An’am Ayat 144:
وَمِنَ ٱلإِبِلِ ٱثنَينِ وَمِنَ ٱلبَقَرِ ٱثنَينِۗ قُل ءَآلذَّڪَرَينِ حَرَّمَ أَمِ ٱلأُنثَيَينِ أَمَّا ٱشتَمَلَت عَلَيهِ أَرحَامُ ٱلأُنثَيَينِۖ أَم ڪُنتُم شُہَدَآءَ إِذ وَصَّٮٰڪُمُ ٱللَّهُ بِهَـٰذَاۚ فَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ ٱفتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ڪَذِبًا لِّيُضِلَّ ٱلنَّاسَ بِغَيرِ عِلمٍۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہدِى ٱلقَومَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
And of the camels, two and of the cattle, two. Say, “Is it the two males He has forbidden or the two females or that which the wombs of the two females contain? Or were you witnesses when Allah charged you with this? Then who is more unjust than one who invents a lie about Allah to mislead the people by [something] other than knowledge? Indeed, Allah does not guide the wrongdoing people.”
Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): “Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?” Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
وَمِنَ الْإِبِلِ اثْنَيْنِ
dan unta, sepasang
Sepasang unta, jantan dan betina.
وَمِنَ الْبَقَرِ اثْنَيْنِ
dan daripada lembu, sepasang
Jantan dan betina.
قُلْ ءآلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ
Katakanlah: “Apakah dua yang jantan yang diharamkan
Soalan yang sama Allah ﷻ ulang lagi dalam ayat ini – Adakah benar Allah ﷻ mengharamkan yang jantan daripada dimakan?
أَمِ الْأُنثَيَيْنِ
ataukah dua yang betina,
Ataukah ada pernah Allah ﷻ mengharamkan unta atau lembu betina daripada dimakan?
أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ
ataukah yang ada dalam kandungan dua betinanya?
Atau yang diharamkan adalah kandungan dalam lembu dan unta betina itu? Yang mana satukah yang mereka maksudkan?
أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ وَصّٰكُمُ اللَّهُ بِهَٰذَا
Apakah kamu menyaksikan di waktu Allah menetapkan ini bagimu?
Perkataan وَصَّاكُمُ berasal daripada katadasar و ص ي yang bermaksud ‘arahan yang penting’. Seperti juga kita gunakan perkataan ‘wasiat’ sebagai satu arahan apa yang mesti dilakukan kepada peninggalan kita yang penting.
Mereka ditanya lagi: kalau kamu tidak boleh membawakan dalil kenapa kamu mengharamkan makanan-makanan itu, mana mungkin Allah ﷻ sendiri yang beritahu kepada kamu? Adakah kamu ada sekali dalam majlis itu, semasa Allah ﷻ sendiri memberi hukum yang makanan-makanan itu tidak boleh dimakan atau dikhususkan kepada lelaki atau kepada perempuan sahaja?
Begitulah pertanyaan-pertanyaan Allah ﷻ dalam bentuk sinis yang diberikan untuk mematahkan hujah-hujah mereka. Hujah mereka sepatutnya terputus kerana memang mereka tidak boleh membawakan dalil. Semua ini adalah untuk menunjukkan bahawa apa yang mereka buat itu tidak ada dalil langsung.
Walaupun apa yang mereka buat itu tidak ada dalil, tetapi kenapakah mereka masih lagi melakukannya? Pemuka-pemuka agama masyarakat mereka meneruskan tradisi itu kerana dengannya mereka boleh mengawal masyarakat bawahan. Apabila mereka membuat undang-undang atau hukum dan masyarakat mengikutinya, itu bermaksud bahawa masyarakat di bawah mereka akan menurut sahaja apa kata mereka. Itu juga bermaksud mereka berada di tempat yang tinggi di dalam masyarakat dan mereka akan mendapat habuan daripada kedudukan mereka itu.
فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah
Tidak ada lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang mengada-ngadakan dusta bagi pihak Allah ﷻ. Berdusta dengan manusia pun sudah buruk apatah lagi dengan Allah ﷻ? Maka, mereka adalah penjenayah yang paling besar. Mereka akan mendapat dosa besar daripada perbuatan tersebut. Dan akan mendapat dosa orang lain yang mengikut amalan bid’ah itu.
Begitulah juga amalan bid’ah yang dilakukan manusia. Bagaimanakah yang dikatakan mereka berdusta? Mereka dusta dengan kata yang amalan bid’ah itu Allah ﷻ suka, padahal Allah ﷻ tidak pernah kata begitu dan Nabi ﷺ pun tidak pernah menyampaikan kata-kata Allah ﷻ sebegitu. Mereka sendiri yang kata Allah ﷻ suka, bermakna mereka berdusta di atas nama Allah ﷻ! Sedangkan berdusta atas nama manusia lain pun orang sudah marah, apatah pula kalau berdusta atas nama Allah ﷻ!
Atau mereka kata akan dapat pahala kalau buat amalan itu sedangkan tidak ada diberitahu oleh Allah ﷻ atau Nabi-Nya. Malangnya, mereka tidak sedar yang mereka sudah buat perkara yang amat salah. Kerana sudah biasa sangat buat, sampai mereka tidak kisah, macam biasa sahaja cipta hukum sendiri.
لِّيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ
untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan”
Mereka yang tidak mempunyai pengetahuanlah yang mudah diperdayakan. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang orang lain cakap tanpa usul periksa. Mereka menerima sesuatu amalan itu dengan tanggapan sahaja. Apabila kita tegur perbuatan mereka, hujah mereka antaranya: “Takkan ustaz itu salah; ramai orang buat, takkan salah; dan sebagainya.”
Ini kerana masyarakat kita malangnya tidak mahu belajar. Atau, memang belajar, tetapi belajar dengan guru yang salah. Mereka sangka mereka sudah tahu tentang agama sebab mereka ada kelas agama masa sekolah rendah dulu. Ilmu itulah yang mereka gunakan sampai mereka mati. Padahal, kalau belajar ilmu lain, mereka luangkan masa sehingga masuk universiti, dapat ijazah, dapat PHD. Namun dalam hal agama, mereka tidak ingin belajar. Hasilnya, mereka tahu tentang hal dunia, tetapi jahil tentang agama.
Ayat ini mengingatkan kepada kita betapa pentingnya untuk kita belajar bab agama. Terutama sekali belajar wahyu. Kita kena jaga agama kita. Kita kena tahu apakah akidah yang benar. Kita kena tahu bagaimana cara beribadah mengikut dalil yang benar. Kita pun akan ada keluarga yang perlu kita ajar kerana mengajar anak isteri adalah tanggungjawab bapa dan suami.
Kalau kita tidak tahu dalil sesuatu amalan, ada sebaiknya kita jangan amalkan lagi. Lebih baik tidak buat sesuatu amalan, daripada kita buat, tetapi rupanya bukan daripada ajaran agama Islam. Kita kena tanya dan kaji, dari manakah amalan itu datang. Daripada pendapat manusiakah atau benar-benar daripada arahan Allah ﷻ?
Ada masanya amalan yang selama ini kita buat adalah salah. Maka kita terima bahawa kita ada buat kesalahan dan kemudian tinggalkan amalan itu. Janganlah kerana amalan itu sudah lama kita amalkan, atau tok nenek kita ada amalkan, kita mahu mempertahankannya juga. Tidak ada faedahnya untuk kita pertahankan perkara yang tidak ada dalil. Dan tidak perlu pertahankan ustaz yang ajar amalan salah itu!
إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Yang zalim adalah mereka yang menipu atas nama Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka. Amat malang sekali kalau sudah jadi begitu kerana tandanya sudah menjadi ahli neraka. Tidak mendapat hidayah bermaksud mereka akan terus berada di dalam kesesatan.
Kita amat memerlukan hidayah daripada Allah ﷻ tetapi kalau Allah ﷻ sudah tidak mahu beri hidayah, bagaimana lagi? Allah ﷻ tidak terus menghalang hidayah daripada sampai kepada makhluk-Nya. Allah ﷻ cuma akan tahan hidayah itu apabila mereka berterusan menolak kebenaran.
Habis Ruku’ 17 dari 20 ruku’ dalam surah ini.
An’am Ayat 145:
قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطعَمُهُ ۥۤ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَّسفُوحًا أَو لَحمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ ۥ رِجسٌ أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ ٱللَّهِ بِهِۦۚ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Say, “I do not find within that which was revealed to me [anything] forbidden to one who would eat it unless it be a dead animal or blood spilled out, or the flesh of swine – for indeed, it is impure – or it be [that slaughtered in] disobedience, dedicated to other than Allah. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], then indeed, your Lord is Forgiving and Merciful.”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana terpaksa) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ
Katakanlah: “Tiadalah aku dapati dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku,
Ayat ini hendak memberitahu kepada kita bahawa hanya ada beberapa perkara sahaja yang diharamkan untuk kita dalam pengharaman binatang ternak. Dan yang selain daripada itu semuanya dibenarkan. Ayat ini hendaklah diselarikan dengan hadith Nabi juga kerana kalau salah faham, nanti ada yang sangka hanya yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram.
Kita kena baca ayat ini dengan konteks surah ini. Ayat ini dikeluarkan selepas disebut tentang bangsa Arab yang mengharamkan memakan ‘binatang ternak’ yang tertentu. Oleh itu, ayat ini berkenaan ‘binatang ternak’. Akan disebutkan nanti pengharaman yang berkenaan binatang ternak. Oleh sebab itu, konteks ayat ini adalah tentang binatang ternak.
Maka, jangan kita kata yang disebut dalam ayat ini sahaja yang diharamkan. Ada lagi hadith Nabi yang mengharamkan memakan benda-benda lain. Sebagai contoh, terdapat hadith Nabi yang mengharamkan memakan binatang yang ada taring.
Disebabkan itu, kita kena ambil kira hadith. Itulah sebabnya Al-Qur’an perlu dibaca dengan hadith kerana Al-Qur’an menyebut hukum dengan umum sahaja. Penjelasan lebih lengkap diberikan dalam Hadith Nabi. Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut arahan untuk salat, tetapi cara untuk menjalankan ibadat salat itu, perlulah dirujuk kepada hadith.
Kalimah أُوحِيَ bermaksud ‘yang diwahyukan kepadaku’ – yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena ingat bahawa yang diwahyukan kepada Nabi ﷺ bukan sahaja Al-Qur’an. Hadith yang sampai kepada kita dalam bentuk hukum juga adalah wahyu daripada Allah ﷻ juga namun disampaikan dalam lafaz Nabi.
Ini penting untuk kita tahu dalam konteks ayat ini kerana ada pengharaman yang ada disebut dalam Al-Quran dan ada juga yang diharamkan dalam hadith Nabi. Bukanlah Nabi ﷺ bercakap daripada dirinya sendiri tetapi Allah ﷻ juga yang memberitahu Nabi ﷺ. Ramai yang menolak hadith, kerana mereka tidak faham. Bacalah apa yang Allah ﷻ sebut dalam Najm:3-4 –
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ
dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya.
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
Dalam ayat ini, menunjukkan kepada kita bahawa perkataan daripada hadith Nabi tentang agama adalah datang daripada wahyu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ juga.
Ayat ini mengajar kepada kita, bahawa dalam pengharaman, ia mestilah berdasarkan kepada wahyu. Nabi ﷺ pun mengikut wahyu maka kita pun kenalah ikut juga.
مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ
sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya,
‘Memakan’ dalam ayat ini termasuk minum sekali. Jika sesuatu yang berasal daripada binatang ternak itu, maka maksudnya ada juga susu daripada binatang-binatang itu.
Ayat ini juga mengajar kita yang hukum asal makanan adalah halal, kecuali kalau ada dalil yang mengharamkannya. Oleh itu, kalau ada makanan yang ditanya kepada kita sama ada boleh makan atau tidak, maka kita hendaklah periksa sama ada ada pengharaman atau tidak. Kalau tidak ada pengharaman, maka ia boleh dimakan. Selagi ia adalah baik, tidak memudaratkan kesihatan, tiada larangan, maka ia boleh dimakan.
Sekarang kita lihat apakah makanan yang diharamkan:
إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً
kecuali kalau makanan itu bangkai,
Iaitu binatang yang mati sendiri dan dipanggil ‘bangkai’. Seperti dilanggar, mati kerana sakit dan sebagainya. Atau yang kita terjumpa di tengah jalan, sudah mati. Ia adalah haram untuk dimakan dan sepatutnya kita pun tidak lalu hendak makan.
أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا
atau darah yang mengalir
Hanya darah ‘yang mengalir’ sahaja yang diharamkan. Namun begitu, darah yang melekat dengan daging, tidaklah haram. Itulah darah yang melekat dengan daging. Kadang-kadang kalau kita makan ayam contohnya, kita perasan ada darah lagi pada daging itu. Darah itu tidak ada masalah.
Apabila ada darah pada daging, hanya lalukan air sahaja dan tidak perlu dicuci habis langsung darah itu. Ada yang teruk sangat, sampaikan daging itu menjadi putih tanpa darah. Tidak perlu sampai begitu kerana Allah ﷻ kata darah yang mengalir sahaja yang tidak boleh.
Oleh itu, kita tidak boleh memakan darah yang mengalir. Kalau kita sembelih binatang, akan ada darah yang memancut keluar. Darah itu memang banyak dan bahaya pun untuk dimakan. Selain itu, terdapat juga darah pada telur. Kadang-kadang bila kita pecahkan telur, ada darah. Ini tidak ada masalah.
Kenapa disebut darah mengalir dalam ayat ini? Kerana, dalam agama lain seperti Kristian, mereka suka makan darah di mana mereka akan membekukan darah itu dan mereka memakannya. Contohnya, mereka ada satu makanan yang dinamakan ‘Blood Sausage’.
Begitu juga ada bangsa yang suka meminum darah seperti bangsa asli di Afrika contohnya. Orang Islam tidak boleh buat begitu. Untuk orang Arab pula, mereka menggunakan darah binatang itu sebagai kuah untuk makanan mereka. Binatang itu tidak dibunuh, cuma dicucuk untuk diambil darah sahaja. Islam melarang mereka melakukan begitu lagi.
أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ
atau daging babi
Maka, dalam ayat ini jelas mengatakan yang kita tidak boleh makan daging babi seperti yang semua kita sudah tahu.
Timbul banyak persoalan di antara masyarakat kenapakah kita tidak boleh memakan daging babi. Berbagai-bagai teori dikeluarkan. Ada yang mengatakan kerana ada ulat di dalam daging babi yang tidak mati walaupun daging itu dimasak. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini adalah jenis binatang yang makan tahi. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini mempunyai perangai yang buruk iaitu dia suka menyondol babi-babi yang lain.
Itu semua adalah teori-teori dan andaian-andaian sahaja. Kita sebenarnya tidak akan tahu kenapa daging babi diharamkan kita memakannya dengan tepat. Ini adalah kerana tidak diberitahu dengan jelas kepada kita sebab-sebabnya. Berhentilah kita daripada membuat andaian-andaian sebegitu.
Ini kerana kalau kita kata ia adalah tidak baik untuk kesihatan, lalu bagaimana dengan bangsa-bangsa lain yang selalu memakan daging babi itu tanpa masalah apa-apa? Mereka hidup sihat sahaja walaupun mereka semenjak kecil sampai ke-tua, memakan daging babi.
Dan mereka yang mengatakan yang daging babi itu diharamkan kerana ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tanyakan kepada mereka, jikalau di masa hadapan nanti ada cara untuk membunuh ulat-ulat itu, lalu adakah waktu itu daging babi sudah halal dimakan? Tentu tidak boleh sama sekali kerana hukum pengharaman ini tetap berdiri sampai ke hari kiamat. Oleh itu kita tidak boleh kata Allah ﷻ mengharamkan kerana ulat itu atau sebab-sebab lain. Yang pasti, ia telah diharamkan oleh Allah ﷻ.
Maka, kalau kita ditanya kenapa daging babi diharamkan, jawapan yang tepat adalah: kerana Allah ﷻ haramkan kepada kita memakannya. Kerana ini adalah arahan daripada Allah ﷻ. Tidak cukupkah dengan jawapan itu? Kita tidak memakan daging babi kerana ia adalah haram kepada kita walaupun daging babi itu sedap (orang kata). Beginilah Allah ﷻ uji kita adakah kita boleh ikut larangan-Nya tanpa soal. Dan kerana itulah kita tidak makan kerana kita taat kepada suruhan dan larangan Allah ﷻ.
Begitulah kebanyakan daripada arahan Allah ﷻ kepada kita dalam hal-hal ibadat. Kita tidak tahu dengan tepat apakah hikmat arahan Allah ﷻ itu. Tentunya ada hikmat dan kelebihan amalan itu tetapi kita tidak tahu dengan pasti. Sebagai contoh, bolehkah kita jelaskan kenapa kita disuruh tawaf keliling Ka’bah tujuh kali? Begitu juga dengan perbuatan sa’i yang dilakukan oleh kita?
Ada yang kata kita sa’i kerana ikut perbuatan Siti Hajar semasa beliau dengan Nabi Ismail عليه السلام mencari air. Sebenarnya kita buat kerana kita ikut arahan Allah ﷻ. Bukan sebab tiru Siti Hajar kerana jika mahu diikut betul-betul, maka kita kena gendong anak sekali semasa bersa’i kerana pada waktu itu Siti Hajar sedang mengendong anaknya Nabi Ismail عليه السلام.
Begitu juga dengan perbuatan membaling Jamrah semasa haji. Ada yang kata perbuatan itu adalah untuk membaling kepada syaitan. Namun yang sebenarnya bukanlah itu sebabnya. Kalau kita baling syaitan, tidak mungkin syaitan masih lagi mahu duduk di situ, tentu sudah lama lari. Yang sebenarnya, ia adalah arahan daripada Allah ﷻ, maka kita ikut semata-mata kerana kita taat kepada perintah-Nya.
فَإِنَّهُ رِجْسٌ
kerana sesungguhnya semua itu kotor
Kalimah رِجْسٌ bermaksud kotor dari segi intelek dan syariat. Akal yang sihat pun akan menolaknya.
Tiga perkara yang disebut sebelum ini adalah kotor – iaitu bangkai, darah yang mengalir dan daging babi. Sebagai contoh, kalau pun kita tengok bangkai pun kita sudah rasa geli. Tidak mungkin kita sanggup untuk memakan bangkai, bukan?
Ini juga memberitahu kepada kita bahawa benda-benda kotor tidak boleh dimakan. Janganlah kita sangka hanya tiga benda yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram dimakan. Benda-benda lain yang kotor juga tidak boleh dimakan. Sebagai contoh, ular, tikus, kumbang, dan lain-lain. Memang ada kaum yang makan benda-benda sebegitu. Seperti bangsa Cina, mereka suka makan ular. Mereka kata ular ada kebaikan untuk kesihatan pula. Lalu bagaimana dengan ayat ini?
Itulah sebabnya kita kena lihat kepada bangsa Arab. Mereka perlu dijadikan sebagai kayu ukur. Kita kena lihat apakah yang dipandang kotor atau tidak elok oleh mereka. Kalau tidak, maka semua benda dalam dunia ini bolehlah dimakan.
Sebagai contoh, ular yang kita sebut tadi. Ada sahaja bangsa yang tidak memandangnya sebagai kotor. Begitu juga dengan burung gagak. Kalau kita gunakan hujah dengan kata ada bangsa yang tidak memandang jijik binatang-binatang itu, maka semua binatang boleh dimakanlah jawabnya.
Lihatlah kepada satu hadith Nabi:
“Lima jenis haiwan yang harus dibunuh, baik di tanah haram mahu pun di tanah biasa, iaitu : ular, kala jengking, tikus, anjing buas dan burung rajawali”
(HR. Abu Daud) dalam riwayat lain disebutkan juga burung gagak.
Dalam hadith lain riwayat Ummu Syarik رضي الله عنها:
Bahawa Nabi ﷺ menyuruhnya untuk membunuh cicak. Dan dalam hadith Ibnu Abu Syaibah: Dia menyuruh.
(Sahih Muslim No. 4152)
Daripada hadith-hadith di atas, menunjukkan bahawa haiwan-haiwan itu tidak elok, dipandang jijik, maka tentulah juga tidak boleh dimakan. Oleh itu, bangsa Arab menjadi kayu ukur kepada kita.
أَوْ فِسْقًا
atau berdosa
Memakannya adalah berdosa – perbuatan fasiq kerana Allah ﷻ telah mengharamkannya.
أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.
Satu lagi binatang yang haram dimakan adalah binatang ternak yang semasa disembelih, nama selain Allah ﷻ yang disebut. Atau, jika tiada disebut nama apa-apa pun di mana binatang itu disembelih begitu sahaja. Itu pun tidak boleh.
Namun begitu, kita tidaklah disuruh untuk periksa sama ada dibaca atau tidak nama Allah ﷻ. Tetapi, kalau kita tahu yang memang disebut nama selain Allah ﷻ, atau tidak dibacakan nama Allah ﷻ, kita tidak boleh makan daging sembelihan itu. Jika yang menyembelihnya itu adalah orang Islam, atau ahli Kitab, kita sudah boleh makan tanpa periksa lagi.
فَمَنِ اضْطُرَّ
Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa,
Kadang-kadang mungkin kita terpaksa makan benda-benda yang diharamkan itu. Terpaksa itu adalah kerana keadaan yang memaksa. Mungkin kita masuk hutan, kemudian tersesat, tidak ada makanan dan yang ada hanyalah babi hutan sahaja. Kalau tidak makan, boleh mati. Inilah yang dinamakan keadaan darurah – kalau tidak makan boleh mati.
Ataupun kita dipaksa makan oleh seseorang. Dan kalau kita tidak makan, dia akan bunuh kita. Waktu itu, sudah menjadi wajib kita makan demi menjaga nyawa kita.
غَيْرَ بَاغٍ
sedang dia tidak menginginkannya
Ada dua syarat yang perlu dipenuhi kalau seseorang itu terpaksa memakan makanan yang haram dalam keadaan terdesak. Mulanya, ia mestilah dalam keadaan terdesak dan terpaksa – kalau tidak makan, boleh mati. Dan walaupun dalam keadaan terdesak, ada dua syarat pula.
Pertama, dia tidak ada keinginan untuk memakannya. Bukanlah dia makan kerana teringin hendak makan. Bukanlah juga dia hendak melawan hukum Allah ﷻ kerana ada orang yang teringin sangat hendak makan benda yang haram. Dia selalu lihat orang makan babi macam sedap sahaja, maka dia teringin hendak rasa walaupun dia tahu yang ia adalah haram.
وَلَا عَادٍ
dan tidak (pula) melampaui batas,
Perkataan عَادٍ berasap daripada ع د و yang bermaksud ‘melampau’. Iaitu makan dengan banyak sekali.
Bermaksud orang yang terpaksa makan benda yang haram itu tidaklah dia makan dengan banyak. Memang dibenarkan memakan benda yang haram itu apabila mereka terpaksa memakannya di dalam keadaan terdesak, tetapi jangan makan lebih-lebih. Maknanya, bukanlah makan sampai kenyang.
Cukup sekadar untuk mengalas perut supaya tidak mati. Sebagai contoh, semasa makan babi itu, tidaklah dia makan lebih kerana memang daging babi itu sedap. Dan memang kalau ditanya kepada mereka yang pernah makan daging babi, mereka akan kata yang daging babi itu sedap. Lebih sedap daripada daging-daging yang kita biasa makan.
Jangan gunakan peluang dalam keadaan terdesak untuk makan dengan banyak pula.
فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Allah ﷻ mengampuni mereka yang terpaksa memakan makanan yang haram. Ini adalah kerana Allah ﷻ sayang kepada hamba-Nya. Allah ﷻ tidak mahu hamba-Nya susah.
An’am Ayat 146: Kita dilarang daripada membantah wahyu-wahyu Allah ﷻ. Jangan jadi seperti orang Yahudi yang telah berbuat begitu. Atas kesalahan mereka itu, mereka telah didenda.
وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمنَا ڪُلَّ ذِى ظُفُرٍ وَمِنَ ٱلبَقَرِ وَٱلغَنَمِ حَرَّمنَا عَلَيهِم شُحُومَهُمَآ إِلَّا مَا حَمَلَت ظُهُورُهُمَآ أَوِ ٱلحَوَايَآ أَو مَا ٱختَلَطَ بِعَظمٍ ذٰلِكَ جَزَينَـٰهُم بِبَغيِہِم وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
And to those who are Jews, We prohibited every animal of uncloven hoof; and of the cattle and the sheep We prohibited to them their fat, except what adheres to their backs or the entrails or what is joined with bone. [By] that We repaid them for their injustice. And indeed, We are truthful.
Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.
وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا
Dan kepada orang-orang Yahudi,
Ini adalah hukum tentang makanan yang telah diberikan kepada orang Yahudi. Asalnya, semua makanan dihalalkan kepada mereka. Hanya kemudian baru diharamkan dan itu pun kerana kesalahan mereka sendiri. Seperti yang tersebut dalam [ Nisa: 160 ]
فَبِظُلْمٍ مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَن سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا
Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah.
حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ
Kami haramkan segala binatang yang berkuku
Kalimah ظُفُرٍ bermaksud ‘kuku’. Kuku juga ada pada manusia tetapi kepada binatang, kuku itu digunakan untuk keperluan kehidupan mereka. Kepada kita, kita kena potong kuku kita sebab tidak ada guna kuku itu untuk kita.
Kuku yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kuku yang tidak terbelah. Iaitu kuku itu satu sahaja. Kuku yang ada pada kuda, unta, arnab dan luwak. Allah ﷻ tidak mengharamkan kepada mereka, tetapi mereka yang mengharamkan kepada diri mereka sendiri. Maka kemudian Allah ﷻ telah menghukum mereka dengan meneruskan pengharaman itu.

وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ
dan daripada sapi dan domba,
Ada pengharaman juga kepada sapi/lembu dan domba/biri-biri. Mereka boleh makan lembu dan biri-biri itu, tapi ada bahagian lembu dan biri-biri itu yang mereka tidak boleh makan.
حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا
Kami haramkan ke atas mereka lemak daripada kedua binatang itu,
Bukanlah tidak boleh dimakan daging kedua binatang yang disebut di atas itu. Kena baca dengan penuh. Iaitu, lemak-lemak daripada binatang-binatang yang telah disebut itu yang diharamkan kepada mereka. Sebab itu kalau kita lihat mereka menyediakan makanan mereka, mereka akan buang lemak-lemak itu. Daging mereka boleh makan.
إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا
selain lemak yang melekat di belakang keduanya
Lemak yang melekat di belakang kedua binatang itu, dibolehkan memakannya. Iaitu lemak yang melekat di tulang belakang.
أَوِ الْحَوَايَا
atau di usus kecil
Atau lemak yang ada di usus iaitu di perut kerana susah untuk dibuang.
أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ
atau yang bercampur dengan tulang.
Lemak-lemak yang dibenarkan yang telah disebut dalam ayat ini dibenarkan kerana susah untuk bersihkan. Maka, dibenarkan kepada mereka. Lemak yang selain daripada itu, tidak boleh.
ذَٰلِكَ جَزَيْنٰهُم بِبَغْيِهِمْ
Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kederhakaan mereka;
Yahudi diharamkan memakan perkara-perkara yang disebut di atas kerana kesalahan mereka sendiri. Oleh itu, kalau kita mengharamkan sesuatu yang halal kepada diri kita, bermakna kita menyatakan bahawa kita adalah orang berdosa (seperti orang Yahudi itu). Orang Arab yang mengharamkan sesetengah makanan kepada diri mereka itu, sebenarnya seperti mereka mengatakan yang mereka orang yang bersalah pula.
Begitulah yang kita boleh lihat bagaimana pengharaman diberikan kepada mereka yang bersalah seperti yang telah dikenakan kepada bangsa Yahudi. Tentulah kita sepatutnya tidak suka meniru mereka yang tidak baik (seperti Yahudi itu). Sebagai contoh, kita tidak suka berpakaian seperti orang gay, kerana itu memalukan diri kita sendiri. Bodoh betul diri kita kalau suka mengikut mereka yang buruk perangai mereka.
Apakah kesalahan bangsa Yahudi sehinggakan mereka telah diberikan dengan pengharaman itu? Makanan yang diharamkan kepada mereka itu adalah binatang yang biasa pada waktu itu. Ini telah menyebabkan mereka kehilangan sumber makanan yang besar. Maka, ini adalah satu pengharaman yang menyusahkan mereka.
Mereka diberikan dengan hukum itu kerana mereka telah mengubah-ubah agama mengikut nafsu mereka. Mereka juga telah mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Yang buat begitu adalah pendeta-pendeta mereka dan diikuti oleh penganut mereka. Itu adalah dosa yang besar.
Antaranya yang mereka haramkan ke atas diri mereka adalah memakan unta. Pada asalnya, ia tidak haram kepada diri mereka, tetapi mereka yang memandai haramkan. Mereka haramkan kepada diri mereka kerana pernah Nabi Yaakob عليه السلام tidak boleh makan daging unta kerana suatu penyakit. Tetapi kerana sebab Nabi Yaakob عليه السلام tidak makan pada waktu itu, maka mereka mengharamkan kepada diri mereka pula. Padahal, yang tidak boleh makan adalah Nabi Yaakob عليه السلام sahaja sebab baginda ada penyakit. Kenapa pula mereka yang ikut?
وَإِنَّا لَصٰدِقُونَ
dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.
Allah ﷻ memberitahu bahawa apa yang diberitahu ini adalah satu kebenaran kerana ia datang daripada Allah ﷻ sendiri. Apa yang Allah ﷻ beritahu adalah benar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Mei 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Maariful Qur’an
Assalamualaikum
Saya promote kawan2 saya datang belajar tafsir..tapi ada kalangan mereka yg reply mcm ni
minta penjelasan..ttg kesahihan hadith2 di bawah ni
MENJAWAB DUSTA DAN FITNAH WAHABI TERHADAP ADAT MELAYU (MALAYSIA)
Jawaban atas tuduhan dan fitnah Adat Melayu Yang di anggap Bertentangan dengan syariat oleh Wahabi
1. *Mendengar berita kematian:*
Wahabi berdusta mengatakan adat melayu hanya membaca Alfatihah saja.
*Jawab* :
Yang di baca adalah takziah Innalillahi wa inna ilaihi dan Alfatihah
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Jika salah seorang diantara kalian meninggal dunia maka jangan tahan jenazahnya,segera bawa dia ke kuburnya dan bacakanlah surat Al-Fatihah didekat kepalanya dan surat Al-Baqarah didekat kakinya di kuburnya.'(HR. Thabrani dan Baihaqi)
2. *Tanam jenazah*
– Jirus air dengan jug yang diikat kain putih
– Tabur bunga
– Tabur batu
*Jawab* :
– Jirus air
Dalam kitab Al-Um karya Imam Syafii dan Sunanul Kubra karya Imam Baihaqi disebutkan:
أن النبي رش على قبر إبراهيم ابنه
“Sesungguhnya Nabi ﷺ memercikkan air ke kubur putra beliau yang bernama Ibrahim.”
– Tabur bunga adalah anjuran dari hadits tentang pelepah kurma diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
– Tabur batu/tanah yang di genggam
Dalam hadits di kitab-kitab sunan disebutkan:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم حضر جنازة ، فلما دفن الميت أخذ قبضة من التراب فألقاها في القبر ثم قال ( منها خلقناكم ) ثم أخذ أخرى وقال : ( وفيها نعيدكم ) . ثم أخذ أخرى وقال : ( ومنها نخرجكم تارة أخرى ) .
Rasulullah ﷺ menghadiri jenazah. Ketika jenazah di tanam, beliau mengambil segenggam tanah, kemudian melemparkannya ke dalam kubur.
3. *Kubur jenazah*
Wahabi berdusta dan mengatakan:
– Kubur dijadikan masjid tempat beribadah dan meminta
*Jawab* :
Tidak ada satu pun kuburan yang di jadikan masjid yang ada adalah masjid yang ada kuburanya.
Ibnu Syabbah meriwayatkan dalam Tarikh al-Madinah:
عَنْ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ النَّاسُ يَدْخُلُوْنَ حُجَرَ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلُّوْنَ فِيْهَا يَوْمَ الْجُمْعَةِ بَعْدَ وَفَاةِ النَّبِيِّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ الْمَسْجِدُ يَضِيْقُ بِأَهْلِهِ.
“Imam Malik berkata: “Orang-orang memasuki kamar-kamar istri-istri Nabi ﷺ , mengerjakan shalat di dalamnya, setelah wafatnya Nabi ﷺ , dan Masjid sesak dengan orang yang menghadirinya.”
4. *Kenduri arwah*
Wahabi mengatakan :
Keluarga si mati buat upacara ritual kenduri bagi arwah dengan bacaan tertentu, doa tertentu, surah Yasin sambil dihadiri tekong tahlilan arwah bagi mengisi perut tetamu dengan juadah makanan walau keadaan susah dan terpaksa. Bersedekah tidak salah dengan meluruskan niat.
Dilakukan selama 7 hari, 40 hari dan 100 hari atas kepercayaan agar mayat tidak diseksa dan tidak disoal di dalam kubur.
Ritual seperti ini adalah milik agama *HINDU*
*Jawab* :
Rasullullah ﷺ menganjurkan membaca surah Yasin untuk mayyit
“اقرءوها على موتاكم” يعني يس
Bacakanlah surat tersebut terhadap orang-orang yang mati di antara kalian.” Yaitu surat yasin” (HR. Abu Daud, Ahmad, Nasa’i dan Ibnu Majah )
Hadis ini Sahih menurut Imam ibnu Hibban dan imam Al-Hakim.
Jawaban mengenai 7 hari, 40 hari dan sedekah makanan
ﺍﻟﺤﺎﻭﻱ ﻟﻠﻔﺘﺎﻭﻱ ﻟﻠﺴﻴﻮﻃﻲ – ( ﺝ 3 / ﺹ 266 )
ﻗﺎﻝ ﺍﻹﻣﺎﻡ ﺃﺣﻤﺪ ﺑﻦ ﺣﻨﺒﻞ ﺭﺿﻲ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ﻓﻲ ﻛﺘﺎﺏ ﺍﻟﺰﻫﺪ ﻟﻪ ﺣﺪﺛﻨﺎ ﻫﺎﺷﻢ ﺑﻦ ﺍﻟﻘﺎﺳﻢ ﻗﺎﻝ ﺛﻨﺎ ﺍﻻﺷﺠﻌﻲ ﻋﻦ ﺳﻔﻴﺎﻥ ﻗﺎﻝ ﻗﺎﻝ ﻃﺎﻭﻭﺱ ﺇﻥ ﺍﻟﻤﻮﺗﻰ ﻳﻔﺘﻨﻮﻥ ﻓﻲ ﻗﺒﻮﺭﻫﻢ ﺳﺒﻌﺎ ﻓﻜﺎﻧﻮﺍ ﻳﺴﺘﺤﺒﻮﻥ ﺃﻥ ﻳﻄﻌﻤﻮﺍ ﻋﻨﻬﻢ ﺗﻠﻚ ﺍﻷﻳﺎﻡ
“ Thowus berkata “ Sungguh orang-orang yang telah meninggal dunia difitnah dalam kuburan mereka selama tujuh hari, maka mereka (para sahabat nabi) gemar (bersedekah) menghidangkan makanan sebagai ganti dari mereka yang telah meninggal dunia pada hari-hari tersebut “.
Fitnah dan dusta yang nyata jika di katakan ritual seperti ini adalah cara hindu sebab di dalam ritual tahlilan ada ucapan kalimat tauhid. Sejak kapan agama hindu membaca kalimat tauhid ??
Banyak adat melayu yang masih ada sampai saat ini adalah adat yang di himpun dari as-sunnah dengan dalil-dalil dan hadits, hanya saja Wahabi menolaknya sebab dalil-dalil dan hadits-nya dianggap tidak sahih oleh tokoh-tokoh Wahabi.
BERSAMBUNG ..
� Abu Muhammad Al-Maduri حفظه الله
��Ikuti dan Share Channel Telegram SAHABAT ASWAJA
� http://bit.ly/sahabataswaja
AMALAN-AMALAN DI KUBUR MENURUT ULAMAK AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH
Persoalan :
1. Hukum Ziarah Kubur
2. Ziarah kubur pada hari dan waktu tertentu
3. Membaca al Quran di Kubur
4. Mengusap di Kubur
5. Bertawassul
6. Meletakkan bunga dan menyiram air di kubur
Jawapannya di sini :
Persoalan :
1. Hukum membaca Surah Al Fatihah kepada orang yang telah meninggal dunia
Jawapannya di sini :
Persoalan :
1. Hukum binaan di kuburan
Jawapannya di sini :
Gambar-gambar binaan kubur di ma’la di Mekah , baqi’ di Madinah dan hukum binaan di kubur :
1. https://www.facebook.com/SunniMalaysia/posts/862395130492296
2. https://www.facebook.com/SunniMalaysia/posts/686777904720687
Persoalan :
1. Hukum Mengambil Upah Membaca al Quran
Jawapannya di sini :
Persoalan :
Hukum membaca talqin
Jawapannya di sini :
1. Jawapan Ustaz Abu Muhammad : http://bahrusshofa.blogspot.my/2008/12/talqin-raudhatuth-tholibin.html
2. Status Hadith mengenai talqin :
http://jomfaham.blogspot.my/2010/05/kedudukan-hadits-talqin-setelah-dikubur.html
3. Ulamak di dalam 4 mazhab membolehkan membaca talqin
http://jomfaham.blogspot.my/2008/12/hukum-membaca-talqin-2.html
*Amalan umat Islam ternyata ada sandaran dari al Quran dan Hadith. Adat Wahhabi yang suka mengkafir, mensyirik dan membid’ah datang dari amalan nenek moyang yang mana ?
LikeLike
Alhamdulillah, anda sudah mula ajak kawan-kawan belajar tafsir.
Tapi soalan yang anda kemukakan itu adalah banyak sekali. Boleh dijawap kalau anda semakin belajar di kelas. Saya jawap yang pertama sahaja – tentang baca Fatihah kalau ada kedengaran orang meninggal. Memang diberikan hadis tetapi hadis itu statusnya sangat lemah: adalah hadits yang sangat lemah, karena di dalamnya terdapat dua perawi yang lemah, yang pertama adalah Yahya bin Abdullah Al-Babalti, ia perawi yang lemah. Al Azdi berkata, “Kelemahan padanya sangat jelas”. Dan Abu Hatim berkata, “Tidak dianggap”. (Al-Mughni fi Dlu’afa, 2/739). Dan yang kedua adalah Ayyub bin Nahiik Al Halabi ia dianggap lemah oleh Abu Hatim, dan Al Azdi berkata, “Matruk”. Dan Ibnu Hibban menyebutkannya dalam Ats-Tsiqat dan berkata: “Yukhti (suka salah)”. (Lisanul Mizan,1/490).
Jadi, sebagai penuntut ilmu, bukan sahaja kena tengok kepada hadis, tapi kena tengok status hadis juga. Allahu a’lam. Semoga anda terus belajar dan mengajak kawan-kawan lain datang belajar.
LikeLike