Tafsir Surah Hud Ayat 90 – 92 (Mencari Cinta Allah ﷻ)

Hud Ayat 90:

وَاستَغفِروا رَبَّكُم ثُمَّ توبوا إِلَيهِ ۚ إِنَّ رَبّي رَحيمٌ وَدودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And ask forgiveness of your Lord and then repent to Him. Indeed, my Lord is Merciful and Affectionate.”

(MALAY)

Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.

 

وَاستَغفِروا رَبَّكُم

Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu

Mereka dianjurkan untuk beristighfar daripada kesalahan-kesalahan dosa mereka yang lalu kerana Allah ﷻ itu Maha Pengampun dan mereka itu memang banyak kesalahan yang telah dilakukan. Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar umatnya, hendaklah mereka istighfar akan dosa mereka. Telah disebut sebelum ini tentang dosa mereka menipu dalam timbangan. Akan tetapi daripada ayat-ayat yang lain kita dapat tahu yang dosa mereka adalah menyembah ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah dosa yang paling besar. Segala amalan baik musnah begitu sahaja jika ada mengamalkan syirik seperti disebutdi dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.

Tambahan pula dosa syirik itu adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Maka mereka disuruh oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk istighfar dan tinggalkan fahaman dan amalan syirik yang mereka telah lakukan selama ini. Mereka mestilah meminta keampunan ikhlas dari hati, disebut dengan lidah dan mereka juga mesti berhenti daripada fahaman syirik itu. Tidak boleh disebut sahaja istighfar dengan mulut namun amalan salah masih tetap dilakukan lagi.

Ini banyak dilakukan oleh masyarakat sekarang. Selalu sahaja istighfar, tetapi amalan syirik dan bid’ah masih terus dilakukan. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja. Mereka sendiri pun tidak sangka yang mereka sedang melakukan amalan-amalan syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Perbuatan ini adalah amat malang sekali kerana penjelasan tentang tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan jikalau kita tidak mahir tafsir Al-Qur’an maka kita tidak akan tahu yang ada kesalahan-kesalahan syirik kita lakukan.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita belum tahu lagi, namun kita meminta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Mesti menyesal di atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajak kaumnya untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun di atas kesalahan dosa mereka yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun naka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan

Sekiranya masih ada dosa syirik, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka mestilah meminta ampun di atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

Di dalam ayat ini digunakan استَغفِروا رَبَّكُم dan bukannya استَغفِروا اللهَ sedangkan ia membawa maksud yang lebih kurang sama, bukan? Kerana di sini Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak menekankan sifat ‘Rabb’ Allah ﷻ yang mengingatkan mereka bahawa Dia lah yang telah mencipta mereka dan memberi segala keperluan hidup mereka dan menjaga mereka. Maka ini mengajar kepada kita sebagai manusia untuk mengenang jasa Allah ﷻ. Manusia sepatutnya ada perasaan berterima kasih dan mengenang jasa orang yang telah membantu kita maka itulah efek yang hendak ditekankan di sini.

 

ثُمَّ توبوا إِلَيهِ

kemudian bertaubatlah kepada-Nya. 

Setelah mereka istighfar, kemudian hendaklah mereka bertaubat. Mereka mesti menyesal kerana telah lama mengamalkan akidah syirik dan hendaklah mereka kembali kepada Allah ﷻ. Kembali mendapatkan fahaman dan amalan yang benar. Ini kerana ‘taubat’ itu maksudnya ‘kembali’. Kembali mengamalkan Tauhid.

Kalau kita dapat bayangkan sedang memandu, tiba-tiba kita sedar yang kita telah berada di jalan yang salah, maka kita membuat pusingan ‘u-turn’ untuk kembali mengikut jalan yang betul. Begitu jugalah dengan fahaman akidah. Sekiranya selepas kita belajar baru tahu yang fahaman yang kita ada selama hari ini adalah salah, maka tinggalkan fahaman itu dan gunakanlah fahaman yang benar.

U turn lah ke pangkal jalan

Sebelum ini telah disebut tentang istighfar dan dan sekarang tentang taubat pula. Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan melakukan lagi dosa yang itu. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan seperti telah disebut di atas. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392) )
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada peraturan Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ meletakkan dua perkataan yang seakan sama sahaja maksud itu bersama-sama dalam satu ayat, maka ia pasti membawa maksud berbeza.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dahulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ، فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ، مَرَّةٍ
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)

Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak berbuat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa hadapan.

Jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu adalah istighfar main-main sahaja.

Satu lagi tafsiran yang diberikan tentang perbezaan antara istighfar dan taubat adalah istighfar itu adalah perbuatan mulut, dan taubat itu adalah perbuatan fizikal. Maka ini bermaksud selepas kita meminta ampun dengan Allah ﷻ (dengan mulut) maka hendaklah kita mengikutinya dengan badan kita. Iaitu hendaklah meninggalkan perbuatan salah yang telah dilakukan dahulu dan menggantikannya dengan mengamalkan amalan-amalan yang baik. Janganlah kita setakat menyesal dan tidak melakukan amalan salah lagi, tetapi tidak melakukan amal-amal yang baik pula. Kita hendaklah melakukan amal-amal yang baik sebagai ganti perbuatan salah yang kita lakukan dahulu semoga Allah ﷻ merahmati kita dengan perbuatan kita yang baik.

Oleh itu, istighfar adalah minta ampun kepada kesalahan terdahulu; dan taubat adalah kembali daripada membuat kesalahan kepada buat kebaikan. Ini adalah khutbah terakhir Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaum Madyan.

 

إِنَّ رَبّي رَحيمٌ وَدودٌ

Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Baginda mengingatkan mereka tentang sifat Allah ﷻ yang mulia – Allah ﷻ itu amat kasih kepada orang yang melakukan istighfar dan bertaubat. Maka ambillah peluang itu dengan menyesal atas perbuatan mereka dahulu dan kembali melakukan perbuatan yang baik dan tinggalkan perbuatan yang salah. Mereka masih ada harapan lagi, oleh itu jangan sia-siakan harapan itu.

Ayat ini sebenarnya adalah ayat tentang meminta ampun, akan tetapi di hujungnya Allah ﷻ menyebut tentang sifat-Nya yang penyayang. Kenapa? Ini adalah kerana sifat penyayang itu lebih menyeluruh dan lebih utama kerana apabila seseorang itu sayang kepada seseorang yang lain, maka senang baginya untuk mengampunkan dan memaafkan. Contohnya senang untuk kita memaafkan kesalahan anak-anak kita kerana kita sayangkan mereka.

Perjalanan hidup kita sebenarnya adalah usaha untuk mendapatkan cinta Allah ﷻ. Kalau kita sudah mendapat cinta Allah ﷻ ini, maka kehidupan kita akan lebih tenang. Akan tetapi jikalau cinta Allah ﷻ jauh daripada kita maka kita hidup kita akan berserabut malah hendak solat pun tidak tenang. Maka berusahalah sepenuhnya untuk meraih kasih sayang Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 165

وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ
ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.

Apabila Allah ﷻ sayang pada kita, Dia akan memerintahkan makhluk-makhluk-Nya di langit dan bumi untuk menyayangi kita. Betapa hebatnya kasih sayang yang dititahkan oleh Allah ﷻ pada makhluk-Nya berbanding dengan bentuk-bentuk kasih sayang lain! Tidak ada satu pun pokok, batu, manusia, jin atau sebarang makhluk yang kita ketahui wujud, kecuali mereka akan sayang pada orang yang disayangi Allah ﷻ, sebagai tanda penghargaan kepada Penguasa ― Yang Maha Mulia, dan patuh kepada Perintah-Nya.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ (رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ dia berkata, “Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah تَبَارَكَ وَتَعَالَى jika mencintai seseorang, maka Allah ﷻ akan memanggil Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah ﷻ mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah ﷻ mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.”
(Sahih Bukhari No. 1502)


 

MEREKA MENGANCAM NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 91: Ini adalah jawapan degil daripada kaumnya.

قالوا يٰشُعَيبُ ما نَفقَهُ كَثيرًا مِّمّا تَقولُ وَإِنّا لَنَرىٰكَ فينا ضَعيفًا ۖ وَلَولا رَهطُكَ لَرَجَمنٰكَ ۖ وَما أَنتَ عَلَينا بِعَزيزٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Shu‘ayb, we do not understand much of what you say, and indeed, we consider you among us as weak. And if not for your family, we would have stoned you [to death]; and you are not to us one respected.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Syu’aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamu pun bukanlah seorang yang dihormati di sisi kami”.

 

قالوا يٰشُعَيبُ ما نَفقَهُ كَثيرًا مِّمّا تَقولُ

Mereka berkata: “Hai Syu’aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu

Mereka membalas kata Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan banyak yang mereka tidak dapat fahami apa yang baginda cakapkan. Sedangkan apa yang bagina telah sampaikan daripada wahyu Allah ﷻ telah jelas. Tambahan pula Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikatakan yang kelebihan baginda adalah pandai berpidato, akan tetapi mereka masih tetap lagi menolak dengan kata mereka tidak faham apa yang baginda sampaikan.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah: “Apa yang kamu cakap itu, tidak perlu difahami kerana tidak penting.” Atau mereka hendak kata yang apa disampaikan oleh baginda itu terlalu tinggi sampaikan tidak boleh dipraktikkan di dalam kehidupan.

Atau, mereka memang kata mereka tidak faham. Ini adalah cara klasik untuk merendahkan nasihat yang diberi – kalau tidak suka dengan nasihat yang diberi, cuma jawab yang tidak faham dengan nasihat itu (Eh kau cakap apa ni ha?! Kami tak faham laaa!” Kesannya, orang yang memberi nasihat itu akan merasakan seolah-olah dia pula yang salah cakap, tidak cakap dengan jelas. Sebelum ini telah disebut hujah kaum Aad yang kata Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberikan penjelasan yang jelas seperti disebut dalam Hud: 53

قالوا يٰهودُ ما جِئتَنا بِبَيِّنَةٍ
Kaum ‘Ad berkata: “Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata

Sebaliknya dalam masa yang sama, mereka menyalahkan orang yang memberikan nasihat itu pula. Ia memberi isyarat seolah-olah orang yang memberikan nasihat itu pula yang bodoh. Begitulah yang mereka hendak lakukan terhadap Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Padahal, mereka yang buat-buat tidak faham.

Ini banyak terjadi kepada para pendakwah Sunnah. Mereka telah beri penjelasan kepada masyarakat tetapi masyarakat buat-buat tidak faham. Ini kerana mereka dari awal lagi menolak. Mereka mahu berpegang juga fahaman lama mereka, maka mereka buat-buat tidak faham apa yang disampaikan. Padahal, ajaran Sunnah ini amat mudah untuk difahami. Allah ﷻ sudah tidak mahu beri kebaikan lagi kepada mereka kerana kalau Allah ﷻ kehendaki, Allah ﷻ akan beri kefahaman agama kepada mereka. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ
(أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم)
Daripada Muawiyah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki Allah ﷻ kebaikan baginya, maka Allah ﷻ akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.”
(Riwayat Bukhari No. 216)

Sebenarnya mereka sendiri yang tidak mahu faham dan terus menolak dari awal lagi. Oleh kerana itu ramai yang tidak berkeinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an dan juga belajar bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an. Ada yang sanggup kata hati mereka tertutup seperti disebut dalam Fussilat: 5

وَقالوا قُلوبُنا في أَكِنَّةٍ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ وَفي ءآذانِنا وَقرٌ وَمِن بَينِنا وَبَينِكَ حِجابٌ فَاعمَل إِنَّنا عٰمِلونَ
Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “

Kenapa hati mereka tertutup? Kerana kekufuran mereka dan kerana penolakan yang mereka lakukan. Ini seperti Allah ﷻ sebut dalam Baqarah: 88

وَقالوا قُلوبُنا غُلفٌ ۚ بَل لَعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَليلًا مّا يُؤمِنونَ
Dan mereka berkata: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

Sememangnya mereka itu tidak menghargai ilmu yang disampaikan. Malah mereka mengejek-ngejek pula apa yang telah disampaikan di dalam pengajian. Ini seperti disebut oleh golongan Munafik dahulu di zaman Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam Muhammad: 16

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعُ إِلَيكَ حَتّىٰ إِذا خَرَجوا مِن عِندِكَ قالوا لِلَّذينَ أوتُوا العِلمَ ماذا قالَ ءآنِفًا ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم
Dan di antara mereka ada orang yang mendengar perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu, mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?” Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita pada hari ini? Bukankah ada sahaja yang telah didakwah dan diajak ke arah kebenaran dan melakukan amal-amal yang soleh, akan tetapi mereka beralasan yang ‘mereka belum sampai seru’, ‘hati mereka belum terbuka’ dan sebagainya. Ini sama sahaja seperti kata-kata golongan kafir di zaman para Nabi dahulu yang disebut di dalam Al-Qur’an.

 

وَإِنّا لَنَرىٰكَ فينا ضَعيفًا

dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami;

Mereka melihat baginda adalah orang yang lemah dalam kalangan mereka. Namun lemah ini bukanlah dari segi fizikal baginda kerana para Rasul diberikan dengan kekuatan tubuh badan. Sebaliknya baginda dianggap lemah oleh kaumnya, kerana baginda hanya bersendirian dalam negeri itu. Kaumnya memandang kedudukannya (posisinya) lemah, sebab bersendirian, pengikutnya tidak banyak, penyokongnya tidak ada. Apabila mereka lihat baginda lemah, mereka merasakan yang baginda tidak mampu berbuat apa-apa terhadap mereka. Malah mereka rasa kalau mereka hendak buat sesuatu kepada baginda pun boleh kerana mereka ramai.

Ini juga masalah pendakwah zaman berzaman. Selalunya yang memberi dakwah adalah orang yang lemah dalam masyarakat. Kebanyakan manusia selalunya melihat ‘siapa’ yang menasihat, bukannya ‘apa’ yang disampaikan. Jika yang bagi nasihat itu rakyat marhaen sahaja, tiada pengaruh, tidak kaya dan bukan pemimpin masyarakat, selalunya ditolak sahaja.

