Ayat 89:
قالَ قَد أُجيبَت دَعوَتُكُما فَاستَقيما وَلا تَتَّبِعانِّ سَبيلَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ
[ Allah ] said, “Your supplication has been answered.” So remain on a right course and follow not the way of those who do not know.”
Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.
قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا
Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua;
Allah memberitahu kepada Nabi Musa dan Nabi Harun bahawa doa mereka telah dikabulkan. Dikatakan bahawa doa itu dimakbulkan selepas 40 tahun. Bukanlah terus dikabulkan waktu itu juga. Allahu a’lam.
فَاسْتَقِيمَا
oleh itu hendaklah kamu tetap,
Maknanya, mereka kena terus menjalankan kerja dakwah. Selepas doa pun, kita masih kena terus melakukan tugas dakwah kita. Doa akan dimakbulkan, tapi tidak terus diberikan.
Dalam berdoa, kita tidak tahu sama ada ianya dimakbulkan atau tidak. Kita pun tidak tahu bila ianya akan diberikan. Maka hendaklah sementara itu, kita terus melakukan kewajipan kita.
Tetap itu juga bermaksud istiqamah dalam tauhid. Jangan keluar masuk. Kejap pegang tauhid, kejap tidak, jangan begitu. Terus tetap pegang tauhid ini.
Ayat ini juga boleh bermaksud, mereka berdua kena tetap dalam keinginan mereka itu. Jangan selepas mereka berdoa itu, dan Allah sudah kata akan makbulkan doa mereka, jangan selepas itu mereka nak tukar fikiran pula. Mereka telah doa untuk kemusnahan Firaun dan pengikutnya, maka jangan mereka nak ubah fikiran pula selepas itu.
وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui”.
Jangan ikut langsung mereka yang jahil. Apabila digunakan perkataan تَتَّبِعَانِّ dalam nahu begitu, bermaksud ada penekanan. Don’t you dare follow. Jangan sekali-kali kamu ikut mereka yang tidak tahu tentang agama, tidak tahu tafsir Qur’an.
Allah kata jangan ikut mereka yang tidak tahu. Maka janganlah belajar dengan mereka yang tidak belajar pun lagi tafsir Qur’an dan hadis Nabi. Malangnya, yang banyak mengajar sekarang ini adalah mereka yang tidak belajar pun dua sumber utama agama itu. Kalau kita tanya mereka, “sudahkah habis belajar tafsir Qur’an?”, mereka akan jawab: “adalah sikit-sikit dahulu”.
Bila ditanya sudah habis belajar kitab hadis, atau salah satu dari kutubussittah?”, mereka akan jawab, “saya ada belajar sikit”. Maknanya, mereka sendiri pun tidak lepas asas agama Islam, tapi mereka inilah yang mengajar masyarakat sekarang. Mereka sendiri sudah jahil agama, mengajar pula orang yang memang jahil juga. Maka, kejahilan itu bertimpa-timpa.
Sedangkan dalam masa yang sama, mereka yang sudah habis belajar tafsir dan hadis, ramai bilangan mereka, tapi mereka tidak dibenarkan mengajar masyarakat. Bukan tidak ada yang boleh mengajar, ada, tapi tidak dibenarkan. Sebab mereka akan mengajar ajaran yang betul yang tidak sama dengan apa yang masyarakat sudah biasa.
Jadi, mereka yang bertanggungjawab menguruskan hal pembelajaran agama, terus membiarkan mereka yang tidak berilmu itu yang mengajar. Sebab itulah susah sangat ajaran sunnah ini hendak diterima oleh masyarakat. Kerana masyarakat sudah biasa dengan ajaran bidaah.
Dan ajaran sunnah dan bidaah tidak akan dapat duduk bersama. Ianya berlawanan antara satu sama lain. Tidak boleh kita hendak buat sunnah dan bidaah dalam satu masa.
Ayat 90: Bagaimanakah cara doa mereka itu dimakbulkan?
وَجاوَزنا بِبَني إِسرائيلَ البَحرَ فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ وَجُنودُهُ بَغيًا وَعَدوًا ۖ حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ آمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي آمَنَت بِهِ بَنو إِسرائيلَ وَأَنا مِنَ المُسلِمينَ
And We took the Children of Israel across the sea, and Pharaoh and his soldiers pursued them in tyranny and enmity until, when drowning overtook him, he said, “I believe that there is no deity except that in whom the Children of Israel believe, and I am of the Muslims.”
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (Islam)”.
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut,
Allah kata, Dia yang telah menyelamatkan bani Israil menyeberangi laut itu. Walaupun dari zahirnya, yang bawa mereka itu adalah Nabi Musa, tapi pada hakikatnya, Allah lah yang membawa mereka.
Mereka melarikan diri pada malam hari. Ada seramai 60,000 mereka semua sekali. Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka disuruh untuk cari penempatan yang lain dari bangsa Qibti. Apabila mereka duduk di penempatan yang lain dari tempat tinggal bangsa Qibti, maka mereka boleh bergerak senyap-senyap.
Tapi mereka kena menjalani latihan dalam solat untuk menerima arahan dan fokus kepada kerja mereka. Itulah kelebihan solat, dimana ada latihan di dalam solat yang dilakukan mereka itu.
فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ
lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya,
Hanya apabila siang hari, baru orang Qibti perasan bahawa Bani Israil yang menjadi hamba mereka telah tiada. Maksudnya mereka tidak datang kerja hari itu. Maka, mereka telah menyampaikan kepada Firaun tentang perkara itu.
Firaun telah mengeluarkan arahan yang mereka kena mengejar Bani Israil yang melarikan diri itu dengan segera. Mereka amat marah sekali dan ramai-ramai telah keluar. Firaun mengajak semua bangsa Qibti ikut sekali untuk tengok bagaimana mereka akan tangkap semua Bani Israil itu. Mereka dapat kejar dan nampak Bani Israil sedang hendak menyeberangi laut.
Allah telah mewahyukan Nabi Musa untuk memukul laut dengan tongkat baginda. Apabila dipukul, laut itu telah terbelah dan mereka boleh melaluinya. Firaun dan tenteranya juga mengikut Bani Israil itu menyeberangi laut itu.
بَغْيًا وَعَدْوًا
dengan tujuan melakukan kezaliman dan permusuhan,
Mereka kejar itu kerana marah dan mereka hendak mengambil balik hamba-hamba mereka. Bukanlah mereka kejar dengan niat yang baik. Mereka nak seksa Bani Israil itu kalau mereka dapat tangkap.
Dipendekkan cerita, apabila Bani Israil sudah melepasi laut itu, Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa untuk memukul laut itu sekali lagi. Maka, laut yang terbelah itu telah bercantum kembali. Bayangkan ketinggian laut itu dan betapa beratnya air yang jatuh menimpa Firaun dan pengikutnya.
حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ
sehingga apabila Firaun hampir tenggelam
Kalimah أَدْرَكَهُ dari katadasar د ر ك yang bermaksud ‘sampai’. Sampai dari atas macam turun tangga. Dan turun tangga itu sedikit demi sedikit, bukannya laju. Maknanya, Firaun sudah mula tenggelam daripada mula Nabi Musa datang berdakwah kepadanya, dan tahap akhir adalah apabila dia tenggelam lemas di lautan itu.
Kalimah الْغَرَقُ dari katadasar غ ر ق yang bermaksud ‘lemas’. Ini setelah dia dihempap dengan air laut yang amat berat. Firaun sudah tahu yang dia akan tenggelam. Tidak ada harapan lagi untuk dia. Apakah katanya waktu itu?
قَالَ آمَنتُ
berkatalah dia: “Aku percaya,
Dia bercakap dalam hati sahaja kerana mulutnya telah disumbat dengan tanah selut oleh Jibrail. Jibrail buat begitu supaya Firaun tidak boleh ucap Syahadah. Dalam hadis riwayat Tirmizi, ada disebut:
Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu’ anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (bertanya tentang Firaun). Sabda Nabi SAW “Malaikat Jibril menutup mulut Firaun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah”
Ada satu lagi hadis.
Imam Tarmizi di dalam sunannya telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawasanya Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Ketika Firaun hampir lemas maka dia telah berkata: Aku telah beriman bahawasanya tiada tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani Israel (maksud ayat 90 surah Yunus). Maka malaikat Jibril telah memberitahu: “Wahai Muhammad! sekiranya engkau dapat melihatku ketika aku telah mengambil sedikit daripada tanah di dasar laut. Maka aku telah menyumbatnya ke dalam mulutnya dalam keadaan bimbang dia (Firaun) akan mendapat rahmat Allah.”
أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ
bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah, melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,
Dalam kata-kata ini pun, dia masih lagi sombong. Dia tidak kata “Tidak ada tuhan melainkan Allah” tapi dia kata “Tuhan Bani Israil”. Tak sampai mulut dia hendak menyebut nama Allah. Begitu sombongnya dia, sampai nak mati pun tak mahu lagi sebut nama Allah.
وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri”.
Dalam ayat ini, kita boleh lihat, bagaimana dia benar-benar telah beriman. Tapi adakah imannya itu diterima?
Ayat 91: Adakah diterima kata-kata iman Firaun itu? Allah jawab kata-kata Firaun itu.
آلآنَ وَقَد عَصَيتَ قَبلُ وَكُنتَ مِنَ المُفسِدينَ
Now? And you had disobeyed [Him] before and were of the corrupters?
(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.
آلْآنَ
“Adakah sekarang?!!!
“Baharu sekarang engkau hendak beriman?!!” Itulah tempelak Allah kepada Firaun. Allah tidak terima iman Firaun waktu itu. Padahal waktu itu Firaun belum mati lagi. Maknanya, kalau sudah hujung nyawa (nyawa-nyawa ikan) baru nak beriman, ia tidak diterima.
Lalu bagaimana dengan amalan orang kita yang mengajar akidah kepada orang yang telah mati? Iaitu yang dimaksudkan adalah amalan talqin. Kalau masih hidup lagi sudah tidak diterima perubahan akidah kalau di hujung nyawa, apatah lagi kalau sudah mati? Itulah salah satu dari hujah kebohongan amalan talqin itu.
وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ
padahal sesungguhnya engkau dahulu derhaka,
Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَبْلُ sahaja. Kalau maksud yang hendak dibawa adalah ‘dari dahulu’, perkataan yang selalunya digunakan adalah مِن قَبْل.
Apabila hanya kalimah قَبْلُ sahaja yang digunakan, ianya bermaksud ‘baru sekejap tadi’. Maknanya, “baru sekejap tadi, kamu masih lagi derhaka, wahai Firaun.” Bukan lama pun jangka masa itu. “Baru sekarang kamu nak beriman? Tidak diterima iman kamu itu.”
وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
dan engkau dulu orang yang melakukan kerosakan?
Banyak sungguh kerosakan yang telah dilakukan oleh Firaun. Dia telah menyesatkan kaumnya. Dia telah memperhambakan Bani Israil. Dia menentang Nabi Musa dan Nabi Harun apabila mereka berdakwah kepadanya. Dia juga telah menyeksa mereka yang mahu beriman kepada Islam.
Ayat 92:
فَاليَومَ نُنَجّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكونَ لِمَن خَلفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثيرًا مِنَ النّاسِ عَن آياتِنا لَغافِلونَ
So today We will save you in body that you may be, to those who succeed you, a sign. And indeed, many among the people, of Our signs, are heedless
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.
فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ
“Maka pada hari ini, Kami menyelamatkan engkau, dengan badanmu,
Allah telah selamatkan badan Firaun. Maksudnya dia tetap mati, tapi tubuhnya yang diselamatkan. Tubuhnya tidak tenggelam dalam laut. Atau, laut telah memuntahkan jasadnya ke tepian.
Jasad Firaun masih ada lagi di muzium di Mesir. Dikatakan bahawa dia adalah Ramses II. Dia telah memerintah Mesir selama 67 tahun. Itu adalah satu jangka masa yang amat lama. Dia adalah seorang yang amat bijak dan kata-katanya amat hebat sekali. Sebab itulah Allah menceritakan balik banyak kata-katanya dalam Qur’an supaya kita boleh belajar apakah hujah orang-orang yang engkar itu.

Kenapakah tubuhnya diselamatkan?
لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً
untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang selepasmu.
Supaya manusia kemudian zaman berzaman boleh mengambil iktibar dari kedegilan Firaun. Mengajar manusia bahawa inilah akibatnya mereka yang zalim, yang derhaka, yang sombong. Dia amat kaya dan berkuasa, tapi dimusnahkan akhirnya.
Lihatlah juga bagaimana utuhnya bangunan piramid itu, sampai sekarang ada lagi, tapi kerajaannya itu tidak kekal. Firaun hendak menyelamatkan kerajaannya tapi tidak berjaya.
وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
Dan sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada tanda-tanda Kami!”.
Allah telah menyelamatkan tubuh Firaun supaya manusia yang melihatnya boleh ambil iktibar. Tapi malangnya, ramai yang tidak mengambil pengajaran dari kisah itu. Mereka semua tahu kisah Firaun, boleh nampak sekurang-kurangnya gambar jasad Firaun itu, malah mungkin ada yang telah ke Mesir dan melawat jasad itu, tapi mereka tak mengambil pengajaran.
Mereka hanya melihat sahaja, mereka hanya membaca sahaja kisah Firaun itu. Kajian tentang Mesir purba amat banyak lagi, sampaikan ada satu bidang ilmu: Egyptology. Tapi mereka hanya kaji tentang kehidupan Mesir purba sahaja dan bagaimana ia telah musnah. Tapi mereka tidak ambil pengajaran tentang kenapa dia dimusnahkan.
Umat Islam yang tahu kisah Firaun juga lalai. Bagaimana kita tahu mereka kebanyakannya lalai? Kerana kebanyakan manusia itu lalai untuk belajar agama dan tafsir Qur’an. Mereka sibuk dengan dunia, mereka tidak memikirkan tentang akhirat. Maknanya, ada persamaan dengan Firaun pun ada, bukan?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 10 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair