Pengenalan kepada Ilmu Balaghah
Ilmu Balaghah adalah salah satu cabang sains bahasa Arab yang paling tinggi dan indah. Jika ilmu Nahu menjaga lidah daripada kesalahan baris (gramatik), maka ilmu Balaghah berfungsi untuk memastikan kata-kata itu tepat, indah, dan memberi kesan kepada pendengar.
Secara ringkasnya, Balaghah bermaksud: Menyampaikan kalam yang fasih mengikut kesesuaian keadaan, masa, dan orang yang mendengar (Muqtadha al-Hal).
Ilmu Balaghah dibahagikan kepada tiga bidang utama yang mempunyai fungsi berbeza:
1. Ilmu Al-Ma’ani (علم المعاني). Dari segi bahasa, Al-Ma’ani (المعاني) adalah kata jamak bagi perkataan Al-Ma’na (المعنى). Ilmu ini mengkaji bagaimana menyusun ayat supaya bertepatan dengan situasi pendengar. Perkataan ini mempunyai kaitan dengan perbuatan “menzahirkan” makna sesuatu. Pakar bahasa menyebut bahawa Al-Ma’na adalah apa yang dizahirkan oleh seseorang daripada jiwanya melalui kata-kata untuk difahami oleh orang lain. Ia dipanggil Al-Ma’ani dalam Balaghah kerana ilmu ini mengkaji pelbagai maksud yang tersirat di sebalik satu-satu struktur ayat, bergantung kepada keadaan atau maqam (situasi). Jika anda berkata kepada kawan yang sedang lapar, “Kedai makan sudah buka”, maknanya bukan sekadar memberi berita, tetapi maksud tersiratnya adalah mengajak dia pergi makan. Ilmu Al-Ma’ani adalah ilmu yang mengkaji “tujuan-tujuan” tersirat seperti ini.
Fungsi: Memastikan ayat tidak terlalu panjang (membosankan) atau terlalu pendek (tidak faham). Ia adalah ilmu untuk memahami dan menggali apakah lapisan kedua kepada makna-makna dalam Al-Qur’an yang diberikan. Adakah ia dengan maksud hakikinya ataupun ada maksud yang lain? Dan apakah kesesuaian-kesesuaian penggunaan laras-laras dengan keadaan di dalam ayat itu. Kita akan cuba memahami, adakah ayat ini sedang memuji? Nampaknya macam memuji tapi sebenarnya bukan memuji pun tapi mengeji. Adakah ayat ini sedang menyuruh? Nampaknya macam menyuruh tapi sebenarnya bukan menyuruh pun tapi hanya memberitahu. Dan ada banyak lagi perbahasan apabila kita sampai kepada tempatnya nanti.
Contoh: Cara kita bercakap dengan orang yang yakin adalah berbeza dengan orang yang ragu-ragu. Kepada orang yang ragu-ragu, kita perlu menambah “penguat” (Taukid) seperti perkataan “Sesungguhnya…”.
Para ulama’ membahagikan Ilmu Ma’ani kepada beberapa komponen:
A. Ayat Khabari (كلام خبري) dan Ayat Insya’i (كلام إنشائي).
Al-Khabar (الخبر) – (Ayat Penyata) membincangkan tentang ayat yang mengandungi maklumat yang boleh dihukum “benar” atau “salah”. Fokusnya adalah bagaimana menyampaikan berita mengikut tahap pengetahuan pendengar. Contoh: Memberi berita kepada orang yang tidak tahu vs orang yang ragu-ragu vs orang yang ingkar.
Al-Insya’ (الإنشاء) – (Ayat Tuntutan) membincangkan ayat yang tidak boleh dihukum benar atau salah kerana ia berbentuk tuntutan atau perasaan.
Seni balaghah ini kita dapat apabila Al-Qur’an gunakan ayat penyata tapi bukan dengan maksud penyata. Dan ini hanya boleh ditangkap oleh pembaca Al-Qur’an yang cerdik sahaja atau telah belajar Ilmu Balaghah.
Ayat Khabar ini adalah ayat penyata, ayat informatif, ayat yang memberitahu. Ia dibezakan dengan satu lagi jenis iaitu Ayat Insya’i. Ayat Insya’i adalah kalam yang tidak mengandungi unsur benar atau bohong, tetapi berbentuk perintah, larangan, doa, seruan, atau pertanyaan. Dengan kata lain, ayat khabar menyampaikan maklumat, manakala ayat insya’ mencetuskan tindakan atau respon. Ayat Khabar pula boleh mengandungi benar atau tidak kerana ia hendak memberitahu sesuatu. Dan pemberitahuan itu mungkin betul dan mungkin salah.
Contohnya kalau seseorang memberitahu: “Saya sudah makan”, ia boleh jadi betul atau tak betul. Kita boleh persoalkan dan kita boleh periksa ia betul atau tidak. Ini adalah bentuk ‘Ayat Khabar’. Tapi kalau seseorang itu kata, “jom makan”, ini bukan ayat penyata dan dalam kata-kata ‘jom makan’, tidak boleh kita katakan dia berbohong sebab dia hanya mengajak.
Ayat khabar: maknanya sudah ada dalam realiti, lalu disampaikan. Contoh: “Matahari terbit dari timur.”
Ayat insya’: maknanya tidak wujud sebelum diucapkan, tetapi tercipta dengan ucapan itu sendiri. Contoh: “Bangunlah!” — perintah itu hanya wujud apabila ia diucapkan. Istilah insya’ (إنشاء) dalam ilmu balaghah berasal daripada kata kerja Arab نشأ yang bermaksud “membentuk, mencipta, mengadakan sesuatu yang baru.” Maka, ayat insya’ digelar demikian kerana ia menghasilkan makna pada ketika ia diucapkan, bukan sekadar memberitahu sesuatu yang sudah wujud. Maknanya bukan sekadar menyampaikan berita, melainkan mengandung unsur permintaan, harapan, ancaman, doa, nasihat, celaan, atau pujian.
Di dalam Ilmu Balaghah, kita akan selidiki sesuatu ayat itu dan kita tentukan adalah ia Ayat Khabar atau Ayat Insya’. Kerana mungkin ada ayat yang nampak seperti khabariyah tetapi sebenarnya tidak. Kerana kadangkala sesuatu ayat itu bukan ayat berita, tapi sebenarnya untuk meminta. Ini kita akan bincangkan lagi.
B. Az-Zikru wal Hazf (الذكر والحذف)
Dalam Ilmu Ma’ani, Az-Zikru wal Hazf (الذكر والحذف) adalah seni yang timbul apabila kita perlu menyebutkan sesuatu perkataan secara jelas dan bila pula kita perlu membuang (menyembunyikan) perkataan tersebut. Ini bukan soal “lupa” atau “sengaja mahu meringkaskan”, tetapi setiap keputusan untuk menyebut atau membuang itu mempunyai rahsia balaghah yang tersendiri.
Az-Zikru (الذكر) – Menyebutkan Perkataan
Al-Hazf (الحذف) – Membuang Perkataan. Pengguguran.
Kadang-kadang di dalam satu ayat kita tak perlu kesemua 10 maklumat yang ada di dalamnya. Kadang kita hanya perlu memilih satu perkataan sahaja yang sudah merangkumi 10 maklumat yang kita hendak sampaikan. Atau pun ada ketika kita nak panjangkan ayat itu, walaupun sepatutnya ia sudah cukup, tapi kita nak lebihkan. Perlu diketahui bahawa untuk menggugurkan atau untuk menambah perkataan ini memerlukan kepada kepandaian dalam memilih. Kalau kita tersalah gugur, mungkin maksudnya akan ada kecacatan. Ataupun kalau kita tersalah menambah, ia jadi macam meleret-leret pula. Ditakuti kita mengulang ulang benda yang sama.
Ini ada salah satu keindahan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Ada perkara yang tidak perlu disebut secara terperinci. Contohnya kita menonton satu adegan di dalam filem, kita sudah boleh menjangka perkara yang telah berlaku tanpa perlu ditunjuk. Contohnya mungkin adegan pergaduhan yang tak boleh ditunjuk pun pergaduhan itu. Kita tengok scene selepasnya pun kita sudah boleh faham telah berlaku pergaduhan kerana keadaan sudah berterabur. Jadi sudah berlaku حذف di sini. Kita boleh tahu dari qarinah-qarinah (tanda-tanda) yang ada. Maka ia sama juga dengan kalam. Kita tak perlu pun menyebut kesemuanya bila sudah ada qarinah-qarinah yang ada dalam kalam itu sendiri.
Tapi mesti pandai menggunakannya, sepertimana memerlukan pengarah yang pandai menggunakan method dalam babak-babak supaya penonton boleh faham. Kerana kalau digugurkan satu babak yang boleh memutuskan jalan cerita sampai akhirnya penonton tak faham dengan perguguran itu, menyebabkan babak itu jadi tak cantik.
Begitu juga dengan penambahan. Kalau berlaku penambahan, mesti bertepatan dan bukannya pengulangan yang tak diperlukan pun. Kalau kita gunakankan analogi babak filem, kadangkala ada scene yang diulang untuk menyampaikan sesuatu. Mungkin pengarah hendak menekankan tentang perkara yang mungkin penonton terlepas pandang. Maka kerana itu pengarah letakkan satu flashback yang sebelumnya tidak ditunjuk akan tetapi kali ini daripada sudut yang lain. Apabila ada flashback daripada sudut pandang yang lain, maka semakin jelas kepada penonton apa yang telah berlaku.
C. Al-Qasr (القصر)
Dari segi bahasa bermaksud “menahan” atau “memenjarakan”. Dalam istilah ilmu Balaghah (khususnya Ilmu Ma’ani), ia bermaksud: Mengkhususkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain dengan cara yang tertentu. Atau kita kata membataskan sesuatu.
Secara mudahnya, Qasr adalah teknik untuk menyatakan “hanya” atau “saja”. Ia bertujuan untuk menghilangkan keraguan atau menafikan penglibatan pihak lain dalam sesuatu sifat atau perbuatan.
Dalam bahasa Melayu, pembatasan ini kita tunjukkan dengan menggunakan kata-kata bantu seperti ‘hanyalah’, ‘cumalah’, ‘tiada yang lain’. Dalam bahasa Arab, ia tak perlu digunakan. Bahasa Arab tidak memerlukan kata pembatas maka tidaklah perlu kita sentiasa sebut فقد setiap kali. Dari segi penggunaan, penyusunan sahaja, kita sudah dapat tahu bahawa telah berlaku القصر. Tapi apabila kita terjemah, kita kena masukkan kalimah ‘hanyalah, ‘cumalah’ dan sebagainya.
D. Al-Fashl (الفصل) dan Al-Washl (الوصل)
Ia sering dianggap sebagai “jantung” atau kemuncak kepada Ilmu Ma’ani. Malah, sebahagian ulama Balaghah mendefinisikan Balaghah itu sendiri sebagai: “Mengetahui bila masanya untuk Al-Fashl dan Al-Washl.”
Al-Washl (الوصل) Secara bahasa bermaksud “menyambung”. Dalam istilah, ia bermaksud menyambung dua ayat dengan menggunakan huruf و (dan).
Al-Fashl (الفصل) Secara bahasa bermaksud “memisah”. Dalam istilah, ia bermaksud meletakkan dua ayat berturutan tanpa menggunakan huruf penyambung و.
Topik ini penting kerana penggunaan atau pengguguran huruf و boleh mengubah ritma, penekanan, dan makna ayat secara drastik. Dalam Al-Qur’an, ketelitian letaknya huruf و ini adalah bukti kehebatan susunan wahyu. Sekecil huruf و pun ada maksudnya tersendiri dan meninggalkan و ataupun memasukkan و, ia mempengaruhi makna. Ini disebut dalam bab Al-Fashl wa Al-Washl. Washl secara bahasa ertinya menyambung. Dalam konteks ini, kita menggunakan huruf athaf (sambung) iaitu Waw (و) untuk menghubungkan dua kalimat. Fashl pula secara bahasa ertinya memisah. Kita terus menyebutkan kalimat kedua setelah kalimat pertama tanpa kata sambung.
Di dalam Nahu Bahasa Arab, و berfungsi sebagai kata penyambung Dan و ini dibahaskan dengan panjang, kerana ia berbeza dengan athaf-athaf yang lain seperti ثم, ف لكن, ب dan sebagainya. Ini kerana athaf و mempunyai fungsi yang sangat luas. ‘Athaf’ bermaksud bahawa sesuatu benda itu dekat dengan sesuatu benda yang lain. Maksudnya ada penghubung dan bila ada penghubung, maknanya benda itu asalnya berbeza. Kadangkala ia digunakan dan kadangkala tidak. Kedua-dua keadaan ini memberi makna balaghah yang berbeza yang kita akan bincangkan.
Ada beberapa keadaan utama di mana kita harus menggunakan Fashl:
i. Kamalul Ittishal كمال الاتصال (Persambungan Sempurna). Ini adalah apabila kalimat kedua atau ayat kedua sebenarnya adalah “bahagian” dari kalimat pertama, sehingga tidak perlu diletakkan “dan”. Ini terjadi jika kalimat atau ayat kedua berfungsi sebagai Taukid, Bayan, atau Badal. Contoh dalam bahasa kita yang biasa: “Itu adalah saudaramu, dia yang membantumu kelmarin.” (Kita tidak perlu sebut “dan dia yang membantumu” kerana orangnya sama).
Di dalam Al-Qur’an, ini berlaku apabila ayat atau kalimah kedua mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ayat atau kalimah pertama sehingga seolah-olah ia adalah ayat yang sama. Terdapat tiga keadaan di bawah kategori ini:
• Taukid (Pengukuhan): Ayat kedua menguatkan ayat pertama. Contoh: أَمَدَّكُمْ بِمَا تَعْلَمُونَ * أَمَدَّكُمْ بِأَنعٰمٍ وَبَنِينَ “yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak” (Syu’ara:132-133). Ayat kedua mengukuhkan ayat pertama.
• Bayan (Penjelasan): Ayat kedua menjelaskan kekaburan pada ayat pertama. Contoh: فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam” (Taha:120). Kata “قَالَ” menjelaskan bagaimana syaitan membisikkan godaan tersebut.
• Badal (Pengganti): Ayat kedua menjadi pengganti kepada ayat pertama (sama ada sebahagian atau keseluruhan maksud). Contohnya محمد رسول الله. Kita tidak boleh letak محمد ورسول الله kerana رسول الله adalah badal kepada محمد. Nanti jadi orang yang berbeza pula sedang Muhammad dan Rasulullah adalah orang yang sama.
ii. Kamalul Inqitha’ كمال الانقطاع (Terputus Sempurna). Kedua kalimat sama sekali tidak mempunyai hubungan makna, atau jenis kalimatnya berbeza (yang satu kalimat berita, yang satu kalimat perintah/doa). Contoh: “Makanlah rotimu. Matahari terbit dari timur.” (Tidak ada kena mengena maka tidak digunakan huruf و).
Di dalam Al-Qur’an, ini berlaku apabila dua ayat langsung tidak mempunyai hubungan makna atau susunan ayat yang sangat berbeza. Ia boleh terjadi di dalam dua keadaan:
• Perbezaan Khabari dan Insya’i: Satu ayat berbentuk penyataan (Khabari) dan satu lagi berbentuk arahan/doa/pertanyaan (Insya’i). Contoh: وَقَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحَـٰنَهُ “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah” (Baqarah: 116). Ayat pertama khabari, ayat kedua (Subhanah) adalah insya’i (pujian/penyucian).
• Tiada Keserasian Makna: Dua ayat yang tidak logik untuk disambungkan. Contoh: “Ali seorang penulis” dan “Kambing itu makan rumput.” (Tiada kaitan makna).
iii. Syibhu Kamalul Ittishal شبه كمال الاتصال (Menyerupai Persambungan Sempurna). Kalimat atau ayat kedua merupakan jawapan dari pertanyaan yang muncul akibat kalimat pertama. Contoh: “Berhentilah bicara. Guru sudah datang.” (Kalimat kedua adalah alasan/jawapan mengapa harus berhenti bicara). Kerana mungkin ada yang bertanya: “kenapa kena henti bicara?” tetapi persoalan itu tidak dinyatakan.
Contoh kita boleh perhatikan di dalam Yusuf:53 وَمَآ أُبَرِّئُ نَفسِىٓۚ إِنَّ ٱلنَّفسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ “Dan aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan”. Sebab: Apabila Nabi Yusuf (atau Isteri Al-Aziz) berkata “Aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan)”, orang akan tertanya: “Kenapa?”. Maka ayat kedua datang sebagai jawapan: “Kerana nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan.”
iv. Syibhu Kamalil Inqitha’ شبه كمال الانقطاع (Menyerupai Pemutusan Sempurna). Ini berlaku apabila ada ayat lain yang boleh menyebabkan kekeliruan jika kita meletakkan huruf و. Kita membuang و supaya ayat tersebut tidak disangkakan bersambung dengan ayat yang salah.
v. Al-Tawasut baina al-Kamalain التوسط بين الكمالين (Keserasian di antara dua kalimah yang sempurna). Berlaku apabila dua ayat mempunyai keserasian (munasabah) tetapi terdapat penghalang untuk meletakkan و, seperti bimbang ia akan merosakkan struktur makna yang dikehendaki.
E. Taqdim (تقديم) dan Ta’khir (تأخير)
Taqdim: Mendahulukan perkataan yang sepatutnya berada di belakang.
Ta’khir: Mengemudiankan perkataan yang sepatutnya berada di hadapan.
Dalam tatabahasa (Nahu) biasa, susunan ayat selalunya tetap (Subjek + Predikat). Namun, dalam Balaghah, susunan ini diubah untuk memberi makna tambahan yang sangat mendalam. Apabila susunan ini diterbalikkan, itulah yang dinamakan Taqdim (Mendahulukan yang sepatutnya di belakang) dan Ta’khir (Mengemudiankan yang sepatutnya di depan). Teknik Taqdim dan Ta’khir membuktikan bahawa dalam bahasa Arab (terutamanya Al-Qur’an), susunan kata bukan sekadar hiasan, tetapi ia menentukan “roh” dan fokus utama ayat tersebut.
Dalam dunia Balaghah, bab ini diibaratkan seperti “seni menyusun papan catur”. Kita tidak gerakkan buah catur sesuka hati; setiap langkah ada strateginya.
F. Ijaz (إيجاز)
Ia adalah salah satu dari ilmu balaghah sampaikan ada ulama’ yang mengatakan bahawa semua balaghah itu sendiri adalah pada ijaz. Al-Qur’an banyak menggunakan kata-kata yang sangat ringkas, tapi sangat padat. Dan ijaz Al-Qur’an ini kalau kita perhatikan, boleh dikatakan seluruh Al-Qur’an itu sendiri adalah ijaz. 30 juzuk Al-Qur’an itu merangkumi semua perkara.
Ijaz adalah kata-kata yang padat tapi ringkas. Ini adalah satu seni dalam ilmu berbahasa yang menjadi kekaguman para penyair zaman dahulu. Kalau sesiapa yang kata-katanya ringkas tapi padat, itu dianggap seorang yang seni, seorang seniman, seorang sasterawan yang hebat. Tapi apabila Nabi Muhammad datang dengan bawa Al-Qur’an, ijaz Al-Qur’an sangat-sangat berseni, sangat-sangat padat, mengalahkan dan meninggalkan jauh seni-seni ijaz penyair yang ada pada ketika itu. Jadi Ijaz adalah:
“Mengumpulkan makna yang luas dan banyak ke dalam lafaz yang sedikit, dengan syarat pesan tersampaikan secara jelas (tanpa cacat makna).”
Dalam kaedah bahasa Arab, ada ungkapan terkenal: “Al-Balaghatu al-Ijaz” (Balaghah itu adalah meringkas). Ia dari Wajaza (وجز) = Singkat/Ringkas.
Cuma, dalam Bab Ijaz di dalam Ilmu Balaghah, Ijaz itu dibahagikan kepada dua, Ijaz Al-Qashar (إيجاز القصر) dan Ijaz Al-Hadzf (إيجاز الحذف) yang akan kita bahaskan nanti.
1. Ijaz Al-Qashar (إيجاز القصر)
Ijaz ini terjadi melalui kepadatan makna. Kata-katanya memang sedikit sejak awal, namun mengandungi lautan makna di dalamnya. Tidak ada kata yang dibuang, memang kalimatnya dirancang padat. Contoh dari Al-Qur’an adalah Baqarah:179 tentang Qisas,
وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ
“Dan dalam qisas itu ada kehidupan bagimu.”
Hanya terdiri dari beberapa kata, namun maknanya mencakup seluruh teori keamanan sosial dan pencegahan jenayah.
2. Ijaz Al-Hadzf (إيجاز الحذف)
Ijaz ini terjadi dengan membuang (menghapus) bahagian tertentu dari kalimat (seperti kata benda, kata kerja, atau bahkan seluruh kalimat), namun pendengar tetap mampu memahami maksudnya kerana konteks yang kuat. Contoh dari Al-Qur’an adalah Yusuf:82,
وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ
“Dan tanyalah desa itu…”
Secara bahasa, kita tidak bertanya kepada “tanah/bangunan desa”, melainkan kepada penduduknya (ahla al-qaryah). Kata “penduduk” dibuang (dihadzf) untuk meringkaskan kalimat tanpa mengurangi pemahaman.
Di dalam Al-Qur’an, banyaklah contoh-contoh ijaz ini. Di mana pada ayat itu hanya disebut satu perkataan sahaja tetapi kalau dibahaskan, bukan setakat satu artikel, malah satu kitab pun boleh kita bahaskan. Begitu jugalah dengan ayat ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ yang kita mungkin tak perasan bahawa ianya lebih ringkas dan lebih padat dari mana-mana peringkasan ayat-ayat Al-Quran yang lain.
Apabila kita menyebut Ijaz (إيجاز), mungkin ada yang terkeliru dengan satu lagi istilah iaitu I’jaz (إعجاز) yang berasal dari kata ’ajaza (عجز) yang bererti “melemahkan” atau “membuat tidak berdaya”. Kita selalunya sebut mu’jizat. Meskipun bunyinya (Ijaz dan I’jaz) sangat mirip di telinga kita, keduanya memiliki makna yang jauh berbeza dalam kajian Al-Qur’an, Islam dan bahasa Arab. Satu fakta menarik: Ijaz (keringkasan bahasa) adalah salah satu sebab mengapa Al-Qur’an itu memiliki I’jaz (kemukjizatan). Ini kerana bahasa Al-Qur’an begitu ringkas namun maknanya tidak terbatas, itulah yang membuatkan manusia lemah untuk menandinginya. Jadi walaupun ia adalah dua perkataan yang berbeza, namun keduanya sangat berkait. I’jaz Al-Qur’an boleh dibahaskan daripada sudut Ijaz.
Kerana itulah ada yang mengatakan bahawa Ilmu Balaghah ini berada dalam Ijaz. Al-Qur’an adalah kitab yang penuh dengan balaghah dan mukjizatnya adalah pada balaghahnya. Dan balaghahnya ada pada sudut ijaz. Oleh itu, Ijaz berada di bawah I’jaz. Iaitu I’jaz dari sudut bahasa. Walaupun sekarang ini kalau kita tengok yang selalu disebut-sebut tentang i’jaz Al-Qur’an adalah dari sudut sains dan macam-macam lagi tapi asasnya, sudut i’jaz bahasa tidak boleh ditinggalkan. Kerana kalau kita pergi kepada sudut sains atau ke mana-mana perbincangan pun, mesti berada di atas dasarnya iaitu bahasa. Memang mukjizat dari sudut sains itu orang ramai sebut sebab senang hendak tarik minat Non-Muslim tapi janganlah kita lupa mukjizat dari segi bahasa ini.
G. At-Taukid (التوكيد)
Ia bermaksud penegasan dan ia merupakan salah satu perbincangan yang sangat penting dalam Ilmu Al-Ma’ani, khususnya di bawah tajuk besar Ahwal al-Khabar (Keadaan Berita). Dalam Ilmu Ma’ani, kita tidak hanya belajar cara buat ayat, tetapi kita belajar tahap kekuatan ayat itu berdasarkan mentaliti pendengar. Di sinilah Taukid memainkan peranannya.
Antara alat yang sering dibincangkan dalam Ilmu Ma’ani untuk mengukuhkan ayat:
-
- Inna (إِنَّ) & Anna (أَنَّ): Sesungguhnya.
- Lam al-Ibtida’ (لـ): Huruf lam yang diletakkan pada permulaan kata.
- Nun al-Taukid (نَّ): Nun yang diletakkan di hujung kata kerja (Fi’il).
- Huruf Qasam (Sumpah): Seperti Wallahi, Tallahi.
- Huruf Tambahan (Zaidah): Seperti huruf Ba dalam ayat “Laisa bi…”.
- Qad (قَدْ): Apabila masuk pada kata kerja masa lampau (Fi’il Madhi).
Kita boleh lihat bagaimana Taukid berubah dalam Surah Yasin ketika para Rasul meyakinkan penduduk negeri tersebut:
Pusingan 1 (Khabar Ibtida’i) di dalam Ayat 14:
إِذ أَرسَلنا إِلَيهِمُ اثنَينِ فَكَذَّبوهُما فَعَزَّزنا بِثالِثٍ فَقالوا إِنّا إِلَيكُم مُّرسَلونَ
Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu’.
(Perhatikan di dalam ayat ini hanya ada satu إِنّ).
Pusingan 2 (Apabila penduduk mengingkari/Khabar Inkari) di dalam Ayat 16:
قالوا رَبُّنا يَعلَمُ إِنّا إِلَيكُم لَمُرسَلونَ
Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
(Perhatikan penambahannya: Ada sumpah secara tidak langsung, ada إِنّ, dan ada huruf Lam Taukid).
H. Al-Itnab (الإطناب)
Kalimah الإطناب berasal daripada akar kata bahasa Arab أَطْنَبَ – يُطْنِبُ (atnaba – yuthnibu). Ia adalah seni dalam Ilmu Ma’ani yang sangat kontra dengan Al-Ijaz (peringkasan). Jika Ijaz adalah “sedikit kata, banyak makna”, Itnab adalah “menambah lafaz untuk tujuan yang berfaedah”.
Ada beberapa cara bagaimana Itnab ini digunakan:
1. Dzikru al-Khass ba’da al-‘Am (Menyebut yang Khusus selepas Umum). Ini apabila menyebut sesuatu yang besar (umum), kemudian kita petik satu perkara kecil di dalamnya untuk diberi perhatian khas.
Contoh di dalam Baqarah:238
حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar)
Tujuan: Untuk menunjukkan betapa pentingnya perkara khusus tersebut berbanding ahli kumpulannya yang lain.
2. Dzikru al-‘Am ba’da al-Khass (Menyebut yang Umum selepas Khusus). Ini terbalik daripada yang tadi. Kita sebut yang kecil dulu, baru yang besar.
Contoh di dalam Nuh:28
رَبِّ اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيتِيَ مُؤمِنًا وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman)”
Tujuan: Untuk menunjukkan bahawa doa atau perkara itu bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi merangkumi semua. Tapi perhatikan Nabi Nuh mulakan dengan khas dahulu (dirinya dan keluarganya) kemudian menjadi lebih umum sehingga meliputi seluruh orang Mukmin (وَلِلمُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ).
3. Al-Idah ba’da al-Ibham (Penjelasan selepas Kesamaran). Mula-mula ayat itu kedengaran samar atau umum, kemudian datang ayat seterusnya yang memperincikannya satu persatu. Dalam Ilmu Ma’ani, teknik ini berfungsi untuk menarik perhatian pendengar dengan menyebut sesuatu secara umum atau misteri terlebih dahulu, sehingga jiwa merasa tertanya-tanya (dahaga akan maklumat), kemudian barulah diberikan perincian yang memuaskan.
Contoh kita boleh perhatikan di dalam Maidah:1
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.
Ini adalah Al-Ibham (Kesamaran). Pada tahap ini, pendengar tertanya-tanya: “Apakah binatang ternakan yang dikecualikan itu?” Minda sudah bersedia untuk menerima maklumat.
Al-Idah (Penjelasan): Penjelasannya datang dalam ayat ke-3 surah yang sama:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.
4. At-Taukid (Penegasan melalui Pengulangan). Mengulang perkataan yang sama untuk memastikan maksud benar-benar masuk ke dalam jiwa.
Contoh adalah Takathur: 3-4
كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤)
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4)
Tujuan: Memberi amaran yang sangat keras agar tidak dipandang remeh.
5. Al-I’tiradh (Sisipan). Memasukkan perkataan atau ayat di tengah-tengah ayat asal yang sebenarnya sudah lengkap.
Contoh kita boleh lihat di dalam Nahl:57
وَيَجعَلونَ ِللهِ البَنٰتِ سُبحٰنَهُ ۙ وَلَهُم مّا يَشتَهونَ
Dan mereka menetapkan bagi Allah anak-anak perempuan. Maha Suci Allah, sedang untuk mereka sendiri (mereka tetapkan) apa yang mereka sukai (iaitu anak-anak laki-laki).
Tujuan: Menyucikan Allah (Tasbih) atau berdoa di celah-celah penceritaan. Mengapa Allah tidak meletakkan perkataan سُبحٰنَهُ di akhir ayat sahaja? Kenapa mesti di tengah-tengah?
-
- Sebagai Tanzih (Penyucian Serta-merta): Untuk menunjukkan bahawa Allah tidak membiarkan dakwaan jahat itu berlalu begitu sahaja tanpa disucikan. Sebaik sahaja lisan manusia menyebut “Allah ada anak”, serta-merta ayat itu disisipkan dengan “Maha Suci Dia” untuk menafikan sifat kekurangan tersebut.
- Menunjukkan Kejelekan Dakwaan: Sisipan ini berfungsi untuk memberi kesan kejutan. Ia seolah-olah berkata: “Berani mereka berkata demikian? Padahal Dia Maha Suci daripada segala kekurangan!”
- Kepantasan Tindak Balas: Ia menggambarkan betapa jauhnya kebenaran daripada apa yang mereka dakwakan.
Ada satu lagi balaghah iaitu Iltifat akan tetapi ada juga yang mengatakan ia bukan termasuk dalam Ma’ani. Oleh itu kita letakkan ia di dalam satu tajuk yang khusus.
Glosari Istilah Kunci
Balaghah: Seni menyampaikan kata-kata yang fasih, indah, dan tepat mengikut situasi pendengar.
Ilmu Ma’ani: Cabang Balaghah yang mengkaji cara menyusun ayat agar bertepatan dengan keadaan pendengar serta menggali maksud tersirat.
Khabari: Ayat penyata yang mengandungi maklumat yang boleh dinilai benar atau salah.
Insya’i: Ayat yang berbentuk tuntutan, arahan, atau luahan perasaan yang tidak boleh dinilai benar atau salah.
Az-Zikru: Teknik menyebut atau menzahirkan perkataan secara jelas dalam ayat.
Al-Hazf: Teknik menggugurkan atau membuang perkataan tertentu tanpa merosakkan maksud kerana adanya petunjuk (qarinah).
Al-Qasr: Teknik mengkhususkan atau membataskan sesuatu perkara kepada perkara yang lain (contoh: “hanya”).
Al-Washl: Menyambung dua ayat dengan menggunakan huruf athaf “waw” (dan).
Al-Fashl: Memisahkan dua ayat tanpa menggunakan huruf penyambung “waw”.
Ijaz: Prinsip keringkasan; menyampaikan makna yang luas menggunakan lafaz yang sedikit secara padat.
I’jaz: Kemukjizatan Al-Qur’an yang menjadikan manusia tidak berdaya untuk menandinginya.
At-Taukid: Penegasan atau pengukuhan dalam ayat untuk meyakinkan pendengar.
Al-Itnab: Teknik menambah lafaz atau memanjangkan ayat untuk tujuan dan faedah tertentu (lawan bagi Ijaz).
Iltifat: Seni peralihan gaya bahasa daripada satu kata ganti nama ke kata ganti nama yang lain.
Taqdim: Mendahulukan perkataan yang sepatutnya berada di belakang susunan asal.
Ta’khir: Mengemudiankan perkataan yang sepatutnya berada di hadapan susunan asal.
Muqtadha al-Hal: Tuntutan keadaan; menyesuaikan bahasa dengan situasi, masa, dan tahap pendengar.
Qarinah: Tanda atau petunjuk yang membantu pendengar memahami maksud walaupun ada perkataan yang digugurkan.
Sambung ke Bahagian seterusnya
Kemaskini: 15 Mei 2026


