Tafsir Surah al-A’raf Ayat 143 – 144 (Nabi Musa minta lihat Allah ﷻ)

A’raf Ayat 143:

وَلَمّا جاءَ موسىٰ لِميقٰتِنا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قالَ رَبِّ أَرِني أَنظُر إِلَيكَ ۚ قالَ لَن تَرىٰني وَلٰكِنِ انظُر إِلَى الجَبَلِ فَإِنِ استَقَرَّ مَكانَهُ فَسَوفَ تَرىٰني ۚ فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ موسىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمّا أَفاقَ قالَ سُبحٰنَكَ تُبتُ إِلَيكَ وَأَناْ أَوَّلُ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Moses arrived at Our appointed time and his Lord spoke to him, he said, “My Lord, show me [Yourself] that I may look at You.” [Allāh] said, “You will not see Me,¹ but look at the mountain; if it should remain in place, then you will see Me.” But when his Lord appeared to the mountain, He rendered it level,¹ and Moses fell unconscious. And when he awoke, he said, “Exalted are You! I have repented to You, and I am the first of the believers.”

  • During the life of this world.
  • It crumbled to dust.

MALAY

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)

 

وَلَمّا جاءَ موسىٰ لِميقٰتِنا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya,

Ini adalah ketika Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Bukit Thursina untuk menerima Taurat. Pada waktu itu Allah berkata-kata dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara langsung, namun tidaklah diketahui caranya. Oleh itu, tidak perlulah kita memikirkan panjang-panjang bagaimana caranya, adakah Allah ada suara atau tidak, adakah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendengar atau tidak, dan sebagainya.

Yang kita perlu beriman, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang berkata-kata secara langsung dengan Allah . Tidak ada orang tengah di antara percakapan Allah dan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

قالَ رَبِّ أَرِني أَنظُر إِلَيكَ

Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu”. 

Oleh kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seronok sangat dapat bercakap dengan Allah secara langsung, lalu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon untuk melihat Allah secara nyata. Baginda hendak memandang Allah pula.

Permintaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidaklah kurang ajar. Baginda telah dapat bercakap-cakap dengan Allah secara langsung, maka sekarang baginda hendak ke peringkat yang lebih sedikit iaitu hendak merenung Allah – kerana lafaz yang digunakan adalah أَنظُر (merenung) bukan setakat melihat sepintas lalu sahaja.

Ia adalah perasaan yang normal. Ini seperti seorang lelaki yang sudah bercakap dengan wanita yang disukainya, tentu dia hendak berdepan dengan wanita itu, bukan? Seperti juga kita yang teringin sangat melihat Ka’bah kerana setiap hari mengadap kepadanya. Atau seseorang yang tidak pernah berjumpa dengan bapanya semenjak kecil, tentu ingin melihat bapanya di hadapannya. Begitu jugalah kita teringin hendak melihat Allah ﷻ  kerana kita sayang sangat kepada Allah .

Maka janganlah kita menuduh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melampau dalam hal ini. Tambahan pula pada waktu itu pun tidak ada larangan lagi untuk meminta melihat Allah . Baginda meminta itu entah memang ada peluang yang Allah hendak beri kerana orang lain tidak diberi kelebihan bercakap-cakap pun dengan Allah ﷻ. Kalau sudah dapat bercakap, entah dapat melihat pula, kalau tidak minta rasa rugi pula, bukan?

Di dalam Baqarah: 55, kaum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada meminta hendak melihat Allah tetapi mereka diazab di atas permintaan mereka itu.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

Kenapakah baginda meminta tidak salah namun apabila kaum baginda yang meminta diazab pula? Ini kerana tidak sama tujuan permintaan mereka. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta kerana rindu kepada Allah dan baginda memang telah beriman. Sedangkan kaum baginda meminta kerana mereka bersikap kurang ajar dan mereka menolak iman.

Perbuatan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah lebih kurang sama dengan permintaan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hendak melihat bagaimana Allah menghidupkan makhluk yang telah mati di dalam Baqarah: 260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.

Kita boleh lihat di sini yang bukanlah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak beriman atau mempersoalkan kuasa Allah akan tetapi untuk menambah iman baginda.

 

قالَ لَن تَرىٰني

Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku,

Allah memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baginda tidak sekali-kali boleh melihat-Nya. Maksudnya ia tidak mungkin akan berlaku, iaitu makhluk tidak mungkin dapat melihat Allah semasa di dunia. Di akhirat, cerita lain.

Ini kerana kita memang boleh melihat Allah tetapi bukan di dunia. Ini kerana iman ahli sunnah, makhluk boleh melihat Allah di akhirat kelak – iaitu kelebihan yang diberikan kepada ahli syurga. Hanya di dunia sahaja yang tidak boleh lihat kerana fizikal kita sekarang tidak mampu. Namun begitu puak Muktazilah yang sesat itu pula kata, tidak akan dapat lihat Allah sampai bila-bila termasuk di akhirat pun. Itu adalah fahaman yang salah dan menolak banyak dalil-dalil yang membolehkannya.

Makna huruf لن dalam ayat ini menyulitkan analisis kebanyakan ulama’ tafsir, mengingat pada asalnya huruf لن diletakkan untuk menunjukkan makna ta’bid (tidak akan boleh selama-lamanya). Kerana itulah orang-orang Mu’tazilah berpendapat bahawa melihat Dzat Allah merupakan suatu hal yang mustahil di dunia ini dan di akhirat nanti.

Akan tetapi pendapat ini sangat lemah, kerana ada banyak hadith mutawatir daripada Rasulullah ﷺ yang menyatakan bahawa orang-orang mukmin dapat melihat Allah di akhirat nanti. Ada perbincangan yang panjang tentang perkara ini yang boleh dibaca di sini.

Kalimat لَن تَرىٰني bukanlah bermaksud Allah tidak boleh dilihat. Cuma Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (atau manusia lain) tidak boleh melihat Allah dengan mata yang kita ada sekarang ini. Sekiranya memang Allah tidak boleh dilihat, kalimat yang digunakan adalah لن ارى (aku tidak boleh dilihat sampai bila-bila).

Oleh hal yang demikian, kita kena tahu yang ada kemungkinan boleh melihat Allah (jikalau kita ahli syurga) akan tetapi kenalah mati terlebih dahulu kerana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

تَعَلَّمُوا أَنَّهُ لَنْ يَرَى أَحَدٌ مِنْكُمْ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ حَتَّى يَمُوتَ

Ketahuilah, sesungguhnya tidak ada seorang pun daripada kalian yang melihat Rabb-nya ‘Azza wa Jalla hingga dia meninggal.”

(Sahih Muslim (2930))

Di sini kita boleh lihat yang permintaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diperkenankan. Ini mengajar kita yang bukan semua permintaan orang mukmin dimakbulkan. Namun begitu dalam masa yang sama, kita telah baca bagaimana permintaan musuh Allah seperti Iblis pun diperkenankan seperti yang kita telah belajar di awal surah ini.

Maka segala permintaan itu bergantung kepada kehendak Allah sama ada dimakbulkan ataupun tidak. Allah yang tahu mana yang baik bagi kita. Kerana itulah ada perkara yang kita minta tidak diberikan, kerana Allah tahu ia tidak baik bagi kita.

Permintaan orang kafir hatta iblis pun Allah perkenankan walaupun mereka menentang Allah kerana Allah bersifat Rahman. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah dan redha dengan ketentuan-Nya.

 

وَلٰكِنِ انظُر إِلَى الجَبَلِ

tetapi pandanglah ke gunung itu, 

Walaupun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat melihat Allah , tetapi untuk melayan perasaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Allah suruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lihat kepada puncak gunung kerana Dia akan tajalli pada gunung itu. Apabila digunakan kalimah ‘jabal’ maka ia bermaksud gunung besar yang berbatu keras. Ia tidak sama dengan bukit sebab bukit banyak tanah sahaja. Maka harus diingatkan ini adalah jenis gunung yang bersifat keras.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan mampu melihat Allah maka Allah tunjukkan apa yang akan terjadi sekiranya Dia menampakkan Diri-Nya kepada makhluk lain. Dijadikan gunung batu itu sebagai contoh.

 

فَإِنِ استَقَرَّ مَكانَهُ فَسَوفَ تَرىٰني

maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”,

Allah berkata, kalau gunung itu tetap sedia pada tempatnya setelah Allah tajallikan Diri-Nya pada gunung itu, maka Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bolehlah baginda melihat Allah . Lafaz tajalla bermaksud menzahirkan kepada sesuatu.

 

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur

Kalimah tajalli bermaksud menampakkan. Tatkala Allah menampakkan Diri-Nya pada gunung itu, menyebabkan gunung itu hancur berkecai. Bagaimanakah cara tajalli Allah itu, tidaklah mampu kita hendak membayangkannya. Dalam kitab tafsir disebut, ia ditunjukkan sedikit sahaja. Gunung itu hancur lebur sampaikan tanah itu menjadi rata. Atau boleh jadi yang hancur adalah bahagian yang dinampakkan Allah kepadanya. Allahu a’lam.

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55.

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ

bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah Yusuf:35

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ

Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا

Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ

Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143 ini

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا

ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

 

وَخَرَّ موسىٰ صَعِقًا

dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. 

Melihat perkara itu, terus Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jatuh tersungkur dan pitam kerana terkejut sangat. Oleh kerana gunung yang besar itu pun tidak sanggup melihat tajalli Allah , maka ia telah hancur. Manakala Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula pada waktu itu sedang melihat gunung itu hancur berkecai dan kerana terkejutnya baginda, baginda sendiri menjadi pengsan. Ini kerana baginda sudah sedar, jika gunung yang lebih besar dan kuat daripada baginda pun tidak sanggup, apatah lagi baginda?

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى الْمَازِنِيِّ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ مِنَ اليهود إلى النبي صلى الله عليه وسلم قَدْ لُطِمَ وَجْهُهُ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِكَ مِنَ الْأَنْصَارِ لَطَمَ وَجْهِي. قَالَ: “ادْعُوهُ” فَدَعَوْهُ، قَالَ: “لِمَ لَطَمْتَ وَجْهَهُ؟ ” قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي مَرَرْتُ بِالْيَهُودِيِّ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى الْبَشَرِ.قَالَ: قُلْتُ: وَعَلَى مُحَمَّدٍ؟ فَأَخَذَتْنِي غَضْبَةٌ فَلَطَمْتُهُ، قَالَ: “لَا تُخَيِّرُونِي مِنْ بَيْنِ الْأَنْبِيَاءِ، فَإِنَّ النَّاسَ يُصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ، فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ الْعَرْشِ، فَلَا أَدْرِي أَفَاقَ قَبْلِي أَمْ جُوزِيَ بِصَعْقَةِ الطُّورِ”.

Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Yusuf, telah menceritakan kepada kami Sufyan, daripada Amr ibnu Yahya Al-Mazini, daripada ayahnya, daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan bahawa seorang lelaki Yahudi datang kepada Nabi ﷺ, sedangkan mukanya baru saja ditampar, lalu dia mengadu, “Hai Muhammad, sesungguhnya seseorang daripada sahabatmu dalam kalangan Ansar telah menampar wajahku.” Nabi ﷺ bersabda, “Panggillah dia!” Lalu mereka memanggil lelaki itu dan baginda bersabda kepadanya, “Mengapa engkau tampar mukanya?” Lelaki Ansar menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ketika saya sedang lewat bersua dengan orang Yahudi, lalu orang Yahudi itu kudengar mengatakan, ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa atas manusia semuanya.’ Lalu saya mengatakan kepadanya, ‘Dan juga di atas Muhammad?’ Lelaki itu menjawab, ‘Ya juga di atas Muhammad.’ Maka saya menjadi emosi, lalu kutampar mukanya,” Rasulullah ﷺ bersabda: Janganlah kalian melebihkan aku di atas para nabi semuanya, kerana sesungguhnya manusia pasti pengsan di hari kiamat, dan aku adalah orang yang mula-mula sedar. Tiba-tiba aku menjumpai Musa sedang memegang kaki A’rasy. Aku tidak mengetahui apakah dia sedar sebelumku ataukah dia telah beroleh balasannya ketika mengalami pengsan di Bukit Tur.

Imam Bukhari telah meriwayatkannya di pelbagai tempat (bab) daripada kitab Sahih-nya, dan Imam Muslim meriwayatkannya di dalam kitab Sahih-nya dalam pembahasan “Kisah-kisah para Nabi”.

Hadith ini memberitahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah sedia sedar sebelum orang lain termasuk Nabi Muhammad ﷺ. Ulama’ mengatakan ini kerana baginda telah pernah pengsan dulu iaitu apabila melihat Gunung Thur dihancurkan. Maka baginda tidak dikenakan dengan pengsan sekali lagi semasa Kiamat. Hadithnya akan menyusul kemudian.

 

فَلَمّا أَفاقَ قالَ سُبحٰنَكَ

Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), 

Apabila baginda sedar semula daripada pengsan, baginda berkata memuji Allah : Maha suci Allah. Kalimah subhanallah adalah jenis kalimah menafikan. Maka yang dinafikan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah kemampuan untuk melihat Allah . Sedarlah baginda dengan sebenar-benar sedar yang mata makhluk tidak mampu melihat Dzat Allah semasa di dunia.

Maka, bagaimanakah ada manusia yang kata boleh melihat Allah semasa di dunia ini lagi? Yang selalu berkata begini adalah golongan tarekat. Sememangnya mereka itu jahil dan tidak mempelajari tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi dengan benar, maka mereka telah memusingkan makna ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith untuk ikut pandangan mereka yang sesat. Mereka membuat andaian mengikut akal sendiri sahaja.

Mereka berkata yang sekiranya beramal dengan amalan mereka (yang syirik dan bid’ah kebiasaannya) maka seseorang itu akan sampai kepada tahap boleh melihat Allah – nauzubillah… semoga masyarakat kita diselamatkan daripada golongan sufi dan tarekat itu. Janganlah jadi jahil seperti mereka.

Maka di sini kita dapat tahu yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah pernah pengsan. Ada disebut lagi di dalam sebuah hadith yang lain:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

النَّاسُ يَصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ، فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ الْعَرْشِ. فَلاَ أَدْرِي أَفَاقَ قَبْلِي أَمْ جُوزِيَ بِصَعْقَةِ الطُّورِ

Daripada Abu Sa’id رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda:

Semua manusia akan tidak sedarkan diri pada hari kiamat, maka aku menjadi orang pertama yang sedarkan diri kembali, ternyata di hadapanku ada Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ yang sedang berpegangan pada salah satu tiang daripada tiang ‘Arsy.
Aku tidak tahu apakah baginda lebih dahulu sedar sebelum aku, atau baginda termasuk orang yang dikecualikan daripada hilangnya kesedaran (setelah ditiupnya sangkakala) dengan hilangnya kesedarannya di gunung Thur (saat Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ meminta untuk melihat Allah ).

(Hadith Sahih Riwayat Bukhari (3146))

 

تُبتُ إِلَيكَ

aku bertaubat kepada-Mu, 

Baginda telah meminta ampun kerana baginda telah meminta untuk melihat Allah . Baginda sedar yang baginda telah melampau batas dengan meminta perkara yang tidak patut.

Oleh itu, kita tidak pernah dengar yang Nabi Muhammad ﷺ pernah meminta untuk melihat Allah kerana Nabi Muhammad ﷺ tahu yang perkara itu tidak mungkin akan tercapai dan kalau baginda meminta juga, itu adalah satu perbuatan melampau.

Lalu bagaimana pula golongan sufi dan tarekat boleh menaruh harapan untuk melihat Allah dalam dunia ini? Ini adalah kerana mereka jahil sangat sampai senang ditipu oleh syaitan dan sampai boleh percaya kepada perkara yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an.

 

وَأَناْ أَوَّلُ المُؤمِنينَ

dan akulah orang yang awal pertama beriman

Baginda kata bagindalah yang mula-mula beriman. Maksudnya yang paling awal beriman bahawa tidak boleh lihat Allah di dunia. Memang sebelum itu telah ada orang-orang yang beriman, tetapi makna yang dimaksudkan di sini ialah “Aku orang yang mula-mula beriman kepada Engkau, bahawa tidak ada seorang makhluk-Mu yang dapat melihat-Mu sehingga hari kiamat”.


 

A’raf Ayat 144:

قالَ يٰموسىٰ إِنِّي اصطَفَيتُكَ عَلَى النّاسِ بِرِسٰلٰتي وَبِكَلٰمي فَخُذ ما ءآتَيتُكَ وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “O Moses, I have chosen you over the people with My messages and My words [to you]. So take what I have given you and be among the grateful.”

MALAY

Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur”.

 

قالَ يٰموسىٰ إِنِّي اصطَفَيتُكَ عَلَى النّاسِ

Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia

Allah memujuk Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ untuk menghilangkan kesedihan baginda. Allah beritahu yang Dia telah memilih baginda melebihi manusia lain pada zamannya. Ini adalah isyarat kepada kedudukan baginda yang tinggi.

Ini mengajar kita yang Allah yang memilih siapa yang menjadi Rasul dan Nabi. Ia adalah haq Allah sepenuhnya dan bukan haq kita untuk mempersoalkan. Allah tahu memilih siapakah yang terbaik untuk menjadi pesuruh-Nya.

Bukanlah Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ terbaik dalam kalangan manusia keseluruhannya. Kalau dikira kedudukan para Rasul kita, kedudukan yang tertinggi sekali adalah Nabi Muhammad ﷺ. Kemudiannya adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan kerana itu baginda dikenali dengan gelaran Khalilullah (kekasih Allah ). Nabi Ibrahim عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sebelum Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ sementara Nabi Muhammad ﷺ adalah selepas baginda. Kedudukan utama dalam kalangan para Rasul yang ketiga adalah Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ kerana baginda diberi kelebihan bercakap terus dengan Allah . Maka Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ adalah yang terbaik di zamannya sahaja, bukan bagi setiap zaman.

 

بِرِسٰلٰتي وَبِكَلٰمي

dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; 

Risalah bermaksud Kitab Taurat dan Kalam adalah percakapan Allah dengan Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. Allah memilih baginda dengan cara baginda diberikan kelebihan membawa dan menyampaikan wahyu kepada manusia lain. Itu adalah penghormatan yang amat tinggi. Dalam ramai-ramai manusia, baginda dipilih oleh Allah .

Satu lagi kelebihan baginda, baginda boleh berbicara langsung dengan Allah tanpa perantaraan. Ini adalah keistimewaan Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ di mana baginda sahaja yang dapat. Kerana itulah baginda dikenali dengan gelaran Kalimullah (Yang bercakap-cakap dengan Allah ). Sebenarnya Rasulullah ﷺ pun pernah juga berbicara dengan Allah secara langsung semasa Isra’ Mi’raj akan tetapi kelebihan gelaran itu diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

فَخُذ ما ءآتَيتُكَ

oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, 

Allah mengarahkan Nabi Musa عَلَيْهِ وَسَلَّمَ untuk berpeganglah dengan Kitab Taurat yang Dia telah berikan kepada baginda untuk sampaikan. Amalkan dan sampaikan juga kepada manusia yang lain.

Kita pun begitulah juga, kena belajar Al-Qur’an ini sampai faham dan kemudian kena sampaikan dan ajar kepada masyarakat. Jangan baca tetapi tidak faham; jangan simpan di rumah Al-Qur’an yang cantik, tetapi langsung tidak dibaca. Selalu orang kita mendapat hadiah Al-Qur’an semasa menikah, tetapi kemudian disimpan sahaja Al-Qur’an itu tanpa dipelajari.

 

وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ

dan jadikanlah dirimu daripada orang-orang yang bersyukur”.

Hendaklah baginda bersyukur di atas nikmat Taurat yang telah diberikan kepada baginda. Itu adalah sebesar-besar nikmat. Kita mensyukuri sesuatu nikmat itu dengan menggunakannya untuk kebaikan.

Maka, kita umat Islam ini pun sudah mendapat Al-Qur’an. Sekiranya kita tidak menggunakan Al-Qur’an ini untuk kebaikan, untuk mengurus hidup kita, sebagai pedoman dalam diri dan masyarakat dan juga negara, maka kita tidak dikira mensyukuri nikmat itu sepenuhnya. Bayangkan, ada orang beri barang kepada kita, tetapi kita tidak menggunakannya, bagaimanakah itu?

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah , tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah . Jika Allah yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

Maka kepada Bani Israel, maksud bersyukur kepada mereka adalah dengan menerima Taurat dan mengamalkannya. Untuk mengamalkannya, kenalah faham isi kandung Taurat itu. Sama juga dengan kita, untuk mengamalkan Al-Qur’an, kena faham dulu isinya dengan mempelajari tafsir dan kemudian tadabbur ayat-ayatnya. Hendaklah selalu dibaca setiap hari.

Antara cara mensyukuri nikmat ilmu yang kita dapat dari mana-mana kelas agama atau daripada tafsir Al-Qur’an adalah dengan mengamalkannya. Bukan itu sahaja, ia hendaklah disampaikan kepada orang lain juga. Jika tidak diamalkan ilmu itu, maknanya orang itu dianggap kufur dengan nikmat ilmu itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Ogos 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 141 – 142 (Nabi Musa عليه السلام bermunajat 40 hari)

A’raf Ayat 141: Allah mengingatkan jasa-Nya kepada mereka.

وَإِذ أَنجَينٰكُم مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ ۖ يُقَتِّلونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [recall, O Children of Israel], when We saved you from the people of Pharaoh, [who were] afflicting you with the worst torment – killing your sons and keeping your women alive. And in that was a great trial from your Lord.

MALAY

Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

 

وَإِذ أَنجَينٰكُم مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ

Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; 

Allah mengingatkan mereka bagaimana Dia telah menyelamatkan mereka daripada Firaun yang telah mengenakan azab yang teruk kepada mereka. Pertamanya, Firaun telah memperhambakan mereka.

Semua azab adalah teruk, bukan? Tidak ada azab yang baik. Namun di dalam ayat ini, Allah menambah kalimah سوءَ (buruk) sebagai adjektif untuk menggambarkan yang azab yang dikenakan kepada mereka itu amatlah teruk. Apakah azab itu?

 

يُقَتِّلونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم

mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; 

Allah mengingatkan mereka bagaimana Firaun telah mengeluarkan arahan untuk membunuh anak-anak lelaki mereka; dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup. Bukannya anak perempuan diselamatkan tetapi untuk dijadikan sebagai hamba abdi dan hamba seks mereka.

Maka inilah yang dikatakan azab yang amat teruk itu. Ia sememangnya teruk sekali kerana kalimah yang digunakan adalah يُقَتِّلونَ di dalam bentuk mubalaghah. Maknanya bukan bunuh sekali tetapi berkali-kali. Arahan yang dikeluarkan oleh Firaun itu berterusan. Asalkan ada anak lelaki sahaja terus dibunuh. Ini dikawal dengan cara apabila terdapat wanita dalam kalangan Bani Israel yang didapati mengandung, mereka terus dipantau untuk dilihat anak apa yang lahir.

Anak lelaki yang dibunuh itu pun sudah teruk namun yang lebih teruk adalah apabila anak perempuan dibiarkan hidup. Mereka bukanlah dibiarkan hidup sahaja, tetapi diambil oleh bangsa Qibti untuk menjadi hamba mereka termasuk hamba seks. Maka perbuatan ini menjadi azab yang berpanjangan bagi mereka dan ibubapa mereka. Sekiranya anak lelaki dibunuh sekali sahaja, memang sedih tetapi untuk sekian waktu sahaja. Namun untuk sepanjang hidup mereka terpaksa melihat anak perempuan mereka diperhambakan, maka itu adalah azab yang berpanjangan.

Di dalam ayat ini digunakan kalimat يُقَتِّلونَ أَبناءَكُم tetapi di dalam ayat Baqarah: 49 digunakan kalimah يُذَبِّحُونَ أَبنَآءَكُم pula. Ini kerana kalimah يُقَتِّلونَ bermaksud bunuh sahaja tetapi kalimah يُذَبِّحُونَ memberitahu kita cara mereka dibunuh iaitu dengan disembelih.

 

وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظيمٌ

dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar daripada Tuhan kamu.

Perbuatan itu adalah cubaan besar yang Allah berikan kepada mereka. Allah telah menyelamatkan mereka akhirnya daripada genggaman Firaun itu. Tidakkah mereka ingat nikmat yang Allah telah berikan itu? Maka kenapa tidak taat kepada Allah dan Nabi Musa عليه السلام?

Kalimah بَلاءٌ adalah salah satu daripada kalimah bahasa Arab yang mempunyai dua maksud dan dua maksud itu pula yang nampaknya berlawanan. Ia boleh menjadi bala/dugaan dan juga boleh bermaksud nikmat. Memang dua maksud yang berlawanan, bukan?

Kedua-dua makna boleh digunapakai di dalam ayat ini. Sekiranya ia diterjemahkan sebagai bala, maka ia menyentuh azab yang dikenakan kepada mereka itu. Manakala jika ia diterjemahkan sebagai nikmat, maka ia merujuk kepada pembebasan mereka daripada bala itu.

Habis Ruku’ 16 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

TEMUJANJI MUSA عليه السلام DENGAN ALLAH

A’raf Ayat 142: Sekarang kita masuk kisah lain pula tentang Nabi Musa عليه السلام. Ia berlarutan sehingga ayat 149.

۞ وَوٰعَدنا موسىٰ ثَلٰثينَ لَيلَةً وَأَتمَمنٰها بِعَشرٍ فَتَمَّ ميقٰتُ رَبِّهِ أَربَعينَ لَيلَةً ۚ وَقالَ موسىٰ لِأَخيهِ هٰرونَ اخلُفني في قَومي وَأَصلِح وَلا تَتَّبِع سَبيلَ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made an appointment with Moses for thirty nights and perfected them by [the addition of] ten; so the term of his Lord was completed as forty nights. And Moses said to his brother Aaron, “Take my place among my people, do right [by them],¹ and do not follow the way of the corrupters.”

  • i.e., keep their affairs in order.

MALAY

Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.

 

وَوٰعَدنا موسىٰ ثَلٰثينَ لَيلَةً

Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa selama tiga puluh malam,

Setelah Bani Israel selamat menyeberangi laut dan daripada cengkaman Firaun, mereka telah meminta syariat daripada Nabi Musa عليه السلام untuk mereka amalkan. Maka Nabi Musa عليه السلام pun meminta kepada Allah tentang hal itu. Untuk mendapatkannya, Nabi Musa عليه السلام telah diarahkan oleh Allah untuk bermunajat di Bukit Thursina selama 30 malam untuk diberikan Taurat.

Ini kerana untuk mendapatkan sesuatu yang amat mulia seperti Taurat, Nabi Musa عليه السلام mestilah membersihkan hati baginda. Begitulah juga kita jika hendak memasukkan pemahaman Al-Qur’an ke dalam dada maka kita mestilah membersihkan hati. Jika tidak, susah untuk ilmu hendak masuk. Kerana itulah agaknya ramai yang belajar, namun masih tidak faham-faham apa yang Al-Qur’an hendak sampaikan.

Kitab Taurat diberikan terus dalam bentuk kitab sekaligus kepada Nabi Musa عليه السلام. Maka baginda dan umat baginda terus mendapat Taurat yang lengkap. Ini berbeza dengan Nabi Muhammad ﷺ yang menerimanya sedikit demi sedikit selama hampir 23 tahun. Ini adalah satu rahmat daripada Allah juga sebenarnya. Kerana kalau terima sekaligus, maka tentu para sahabat susah hendak amalkan. Maka Allah beri secara berperingkat. Para sahabat dapat belajar dan mengamalkan Al-Qur’an sedikit demi sedikit.

Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah واعد iaitu di dalam wazan تفاعل iaitu dua pihak sama-sama berjanji. Kalau وعد sahaja, hanya satu pihak sahaja yang berjanji. Untuk kalimah واعد yang digunakan, maka Allah dan juga Nabi Musa عليه السلام telah sama-sama berjanji. Kalau kalimah وعد (ada dalam qira’at yang lain), maka Allah sahaja yang berjanji.

Perhatikan yang kalimah hari yang digunakan di sini adalah ليلة (malam). Ini adalah kerana dalam perkiraan bab agama, hari itu bertukar pada waktu malam (maghrib). Memang kalau bab ibadah, kita akan lihat anak bulan seperti menentukan Ramadhan dan sebagainya.

Sebagaimana kata Ibnul Arabi: حساب الشمس المنافع وحساب القمر للمناسك (Kiraan bulan matahari adalah untuk keperluan kehidupan dan kiraan bulan adalah untuk ibadah).

Mengikut pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما, tiga puluh hari yang pertama itu adalah di dalam bulan DzulQaedah dan tambahan sepuluh malam itu pula dalam bulan DzulHijjah. Maka di sini kita dapat tahu yang Taurat diturunkan pada Eidul Adha.

 

وَأَتمَمنٰها بِعَشرٍ فَتَمَّ ميقٰتُ رَبِّهِ أَربَعينَ لَيلَةً

serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. 

Setelah Nabi Musa عليه السلام bermunajat selama 30 hari, Allah telah mengarahkan baginda untuk menambah 10 hari lagi maka sempurnalah tempoh munajat itu selama 40 hari. Allah sebut secara khusus perkataan ’40’ itu supaya tidak ada kekeliruan berapa hari baginda bermunajat. Padahal kalau kita fikirkan, 30 tambah 10 mestilah 40, bukan? Namun ini dilakukan kerana bimbang ada pula yang kata 10 itu sebahagian daripada 30 pula. Perkara ini adalah sama seperti Allah sebut di dalam Baqarah: 196 dengan tujuan untuk memberi kepastian.

فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلَـٰثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ

Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna.

Di dalam Baqarah: 51 Allah terus sebut 40 hari cuma sekarang kita tahu yang sebenarnya adalah 30 hari tetapi ditambah 10 hari lagi.

وَإِذ وٰعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظٰلِمونَ

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

Kenapakah pula munajat Nabi Musa عليه السلام ditambah dengan 10 hari lagi? Ada pendapat yang mengatakan ini adalah kerana baginda tidak mencapai darjat ibadah yang perlu dicapai. Atau hati baginda belum cukup bersih lagi. Oleh kerana itu baginda diberikan peluang untuk menambah lagi 10 hari.

Ada juga kisah yang menyebut ibadah yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah berpuasa. Baginda telah berpuasa selama 30 hari tanpa berbuka langsung (walaupun malam hari). Setelah selesai 30 hari berpuasa penuh, Nabi Musa عليه السلام merasa segan akan bermunajat dengan Allah dalam keadaan mulutnya berbau kurang enak akibat puasanya, maka baginda mewangikan mulutnya dengan mengunyah daun-daun dalam menghilangkan bau mulutnya.

Perbuatan baginda itu ditegur oleh malaikat: Hai Musa, mengapakah engkau menggosok gigimu untuk menghilangkan bau mulutmu sedang mulut orang-orang berpuasa bagi kami adalah lebih wangi daripada kasturi? Maka akibat tindakanmu, Allah memerintah kepadamu agar berpuasa lagi lebih sepuluh hari sehingga lengkaplah masa puasamu menjadi 40 hari.”

Dikatakan tujuannya adalah supaya bau mulut berpuasa itu kembali. Walau bagaimanapun kisah itu tidak sahih kerana kisah di atas disebut tanpa perawi. Kalau pun ia benar, mungkin ia hanyalah untuk Nabi Musa عليه السلام sahaja atau pengikut baginda sahaja. Jangan dikejar sangat bau mulut berbau itu. Jangan seksa orang lain dengan bau mulut anda. Kerana dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, dibenarkan untuk bersiwak ketika berpuasa. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabiah, katanya:

” رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لَا أُحْصِي يَتَسَوَّكُ وَهُوَ صَائِمٌ

Aku pernah melihat Rasulullah ﷺ bersiwak sedangkan baginda dalam keadaan puasa sehingga aku tidak dapat menghitung jumlahnya”. 

Riwayat al-Tirmidzi (725) dan beliau menghasankan hadith ini. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Takhrij Misykah al-Masabih (2/328) menyatakan hadith ini bertaraf Hasan.

Ada juga pendapat yang mengatakan ditambah 10 hari itu kerana Nabi Musa عليه السلام sendiri yang hendak menambahnya kerana baginda rasa seronok bermunajat kepada Allah dan hendak tambah lagi.

Ada juga pendapat yang kata tambahan 10 hari itu adalah sebagai ujian kepada Bani Israel. Allah hendak tunjukkan keadaan sebenar sebahagian daripada mereka yang masih hendak melakukan syirik. Dengan tambahan itu telah menyebabkan ada antara mereka menjadi syirik kerana Nabi Musa عليه السلام lambat daripada tempoh 30 hari yang sepatutnya.

Kenapakah Allah hanya menambah 10 hari sahaja? 10 hari itu kiranya adalah bilangan yang sudah cukup kerana kalau lebih lagi, tentu akan jemu pula Nabi Musa عليه السلام. Begitulah kita dalam beramal, kenalah pandai menilai kekuatan diri kita. Jangan pulun banyak sangat sekali harung kerana nanti kita mungkin jemu dan berubah menjadi tidak suka pula dengan sesuatu amalan itu. Ini adalah seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا امْرَأَةٌ قَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَتْ فُلَانَةُ تَذْكُرُ مِنْ صَلَاتِهَا قَالَ مَهْ عَلَيْكُمْ بِمَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ

Daripada ‘Aishah رضي الله عنها bahawa Rasulullah ﷺ masuk menemuinya dan dekat dengannya ada seorang perempuan. Rasulullah ﷺ bertanya, siapakah dia ini? ‘Aishah رضي الله عنها menjawab, si fulanah dan beliau (‘Aishah رضي الله عنها) menyebutkan tentang sembahyang perempuan itu. Rasulullah ﷺ bersabda: “Cukuplah. Hendaklah kamu beramal mengikut kemampuan kamu. Demi sesungguhnya Allah ﷻ tidak jemu sehinggalah kamu merasa jemu. Dan agama yang paling disukai Allah ﷻ ialah apa yang dilakukan seseorang secara berterusan”.

(Sahih Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Ahabb al-Din Ila Allah ‘Azza Wa Jalla Adwamuha)

Oleh sebab itu kita hendaklah mempelbagaikan amal ibadat kita. Buat satu ibadah, kemudian apabila rasa sudah banyak, buat pula ibadah yang lain. Asalkan tidak berhenti beramal. Jangan pula menjadi jemu sampai nanti terus malas beramal.

Apa lagi pengajaran ayat ini bagi kita sekarang? Di sini Allah mengajar kepada kita ada perkara yang perlu dilakukan dengan mengambil masa. Terburu-buru bukanlah cara yang Allah suka. Maka begitulah juga Nabi Musa عليه السلام diperintahkan untuk mengambil masa sampai 40 hari untuk menerima Taurat.

Oleh kerana terburu-burulah juga menyebabkan ada dalam kalangan umat baginda yang telah melakukan syirik. Sebelum Nabi Musa عليه السلام meninggalkan mereka, baginda memberitahu yang baginda akan bermunajat kepada Allah selama 30 hari. Selepas 30 hari berlalu, golongan yang tidak dapat bersabar telah mengatakan Nabi Musa عليه السلام telah sesat hilang entah ke mana dan mereka mencari pemimpin yang baru. Lalu mereka telah melantik Samiri sebagai pemimpin baru yang telah membuat patung anak lembu daripada emas dan kerana itu mereka memujanya dan akhirnya dipendekkan cerita mereka telah dihukum bunuh.

Ada pendapat yang mengatakan kerana itulah Rasulullah ﷺ tidak meninggalkan para sahabat dalam jangkamasa yang lama. Ini kerana baginda tidak mahu terjadinya perkara seperti apa yang terjadi dengan Nabi Musa عليه السلام dan kaum baginda.

Ada yang memperkatakan tentang kelebihan yang disebut tentang kelebihan beribadah dan bermunajat selamat 40 hari. Ini adalah disebut di dalam hadith:

من أخلص للهِ أربعينَ يومًا تفجرتْ ينابيعُ الحكمةِ من قلبِه على لسانِه

Barangsiapa yang ikhlas demi Allah ﷻ selama empat puluh hari (dalam beribadah), nescaya mata air hikmah akan terbit daripada lidahnya.

(Hadith Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Musannafnya 7/80; ad-Dailami dalam Musnadnya 3/564; Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’ 5/189, 10/70)

Akan tetapi hadith ini dhaif di mana Syeikh Al-Albani melemahkannya dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 38.

Sebenarnya Nabi Musa عليه السلام tidak pergi bersendirian akan tetapi dengan 70 orang daripada pemimpin umat baginda. Akan tetapi baginda telah berjalan cepat meninggalkan mereka kerana baginda hendak segera bercakap-cakap dan bermunajat dengan Allah . Ini telah ditegur oleh Allah dan ada disebut dalam Taha: 83-85

وَما أَعجَلَكَ عَن قَومِكَ يا موسىٰ

Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu daripada kaum engkau wahai Musa?

قالَ هُم أُولاءِ عَلىٰ أَثَري وَعَجِلتُ إِلَيكَ رَبِّ لِتَرضىٰ

Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya Engkau redha akan daku”.

قالَ فَإِنّا قَد فَتَنّا قَومَكَ مِن بَعدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السّامِرِيُّ

maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”

Maka kisah ini berkait rapat dengan kisah sebahagian kaum baginda menyembah patung anak lembu yang dibuat oleh Samiri. Ia adalah sebagai hukuman kepada baginda kerana meninggalkan kaum baginda yang mengiringinya. Oleh itu terdapat pengajaran lain di dalam hal ini yang dibincangkan di dalam Surah Taha.

Tujuan Nabi Musa عليه السلام bersegera itu adalah kerana rindu untuk bertemu dan bercakap-cakap dengan Allah . Itulah kelebihan yang baginda dapat. Kita pula sekarang ini adalah salat sekurang-kurangnya lima kali sehari di mana kita boleh bercakap-cakap dan bermunajat dengan Allah , bukan? Maka kalau kita salat dan kenang pertemuan Nabi Musa عليه السلام ini dengan Allah , tentu memberi kesan kepada khusyuknya salat kita.

Sekiranya Nabi Musa عليه السلام bersegera untuk bertemu dengan Tuhan, maka kita pun hendaklah ikut bersegera apabila tiba sahaja waktu salat. Jangan ditangguhkan. Kita kena sedar yang kita hendak mengadap Allah dan bermunajat kepada-Nya maka kena tunjukkan sukanya kita hendak melakukannya.

 

وَقالَ موسىٰ لِأَخيهِ هٰرونَ

Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun

Sebelum baginda meninggalkan kaumnya, Nabi Musa عليه السلام sudah berpesan kepada abangnya Nabi Harun عليه السلام. Nabi Harun عليه السلام juga adalah seorang Nabi. Namun begitu, walaupun baginda adalah seorang abang, oleh kerana Nabi yang utama adalah Nabi Musa عليه السلام, maka Nabi Musa عليه السلام boleh memberi arahan kepada abangnya. Tambahan pula, abangnya itu menjadi Nabi pun dek kerana doa Nabi Musa عليه السلام untuk melantik abangnya itu.

Kenapakah Nabi Musa عليه السلام ada abang pula? Bukankah semua kanak-kanak lelaki dibunuh? Ada pendapat yang mengatakan Nabi Harun عليه السلام lahir sebelum dikeluarkan arahan untuk membunuh kanak-kanak lelaki.

 

اخلُفني في قَومي

“Gantikanlah aku dalam kaumku

Nabi Harun عليه السلام dikehendaki menjaga Bani Israel sepeninggalan Nabi Musa عليه السلام. Jangan biarkan mereka tanpa pemimpin. Ini penting kerana kalau tidak ada pemimpin, entah apalah yang mereka akan lakukan. Memang mereka itu kaum yang degil dan ada banyak masalah. Maka Nabi Musa عليه السلام sudah ambil langkah berjaga-jaga dengan memberi pesan kepada abangnya Nabi Harun عليه السلام.

Peristiwa ini mengajar kita adalah sunnah untuk melantik pengganti apabila kita berpergian. Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ apabila baginda meninggalkan Madinah. Antara yang dilantik menjadi pengganti baginda adalah Saidina Ali dan Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنهما. Walaupun Abdullah ibn Ummi Maktum رضي الله عنه itu seorang yang buta tetapi beliau dipercayai oleh baginda untuk menjaga Madinah sepeninggalan baginda. Baginda memang terkesan dengan beliau terutama setelah ditegur oleh Allah di dalam Surah Abasa berkenaan beliau. Ini kerana walaupun matanya buta, namun hatinya celik.

Ketua adalah penting dalam kelompok manusia. Tanpa ketua, manusia akan menjadi kelam kabut tanpa arah. Kerana itu para sahabat yang besar-besar terus menentukan siapa pengganti Rasulullah ﷺ sebagai ketua di Madinah dan mereka tidak menunggu lama. Kita pun kena ada pilihanraya untuk menentukan siapa pemimpin kita. Bayangkan Rasulullah ﷺ mengajar kita dalam perjalanan musafir pun hendaklah ditentukan dan dilantik siapakah ketua walaupun ada tiga orang sahaja.

Daripada hadith Abu Sa’id Al-Khudhri dan Abu Hurairah رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Apabila tiga orang keluar melakukan perjalanan safar, maka hendaklah mereka melantik seorang ketua daripada salah seorang mereka.”

(Sunan Abi Dawud, No. 2608, 2609)

 

وَأَصلِح

dan perbaikilah,

Nabi Harun عليه السلام diingatkan untuk mengekalkan islah mereka pada kehidupan syariat. Islah bermaksud melakukan kebaikan iaitu hendaklah mereka membuat perkara yang betul dan mengikut syariat. Hendaklah tetap menjaga hukum, menjaga iman, hendaklah beramal dengan amal kebaikan.

 

وَلا تَتَّبِع سَبيلَ المُفسِدينَ

dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.

Nabi Harun عليه السلام diingatkan supaya berhati-hati dan jangan mengikut jalan orang yang rosak. Jangan membuat keingkaran dalam agama. Jangan membuat perkara maksiat.

Oleh hal yang demikian, pesanan Nabi Musa عليه السلام itu ada dua, pertama, ada perkara yang mesti dibuat dan kedua, ada perkara mesti ditinggalkan. Begitulah dalam agama hendaklah diajar umat perkara yang perlu dilakukan dan juga diajar perkara yang perlu ditinggalkan.

Sekiranya tidak diajar kedua-duanya sekali, maka ada yang menjadi sesat. Sebab kalau hanya diajar beramal sahaja, tetapi tidak diajar perkara yang perlu ditinggalkan, kesesatanlah yang akan muncul. Sebagaimana di negara kita banyaknya diajar beramal itu dan ini, namun tidak banyak ditegur perkara yang mesti ditinggalkan. Akibatnya masyarakat tidak tahu tentang bid’ah, tentang syirik. Mereka tidak mempunyai pemahaman agama yang lengkap.

Nabi Harun عليه السلام telah diberikan peringatan jangan mengikut orang-orang yang sesat. Akan tetapi kita pun tentu tahu yang Nabi Harun عليه السلام tidak akan membuat perkara ingkar dan mengikut orang yang melakukannya. Maka peringatan ini adalah lebih kepada suruhan supaya baginda tidak membenarkan umatnya melakukan perkara yang buruk sepeninggalan Nabi Musa عليه السلام.

Inilah masalah yang dihadapi oleh Nabi Harun عليه السلام kemudiannya. Ramai yang mengikuti Samiri melakukan syirik dan apabila Nabi Harun عليه السلام menegur mereka, mereka tidak mengendahkannya; malah hampir membunuh baginda kerana teguran baginda itu.

Oleh itu, ada satu suruhan dan satu larangan sebagai pesan kepada Nabi Harun عليه السلام. Maknanya, Nabi Musa عليه السلامsudah tahu ada dalam kalangan Bani Israel itu yang ada masalah dan mencari pasal. Lalu Nabi Musa عليه السلام sudah pesan siap-siap kepada Nabi Harun عليه السلام supaya berjaga-jaga, jangan terikut-ikut dengan kehendak dan cara mereka. Nabi Harun عليه السلام yang mesti menjadi pemimpin dan mesti tegas.

Ada tafsir yang mengatakan Nabi Musa عليه السلام tahu yang Nabi Harun عليه السلام itu lembut, tidak sekeras dirinya sendiri. Maka Nabi Musa عليه السلام tahu yang susah untuk Nabi Harun عليه السلام menahan umat baginda yang baginda pun tahu sangat degil. Begitulah pesanan baginda, sekurang-kurangnya jangan ikut orang yang sesat.

Begitulah kita dalam berdakwah, kadang-kadang tidak dapat untuk menghalang manusia daripada membuat perkara salah dalam agama. Akan tetapi jika tidak dapat menghalang pun, sekurang-kurangnya jangan ikut pula. Kerana ada yang tidak dapat dihalang, tetapi kemudian lama-lama terikut pula. Agaknya dia teringat dengan pepatah ‘if you can’t fight em, join em!’ Eh salah tu, jangan ikut mereka.

Kita kenalah ada kekuatan jatidiri dalaman. Tidak mudah tergugat dan terpengaruh dengan rakan di sekeliling kita. Memang agak payah kerana “peer pressure” (pengaruh rakan sebaya) adalah perkara yang kuat mempengaruhi perbuatan kita. Namun kita kenalah tahu batasan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Disember 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 135 – 140 (Bani Israel minta berhala)

A’raf Ayat 135: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut setiap kali golongan Firaun itu dikenakan dengan musibah, mereka datang meminta Nabi Musa عليه السلام mendoakan untuk selamatkan mereka, dan mereka berjanji akan ikut beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan menyerahkan Bani Israel kepada baginda. Namun apakah terjadi setelah musibah itu diangkat daripada mereka?

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ الرِّجزَ إِلىٰ أَجَلٍ هُم بٰلِغوهُ إِذا هُم يَنكُثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when We removed the punishment from them until a term which they were to reach,¹ then at once they broke their word.

  • i.e., a specified term which would end with their reversion to disobedience and disbelief.

MALAY

(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

 

فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ الرِّجزَ

Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka,

Setelah mereka meminta Nabi Musa عليه السلام mendoakan supaya musibah diangkat, lalu Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah dan memang Allah mengangkat azab itu daripada mereka. Ini menunjukkan rahmat Allah yang masih lagi memberi peluang kepada mereka.

 

إِلىٰ أَجَلٍ هُم بٰلِغوهُ

hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya,

Namun begitu, tidaklah selama-lamanya bala mereka itu diangkat. Mereka diselamatkan daripada musibah bala itu hanya kepada tempoh tertentu sahaja, di mana mereka mesti menepati janji mereka untuk mengikut Nabi Musa عليه السلام dan untuk menyerahkan Bani Israel kepada baginda. Kerana itulah perjanjian mereka semasa mereka meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa bagi pihak mereka. Maka, mereka kenalah tepati. Allah memberi masa kepada mereka untuk menepati janji mereka.

 

إِذا هُم يَنكُثونَ

tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

Bila sudah sampai masa yang telah dijanjikan, musibah telah diangkat, ternyata mereka memungkiri janji. Mereka sampai tidak mengaku yang mereka pernah berjanji. Begitulah teruk sekali perangai mereka.

Memang begitulah orang yang tidak beriman. Sama sahaja dengan orang yang meminta pinjam duit. Apabila berjanji kuat sungguh, tetapi apabila sudah dapat, maka mereka akan lupa janji mereka. Sama seperti yang disebut di dalam [Luqman: 32]

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang biasa.

Bagaimana pula dengan kita? Ramai juga yang suka berjanji atau membuat nazar kepada Allah . Kalau terdesak sangat, mulalah bernazar dengan Allah : “Kalau dapat ini dan itu, aku akan buat ini dan itu”. Akan tetapi apabila sudah dapat, mulalah sibuk bertanya dengan ustaz apa yang boleh dilakukan kerana tidak sanggup menyempurnakan nazar tersebut. Ternyata mereka ini pandai berjanji sahaja lebih.

Sedangkan sepatutnya tidak perlu bernazar pun. Sepatutnya kena buat amal kebaikan dan kemudian baru berdoa. Oleh itu, jangan bernazar kerana ia bukanlah perkara yang baik. Rasulullah ﷺ pun sudah menegur perkara ini:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah ﷻ sedikit pun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

(Hadith Riwayat Muslim (1640))

Kenapa dikatakan ‘bakhil’? Kerana hanya kalau Allah bagi apa yang mereka minta, barulah mereka hendak buat amal ibadat.


 

A’raf Ayat 136: Ini adalah azab terakhir dan yang menghancurkan mereka

فَانتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم فِي اليَمِّ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We took retribution from them, and We drowned them in the sea because they denied Our signs and were heedless of them.

MALAY

Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

 

فَانتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم فِي اليَمِّ

Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut 

Setiap kali mereka memungkiri janji, mereka dikenakan dengan azab yang lain. Itulah sebab ada banyak azab yang dikenakan kepada mereka – taufan, belalang, katak dan sebagainya.

Akhir sekali, mereka dikenakan dengan azab yang paling besar dan terakhir untuk mereka, iaitu azab yang mematikan mereka dengan ditenggelamkan dalam laut. Ini kerana Allah tahu yang mereka itu tidak akan beriman. Semua tahu kisah ini. Cuma disebut secara ringkas sahaja di sini. Disebut dengan lebih banyak di dalam ayat-ayat lain seperti [Syu’araa’: 52 – 66]

 

بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ

sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

Memang layak mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka sentiasa menolak wahyu yang diberikan kepada mereka. Mereka ini golongan degil yang tidak menghiraukan ayat-ayat Allah . Ayat-ayat Allah boleh dibahagikan kepada dua jenis: ayat pada alam (ayat kawni) dan ayat hukum (ayat syariat).

Menolak ayat-ayat pada alam ini adalah dengan menidakkan kuasa Allah di dalam mengurusnya. Contohnya ada yang mengatakan bahawa alam ini terjadi sendiri, gempa bumi terjadi secara semulajadi, banjir terjadi kerana semulajadi dan sebagainya. Mereka tidak memandang kepada qada’ Allah di dalam kejadian-kejadian itu.

Manakala menolak ayat syariat pula adalah dengan menolak wahyu yang disampaikan oleh para Nabi. Mereka jadi begitu kerana mereka lalai pada awalnya. Awal-awal lagi mereka telah menolak sebelum mendengarnya. Kemudian mereka menjadi ghaflah (lalai) iaitu buat tidak endah dan tidak kisah. Selepas itu, mereka menjadi keterlaluan sehingga sampai tahap menolak. Maka begitulah yang terjadi kepada Firaun dan pengikutnya. Mereka tidak mengendahkan wahyu yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Kemudian mereka menolak wahyu dan menolak Nabi Musa عليه السلام.

Maka, kita amat takut perkara yang sama terjadi kepada umat Nabi Muhammad ﷺ ini. Ramai yang buat tidak endah kepada ajaran wahyu Al-Qur’an. Ramai yang baca Al-Qur’an, tetapi tidak mengendahkan pengajaran di dalamnya. Mereka tidak belajar pun apa yang Allah sampaikan dalam Al-Qur’an ini. Begitulah ilmu tafsir Al-Qur’an ini amat jarang diketahui oleh masyarakat kita.


 

A’raf Ayat 137: Ayat tabshir duniawi.

وَأَورَثنَا القَومَ الَّذينَ كانوا يُستَضعَفونَ مَشٰرِقَ الأَرضِ وَمَغٰرِبَهَا الَّتي بٰرَكنا فيها ۖ وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ الحُسنىٰ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ بِما صَبَروا ۖ وَدَمَّرنا ما كانَ يَصنَعُ فِرعَونُ وَقَومُهُ وَما كانوا يَعرِشونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We caused the people who had been oppressed to inherit the eastern regions of the land and the western ones, which We had blessed. And the good word [i.e., decree] of your Lord was fulfilled for the Children of Israel because of what they had patiently endured. And We destroyed [all] that Pharaoh and his people were producing and what they had been building.

MALAY

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)

 

وَأَورَثنَا القَومَ الَّذينَ كانوا يُستَضعَفونَ مَشٰرِقَ الأَرضِ وَمَغٰرِبَهَا

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israel) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur-timur bumi dan daerah barat-baratnya, 

Bani Israel itu pernah mereka dihinakan kerana mereka telah menjadi hamba kepada bangsa Qibti. Namun sekarang Allah menjadikan mereka sebagai waris kepada daerah di Barat (kawasan Syam/Syria) dan daerah Timur (Mesir). Inilah yang telah dijanjikan oleh Nabi Musa عليه السلام kepada mereka setelah dimusnahkan Firaun dan tenteranya dan juga puak Amaliqah.

Setelah Nabi Musa عليه السلام wafat, kaum Bani Israel kembali tertindas oleh kaum Amaliqah. Kaum ini memiliki tubuh yang sangat besar, kuat, dan kejam. Mereka umpama raksasa. Mereka tinggal di daerah dekat Baitulmuqaddis. Para ulama’ berpendapat daerah itu adalah Palestina.

Kaum Amaliqah mempunyai seorang pemimpin. Namanya Jalut (orang-orang kafir menyebutnya Goliath). Tingginya, menurut banyak kisah, 1 batu. Dia berasal dari dinasti Bukhtanashar. Kisah mereka ini ada disebut dalam [Baqarah: 246-252].

Kalimah مَشٰرِقَ dan مَغٰرِبَ sebenarnya di dalam bentuk jamak (plural). Adakah banyak timur dan banyak barat? Mungkin ini merujuk kepada kedudukan jatuhnya matahari yang tidak tetap tetapi berubah-berubah sepanjang tahun.

Kalimah يُستَضعَفونَ sebenarnya di dalam bentuk pasif. Maka makna sebenarnya adalah ‘mereka yang nampak lemah’. Mereka nampak sahaja lemah namun sebenarnya ada kekuatan. Kerana kekuatan itu daripada Allah dan Allah boleh beri kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah telah menunaikan janji itu dan telah memberikan kekuatan kepada Bani Israel. Kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman عليهما السلام merangkumi segala kawasan Timur dan Barat itu. Maka perkara ini mengambil masa banyak tahun juga (tidaklah mereka terus dapat). Mereka telah berpindah menyeberang lautan dan kemudian setelah sekian lama, mereka dapat kembali ke Mesir dan mereka telah diberikan dengan kedudukan tinggi dalam dunia.

 

الَّتي بٰرَكنا فيها

yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. 

Maksudnya Allah memberkati tempat itu dengan dihantar banyak Nabi dan Rasul di kawasan itu. Mereka mendapat nikmat yang melimpah ruah.

 

وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ الحُسنىٰ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ بِما صَبَروا

Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janji-Nya) yang baik kepada Bani Israel kerana kesabaran mereka

Maka sempurnalah janji Allah ke atas Bani Israel dengan diberikan pemerintahan yang besar kepada mereka. Janji Allah sudah pasti akan ditepati.

Mereka mendapat kedudukan itu kerana mereka dapat bersabar dalam beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan sabar menerima dugaan yang besar daripada Firaun. Janji Allah ini telah disebut di dalam ayat 129 sebelum ini:

قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ

Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi,

Janji ini juga telah disebut dalam [Qasas: 5]

وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),

Dalam ayat ini dikatakan Bani Israel diberikan dengan kekuasaan itu kerana mereka telah bersabar. Namun tidakkah mereka seolah-oleh merungut kepada Nabi Musa عليه السلام di dalam ayat 129 sebelum ini? قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا (Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”). Tidak patut juga kalau kita menuduh mereka tidak bersabar kerana ayat ini boleh juga bermaksud keluhan sahaja, bukannya menolak janji Nabi Musa عليه السلام.

Maka ini mengajar kita untuk bersabar dalam menerima dugaan. Mungkin kita dizalimi dan kita tidak dapat mengambil hak-hak kita. Dalam hal ini, kita dianjurkan untuk bersabar dan Allah berjanji akan memberikan kemenangan kepada kita. Ini seperti yang disebut Allah di dalam [Nur: 55]

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,

Janji Allah kepada umat Nabi Muhammad ﷺ ini juga telah ditepati apabila umat Islam satu masa dahulu telah menguasai 2/3 daripada kerajaan dunia.

 

وَدَمَّرنا ما كانَ يَصنَعُ فِرعَونُ وَقَومُهُ

dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya

Apakah terjadi dengan apa yang telah diusahakan oleh Firaun dan bangsa Qibti itu? Allah telah membinasakan apa sahaja yang telah dilakukan oleh Firaun dan kaumnya. Kita pun tahu kehebatan tamadun mereka dan kekayaan mereka. Semua itu tentu mengambil masa yang lama untuk membinanya. Akan tetapi Allah beritahu di sini yang mudah sahaja Allah musnahkan dalam sekelip mata.

 

وَما كانوا يَعرِشونَ

dan apa yang mereka telah dirikan

Dan juga telah dibinasakan apa sahaja bangunan yang mereka telah bina. Iaitu meninggikan binaan. Atau boleh bermaksud tanaman pokok-pokok mereka.

Di sini Allah beritahu yang segala apa yang dibina oleh Firaun dimusnahkan. Namun bagaimana pula dengan piramid itu ada sampai sekarang? Ini menjadi hujah bagi pendapat yang mengatakan piramid itu bukan mereka yang bina. Ia telah ada sebelum mereka, cuma mereka menumpang sahaja kerana kalau mereka yang bina, Allah sudah musnahkan. Maka kisah piramid ini masih menjadi misteri bagi kita.


 

BANI ISRAIL MEMINTA BERHALA

A’raf Ayat 138: Sekarang masuk kisah Nabi Musa عليه السلام berhadapan dengan kaumnya itu setelah diselamatkan. Ini menjadi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda juga berhadapan dengan kaum penentang.

وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم ۚ قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We took the Children of Israel across the sea; then they came upon a people intent in devotion to [some] idols of theirs. They [the Children of Israel] said, “O Moses, make for us a god just as they have gods.” He said, “Indeed, you are a people behaving ignorantly.

MALAY

Dan Kami bawakan Bani Israel ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

 

وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut 

Maka Allah telah menyelamatkan Bani Israel bersama dengan Nabi Musa عليه السلام ke seberang laut. Inilah peristiwa mereka dikejar dan kemudian mereka dapat melepasi lautan itu tetapi Firaun dan tenteranya dihempap dengan air itu dan membunuh mereka semua.

Lihatlah bagaimana Allah kata Dia yang menyeberangkan mereka. Walaupun mereka yang jalan sendiri, tetapi Allah masih kata Dia yang bawa mereka. Ini kerana jika bukan Allah yang menyeberangkan mereka, mereka tidak akan berjaya.

 

فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم

lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang iktikaf berhala-berhala mereka.

Mereka sekarang sudah sampai ke tempat tinggal Nabi Yaakob عليه السلام dahulu. Keadaan telah berubah di tempat itu. Manusia di situ sudah melakukan syirik. Bani Israel telah bertemu dengan kaum yang duduk bertapa (iktikaf) pada patung pujaan mereka. Dikatakan juga yang berhala itu patung lembu. Mereka itu sudahlah ada sejarah dengan patung anak lembu.

Iktikaf itu membawa maksud terus berada di sesuatu tempat dengan niat beribadat. Oleh itu ada yang kata mereka itu mungkin sedang bertapa. Apabila dikatakan mereka bertapa, itu maksudnya mereka bersungguh-sungguh melakukannya. Ini kerana jika pada tahap ringan, mereka setakat beri korban sahaja pada patung-patung itu.

Begitulah ada dalam kalangan kufur seperti Hindu yang tinggi amal mereka, mereka tahu yang patung yang mereka sembah dan menumpukan perhatian itu, bukanlah tuhan sebenarnya. Ia adalah cuma ‘kiblat tawajuh’ kepada mereka sahaja untuk mereka menumpukan perhatian.

Maka ia tidak semestinya dalam bentuk patung. Ia boleh mejadi benda lain kerana untuk patung ada bahasa lain yang digunakan. Dalam bahasa kita, kita panggil ‘berhala’ kerana menjadi tempat untuk dihalakan perhatian kita. Ia boleh jadi dalam bentuk patung, batu, busut, kubur, pokok dan apa-apa sahaja.

Disebut di sini أَصنامٍ لَّهُم (berhala milik mereka). Maknanya mereka yang membinanya sendiri dan kemudian mereka sembah pula. Maka ini adalah satu perbuatan yang amat bodoh. Sendiri buat dan kemudian sendiri sembah. Teringat satu kisah anak pembuat patung Hindu. Pembuat patung agama Hindu setelah membentuk patung itu akan memasukkan ‘nyawa’ kepada patung itu. Anaknya yang masih kecil pada waktu itu berkata: “Ayah, ayah lagi hebatlah daripada tuhan, sebab ayah yang bagi nyawa pada tuhan!”

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa kaum tersebut menyembah berhala yang berbentuk lembu. Kerana itulah maka hal tersebut memberikan pengaruh syubhat bagi kaum Bani Israel dalam penyembahan mereka terhadap anak lembu sesudah peristiwa tersebut. Jika dilihat ayat yang lain seperti [Baqarah: 93], memang menunjukkan yang puak Bani Israel ini memang terkesan dengan patung lembu.

قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم

Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.

Kenapakah mereka sampai jadi begini? Ada pendapat yang mengatakan ini kerana mereka sudah lama duduk dalam kalangan masyarakat Qibti yang menyembah berhala, maka mereka telah terkesan. Itulah bahaya apabila duduk dalam kalangan orang yang melakukan syirik.

Dalam perkara ini, ada orang kufur yang menuduh Islam pun sebenarnya menyembah Kaabah juga kerana kita mengadap Kaabah dalam salat kita. Kita juga tawaf mengelilinginya. Ini tidak benar sama sekali. Walaupun memang ada juga orang Islam yang jahil agama yang sembah Kaabah. Mereka memeluk Kaabah, bergantung pada Kaabah, ambil berkat dengan Kaabah dan sebagainya. Memang pelik-pelik perbuatan manusia walaupun mereka mengatakan mereka Muslim. Memang bodoh sekali dan malu kalau kita lihat apa orang-orang kita buat di Kaabah itu.

Ada juga yang memandang tinggi Batu Hajarul Aswad itu. Padahal, batu itu tidak ada apa-apa. Bacalah apa kata Saidina Umar رضي الله عنه kepada batu itu – Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andai aku tidak melihat Rasulullah ﷺ menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya (mencium Hajarul Aswad).”

Maka, janganlah kita menganggap Kaabah itu sebagai lebih daripada yang sepatutnya. Kita bukan memuja Kaabah. Kita mengadap kepada Kaabah itu kerana itu adalah arahan daripada Allah . Dan jangan kita jadikan sesuatu perkara sebagai alat untuk memusatkan fikiran kita – kita tidak perlukan perkara sebegitu. Sebab itu kita disuruh untuk menjadikan masjid kita sekosong mungkin (tanpa hiasan berlebihan). Supaya jangan ada yang boleh mengganggu kita daripada memusatkan fikiran kita dalam salat.

 

قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ

mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.

Bani Israel yang baru sahaja melepasi laut untuk menyelamatkan diri mereka daripada Firaun yang menyuruh mereka membuat syirik, telah meminta kepada Nabi Musa عليه السلام untuk menjadikan berhala juga untuk mereka seperti kaum di Palestin itu. Maknanya memang ada keinginan kepada syirik dalam diri mereka.

Mereka kata itu adalah untuk mereka memusatkan fikiran mereka. Ini kerana mereka telah salah faham apabila mereka lihat orang-orang yang menggunakan berhala itu sangat fokus dalam ibadat mereka. Akan tetapi perbuatan itu tidak boleh dilakukan kerana ia adalah perkara syirik.

Jangan tertipu dengan mereka yang fokus di hadapan berhala kerana ia adalah perbuatan yang syirik, maka syaitan tidak mengganggu mereka dalam beramal. Ini adalah kerana mereka telah membuat perkara yang syirik jadi buat apa syaitan hendak ganggu mereka?

Lihatlah bagaimana teruknya perangai Bani Israel itu sedangkan mereka baru sahaja melihat kelebihan yang banyak yang Allah telah berikan. Begitu teruk sekali mereka sampai mereka minta berhala kepada Nabi mereka sendiri.

Ada pendapat yang mengatakan Bani Israel itu bukan menganggap berhala itu sebagai tuhan, akan tetapi sebagai hendak menjadikannya sebagai wasilah (perantara) sahaja. Iaitu mereka hendak bertawasul dengan berhala itu. Namun ini pun syirik juga. Tawasul adalah menjadikan sesuatu sebagai perantara atau orang tengah untuk berdoa kepada Allah .

Syirik jenis ini memang berlaku semenjak zaman berzaman. Malah masyarakat Muslim di negara kita pun ramai melakukannya apabila mereka menjadikan wali sebagai wasilah dalam berdoa. Kerana itulah kita selalu dengar golongan sesat melawat kubur-kubur tertentu dengan tujuan untuk meminta tolong kepada wali yang mati di dalam kubur itu lah. Inilah kesannya apabila masyarakat sudah jauh daripada ajaran wahyu dan mengikut ajaran daripada syaitan.

 

قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ

Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

Nabi Musa عليه السلام telah memarahi mereka kerana mereka meminta seperti orang jahil. Sudah lama duduk dengan Nabi Musa عليه السلام pun masih jahil lagi tentang agama. Malah bukan Nabi Musa عليه السلام sahaja tetapi banyak lagi Nabi-nabi yang lain. Ini sama seperti orang kita, sudah lama duduk dalam Islam pun, tetapi masih lagi jahil tentang agama, tentang tauhid.

Puak Islam semasa awal Islam pun yang masih tidak mengenal agama dengan benar. Seperti yang tersebut dalam sebuah hadith:

وَرَوَى الْإِمَامُ أَبُو جَعْفَرِ بْنُ جَرِيرٍ [رَحِمَهُ اللَّهُ] تَفْسِيرَ هَذِهِ الْآيَةِ مِنْ حَدِيثِ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ وعَقِيل، وَمَعْمَرٍ كُلِّهِمْ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ سِنَانِ بْنِ أَبِي سِنَانٍ، عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ: أَنَّهُمْ خَرَجُوا مِنْ مَكَّةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى حُنَيْنٍ، قَالَ: وَكَانَ لِلْكُفَّارِ سِدْرَةٌ يَعْكُفُونَ عِنْدَهَا، وَيُعَلِّقُونَ بِهَا أَسْلِحَتَهُمْ، يُقَالُ لَهَا: “ذَاتُ أَنْوَاطٍ”، قَالَ: فَمَرَرْنَا بِسِدْرَةٍ خَضْرَاءَ عَظِيمَةٍ، قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ. فَقَالَ: “قُلْتُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى لِمُوسَى: {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ. إِنَّ هَؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Imam Abu Ja’far ibnu Jarir mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini melalui hadith Muhammad ibnu Ishaq, Uqail, dan Ma’mar yang ketiga-tiganya daripada Az-Zuhri, daripada Sinan ibnu Abu Sinan, daripada Abu Waqid Al-Laisi, bahawa mereka (sahabat) berangkat keluar dari Mekah bersama-sama Rasulullah ﷺ menuju ke Medan Hunain. Disebutkan bahawa dahulu orang-orang kafir mempunyai sebuah pohon sidrah tempat mereka melakukan meditasi dan menggantungkan senjata-senjata mereka, pohon tersebut mereka namakan Zatu Anwat. Kemudian kami melewati sebuah pohon sidrah yang hijau lagi besar. Maka kami katakan “Wahai Rasulullah jadikanlah untuk kami Zatu Anwat sebagaimana dahulu mereka mempunyai Zaatu Anwat” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, kalian ini telah mengatakan perkataan seperti yang diucapkan oleh kaum Musa kepada Musa, iaitu: “Buatlah untuk kami sebuah berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa berhala. Musa menjawab, ‘Sesungguhnya kalian ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan),” Sesungguhnya mereka itu akan dihancurkan kepercayaan yang dianutinya dan akan batal apa yang selalu mereka kerjakan.

(HR Ahmad no. 21897, Tirmidzi no. 2180)
Syeikh al-Arnauth menilai sanadnya sahih menurut syarat Muslim

Mereka minta begitu kerana mereka ada kepercayaan khurafat yang masih lagi menebal dalam diri mereka. Ini adalah kerana sudah lama mereka dalam keadaan begitu maka susah untuk mereka terus buang. Oleh itu, jikalau kita pun ada percaya kepada sesuatu yang seperti itu, maka kita turut membuat syirik sebagaimana Bani Israel itu juga. Malangnya masih banyak lagi kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat kita.

Di sini Allah menggunakan kalimah تَجهَلونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat yang mereka bukan sekali sahaja melakukannya, tetapi banyak kali. Bukan mereka sahaja, malah umat lain zaman berzaman pun ada melakukannya juga. Termasuk juga masyarakat kita, bukan?


 

A’raf Ayat 139:

إِنَّ هٰؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مّا هُم فيهِ وَبٰطِلٌ مّا كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those [worshippers] – destroyed is that in which they are [engaged], and worthless is whatever they were doing.”

MALAY

“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu”.

 

إِنَّ هٰؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مّا هُم فيهِ

“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya

Nabi Musa عليه السلام beritahu mereka yang orang-orang yang bertapa di hadapan berhala itu satu hari nanti mereka akan hancur. Akan hancur segala fahaman salah mereka itu. Maka kenapa mahu mengikuti pula perbuatan mereka yang sesat itu?

 

وَبٰطِلٌ مّا كانوا يَعمَلونَ

dan batallah apa yang mereka kerjakan itu”.

Dan batallah apa yang mereka lakukan itu. Akan lenyap segala amalan mereka kerana amalan itu tidak ada nilai. Fahaman mereka akan hilang dan perbuatan itu akan hilang kerana ia adalah perkara yang amat salah. Tidak ada kebaikan dan tidak ada pahala dalam amalan mereka itu. Takkan kamu wahai Bani Israel mahu menjadi seperti mereka pula?

Sekiranya ada amal-amal kebaikan yang mereka lakukan juga akan hilang lenyap semua sekali kerana tidak bernilai di sisi Allah . Inilah bahayanya jika beramal dengan amalan yang syirik. Segala pahala kebaikan dahulu akan musnah menjadi kosong terus. Kena buat amal balik untuk mendapatkan pahala.


 

A’raf Ayat 140:

قالَ أَغَيرَ اللَّهِ أَبغيكُم إِلٰهًا وَهُوَ فَضَّلَكُم عَلَى العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Is it other than Allāh I should desire for you as a god¹ while He has preferred you over the worlds?”

  • An object of worship.

MALAY

Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari ilah untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?”

 

قالَ أَغَيرَ اللَّهِ أَبغيكُم إِلٰهًا

Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari ilah untuk kamu selain daripada Allah?

Nabi Musa عليه السلام menambah lagi: patutkah dia mencari ilah lain selain Allah untuk mereka, sedangkan ilah hanya Allah sahaja? Kenapa mereka masih lagi mahu mencari ilah yang lain?

 

وَهُوَ فَضَّلَكُم عَلَى العٰلَمينَ

padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia?

Memang tidak patut sekali apa yang mereka minta itu. Sedangkan Allah telah melebihkan mereka daripada sekalian manusia yang lain (pada zaman itu). Allah melebihkan mereka berbanding dengan umat yang lain di zaman mereka. Ini adalah kerana mereka ada agama dan telah diberikan banyak Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka.

Jangan pula sangka mereka itu di kedudukan yang lebih selama-lamanya pula. Untuk waktu itu sahaja, kerana mereka ada Nabi dan mereka sepatutnya ada agama tauhid. Sekarang yang mengamalkan agama Islam hanyalah umat Nabi Muhammad ﷺ. Maka kitalah sekarang yang dilebihkan daripada sekalian manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Disember 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 130 – 134 (Bala yang dikenakan kepada kaum Firaun)

MESIR DILANDA WABAK

A’raf Ayat 130: Apabila mereka tidak taat kepada Nabi Musa عليه السلام dan menentang wahyu Allah , maka mereka  telah dikenakan dengan bala daripada Allah .

وَلَقَد أَخَذنا ءآلَ فِرعَونَ بِالسِّنينَ وَنَقصٍ مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly seized¹ the people of Pharaoh with years of famine and a deficiency in fruits that perhaps they would be reminded.

  • Imposed on them by way of trial and warning.

MALAY

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

 

وَلَقَد أَخَذنا ءآلَ فِرعَونَ بِالسِّنينَ

Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau

Ini adalah permulaan azab yang kecil sebelum azab yang besar. Mereka telah dikenakan dengan kemarau untuk beberapa tahun. Ada riwayat yang mengatakan kemarau itu berlanjutan selama 7 tahun.

Di sini Allah menggunakan kalimah السِّنينَ iaitu jamak bagi سنة yang bermaksud ‘tahun’. Akan tetapi ada satu kalimah lain bagi tahun iaitu عام tetapi tidak digunakan di sini. Ini adalah kerana kalimah سنة bermaksud tahun yang tidak baik sedangkan kalimah عام bermaksud tahun yang baik. Di dalam [Ankabut: 14] digunakan kedua-dua kalimah itu yang menjelaskan lagi perbezaan itu.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.

Jika dilihat kepada terjemahan sahaja, kedua-duanya diterjemahkan sebagai tahun. Namun untuk 50 tahun itu digunakan kalimah عامًا kerana ia adalah tahun-tahun yang baik. Allah tidak terus mengatakan seribu tahun kerana selama seribu tahun itu keadaan tidak sama. Ini adalah kerana selama 950 tahun Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada mereka tetapi tidak diterima oleh umatnya. Kerana itulah kalimah سَنَةٍ digunakan. Namun begitu, setelah banjir besar, yang tinggal adalah umat yang beriman sahaja, maka pada waktu itu dakwah baginda diterima dan kerana itulah kalimah عامًا pula yang digunakan.

 

وَنَقصٍ مِّنَ الثَّمَرٰتِ

dan kekurangan buah-buahan,

Apabila kemarau sudah lama, maka tentunya akan ada kekurangan buah dan penghasilan tanam-tanaman. Ini adalah perkara yang mengejutkan kerana Mesir itu terletak berdekatan sungai Nil. Sepatutnya sumber air mereka banyak dan tidak ada masalah, namun Allah boleh menjadikan negara mereka kemarau juga. Maka ini sudah mengganggu kehidupan dan ekonomi mereka.

 

لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

supaya mereka insaf mengambil pelajaran.

Tujuan dikenakan dengan bala itu adalah supaya mereka mengambil pengajaran. Sepatutnya mereka berfikir, kenapalah mereka dikenakan balasan sampai sebegitu rupa? Sepatutnya mereka kenalah sedar yang masalah yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kedegilan mereka untuk menerima kebenaran.

Maka, sepatutnya apabila sudah ditimpa bala itu, hendaklah mereka mengubah perangai mereka dan mula untuk beriman. Sepatutnya mereka terus beriman dengan dakwah Nabi Musa عليه السلام.

Oleh itu, tujuan mereka dikenakan dengan bala ini adalah untuk merendahkan ego mereka. Ini kerana mereka sedang menikmati kehidupan yang mewah, maka mereka tidak berasa rendah diri untuk menerima kebenaran. Begitulah manusia yang rasa mereka ada segalanya. Apabila Allah kenakan dengan bala, sepatutnya manusia mula memikirkan tentang kebenaran dan lebih mudah untuk terima kebenaran.


 

A’raf Ayat 131: Akan tetapi mereka tidak berubah juga

فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَّعَهُ ۗ أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when good [i.e., provision] came to them, they said, “This is ours [by right].” And if a bad [condition] struck them, they saw an evil omen in Moses and those with him. Unquestionably, their fortune is with Allāh, but most of them do not know.

MALAY

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ

apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”,

Apabila dikenakan kepada mereka yang tidak beriman itu dengan musibah dan apabila diberikan kembali kesenangan hidup kepada mereka, mereka kata memang mereka berhak untuk dapat kesenangan hidup itu. Mereka juga kata mereka mendapat kesenangan itu adalah kerana hasil usaha mereka. Mereka tidak meletakkan qudrat Allah dalam hal itu.

Begitulah fahaman Firaun dan pengikutnya. Mereka tidak bersyukur di atas pemberian Allah kerana mereka sangka itu semua adalah kerana usaha mereka sahaja. Begitulah juga, kalau kita rasa kita berjaya kerana hasil usaha kita sahaja, maka samalah kita dengan fahaman sesat Firaun dan kaumnya itu.

 

وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَّعَهُ

dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. 

Manakala sekiranya mereka ditimpa musibah seperti kemarau, mereka menuduh sial itu berpunca daripada Nabi Musa عليه السلام dan pengikut baginda yang beriman. Kalimah يَطَّيَّروا berasal daripada طائر yang bermaksud burung. Bagi orang Arab, burung itu menandakan sial atau tuah. Jika burung terbang ke kanan, ia bermaksud tuah dan jika burung terbang ke kiri menandakan sial.

Inilah satu kepercayaan yang karut yang mengatakan ada sial pada sesuatu. Sedangkan apa-apa sahaja yang terjadi adalah di dalam takdir Allah . Oleh itu, sekiranya kita pun berkata ada orang sial, maka kita berperangai seperti Firaun dan pengikut Firaun. Ini banyak terjadi dalam masyarakat. Sebagai contoh, ada yang kata, semenjak dia berkawan dengan seseorang itu, hidup dia penuh sial. Ini adalah fahaman yang jauh daripada agama.

Puak Firaun itu berkata, mereka ditimpa musibah yang disebut dalam ayat sebelum ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya yang beriman sudah tidak menyembah tuhan-tuhan mereka. Begitulah juga jika dalam kalangan orang kita, yang kata terkena bala kerana tidak buat itu dan ini.

Sebagai contoh, kalau ada diruntuhkan makam wali yang mereka sembah, kemudian datang bala, mereka kata sebab diruntuhkan makam itulah bala menimpa. Sedangkan kalau makam itu dijadikan tempat pemujaan, memang mesti diruntuhkan kerana ia menyebabkan syirik.

Atau, ramai yang kata jika bunyi burung hantu, itu tanda orang hendak mati. Ini adalah fahaman karut yang masih ada dalam masyarakat Melayu, bukan? Dalam masa yang sama juga, kalau kita kata sesuatu benda itu ada tuah pun, ada masalah dengan akidah juga. Sebagai contoh ada yang memakai gelang, rantai, cincin menyebabkan dia untung atau selamat daripada mara bahaya. Manakala golongan zikir pula memakai tasbih daripada kayu koka.

Ini adalah antara fahaman sesat yang masih ada dalam kalangan masyarakat Islam kita yang jauh daripada wahyu. Begitulah yang terjadi apabila manusia jahil tentang agama. Rasulullah ﷺ telah melarang kepercayaan ini apabila bersabda:

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Tidak ada  penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim (2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad (3031) di dalam Musnad)

Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

لاَ عَدْوَى ، وَلاَ طِيَرَةَ ، وَلاَ هَامَةَ ، وَلاَ صَفَرَ

Tidak dibenarkan menganggap penyakit menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah ﷻ), tidak dibenarkan beranggapan sial, tidak dibenarkan pula beranggapan nasib malang kerana tempat, juga tidak dibenarkan beranggapan sial di bulan Safar.

(Hadith Riwayat Bukhari (5757) dan Muslim (2220))

Begitulah pemahaman Firaun dan pembesarnya yang menuduh musibah yang menimpa mereka itu adalah kerana sial yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام dan pengikut baginda.

 

أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ

Ketahuilah, sesungguhnya malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah,

Sedangkan, sebenarnya asbab musibah itu adalah di sisi Allah – semua yang terjadi adalah atas keputusan Allah . Bukan kerana sial sesiapa. Allah yang menentukan mereka ditimpa azab ataupun tidak, bukannya kerana Nabi Musa عليه السلام dan ia dikenakan kepada mereka kerana kesalahan mereka sendiri. Ini sama seperti yang dikenakan kepada satu penduduk kampung yang menentang Nabi mereka seperti disebut dalam [Yaasin: 18-19]

قالوا إِنّا تَطَيَّرنا بِكُم ۖ لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami ditimpa sial kerana kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

قالوا طٰئِرُكُم مَّعَكُم ۚ أَئِن ذُكِّرتُم ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberikan peringatan (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Ramai yang tidak memahami perkara ini, bukan Firaun sahaja. Ramai merasakan bahawa segala apa yang terjadi adalah hanya atas hasil usaha mereka sahaja. Kemudian mereka menyalahkan orang lain pula di atas musibah yang dikenakan kepada mereka. Mereka lupa bahawa segala usaha mereka tidak memberi bekas, melainkan kalau Allah yang kehendaki ia terjadi.


 

PENGIKUT FIRAUN DALAM PENAFIAN

A’raf Ayat 132:

وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن ءآيَةٍ لِّتَسحَرَنا بِها فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they said, “No matter what sign you bring us with which to bewitch us, we will not be believers in you.”

MALAY

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.

 

وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن ءآيَةٍ

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami;

Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Musa عليه السلام berkata, walau apa sahaja cara baginda bawa dalil kepada mereka, dengan menunjukkan mukjizat dan dalil, mereka tetap tidak akan beriman. Lafaz مَهما bermaksud ‘apa-apa sahaja’ dalam bentuk mubalaghah – bersangatan. Maknanya mereka tolak semuanya sekali.

 

لِّتَسحَرَنا بِها

untuk menjalankan sihirmu kepada kami,

Mereka menambah dengan mengatakan apa yang Nabi Musa عليه السلام bawakan itu adalah sihir belaka untuk menipu mereka dan mereka tidak akan percaya dengan sihir itu. Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka lihat ramai yang mendengar ajaran Al-Qur’an daripada baginda yang memeluk Islam, maka mereka kata orang yang masuk Islam itu sudah terkena sihir.

Pada zaman sekarang pun ada juga yang kata begitu. Ada orang yang kata ustaz-ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an telah menyihir orang lain dengan Al-Qur’an. Maka, sama sahaja mereka dengan pengikut Firaun.

 

فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ

maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.

Mereka tegaskan kepada Nabi Musa عليه السلام yang mereka tidak akan beriman langsung dengan baginda. Sifat beginilah yang menyebabkan mereka langsung tidak beriman sampai bila-bila dan mereka dikenakan dengan azab. Ini kerana mereka ada sifat yang terus menolak dari awal lagi. Mereka tidak mahu mendengar langsung untuk lihat sama ada apa yang disampaikan itu benar ataupun tidak.

Begitulah yang terjadi kepada orang kita pun kalau mereka ada sifat begitu. Dalam hati mereka, awal-awal lagi sudah menolak daripada mendengar pengajaran tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak mahu membuka telinga dan mendengar dahulu. Mereka menolaknya sebelum dengar lagi. Padahal, jika hendak ditolak pun, dengarlah dahulu apa yang hendak dikatakan oleh mereka yang mengajar itu.

Begitulah yang pernah terjadi kepada Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam ayat [Hijr: 6]

وَقالوا يا أَيُّهَا الَّذي نُزِّلَ عَلَيهِ الذِّكرُ إِنَّكَ لَمَجنونٌ

Mereka berkata: “Hai orang yang diturunkan Al Qur’an kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.


 

A’raf Ayat 133: Maka balasan azab telah dikenakan kepada mereka

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We sent upon them the flood and locusts and lice and frogs and blood as distinct signs, but they were arrogant and were a criminal people.

MALAY

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ

Maka Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,

Allah telah memberikan bukti yang Allah boleh menghukum mereka di dunia ini dengan jelas. Ada beberapa musibah yang dikenakan kepada mereka kerana mereka menolak kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Sekarang disebut musibah dalam bentuk taufan.

Ada banyak musibah/azab yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya yang akan disebut satu persatu. Ini adalah kerana mengikut riwayat, Nabi Musa عليه السلام tinggal dengan mereka selama 20 tahun selepas kejadian dengan para ahli sihir itu. Maka ada banyak musibah yang dikenakan kepada mereka kerana mereka telah ingkar kepada baginda. Sepanjang waktu itu Nabi Musa عليه السلام tetap meneruskan dakwah kepada mereka.

Semua sekali ada 9 mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام. Dua mukjizat telah disebut awal-awal lagi iaitu tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya. Satu lagi telah disebut tentang kemarau di dalam ayat sebelum ini. Sekarang kita akan sebut enam lagi mukjizat. Ayat 133 ini menyebut 5 daripada kejadian-kejadian itu.

Semua kejadian ini tidaklah berlaku serentak. Selepas kejadian itu, ada sengkang masa yang lama kemudian barulah berlaku kejadian yang lain. Mengikut pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما, setiap musibah ini dikenakan selama 7 hari bermula hari Sabtu. Setelah itu mereka diberi rehat selama tiga minggu sebelum bermula musibah yang seterusnya. Ini kerana selepas satu-satu musibah mereka meminta Nabi Musa عليه السلام doa untuk diangkat musibah itu dan berjanji beriman. Namun kemudian mereka tetap tidak beriman.

Kalimah taufan itu daripada lafaz yang membawa maksud ‘berpusing’. Daripada lafaz yang sama juga digunakan untuk tawaf. Taufan itu bukankah ia berpusing-pusing?

Akan tetapi ada juga para mufassir yang mengatakan ia bermaksud banjir. Air merata tempat sampaikan mereka tidak boleh bercucuk tanam dan tinggal lagi. Yang peliknya adalah ia cuma terkena kepada orang Qibti sahaja, tidak kepada Bani Israel.

Mereka pun datang kepada Nabi Musa عليه السلام meminta baginda berdoa supaya musibah itu diangkat. Namun setelah Nabi Musa عليه السلام berdoa, mereka tidak menepati pula janji mereka. Maka mereka dikenakan dengan azab musibah yang lain pula. Mereka buat-buat lupa akan janji mereka.

Malah selepas itu tanah mereka menjadi subur dan mereka kata itu disebabkan oleh banjir itu, maka ia adalah nikmat yang mereka berhak dapat. Seolah-olah musibah itu tidak memberi kesan kepada mereka kerana terjadinya perkara yang baik pula bagi mereka. Mereka kata itu semua tidak ada kena mengena dengan doa Nabi Musa عليه السلام sebelum itu.

 

وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ

dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, 

Selepas taufan, mereka diganggu oleh belalang. Pada waktu itu belalang ada di mana-mana – dalam rumah, luar rumah, atas katil, bawah katil dan sebagainya. Hendak makan minum pun susah. Selain itu, belalang itu juga merosakkan tanaman mereka. Maka ia sudah menjadi masalah yang besar kerana melihatkan sumber makanan.

Ada dikatakan bahawa belalang-belalang itu memakan pintu-pintu kayu dan barang-barang rumah yang dijadikan daripada kayu. Hal ini juga terjadi hanya kepada rumah bangsa Qibti sahaja, tidak kepada rumah-rumah Bani Israel, walaupun rumahnya di sebelah sahaja.

Sekali lagi mereka telah berjumpa dengan Nabi Musa عليه السلام untuk berdoa diangkat musibah itu dengan berjanji akan beriman dan membenarkan baginda membawa keluar Bani Israel dari Mesir. Namun setelah musibah itu diangkat, sekali lagi mereka tidak memenuhi janji mereka itu. Ini kerana mereka lihat simpanan makanan mereka boleh bertahan setahun lagi. Maka mereka rasa tidak ada masalah lagi.

Kemudian mereka dikenakan dengan gangguan kutu yang ada di mana-mana. Tidak boleh dibuang sebab banyak sangat. Kutu itu adalah ulat yang keluar daripada bijian dan kemudian datang kepada mereka. Atau ia boleh menjadi kutu yang selalu ada di kepala itu. Tersebutlah bahawa seseorang lelaki bila keluar dengan membawa sepuluh karung biji gandum ke tempat penggilingannya, maka apabila dia sampai ke tempat penggilingannya tiada yang tersisa kecuali hanya tiga genggam gandum saja (semuanya berubah menjadi ulat).

Kemudian mereka dikenakan dengan gangguan katak yang terdapat di merata-rata tempat. Tiada seorang pun yang duduk melainkan seluruh negeri penuh dengan katak sampai mencapai dagunya. Apabila seseorang hendak berkata, dan dia membuka mulutnya, maka pasti ada katak yang masuk ke dalam mulutnya. Hendak memasak pun susah kerana katak ada di mana-mana.

Kemudian mereka dikenakan dengan bala darah di mana-mana. Sehingga tidak sekali-kali mereka mengambil air minum sama ada dari sungai ataupun dari telaga, mereka lihat air itu dalam bekasnya berubah menjadi merah, iaitu berubah menjadi darah segar.

Namun begitu, air yang ada pada Bani Israel tidak berubah pula menjadi darah. Maka bangsa Qibti telah mengambil air daripada Bani Israel. Walau bagaimanapun ketika mereka hendak minum, terus air itu bertukar menjadi darah.

 

ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ

sebagai tanda-tanda yang jelas nyata, 

Semua itu menjadi tanda yang jelas bagi mereka bahawa mereka telah melakukan kesalahan kerana menolak kebenaran. Mereka dikenakan dengan bala itu kerana mereka menolak dakwah Nabi Musa عليه السلام.

Ia juga bermakna azab itu lama dan bukan sebentar sahaja. Ini adalah kerana Allah hendak mengajar mereka. Hanya Allah sahaja yang boleh mendatangkan azab itu. Azab itu datang satu persatu, bukan datang sekali gus. Mula-mula datangnya taufan, kemudian mereka minta Nabi Musa عليه السلام mendoakan supaya bala itu diangkat. Selepas diangkat mereka tidak memenuhi janji untuk beriman dan ketika itu setelah itu mereka diazab pula dengan azab belalang dan seterusnya. Setiap kali datang azab itu mereka akan meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa.

Akan tetapi kita boleh lihat bagaimana besarnya rahmat Allah . Allah telah berikan banyak peluang untuk mereka untuk mengubah sikap. Setelah mereka dikenakan dengan azab itu, mereka datang meminta Nabi Musa عليه السلام doakan bagi pihak mereka untuk diangkat azab. Kemudian setelah diangkat azab, mereka mungkir janji pula. Mereka tidak terus dihancurkan kerana Allah masih beri peluang kepada mereka. Mereka sahaja tidak mengambil peluang itu.

Ini juga menunjukkan besarnya hati Nabi Musa عليه السلام. Kalau ikutkan kita, tentu kita tidak hingin hendak bantu mereka, bukan? Akan tetapi Nabi Musa عليه السلام telah pergi setiap kali ke Bukit Thur untuk berdoa kepada Allah kerana baginda berharap mereka menepati janji mereka dan beriman kali ini.

 

فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ

maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang berdosa.

Walaupun sudah dikenakan dengan berbagai-bagai bala bencana itu, mereka masih lagi sombong untuk menerima kebenaran. Memanglah mereka itu kaum yang amat degil. Mereka terus melakukan dosa tanpa henti.

Maka di sini kita dapat tahu yang sifat sombong itu datang daripada perbuatan dosa yang banyak. Oleh kerana itu kita hendaklah mengelak sebaik mungkin daripada melakukan dosa kerana ia boleh menggelapkan hati kita.


 

A’raf Ayat 134:

وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ قالوا يٰموسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the punishment descended upon them, they said, “O Moses, invoke for us your Lord by what He has promised you. If you [can] remove the punishment from us, we will surely believe you, and we will send with you the Children of Israel.”

MALAY

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu”.

 

وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ

Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, 

Iaitu setiap kali datang satu-satu azab itu. Lafaz الرِّجزُ selalunya digunakan untuk puisi yang mengandungi lafaz-lafaz yang menakutkan untuk menakutkan musuh. Ia adalah sesuatu yang menyebabkan fikiran kita terganggu.

Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada bala-bala yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya itu – taufan, belalang dan sebagainya.

Atau, ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada penyakit wabak seperti jenis taun. Maka ia adalah azab yang keenam. Dikatakan wabak taun itu telah membunuh 70 ribu bangsa Qibti. Asas bagi mengatakan ia merujuk kepada taun adalah hadith di bawah:

الطاعون أية الرجز ابتلى الله عز وجل به أناسا من عباده فإذا سمعتم به فلا تدخلوا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تفروا منه

Taun (wabak) adalah tanda kemurkaan Allah ﷻ yang mana Allah ﷻ menguji hamba-hambanya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.”  (Riwayat Muslim)

 

قالوا يٰموسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ

mereka berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikan-Nya kepadamu. 

Setiap kali mereka ditimpa dengan azab itu, mereka akan datang jumpa Nabi Musa عليه السلام dan merayu kepada baginda. Mereka suruh baginda berdoa kepada Allah . Sebelum ini mereka menolak baginda, namun bila ada masalah besar, pandai pula mereka mencari baginda untuk menyelesaikan masalah mereka. Ini kerana mereka tahu yang mereka ditimpa azab itu disebabkan kedegilan mereka sebenarnya.

Beginilah perangai orang yang kufur. Bila sudah susah, baru hendak cari Tuhan. Maka jangan kita pula bersikap begini. Ada orang yang bila sudah ada masalah, baru mula buat ibadat. Barulah mula berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah . Ini adalah sikap yang memalukan. Ia adalah sikap Firaun dan kuncu-kuncunya.

Permintaan mereka ini sebenarnya amat memalukan mereka. Dahulu mereka kata Firaunlah tuhan mereka. Namun bila hendak diangkat azab, kena minta tolong Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Tuhannya pula. Kenapa tidak diminta Firaun sahaja mengangkat azab itu? Ini sepatutnya menunjukkan kepada mereka yang Firaun itu bukanlah tuhan.

Yang dimaksudkan dengan ‘janji’ yang telah diberikan kepada baginda itu adalah janji yang Allah akan makbulkan doa Nabi. Mereka hendak kata: “Kalau kamu benar Nabi, maka doalah kepada Tuhan kamu itu. Bukankah kamu telah dijanjikan yang doa kamu makbul?”

Ayat ini juga menunjukkan bagaimana ketua-ketua kaum itu tidak tahu hendak buat apa, sampai terpaksa pergi cari Nabi Musa عليه السلام. Kalau sebelum itu, mereka berlagak sangat.

 

لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ

Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, 

Mereka bukan datang dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan janji. Mereka kata kalaulah bala itu diangkat daripada mereka, mereka akan ikut cakap baginda dan beriman dengan baginda. Ini kerana mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi.

Maka mereka berjanji untuk beriman. Kalimah yang digunakan adalah لَنُؤمِنَنَّ yang ada penekanan (taukid) di dalamnya. Maknanya bersungguh-sungguh mereka berjanji di sini. Kononnya pasti mereka akan beriman dengan baginda.

Namun begitu bukanlah mereka hendak beriman sepenuhnya. Lihatlah lafaz yang digunakan adalah لَكَ (kepada engkau). Sekiranya mereka benar-benar beriman, lafaz yang digunakan adalah بك. Maknanya, mereka hendak kata, mereka akan mengikut apa yang disampaikan oleh baginda kerana ‘terpaksa’.

 

وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرٰءيلَ

dan kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu”.

Mereka juga berjanji akan melepaskan Bani Israel yang mereka perhambakan itu, kepada Nabi Musa عليه السلام kerana ini adalah salah satu daripada perkara yang diminta oleh baginda. Hanya apabila Bani Israel sudah merdeka barulah dapat beriman dan mengamalkan agama dengan sebenarnya.

Sebelum itu mereka tidak layan langsung kerana Bani Israel itu adalah hamba-hamba mereka, maka mereka tidak mahu melepaskan tenaga kerja mereka. Akan tetapi mereka terpaksa untuk menawarkan perkara itu sekarang kerana mereka sudah tahu yang mereka tidak ada apa cara lagi untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka hendak memujuk Nabi Musa عليه السلام, maka mereka tawarkan perkara itu kepada baginda.

Di sini memang bersungguh-sungguh mereka berjanji kerana kalimah لَنُرسِلَنَّ yang ada penekanan yang digunakan. Begitulah orang yang fasiq, kalau bab berjanji, memang bersungguh-sungguh. Namun senang sahaja mereka mungkir kepada janji mereka itu nanti.

Di sini kita boleh lihat cara mereka berdoa iaitu meminta orang lain mendoakan. Ini memang cara yang tidak bagus. Sepatutnya kita hendaklah berdoa sendiri, tidak perlu meminta orang lain doakan. Namun begitulah kalau orang yang tidak beriman bersungguh-sungguh dengan Allah . Ini termasuk orang Islam. Selalu sahaja mewakilkan orang lain mendoakan bagi pihak mereka. Mereka tidak faham cara berdoa langsung.

Oh, mungkin mereka kata mereka banyak dosa maka Allah tidak mendengar doa mereka. Maka kalau begitu, yang sepatutnya mereka lakukan adalah dengan bertaubat dan kemudian berdoalah. Bukannya berharap kepada doa orang lain. Oleh hal yang demikian, diharap kita dapat faham perkara ini supaya kita terus berdoa kepada Allah sendirian.

Ramai yang tidak faham perkara ini dan bergantung kepada doa orang lain. Sebagai contoh, ada yang apabila hendak menghadapi peperiksaan, sibuk benar meminta orang lain doakan. Sampai penuh dalam grup Whatsapp doa-doa yang berbagai. Mereka berharap dengan ramainya orang doakan, maka Allah ‘terpaksa’ tunaikan. Ini adalah pemahaman yang amat-amat salah dalam berdoa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-A’raf Ayat 125 – 129 (Bani Israel diminta berdoa dan bersabar)

A’raf Ayat 125: Setelah diberi ancaman oleh Firaun itu, apakah jawapan daripada tukang sihir?

قالوا إِنّا إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Indeed, to our Lord we will return.

MALAY

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepada-Nyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya).

 

Tukang-tukang sihir itu telah nekad untuk terus beriman kepada Allah ﷻ walaupun telah diancam dengan seksaan oleh Firaun. Mereka bukan tidak percaya yang Firaun akan melakukannya kerana mereka kenal sangat dengan Firaun itu. Cuma mereka tidak takut dengan apa yang akan dilakukan oleh Firaun kerana mereka yakin yang kepada Tuhan pasti mereka akan kembali. Begitulah apabila iman telah masuk ke dalam hati. Semoga kita pun mendapat iman sebegini.

Mereka pun tahu yang kalau Firaun tidak membunuh mereka, mereka pun akan mati juga nanti lambat laun. Namun begitu daripada mati tidak beriman, biarlah mereka mati dalam iman. Sakit kerana diseksa itu sekejap sahaja, tetapi kalau mati menemui Tuhan dalam keadaan syirik dan tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan azab berterusan sampai bila-bila. Inilah yang terjadi kalau iman sudah menebal dalam diri.

Apabila kalimah ini disusun إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ, ia membawa maksud eksklusif, iaitu hanya pulang kepada Allah ﷻ, tidak kepada selain-Nya. Ini kerana ayat ini boleh juga disusun مُنقَلِبونَ إِلىٰ رَبِّنا, tetapi ia tidak membawa maksud yang sama. Apabila ditaqdimkan (didahulukan) kalimat إِلىٰ رَبِّنا, ia membawa maksud lain.

Satu lagi maksud ayat ini adalah para ahli sihir itu mengingatkan Firaun yang mereka semuanya (termasuk Firaun) akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan mereka semua akan dihakimi. Memang Firaun boleh bunuh mereka dengan kejam, tetapi nanti dia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ.


 

A’raf Ayat 126:Lihatlah kata-kata tukang-tukang sihir itu apabila iman mereka hebat dan telah menjadi kuat. Iman itu tidak mengambil masa lama untuk menjadi teguh. Ini adalah kerana mereka orang yang berilmu dan mereka faham apabila mereka telah melihat kebenaran.

وَما تَنقِمُ مِنّا إِلّا أَن ءآمَنّا بِئآيٰتِ رَبِّنا لَمّا جاءَتنا ۚ رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَتَوَفَّنا مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not resent us except because we believed in the signs of our Lord when they came to us. Our Lord, pour upon us patience¹ and let us die as Muslims [in submission to You].”

  • To endure the torture to which we will be subjected.

MALAY

“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.

 

وَما تَنقِمُ مِنّا إِلّا أَن ءآمَنّا بِئآيٰتِ رَبِّنا لَمّا جاءَتنا

“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. 

Mereka menjawab kembali kepada Firaun: mereka sebenarnya tidak ada salah apa-apa melainkan kerana beriman dengan Allah ﷻ sahaja. Mereka memang telah beriman apabila kebenaran datang kepada mereka. Mereka kenal apakah yang benar dan mereka memilih untuk beriman. Mereka tidak berani untuk mengingkari Allah ﷻ.

