Tafsir Surah al-A’raf Ayat 157 (Nabi Muhammad ﷺ, Rasul seluruh ummat)

A’raf Ayat 157: Ini adalah sambungan tentang sifat-sifat orang yang layak mendapat nikmat yang khusus daripada Allah .

الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ يَأمُرُهُم بِالمَعروفِ وَيَنهىٰهُم عَنِ المُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ الخَبٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَالأَغلٰلَ الَّتي كانَت عَلَيهِم ۚ فَالَّذينَ ءآمَنوا بِهِ وَعَزَّروهُ وَنَصَروهُ وَاتَّبَعُوا النّورَ الَّذي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who follow the Messenger, the unlettered prophet, whom they find written [i.e., mentioned] in what they have of the Torah and the Gospel, who enjoins upon them what is right and forbids them what is wrong and makes lawful for them the good things and prohibits for them the evil and relieves them of their burden¹ and the shackles which were upon them.² So they who have believed in him, honored him, supported him and followed the light which was sent down with him – it is those who will be the successful.

  • Difficulties in religious practice.
  • i.e., extreme measures previously required for repentance, and retribution without recourse to compensation.

MALAY

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah Nabi yang Ummi,

Rahmat yang khas itu bukan orang yang mengikut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang akan dapat. Ia juga akan diberikan kepada orang yang mengikut Rasul akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ. Maka, bukan sahaja mesti beriman dengan Allah , tetapi mesti juga beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan mesti mengikut ajaran baginda.

Di sini diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Nabi lagi Rasul. Apabila diletakkan bersebelahan sebegini, maka tentu ada bezanya antara ‘Nabi’ dan ‘Rasul’. Ini kita telah pernah terangkan dalam ayat 59 sebelum ini. Allah menysebut Rasul dahulu kerana Rasul lebih tinggi kedudukannya. Semua Rasul adalah Nabi, tetapi tidaklah semua Nabi itu adalah Rasul.

Selain itu, diberitahu di sini yang salah satu sifat Nabi ﷺ itu adalah ummiy. Memang banyak tempat sudah sebut tentang sifat ‘ummiy’ Nabi ﷺ ini dan menjadi perbincangan yang panjang lebar. Antaranya di dalam Jumuah: 2

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka

Lafaz ‘ummi’ selalunya diterjemahkan: ‘tidak pandai menulis dan membaca’. Itu adalah satu pendapat. Namun begitu ada lagi pendapat yang lain berkenaan maksud ummi ini. Selalunya tidak boleh membaca dan menulis itu adalah kualiti yang lemah untuk kita pada waktu sekarang. Akan tetapi ia tidaklah menghina Rasulullah ﷺ. Ini kerana walaupun baginda tidak boleh menulis dan membaca, kita tahu yang kejayaan baginda di dunia ini pun sudah amat hebat.

Pendapat yang masyhur mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis sampai ke hujung hayat baginda. Disebabkan baginda tidak tahu membaca dan menulis itulah, maka ini secara automatik telah menolak hujah-hujah manusia yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah menulis sendiri Al-Qur’an di mana baginda kononnya telah mencedok daripada kitab-kitab yang lain. Maka ini menjadi hujah kemukjizatan Al-Qur’an. Ia pasti datang daripada Allah kerana Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu menulis sendiri Al-Qur’an itu.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan kehidupan Nabi ﷺ terbahagi kepada dua period: ‘sebelum menjadi Nabi’ dan ‘selepas menjadi Nabi’. Memang sebelum menjadi Nabi baginda tidak boleh membaca, tetapi selepas dilantik menjadi Nabi, bagi terus boleh membaca dan menulis dengan kuasa Allah .

Dalil hujah tentang perkara ini adalah Ankabut: 48

وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَٰبٖ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَۖ إِذٗا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ

Dan kamu (Wahai Muhammad) tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu)

Kedua-dua pihak menggunakan ayat yang sama. Pihak pertama menggunakan ayat ini sebagai dalil yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan menulis sampai bila-bila. Akan tetapi bagi mereka yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ boleh membaca dan menulis selepas menjadi Nabi, mereka mengatakan yang ayat ini menyatakan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh membaca dan menulis ‘sebelum’ itu, bukannya sampai bila-bila.

Satu lagi pendapat bagi maksud ‘ummiy’ adalah merujuk kepada ummul qura’ (ibu bandar) iaitu Mekah. Penduduk Mekah adalah penjaga Kaabah maka mereka dengan bangga menggelarkan diri mereka ummiy bermaksud penduduk Mekah  yang menjaga Kaabah.

Boleh juga rujuk ayat-ayat lain sebagai hujah iaitu di Ali Imran: 20,  Baqarah: 78 dan Ali Imran: 75

 

الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ

yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. 

Sudah tertulis pun tentang Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi Akhir Zaman ini dalam kitab Taurat dan Injil. Ahli ilmu dalam kalangan Yahudi dan Nasara sudah lama tahu sifat-sifat Nabi Muhammad ﷺ. Ciri-ciri dan sifat baginda telah ditulis secara jelas di dalam kitab-kitab itu sampaikan tidak boleh ditolak lagi. Sebab itu apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, mereka sudah kenal. Ini kita tahu daripada Saff: 6

وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ

dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”

Cuma apabila kebanyakan daripada mereka tolak baginda, ia adalah atas sebab-sebab lain, bukanlah kerana mereka tidak kenal Nabi ﷺ. Mereka dengki kerana bangsa Arab yang menjadi Nabi Akhir Zaman dan bukannya dalam kalangan mereka. Sedangkan sifat-sifat baginda memang ada dalam kitab mereka seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:

عَنْ أَبِي صَخْرٍ الْعُقَيْلِيِّ، حَدَّثَنِي رَجُلٌ مِنَ الْأَعْرَابِ، قَالَ: جَلَبْتُ جَلُوبَةً إِلَى الْمَدِينَةِ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْ بَيْعَتِي قُلْتُ: لَأَلْقِيَنَّ هَذَا الرَّجُلَ فَلْأَسْمَعَنَّ مِنْهُ، قَالَ: فَتَلَقَّانِي بَيْنَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ يَمْشُونَ، فَتَبِعْتُهُمْ فِي أَقْفَائِهِمْ حَتَّى أَتَوْا عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْيَهُودِ نَاشِرًا التَّوْرَاةَ يَقْرَؤُهَا، يُعَزِّي بِهَا نَفْسَهُ عَنِ ابْنٍ لَهُ فِي الْمَوْتِ كَأَحْسَنِ الْفِتْيَانِ وَأَجْمَلِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَنْشُدُكَ بِالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ، هَلْ تَجِدُ فِي كِتَابِكَ هَذَا صِفَتِي وَمَخْرَجِي؟ ” فَقَالَ بِرَأْسِهِ هَكَذَا، أَيْ: لَا. فَقَالَ ابْنُهُ، إِي: وَالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ إِنَّا لِنَجِدُ فِي كِتَابِنَا صِفَتَكَ ومَخرجك، وَإِنِّي أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ: “أَقِيمُوا الْيَهُودِيَّ عَنْ أَخِيكُمْ”. ثُمَّ وَلِيَ كَفَنَهُ (6) وَالصَّلَاةَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Sakhr Al-Uqaili, telah menceritakan kepadaku seorang lelaki Badwi yang menceritakan bahawa di masa Rasulullah ﷺ. dia pernah datang ke Madinah membawa sapi perahan. Setelah selesai jual belinya, lelaki Badwi itu berkata, “Aku sungguh akan menemui lelaki ini (maksudnya Nabi ﷺ), dan sungguh aku akan mendengar daripadanya.” Lelaki Badwi itu melanjutkan kisahnya; lalu aku menjumpainya sedang berjalan di antara Abu Bakar dan Umar, maka aku mengikuti mereka berjalan hingga sampailah mereka kepada seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi itu sedang membuka kitab Taurat seraya membacanya, sebagai ungkapan rasa duka dan belasungkawanya atas anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian; anak laki-lakinya itu adalah seorang pemuda yang paling tampan dan paling gagah. Maka Rasulullah ﷺ bertanya: Aku memohon kepadamu dengan nama Tuhan yang telah menurun­kan kitab Taurat, apakah engkau menjumpai dalam kitabmu ini sifat dan tempat hijrahku? Lelaki Yahudi itu menjawab pertanyaan Nabi ﷺ hanya dengan isyarat gelengan kepala yang bererti ‘tidak’. Tetapi anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian itu berkata, “Ya, demi Tuhan yang telah menurun­kan kitab Taurat, sesungguhnya kami menjumpai di dalam kitab kami sifatmu dan tempat hijrahmu. Dan sesungguhnya aku sekarang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi (pula) bahawa engkau adalah utusan Allah.” (Kemudian anak orang Yahudi itu meninggal dunia). Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Singkirkanlah orang Yahudi ini daripada saudara kalian! Kemudian Nabi ﷺ menguruskan pengkafanan dan menyalati mayat anak lelaki Yahudi itu.
Hadith ini baik lagi kuat dan mempunyai syahid (bukti) yang menguatkannya di dalam kitab Sahih melalui hadith Anas.

 

Selain itu, Allah telah beritahu kita juga di dalam Baqarah: 146 dan juga An’am: 20

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri.

Ini bukti yang jelas bagi kita, tidak perlu kita periksa dalam kitab mereka lagi. Kita kena terima bahawa ia sememangnya telah tertulis dalam kitab mereka. Ini kerana amat mustahil untuk mencari kitab asal mereka kerana ahli agama mereka telah lama mengubah isi kandungan kitab mereka itu.

Kitab Taurat dan Injil telah banyak diubah oleh ahli agama mereka. Akan tetapi ketika zaman Rasulullah ﷺ itu, pasti ia masih ada lagi. Kerana itulah kita tidak dengar lagi hujah daripada Yahudi dan Nasara pada zaman itu, yang mengatakan tidak ada disebut tentang baginda. Mereka senyap sahaja tentang perkara ini kerana ia memang ada seperti yang disebut seperti yang disebut oleh anak lelaki Yahudi itu.

Maka, di sini Allah hendak mengingatkan ahli kitab, oleh kerana sudah ada dalam kitab mereka tentang baginda, maka mereka mestilah percaya kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ dan mesti mengikut ajaran itu. Janganlah berdalih lagi.

 

يَأمُرُهُم بِالمَعروفِ وَيَنهىٰهُم عَنِ المُنكَرِ

Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji;

Allah meneruskan ayat ini dengan memberitahu sifat baginda dan tugas baginda. Baginda mengajak manusia kepada perkara yang makruf iaitu perkara yang disuruh oleh syariat: perkara yang dikenali sebagai baik oleh akal kita dan dikuatkan lagi dengan dalil dalam syariat.

Bukan itu sahaja, baginda juga mencegah munkar, iaitu perkara yang memang akal tidak kenal sebagai baik dan dilarang pula di dalam syariat: perkara yang tidak dikenali dalam syariat sebagai baik. Atau, ada terdapat larangan di dalam wahyu.

Oleh itu, amalan bid’ah sebenarnya adalah amalan munkar kerana ia tidak ada dalam syariat. Hanya akal orang jahil sahaja yang mengatakan ia baik. Akan tetapi ia tidak tidak ada disambut oleh wahyu dan amalan itu tidak pernah diiktiraf oleh wahyu. Memang Nabi ﷺ sudah melarang kita melakukan perkara bid’ah. Cuma memang ia perkara yang agak halus untuk difahami dan kerana itu ramai yang tidak dapat membezakan antara Sunnah dan Bid’ah.

Oleh sebab itu tugas Nabi ﷺ adalah mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan. Perkara kebaikan yang paling utama Nabi ﷺ ajak adalah kepada mengenal Allah dan mengamalkan tauhid. Manakala perkara munkar yang utama Nabi ﷺ larang adalah syirik. Maka kita sebagai pengikut kepada ajaran baginda pun kenalah meneruskan kerja ini. Mana yang kita tahu dalam hal agama, kita ajak manusia dan menegur kalau mereka melakukan kesalahan. Inilah yang kita kena lakukan dan banyak dijelaskan dalam Al-Qur’an dan Hadith.

Oleh hal yang demikian, amar ma’ruf nahi munkar ini sebenarnya adalah kerja dakwah. Ia bukan hanya mengajak kepada melakukan ibadah seperti salat sahaja akan tetapi ia lebih lagi daripada itu. Kerana itulah ibadah salat hanya diwajibkan setelah sepuluh tahun kenabian. Sedangkan perkara pertama yang Nabi ﷺ ajar kepada para sahabat dan yang Nabi ﷺ ajak dan tegur adalah tentang tauhid dan syirik.

Namun begitu, kita semua sedia maklum sememangnya kerja dakwah ini bukan senang kerana orang yang jahil akan marah apabila kita menegur mereka. Mereka kalau diajak untuk salat sahaja, tidak ada masalah kerana itu mereka mampu buat. Akan tetapi apabila kita tegur mereka yang buat perkara syirik dan bid’ah, ramai yang akan melenting. Ini kerana hati mereka sudah terikat dengan fahaman syirik dan amalan bid’ah. Kita pula yang kena marah apabila tegur mereka, bukan? Mereka kata: “Kalau tak mahu buat, diam sahajalah”. Namun begitu kita tetap kena tegur, kerana Allah suruh kita cegah dan tegur. Jika kita tidak tegur, maka kita pula yang salah.

Kalau mereka tidak mahu terima, itu hal mereka, tetapi kita tetap kena tegur dan jalankan tugas kita. Jangan berhenti kalau kena marah sekali dua. Mereka yang melakukan amalan syirik dan bid’ah itu adalah kerana mereka jahil, tidak tahu; maka kalau kita tidak tegur dan ingatkan mereka, siapa lagi? Tidakkah kita kasihan kepada mereka?

 

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ الخَبٰئِثَ

dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk;

Allah hendak beritahu Bani Israel bahawa Nabi Muhammad ﷺ ini mengajak kepada kebaikan sebenarnya, namun kenapa degil sangat untuk mengikutinya? Malah bukan itu sahaja, baginda juga membawa kebaikan kepada mereka di mana baginda menghalalkan semua perkara yang baik yang sebelum ini diharamkan kepada Bani Israel dan Musyrikin. Ini kerana perkara yang mereka haramkan atas diri mereka itu sebenarnya adalah halal. Mereka sahaja yang telah tertipu dengan syaitan dan ahli agama mereka yang telah merosakkan agama.

Oleh itu, Allah beritahu yang perkara itu halal dan disampaikan melalui Nabi Muhammad ﷺ. Antara perkara yang mereka haramkan untuk diri mereka sedangkan ia adalah halal, adalah dari segi makanan di mana mereka mengamalkan pantang memantang, yang juga selalu diamalkan oleh masyarakat kita. Ramai yang suka berpantang atas perkara yang halal, dan ini adalah salah dan termasuk perkara syirik kerana mengambil alih tugas Allah .

Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ menghalalkan bagi mereka apa yang dahulunya mereka haramkan atas diri mereka sendiri —seperti bahiirah, saaibah, wasilah, ham, dan lain-lainnya yang sejenis, yang dahulu mereka ada-adakan untuk mempersempitkan diri mereka sendiri. Jenis-jenis unta yang mereka haramkan ini ada diterangkan dalam Maidah: 103.

Selain daripada itu, baginda juga menghalalkan makanan yang diharamkan kepada Bani Israel sebagai hukuman terhadap mereka. Contohnya lemak haiwan telah diharamkan kepada mereka. Maka sekarang Rasulullah ﷺ telah ditugaskan untuk memberitahu kepada mereka yang ia telah dihalalkan semula. Rugilah tidak dapat makan lemak selama hari ini, sedap tu!

Baginda juga mengharamkan benda yang memang buruk pun. Ia adalah perkara yang tidak elok sedangkan itu dihalalkan oleh puak sesat. Sebagai contoh, pengharaman arak dan judi kepada manusia. Semua ini ada dalam syariat dan ia dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Ali ibnu Abu Talhah رضي الله عنه telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘segala yang buruk’ ialah seperti daging babi, riba, dan semua barang haram yang dahulunya mereka halalkan, iaitu makanan-makanan yang diharamkan oleh Allah .

 

وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَالأَغلٰلَ الَّتي كانَت عَلَيهِم

dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. 

Allah hendak beritahu kepada Bani Israel itu yang Nabi Muhammad ﷺ ini adalah kebaikan kepada mereka. Baginda membebaskan mereka daripada belenggu dan meringankan syariat kepada mereka. Maka kenapakah bersikap degil sangat? Kenapa tidak pandai menilai?

Kalimah إصر dari segi bahasa adalah beban yang kalau ditanggung menyebabkan seseorang itu tidak dapat bergerak sebab berat sangat. Kalimah أغلال (jamak bagi غل) pula bermaksud belenggu seperti gari yang mengikat tangan dan tengkuk penjenayah. Kedua-dua perkara ini dikaitkan dengan hukuman kepada penjenayah, bukan? Maknanya ia adalah sesuatu yang berat ke atas mereka dan sekarang baginda melepaskan mereka daripadanya.

Maksudnya antara tugas baginda juga adalah menghilangkan bebanan hukum syariat yang ada ke atas ahli kitab sebelum itu. Syariat yang dibawa oleh baginda tidak seperti syariat sebelum itu. Syariat yang ada pada ahli kitab sebelum itu adalah bebanan dan belenggu seperti yang dikenakan kepada hamba abdi.

Sebagai contoh syariat mereka yang berat adalah:

Pakaian yang terkena najis tidak boleh dibasuh. Ia hendaklah dipotong.

Mereka tidak boleh memakan harta ghanimah

Mereka tidak dibenarkan memburu dan bekerja pada hari Sabtu (hari Sabbath)

Tubuh yang terlibat dengan dosa hendaklah dipotong

Pembunuh mesti dihukum dengan dibunuh, tidak kira sama ada pembunuhan itu sengaja ataupun tidak. Mereka tidak ada hukum bayar diyat.

Ini terjadi kerana agama mereka telah rosak. Apabila agama telah rosak, maka ia menjadi susah kerana ditambah dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Kadangkala, mereka rasa ia adalah baik. Namun selalunya, ia hanyalah menambahkan masalah sahaja. Sama juga dengan umat Islam: asalnya syariat mudah sahaja untuk diamalkan, tetapi lama kelamaan apabila ditokok tambah dengan perkara-perkara baru dalam agama, maka agama menjadi susah. Sebagai contoh, ada yang kata kalau beli makanan di kedai, kena pastikan orang itu menutup aurat atau tidak. Sedangkan ini tidak diberatkan kepada kita.

Maka ahli bid’ah itu sama sahaja perangai dengan Bani Israel yang degil itu. Kita ajak kepada amalan-amalan sunnah yang senang diamalkan. Namun golongan ahli bid’ah itu suka pula membuat perkara-perkara yang mengarut yang tidak ada di dalam syariat. Mereka sangka dapat pahala, namun sebenarnya mereka dapat dosa sahaja. Penat sahaja beramal tetapi dapat dosa.

Nabi ﷺ datang dengan membawa kemudahan dan toleransi, seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan melalui berbagai jalur daripada Rasulullah ﷺ:

بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ”

Aku diutus dengan membawa agama yang hanif lagi penuh toleransi.

(Riwayat Ahmad)

Lihatlah umat Islam sekarang, sudah terlalu banyak pertambahan dalam agama. Kita lihat sahaja majlis perkahwinan, sudah bermacam-macam perkara yang ditambah sampai menyusahkan umat yang hendak menikah dengan halal. Sekarang, hendak berkahwin pun susah sangat, sampaikan mereka yang hendak berkahwin terpaksa menangguhkan niat baik mereka itu kerana terlalu banyak persediaan yang tiada keperluan dan wajib pun untuk disiapkan. Kebiasaannya yang suka mengikut keperluan adat sehingga memakan perbelanjaan yang besar.

Ini tidak sepatutnya terjadi kerana ada di antara mereka yang telah mencapai hukum wajib untuk menikah kerana hormon sudah memuncak. Akibatnya, ada yang melampiaskan kehendak hormon mereka itu dengan cara yang haram. Lihatlah apa yang masyarakat telah lakukan sehingga zina berleluasa. Disebabkan benda halal susah sangat untuk dilakukan, maka mereka carilah benda yang haram dan lebih mudah, bukan?

Itu dalam hal kehidupan. Dalam hal ibadat pun banyak juga. Sebagai contoh, diajar cara melafazkan niat yang susah untuk memulakan ibadat salat dan sebagainya yang sebenarnya tidak diajar pun dalam syarak. Sudahlah diajar lafaz niat, kemudian pula ketika takbir itu, dikehendaki mengingati semula niat itu (susun dalam kepala) yang mustahil dapat dilakukan sehinggakan susah orang hendak memulakan salat. Sampai berkali-kali kena takbir. Akibatnya ramai orang Melayu ada penyakit was-was sebab diajar benda-benda pelik sebegini.

Disebabkan lafaz niat itu susah untuk dilafazkan, tidak menghairankan jika ada orang yang tidak buat ibadat kerana tidak tahu niat: “Kenapa tak solat jamak dan qasar sahaja pakcik?” Ada yang jawab: “Sebab pakcik tak tahu niat….”. Sedangkan lafaz niat dan susunan niat dalam hati itu tidak perlu pun kerana niat adalah ‘lintasan dalam hati’ yang menjadi ‘azam’. Bila kita hendak buat sahaja, terus sudah ada niat sebenarnya. Kenapakah perlu diajar benda pelik yang tidak ada dalam agama?

Contoh lagi, ada yang menyangka sekiranya seseorang itu memeluk Islam, maka dia harus menukar nama. Ini juga menyusahkan, kerana mesti melalui proses yang berliku-liku. Sedangkan tidak perlu pun untuk menukar nama. Apakah nama Saidina Umar, Abu Bakr dan sebagainya sebelum mereka masuk Islam? Nama itulah juga, dan tidaklah mereka menukar nama kepada ‘nama Islam’ pula. Pengecualian diberikan kepada mereka yang bernama asal itu yang ada melambangkan kesyirikan atau nama yang buruk, maka nama-nama yang sebegitu mestilah ditukar.

Oleh sebab itu, ayat ini memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ adalah rahmat kepada mereka yang meringankan beban yang ditanggung oleh Bani Israel. Ayat ini bertepatan dengan firman-Nya dalam surah yang lain:

{رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ}

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. [Al-Baqarah: 286]}

 

فَالَّذينَ ءآمَنوا بِهِ

Maka orang-orang yang beriman kepadanya, 

Maka, ahli kitab sudah mengenali Nabi ﷺ sebenarnya dan mereka mesti beriman kepada baginda dan apa yang baginda bawa. Namun begitu tentulah ini bukan perkara yang mudah kerana mereka terpaksa meninggalkan agama mereka yang lama. Akan tetapi ada kelebihan kepada mereka yang sanggup beriman kepada baginda.

 

وَعَزَّروهُ

dan memuliakannya,

Selain daripada beriman kepada baginda, mereka juga mesti menghormatinya dan memuliakan baginda. Ini kerana kedudukan baginda tidaklah sama seperti kedudukan manusia biasa. Kita memuliakan baginda bukanlah sama seperti kita memuliakan orang yang ada pangkat dalam kerajaan atau dalam tentera. Akan tetapi kita mesti memuliakan baginda di samping rasa kasih kepada baginda.

Ini kerana kedudukan baginda amatlah tinggi dalam kalangan kita. Bagindalah Nabi, penghulu kita, pemimpin kita, bapa kita. Baginda mempunyai ilmu yang tinggi, bijaksana, mempunyai akhlak yang mulia dan sepatutnya baginda mendapat pujian daripada kita. Baginda telah berkorban terlalu banyak untuk menyampaikan agama Islam ini kepada kita. Maka kita juga amat terhutang budi kepada baginda. Kerana itulah kita diajar untuk Selawat.

Di dalam ayat-ayat lain juga disebut tentang perkara ini seperti di dalam Fath: 9

لِّتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَتُعَزِّروهُ وَتُوَقِّروهُ

supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya menghormatinya, dan membesarkannya

Di dalam Hujurat: 1-2 para sahabat dinasihati lagi:

يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya

Sahl bin Abdullah رحمه الله mengatakan ayat ini bermaksud umat Islam tidak boleh bercakap sebelum baginda bercakap. Apabila baginda bercakap, semua mesti senyap dan dengar dengan teliti apa yang baginda sedang sampaikan. Di dalam ayat seterusnya,

يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَرفَعوا أَصوٰتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ أَن تَحبَطَ أَعمٰلُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.

Panggilan kepada Nabi ﷺ pun hendaklah menggunakan panggilan yang penuh kehormatan seperti disebut dalam Nur: 63

لّا تَجعَلوا دُعاءَ الرَّسولِ بَينَكُم كَدُعاءِ بَعضِكُم بَعضًا

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain).

Maka para sahabat amatlah menghormati baginda. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang semenjak kecil bersahabat dengan baginda, namun setelah baginda diangkat menjadi Nabi, beliau bercakap dengan suara yang amat perlahan, seolah-olah berbisik. Begitu jugalah dengan Saidina Umar رضي الله عنه yang melakukan perkara yang sama.

Para sahabat juga amat segan dengan baginda. Amru al As رضي الله عنه pernah menceritakan bagaimana beliau amat mengagungkan baginda sampaikan hendak melihat ke wajah baginda pun segan.

وَمَا كَانَ أَحَدٌ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا أَجَلَّ فِي عَيْنِي مِنْهُ وَمَا كُنْتُ أُطِيقُ أَنْ أَمْلَأَ عَيْنَيَّ مِنْهُ إِجْلَالًا لَهُ وَلَوْ سُئِلْتُ أَنْ أَصِفَهُ مَا أَطَقْتُ لِأَنِّي لَمْ أَكُنْ أَمْلَأُ عَيْنَيَّ مِنْهُ

Dan kemudian tidak ada seorang pun yang lebih kucintai daripada Rasulullah ﷺ, dan tidak ada yang lebih agung di mataku daripada baginda. Tidak akan pernah aku memberanikan diri untuk melihat sekilas wajahnya kerana pengagungan kepadanya. Jika aku diminta untuk menggambarkannya, aku tidak mampu melakukannya, kerana aku belum melihatnya sepenuhnya.

(HR. Muslim no. 121)

Urwah ibn Mas’ud رضي الله عنه pernah dihantar untuk melihat keadaan Rasulullah ﷺ sebagai wakil orang Quraisy. Urwah رضي الله عنه lantas menyaksikan betapa setianya para sahabat kepada baginda. Jika Rasulullah ﷺ berwudhu’, mereka segera ikut berwudhu. Ketika Rasulullah ﷺ meludah, mereka segera membersihkannya. Tidak ada sehelai rambut baginda yang jatuh melainkan mereka pasti memungutnya.

Lalu Urwah رضي الله عنه pun kembali kepada kaum Quraish lalu berkata, “Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya aku telah berkunjung kepada Kisra, Parsi, dan an-Najasyi di istana-istana mereka, tapi tak kudapati seorang raja pun yang sayangnya melebihi sayangnya Muhammad terhadap pengikutnya, sehingga pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta olehnya. Buanglah prasangka buruk kalian.”

Lihatlah hebatnya para sahabat menghormati baginda dan teramat sayang kepada baginda. Akan tetapi, dalam mereka sayang baginda itu, tidaklah mereka sambut Maulid Nabi. Orang sekarang sahaja perasan lebih sayang kepada baginda daripada para sahabat. Pelik bin Ajaib kelakuan orang sekarang yang jahil.

 

وَنَصَروهُ

dan juga menolongnya, 

Selain daripada itu, mereka juga hendaklah membantu baginda dalam menjalankan misi baginda. Ini penting kerana baginda memerlukan bantuan daripada manusia juga. Para sahabat dapat membantu baginda secara fizikal. Akan tetapi kita ini boleh juga membantu baginda menyampaikan agama baginda walaupun baginda tiada. Ia adalah seperti membantu baginda juga.

Maka kita hendaklah menegakkan agama sunnah di mukabumi ini dengan membantu baginda melalui menyampaikan ajaran Sunnah kepada masyarakat. Kerana itulah ajaran baginda. Kita hendaklah mempertahankan agama ini daripada dicemari oleh amalan-amalan bid’ah kerana itu semua merosakkan agama yang baginda telah bersusah payah sampaikan kepada umat. Walaupun ramai orang tidak suka dan menghalang kita, kita mestilah tetap melakukannya. Semoga Allah ‎ﷻ membalas segala usaha kita ini dengan kebaikan.

 

وَاتَّبَعُوا النّورَ الَّذي أُنزِلَ مَعَهُ

serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), 

Mereka hendaklah mengikut ‘cahaya’ yang diberikan kepada baginda. Cahaya yang dimaksudkan adalah wahyu Al-Qur’an kerana sebagaimana cahaya menerangi kegelapan, begitu juga cahaya wahyu Al-Qur’an itu dapat menerangi kegelapan syirik.

Cahaya juga tidak memerlukan bukti luaran kerana kita boleh nampak cahaya itu terang benderang. Tidak perlu untuk diberitahu itu cahaya kerana semua boleh nampak dengan jelas. Maka begitu juga dengan Al-Qur’an yang dengan sendirinya kita boleh faham kehebatannya kalau kita memahaminya. Maknanya kita tidak perlu pun orang luar untuk menyatakan kebenarannya kerana apabila kita membaca sendiri pun kita boleh nampak kelebihannya. Yang tidak faham maksud Al-Qur’an pun, mereka akan terpesona apabila mendengarnya dibacakan. Banyak sudah video bangsa asing yang diperdengarkan dengan Al-Qur’an dan reaksi mereka memang takjub dengannya.

Sebelum ini telah disebut beriman dengan Rasulullah ﷺ dan sekarang disebut tentang Al-Qur’an pula. Memang beginilah ajaran Sunnah yang meletakkan kepentingan kepada Rasulullah dan Al-Qur’an. Kita belajar tafsir Al-Qur’an dan kita kena ikut ajaran Rasulullah ﷺ dengan mempelajari hadith-hadith (yang sahih).

 

أُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

mereka itulah mereka orang-orang yang berjaya.

Mereka yang dapat:

    • beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ
    • memuliakan baginda
    • menolong baginda
    • beriman dengan wahyu yang dibawa oleh baginda

Mereka yang boleh melakukan perkara di ataslah yang berjaya dunia dan akhirat. Apabila Allah ‎ﷻ menambah kalimah هم di sini, ia adalah penekanan yang membawa maksud eksklusif. Ini adalah penambahan kerana kalimah أُولٰئِكَ sudah bermaksud ‘mereka’ dan kalimah هم juga bermaksud ‘mereka’. Maka ada dua kali kalimah ‘mereka’ digunakan di sini.

Al-falah adalah kejayaan yang didapati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Maknanya kenalah ada usaha. Kena ada usaha untuk belajar dan kemudian mengamalkan agama ini  dan bukanlah dengan bergoyang kaki sahaja. Mereka yang dapat melepasi ujian untuk beriman itu akan berjaya dunia dan akhirat kerana semua perkara yang disebut itu adalah perkara-perkara yang susah untuk dilakukan.

Surah al-A’raf ini walaupun diturunkan di Mekah, tetapi ia sudah mengandungi ayat-ayat yang menyentuh tentang ahli Kitab kerana tidak lama lagi, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat akan berhijrah ke Yathrib (Madinah) dan mereka akan bertemu dengan banyak Ahli Kitab di sana. Ahli-ahli Kitab itu diingatkan dengan ayat ini supaya beriman dengan Nabi dan hendaklah memuliakan serta membantu baginda. Jangan buat tidak tahu sahaja sedangkan mereka sudahpun diberikan ilmu tentang agama dan tentang Nabi Akhir Zaman itu.

Habis Ruku’ 19 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mac 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 155 – 156 (Hebatnya Doa Nabi Musa عليه السلام)

MENGEMIS RAHMAT ALLAH

A’raf Ayat 155:

وَاختارَ موسىٰ قَومَهُ سَبعينَ رَجُلًا لِّميقٰتِنا ۖ فَلَمّا أَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ قالَ رَبِّ لَو شِئتَ أَهلَكتَهُم مِّن قَبلُ وَإِيّٰيَ ۖ أَتُهلِكُنا بِما فَعَلَ السُّفَهاءُ مِنّا ۖ إِن هِيَ إِلّا فِتنَتُكَ تُضِلُّ بِها مَن تَشاءُ وَتَهدي مَن تَشاءُ ۖ أَنتَ وَلِيُّنا فَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۖ وَأَنتَ خَيرُ الغٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses chose from his people seventy men for Our appointment.¹ And when the earthquake seized them,¹ he said, “My Lord, if You had willed, You could have destroyed them before and me [as well]. Would You destroy us for what the foolish among us have done? This is not but Your trial by which You send astray whom You will and guide whom You will. You are our Protector, so forgive us and have mercy upon us; and You are the best of forgivers.

    • Whereupon they were to apologize to Allāh for having worshipped the calf.
    • Upon reaching the appointed place, they said to Moses, “We will not believe until we see Allāh outright.” So the mountain convulsed, killing them.

MALAY

Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Sinai) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? Ini hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.

 

وَاختارَ موسىٰ قَومَهُ سَبعينَ رَجُلًا لِّميقاتِنا

Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki daripada kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Sinai) pada waktu yang telah Kami tentukan.

Kaum Nabi Musa عليه السلام itu memang jenis ingkar. Mereka tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu. Mereka tidak percaya dengan lauh Taurat yang baginda bawa itu. Mereka kata entah datang dari mana lauh-lauh itu. Mereka tuduh entah-entah Nabi Musa عليه السلام tulis sendiri. Maka Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah untuk memberi keyakinan kepada kaumnya itu.

Apabila mereka tidak percaya yang lauh-lauh itu diturunkan oleh Allah , maka Nabi Musa عليه السلام telah diperintahkan untuk memilih 70 orang yang terbaik (yang paling pandai) antara mereka untuk naik ke Gunung Sinai dan Allah akan memperdengarkan suara Allah kepada mereka.

Itu sepatutnya memberi keyakinan kepada mereka, namun mereka tetap juga tidak mahu percaya. Mereka pun minta untuk melihat Allah sendiri dan kerana kurang ajarnya mereka itu Allah telah murka dan mematikan mereka. Mereka telah dikenakan dengan gegaran dari bumi dan gempa dari langit yang telah mematikan mereka serta merta.

 

فَلَمّا أَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Maka apabila mereka digegar oleh gempa, 

Kejadian ini telah disebut dalam Baqarah: 55

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

Di dalam ayat digunakan kalimah الرَّجفَةُ dan di dalam Surah Baqarah disebut ٱلصَّـٰعِقَةُ maka kita boleh tahu yang kedua-duanya dikenakan kepada mereka. Ketika itu tinggal Nabi Musa عليه السلام seorang sahaja yang selamat. Seterusnya, baginda telah berdoa kepada Allah selepas kejadian itu.

Di dalam ayat seterusnya Allah sebut yang mereka itu dihidupkan semula.

ثُمَّ بَعَثنَـٰكُم مِّنۢ بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan daripada sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

Disebabkan adanya persamaan di dalam ayat itu, maka ulama’ mengaitkan insiden dalam ayat A’raf: 155 ini dengan ayat Baqarah:55-56 itu. Walau bagaimanapun, ada juga yang mengatakan tiada kaitan antara dua kisah itu kerana ia insiden yang berlainan. Mereka kata sebab itulah kalimah digunakan di dalam A’raf adalah الرَّجفَةُ sedangkan di dalam Surah Baqarah disebut ٱلصَّـٰعِقَةُ. Allahu a’lam.

Cuma jikalau ia insiden berlainan, kenapakah pula mereka dimatikan dan apakah sebab mereka mula-mula ikut Nabi Musa عليه السلام naik ke atas? Itu tidak disebut pula. Oleh hal yang demikian, setakat ini kita lebih selesa dengan pendapat yang mengaitkan dua insiden itu.

 

قالَ رَبِّ لَو شِئتَ أَهلَكتَهُم مِّن قَبلُ وَإِيّٰيَ

Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini.

Nabi Musa عليه السلام terkesan dengan kematian mereka. Ini kerana mereka itu adalah golongan yang paling pandai dalam kalangan kaum itu (sebab itu mereka dipilih). Disebabkan itu, sekiranya mereka mati, tentulah baginda akan dipersalahkan. Mungkin mereka kata Nabi Musa عليه السلام yang bunuh mereka itu. Mereka akan menuduh yang baginda sengaja telah memilih yang terbaik dalam kalangan mereka untuk dibunuh. Malah, kemungkinan besar baginda pula akan dibunuh.

Dari sini juga kita belajar yang orang Mukmin amat menjaga kredibiliti mereka supaya jangan dipandang serong oleh masyarakat. Ini kerana jika masyarakat sudah memandang serong, maka akan susah orang hendak mendengarnya lagi selepas itu. Oleh itu, walaupun kematian mereka daripada kaumnya itu bukanlah salahnya, tetapi baginda tetap risau.

Begitu jugalah dengan Maryam yang risaukan apa kata kaumnya nanti apabila beliau hamil dengan Nabi Isa عليه السلام. Ini disebut dalam Maryam: 23

قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا

dia berkata: alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

Oleh itu baginda merayu dengan Allah dengan mengatakan yang Allah boleh berbuat apa sahaja yang Allah mahu, malah sebelum mereka datang pun Allah sudah boleh memusnahkan mereka. Bukan sahaja mereka, baginda kata baginda juga Allah boleh binasakan.

Sekarang setelah mereka mati semua, Nabi Musa عليه السلام berdiri menangis seraya berdoa kepada Allah , “Ya Tuhanku, apakah yang akan aku katakan kepada Bani Israel, jika aku datang kembali kepada mereka tanpa orang-orang ini, sedangkan orang-orang yang terpilih mereka telah Engkau binasa­kan?”

Kalau perhatikan kalimah رَبِّ itu diterjemahkan kepada ‘Tuhanku’ sedangkan sepatutnya adalah رَبَّي di mana huruf ي itu telah dihazafkan kerana kita boleh faham. Maka kita tahu ada maksud ‘ku’ di situ kerana kalimah رَبِّ itu dalam bentuk jar kerana ada kasrah (baris bawah) di situ. Tidaklah ia rabbu atau rabba.

 

أَتُهلِكُنا بِما فَعَلَ السُّفَهاءُ مِنّا

Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami?

“Tapi, adakah Kamu ya Allah, akan binasakan kami semua, disebabkan oleh kebodohan di antara pihak kami?” Sedangkan 70 orang yang terpilih itu adalah mereka yang terpilih, yang terpandai dalam kalangan masyarakat mereka. Akan tetapi baginda mengatakan mereka itu tetap orang yang bodoh. Ini kerana di dalam agama, bodoh itu adalah kerana bersikap kurang ajar dengan Allah dan menolak ketetapan Allah . Sebagai contoh lihat Baqarah: 142

سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلَّٮٰهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?”

Dalam ayat daripada Baqarah ini, golongan Yahudi ditempelak kerana mempersoalkan penukaran kiblat oleh Allah dan kerana itulah mereka dikatakan orang yang bodoh.

 

إِن هِيَ إِلّا فِتنَتُكَ تُضِلُّ بِها مَن تَشاءُ وَتَهدي مَن تَشاءُ

Tidaklah ia melainkan hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki.

Nabi Musa عليه السلام sambung dengan kata: “Tidaklah tempikan dan gegaran itu melainkan ujian daripada-Mu ya Allah.” Dan ia memang sebuah ujian yang besar. Nabi Musa عليه السلام bimbang takut dituduh oleh kaumnya yang lain, yang baginda telah sengaja membunuh mereka yang pandai dalam kalangan kaum.

“Maka apa saja yang Engkau kehendaki, pasti terjadi; Engkau sesatkan siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau beri petunjuk siapa pun yang Engkau kehendaki. Tidak ada pemberi petunjuk bagi orang yang telah Engkau sesatkan, dan tiada yang dapat menyesatkan orang yang telah Engkau beri petunjuk.”

“Tidak ada yang memberi orang yang Engkau cegah, dan tidak ada yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan. Kerajaan adalah milik Engkau belaka, dan keputusan hukum hanyalah milik Engkau; milik Engkaulah makhluk dan semua urusan.”

Dalam ayat ini disebut Allah ada sesatkan orang yang Dia kehendaki. Jangan pula kita salahkan kesesatan manusia kerana Allah pula. Bukanlah Allah zalim menyesatkan sesukanya dan kemudian azab di neraka pula. Kena ingat yang Allah hanya sesatkan orang yang mahu sesat sahaja. Apabila manusia berpaling daripada kebenaran, barulah mereka disesatkan. Ini seperti disebut dalam Saff: 5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم

Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka

 

أَنتَ وَلِيُّنا فَاغفِر لَنا وَارحَمنا

Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami,

Nabi Musa عليه السلام memujuk Allah dengan memuji kedudukan Allah yang tinggi. Allah lah sahaja yang boleh menjadi pelindung kepada makhluk-Nya. Oleh itu baginda berdoa semoga diampunkan kesalahan yang mereka telah lakukan itu, dan berilah rahmat – apa-apa sahaja kebaikan yang Allah mahu berikan kepada mereka.

Di sini Allah mengajar kita cara berdoa. Hendaklah kita memuji-muji Allah di dalam doa kita sebelum kita meminta apa-apa. Di sini Nabi Musa عليه السلام menyebut kedudukan Allah – وَلِيُّنا. Kita boleh gunakan asma’ul husna Allah yang lain sebelum memulakan doa. Paling kurang kita kata: ya rabbi (Wahai Tuhanku).

Kemudian baginda meminta supaya Allah mengampunkan dosanya dengan menyebut فَاغفِر لَنا (Maka ampunkanlah kami) sebelum meminta rahmat daripada Allah , iaitu kalimah وَارحَمنا (dan berilah rahmat kepada kami). Begitulah kita di dalam doa hendaklah minta Allah ampunkan dosa dahulu. Jangan terus minta apa yang kita hendak sedangkan berkepuk dosa kita di belakang pundak kita.

Perumpamaannya adalah seperti seorang anak yang hendakkan sesuatu daripada bapanya, takkan selepas buat salah terus minta sesuatu, bukan? Mestilah dia mengaku kesalahan dan kemudian meminta maaf. Selepas bapa memaafkannya, barulah diminta belanja atau basikal baru.

 

وَأَنتَ خَيرُ الغٰفِرينَ

kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.

Apabila disebut Allah yang terbaik memberi ampun, ini bermaksud selain Allah , ada juga yang memberi ampun. Contohnya manusia pun ada memberi ampun terhadap kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya. Namun begitu pengampunan kita tidaklah sama seperti Allah .

Contohnya kita memberi maaf kadangkala kerana hendakkan sesuatu daripada yang meminta maaf; mungkin kalau kita memaafkan, namun kita tidak boleh lupakan kesalahan itu; atau kalau kita ampunkan pun mungkin tidak semua kesalahan; dan lain-lain lagi. Sedangkan Allah boleh melupakan segala dosa itu dan setelah memaafkan kita, Dia boleh memberikan rahmat kepada kita dan sayang kita kembali. Kerana pengampunan Allah itu amat luas.

Maka daripada ayat ini kita dapat belajar betapa hebatnya doa Nabi Musa عليه السلام ini. Dan oleh kerana doa Nabi Musa عليه السلام ini, maka kaum baginda yang telah dimatikan itu telah dihidupkan semula.


 

A’raf Ayat 156: Ini adalah sambungan doa Nabi Musa عليه السلام selepas 70 orang lelaki daripada kaumnya dimatikan oleh Allah di Gunung Sinai kerana meminta untuk melihat Allah .

۞ وَاكتُب لَنا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ إِنّا هُدنا إِلَيكَ ۚ قالَ عَذابي أُصيبُ بِهِ مَن أَشاءُ ۖ وَرَحمَتي وَسِعَت كُلَّ شَيءٍ ۚ فَسَأَكتُبُها لِلَّذينَ يَتَّقونَ وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ وَالَّذينَ هُم بِئآيٰتِنا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And decree for us in this world [that which is] good and [also] in the Hereafter; indeed, we have turned back to You.” [Allāh] said, “My punishment – I afflict with it whom I will, but My mercy encompasses all things.” So I will decree it [especially] for those who fear Me and give zakāh and those who believe in Our verses –

MALAY

“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu”. Allah berfirman: “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

 

وَاكتُب لَنا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةً

“Dan tulislah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini 

Kalimah حَسَنَةً itu di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh dikatakan apa-apa sahaja kebaikan. Namun perlulah disesuaikan dengan kehendak agama. Apakah kebaikan di dunia itu?

Adakah harta yang banyak dan anak pinak yang ramai? Bukan, tetapi kebaikan di dunia adalah tidak meninggalkan ajaran agama. Kebaikan di dunia adalah tetap atas iman dan tetap mengamalkan agama yang benar sehinggalah meninggalkan dunia ini. Inilah permintaan yang sepatutnya kita semua minta sentiasa.

Ada ulama’ yang menyebut kebaikan di dunia itu adalah ilmu yang bermanfaat, amal  yang soleh dan taufiq hidayah. Oleh hal yang demikian kebaikan di dunia adalah apa-apa sahaja kebaikan yang boleh membawa kepada kebaikan di akhirat kelak. Sebagai contoh kita ada kereta. Ini adalah salah satu kebaikan dunia tetapi ia juga boleh menjadi kebaikan di akhirat sekiranya ia digunakan untuk agama seperti membawa kita belajar dan mengajar agama, membantu orang dalam kesusahan, dan sebagainya.

 

وَفِي الآخِرَةِ

dan juga di akhirat,

Dan tentunya kita juga hendaklah meminta kebaikan di akhirat. Ini amat penting sekali. Jangan meminta hal dunia dan kebaikan di dunia sahaja, tetapi melupakan nasib kita di akhirat. Jangan jadi orang yang pergi mengerjakan Haji tetapi meminta projek, minta bini, minta kaya sahaja (hanya hal-hal keduniaan) seperti yang disebut dalam Baqarah: 200

فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ

Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat.

Oleh sebab itu, ini adalah doa yang bagus, selari dengan doa yang Allah ajarkan dan yang Nabi ﷺ selalu baca. Doa ini juga ada di dalam Baqarah: 201

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

 

إِنّا هُدنا إِلَيكَ

sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu”.

Ini adalah penutup doa Nabi Musa عليه السلام: Kami semua kembali bertaubat, dan ikhlas kepada Engkau ya Allah.

Lafaz هُدنا berasal daripada katadasar ه و د yang bermaksud kembali kepada sesuatu dan mencintainya. Ada pendapat yang  mengatakan daripada lafaz ini jugalah datangnya lafaz ‘Yahudi’. Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan nama Yahudi itu daripada salah seorang anak Nabi Yaakob عليه السلام iaitu Yahuda.

 

قالَ عَذابي أُصيبُ بِهِ مَن أَشاءُ

Allah berfirman: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,

Allah menjawab doa Nabi Musa عليه السلام itu yang Dia boleh mengenakan azab-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana Dia Tuhan, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja. Ini kita kena terima yang sekiranya Allah kenakan apa-apa sahaja kepada kita, Allah boleh sahaja melakukannya dan Allah tidak zalim jika Dia melakukannya. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan ketetapan daripada Allah . Allah tidak pernah zalim, dulu, kini dan selamanya.

Maksudnya, Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki, dan Dia putuskan apa pun yang Dia sukai, kerana hikmah dan keadilan semuanya itu adalah milik-Nya semata-mata. Tidak ada Tuhan selain Dia. Kita mungkin tidak faham dengan apa yang dilakukan oleh Allah , maka kita mestilah tawakal dan terima sahaja. Jangan mulut kita sibuk atau terkeluar untuk mempersoalkan perbuatan Allah .

 

وَرَحمَتي وَسِعَت كُلَّ شَيءٍ

dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; 

Walaupun Allah boleh mengenakan azab kepada sesiapa sahaja, namun rahmat-Nya amat luas, meliputi segala sesuatu. Sebelum ini disebut azab itu tidak dikenakan kepada semua tetapi kepada yang Dia kehendaki sahaja. Namun rahmat-Nya pula adalah meliputi. Maknanya rahmat-Nya lagi luas daripada kemurkaan-Nya. Kerana itulah orang kafir turut tetap mendapat pelbagai nikmat di dunia ini.

Oleh itu, sesiapa yang kembali bertaubat cepat-cepat kepada Allah , mereka akan mendapat rahmat yang lebih luas. Rahmat Allah memang hebat seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ:

‌جَعَلَ ‌اللهُ ‌الرَّحْمَةَ ‌مِائَةَ ‌جُزْءٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الْأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا، فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلَائِقُ، حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا، خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ

Allah menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya.”

(Riwayat Bukhari (6000) & Muslim (2752))

Dengan rahmat Allah yang 1/100 itulah yang kita gunakan untuk masuk ke syurga supaya kita dapat merasa rahmat-Nya yang 99 lagi itu.

Berbalik kepada kaum Nabi Musa عليه السلام. Kaumnya itu memang layak dikenakan dengan azab dan Allah tidak bersalah kalau mengazab mereka kerana adil adalah salah satu sifat Allah . Adilnya Allah itu adalah memberikan azab kepada yang layak mendapat azab. Maka jikalau Allah mengenakan mereka dengan azab, itu adalah atas sifat adil Allah . Namun begitu, selain daripada adil, Allah juga ada sifat rahmah. Dengan sifat rahmah itu Allah memaafkan mereka. Oleh itu, pemaafan Allah ke atas mereka adalah atas sifat Rahmat-Nya.

Akan tetapi ada juga ulama’ yang khilaf sama ada Allah mengampunkan mereka atau tidak. Kerana tidak disebut secara jelas pengampunan daripada Allah dalam ayat ini. Sedangkan ada di tempat-tempat yang lain, Allah dengan jelas menyebut penerimaan pengampunan. Contohnya di dalam Taha: 36

قالَ قَد أوتيتَ سُؤلَكَ يا موسىٰ

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!

 

Dan sekali lagi di dalam Yunus: 89

قالَ قَد أُجيبَت دَعوَتُكُما

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua”

Oleh kerana tidak jelas penerimaan daripada Allah , maka ada yang berpendapat Allah hanya berjanji mengampunkan umat Islam tetapi tidaklah Bani Israel. Maka ini mengambil pendapat yang mengatakan kisah di dalam ayat ini berlainan daripada kisah di dalam Surah Baqarah itu.

Ada juga yang membahagikan doa Nabi Musa عليه السلام itu kepada dua bahagian: Bahagian pertama baginda meminta diampunkan dosa mereka yang telah bersalah. Manakala bahagian kedua baginda meminta dituliskan kebaikan untuk mereka di dunia dan di akhirat.

Penerimaan pada bahagian pertama disebut di dalam ayat ini. Ini bermakna Allah boleh mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki termasuklah Bani Israel yang telah bersalah itu. Allah sendiri yang akan memilih siapa yang Dia akan ampunkan. Kena ingat yang tidak semestinya Allah akan mengampunkan semua. Perhatikan An’am: 147

فَإِن ڪَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّڪُم ذُو رَحمَةٍ وٰسِعَةٍ وَلَا يُرَدُّ بَأسُهُ ۥ عَنِ ٱلقَومِ ٱلمُجرِمِينَ

Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksa-Nya tidak dapat ditolak daripada kaum yang berdosa”.

Oleh itu, tentang pengampunan Allah kerana rahmat-Nya yang luas itu harus sahaja berlaku. Namun tidak semestinya berlaku. Ia terpulang kepada Allah . Keputusan di tangan-Nya. Maka jangan kita rasa senang hati pula, sampaikan sangka yang Allah pasti ampunkan.

Sedangkan untuk doa bahagian kedua dijawab di dalam bahagian selepas ini dan disambung dalam ayat 157 seterusnya nanti. Allah mengabulkan doa Nabi Musa عليه السلام itu bersyarat. Sekiranya mereka lakukan seperti yang akan disebut nanti, maka Allah boleh tuliskan kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka.

 

فَسَأَكتُبُها لِلَّذينَ يَتَّقونَ

maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa,

Yang pertama, rahmat-Nya diberikan kepada mereka yang bertaqwa. Rahmat-Nya yang luas itu Dia berikan kepada semua orang, namun selain daripada itu, ada rahmat yang khas yang Dia tetapkan kepada mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang taat dan menjaga hukum Allah sepanjang masa. Mereka sedar bahawa Allah sentiasa melihat mereka, maka mereka akan berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka.

 

وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ

dan yang memberi zakat,

Manakala satu lagi syarat untuk mendapat rahmat khas Allah adalah dengan menunaikan zakat.

Menurut suatu pendapat, makna zakat yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah zakat diri (membersihkan diri daripada sifat-sifat buruk) kerana di Mekah belum ada hukum zakat lagi; sedangkan menurut pendapat lain, ia adalah tentang zakat harta benda. Namun barangkali makna yang dimaksudkan ayat ini bersifat umum, mencakupi kedua-dua zakat tersebut, mengingatkan yang ayat ini adalah ayat Makkiyyah.

Di dalam ayat ini Allah sebut zakat sahaja sedangkan banyak di dalam ayat lain Allah menggandingkan zakat disebut selepas salat. Kenapa tidak ada disebut tentang salat di sini? Ini kerana mengeluarkan zakat adalah ujian yang besar. Hanya yang benar-benar bertaqwa sahaja sanggup mengeluarkan zakat kerana ia adalah harta dan ramai yang sayangkan harta. Ini tidak sama dengan salat kerana orang biasa pun boleh menjaga salat. Namun begitu syarat utama bagi orang bertaqwa adalah sanggup mengeluarkan zakat. Ini disebut dalam Layl: 17-18

وَسَيُجَنَّبُهَا الأَتقَى

Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling taqwa dari neraka itu,

الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ

yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya,

Oleh sebab itu, zakat adalah penting sebagai tanda taqwa seseorang. Sekiranya orang yang lemah imannya, mereka tidak akan sanggup untuk mengeluarkan zakat yang banyak atau sedekah kerana mereka telah dilanda penyakit hubbud dunya (cinta dunia).

 

وَالَّذينَ هُم بِئآيٰتِنا يُؤمِنونَ

serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

Sementara syarat ketiga yang disebut dalam ayat ini adalah percaya kepada ayat-ayat Allah . Apabila percaya, maka kenalah belajar dan mengamalkannya. Bukanlah setakat percaya sahaja, tetapi tidak faham apa yang Allah sebut dalam wahyu-Nya.

Mereka yang boleh melakukan ketiga-tiga perkara ini akan diberikan dengan rahmat khas daripada Allah . Rahmat yang khas kepada mereka yang khas. Akan tetapi ada lagi syarat-syarat dalam ayat seterusnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Februari 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 152 – 154 (Syarat taubat untuk Bani Israel)

A’raf Ayat 152:

إِنَّ الَّذينَ اتَّخَذُوا العِجلَ سَيَنالُهُم غَضَبٌ مِّن رَّبِّهِم وَذِلَّةٌ فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُفتَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who took the calf [for worship] will obtain anger from their Lord and humiliation in the life of this world, and thus do We recompense the inventors [of falsehood].

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.

 

إِنَّ الَّذينَ اتَّخَذُوا العِجلَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, 

Ini adalah hukuman kepada mereka yang telah melakukan perkara syirik itu. Mereka telah ditipu oleh Samiri sehingga telah menjadikan anak lembu itu sebagai ilah. Mereka dikenakan dengan azab di dunia lagi. Sememangnya dosa syirik adalah dosa yang sangat berat dan sangat besar.

Kerana itulah kita mesti belajar bersungguh-sungguh apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah itu syirik. Syirik ini bukanlah terus menyembah patung berhala, akan tetapi dimulakan dengan akidah syirik yang ada di dalam hati. Maka hendaklah ada ilmu dan ilmu ini mesti dipelajari.

 

سَيَنالُهُم غَضَبٌ مِّن رَّبِّهِم

akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka

Mereka akan mendapat kemurkaan daripada Allah . Apabila Allah murka, tidak ada harapan lagi untuk mereka. Murka Allah bukannya sama dengan murka manusia. Di dalam ayat ini pendek sahaja disebut. Oleh itu, hendaklah dirujuk Baqarah: 54 untuk melihat apakah kesan kemurkaan Allah itu.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يَـٰقَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu.

Lihatlah betapa marahnya Allah kepada mereka sampaikan Allah telah mewajibkan syarat untuk bertaubat daripada kesalahan mereka itu adalah dengan membunuh diri mereka sendiri! Allah tidak akan mengampunkan mereka hinggalah mereka melakukannya. Namun begitu, ini juga bermakna, apabila mereka telah sanggup menerima hukuman itu, maka mereka itu sebenarnya adalah ahli syurga belaka kerana dosa mereka telah diampunkan sepenuhnya oleh .

Sekiranya mereka tidak sanggup membunuh diri mereka sendiri, maka mereka akan tetap terus berada dalam kemurkaan Allah .

 

وَذِلَّةٌ فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا

dan kehinaan dalam kehidupan dunia. 

Bukan sahaja mereka mendapat kemurkaan Allah , tetapi mereka juga akan mendapat balasan kehinaan semasa di dunia lagi. Sebagai contoh, Samiri telah dikenakan dengan azab tidak boleh duduk dengan orang ramai. Kalau dia bersentuhan dengan manusia lain, maka dia dan orang itu akan demam.

Ini semua berpunca daripada perbuatannya yang telah mereka-reka perkara baru dalam agama. Tujuannya mengajar perbuatan syirik itu adalah semata-mata kerana mahukan namanya disanjung tinggi oleh masyarakat. Disebabkan itulah Allah memberikannya azab agar tidak boleh duduk bersama apatah lagi disentuh oleh manusia lain. Akibatnya dia telah mati keseorangan.

 

وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُفتَرينَ

Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang mengada-adakan

Demikianlah balasan mereka yang menambah perkara baru dalam agama. Banyak sekali perkara baru (dalam hal agama) yang dilakukan oleh manusia semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Ramai yang menambah amalan-amalan yang tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Perbuatan ini adalah amat bahaya sekali kerana agama boleh berubah sehingga tidak dikenali lagi yang asalnya. Malangnya ramai yang tidak nampak bahaya mengamalkan amalan bid’ah ini.

Ayat ini adalah dalil yang Allah akan beri azab kepada pelaku bid’ah. Tidak kira mereka di zaman mana pun. Ini adalah pendapat Imam Malik, Hasan al Basri dan juga Sheikh Sufyan ibn Uyainah رحمهم الله. Ini kerana kesalahan yang mereka lakukan itu adalah besar dan memberi kesan kepada agama dan manusia ramai. Oleh itu, jangan main-main dengan amalan bid’ah. Janganlah berselindung di sebalik nama ‘bid’ah hasanah’ kononnya ada kebaikan dalam amalan itu. Ini adalah hujah yang amat-amat lemah.

Mereka senang sahaja membuat alasan bahawa itu adalah perkara yang baik, sedangkan tidak ada dalil bagi hujah mereka itu. Tidak sedarkah mereka yang sekiranya ia adalah baik, sudah tentu golongan salaf sebelum kita telah melakukannya lebih dahulu daripada kita? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tentu tidak sama sekali!

Pengamal bid’ah ini juga telah menjadikan agama ini nampak pelik. Sekiranya golongan terdahulu hidup semula dan melihat amalan-amalan masyarakat kita, mereka pun mungkin tertanya-tanya apakah agama kita, sebab nampak seolah-olah ada disebut sedikit ayat Al-Qur’an dan disebut nama Allah , namun amalan itu tidak ada pula ketika zaman mereka.

Ramai yang hanya memandang kecil sahaja amalan bid’ah itu. Mereka kata, “Alaah, apa salahnya? Kita kan pakai ayat Qur’an dan bacaan selawat tu semua?” Itu adalah jawapan yang amat jahil sekali. Tidak sedarkah mereka yang amalan bid’ah yang asalnya nampak kecil, lama-lama menjadi besar. Maka, mereka yang sebegitu, akan mendapat balasan daripada Allah nanti. Mereka berharap pahala, tetapi akhirnya mereka nanti akan terkejut kerana mendapat dosa daripada amalan bid’ah mereka itu.


 

A’raf Ayat 153: Allah masih beri peluang untuk bertaubat

وَالَّذينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تابوا مِن بَعدِها وَءآمَنوا إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who committed misdeeds and then repented after them and believed – indeed your Lord, thereafter, is Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَالَّذينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ ثُمَّ تابوا مِن بَعدِها

Dan orang-orang yang melakukan keburukan kemudian mereka bertaubat sesudah itu

Kita adalah makhluk yang lemah dan tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Kadangkala kesilapan itu adalah kesilapan yang besar, sehingga terjadinya perbuatan syirik seperti yang dilakukan oleh Bani Israel itu. Akan tetapi Allah Maha Pengampun. Dia sanggup mengampunkan walaupun sebesar-besar dosa syirik sedangkan itulah dosa yang paling besar sekali.

Seperti yang telah disebut, orang-orang yang menyembah patung anak lembu itu telah menyerahkan diri mereka untuk dibunuh sebagai tanda taubat daripada mereka. Maka taubat mereka itu telah diterima oleh Allah .

Oleh itu, jangan kita berputus harap dengan Allah . Apa-apa sahaja kesalahan yang kita telah lakukan, jangan kita berputus harap daripada rahmat dan pengampunan daripada Allah . Jangan sesekali kita kata ia sudah terlambat. Selagi nyawa kita masih ada, kita masih ada kesempatan untuk bertaubat. Yang penting, bertaubat bersungguh-sungguh.

Malangnya, ada dalam kalangan kita yang hilang harap kepada Allah . Mereka rasa diri mereka sudah banyak sangat membuat dosa, sampaikan mereka sendiri rasa yang Allah tidak akan mengampunkan dosa mereka yang banyak itu. Sedangkan, siapa yang kata Allah tidak akan ampunkan? Mereka sahaja yang memandai-mandai kata begitu, sedangkan Allah tidak kata begitu pun.

Lihatlah bagaimana Allah masih boleh lagi mengampunkan dosa syirik yang dilakukan oleh Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام itu. Oleh itu, janganlah kita terpedaya dengan bisikan syaitan: “Sudahlah, dosa kamu dah banyak sangat, Allah pun takkan ampunkan, baik kau terus buat sahaja apa yang kau sedang buat itu”.

Begitulah kalau seseorang itu jahil, tidak mengenali sifat Allah , memang akan tertipu dan termakan dengan bisikan syaitan ini. Ini kerana mereka tidak kenal sifat Allah yang Maha Pengampun itu. Namun begitu untuk kita yang telah ada ilmu ini, maka janganlah kita menjadi seperti mereka. Jangan sesekali berasa putus asa dengan rahmat Allah .

Lihatlah kalimah yang Allah gunakan dalam ayat ini adalah ثُمَّ (kemudian). Akan tetapi bukanlah bermaksud terus sahaja. Kalau terus sahaja, harf ف yang digunakan. Kalimah ثُمَّ bermaksud ‘selepas’, di mana ia mungkin mengambil masa yang lama. Maknanya, walaupun telah lambat dan telah lama masa berlalu, taubat kita masih diterima lagi. Sekiranya Allah mensyaratkan kita terus sahaja bertaubat selepas melakukan kesalahan, tentulah masalah pada kita. Kerana selalunya kita terlupa, bukan?

Maknanya kita masih lagi boleh bertaubat, walaupun masa telah lama berlalu pergi, asalkan kita bertaubat sebelum nyawa di halqum, atau sebelum matahari terbit dari barat. Apabila dua perkara ini berlaku sahaja barulah pintu taubat ditutup. Allah masih lagi boleh terima asalkan kena dengan syarat-syaratnya. Apakah syarat taubat?

Syarat taubat itu ada 3 yang utama:

1. Menyesal dengan hati kerana telah melakukan dosa itu. Maka kena sedar dia telah melakukan dosa.

2. Terus meninggalkan perbuatan dosa itu. Jangan lagi bergelumang dengan dosa itu. Kalau buat dosa dengan kawan-kawan, maka kena tinggalkan kawan-kawan itu.

3. Berazam kuat tidak melakukan dosa itu lagi. Jangan ada niat untuk buat lagi dosa itu. Namun mesti diingatkan, ini tidaklah bermakna dia tidak mungkin melakukannya lagi. Dia mungkin melakukannya lagi di masa hadapan, kerana tergelincir lagi, tetapi semasa dia bertaubat itu, dia bersungguh-sungguh berazam tidak mahu melakukannya lagi.

Ini bersesuaian dengan pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما:

التَوْبَةُ النصوحُ الندمُ بالقَلْبِ، والاسْتِغْفَارُ بِالِسَانِ، والاقلاعُ بالبَدْنِ، والإِضْمَارُ عَلَى ألا يعودَ

“Taubat Nasuha ialah sesal dengan hati, istighfar dengan lidah, buang perlakuan maksiat dengan tubuh badan dan berazam tidak kembali semula.”

 

وَءآمَنوا

dan beriman, 

Bertaubat dan berimanlah dengan sempurna. Iman yang sempurna adalah iman yang tidak ada syirik di dalamnya. Jangan lagi mengamalkan benda yang salah dalam tauhid. Untuk mengetahui mana yang benar dan tidak, itulah yang memerlukan pembelajaran, memerlukan pemahaman yang diambil daripada Al-Qur’an dan sunnah yang sahih.

Itulah kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah kepada hadith supaya kita boleh faham. Sudah banyak pengajian sekarang yang semakin bercambah. Untuk zaman sekarang sudah ada pengajian online bagi memudahkan untuk belajar. Maka, apakah lagi alasan kita?

 

إِنَّ رَبَّكَ مِن بَعدِها لَغَفورٌ رَّحيمٌ

sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sesudah manusia bertaubat dan beriman sempurna, Allah beritahu yang Dia Maha Pengampun dan sanggup mengampunkan segala dosa manusia, walau bagaimana banyak sekalipun dosa manusia itu. Kerana itu Allah meletakkan harf ل (lam taukid) sebagai penekanan dalam kalimah لَغَفورٌ itu.

Allah mempunyai rahmat yang luas, kasih yang amat besar terhadap hamba-hamba-Nya, maka Allah tidak terus menghukum kita setiap kali kita melakukan kesalahan, kerana Allah masih lagi memberi kesempatan untuk kita bertaubat. Allah sangat-sangat pengampun, akan tetapi jangan tangguhkan meminta ampun kerana kita tidak tahu sama ada kita sempat meminta ampun ataupun tidak. Takut tidak sempat meminta ampun celik-celik sudah berada di dalam kubur!

Jangan segan pula untuk meminta ampun. Jangan membuat andaian dosa kita banyak sangat sampai Allah tidak akan ampunkan. Ini adalah sangkaan yang amat salah. Sedangkan Allah sudah berfirman dalam Zumar: 53

قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah sanggup mengampuni seberapa banyak pun dosa kita kalau kita bersungguh-sungguh meminta ampun. Ini seperti yang telah diberitahu kepada kita oleh Rasulullah ﷺ di dalam sebuah Hadith Qudsi:

قَالَ اللَّهُ يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِى وَرَجَوْتَنِى غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِى يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِى غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِى بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِى لاَ تُشْرِكُ بِى شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau menyeru dan mengharap pada-Ku, maka pasti Aku ampuni dosa-dosamu tanpa Aku pedulikan. Wahai anak Adam, seandainya dosamu membumbung tinggi hingga ke langit, tentu akan Aku ampuni, tanpa Aku pedulikan. Wahai anak Adam, seandainya seandainya engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi dalam keadaan tidak berbuat syirik sedikit pun pada-Ku, tentu Aku akan mendatangi-Mu dengan ampunan sepenuh bumi pula.

(Riwayat Tirmidzi (3540))

Di dalam hadith ini Allah sebut yang Dia boleh mengampunkan dan selepas itu Dia tidak peduli. Maksudnya Dia boleh melupakan segala dosa kita itu semua dan tidak kisah lagi. Ini berlainan dengan manusia yang kalau dia maafkan pun, ada kemungkinan dia masih ingat lagi tentang kesalahan kita, bukan? Namun Allah tidak begitu. Kerana itu di dalam ayat ini, selepas disebut sifat-Nya لَغَفورٌ terus diikuti dengan sifatnya رَّحيمٌ.

Manakala terdapat banyak lagi ayat lain yang sebut sebegini. Ini memberitahu kepada kita, selepas Allah ampunkan, Allah akan sayang kita kembali. Waktu kita buat dosa mungkin Allah marah, tetapi selepas kita minta ampun, Allah kembali sayang kepada kita.

Maka ini sepatutnya menjadi motivasi bagi kita untuk bersegera meminta ampun kepada Allah . Bayangkan kalau ada orang yang buat salah dengan kita, kemudian kita cakap kepadanya, kalau dia minta maaf dengan kita, bukan sahaja kita akan maafkan, tetapi kita akan menghadiahkannya sebuah banglo. Tentu dengan segera dia akan meminta maaf, bukan? Maka bersegeralah meminta ampun kepada Allah untuk segera berada di dalam rahmat-Nya.

Maka terus sahaja meminta ampun banyak-banyak, berharaplah yang Allah akan ampunkan. Dalam banyak kali kita meminta ampun itu kita tidak tahu yang mana yang Allah akan terima. Kita memang tidak boleh tahu sama ada Allah akan ampunkan atau tidak, tetapi kita masih boleh berharap. Cuma apakah tanda-tanda taubat kita diterima? Iaitu kalau kehidupan kita berubah ke arah kebaikan dari segi agama. Ini seperti yang Allah sebut dalam Taha: 82

وَإِنّي لَغَفّارٌ لِمَن تابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صالِحًا ثُمَّ اهتَدىٰ

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

Di dalam ayat Taha: 82 ini Allah sebut orang yang diterima taubat itu adalah yang beriman sungguh-sungguh dengan iman yang benar. Dia ikuti imannya itu dengan melakukan amal-amal yang soleh. Sekiranya dulu dia tidak beramal, sekarang dia sudah berubah setelah dia bertaubat.

Dia juga mengikut petunjuk daripada wahyu ilahi. Maknanya kalau dulu tidak belajar agama, “tak tahu gapo hal agama”, sekarang dia sudah minat untuk belajar terutama sekali dia kena belajar tafsir Al-Qur’an. Ini kerana petunjuk Allah pertamanya ada di dalam Al-Qur’an, bukan? Selain itu, bergaullah dengan orang yang baik-baik dan bijak pandai dalam hal agama.


 

A’raf Ayat 154:

وَلَمّا سَكَتَ عَن مّوسَى الغَضَبُ أَخَذَ الأَلواحَ ۖ وَفي نُسخَتِها هُدًى وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ هُم لِرَبِّهِم يَرهَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the anger subsided in Moses, he took up the tablets; and in their inscription was guidance and mercy for those who are fearful of their Lord.

MALAY

Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).

 

وَلَمّا سَكَتَ عَن مّوسَى الغَضَبُ أَخَذَ الأَلواحَ

Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh itu

Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah diberitahu bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah meletakkan lauh-lauh itu dengan cepat (atau ada pendapat yang kata, melemparkan). Itu adalah kerana baginda ketika itu sedang sangat marah dan sedih dengan apa yang telah dilakukan oleh kaumnya yang telah menyembah patung sapi betina. Setelah reda kemarahannya itu, baginda telah mengambil semula lauh-lauh itu.

Kalimah سَكَتَ bermaksud ‘diam’ sebenarnya. Seolah-olah marah itu ada sifat boleh bercakap-cakap dan sekarang ia senyap. Maknanya ia telah reda. Seolah-olah marah itu hidup dan telah menguasai Nabi Musa عليه السلام sebelum itu. Begitulah dengan kemarahan yang kadang-kadang menguasai kita dan membuatkan kita melakukan perkara yang tidak biasa kita buat, dan selalunya menyebabkan kita menyesal selepas itu.

Maka ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan emosi kita dan jangan biarkan kemarahan menguasai kita kerana nanti menyesal di kemudian hari. Hadith ada mengajar cara-cara mengawal kemarahan kita:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَنَا إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِع

Daripada Abu Dzar dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda kepada kami: “Jika salah seorang daripada kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, hendaklah dia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki), jika tidak juga hendaklah dia berbaring.

(Riwayat Abu Daud (4151))

No photo description available.

Di dalam hadith yang lain:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: Apabila seorang daripada kalian marah, hendaklah dia diam.

(Riwayat Ahmad (2029))

Muhammadiyah on X: "Rasulullah mencontohkan kepada kita jika sedang atau dalam keadaan marah, maka kita diperintahan untuk diam. Hal terbaik yang harus kita lakukan ialah tidak mudah marah yaitu dengan cara diam. #

Walau bagaimanapun kita telah sebut yang kemarahan Nabi Musa عليهما السلام ini berpunca daripada kaumnya itu yang telah melakukan syirik. Maka baginda marah kerana agama dilanggar dan ini perasaan marah ini adalah di tempat yang betul. Kerana marah itu ada yang bertempat dan patut. Sekiranya tidak ada perasaan marah langsung, maka itu bukanlah manusia tetapi lembu.

Nabi Musa أَخَذَ الأَلواحَ (mengambil lauh-lauh) itu semula setelah baginda mencampakkannya sebelum itu. Memang itulah yang sepatutnya dilakukan kerana di dalamnya mengandungi banyak kebaikan seperti yang akan disebutkan selepas ini. Maka kita pun kenalah mengambil mushaf Al-Qur’an kita dan menggunakannya. Bukannya simpan di almari (Qur’an is for yourself, not your shelf). Ada orang yang mendapat mushaf Al-Qur’an ketika menikah dahulu dan disimpan di almari dan langsung tidak diambil-ambil sampai mati, bukan?

Islamic Reminders on Twitter: "The Quran is for yourself, not your shelf http://t.co/njM6VHMG3y" / Twitter

وَفي نُسخَتِها هُدًى وَرَحمَةٌ لِّلَّذينَ هُم لِرَبِّهِم يَرهَبونَ

dan di dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka

Di dalam lauh (Kitab Taurat) itu, ada sumber rahmat untuk diamalkan. Namun ia hendaklah dipelajari dan difahami dan kemudian diamalkan. Jika tidak, tinggal sahajalah rahmat itu di dalamnya, tidak bermanfaat bagi kita. Begitulah juga dengan Al-Qur’an yang di tangan kita pun ada banyak rahmat tetapi malangnya tidak dipandang endah oleh orang kita. Kalau tidak diamalkan, tidak berguna juga.

Di dalam kitab wahyu itu ada petunjuk dan rahmat, akan tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh semua orang. Ia hanya bermanfaat bagi mereka yang benar-benar takut kepada Tuhan sahaja. Apabila ada penambahan kalimah هُم di dalam هُم لِرَبِّهِم يَرهَبونَ ia bermaksud mereka hanya takut dengan Allah sahaja.

Sememangnya hanya Allah sahaja yang layak ditakuti. Takutkan apa? Iaitu takut untuk diazab oleh Allah , takut dimurkai Allah . Apabila mereka takut, maka mereka ikut sungguh-sungguh apa yang ada di dalam kitab wahyu itu.

Mereka juga benar-benar takut kerana kalimah yang digunakan adalah يَرهَبونَ dan ia bermaksud lebih kuat lagi daripada kalimah خَوفٌ yang juga membawa maksud takut. Apabila kalimah يَرهَبونَ itu di dalam fi’il mudhari’ (present and continuos tense) bermakna mereka sentiasa dan terus takut kepada Allah , bukan setakat sekali dua sahaja.

Dari sini juga kita belajar yang hanya orang yang takut kepada Allah sahaja yang boleh mendapat petunjuk dan rahmat daripada kitab wahyu. Sekiranya tiada rasa takut, maka ayat-ayat Al-Qur’an itu akan menjadi biasa-biasa sahaja. Ini kerana Al-Qur’an itu dibaca sekadar untuk difahami secara ala kadar, bagaikan membaca senaskah novel sahaja. Tiada kesungguhan untuk betul-betul memahaminya dan mentaddabburinya. Maka kesannya, tiada perubahan ke arah kebaikan selepas membaca ayat-ayat Allah ini dan seterusnya mengakibatkan tidak timbul langsung rasa takut di dalam diri mereka itu.

Oleh sebab itu, kenalah ada rasa takut barulah kita boleh mendapat hidayah daripada Allah , dan dengan rasa takut itulah kita akan sanggup untuk mengikut apa sahaja yang Allah tekankan di dalam wahyu-Nya. Mereka yang ada kriteria ini sahaja yang akan mengikuti ajaran Al-Qur’an sebenar-benarnya. Ini seperti yang Allah sebut dalam Yaasin: 11

إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ وَخَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ ۖ فَبَشِّرهُ بِمَغفِرَةٍ وَأَجرٍ كَريمٍ

Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an serta dia takut kepada Tuhan Rahman yang ghaib. Berilah berita gembira kepada mereka, iaitu keampunan dan pahala.

 

Ini dikuatkan lagi dengan ayat Qaf: 45

فَذَكِّر بِالقُرءآنِ مَن يَخافُ وَعيدِ

Maka beri peringatanlah dengan Al-Qur’an kepada orang yang takut dengan ancaman-Ku.

Namun begitu, persoalannya: bagaimanakah caranya untuk timbulkan rasa takut dengan Allah ? Ini memerlukan ilmu dan pembelajaran kerana hanya orang berilmu sahaja takut kepada Allah seperti yang disebut dalam Fathir: 28

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’

Ulama’ itu maksudnya orang yang ada ilmu. Oleh itu, kenalah belajar wahyu, belajar hadith, kenal Allah dengan belajar tentang Asmaul Husna dan lain-lain lagi pembelajaran. Barulah boleh timbul rasa takut kepada Allah setelah kenal Dia. Maka hendaklah kita semua menjadi orang yang sebegini. Cukup-cukuplah kita membiarkan Al-Qur’an itu duduk sahaja di almari rumah kita. Mari kita pelajari apa yang Allah hendak sampaikan di dalamnya supaya kita pun mendapat rahmat daripadanya.

Ini penting kerana orang yang beramal sahaja yang boleh berharap mendapat rahmat Allah seperti yang disebut dalam Baqarah: 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.

Maknanya orang yang benar-benar beriman dan kemudian sanggup berhijrah kerana menurut perintah Allah dan mereka menjalankan jihad fisabilillah. Mereka inilah yang layak untuk berharap rahmat daripada Allah . Maknanya tidaklah berharap kosong sahaja. Seperti kitalah juga, kalau sudah habis SPM dan mendapat keputusan yang bagus, barulah layak berharap untuk masuk universiti. Kalau SPM pun cukup-cukup makan sahaja, janganlah berharap sangat.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah نُسْخَة yang bermaksud sesuatu yang disalin. Dalam bahasa kita pun digunakan kalimah nuskhah atau naskah ini. Ini menarik kerana salah satu pendapat mengatakan lauh yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام itu telah dilemparkan sampai pecah. Maka Allah telah memberikan naskah yang lain kepada baginda kerana kalau tidak ada yang baru, tentu mereka tidak boleh hendak merujuk kitab wahyu itu dengan sempurna.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Februari 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 149 – 151 (Hukuman menyembah patung anak lembu)

A’raf Ayat 149: Akhirnya mereka sedar kesalahan syirik yang mereka lakukan itu.

وَلَمّا سُقِطَ في أَيديهِم وَرَأَوا أَنَّهُم قَد ضَلّوا قالوا لَئِن لَّم يَرحَمنا رَبُّنا وَيَغفِر لَنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when regret overcame them¹ and they saw that they had gone astray, they said, “If our Lord does not have mercy upon us and forgive us, we will surely be among the losers.”

  • Literally, “When their hands had been descended upon,” i.e., bitten by them out of severe regret.

MALAY

Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

 

وَلَمّا سُقِطَ في أَيديهِم وَرَأَوا أَنَّهُم قَد ضَلّوا

Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat,

Setelah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kembali kepada mereka dan memarahi mereka di atas perbuatan mereka itu, barulah mereka sedar dan menyesal di atas kesalahan mereka. Mereka nampak ( رَأَوا  ) iaitu mereka sedar yang mereka benar-benar telah melakukan kesilapan yang besar.

Lafaz سُقِطَ asalnya bermaksud ‘jatuh’. Kalimat سُقِطَ في أَيديهِم (secara literal bermaksud ‘jatuh di atas tangan mereka’) digunakan dalam bentuk kiasan atau perumpamaan Arab apabila manusia sedar yang mereka telah melakukan kesalahan dan menyesal sungguh.

Di dalam Furqan: 27 disebut lagi penyesalan di akhirat yang lebih teruk, iaitu sehingga mereka menggigit tangan mereka sendiri.

وَيَومَ يَعَضُّ الظّالِمُ عَلىٰ يَدَيهِ يَقولُ يٰلَيتَنِي اتَّخَذتُ مَعَ الرَّسولِ سَبيلًا

Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul”.

Dari segi susunan kejadian kronologi, ayat 149 ini sepatutnya selepas ayat 150 iaitu selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu dan memarahi mereka. Akan tetapi ayat-ayat Al-Qur’an tidak selalunya di dalam susunan kronologi. Allah lebih mengutamakan pengajaran. Pengajaran di sini adalah jika sesiapa membuat dosa, maka nanti dia akan menyesal. Maka janganlah buat perkara yang tidak diajar dalam agama.

 

قالوا لَئِن لَّم يَرحَمنا رَبُّنا وَيَغفِر لَنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi”.

Mereka sedar bahawa harapan mereka dengan Allah sahaja kerana mereka telah melakukan kesalahan yang besar. Maka mereka bertaubat dan ini adalah lafaz taubat mereka. Cuma mazhab mereka pada waktu itu, untuk bertaubat daripada syirik, dikenakan dengan hukum bunuh.

Alhamdulillah untuk zaman kita ini, sekiranya telah melakukan syirik dan setelah sedar, hanya bertaubat sahaja dan tidak perlu membunuh diri dan tidak dijatuhkan hukuman bunuh. Kalau tidak, entah berapa keratlah tinggal manusia di dunia ini.

Mereka jadi begitu kerana mereka lemah akidah. Bila lemah akidah, senang sahaja tergelincir disebabkan bisikan syaitan. Sebab itu penting untuk belajar akidah sebelum mempelajari perkara lain dalam agama. Mestilah mantapkan pemahaman akidah dulu dalam diri kita.


 

A’raf Ayat 150:

وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبٰنَ أَسِفًا قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي ۖ أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم ۖ وَأَلقَى الأَلواحَ وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ ۚ قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني وَكادوا يَقتُلونَني فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Moses returned to his people, angry and grieved, he said, “How wretched is that by which you have replaced me after [my departure]. Were you impatient over the matter of your Lord?” And he threw down the tablets and seized his brother by [the hair of] his head, pulling him toward him. [Aaron] said, “O son of my mother, indeed the people oppressed me and were about to kill me, so let not the enemies rejoice over me¹ and do not place me among the wrongdoing people.”

  • i.e., over your humiliation of me.

MALAY

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?” Dan dia meletakkan Lauh-lauh itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.

 

وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبٰنَ أَسِفًا

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita,

Allah telah memberitahu apa yang telah dilakukan oleh kaumnya sepeninggalan baginda. Maka baginda telah pulang dengan segera dalam keadaan marah dan sedih. Kisah ini ada disebut dalam Taha: 85

قالَ فَإِنّا قَد فَتَنّا قَومَكَ مِن بَعدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السّامِرِيُّ

Maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”

Baginda telah pergi awal untuk mengadap Allah (meninggalkan kaum baginda di belakang) dan kerana itu Allah telah memberi dugaan patung anak lembu itu kepada kaum baginda. Maka bayangkan perasaan baginda yang marah dan sedih yang amat sangat. Baginda memang terkesan sungguh dengan perkara itu.

Memang Allah telah memaklumkan kepada baginda semasa baginda di Gunung Sinai lagi tentang hal itu. Namun apabila melihat perkara itu dengan matanya sendiri telah menyebabkan baginda sangat marah dan berdukacita. Begitulah tidak sama kalau dengar dan melihat sendiri. Sebagai contoh, kita mungkin dengar isteri kita khalwat dengan orang lain dan ini menyebabkan kita naik darah, bukan? Akan tetapi kalau melihat dengan mata kita sendiri, ia akan menimbulkan perasaan yang lain pula. Inilah apa yang terjadi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam sebuah hadith:

عن ابن عباس قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ليس الخبر كالمعاينة إن الله عز وجل أخبر موسى بما صنع قومه في العجل فلم يلق الألواح فلما عاين ما صنعوا ألقى الألواح فانكسرت

Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Khabar itu tidak seperti yang disaksikan. Sesungguhnya Allah ‘عَزَّ وَجَلَّ telah mengabarkan kepada Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang apa yang diperbuat oleh kaumnya terhadap patung anak sapi. Saat itu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak melemparkan lembaran-lembaran itu, namun ketika menyaksikan sendiri apa yang mereka perbuat, serta merta Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melemparkan lembaran-lembaran bertulisan hingga pecah.

(Musnad Ahmad (2320) disahihkan oleh Syu’aib al-Arna’uth رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ)

Semasa Allah memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang apa yang terjadi, baginda tidaklah sampai membaling Kitab Taurat. Walaupun waktu itu tentulah baginda yakin dengan apa yang diberitahu oleh Allah , bukan? Akan tetapi apabila melihat sendiri, baginda tidak dapat menahan perasaan lagi. Begitulah beza antara ilmul yaqin dan ainul yaqin. Semasa Allah beritahu, itu baru ilmul yaqin. Akan tetapi setelah melihat sendiri, itu sudah termasuk ainul yaqin dan ia lebih tinggi kedudukan lagi.

 

قالَ بِئسَما خَلَفتُموني مِن بَعدي

berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; 

Baginda terus memarahi kaumnya kerana perbuatan mereka itu. Baginda tinggalkan mereka sekejap sahaja, namun ketika baginda pergi, mereka telah menggantikan agama yang baginda ajar dengan perbuatan yang syirik. Ini tidak patut sama sekali kerana amalan syirik adalah amalan yang terlalu buruk. Maka memang patut kalau baginda marah sangat.

 

أَعَجِلتُم أَمرَ رَبِّكُم

mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”

Baginda tanya adakah mereka sengaja hendak mendahului perintah Tuhan mereka? Adakah mereka sengaja mahu langgar perintah Tuhan? Tidakkah mereka boleh bersabar untuk menunggu baginda pulang dengan arahan daripada Allah dalam bentuk Lauh itu?

Mereka tidak boleh tunggu sekejapkah? Kisahnya baginda sudah berjanji dengan mereka yang baginda akan pulang kepada mereka dengan membawa arahan daripada Allah dengan cara untuk beribadat kepada-Nya. Namun mereka tidak dapat menunggu 40 hari pun. Mereka cepat sahaja membuat sangkaan yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mati atau pergi entah ke mana.

Kalimah عجل tidak sama dengan سرع yang bermaksud bersegera. Kalimah عجل digunakan apabila tergesa-gesa buat sesuatu yang sebelum waktunya. Kalau سرع (bersegera) untuk salat, maka itu adalah bagus sebab hendak bersegera untuk beribadat. Manakala kalimah عجل itu pula bermaksud salat sebelum masuk waktunya.

Ada yang mengatakan, maksudnya adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti tergesa-gesa kembali kepada kaumnya itu kerana perbuatan mereka. Lebih awal lagi dari masa yang sepatutnya. Ini kerana, pada asalnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin terus lagi bermunajat kepada Allah . Akan tetapi setelah baginda dimaklumkan dengan perbuatan mereka itu, maka baginda telah terpaksa menghentikan kehendaknya itu dan kembali segera kepada kaumnya.

 

وَأَلقَى الأَلواحَ

dan baginda meletakkan Lauh-lauh itu

Baginda ketika itu sedang memegang Lauh (kitab Taurat) yang telah diberikan oleh Allah , maka baginda meletakkan dengan cepat. Ini kerana baginda hendak menggunakan kedua-dua tangannya (untuk memegang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘mencampak’ tetapi tidak patut pula kalau kita katakan baginda ‘campak’ Lauh itu. Walaupun begitu, kita juga ada lihat seperti hadith di atas yang memang menyebut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampaknya sehingga ia pecah.

Ada kisah tidak benar tentang ayat ini:

Diriwayatkan daripada Qatadah dia telah berkata: “Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat kepada Taurat lalu berkata: Wahai Tuhanku, aku mendapati di dalam lembaran Taurat ini, satu umat yang merupakan sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia, mereka mengajak kepada makruf dan melarang daripada melakukan kemungkaran maka jadikanlah umat itu umatku.” Allah berkata: Umat itu adalah umat Muhammad . Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang merupakan umat yang terakhir (yang terakhir dijadikan) tetapi lebih dahulu memasuki syurga. Wahai Tuhanku, jadikan umat itu umatku. Allah menjawab: Umat itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, aku dapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat, kitab mereka ada di dalam dada mereka yang mereka boleh baca sedangkan umat sebelum mereka membawa kitab mereka secara melihat hingga apabila mereka mengangkat kitab itu, mereka tidak menghafal dan mengetahui apa-apa daripadanya serta Allah telah mengurniakan kepada umat itu daya hafalan yang tidak diberikan kepada sebarang umat lain. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah menjawab: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku dapati di dalam Taurat ada satu umat yang beriman kepada kitab yang awal dan kitab yang akhir serta mereka memerangi orang yang melakukan kesesatan sehingga mereka memerangi pendusta yang melakukan kerosakan maka jadikanlah umat itu umatku. Allah berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat memakan sedekah mereka di dalam perut mereka dan mengambil upah untuk mendapatkannya sedangkan umat sebelum mereka apabila bersedekah lalu sedekah itu diterima daripadanya maka Allah akan mengutuskan api memakannya. Sekiranya sedekah itu tidak diterima, ia akan dibiarkan sahaja lalu dimakan oleh binatang liar dan burung. Allah mengambil sedekah daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan memberikan kepada golongan fakir dalam kalangan mereka. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, jadikanlah umat itu umatku. Allah berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat apabila salah seorang daripada mereka mempunyai hasrat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya dicatatkan baginya satu pahala kebajikan, sekiranya dia melakukannya maka akan dicatatkan baginya sepuluh pahala kebaikan sehingga digandakan kepada tujuh ratus kali ganda. Wahai Tuhanku, jadikan itu sebagai umatku. Allah berkata: Itu adalah umat Ahmad. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mendapati di dalam lembaran Taurat ada satu umat yang boleh memberi dan menerima syafaat, maka jadikanlah umat itu sebagai umatku. Allah menjawab: Itu adalah umat Ahmad.”

Qatadah berkata: “Diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat dan berkata: Ya Allah , jadikanlah aku daripada kalangan umat Muhammad.”

Tanda-tanda maudhu’ (kepalsuan) dan rekaan adalah jelas pada kisah ini dan sanadnya adalah dipertikaikan. Kisah ini asalnya diambil daripada Al-Qur’an dan hadith-hadith, kemudian dijadikan dalam bentuk terperinci seperti ini serta dijadikan kata-kata itu dituturkan oleh Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan realiti dan zahirnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana marah untuk menjaga agama Allah dan marah kepada kesucian tauhid Allah dicerobohi. Manakala kisah yang disebut oleh Qatadah itu adalah tidak dapat diterima.

Ada ulasan tentang hal ini yang diberikan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ di dalam tafsirnya. Beliau berkata: “Zahir laras bahasa menunjukkan bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana marah kepada kaumnya. Ini adalah pendapat jumhur ulama’ Khalaf dan Salaf.” Ibnu Jarir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ meriwayatkan daripada Qatadah berkenaan kisah ini merupakan satu pendapat yang ganjil dan tidak boleh disandarkan kepada kisah Qatadah. Ia telah ditolak oleh Ibnu Atiyah رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ dan ramai dalam kalangan ulama’. Qatadah seolah-olah menerima kisah ini daripada beberapa orang Ahli Kitab, sedang dalam kalangan mereka ada yang berdusta, suka mencipta hadith dan golongan Zindiq.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ. Beliau mengatakan bahawa kisah ini adalah daripada ciptaan golongan Zindiq Ahli Kitab supaya mereka dapat menggambarkan hubungan antara nabi dalam bentuk dengki mendengki dan bukannya dalam bentuk berkasih sayang dan bersaudara.

Imam Qurtubi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT ( وَأَلۡقَى ٱلۡأَلۡوَاحَ ) iaitu disebabkan oleh marah dan kecewa yang ada di dalam dirinya ketika baginda bertemu dengan kaumnya ketika mereka sedang menyembah patung anak lembu serta kerana marah terhadap saudaranya yang lalai terhadap urusan mereka.

Said bin Jabir juga berkata seperti ini. Oleh itu dikatakan: “Berita tidak sama dengan apa yang disaksikan.” Sekiranya apa yang diriwayatkan oleh Qatadah itu sahih, ia tetap tidak boleh diambil kira. Adalah tidak betul Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencampakkan lembaran Taurat kerana melihat kelebihan umat Muhammad ﷺ dan kemuliaan itu bukan menjadi milik umatnya. Ini adalah pendapat yang keji dan tidak sepatutnya disandarkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

وَأَخَذَ بِرَأسِ أَخيهِ يَجُرُّهُ إِلَيهِ

serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. 

Oleh kerana marah, baginda juga telah memarahi Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sampaikan ditariknya rambut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam Taha: 94 disebut yang baginda telah memegang kepala Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tangan kanan manakala janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tangan kiri baginda.

قالَ يَا ابنَ أُمَّ لا تَأخُذ بِلِحيَتي وَلا بِرَأسي

Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menarik Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dirinya. Daripada sejarah, kita tahu bahawa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah seorang yang panas baran. Kita juga tahu yang baginda telah terganggu emosinya, sampaikan baginda marah sangat.

Baginda marah kerana baginda telah memberikan tugas kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjaga dan mengawasi Bani Israel sepeninggalan baginda, maka apabila ada masalah besar begini, tentulah antara orang yang pertama dipersalahkan adalah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Bukankah perbuatan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu kurang ajar? Lebih-lebih lagi memandangkan yang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah abangnya? Mungkin kita fikir begitu, tetapi Allah tidak menegur pun perbuatan baginda itu. Maknanya ia tidak dikira sebagai kesalahan. Ini kerana apa yang baginda lakukan itu ketika sedang marah. Perbuatan ketika sedang sangat marah dimaafkan.

Namun bukankah perbuatan marah tidak bagus? Sampaikan Rasulullah ﷺ pernah menasihati seseorang dengan berulang-ulang supaya tidak marah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi ﷺ,“Berilah wasiat kepadaku.” Nabi ﷺ menjawab,“Janganlah engkau marah.” Laki-laki tadi mengulangi perkataannya berulang kali, baginda (tetap) bersabda,“Janganlah engkau marah.”

(Hadith Riwayat Bukhari (6116))

Akan tetapi bukanlah semua marah dilarang. Ada kemarahan yang terpuji iaitu apabila agama dilanggar. Begitulah yang terjadi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda marah sangat kerana mereka telah melakukan kesalahan yang amat besar iaitu syirik. Marah yang terpuji adalah kemarahan kerana Allah , dan untuk membela agama-Nya. Khususnya ketika perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar.

Imam Ibnu Rajab Al Hambali رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ berkata, “Kewajipan ke atas seorang mukmin agar syahwatnya (kesenangannya) terbatas untuk mencari apa yang dibolehkan oleh Allah ﷻ baginya. Hendaklah meraih syahwat yang dibolehkan dengan niat yang baik, sehingga mendapatkan pahala. Dan hendaknya kemarahan seorang mukmin itu untuk menolak gangguan dalam agama yang menimpanya atau menimpa orang lain dan untuk menghukum orang-orang yang bermaksiat kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya.”

Oleh sebab itu, bermakna bukanlah tidak boleh marah langsung. Kalau langsung tidak marah, itu bukan manusia, tetapi lembu. Bagaimana hendak berjihad jikalau tidak ada sifat marah langsung? Sedangkan Allah berfirman,

قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ وَيُذْهِبَ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman, dan menghilangkan panas hati orang-orang mu’min.

[Taubah: 14-15].”

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah menarik rambut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kenapakah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menarik janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada janggut. Memang semua para Nabi ada janggut dan janggut adalah sunnah para Rasul yang sepatutnya dijaga oleh semua para lelaki. Ia adalah sunnah yang boleh dilakukan setiap masa (tidur, jalan, mandi, dan sebagainya). Tidak dinafikan, lelaki yang ada janggut adalah ganteng. Kalau tidak ada janggut, apa bezanya dengan perempuan?

 

قالَ ابنَ أُمَّ إِنَّ القَومَ استَضعَفوني

Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israel) memandangku lemah

Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempertahankan diri baginda. Baginda memanggil Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan panggilan: “wahai anak emak” – ini untuk melahirkan sifat kasihan belas dan simpati. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada emak mereka, kerana emak mereka tentu akan menenangkan mereka kalau ada perbezaan pendapat sebegitu. Kalau panggil “anak bapak”, itu supaya membangkitkan semangat berani. Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengingatkan yang baginda bukan orang lain, tetapi adik beradik dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sepatutnya dengan adik beradik kita kenalah berlembut sikit.

Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kaum mereka memandang baginda sebagai seorang yang lemah. Mereka tidak memandang baginda sebagaimana mereka memandang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak takut kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka hanya takut kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Maka kerana itu baginda tidak dapat menghalang kaumnya daripada melakukan syirik itu.

Maka kita boleh lihat yang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang lembut jika dibandingkan dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebab kaumnya tidak takut langsung, sampai sanggup membuat syirik di hadapan seorang Nabi! Ini mengajar kita kadangkala dengan orang yang degil teruk, kekerasan sahaja yang mereka kenal. Kalau berlembut dengan mereka, tiada kesan apa-apa kerana mereka adalah golongan yang amat degil. Maka, bukan dalam semua hal kita kena berlembut. Kena dilihat kepada keadaan. Kalau perlu keras, maka keraskanlah.

 

وَكادوا يَقتُلونَني

dan nyaris-nyaris mereka membunuhku

Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang baginda telah cuba menasihati mereka, namun mereka tidak mendengar dan hampir mereka mahu membunuh baginda kerana mereka tidak takut. Ini bermaksud bahawa sekiranya baginda tidak berhenti menegur, mereka akan bunuh baginda. Jika baginda dibunuh, tentulah keadaan akan menjadi lebih teruk, bukan?

Oleh itu, haram menegur jikalau ia akan menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Sekiranya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibunuh, maka mudharat akan lebih besar lagi. Oleh kerana itulah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhenti daripada menegur mereka. Maka, tidaklah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersalah dan Allah telah memberi isyarat bahawa memang Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah. Kerana itulah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dikecam di dalam mana-mana ayat Al-Qur’an.

 

فَلا تُشمِت بِيَ الأَعداءَ

janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku,

Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta jangan pula perbuatan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu nanti menggembirakan musuh, dengan menghukum baginda yang tidak bersalah. Janganlah jadikan baginda sebagai bahan ketawa mereka. Sebab nanti golongan sesat akan mentertawakan baginda.

Yang betul-betul musuh adalah kaum yang menderhakai Allah , dan bukanlah Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang mereka sedang melihat sahaja apa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahu buat kepada Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghukum Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentulah musuh akan gembira melihatnya kerana orang lain yang dihukum. Mereka akan gelak sahaja nanti.

Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memanggil mereka itu sebagai ‘musuh’, kerana apabila mereka melakukan syirik, terus mereka itu menjadi musuh bagi orang beriman.

 

وَلا تَجعَلني مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”.

Baginda juga merayu agar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya tidak menjadikan baginda bersama kaum zalim itu, kerana baginda tidak melakukan syirik itu bersama mereka. Jangan pula masukkan baginda sekali dengan golongan kaumnya yang sesat itu. Ini penting disebut dalam ayat ini kerana dalam kitab agama lain, ada disebut bagaimana mereka menuduh Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turut terlibat sama, maka Allah sedang membersihkan nama baginda dengan ayat ini.

Baginda juga merayu supaya janganlah baginda dihukum sama dengan kaum yang zalim syirik itu. Hukumlah mereka sahaja kerana mereka yang bersalah.


 

NABI MUSA عليه السلام MEMINTA AMPUN

A’raf Ayat 151: Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ percaya setelah mendengar penerangan daripada abangnya itu.

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ ۖ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “My Lord, forgive me and my brother and admit us into Your mercy, for You are the most merciful of the merciful.”

MALAY

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani”.

 

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَلِأَخي

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku,

Setelah sedar siapakah yang bersalah, baginda istighfar kepada Allah di atas apa-apa kesalahan baginda dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jikalau ada kekurangan pada tugas yang mereka telah dipertanggungjawabkan. Ini kerana mungkin Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjalankan kewajipan menjaga kaumnya dengan baik.

Untuk diri baginda sendiri, mungkin kerana meletakkan Kitab Taurat dengan segera dan seperti tidak menghormatinya (atau, membalingnya). Mungkin juga kerana baginda telah bersangka buruk terhadap abangnya Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan telah berlaku kasar sehingga menarik rambut dan janggut Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Atau, ia untuk mengajar adab dalam meminta ampun: iaitu jangan lupa meminta ampun bagi diri sendiri walaupun sedang meminta ampun bagi orang lain. Mengajar kita jangan perasan yang kita ini selamat, sampai tidak perlu meminta ampun. Kerana itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan dengan meminta ampun untuk diri baginda sendiri. Maka kita pun belajar cara istighfar di sini.

Ayat ini juga mengajar kita yang para Nabi juga ada membuat salah dan ada juga berdosa. Cuma bezanya dosa mereka telah diampunkan dari awal lagi. Ini kerana sifat mereka yang maksum (tidak berdosa). Mereka hanya melakukan dosa-dosa kecil sahaja. Mereka tidak pernah melakukan dosa besar, semasa menjadi Nabi atau pun sebelum.

Lihatlah bagaimana baginda istighfar untuk diri mereka berdua sahaja. Bagaimana dengan kaumnya yang telah melakukan syirik itu? Mereka hendaklah istighfar sendiri kerana baginda tidak boleh meminta ampun bagi pihak mereka. Begitulah, dosa syirik itu hendaklah meminta ampun sendiri dengan Allah . Tidak boleh orang lain yang memintakan untuk diri kita.

Sebab itu, kita tidak boleh meminta ampun untuk dosa syirik bagi pihak ibu bapa kita atau ahli keluarga kita yang telah meninggal. Mereka mestilah meminta sendiri ketika mereka hidup. Juga mengajar kita, jangan sesekali membuat dosa syirik. Kalau kita meninggal tanpa sempat meminta ampun, anak beranak kita pun tidak dapat tolong langsung!

Sementara itu, hukuman yang mereka perlu dilakukan oleh Bani Israel  yang menyembah anak patung itu adalah mereka hendaklah berbunuhan sesama sendiri seperti yang telah dijelaskan di dalam Surah Baqarah:

{فَتُوبُوا إِلَى بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ}

Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kalian, dan bunuhlah diri kalian. Hal itu adalah lebih baik bagi kalian pada sisi Tuhan yang menjadikan kalian; maka Allah akan menerima taubat kalian. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

[Al-Baqarah: 54]

 

وَأَدخِلنا في رَحمَتِكَ

dan masukkanlah kami ke dalam rahmat-Mu,

Baginda memohon doa kepada Allah untuk memasukkan mereka berdua ke dalam rahmat Allah kerana kalau Allah tidak memberi rahmat, tentu mereka akan kerugian. Kita sebagai manusia memang sangat-sangat memerlukan rahmat daripada Allah .

Amat hebat doa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Baginda tidak minta diberikan rahmat, tetapi minta ‘dimasukkan’ ke dalam rahmat. Ini kerana kalau sudah berada dalam rahmat, maka rahmat itu akan meliputi diri seseorang itu dari semua arah. Maka ini lebih hebat daripada hanya minta diberikan rahmat.

 

وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ

kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain mengasihani”.

Kemudian baginda memuji Allah . Begitulah Allah mengajar kita cara berdoa dalam ayat ini. Apabila kita berdoa, hendaklah kita banyak memuji-muji Allah kerana Allah suka dipuji.

Kita memang mengharapkan rahmat daripada semua, termasuk daripada makhluk. Kerana rahmatlah, seorang ibu sanggup mengandung dan bersusah payah melahirkan anak, menjaga dan menyusuinya. Akan tetapi rahmat kasih sayang Allah adalah lebih hebat daripada kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Betapa hebatnya jasa ibu kepada anak, ia tidak akan sama dengan jasa dan keperluan kita kepada rahmat Allah . Kerana itu kita kenalah lebih mengharap rahmat daripada Allah . Sesungguhnya Allah lebih baik dalam memberi rahmat kerana rahmat adalah milik-Nya.

Oleh sebab itu, ini adalah doa yang hebat dan bagus untuk kita amalkan. Maka boleh hafal dan sesuaikan dalam doa-doa kita. Tambahan pula kerana doa ini doa seorang Nabi dan Allah ulang di dalam Al-Qur’an untuk kita mempelajarinya. Maka ada isyarat untuk kita amalkan.

 

Habis Ruku’ 18 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Januari 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 145 – 148 (Patung anak lembu)

LAUH NABI MUSA عليه السلام

A’raf Ayat 145:

وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ فَخُذها بِقُوَّةٍ وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها ۚ سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We wrote for him on the tablets [something] of all things – instruction and explanation for all things, [saying], “Take them with determination and order your people to take the best of it. I will show you the home of the defiantly disobedient.”¹

  • This is a severe warning from Allāh against rebellion.

MALAY

Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik – derhaka”.

 

وَكَتَبنا لَهُ فِي الأَلواحِ مِن كُلِّ شَيءٍ

Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh itu, semua perkara

Menurut suatu pendapat, lauh-lauh itu diberikan kepada Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sebelum baginda menerima kitab Taurat. Akan tetapi pendapat yang selalu disebut adalah ia merujuk kepada Kitab Taurat. Lauh itu maksudnya ‘tablet’; iaitu batu yang dipahat. Ada juga yang mengatakan ia bermaksud papan-papan. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu tetapi di sini kita tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mendapat kitab Taurat siap bertulis.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’ itu? Takkanlah semua perkara tentang dunia ini ditulis pula. Maksudnya adalah untuk semua perkara yang berhajat kepada agama. Semua perkara yang perlu diketahui tentang agama. Menurut suatu pendapat, bahawa Allah menuliskan di dalamnya semua pelajaran dan hukum-hukum yang terperinci menerangkan tentang halal dan haram.

Sebagaimana dalam Al-Qur’an, semua perkara tentang agama telah disentuh. Namun tidaklah diperjelaskan satu persatu – kerana itu kita memerlukan kepada hadith.

 

مَّوعِظَةً وَتَفصيلًا لِّكُلِّ شَيءٍ

daripada pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu

Dijelaskan dalam Taurat itu tentang perkara yang penting dalam agama, sebagai nasihat dan huraian bagi keperluan hukum syariat. Begitulah juga dengan Al-Qur’an yang ada pada kita ini.

Ada juga tafsiran israeliyyat mengenai firman Allah ini dan kita beritahu di sini untuk membangkangnya:

( مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْعِظَةً وَتَفْصِيلاً لِّكُلِّ شَيْءٍ ) ini. Dikatakan Bani Israel telah menjadikan Taurat sebagai kitab yang merangkumi semua yang telah berlaku dan semua yang akan berlaku.

Ini adalah antara yang tidak masuk akal dan tidak boleh dipercayai. Antaranya lagi ialah tafsir yang disebut oleh Imam al-Alusi di dalam tafsirnya, beliau berkata: “Hadith yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Baihaqi di dalam Al-Dalail daripada Muhammad bin Yazid al-Thaqafi telah berkata: Aku telah menemani Qias bin Khursyah dan Kaab bin Ahbar hingga keduanya sampai ke Siffin. Kaab telah berhenti kemudian memerhati beberapa ketika dan terus berkata: Tempat ini akan ditumpahi darah Orang Muslimin dengan jumlah yang tidak pernah berlaku di mana-mana bumi lain sepertinya.”

Qais berkata: “Mana engkau tahu, kerana ini adalah antara perkara ghaib yang hanya Allah ﷻ sahaja yang mengetahuinya.” Maka Kaab berkata: “Tidak ada sejengkal bumi pun melainkan telah tercatat di dalam Taurat yang telah diturunkan oleh Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ termasuk apa sahaja yang berlaku dan yang keluar dari tempat itu hingga ke hari kiamat.”

Kisah seperti ini adalah termasuk dalam berlebihan tokok tambah cerita yang tidak boleh kita percayai. Kemungkinan ia adalah merupakan pendustaan yang diperolehi oleh sahabat, Muawiyah bin Abu Sufyan رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ sebagaimana yang telah pernah juga berlaku sebelum ini. Langsung tidak masuk akal di dalam Taurat terkandung semua peristiwa dunia sehingga hari kiamat.

Muhaqqiqin dalam kalangan Mufassirin sama ada Khalaf atau Salaf sepakat mengatakan bahawa maksudnya ( تَفْصِيلاً لِّكُلِّ شَيْءٍ ) ialah perkara halal dan haram yang mereka perlukan serta perkara baik dan perkara keji yang menepati syariat Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ pada zamannya. Sekiranya bukan begitu maksudnya, bagaimana pula Al-Quran yang telah datang dengan hukum-hukum, adab dan akhlak yang tidak terdapat di dalam Taurat?

 

فَخُذها بِقُوَّةٍ

Oleh itu, peganglah ia dengan bersungguh-sungguh,

Setelah baginda tahu bahawa segala penjelasan yang penting ada dalam Taurat itu, maka baginda disuruh untuk berpeganglah dengan kuat bersungguh-sungguh. Begitu juga, kita disuruh untuk berpegang dengan Al-Qur’an.

Maksud ‘berpegang’ itu, kenalah belajar dan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Jangan main-main, jangan hanya menggunakan mana yang kita suka sahaja dan meninggalkan mana yang kita tidak mahu buat. Itu bukan bersungguh-sungguh namanya.

Maksud ayat ini dijelaskan lagi di dalam Baqarah: 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Apakah maksud حَقَّ تِلاوَتِهِ? Ia bermaksud baca dengan betul, faham dan amalkan. Kemudian hendaklah disampaikan kepada manusia. Ini juga nasihat bagi kita yang sekarang ada Al-Qur’an di tangan kita.

 

وَأمُر قَومَكَ يَأخُذوا بِأَحسَنِها

dan suruhlah kaummu berpegang yang sebaik-baiknya

Wahyu Taurat itu bukan sahaja untuk baginda, tetapi untuk kaum baginda juga maka Allah suruh Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sampaikan kepada kaumnya. Begitulah juga kita yang sudah belajar wahyu Allah ini, kenalah sampaikan wahyu kepada manusia. Ramai yang masih tidak tahu tentang apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

Kena lakukan ‘sebaik-baiknya’ bermaksud kena amalkan dulu amalan yang boleh mendapat ganjaran yang paling banyak. Juga bermaksud amal yang berbentuk keutamaan yang tinggi. Antaranya kena amalkan yang fardhu, kemudian yang wajib, kemudian baru yang sunat. Jangan terus buat sunat, namun tertinggal pula yang fardhu.

Ia juga disebut di dalam Zumar: 18

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya;

Ia juga bermaksud kena usaha untuk buat sehabis baik. Kena ada usaha dan bukannya sambil lewa sahaja. Dalam agama, kita kena gerakkan diri kita untuk belajar, untuk beribadat dan kena cari masa. Bukannya hanya belajar dan beribadat apabila ada masa luang sahaja. Kalau begitu, tentu akan ada sahaja perkara lain yang lebih penting yang menyebabkan amal ibadat kita ditolak ke tepi.

Syaitan akan sibukkan kita dengan perkara-perkara lain. Malangnya, begitulah yang sering dihadapi oleh masyarakat kita. Kalau kita ajak belajar, ramai yang akan beri alasan dia tengah sibuk dengan anak, dengan kerja, dengan rumah, dengan hobi dia dan sebagainya. Sehinggalah ke usia tua dia menjadi manusia yang jahil tentang agama.

 

سَأُريكُم دارَ الفٰسِقينَ

Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik”.

Maksudnya Allah akan memperlihatkan kepada mereka semua, daerah bumi Baitulmuqaddis yang waktu itu sedang diduduki oleh orang-orang fasik. Begitulah, apabila mereka sanggup melakukan perkara yang besar, maka mereka diberikan dengan dugaan yang lebih besar dan pulangan yang lebih besar, iaitu memasuki Baitulmuqaddis. Mereka akan mewarisi tempat orang-orang fasik yang dahulu itu.

Akan tetapi semuanya bermula dengan perkara yang kecil-kecil terlebih dahulu. Belajar dan amalkan mana yang kita sudah belajar itu. Kemudian pastikan kita belajar dan mengamalkan perkara yang sunnah. Amal ibadat yang bukan sunnah adalah sia-sia, tidak mendatangkan pahala.

Satu lagi tafsir bagi ayat ini adalah: Kalau tidak berpegang dengan Taurat itu, Allah akan masukkan mereka ke negeri orang-orang fasik (maksudnya neraka). Ini adalah keadaan di akhirat kelak. Allah akan tunjukkan bagaimana mereka akan dihancurkan nanti.


 

A’raf Ayat 146:

سَأَصرِفُ عَن ءآيٰتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I will turn away from My signs those who are arrogant upon the earth without right; and if they should see every sign, they will not believe in it. And if they see the way of consciousness,¹ they will not adopt it as a way; but if they see the way of error, they will adopt it as a way. That is because they have denied Our signs and they were heedless of them.

  • i.e., reason and integrity.

MALAY

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

 

سَأَصرِفُ عَن ءآيٰتِيَ الَّذينَ يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar daripada (memahami) ayat-ayatKu

Allah akan palingkan mereka yang sombong daripada memahami ayat-ayat-Nya. Siapa yang akan dipalingkan? Itulah mereka yang sombong daripada menerima kebenaran, tanpa alasan. Sekiranya mereka tolak kerana ada alasan, bolehlah dibincangkan, tetapi mereka tolak begitu sahaja. Maknanya mereka tidak berhak pun untuk menjadi sombong. Sombong sememangnya merupakan masalah besar yang ada dalam hati manusia.

Allah akan tolak mereka daripada memahami ayat-ayat Allah kerana mereka tidak layak. Mereka sendiri yang tidak mahu kepada kebenaran. Maka jangan sombong untuk mendengar penjelasan daripada orang yang menyampaikan wahyu kepada kita. Kenalah buka telinga dan dengar dahulu apa yang hendak disampaikan itu.

Sombong itu ada dua jenis seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah ﷻ itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.

