Tafsir Surah Baqarah Ayat 198 – 202 (Minta dunia dan akhirat)

Ayat 198:

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم ۚ فَإِذا أَفَضتُم مِّن عَرَفَـٰتٍ فَاذكُرُوا اللَّهَ عِندَ المَشعَرِ الحَرامِ ۖ وَاذكُروهُ كَما هَدَٮٰڪُم وَإِن كُنتُم مِّن قَبلِهِ لَمِنَ الضّالّينَ

Sahih International

There is no blame upon you for seeking bounty from your Lord [during Hajj]. But when you depart from ‘Arafat, remember Allah at al- Mash’ar al-Haram. And remember Him, as He has guided you, for indeed, you were before that among those astray.

 

Malay

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

 

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّنْ رَّبِّكُمْ

Dan tidak menjadi dosa atas kamu untuk kamu mencari kurnia dari Tuhan kamu;

Iaitu mencari kurnia rezeki dengan berniaga semasa mengerjakan Haji. Allah ‎ﷻ benarkan orang yang sedang mengerjakan Haji untuk berniaga semasa di sana. Maklumlah peluang setahun sekali berkumpul Muslim dari seluruh dunia.

Kita hendak juga beli barang barang dari negara lain. Maka dibenarkan bertukar jual beli untuk kebaikan. Boleh bawa barang-barang jualan untuk diniagakan di sana. Dahulu pun Mekah adalah tempat perniagaan.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata ‘tidak berdosa’? Ini adalah kerana pada Zaman Jahiliah dahulu, mereka mengambil peluang musim Haji untuk membuka bazar besar-besaran, membuat pertunjukan dan berniaga besar-besaran. Jadi, apabila mereka sudah masuk Islam, mereka takut dan rasa bahawa perbuatan menjalankan perniagaan waktu itu adalah berdosa kerana waktu itu sepatutnya digunakan untuk bermunajat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Sebab itu Allah ‎ﷻ kena beritahu bahawa ia tidak berdosa.

Tetapi, walaupun dibenarkan, perlulah berjaga-jaga. Janganlah pula jadikan tujuan utama pergi Haji itu sebagai peluang untuk berniaga. Ia berbalik kepada tujuan asal dan niat kita. Kalau niat kita adalah kerana hendak menunaikan ibadat Haji, ikhlas kerana Allah ‎ﷻ, maka bolehlah menjalankan perniagaan untuk mendapatkan sumber pendapatan untuk menjalankan ibadah Haji itu.

Kena tengok apakah niat yang paling kuat. Maka kalau berniaga itu niat kedua sahaja, maka ia dibolehkan. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang ada kekurangan dalam perbelanjaan. Namun jangan berlebih-lebih. Kena ingat tujuan asal ke situ.

 

فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِّنْ عَرَفَـٰتٍ

Maka apabila kamu bergerak dari Arafah

Perkataan أَفَضْ dari segi bahasa bermaksud ‘melimpah’. Seperti kalau kita menuang air ke dalam cawan dan cawan itu penuh, maka air yang kita tuang itu akan melimpah keluar. Ini kerana orang ramai sangat di Padang Arafah pada waktu itu, nampak seolah-olah manusia-manusia itu melimpah turun dari Arafah.

Ia juga memberi isyarat mereka bergerak dengan cepat kerana air pun bergerak dengan cepat apabila melimpah. Mereka yang mengerjakan Haji akan pergi ke Arafah pada hari ke 8 dan akan tinggal selama sehari di situ.

Arafah dari lafaz عرف yang bermaksud ‘tahu’ – arif. Ia adalah tempat untuk manusia mengenal Allah ‎ﷻ dan mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Di sinilah mereka akan terbangkit perasaan dan kesedaran betapa kerdilnya mereka kalau dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Mereka dapat tahu dengan mendalam betapa mereka memerlukan Allah ‎ﷻ.

Di sinilah juga mereka dapat rasa bagaimana keadaannya nanti apabila seluruh makhluk akan dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ dalam keadaan berbondong-bondong dan bersesak-sesak.

Jemaah Haji sedang wukuf di Arafah
Jama’ah Haji sedang wukuf di Arafah

 

Salah satu daripada Rukun Haji adalah Wukuf di Arafah pada 9 DzulHijjah. Dalam satu hadith Nabi ﷺ pernah bersabda:

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَا حَدَّثَنَا وَكِيعٌ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ بُكَيْرِ بْنِ عَطَاءٍ سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ يَعْمَرَ الدِّيلِيَّ قَالَ شَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ وَاقِفٌ بِعَرَفَةَ وَأَتَاهُ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ الْحَجُّ قَالَ الْحَجُّ عَرَفَةُ فَمَنْ جَاءَ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ لَيْلَةَ جَمْعٍ فَقَدْ تَمَّ حَجُّهُ أَيَّامُ مِنًى ثَلَاثَةٌ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ثُمَّ أَرْدَفَ رَجُلًا خَلْفَهُ فَجَعَلَ يُنَادِي بِهِنَّ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَنْبَأَنَا الثَّوْرِيُّ عَنْ بُكَيْرِ بْنِ عَطَاءٍ اللَّيْثِيِّ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَعْمَرَ الدِّيلِيِّ قَالَ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَجَاءَهُ نَفَرٌ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ فَذَكَرَ نَحْوَهُ قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى مَا أُرَ لِلثَّوْرِيِّ حَدِيثًا أَشْرَفَ مِنْهُ

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Ali bin Muhamad, keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami Waki’; telah menceritakan kepada kami Sufyan dari Bukair bin Atha`; Aku mendengar Abdurahman bin Ya’mar Ad-Dili, beliau berkata; “Aku menyaksikan Rasulullah  ﷺ ketika sedang wukuf di Arafah, dan sekelompok orang dari kalangan penduduk Najd mendatangi baginda, mereka bertanya; ‘Wahai Rasulullah, bagaimana (cara melaksanakan) haji? ‘ Baginda menjawab: ‘ Haji itu adalah Arafah. Maka barang siapa datang ke Arafah sebelum fajar malam berkumpulnya manusia, maka telah sempurnalah ibadah haji. Hari-hari Mina itu tiga hari, barangsiapa ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tidak ada dosa baginya, dan barang siapa ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari), maka tidak ada dosa pula baginya.’ Kemudian seorang lelaki di belakang baginda mengiringi ucapannya dan turut menyerukan ucapan tersebut.’ Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yahya; telah menceritakan kepada kami Abdurrazak; telah memberitakan kepada kami Ats Tsauri dari Bukair bin Atha` Al Laitsi dari Abdurrahman bin Ya’mar Ad Dili berkata; Aku mendatangi Rasulullah ﷺ di Arafah, lalu datanglah seseorang dari penduduk Najd, lalu beliau sebutkan hadith tersebut. Muhammad bin Yahya berkata; Aku tidak diperlihatkan dari Ats Tsauri sebuah hadith yang lebih baik dari ini.” (Sunan Ibnu Majah Hadith no. 3006)

Hari Arafah juga adalah satu hari utama dalam sejarah Islam. Hari Arafah adalah hari disempurnakannya Islam dan dicukupkan nikmat.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ الْحُمَيْدِيُّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ مِسْعَرٍ وَغَيْرِهِ عَنْ قَيْسِ بْنِ مُسْلِمٍ عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْيَهُودِ لِعُمَرَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ لَوْ أَنَّ عَلَيْنَا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا } لَاتَّخَذْنَا ذَلِكَ الْيَوْمَ عِيدًا فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي لَأَعْلَمُ أَيَّ يَوْمٍ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ نَزَلَتْ يَوْمَ عَرَفَةَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ سَمِعَ سُفْيَانُ مِنْ مِسْعَرٍ وَمِسْعَرٌ قَيْسًا وَقَيْسٌ طَارِقًا

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Zubair Al Humaidi telah menceritakan kepada kami Sufyan dari Mis’ar dan lainnya dari Qais bin Muslim dari Thariq bin Syihab beliau berkata, “Seorang lelaki Yahudi berkata kepada Umar رضي الله عنه, “Wahai Amirul Mukminin, ada satu ayat dalam kitab kalian yang kalian baca, kalau ayat itu diturunkan kepada kami, orang-orang Yahudi, pasti kami menjadikan hari diturunkannya itu sebagai hari raya.“ Umar رضي الله عنه berkata, “Ayat yang mana itu?“ Dia menjawab, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu.“ (QS al-Maidah [5]: 3). Umar رضي الله عنه menjawab, “Kami mengetahui hari dan tempat diturunkannya ayat kepada Nabi ﷺ pada saat itu baginda berada di Arafah pada hari Juma’at.“ (Sahih Bukhari Hadith no. 6726)

 

فَاذْكُرُوا اللَّهَ

hendaklah kamu ingat kepada Allah

Hendaklah ingat kepada Allah ‎ﷻ banyak-banyak. Memang semasa melakukan ibadah, kita kena ingat untuk Siapa kita lakukan ibadah itu.

 

عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ

ketika kamu di Masy’ar Al-Haraam; 

Masa itu keadaan sudah menjadi payah kerana orang yang amat ramai. Maka semua kena ingat kepada Allah ‎ﷻ lebih-lebih lagi ketika di satu bukit dekat Muzdalifah. Sebab itulah diwajibkan untuk bermalam di Muzdalifah.

Masy’ar Al-Haraam merujuk kepada bukit Muzdalifah. Kalimah مَشْعَرِ adalah sesuatu yang membangkitkan perasaan dalam hati kita.

Kenapa di sini Allah ‎ﷻ suruh ingat Dia banyak-banyak? Kerana semasa di Arafah itu, manusia ramai sangat, takut kita sibuk tengok orang lain. Waktu itu bercampur lelaki dan perempuan. Ada bangsa yang kita tidak biasa tengok. Ada yang datang dari luar negara. Jadi ada kemungkinan ramai sudah tidak ingat Allah ‎ﷻ, tetapi sibuk tengok orang di sekeliling.

Bermacam-macam perangai boleh dilihat di situ yang boleh mengasyikkan kita. Sebab ramai datang dari segala pelusuk dunia dengan berbagai ragam masing-masing. Itulah dugaan semasa berada di situ. Maka kena kuatkan diri untuk ingat Allah ‎ﷻ di situ.

Dalam ibadat Haji, di sini perlu dilakukan salat Maghrib dan Isyak secara jamak dalam waktu Isyak kerana Nabi ﷺ telah melakukannya begitu.

 

وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَٮٰڪُم

Dan ingatlah Dia sepertimana Dia telah beri hidayat kepada kamu;

Kita pergi Haji kerana Allah ‎ﷻ telah beri hidayah kepada kita masuk Islam. Inilah masanya untuk mengingati Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya, mensyukuri-Nya dan bermunajat kepada-Nya. Waktu itu walaupun kita dalam limpahan manusia yang ramai, tetapi cubalah duduk berseorangan dengan Allah ‎ﷻ. Waktu itu bukanlah kita sepatutnya bercakap-cakap dengan orang lain. Tetapi bercakaplah dengan Allah ‎ﷻ dalam bahasa yang kita faham.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ telah beri hidayah kepada kamu sampai kamu boleh datang ke Mekah. Hendak sampai pun sudah doa sakan – berdoa supaya Allah ‎ﷻ memudahkan kumpul duit, selamat sampai ke sana dan macam-macam lagi. Masa kamu hendak ke Mekah kamu sudah banyak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, maka semasa di Mekah kamu kena doa lebih banyak lagi.

Lafaz ‘Ingatlah Dia seperti yang Dia telah beri hidayah kepada kamu’ juga bermaksud: dalam segala ibadat kita, zikir kita, hendaklah mengikut cara yang Allah ‎ﷻ telah ajar. Janganlah reka cara-cara yang baru. Ini menekankan kepentingan kita belajar sunnah dan jangan buat amalan bid’ah dalam agama. Termasuk dalam perkara ini, ibadah Haji itu mestilah dijalankan sebagaimana yang diajar oleh Nabi ﷺ.

 

وَإِنْ كُنْتُمْ مِّنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Dan kamu sebelum ini adalah dari golongan yang sesat.

Sebelum ini kita tidak tahu bagaimana hendak buat ibadah. Kita dahulu, tidak tahu agama. Kepada para sahabat, mereka dahulu syirik dan jahil agama dan sunnah. Kita pun sekarang, ada dahulu yang buat amal syirik, buat amal bid’ah, buat banyak salah. Tetapi Allah ‎ﷻ masih beri hidayah sampai boleh buat Haji, sampai boleh kenal agama. Maka bersyukurlah.


 

Ayat 199: Ayat tentang pembaikan akidah dan cara bagaimana untuk melakukannya. Orang Quraish waktu itu berlagak sombong. Mereka kata mereka adalah penjaga Mekah yang mulia, maka mereka tidak perlu berkumpul di Padang Arafah dengan orang luar lain yang ramai-ramai itu. Mereka kata mereka kena berkumpul tempat lain.

ثُمَّ أَفيضوا مِن حَيثُ أَفاضَ النّاسُ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sahih International

Then depart from the place from where [all] the people depart and ask forgiveness of Allah. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

 

Malay

Kemudian itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ

Dan bergeraklah dari tempat mana bergeraknya manusia;

Iaitu, bergerak turunlah dari Arafah. Kenapa Allah ‎ﷻ cakap begini? Sekarang kita tidak berasa apa sangat, sebab kita tidak tahu kisah yang terjadi dahulu. Kenapa Allah‎ ﷻ suruh buat macam ini?

Pada zaman dahulu, kaum Quraish yang menjaga Kaabah, mereka wukuf di Muzdalifah, bukan di Arafah. Ini kerana mereka kata wukuf di Arafah itu adalah bagi orang awam, bukan untuk orang Quraish. Mereka rasa mereka lain sedikit dari orang lain. Mereka kata, kerana mereka penjaga Tanah Haram, maka mereka tidak patut keluar dari Tanah Haram. Ini adalah kerana Muzdalifah masih lagi dalam Tanah Haram tetapi Arafah sudah keluar dari Tanah Haram.

Mereka buat bid’ah sendiri. Mereka telah buat amalan dan syarat sendiri, padahal mereka yang menjaga Kaabah pada masa itu. Begitulah buruk mereka yang menambah-nambah perkara dalam agama.

 

وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ

dan hendaklah kamu beristighfar banyak-banyak kepada Allah;

Atas dosa-dosa lama yang telah diperbuat. Ini adalah masa yang amat sesuai untuk meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kamu dahulu sangka kamu itu mulia dan kamu telah reka cara ibadah yang lain daripada yang diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka bertaubatlah di atas dosa kamu itu.

Secara umum pula, walaupun kita telah melakukan sesuatu ibadah, kita masih lagi disuruh untuk meminta ampun. Kenapa pula begitu, sedangkan kita baru sahaja melakukan ibadah? Kalau kita lihat sunnah Nabi ﷺ juga, selepas setiap kali salat, baginda akan istighfar tiga kali.

Ini mengajar kita, walaupun kita sudah buat ibadah, namun ibadah itu masih tidak cukup lagi. Apa yang kita lakukan tidak mungkin dapat membalas segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Walaupun kita telah melakukan ibadah, tetapi ada kemungkinan ada kesalahan dan kekurangan dalam ibadah kita itu sampaikan ibadah itu tidak sempurna. Maka, kita istighfar atas kekurangan yang kita lakukan itu. Ini mendidik hati kita supaya tidak ada perasan ujub dalam diri kita.

Kalau orang yang buat amal ibadah pun diajar untuk istighfar, bayangkan pula kepada mereka yang tidak melakukan ibadah langsung?

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Belas Kasihan.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima taubat hamba-Nya. Apabila Allah ‎ﷻ sudah terima taubat, Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab lagi mereka yang telah diampunkan.


 

Ayat 200: Masih lagi tentang hukum Haji. Ini adalah teguran Allah ‎ﷻ tentang cara berdoa.

فَإِذا قَضَيتُم مَّنَـٰسِكَڪُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم ءَابَآءَڪُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ

Sahih International

And when you have completed your rites, remember Allah like your [previous] remembrance of your fathers or with [much] greater remembrance. And among the people is he who says, “Our Lord, give us in this world,” and he will have in the Hereafter no share.

 

Malay

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

 

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَّنَـٰسِكَڪُم

Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu;

Apabila sudah melontar, sudah cukur dan sudah tawaf. Iaitu selesai sudah segala ibadat Haji dengan buat segala rukun-rukun Haji.

 

فَاذْكُرُوا اللَّهَ

maka sentiasalah ingat Allah;

Bermakna, dalam kita buat segala ibadat Haji itu, hendaklah ingat Allah ‎ﷻ sentiasa.

 

كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَڪُم

sepertimana kamu dahulu menyebut-nyebut tok nenek kamu;

Musyrikin Mekah apabila Haji sudah hendak habis, mereka memuji keturunan mereka. Mereka siap buat majlis besar-besaran di mana mereka akan membacakan puisi. Mereka menceritakan tentang keturunan mereka yang pahlawan yang berani, gagah, dermawan dan sebagainya. Ini kerana kesukaan mengisi masa lapang mereka pada waktu itu adalah bercerita tentang orang-orang yang sudah berlalu.

Ini tidak elok dilakukan kerana akan menyebabkan ada yang berasa hati sampaikan selepas mengerjakan ibadah Haji, terjadi perpecahan umat, sedangkan sepatutnya ibadah Haji itu untuk mengeratkan umat Islam sedunia. Tambahan pula ia adalah perbuatan yang membuang masa di tempat yang mulia.

Kita pula ada juga membanggakan puak-puak kita. Selalunya berkenaan politik dan keturunan dulu-dulu. Sudah bercerita tentang politik pula di sana. Kita pun suka juga bersembang. Tentang macam-macam hal kehidupan, tentang filem, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang orang itu dan ini. Kalau kita pun buat begitu juga, kita tidak mengikuti ayat ini.

Allah ‎ﷻ suruh kita ingat tentang Allah ‎ﷻ macam kita ingat tentang benda-benda itu. Kena tinggalkan tentang dunia dan ingat kepada Allah ‎ﷻ.

 

أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا

atau lebih lagi ingat (kepada Allah);

Kenalah kita ingat kepada Allah ‎ﷻ lebih lagi daripada yang lain. Sembahyang adalah sebaik-baik cara mengingati Allah ‎ﷻ.

 

فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

Maka ada di antara manusia (semasa buat haji) yang berdoa:

Peluang apabila berada di Tanah Haram adalah untuk berdoa kerana ia merupakan salah satu tempat yang makbul doa. Apatah lagi waktu itu kita sedang melakukan ibadah yang besar. Seperti yang kita selalu diingatkan, doa amat molek dilakukan selepas melakukan ibadah.

 

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dunia;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang pergi mengerjakan Haji adalah untuk keduniaan sahaja. Mereka hanya mahukan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya minta ‘dunia’, bukan ‘kebaikan’ di dunia pun. Zaman Jahiliyyah dahulu, antaranya mereka minta tahun itu kesuburan tanah, hujan, anak dan sebagainya.

Zaman sekarang pun ramai yang macam itu juga. Mereka minta projek dari kerajaan, rezeki yang banyak, kejayaan dalam perniagaan, anak, pasangan dan macam-macam lagi.

Allah ‎ﷻ menegur ramai yang doa begini. Sampai mereka buat sembahyang hajat di Mekah sebab hendakkan hal dunia. Ada yang pergi Umrah, sebab hendak kahwin, siap pergi dengan pasangannya yang mereka belum kahwin lagi. Atau ramai yang berdoa di sana kerana hendakkan projek kerajaan. Tidak salah kita minta hal dunia, tetapi kita kena banyakkan lagi minta hal akhirat. Dalam ayat ini, mereka minta hal dunia sahaja.

Memang Allah ‎ﷻ suruh kita berdoa dalam semua perkara. Sampaikan kalau tali kasut terputus pun, ada hadith Nabi ﷺ kata kena doa kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi kita berdoa kena ada kepentingan akhirat lebih daripada dunia. Kena lebihkan tentang akhirat. Jangan lebihkan tentang dunia sahaja. Kepentingan kita sepatutnya tentang akhirat.

wp-1579436196434.jpg

 

وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ

maka tidak ada bagi orang itu, bahagian di akhirat, apa-apa balasan baik pun;

Mereka tidak diberikan dengan kelebihan di akhirat kerana mereka hanya hendakkan hal dunia sahaja.


 

Ayat 201: Allah ‎ﷻ tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Sahih International

But among them is he who says, “Our Lord, give us in this world [that which is] good and in the Hereafter [that which is] good and protect us from the punishment of the Fire.”

 

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

 

وَمِنْهُمْ مَّنْ يَقُولُ

Dan ada di antara mereka yang berdoa:

Ini adalah cara berdoa yang betul. Doa ini pun kita selalu sangat baca.

 

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;

Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tetapi ‘kebaikan di dunia’. Ada beza antara keduanya.

Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Hasanah di sini adalah: Al-Qur’an dan Hadith. Iaitu ilmu kefahaman Al-Qur’an dan Hadith. Kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ia bermula dari situ.

Dengan memahami Al-Qur’an dan Hadith, kita akan faham agama keseluruhannya. Tetapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka sangka mereka meminta harta dan kesenangan dunia. Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadith. Kerana ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tetapi mereka salah faham tentang makna doa ini.

Ada lagi tafsir lain bagi maksud ayat ini: Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebaikan dunia’? Ia adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati. Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai boleh menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada.

Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak. Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu. Sebelum mereka mendapat yang ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka.

Namun kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama dari bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.

Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.

Dan boleh juga bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Al-Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga. Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan.

Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infak duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.

 

وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً

dan kebaikan di akhirat;

Kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga. Kena minta dimasukkan ke dalam syurga.

 

وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

dan selamatkanlah kami dari azab api Neraka;

Kenapa kita minta diselamatkan daripada api neraka sedangkan kita sudah minta dimasukkan ke dalam syurga? Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tetapi mereka kena masuk neraka terlebih dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka.

Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan daripada api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun. Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.

Nabi ﷺ tidak pernah lupa untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Tetapi janganlah kita sangka hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tetapi doalah selepas itu. Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja.

Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Inilah sahaja doa yang tsabit dari Nabi ﷺ yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain. Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Tetapi kalau kita mahu doa yang tsabit dari Nabi ﷺ, inilah doa yang baginda baca.

Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf. Tidak perlu buka buka buku yang agensi bagi sampai berjenis-jenis doa yang hendak dibaca.


 

Ayat 202:

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Sahih International

Those will have a share of what they have earned, and Allah is swift in account.

 

Malay

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.

 

أُولَٰئِكَ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini;

Iaitu mereka yang meminta kebaikan dunia dan akhirat. Yang minta kefahaman isi kandung Al-Qur’an dan hadith. Sebab ada juga yang belajar, tetapi tidak faham-faham. Kadang-kadang ada yang belajar dalam kelas yang sama, tetapi mendapat kefahaman yang berlainan. Ini kerana kefahaman itu Allah ‎ﷻ yang beri, bukan dari guru atau dari kepandaian kita sendiri.

Maka hendaklah kita selalu berdoa: Rabbi zidni ilma, supaya Allah ‎ﷻ memberikan kefahaman agama kepada kita. Ada yang memang sudah hendakkan kebaikan dalam agama, tetapi sesat juga. Macam kumpulan Arqam dulu, perempuan mereka sudah pakai purdah, mereka juga selalu berdakwah, sistem ekonomi mereka sudah hebat, namun ibadat mereka tidak diterima kerana syirik kepada Allah ‎ﷻ. Abuya sudah mati pun, mereka berbuat syirik lagi kerana mereka kata Abuya boleh datang menolong mereka lagi dan sebagainya.

Syarat diterima ibadat dan amalan adalah, ibadat itu mesti dari yang Nabi ﷺ ajar. Kena dapatkan amalan itu dari hadith yang sahih. Hadith yang dhaif pun sudah tidak boleh dipakai. Apatah lagi kalau amalan itu diambil dari pendapat guru sahaja? Lagilah tidak boleh diterima. Itu adalah usul fiqah.

Oleh kerana tidak fahamlah yang menyebabkan banyak amalan bid’ah dibuat. Antaranya, mereka raup muka selepas salat, buat talqin dan tahlil dan sebagainya. Semuanya kerana mengikut kata tok guru-tok guru mereka. Padahal Nabi ﷺ tidak ajar umat Islam buat sebegitu. Padahal dalam dua kalimah syahadah kita, kita kata kita hendak ikut Nabi Muhammad ﷺ. Namun, malang sekali ada yang mereka-reka agama.

Ini semua kerana tidak mahu belajar. Dalam Al-Qur’an dikatakan bahawa neraka Jahannam itu adalah untuk orang-orang yang sombong. Sombong yang bagaimana? Sombong tidak mahu belajar agama. Apabila tidak belajar, maka mereka tidak tahu tentang agama. Apabila tidak tahu, maka mereka akan berbuat kesalahan dan kesilapan yang banyak.

 

لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا

bagi mereka ada bahagian besar dari apa yang mereka usahakan;

Mereka yang minta dunia dan akhirat sekali, Allah ‎ﷻ boleh beri kepada mereka. Inilah pengharapan yang boleh kita hendak harapkan. Kalau buat perkara bid’ah, jangan angan-angan atau harap boleh dapat pahala.

Namun banyak betul masyarakat kita yang berangan-angan yang amalan yang mereka buat itu tentulah Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran kerana kononnya mereka buat dengan ikhlas. Mereka tidak faham tentang maksud ‘ikhlas’ itu. Tidak semestinya cukup dengan kita ikhlas sahaja. Amalan yang ikhlas itu mestilah amalan yang Nabi ﷺ pernah buat juga.

 

وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan Allah amat cepat hisab-Nya;

Perhitungan amal manusia sekejap sahaja, iaitu separuh hari sahaja. Di Mahsyar nanti di tempat yang gelap gelita, semua bangkit seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Semuanya dibangkitkan serentak dari mereka yang mula hidup sampai yang akhir sekali mati. Tidak terbayang ramainya dibangkitkan. Tanah Mahsyar itu terlalu rata sampaikan tidak ada bonggol atau lopak.

Kita akan bergerak dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Yang beriman akan dapat kenderaan yang istimewa. Kemudian ada juga yang dapat kenderaan, tetapi bergantung kepada tahapnya. Akhir sekali ada yang jalan dengan muka. Bagaimana hendak bayangkan berjalan dengan muka? Tidak menjadi masalah, kerana sekarang di dunia pun kita boleh lihat ular pun Allah ‎ﷻ beri jalan dengan badan dia.

Apabila sampai, semua makhluk duduk bersaf-saf dalam keadaan telanjang bogel. Tidak berani bertegur sapa antara satu sama lain. Semua duduk dalam keadaan senyap, hanya dengar bunyi tapak kaki para malaikat sahaja. Semua senyap menanti perbicaraan. Oleh itu, kita hendaklah berlindung diri dari azab menunggu yang lama. Ini kerana ada yang dapat tempat perlindungan yang istimewa.

Semua makhluk bicara berseorangan dengan Tuhan. Hanya kita dan Allah ‎ﷻ. Setiap makhluk akan baca amalan mereka sendiri. Malaikat Raqib Atid akan duduk di kiri kanan kita. Ada yang Allah ‎ﷻ akan suruh malaikat campak buku amalan orang itu. Raqib akan kata dia sebagai saksi mengatakan orang itu buat amalan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ kata Raqib tidak tahu apakah isi hati orang itu semasa melakukan amalan ibadat itu.

Malaikat tidak tahu bahawa semasa melakukan ibadat itu, orang itu tidak ikhlas. Sedangkan malaikat pun tidak tahu isi hati kita, bagaimana pula kita boleh kata ada guru yang tahu isi hati manusia? Itu adalah faham yang sesat. Mereka kata guru itu boleh dapat ‘ilham’. Itu adalah syirik kerana yang tahu isihati manusia, hanyalah Allah ‎ﷻ. Kalau kita sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ, ingatlah bahawa amal ibadat kita tidak diterima.

Waktu itu mulut tidak berkata-kata, tetapi tubuh badan kita pula berkata-kata sebagai saksi ke atas kita. Kaki, tangan, mata dan sebagainya. Kemudian kita disuruh baca sendiri amalan kita. Kalau Tuhan tanya sahaja, ‘Kenapa?’, itu sudah tanda kena masuk neraka. Maka, janganlah kita buat amal ibadah yang bukan dari sumber yang sah kerana kita tidak akan dapat hendak jawab kepada Allah ‎ﷻ kalau kita melakukan bid’ah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 9 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s