Pengenalan Tafsir Balaghi (Iltifat)

I. Iltifat (الإلتفات)

Ini adalah salah satu teknik yang paling mencabar namun paling indah dalam Ilmu Balaghah (khususnya di bawah Ilmu Ma’ani). Ia sering digelar sebagai “Seni Peralihan Gaya Bahasa”. Ia memang sudah ada di dalam ilmu bahasa Arab dari zaman dahulu lagi di mana para penyair amat berbangga jikalau mereka dapat berjaya menghasilkan pemalingan yang indah-indah. Akan tetapi apabila datang Al-Qur’an, pemalingan yang digunakan amat halus dan jauh lebih hebat dan mengalahkan terus mereka.

Secara istilah, Iltifat bermaksud: Peralihan gaya bahasa daripada satu sudut pandang (dhomir/kata ganti nama) kepada sudut pandang yang lain, sedangkan rujukan orangnya adalah sama.

Dalam Ilmu Balaghah, ia merujuk kepada pemalingan tuju kata daripada satu kata ganti nama diri kepada satu kata ganti nama diri yang lain berdasarkan sesuatu tujuan tetapi masih merujuk kepada topik yang sama. Iltifat (pemalingan) ini berlaku dalam banyak jenis akan tetapi kita tumpukan kepada Iltifat dari segi bahasa iaitu khusus tentang pemalingan kata ganti nama sahaja.

Kata ganti nama pertama: Aku & kami

Kata ganti kedua: Engkau, kalian, awak dan sebagainya

Kata ganti ketiga: Mereka, dia dan sebagainya.

Kadangkala ayat itu sedang bercakap tentang diri sendiri tapi tiba-tiba bertukar bercakap tentang pihak ketiga pula contohnya. Pertukaran dan pemalingan inilah yang dipanggil Iltifat. Tujuannya adalah untuk menghilangkan kebosanan pendengar dan menarik perhatian mereka secara mengejut terhadap perubahan nada ayat tersebut.

Pemalingan juga ada digunakan di dalam bahasa kita. Contoh penggunaan iltifat di dalam suasana biasa kita bayangkan kata-kata seorang guru. Lihat bagaimana kata ganti nama bertukar-tukar:

“Sebagai seorang guru saya merasa amat kecewa dengan sikap kamu. Engkorang patut fikir sebelum buat sesuatu perkara. Jaga nama baik sekolah kita. Ada di antara pelajar kelas ni, dia menipu dalam ujian. (Sambil memandang seorang pelajar) Aiman!.. apa kau dah buat tadi? Mana aku nak letak muka sebagai guru kelas ni? (diam sejenak) Awak akan dikenakan tindakan. Dan yang lain (kamu), Ustaz harap jangan ada yang nak tiru budak ni (dia)

Keterangan: Terdapat pelbagai bentuk perpindahan kata ganti nama diri di dalam ucapan seorang guru di dalam ayat di atas yang berubah daripada satu mood kepada mood yang lain. Jadi ada elemen perubahan emosi berlaku apabila menggunakan teknik Iltifat ini. Seninya adalah ada unsur suspens di dalam kata-kata itu yang kita tidak akan rasa kalau ayat itu linear sahaja.

Contoh di dalam Al-Qur’an adalah Kauthar:1-2

إِنَّآ أَعۡطَيۡنَـٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ (١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ (٢)
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). (1) Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (2)

Penjelasan: Perhatikan peralihan dari kalimah ‘Kami’ (إِنَّآ) di mana Allah bercakap tentang DiriNya dan tiba-tiba di dalam ayat 2, berubah kepada pihak ketiga pula لِرَبِّكَ (Tuhanmu). Sepatutnya kalau terus ikut susunan kata ganti itu, sepatutnya disebut: فَصَلِّ لنا (Sembahlah kepada Kami).

Pakar Balaghah mengibaratkan Iltifat seperti:

    • Peralihan Warna: Mata akan lebih segar jika melihat pelbagai warna berbanding satu warna sahaja. Begitu juga telinga dan minda dengan perubahan gaya bahasa. Tidaklah bosan kerana percakapan atau pembacaan yang monotonous sahaja.
    • Menghidupkan Suasana: Ia menjadikan sesuatu penceritaan terasa lebih dinamik, seolah-olah kamera bertukar sudut (angle) untuk menunjukkan sisi emosi yang berbeza.

Perhatian. Apabila membincangkan dan cuba memahami Iltifat, mungkin ada yang terkeliru dengan i‘tiradh (sisipan)  yang selalu digunakan di dalam Jumlah Mu’taridah. Iltifat bukan menyisipkan ucapan tambahan di tengah-tengah kalam, tetapi menukar bentuk kata ganti nama kepada kata ganti nama yang lain.

Mu’taridah ini ada juga di dalam bahasa kita. Contoh ayat yang biasa adalah: “makanan sini sedap lah”. Tapi kalau kita kata: “makanan di sini walaupun mahal sikit, sedaplah”. Jadi kalimah ‘walaupun mahal sikit’, itu adalah sisipan yang dinamakan i‘tiradh. Selalunya kalau di dalam tulisan, kita adalah tambah tanda sebegini: makanan di sini – walaupun mahal sikit-, sedaplah. Contoh jumlah mu’taridah adalah ayat Yusuf:103

وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.

Frasa وَلَو حَرَصتَ adalah i’tiradh.


 

Ada 5 gaya iltifat di dalam Al-Qur’an:

1. Daripada ganti nama diri pertama kepada ganti nama diri kedua. Contohnya ayat Yaasin:22

وَما لِىَ لا أَعبُدُ الَّذى فَطَرَنى وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan?

Keterangan: Perhatikan iltifat dari ‘aku’ kepada ‘kamu’. Kalau tidak di’iltifat’kan, kalimah yang sepatutnya adalah وإليهِ أُرجَعُ.

2. Daripada kata ganti nama diri pertama kepada ganti nama ketiga. Contohnya kita boleh lihat di dalam Baqarah:23

وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَدآءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah yang sepatutnya adalah مِن دوني.

3. Daripada ganti nama diri kedua kepada ganti nama diri ketiga. Contohnya kita boleh lihat pada Baqarah:187

تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya لَعَلَّكم تَتَّقونَ.

4. Daripada ganti nama diri ketiga kepada kata ganti nama diri pertama. Contohnya kita boleh lihat dalam Baqarah:252

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang Kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang daripada Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya يَتلوها.

5. Daripada kata ganti nama diri ketiga kepada kata ganti nama diri kedua. Contohnya kita boleh lihat dalam Fatihah:4-5

مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
Pemilik hari Pembalasan. (4) Hanya kepada Engkau sahaja kami sembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)

Keterangan: Kalau tidak ada iltifat, maka kalimah itu sepatutnya إِيَّاهُ نَعۡبُدُ وَإِيَّاهُ نَسۡتَعِينُ.


 

Tujuan dan Faedah Iltifat

Mengelakkan kebosanan daripada penggunaan kata ganti nama yang sama secara berterusan. Namun dalam al-Qur’an, tujuan-tujuan iltifat lebih mendalam. Contoh Tujuan Iltifat (daripada ghaib kepada khitab) dalam al-Qur’an:

1. Ancaman dan menakut-nakutkan. Contoh kita boleh lihat dalam Tawbah:3

وَأَذٰنٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ إِلَى النّاسِ يَومَ الحَجِّ الأَكبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَريءٌ مِّنَ المُشرِكينَ ۙ وَرَسولُهُ ۚ فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ الَّذينَ كَفَروا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat maka yang demikian adalah baik bagi kamu dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

Keterangan: Perhatikan iltifat dari pihak ketiga (النّاسِ) kepada pihak kedua (تُبتُم) dan (لَّكُم). Kalau kita teruskan gaya bahasa yang ikut kalimah النّاسِ di awal ayat, maka bukanlah فَإِن تُبتُم فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم tapi فَإِن تابوا فَهُوَ خَيرٌ لَّهم.  Jadi digunakan iltifat ini kerana pada permulaan, digunakan kata ganti pihak ketiga, tapi apabila digunakan iltifat terus bercakap kepada pendengar (تُبتُم dan لَّكُم), ia menambah kesan ayat itu yang menjadi ancaman. Macam contoh kata-kata guru yang mulanya hanya menyebut kesalahan pihak ketiga, sebelum tiba-tiba menyebut nama pelaku (Aiman).

Namun ada juga yang memahami iltifat ini sebagai dorongan kepada taubat. Iaitu Allah terus bercakap direct kepada mereka berdua untuk mengajak mereka bertaubat. Biasalah akan ada perbezaan pendapat berkenaan balaghah kerana orang lain nampak cara lain.

Adapun iltifat kedua iaitu dari تَوَلَّيتُم dan أَنَّكُم kepada كَفَروا, ia lebih sesuai sebagai ancaman atau teguran. Dalam ilmu Balaghah, perpindahan daripada berbicara terus (تَوَلَّيتُم dan أَنَّكُم) kepada berbicara tentang mereka sebagai pihak ketiga (الَّذينَ كَفَروا) membawa implikasi ancaman yang sangat berat melalui beberapa sudut. Apabila Allah berbicara menggunakan perkataan “Kamu” di awal ayat, ia menunjukkan bahawa mereka masih “dilayan” untuk berbicara. Namun, sebaik sahaja Allah menukar gaya bahasa kepada “Khabarkan kepada orang-orang kafir itu”, Allah seolah-olah sedang berpaling daripada mereka kerana teramat murka.

Ibarat seorang raja yang sedang memarahi pembangkang di depannya: “Jika kamu berdegil, kamu tidak akan menang!” Lalu tiba-tiba raja itu memalingkan mukanya kepada pengawal dan berkata: “Humban orang-orang derhaka ini ke dalam penjara!” Tindakan “memalingkan muka” (Iltifat) ini adalah penghinaan dan ancaman bahawa peluang mereka untuk berdialog atau bertaubat telah ditutup sekiranya mereka berpaling.

Yang keduanya, di awal ayat, Allah menyebut “Jika kamu berpaling”. Allah tidak terus melabel mereka sebagai kafir. Tetapi di hujung ayat, Allah menggunakan Iltifat dengan menukar perkataan “kamu” kepada الَّذِينَ كَفَرُوا (orang-orang yang kafir). Ini adalah ancaman bahawa jika mereka berpaling daripada perjanjian, status mereka di sisi Allah secara rasmi dan kekal berubah menjadi “Kafir yang berhak menerima azab”.

 

2. Teguran dan kecaman. Contoh kita boleh lihat di dalam Nahl:56

وَيَجعَلونَ لِما لا يَعلَمونَ نَصيبًا مِّمّا رَزَقنٰهُم ۗ تَاللهِ لَتُسئَلُنَّ عَمّا كُنتُم تَفتَرونَ
Dan mereka menjadikan bagi sesuatu yang mereka tidak mengetahui, sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Demi Allah, kamu pasti akan ditanya tentang apa yang kamu ada-adakan.

Keterangan: menghadapkan secara langsung teguran dan kecaman. Mulanya bercakap tentang pihak ketiga dan tiba-tiba bertukar kepada bercakap terus.

Contoh lain kita boleh lihat dalam Yusuf:109

وَلَدَارُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَواْ‌ۗ أَفَلَا تَعقِلُونَ
“Dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka apakah kamu tidak berakal?”

Keterangan: teguran lebih kuat kesannya bila ditujukan secara langsung.

Contoh lain adalah di dalam Maryam:88-89

وَقَالُواْ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَلَدًا (٨٨) لَّقَدۡ جِئۡتُمۡ شَيۡـًٔا إِدًّا (٨٩)
“Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak. ’Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. ”

Keterangan: Teguran secara khitab lebih keras. Maknanya Allah bukan bercakap tentang orang lain, tapi tentang mereka sendiri! Jadi jangan buat tidak tahu pula! Apa yang dilakukan pasti akan dibalas kerana Allah tahu apa yang mereka lakukan.

 

3. Menekankan permintaan. Contoh Ahzab:55

لّا جُناحَ عَلَيهِنَّ في ءآبائِهِنَّ وَلا أَبنائِهِنَّ وَلا إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ إِخوٰنِهِنَّ وَلا أَبناءِ أَخَوٰتِهِنَّ وَلا نِسائِهِنَّ وَلا ما مَلَكَت أَيمٰنُهُنَّ ۗ وَاتَّقينَ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدًا
“Tidak ada dosa atas mereka (wanita) berkenaan bapa-bapa mereka, anak-anak lelaki mereka, saudara-saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki saudara mereka, anak-anak lelaki saudara perempuan mereka, wanita-wanita mereka, dan hamba-hamba yang dimiliki mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu

Keterangan: Kalau sebelum ini Iltifat digunakan untuk mengancam, kali ini ia memberi penekanan yang lebih kuat dalam menuntut ketaqwaan. Mulanya Allah sedang berbicara tentang batasan mahram bagi kaum wanita secara objektif (gaya naratif/hukum). Peralihan drastik daripada gaya menceritakan hukum tentang “mereka” kepada memberikan arahan terus kepada “kamu” membawa implikasi balaghah yang sangat kuat untuk menekankan tuntutan (permintaan) Allah. Allah mengetuk hati para wanita secara langsung. Allah seolah-olah berkata: “Itu adalah hukumnya, sekarang Aku perintahkan kepada kamu yang sedang mendengar ayat ini: Jagalah hati dan bertakwalah!”

 

4. Meringankan beban perintah. Contoh Baqarah:184

أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذينَ يُطيقونَهُ فِديَةٌ طَعامُ مِسكينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ
“Beberapa hari yang tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan, maka (wajiblah menggantinya) dengan bilangan hari yang lain. Dan bagi orang- orang yang mampu berpuasa tetapi dengan kesukaran, wajiblah membayar fidyah memberi makan seorang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela melakukan kebajikan, itu adalah lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Keterangan: pengurangan beban puasa dengan gaya bahasa yang khitab/langsung. Bagaimana ia boleh jadi meringankan beban? Kita kena faham bahawa puasa ini sebenarnya agak berat, bukan? Kalau kita perhatikan ayat ini, ia seperti ayat yang memujuk. Ia tidak sama seperti ayat tentang hukum Zakat, contohnya, terus suruh sahaja. Tapi apabila menyebut tentang hukum puasa, disebut tentang kelebihan Bulan Ramadhan, tentang ia telah dikenakan kepada umat-umat terdahulu, yang ianya hanya sebulan sahaja, ada disebut kenapa ia difardhukan supaya menjadi taqwa. Ia adalah dalam bentuk memujuk. Dan kemudian diberikan terus rukhsah iaitu kalau sakit atau di dalam safar, boleh diganti pada hari yang lain. Dan di dalam ayat ini pada awalnya disebut tentang orang yang tidak mampu berpuasa (الَّذينَ يُطيقونَهُ) boleh membayar fidyah. Kemudian ada iltifat bercakap terus (khitab) dengan nada memujuk وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ. Walaupun ia berat, tapi ia baik untuk kamu, hanya 30 hari sahaja paling lama pun. Puasalah dahulu dan kalau sakit atau mengembara, tidak mengapa boleh berbuka.

 

5. ‘Itab عتاب (teguran lembut kerana sayang). Contoh Tahreem:3-4

وَإِذۡ أَسَرَّ ٱلنَّبِىُّ إِلَىٰ بَعۡضِ أَزۡوٰجِهِۦ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتۡ بِهِۦ وَأَظۡهَرَهُ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ عَرَّفَ بَعۡضَهُ ۥ وَأَعۡرَضَ عَنۢ بَعۡضٍ۬‌ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِۦ قَالَتۡ مَنۡ أَنۢبَأَكَ هَـٰذَا‌ۖ قَالَ نَبَّأَنِىَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡخَبِيرُ (٣) إِن تَتُوبَآ إِلَى ٱللَّهِ فَقَدۡ صَغَتۡ قُلُوبُكُمَا‌ۖ وَإِن تَظَـٰهَرَا عَلَيۡهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ مَوۡلَٮٰهُ وَجِبۡرِيلُ وَصَـٰلِحُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ بَعۡدَ ذٰلِكَ ظَهِيرٌ (٤)
“Dan (ingatlah) ketika Nabi membisikkan suatu rahsia kepada sebahagian isterinya; maka tatkala dia (isteri itu) memberitahukannya dan Allah memperlihatkannya kepada Nabi, lalu Nabi memberitahu sebahagian daripadanya dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Maka tatkala Nabi memberitahunya, dia berkata: Siapakah yang memberitahu engkau tentang ini? Nabi menjawab: Telah memberitahu aku Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengetahui segala rahsia.’ Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada kesalahan itu). Dan jika kamu berdua saling bantu-membantu menentangnya, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya, dan (demikian juga) Jibril, orang-orang mukmin yang soleh, serta malaikat selepas itu menjadi penolongnya.

Keterangan: maksud teguran (‘itab). Perhatikan iltifat pada permulaan disebut أَزۡوٰجِهِۦ sebagai pihak ketiga. Ia adalah teguran yang ditujukan kepada dua isteri Nabi SAW (Sayyidatina Aisyah dan Sayyidatina Hafsah radhiyallahu ‘anhuma) berikutan peristiwa rahsia rumah tangga yang telah dibocorkan. Apabila rahsia itu bocor, Nabi SAW tidak membongkar kesemuanya di depan isterinya untuk membuatkan isteri beliau berasa teramat malu atau tersudut. Baginda hanya menyebut sebahagian sahaja sebagai kiasan bahawa baginda sudah tahu.

Di awal ayat, Allah tidak menyebut nama Aisyah atau Hafsah secara langsung. Allah menggunakan ganti nama umum: إِلَىٰ بَعْضِ أَزْوَاجِهِ (kepada sebahagian isteri-isterinya). Teknik ini dalam balaghah berfungsi untuk menyembunyikan identiti pelaku kesalahan di hadapan khalayak umum (umat yang membaca Al-Qur’an). Allah menegur kesilapan mereka, tetapi pada masa yang sama tetap memelihara kehormatan mereka sebagai Umahatul Mukminin (Ibu orang-orang beriman).

Kemudian berlaku iltifat di dalam ayat إِن تَتُوبَآ إِلَى ٱللَّهِ فَقَدۡ صَغَتۡ قُلُوبُكُمَا‌ۖ. Allah bercakap terus kepada mereka berdua. Di sinilah berlakunya Iltifat yang sangat bertenaga, di mana gaya bahasa bertukar daripada menceritakan tentang mereka sebagai pihak ketiga (Ghaib) kepada menuding terus kepada mereka secara berhadapan (Khitab). Perubahan mengejut ini memberikan kesan psikologi yang kuat (targhib/motivasi). Ia seolah-olah Allah sedang memegang tangan mereka berdua secara peribadi, memandang tepat ke dalam mata mereka, dan memberikan bimbingan langsung agar mereka segera kembali ke jalan yang benar. Ini adalah kemuncak ‘itab. Allah menegur kesilapan hati mereka, tetapi pada masa yang sama, Allah meletakkan diri mereka berdua di kedudukan yang sangat dekat (melalui dialog terus) untuk menunjukkan bahawa peluang untuk memperbaiki diri sentiasa ada dan sangat dituntut.

Perkataan إِنْ (Jika) di awal ayat berfungsi sebagai syarat. Allah tidak berkata “Kamu telah berdosa, maka kamu dihukum”, tetapi Allah menggunakan Iltifat untuk menawarkan jalan keluar: “Jika kamu berdua bertaubat…” Ini adalah kemuncak ‘itab. Allah menegur kesilapan hati mereka, tetapi pada masa yang sama, Allah meletakkan diri mereka berdua di kedudukan yang sangat dekat (melalui dialog terus) untuk menunjukkan bahawa peluang untuk memperbaiki diri sentiasa ada dan sangat dituntut.

Contoh lain: Abasa:1-3

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلۡأَعۡمَىٰ (٢) وَمَا يُدۡرِيكَ لَعَلَّهُ ۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣)
Dia (Nabi) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang buta. Dan tahukah engkau, barangkali dia mahu membersihkan dirinya (dengan beriman dan beramal”

Keterangan: Ini adalah salah satu contoh ‘Itab (teguran lembut kerana sayang) yang paling agung dan halus dalam Al-Qur’an. Teguran ini ditujukan kepada Rasulullah SAW susulan peristiwa baginda berpaling daripada seorang sahabat yang buta, iaitu Abdullah bin Ummi Maktum, kerana baginda sedang sibuk berdakwah kepada pembesar-pembesar Quraisy. Keindahan sastera dan psikologi di sebalik kenapa ayat-ayat ini dikategorikan sebagai ‘itab (dan bukannya kemurkaan) terletak sepenuhnya pada penggunaan teknik Iltifat (إِلْتِفَات) yang sangat luar biasa.

Bagaimana Iltifat ini berlaku? Perhatikan ayat 1 dan 2: {عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ * أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ} “Dia berwajah masam dan dia berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang yang buta.” Allah tidak berfirman secara terus (Khithab) seperti: “Engkau berwajah masam dan engkau berpaling (wahai Muhammad)!” Sebaliknya, Allah menggunakan kata ganti nama orang ketiga (Dia). Dalam seni bahasa Arab, apabila kita menegur kesilapan orang yang kita teramat sayangi dan hormati, kita tidak akan menuding jari secara terus ke wajahnya di hadapan orang lain. Kita akan bercerita menggunakan pihak ketiga (kiasan) untuk menjaga air muka dan maruah orang tersebut. Allah seolah-olah menyembunyikan identiti Rasulullah SAW pada awal ayat agar baginda tidak berasa tersudut atau terhina dengan kesilapan manusiawi tersebut.

Sekarang perhatikan ayat 3: {وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ} “Dan tahukah engkau (wahai Muhammad), barangkali dia mahu menyucikan dirinya (dengan pengajaran)?” Di sinilah berlakunya Iltifat. Selepas Allah melembutkan suasana dengan gaya “dia” di ayat 1–2, tiba-tiba di ayat 3, Allah menukar gaya bahasa secara lembut kepada Khithab / Dialog Terus (Engkau – ك). Perpindahan ini berfungsi untuk menarik semula perhatian Rasulullah SAW ke dalam ruang dialog peribadi bersama Allah. Selepas maruah baginda dipelihara di fasa pertama, Allah kini berbicara secara ’empat mata’ dengan baginda untuk memberikan bimbingan, seolah-olah menyatakan: “Wahai kekasih-Ku, tujuanmu berdakwah kepada pembesar itu baik, tetapi ketahuilah, orang buta yang datang kepadamu ini sebenarnya lebih memerlukan ilmu tersebut.”

 

6. Menguatkan hujah. Contoh: ِA’raf:190-193

فَلَمَّآ ءَاتَٮٰهُمَا صَـٰلِحًا جَعَلَا لَهُ ۥ شُرَكَآءَ فِيمَآ ءَاتَٮٰهُمَا‌ۚ فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ عَمَّا يُشۡرِكُونَ (١٩٠) أَيُشۡرِكُونَ مَا لَا يَخۡلُقُ شَيۡـًٔا وَهُمۡ يُخۡلَقُونَ (١٩١) وَلَا يَسۡتَطِيعُونَ لَهُمۡ نَصۡرًا وَلَآ أَنفُسَہُمۡ يَنصُرُونَ (١٩٢) وَإِن تَدۡعُوهُمۡ إِلَى ٱلۡهُدَىٰ لَا يَتَّبِعُوڪُمۡ‌ۚ سَوَآءٌ عَلَيۡكُمۡ أَدَعَوۡتُمُوهُمۡ أَمۡ أَنتُمۡ صَـٰمِتُونَ (١٩٣)
Maka tatkala Allah mengurniakan kepada keduanya seorang anak yang baik, mereka menjadikan bagi-Nya sekutu-sekutu terhadap apa yang telah dikurniakan kepada mereka. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka sekutukan. Apakah mereka menyekutukan sesuatu yang tidak dapat mencipta apa-apa, sedangkan mereka sendiri diciptakan? Dan mereka tidak mampu menolong mereka, bahkan tidak mampu menolong diri mereka sendiri. Dan jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk, mereka tidak akan mengikuti kamu; sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyeru mereka atau kamu berdiam diri.

Keterangan: Di sini digunakan Iltifat untuk menguatkan dan menegakkan hujah. Di dalam Ayat 189–190, Allah menggunakan (Kata Ganti Dua Orang & Orang Ketiga). Di dalam dua ayat ini, menceritakan tentang penciptaan asal-usul manusia (pasangan Adam dan Hawa, atau metafora suami isteri secara umum). Allah menggunakan kata ganti dua orang (مَا): “Tatkala Allah memberi kepada keduanya anak yang soleh, keduanya menjadikan sekutu bagi Allah…” Kemudian, di akhir ayat 190, berlaku peralihan subjek ke bentuk jamak orang ketiga (يُشۡرِكُونَ).

Kemudian di dalam Ayat 191–193 berlaku Iltifat ke Kata Ganti Orang Kedua / Khitab). Tiba-tiba, rentak bahasa berubah dalam bentuk dialog atau tempelakan terus kepada orang kedua (أَيُشۡرِكُونَ): “Patutkah kamu sekutukan Allah…” (Ayat 191). Ini pun sudah memberi psikologi yang berbeza.

Kemudian di dalam Ayat 193, Allah berhujah: “Dan jika kamu menyeru mereka (berhala)… sama sahaja bagi kamu, sama ada kamu menyeru mereka atau kamu berdiam diri.” Di sini berlaku penegakan hujah. Seperti Allah bertanya, “Adakah kamu menyekutukan Aku dengan berhala yang tidak boleh mencipta apa-apa?”, hujah itu mengunci akal mereka. Mereka tidak boleh berdalih kerana soalan itu ditujukan terus ke muka mereka, memaksa mereka melihat kebodohan sembahan mereka yang kaku.

 

7. Peringatan dan untuk menakutkan. Contoh: Mu’minun:14-15

ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤) ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذٰلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥)
“Kemudian Kami menjadikannya sebagai satu ciptaan yang lain, maka Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta. Kemudian sesungguhnya kamu selepas itu pasti akan mati”.

Keterangan: ancaman dan peringatan lebih sesuai disampaikan dengan bentuk khitab. Iltifat yang berlaku di antara Ayat 14 dan permulaan Ayat 15 adalah peralihan daripada “Ghaibah” (Kata Ganti Nama Ketiga / Orang Ketiga) kepada “Khitab” (Kata Ganti Nama Kedua / Berbicara Terus).

Dalam Ayat 14 (Ghaibah – Orang Ketiga), semasa menceritakan tentang fasa penciptaan manusia (daripada pati tanah, air mani, segumpal darah, sehinggalah ditiupkan roh), Allah menyebut: “أَنشَأۡنَـٰهُ” (Kami menjadikannya). Di sini mereka disebut sebagai orang ketiga.

Dalam Ayat 15 (Khitab – Orang Kedua/Berbicara Terus), gaya bahasa bertukar secara drastik: “ثُمَّ إِنَّكُمْ” (Kemudian, sesungguhnya kamu (semua)…). Allah tidak lagi menggunakan kata ganti ketiga (seperti “Kemudian sesungguhnya manusia itu akan mati”), sebaliknya Allah terus menuding dan berbicara secara langsung kepada kita (manusia/pendengar) menggunakan ganti nama “كُمْ” (Kamu semua).

 

8. Penghormatan. Contoh: Nur:62

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَإِذا كانوا مَعَهُ عَلىٰ أَمرٍ جامِعٍ لَّم يَذهَبوا حَتّىٰ يَستَئذِنوهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ أُولٰئِكَ الَّذينَ يُؤمِنونَ بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ فَإِذَا استَأذَنوكَ لِبَعضِ شَأنِهِم فَأذَن لِّمَن شِئتَ مِنهُم وَاستَغفِر لَهُمُ اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka bersama Rasul pada suatu urusan yang penting, mereka tidak meninggalkannya sehingga meminta izin daripadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu, mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul- Nya. Maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana suatu urusan mereka, berilah izin kepada sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mohonlah ampun untuk mereka kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Keterangan: Penggunaan gaya bahasa Iltifat dalam Surah An-Nur ayat 62 merupakan salah satu keindahan balaghah (sastera Arab) Al-Quran yang berfungsi sebagai penghormatan, pemuliaan, dan pengagungan (Tasyarif & Takrim) ke atas kedudukan Rasulullah ﷺ. Pada permulaan ayat, Allah menceritakan tentang sifat orang beriman dan menyebut tentang Rasulullah menggunakan kata ganti nama orang ketiga (Ghaib), iaitu perkataan مَعَهُ (bersamanya/bersama Baginda) dan يَسْتَأْذِنُوهُ (meminta izin kepadanya/kepada Baginda).

Kemudian berlaku berlaku Iltifat apabila Allah mengubah rentak bahasa secara mengejut daripada membicarakan Rasulullah sebagai pihak ketiga (Ghaib), kepada berbicara secara langsung (bersemuka/Khitab) kepada Rasulullah ﷺ melalui perkataan يَسْتَأْذِنُونَكَ (meminta izin kepadamu) dan اسْتَأْذَنُوكَ (mereka meminta izin kepadamu).

Para ulama tafsir dan ahli balaghah menjelaskan bahawa peralihan sudut pandangan bahasa ini mengandungi beberapa rahsia takrim (penghormatan) yang sangat tinggi. Apabila Allah beralih daripada gaya menceritakan perihal Rasulullah (orang ketiga) kepada menyapa Baginda secara langsung (orang kedua), ia memberikan gambaran seolah-olah Allah SWT “menoleh” dan mendekati Rasulullah ﷺ di hadapan para khalayak makhluk-Nya. Ini mengangkat kedudukan Baginda ﷺ ke maqam yang sangat dekat dan mulia di sisi Allah.

Pada bahagian awal ayat, Allah meletakkan satu undang-undang umum: Orang beriman tidak akan lari daripada majlis rasmi melainkan setelah meminta izin kepada Nabi (kepadanya). Apabila ayat itu bertukar kepada “Sesungguhnya mereka yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad)…”, Allah mengukuhkan lagi autoriti tersebut secara khusus dan peribadi. Ia adalah pengiktirafan langsung daripada Allah bahawa tindakan meminta izin kepada Muhammad ﷺ secara bersemuka itu adalah bukti kesempurnaan iman seseorang.

Selepas melakukan iltifat dengan berbicara terus kepada Nabi (“apabila mereka meminta izin kepadamu”), Allah menyambung dengan: فَأْذَنْ لِمَنْ شِئْتَ مِنْهُمْ (…maka berilah izin kepada sesiapa yang ENGKAU kehendaki di antara mereka). Sapaan secara langsung ini memberikan penghormatan berupa mandat dan kelonggaran penuh kepada Rasulullah ﷺ untuk menilai dan menentukan sendiri keputusan terbaik mengikut kebijaksanaan Baginda, sekali gus memuliakan kedudukan Baginda sebagai ketua negara dan pemimpin umat.

 

Contoh lain: Tawbah:111

۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan balasan syurga. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu)janji yang benar daripada-Nya dalam Taurat, Injil dan al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Maka bergembiralah kamu dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”.

Keterangan: Penggunaan gaya bahasa Iltifat dalam ayat ini merupakan antara contoh yang paling indah di dalam Al-Qur’an. Melalui ayat ini, Iltifat berfungsi sebagai bentuk penghormatan, ucapan tahniah, dan pemuliaan yang luar biasa tinggi daripada Allah kepada orang-orang mukmin yang sanggup mengorbankan jiwa dan harta mereka (para mujahid).

Fasa Pertama (Menggunakan Orang Ketiga): إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ (“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka). Perhatikan pada permulaan ayat ini, Allah menggunakan kata ganti nama orang ketiga. Allah membicarakan tentang sebuah “transaksi perniagaan agung” antara-Nya dengan orang-orang mukmin (mereka/لهُمُ), seolah-olah sebuah pengumuman rasmi kepada seluruh makhluk.

Fasa Kedua (Beralih kepada Orang Kedua / Menyapa Terus): فَاسْتَبْشِرُوْا بِبَيْعِكُمُ الَّذِيْ بَايَعْتُمْ بِهٖۗ (Oleh itu, bergembiralah kamu dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu). Tiba-tiba di hujung ayat, gaya bahasa berubah secara drastik (Iltifat). Allah tidak lagi bercakap tentang mereka (orang ketiga), sebaliknya Allah memalingkan wajah sapaan-Nya dan berbicara terus kepada mereka menggunakan kata ganti nama orang kedua (فَاسْتَبْشِرُوْا / بَايَعْتُمْ).

Para ulama balaghah (seperti Imam Az-Zamakhsyari dan Ar-Razi) menjelaskan bahawa pertukaran gaya bahasa di hujung ayat ini membawa impak penghormatan yang sangat mendalam

Ia seperti Sapaan Istimewa dan Ucapan Tahniah Secara Langsung dari Allah. Apabila sebuah urusan jual beli yang besar selesai, adalah satu penghormatan apabila “Pembeli” berpaling terus kepada “Penjual” untuk bersalaman dan mengucapkan tahniah. Dalam ayat ini, Allah bertindak sebagai Pembeli dan orang mukmin sebagai Penjual. Setelah mengumumkan nilai transaksi itu (iaitu syurga), Allah melipatgandakan penghormatan dengan menyapa orang mukmin secara bersemuka: “Sebab itu, wahai orang-orang yang beriman, bergembiralah KAMU dengan transaksi yang telah KAMU lakukan ini!” Ini ialah ucapan tahniah (tahniah mubasharah) langsung daripada Pencipta yang menaikkan status kedudukan hamba-Nya.

Ia juga Menzahirkan “Keredaan” Allah yang Sempurna. Dalam budaya sastera Arab, apabila seseorang berbicara tentang orang lain (orang ketiga) lalu menukar bicaranya secara terus kepada orang tersebut (orang kedua), ia melambangkan rasa cinta, kedekatan, dan keredaan yang amat sangat. Seolah-olah Allah SWT mahu para hamba-Nya merasakan bahawa Dia sedang “melihat dan berbicara” terus kepada mereka dengan penuh kasih sayang atas pengorbanan yang mereka lakukan.

Ia juga berfungsi sebagai Menggandakan Emosi Kegembiraan (Al-Bisyarah). Perkataan فَاسْتَبْشِرُوْا (Maka bergembiralah kamu) yang disampaikan melalui kaedah khitab (sapaan terus) memberi kesan psikologi yang jauh lebih kuat berbanding jika Allah berfirman: “Maka hendaklah orang-orang mukmin itu bergembira”. Sapaan “Kamu” membuatkan setiap orang beriman yang membaca ayat ini merasa dirinya dipanggil dan diraikan secara peribadi oleh Allah SWT atas keimanan mereka.

 

Contoh lain: Sad:52-53

وَعِندَهُمۡ قَـٰصِرٰتُ ٱلطَّرۡفِ أَتۡرَابٌ (٥٢) هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِيَوۡمِ ٱلۡحِسَابِ (٥٣)
“Dan di sisi mereka ada bidadari yang menundukkan pandangan, sebaya umurnya. *Inilah yang dijanjikan kepada kamu untuk hari hisab”.

Keterangan: Penggunaan gaya bahasa Iltifat dalam Surah Sad ayat 52 dan 53 juga merupakan bentuk penghormatan, pemuliaan, dan pemberian ucapan tahniah (Takrim & Tahniah) yang sangat manis daripada Allah SWT kepada orang-orang yang bertakwa. Sama seperti dalam Surah At-Taubah:111, bentuk iltifat di sini ialah peralihan daripada gaya bahasa Ghaibah (Orang Ketiga) kepada Khitab (Orang Kedua/Menyapa Terus).

Dalam Ayat 52 (Ghaibah – Orang Ketiga): وَعِندَهُمۡ قَـٰصِرٰتُ ٱلطَّرۡفِ أَتۡرَابٌ (Dan pada sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang menundukkan pandangannya lagi sebaya umurnya). Di sini Allah sedang menceritakan tentang kenikmatan yang diperolehi oleh ahli syurga (orang bertakwa) menggunakan kata ganti nama orang ketiga, iaitu عِنْدَهُمْ (pada sisi mereka). Allah memposisikan mereka sebagai subjek yang sedang diceritakan kelebihannya kepada pendengar.

Dalam Ayat 53 (Khitab – Orang Kedua / Menyapa Terus): هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِيَوْمِ الْحِسَابِ (Inilah apa yang dijanjikan kepada kamu pada hari perhitungan). Tiba-tiba, gaya bahasa beralih secara total (Iltifat) melalui perkataan تُوعَدُونَ (yang dijanjikan kepada kamu semua). Allah tidak lagi menyebut “Inilah yang dijanjikan kepada mereka”, tetapi Allah terus menoleh dan menyapa terus ahli syurga itu.

Bagaimana ini menjadi satu penghormatan? Bayangkan anda dijemput ke sebuah majlis anugerah yang mewah. Pada mulanya, pengacara majlis bercakap di atas pentas menceritakan tentang kejayaan dan hadiah-hadiah hebat yang bakal diterima oleh pemenang (orang ketiga). Tiba-tiba, pengacara itu menoleh terus memandang wajah anda dan berkata: “Nah, inilah hadiah yang dijanjikan khas untuk KAMU!”. Sapaan terus (khitab) ini memberikan rasa dihargai dan dihormati yang tiada galang gantinya.

Apabila Allah menukar bahasa kepada “Kamu”, ia memberikan gambaran seolah-olah hijab atau jarak antara Allah dan hamba-Nya yang bertakwa itu diangkat. Ahli syurga merasakan seolah-olah Allah SWT sedang berbicara secara intim dan langsung dengan mereka, menunjukkan betapa diredhainya kedudukan mereka di sisi-Nya.

 

9. Anugerah dan nikmat. Contoh: Sajdah:9

ثُمَّ سَوّٰهُ وَنَفَخَ فيهِ مِن رّوحِهِ ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَالأَفئِدَةَ ۚ قَليلًا مّا تَشكُرونَ
Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalamnya daripada roh-Nya, serta Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; sedikit sekali kamu bersyukur.

Keterangan: Peralihan daripada gaya penceritaan objektif (orang ketiga) kepada seruan langsung (orang kedua) di dalam ayat ini membawa implikasi mendalam tentang bagaimana Allah memuliakan nikmat-Nya. Apabila Allah mengubah dhomir kepada “Kamu” وَجَعَلَ لَكُمُ (dan Dia menjadikan untuk kamu), ia memberikan kesan psikologi yang kuat. Allah seolah-olah sedang berbicara secara intim dengan setiap individu manusia. Ini menunjukkan bahawa pendengaran, penglihatan, dan hati bukan sekadar alat biologi yang dicipta secara pukal, tetapi merupakan hadiah eksklusif dan peribadi daripada Pencipta kepada hamba-Nya.

Proses pembentukan fizikal (tanah, air mani) diceritakan menggunakan dhomir ghaib (“-nya”). Namun, apabila tiba saat penyerahan “alat” utama untuk berfikir dan merasai (pendengaran, penglihatan, hati), Allah terus menukar dhomir kepada “kamu”. Ini menandakan bahawa pemberian nikmat-nikmat khusus ini mengangkat darjat manusia daripada sekadar seketul daging dan tulang, kepada makhluk yang mulia dan bertanggungjawab (mukallaf).

Iltifat di sini berfungsi sebagai “kejutan” retorik untuk mengejutkan jiwa manusia. Selepas menceritakan kehebatan penciptaan, Allah berpaling terus kepada kita untuk mengingatkan: “Semua anugerah hebat ini adalah untuk kamu, maka mengapa kamu tidak bersyukur?” Sebab itulah ayat ini ditutup dengan kalimat: قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ (Amat sedikitlah kamu bersyukur). Perubahan kepada dhomir “kamu” membuatkan teguran tentang kurangnya rasa syukur itu terasa lebih tajam, langsung, dan menusuk ke dalam kalbu.

Iltifat dalam Surah As-Sajdah ayat 9 bukan sekadar keindahan bahasa, tetapi sebuah jambatan emosi. Ia menukarkan naratif penciptaan yang umum kepada satu pengisytiharan kasih sayang dan anugerah yang khusus buat diri kita sebagai manusia, sekaligus menjadi peringatan tegas agar kita tidak mengabaikan nikmat pendengaran, penglihatan, dan hati tersebut.

 

Contoh lain: Nur:9-10

وَٱلۡخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَيۡہَآ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ (٩) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ حَڪِيمٌ (١٠)
“Dan sumpah yang kelima bahawa kemurkaan Allah atasnya jika dia termasuk orang yang benar. Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah atas kamu dan rahmat-Nya, serta sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Bijaksana” .

Keterangan: Iltifat di sini menekankan nikmat dalam pensyariatan hukum-hukum. Dalam Surah An-Nur, ayat 9 – 10, kita sekali lagi melihat keindahan iltifat. Bezanya dengan As-Sajdah ayat 9, iltifat di sini bukan sekadar merujuk kepada nikmat fizikal atau penciptaan, tetapi merujuk kepada Anugerah Undang-undang (Syariat) dan Rahmat Pengampunan Allah dalam memelihara maruah institusi kekeluargaan.

Peralihan (iltifat) yang berlaku antara ayat 9 dan ayat 10 adalah daripada Gaya Penceritaan Hukum (Ghaib/Ketiga) kepada Khitab Langsung (Orang Kedua – “Kamu”), berserta satu ciri balaghah yang sangat unik iaitu Ijaz al-Hadzf (pembuangan hujung ayat yang sengaja dibiarkan tergantung).

Peralihan daripada Kes Tersendiri kepada Seruan Umum. Dalam Ayat 9: Allah menggunakan dhomir ghaibah (-nya untuk wanita/isteri) semasa menerangkan prosedur undang-undang Li’an (sumpah suami isteri apabila berlaku tuduhan zina tanpa saksi). Ayat ini bersifat objektif, membicarakan kes hukum. Masuk Ayat 10: Secara tiba-tiba, Allah mengubah dhomir-Nya kepada “Kamu” (عَلَيْكُمْ – atas kamu sekalian). Allah berpaling daripada membicarakan kes pasangan tersebut, lalu memandang terus kepada seluruh umat Islam (pembaca dan pendengar) yang sedang mendengar hukum ini.

Merujuk kepada “Anugerah dan Nikmat” Apakah Iltifat ini? Perkataan فَضْلُ اللَّهِ (Fadhlullah) bermaksud limpah kurnia/anugerah Allah. Melalui iltifat kepada kata “Kamu”, Allah mahu komuniti orang beriman sedar tentang beberapa nikmat besar ini:

a. Nikmat Syariat sebagai Jalan Keluar (Solusi): Bayangkan jika tiada undang-undang Li’an ini. Si suami akan menanggung dendam atau boleh sampai membunuh, si isteri pula mungkin dihukum rejam tanpa pembelaan, dan masyarakat akan hancur dengan tuduhan tanpa bukti. Iltifat ini mengejutkan manusia: “Wahai kamu (orang beriman), hukum ini adalah anugerah-Ku untuk menyelamatkan maruah dan keluarga kamu!”

b. Nikmat “Sattar” (Allah Menutup Aib): Pasangan yang berbalas sumpah ini, salah seorangnya pasti menipu. Namun, Allah tidak menurunkan petir secara langsung untuk mematikan si penipu. Allah memberikan ruang Li’an untuk menyelesaikan kes di mahkamah dunia dan menutup aib mereka daripada pengetahuan masyarakat awam. Ini adalah rahmat yang sangat besar buat “kamu”.

Kesan Sastera Ayat yang “Tergantung” (Anugerah di sebalik Kenyataan). Secara tata bahasa Arab, ayat 10 ialah ayat tergantung. Struktur “Kalaulah tidak kerana anugerah Allah dan rahmat-Nya kepada kamu…” sepatutnya ada jawapan (jawab al-syart) di hujungnya seperti: “…nescaya kamu semua sudah binasa/menerima azab.” Namun, Allah memotong dan membuang hujung ayat tersebut. Di dalam ilmu balaghah, ini dinamakan untuk memuliakan pendengar. Allah sengaja tidak menyebut perkataan “Azab/Kebinasaan” yang sepatutnya menjadi hujung ayat 10. Mengapa? Kerana Allah baru sahaja menukar dhomir-Nya kepada “Kamu” (kaum mukminin). Sebagai tanda kasih sayang dan kelembutan Allah kepada orang beriman, Dia tidak mahu menggabungkan perkataan “Kamu” dengan perkataan “Azab” dalam satu ayat yang sama.

 

10. Khusus dan layak. Contohnya kita boleh lihat dalam Fatihah:4-5

مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
Pemilik hari Pembalasan. (4) Hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)

Perubahan gaya bahasa atau iltifat dalam Surah Al-Fatihah (khususnya peralihan dari ayat 2-4 ke ayat 5) merupakan salah satu contoh iltifat yang paling masyhur dan paling indah dalam ilmu Balaghah. Iltifat di sini beralih daripada Ghaib (Orang Ketiga – menceritakan tentang Allah) kepada Khithab (Orang Kedua – berbicara terus kepada Allah). Peralihan inilah yang membawa maksud Kekhususan (Ikhtisas) dan Kelayakan (Istihaq) yang sangat mendalam.

Kelayakan: Mengapa Allah tidak terus menggunakan dhomir “Kepada-Mu” sejak awal ayat? Mengapa perlu dimulakan dengan gaya menceritakan (orang ketiga)? Jawapan: Susunan ini berfungsi untuk membuktikan kelayakan Allah sebelum hamba-Nya berikrar taat setia.Apabila manusia membaca ayat 2, 3, dan 4, mereka sedang menghitung kembali sifat-sifat Allah: Dia pencipta alam (رَبِّ الْعٰلَمِينَ), Dia melimpahkan rahmat (الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ), dan Dia yang memegang kuasa mutlak di akhirat (مٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ). Setelah akal dan jiwa sedar betapa agungnya sifat-sifat tersebut, barulah hamba itu merasa: “Tuhan yang memiliki segala sifat inilah yang paling layak disembah!”

Analogi Mudah: > Seolah-olah anda menyenaraikan segala jasa, kehebatan, dan kelayakan seorang guru di hadapan orang ramai (orang ketiga), kemudian selepas sedar akan kehebatannya, anda berpaling terus kepadanya dan berkata, “Sebab itulah, kepada gurulah tempat saya menadah ilmu.”

Iltifat di sini mengajar kita bahawa ibadah kita kepada Allah bukan secara membuta tuli, tetapi atas dasar kesedaran bahawa hanya Dia yang layak menerima pengabdian tersebut selepas melihat bukti-bukti keagungan-Nya.

Kekhususan: Apabila gaya bahasa bertukar kepada kata hadap langsung (Khitab), struktur ayatnya juga berubah secara luar biasa. Dalam tatabahasa Arab asas, ayat sepatutnya berbunyi: نَعْبُدُ إِيَّاكَ (Kami menyembah-Mu). Iaitu Kata Kerja (Fi’il) didahulukan, baru Kata Penyambut (Maful Bih). Namun, dalam ayat 5, Allah menterbalikkan struktur tersebut menjadi: إِيَّاكَ نَعْبُدُ (Hanya kepada-Mu kami menyembah). Dalam ilmu Balaghah, kaedah mendahulukan kata penyambut (Taqdim al-Ma’ful Bih) berfungsi untuk الْقَصْرُ وَالْإِخْتِصَاصُ (Membatasi dan Mengkhususkan).

Jika disebut نَعْبُدُ إِيَّاكَ, ia bermaksud: “Kami menyembah-Mu” (tetapi ada kemungkinan boleh menyembah yang lain juga).

Tetapi apabila disebut إِيَّاكَ نَعْبُدُ, maknanya dikunci menjadi: “Hanya kepada-Mu sahaja kami menyembah, dan langsung tidak kepada yang lain!”

Apa kaitan dengan Kekhususan? Tindakan iltifat (berpaling terus menghadap Allah) merentap fokus hamba daripada memikirkan hal-hal duniawi atau makhluk (yang disebut dalam ayat 2-4 seperti ‘الْعٰلَمِينَ’ dan ‘يَوْمِ الدِّينِ’) untuk mengkhususkan seluruh jiwa raganya menatap “kehadiran” Allah. Peralihan ini memberikan kesan psikologi seolah-olah tabir penghalang antara hamba dan Pencipta telah diangkat, dan kini si hamba sedang berdiri bertentang mata secara langsung di hadapan Allah, mengkhususkan ibadah dan permohonan sumpah setianya tanpa ada sekutu yang lain.

 

11. Dorongan kuat. Contoh: A’raf:145

وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ فَخُذها بِقُوَّةٍ وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها ۚ سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ
“Dan Kami tuliskan untuknya di dalam alwah (papan) segala sesuatu sebagai nasihat dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu. Maka ambillah ia dengan penuh kekuatan, dan perintahkanlah kaummu supaya mengambil yang terbaik daripadanya. Kelak Aku akan perlihatkan kepada kamu negeri orang-orang fasik” .

Keterangan: Peralihan (iltifat) daripada perkataan كَتَبْنَا (Kami telah menulis) di awal ayat kepada سَأُرِيكُمْ (Aku akan memperlihatkan kepada kamu) di akhir Surah Al-A’raf ayat 145 merupakan satu bentuk seni retorik (balaghah) yang sangat halus dan luar biasa. Kesan Iltifat di sini mengandungi dorongan kuat dari Allah.

Iltifat ini melibatkan Peralihan Sifat Allah: Daripada Keagungan (كَتَبْنَا) kepada Keakraban & Ketegasan (سَأُرِيكُمْ). Kalimah كَتَبْنَا (Kami telah menulis) menggunakan Kata ganti nama yang digunakan ialah Orang Pertama Jamak (Kami / Mutakallim Ma’al Ghair – Orang pertama yang berbicara bersama orang lain). Di dalam bahasa Arab, apabila Allah menggunakan kata “Kami” untuk merujuk kepada DiriNya, ia bukan bermaksud bilangan Allah itu banyak, melainkan untuk menunjukkan الْعَظَمَة (Keagungan, Kemuliaan, dan Kekuasaan). Penurunan wahyu dan penulisan syariat di Lauh-Taurat itu digambarkan dengan dhomir “Kami” kerana ia melibatkan urusan ketuhanan yang sangat agung dan sakral.

Kemudian di hujung ayat digunakan kalimah سَأُرِيكُمْ (Aku akan memperlihatkan). Di sini secara tiba-tiba, ditukarkan dhomir menjadi Orang Pertama Tunggal (Aku / Mutakallim Wahdah).

Kesan Iltifat: > Perubahan daripada “Kami” (Agung/Rasmi) kepada “Aku” (Satu/Khusus) memberikan kesan peralihan emosi. Selepas Allah menunjukkan keagungan-Nya dalam menurunkan undang-undang, Allah menggunakan dhomir “Aku” untuk memberikan jaminan peribadi dan janji mutlak daripada-Nya sendiri bahawa Dia sendiri yang akan menguruskan dan menghukum orang-orang yang fasik. Ini memberikan rasa gerun (haibah) yang lebih tinggi kepada sesiapa yang berniat untuk ingkar. Kesannya memberi dorongan yang kuat.

 

12. Penegasan. Contoh: Maryam:70-71

ثُمَّ لَنَحۡنُ أَعۡلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمۡ أَوۡلَىٰ بِہَا صِلِيًّا (٧٠) وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَا‌ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمً۬ا مَّقۡضِيًّا (٧١)
“Kemudian sesungguhnya Kami lebih mengetahui orang-orang yang lebih layak untuk masuk ke dalamnya (neraka). Dan tidak ada seorang pun di antara kamu melainkan akan mendatanginya; hal itu adalah ketetapan yang pasti daripada Tuhanmu”.

Keterangan: Peralihan gaya bahasa (iltifat) daripada perkataan نَحْنُ (Kami) di dalam ayat 70 kepada رَبِّكَ (Tuhanmu) di dalam ayat 71 Surah Maryam membawa dimensi penegasan dan kesan sastera yang berbeza lagi.

Apabila Allah menggunakan نَحْنُ ia adalah bentuk penegasan yang menunjukkan Maha Luasnya Ilmu Allah dalam menentukan siapa yang paling layak dibakar dalam neraka. Allah menggunakan “Kami” untuk menonjolkan keagungan status-Nya sebagai Hakim Tertinggi.

Kemudian Allah menggunakan kalimah رَبِّكَ (Tuhanmu) secara tiba-tiba, pada akhir ayat 71. Allah tidak menggunakan dhomir “Kami” lagi (seperti: “ia adalah ketetapan Kami”). Sebaliknya, Allah menggunakan nama sifat-Nya iaitu رَبّ (Tuhan/Pemelihara) yang disandarkan kepada dhomir كَ (Mu – merujuk kepada Nabi Muhammad SAW atau pembaca).

Kesan Penegasan: Penggunaan perkataan رَبّ (Rububiyyah) membawa maksud Tuhan yang mencipta, memiliki, mengatur, dan melaksanakan segala urusan. Apabila Allah menyatakan كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا (…ia adalah atas Tuhanmu satu ketetapan yang pasti dilaksanakan), perkataan رَبِّكَ menegaskan bahawa keputusan mengheret manusia ke Mahsyar dan merentasi neraka itu adalah hak mutlak Allah sebagai Pemilik alam. Tiada sesiapa sama ada malaikat, manusia, atau berhala, yang boleh membantah atau mengubah ketetapan yang telah ditetapkan oleh Sang Pemilik Alam ini.

 

13. Kehairanan dan penolakan. Contoh: Qalam:34-36

إِنَّ لِلۡمُتَّقِينَ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ (٣٤) أَفَنَجۡعَلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ كَٱلۡمُجۡرِمِينَ (٣٥) مَا لَكُمۡ كَيۡفَ تَحۡكُمُونَ (٣٦)
“Sesungguhnya bagi orang-orang bertakwa di sisi Tuhan mereka ada syurga kenikmatan. Apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam seperti orang-orang yang berdosa? Mengapa dengan kamu? Bagaimana kamu membuat keputusan?”.

Keterangan: Dalam ayat ini kita disajikan dengan salah satu gaya iltifat yang paling tajam dalam Al-Qur’an. Iltifat di sini digunakan sebagai senjata retorik untuk melahirkan rasa kehairanan yang mendalam (Ta’ajjub) dan penolakan yang keras (Inkar/Tahqir) terhadap logik songsang kaum musyrikin.

Di dalam ayat 34, Allah menggunakan kata ganti diri kedua رَبِّہِمۡ dan di dalam ayat 35, Allah menggunakan kata ganti diri mutakallim ‘Kami’ pula.

Apabila masuk ayat 35, Allah tidak menggunakan gaya ghaib (seperti: “Maka tidaklah Tuhan menjadikan orang Islam sama seperti orang berdosa”). Sebaliknya, Allah menggunakan iltifat dhomir “Kami” (Mutakallim Ma’al Ghair) yang membawa maksud Keagungan dan Keadilan Mutlak. Pertanyaan أَفَنَجْعَلُ (Adakah Kami akan menjadikan…) dengan dhomir Keagungan-Nya berfungsi sebagai Penolakan Keras (Inkar). Seolah-olah Allah membentak: “Adakah kamu fikir Kami, dengan segala keagungan, kebijaksanaan, dan keadilan Kami, akan meletakkan orang yang sujud dan orang yang menderhaka di atas neraca yang sama? Itu mustahil dan menghina keadilan Kami!”

 


Sambung ke Bahagian seterusnya

Kemaskini: 22 Mei 2026

8. Melakukan kebaikan kepada orang akan melapangkan dada

Melakukan kebaikan kepada orang akan melapangkan dada

Melakukan kebaikan kepada orang akan melapangkan dada. Ini adalah sesuatu yang amat menarik: apabila kita tolong orang, secara automatik kita akan menjadi gembira! Memang tidak perlu tunggu lama kerana pada waktu itu juga akan timbul terus rasa gembira.

Jikalau mahu segera menjadi gembira dan menghilangkan kesedihan, bantulah orang yang susah, sedekahlah kepada orang yang memerlukan, bantulah orang yang menderita, berilah makan kepada orang yang kelaparan; nescaya anda akan terus mendapat nikmatnya.

Kebaikan ini bukan sahaja akan dirasai oleh orang yang melakukan kebaikan itu, malah untuk orang sekeliling yang nampak perkara itu. Amat menakjubkan sekali.

Ini telah dibuktikan dengan kajian sains. Kajian Neuroscience mendapati bahawa apabila kita membantu orang lain, badan kita akan mengeluarkan ‘hormon gembira’ iaitu oxytocin, serotonin dan dopamine. Ia juga dinamakan ‘Helper’s High’. Hormon-hormon ini mempunyai efek untuk menaikkan mood yang baik dan juga menghalang cortisol, iaitu hormon yang menyebabkan tekanan perasaan. Bukan itu sahaja, malah dengan berbuat baik ini juga dapat menaikkan ‘happy hormone’ orang-orang yang hanya menyaksikan kejadian itu! Perbuatan ini adalah seumpama minyak wangi, di mana bau yang harum daripada minyak wangi itu dapat memberikan manfaat terhadap orang-orang di sekelilingnya.

Hebat, bukan? Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk berbakti kepada orang lain. Malah, paling kurang pun anda lemparkanlah senyuman anda yang paling manis kepada orang lain. Ini pun adalah sedekah juga, bukan? Ramai tahu akan hadith ini,

تَبَسُّمُكَ فِى وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
“Senyummu di depan saudaramu, adalah sedekah bagimu”

Jami’ Tirmidzi, no. 1956.

Ternyata bantuan yang ikhlas diberikan kepada orang lain juga mendapat pahala yang banyak daripada Allah ‎ﷻ. Malah ada kisah pelacur yang dimasukkan ke dalam syurga kerana membantu seekor anjing dengan air minuman. Dalam sebuah hadis, Nabi ﷺ bersabda:

غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِىٍّ يَلْهَثُ ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا ، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا ، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia mengikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”

(Riwayat al-Bukhari).

Maka bagi orang yang sedang gundah gulana, carilah orang-orang yang anda boleh bantu. Pergilah ke rumah-rumah orang miskin, rumah anak-anak yatim, gelandangan atau carilah orang yang nampaknya di dalam kesusahan. Saya teringat kisah seorang bapa yang ada cara mudah untuk menggembirakan anak-anaknya yang di dalam kesedihan. Dia akan beri wang kepada anaknya untuk diberikan kepada orang yang susah.


Tulisan Asal Penulis: 

الإِحْسَانُ إِلَى الغَيْرِ انْشِرَاحٌ لِلصَّدْرِ

Berbuat baik kepada orang lain adalah kelapangan bagi dada.

اَلْجَمِيلُ كَاسْمِهِ، وَالمَعْرُوفُ كَرَسْمِهِ، وَالخَيْرُ كَطَعْمِهِ.

Perbuatan yang indah itu seindah namanya, kebaikan itu seelok rupa bentuknya, dan kebajikan itu selazat rasanya.

أَوَّلُ المُسْتَفِيدِينَ مِنْ إِسْعَادِ النَّاسِ هُمُ المُتَفَضِّلُونَ بِهَذَا الإِسْعَادِ، يَجْنُونَ ثَمَرَتَهُ عَاجِلًا فِي نُفُوسِهِمْ، وَأَخْلَاقِهِمْ، وَضَمَائِرِهِمْ، فَيَجِدُونَ الِانْشِرَاحَ وَالِانْبِسَاطَ، وَالهُدُوءَ وَالسَّكِينَةَ.

Orang pertama yang mendapat manfaat daripada membahagiakan orang lain adalah mereka yang memberi kebahagiaan itu sendiri. Mereka akan memetik buahnya serta-merta dalam jiwa mereka, akhlak mereka, dan hati nurani mereka. Maka mereka akan merasai kelapangan dada, kegembiraan, ketenangan, dan ketenteraman.

فَإِذَا طَافَ بِكَ طَائِفٌ مِنْ هَمٍّ أَوْ أَلَمٍّ بِكَ غَمٌّ فَامْنَحْ غَيْرَكَ مَعْرُوفًا، وَأَسْدِ لَهُ جَمِيلًا، تَجِدِ الفَرَجَ وَالرَّاحَةَ.

Jika anda didatangi kegelisahan atau diselubungi kesedihan, maka berikanlah kebaikan kepada orang lain dan hulurkanlah bantuan yang indah, nescaya anda akan menemui jalan keluar dan ketenangan.

أَعْطِ مَحْرُومًا، انْصُرْ مَظْلُومًا، أَنْقِذْ مَكْرُوبًا، أَطْعِمْ جَائِعًا، عُدْ مَرِيضًا، أَعِنْ مَنْكُوبًا، تَجِدِ السَّعَادَةَ تَغْمُرُكَ مِنْ بَيْنِ يَدَيْكَ وَمِنْ خَلْفِكَ.

Berilah kepada orang yang memerlukan, bantulah orang yang dizalimi, selamatkanlah orang yang dalam kesusahan, berilah makan kepada yang lapar, ziarahilah orang sakit, dan tolonglah mangsa musibah. Nescaya anda akan mendapati kebahagiaan menyelubungi anda dari hadapan dari belakang.

إِنَّ فِعْلَ الخَيْرِ كَالطِّيبِ يَنْفَعُ حَامِلَهُ وَبَائِعَهُ وَمُشْتَرِيَهُ، وَعَوَائِدُ الخَيْرِ النَّفْسِيَّةِ عَقَاقِيرُ مُبَارَكَةٌ تُصْرَفُ فِي صَيْدَلِيَّةِ الَّذِينَ عَمَرَتْ قُلُوبُهُمْ بِالْبِرِّ وَالإِحْسَانِ.

Sesungguhnya melakukan kebaikan itu ibarat minyak wangi; ia memberi manfaat kepada pembawanya, penjualnya, dan pembelinya. Pulangan psikologi daripada kebaikan adalah ubat-ubatan penuh berkat yang tersedia di “farmasi” mereka yang hatinya dipenuhi dengan kebajikan dan ihsan.

إِنَّ تَوْزِيعَ البَسَمَاتِ المُشْرِقَةِ عَلَى فُقَرَاءِ الأَخْلَاقِ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ فِي عَالَمِ القِيَمِ «وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ»

Melemparkan senyuman yang ceria kepada mereka yang “miskin” akhlaknya adalah sedekah jariah dalam dunia nilai-nilai murni; “Walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.”

وَإِنَّ عُبُوسَ الوَجْهِ إِعْلَانُ حَرْبٍ ضَرُوسٍ عَلَى الآخَرِينَ لَا يَعْلَمُ قِيَامَهَا إِلَّا عَلَّامُ الغُيُوبِ.

Sebaliknya, wajah yang masam adalah pengisytiharan “perang” yang sengit terhadap orang lain, yang kesannya hanya diketahui oleh Allah Yang Maha Mengetahui perkara ghaib.

شَرْبَةُ مَاءٍ مِنْ كَفِّ بَغِيٍّ لِكَلْبٍ عَقُورٍ أَثْمَرَتْ دُخُولَ جَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ؛ لِأَنَّ صَاحِبَ الثَّوَابِ غَفُورٌ شَكُورٌ جَمِيلٌ، يُحِبُّ الجَمِيلَ، غَنِيٌّ حَمِيدٌ.

Hanya seteguk air daripada tangan seorang wanita pezina yang diberikan kepada seekor anjing yang kehausan telah membuahkan ganjaran syurga yang seluas langit dan bumi. Ini kerana Pemberi pahala itu Maha Pengampun, Maha Mensyukuri (menghargai), Maha Indah dan mencintai keindahan, lagi Maha Kaya dan Terpuji.

يَا مَنْ تَهَدَّدَهُمْ كَوَابِيسُ الشَّقَاءِ وَالفَزَعِ وَالخَوْفِ هَلُمُّوا إِلَى بُسْتَانِ المَعْرُوفِ

Wahai mereka yang diancam oleh igauan kesengsaraan, kegelisahan, dan ketakutan, marilah ke “taman” kebaikan.

وَتَشَاغَلُوا بِالْغَيْرِ، عَطَاءً وَضِيَافَةً وَمُوَاسَاةً وَإِعَانَةً وَخِدْمَةً وَسَتَجِدُونَ السَّعَادَةَ طَعْمًا وَلَوْنًا وَذَوْقًا

Sibukkanlah diri anda dengan orang lain melalui pemberian, layanan tetamu, simpati, pertolongan, dan khidmat bakti. Nescaya anda akan merasai kelazatan dan keindahan kebahagiaan yang sebenar.

﴿وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى * إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى * وَلَسَوْفَ يَرْضَى﴾

(Al-Layl: 19-21): “Padahal tidak ada sesiapapun di sisinya yang berhak mendapat sebarang balasan budi, melainkan semata-mata mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (dengan mendapat ganjaran yang melimpah-limpah).”

Pengenalan Tafsir Balaghi (Ilmu Ma’ani) Taqdim wa Ta’khir

H. Taqdim (تقديم) dan Ta’khir (تأخير) 

Apabila kita bercakap atau menulis, tentulah kita tidak boleh sebut semua sekali pada satu masa. Mestilah ada yang disebut atau ditulis dahulu. Akan tetapi penyusunan kalimah di dalam Al-Qur’an dibincangkan kenapa ada yang didahulukan dan ada yang dikemudiankan. Kerana sesuatu kalimah disebut dahulu dan bukan kalimah itu?

Taqdim: Mendahulukan perkataan yang sepatutnya berada di belakang.

Ta’khir: Mengemudiankan perkataan yang sepatutnya berada di hadapan.

Dalam tatabahasa (Nahu) biasa, susunan ayat selalunya tetap (Subjek + Predikat). Namun, dalam Balaghah, susunan ini diubah untuk memberi makna tambahan yang sangat mendalam. Apabila susunan ini diterbalikkan, itulah yang dinamakan Taqdim (Mendahulukan yang sepatutnya di belakang) dan Ta’khir (Mengemudiankan yang sepatutnya di depan). Teknik Taqdim dan Ta’khir membuktikan bahawa dalam bahasa Arab (terutamanya Al-Qur’an), susunan kata bukan sekadar hiasan, tetapi ia menentukan “roh” dan fokus utama ayat tersebut.

Dalam dunia Balaghah, bab ini diibaratkan seperti “seni menyusun papan catur”. Kita tidak gerakkan buah catur sesuka hati; setiap langkah ada strateginya.

Ada berbagai sebab kenapa sesuatu kalimah itu ditaqdimkan. Dan ada jenis-jenisnya yang kita akan bincangkan.


 

A. Taqdim lafaz mendahului amilnya” (تقديم اللفظ على عامله)

Mendahulukan kata nama (biasanya objek/maf’ul bih atau pelengkap) sebelum kata kerja (fi’il) atau agen penentu baris (amil) yang sepatutnya datang dahulu. Dalam struktur asas bahasa Arab, susunan normal (ayat fi’liyyah) adalah:

Amil (Kata Kerja) > Fa’il (Pelaku) > Ma’mul (Objek/Penerima). Contohnya ayat: أَكَلْتُ الرُّزَّ (aku telah makan nasi). Di dalam ayat ini,

Kalimah أَكَلَ: kata kerja yang bertindak sebagai amil

Kalimah تُ: aku

Kalimah الرُّزَّ: ma’mul

Di dalam ilmu nahu (tatabahasa Arab), Amil (secara harfiah bermaksud “pembuat/ejen”) ialah mana-mana perkataan yang memberi kesan atau mengubah baris akhir perkataan lain (yang dipanggil Ma’mul). Boleh dikatakan, Amil ialah “bos” yang menentukan apakah tugas dan tanda baris (baris atas, bawah, atau depan) bagi pekerja-pekerjanya (Ma’mul) di dalam sesetengah ayat. Tugas amil adalah untuk menentukan kedudukan sintaksis (I’rab) bagi sesuatu perkataan sama ada ia perlu dibaca dengan baris depan (Marfu’), baris atas (Mansub), atau baris bawah (Majrur).

Struktur ayat bahasa Arab dipengaruhi oleh kebergantungan Ma’mul (perkataan yang terkesan) kepada Amilnya. Selalunya Amil sepatutnya datang dahulu sebelum kesannya kelihatan. Namun, dalam Ilmu Balaghah, struktur ini sengaja diterbalikkan (Objek dibawa ke depan, Amil dihantar ke belakang) untuk tujuan memberi makna hiasan atau penekanan. Mari kita lihat contoh-contoh:

Zumar:66

بَلِ اللَهَ فَاعبُد وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ
“Bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.

Jika mengikut susunan tatabahasa (Nahu) yang biasa atau normal, ayat itu sepatutnya berbunyi: بَلِ اعْبُدِ اللَّهَ. Di dalam ayat ini,

Amil (Kata Kerja Perintah): اُعْبُدْ (Sembahlah olehmu)

Ma’mul (Objek / Maf’ul Bih): اللَّهَ yang menerima kesan baris atas (Mansub)

Secara bahasanya, susunan ini tidak mengunci perbuatan sembah itu kepada Allah sahaja. Ia sekadar satu perintah untuk menyembah Allah, tanpa menafikan kemungkinan ada sembahan lain.

Dalam ayat sebenar, Allah SWT telah mengubah struktur normal ini dengan melompatkan objek ke hadapan sekali mendahului Amilnya: بَلِ اللَهَ فَاعبُد. Tujuan mendahulukan lafaz Allah dalam ayat ini adalah untuk Al-Hasr (Membatasi/Mengunci makna). Maksud Tersirat: “Sembahlah Allah, dan JANGAN SEKALI-KALI kamu menyembah selain daripada-Nya.” Ayat ini diturunkan sebagai respons (sanggahan) kepada pelawaan orang-orang musyrik yang mengajak Nabi Muhammad SAW untuk menyembah berhala mereka. Jika ayat ini menggunakan susunan normal (بَلِ اعْبُدِ اللَّهَ), ia belum cukup kuat untuk menolak pelawaan mereka kerana maksudnya sekadar “Sembahlah Allah (di samping tuhan-tuhan kamu yang lain)”.

 

Ibrahim:12

وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُتَوَكِّلونَ
Dan hanya kepada Allah saja orang-orang yang bertawakkal itu, berserah diri”.

Jika mengikut susunan tatabahasa (Nahu) yang biasa atau normal, ayat itu sepatutnya berbunyi: فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ عَلَى اللَّهِ. Di dalam ayat ini,

Amil (Kata Kerja): فَلْيَتَوَكَّلْ  (Maka hendaklah bertawakal).

Fa’il (Pelaku): الْمُتَوَكِّلُونَ (Orang-orang yang bertawakal)

Jar wa Majrur (Pelengkap/Penyambut): عَلَى اللَّهِ (Kepada Allah)

Maksud Susunan Normal: “Maka hendaklah orang-orang yang bertawakal itu berserah diri kepada Allah.” (Ayat ini sekadar arahan biasa untuk bertawakal kepada Allah, tetapi secara bahasanya belum mengunci pintu tawakal kepada entiti lain).

Dalam Al-Qur’an, Allah telah mendahulukan pelengkap ayat (Jar wa Majrur) ke hadapan sekali, melompat melepasi Amil dan Pelakunya: وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُتَوَكِّلونَ. Kenapa strukturnya diubah sedemikian rupa? Sifat tawakal ini memerlukan pergantungan 100% tanpa ada ragu-ragu atau “pelan sandaran” (Plan B) kepada makhluk. Tujuan taqdim di sini membawa fungsi balaghah yang besar: Al-Qasr wa al-Hasr (Pengkhususan Mutlak). Dengan meletakkan nama Allah di hadapan, maknanya dikunci menjadi: “HANYA kepada Allah sahaja (bukan kepada kuasa manusia, bukan kepada harta, dan bukan kepada asbab duniawi) tempat untuk orang-orang mukmin berserah diri.” Berserah kepada selain Allah dalam urusan mutlak adalah satu kecacatan dalam tauhid.

Jika kita baca keseluruhan ayat 12 ini, para Rasul sedang berkata kepada kaumnya yang kafir dan suka mengancam: “Dan mengapa kami tidak mahu bertawakal kepada Allah padahal Dia telah menunjukkan jalan kepada kami? Dan demi sesungguhnya, kami akan tetap bersabar terhadap segala kesakitan (ancaman dan seksaan) yang kamu kenakan kepada kami…”. Ketika berhadapan dengan ancaman musuh yang besar dan menakutkan, para Rasul mahu menegaskan bahawa mereka sedikit pun tidak takut kepada kuasa manusia. Mereka menepis ketakutan itu dengan memfokuskan pandangan dan hati mereka di hadapan sekali kepada Allah {وَعَلَى اللَّهِ}. Struktur ini memberikan impak psikologi yang sangat kuat, seolah-olah mereka berkata: “Letakkan Allah di depan sekali, yang lain kami tidak peduli!”

 

A’raf:89 

عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا
Kepada Allah jualah kami bertawakal

Jika mengikut susunan tatabahasa (Nahu) yang biasa atau normal, ayat itu sepatutnya berbunyi: تَوَكَّلْنَا عَلَى اللَّهِ. Di dalam ayat ini,

Amil (Kata Kerja): Perkataan تَوَكَّلْنَا (Kami telah bertawakal)

(Kata ganti nama “kami” / نَا sudah melekat pada kata kerja ini sebagai pelaku).

Jar wa Majrur (Pelengkap): Frasa عَلَى اللَّهِ (Kepada Allah)

Maksud Susunan Normal: “Kami bertawakal kepada Allah.” (Ayat ini sekadar arahan biasa untuk bertawakal kepada Allah, tetapi secara bahasanya belum mengunci pintu tawakal kepada entiti lain). Kesan taqdim mengunci makna tawakal itu menjadi: “HANYA kepada Allah kami serahkan segala urusan kami, dan kami tidak akan sekali-kali bergantung atau tunduk kepada yang lain.”

Ayat ini adalah kata-kata Nabi Syuib A.S. apabila kaumnya yang sombong cuba mengancam dan memaksa baginda serta orang-orang beriman untuk kembali kepada agama syirik mereka. Kaumnya memberi amaran: “Sama ada kamu ikut agama kami, atau kami halau kamu keluar!” Nabi Syuib A.S. menjawab dengan penuh ketegasan. Baginda memulakan jawapannya dengan meletakkan nama Allah di hadapan sekali: عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا (Hanya kepada Allah kami berserah). Ini adalah mesej psikologi yang sangat kuat kepada musuh: “Kami tidak takut dengan ancaman pengusiran kamu, kerana benteng di hadapan kami sekarang ini ialah Allah, bukan manusia!”

 

Hud:88

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ
Hanya kepadaNya aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali

Frasa ini sangat istimewa kerana dalam satu frasa yang pendek, berlaku dua kali proses taqdim berturut-turut demi menegaskan ketauhidan yang mutlak. Jika mengikut susunan tatabahasa (Nahu) yang biasa atau normal, ayat itu sepatutnya berbunyi: تَوَكَّلْتُ عَلَيْهِ وَأُنِيبُ إِلَيْهِ. (Ayat ini sekadar penyataan biasa untuk bertawakal kepada Allah dan kembali kepada Allah, tetapi secara bahasanya belum mengunci pintu tawakal dan kembali kepada entiti lain). Tetapi telah berlakunya Taqdim: Pelengkap إِلَيْهِ diloncatkan ke hadapan mendahului amilnya.

Kesan Balaghah Taqdim عَلَيهِ dan إِلَيهِ: Membawa makna Al-Hasr — “HANYA kepada-Nya aku berserah diri.” “Dan HANYA kepada-Nya aku kembali (bertaubat dan menyerah diri).”

Sebelum Nabi Syuaib menuturkan ayat ini, kaumnya telah menyindir baginda dengan berkata: “Wahai Syuaib! Adakah solat kamu yang menyuruh kamu mendesak kami meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami? … Sesungguhnya kamu ini penyabar lagi bijaksana!” (Sindiran yang sangat sinis). Nabi Syuaib tidak melayan provokasi dan sindiran peribadi itu. Sebaliknya, baginda memotong hujah mereka dengan menegaskan prinsip akidahnya: Baginda tidak peduli dengan ejekan mereka kerana di hadapan baginda, HANYA Allah tempat baginda bergantung {عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ}, dan HANYA Allah tempat baginda akan kembali di akhirat kelak {وَإِلَيْهِ أُنِيبُ}.

 

Shura:53

أَلَا إِلَى اللهِ تَصِيرُ الْأُمُورُ
Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Jika ayat ini disusun mengikut tatabahasa Arab yang asas tanpa unsur penegasan sastera, ia akan berbunyi: أَلَا تَصِيرُ الْأُمُورُ إِلَى اللَّهِ

Amil (Kata Kerja): Perkataan تَصِيرُ (Kembali / Menuju).

Fa’il (Pelaku/Subjek): Perkataan الْأُمُورُ (Segala urusan).

Jar wa Majrur (Pelengkap): Frasa إِلَى اللَّهِ (Kepada Allah)

Maksud Susunan Normal: “Ketahuilah, segala urusan akan kembali kepada Allah.” (Kenyataan ini sekadar memberi maklumat, tetapi secara bahasanya ia tidak menolak kemungkinan bahawa ada urusan yang boleh diserahkan atau kembali kepada pihak lain).

Dalam ayat sebenar, Allah telah mendahulukan pelengkap ayat (Jar wa Majrur) iaitu {إِلَى اللَّهِ} ke barisan hadapan, mendahului kata kerja dan subjeknya. Kesannya Seperti fungsi taqdim yang kita bincangkan sebelum ini, apabila kedudukan {إِلَى اللَّهِ} diletakkan di depan, maknanya dikunci menjadi: “HANYA kepada Allah sahajalah, dan mutlak tidak kepada yang lain, segala urusan itu akan kembali.” Sama ada urusan itu sekecil-kecil perkara di dunia mahupun keputusan terbesar di akhirat kelak (seperti hisab, syurga, dan neraka), tiada satu pun makhluk yang mempunyai kuasa autonomi untuk memutuskannya. Segala-galanya akan pulang ke “meja keputusan” Allah.

Kesan taqdim ini digandakan lagi dengan kehadiran perkataan {أَلَا} di permulaan ayat. Dalam ilmu balaghah, huruf ini dipanggil Harfut-Tanbih (حَرْفُ التَّنْبِيه) (huruf amaran/peringatan). Ia berfungsi untuk mengejutkan pendengar, seolah-olah mengetuk pintu kesedaran manusia dan berkata: “Jaga-jaga! Buka mata dan telinga kamu, ketahuilah dengan yakin bahawa…”. Oleh itu gabungan antara cetusan perhatian {أَلَا} dan pengkhususan mutlak {إِلَى اللَّهِ} menghasilkan satu bentuk ketetapan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun.

 

Ghasyiyah:25-26

إِنَّ إِلَينَآ إِيَابَهُم (٢٥) ثُمَّ إِنَّ عَلَينَا حِسَابَهُم (٢٦)
Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka. (25) Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka. (26) 

Dua ayat ini merupakan penutup (khitam) yang tersangat menggerunkan bagi golongan yang berpaling daripada dakwah. Di sini, Allah SWT menggunakan aplikasi taqdim wa ta’khir sebanyak dua kali berturut-turut dalam dua ayat yang bersebelahan untuk memberikan tekanan psikologi dan penegasan akidah yang mutlak. Kalau susunan yang normal, ia berbunyi إِنَّ إِيَابَهُمْ إِلَيْنَا dan ثُمَّ إِنَّ حِسَابَهُمْ عَلَيْنَا. Akan tetapi Allah telah mendahulukan pelengkap {إِلَيْنَا} (Kepada Kami) ke hadapan dan mengubah maksud dua potong ayat ini.

Apabila Allah mengubah susunan menjadi إِنَّ إِلَينَآ إِيَابَهُم, ia membawa makna pengkhususan yang sangat ketat — “HANYA kepada Kami sahajalah tempat mereka akan pulang (tidak ada jalan lari, tidak ada dimensi atau tuhan lain yang boleh mereka tuju).”

Dan apabila Allah susun menjadi إِنَّ عَلَينَا حِسَابَهُم, ia membawa makna: “HANYA di atas tanggungjawab Kami sahajalah urusan menghisab dan mengira amalan mereka.” (Tiada sesiapa boleh masuk campur, tiada peguam bela, dan tiada pemberi syafaat yang boleh merasuah atau mengubah keputusan hukum Allah pada hari itu).

Kenapa Allah menutup surah ini dengan gaya bahasa taqdim berganda yang begitu tegas? Untuk menghiburkan hati Nabi (Tasliyah). Sebelum dua ayat ini (pada ayat 21-22), Allah berpesan kepada Nabi Muhammad: “Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi peringatan. Engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka.” Nabi Muhammad berasa sangat sedih dan berat hati apabila melihat kaumnya degil dan berpaling. Maka, ayat 25-26 ini turun sebagai ubat dan keadilan: “Wahai Muhammad, tugasmu cuma sampaikan. Jangan bebankan fikiranmu dengan kedegilan mereka. Serahkan mereka kepada-Ku, kerana HANYA kepada-Ku mereka akan pulang, dan HANYA Aku yang akan menghisab mereka!”

 

Ra’d:36 

إِلَيهِ أَدعو وَإِلَيهِ مَئآبِ
Hanya kepada-Nya aku seru (berdakwah) dan hanya kepada-Nya aku kembali”.

Bahagian akhir ayat ini menampilkan dua kali proses taqdim wa ta’khir secara berturut-turut menggunakan teknik Al-Hasr (pengkhususan mutlak). Susunan Normal mengikut tatabahasa biasa ialah: أَدْعُو إِلَيْهِ وَمَآبِي إِلَيْهِ. Akan tetapi susunan normal ini tidak menolak kemungkinan mengajak kepada selain dari Allah dan kembali kepada selain dari Allah.

Maka Allah telah menyusun susunan menjadi إِلَيهِ أَدعو وَإِلَيهِ مَئآبِ dan kesan dari susunan ini memberi makna yang dikunci: “HANYA kepada Allah sahajalah aku mengajak dan menyeru manusia, bukan kepada berhala, bukan kepada kepentingan diriku, dan bukan kepada ideologi manusia.” Dan HANYA kepada-Nya sahajalah tempat aku akan pulang.” (Menafikan adanya tempat perlindungan atau pengadilan lain di akhirat kelak).

Mengapa Allah SWT memerintahkan Nabi SAW menggunakan bahasa taqdim berganda ini? Di awal ayat, Allah sudah sedia menggunakan perkataan إِنَّمَا yang bermaksud “hanyasanya/hanya”. Kemudian di hujung ayat, Allah gandakan lagi kesan pengkhususan itu dengan teknik taqdim. Ini menunjukkan bahawa ayat ini adalah deklarasi prinsip yang sangat ketat, padat, dan tidak menerima sebarang kompromi dalam isu akidah.

 

Qiyamah:30

إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ
Hanya kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa 

Ayat ini merupakan salah satu klimaks penurunan ayat yang sangat menggerunkan, menggambarkan suasana saat kematian (sakaratul maut) dan pengusungan jenazah manusia menuju ke alam barzakh. Ayat ini menggunakan aplikasi taqdim wa ta’khir yang sangat dahsyat bagi memberikan impak psikologi dan gambaran visual yang jelas tentang nasib setiap nyawa.

Jika mengikut susunan tatabahasa Arab yang biasa, ayat ini sepatutnya berstruktur begini: الْمَسَاقُ إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ. Maksud Susunan Normal: “Tempat digiringnya manusia pada hari itu adalah kepada Tuhanmu.” (Satu maklumat biasa tentang destinasi akhir ruh).

Dalam ayat sebenar, Allah telah mendahulukan destinasi (Jar wa Majrur) iaitu {إِلَىٰ رَبِّكَ} ke barisan paling hadapan, manakala subjek utamanya {الْمَسَاقُ} digeser ke hujung ayat. Dengan meletakkan lafaz {إِلَىٰ رَبِّكَ} (Kepada Tuhanmu) di depan, maknanya dikunci menjadi: “HANYA kepada Tuhanmu sahajalah — dan mutlak tidak ada destinasi atau pelarian lain — arah digiringnya nyawa dan jasad manusia pada hari itu.” Ketika manusia hidup di dunia, mereka boleh berjalan atau memandu ke mana sahaja mereka mahu (ke pejabat, ke pusat hiburan, ke rumah mewah). Namun, apabila saat kematian tiba, segala kebebasan memilih itu ditarik balik secara paksa. Laluan mereka dikunci kepada satu jalan sahaja iaitu menghadap Allah.

Perkataan {الْمَسَاقُ} berasal daripada kata dasar yang bermaksud menghalau, menggiring, atau memandu kenderaan/binatang ternakan dari belakang secara paksa. Teknik taqdim dalam ayat ini menggambarkan suasana panik ketika itu: Ruh dipaksa keluar oleh malaikat maut, dan jasad digiring oleh orang hidup ke kuburan. Di hadapan mereka, satu-satunya perkara yang menanti dan tidak boleh dielakkan lagi ialah Allah (إِلَىٰ رَبِّكَ). Mereka sekarang diberitahu yang mereka tidak ada tempat lain untuk pergi. Maka kena fikirlah dari sekarang apa yang mereka hendak pilih.

 

Yunus:4

إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا
Hanya kepada-Nya-lah kamu semuanya akan kembali;

Allah berfirman tentang ketetapan hari kebangkitan dan pengumpulan semula seluruh manusia di padang Mahsyar kelak. Jika mengikut susunan tatabahasa biasa untuk sekadar memberikan maklumat, ayat ini sepatutnya berbunyi مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا إِلَيْهِ

Mubtada’ (Subjek): Perkataan مَرْجِعُكُمْ (Tempat kembali kamu / Kepulangan kamu).

Khabar (Pelengkap/Destinasi): Frasa إِلَيْهِ (Kepada-Nya).

Maksud Susunan Normal: “Tempat kembali kamu semua adalah kepada-Nya.” (Susunan ini tidak menafikan kemungkinan jika ada entiti atau tuhan lain yang mendakwa boleh mengadili manusia di akhirat).

Dalam teks Al-Qur’an yang mukjizat, Allah menterbalikkan struktur ini dengan meloncatkan kata pelengkap {إِلَيْهِ} (Kepada-Nya) ke barisan paling hadapan. Kesan utama daripada taqdim ini ialah terhasilnya makna pengkhususan (Al-Hasr). Maknanya berubah secara total menjadi: “HANYA kepada Allah sahajalah tempat kembali kamu semua, mutlak tidak ada alternatif atau jalan lari yang lain.”

Surah Yunus banyak berdialog dengan golongan musyrikin Makkah yang mempercayai adanya berhala-berhala yang kononnya boleh memberi syafaat atau menyelamatkan mereka daripada azab di akhirat nanti. Dengan meletakkan {إِلَيْهِ} di depan, Allah memotong dan memadam segala impian palsu mereka sejak awal ayat: “Kamu boleh sembah apa sahaja di dunia ini, tetapi sedarlah, apabila hari kebangkitan tiba, HANYA kepada Allah sahaja kamu semua akan diseret pulang, dan patung-patung kamu itu tidak mempunyai kuasa langsung pada hari tersebut.”

 

Hud:123

وَإِلَيهِ يُرجَعُ الأَمرُ كُلُّهُ
dan hanya kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, 

Ayat ini merupakan salah satu ayat “kemuncak” (klimaks) yang menutup keseluruhan surah ini dengan mesej tauhid dan tawakal yang sangat indah. Susunan Normal sepatutnya ialah: {وَيُرْجَعُ الْأَمْرُ كُلُّهُ إِلَيْهِ} di mana Kata Kerja (Fi’il) dan Subjek (Naib Al-Fa’il) didahului, manakala Pelengkap (Jar wa Majrur) diletakkan di belakang.

Kesan Balaghah (Al-Hasr): Maknanya menjadi: “Dan HANYA kepada-Nyalah akan dikembalikan segala urusan (makhluk).” Musuh-musuh Islam sedang merancang pelbagai konspirasi jahat untuk menghentikan dakwah. Allah menegaskan: “Biarkan mereka merancang. Akhirnya nanti, HANYA kepada Allah segala urusan dan pakatan mereka itu akan dipulangkan untuk diadili.”

 

Anbiya’:93

كُلٌّ إِلَينا رٰجِعونَ
Hanya kepada Kamilah masing-masing golongan itu akan kembali.

Jika mengikut susunan tatabahasa Arab yang biasa untuk sekadar memberikan maklumat, ayat ini sepatutnya berbunyi: {كُلٌّ رَاجِعُونَ إِلَيْنَا}

Mubtada’ (Subjek): Perkataan {كُلٌّ} (Setiap satu / Kesemuanya (kumpulan yang berpecah itu))

Khabar (Predikat/Kata Terbitan): Perkataan {رَاجِعُونَ} (Orang-orang yang kembali)

Jar wa Majrur (Pelengkap/Destinasi): Frasa {إِلَيْنَا} (Kepada Kami)

Maksud Susunan Normal: “Kesemuanya akan kembali kepada Kami.” Akan tetapi ia tidak menolak adanya kembali kepada selain Allah.

Allah mengubah susunan biasa dengan meletakkan kalimah {إِلَيْنَا} di awal ayat dan kesannya mengubah makna ayat ini menjadi: HANYA kepada Kami sahajalah tempat mereka semua akan dikembalikan.”

Di dunia ini, apabila manusia mula berpecah-belah, menubuhkan kumpulan masing-masing, dan mengubah suai ajaran agama mengikut hawa nafsu, mereka sering berasa selamat. Setiap kumpulan atau sekte merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka dan menganggap diri mereka memiliki “kuasa” untuk menentukan kebenaran. Allah memotong ilusi tersebut dengan teknik taqdim: “Kamu boleh berpecah sesuka hati kamu di dunia, tetapi ingat, di akhirat kelak, kamu tidak ada destinasi lain, HANYA kepada Aku kamu semua akan dipaksa pulang!”

 

Fussilat:47

إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ
Hanya kepadaNya sahaja kembalinya semua ilmu tentang Kiamat;

Di dalam ayat ini, Allah menjelaskan tentang kemutlakan ilmu-Nya berkaitan masa depan alam semesta dan sekecil-kecil urusan makhluk. Jika mengikut susunan tatabahasa Arab yang biasa untuk sekadar memberikan maklumat, ayat ini sepatutnya berbunyi: {يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ إِلَيْهِ}

Fi’il Majhul (Kata Kerja Pasif): Perkataan {يُرَدُّ} (Diserahkan / Dipulangkan).

Naib al-Fa’il (Subjek): Perkataan {عِلْمُ السَّاعَةِ} (Pengetahuan tentang hari kiamat).

Jar wa Majrur (Pelengkap): Frasa {إِلَيْهِ} (Kepada-Nya (Allah)).

Maksud Susunan Normal: “Pengetahuan tentang hari kiamat diserahkan kepada-Nya.” (Susunan ini sekadar menyatakan fakta, tetapi secara bahasanya tidak menutup ruang jika ada makhluk lain yang turut tahu atau mendakwa tahu).

Di dalam Al-Qur’an, Allah telah mendahulukan lafaz pelengkap/tumpuan iaitu {إِلَيْهِ} ke barisan paling hadapan, memotong sebelum kata kerja dan subjeknya. Kesannya makna ayat ini dikunci menjadi: “HANYA kepada Allah sahajalah, dan mutlak tidak kepada selain-Nya, diserahkan pengetahuan tentang (bila berlakunya) hari kiamat.”

Luqman:34

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat;

Ayat ini menutup Surah Luqman dengan menyenaraikan 5 Kunci Keghaiban (مفاتيح الغيب) yang hanya diketahui oleh Allah. Jika ayat ini sekadar mahu menyampaikan maklumat biasa tanpa unsur pembatasan mutlak, susunannya akan berbunyi: {إِنَّ عِلْمَ السَّاعَةِ عِندَ اللَّهِ}.

Kesan utama daripada mendahulukan perkataan عِندَهُ ialah terhasilnya makna pembatasan eksklusif (Al-Hasr). Maknanya berubah secara total menjadi: “Sesungguhnya Allah, HANYA di sisi-Nya sahajalah—dan mutlak tidak ada pada makhluk lain—pengetahuan tentang hari kiamat.” Ia menutup terus dakwaan mana-mana bomoh, ahli nujum, saintis, mahupun makhluk ghaib yang mendakwa boleh meramal tarikh akhir dunia.

 

An’am:59 

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ
Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Ayat ini adalah salah satu ayat yang paling agung dan mendalam di dalam al-Quran yang memperincikan tentang keluasan ilmu Allah yang meliputi setiap sudut alam semesta, sama ada yang nampak ataupun yang ghaib.

Jika mengikut susunan biasa tanpa unsur pembatasan mutlak, ayat ini akan berbunyi: {وَمَفَاتِحُ الْغَيْبِ عِندَهُ} (Dan kunci-kunci perkara ghaib itu ada di sisi-Nya). Susunan ini sekadar memberi maklumat, tetapi secara bahasanya masih belum mengunci kemungkinan bahawa makhluk lain juga mempunyai kunci ghaib yang lain.

Dalam teks mukjizat Al-Qur’an, Allah telah mendahulukan kata keterangan tempat (Zaraf) iaitu {عِندَهُ} (di sisi-Nya) ke hadapan, mendahului subjek utama (Mubtada’) iaitu {مَفَاتِحُ الْغَيْبِ}. Kesan impak bahasanya menjadi tersangat tegas: “Hanya di sisi Allah kunci ghaib itu, dan mutlak tidak ada sesiapa pun—sama ada raja, ahli sihir, jin, atau malaikat—yang tahu melainkan Dia sahaja!”

 

An’am:84

وَوَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ ۚ كُلًّا هَدَينا ۚ وَنوحًا هَدَينا مِن قَبلُ
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu;

Di dalam ayat ini, struktur taqdim wa ta’khir berlaku pada frasa: {كُلًّا هَدَيْنَا} dan juga pada frasa {وَنُوحًا هَدَيْنَا}. Jika mengikut susunan tatabahasa Arab yang biasa Kata Kerja > Pelaku > Objek), ayat ini sepatutnya berbunyi: {هَدَيْنَا كُلًّا ۖ وَهَدَيْنَا نُوحًا مِّن قَبْلُ}. Maksud Susunan Normal: “Kami telah memberi petunjuk kepada kesemuanya, dan Kami telah memberi petunjuk kepada Nabi Nuh sebelum itu.”

Dalam teks Al-Qur’an, Allah menterbalikkan struktur ini dengan meloncatkan Objek/Maf’ul Bih {كُلًّا} dan {نُوحًا} ke barisan paling hadapan. Fungsi utama taqdim (pendahuluan) di sini bukan sekadar Al-Hasr (pengkhususan), tetapi lebih kepada Al-Ihtimam (الاِهْتِمَام) iaitu memberikan perhatian berat, fokus utama, dan penghormatan tertinggi kepada objek yang disebut. Allah sedang membicarakan tentang kemuliaan para nabi (Nabi Ishak, Nabi Ya’qub, dan Nabi Nuh). Dengan meletakkan nama atau kata ganti nama mereka di depan sebelum kata kerja, minda pembaca dipaksa untuk fokus kepada personaliti dan darjat tinggi para Nabi ini terlebih dahulu, baru diikuti dengan nikmat petunjuk yang mereka terima.

Kalimah {كُلًّا} diletakkan di depan dengan baris tanwin menunjukkan “keumuman”. Maksudnya: “Setiap seorang daripada mereka—tanpa ada yang terkecuali atau terkurang—telah Kami pilih dan berikan petunjuk yang sempurna.” Ini menutup ruang bagi manusia untuk membeza-bezakan darjat kenabian mereka dari sudut penerimaan wahyu; kesemuanya adalah manusia pilihan Allah yang setaraf dari segi menerima hidayah mutlak.

Apabila Allah mendahulukan lafaz {وَنُوحًا} sebelum perkataan هَدَينا, Allah mahu menarik perhatian pembaca kepada garis sejarah (salasilah) yang agung. Nabi Ibrahim dipuji, tetapi Allah mengingatkan bahawa sebelum Nabi Ibrahim lagi, Nabi Nuh sudah pun diangkat sebagai bapa para Nabi yang terawal menerima hidayah dan rintangan dakwah yang dahsyat. Struktur taqdim ini menyusun minda kita untuk melihat kebesaran peribadi para Nabi ini sebagai subjek utama yang diraikan di dalam ayat.

 

Dhuha:9-10

فَأَمَّا ٱليَتِيمَ فَلَا تَقهر (٩) وَأَمَّا ٱلسَّآٮِٕلَ فَلَا تَنهَر (١٠)
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. (9) Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. (10)

Dua ayat terakhir di dalam Surah Ad-Dhuha ini merupakan perintah dan panduan moral yang tersangat indah daripada Allah kepada Nabi Muhammad (dan seluruh umat baginda) tentang cara melayani golongan yang lemah dan memerlukan.

Di dalam kedua-dua ayat yang bersebelahan ini, Allah menggunakan taqdim wa ta’khir dengan mendahulukan Objek (Maf’ul Bih) ke hadapan, mendahului Kata Kerja Larangan (Fi’il Nahi).

Susunan Normal sepatutnya ialah {فَلَا تَقْهَرْ الْيَتِيمَ} dan {وَلَا تَنْهَرْ السَّائِلَ}.

Fungsi utama taqdim di sini adalah Al-Ihtimam (الاِهْتِمَام), iaitu memberikan perhatian yang sangat berat, keutamaan, dan fokus mental kepada objek. Anak yatim dan orang yang meminta-minta adalah golongan yang paling mudah ditindas dalam masyarakat kerana mereka tiada pelindung atau harta. Dengan meletakkan lafaz {الْيَتِيمَ} dan {السَّائِلَ}‌ di barisan hadapan sebelum perkataan “jangan”, Allah mahu mata, telinga, dan hati pembaca TERPAKU kepada susuk tubuh anak yatim dan si miskin itu terlebih dahulu. Seolah-olah Allah berkata: “Lihatlah anak yatim itu, letakkan fokusmu kepadanya, dan ingat! Jangan sesekali kamu kasari dia!”


 

Ada satu lagi balaghah iaitu Iltifat akan tetapi ada juga yang mengatakan ia bukan termasuk dalam Ma’ani. Oleh itu kita letakkan ia di dalam satu tajuk yang khusus, Iltifat.


 

Kemaskini: 25 Mei 2026

Pengenalan Tafsir Balaghi (Ilmu Ma’ani)

Pengenalan kepada Ilmu Balaghah

Ilmu Balaghah adalah salah satu cabang sains bahasa Arab yang paling tinggi dan indah. Jika ilmu Nahu menjaga lidah daripada kesalahan baris (gramatik), maka ilmu Balaghah berfungsi untuk memastikan kata-kata itu tepat, indah, dan memberi kesan kepada pendengar.

Secara ringkasnya, Balaghah bermaksud: Menyampaikan kalam yang fasih mengikut kesesuaian keadaan, masa, dan orang yang mendengar (Muqtadha al-Hal).

Ilmu Balaghah dibahagikan kepada tiga bidang utama yang mempunyai fungsi berbeza:

1. Ilmu Al-Ma’ani (علم المعاني). Dari segi bahasa, Al-Ma’ani (المعاني) adalah kata jamak bagi perkataan Al-Ma’na (المعنى). Ilmu ini mengkaji bagaimana menyusun ayat supaya bertepatan dengan situasi pendengar. Perkataan ini mempunyai kaitan dengan perbuatan “menzahirkan” makna sesuatu. Pakar bahasa menyebut bahawa Al-Ma’na adalah apa yang dizahirkan oleh seseorang daripada jiwanya melalui kata-kata untuk difahami oleh orang lain. Ia dipanggil Al-Ma’ani dalam Balaghah kerana ilmu ini mengkaji pelbagai maksud yang tersirat di sebalik satu-satu struktur ayat, bergantung kepada keadaan atau maqam (situasi). Jika anda berkata kepada kawan yang sedang lapar, “Kedai makan sudah buka”, maknanya bukan sekadar memberi berita, tetapi maksud tersiratnya adalah mengajak dia pergi makan. Ilmu Al-Ma’ani adalah ilmu yang mengkaji “tujuan-tujuan” tersirat seperti ini.

Fungsi: Memastikan ayat tidak terlalu panjang (membosankan) atau terlalu pendek (tidak faham). Ia adalah ilmu untuk memahami dan menggali apakah lapisan kedua kepada makna-makna dalam Al-Qur’an yang diberikan. Adakah ia dengan maksud hakikinya ataupun ada maksud yang lain? Dan apakah kesesuaian-kesesuaian penggunaan laras-laras dengan keadaan di dalam ayat itu. Kita akan cuba memahami, adakah ayat ini sedang memuji? Nampaknya macam memuji tapi sebenarnya bukan memuji pun tapi mengeji. Adakah ayat ini sedang menyuruh? Nampaknya macam menyuruh tapi sebenarnya bukan menyuruh pun tapi hanya memberitahu. Dan ada banyak lagi perbahasan apabila kita sampai kepada tempatnya nanti.

Contoh: Cara kita bercakap dengan orang yang yakin adalah berbeza dengan orang yang ragu-ragu. Kepada orang yang ragu-ragu, kita perlu menambah “penguat” (Taukid) seperti perkataan “Sesungguhnya…”.

Para ulama’ membahagikan Ilmu Ma’ani kepada beberapa komponen:

A. Ayat Khabari (كلام خبري) dan Ayat Insya’i (كلام إنشائي).  

Al-Khabar (الخبر) – (Ayat Penyata) membincangkan tentang ayat yang mengandungi maklumat yang boleh dihukum “benar” atau “salah”. Fokusnya adalah bagaimana menyampaikan berita mengikut tahap pengetahuan pendengar. Contoh: Memberi berita kepada orang yang tidak tahu vs orang yang ragu-ragu vs orang yang ingkar.

Al-Insya’ (الإنشاء) – (Ayat Tuntutan) membincangkan ayat yang tidak boleh dihukum benar atau salah kerana ia berbentuk tuntutan atau perasaan.

Seni balaghah ini kita dapat apabila Al-Qur’an gunakan ayat penyata tapi bukan dengan maksud penyata. Dan ini hanya boleh ditangkap oleh pembaca Al-Qur’an yang cerdik sahaja atau telah belajar Ilmu Balaghah.

Ayat Khabar ini adalah ayat penyata, ayat informatif, ayat yang memberitahu. Ia dibezakan dengan satu lagi jenis iaitu Ayat Insya’i. Ayat Insya’i adalah kalam yang tidak mengandungi unsur benar atau bohong, tetapi berbentuk perintah, larangan, doa, seruan, atau pertanyaan. Dengan kata lain, ayat khabar menyampaikan maklumat, manakala ayat insya’ mencetuskan tindakan atau respon. Ayat Khabar pula boleh mengandungi benar atau tidak kerana ia hendak memberitahu sesuatu. Dan pemberitahuan itu mungkin betul dan mungkin salah.

Contohnya kalau seseorang memberitahu: “Saya sudah makan”, ia boleh jadi betul atau tak betul. Kita boleh persoalkan dan kita boleh periksa ia betul atau tidak. Ini adalah bentuk ‘Ayat Khabar’. Tapi kalau seseorang itu kata, “jom makan”, ini bukan ayat penyata dan dalam kata-kata ‘jom makan’, tidak boleh kita katakan dia berbohong sebab dia hanya mengajak.

Ayat khabar: maknanya sudah ada dalam realiti, lalu disampaikan. Contoh: “Matahari terbit dari timur.”

Ayat insya’: maknanya tidak wujud sebelum diucapkan, tetapi tercipta dengan ucapan itu sendiri. Contoh: “Bangunlah!” — perintah itu hanya wujud apabila ia diucapkan. Istilah insya’ (إنشاء) dalam ilmu balaghah berasal daripada kata kerja Arab نشأ yang bermaksud “membentuk, mencipta, mengadakan sesuatu yang baru.” Maka, ayat insya’ digelar demikian kerana ia menghasilkan makna pada ketika ia diucapkan, bukan sekadar memberitahu sesuatu yang sudah wujud. Maknanya bukan sekadar menyampaikan berita, melainkan mengandung unsur permintaan, harapan, ancaman, doa, nasihat, celaan, atau pujian.

Di dalam Ilmu Balaghah, kita akan selidiki sesuatu ayat itu dan kita tentukan adalah ia Ayat Khabar atau Ayat Insya’. Kerana mungkin ada ayat yang nampak seperti khabariyah tetapi sebenarnya tidak. Kerana kadangkala sesuatu ayat itu bukan ayat berita, tapi sebenarnya untuk meminta. Ini kita akan bincangkan lagi.

 

B. Az-Zikru wal Hazf (الذكر والحذف)

Dalam Ilmu Ma’ani, Az-Zikru wal Hazf (الذكر والحذف) adalah seni yang timbul apabila kita perlu menyebutkan sesuatu perkataan secara jelas dan bila pula kita perlu membuang (menyembunyikan) perkataan tersebut. Ini bukan soal “lupa” atau “sengaja mahu meringkaskan”, tetapi setiap keputusan untuk menyebut atau membuang itu mempunyai rahsia balaghah yang tersendiri.

Az-Zikru (الذكر) – Menyebutkan Perkataan

Al-Hazf (الحذف) – Membuang Perkataan. Pengguguran.

Kadang-kadang di dalam satu ayat kita tak perlu kesemua 10 maklumat yang ada di dalamnya. Kadang kita hanya perlu memilih satu perkataan sahaja yang sudah merangkumi 10 maklumat yang kita hendak sampaikan. Atau pun ada ketika kita nak panjangkan ayat itu, walaupun sepatutnya ia sudah cukup, tapi kita nak lebihkan. Perlu diketahui bahawa untuk menggugurkan atau untuk menambah perkataan ini memerlukan kepada kepandaian dalam memilih. Kalau kita tersalah gugur, mungkin maksudnya akan ada kecacatan.  Ataupun kalau kita tersalah menambah, ia jadi macam meleret-leret pula. Ditakuti kita mengulang ulang benda yang sama.

Ini ada salah satu keindahan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Ada perkara yang tidak perlu disebut secara terperinci. Contohnya kita menonton satu adegan di dalam filem, kita sudah boleh menjangka perkara yang telah berlaku tanpa perlu ditunjuk. Contohnya mungkin adegan pergaduhan yang tak boleh ditunjuk pun pergaduhan itu. Kita tengok scene selepasnya pun kita sudah boleh faham telah berlaku pergaduhan kerana keadaan sudah berterabur. Jadi sudah berlaku حذف di sini. Kita boleh tahu dari qarinah-qarinah (tanda-tanda) yang ada. Maka ia sama juga dengan kalam. Kita tak perlu pun menyebut kesemuanya bila sudah ada qarinah-qarinah yang ada dalam kalam itu sendiri.

Tapi mesti pandai menggunakannya, sepertimana memerlukan pengarah yang pandai menggunakan method dalam babak-babak supaya penonton boleh faham. Kerana kalau digugurkan satu babak yang boleh memutuskan jalan cerita sampai akhirnya penonton tak faham dengan perguguran itu, menyebabkan babak itu jadi tak cantik.

Begitu juga dengan penambahan. Kalau berlaku penambahan, mesti bertepatan dan bukannya pengulangan yang tak diperlukan pun. Kalau kita gunakankan analogi babak filem, kadangkala ada scene yang diulang untuk menyampaikan sesuatu. Mungkin pengarah hendak menekankan tentang perkara yang mungkin penonton terlepas pandang. Maka kerana itu pengarah letakkan satu flashback yang sebelumnya tidak ditunjuk akan tetapi kali ini daripada sudut yang lain. Apabila ada flashback daripada sudut pandang yang lain, maka semakin jelas kepada penonton apa yang telah berlaku.

 

C. Al-Qasr (القصر)

Dari segi bahasa bermaksud “menahan” atau “memenjarakan”. Dalam istilah ilmu Balaghah (khususnya Ilmu Ma’ani), ia bermaksud: Mengkhususkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain dengan cara yang tertentu. Atau kita kata membataskan sesuatu.

Secara mudahnya, Qasr adalah teknik untuk menyatakan “hanya” atau “saja”. Ia bertujuan untuk menghilangkan keraguan atau menafikan penglibatan pihak lain dalam sesuatu sifat atau perbuatan.

Dalam bahasa Melayu, pembatasan ini kita tunjukkan dengan menggunakan kata-kata bantu seperti ‘hanyalah’, ‘cumalah’, ‘tiada yang lain’. Dalam bahasa Arab, ia tak perlu digunakan. Bahasa Arab tidak memerlukan kata pembatas maka tidaklah perlu kita sentiasa sebut فقد setiap kali. Dari segi penggunaan, penyusunan sahaja, kita sudah dapat tahu bahawa telah berlaku القصر. Tapi apabila kita terjemah, kita kena masukkan kalimah ‘hanyalah, ‘cumalah’ dan sebagainya.

 

D. Al-Fashl (الفصل) dan Al-Washl (الوصل)

Ia sering dianggap sebagai “jantung” atau kemuncak kepada Ilmu Ma’ani. Malah, sebahagian ulama Balaghah mendefinisikan Balaghah itu sendiri sebagai: “Mengetahui bila masanya untuk Al-Fashl dan Al-Washl.”

Al-Washl (الوصل) Secara bahasa bermaksud “menyambung”. Dalam istilah, ia bermaksud menyambung dua ayat dengan menggunakan huruf و (dan).

Al-Fashl (الفصل) Secara bahasa bermaksud “memisah”. Dalam istilah, ia bermaksud meletakkan dua ayat berturutan tanpa menggunakan huruf penyambung و.

Topik ini penting kerana penggunaan atau pengguguran huruf و boleh mengubah ritma, penekanan, dan makna ayat secara drastik. Dalam Al-Qur’an, ketelitian letaknya huruf و ini adalah bukti kehebatan susunan wahyu. Sekecil huruf و pun ada maksudnya tersendiri dan meninggalkan و ataupun memasukkan و, ia mempengaruhi makna. Ini disebut dalam bab Al-Fashl wa Al-Washl. Washl secara bahasa ertinya menyambung. Dalam konteks ini, kita menggunakan huruf athaf (sambung) iaitu Waw (و) untuk menghubungkan dua kalimat. Fashl pula secara bahasa ertinya memisah. Kita terus menyebutkan kalimat kedua setelah kalimat pertama tanpa kata sambung.

Di dalam Nahu Bahasa Arab, و berfungsi sebagai kata penyambung Dan و ini dibahaskan dengan panjang, kerana ia berbeza dengan athaf-athaf yang lain seperti ثم, ف لكن, ب dan sebagainya. Ini kerana athaf و mempunyai fungsi yang sangat luas.  ‘Athaf’ bermaksud bahawa sesuatu benda itu dekat dengan sesuatu benda yang lain. Maksudnya ada penghubung dan bila ada penghubung, maknanya benda itu asalnya berbeza. Kadangkala ia digunakan dan kadangkala tidak. Kedua-dua keadaan ini memberi makna balaghah yang berbeza yang kita akan bincangkan.

Ada beberapa keadaan utama di mana kita harus menggunakan Fashl:

i. Kamalul Ittishal كمال الاتصال (Persambungan Sempurna). Ini adalah apabila kalimat kedua atau ayat kedua sebenarnya adalah “bahagian” dari kalimat pertama, sehingga tidak perlu diletakkan “dan”. Ini terjadi jika kalimat atau ayat kedua berfungsi sebagai Taukid, Bayan, atau Badal. Contoh dalam bahasa kita yang biasa: “Itu adalah saudaramu, dia yang membantumu kelmarin.” (Kita tidak perlu sebut “dan dia yang membantumu” kerana orangnya sama).

Di dalam Al-Qur’an, ini berlaku apabila ayat atau kalimah kedua mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ayat atau kalimah pertama sehingga seolah-olah ia adalah ayat yang sama. Terdapat tiga keadaan di bawah kategori ini:

Taukid (Pengukuhan): Ayat kedua menguatkan ayat pertama. Contoh: أَمَدَّكُمْ بِمَا تَعْلَمُونَ * أَمَدَّكُمْ بِأَنعٰمٍ وَبَنِينَ “yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak” (Syu’ara:132-133). Ayat kedua mengukuhkan ayat pertama.

Bayan (Penjelasan): Ayat kedua menjelaskan kekaburan pada ayat pertama. Contoh: فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam” (Taha:120). Kata “قَالَ” menjelaskan bagaimana syaitan membisikkan godaan tersebut.

Badal (Pengganti): Ayat kedua menjadi pengganti kepada ayat pertama (sama ada sebahagian atau keseluruhan maksud). Contohnya محمد رسول الله. Kita tidak boleh letak محمد ورسول الله kerana رسول الله adalah badal kepada محمد. Nanti jadi orang yang berbeza pula sedang Muhammad dan Rasulullah adalah orang yang sama. 

ii. Kamalul Inqitha’ كمال الانقطاع (Terputus Sempurna). Kedua kalimat sama sekali tidak mempunyai hubungan makna, atau jenis kalimatnya berbeza (yang satu kalimat berita, yang satu kalimat perintah/doa). Contoh: “Makanlah rotimu. Matahari terbit dari timur.” (Tidak ada kena mengena maka tidak digunakan huruf و).

Di dalam Al-Qur’an, ini berlaku apabila dua ayat langsung tidak mempunyai hubungan makna atau susunan ayat yang sangat berbeza. Ia boleh terjadi di dalam dua keadaan: 

Perbezaan Khabari dan Insya’i: Satu ayat berbentuk penyataan (Khabari) dan satu lagi berbentuk arahan/doa/pertanyaan (Insya’i). Contoh: وَقَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحَـٰنَهُ “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah” (Baqarah: 116). Ayat pertama khabari, ayat kedua (Subhanah) adalah insya’i (pujian/penyucian).

Tiada Keserasian Makna: Dua ayat yang tidak logik untuk disambungkan. Contoh: “Ali seorang penulis” dan “Kambing itu makan rumput.” (Tiada kaitan makna).

iii. Syibhu Kamalul Ittishal شبه كمال الاتصال (Menyerupai Persambungan Sempurna). Kalimat atau ayat kedua merupakan jawapan dari pertanyaan yang muncul akibat kalimat pertama. Contoh: “Berhentilah bicara. Guru sudah datang.” (Kalimat kedua adalah alasan/jawapan mengapa harus berhenti bicara). Kerana mungkin ada yang bertanya: “kenapa kena henti bicara?” tetapi persoalan itu tidak dinyatakan.

Contoh kita boleh perhatikan di dalam Yusuf:53 وَمَآ أُبَرِّئُ نَفسِىٓ‌ۚ إِنَّ ٱلنَّفسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ “Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan”. Sebab: Apabila Nabi Yusuf (atau Isteri Al-Aziz) berkata “Aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan)”, orang akan tertanya: “Kenapa?”. Maka ayat kedua datang sebagai jawapan: “Kerana nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan.”

iv. Syibhu Kamalil Inqitha’ شبه كمال الانقطاع (Menyerupai Pemutusan Sempurna). Ini berlaku apabila ada ayat lain yang boleh menyebabkan kekeliruan jika kita meletakkan huruf و. Kita membuang و supaya ayat tersebut tidak disangkakan bersambung dengan ayat yang salah.

v. Al-Tawasut baina al-Kamalain التوسط بين الكمالين (Keserasian di antara dua kalimah yang sempurna). Berlaku apabila dua ayat mempunyai keserasian (munasabah) tetapi terdapat penghalang untuk meletakkan و, seperti bimbang ia akan merosakkan struktur makna yang dikehendaki.

 

E. Ijaz (إيجاز)

Ia adalah salah satu dari ilmu balaghah sampaikan ada ulama’ yang mengatakan bahawa semua balaghah itu sendiri adalah pada ijaz. Al-Qur’an banyak menggunakan kata-kata yang sangat ringkas, tapi sangat padat. Dan ijaz Al-Qur’an ini kalau kita perhatikan, boleh dikatakan seluruh Al-Qur’an itu sendiri adalah ijaz. 30 juzuk Al-Qur’an itu merangkumi semua perkara.

Ijaz adalah kata-kata yang padat tapi ringkas. Ini adalah satu seni dalam ilmu berbahasa yang menjadi kekaguman para penyair zaman dahulu. Kalau sesiapa yang kata-katanya ringkas tapi padat, itu dianggap seorang yang seni, seorang seniman, seorang sasterawan yang hebat. Tapi apabila Nabi Muhammad datang dengan bawa Al-Qur’an, ijaz Al-Qur’an sangat-sangat berseni, sangat-sangat padat, mengalahkan dan meninggalkan jauh seni-seni ijaz penyair yang ada pada ketika itu. Jadi Ijaz adalah:

“Mengumpulkan makna yang luas dan banyak ke dalam lafaz yang sedikit, dengan syarat pesan tersampaikan secara jelas (tanpa cacat makna).”

Dalam kaedah bahasa Arab, ada ungkapan terkenal: “Al-Balaghatu al-Ijaz” (Balaghah itu adalah meringkas). Ia dari Wajaza (وجز) = Singkat/Ringkas.

Cuma, dalam Bab Ijaz di dalam Ilmu Balaghah, Ijaz itu dibahagikan kepada dua, Ijaz Al-Qashar (إيجاز القصر) dan Ijaz Al-Hadzf (إيجاز الحذف) yang akan kita bahaskan nanti.

1. Ijaz Al-Qashar (إيجاز القصر)

Ijaz ini terjadi melalui kepadatan makna. Kata-katanya memang sedikit sejak awal, namun mengandungi lautan makna di dalamnya. Tidak ada kata yang dibuang, memang kalimatnya dirancang padat. Contoh dari Al-Qur’an adalah Baqarah:179 tentang Qisas,

وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ
“Dan dalam qisas itu ada kehidupan bagimu.” 

Hanya terdiri dari beberapa kata, namun maknanya mencakup seluruh teori keamanan sosial dan pencegahan jenayah.

2. Ijaz Al-Hadzf (إيجاز الحذف)

Ijaz ini terjadi dengan membuang (menghapus) bahagian tertentu dari kalimat (seperti kata benda, kata kerja, atau bahkan seluruh kalimat), namun pendengar tetap mampu memahami maksudnya kerana konteks yang kuat. Contoh dari Al-Qur’an adalah Yusuf:82,

وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ
“Dan tanyalah desa itu…” 

Secara bahasa, kita tidak bertanya kepada “tanah/bangunan desa”, melainkan kepada penduduknya (ahla al-qaryah). Kata “penduduk” dibuang (dihadzf) untuk meringkaskan kalimat tanpa mengurangi pemahaman.

Di dalam Al-Qur’an, banyaklah contoh-contoh ijaz ini. Di mana pada ayat itu hanya disebut satu perkataan sahaja tetapi kalau dibahaskan, bukan setakat satu artikel, malah satu kitab pun boleh kita bahaskan. Begitu jugalah dengan ayat ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ yang kita mungkin tak perasan bahawa ianya lebih ringkas dan lebih padat dari mana-mana peringkasan ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Apabila kita menyebut Ijaz (إيجاز), mungkin ada yang terkeliru dengan satu lagi istilah iaitu I’jaz (إعجاز) yang berasal dari kata ’ajaza (عجز) yang bererti “melemahkan” atau “membuat tidak berdaya”. Kita selalunya sebut mu’jizat. Meskipun bunyinya (Ijaz dan I’jaz) sangat mirip di telinga kita, keduanya memiliki makna yang jauh berbeza dalam kajian Al-Qur’an, Islam dan bahasa Arab. Satu fakta menarik: Ijaz (keringkasan bahasa) adalah salah satu sebab mengapa Al-Qur’an itu memiliki I’jaz (kemukjizatan). Ini kerana bahasa Al-Qur’an begitu ringkas namun maknanya tidak terbatas, itulah yang membuatkan manusia lemah untuk menandinginya. Jadi walaupun ia adalah dua perkataan yang berbeza, namun keduanya sangat berkait. I’jaz Al-Qur’an boleh dibahaskan daripada sudut Ijaz.

Kerana itulah ada yang mengatakan bahawa Ilmu Balaghah ini berada dalam Ijaz. Al-Qur’an adalah kitab yang penuh dengan balaghah dan mukjizatnya adalah pada balaghahnya. Dan balaghahnya ada pada sudut ijaz. Oleh itu, Ijaz berada di bawah I’jaz. Iaitu I’jaz dari sudut bahasa. Walaupun sekarang ini kalau kita tengok yang selalu disebut-sebut tentang i’jaz Al-Qur’an adalah dari sudut sains dan macam-macam lagi tapi asasnya, sudut i’jaz bahasa tidak boleh ditinggalkan. Kerana kalau kita pergi kepada sudut sains atau ke mana-mana perbincangan pun, mesti berada di atas dasarnya iaitu bahasa. Memang mukjizat dari sudut sains itu orang ramai sebut sebab senang hendak tarik minat Non-Muslim tapi janganlah kita lupa mukjizat dari segi bahasa ini.

 

F. At-Taukid (التوكيد)

Ia bermaksud penegasan dan ia merupakan salah satu perbincangan yang sangat penting dalam Ilmu Al-Ma’ani, khususnya di bawah tajuk besar Ahwal al-Khabar (Keadaan Berita). Dalam Ilmu Ma’ani, kita tidak hanya belajar cara buat ayat, tetapi kita belajar tahap kekuatan ayat itu berdasarkan mentaliti pendengar. Di sinilah Taukid memainkan peranannya.

Antara alat yang sering dibincangkan dalam Ilmu Ma’ani untuk mengukuhkan ayat:

    1. Inna (إِنَّ) & Anna (أَنَّ): Sesungguhnya.
    2. Lam al-Ibtida’ (لـ): Huruf lam yang diletakkan pada permulaan kata.
    3. Nun al-Taukid (نَّ): Nun yang diletakkan di hujung kata kerja (Fi’il).
    4. Huruf Qasam (Sumpah): Seperti Wallahi, Tallahi.
    5. Huruf Tambahan (Zaidah): Seperti huruf Ba dalam ayat “Laisa bi…”.
    6. Qad (قَدْ): Apabila masuk pada kata kerja masa lampau (Fi’il Madhi).

Kita boleh lihat bagaimana Taukid berubah dalam Surah Yasin ketika para Rasul meyakinkan penduduk negeri tersebut:

Pusingan 1 (Khabar Ibtida’i) di dalam Ayat 14:

إِذ أَرسَلنا إِلَيهِمُ اثنَينِ فَكَذَّبوهُما فَعَزَّزنا بِثالِثٍ فَقالوا إِنّا إِلَيكُم مُّرسَلونَ
Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu’.

(Perhatikan di dalam ayat ini hanya ada satu إِنّ).

Pusingan 2 (Apabila penduduk mengingkari/Khabar Inkari) di dalam Ayat 16:

قالوا رَبُّنا يَعلَمُ إِنّا إِلَيكُم لَمُرسَلونَ
Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

(Perhatikan penambahannya: Ada sumpah secara tidak langsung, ada إِنّ, dan ada huruf Lam Taukid).

 

G. Al-Itnab (الإطناب)

Kalimah الإطناب berasal daripada akar kata bahasa Arab أَطْنَبَ – يُطْنِبُ (atnaba – yuthnibu). Ia adalah seni dalam Ilmu Ma’ani yang sangat kontra dengan Al-Ijaz (peringkasan). Jika Ijaz adalah “sedikit kata, banyak makna”, Itnab adalah “menambah lafaz untuk tujuan yang berfaedah”.

Ada beberapa cara bagaimana Itnab ini digunakan:

1. Dzikru al-Khass ba’da al-‘Am (Menyebut yang Khusus selepas Umum). Ini apabila menyebut sesuatu yang besar (umum), kemudian kita petik satu perkara kecil di dalamnya untuk diberi perhatian khas.

Contoh di dalam Baqarah:238

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar)

Tujuan: Untuk menunjukkan betapa pentingnya perkara khusus tersebut berbanding ahli kumpulannya yang lain.

2. Dzikru al-‘Am ba’da al-Khass (Menyebut yang Umum selepas Khusus). Ini terbalik daripada yang tadi. Kita sebut yang kecil dulu, baru yang besar.

Contoh di dalam Nuh:28

رَبِّ اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيتِيَ مُؤمِنًا وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman)”

Tujuan: Untuk menunjukkan bahawa doa atau perkara itu bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi merangkumi semua. Tapi perhatikan Nabi Nuh mulakan dengan khas dahulu (dirinya dan keluarganya) kemudian menjadi lebih umum sehingga meliputi seluruh orang Mukmin (وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ).

3. Al-Idah ba’da al-Ibham (Penjelasan selepas Kesamaran). Mula-mula ayat itu kedengaran samar atau umum, kemudian datang ayat seterusnya yang memperincikannya satu persatu. Dalam Ilmu Ma’ani, teknik ini berfungsi untuk menarik perhatian pendengar dengan menyebut sesuatu secara umum atau misteri terlebih dahulu, sehingga jiwa merasa tertanya-tanya (dahaga akan maklumat), kemudian barulah diberikan perincian yang memuaskan.

Contoh kita boleh perhatikan di dalam Maidah:1

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Ini adalah Al-Ibham (Kesamaran). Pada tahap ini, pendengar tertanya-tanya: “Apakah binatang ternakan yang dikecualikan itu?” Minda sudah bersedia untuk menerima maklumat.

Al-Idah (Penjelasan): Penjelasannya datang dalam ayat ke-3 surah yang sama:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.

4. At-Taukid (Penegasan melalui Pengulangan). Mengulang perkataan yang sama untuk memastikan maksud benar-benar masuk ke dalam jiwa.

Contoh adalah Takathur: 3-4

كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤)
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4)

Tujuan: Memberi amaran yang sangat keras agar tidak dipandang remeh.

5. Al-I’tiradh (Sisipan). Memasukkan perkataan atau ayat di tengah-tengah ayat asal yang sebenarnya sudah lengkap.

Contoh kita boleh lihat di dalam Nahl:57

وَيَجعَلونَ ِللهِ البَنٰتِ سُبحٰنَهُ ۙ وَلَهُم مّا يَشتَهونَ
Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan. Maha Suci Allah, sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai (iaitu anak-anak laki-laki).

Tujuan: Menyucikan Allah (Tasbih) atau berdoa di celah-celah penceritaan. Mengapa Allah tidak meletakkan perkataan سُبحٰنَهُ di akhir ayat sahaja? Kenapa mesti di tengah-tengah?

    • Sebagai Tanzih (Penyucian Serta-merta): Untuk menunjukkan bahawa Allah tidak membiarkan dakwaan jahat itu berlalu begitu sahaja tanpa disucikan. Sebaik sahaja lisan manusia menyebut “Allah ada anak”, serta-merta ayat itu disisipkan dengan “Maha Suci Dia” untuk menafikan sifat kekurangan tersebut.
    • Menunjukkan Kejelekan Dakwaan: Sisipan ini berfungsi untuk memberi kesan kejutan. Ia seolah-olah berkata: “Berani mereka berkata demikian? Padahal Dia Maha Suci daripada segala kekurangan!”
    • Kepantasan Tindak Balas: Ia menggambarkan betapa jauhnya kebenaran daripada apa yang mereka dakwakan.

Sambung kepada perbincangan tentang Taqdim wa Ta’khir

 


 

Glosari Istilah Kunci

Balaghah: Seni menyampaikan kata-kata yang fasih, indah, dan tepat mengikut situasi pendengar.

Ilmu Ma’ani: Cabang Balaghah yang mengkaji cara menyusun ayat agar bertepatan dengan keadaan pendengar serta menggali maksud tersirat.

Khabari: Ayat penyata yang mengandungi maklumat yang boleh dinilai benar atau salah.

Insya’i: Ayat yang berbentuk tuntutan, arahan, atau luahan perasaan yang tidak boleh dinilai benar atau salah.

Az-Zikru: Teknik menyebut atau menzahirkan perkataan secara jelas dalam ayat.

Al-Hazf: Teknik menggugurkan atau membuang perkataan tertentu tanpa merosakkan maksud kerana adanya petunjuk (qarinah).

Al-Qasr: Teknik mengkhususkan atau membataskan sesuatu perkara kepada perkara yang lain (contoh: “hanya”).

Al-Washl: Menyambung dua ayat dengan menggunakan huruf athaf “waw” (dan).

Al-Fashl: Memisahkan dua ayat tanpa menggunakan huruf penyambung “waw”.

Ijaz: Prinsip keringkasan; menyampaikan makna yang luas menggunakan lafaz yang sedikit secara padat.

I’jaz: Kemukjizatan Al-Qur’an yang menjadikan manusia tidak berdaya untuk menandinginya.

At-Taukid: Penegasan atau pengukuhan dalam ayat untuk meyakinkan pendengar.

Al-Itnab: Teknik menambah lafaz atau memanjangkan ayat untuk tujuan dan faedah tertentu (lawan bagi Ijaz).

Iltifat: Seni peralihan gaya bahasa daripada satu kata ganti nama ke kata ganti nama yang lain.

Taqdim: Mendahulukan perkataan yang sepatutnya berada di belakang susunan asal.

Ta’khir: Mengemudiankan perkataan yang sepatutnya berada di hadapan susunan asal.

Muqtadha al-Hal: Tuntutan keadaan; menyesuaikan bahasa dengan situasi, masa, dan tahap pendengar.

Qarinah: Tanda atau petunjuk yang membantu pendengar memahami maksud walaupun ada perkataan yang digugurkan.


Sambung ke Bahagian seterusnya

Kemaskini: 25 Mei 2026

Syarah Hadis #27 (Hadis 40 Imam Nawawi)

Hadis #27 – Kebajikan itu akhlak yang baik, menenangkan hati; Dosa menggelisahkannya, Minta Fatwa pada Hati tentang Kebaikan dan Dosa 

عَنِ النَّواسِ بنِ سَمعانِ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ البِرُّ حُسْنُ الخُلُقِ، والإثْمُ ما حَاكَ في نَفْسِكَ، وكَرِهْتَ أنْ يَطَّلِعَ عليهِ النَّاسُ.
رواهُ مسلمٌ

وَعَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَدٍ قَالَ أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ جِئْتَ تَسْأَلُ عَنِ البِرِّ وَالإِثْمِ؟ قُلْتُ نعَمْ، قَالَ اِسْتَفْتِ قَلْبَكَ، الِبرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ، وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ القَلْبُ، وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ، وَتَردَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ
حَدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَيْنَاهُ فِي ” مُسْنَدَي الإِمَامَيْنِ أَحْمَدَ وَالدَّارميِّ بِإسْنَادٍ حَسَنٍ

Dari An-Nawwas bin Sam’an radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kebajikan itu adalah husnul khuluq (akhlak yang baik). Sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan dalam dirimu. Dan engkau tidak suka jika hal itu nampak di hadapan orang lain.”
[Sahih Muslim, no. 2553]

Dari Wabishah bin Ma’bad radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda bersabda, ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan dan dosa?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Mintalah fatwa kepada hatimu. Kebajikan itu adalah apa saja yang jiwa merasa tenang dengannya dan hati merasa tenteram kepadanya, sedangkan dosa itu adalah apa saja yang mengganjal dalam hatimu dan membuatmu ragu, walaupun manusia telah memberikan fatwa kepadamu dan mereka (terus) memberikan fatwa kepadamu.’”
(Hadits hasan. Kami meriwayatkannya dalam dua kitab Musnad dua orang imam: Ahmad bin Hambal dan Ad-Darimi dengan sanad hasan)

 

Pendahuluan: Mencari Kompas Moral dalam Dunia yang Bingung

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan pelbagai pendapat, tekanan budaya, dan maklumat yang bercanggah, sering kali kita berasa keliru untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang salah. Garis sempadan antara kebaikan dan dosa seolah-olah menjadi kabur, menyebabkan hati kita berbolak-balik dan resah mencari kepastian. Di manakah kita boleh temukan panduan yang jelas dan tidak lapuk dek zaman?

Jawapannya mungkin lebih dekat dan lebih peribadi daripada yang kita sangkakan. Ajaran Rasulullah menawarkan satu set panduan yang bukan sahaja abadi, tetapi juga berfungsi sebagai kompas moral dalaman yang sangat peribadi. Ia mengajar kita untuk mendengar suara hati yang dibimbing oleh iman, bukan sekadar mengikut arus pendapat orang ramai. Maka hadis #27 ini boleh menjadi pedoman praktikal untuk kita melayari kehidupan dengan lebih yakin dan tenang, berpegang pada neraca kebaikan dan dosa seperti yang diajarkan oleh baginda .

 

TAQWA dan BIRR

Kalimah Al-Birr ada disebut dalam Al-Qur’an bersama dengan Taqwa. Ini seperti disebut di dalam Ma’idah:2

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan (Al-Birr) dan bertaqwa (At-Taqwa), dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”

Istilah Taqwa dan Birr ini jika dia bersama di dalam satu ayat, ia membawa maksud berbeza, sedangkan kalau ia berpisah, maksudnya sama. Konsep ini boleh diterangkan sebagai: إِذَا اجْتَمَعَا افْتَرَقَا، وَإِذَا افْتَرَقَا اجْتَمَعَا (Apabila kedua-duanya berkumpul/bersama, maknanya berbeza; dan apabila kedua-duanya berasingan, maknanya menjadi sama). Istilah ini merujuk kepada fenomena di mana Al-Qur’an sering mengumpulkan (menggandingkan) dua atau lebih kalimah yang nampak serupa atau sinonim, tetapi apabila digandingkan di dalam satu ayat atau berdekatan, ia menunjukkan ada perbezaan makna sebenarnya. Ini menunjukkan bahawa setiap kalimah membawa nuansa makna yang unik dan berbeza. Ini adalah bidang ilmu Mutarādifāt () atau sinonim. Sebenarnya sinonim sempurna (Mutarādifāt Tāmma) jarang wujud. Sebaliknya, kalimah-kalimah yang nampak sama maksud sebenarnya membawa nuansa makna (nuances), intensiti, atau sudut pandangan yang berbeza. Ini adalah bukti keunikan bahasa Al-Qur’an yang menolak kewujudan sinonim sempurna.

Sebagai contoh, di dalam Tawbah:60 disebut orang miskin dan faqir sebagai dua daripada asnaf (penerima zakat).

إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ
Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin,

Mungkin pada kita orang miskin itu sama sahaja dengan orang faqir. Akan tetapi apabila ia duduk bersekali di dalam satu ayat, takkan Allah ‎ﷻ ulang benda yang sama, bukan? Jadi tentu ada bezanya dan kita telah jelaskan di dalam tafsir ayat itu. Ada banyak contoh sebegini di dalam Al-Qur’an. Sekarang kita lihat apakah persamaan dan perbezaan antara Taqwa dan Birr.

Lagi satu adalah adalah Islam dan Iman: Jika disebut bersama: Islam merujuk kepada amalan zahir (solat, puasa), Iman merujuk kepada amalan batin (keyakinan hati). Jika disebut salah satu: Ia merangkumi keseluruhan agama.

1. Apabila Bersama (Ijtama’a – Iftaraqa). Maksudnya setiap satu istilah ada maksud khusus.

Seperti penggunaan dalam Ma’idah:2, kedua-duanya membawa maksud khusus yang berbeza:

Al-Birr (البر): Merujuk kepada melakukan ketaatan dan segala bentuk kebaikan (Amal Soleh). Ia bersifat “positif” (melakukan sesuatu). Termasuk berbuat baik kepada makhluk.

At-Taqwa (التقوى): Merujuk kepada meninggalkan kemaksiatan dan menjaga diri daripada perkara haram. Ia bersifat “preventif” (menjauhkan diri). Ini lebih kepada kebaikan yang ditujukan kepada Allah.

Gabungan ini melengkapkan agama: Lakukan kebaikan (Birr) + Tinggalkan keburukan (Taqwa).

2. Apabila Berasingan (Iftaraqa – Ijtama’a). Maksudnya satu istilah mewakili maksud kedua-duanya.

Apabila Al-Qur’an hanya menyebut salah satu sahaja (contohnya sebut Taqwa sahaja atau Birr sahaja dalam satu ayat), maka satu kalimah itu sudah merangkumi makna kedua-duanya sekali.

Jika disebut “Taqwa” sahaja: Ia bermaksud melakukan perintah Allah DAN meninggalkan larangan-Nya.

Jika disebut “Birr” sahaja: Ia juga bermaksud merangkumi seluruh ajaran agama, termasuklah menjauhi maksiat.

 

AKHLAK dan ADAB

Nabi kata Al-Birr ialah حُسْنُ الخُلُقِ (akhlak yang baik). Adakah maksudnya kebaikan itu akhlak sahaja, tanpa aqidah, tanpa ibadah? Ini salah faham kebanyakan orang. Kita kena tahu, termasuk daripada akhlak itu ialah aqidah yang sahih. Maksudnya kalau tanpa aqidah yang sahih, seseorang itu sebenarnya tiada akhlak. Dan apabila dia tiada akhlak, dia tiada adab dengan Allah SWT.

Jadi apa beza akhlak dengan adab? Akhlak itu ulama’ kata hay’atu an-nafs (هيئة النفس) secara literal bermaksud “Keadaan Jiwa” atau “Postur Jiwa”. Keadaan diri yang ar-rasiqah (yang tetap). Jadi termasuk dalam ilmu tentang akhlaq adalah seperti redha, takut, tawakal, sabar. Ada pun adab iaitu cara mu’amalah. Iaitu cara melakukan sesuatu mengikut ketetapan syariat. Akhlak iaitu keadaan diri yang tetap yang juga mesti berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah Nabi SAW. Dan adab dengan akhlaq mestilah bergandingan kerana orang yang ada akhlak, sepatutnya dia beradab dan orang yang beradab sepatutnya dia ada akhlak. Ini kerana yang gerakkan adab tu ialah akhlak.

Kalau dalam Bahasa Inggeris, akhlak itu diterjemahkan dengan ethics dan adab itu diterjemahkan dengan etiquette. Walaupun ia berbeza dari segi istilah dan definisi akan tetapi seorang yang ada adab, maka itu tanda dia ada akhlak. Dan siapa yang ada akhlak sepatutnya dia beradab. Contohnya seorang yang ada sifat sabar, dia akan beradab ketika dia bertanya soalan. Seperti kata Ibn Abbas: Aku bersabar 10 tahun menunggu Umar Al-Khattab untuk menjelaskan tafsir ayat:. إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ فَقَد صَغَت قُلوبُكُما (Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong) Tahreem:4. 

Jadi kebaikan tu ialah akhlak yang baik. Jadi kalau orang tu dia ada akhlak, maksudnya dia ada birr. Jadi jangan kata dalam agama jalan Salaf ini kita tidak pentingkan akhlak dan adab. Kena sedar yang dalam manhaj Salaf ini juga ada ilmu tentang akhlak dan adab. Pernah ditanya kepada seorang ulama’ Salaf, apakah kamu tidak mahu mengarang kitab-kitab akhlak? Dia kata, itu aku sudah mengarang kitab-kitab fiqh. Kitab fiqh itu kitab adablah. Sebab kitab fiqh tu ialah cara beradab dengan Allah Ta’ala. Beribadah dengan cara yang betul, itu adalah akhlak dengan Allah. Kemudian kitab aqidah itu adalah kitab cara beradab dengan Allah Ta’ala.

Kebaikan dalam keseluruhan kehidupan ini adalah akhlak yang baik. Akhlak baik dengan Allah, akhlak baik dengan orang Islam, akhlak baik dengan sekalian manusia, malah dengan makhluk yang lain pun. Maka hadis ini jadi kaedah dalam agama. Apa kaedah dia? Iaitu, semua benda dalam Islam ini ialah adab. Al-Islam, adabu kullu. Islam tu semuanya adab. Wudhu itu adab. Salat itu adab. Salat, Zakat, adab. Aqidah yang sahih, juga adab. Beriman kepada malaikat, kitab dan para Nabi itu semua adalah adab. Semua ini termasuk adab dengan dengan Allah.

Jangan juga kata kebaikan itu hanya berkaitan akhlaq sahaja.Kita mesti ingatlah yang Syeikh Ali Al-Halabi pernah sebut. Jadi orang salafi yang aqidah dia betul, mesti akhlaq dia pun baik. Orang yang aqidah dia bagus, manhaj dia mesti bagus, aqidah dan juga akhlaq dia mesti baik. Kita tak pernah tengok ulama’ salafi yang ada akhlaq buruk. Dan kita semua tahu hadith Nabi yang paling dekat dengan Nabi di akhirat adalah orang yang baik akhlaknya.

 

DOSA

Dan dosa itu apa yang terasa mengganggu jiwa. Dan kita malu kalau orang tahu kita buat perkara itu. Kita kena faham yang orang yang buat dosa ini banyak peringkat. Ada yang rasa mereka tidak berdosa bila buat dosa dan ada yang rasa tak senang hati apabila buat dosa. Jadi tak sama pandangan manusia terhadap dosa masing-masing. Rasulullah ada bersabda,

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا
“Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seakan-akan dia sedang duduk di bawah gunung dan dia takut gunung tersebut akan menimpanya. Sedangkan seorang pendosa (fajir) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang lalu di depan hidungnya, lalu dia mengibaskannya seperti ini (hanya dengan tangan).”

(Sahih Bukhari, no. 6308)

Jadi baguslah kalau ada orang yang setelah melakukan dosa, dia tak senang hati, tak sedap hati dia. Maknanya jiwa dia bersih lagi sampai boleh kesan dosa yang dilakukan. Kalau tak rasa langsung, bahaya; kalau suka pula buat dosa, lagilah teruk.

Kena faham hadis ini betul-betul. Adakah maksud hadith ini cukup dengan jiwa sahaja kita boleh tahu benda itu dosa atau tidak? Jawapannya tidak. Berkenaan dengan hadis ini, Al-Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam syarah Sahih Bukhari dalam Fathul Bari dia sebut: “barangsiapa yang mengatakan bahawa dengan hati sahaja seseorang hamba itu boleh tahu baik dan buruk, tanpa nas Al-Quran dan hadith Nabi SAW, dia telah kufur kepada Allah.”

Jadi kena faham hal ini dan jangan bermudah-mudah membuat hukum, Ada yang telah membuat kesalahan ini seperti seminar ESQ yang pernah terkenal suatu ketika dahulu. Antara pemikiran ESQ masa itu ialah mereka kata manusia ini ada kemampuan mengetahui baik dan buruk dengan hati sahaja, Maka mereka mengajar peserta mereka untuk berfatwa kepada hati sahaja. Maka ini adalah fahaman yang salah seperti yang telah disebutkan oleh Ibn Hajar tadi. Kerana hati sahaja tidak cukup. Memang fitrah manusia dia nakkan kebaikan. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin Al-Yaman, beliau berkata:

حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حَدِيثَيْنِ قَدْ رَأَيْتُ أَحَدَهُمَا وَأَنَا أَنْتَظِرُ الآخَرَ حَدَّثَنَا ‏ “‏ أَنَّ الأَمَانَةَ نَزَلَتْ فِي جَذْرِ قُلُوبِ الرِّجَالِ ثُمَّ نَزَلَ الْقُرْآنُ فَعَلِمُوا مِنَ الْقُرْآنِ وَعَلِمُوا مِنَ السُّنَّةِ ‏”‏ ‏.‏

ثُمَّ حَدَّثَنَا عَنْ رَفْعِ الأَمَانَةِ قَالَ ‏ “‏ يَنَامُ الرَّجُلُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ الْوَكْتِ ثُمَّ يَنَامُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ الْمَجْلِ كَجَمْرٍ دَحْرَجْتَهُ عَلَى رِجْلِكَ فَنَفِطَ فَتَرَاهُ مُنْتَبِرًا وَلَيْسَ فِيهِ شَىْءٌ ‏”‏ ‏.‏

ثُمَّ أَخَذَ حَصًى فَدَحْرَجَهُ عَلَى رِجْلِهِ ‏ “‏ فَيُصْبِحُ النَّاسُ يَتَبَايَعُونَ لاَ يَكَادُ أَحَدٌ يُؤَدِّي الأَمَانَةَ حَتَّى يُقَالَ إِنَّ فِي بَنِي فُلانٍ رَجُلاً أَمِينًا‏.‏ حَتَّى يُقَالَ لِلرَّجُلِ مَا أَجْلَدَهُ مَا أَظْرَفَهُ مَا أَعْقَلَهُ وَمَا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ ‏”‏ ‏.‏

وَلَقَدْ أَتَى عَلَىَّ زَمَانٌ وَمَا أُبَالِي أَيَّكُمْ بَايَعْتُ لَئِنْ كَانَ مُسْلِمًا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَىَّ دِينُهُ وَلَئِنْ كَانَ نَصْرَانِيًّا أَوْ يَهُودِيًّا لَيَرُدَّنَّهُ عَلَىَّ سَاعِيهِ وَأَمَّا الْيَوْمَ فَمَا كُنْتُ لأُبَايِعَ مِنْكُمْ إِلاَّ فُلاَنًا وَفُلاَنًا ‏.‏

“Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami dua hadis; aku telah melihat salah satunya (berlaku) dan aku sedang menunggu yang kedua. Baginda menceritakan kepada kami:

‘Bahawa amanah itu turun ke dalam pangkal hati manusia (qalbul rijal), kemudian turunlah Al-Qur’an, maka mereka mengetahuinya (amanah) daripada Al-Qur’an dan mereka mengetahuinya daripada Al-Sunnah.’

Kemudian Baginda menceritakan kepada kami tentang diangkatnya (hilangnya) amanah, Baginda bersabda:

‘Seorang lelaki tidur dengan satu tidur, lalu dicabutlah amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti bintik-bintik kecil (warna hitam). Kemudian dia tidur lagi, lalu dicabut lagi amanah itu dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuhan (bekas kerja berat), seumpama bara api yang kamu gulingkan pada kaki kamu, lalu ia melepuh; kamu melihatnya membengkak padahal di dalamnya tidak ada apa-apa.’

(Sambil berkata demikian, Baginda mengambil batu-batu kecil lalu digulingkan ke kakinya).

‘Maka pada pagi harinya, manusia berjual beli (bermuamalah), namun hampir tiada seorang pun yang menunaikan amanah, sehingga dikatakan: Sesungguhnya di kalangan Bani fulan (puak itu) ada seorang lelaki yang sangat amanah. Sehingga dikatakan kepada seorang lelaki: Betapa tabahnya dia! Betapa cerdiknya dia! Betapa pandainya dia! Padahal di dalam hatinya tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi.’

(Hudzaifah berkata lagi): ‘Telah sampai kepadaku satu zaman di mana aku tidak peduli dengan siapa aku berurusan. Jika dia seorang Muslim, agamanya akan menghalangnya daripada khianat. Jika dia seorang Nasrani atau Yahudi, wakilnya (pemerintahnya) akan memaksanya memulangkan hakku. Adapun hari ini, aku tidak akan berurusan melainkan dengan si fulan dan si fulan sahaja.'”

Sahih Al-Bukhari: No. hadis 6497; Sahih Muslim: No. hadis 143; Sunan al-Tirmidzi: No. hadis 2179; Sunan Ibnu Majah: No. hadis 4053; Musnad Ahmad: No. hadis 23245.

 

FITRAH

Hadis ini menjadi hujah bagi apa yang kita sebutkan tadi. Allah telah menurunkan sifat amanah dalam lubuk hati setiap manusia. Maksudnya setiap manusia tu sudah ada sifat amanah. Telah ditanam dalam diri setiap manusia dengan fitrah dimana dia sudah tahu mana yang baik dan yang salah. Kerana itu dosa itu ialah apa yang hati kita rasa tak sedap hati kalau kita melakukannya. Allah telah berfirman di dalam Rum:30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Dan tentu sekali kita pernah mendengar hadis yang ini,

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak yang lahir itu dilahirkan di atas fitrah (suci bersih), maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Orang yang masih ada fitrah dalam diri dia, dia akan terasa berat, rasa tidak sedap hati apabila melakukan dosa. Kita ini memang manusia yang selalu melakukan dosa kerana itulah sifat kita yang pelupa dan lalai. Kerana itu kadang-kadang kita ini campur aduk antara amalan baik dan amalan salah yang berdosa. Ini seperti firman Allah di dalam Tawbah:102

وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Dan (ada juga) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka; mereka telah mencampuradukkan amal yang soleh dengan amal yang lain yang buruk (sayyi’an). Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Yang penting apabila kita telah melakukan kesalahan dosa, maka hendaklah kita segera sedar dan kita istighfar dan bertaubat. Tapi perhatikan syarat pertama manusia itu kena dulu اعْتَرَفُوا iktiraf dosa dia. Kena sedar yang dia telah melakukan dosa. Kalau seseorang dosa sendiri pun tak sedar, maka itu maknanya fitrah dia telah rosak dan susah untuk orang seperti ini kembali ke pangkal jalan. Yang ini pun masalah juga kalau tidak tahu, maknanya ilmu agama dia kurang sangat sampai tak tahu mana dosa, mana halal mana haram. Masalahnya kadang-kadang kerana perkara itu sudah biasa dilakukan oleh orang lain, kita rasa ia sudah biasa, bukan dosa pun. Ini macam rasuah yang banyak dilakukan oleh manusia. Juga pinjaman peribadi yang bukan Islamik. Jadi ada macam-macam perkara yang biasa orang kita lakukan, tapi berdosa. Dan kerana ia telah banyak dilakukan oleh ramai orang, ada orang rasa itu tidak berdosa atau tidaklah dosa besar.

Perbuatan dosa ini memang sebagai manusia, kita tidak boleh lari kerana kita bukan malaikat. Tapi yang penting kita sedar tentang dosa kita dan kita minta ampun dan bertaubat dari Allah. Rasulullah telah bersabda tentang hal ini:

“كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ”
“Setiap anak Adam pasti banyak berbuat salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang banyak berbuat salah adalah mereka yang sering bertaubat.”

Jami’ At-Tirmidzi (no. 2499)

Walaupun kita sudah tahu yang kita tidak dapat elak dari melakukan dosa, jangan pula kita ambil tentang hal ini. Jangan sampai dosa itu terlalu banyak sampai merosakkan fitrah kita. Rosak fitrah itu apabila hati sudah jadi hitam kerana sudah banyak dosa sangat sampai tidak rasa pun maksiat dan dosa yang dilakukan. Ini seperti sabda Rasulullah,

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ، فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ، وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ: { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
“Sesungguhnya seorang hamba, apabila melakukan satu perbuatan dosa, maka akan dititikkan pada hatinya satu titik hitam. Jika dia meninggalkannya, memohon ampun, dan bertaubat, maka hatinya akan kembali bersih. Namun jika dia kembali berbuat dosa, maka titik hitam itu akan bertambah hingga menutup seluruh hatinya. Itulah ‘Ar-Raan’ (penutup) yang disebutkan Allah (dalam Al-Qur’an): ‘Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka.'”

Jami’ At-Tirmidzi (no. 3334) Status: sahih

Maka itulah ringkas tentang fitrah manusia. Tapi adakah cukup dengan hati sahaja menjadi ukuran untuk tahu baik dan buruk? Tak betul dan tak boleh kita buat andaian sebegitu! Di dalam hal ini ada perbincangan tentang masalah Taqbih dan Tahsin. Dalam ilmu usul fiqh dan kalam, Al-Tahsin dan Al-Taqbih merujuk kepada konsep menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu Baik (Elok) atau Buruk (Keji). Persoalan utama yang dibincangkan oleh para ulama adalah: Adakah akal manusia mampu menentukan sendiri kebaikan atau keburukan sesuatu perkara, atau ia bergantung sepenuhnya kepada wahyu (syarak)? Berikut adalah huraiannya:

1. Definisi Secara Bahasa

Al-Tahsin (التَّحْسِين): Menganggap sesuatu itu baik, indah, atau elok.

Al-Taqbih (التَّقْبِيح): Menganggap sesuatu itu buruk, keji, atau jahat.

2. Tiga Makna Tahsin & Taqbih

Ulama membahagikan penilaian “Baik & Buruk” kepada tiga kategori:

1. Kesesuaian dengan Fitrah (Sifat Luaran):

Sesuatu yang disukai atau dibenci secara semula jadi.

Contoh: Menyelamatkan orang lemas adalah “baik”, manakala kesakitan adalah “buruk”.

Hukum: Akal semua manusia (mukmin atau kafir) sepakat boleh menentukannya.

2. Sifat Kesempurnaan (Kamal) atau Kekurangan (Naqs):

Contoh: Ilmu itu “baik” (sempurna), manakala jahil itu “buruk” (kurang).

Hukum: Akal juga sepakat boleh menentukan ini.

3. Hukum Syarak (Pahala & Dosa):

Adakah perbuatan itu membawa pahala (baik) atau dosa (buruk) di akhirat?

Di sinilah berlakunya perbezaan pendapat antara mazhab akidah.

Mazhab Pandangan Tentang Akal & Syarak
(Ahlus Sunnah) Akal tidak mampu menentukan pahala/dosa. Sesuatu itu “baik” kerana Allah perintah, dan “buruk” kerana Allah larang. Jika Allah perintah berbohong (misalnya), berbohong itu jadi baik.
Mu’tazilah Akal mampu menentukan baik/buruk secara bebas. Wahyu hanya datang untuk menguatkan apa yang akal sudah tahu. Bagi mereka, keadilan itu baik pada zatnya sendiri.
Asy-Sya’irah & Maturidiyah Berada di tengah-tengah. Akal boleh tahu sesuatu itu baik/buruk pada zatnya, tetapi hukuman/pahala hanya tetap (berlaku) apabila datangnya wahyu/syarak.

Jadi ini adalah masalah aqidah yang penting. Bolehkah kita menentukan baik dan buruk dengan akal semata-mata? Jawapannya tak boleh. Kelompok-kelompok ahlul kalam mereka kata boleh. Akan tetapi kita ahlul sunnah kata akal boleh tahu baik dan buruk secara umum sahaja. Tetapi bila dijelaskan secara tafsilnya akal tak boleh. Jadi bukan hati sahaja yang menentukan. Jangan ikut fahaman orang kafir yang kata ikut hati sahaja. Mereka kata kalau hati tenang, boleh teruskan.

Ini kerana hati setiap manusia pun berbeza-beza. Ada hati manusia yang telah rosak fitrahnya. Orang telah rosak fitrahnya, mereka duduk dalam suasana yang buruk dan kerana itu baik dan buruk, berbeza. Seperti orang kafir, anak-anak mereka tidak pakai apa-apa di pantai, mereka tak rasa apa.

Kemudian Nabi beritahu lagi, ثُمَّ نَزَلَ الْقُرْآنُ فَعَلِمُوا مِنَ الْقُرْآنِ وَعَلِمُوا مِنَ السُّنَّةِ iaitu setelah Al-Qur’an diturunkan, maka manusia mulai mempelajari daripada Al-Qur’an dan Sunnah dan mereka belajar apa yang betul, apa yang salah. Apa yang telah diketahui dalam hati itu telah disahkan oleh wahyu.

Kemudian Nabi menceritakan akan hilangnya amanah, يَنَامُ الرَّجُلُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ الْوَكْتِ iaitu misalan seorang lelaki sedang tidur lalu amanah itu diambil dari hatinya sehingga nampaklah bekasnya.  Kata ulama’ maksud tidur di sini ialah seseorang yang malas untuk mengaji agama betul-betul. Jadi tidur sini maksudnya lalai. Dia tidak mahu mengaji agama. Sebaliknya masanya dipenuhi dengan rehat sahaja, berjalan ke sana, jalan-jalan cari makan-makan, minum kopi sahaja kerja dia. Dia tidak mahu mempelajari dan mengkaji ayat-ayat Al-Qur’an dan Sunnah. Dia tidak mahu meluangkan masa mendengar kuliah-kuliah para alim ulama’. Kerja dia hanya memenuhi hawa nafsu dia. Hanya bekas sahaja yang tinggal.

Kemudian Nabi sambung lagi, ثُمَّ يَنَامُ النَّوْمَةَ فَتُقْبَضُ الأَمَانَةُ مِنْ قَلْبِهِ فَيَظَلُّ أَثَرُهَا مِثْلَ الْمَجْلِ كَجَمْرٍ دَحْرَجْتَهُ عَلَى رِجْلِكَ فَنَفِطَ فَتَرَاهُ مُنْتَبِرًا وَلَيْسَ فِيهِ شَىْءٌ. Ini adalah bayangan apabila diambil amanah dari hatinya sehingga bekasnya bengkak menggelembung, seperti melepuh kerana batu yang panas. Ini kerana apabila kulit terkena batu panas atau minyak panas, ia akan menggelembung. Mula-mula nampak macam ada air, lama-lama air tu hilang, tinggal gelembung sahaja, sedangkan di dalamnya itu kosong. Kita tinggalkan hadis ini kerana hadis ini panjang dan kita hendak bincangkan hadis yang lain.

Ringkasnya, kita tidak boleh mengambil jiwa sahaja untuk menentukan baik atau buruk. Akan tetapi maksud hadis ini ialah, orang yang fitrahnya baik, orang yang hatinya bersih hati, kata-kata hati ini adalah antara penolong untuk kita hendak tahu baik atau buruk. Ini kerana orang yang hatinya baik dan dia dia biasa buat baik, sekali dia hendak buat perkara jahat, hati dia akan rasa tak tenang. Tak tenang itu adalah petunjuk dan isyarat bahawa perkara itu adalah buruk dan dia tidak patut meneruskannya.

Kerana itu kita tengok, walaupun orang kafir sekali pun, mereka ada ciri-ciri ini. Sebagai contoh kita lihat isu Palestin. Mula-mula mereka buat tak tahu sahaja dengan penindasan yang dikenakan oleh rejim Zionis itu. Akan tetapi apabila mereka sudah tahu hakikat sebenar apa yang berlaku di Palestin, kita boleh nampak sekarang sudah berbondong-bondong orang kafir yang menyokong Palestin. Walaupun mereka itu bukan Muslim tapi ramai sudah sedar. Sebab apa? Sebab ini adalah fitrah manusia.

 

PENGAMALAN HADIS INI

Jadi sekarang bila kita boleh pakai kaedah guna hati ini? Kita boleh gunakan apabila tidak ada peluang untuk bertanya para ulama’ atau ustaz rujukan kita. Contohnya, kita ada satu persimpangan yang kita terpaksa membuat keputusan yang pantas. Kita tidak ada masa dan kepakaran untuk kaji sendiri ayat-ayat Al-Qur’an dan Sunnah; untuk bertanya ustaz, tidak ada yang menyahut soalan kita. Jadi pada ketika itulah kita amalkan hadis ini. Iaitu apa yang menjadikan jiwa anda rasa tak tenang, maka itu jangan dilakukan dan kalau anda tidak suka manusia tahu benda tersebut, maka berkemungkinan itu adalah satu dosa, maka janganlah buat benda tersebut. Dan ini juga termasuk dalam takrifan maksud hadis #20,

عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الأَنْصَارِي البَدْرِي – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ” رَوَاهُ البُخَارِي
Dari Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Anshari Al-Badri radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sesungguhnya di antara perkataan kenabian terdahulu yang diketahui manusia ialah jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu!’”

[Sahih Bukhari, no. 3484, 6120]

Dan apabila sudah datangnya dalil dengan nas, ketika itu sudah tak boleh lagi kita berpegang dengan rasa hati lagi. Walaupun hati kamu tak suka sekalipun, walaupun hati kamu tenang macam mana sekalipun dalam sesuatu hal, tapi kalau ia bertentangan dengan Al-Qur’an dan Hadith, maka kita tidak boleh lagi berpegang dengan hati kita. Nas mengalahkan perasaan hati kita. Allah telah berfirman di dalam Ahzab:36 

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا مُّبينًا
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Maknanya, kita kena ikut apa yang telah ditetapkan oleh syarak. Jangan kita buat hukum kita sendiri. Sebagai contoh, dalam Solat Tarawih. Ia adalah solat sunat, jadi boleh sahaja kalau kita hendak solat 8 rakaat, 20, atau 36 rakaat sekali pun. Jangan kita tetapkan mesti 20 rakaat dan orang yang solat 8 rakaat itu pemalas; begitu juga ketika puasa di dalam musafir – kita boleh pilih sama ada kita hendak puasa atau kita pilih untuk tidak berpuasa. Jangan kita kata mesti puasa kerana perjalanan senang sahaja atau kita kata tak boleh puasa kerana Nabi pernah tidak berpuasa ketika di dalam perjalanan. Selagi hukum itu memberikan pilihan, selagi kita itu kita kena biarkan ada pilihan.

Dan kalau kita ada syak, tinggalkan. Rasulullah ada bersabda,

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
“Tinggalkanlah apa yang meragukanmu (syak) menuju apa yang tidak meragukanmu.”

(HR. At-Tirmidzi no. 2518 dan An-Nasa’i no. 5711)

Penjelasan dan Kaitan dengan Diskusi Kita:

  1. Maksud “Ma Yaribuka” (Yang Meragukan): Ini merujuk kepada perkara yang apabila anda ingin melakukannya, hati anda merasa tidak tenang, gelisah, atau ada “syak” (ragu-ragu) sama ada ia halal atau haram, benar atau salah. Ini sangat berkait dengan peringkat dosa syubhat yang kita bincangkan tadi.
  2. Ketenangan Hati (Tuma’ninah): Dalam sambungan hadis ini (mengikut riwayat lain), Nabi ﷺ menjelaskan bahawa: “Kebenaran itu membawa ketenangan (tuma’ninah), manakala dusta/dosa itu membawa keraguan (riba).” 
  3. Cara Praktikal Memperbaiki Diri: Hadis ini adalah “formula ringkas” untuk mengelakkan titik hitam pada hati. Jika anda berdiri di hadapan satu pilihan dan anda rasa was-was, cara paling selamat untuk “menyelamatkan agama dan kehormatan” (seperti dalam hadis Nu’man bin Bashir) adalah dengan meninggalkannya.
  4. Menghadapi Gangguan Syaitan: Syaitan (Al-A’raf: 16-17) sering menggunakan ruang “syak” ini untuk memperdaya kita. Syaitan akan membisikkan bahawa perkara itu “tidak mengapa” atau “belum tentu dosa”. Dengan mengamalkan hadis ini, kita menutup terus pintu yang ingin dilalui oleh Syaitan. Ini seperti disebut di dalam A’raf:16-17

    قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)
    Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17) 

Jadi perkara ini amat penting kerana kita ini bukanlah tahu sangat hal agama, setakat belajar sedikit-sedikit sahaja. Tapi sekurang-kurangnya kita ambil tahulah tentang hadis sedikit sebanyak supaya tidak senang ditipu. Ini kerana sekarang sangat ramai yang mengambil kesempatan dengan kejahilan masyarakat sampai mereka berani kata macam-macam dan beri hujah yang sekali dengar, macam boleh dipakai. Akan tetapi ianya tidak disandarkan kepada dalil. Jadi kita takut ramai orang yang tidak tahu menahu tentang agama, senang sahaja ikut kata-kata orang. Tambahan pula orang yang berhujah itu nampak macam hebat dengan gelaran yang macam-macam. Jadi takut ramai tertipu. Negara kita sudahlah tidak ada badan yang menentukan perlantikan ustaz, ulama’, mudir madrasah dan sebagainya. Sesiapa sahaja boleh pilih gelaran untuk diri dia dan tidak dikawal oleh kerajaan. Ia tidak sama macam doktor yang kena ada kelulusan, jurutera, arkitek dan sebagainya. Tapi hal agama? Sesiapa sahaja boleh tempek gelaran bagi diri dia. Mudah-mudahan Allah selamatkan kita dari golongan penipu dalam agama ini. Ini adalah musibah apabila kita lebih jaga hal dunia dari kita jaga hal agama.

 

HADIS KEDUA

Dan begitulah juga kita lihat pada hadis kedua riwayat وَابِصَةَ apabila Nabi bersabda kepadanya: اِسْتَفْتِ قَلْبَكَ (Mintalah pendapat dari hatimu). Sahabat yang bernama وَابِصَةَ ini duduk jauh dari Rasulullah. Dia pula adalah pemimpin masyarakat dia dan apabila tidak ada dalil dari nas, maka beliau perlu buat keputusan juga. Mintalah fatwa dari hatimu, iaitu apabila hatimu itu sudah rujuk pada Al-Qur’an dan Sunnah. Dan kebaikan itu apa yang jiwa dan hati tenang kerananya. Jiwa dan hati tenang dengan keputusan itu kerana bertepatan dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Bukan jiwa yang tenang dengan kemaksiatan. Maksud jiwa tenang kerana telah mengikuti perintah Allah.

Tentang hadis kedua ini, walaupun maknanya sangat masyhur, terdapat beberapa kritikan dan perbincangan ulama dari sudut sanad (rantaian perawi) serta matan (teks hadis) agar ia tidak disalah fahami. Berikut adalah ringkasan kritikan dan penjelasan ulama:

1. Kritikan Terhadap Sanad (Rantaian Perawi)

Secara teknikal, sanad hadis riwayat Wabishah ini dianggap lemah (dhaif) jika dilihat secara individu oleh sebahagian ulama hadis. Kelemahan Perawi: Dalam salah satu sanadnya, terdapat perawi bernama Az-Zubair Abu Abdissalam yang dinilai lemah oleh Imam Ad-Daulabi. Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi dan Imam Ahmad mengategorikannya sebagai Hasan (baik) kerana ia mempunyai sokongan (syawahid) daripada hadis-hadis lain yang semaksud, seperti hadis daripada An-Nawwas bin Sam’an yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Siapakah وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَدٍ? Wasibah ini sahabat Nabi. Tapi Wasibah ini bila diperiksa di dalam kitab-kitab menceritakan tentang sahabat, tidak banyak maklumat tentang beliau. Orang semua cerita yang Wasibah ini seorang yang kuat melakukan ibadat dan dia kuat menangis. Dan orang tahu bahawa dia salah seorang daripada Bani Asad yang masuk Islam tahun ke-9. Tetapi, maklumat tentang beliau tak banyak diceritakan dalam kitab-kitab hadith. Yang pasti beliau adalah seorang sahabat seperti disebut oleh Ibn Hajar, Ibn Sa’ad dan juga ramai orang lain. Dia seorang sahabat.

Hadis yang disebut di dalam Hadis 40 Imam Nawawi ini adalah hadis yang diringkaskan. Ada hadis yang lebih panjang,

عَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَدٍ الأَسَدِيِّ رضي الله عنه قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ لاَ أَدَعَ شَيْئًا مِنَ الْبِرِّ وَالإِثْمِ إِلاَّ سَأَلْتُ عَنْهُ، وَإِذَا عِنْدَهُ عِصَابَةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَسْتَفْتُونَهُ، فَجَعَلْتُ أَتَخَطَّاهُمْ، فَقَالُوا: “إِلَيْكَ يَا وَابِصَةُ عَنْ رَسُولِ اللهِ، إِلَيْكَ يَا وَابِصَةُ!”

فَقُلْتُ: “دَعُونِي فَأَدْنُوَ مِنْهُ، فَإِنَّهُ أَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ أَنْ أَدْنُوَ مِنْهُ.” فَقَالَ: “ادْنُ يَا وَابِصَةُ، ادْنُ يَا وَابِصَةُ!”

فَدَنَوْتُ مِنْهُ حَتَّى مَسَّتْ رُكْبَتِي رُكْبَتَهُ، فَقَالَ: “يَا وَابِصَةُ، أُخْبِرُكَ مَا جِئْتَ تَسْأَلُنِي عَنْهُ أَوْ تَسْأَلُنِي؟” قُلْتُ: “يَا رَسُولَ اللهِ، بَلْ أَخْبِرْنِي.” قَالَ: “جِئْتَ تَسْأَلُنِي عَنِ الْبِرِّ وَالإِثْمِ؟” قُلْتُ: “نَعَمْ.”

فَجَمَعَ أَصَابِعَهُ الثَّلاَثَ، فَجَعَلَ يَنْكُتُ بِهَا فِي صَدْرِي وَيَقُولُ: “يَا وَابِصَةُ، اسْتَفْتِ نَفْسَكَ، اسْتَفْتِ قَلْبَكَ (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ)، الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ، وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ، وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ.”

Dari Wabishah bin Ma’bad Al-Asadi radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Aku datang menemui Rasulullah SAW dan aku tidak membiarkan satu pun perkara daripada kebaikan dan dosa melainkan aku ingin bertanyakannya kepada baginda. Ketika itu, di sekeliling baginda terdapat sekumpulan orang Islam. Aku mula melangkah melalui orang ramai untuk mendekati baginda. Orang ramai berkata: ‘Jauhkan dirimu wahai Wabishah! Jauhlah dari Rasulullah!'”

“Lalu aku berkata: ‘Biarkan aku mendekati baginda, kerana baginda adalah orang yang paling aku cintai untuk aku dekati.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda: ‘Mendekatlah wahai Wabishah, mendekatlah!'”

“Maka aku pun mendekati baginda sehingga lututku menyentuh lutut baginda. Kemudian baginda bersabda: ‘Wahai Wabishah, mahukah engkau jika aku khabarkan kepadamu apa yang engkau datang untuk tanyakan, atau engkau sendiri yang mahu bertanya?'”

“Aku menjawab: ‘Khabarkanlah kepadaku wahai Rasulullah.’ Maka baginda bersabda: ‘Engkau datang untuk bertanya mengenai al-Birr (kebaikan) dan al-Ithm (dosa).'”

Hadis ini direkodkan dalam beberapa kitab utama dengan sanad yang saling menguatkan:

  1. Musnad Ahmad: Hadis no. 18006 (jilid 4, m/s 227-228).
  2. Sunan Ad-Darimi: Hadis no. 2533.
  3. Al-Mu’jam al-Kabir oleh At-Tabarani: Jilid 22, m/s 146.
  4. Arba’in An-Nawawiyah: Hadis ke-27 (versi ringkas).

Perbezaan Utama dengan Versi Pendek:

a. Keajaiban Nubuwwah: Dalam versi panjang, ditonjolkan mukjizat baginda yang mengetahui isi hati Wabishah sebelum soalan diajukan.

b. Ketinggian Akhlak: Menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW melayan para sahabat dengan mesra walaupun dalam keadaan orang ramai yang sesak.

c. Kesungguhan Menuntut Ilmu: Menggambarkan kesungguhan Wabishah untuk memahami hakikat dosa dan pahala sehingga sanggup menyelit di celah orang ramai.

Satu lagi yang kita kena sentuh adalah kata Nabi: أُخْبِرُكَ مَا جِئْتَ تَسْأَلُنِي عَنْهُ أَوْ تَسْأَلُنِي؟ (mahukah engkau jika aku khabarkan kepadamu apa yang engkau datang untuk tanyakan, atau engkau sendiri yang mahu bertanya?) Ini seolah-olah Nabi tahu perkara ghaib pula. Ada banyak hadis yang menyebut Nabi tahu perkara ghaib. Akan tetapi kita kena faham bahawa Allah sahaja yang ada ilmu ghaib. Kalau para Nabi menyebut tentang maklumat yang manusia lain tidak tahu, itu adalah kerana mereka mendapat wahyu dari Allah. Ini seperti disebut di dalam Jinn:26-27,

عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَىٰ غَيْبِهِۦٓ أَحَدًا (٢٦) إِلَّا مَنِ ٱرْتَضَىٰ مِن رَّسُولٍۢ فَإِنَّهُۥ يَسْلُكُ مِنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ رَصَدًا (٢٧)
“(Tuhan) yang mengetahui perkara ghaib, maka Dia tidak mendedahkan rahsia ghaib-Nya itu kepada sesiapapun (26), melainkan kepada mana-mana rasul yang dipilih-Nya (untuk mengetahui mana-mana bahagian dari perkara ghaib itu); maka Dia mengadakan di hadapan serta di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga serta mengawasnya (27).”

2. Kritikan Terhadap Salah Faham Matan

Para ulama memberikan kritikan keras terhadap mereka yang menyalahgunakan ungkapan “اِسْتَفْتِ قَلْبَكَ” (mintalah fatwa kepada hatimu) untuk menghalalkan apa yang haram.

Bukan Untuk Perkara yang Jelas Hukumnya: Hadis ini tidak boleh digunakan untuk perkara yang sudah mempunyai dalil jelas dalam Al-Qur’an atau Sunnah. Jika Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan sesuatu (seperti riba atau zina), seseorang tidak boleh berkata, “Hati saya rasa ia baik,” kerana itu adalah kesesatan. Jadi hadis ini hanya untuk orang tertentu sahaja. “Hati” yang dimaksudkan oleh Nabi di dalam hadis ini adalah hati orang yang beriman, bertakwa, dan berilmu. Hati seorang pelaku maksiat yang sudah gelap tidak lagi dapat membezakan antara kebaikan dan dosa kerana fitrahnya telah rosak.

Hanya Untuk Perkara Syubhat: Hadis ini hanya terpakai dalam situasi syubhat (samar-samar), iaitu apabila terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli agama atau tiada dalil yang jelas, lalu jiwa merasa ragu-ragu untuk melakukannya.

3. Konteks “Meskipun Manusia Memberi Fatwa”

Ungkapan وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ “walaupun orang ramai memberi fatwa kepadamu” dikritik jika ditafsirkan sebagai “menolak hukum ulama”. Ulama menjelaskan maksudnya adalah: Jika seseorang meminta fatwa dan mufti memberikan kelonggaran berdasarkan zahir kata-katanya, tetapi individu itu tahu dalam hatinya ada niat yang tidak betul atau ada keraguan yang mendalam, maka dia tidak patut melakukan perkara tersebut atas dasar warak (berhati-hati).

Jadi di dalam dosa ini kita boleh bahagikan kepada dua jenis. Dalam ilmu Islam, perbezaan pandangan ini berkaitan dengan batasan antara hal yang jelas (bayyin) dan hal yang samar (syubhat). Nabi Muhammad ﷺ telah menjelaskan fenomena ini dalam sebuah hadits yang sangat fundamental,

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat (samar) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang…”

(Sahih Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599)

Ada dosa yang semua orang tahu ia berdosa, tidak syak lagi. Akan tetapi ada jenis dosa-dosa yang tidak jelas, jadi memerlukan pandangan dan keputusan dari orang lain. Berikut adalah penjelasan untuk dua peringkat tersebut:

1. Peringkat Pertama: Dosa yang Jelas (Al-Ma’lum minad-Din bid-Dharurah)

Ini adalah dosa yang “semua orang tahu” dan tidak ada perdebatan di dalamnya. Dalilnya qath’i (pasti) di dalam Al-Qur’an dan Hadits. Jelas hukumnya, disepakati oleh seluruh ulama, dan bahkan orang awam pun tahu itu haram. Contoh: Syirik (mempersekutukan Allah), zina, membunuh tanpa hak, mencuri, durhaka kepada orang tua, dan memakan riba.

2. Peringkat Kedua: Perkara Syubhat (Samar-samar)

Inilah jenis dosa yang ada yang kata dosa, ada yang kata tidak. Hal ini muncul kerana dalilnya mungkin bersifat umum atau terjadi perbezaan ijtihad di kalangan ulama dalam melihat konteks zaman. Mengapa terjadi perbezaan? Kerana ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan sebuah dalil. dan ini kerana perkembangan zaman yang menimbulkan masalah baru yang belum ada di zaman Nabi (seperti hukum transaksi digital tertentu, insurans, atau jenis makanan moden). Contoh: Hukum merokok (sebahagian ulama mengharamkan, sebahagian lain memakruhkan).

Pada peringkat kedua inilah yang kita memerlukan fatwa dari mufti atau dari orang yang ada ilmu agama. Tapi bagaimana sikap kita terhadap peringkat kedua ini? Nabi ﷺ memberikan solusi yang sangat cerdas dalam sambungan hadits syubhat tadi:

Wara’ (Berhati-hati): “Barangsiapa yang menjauhi perkara syubhat, maka ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.” Jika ragu, lebih baik tinggalkan. Ini adalah tingkatan orang yang ingin memperbaiki diri secara maksimal.

Dan lihat hadis yang kita sedang belajar ini. Iaitu apabila kita rasa tidak sedap hati, maka itu berkemungkinan dosa, walaupun ada sahaja orang lain yang kata ia tidak berdosa. Maka di sinilah yang kita kena amalkan hadis ini.

Selain dari itu kita jangan lelah mencari ilmu. Kerana Nabi menyebut syubhat tidak diketahui oleh “kebanyakan orang”, ertinya ada “sebagian orang” (para ulama) yang tahu hukum pastinya. Maka tugas kita adalah bertanya kepada yang ahli.

Kesimpulannya: Hadis ini adalah panduan moral untuk ketenteraman jiwa (psikologi mukmin) dalam menghadapi perkara yang meragukan, dan bukannya alat untuk mencipta hukum sendiri atau mengetepikan hukum syarak yang sudah tetap.

Oleh itu, kalimat ‘meskipun orang bagi fatwa kepadamu’ maksudnya apa? Maksudnya katakan ada seseorang bagi fatwa, tetapi yang kita tengok dalam Al-Qur’an dan Sunnah lain dari apa yang difatwakan. Ini setelah kita banyak bertanya dan kaji lagi sesuatu permasalah itu. Ketika itu kita hendak ambil fatwakah atau hendak ambil Al-Qur’an dan Sunnah? Mana yang jiwa kamu tenang? Tentu sekali jiwa kita tenang dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Tenang itu asasnya daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Nanti kamu akan jadi tenang bila kamu ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Apa sahaja yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan pasti akan menimbulkan keraguan.

Begitu juga kita sepatutnya takkan tenang dengan apa yang bertentangan dengan prinsip asas Islam. Prinsip asas Islam ialah keadilan. Jadi kalau ia berlawanan dengan prinsip keadilan, tentu kita tidak boleh terima, bukan? Sebagai contoh dalam kes isteri dipukul dan ada ustaz dari mana entah bagi fatwa para isteri kena bersabar supaya dapat payung emas di akhirat. Tak mungkin hati kita dapat tenang dengan fatwa sebegini, bukan? Jadi di sini pun hati kita sendiri sudah boleh fatwa yang ini adalah pendapat yang mengarut dan tidak terus boleh pakai. Kita KIV untuk kita periksa dengan ustaz yang lebih alim. Kerana kita kena ingat yang bukan semua ustaz itu pandai. Ada yang dimasukkan ke sekolah agama kerana tidak pandai, kerana nakal dan sebagainya. Jadi walaupun mereka itu keluar sekolah agama, mereka tetap lagi tidak pandai dari segi IQ dan tetap ada lagi nakalnya. Jadi kita kena berhati-hati dan jangan terus terima kata-kata setiap ustaz.

Begitu juga jiwa kita takkan tenang dengan fatwa yang menghalalkan riba. Suatu masa dahulu pernah keluar fatwa sebegini di Mesir. Hujah yang digunakan adalah kerana riba sekarang bukanlah riba zaman Nabi, tapi ia adalah faedah dari  bank. Maka digunakan istilah untuk memusing hukum. Jiwa kita tak tenang dengan fatwa sebegini kerana kita tahu hukum asas mengambil harta orang dengan cara yang tidak halal adalah haram. Walaupun kita tak mengaji ilmu agama dengan banyak, kemudian yang keluarkan fatwa itu pula seorang mufti yang dipandang hebat, tapi kenapa jiwa kita asyik tidak tenang dengan fatwa sebegitu? Kerana kita nampak ia bertentangan dengan nas yang ada. Adakah kita lebih alim daripada mufti? Tentu tidak. Tapi Nabi kata, kebaikan itu, apa yang jiwa kamu rasa tenang dengannya. Jadi Nabi sambung lagi, walaupun orang fatwa kamu macam mana pun, jika jiwa kamu tak tenang, jangan terima.

Jadi kesimpulan hadis ini pertama sekali, tenang itu tenang dengan Nas. Yang kedua, tak boleh memakai akal ketika ada kewujudan nas. Dan yang ketiga, untuk mengamalkan hadith ini, ketika ketiadaan nas dan ketika tidak ada peluang untuk kita bertanya kepada para ulama.

 

FAEDAH HADIS

Pertama: Kata para ulama, al-birr boleh bermakna silaturahim (menjalin hubungan dengan kerabat). Kadang juga boleh bermakna cara bergaul yang baik. Juga al-birr boleh bermakna ketaatan. Semua ini termasuk bahagian dari husnul khuluq (akhlak yang mulia). Demikian penjelasan Imam Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim.

Kedua: Akhlak yang mulia adalah bentuk kebaikan yang paling utama.

Ketiga: Akhlak yang mulia (husnul khulq) adalah berakhlak dengan akhlak yang sesuai syari’at dan beradab dengan adab yang diajarkan oleh Allah kepada hamba-Nya.

Keempat: Al-birr (kebaikan) dimutlakkan untuk setiap perbuatan ketaatan yang lahir mahupun yang batin. Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ah Al-Fatawa menyebutkan bahawa al-birr adalah segala bentuk perintah Allah.

Kelima: Al-birr juga boleh dimaknakan dengan lawan dari ‘uquq (durhaka). Sehingga ada istilah birul walidain, berbuat baik kepada kedua orang tua. Al-birr dalam istilah bermakna berbuat baik dan menyambung hubungan dengan kedua orang tua.

Keenam: Al-birr juga kadang dikaitkan dengan takwa. Pada saat ini, al-birr bererti menjalankan konsekuensi keimanan dan berakhlak mulia. Sedangkan takwa bererti menjauhi segala yang Allah larang berupa kekufuran, kefasikan, dan maksiat.

Ketujuh: Husnul khuluq (berakhlak baik) boleh terjadi kepada manusia dan boleh jadi kepada Allah. Berakhlak kepada Allah mencakup menjalankan kewajiban, menjalankan hal sunnah, meninggalkan keharaman, juga meninggalkan yang makruh.

Kedelapan: Itsm atau dosa yang dimaksudkan dalam hadits adalah semua jenis dosa.

Kesembilan: Yang dimaksud engkau tidak suka jika dosa itu nampak di sisi manusia. Manusia yang dimaksudkan di sini adalah orang berilmu dan faham agama. Kalau yang melihatnya sama-sama juga ahli maksiat, maka tidak akan punya rasa seperti itu.

Kesepuluh: Hadits ini menunjukkan dorongan untuk berakhlak mulia.

Kesebelas: Dari hadits, dosa itu punya dua tanda: (1) tanda dalaman, iaitu jiwa merasa tidak tenang ketika melakukannya; (2) tanda luaran, iaitu tidak senang dilihat oleh orang lain dan takut mendapatkan celaan mereka.

Kedua belas: Hadits ini menunjukkan bagaimanakah motivasi sahabat dalam mengenal halal dan haram, serta mengenal al-birr dan al-itsm.

Ketiga belas: Orang yang punya fitrah yang baik, malu untuk berbuat dosa dan malu untuk menampakkannya.

Keempat belas: Hendaknya seorang muslim mendahulukan dalam urusan agamanya hal-hal yang jelas halalnya dibandingkan yang syubhat.

Kelima belas: Orang mukmin yang takut kepada Allah tidaklah melakukan sesuatu yang tidak menenangkan jiwanya walau ada fatwa yang membenarkannya dari luar selama itu bukan perkara yang jelas dalam syariat seperti berbagai rukhsah (keringanan).

Keenam belas: Boleh merujuk pada hati dengan syarat hati yang dirujuk adalah hati dari orang yang istiqamah dalam agama. Kerana Allah akan menguatkan orang yang berilmu dengan niatnya yang lurus.

Ketujuh belas: Janganlah seseorang tertipu dengan fatwa manusia lebih-lebih lagi jika ia dapati dalam dirinya kebimbangan. Kerana ada seseorang yang meminta fatwa pada seorang alim atau seorang penuntut ilmu, lantas dirinya masih dalam keadaan penuh keraguan, maka keadaan seperti ini boleh membuatnya bertanya pada alim lainnya.

Kelapan belas: Kaedah dalam menerima kebenaran adalah berpegang pada dalil, bukan pada sesuatu yang sudah masyhur di tengah-tengah manusia. Kerana dalam hadits disebutkan, “meskipun manusia memberi fatwa kepadamu”.

Kesembilan belas: Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah mengatakan, “Jika sesuatu sudah ada dalilnya, maka hendaklah seorang mukmin tunduk pada Allah dan Rasul-Nya sebagaimana Allah Ta’ala berfirman di dalam Ahzab:36,

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.”

Hendaklah dia terima dengan lapang dada dan redha. Setiap syariat Allah hendaklah dia imani, redha, dan taslim (berserah diri) sebagaimana dalam ayat Nisa’:65,

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Adapun jika sesuatu tidak ada dalil dari Allah dan Rasul-Nya, juga tidak ada contoh dari sahabat dan salafus shalih, apabila seseorang sudah tenteram dengan iman dan yakin, lalu hatinya jadi ragu dengan syubhat, dan tidak ada yang memberikan keringanan dalam fatwa kecuali orang yang menggunakan hanya logiknya, padahal orang tersebut tidak dipercayai dari segi ilmu dan agamanya, bahkan dia dianggap adalah pengikut hawa nafsu, dalam keadaan seperti ini, maka hendaklah seorang mukmin merujuk pada hatinya, walaupun berbeza dengan komentar orang yang berfatwa di sekitarnya.”

Glosari Istilah Penting

Adab (أدب): Cara melakukan sesuatu atau bermuamalah mengikut ketetapan syariat. Ia adalah manifestasi luaran daripada akhlak.

Akhlak (أخلاق): Keadaan atau postur jiwa yang tetap (hay’atu an-nafs) yang menjadi pendorong dalaman kepada perbuatan. Contohnya termasuk sabar, redha, dan tawakal.

Al-Birr (البر): Kebajikan atau kebaikan. Dalam hadis, ia ditakrifkan sebagai husnul khuluq (akhlak yang baik) dan merangkumi segala bentuk ketaatan.

Al-Ithm (الإثم): Dosa. Ditakrifkan sebagai sesuatu yang menggelisahkan jiwa dan perbuatan yang seseorang tidak mahu ia diketahui oleh orang lain.

Ar-Raan (الران): Penutup atau selaput yang menutupi hati akibat dosa yang dilakukan secara berterusan tanpa taubat, menyebabkan hati menjadi hitam dan keras.

Fitrah (فطرة): Sifat semula jadi yang suci yang Allah ciptakan pada setiap manusia, yang cenderung kepada kebaikan dan mengenali kebenaran.

Husnul Khuluq (حسن الخلق): Akhlak yang baik atau mulia, yang merupakan takrifan bagi Al-Birr dalam hadis.

Istifti Qalbak (استفت قلبك): Nasihat Nabi yang bermaksud “mintalah fatwa kepada hatimu”. Ini diamalkan dalam keadaan syubhat apabila tiada dalil yang jelas atau ulama untuk dirujuk.

Mutarādifāt (مترادفات): Bidang ilmu berkaitan sinonim dalam Bahasa Arab. Teks ini menjelaskan bahawa sinonim sempurna jarang wujud dalam Al-Qur’an, dan setiap kalimah membawa nuansa makna yang unik.

Nas (نص): Teks atau dalil yang jelas dan putus daripada Al-Qur’an atau As-Sunnah. Apabila wujud nas, perasaan hati tidak lagi boleh dijadikan hujah.

Syubhat (شبهات): Perkara yang samar-samar atau diragui hukumnya (antara halal dan haram) kerana tiada dalil yang jelas atau terdapat perbezaan ijtihad ulama.

Al-Tahsin wa Al-Taqbih (التحسين والتقبيح): Konsep dalam ilmu kalam dan usul fiqh mengenai penentuan sama ada sesuatu itu baik (tahsin) atau buruk (taqbih), dan sama ada penentuan itu boleh dibuat oleh akal atau bergantung sepenuhnya pada wahyu.

Taqwa (تقوى): Secara khusus, ia merujuk kepada meninggalkan kemaksiatan dan menjaga diri daripada perkara haram. Secara umum, ia merangkumi pelaksanaan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Wara’ (ورع): Sifat berhati-hati dengan meninggalkan perkara syubhat untuk menjaga agama dan kehormatan diri.

Kemaskini: 2 Februari 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Ustaz Dr. Salman Ali

Rumaysho