 

وَلَولا رَهطُكَ لَرَجَمنٰكَ

kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejam kamu, 

Kalimah رَهطُ daripada katadasar ر ه ط yang bermaksud keluarga, kumpulan. Bilangannya antara 3 hingga 10 orang. Kalaulah tidak kerana kaum kerabat baginda yang berpengaruh, sudah lama baginda direjam oleh kaumnya. Selepas Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat, Allah ﷻ telah meletakkan para Nabi selepas itu dalam keluarga yang ada kedudukan. Kerana dengan kedudukan itulah yang boleh menyelamatkan mereka daripada dibunuh oleh kaum mereka awal-awal lagi.

Sebenarnya keluarga Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukannya orang-orang yang beriman akan tetapi mereka itu menaung Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka kerana itu orang kafir yang menentang baginda itu memberi muka juga kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana menghormati keluarga baginda yang juga tidak beriman. Hakikatnya mereka itu sama sahaja kefahaman. Jikalaulah keluarga Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu juga beriman maka sudah tentu mereka juga akan bersama-sama direjam.

Dari sini kita boleh lihat bagaimana Allah ﷻ membuat orang yang tidak beriman pun boleh membantu agama juga. Allah ﷻ gunakan mereka tanpa mereka sedar. Ini seperti yang diberitahu oleh Rasulullah ﷺ,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat (fajir).”
(Sahih Bukhari (2405))

Siapa lelaki fajir itu? Syeikh al-Maraghi رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut, manusia fajir itu adalah sesiapa yang melanggar syariat Allah ﷻ dan mencabul kehormatannya. Syeikh Al-Asfahani رَحِمَهُ اللَّهُ pula menyatakan perbuatan fajir ialah pencabulan terhadap kehormatan Islam. Seseorang pembohong juga adalah fajir kerana berdusta merupakan satu sifat keji. Ibn Athir رَحِمَهُ اللَّهُ menjelaskan, ” Manusia fajir ialah orang yang bergelumang dalam maksiat dan perbuatan-perbuatan haram”.

Kalau kita lihat sirah Nabi Muhammad ﷺ, memang baginda dalam kalangan keluarga bangsawan. Mereka juga tidak semuanya beriman seperti juga Abu Talib yang tidak beriman, akan tetapi Abu Talib sangat sayangkan anak saudaranya itu dan memberi bantuan dan naungan kepada baginda. Musyrikin Mekah menghormati Abu Talib dan tidak melakukan apa-apa terhadap baginda. Sedangkan para sahabat baginda yang lemah dan tidak ada penaung telah lama diseksa, akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ selamat selagi mana Abu Talib masih hidup.

 

وَما أَنتَ عَلَينا بِعَزيزٍ

sedang kamu pun bukanlah seorang yang mempunyai kekuatan di sisi kami”.

Mereka tidak takut dengan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda tidak mempunyai kekuatan. Mereka tahu yang baginda tidak boleh berbuat apa-apa terhadap mereka. Maka kerana itu mereka senang sahaja menolak dakwah baginda.


 

JAWAPAN DARI NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 92:

قالَ يٰقَومِ أَرَهطي أَعَزُّ عَلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَاتَّخَذتُموهُ وَراءَكُم ظِهرِيًّا ۖ إِنَّ رَبّي بِما تَعمَلونَ مُحيطٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my people, is my family more respected for power by you than Allāh? But you put Him behind your backs [in neglect]. Indeed, my Lord is encompassing of what you do.

(MALAY)

Syu’aib menjawab: “Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah, sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan”.

 

قالَ يٰقَومِ أَرَهطي أَعَزُّ عَلَيكُم مِّنَ اللَّهِ

Syu’aib menjawab: “Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah,

Sebelum ini kaumnya berkata, jika tidak kerana kedudukan keluarga Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dalam kalangan mereka yang terhormat, mereka telah lama merejam Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya adakah kaum kerabat baginda lebih hebat berbanding Allah ‎ﷻ? Mereka lebih takutkan keluarga baginda melebihi takutkan Allah ‎ﷻ? Sedangkan sepatutnya mereka lebih takut kepada Allah ‎ﷻ .

Yakni apakah kalian membiarkan aku kerana kaumku, bukan kerana menghormati Tuhan Yang Maha suci lagi Maha tinggi bila kalian menimpakan keburukan kepada Nabi-Nya? Baginda bukannya mahu baginda dihormati kerana keluarga baginda, akan tetapi kerana wahyu yang baginda bawa itu!

Maka ini adalah akidah manusia yang rosak apabila tidak takut kepada Allah ‎ﷻ tetapi takut kepada perkara yang lain. Ramai dalam kalangan kita yang juga tidak takut kepada Allah ﷻ tetapi takut kepada perkara lain. Sebagai contoh, kalau tidak solat tidak mengapa tetapi kalau polis datang ke rumah mereka takut pula.

 

وَاتَّخَذتُموهُ وَراءَكُم ظِهرِيًّا

dan Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu?

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur mereka yang meletakkan Allah ﷻ di belakang mereka. Mereka tidak menghormati Allah ﷻ sepertimana yang sepatutnya. Mereka tidak takut kepada Allah ﷻ seperti yang sepatutnya.

Perumpamaan mereka ini adalah seperti mereka mencampak Allah ﷻ ke belakang. Ini adalah isyarat yang mereka tidak mementingkan Allah ﷻ kerana apabila kita campak sesuatu ke belakang ia bermaksud benda itu tidak bernilai.

 

إِنَّ رَبّي بِما تَعمَلونَ مُحيطٌ

Sesungguhnya (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan”.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan mereka yang Allah ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang mereka lakukan. Allah ﷻ akan membalas segala perbuatan buruk kamu itu. Ini adalah ancaman kepada mereka, supaya mereka jangan berasa selamat sangat dengan kedudukan mereka yang tinggi dalam masyarakat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 88 – 89 (Rezeki halal berkat)

HUJAH-HUJAH NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 88:

قالَ يٰقَومِ أَرَءَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَرَزَقَني مِنهُ رِزقًا حَسَنًا ۚ وَما أُريدُ أَن أُخالِفَكُم إِلىٰ ما أَنهىٰكُم عَنهُ ۚ إِن أُريدُ إِلَّا الإِصلٰحَ مَا استَطَعتُ ۚ وَما تَوفيقي إِلّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my people, have you considered: if I am upon clear evidence from my Lord and He has provided me with a good provision from Him…?¹ And I do not intend to differ from you in that which I have forbidden you; I only intend reform as much as I am able. And my success is not but through Allāh. Upon Him I have relied, and to Him I return.¹

  • The conclusion of the sentence is estimated as “…would it not be my duty to warn you against corruption and disobedience?”
  • i.e., I turn to Allāh frequently in supplication and repentance.

(MALAY)

Syu’aib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

 

قالَ يٰقَومِ أَرَءيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي

Syu’aib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku

Lihatlah bahasa Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih lagi berlembut dengan mereka. Di sini baginda menggunakan hujah akal di mana baginda suruh mereka berfikir, gunakan fikiran: bagaimana nanti keadaan mereka kalau apa yang baginda bawa dan ajak mereka itu adalah benar-benar daripada Tuhan. Kalau ia benar daripada Tuhan, tidakkah susah diri mereka kalau mereka tolak begitu sahaja?

Di sini kita dapat lihat yang sesuatu daripada Tuhan, ia mestilah بَيِّنَةٍ (jelas nyata). Takkanlah seorang Nabi seperti Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberikan dalil bukti yang nyata kepada umat baginda di dalam berdakwah. Akan tetapi kaumnya sahaja yang menolak dan tidak menerima dalil daripada baginda kerana mereka mahu dalil mengikut tekak dan hawa nafsu mereka. Mereka akan beri berbagai-bagai hujah untuk menolak dan banyak disebut di dalam Al-Qur’an tentng penolakan mereka itu.

Apakah bukti nyata yang dimaksudkan? Ia adalah fitrah keimanan yang Allah ﷻ telah berikan kepada semua insan. Fitrah ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Juga bermaksud wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kepada baginda.

Dari sini kita dapat tahu bahawa bukti itu mesti daripada Tuhan (بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي). Sebab itu kita kena rujuk kepada wahyu dalam hal agama, tidak boleh kita buat fahaman sendiri.

Yang kedua sifatnya pula adalah بَيِّنَةٍ (jelas). Memang apa-apa sahaja daripada Tuhan adalah jelas. Yang tidak jelas kalau tidak belajar dan hati keras tidak mahu menerima kebenaran. Jikalau ia jelas, maka salahlah fahaman sesetengah orang agama yang mengatakan orang awam tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an untuk orang awam. Seolah-olah orang istimewa sahaja yang boleh belajar. Mereka sanggup mengatakan sekiranya belajar tafsir, orang awam boleh terkeliru dan malah boleh menjadi sesat! Ini adalah pandangan yang salah dan merbahaya.

Bayangkan Al-Qur’an adalah sumber utama kita tetapi kita tidak boleh belajar untuk memahaminya? Amatlah rugi jika begitu. Di dalam masa yang sama, kita faham juga kerisauan mereka. Memang kalau tidak belajar dengan orang yang mahir, ia boleh menyebabkan salah faham dan ya, boleh sampai sesat. Kita pun pernah baca fahaman-fahaman yang mengarut daripada orang yang tafsir Al-Qur’an mengikut nafsu sendiri, hanya berdasarkan terjemahan sahaja.

Maka nasihat kami adalah mestilah belajar tafsir, tetapi hendaklah berhati-hati. Dapatkan ilmu daripada guru yang mahir. Pelajarilah lebih daripada seorang guru supaya dapat dibanding-bandingkan. Kalau kita baru belajar, kita tidak tahu guru itu ajar benar atau tidak. Oleh itu, kenalah bandingkan dengan guru yang lain juga. Terbaik adalah belajar secara bertalaqqi (berdepan) supaya boleh bertanya soalan.

 

وَرَزَقَني مِنهُ رِزقًا حَسَنًا

dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik

Bagaimana pula kalau benar baginda telah diberi dengan rezeki kenabian? Itulah maksud ‘rezeki’ dalam ayat ini. Jikalau baginda memang seorang Nabi dan mereka tolak, bagaimana nanti nasib mereka di akhirat kelak? Tidakkah mereka akan susah kerana telah menolak Nabi mereka sendiri?

Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah baginda hendak mengatakan bahawa baginda telah diberikan dengan rezeki yang halal oleh Allah ﷻ kerana ia didapati dengan cara yang halal. Di dalam masa yang sama baginda hendak memberitahu mereka yang rezeki yang mereka dapati dengan cara menipu itu adalah haram.

Ini menunjukkan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah semata-mata menyerukan kepada mereka supaya mereka hidup dengan jujur, bahkan baginda sendiri terlebih dahulu telah mengatur hidupnya dengan jujur, tidak mencari keuntungan untuk diri sendiri dengan merugikan orang lain. Tidak berlaku curang pada sukatan dan timbangan. Namun demikian hidupnya tenteram dan selalu juga mendapat rezeki yang halal daripada Tuhan.

Oleh sebab itu baginda sendiri telah membuktikan dalam hidupnya bahawa hidup jujur tidaklah mengurangi rezeki. Bahkan walaupun sedikit rezeki yang diperolehi dengan jujur, namun rezeki itu disertai dengan berkat daripada Tuhan. Ini jauh lebih mententeramkan jiwa berbanding rezeki berlimpah- limpah, tetapi diperolehi dengan jalan curang dan tipu.

 

وَما أُريدُ أَن أُخالِفَكُم إِلىٰ ما أَنهىٰكُم عَنهُ

Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu dengan apa yang aku larang. 

Ada dua tafsir berkenaan ayat ini:

1. Baginda beritahu mereka yang tidaklah baginda ingin menentang mereka dengan memberitahu tentang larangan itu. Bukannya baginda suka-suka mahu menghalang mereka. Namun baginda kena beritahu kerana semua itu adalah arahan daripada Allah ﷻ belaka. Baginda wajib sampaikan kerana itu adalah tugas baginda.

Begitu juga kita yang menjalankan dakwah Sunnah sekarang. Bukannya senang kita untuk kita melakukannya; menegur amalan yang telah lama dilakukan oleh masyarakat. Kita pun tahu yang kita akan dipandang serong, ditolak, dipulaukan, dituduh ‘wahabi’ dan bermacam-macam lagi. Kita dengan kawan boleh bermasam muka, dengan ahli keluarga pun boleh menjadi renggang.

Kita tahu itu semua tetapi kita tetap tegur amalan salah kerana itu adalah kewajipan kita. Kerana kita sudah tahu kebenaran dan kalau kita tidak beritahu, kita sendiri yang akan susah di hadapan Allah ﷻ nanti.

2. Tafsiran yang kedua bermaksud baginda tidak akan menyelisihi apa yang baginda telah larang mereka itu. Baginda telah larang mereka daripada memakan harta haram dengan cara menipu, takkan baginda hendak langgar pula? Kalau baginda buat begitu, maka itu sudah cakap tidak serupa bikin. Maka ini adalah salah satu daripada tiga ayat di dalam Al-Qur’an yang menegur orang yang memberi nasihat tetapi diri sendiri tidak mengikutinya.

Ayat-ayat ini amat menakutkan kepada para pendakwah dan guru-guru agama kerana mereka takut mereka termasuk di dalam teguran Allah ﷻ. Ayat kedua adalah Baqarah: 44

أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah ﷻ, tidakkah kamu berakal?

Satu lagi di dalam Saff: 2

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

Maka perhatikanlah ketiga-tiga ayat ini supaya menjadi peringatan kepada kita. Jangan kita rajin menegur orang tetapi diri sendiri kita tidak hiraukan pula. Akan tetapi janganlah pula sampai ayat ini menjadi penghalang untuk kita mengajar dan menegur manusia pula. Teguran dan ajaran tetap mesti diteruskan. Cuma apabila kita menegur orang lain kita mestilah juga mengikut apa yang kita sampaikan. Selalunya apabila kita menegur orang lain dan mengajar orang lain, sebenarnya kita hendak mengingatkan diri kita sekali. Jangan anggap mahu tegur orang sahaja dan terasa diri sudah bagus pula. Jangan asyik menerakakan orang lain dan mensyurgakan diri sendiri pula ya.

Jangan kita diazab di akhirat kelak walaupun kita ini termasuk golongan yang selalu memberi nasihat! Perhatikan apa yang terjadi kepada orang ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالُوا لَهُ أَلَا تَدْخُلُ عَلَى هَذَا الرَّجُلِ فَتُكَلِّمُهُ قَالَ فَقَالَ أَلَا تَرَوْنَ أَنِّي لَا أُكَلِّمُهُ إِلَّا أُسْمِعُكُمْ وَاللَّهِ لَقَدْ كَلَّمْتُهُ فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَهُ مَا دُونَ أَنْ أَفْتَحَ أَمْرًا لَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ أَنَا أَوَّلَ مَنْ فَتَحَهُ وَلَا أَقُولُ لِرَجُلٍ أَنْ يَكُونَ عَلَيَّ أَمِيرًا إِنَّهُ خَيْرُ النَّاسِ بَعْدَ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُؤْتَى بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُ بَطْنِهِ فَيَدُورُ بِهَا فِي النَّارِ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِالرَّحَا قَالَ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ إِلَيْهِ فَيَقُولُونَ يَا فُلَانُ أَمَا كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ فَيَقُولُ بَلَى قَدْ كُنْتُ آمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ
Daripada [Usamah bin Zaid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ], beliau berkata: mereka berkata padanya: Bertemulah ke orang itu dan berbicaralah dengannya. Usamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: ‘Apakah kalian tidak tahu bahawa aku tidak berbicara kepadanya selain yang telah aku sampaikan kepada kalian?.’ Demi Allah, aku pernah berbicara dengannya empat mata namun aku tidak memulai suatu hal yang tidak aku suka untuk menyampaikannya terlebih dahulu, dan aku tidak berkata kepada seorang pun bahawa pemimpinku sebagai orang terbaik setelah aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Seseorang didatangkan pada hari kiamat kemudian dilemparkan ke dalam neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar di neraka seperti keldai mengitari alat penumbuk gandum. Kemudian penduduk neraka mendekatinya dan berkata: Hai Fulan! Bukankah dulu engkau memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran? Dia menjawab: Benar, dulu aku memerintahkan kebaikan namun tidak aku lakukan dan mencegah kemungkaran namun aku lakukan.
(Sahih Bukhari (20801))

 

إِن أُريدُ إِلَّا الإِصلٰحَ مَا استَطَعتُ

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan.

Baginda memberitahu yang baginda hanya ingin melakukan ‘islah’. ‘Islah’ maksudnya melakukan pembaikan, baiki sebaik mungkin. Baginda cuba untuk memperbaiki semampu yang baginda boleh lakukan. Baginda ingin menebarkan kebaikan setakat yang boleh. Kita yang menegur amalan salah masyarakat pun adalah kerana hendakkan kebaikan untuk mereka.

 

وَما تَوفيقي إِلّا بِاللَّهِ

Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah.

Baginda hendak mengatakan baginda sendiri pun tidak mampu mengamalkan suruhan agama melainkan dengan kekuatan dan izin Allah ﷻ. Lihatlah kerendahan hati yang ditunjukkan oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Samalah juga kita, walaupun kita berkehendak untuk taat kepada Allah ﷻ, namun tanpa bantuan Allah ﷻ, kita tidak mampu. Jangan sangka yang kita sudah mengajar agama dan berdakwah ini sudah pasti selamat, sudah pasti suci. Allah ﷻ sudah beri nasihat dalam Najm: 32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa)

Syeikh al-Maraghi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
“Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah ﷻ semata-mata”.

Ibnu Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ pula menyebut:
“Taufiq itu ialah iradat Allah ﷻ yang datang daripada-Nya sendiri terhadap hamba-Nya untuk melakukan yang baik, diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhai-Nya, didorong oleh kecintaan kepada-Nya”.

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah ﷻ yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

Kita kena berharap kepada Allah ﷻ sahaja; letakkan segala pengharapan kita kepada Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ sahaja tempat berharap.

Dalam setiap hal, kita kena rujuk kembali kepada Allah ﷻ. Letakkan hati kita kepada Allah ﷻ. Setiap kali setelah selesai kita berdakwah dan menegur amalan salah masyarakat, kita terus berdoa kepada Allah ﷻ semoga diberikan hidayah kepada mereka, dibukakan pintu hati mereka dan diberikan taufik kepada mereka untuk mengikut kebenaran.

Sebagai seorang mukmin, kena tawakal kepada Allah ﷻ. Hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita boleh bertawakal. Kalimah عَلَيهِ ditaqdimkan di dalam ayat ini memberi isyarat eksklusif kerana sia-sia sahaja kalau kita tawakal kepada selain Allah ﷻ kerana mereka tidak boleh diharap.

Apakah maksud tawakal? Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ. Kita hanya mampu berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Akan tetapi kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah ﷻ, sungguh Allah ﷻ akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmidzi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))


Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya bergoyang kaki menunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan jihad dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmidzi (2157) dan Ibn Hibban (708))


Namun tetap kita selepas itu berserah kepada Allah ﷻ kerana semua keputusan di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang menentukan sama ada segala usaha kita menjadi atau tidak, menang atau kalah.

Sesungguhnya Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang berharap kepada Allah ﷻ maka kerana itu baginda sebut إِلَيهِ أُنيبُ bermaksud baginda kembali menyerahkan urusan baginda kepada Allah ﷻ. Atau, ia bermaksud baginda mengatakan yang kepada Allah ﷻlah yang baginda akan kembali dan urusan baginda akan ditentukan oleh Allah ﷻ. Baginda mengingatkan yang begitu jugalah mereka nanti.


 

Hud Ayat 89: Seruan yang disampaikan oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang tidak mahu berhenti walaupun betapa besar rintangan dan penolakan kaumnya kian lama kian menimbulkan permusuhan dalam sikap kaumnya terhadap diri baginda.

وَيٰقَومِ لا يَجرِمَنَّكُم شِقاقي أَن يُصيبَكُم مِّثلُ ما أَصابَ قَومَ نوحٍ أَو قَومَ هودٍ أَو قَومَ صٰلِحٍ ۚ وَما قَومُ لوطٍ مِّنكُم بِبَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, let not [your] dissension from me cause you to be struck by that similar to what struck the people of Noah or the people of Hūd or the people of Ṣāliḥ. And the people of Lot are not from you far away.

(MALAY)

Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh, sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu.

 

وَيٰقَومِ لا يَجرِمَنَّكُم شِقاقي

Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan denganku

Ini adalah sambungan daripada dakwah dan syarah daripada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kaumnya menentang dakwah baginda, maka baginda mengingatkan mereka dan memberi ancaman kepada mereka. Pertentangan dengan baginda menyebabkan mereka berdosa. Maka ini adalah ayat Takhwif Duniawi.

Kalimah يَجرِمَنَّكُم daripada katadasar ج ر م yang bermaksud memotong sesuatu; memperoleh sesuatu; memandu atau menghasut seseorang untuk melakukan jenayah, dosa, kesalahan; melakukan perbuatan ingkar; untuk menjadi jelas; untuk menyempurnakan sesuatu, untuk menamatkan sesuatu atau membawa sesuatu kepada penghujungnya [apabila selesai].

Perkataan seperti ini benar-benar menunjukkan betapa cintanya Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaumnya. Baginda serukan dengan hati yang putih bersih, penuh kasih cinta kepada seluruh kaumnya, agar baginda jangan dimusuhi kerana seruannya itu. Baginda menyampaikan itu, tidak lain hanyalah untuk kebaikan mereka sendiri.

 

أَن يُصيبَكُم مِّثلُ ما أَصابَ قَومَ نوحٍ

menyebabkan kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh

Baginda mengingatkan mereka jangan menentang ajakan dakwah tauhid baginda, agar jangan menimpa mereka, seperti yang pernah dikenakan kepada kaum Nuh. Baginda mengingatkan mereka tentang kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menentang Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dikenakan dengan azab yang berat – semuanya tenggelam dalam banji besar yang dahsyat.

Ini menunjukkan bahawa mereka tahu kisah tentang Nabi terdahulu. Sebab baginda adalah Rasul Allah ﷻ dan yang baginda sampaikan adalah perintah Allah ﷻ. Ingatlah kepada kaum-kaum yang telah musnah itu. Mereka semuanya telah mengetahui kisah itu. Bukankah yang mereka dapati sekarang ini hanya runtuhan daripada kaum yang telah musnah?

Ada satu kisah sedih tentang apa yang terjadi pada Saidina Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ semasa Zaman Fitnah dan beliau membacakan ayat ini kepada mereka yang mengepung beliau.

عن أبي ليلى الكندي قال : كنت مع مولاي أمسك دابته ، وقد أحاط الناس بعثمان بن عفان; إذ أشرف علينا من داره فقال : ( ويا قوم لا يجرمنكم شقاقي أن يصيبكم مثل ما أصاب قوم نوح أو قوم هود أو قوم صالح ) يا قوم ، لا تقتلوني ، إنكم إن تقتلوني كنتم هكذا ، وشبك بين أصابعه
Daripada Ibnu Abu Laila Al-Kindi yang mengatakan, “Ketika aku sedang bersama tuanku seraya memegang tali kendali unta kenderaannya, saat itu orang-orang sedang mengepung rumah Uthman ibnu Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Maka Uthman ibnu Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ muncul dari rumahnya menghadapi kami, lalu membacakan firman-Nya: ‘Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kalian) menyebabkan kalian menjadi jahat hingga kalian ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh.’ (Hud: 89).” Hai kaumku, janganlah kalian membunuhku. Sesungguhnya jika kalian membunuhku, maka kalian akan seperti ini. Demikianlah ucapannya seraya menyatukan jari jemari tangannya.
(Riwayat Ibnu Abi Hatim dalam Tafsirnya 6/2075)
Sanadnya Hasan menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir

Masyarakat pada waktu itu telah menuduh Saidina Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menyalahgunakan wang negara dan mengangkat ahli keluarganya ke kedudukan tinggi. Itu semua adalah tohmahan daripada puak Syiah.

 

أَو قَومَ هودٍ أَو قَومَ صٰلِحٍ

atau kaum Hud atau kaum Saleh,

Bukan sahaja mereka diingatkan dengan kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, malah mereka diingatkan juga dengan kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah ancaman dalam bentuk mengingatkan mereka terhadap perkara yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu. Inilah yang dinamakan Takhwif Duniawi iaitu penakutan dengan azab di dunia. Manusia perlu diingatkan dengan perkara-perkara dan azab-azab yang telah berlaku di masa yang lalu. Kadang kala kalau diberikan ancaman dengan azab di akhirat, ramai yang tidak terkesan sangat kerana azab di akhirat itu bagaikan lama lagi. Akan tetapi jikalau ada contoh dengan azab yang telah dikenakan di dunia kepada umat-umat yang lalu, maka ia lebih dekat kepada mereka.

Maka begitulah juga kita mengingatkan masyarakat kita dengan kisah-kisah umat terdahulu. Ambillah pengajaran daripada mereka, supaya jangan jadi seperti mereka itu. Begitulah di dalam memberikan dakwah kepada manusia, kita hendaklah memberi peringatan dengan ancaman kepada mereka. Bukan hanya diberikan dengar berita-berita gembira sahaja seperti rezeki dan syurga, akan tetapi perlu diingatkan kepada mereka tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka jikalau mereka tidak mahu taat kepada arahan Allah ﷻ dan Rasul.

 

وَما قَومُ لوطٍ مِّنكُم بِبَعيدٍ

sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu.

Mereka juga diingatkan dengan apa yang terjadi kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Bahawa tempat kejadian kaum Luth penduduk negeri Sadum dan Gamurrah, tidaklah berapa jauh dari negeri orang Madyan, iaitu sama-sama terletak di antara negeri Hejaz dan Syam, sebelah Utara Jazirah Arab. Jarak zamannya pun belum berapa lama antaranya, ertinya masih belum hilang daripada ingatan.

Maka maksud ‘jauh’ itu sama ada tidak jauh dari segi masa atau tidak jauh dari segi kedudukan mereka dengan kawasan mereka. Baginda mengingatkan kepada mereka: “Jadi kenapa kamu tidak mahu mengambil pengajaran?”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah Hud Ayat 85 – 87 (Adil dalam perniagaan)

Hud Ayat 85:

وَيٰقَومِ أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ بِالقِسطِ ۖ وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And O my people, give full measure and weight in justice and do not deprive the people of their due and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.

(MALAY)

Dan Syu’aib berkata: “Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.

 

وَيٰقَومِ أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ بِالقِسطِ

Dan Syu’aib berkata: “Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, 

Dengan memulai ucapan dengan “Wahai kaumku!” jelaslah rasa cinta dan kasih-sayang yang ada pada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana kaumnya itu bukan orang lain baginya, mereka adalah saudara kandungnya. Ini mengajar kita bahawa para pendakwah mestilah menggunakan bahasa yang beradab dan tidak menyakitkan hati mad’u. Jikalau mereka sakit hati, tentulah tidak sampai dakwah kita.

Selain mereka itu diingatkan dengan ajaran Tauhid sebelum ini, baginda mengingatkan mereka tentang amalan perniagaan mereka. Hendaklah manusia berlaku jujur dalam perniagaan. Kalau timbang untuk pelanggan, bagi dengan cukup. Sukatan dan timbangan mestilah adil, iaitu menurut ukuran yang telah ditentukan bersama, menurut uruf (kebiasaan) masyarakat yang telah diputuskan oleh masyarakat setempat. Misalnya satu sukat ialah empat gantang, satu gantang sekian genggam dan seterusnya. Hendaklah diukurkan sukat dan timbangan itu dengan adil, iaitu menurut apa yang telah diputuskan bersama.

Namun begitu janganlah hadkan kepada timbangan dan takaran sahaja. Zaman sekarang bukan semua perniagaan melibatkan timbangan barang. Banyak yang melibatkan servis sekarang. Maka sekiranya menyediakan perkhidmatan servis, maka lakukanlah dengan penuh. Jikalau mengadakan kontrak perniagaan, jangan menipu dengan menambah syarat-syarat yang tidak patut. Zaman sekarang kebanyakan kita tidaklah menggunakan penimbang berat dalam perniagaan kita. Namun peluang untuk menipu pelanggan ada bermacam-macam jenis sekarang. Penjual pula ada pelbagai cara untuk menipu. Maka mereka kena tanya diri mereka sendiri: adakah aku menipu atau tidak? Perkara ini amat penting di dalam kehidupan dan kerana itu disebut juga di dalam Mutaffifin: 1-6

وَيلٌ لِلمُطَفِّفينَ
Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang

الَّذينَ إِذَا اكتالوا عَلَى النّاسِ يَستَوفونَ
(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi,

وَإِذا كالوهُم أَو وَزَنوهُم يُخسِرونَ
dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Manusia kena sedar yang keuntungan dunia yang mereka kejar itu tidak berbaloi jikalau mereka diazab di akhirat kelak. Maka mereka kena ingat yang mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kerana itu Allah ﷻ sambung seterusnya,

أَلا يَظُنُّ أُولٰئِكَ أَنَّهُم مَبعوثونَ
Tidaklah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,

لِيَومٍ عَظيمٍ
pada suatu hari yang besar,

يَومَ يَقومُ النّاسُ لِرَبِّ العالَمينَ
(iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?

Di dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah sebut وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ (dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan), maka kenapa Allah ﷻ ulang lagi dengan ayat yang lebih kurang sama, iaitu أَوفُوا المِكيالَ وَالميزانَ (cukupkanlah takaran dan timbangan) pula? Tidakkah maknanya lebih kurang sama sahaja? Ulama’ mengatakan apabila Allah ﷻ menyebut أَوفُوا ia bermaksud beri lebih lagi. Kerana takut kalau kita bagi cukup-cukup sahaja, entah ada yang kekurangan. Akan tetapi sekiranya diberi lebih, pasti sudah cukup. Kerana itu kadang-kadang kita perasan ada peniaga yang beri lebih lagi daripada yang sepatutnya. Kalau buah itu sepatutnya sekilo, kemudian ditambahnya lagi.

 

وَلا تَبخَسُوا النّاسَ أَشياءَهُم

dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan

Jangan beri kurang daripada yang sepatutnya kepada pelanggan. Banyak kalangan peniaga yang mengambil kesempatan atas kelalaian pelanggan, atau kejahilan pelanggan. Kerana dalam bidang kerja profesional atau teknikal, pelanggan tidak tahu sepenuhnya.

Sebagai contoh, pemilik kereta tidak tahu sepenuhnya tentang kereta, maka mereka hanya percayakan nasihat mekanik. Kalau mekanik tidak jujur, memang mereka boleh menipu sahaja pelanggan kerana pelanggan pun tidak tahu yang mereka ditipu. Namun itu adalah haram.

Kadang-kadang bukan pelanggan sahaja ditipu. Pekerja pun ada yang ditipu oleh majikan mereka. Ada pekerja yang tidak mendapat upah sebagaimana yang sepatutnya. Namun selalunya mereka tidak boleh berkata banyak kerana mereka pekerja sahaja dan mereka takut hendak menegur majikan mereka kerana takut dibuang kerja pula.

Selain daripada memberikan pelanggan untuk mendapat apa yang mereka bayar, maka kita kena juga memberikan hak di dalam perkara-perkara yang lain di dalam kehidupan. Contohnya kita memberi hak kepada keluarga kita, kepada pekerja kita, kepada rakyat, kepada guru dan macam-macam lagi. Bab hak ini memang banyak sekali kerana ia adalah perkara yang amat luas.

 

وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

dan janganlah kamu membuat bencana di muka bumi dengan membuat kerosakan.

Jangan kamu melakukan bencana. Kalimah تَعثَوا daripada katadasar ع ث ط yang bermaksud melakukan kejahatan; melakukan jenayah; bertindak korup/fasik. Ini adalah kerana menipu dalam perniagaan adalah satu kerosakan juga. Sekiranya seseorang mula melakukan penipuan, kemudian orang lain pun ada yang ikut melakukannya juga kerana masing-masing hendak mendapat untung sebagaimana orang yang pertama itu dapat. Akhirnya perkara itu menjadi satu kebiasaan dan ini tidak baik bagi rakyat dan ekonomi. Masalah ekonomi yang dihadapi oleh kebanyakan negara mungkin disebabkan oleh perkara ini.

Masyarakat yang korup, masyarakat yang ditegakkan di atas penipuan menimbulkan kekayaan dan mencari keuntungan peribadi kerana mementingkan diri sendiri. Maka orang yang miskin dan teraniaya akan mengeluh dan berdendam. Segolongan kecil manusia hidup senang dengan menghisap darah golongan yang terbesar. Itulah yang diisyaratkan di hujung ayat tentang “kerosakan di muka bumi”, yang disebut Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ukuran masyarakat zaman kuno yang mencari rezeki pada pertanian, dan penternakan, yang dapat kita kiaskan kepada masyarakat moden sekarang ini.

Di dalam ayat menceritakan kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, nampaklah baginda membayangkan suatu ilmu ekonomi, bahawa kenaikan harga sehingga tidak terkendalikan lagi, banyak sangkut-pautnya dengan kecurangan sukatan dan timbangan. Di dalam ilmu ekonomi moden pun kata-kata itu dapat disimpulkan dalam spekulasi dan manipulasi, atau menimbun barang keperluan sehari-hari yang penting, sehingga orang ramai menderita. Ekonomi menjadi punah dan itulah kerosakan yang dimaksudkan. Kita sekarang pun telah merasainya apabila barang semakin naik harga dan melambung-lambung tidak tentu masa. Inilah balasan daripada kecurangan yang dilakukan oleh para peniaga yang tidak adil.

Kalimah تَعثَوا dan مُفسِدينَ lebih kurang sama sahaja maknanya, maka kenapa Allah ﷻ tambah lagi kalimah مُفسِدينَ itu? Ini adalah kerana bukan semua perbuatan yang nampak jahat itu sebenarnya membuat kerosakan. Sebagai contoh Allah ﷻ sebut di dalam Hashr: 5

ما قَطَعتُم مِّن لّينَةٍ أَو تَرَكتُموها قائِمَةً عَلىٰ أُصولِها فَبِإِذنِ اللهِ وَلِيُخزِيَ الفٰسِقينَ
Apa saja yang kamu tebang daripada pohon kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.

Memang sekali pandang kita lihat perbuatan memotong pokok kurma itu berbuat kerosakan, akan tetapi sebaliknya ia bertujuan untuk menimbulkan rasa gerun di dalam hati golongan Yahudi itu supaya mereka menyerah diri.

Juga lihat perbuatan Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut di dalam Kahf:71 dan Kahf:74

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا رَكِبا فِي السَّفينَةِ خَرَقَها
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia membocorkannya.

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذا لَقِيا غُلٰمًا فَقَتَلَهُ
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya.

Kedua-dua perbuatan ini kalau dilakukan oleh orang yang biasa, tentu dilihat sebagai kerosakan yang amat besar akan tetapi kita dapat tahu daripada penjelasan Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa ada sebab kenapa baginda lakukan sebegitu. Maka ia bukanlah membuat kerosakan pada pandangan mata. Kerana itu bukan semua yang kita nampak perbuatan merosakkan pada zahirnya itu sebenarnya kerosakan kerana mungkin ada sebab di sebaliknya ia dilakukan.


 

Hud Ayat 86:

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ ۚ وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What remains [lawful] from Allāh is best for you, if you would be believers. But I am not a guardian over you.”

(MALAY)

Sisa (keuntungan) daripada Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

 

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَّكُم

Sisa (keuntungan) daripada Allah adalah lebih baik bagimu

Maksudnya, pahala-pahala yang dijanjikan oleh Allah ﷻ lebih baik untuk mereka. Atau, rezeki yang baik itu lebih baik daripada rezeki yang haram. Memang kalau jujur dalam perniagaan, ada benda yang kita tidak dapat, mungkin tidak mendapat untung yang lebih. Untung mungkin sedikit, dapat baki sahaja, namun itulah yang berkat. Walaupun ia sisa, tetapi ia adalah sisa yang halal.

Memang akan ada orang yang rasa, rugilah kalau tidak ambil kesempatan itu. Namun Allah ﷻ mahu beritahu, itulah yang terbaik untuk kita. Ambil mana yang boleh ambil dengan cara jujur sahaja. Jangan ambil lebih daripada yang sepatutnya kerana itu amatlah bahaya. Keuntungan yang sedikit dan ada berkat lebih baik daripada keuntungan banyak yang tanpa berkat. Tidak sama yang baik dan yang buruk seperti firman Allah ﷻ di dalam Maidah: 100

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ
Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu,

Rasulullah ﷺ telah bersabda,

“مَا قَلَّ وكَفَى، خَيْرٌ مِمَّا كَثُر وألْهَى”
Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.
(HR Ahmad No. 21721)
Sanadnya hasan menurut Syeikh Al-Arnauth رَحِمَهُ اللَّهُ

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika kamu orang-orang yang beriman. 

Nasihat yang begitu banyak dan rapi ini hanya boleh diterima dan diamalkan oleh orang-orang yang ada iman di dalam hati mereka. Yang bukan hanya melihat daripada keuntungan dunia sahaja, tetapi sedar yang nanti apabila mereka telah mati nanti, mereka akan menghadap Allah ﷻ dan akan ditanya tentang amalan mereka semasa mereka hidup di dunia.

 

وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

Baginda mengingatkan mereka yang baginda tidak menjaga amalan mereka. Maksudnya, baginda tidak boleh memaksa mereka, baginda cuma boleh nasihat sahaja. Ini adalah kerana tugas baginda adalah menyampaikan, dan baginda tidak mampu untuk menyelidik sama ada mereka benar atau tidak dalam perniagaan mereka – mereka kenalah periksa sendiri, nilai sendiri. Baginda bukannya polis untuk periksa satu persatu apa yang mereka lakukan.

Ia juga bermaksud yang baginda tidak boleh membantu mereka jikalau mereka nanti diazab oleh Allah ﷻ atas kesalahan mereka kerana baginda tidak bertanggungjawab atas mereka. Baginda hanya boleh menyampaikan sahaja ajaran agama dan nasihat yang baik kepada mereka kerana itu adalah tugas baginda dan juga kerana kasihnya baginda terhadap mereka.


 

PENOLAKAN KAUM NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 87:

قالوا يٰشُعَيبُ أَصَلوٰتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا أَو أَن نَّفعَلَ في أَموٰلِنا ما نَشىؤُاْ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Shu‘ayb, does your prayer [i.e., religion] command you that we should leave what our fathers worship or not do with our wealth what we please? Indeed, you are the forbearing, the discerning!”¹

  • This is a sarcastic description implying the opposite.

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Syu’aib, apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami? Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

 

قالوا يٰشُعَيبُ

Mereka berkata: “Hai Syu’aib,

Ini adalah balasan daripada kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada baginda. Seperti biasa, akan ada umat yang menolak. Di sini masyarakat baginda menyebut nama baginda sahaja tanpa diberikan pangkat baginda sebagai Nabi Allah ﷻ. Maka ini menunjukkan yang mereka marah kepada baginda tidak menghormati baginda dan sudah tidak sayang kepada baginda. Kurang ajarnya mereka itu seperti kurang ajarnya seorang anak yang memanggil nama ayahnya sahaja. Mereka sedang berkata dengan nada memperolok-olok apa yang baginda nasihat kepada mereka. Memang kalau jauh daripada agama, adab pun akan ke laut.

Kita boleh lihat di sini yang umat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah memberi tindak balas kepada dakwah baginda. Baginda telah menyampaikan dakwah dan telah menegur kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh umat baginda waktu itu. Ini bermakna memang baginda telah melakukan dakwah dengan menyampaikan kebenaran yang menyentuh amalan-amalan salah masyarakat itu. Mereka terasa dengan teguran itu dan kerana itulah mereka sedang menjawab seperti yang kita baca ini.

Ini tidak sama dengan ahli agama kita sekarang yang tidak menegur pun kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sampaikan masyarakat senang lenang sahaja tidak terasa dan tidak tersentuh pun dengan teguran daripada ahli agama. Kalau ada kelas-kelas agama yang dijalankan di masjid-masjid dan surau sekarang pun hanya menyentuh tentang fiqh wudhu’, solat dan puasa sahaja dan tidak menegur dan kesalahan syirik dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat. Maka kerana itulah kesalahan syirik dan bid’ah masih berterusan malah makin bercambah dalam kalangan masyarakat kita.

 

أَصَلوٰتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا

apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami?

Kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang solat. Solat dari sudut bahasa adalah doa dan kita amat dituntut untuk memperbanyakkan berdoa di dalam solat. Memang di dalam solat itu mengandungi banyak sekali doa, maka tidak salah kalau kita katakan yang solat itu memang doa. Kerana itulah kita kena faham kalimat yang kita sebut di dalam solat kerana kita apabila berdoa, kena faham apa yang kita doakan itu.

 

Solat

Pendapat yang lebih kuat adalah mereka menyebut tentang solat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana memang para Nabi semuanya mempunyai syariat solat. Cuma mungkin tidak sama dengan syariat umat Nabi Muhammad ﷺ seperti yang kita sedang lakukan sekarang. Malahan sebelum kewajipan solat lima waktu diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ pun baginda telah solat malam. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Muzzammil: 2

قُمِ اللَّيلَ إِلّا قَليلًا
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

Mereka nampak Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu melakukan ibadah solat. Maka mereka ejek: “Adakah solat yang kamu lakukan itu yang suruh kamu supaya suruh kami tinggalkan apa yang kami pernah buat selama ini?” Mereka mahu berkata: “Adakah kamu nak tukar sembahan yang selama ini kami buat? Kamu nak kata selama ini, apa yang kami sembah ini salah?” Iaitu berhala-berhala dan apa-apa sahaja selain Allah ﷻ.

Persoalan mereka ini adalah satu ejekan. Mereka mahu berkata: ‘Kalau nak solat tu solatlah, tapi jangan campur urusan mereka, dan apa yang mereka nak buat dengan kehendak mereka. Jangan kacau amalan-amalan yang telah lama diamalkan oleh mereka, oleh tok nenek mereka. Benda sudah lama dilakukan, tiba-tiba datang, nak kata salah pula…’ Ada pendapat mengatakan syirik yang mereka lakukan adalah menyembah pokok.

Begitulah juga yang dikatakan oleh ahli-ahli bid’ah di negara kita, bukan? Marah betul mereka apabila dikatakan amalan yang telah sekian lama dilakukan selama hari ini sejak zaman berzaman adalah salah pula; seperti Solat Hajat berjemaah, Majlis Yasinan dan Tahlil, Jaga Kubur selepas kematian, Doa Selamat dan macam-macam lagi. Mereka marah kerana amalan itu sudah lama diamalkan di negara ini, diamalkan oleh kebanyakan ustaz ustazah selebriti, maka mereka sangka tidak mungkin salah? Memang sukar untuk mereka menerima suatu amalan yang di luar kebiasaan lebih-lebih lagi suatu perkara yang telah diamalkan sejak sekian lama sehingga menjadi sebahagian daripada amalan darah daging dan adat dalam kehidupan seharian mereka.

Ada pula yang kononnya boleh menerima perbezaan pendapat antara golongan sunnah dan mereka, tetapi mereka kata janganlah kata perbuatan mereka itu salah. Kerana pada mereka, ada pendapat yang mengatakan amalan mereka itu adalah benar. Mereka tidak sedar yang komen mereka itu sama sahaja dengan komen-komen yang dikeluarkan oleh umat-umat Rasul terdahulu. Mereka tidak sedar kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka hanya rajin membaca dan melagukan Al-Qur’an serta khatam berulang kali sahaja, namun tidak faham apa yang mereka bacakan itu.

Kita hanya menegur sahaja dengan ilmu yang ada pada kita. Kalau mereka merasakan amalan mereka benar, silalah terus melakukannya. Namun janganlah halang sekiranya kita beri pendapat kita yang mengatakan amalan itu salah. Ini kerana yang salah tetap salah.

Kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mengejek baginda dengan mengatakan adakah solat engkau itu menyuruh kami meninggalkan amalan syirik tok nenek kami? Sekarang persoalannya adakah benar begitu? Memang benar pun seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan beliau berkata, aku mendengar Jabir berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Riwayat Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tiada gunanya puasa yang dikerjakan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun apabila datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak mengerjakan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan puasa-puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

 

Amalan tok nenek

Namun kenapa mereka marah sangat Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur amalan mereka? Kerana memang manusia suka dan selesa untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh golongan terdahulu. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kalau perkara lain, tidaklah dijaga sangat, akan tetapi dalam bab agama, memang selesa dan yakin sahaja dengan apa yang telah ada sekian lama.

Sebagaimana golongan Melayu kita lah juga, kalau bab agama, sentiasa sahaja mahu diikutkan apa yang telah diamalkan oleh golongan-golongan sebelum ini. Kalau kita tegur, marah betul mereka yang menjaganya. Mereka ikut sahaja amalan tok nenek, tanpa memikirkan sama ada amalan itu benar atau tidak. Maka amat susah untuk kita menghilangkan amalan syirik, bid’ah dan khurafat dalam masyarakat kerana memang ramai yang berfikiran cetek begini. Maka kita kena terus sampaikan ilmu.

Menggunakan hujah amalan tok nenek adalah satu hujah yang selalu digunakan oleh para penentang tauhid dan Sunnah. Ini adalah kerana pada mereka, sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan oleh tok nenek dan kita manusia memang ada pertalian yang rapat dengan tok nenek. Sepertimana kita menghormati apa yang dilakukan oleh bapa kita jugalah. Berat hati kita untuk mengatakan amalan bapa kita salah, bukan? Salah bagaimana pun, ia tetap bapa kita, bukan? Mereka sangka apabila amalan itu telah lama diamalkan sudah tentulah ia benar kerana jikalau ia salah maka tentu telah lama telah ditolak.

Lagi satu mereka percaya kepada amalan tok nenek ini adalah kerana yang menjadi penganjurnya juga adalah golongan-golongan agama juga seperti ustaz dan tok lebai. Bayangkan amalan syirik buang sial ke laut dahulu dilakukan oleh para-para ustaz juga yang membacakan doa dan menjadi tekong kepada amalan itu. Alhamdulillah masyarakat kita sudah semakin pandai sedikit dan sudah nampak yang amalan itu adalah amalan syirik. Akan tetapi masih ada lagi amalan-amalan lain yang berbaki di dalam masyarakat kita.

Ringkasnya amalan tok nenek dipegang kuat kerana,

    1. Sudah lama diamalkan maka kenapa perlu ditukar?
    2. Tok nenek yang kita hormat dan sanjungi yang mengamalkannya
    3. Kalau salah, kenapa ia diamalkan sekian lama?
    4. Ia juga diamalkan oleh ahli agama selama ini

Al-Qur’an menegur hujah bathil mereka ini seperti disebut dalam Baqarah: 170

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”.

Hujah mereka ini dijawab oleh Allah ‎ﷻ di dalam sambungan ayat itu. Seandainya amalan itu memang ada hujah dan dalil, maka bolehlah diteruskan, namun sekiranya ia dilakukan tanpa apa-apa sandaran agama, maka kenapakah diteruskan? Takkan masih hendak ikut amalan orang yang tidak berilmu hanya kerana semata-mata mereka itu tok nenek kita?

أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ
Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?

Oleh itu, mereka yang berilmu dan menggunakan akal yang waras dan telah mempelajari agama mestilah berani untuk meninggalkan amalan-amalan salah walaupun ia telah lama diamalkan. Kita tidak perlu menjaga tradisi golongan yang sebelum kita jikalau ia terbukti telah menyelisihi wahyu.

Kalau amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat tidak ditegur, maka ia akan menjadi semakin teruk dan lama kelamaan akan dianggap sebagai agama dan baik. Sebab itulah amalan tok nenek itu dianggap sebagai baik kerana tidak pernah ditegur oleh ahli agama yang sepatutnya tahu. Begitu jugalah kita terpaksa menegur amalan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana jikalau kita tidak ditegur, entah apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita. Seandainya kita dapat hidup selama 50 tahun lagi dan melihat amalan masyarakat ketika itu, kita pun tidak tahu masyarakat kita itu beragama apa agaknya kerana amalan sudah menjadi pelik-pelik.

Jangan kita menjadi orang yang hanya menerima sahaja apa-apa yang disampaikan kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ telah menganugerahkan kita pancaindera untuk mendapat ilmu dan minda bagi menilai mana yang benar dan mana yang tidak. Allah ﷻ memuji ‘ulul albab’ orang yang bijak di dalam Zumar: 18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Lihatlah Allah ﷻ memanggil golongan ulul albab ini sebagai mereka yang ‘berakal sempurna’. Adakah kita termasuk mereka yang sempurna akalnya? Jika kita hanya menerima sahaja segala apa yang disampaikan kepada kita tanpa menapis dan berfikiran kritis, ketahuilah bahawa jelas sekali terdapat kekurangan dengan akal kita ini.

Maknanya kita boleh sahaja mendengar hujah yang disampaikan oleh orang lain, namun mestilah dinilai semula supaya kita ikut yang أَحسَنَهُ (yang terbaik). Apakah pula أَحسَنَهُ itu? Ia disebut dalam Zumar: 23 pula,

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang

Jelas sekali di sini, أَحسَنَ yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an. Maka kita kena bandingkan apa-apa sahaja yang disampaikan kepada kita dengan neraca Al-Qur’an. Cuma malangnya ramai yang tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an maka kerana itu senang sekali mereka tertipu.

 

أَو أَن نَّفعَلَ في أَموٰلِنا ما نَشىؤَاْ

atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami?

Mereka marah apabila mereka tidak bebas berbuat apa sahaja terhadap harta benda mereka. Mereka berkata, jangan babitkan urusan agama dengan urusan perniagaan.

Inilah fahaman sekularisme – semenjak dulu lagi sudah ada. Urusan agama diasingkan daripada urusan keduniaan. Begitulah manusia, mereka kadang tidak kisah dengan ibadat, tetapi mereka bezakan antara ibadat dengan kehidupan. Mereka tidak suka kalau agama dimasukkan ke dalam kehidupan. Sebagai contoh di dalam ayat ini, mereka rasakan itu adalah wang mereka, harta mereka, maka mereka bolehlah hendak berbuat apa sahaja dengan harta mereka itu.

Begitulah yang terjadi jika manusia tidak rasa yang segala apa yang mereka ada adalah haq Allah ﷻ sebenarnya. Mereka lupa yang segala harta yang mereka ada itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ dan mestilah digunakan dengan cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya.

Ini adalah golongan yang jahil yang tidak nampak bahawa agama Islam ini sebenarnya menyeluruh dan bukan hanya di dalam bab ibadat sahaja. Kerana itu ramai yang solat tetapi di luar solat mereka tidak menjaga agama kerana kononnya mereka sudah beribadah kepada Allah ﷻ dan mereka sudah muslim. Hakikatnya mereka itu amat jauh daripada kebenaran. Mereka tidak faham yang kita ini mesti memasukkan seluruh kehidupan ke dalam agama Islam seperti disebut dalam Baqarah: 208

ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً
Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam keseluruhannya

Malangnya ramai yang tidak mengamalkan agama Islam secara keseluruhannya dan pilih memilih mana yang mereka hendak lakukan dan meninggalkan mana yang mereka tidak suka. Allah ﷻ mengutuk golongan ini seperti disebut di dalam Baqarah: 85

أَفَتُؤمِنونَ بِبَعضِ ٱلكِتَـٰبِ وَتَكفُرونَ بِبَعضٍ
maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?

 

إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

Ini bukanlah mereka memuji Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka mengejek lagi: “Kamu sangat lembut lagi sangat jujur”. Ini bukanlah pujian, tetapi ejekan dan kutukan. Mereka hendak berkata: “Jadi kamu rasa kamu lagi bagus dari kami lah? Kamu rasa kamu santun, lagi baik, lagi berakal dari kamilah?”.

Ini sama sahaja seperti orang kita yang suka mengejek orang yang belajar agama: “Oh, baru setahun dua belajar agama sudah jadi ustaz… sudah boleh tegur kami yer…kamu ni sudah sangat baik ya?” Ini adalah kerana manusia memang susah untuk terima teguran. Kalau boleh, mereka ingin bebas berbuat apa sahaja tanpa teguran daripada orang lain.

Maka ayat ini adalah ayat perli sepertimana Allah ﷻ juga ada memerli golongan kufur seperti disebut dalam Dukhan: 49

ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ
(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

 

Satu lagi tafsir bagi maksud ayat ini adalah mereka sebenarnya hendak mengatakan yang dulu Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain dari sekarang. Dulunya baginda berlapang dada dan seorang yang dipandang berakal molek pada mereka. Ini adalah seperti kata-kata kaum Tsamud kepada Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Hud: 62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا
Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan,

Begitulah juga yang kita ketahui yang telah terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum baginda menjadi Rasul dan mengajak kaumnya meninggalkan syirik, kaumnya itu menggelarkan baginda dengan gelaran ‘Al-Amin’ (yang dipercayai) menunjukkan betapa mereka percayakan baginda.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diakui oleh kaumnya sebagai seorang yang berlapang dada, pemaaf dan amat bijaksana; kerana memang begitulah watak baginda selama ini. Namun sebagai seorang utusan Allah ﷻ baginda wajib menyampaikan kata kebenaran, walaupun pahit untuk diterima.

Pujian mereka kepada Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mengatakannya seorang yang berlapang dada, pemaaf dan bijaksana, boleh juga dikatakan sebagai suatu pujian yang berisi tipuan. Moga-moga kerana dipuji itu baginda tidak lagi bersikap keras mencela perbuatan mereka. Mereka berharap sekiranya baginda sudah dikatakan berlapang dada dan bijaksana, moga-moga akan dimaafkannya sahaja segala kesalahan mereka serta mencegah sesuatu dengan lemah-lembut sahaja, bukan serius sangat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Tafsir Surah at-Tariq Ayat 1 – 8 (Asal kejadian air mani)

Pengenalan:

Di dalam hujung Surah Burooj sebelum ini telah disebut tentang Al-Qur’an yang terpelihara. Dan Al-Qur’an itu terpelihara di langit dan ayat ini terus menyebut tentang langit.

Tema dalam ayat ini adalah ‘perjalanan’. Kita akan melihat beberapa perkara tentang perjalanan nanti dalam surah ini.

Allah ﷻ hendak beritahu dalam surah ini, balasan setimpal akan diberikan kepada manusia, sesuai dengan apa yang dilakukan semasa di dunia.

Surah ini diturunkan pada peringkat Ketiga Kenabian di Mekah. Iaitu antara tahun 6 – 10 kenabian.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu kita yang setiap manusia ada malaikat penjaganya.

وَالسَّماءِ وَالطّارِقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Aṭ-Ṭāriq: That Which Comes at Night.

By the sky and the night comer –

(MALAY)

Demi langit dan yang datang pada malam hari,

 

Allah ﷻ bersumpah, demi langit dan at-Tariq. Sumpah ini sama stail dengan surah-surah sebelum ini dalam juz amma.

Apabila digunakan kalimah ‘langit’ ianya merangkumi semua langit. Malah, ia boleh bermaksud apa sahaja yang ada di atas kita. Penggunaan kalimah untuk langit dalam ayat ini adalah السَّماءِ. Ini berbeza kalau kalimah السّماوات yang bermaksud ‘langit yang ada tujuh’. Ini adalah kerana kalimah السَّماءِ sebenarnya lebih besar lagi dari السّماوات.

Ini adalah kerana kalimah السّماوات walaupun dalam bentuk jamak, tetapi ia adalah jamak yang terhad, jadi ia hanya merujuk kepada langit yang tujuh. Oleh itu, kena lihat kalimah manakah yang digunakan dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh, Arash itu lebih tinggi dari السّماوات kerana Allah ﷻ kata Arash itu في السَّماءِ.

Oleh itu, kalimah السَّماءِ secara umumnya merujuk kepada langit yang tidak ada hujungnya. Dan Al-Qur’an boleh juga meletakkan had langit itu dengan tidak memaksudkan kesemua langit. Sebagai contoh kalau Allah ﷻ kata, السَّماءِ الدنيا, itu bermaksud langit pertama yang berdekatan dengan dunia sahaja. Ini boleh dilihat dalam al-Mulk:5. Dalam ayat Surah Tariq ini, had yang Allah ﷻ tetapkan adalah bintang Tariq kerana disebut bintang Tariq sekali dalam ayat ini.

nota: selagi mana kita boleh nampak bintang, sama ada dengan mata atau dengan teleskop, itu masih lagi termasuk dalam langit dunia (langit yang pertama). Bayangkan, semua sekali ada 7 langit!

Allah ﷻ bersumpah dalam Al-Qur’an kerana hendak menjadikan sesuatu sebagai saksi. Dalam ayat ini, Allah ﷻ menjadikan langit sebagai saksi terhadap apa yang hendak diberitahu kemudiannya.

Dan juga sebagai pengenalan kepada apa yang Allah ﷻ akan ceritakan dalam ayat yang seterusnya. Allah ﷻ pilih sesuatu yang berkenaan dengan apa yang hendak disampaikan. Allah ﷻ gunakan bintang sebagai sumpah dalam ayat ini kerana bintang adalah perkara yang selalu dilihat oleh orang Arab. Itulah pengisi masa lapang mereka kerana mereka bukan ada TV pun. Malam-malam mereka akan tidur di atas bumbung rumah mereka sambil melihat bintang.

Mereka juga menjadikan bintang sebagai panduan arah (macam GPS) mereka semasa mereka mengembara di padang pasir di malam hari. Jadi, bintang adalah sesuatu yang rapat dengan masyarakat Arab waktu ayat ini diturunkan. Jadi, apabila digunakan kalimah bintang, mereka sudah biasa dengan bintang itu.

Kalimah الطّارِقِ dari katadasar ط ر ق yang bermaksud ‘pukulan’ ia bermaksud pukulan kepada jalan. Kerana itulah ‘jalan’ dalam bahasa Arab adalah طريق kerana bukankah jalan itu selalu kena pukul setiap hari dengan tapak kaki manusia dan binatang? Kita telah katakan sebelum ini bahawa tema surah ini banyak berkenaan dengan ‘perjalanan’, bukan?

Oleh itu, kalimah الطّارِقِ juga digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berjalan pada waktu malam kerana malam lagi sejuk dan sesuai untuk manusia mengembara di padang pasir kerana tidak panas. Kalau berjalan siang, akan panas sangat, jadi mereka memilih untuk berjalan malam dan berehat waktu siang.

Dan apabila berjalan waktu malam, kadang-kadang الطّارِقِ ini akan mengetuk pintu rumah orang sebagai tetamu kerana mereka mencari tempat berteduh di malam hari. Dan bila mereka buat begitu, tentunya mereka mengejutkan tuan rumah kerana tuan rumah tidak sangka mereka akan dapat tetamu malam itu. Oleh itu, الطّارِقِ juga bermaksud mereka yang mengetuk pintu rumah orang kerana hendak memanggil perhatian tuan rumah.

Jadi, semua ini ada kaitan: jalan, bintang, malam hari, ketuk, pukulan. Begitulah bahasa Arab, kalimah yang digunakan berkaitan antara satu sama lain. Mungkin ada yang pening, tetapi mungkin ada yang suka dengan penggunaan bahasa Arab itu yang berkait antara satu dengan yang lainnya dan menjadi seperti satu teka-teki yang menarik.

Jadi, apakah maksud الطّارِقِ yang digunakan dalam ayat ini? Kita boleh katakan الطّارِقِ adalah bintang malam yang datang dengan cara yang mengejutkan kerana cahayanya yang terang. Yang menyebabkan kita ambil perhatian kerana boleh perasan cahaya itu.

Bintang apa yang dimaksudkan? Ada yang kata ianya adalah Bintang Zuhal. Allahu a’lam. Ini adalah kerana ada dua pendapat tentang bintang manakah yang dimaksudkan. Sama ada satu bintang atau bintang yang banyak. Kalau satu bintang yang dimaksudkan, ia boleh jadi Bintang Zuhal.


 

Ayat 2:

وَما أَدراكَ مَا الطّارِقُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the night comer?

(MALAY)

tahukah kamu apakah yang datang pada malam hari itu?

 

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah الطّارِقِ itu? Apabila Allah ﷻ tanya begitu, bermaksud yang informasi itu kalau Allah ﷻ tidak beritahu kita, kita takkan dapat tahu sendiri. Allah ﷻ sendiri yang akan ceritakan dan beritahu jawapannya. Seolah-olah Allah ﷻ kata: “macam mana kamu nak tahu kalau Aku tidak beritahu kepada kamu? Ada carakah kamu boleh tahu tanpa Aku beritahu?”

Tentu tidak, kerana kita memerlukan wahyu Allah ﷻ dalam perkara macam ini. Kalau Allah ﷻ tidak beri ilmu kepada kita, kita tidak tahu apa-apa pun. Ilmu yang kita ada, semuanya dari Allah ﷻ. Maka, janganlah bangga sangat kalau tahu apa-apa pun, kerana kita dapat tahu itu pun Allah ﷻ yang beri ilmunya.

Jadi, Allah ﷻ beritahu apakah الطّارِقِ itu dalam ayat seterusnya, tetapi kenapa Allah ﷻ tanya? Allah ﷻ tanya untuk beritahu. Itu kalau Allah ﷻ gunakan lafaz أَدراكَ. kalau يدريك seperti dalam Abasa:3, Allah ﷻ tidak akan beritahu.

Allah ﷻ hendak mengingatkan ada benda yang kita tengok, tetapi kita tidak tahu rahsia dalam sesuatu perkara itu. Kena Allah ﷻ beritahu, baru boleh tahu. Menandakan yang kita tidak dapat ilmu kalau Allah ﷻ tidak beritahu. Ini dapat merendahkan diri kita kerana kita sedar yang kita ini lemah dan bodoh sebenarnya.


 

Ayat 3: Sekarang diberitahu tentang الطّارِقِ itu.

النَّجمُ الثّاقِبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the piercing star¹ –

  • Whose light pierces through the darkness.

(MALAY)

(iaitu) bintang yang cahayanya menembus,

 

Kalimah النَّجمُ bermaksud bintang. Di dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu sifat bintang الطّارِقِ yang disebutkan itu – ianya bersifat الثّاقِبُ. الثّاقِبُ bermaksud cahaya atau api yang amat terang.

Oleh itu, الطّارِقِ adalah bintang yang cahayanya menembusi kegelapan malam. Malam adalah seperti selimut hitam dan cahaya bintang yang jauh ini boleh sampai kepada kita kerana ia dapat menembusi kegelapan malam. Kita pun tahu betapa jauhnya cahaya itu kena lalui kerana bintang-bintang itu walaupun ianya nampak terang, tetapi ianya amat-amat jauh.

Jadi, ada berkenaan dengan perjalanan juga (perjalanan cahaya bintang itu) – dan kita telah beritahu sebelum ini, ‘perjalanan’ adalah tema surah ini. Kerana cahaya bintang itu telah ‘berjalan’ begitu punya jauh untuk sampai kepada kita. Jadi ini adalah perjalanan cahaya dan nanti akan disebut tentang perjalanan air mani pula dalam ayat lain.

Bintang adalah perkara yang kita biasa lihat. Terutama sekali orang Arab yang suka melihat bintang. Sekarang Allah ﷻ banyak menyebut tentang bintang, menyuruh kita melihat benda yang kita biasa lihat tetapi cuba mencari apakah maksud di sebaliknya. Allah ﷻ hendak suruh kita gunakan akal kita untuk melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Sekarang kaitkan pula bintang itu dengan Al-Qur’an. Seperti juga bintang itu memecahkan dan menembusi kegelapan malam, maka Al-Qur’an juga membuka cahaya kepada rahsia. Ia memecah kegelapan syirik dan membawa ajaran tauhid. Sebagaimana bintang malam memberi panduan kepada pengembara, maka Al-Qur’an juga menjadi petunjuk kepada manusia yang memerlukan hidayah dalam kehidupan menuju akhirat.


 

Ayat 4: Inilah jawabal qasm sumpah-sumpah Allah ﷻ sebelum ini. Allah ﷻ mahu kita ingat perkara ini, iaitu apabila kita lihat bintang-bintang di langit nanti. Bila kita lihat bintang, kita teringat kepada jawabal qasm ini kerana Allah ﷻ telah kaitkan bintang-bintang itu dengan jawabal qasm itu.

إِن كُلُّ نَفسٍ لَمّا عَلَيها حافِظٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is no soul but that it has over it a protector.

(MALAY)

tidak ada suatu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya.

 

Semua nafs mempunyai penjaga amal timbangannya. Yang menulis segala perbuatannya selama di dunia. Sama ada Allah ﷻ sendiri atau malaikat penjaga amal. Ini bukan kali pertama kita baca tentang perkara ini. Dalam Infithar:10 sudah ada disebut tentang perkara ini.

Apakah kaitan dengan bintang? Walaupun bintang-bintang itu jauh, tetapi ia seolah-olah sedang melihat apa yang kita sedang lakukan. Mereka sedang menyaksikan apa yang kita lakukan. Dan mereka nanti akan jadi saksi kepada kita di akhirat kelak. Sama ada perlakuan kita yang baik atau buruk.

Dalam Al-Qur’an, ada disebut tentang malaikat penjaga yang menjaga kita. Dan ada juga yang menjaga dan merekod amalan kita. Bezanya adalah penggunaan kalimah عَلَيها dalam ayat ini. Kalau merujuk kepada malaikat yang menjaga kita, kalimah لها atau له digunakan. Ini seperti dalam ayat Ra’d:11

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.

Jadi, dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang ada malaikat yang merekod segala amalan kita. Kita tidak pernah bersendirian. Tidakkah ini menakutkan kita untuk buat perkara yang salah? Tidak malukah hendak buat salah?

Penggunaan kalimah إِن jarang digunakan dalam bentuk ini. Kerana selalunya kalimah إِن digunakan untuk bermaksud ‘jika’. Apabila menggunakan format yang lain dari kebiasaan, maka ianya memberi satu kejutan kepada kita supaya kita sentiasa ingat tentang perkara ini. Tetapi kena faham bahasa Arab dulu kalau hendak terkejutlah!

Kenapa digunakan kalimah كُلُّ (semua) dan bukan جمع yang juga bermaksud ‘semua’? Ini adalah kerana kalau digunakan kalimah جمع, itu memberi makna, semua manusia duduk ramai-ramai dan ada satu penjaga. Akan tetapi tidak begitu yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Kerana itu digunakan kalimah كُلُّ, kerana apabila digunakan kalimah كُلُّ, itu bermaksud setiap diri ada satu penjaga masing-masing. Allah ﷻ juga takdimkan kalimah عَلَيها sebelum kalimah حافِظٌ, untuk menekankan lagi sebagai takhsis, yang setiap diri ada penjaga ke atasnya. Oleh itu setiap diri ada spesifik malaikat yang menjaga rekod amalannya.

Allah ﷻ gunakan kalimah نَفسٍ dalam ayat ini dan bukan ‘الإِنسانُ’. Ini adalah kerana kerahsiaan adalah tema yang penting dalam surah ini. Kita sebagai manusia menyimpan rahsia dalam diri nafs kita, dalam diri kita. Sedangkan kalimah ‘الإِنسانُ’ memberi erti keseluruhan diri manusia itu.

Dan apabila digunakan kalimah الإِنسانُ, ianya hendak menekankan tentang sifat pelupa manusia. Allah ﷻ gunakan kalimah نَفسٍ dalam ayat ini kerana hendak menekankan, walaupun kita simpan rahsia dalam diri kita, tetapi Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Walaupun kita buat sesuatu dengan rahsia, orang tidak nampak, tetapi ada malaikat yang nampak.


 

Ayat 5: Ayat 5 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi Dalil Aqli Anfusi berkenaan akhirat.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ مِمَّ خُلِقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So let man observe from what he was created.

(MALAY)

Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?

 

Di awal ayat ini ada huruf ف dalam kalimah فَليَنظُرِ. Ia adalah fa fasihah – membawa maksud ‘sebagai konklusi’ dari pembacaan ayat-ayat sebelum ini, maka ambillah pengajaran – kenanglah kembali apa yang telah disebut sebelum ini. Kalau manusia sudah tahu ada bintang yang melihat, ada malaikat yang tengok kita, maka kena fikirlah. Dan kalau kamu tidak percaya juga, maka lihatlah asal diri kamu sendiri untuk mengambil pengajaran.

Kalimah نظر maksudnya melihat dengan betul, tenung dengan menggunakan akal kita, bukan tengok kosong sahaja. Hendaklah manusia itu merenung dengan betul-betul, dari apakah dia dijadikan. Allah ﷻ suruh buat begitu kerana manusia selalu lupa dari apa dia dijadikan sebab itu digunakan kalimah ‘الإِنسانُ’ dalam ayat ini. Sifat الإِنسانُ adalah pelupa. Apabila sudah dewasa dan sudah rasa diri hebat, insan selalunya lupa asal kejadian dia.

Lalu daripada apa الإِنسانُ dijadikan? Dijadikan dari air mani yang hina. Sampaikan Allah ﷻ tidak letak namaNya yang mulia dalam ayat ini (Allah ﷻ tidak kata: dari apa Allah ﷻ jadikan insan itu).

Kalimah مِمَّ itu pun sepatutnya adalah مِمَّا selalunya, tetapi Allah ﷻ tidak letak sebegitu dan kurangkan huruf untuk menunjukkan betapa rendahnya dan tidak bernilainya air mani itu. Kita pun sudah tahu, tetapi dalam bahasa yang digunakan pun Allah ﷻ beri isyarat.

Kalimah خُلِقَ (dijadikan) adalah dalam bentuk pasif. Bentuk pasif adalah tidak disebut siapakah pembuatnya. Kalau ada ayat yang Allah ﷻ tidak letakkan namaNya, bermaksud bahawa Allah ﷻ murka, tidak suka, tidak mahu dikaitkan. macam kalimah المَغضوبِ dalam Surah Fatihah juga adalah kalimah yang dalam bentuk pasif.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak menunjukkan yang Dia murka kepada manusia yang melupakan dari mana asalnya mereka dijadikan. Allah ﷻ hendak suruh kita fikirkan. Janganlah begitu, kenang baliklah dari apa kamu itu dijadikan, wahai manusia!


 

Ayat 6:

خُلِقَ مِن ماءٍ دافِقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He was created from a fluid, ejected,

(MALAY)

Dia diciptakan dari air yang dipancarkan,

 

Manusia dijadikan dari air mani yang dipancutkan ke dalam rahim. ماءٍ دافِقٍ bermaksud ‘air yang memancut’.

Kita boleh lihat tema ‘perjalanan’ sekali lagi. Sebelum ini perjalanan cahaya bintang yang sampai ke bumi. Sekarang disentuh tentang perjalanan air mani manusia yang mulanya dipancutkan dari zakar lelaki ke dalam faraj wanita.


 

Ayat 7: Oleh kerana ayat sebelum ini adalah tentang manusia dijadikan dari air mani, maka ayat ini adalah tentang perjalanan air mani itu.

يَخرُجُ مِن بَينِ الصُّلبِ وَالتَّرائِبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Emerging from between the backbone and the ribs.

(MALAY)

yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.

 

Kalimah الصُّلبِ dari segi bahasa adalah sesuatu yang keras dan kuat. Dan antara tulang yang kuat adalah tulang belakang, jadi الصُّلبِ ini adalah tulang belakang. Sedangkan kalimah وَالتَّرائِبِ merujuk kepada tulang dada. Oleh itu, ayat ini adalah maklumat dari Allah ﷻ yang air mani itu keluar dari tulang belakang lelaki dan tulang dada perempuan.

Terdapat banyak cubaan dari kalangan mufassir untuk mentafsir ayat ini dari sudut saintifik. Sampai ketika ini, tidak ada maklumat konklusif berkenaan perkara itu dan saya terpaksa mengatakan yang perkara ini masih lagi termasuk dalam misteri dan rahsia lagi bagi kita kerana maklumat saintifik tidak sampai lagi ke tahap memahami ayat ini. Kerana apabila ada penerangan saintifik, ada sahaja hujah yang menolaknya, jadi tidak tahu mana yang betul. Kadangkala Allah ﷻ  beritahu perkara yang sains belum ada jawapan lagi.

Kenapa Allah ﷻ tidak berikan maklumat saintifik yang jelas sahaja? Kita kena faham yang ayat ini pertamanya dibacakan kepada orang Arab yang tidak tahu ilmu biologi dalam diri manusia. Mereka tidak ada cara untuk memastikan apa yang terjadi dalam diri manusia, dari mana air mani itu datang, apa yang ada dalam air mani itu dan sebagainya.

Kesannya, Allah ﷻ hendak beritahu bahawa apa yang ada dalam diri manusia pun, manusia tidak tahu. Kalau Allah ﷻ tidak beritahu, mereka pun tidak tahu dari manakah mereka dijadikan, dari manakah air mani itu dibuat dan sebagainya. Sampai sekarang pun, walaupun sains sudah maju, tetapi masih ada lagi misteri tentang kejadian manusia yang kita tidak tahu lagi. Entah di masa hadapan kita akan dapat tahu atau tidak.


 

Ayat 8: Ini adalah maklumat penting yang Allah ﷻ hendak sampaikan.

إِنَّهُ عَلىٰ رَجعِهِ لَقادِرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, He [i.e., Allāh], to return him [to life], is Able.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup sesudah mati).

 

Sesungguhnya Allah ﷻ berkuasa penuh untuk mengembalikan kepada hidup sesudah mati. Kerana Dia juga yang menjadikan makhluk dari asal. Kalau Dia yang jadikan dari asal, tentulah Dia mampu untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah dimatikanNya juga. Sebagai contoh, Allah ﷻ jadikan manusia dari air mani, kemudian Allah ﷻ matikan dan Allah ﷻ boleh hendak hidupkan kembali.

Allah ﷻ gunakan dalam إِنَّهُ (sesungguhnya Dia) dalam ayat ini dan Allah ﷻ tidak sebut pun nama ‘Allah’ ﷻ. Ini adalah salah satu lagi tema dalam surah ini di mana Allah ﷻ cuma isyarat sahaja kepada DiriNya tanpa menyebut namaNya. Ini adalah kerana Allah ﷻ marah kepada mereka yang menolak tentang kuasa Allah ﷻ boleh menghidupkan kembali. Maka Allah ﷻ beri penekanan dalam surah ini dengan kalimah إِنَّهُ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Hud Ayat 82 – 84 (Kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

AZAB YANG DIKENAKAN KEPADA MEREKA

Hud Ayat 82:

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا جَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها وَأَمطَرنا عَلَيها حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ مَّنضودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when Our command came, We made the highest part [of the city] its lowest and rained upon them stones of layered hard clay, [which were]

(MALAY)

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,

 

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا جَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan yang di atasnya ke bawahnya

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah pada waktu subuh. Ia dilakukan pada waktu subuh iaitu ketika mereka sedang berehat untuk menambah sengsara azab itu. Bayangkan sedang rehat-rehat tiba-tiba datang azab! Pertamanya mereka dikenakan dengan tempikan seperti disebut dalam Hijr: 73

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُشرِقينَ
Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit.


Allah ﷻ mengangkat Kota Sodom naik ke atas langit dan terbalikkan di mana bahagian atas menjadi bawah pula. Apabila sudah diangkat ke langit baru diterbalikkan ke bumi. Kerana itulah kaum mereka itu disebut sebagai المُؤتَفِكٰتِ (yang telah ditelungkup) seperti di dalam ayat Tawbah: 70

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبرٰهيمَ وَأَصحٰبِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكٰتِ
Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup?

Begitulah balasan buat mereka – mereka telah terbalikkan fitrah kejadian manusia dengan melakukan homoseksual, maka Allah ﷻ balas dengan menterbalikkan kampung mereka. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengangkat kota tempat tinggal mereka dengan manusia dan binatang sekali ke langit pertama sampaikan penduduk langit pertama dapat mendengar lolokan anjing dan kokokan ayam mereka. Akan tetapi kisah ini adalah daripada Kisah Israiliyat yang kita tidak boleh terus terima.

Yang pasti memang azab itu dibawa oleh para malaikat kerana mereka itu adalah tentera Allah ﷻ.

 

وَأَمطَرنا عَلَيها حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ مَّنضودٍ

dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,

Kalau dibaca ikut susunan ayat ini, seolah-olah mereka telah dibenamkan ke bumi barulah dihujani dengan batu. Namun begitu, timbul persoalan: jikalau sudah terbenam, bagaimana pula mereka dibaling? Maka ulama’ tafsir mengatakan mereka direjam dengan batu sebelum mereka dibenamkan. Bukan seperti mengikut susunan ayat ini. Kena faham sedikit bahasa Arab. Kalau huruf penyambung و itu tidaklah bermakna ia dalam susunan berturut-turut satu persatu. Mari kita berikan beberapa contoh dan bezakan:

    1. جاء زيد ومحمد (Telah datang Zaid dan Muhammad). Ia hanya bermaksud Zaid dan Muhammad telah datang. Ini adalah apabila huruf و digunakan.
    2. جاء زيد فمحمد (Telah datang Zaid, seterusnya Muhammad). Apabila huruf ف digunakan, ia bermaksud selepas sahaja Zaid sampai, terus sahaja Muhammad sampai. Maka kita tahu yang Zaid sampai dahulu.
    3. جاء زيد ثم محمد (Telah datang Zaid, kemudian Muhammad). Apabila ثم digunakan, ia bermakna Muhammad datang selepas Zaid, tetapi kalimah ثم menunjukkan tidaklah cepat sangat. Mungkin setelah sekian waktu berlalu, baru Muhammad sampai.

Oleh itu walaupun di dalam ayat ini disebut mereka dihujani dengan batu selepas disebut tentang mereka dibenam, tidaklah ia bermaksud itu turutannya. Ini kerana huruf و yang digunakan di dalam di dalam ayat ini. Maka berkemungkinan mereka dihujani dengan batu semasa diangkat ke langit. Mereka dihujani dengan batu yang dibakar di neraka. Kalimah سِجّيلٍ itu diambil daripada bahasa Parsi yang bermaksud ‘batu daripada tanah liat’. Iaitu tanah yang sudah keras menjadi batu setelah dibakar atau dijemur lama.

Kalimah مَنضودٍ daripada katadasar ن ض د yang bermaksud untuk menimbun satu di atas yang lain; ditetapkan mengikut urutan; kelompok atas kelompok; berkelompok; gugusan buah yang sarat. Maksud مَنضودٍ adalah batu-batu yang dihujani itu datang bertubi-tubi kepada mereka. Bukan datang sebiji-sebiji tetapi berkali-kali dengan banyak berhamburan bagaikan mesingan (machine gun).


 

Hud Ayat 83:

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَما هِيَ مِنَ الظّٰلِمينَ بِبَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Marked from your Lord. And it [i.e., Allāh’s punishment] is not from the wrongdoers [very] far.

(MALAY)

Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh daripada orang-orang yang zalim.

 

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ

Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, 

Kalimah مُّسَوَّمَةً daripada katadasar س و م yang bermaksud bertanda. Maksudnya setiap batu itu ada tanda nama masing-masing mangsa. Batu itu ditujukan kepada individu yang telah ditentukan. Tuan punya mangsa batu itu tidak akan dapat melarikan diri. Batu itu tetap akan kena kepadanya. Sampaikan ada riwayat yang mengatakan bagaimana ada penghuni Kota Sodom itu yang berada di luar kota waktu itu tetapi batu itu tetap mencarinya. Dia mati di luar kawasan kampungnya.

Apabila dikatakan batu itu عِندَ رَبِّكَ (dari sisi Tuhanmu) maka ia bermaksud batu itu bukan daripada batu bumi.

 

وَما هِيَ مِنَ الظّٰلِمينَ بِبَعيدٍ

dan tiadalah ia jauh daripada orang-orang yang zalim.

Apakah maksud هِيَ di dalam ayat ini? Ia boleh bermaksud tempat kejadian seksaan itu. Kawasan kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak jauh dari kawasan orang Musyrikin Mekah. Iaitu sekarang ini di Laut Mati, Jordan. Mereka pun ada melalui kawasan Sodom itu dalam musafir mereka, maka mereka sepatutnya sudah tahu tentang kisah mereka dan ambil pengajaran daripada apa yang terjadi. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Saffat: 137

وَإِنَّكُم لَتَمُرّونَ عَلَيهِم مُّصبِحينَ
Dan sesungguhnya kamu (hai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas) mereka di waktu pagi,

Atau, هِيَ itu boleh bermaksud azab yang dikenakan kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak jauh. Maksudnya tidak lama lagi akan dikenakan kepada Musyrikin Mekah jika mereka terus melakukan kezaliman yang mereka lakukan itu, Allah ﷻ ancam dengan azab yang pedih. Maka mereka kena beringat dan memperbetulkan diri mereka. Sekiranya mereka tidak ada dosa, maka mereka akan selamat kerana Allah ﷻ telah berfirman dalam Nisa’: 147

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Maka kita janganlah melanggar larangan-larangan Allah ﷻ kerana azab yang dikenakan kepada kita mungkin tidak jauh daripada kita jikalau kita berterusan melakukannya. Kerana itulah kita takut dengan berleluasanya amalan songsang golongan Gay dan Lesbian ini. Sekarang sudah semakin teruk bertambah menjadi LGBTQIA plus pula. Dulunya hanya ada G (gay) sahaja, kemudian ditambah L (Lesbian) dan kemudian menjadi-jadi pula golongan monyet ini. Semakin lama semakin bertambah abjad ini. Sampai ke manakah kegilaan mereka ini?! Adakah kita hendak tunggu turunnya bala ke atas kita baru kita mahu sedar? Ingatlah, jikalau bala turun, dengan kita sekali ini pun boleh terkena juga. Yang menakutkan adalah ayat Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu

Oleh itu, jangan beri peluang langsung kepada mereka ini untuk berkembang biak. Jangan kita sangka mereka itu ada hak kerana mereka juga manusia. Mereka langsung tidak ada hak apabila mereka membelakangi hak Allah ﷻ!

Allah ﷻ sudah memberikan berbagai-bagai ancaman tentang hal ini. Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada kita semasa kita di dunia lagi. Malah hukuman Hudud juga telah dilaksanakan di zaman lampau terhadap golongan songsang ini. Sememangnya hukuman yang dikenakan kepada pelaku homoseksual adalah berat. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab Sunan —daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما secara marfu’— disebutkan:

” مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعَمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ”
Barang siapa yang kalian jumpai sedang mengerjakan perbuatan kaum Luth, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dikerjainya.
(Sunan Ibnu Majah (2561))
Status: Hasan

Al-Imam Ibnu Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ dalam “Ad-Daa’ wad Dawa’”:

Mafsadatnya liwat termasuk daripada yang paling besarnya mafsadat (mudarat) dan hukumannya di dunia dan di akhirat termasuk yang paling besarnya hukuman. Sungguh manusia telah berbeza pendapat: Apakah dia lebih besar hukumannya daripada zina? Atau adakah zina lebih besar hukumannya daripadanya? Atau adakah hukuman keduanya sama? Hal ini terdiri daripada tiga pendapat.

I. Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq, Saidina Ali bin Abi Thalib رضي الله عنهم dan juga yang lain berpendapat ia adalah lebih berat daripada zina.

II. Ulama’ seperti ‘Atha’ bin Abi Rabah, Al-Hasan Al-Bashr رحمهم الله dan lain-lain berpendapat ia sama dengan zina, maka hukumannya juga sama.

III. Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat ia adalah lebih ringan daripada zina maka hukuman yang dikenakan hanya ta’zir.

Oleh kerana perbezaan pendapat sebegini, maka hukuman yang diberikan dalam sistem perundangan Islam pun tidak sama. Kita boleh senaraikan:

1. Hukuman Bunuh. Beginilah juga pendapat Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ —menurut suatu pendapat yang bersumber daripadanya dan sejumlah ulama mengatakan bahawa orang yang melakukan perbuatan kaum Luth harus dibunuh, baik dia telah muhsan (telah bernikah) ataupun belum muhsan, kerana berdasarkan hadith di atas.

Hukuman bunuh juga adalah pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ sebagaimana disebut dalam “Majmu’ Al-Fatawa’”.

Cara bunuh itu juga pelbagai:

      • Dinaikkan di atas bangunan yang paling tinggi pada suatu negeri kemudian dilemparkan ke bawah sambil dihujani dengan batu, dan ini adalah pendapatnya Ibnu Abbas dan Abu Bakar رضي الله عنهم.
      • Dilemparkan dari atas tembok, dan ini adalah pendapatnya Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم.
      • Berkata Al-Munziry: Hukuman yang melakukan liwat adalah dibakar dengan api, ini adalah pendapat Abu Bakr, Ali, Abdullah bin Jubair dan Hisyam bin Abdul Malik (sebagaimana di dalam “Ad-Darariy Al-Mudhiyah” (hal. 372). Cuma cara ini dikritik.

2. Hukuman Rejam. Ada riwayat mengatakan Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah merejam pelaku liwat.

3. Hukuman seperti hukuman Zina. Sa’id bin Musayyab, Atha’ bin Abi Rabbah dan juga yang lain berpendapat hukuman kepada pelaku liwat adalah seperti hukuman zina. Oleh itu jikalau pelakunya muhsan, maka hukumannya rejam dan jikalau bukan muhsan maka disebat dan diasingkan daripada orang ramai.

4. Hukuman Ta’zir. Lain halnya dengan Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ , beliau berpendapat hukuman bagi perilaku homoseksual cukup dengan ta‘zir. Hukuman jenis ini tidak harus dilakukan secara hukuman fizikal, tetapi boleh melalui terapi psikologis agar boleh pulih kembali. Bahkan, Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ menganggap perilaku homoseksual bukan termasuk dalam definisi zina, kerana zina hanya dilakukan pada vagina (qubul), tidak pada dubur (sodomi) sebagaimana dilakukan oleh kaum homoseksual.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa yang melakukan liwat tidak ada hukum Hudud, kerana hadith Ibnu Abbas رضي الله عنهما (yang dikongsi di atas) adalah hadith dha’if kerana di dalam sanadnya ada ‘Amr ibn Abi ‘Amr. Hadith itu asalnya adalah lemah tetapi menjadi Hasan apabila dikuatkan dengan hadith-hadith yang lain. Cuma yang menolak mengatakan hadith-hadith yang lain pun lemah juga.

Oleh itu kita boleh lihat yang ulama’ tidak sepakat tentang hukuman bagi pelaku liwat. Maka ini adalah kewajipan bagi pemerintah untuk menentukan mana satu pilihan mereka. Yang pasti hukuman tetap harus dijalankan supaya menjadi penghalang kepada orang lain untuk melakukan hal yang sama. Pemimpin hendaklah berperanan sebagai seorang ayah dalam mendidik masyarakat. Jikalau ada anak yang membuat kesalahan tanpa hukuman, maka anak-anak yang lain pun berani untuk melakukan kesalahan yang sama kerana ayah buat dek sahaja.

Habis Ruku’ 7 daripada 10 ruku’ surah ini


 

KISAH NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 84: Ini adalah Kisah Keenam dan berkenaan dengan Dakwa pertama – sembah hanya Allah ﷻ sahaja. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 95 adalah Perenggan Makro ke 6 iaitu Kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum baginda.

۞ وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ ۚ إِنّي أَرىٰكُم بِخَيرٍ وَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Madyan [We sent] their brother Shu‘ayb. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. And do not decrease from the measure and the scale. Indeed, I see you in prosperity, but indeed, I fear for you the punishment of an all-encompassing Day.

(MALAY)

Dan kepada (penduduk) Mad-yan (Kami utus) saudara mereka, Syu’aib. Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku khawatir terhadapmu akan azab hari yang membinasakan (kiamat)”.

 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا

Dan kepada (penduduk) Mad-yan (Kami utus) saudara mereka, Syu’aib.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutuskan kepada kaum baginda, penduduk Kota Madyan. Madyan adalah nama salah satu anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kemudian menjadi nama kabilah yang dinamakan Madyan. Kabilah ini tinggal di suatu tempat yang akhirnya dinamakan Madyan dan terletak di dekat pantai Laut Merah di tenggara Gunung Sinai. Kawasan ini terletak di daerah Jordan yang bersempadan dengan Palestin. Ada juga pendapat yang mengatakan Madyan berada di hujung Syam (Syria sekarang) dan bersempadan dengan Hijaz (Arab Saudi). Allahu a’lam kerana kedudukan tempat itu tidaklah penting.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbangsa Arab. Realitinya daripada 25 orang Nabi yang wajib diketahui, hanya empat orang nabi sahaja yang disahkan berasal dan lahir di tanah Arab. Mereka adalah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Yaman), Nabi Soleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Al-Hijr), Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Madyan) dan yang terakhir, Nabi Muhammad ﷺ (Mekah). Yang lain semuanya berbangsa Bani Israil.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah daripada keturunan mereka, kaum kerabat mereka juga, dari pada keturunan yang terhormat dalam kalangan mereka, sama seperti Nabi Muhammad ﷺ kepada kaum baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Baru mudah untuk mad’u menerima dakwah itu. Ini adalah sebagaimana pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga baru senang mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ‎ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran: 164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.

Lihatlah bagaimana mesej yang sama dibawa oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sama seperti mesej Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi lain yang kita sudah baca sebelum ini; iaitu Dakwa Surah ini: sembahlah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ kerana tiada ilah selain Allah ﷻ. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Apabila baginda mengajak mereka untuk menyembah Allah ﷻ sahaja, maka ini memberi isyarat bahawa mereka ini telah melakukan syirik selain daripada kesalahan-kesalahan mereka yang lain.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus kepada kaum Madyan dan kaum Aikah, iaitu umat yang menyembah hutan. Namun, ada pula yang mengatakan, kaum Aikah itu adalah suku Madyan tersebut (cuma ada dua nama). Pendapat ini menyatakan bahawa kaum Madyan bekerja sebagai pedagang dan petani. Manakala sembahan mereka adalah hutan belantara yang di dalamnya tumbuh pepohonan yang sangat besar. Namun, bila merujuk pada ayat Al-Qur’an yang lain, kedua umat ini berbeza. Namun, lokasi keduanya berdekatan dan Nabi yang diutus adalah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hal ini dibuktikan dengan azab yang ditimpakan kepada kaum Madyan berupa gempa, sedangkan kepada kaum Aikah berupa gumpalan awan dari langit.

Teringat pula ada golongan agama negara ini yang kata boleh minta tolong dengan pokok. Ini amat mengarut dan inilah yang ditolak oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah. Inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut dalam Dzariyat: 56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Mana-mana Nabi akan berkata begini. Iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mestilah sampai perkara ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah asas perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula kena dipelajari.

Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan dicampuradukkan perkara ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi, itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat yang sering terjadi sekarang. Betapa ramai yang bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara yang lain. Bila diajak kepada perkara yang lain, maka setiap kumpulan akan berasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Oleh sebab itulah, mesej dakwah kita mesti jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengesampingkan (pigeonhole) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “dia kumpulan mana?”, “apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah mengajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

 

وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ

Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan,

Seperti yang telah disebut sebelum ini, kita boleh lihat peningkatan dari segi ajaran kepada kaum, bermula daripada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang sampai kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, hanya disebut dengan mudah sahaja, namun kemudian apabila masa berlalu dan manusia sudah semakin maju dari segi kehidupan dan pemikiran, maka terdapat penambahan dari segi ajaran daripada Allah ﷻ.

Lihatlah dalam ayat ini bagaimana ajaran daripada Allah ﷻ kepada kaum Madyan tentang perniagaan. Jangan mengurangkan sukatan dan timbangan dalam perniagaan. Iaitu jangan menipu orang lain dalam perniagaan dan itu adalah perkara yang amat buruk sekali. Sebagai peniaga, mestilah bersikap jujur dalam perniagaan.

Kedua-dua المِكيالَ dan الميزانَ adalah alat untuk menimbang, namun apakah beza antara keduanya? المِكيالَ digunakan untuk menimbang barang makanan seperti gandum, jagung, beras; sementara الميزانَ digunakan untuk menimbang benda ringan dan berharga seperti emas dan perak.

Kejujuran di dalam perniagaan amatlah penting kerana ia menjaga hubungan sesama manusia. Kalau kita menipu manusia, maka kita telah berbuat zalim kepada mereka. Kerana itulah banyak ayat Al-Qur’an melarang manusia menipu dalam perniagaan seperti disebut dalam Rahman: 8-9

أَلّا تَطغَوا فِي الميزانِ
Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

وَأَقيمُوا الوَزنَ بِالقِسطِ وَلا تُخسِرُوا الميزانَ
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

 

إِنّي أَرىٰكُم بِخَيرٍ

sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik

Ada dua maksud yang boleh diambil dalam potongan ayat ini:

    1. Penduduk Madyan itu ada kebolehan untuk menjaga amalan mereka dalam perniagaan. Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak mereka mampu melakukannya kalau mereka mahu.
    2. Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak kaumnya itu hidup dengan senang lenang dan berharta. Maknanya harta mereka sudah banyak maka tidak perlu menipu untuk menambah harta mereka. Janganlah segala nikmat itu ditarik daripada mereka kerana kesilapan mereka dalam beragama. Kalimah خَيرِ ditafsirkan sebagai ‘harta’ dan ‘kesenangan’ seperti disebut dalam Aadiyat: 8

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ
dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada kesenangan.

Di dalam dakwah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini telah dapat kita lihat bahawa ekonomi kaumnya dalam keadaan baik, tanah subur, hasil menyenangkan dan sebab itu kekayaan pun melimpah ruah. Akan tetapi akibat gejala daripada hawa nafsu manusia, apabila kemewahan telah mempengaruhi diri, manusia boleh sahaja melakukan penipuan.

Malangnya manusia sanggup mencari keuntungan untuk dirinya sendiri dengan merugikan orang lain. Padahal kejujuran adalah modal yang kekal dan tahan lama, sedangkan penipuan adalah kekayaan sementara yang tidak lama kemudian akan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat kerana orang tidak saling percaya mempercayai lagi. Sebab itu lama kelamaan adil dan makmur menjadi hilang.

Sebenarnya untuk mendapat harta dan kesenangan yang lebih, bukannya dengan menipu orang dan mengurangkan timbangan mereka, tetapi dengan bersyukur. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Akan tetapi apakah maksud ‘bersyukur’ itu? Syukur itu adalah mempergunakan nikmat Allah ﷻ menurut kehendak Allah ﷻ sebagai pemberi nikmat. Kerana itu, dapat dikatakan bahawa syukur yang sebenarnya adalah mengungkapkan pujian kepada Allah ﷻ dengan lisan, mengakui dengan hati akan nikmat Allah ﷻ, dan mempergunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah”. Dalam erti kata lain, hendaklah taat kepada Allah ﷻ. Bukannya hanya dengan mengucap الحمد لله dengan mulut sahaja namun dalam perbuatan kita tidak ikut kehendak Allah ﷻ.

Beramal ibadah dan taat kepada arahan Allah ﷻ adalah cara kita menzahirkan kesyukuran kita seperti firman Allah ﷻ dalam Saba’: 13

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
“Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”

Begitulah contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda ﷺ:

“Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda ﷺ menjawab:
يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”
(Riwayat al-Bukhari (4837))

Di dalam masa yang sama, kita juga hendaklah mengucapkan kesyukuran sebagai tanda kita memang bersyukur seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Dhuha: 11

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.

Untuk melakukan syukur ini juga kita memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah ﷻ; kerana itu kita kena berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut dalam Naml: 19:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh”.

 

وَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ

dan sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan azab hari yang menyelubungi

Walaupun mereka hidup senang lenang di dunia, namun sekiranya kesenangan dan keuntungan yang mereka dapat itu adalah kerana penipuan mereka di dalam perniagaan, maka itu akan menyebabkan mereka mendapat azab di akhirat kelak, iaitu Hari Akhirat. Kerana waktu itu mereka akan diselubungi dengan azab sampai mereka tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri dengan lari ke mana-mana lagi.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan peringatan kepada kaumnya kerana baginda risaukan mereka. Begitu juga dengan kita, kita beri peringatan ini kepada keluarga dan masyarakat kita kerana kita sayangkan mereka. Kita bimbangkan nasib mereka nanti di akhirat. Bukan kita berkehendakkan kedudukan tinggi dengan memberi dakwah kepada mereka.

Bukannya kita mahu orang memandang kita tinggi, pandai, bijak, alim dan sebagainya. Bukan kita mahu orang panggil kita ‘ustaz’. Bukan kita mahu orang bayar kepada kita upah dalam mengajar. Bukan, bukan dan bukan.

Kita sampaikan dakwah dan peringatan adalah kerana belas kasihan kepada masyarakat kita yang telah dimomokkan dengan ajaran salah sekian lama. Mereka langsung tidak nampak kesalahan yang dilakukan selama hari ini. Jikalau tidak ada orang yang ingatkan dan betulkan mereka, siapa lagi kalau bukan kita? Kita hendak selamatkan mereka dengan nasib di akhirat. Sekiranya NGO kita hanya selamatkan manusia daripada kelaparan sahaja, NGO orang kafir pun buat begitu juga, bukan?

Azab di akhirat sudah pasti namun jangan lupa bahawa azab di dunia pun boleh dikenakan ke atas mereka. Allah ﷻ mengecam perbuatan mengurangkan timbangan dalam perniagaan. Terhadap orang seperti itu Nabi Muhammad ﷺ. telah memberi ancaman yang kuat sekali seperti dalam hadith Rasulullah ﷺ :

خمس بخمس ما نقض قوم العهد إلا سلط الله عليهم عدوهم وما حكموا بغير ما أنزل الله إلا فشا فيهم الفقر وما ظهرت فيهم الفاحشة إلا فشا فيهم الموت ولا طفَّفوا الكيل إلا مُنِعُوا النبات ولا مَنَعُوا الزكاة إلا حُبِسَ عنهم المطر.
“Ada lima perkara yang dibalas dengan lima perkara: tidak pernah suatu kaum yang melanggar janji, melainkan Allah ‎ﷻ akan membiarkan kaum itu dikuasai musuhnya. Tidak pernah mereka yang memutuskan perkara dengan hukuman yang tidak diturunkan oleh Allah ‎ﷻ, melainkan akan tersebar luaslah kefakiran dalam kalangan mereka. Penzinaan tidak pernah secara meluas di kalangan mereka secara luas, melainkan akan tersebar luaslah bahaya kematian. Tidak pernah mereka yang berbuat penipuan dalam menakar dan menimbang, melainkan mereka akan kehilangan kesuburan tumbuh-tumbuhan dan ditimpa musim kemarau. Dan tidak pernah mereka yang menahan zakat, melainkan akan diazab dengan hujan (kemarau yang panjang).
(Riwayat At-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir No. 10992, ad-Dailami dalam Musnad Firdaus No. 2978, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ )
Status: Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Sahih Targhib No. 765

Allah ‎ﷻ mengatakan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ takutkan mereka عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ kerana walaupun semasa mereka menipu manusia di dalam timbangan dan manusia tidak tahu, akan tetapi Allah ﷻ tahu akan meliputi mereka nanti di akhirat kelak kerana Allah ﷻ maha tahu segala apa yang mereka lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien