu pergi.

 

أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا

Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah.

Allah beritahu sebenarnya mereka telah jatuh dalam fitnah pun kerana derhaka kepada suruhan Nabi kepada jihad. Fitnah mereka adalah kerana kerugian besar kerana tidak ikut serta dengan Rasulullah dan golongan mukmin untuk berperang. Memang mereka telah lama jatuh dalam fitnah, bukan akan jatuh. Ini adalah kerana iman mereka yang lemah.

 

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.

Allah beritahu yang di akhirat nanti mereka akan masuk Neraka Jahanam. Dan neraka itu akan mengepung mereka, mereka tidak boleh lari dan tidak boleh pergi ke mana-mana lagi.

Lihatlah dalam ayat ini, Allah panggil mereka ‘kafir’. Sebelum ini, mereka masih lagi termasuk dalam golongan Muslim kerana tidak jelas kekafiran mereka. Oleh itu selepas ayat ini, hanya ada orang mukmin dan orang kafir. Sama ada kamu mukmin atau kamu kafir, itu sahaja dan tidak ada pertengahan. Ayat ini telah membuka apa yang ada dalam hati mereka – kufur kepada Allah dan agama. Jadi golongan munafik itu sebenarnya kafir.


 

Tawbah Ayat 50: Ayat Syikayah.

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم ۖ وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If good befalls you, it distresses them; but if disaster strikes you, they say, “We took our matter [in hand] before,”¹ and turn away while they are rejoicing.

  • The hypocrites claim to have protected themselves by remaining behind.

(MALAY)

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami (tidak pergi perang)” dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

 

إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم

Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; 

Begitu teruknya golongan munafik itu, kalau kebaikan yang diperolehi oleh orang mukmin, mereka pula yang susah hati, tidak senang duduk. Mereka tidak suka Islam berjaya seperti boleh menang dalam perang, ramai masuk Islam dan sebagainya, itu semua menyesakkan hati mereka. Mereka benci kepada Islam sampaikan kalau Islam berkembang, telah menyebabkan hati mereka resah dan sesak.

Bencinya mereka kepada orang mukmin dan Islam, sampaikan apabila Muslim pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pertama kali, mereka sudah gembira. Ini kerana mereka sangka tentunya umat Islam itu akan kena bunuh semuanya oleh puak Mekah kerana orang Islam datang tanpa bawa senjata berat. Tapi apabila umat Islam balik dalam keadaan selamat, mereka marah sungguh.

 

وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ

dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”

Dan kalau puak mukmin dapat musibah, mereka gembira. Sebagai contoh, kalau mukmin kalah perang, mereka akan suka. Mereka kata: “sesungguhnya kami dahulu sudah ambil keputusan untuk berjaga-jaga dalam urusan kami dengan tidak menyertai jihad. Kerana kalau kami pergi, kami pun akan mati juga. Nasib baiklah kami tidak pergi….”

Oleh itu, mereka bangga kerana tidak kena musibah. Ini semua adalah dalam fahaman mereka yang sesat kerana tidak percaya kepada janji Allah dan Rasulullah.

 

وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ

dan mereka berpaling dengan rasa gembira.

Selepas bercakap macam itu, mereka berpaling. Mereka berpaling dengan rasa gembira sangat kerana musibah telah menimpa umat Islam. Mereka berpaling dengan rasa puas hati. Mereka gembira tapi mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka ke lembah kehinaan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Mei 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s