Tafsir Surah Baqarah Ayat 138 – 142 (Ahli Kitab buat bidaah)

Ayat 138: Sekarang kita akan belajar tentang Celupan Allah ‎ﷻ. Ia bermaksud Agama Allah ‎ﷻ. Dalam Kristian, mereka guna baptis – rendam dalam air.

صِبغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبغَةً ۖ وَنَحنُ لَهُ عَـٰبِدُونَ

Sahih International

[And say, “Ours is] the religion of Allah . And who is better than Allah in [ordaining] religion? And we are worshippers of Him.”

Malay

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

 

صِبْغَةَ اللَّهِ

Celupan Allah.

Allah ‎ﷻ menghendaki kita untuk ‘mencelupkan’ diri kita dengan ‘celupan Allah ‎ﷻ’. Bayangkan kalau kita memasukkan kain yang putih ke dalam celupan nila berwarna biru. Selepas beberapa lama, kain itu akan bertukar kepada warna biru keseluruhannya.

Itulah imej yang boleh kita bayangkan. Allah ‎ﷻ mahukan kita memasukkan keseluruhan diri kita ke dalam beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan sedikit-sedikit. Kita kena ikut Allah ‎ﷻ secara keseluruhan.

Bagaimana cara masuk Islam? Cara pengislaman adalah dengan syahadah pada lidah dan tasdiq (pengakuan) pada hati serta lakukan amalan Islam – inilah cara yang diajar apabila masuk Islam. Tetapi Yahudi dan Nasara ada cara mereka – mereka kena mandi dengan air kuning (baptis). Jadi mereka tanya kepada orang Islam: masuk Islam celup macam mana yang kamu pakai?

Mereka kata hendak masuk agama ada cara tradisi macam mereka celup itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang itu adalah rekaan mereka sahaja, tidak ada perkara sebegitu yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka yang reka bidaah itu. Allah ‎ﷻ tidak terima cara mereka, tetapi Allah ‎ﷻ terima cara Dia sahaja.

Kita terima cara celupan Allah ‎ﷻ sahaja iaitu dengan mengucap syahadah itu. Dengannya, Allah ‎ﷻ ubah akidah kita daripada syirik kepada tauhid; daripada khurafat kepada syariat. Yang kita perlu lakukan: Betulkan akidah dan betulkan amalan, betulkan adat supaya menepati kehendak syariat, itu sudah masuk agama Islam. Tidak perlu kepada proses seperti yang mereka lakukan itu.

 

وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً

Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah daripada Celupan (Agama)?

Kalau mereka kata kena juga ikut cara mereka, atau kena ada cara yang khusus, tanya kepada mereka; ada lagikah celupan lain yang mereka rasa lebih baik daripada Celupan Allah ‎ﷻ? Tentu tidak akan ada cara lain.

 

وَنَحْنُ لَهُ عَـٰبِدُونَ

Dan sesungguhnya terhadap Allah sahaja kami menghambakan diri;

Maknanya, kita kena kata dan mengaku yang kita berserah menghambakan diri dan berdoa hanya kepada Allah ‎ﷻ.

Kita menegaskan bahawa kita hanya beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita cakap begitu kerana Ahli Kitab itu walaupun mereka kata mereka beribadat kepada Allah ‎ﷻ, namun hakikatnya, mereka tidak hanya beribadat kepada Allah. Mereka ada juga menghambakan diri kepada entiti-entiti yang lain.

Ahli Kitab sangka mereka telah menyembah Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya mereka tidak menyembah Allah ‎ﷻ. Jangan kita jadi macam mereka pula. Kita kena belajar supaya kita dapat kemaskan tauhid kita kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 139: Ini adalah ayat zajrun. Ahli Kitab dan puak Musyrikin Mekah sangka yang amalan ibadat mereka mirip kepada syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi tidak sebenarnya. Itu hanya sangkaan mereka sahaja.

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Do you argue with us about Allah while He is our Lord and your Lord? For us are our deeds, and for you are your deeds. And we are sincere [in deed and intention] to Him.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya;

 

قُلْ أَتُحَاجُّونَنَا فِي اللَّهِ

Tanya kepada mereka: adakah kamu hendak berhujah tentang Allah?

Tanya mereka, adakah mereka hendak berhujah dengan kita tentang Allah ‎ﷻ? Mereka kata kita orang Islam bukannya sembah Allah ‎ﷻ, tuhan sekalian alam, tetapi mereka kata kita sembah Tuhan Bulan. Itu antara kata-kata mereka yang kata orang Islam yang sesat.

Ataupun, Allah ‎ﷻ suruh kita tanya mereka, adakah kamu hendak berhujah dalam hal mentauhidkan Allah ‎ﷻ? Ini adalah kerana Ahli Kitab dan Musyrikin Mekah telah menerima yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan utama. Cuma masalahnya, mereka ada juga sembah entiti lain selain daripada Allah ‎ﷻ. Yang mereka kita sebagai ‘tuhan-tuhan mini’.

Atau, adakah mereka hendak membantah Allah ‎ﷻ kerana memilih Nabi Akhir Zaman daripada kalangan bangsa Arab?

 

وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

sedangkan Allah taala itu Tuhan kami dan juga Tuhan kamu

Mereka kata kita yang sesat, padahal kitalah yang menyembah Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini yang membawa makna: mencipta, memelihara dan menjaga sekalian alam.

Allah ‎ﷻ bukan hanya mencipta alam ini, tetapi Allah akan terus menjaga dan memeliharanya. Tidak ada yang terlepas langsung daripada pandangan dan kawalan Allah ‎ﷻ.

Bagaimana hendak membantah Allah ‎ﷻ yang memilih Nabi Muhammad ﷺ, sedangkan itu adalah pilihan-Nya sendiri dan Dia adalah Rabb kita? Siapa kita yang hendak mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ?

 

وَلَنَا أَعمَـٰلُنَا

Dan bagi kami hasil dari amalan-amalan kami;

Iaitu kita akan dapat hasil daripada amalan-amalan kita yang kita belajar asasnya daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau amalan itu tidak ada asas daripada Nabi ﷺ dan sahabat, maka tidak akan dapat hasilnya.

Ada yang salah faham dengan ayat ini. Ramai yang faham bahawa ayat ini adalah untuk dikatakan kepada orang lain yang amalan mereka tidak sama dengan amalan kita. Contohnya, seseorang itu akan kata kepada orang lain: “Buatlah apa kamu nak buat, amalan aku, amalan aku; dan amalan kamu adalah amalan kamu.” Itu tidak tepat.

Ini kerana kalau kita kata begitu, ia seperti memberi peluang kepada mereka untuk berbuat apa sahaja amalan mereka. Takut ada pula yang akan buat amalan bidaah dan kita mengiyakan cara mereka pula. Yang lebih tepat adalah ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap amalan itu akan ada hasilnya.

Kita akan dapat imbuhan daripada amalan itu. Kalau ia adalah amalan yang soleh, kita akan mendapat pahala. Namun sebaliknya, kita lihat kepada bahagian ayat yang seterusnya:

 

وَلَكُمْ أَعمَـٰلُكُمۡ

Dan bagi kamu hasil dari amalan-amalan kamu;

Iaitu amalan-amalan bidaah yang kamu belajar daripada guru-guru kamu yang tidak ada asasnya. Kebanyakan ajaran mereka datang daripada guru, bukan daripada wahyu. Tidak kira agama mana. Termasuk kepada mereka yang mengaku Islam pun, ramai yang mengamalkan ibadah yang bukan daripada wahyu. Melainkan mereka ambil daripada ajaran datuk nenek sahaja.

Jika amalan itu bukan daripada wahyu, maka ia adalah amalan bidaah. Amalan-amalan sebegitu pun akan ada hasilnya, tetapi bukanlah hasil yang baik. Mereka akan mendapat juga hasil daripada amalan mereka itu, tetapi balasan yang buruk.

Maka kita ingatkan mereka supaya jangan membuatnya kerana mereka akan mendapat hasil yang buruk. Amal bidaah tidak ada pahala melainkan mendatangkan dosa sahaja. Jangan ubah-ubah agama ini kerana nanti ia akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani.

Sebagai contoh, tidak ada nyanyian dalam agama Islam. Yang ada nyanyian adalah agama Kristian yang terpaksa tambah nyanyian dalam agama mereka untuk menarik minat penganut mereka. Tetapi sekarang kita sudah ada nasyid, qasidah dan sebagainya. Itu semua bukan daripada agama.

Namun sudah mengikut cara agama Kristian pula. Kalau Kristian menyanyi dahulu dalam gereja mereka sebelum khutbah mereka, kita sekarang pun sudah mula bawa masuk qasidah ke dalam masjid. Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam negara kita dan masjid kita dan mula menyesatkan masyarakat kita.

 

وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Dan kami, kepada Allah sahaja kami tulus ikhlas;

Maksudnya, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita panjatkan harapan kita dalam ibadat, doa dan pemujaan kita. Jangan kita campur adukkan amalan ibadat kita kepada selain dari Allah ‎ﷻ. Jangan kita puja Nabi Muhammad ﷺ sampai kita buat majlis Maulid Nabi.

Jangan kita doa meminta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Jangan kita kirim salam kepada Nabi ﷺ, Malaikat dan Wali. Apa sahaja bentuk ibadat, kita hanya lakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Melainkan kalau ada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith yang membenarkannya.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan ikhlas dalam ibadat kita. Ikhlas itu bermaksud kita hanya mengharap pahala dan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita lakukan ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan kerana kita takut orang pandang serong kepada kita, bukan sebab kita malu dengan orang atau kerana ada orang paksa kita – itu semua tidak ikhlas maknanya.

Kita kena buat sesuatu amalan itu hanya untuk mengharapkan redha Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka janganlah kita menyebut-nyebut ibadat-ibadat kita yang sunat kepada orang ramai kerana ditakuti kita riak dan mengharap supaya orang memuji kita. Kita hanya mengharapkan pujian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada makhluk.


 

Ayat 140: Rungutan Allah ‎ﷻ terhadap golongan ahli kitab. Yahudi kata agama asal adalah Yahudi. Mereka kata Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan semua Nabi-Nabi lain adalah beragama Yahudi. Kerana tohmahan mereka itulah, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Mereka tuduh Islam adalah agama baru. Padahal Yahudi itulah agama yang baru, bukannya Islam.

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ ۗ  قُل ءَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

Or do you say that Abraham and Ishmael and Isaac and Jacob and the Descendants were Jews or Christians? Say, “Are you more knowing or is Allah ?” And who is more unjust than one who conceals a testimony he has from Allah ? And Allah is not unaware of what you do.

Malay

“Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

 

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ

Apakah kamu mengatakan Nabi Ibrahim, 

Ini adalah soalan lagi kepada mereka. Tanya mereka tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana mereka memperkatakan sesuatu yang tidak benar tentang baginda. Maka kena persoal kepada mereka.

 

وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ

dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام mereka tohmah, keturunan baginda pun mereka tohmah juga iaitu anaknya Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام dan cucunya Nabi Ya’qub عليه السلام.

 

وَالْأَسْبَاطَ

dan anak cucunya,

Dan keturunan Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام pun mereka tohmah juga. Apakah tohmahan mereka?

 

كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ‌

yang mereka itu beragama Yahudi atau Nasara?

Macam mana boleh mereka kata Nabi-nabi itu beragama Yahudi atau Nasrani sedangkan agama itu datang selepas mereka? Ia samalah dengan kebodohan Nasrani yang kata untuk masuk syurga, kena mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام adalah anak Tuhan atau Tuhan satu dalam tiga.

Maka bagaimana dengan umat-umat yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام? Mereka langsung tidak ada peluang untuk mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام itu Tuhan sedangkan mereka tidak pernah tahu tentang Nabi Isa عليه السلام. Kasihanlah kepada mereka.

Jadi apabila dikatakan begini, penganut Kristian telah datang dengan hujah baru: semua yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام tidak terus masuk syurga, mereka akan diletakkan di satu tempat yang mereka panggil “Purgatory”. Di situ manusia akan ditanya apa pendapat mereka tentang Nabi Isa عليه السلام. Hanya selepas mereka mengaku Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan, barulah mereka akan dilepaskan oleh Nabi Isa عليه السلام dan baginda akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itu semua adalah angan-angan kosong mereka sahaja.

 

قُلْ ءَأَنتُم أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ

Katakanlah: adakah kamu lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui?

Allah ‎ﷻ menempelak mereka: Takkan kamu lebih tahu daripada Allah ‎ﷻ? Maka senyap sahajalah dan ikutlah apa yang Allah ‎ﷻ suruh.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih dari seorang yang menyembunyikan penyaksiannya di sisi Allah?;

Apakah yang mereka sembunyikan? Dalam Taurat, Injil, Zabur atau Al-Qur’an sekalipun ada perjanjian yang mereka mesti mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu syirik tetapi mereka menyembunyikan kebenaran itu. Mereka ini adalah orang yang paling zalim sekali.

Begitulah kita umat Islam kalau menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Selalu ada ahli agama menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu kerana tidak kena dengan agenda mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu, akan ada yang tidak dapat terima, dan seterusnya tidak menerima mereka lagi dan tidak memanggil mereka mengajar lagi. Mereka ini nanti akan ditanya tentang apakah yang mereka telah lakukan ini.

Atau, ia bermaksud golongan Ahli Kitab telah menyembunyikan apa yang tertulis dalam kitab mereka – yang Nabi akhir zaman akan datang. Nabi yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad ﷺ dan apabila Nabi Muhammad ﷺ telah hadir di kalangan mereka, mereka sedar yang baginda itulah Nabi yang dimaksudkan sebagai Nabi akhir zaman. Tetapi mereka sembunyikan fakta tersebut.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dari apa yang mereka lakukan;

Maksud ‘Allah ‎ﷻ tidak lalai’ maknanya Allah ﷻ akan balas perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkannya sahaja. Allah ﷻ tidaklah buat ‘tidak tahu’ sahaja dengan perbuatan dan kata-kata mereka.

Kalau kita lihat daripada bahasa ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap dengan Ahli Kitab secara terus. Akan ada dalam ayat seterusnya selepas ini di mana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja beritahu kepada mereka.


 

Ayat 141:

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That is a nation which has passed on. It will have [the consequence of] what it earned, and you will have what you have earned. And you will not be asked about what they used to do.

Malay

Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

 

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ

Itulah dia umat yang sudah berlalu

Mereka itu sudah berada di zaman yang lepas. Mereka telah mati dan usaha mereka telah habis.

 

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka apa hasil dari apa yang telah mereka lakukan

Mereka yang telah berlalu itu akan mendapat hasil daripada perbuatan mereka. Sama ada perbuatan baik atau perbuatan buruk. Apa yang mereka usahakan semasa kehidupan mereka, mereka kena tanggung atau terima balasan baik atau buruknya.

 

وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu hasil dari apa yang telah kamu lakukan

Dan kita juga akan mendapat hasil daripada perbuatan yang kita lakukan. Kita kena berusaha dengan amalan-amalan baik kita sendiri. Kita tidak ada kena mengena dengan datuk nenek kita yang telah lepas.

Janganlah jadi seperti Bani Israil yang mengagung-agungkan perbuatan nenek moyang mereka dahulu tetapi mereka tidak ikut dengan amalan baik mereka sendiri. Kalau kita melihat perbuatan datuk nenek kita dahulu baik, maka kita kenalah ikut perbuatan baik itu. Jangan cakap sahaja dan menyanjung apa yang mereka lakukan. Janganlah mengaku keturunan ulama’ ini dan itu, wali itu dan ini.

 

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya terhadap apa yang dulu mereka lakukan

Kita tidak akan ditanya tentang orang lain yang datang sebelum kita. Yang kita akan ditanya adalah perbuatan kita sendiri. Mereka yang sudah lepas akan mendapat balasan daripada perbuatan mereka. Yang perlu kita risaukan adalah amalan-amalan dan iman kita. Bagaimana nanti kita akan berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila kita dihadapkan dengan Buku Amalan kita nanti.

Ini adalah akhir Juzuk Pertama. Kesimpulan dalam juzuk pertama adalah: ajaran agama mesti didapati sumbernya daripada wahyu.

Dan dengan ini juga, habis Perenggan Makro tentang Kisah Yahudi dari ayat 40.

Habis Ruku’ 16 dari 40 surah ini


 

Ayat 142: Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Dari ayat ini sehingga ke ayat 283 adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Tetapi boleh dipecahkan lagi: Ayat 142 – 152 adalah Perenggan Makro tentang Perlantikan Umat Wasato (Umat Pertengahan). Ia akan menceritakan tentang penukaran Kiblat. Dan kita akan belajar bagaimana Kiblat akan dibebaskan daripada berhala dan amalan syirik.

Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Kita kena mengambil syariat Rasul terakhir untuk menjadi umat terpilih dan menjadi contoh kepada manusia seluruh dunia. Ini termasuk cara berekonomi, politik dan bernegara.

Bahagian ini banyak mengandungi hukum-hakam syariat terakhir yang diturunkan kepada umat baru yang terpilih. Bukan lagi kepada Bani Israil tetapi kepada sekarang kepada Bani Ismail. Kaum Arab akan menjadi khalifah kepimpinan umat manusia menggantikan kaum Yahudi.

Antara mesej penting juga ialah kepentingan infaq dan jihad. Untuk menyebarkan tauhid, menegakkan hukum-hakam dan syariat Islam hanya boleh dilaksanakan dengan adanya kekuasaan Islam. Itulah kena ada Negara Islam. Maka ada banyak seruan yang menyatakan umat Islam kena infaq, korban masa, tenaga, jihad perang untuk menegakkan Negara Islam.

Kita mulakan dengan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Ini kerana ada yang kata kita sembah hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah daripada agama-agama lain.

Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir ada yang berkata kita sembah batu dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir.

Ada enam ayat Al-Qur’an tentang kiblat yang diturunkan kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar. Ia adalah sangat penting, maka ia perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tidak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap Hajarul Aswad pula.

Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan dari Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tetapi lain dengan kita kerana kita menghadap kiblat Kaabah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita menghadap Kiblat di Kaabah itu kerana itu adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita menghadap ‘arah’, bukannya kita menghadap batu itu.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah kena memisahkan diri  baginda daripada Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut baginda dan masuk Islam serta berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka menghadap kiblat yang sama (BaitulMaqdis). Tetapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.

Allah ‎ﷻ suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ia adalah kiblat asal Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai menjadi kiblat sepanjang zaman.

سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلَّٮٰهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِّلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

The foolish among the people will say, “What has turned them away from their qiblah, which they used to face?” Say, “To Allah belongs the east and the west. He guides whom He wills to a straight path.”

Malay

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

 

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ

Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;

Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu apa yang mereka akan kata. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu.

Akan berkata golongan bodoh itu daripada golongan Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah ‎ﷻ panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Ini kerana mereka berkata itu dalam nada mengejek: “Kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini, boleh tukar-tukar pula?” Begitulah lebih kurang kata-kata mereka.

 

مَا وَلَّٮٰهُم عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”

Dulu Nabi ﷺ mengadap kiblat di Baitulmaqdis dalam salat, tetapi selepas itu Nabi ﷺ diperintahkan Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi ﷺ dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?

Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Selepas Nabi ﷺ dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam salat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi ﷺ sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah.

Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, namun tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ.

BaitulMaqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga menghadap kepada kiblat mereka. Tetapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat pun. Tetapi yang jelas, mereka akan marah.

Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak mahu terima sahaja kerana degil. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi ﷺ berpindah kepada menghadap Kaabah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi Masjidil Aqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.

Nabi-Nabi daripada kalangan Yahudi memang menghadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata, kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam menghadap ke BaitulMaqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Namun tidak begitu kehendak Allah ‎ﷻ.

Ayat ini masih lagi terpakai kerana memang sampai sekarang ada lagi yang mempersoalkan kenapa kiblat ditukar. Contohnya di universiti-universiti ada lagi Professor-professor yang kata patutnya Islam tidak menukar kiblat. Patutnya pakai sahaja kiblat ke Jurusalem.

Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah ‎ﷻ jawab dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.

 

قُلْ لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;

Allah ‎ﷻ memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur pun Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka terpulang kepada Allah ‎ﷻlah hendak suruh kita menghadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaan-Nya. Yang penting adalah arahan itu dan arah ke mana tidak penting. Ini kerana jalan yang lurus adalah dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ bukan arah yang mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini.

Semasa Nabi ﷺ di Mekah, baginda juga menghadap BaitulMaqdis dalam salat baginda. Ini kerana semasa di Mekah, Nabi ﷺ boleh lagi berada dalam posisi di mana baginda menghadap Kaabah dan Baitulmaqdis dalam waktu yang sama. Nabi ﷺ menjadikan kedudukan Kaabah dan BaitulMaqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali.

Tetapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi ﷺ dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi ﷺ telah sedih disebabkan perkara itu kerana Nabi ﷺ amat sayangkan Kaabah kerana ia ada kaitan dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Kaabah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah ‎ﷻ berkata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah. Ini kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ hendak membiarkan umat Islam terus salat menghadap ke arah Kaabah yang banyak berhala padanya?

Para sahabat tidak pernah melupakan Mekah dan Kaabah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.

 

يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Allah pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ‎ﷻ boleh pilih dan bawa sesiapa sahaja ke arah kebenaran. Kerana itu kita katakan hidayah itu milik Allah ‎ﷻ. Dan Allah ‎ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahukan kebenaran. Iaitu mereka yang ada sifat inabah dalam hatinya. Mereka sendiri mahu kepada kebenaran

 

إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;

Iaitu jalan menuju kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah ‎ﷻ. Maka kenalah kita minta jalan yang lurus ini daripada Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2020

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 138 – 142 (Ahli Kitab buat bidaah)”

  1. Assalamualaikum,
    Dalam ulasan ayat ke 139 pada ayat ‘ وَلَكُمْ أَعمَـٰلُكُمۡ perenggan terakhir, ustaz menulis ‘ Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam neraka kita dan mula menyesatkan masyarakat kita ‘
    Saya rasa Ustaz bermaksud ‘Ini menjadi lebih teruk apabila golongan Habib masuk ke dalam mesjid kita dan mula menyesatkan masyarakat kita.
    Ustaz mungkin tersalah taip perkataan ‘mesjid’ jadi ‘neraka’
    Allahu a’lam
    Terima kasih

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s