(Hadith Riwayat Muslim (91))

Sombong yang di dalam ayat ini adalah jenis sombong yang menolak kebenaran. Mereka sangka mereka telah pandai dan tidak memerlukan nasihat lagi daripada sesiapa. Oleh kerana mereka tolak, maka Allah telah menutup hati mereka. Apabila Allah tutup hati mereka, itu dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Kasihan kepada orang-orang yang sebegitu seperti yang Allah sebutkan juga di dalam Isra’: 45-46

وَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ جَعَلنا بَينَكَ وَبَينَ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ حِجابًا مَستورًا

Dan apabila kamu membaca Al Qur’an nescaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup,

وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي آذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرآنِ وَحدَهُ وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

Adakah Allah zalim kerana menutup hati mereka dan memalingkan mereka daripada memahami wahyu Allah ? Tidak, kerana Allah memalingkan mereka itu kerana mereka sendiri yang tidak mahu menerima dan mereka yang mula-mula berpaling seperti yang disebut dalam Saff: 5. Allah palingkan umat Nabi Musa عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ kerana mereka dahulu yang berpaling. Allah tidak zalim dalam hal ini.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم ۖ فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ayat-ayat Allah ‘? Ia boleh jadi dalam bentuk wahyu seperti Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Itu adalah jenis-jenis ayat-ayat Allah yang dibaca. Namun ada juga ayat-ayat Allah pada alam ini yang boleh dilihat di bumi dan di langit. Ini juga tanda-tanda daripada Allah yang diberikan kepada kita untuk berfikir.

Orang yang ada akal yang sihat akan melihat alam ini dan tentu hendak mencari Tuhan yang menciptanya. Akan tetapi orang yang sombong daripada kebenaran, mereka tidak akan nampak tanda-tanda ini kerana Allah telah palingkan mereka daripada memahaminya.

Cuma di dalam ayat ini ada disebut يَتَكَبَّرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ (sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar). Adakah ini bermaksud ada ketikanya boleh berlaku sombong kepada orang lain? Ini juga menjadi perbincangan.

Terdapat satu kata-kata yang disandarkan kepada Nabi ﷺ yang berbunyi:

التَّكَبُّرُ علَى المُتَكَبِّرِ صَدَقَةٌ

Bersikap sombong terhadap orang yang sombong merupakan satu sedekah.

Kata-kata ini tersebar dan masyhur dalam kalangan kita, namun ia bukanlah hadith.

Foto Dakwah: Status hadist : sombong kepada orang yang sombong sedekah

Syeikh Mulla Ali al-Qari رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ telah memasukkan riwayat ini dalam kategori hadith palsu, namun mengakui bahawa perkataan tersebut pernah diucapkan oleh para ulama’ dengan maksud yang sama. (Rujuk Al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hlm, 163)

Terdapat juga riwayat lain yang berbunyi:

إِذا رَأَيْتُمْ المتواضعين من أمتِي فتواضعوا لَهُم وَإِذا رَأَيْتُمْ المتكبرين فتكبروا عَلَيْهِم

Apabila kami dapati kalangan yang tawadhu dalam kalangan umatku, maka berlakulah tawadhu terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.

Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra 6/354)

Abu Sa’id al-Khadimi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ sewaktu mengulas riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan. Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik, kerana jika kita bersikap tawaduk di hadapan orang sombong, maka itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus berada dalam kesesatan. Namun, jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar daripada sikapnya itu.

Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’iy رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ, di mana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata: “bersikaplah sombong kepada orang sombong”. Imam Al-Zuhri رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ pula pernah mengatakan: “Bersikap sombong kepada pecinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”. Imam Yahya bin Mu’adz رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ pula mengatakan, “Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya, merupakan satu bentuk kerendahan diri.”

Kerana itulah dikatakan juga bahawa menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong di hadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya. (Rujuk Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Tariqah Muhammadiyah, 2/186)

Selain itu, Imam al-Munawi رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ memasukkan sikap sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang baik. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 3/386)

 

وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها

dan jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya,

Orang-orang yang telah ditutup hati mereka, walaupun mereka nampak setiap dalil, mereka tetap tidak akan beriman. Inilah jenis orang-orang yang kalau kita beri ayat Al-Qur’an pun, mereka buat tidak kisah, tidak mahu mengubah sikap mereka. Seolah-olah ayat Al-Qur’an itu tidak ada makna apa-apa pun pada mereka. Ini adalah kerana hati mereka telah keras.

 

وَإِن يَرَوا سَبيلَ الرُّشدِ لا يَتَّخِذوهُ سَبيلًا

dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.

Sekiranya mereka nampak jalan menuju kebenaran, mereka tidak mahu mengambil jalan itu. Maksudnya mereka tidak mahu mengambil manhaj sunnah. Yang mereka pegang adalah jalan yang ramai diamalkan oleh ramai orang, walaupun jalan itu tidak semestinya benar. Kalau kita kata sesuatu amalan dan pendapat itu salah, mereka balas: “Aik, takkan salah? Ramai orang yang buat macam ini!”

 

وَإِن يَرَوا سَبيلَ الغَيِّ يَتَّخِذوهُ سَبيلًا

Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.

Sebaliknya, jika mereka nampak jalan sesat, mereka terus menjadikan jalan itu tempat laluan mereka. Mereka suka pula menggunakan jalan yang salah. Ini adalah kerana mereka sudah tidak tahu mana satu jalan yang benar kerana mereka telah menolak wahyu.

Apabila mereka menolak wahyu, mereka sudah tidak ada kayu ukur untuk memastikan mana jalan yang benar dan mana jalan yang tidak. Oleh itu, ramai yang sangka mereka beriman, mereka sudah alim, mereka ahli ibadat, tetapi mereka beriman yang salah, mereka alim dalam ilmu yang salah dan mereka buat ibadat yang tidak benar, ibadat yang bid’ah.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami

Mereka jadi begitu kerana mereka menolak ayat-ayat Allah daripada dibaca dan dijelaskan kepada mereka. Kalau kita beritahu, mereka kata itu adalah ‘dusta’. Atau, mereka tidak cakap, tetapi mereka tolak kerana dalam hati mereka, ia adalah dusta, tidak benar. Sebab itu mereka tidak ikut kerana kalau mereka terima ia sebagai benar, tentu mereka akan ikut, bukan?

 

وَكانوا عَنها غٰفِلينَ

dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Kenapakah mereka sampai sanggup mendustakan ayat-ayat Allah ? Ini kerana mereka tidak menghiraukan wahyu daripada Allah kerana asalnya mereka lalai daripada mempelajarinya. Mereka buat tidak kisah kepada ayat-ayat Allah . Sebagaimana orang kita yang rajin belajar pelajaran lain, tetapi tafsir Al-Qur’an mereka tidak belajar.

Mereka tidak buat usaha pun untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka lalai daripada mempelajari tentang Al-Qur’an. Ilmu feqah, ilmu hadith, mereka belajar, tetapi tidak belajar pula tafsir Al-Qur’an, maka tiada gunanya juga.


 

A’raf Ayat 147: Natijah di akhirat kelak.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقاءِ الآخِرَةِ حَبِطَت أَعمٰلُهُم ۚ هَل يُجزَونَ إِلّا ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who denied Our signs and the meeting of the Hereafter – their deeds have become worthless. Are they recompensed except for what they used to do?

MALAY

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).

 

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقاءِ الآخِرَةِ حَبِطَت أَعمٰلُهُم

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka

Akan gugur lenyap habis kosong amalan baik mereka. Mereka mungkin ada buat perbuatan yang baik seperti bantu orang lain dan sebagainya. Namun begitu, walaupun ia adalah amalan yang baik, akan tetapi ia tidak akan dibalas di akhirat kelak. Maknanya, orang yang kafir pun ada amalan yang baik juga. Namun amalan mereka itu tidak berguna untuk mereka di akhirat kelak.

 

هَل يُجزَونَ إِلّا ما كانوا يَعمَلونَ

Mereka tidak diberikan balasan melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan

Sebaliknya, yang mereka dibalas adalah daripada perbuatan buruk mereka iaitu amal kufur dan syirik yang mereka lakukan. Sudahlah amalan baik mereka tidak dikira, amalan jahat pula yang dikira. Ini adalah kerana mereka tidak beriman dengan wahyu dan tidak percaya kepada kebangkitan semula.

Habis Ruku’ 17 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

PATUNG ANAK LEMBU KEEMASAN

A’raf Ayat 148:

وَاتَّخَذَ قَومُ موسىٰ مِن بَعدِهِ مِن حُلِيِّهِم عِجلًا جَسَدًا لَّهُ خُوارٌ ۚ أَلَم يَرَوا أَنَّهُ لا يُكَلِّمُهُم وَلا يَهديهِم سَبيلًا ۘ اتَّخَذوهُ وَكانوا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the people of Moses made, after [his departure], from their ornaments a calf – an image having a lowing sound. Did they not see that it could neither speak to them nor guide them to a way? They took it [for worship], and they were wrongdoers.

MALAY

Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman”.

 

وَاتَّخَذَ قَومُ موسىٰ مِن بَعدِهِ مِن حُلِيِّهِم عِجلًا جَسَدًا

Dan kaum Nabi Musa, sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat daripada barang-barang emas perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh

Selepas pemergian Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan baginda bermunajat selama 40 hari, umat Bani Israel menjadi tidak tentu arah. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ memaklumkan sebelum itu yang baginda akan pergi bermunajat selama 30 hari. Namun apabila ditambah 10 hari lagi, mereka telah fikir macam-macam. Seorang lelaki bernama Samiri telah mengambil peluang ini.

Dia memang seorang lelaki yang sudah terkenal dalam kalangan Bani Israel. Dia dihormati dan dipandang tinggi. Namun begitu selagi ada Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, dia tidak menyinar. Kali ini peluang untuk dia pula. Dia telah menyuruh umat Bani Israel untuk mengumpul barang perhiasan yang ada pada mereka, dan dia telah leburkan dan menjadikan daripadanya satu patung anak lembu. Digunakan kalimah جسدا (jasad) yang bermaksud ada tubuh tetapi tidak ada roh.

Perhiasan emas itu asal mulanya mereka pinjam daripada orang-orang Qibti di negeri Mesir, yang kemudian mereka bawa menyeberang semasa menyelamatkan diri. Maka Samiri berhujah kata mereka tidak boleh memegang barang yang bukan milik mereka. Kemudian dia suruh mereka kumpul dan dia sendiri meleburnya dan menjadikannya patung anak lembu.

Kemudian dia ajar mereka untuk sembah patung anak lembu itu. Dia kata Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sibuk pergi naik ke Gunung Thur cari Tuhan, tetapi sebenarnya tuhan sudah datang dalam bentuk patung anak lembu itu. Memang hujah yang karut tetapi ada pula yang percaya. Namun tidak menghairankan kerana orang Melayu pun ramai yang boleh percaya benda-benda karut seperti ini. Sebab itu ajaran sesat boleh bercambah kerana ramai yang bodoh-bodoh belaka.

Cara mereka menyembah patung itu adalah seperti orang Yahudi di Wailing Wall sekarang ini. Iaitu mereka hangguk-hangguk di situ.

Kerana itu tidak elok sebenarnya budak-budak sekarang semasa menghafal Al-Qur’an, mereka terhangguk-hangguk. Kerana seperti meniru golongan ini. Jadi untuk halang dari perkara itu terjadi, sepatutnya orang yang pergi bergerak, kena berdiri dan berjalan kalau perlu. Janganlah terus terhangguk-hangguk lagi.

 

لَّهُ خُوارٌ

dan bersuara

Lembu itu boleh bersuara (atau sebenarnya hanya berbunyi, bukannya suara bercakap). Al-khuwar ialah suara lembu. Dalam banyak kitab tafsir menyebut ini adalah kerana Samiri telah memasukkan debu daripada bekas tapak kaki kuda Malaikat Jibril ke dalam leburan emas itu sehingga jadilah sebuah patung yang berbentuk dan bersuara. Kisah ini ada disebut dalam Taha: 96

قالَ بَصُرتُ بِما لَم يَبصُروا بِهِ فَقَبَضتُ قَبضَةً مِن أَثَرِ الرَّسولِ فَنَبَذتُها وَكَذٰلِكَ سَوَّلَت لي نَفسي

Dia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam daripada kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

Akan tetapi kisah ini agak pelik dan tidak dapat dipertanggungjawabkan. Jadi ia perlu dikaji atau dibersihkan jika ia tidak benar. Abu Muslim Al-Ashfahani menafsirkannya: “Aku mengetahui cara menciptakan sesuatu yang tidak mereka ketahui. Lalu mengambil beberapa pengetahuan rasul iaitu kamu wahai Musa, lalu aku gunakan untuk melakukan perbuatan yang dihiasi oleh hawa nafsuku ini yang mana menganggap bahawa anak sapi ini adalah tuhannya Bani Israil.”

Atau ada pendapat yang mengatakan ia hanyalah bunyi angin yang terkena pada lubang-lubang pada patung itu maka ia menyebabkan keluarnya bunyi.

Hal ini terjadi setelah pemergian Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ untuk memenuhi janji Tuhannya. Maka Allah  memberitahukan hal tersebut kepada Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ketika Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berada di Bukit Thur.

Yang menyebabkan mereka boleh tertipu itu adalah kerana patung itu ada suara lembu. Kita kena tahu, yang ia adalah jasad patung sahaja, bukan menjadi lembu sebenar. Akan tetapi kerana kepandaian teknik Samiri, apabila angin masuk melalui tubuh lembu itu, ia mengeluarkan bunyi lembu. Itu pun umat itu sudah kelam kabut percaya, padahal tidaklah hebat sangat.

Ia bukanlah sesuatu yang patut dipuja tetapi kerana mereka itu jahil dan degil, maka mereka puja juga. Ini adalah kerana ada kelemahan dalam diri mereka. Mereka tidak suka mendengar nasihat Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan suka menggunakan nasihat yang datang dari luar. Oleh itu mereka mudah dihasut bisikan syaitan. Padahal Nabi Harun عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ada bersama mereka, tetapi mereka tidak dengar nasihat baginda.

Oleh itu sekiranya orang kita pun percaya kepada benda-benda khurafat, maka tidak jauh bezanya dengan kaum Bani Israel yang memuja patung anak lembu itu. Ada dalam kalangan orang kita yang kalau lihat keris dapat berdiri, sudah kelam kabut buat benda-benda syirik dan khurafat dengan keris itu.

Sampai zaman sekarang, patung lembu digunakan dalam banyak perkara-perkara sesat. Kita boleh lihat bagaimana agama Hindu itu pun suka menggunakan patung. Ada dalam kalangan manusia yang mengamalkan ajaran sesat syaitan, menggunakan patung kepala lembu juga. Mereka memandang tinggi lembu itu padahal lembu itu hanyalah binatang sahaja. Begitulah syaitan menggunakan modal yang sama sahaja. Maka, mungkin ada kaitan serba sedikit, Allahu a’lam.

 

أَلَم يَرَوا أَنَّهُ لا يُكَلِّمُهُم وَلا يَهديهِم سَبيلًا

Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka?

Tidakkah mereka guna akal mereka? Tidakkah mereka sedar yang patung itu bukan boleh bercakap dengan mereka pun? Bukan boleh ajar mereka apa-apa pun. Setakat mengeluarkan bunyi yang tidak boleh difahami apa-apa pun daripadanya. Kalau tidak boleh bercakap, bagaimana hendak menjadi tuhan? Bagaimana hendak beri arahan itu dan ini?

Lihatlah bagaimana senang sahaja syaitan menyesatkan orang yang jahil. Mereka memilih binatang pun pilih binatang yang bodoh seperti lembu. Bukankah orang kita kalau maki ada sebut: “Bodoh macam lembu!”. Tidak ada pun yang kata: “Bodoh macam harimau!”, bukan? Sebab memang lembu itu binatang yang bodoh. Allah menghina mereka dengan membiarkan mereka memilih jenis binatang yang bodoh sebab mereka sendiri orang yang bodoh.

Itulah bahaya kalau tidak ada ilmu dan akal. Sebab itulah kalau kita lihat masyarakat kita yang terjebak dengan ajaran sesat, dengan tarekat dan jalan kesufian, selalunya mereka yang jahil dan tidak ada ilmu agama. Orang sebegini senang ditipu. Bagilah apa sahaja idea karut kepada mereka, mereka akan terima bulat-bulat.

 

اتَّخَذوهُ وَكانوا ظٰلِمينَ

Mereka menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman

Walaupun tidak ada apa-apa dengan patung itu, tetapi mereka telah mengambil patung anak lembu itu sebagai tempat pujaan. Allah katakan itu adalah perbuatan ‘zalim’ kerana membuat sesuatu yang syirik. Kerana itulah dikatakan lafaz ‘zalim’ dalam Al-Qur’an selalunya bermaksud syirik. Bukan semua, tetapi kebanyakan daripadanya.

 

Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Ogos 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien