Ayat 58:
فَلَنَأتِيَنَّكَ بِسِحرٍ مِثلِهِ فَاجعَل بَينَنا وَبَينَكَ مَوعِدًا لا نُخلِفُهُ نَحنُ وَلا أَنتَ مَكانًا سُوًى
Then we will surely bring you magic like it, so make between us and you an appointment, which we will not fail to keep and neither will you, in a place assigned.”
“Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak”.
فَلَنَأْتِيَنَّكَ
Sesungguhnya pasti kami juga akan bawakan kepadamu;
Firaun masih lagi hanya bercakap dengan Musa sahaja. Walaupun Nabi Harun ada, dia tidak iktiraf sedikit pun. Dalam ayat sebelum ini, dia telah tuduh Nabi Musa menggunakan sihir untuk mengambilalih kerajaan Mesir. Sekarang dia kata dia hendak melawan Nabi Musa.
بِسِحْرٍ مِّثْلِهِ
dengan sihir yang seperti itu;
Firaun nak kata tok guru sihir dia pun ramai juga, bukan Musa sahaja. Jadi kalau Nabi Musa guna sihir, dia kata dia pun boleh bawa sihir yang hebat juga. Itu adalah kata-kata Firaun sahaja kerana dia nak kata bahawa Nabi Musa menggunakan sihir sahaja.
Dia sedang menjaga kedudukannya di mata rakyat dia yang sudah terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan Nabi Musa. Maka dia kena buat cerita yang itu semua adalah sihir yang dia pun boleh bawa juga.
فَاجعَل بَينَنا وَبَينَكَ مَوعِدًا
Maka tentukanlah antara kami denganmu, suatu tempoh pertemuan;
Firaun ajak buat pertemuan antara pasukannya dan Nabi Musa. Pertemuan untuk apa? Pertemuan untuk berlawan sihir. Kalau zaman sekarang, ianya adalah perjanjian untuk berdebat. مَوْعِدًا bermaksud masa dan tempat yang ditentukan dari awal lagi.
لَّا نُخْلِفُهُ نَحْنُ
yang kami tidak akan memungkirinya
Sekarang Firaun sendiri berjanji yang bila sudah buat perjanjian untuk sayembara itu, dia pasti akan datang.
وَلَا أَنتَ
dan tidak juga kamu;
Dan dia minta Nabi Musa pun jangan tak datang pula. Maka ini menunjukkan dia beriya-iya hendakkan pertemuan itu diadakan. Mungkin dia yakin yang dia akan menang.
مَكَانًا سُوًى
suatu tempat yang adil (bagi semua pihak).
Firaun mahu tempat yang adil untuk mereka berdua. Kenapa tiba-tiba Firaun jadi adil pula? Padahal dari dulu lagi dia tidak mengamalkan pemerintahan yang adil. Tapi kali ini macam bunyi adil pula.
Sebenarnya dia buat begitu kerana dia sudah takut. Dia sudah nampak dia dalam keadaan yang lemah sebenarnya kalau dibandingkan dengan kedudukan Nabi Musa. Dalam sudut hatinya, dia sudah tahu Musa adalah benar. Jadi dia cakap pertemuan itu pada tempat yang tidak berat sebelah kerana dia takut kalah. Dia nak pastikan peluangnya dan peluang Nabi Musa sama sahaja.
Kalimah سُوًى juga bermaksud tempat yang letaknya pertengahan, dari arah mana saja didatangi oleh kedua pihak jaraknya sama. Ini supaya senang nak berkumpul.
Ayat 59: Ini adalah jawapan Nabi Musa kepada ajakan Firaun itu.
قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى
[Moses] said, “Your appointment is on the day of the festival when the people assemble at mid-morning.”
Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.
قَالَ
Musa berkata;
Ini adalah jawapan dari Nabi Musa sebagai menjawab ajakan Firaun itu tadi. Kalau nak sayembara, boleh sahaja.
مَوْعِدُكُمْ
perjanjian kamu itu;
Musa menekankan bahawa Firaun yang minta pertemuan itu. Bukan dia yang ajak. Kalau kamu kalah nanti, jangan kamu salahkan aku pula.
يَوْمُ الزِّينَةِ
pada hari raya;
Pertarungan itu senang untuk dibuat pada hari raya, kerana semua orang tak kerja pada hari itu. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘Hari Perhiasan’. Ianya hari perayaan yang masyarakat itu menyambut beramai-ramai, keluar dengan pakai perhiasan.
Nabi Musa pilih hari itu untuk memastikan seramai mungkin manusia akan datang dan menyaksikan pertandingan itu. Bila bukan hari yang sibuk, maka ramai yang akan datang. Nabi Musa yakin dengan kemampuannya yang akan dibantu oleh Allah.
Ibn Abbas mengatakan hari raya itu adalah Hari Asyura.
وَأَن يُحْشَرَ النَّاسُ
Dan kumpulkanlah manusia;
Carilah tempat ramai orang akan berkumpul dan tempat itu mestilah terbuka. Supaya ramai orang boleh menyaksikan.
ضُحًى
Waktu dhuha;
Dan waktu yang paling sesuai adalah waktu Dhuha iaitu waktu hujung pagi. Iaitu matahari telah naik sepenggalah. Ianya adalah waktu yang paling sesuai kerana kalau awal sangat, suasana gelap sampai tak nampak apa yang berlaku. Kalau selepas waktu itu, cuaca sudah panas dan tidak selesa untuk orang ramai.
Nabi Musa dipandu oleh Allah untuk merancang sebegini sebab dia nak ramai orang akan datang. Waktu itu kenalah waktu yang selesa supaya ramai yang akan datang. Musa yakin dengan apa yang dia nak kata. Jadi dia hendak pastikan waktu itu ramai yang akan hadir dan menyaksikan perlawanan itu. Baginda akan dapat peluang untuk berdakwah kepada ramai orang pada satu masa.
Ayat 60: Firaun sudah mula takut. Dia sudah rasa dia kena luangkan masa untuk kena bersiap menentang Nabi Musa.
فَتَوَلّىٰ فِرعَونُ فَجَمَعَ كَيدَهُ ثُمَّ أَتىٰ
So Pharaoh went away, put together his plan, and then came [to Moses].
Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Dia mengumpulkan tipu-dayanya, kemudian dia datang ke tempat perlawanan.
فَتَوَلَّىٰ فِرْعَوْنُ
Maka Firaun pun berangkat
Iaitu berangkat dari majlis itu; Firaun pergi dan Musa pun pergi. Firaun hendak buat strategi dia. Dia tahu bahawa untuk mengalahkan Musa, dia kena buat perancangan yang rapi. Dalam surah yang lain disebut dia telah berbincang dengan para penasihat dia.
فَجَمَعَ كَيْدَهُ
Kemudian dia menghimpunkan berbagai-bagai rancangan tipudayanya;
Dia suruh dihantar utusan ke setiap pelusuk negara untuk mengumpulkan ahli sihir yang mahir-mahir. Itu disebut dalam ayat lain dalam Syuara:36-42. Dia telah bersidang dengan menteri-menterinya dan mereka yang suruh tangguh pertandingan itu dan cari ahli-ahli sihir yang hebat-hebat.
Dan manusia disuruh kumpul beramai-ramai supaya dengan ramai orang itu, akan menakutkan Nabi Musa. Ahli-ahli sihir itu dijanjikan dengan upah yang lumayan dan kedudukan yang tinggi dengan Firaun.
ثُمَّ أَتَىٰ
Kemudian dia datang;
Iaitu setelah sekian lama pengumpulan dijalankan, Firaun datang dengan ahli-ahli sihir itu pada hari yang telah dijanjikan. Riwayat ada mengatakan Firaun datang dengan 40 ahli sihir. Ada yang kata 72 orang. Ada riwayat yang kata sampai berpuluh ribu. Zaman itu memang ramai yang mengamalkan sihir. Itu sebab sampai boleh jadi banyak.
Kenapa perbandingan yang diceritakan dalam Surah Taha ini tentang perlawanan dengan ahli sihir? Mukjizat Nabi-Nabi memang ada berkaitan dengan amalan umat-umat mereka. Nabi Isa diberikan mukjizat boleh mengubat kerana masyarakat baginda waktu itu pandai dalam ilmu pengubatan. Nabi Muhammad dilahirkan dalam masyarakat suka dengan bahasa jadi baginda diberikan dengan mukjizat Qur’an yang hebat bahasanya.
Maka Nabi Musa diberikan dengan mukjizat yang boleh mengalahkan sihir pengamal sihir. Ini kerana zaman itu banyak pengamalan sihir dijalankan dan ahli sihir dipandang tinggi oleh masyarakat kerana dikira ‘orang pandai’. Semua mukjizat Nabi-nabi itu dapat mengalahkan perkara-perkara yang diamalkan kaum mereka. Nabi Isa boleh mengubat sampaikan penyakit kusta, orang buta yang lahir dari kecil lagi dan sebagainya.
Maka mukjizat Nabi Musa dapat mengalahkan sihir ahli sihir yang paling pandai sekalipun. Dan bahasa Qur’an mengalahkan dan menundukkan ahli bahasa yang paling mahsyur sekalipun pada zamannya, sampailah sekarang.
Ayat 61:
قالَ لَهُم موسىٰ وَيلَكُم لا تَفتَروا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسحِتَكُم بِعَذابٍ ۖ وَقَد خابَ مَنِ افتَرىٰ
Moses said to the magicians summoned by Pharaoh, “Woe to you! Do not invent a lie against Allah or He will exterminate you with a punishment; and he has failed who invents [such falsehood].”
Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.
قَالَ لَهُمْ مُوسَىٰ
Nabi Musa berkata kepada mereka;
Ini adalah dakwah Nabi Musa kepada tukang-tukang sihir itu, sebelum mereka sayembara.
وَيْلَكُمْ
Celaka kamu!
Perkataan وَيْلَكُمْ selalu digunakan untuk memarahi seseorang. Tapi ia juga boleh digunakan dengan maksud yang lain. Ia juga boleh digunakan untuk menyatakan kasihan kepada seseorang.
Dari apa yang kita tahu tentang Nabi Musa, sebenarnya baginda kasihan dengan ahli-ahli tukang sihir itu. Sebab Nabi Musa nampak kelebihan mereka. Mereka sebenarnya orang yang berilmu. Kerana untuk jadi tukang sihir, kenalah seorang yang pandai.
Cuma mereka telah tertipu dengan ilmu sihir. Mereka sangka ianya adalah ilmu yang boleh dipelajari sedangkan ia haram untuk dipelajari dan diamalkan. Nabi Musa juga telah nampak ada kebaikan dalam diri mereka. Kerana kita pun tahu, akhirnya mereka itu nampak kebenaran yang ada pada Nabi Musa dan mereka telah memeluk Islam akhirnya.
لَا تَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah;
Nabi Musa nasihat mereka: “kamu berkata kami (Nabi Musa dan Harun) mengamalkan sihir, tapi sebenarnya tidak. Kamulah sebenarnya yang mengamalkan sihir. Kamu membuat ilusi kepada orang ramai dengan tindakan kamu iaitu mengadakan hal yang sebenarnya tidak ada hakikat, seakan-akan ianya makhluk padahal sesungguhnya ia bukan makhluk yang hidup. Itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah.”
Boleh tak kita kata begini kepada mereka yang menentang kita nanti? Boleh. Inilah sunnah Nabi Musa. Kalau zaman sekarang caranya adalah dengan berdebat dengan pengamal ajaran sesat. Sebelum berdebat, kita kata kepada lawan kita yang tidak menggunakan nas yang sahih. Kita ingatkan mereka jangan berdusta atas nama Allah.
Kata kepada mereka: “Kamu kena bawa dalil yang sah. Bukan dari kata-kata manusia. Kena bawa dalil dari Qur’an dan Hadis yang sahih. Kerana kalau kamu kata sesuatu yang bukan datang dari Allah dan Nabi, itu adalah berdusta atas nama Allah. Kerana itu bukan dari agama Islam.”
Ini kena diingatkan kerana sekarang banyak sangat yang menggunakan hujjah ustaz mereka, guru mereka, ulama itu ini, kitab itu dan ini. Dan mereka tidak sebut pun mana ayat Qur’an, mana hadis Nabi. Mereka sangka kata-kata guru dan ulama atau dari kitab-kitab itu adalah dari agama. Belum tentu lagi. Kerana kalau kata-kata ulama dan kitab itu bukan berdasarkan dari Qur’an dan hadis, ianya belum tentu datang dari agama Islam. Itu mungkin pendapat mereka dan pendapat mereka itu mungkin salah kerana manusia tidak sunyi dari kesalahan.
Yang hanya selamat adalah hujah dari Qur’an dan hadis Nabi. Dan hadis Nabi itu pula hendaklah yang sahih. Kerana ada banyak hadis dalam dunia sekarang. Ada yang dhaif, malah ada yang palsu. Banyak tersiar hadis-hadis yang dhaif dan palsu dalam masyarakat sekarang. Ingatlah bahawa hadis yang dhaif dan palsu tidak dapat dijadikan hujjah. Malangnya masyarakat kita tidak belajar dan mereka pakai petik sahaja mana hadis yang mereka jumpa tanpa selidik sama ada ia sahih atau tidak.
Jadi Nabi Musa memberi nasihat kepada mereka supaya jangan menipu atas nama Allah. Kalau mereka hendak menipu Nabi Musa pun sudah salah besar. Tapi kali ini mereka hendak menipu atas nama Allah, maka itu lebih teruk lagi.
Jadi Nabi Musa telah memberi nasihat dan dakwah kepada mereka sebelum mereka bertarung.
فَيُسْحِتَكُمْ بِعَذَابٍ
kamu pasti akan ditimpa dengan azab api neraka;
Ingatlah bahawa segala perbuatan kita ada kesannya. Kalau salah amalan kita itu, kita akan diazab oleh Allah kalau kita tidak mohon keampunan dariNya. Allah tak lalai dari apa yang kita perbuat dan perkatakan. Semuanya ditulis dalam kitab amalan kita. Jangan kita senang-senang sahaja dakwa begitu begini.
وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرَىٰ
dan sesungguhnya amatlah rugi mereka yang mengadakan dusta terhadap Allah;
Makna خَابَ adalah perasaan yang sudah hilang harapan. Musa kata mereka akan jatuh sampai ke situ nanti kerana mereka berdusta atas nama Tuhan.
Dakwah Nabi Musa ada juga terkesan kepada mereka. Kerana ahli-ahli sihir itu ada kebaikan dalam diri mereka. Kita tahu kerana akhirnya mereka telah beriman.
Ayat 62: Ini adalah kesan daripada dakwah Nabi Musa kepada ahli-ahli sihir itu. Ada antara mereka yang sudah mula takut dan mempersoalkan tindakan mereka untuk berlawan dengan Nabi Musa.
فَتَنازَعوا أَمرَهُم بَينَهُم وَأَسَرُّوا النَّجوىٰ
So they disputed over their affair among themselves and concealed their private conversation.
Maka mereka pun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
فَتَنَازَعُوا أَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maka berbalah bantah puak-puak tukang sihir itu sesama mereka;
Ahli-ahli sihir itu sudah risau kalau benar-benar Nabi Musa itu seorang rasul. Kerana mereka tahu bahawa ucapan Nabi Musa itu bukanlah ucapan ahli sihir tapi adalah bunyi ucapan seorang Nabi. Mereka berbantahan sesama mereka, bukannya dengan Firaun dan kuncu-kuncunya.
Mereka takut kalau-kalau mereka menentang seorang rasul. Kerana tukang sihir zaman Nabi Musa adalah tok guru-tok guru yang dimuliakan dalam masyarakat. Jadi, mereka sebenarnya ada ilmu pengetahuan. Mereka tahu bahawa kalau seorang tukang sihir tidak akan bercakap sepertimana Nabi Musa.
Ini menunjukkan mereka terkesan dengan dakwah Nabi Musa dan mereka menilai balik sama ada patut atau tidak untuk mereka meneruskan pertarungan dengan Nabi Musa. Ini adalah suatu perdebatan yang hebat antara mereka.
وَأَسَرُّوا النَّجْوَىٰ
dan mereka rahsiakan apa yang mereka perbincangkan;
Apabila mereka berbantahan sesama mereka, orang lain sudah perasan. Maka mereka terus merendahkan suara mereka. النَّجْوَىٰ adalah apabila seseorang itu bercakap dengan nada suara yang perlahan, hanya berbisik-bisik sahaja.
Mereka takut kalau Firaun tahu apakah yang mereka sedang bincangkan. Tentu Firaun akan marah kalau dia tahu mereka sudah berbelah bahagi. Mereka tahu bahawa Firaun adalah seorang yang kejam.
Ayat 63: Akhirnya mereka sepakat untuk menentang juga Nabi Musa. Kerana ada yang bangun dan telah memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk meneruskan apa yang mereka telah disuruh oleh Firaun.
قالوا إِن هٰذانِ لَساحِرانِ يُريدانِ أَن يُخرِجاكُم مِن أَرضِكُم بِسِحرِهِما وَيَذهَبا بِطَريقَتِكُمُ المُثلىٰ
They said, “Indeed, these are two magicians who want to drive you out of your land with their magic and do away with your most exemplary way.
Mereka berkata: “Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
قَالُوا
Mereka berkata:
Iaitu ada sekumpulan dari kalangan tukang-tukang sihir itu. Ada golongan yang lebih takut kepada Firaun, dan mereka telah memenangi keadaan itu. Suara mereka lebih kuat dan mereka berjaya mempengaruhi yang lain. Mereka bangkit dan berkata kepada kawan-kawan mereka yang sedang goyang itu.
إِنْ هَٰذَانِ لَسَاحِرَانِ
sesungguhnya mereka berdua adalah ahli sihir yang mahir;
Mereka tekankan kepada kawan-kawan mereka bahawa memang Nabi Musa dan Harun adalah ahli sihir. Ini adalah tuduhan yang mereka gunakan kepada Nabi Musa dan Harun walaupun ianya tidak benar. Mereka kata kepada kawan-kawan mereka supaya jangan ragu tentang Nabi Musa dan Harun itu adalah ahli sihir.
يُخرِجاكُم مِن أَرضِكُم
mereka berdua ingin hendak mengeluarkan kamu semua dari negeri kamu;
Mereka ulang kata-kata tuduhan dari Firaun. Propaganda Firaun digunakan semula.
بِسِحْرِهِمَا
dengan sihir mereka berdua;
Mereka juga menggunakan hujah sihir yang sama dengan apa yang Firaun katakan sebelum itu. Mereka mengulang balik sahaja. Mereka mengikut slogan Firaun. Macam orang kita juga, apabila ketua politik telah kata sesuatu, mereka akan ikut.
Mereka ulang dan ulang apa yang pemimpin mereka katakan, entah benar entah tidak. Itu tidak kisah pada mereka, asalkan apa yang mereka kata itu selari sahaja dengan kata ketua mereka. Kerana kalau tak sama, boleh tak berasap dapur nanti.
وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ
dan hendak melenyapkan adat resam kamu;
Mereka rasa cara hidup mereka sudah tergugat.
الْمُثْلَىٰ
yang tinggi;
Mereka kata cara hidup mereka adalah cara hidup yang mulia. الْمُثْلَىٰ bermaksud ‘sesuatu yang dijadikan sebagai contoh’. Yang dijadikan ‘misal’ bandingan. Seperti kita pakai perkataan ‘Bapa Mithali’ (bapa contoh). Dan memang begitu pun kerana negara-negara sekeliling melihat Mesir sebagai negara contoh dan mereka mahu negara mereka jadi seperti Mesir.
Oleh itu, Mesir adalah satu negara yang disanjung tinggi. Mereka takut kalau Nabi Musa dibiarkan naik, mereka tidak akan disanjung tinggi lagi. Mereka menjadikan isu dakwah Nabi Musa dan Harun sebagai isu nasional. Mereka takut mereka tidak lagi dipandang mulia di belakang hari.
Macam sekarang, puak-puak ahli bidaah itu takut kalau ahli sunnah diberikan peluang berdakwah, mereka tidak lagi dipanggil ustaz dan guru lagi. Kerana apabila puak Sunnah naik, maka akan pecah tembelang mereka. Iaitu apa yang mereka ajar itu tidaklah benar. Selama ini mereka disanjung, ke mana sahaja mereka pergi, kata-kata mereka diikuti dan dipegang masyarakat. Nanti perkara yang mereka buat sudah tidak boleh dilakukan lagi kerana masyarakat sudah tahu yang itu semua adalah amalan bidaah belaka.
Oleh itu, propaganda menggunakan isu ini telah digunakan dahulu lagi. Zaman Nabi Musa, zaman Nabi Muhammad dan juga zaman sekarang pun. Maka tidak perlu hairan. Kerana itu kita selalu dengar hujah begini: “amalan ini tok nenek kita sudah lama amalkan, tiba-tiba datang puak Wahabi ni kata ini amalan salah pulak!”
Ayat 64:
فَأَجمِعوا كَيدَكُم ثُمَّ ائتوا صَفًّا ۚ وَقَد أَفلَحَ اليَومَ مَنِ استَعلىٰ
So resolve upon your plan and then come [forward] in line. And he has succeeded today who overcomes.”
“Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini”.
فَأَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ
Maka bersatulah dengan rancangan sihir kamu;
Golongan itu kerahkan kawan-kawannya yang lain untuk bawa keluar semua sihir mereka yang hebat-hebat. Jangan simpan-simpan ilmu sihir yang mereka ada, keluarkan semuanya. Zaman sekarang ini pun macam-macam sihir yang digunakan manusia. Dengan ilmu kebal, panah arjuna, jalan atas air, atas api dan sebagainya.
Mereka mengerahkan semuanya kembali kepada rancangan mereka iaitu menentang Nabi Musa.
ثُمَّ ائْتُوا صَفًّا
kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya;
Mereka suruh datanglah dengan berbangga. Sebab mereka ramai. Maka kena bergembleng tenaga supaya lebih kuat dan padu serangan mereka nanti. Mereka sangka mereka lagi kuat dan mereka akan memenangi perlawanan itu.
وَقَدْ أَفْلَحَ الْيَوْمَ
sesungguhnya akan berjayalah pada hari ini
Yang penting, mereka kena berjaya. Kenapa kena berjaya? Kerana mereka akan dapat habuan yang banyak dari Firaun.
مَنِ اسْتَعْلَىٰ
orang-orang yang menang;
Iaitu mereka yang berada di atas dari lawannya yang akan beruntung. Mereka rasa mereka akan menang kerana mereka ramai dan Musa dan Harun hanya berdua sahaja.
Perkataan اسْتَعْلَىٰ bermaksud ‘naik tinggi’. Yang dapat mengalahkan musuh akan naik tinggi pada hari itu. Macam mana tahu siapa yang menang? Yang menang adalah sesiapa yang dapat menakjubkan masyarakat yang melihat nanti. Mereka sudah terbayang kejayaan yang mereka sangka mereka akan dapat. Mereka sudah terbayang segala kemewahan dan ketinggian kedudukan yang telah dijanjikan Firaun kepada mereka.
Pada zaman Nabi Muhammad, Puak Quraish ada banyak helah dan mereka begitu ramai sekali. Dan sahabat sedikit sahaja dan nampak lemah kalau dibandingkan dengan mereka. Ayat ini hendak menunjukkan contoh bagaimana Nabi Musa dulu pun perlu memerangi puak sesat yang ramai.
Zaman kita pun sekarang pun kadang-kadang kita yang mengamalkan sunnah pun sikit sahaja. Kita kena menentang puak bidaah yang ramai yang suara yang lebih kuat kerana ramai yang ikut mereka. Maka dari ayat ini kita tahu yang itu adalah perkara biasa dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Selalunya yang benar itu hanya sedikit sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 10 Mei 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain