Tafsir Surah al-An’am Ayat 147 – 150

An’am Ayat 147:

فَإِن ڪَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّڪُم ذُو رَحمَةٍ وٰسِعَةٍ وَلَا يُرَدُّ بَأسُهُ ۥ عَنِ ٱلقَومِ ٱلمُجرِمِينَ

Sahih International

So if they deny you, [O Muhammad], say, “Your Lord is the possessor of vast mercy; but His punishment cannot be repelled from the people who are criminals.”

Malay

Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa”.

فَإِن كَذَّبُوكَ

Maka jika mereka mendustakan kamu,

Musyrikin Mekah masih mendustakan Nabi setelah diberi dalil dan hujah-hujah yang bernas. Mereka tetapi masih lagi berdegil walaupun mereka tidak ada hujah balas. Maka, ayat ini adalah sebagai satu penenang kepada Nabi Muhammad yang terpaksa menghadapi mereka yang masih berdegil itu. Tentunya Nabi Muhammad rasa resah dan gelisah dengan kedegilan kaumnya itu. Allah memberitahu Nabi bahawa Allah tahu apa yang Nabi sedang hadapi itu.

Memang ada sahaja kaum yang degil. Macam masyarakat kita juga, walaupun telah diberi dengan berbagai dalil yang sahih dari Qur’an dan hadis, ramai yang masih lagi mahu menolak hujah yang sahih. Mereka masih lagi mahu mengikut kata guru dan ustaz mereka walaupun tidak ada dalil disertakan. Mereka masih lagi mahu mengamalkan amalan yang syirik dan bidaah.

Cuma kalau di negara ini, mereka selalunya tidak tolak terang-terangan. Mereka selalunya akan berkata: “Betul dah apa yang kamu cakap ni… Tapi….” Sebenarnya, perkataan ‘tapi’ itu adalah kata penolakan. Maknanya mereka tolak dengan hati mereka cuma mereka tak berani nak cakap terus. Mereka menggunakan bahasa yang lembut dan tersirat untuk menolak hujah kita. Tapi ketahuilah, bahawa itu adalah penolakan sebenarnya. Dan apa yang mereka tolak itu adalah ayat-ayat Allah dan hadis Nabi.

فَقُل رَّبُّكُمْ ذُو رَحْمَةٍ وٰسِعَةٍ

katakanlah: “Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas;

Katakan kepada mereka yang masih lagi mahu menolak itu: kenapa kamu masih nak engkar dengan Allah, padahal rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu.

Antara rahmat Allah adalah melambat-lambatkan azab kepada kita semasa di dunia ini. Allah tak terus beri azab kepada kita walaupun kita telah melakukan dosa yang banyak. Allah masih beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Hanya selepas mati sahaja Allah akan beri hukuman dan azab.

Bayangkan berapa besar rahmatNya kepada kita. Kalaulah dibandingkan dengan kita, anak kita buat salah sahaja kita sudah marah. Tapi Allah yang telah mencipta kita, telah memberikan segalanya kepada kita, tapi apabila kita engkar kepadaNya, Allah masih beri peluang lagi kepada kita.

Setelah Allah memberikan rahmat yang banyak tidak terhingga itu, kenapa lagi masih berani menolak wahyuNya? Ini seperti seorang ayah yang mengingatkan anaknya dengan segala budi yang telah ditabur kepada anaknya. Kalau sudah banyak ayah itu berbudi, kenapa tak mahu dengar cakap lagi?

Dalam ayat ini juga Allah mengingatkan yang Dia ada banyak lagi rahmah yang boleh dilimpahkan kepada mereka yang mahu beriman. Rahmah itu boleh diberi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Maka kejarlah rahmat itu dengan melakukan taat kepadaNya.

وَلَا يُرَدُّ بَأْسُهُ

dan tidak dapat ditolak siksa-Nya

Tadi Allah memberi peringatan tentang rahmat yang Dia telah berikan. Itu sebagai satu motivasi untuk mengikut cakap. Tapi, selain dari memberi motivasi, Allah juga memberi peringatan dan ancaman dengan seksa yang menakutkan. Allah nak beritahu yang kalau tetap masih engkar, seksa Allah tidak dapat ditolak. Peringatan sebegini diberikan kerana ada manusia yang lebih takut dengan ancaman dibandingkan motivasi dengan perkara yang mereka akan dapat.

Seksa yang Allah akan kenakan tidak akan dapat ditolak. Apabila seorang manusia telah mati dan dia diseksa di dalam kubur, dan kemudian di dalam neraka, dia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya. Maknanya, dia akan diseksa dari sejak dia mati lagi dan tidak akan berhenti-henti.

Begitu juga, bala dari Allah tidak dapat ditolak kalau Allah turunkan. Tapi yang peliknya, ada guru dan ustaz di negara ini yang kata, boleh ‘tolak bala’. Siap buat amalan ‘tolak bala’ pula tu. Antaranya, mereka berakidah yang dengan memandikan kereta dan motor dengan air bacaan tertentu dan doa tertentu, bala dapat ditolak dari kereta itu.

Ataupun apabila mereka beli kereta, mereka akan beri dulu ustaz mereka pakai supaya kereta itu kononnya selamat dari bahaya. Begitulah kelirunya faham keagamaan di negara ini. Ini kerana tidak belajar apakah sunnah. Dan kerana tidak belajar tafsir Qur’an.

Yang lebih menyedihkan, ajaran ini disampaikan oleh ‘ustaz-ustaz’ yang terkenal dan kadang-kadang sampai keluar di kaca TV. Maka, masyarakat yang jahil akan terima ajaran yang salah dan mereka akan sangka yang ianya adalah ajaran yang benar kerana ianya datang dari ustaz yang dapat sambutan orang ramai.

عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ

dari kaum yang berdosa”.

Kalau orang yang berdosa itu telah melakukan syirik, dia akan mendapat azab dan azab itu tidak akan diangkat walaupun anaknya yang soleh mendoakan untuknya. Walaupun anaknya itu seorang wali sekalipun. Kerana syarat untuk terima hasil doa orang lain walaupun dari anak sendiri, seseorang itu mestilah tidak mati di dalam syirik.

Kalau dia mati dalam syirik dan tidak sempat bertaubat, maka dia akan terus berada dalam neraka dan tidak keluar sampai bila-bila. Ini kerana Allah telah kata bahawa Allah boleh untuk mengampunkan dosa yang banyak sekalipun, melainkan dosa syirik.

Jadi, ini adalah amaran Allah kepada mereka yang masih menolak kata-kata Nabi dan juga pendakwah tauhid.


An’am Ayat 148:

سَيَقُولُ ٱلَّذِينَ أَشرَكُواْ لَو شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشرَڪنَا وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمنَا مِن شَىءٍ ڪَذٰلِكَ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم حَتَّىٰ ذَاقُواْ بَأسَنَا‌ۗ قُل هَل عِندَڪُم مِّن عِلمٍ فَتُخرِجُوهُ لَنَآ‌ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِن أَنتُم إِلَّا تَخرُصُونَ

Sahih International

Those who associated with Allah will say, “If Allah had willed, we would not have associated [anything] and neither would our fathers, nor would we have prohibited anything.” Likewise did those before deny until they tasted Our punishment. Say, “Do you have any knowledge that you can produce for us? You follow not except assumption, and you are not but falsifying.”

Malay

Orang-orang musyrik akan mengatakan: “Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun”. Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta”.

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, akan mengatakan:

Allah kata ‘mereka akan mengatakan’, bermakna mereka tak cakap lagi, tapi Allah sudah siap-siap beritahu apa yang mereka akan katakan. Kerana Allah sudah tahu apa yang dalam hati mereka. Inilah hebatnya Qur’an yang memberitahu apa yang di dalam hati manusia.

Lihatlah apa orang-orang yang berfikiran syirik itu cakap. Tidak kira sama ada Musyrikin Mekah atau Musyrikin Malaysia, sama sahaja apa yang mereka kata.

لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكْنَا

“Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak mempersekutukan-Nya

Mereka kata, kalau Allah tak suka dengan apa yang mereka lakukan, tidaklah Allah benarkan mereka buat apa yang mereka buat. Maknanya, mereka nak kata apa yang mereka buat itu tidaklah salah. Mereka kata, kalau Allah buat tak tahu sahaja dengan apa yang mereka lakukan, tentulah benar apa yang mereka buat.

Sebagai contoh, mereka ber ya hanana satu stadium, tidak jadi apa-apa pun, tidaklah runtuh stadium itu, bermakna tentulah Allah suka, mereka kata.

Kesesatan mereka itu ditambah lagi dengan sebab amalan mereka itu ‘menjadi’. Kadang-kadang apa yang mereka hendak itu mereka boleh dapat. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ‘Ilmu Penunduk’. Dengan amalan mereka itu, mereka boleh melembutkan hati orang lain. Mereka boleh bagi orang lain dengar cakap mereka. Maka, mereka pun rasa yang amalan mereka itu mujarab. Mereka beranggapan, kalau ianya salah, takkan ianya ‘menjadi’.

Atau, kepada mereka yang mengamalkan ‘Perubatan Islam’, mereka telah ‘berjaya’ mengeluarkan jin-jin dari pesakit mereka. Mereka kadang-kadang boleh ‘islamkan’ jin-jin itu pula. Kalau mereka baca ayat-ayat tertentu dari amalan mereka, jin-jin itu mengerang kesakitan, minta tolong, dan sebagainya. Pesakit yang mulanya datang dalam keadaan lemah tidak bermaya, sudah boleh bercakap, sudah nampak lega.

Mereka pun rasa hebat dan sangka betullah amalan mereka. Padahal, mereka tidak tahu sama ada jin-jin itu berlakon sahaja atau tidak, kerana memang jin itu makhluk yang ghaib, dan kerana itu kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dan apakah mereka menipu kita atau tidak.

وَلَا ءآبَاؤُنَا

dan tidak juga bapa-bapa kami

Mereka nak kata yang amalan yang dibuat oleh tok nenek  mereka, yang sampai sekarang masih ada lagi, tentulah sebagai satu tanda yang amalan itu benar. Kalaulah ia salah, tentu Allah telah beri isyarat kepada mereka untuk meninggalkannya. Tapi kalau sampai sekarang masih ada lagi, tentunya ia adalah amalan yang benar.

Dan mereka tambah, sekarang pun ramai yang amalkan juga, dan Allah biarkan sahaja, tentu Allah redha; itulah hujah-hujah akal mereka yang bukan berasaskan dalil tapi dari akal yang tidak beriman sahaja.

وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ

dan tidak (pula) kami mengharamkan barang sesuatu apapun”.

Mereka nak kata, apa yang buat itu adalah kemahuan Allah. Kalau Allah tak suka, tentu Allah halang mereka dari mengharamkan binatang dan makanan-makanan itu kepada diri mereka. Itulah alasan bathil mereka.

Allah memang berkuasa untuk menahan manusia daripada melakukan dosa dan kesalahan. Jangan pula ada yang beranggapan yang Allah tidak boleh menghalang manusia dari melakukan dosa. Allah boleh tahan manusia atau makhlukNya yang lain dari berbuat kesalahan sampai bila-bila.

Tetapi Allah tidak mahu buat begitu. Allah beri peluang kepada manusia (dan jin) untuk melakukan apa yang mereka mahu. Tetapi tidaklah Allah redha dengan perbuatan mereka itu. Allah telah siap-siap beritahu kepada manusia apakah yang Dia suka dan apakah yang Dia benci. Maka manusialah yang perlu untuk mengetahui apakah suruhan dan larangan Allah itu. Itulah sebab kita kena belajar Qur’an dan Hadis untuk mengetahuinya.

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Demikian pulalah orang-orang sebelum mereka telah mendustakan

Ramai sudah cakap begini dari dahulu lagi, dari sebelum Musyrikin Mekah lagi. Orang Islam sekarang pun ramai yang beranggapan begitu. Ramai sudah orang kita tiru alasan musyrikin. Bila kita baca ayat-ayat Qur’an dan belajar tafsir, kita boleh lihat yang cara mereka serupa sahaja. Ini adalah kerana syaitan yang mengajar itu adalah syaitan yang sama sahaja.

حَتَّىٰ ذَاقُوا بَأْسَنَا

sampai mereka merasakan seksaan Kami.

Bila Allah sudah kenakan azab, barulah mereka akan menyesal. Dan kalau Allah seksa mereka, ini menunjukkan Allah tak suka. Mereka kata tentu Allah suka kalau Allah tak buat apa-apa. Tapi, sekarang Allah kata yang Allah akan seksa mereka.

Ini menunjukkan bahawa Allah tak redha dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidaklah bermakna Allah tidak berbuat apa-apa sekarang, bermakna Allah redha dan suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Nanti akan sampai masanya yang mereka akan merasai azab dari Allah itu.

قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍ

Katakanlah: “Adakah kamu mempunyai sesuatu pengetahuan

Nabi disuruh minta bukti dari mereka. Iaitu kalau mereka ada dalil maka bawakan dalil itu. Dan dalil itu mestilah dari wahyu Allah. Kalau zaman sekarang, dalil itu kena sama ada dari Qur’an atau hadis.

Beginilah yang kita perlu lakukan kepada ustaz-ustaz dan guru-guru kita. Kalau mereka mengatakan sesuatu dari hal agama, hendaklah mereka beri dalil. Dan tidak salah kalau kita meminta dalil dari mereka. Allah pun suruh Nabi minta dalil dari Musyrikin Mekah. Kerana memang agama ini memerlukan dalil. Kalau tidak didasari dengan dalil, maka manusia boleh kata apa-apa sahaja. Tidaklah boleh begitu, kerana kalau kita biarkan manusia bercakap tanpa dalil, maka agama ini akan rosak jadinya.

فَتُخْرِجُوهُ لَنَا

sehingga dapat kamu mengemukakannya kepada Kami?”

Kalau ada, keluarkan bukti dan dalil itu. Tak payahlah simpan-simpan. Apabila Allah berkata begini, jawabnya memang tidak ada dalil. Apa yang mereka lakukan itu bukan berdasarkan kepada dalil yang sah. Tapi ianya hanya dari anggapan mereka sahaja, dari hawa nafsu mereka sahaja.

Maka, begitulah juga golongan yang mengeluarkan perkara baru dalam agama. Mereka memang tidak ada dalil sebenarnya. Kerana itu apabila kita minta dalil dari mereka, mereka akan mengeluarkan hujah-hujah yang batil sahaja. Antaranya hujah dari akal mereka, dari kata-kata manusia, dari kitab itu dan ini hasil dari karangan manusia dan sebagainya. Mereka tidak boleh mengeluarkan hujah dari Qur’an dan hadis kerana memang tidak ada.

إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Kamu tidak mengikuti kecuali persangkaan belaka,

Allah beritahu kepada kita bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah berdasarkan sangkaan mereka sahaja. Samalah juga dengan golongan agama di negara ini yang mengamalkan bidaah. Perkara bidaah dan syirik yang mereka lakukan itu adalah berdasarkan sangkaan mereka sahaja.

Persangkaan bukanlah dalil. Kerana persangkaan itu datang dari akal kita yang lemah sahaja. Perkara agama bukan boleh didasari oleh akal semata-mata.

وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

dan kamu tidak lain hanyalah berdusta.

Apabila masih lagi memberi hujah dari persangkaan, maka mereka dikatakan ‘berdusta’. Tambahan lagi kalau mereka dengan selamba mengatakan yang perkara bidaah dan syirik yang mereka lakukan itu adalah disukai oleh Allah. Itu adalah satu dusta yang amat besar.


An’am Ayat 149:

قُل فَلِلَّهِ ٱلحُجَّةُ ٱلبَـٰلِغَةُ‌ۖ فَلَو شَآءَ لَهَدَٮٰكُم أَجمَعِينَ

Sahih International

Say, “With Allah is the far-reaching argument. If He had willed, He would have guided you all.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad: “Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Ia menghendaki tentulah Ia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya”.

قُلْ فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبٰلِغَةُ

Katakanlah: “Allah sahaja yang mempunyai hujjah yang jelas lagi kuat;

Hujah adalah pernyataan yang jitu dan tidak boleh dikalahkan.

Kalimah الْبَالِغَةُ pula bermaksud sesuatu yang telah cukup matang atau telah masak. Dalam ayat ini, ia bermaksud hujah yang sampai kepada hati manusia. Hujah itu tidak dapat dikalahkan lagi.

Oleh itu, ayat ini bermaksud yang hujah dari Allah adalah hujah yang tepat dan jitu dan akan mengalahkan hujah-hujah batil yang diberikan oleh puak musyrikin dan juga mereka yang tidak mengendahkan agama.

Hujah yang kuat adalah dalam Qur’an dan hadis. Semua hujah sudah ada di dalamnya untuk mempertahankan agama ini. Maka ini juga mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia dengan menggunakan Qur’an. Apabila Qur’an tidak digunakan dalam berhujah, maka manusia mula menggunakan benda yang lain sebagai hujah. Kerana itu, ramai antara kita yang menggunakan akal sahaja untuk berhujah kerana tidak mahir dan tidak faham dengan Qur’an. Ini adalah salah. Sumber rujukan utama kita sepatutnya ayat-ayat Qur’an.

Sahabat Nabi gunakan Qur’an sebagai khutbah untuk mereka. Khutbah ialah sesuatu yang memberi nasihat kepada kita. Dalam zaman sekarang, kita biasa dengan khutbah pada hari Jumaat sahaja. Tapi itu hanya sekali seminggu sahaja. Itu pun tidak banyak yang disebutkan sampaikan menjadikan jemaah Jumaat kebosanan dengan topik-topik yang disampaikan.

Selalunya topik di negara ini adalah tentang mesej-mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan yang tidak menyentuh pun permasalahan masyarakat semasa. Sudahlah disampaikan dengan nada yang membosankan dari khatib yang tidak diberi latihan bagaimana bercakap. Oleh itu, medan utama yang Allah telah sediakan untuk memberi mesej agama telah tidak digunakan sepenuhnya.

Tapi, kepada para sahabat, mereka faham Qur’an yang mereka baca. Oleh itu, setiap kali Qur’an dibaca dalam solat mereka, itulah khutbah kepada diri mereka. Iaitu, mereka dididik oleh Qur’an. Malangnya, masyarakat kita amat jauh dari Qur’an, mereka pun tidak faham apa yang mereka baca. Jadi, tidak ada kesan apa-apa dengan ayat-ayat Qur’an yang mereka baca.

Ayat Qur’an sepatutnya dijadikan hujah dalam perbincangan agama kita. Ianya adalah kalam Allah. Apabila ia kalam Allah, maka kata-kata di dalamnya menusuk terus ke dalam hati manusia. Kita pun tidak tahu bagaimana Qur’an itu dapat mengetuk hati manusia. Ada kalangan manusia yang hanya dengar satu ayat sahaja, terus mengubah personaliti mereka dari tidak endahkan agama, kepada berminat kepada agama.

Itulah mukjizat Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita berhujah dengan ayat Qur’an, kerana kita tidak tahu ayat manakah nanti yang membuka hati mereka kepada Islam.

فَلَوْ شَاءَ لَهَدىٰكُمْ أَجْمَعِينَ

maka jika Dia menghendaki, pasti Dia memberi petunjuk kepada kamu semuanya”.

Allah berkuasa untuk memaksa semua makhlukNya menjadi beriman tetapi bukan begitu cara Allah. Allah memberi peluang kepada kita untuk melakukan apa yang kita mahu. Allah beri peluang kepada kita untuk memilih manakah jalan yang kita mahu ikuti, sama ada jalan yang benar atau pun jalan yang salah.

Sesiapa yang ingin jalan yang benar, maka Allah akan beri petunjuk kepada mereka. Maka, seperti yang kita tahu, sekarang ini ramai yang sedang keliru. Banyak sangat jenis pandangan agama sekarang. Ada jalan itu dan ini. Ustaz A kata begini, Ustaz B pula kata begitu. Seperti ada pertentangan antara ulama-ulama. Sampaikan masyarakat umum keliru mana satukah yang benar. Lalu apakah nasihat kita kepada mereka yang mengalami masalah ini?

Hendaklah kita ajar mereka untuk bermohon kepada Allah untuk menunjukkan jalan mana yang benar kepada kita. Mintalah kepada Allah dengan hati yang ikhlas. Iaitu hati yang mahukan kebenaran. Kita minta Allah tunjuk manakah yang benar. Kerana hanya Allah sahaja yang boleh membuka hati kita kepada kebenaran dan kepada hidayah. In Sha Allah.


An’am Ayat 150:

قُل هَلُمَّ شُہَدَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ يَشهَدُونَ أَنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَ هَـٰذَا‌ۖ فَإِن شَہِدُواْ فَلَا تَشهَد مَعَهُم وَلَا تَتَّبِع أَهوَآءَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ وَهُم بِرَبِّهِم يَعدِلُونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Bring forward your witnesses who will testify that Allah has prohibited this.” And if they testify, do not testify with them. And do not follow the desires of those who deny Our verses and those who do not believe in the Hereafter, while they equate [others] with their Lord.

Malay

Katakanlah: “Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan (benda-benda yang kamu haramkan) ini”. Kemudian jika mereka (tergamak) menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.

قُلْ هَلُمَّ شُهَدَاءَكُمُ

Katakanlah: “Bawalah ke mari saksi-saksi kamu

Bawalah saksi-saksi kamu yang boleh memberi persaksian yang boleh menyokong dakwaan kamu itu. Allah suruh Nabi cabar mereka untuk bawa saksi. Itu pun kalau ada, tapi yang sebenarnya, tidak ada langsung.  Allah suruh Nabi Muhammad cabar mereka sebab Allah tahu yang mereka memang tidak ada saksi yang sah.

الَّذِينَ يَشْهَدُونَ أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَ هَٰذَا

yang dapat mempersaksikan bahwasanya Allah telah mengharamkan (makanan yang kamu) haramkan ini”

Kalau kamu ada saksi, maka bawakanlah saksi-saksi itu untuk mengatakan bahawa memang Allah pernah mengharamkan makanan itu dan ini kepada orang-orang tertentu.

Lihatlah bagaimana dalam hal agama ini memerlukan saksi. Bukan boleh cakap begitu sahaja. Kalau semua boleh cakap sahaja tanpa memberikan saksi atau dalil, tentulah sesiapa sahaja boleh cakap apa-apa sahaja.

فَإِن شَهِدُوا فَلَا تَشْهَدْ مَعَهُمْ

Jika mereka mempersaksikan, maka janganlah kamu ikut pula menjadi saksi bersama mereka;

Kalau betul mereka bawa saksi, jangan kita ikut sekali bersaksi dengan mereka. Kerana mereka adalah orang-orang yang tidak boleh dipercayai. Kerana untuk menguatkan hujah mereka, mereka sanggup sahaja membawa saksi palsu.

Macam zaman sekarang, kalau kita minta dalil ahli bidaah, mereka selalunya akan berhujah dengan menggunakan hadis dhaif atau palsu. Kalau kena kepada kita, jangan kita gunakan hadis sebegitu. Gunakan hadis yang sahih. Kenapa nak pakai hadis yang lemah sedangkan sudah ada hadis yang kuat?

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيَاتِنَا

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Apabila manusia tidak mengikut dalil–dalil yang sahih daripada Qur’an dan Hadis, bermaksud mereka mengikut hawa nafsu mereka.

Jangan ikut fahaman dan amalan bidaah mereka. Bidaah itu hasil dari ikutan hawa nafsu mereka. Mereka yang buat bidaah itu sebenarnya mendustakan ayat-ayat Allah.

Antara bidaah yang diamalkan sekarang adalah ‘zikir berjemaah’. Tidak ada suruhan dan saranan dari agama untuk zikir berjemaah. Memang zikir itu adalah suruhan, tapi sepatutnya dibuat sendiri-sendiri sahaja. Yang ada disuruh berjemaah adalah dalam solat. Tapi bukan semua solat boleh berjemaah.

Kalau solat fardhu, memang wajib berjemaah. Tapi kalau solat sunat, kena tengok dulu solat apa. Ada yang disuruh berjemaah dan ada yang tidak. Sebagai contoh, kalau solat terawih, solat istisqa’, solat gerhana dan beberapa jenis solat lagi, boleh berjemaah sebab ada sunnah dari Nabi. Tapi kebanyakan solat sunat adalah bersendirian.

Sebagai contoh, solat qabliah dan ba’diah, hanya dilakukan berseorangan sahaja. Bukan itu sahaja, solat sunat pun kena tengok solat mana yang sunnah. Jangan reka solat sunat yang baru. Sebagai contoh, ada orang yang mengajar solat taubat, solat hajat, solat itu dan ini. Banyak sangat solat rekaan yang manusia reka.

Contoh solat-solat rekaan yang tiada dalam Islam
Contoh solat-solat rekaan yang tiada dalam Islam

Bidaah ini diamalkan oleh mereka yang masih tak puas hati dengan syariat yang Allah telah berikan. Nabi telah ajar bagaimana bersyariat dengan lengkap, tapi mereka masih pandang apa yang guru dan ustaz mereka ajar itu lebih baik daripada apa yang Nabi ajar. Mereka tinggalkan apa yang Nabi ajar dan ambil ajaran guru mereka. Mereka hendak juga tolak atau mereka tambah ajaran Nabi.

Dalam masa yang sama, mereka memberi isyarat yang apa yang Nabi ajar dan bawa masih tidak baik. Itu sebenarnya menghina Nabi. Memang mereka tidak pernah kata begitu, tapi daripada apa yang mereka lakukan, begitulah yang dalam hati mereka.

Kenapakah Nabi dan juga kita diingatkan untuk tidak mengikut hawa nafsu mereka? Tentulah Nabi Muhammad dan para sahabat sudah tahu bahawa ianya amat salah kalau mengikut hawa nafsu mereka. Tetapi Allah sebut juga di dalam ayat ini kerana memberi penekanan dan memberi semangat kepada kita semua untuk terus berpegang pada agama ini.

Kerana bukan senang berpegang kepada agama yang benar dalam masyarakat yang tidak mengendahkan arahan dan larangan Allah. Kerana kalau kebanyakan masyarakat makan makanan yang haram dan kita sahaja yang mencari-cari makanan yang halal, maka tentulah lama kelamaan kita akan rasa keseorangan dan rasa susah untuk berpegang dengan agama.

Begitulah juga dalam kehidupan kita sekarang ini. Dalam masyarakat Islam kita, amat ramai yang mengamalkan amalan syirik dan juga amalan bidaah. Sebaliknya yang mengamalkan amalan sunnah amatlah sedikit. Dan walaupun mereka yang melakukan amal yang salah, mereka pula yang pandang pelik kepada kita, seperti kita orang yang asing. Seperti kita pula yang sesat.

Oleh itu tentunya kita akan rasa keseorangan. Itulah sebabnya Allah memberi semangat kepada kita dan mengingatkan kita untuk tidak mengikuti hawa nafsu mereka.

Jangan ikut mereka dalam majlis Tahlil mereka. Jangan ikut mereka dalam berqasidah. Jangan ikut mereka untuk pergi jumpa ustaz untuk berbomoh. Jangan ikut mereka di dalam amalan berpantang dalam hal makanan. Jangan ikut mereka dalam meraikan Maulid Nabi. Jangan ikut serta dalam majlis ‘Doa Selamat’ mereka. Kalau ada majlis perkahwinan yang ada persandingan, jangan kita pergi.

وَٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ

dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat,

Mereka dikatakan tidak beriman dengan hari akhirat kerana mereka tidak takut dengan balasan di akhirat nanti. Mungkin mereka kata mereka percaya yang kita semuanya akan mati dan akan masuk ke syurga ataupun ke neraka. Tetapi jikalau perbuatan mereka itu tidak menunjukkan mereka takut masuk neraka, itu bermaksud mereka tidak beriman kepada hari akhirat.

Sebagai contoh, mereka tidak takut melakukan amalan bidaah, walaupun amalan itu adalah dosa dan mereka akan ditanya kenapakah mereka melakukan amalan itu nanti. Mereka tidak akan dapat menjawab kerana memang mereka tidak ada dalil.

Tidak hanya cukup beriman dengan Allah, kita juga kena beriman dengan hari akhirat. Apakah maksudnya? Maksudnya seseorang yang beriman itu tahu apakah ‘hari akhirat’ itu. Mereka tahu apa yang terjadi di Mahsyar dan mereka tahu serba sedikit tentang syurga dan neraka. Iaitu berdasarkan maklumat yang sampai kepada kita dari ayat Qur’an dan sabda Nabi.

Malangnya, kalau kita tanya orang: “apa kau tahu tentang syurga”? Mereka akan jawab dengan jawapan yang umum sahaja – ianya tempat sedap, dapat nikmat di dalamnya. Begitu sahaja jawapan mereka. Begitu juga mereka tak tahu tentang neraka. Mereka sebenarnya tak mahu nak ambil tahu tentang syurga dan neraka. Itu adalah kerana mereka tidak beriman betul-betul dengan akhirat. Pengetahuan mereka tentang hari akhirat amat sedikit.

Mereka memang nak masuk ke syurga, tapi mereka tak tahu tempat tujuan yang mereka harap itu. Maknanya, mereka bukan minat sangat. Sebagai contoh, katakanlah tak lama lagi kita nak ke negara Jepun. Sebulan sebelum kita pergi, tentulah kita akan dapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang negara Jepun, bukan?

Kalau kita buat tak endah sahaja, bermaksud kita tidak berminat pun hendak ke Jepun, betul? Lalu kalau seseorang yang tidak mengendahkan Syurga, tidakkah menunjukkan yang dia tidaklah berminat sangat hendak ke Syurga, bukan?

وَهُم بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

sedang mereka mempersekutukan Tuhan mereka.

Perkataan يَعْدِلُونَ adalah dari kata dasar yang sama dengan perkataan ‘adil’. Iaitu ‘menyama-ratakan’. Orang-orang yang engkar telah meletakkan Allah sama rata dengan makhluk yang lain. Bermakna mereka telah melakukan syirik.

Syirik bukan sahaja terjadi kalau kita menyembah tuhan yang lain, tapi ia juga termasuklah jikalau kita menyamakan salah satu sifat Allah kepada makhluk.

Habis Ruku’ 18 dari 20 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Januari 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-An’am Ayat 147 – 150”

  1. Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang “telah diharamkan” oleh Tuhan kamu kepada kamu, ….”dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa;kalau ikut ayat ini..membuat baik kepada ibu bapa pun diharamkan..jadi macam mana kedudukan perkara ini?

    Like

    1. Jauh sangat fahamnya tu.. itu yang kena belajar tafsir. Kena letak titik di tempat yang sepatutnya.
      Mari aku bagitahu yang diharamkan kepada kamu, iaitu jangan kamu buat syirik. Dan dengan ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s