Mereka yakin sungguh dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu kerana mereka adalah orang yang berilmu tinggi di dalam sihir. Mereka tahu apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام itu bukanlah sihir. Ini adalah kerana mereka adalah ahli sihir yang hebat.

Namun begitu, mereka sahaja yang tahu dan kerana itu semasa mereka sujud kepada Allah ﷻ, maka rakyat yang lain yang melihat tidak sujud sekali, kerana mereka tidak kenal kebenaran walaupun ia terjadi di hadapan mereka. Hanya ahli sihir itu yang mempunyai ilmu dan dapat membezakan manakah yang benar dan mana yang salah.

Begitulah juga beza antara orang yang tahu dan kenal Al-Qur’an dan mereka yang tidak kenal. Mereka yang mengkaji Al-Qur’an akan mengetahui bahawa bahasa Al-Qur’an itu bukanlah daripada manusia tetapi tentunya daripada Allah ﷻ. Mereka akan nampak kebenaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Apabila tukang-tukang sihir itu melihat kebenaran, mereka terus sujud kepada Allah ﷻ. Perbuatan sujud ini adalah penting sebagai menyatakan ketaatan kepada Allah ﷻ. Ini amat penting kerana siapa yang tidak mahu sujud apabila diarahkan oleh Allah ﷻ? Itulah iblis yang kisahnya kita telah belajar pada awal-awal surah ini.

Dari sini kita tahu yang golongan musuh Islam dan orang yang zalim itu benci kepada Muslim hanya kerana beriman kepada Allah ﷻ. Ini seperti juga yang disebut di dalam [ Buruj: 8 ]

وَما نَقَموا مِنهُم إِلّا أَن يُؤمِنوا بِاللَّهِ العَزيزِ الحَميدِ

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,

 

رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا

“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami,

Ini adalah doa mereka. Doa ini sangat hebat sampaikan Allah ﷻ mengulang semula di dalam Al-Qur’an untuk dibaca sampai bila-bila. Padahal mereka baru sahaja beriman. Maka ini menunjukkan mereka itu memang orang-orang yang bijak.

Juga menunjukkan kepada kehebatan Nabi Musa عليه السلام juga. Boleh dikira sebagai mukjizat baginda juga yang telah berdakwah kepada mereka. Bayangkan satu kumpulan yang duduk di dalam kesesatan sekian lama, boleh beriman dan hebat begini dalam waktu yang singkat sahaja.

Mereka minta dilimpahkan kesabaran kepada mereka. Kalimah yang mereka gunakan adalah أَفرِغ yang bermaksud minta dilimpahkan kesabaran itu. Ia bermaksud kesabaran yang banyak kerana dugaan yang mereka sedang hadapi itu adalah dugaan yang amat besar. Doa mereka ini sama seperti yang dilafazkan oleh tentera Talut semasa bertemu dengan tentera Jalut. Ini disebut dalam Surah Baqarah.

Mereka minta diberikan kesabaran kepada mereka kerana mereka sekarang sedang menghadapi dugaan yang amat besar diancam seksaan oleh Firaun. Sekiranya Allah ﷻ tidak memberikan kesabaran, tentu mereka tidak dapat menghadapinya. Ini mengajar kita yang sabar adalah sifat yang mesti ada apabila berhadapan dengan musuh dan dugaan.

Namun diingatkan, jangan pula kita berdoa kepada Allah ﷻ minta dijadikan orang yang sabar kalau tidak ada dugaan yang dikenakan kepada kita. Hanya doa minta sabar jikalau dikenakan musibah sahaja kerana kalau minta sabar semasa kita dalam keadaan aman dan tidak ada masalah, maka Allah ﷻ akan berikan musibah dan bala untuk menzahirkan sifat sabar itu. Oleh itu, jika kita minta sabar semasa tidak ada masalah, maka itu seumpama meminta diberikan bala pula.

 

وَتَوَفَّنا مُسلِمينَ

dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.

Mereka minta dimatikan semasa mereka beriman kepada Allah ﷻ dan dalam agama Islam. Ini kerana mereka faham bahawa yang paling penting adalah akhir hidup mereka. Sekiranya sepanjang hidup mengamalkan Islam, tetapi di hujung hayat mati tanpa iman, semua amalan yang sepanjang hidup itu tidak berguna kerana Allah ﷻ hanya kira bagaimana hujung hayat kita, sama ada beriman atau tidak.

Maka berimanlah tukang-tukang sihir. Pada pagi hari itu, mereka semuanya adalah tukang sihir yang mengamalkan amalan yang salah dan syirik, namun di hujung hari itu mereka mati dalam keadaan syuhada’.

Di dalam Surah Taha disebut panjang lagi syarahan para ahli sihir itu berdakwah kepada Firaun. Boleh lihat ayat 72 – 76.

قالوا لَن نُؤثِرَكَ عَلىٰ ما جاءَنا مِنَ البَيِّناتِ وَالَّذي فَطَرَنا ۖ فَاقضِ ما أَنتَ قاضٍ ۖ إِنَّما تَقضي هٰذِهِ الحَياةَ الدُّنيا

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

إِنّا آمَنّا بِرَبِّنا لِيَغفِرَ لَنا خَطايانا وَما أَكرَهتَنا عَلَيهِ مِنَ السِّحرِ ۗ وَاللَّهُ خَيرٌ وَأَبقىٰ

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.

إِنَّهُ مَن يَأتِ رَبَّهُ مُجرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

“Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang dia bersalah maka sesungguhnya baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

وَمَن يَأتِهِ مُؤمِنًا قَد عَمِلَ الصّالِحاتِ فَأُولٰئِكَ لَهُمُ الدَّرَجاتُ العُلىٰ

“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang dia beriman, serta dia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:

جَنّاتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ مَن تَزَكّىٰ

“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.

Habis Ruku’ 14 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

PENGANIAYAAN FIRAUN KE ATAS BANI ISARAIL

A’raf Ayat 127:

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ ۚ قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم وَإِنّا فَوقَهُم قٰهِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the eminent among the people of Pharaoh said, “Will you leave Moses and his people to cause corruption in the land and abandon you and your gods?” [Pharaoh] said, “We will kill their sons and keep their women alive; and indeed, we are subjugators over them.”

MALAY

Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”.

 

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ

Dan berkatalah pula Ketua-ketua daripada kaum Firaun:

Ini adalah kata-kata pembesar dalam kalangan Firaun yang berbangsa Qibti. Mereka tidak puas hati melihat kejadian yang telah berlaku di mana jelas yang Nabi Musa عليه السلام telah memenangi pertandingan dengan ahli sihir dan ahli-ahli sihir itu pula sudah beriman.

Seperti biasa, para pembesar yang akan menentang kebenaran. Mereka sibuk riuh juga kerana kedudukan mereka juga sedang terancam, bukan Firaun sahaja. Sekiranya dibiarkan sahaja, maka rakyat akan beriman pula dengan Nabi Musa عليه السلام. Itu yang mereka takutkan sangat. Maka mereka telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Firaun untuk menangani masalah itu.

 

أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ

“Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)

Pemimpin-pemimpin itu telah menghasut Firaun. Mereka kata takkan Firaun hendak membiarkan sahaja Musa عليه السلام dan pengikutnya begitu sahaja? Kerosakan yang mereka maksudkan adalah kerana dapat mengalahkan Firaun.

Mereka membuat pula tuduhan dengan mengatakan seruan mereka yang beriman itu sebenarnya membawa kepada kerosakan negara. Ini perkara yang amat pelik apabila orang yang paling buruk mengatakan orang yang paling baik pula yang melakukan kerosakan. Sudah terbalik pula jadinya, bukan?

Yang dimaksudkan oleh mereka adalah mereka yang beriman itu kononnya hendak memecah belahkan masyarakat di negara itu. Ini mengajar kita jangan percaya sangat dengan tuduhan daripada manusia. Mereka boleh menuduh apa-apa sahaja untuk memenangkan diri mereka. Orang yang baik pula yang dituduh dengan berbagai-bagai tohmahan.

Ini adalah sama seperti kerajaan Amerika menuduh umat Islam melakukan terorisme sedangkan merekalah yang merosakkan geopolitik dunia. Manakala tidak kurang juga kita lihat perkara yang sama digunakan dalam kempen politik, bukan?

 

وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ

dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?”

Mereka juga mengatakan Nabi Musa عليه السلام dan orang beriman telah membuat satu kesalahan besar, iaitu meninggalkan Firaun dengan menidakkan Firaun sebagai tuhan seperti  yang digembar-gemburkan selama ini.

Selain itu, Firaun juga banyak membina patung dan mengatakan patung-patung itu adalah ilah, tetapi dia adalah sebagai tuhan yang paling besar. Patung-patung itu Firaun tidak sembah tetapi rakyat dia yang kena sembah. Ada juga pendapat yang mengatakan Firaun pun sembah juga. Para pembesar itu berkata Nabi Musa عليه السلام bertujuan mahukan supaya tuhan-tuhan itu tidak dipuja lagi dan ini tidak boleh diterima. Maknanya semua patung-patung berhala itu tidak berguna lagi.

Oleh itu, dari sini kita tahu yang tuduhan merosakkan agama juga dikenakan kepada Nabi Musa عليه السلام. Ini seperti yang disebut dalam [ Ghafir: 26 ]. Ini kerana mengubah agama yang telah digunapakai sekian lama adalah kesalahan besar pada mereka, walaupun ia agama yang sesat.

وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. 

Daripada ayat ini, kita dapat tahu yang Firaun juga ada tuhan selain dirinya. Ini kerana mereka berfahaman bahawa ada tuhan Matahari dan kononnya Firaun adalah keturunan daripada tuhan matahari itu.

Al-Hasan Al-Basri رحمه الله mengatakan, bahawa Fir’aun mempunyai tuhan yang selalu dia sembah secara rahsia. Dalam riwayat lain disebutkan pula bahawa Fir’aun mempunyai sebuah patung kecil yang dikalungkan pada lehernya dan selalu dia sembah.

Menurut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, apabila mereka melihat seekor lembu betina yang bagus, maka Fir’aun menyuruh mereka untuk menyembah lembu betina itu. Kerana itulah Samiri membuatkan patung anak lembu yang dapat bersuara bagi mereka. Ini kerana Bani Israel pun sudah terikut-ikut dengan amalan Firaun dan bangsa Qibti.

Ada juga pendapat yang mengatakan ءآلِهَتَكَ itu adalah keputusan-keputusan Firaun berkenaan agama kerana dia reka amalan dan fahaman agama baru dan orang lain kena ikut. Ini adalah kerana mengambil pendapat manusia dalam hal agama adalah juga menjadikan orang itu sebagai tuhan. Jika sudah beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, maka keputusan hukum daripada Firaun sudah tidak berguna lagi. Dalil bagi pendapat ini adalah hadith perjumpaan Rasulullah ﷺ dan Adi bin Hatim.

فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ

Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim. Addi masuk menemui Rasulullah ﷺ, sedangkan pada leher Addi tergantung salib yang terbuat daripada perak. Saat itu Rasulullah ﷺ sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Taubah: 31) Addi melanjutkan kisahnya, bahawa beliau menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka. 

(Hadith Riwayat Tirmidzi (3095), Ibnu Sa’d dalam Tabaqat al-Kubra (289))

 

قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم

Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, 

Ini adalah jawapan Firaun kepada hasutan daripada para pembesarnya itu. Firaun kata dia akan mengarahkan untuk membunuh anak-anak lelaki mereka yang beriman. Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah قَتِّلُ dan bukannya قَتِلُ. Ini kerana قَتِلُ bermaksud bunuh sekali sahaja sedangkan قَتِّلُ bermaksud bunuh banyak kali dan ramai orang. Maknanya ia akan berterusan bertahun-tahun.

Dia akan membiarkan anak yang perempuan Bani Israel hidup untuk dijadikan sebagai hamba mereka untuk bekerja di rumah termasuk sebagai hamba seks. Perbuatan ini adalah lebih dahsyat berbanding jika dibunuh terus anak itu kerana jika ibubapa melihat anak mereka dibunuh, hanya sekali sahaja mereka berasa sedih. Namun jika melihat anaknya dijadikan hamba seks pula, tentulah lagi lama mereka kesedihan.

Namun kenapakah agaknya Firaun tidak suruh dibunuh sahaja Nabi Musa عليه السلام itu? Bukankah itu lebih senang dan boleh terus menutup cerita Nabi Musa عليه السلام itu? Bukankah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلامlah musuh sebenar baginya? Mungkin ini adalah kerana Firaun ada rasa kasih terhadap Nabi Musa عليه السلام kerana mereka membesar bersama di istana Firaun yang lama (atau, kerana lama menjadi anak angkatnya).

Atau, dia pun takut juga kepada Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام sudah menunjukkan pelbagai mukjizat. Dia pun menjadi seram tengkuk juga. Begitulah Allah ﷻ menanamkan rasa takut Firaun kepada Nabi Musa dan Harun عليهما السلام. Begitulah kalau manusia bertaqwa dan takut hanya kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan bantu dengan menakutkan musuh kepada mereka.

Namun begitu, dia tidak boleh membiarkan sahaja apa yang telah dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام. Oleh itu, dia kena bertegas dan melakukan sesuatu. Oleh sebab itulah, dia mengeluarkan arahan untuk membunuh semua orang, tetapi tidak dikeluarkan arahan untuk membunuh Nabi Musa عليه السلام sendiri.

Atau, jika dia membunuh Nabi Musa عليه السلام, akan menyebabkan rakyat memberontak kerana yang dipandang mulia dibunuh oleh kerajaan. Selalunya apabila yang disanjung itu dibunuh, boleh menyebabkan pemberontakan rakyat yang lebih besar sehingga tidak terkawal lagi.

 

وَإِنّا فَوقَهُم قاهِرونَ

dan kita tetap di atas menguasai (menundukkan) mereka”.

Firaun mengeluarkan arahan itu kerana dia rasa mereka sangat berkuasa ke atas puak Bani Israel itu dan mereka boleh berbuat apa sahaja. Dia rasa mereka masih boleh mengawal masyarakat iaitu dengan cara kekerasan. Cara kekerasan memang digunakan zaman berzaman untuk mengawal manusia, bukan?

Firaun rasa dengan perbuatannya itu dapat mengubah keadaan. Dia rasa orang yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام akan meninggalkan agama Nabi Musa عليه السلام dan kembali menghambakan diri kepadanya.

Begitulah zaman berzaman yang terjadi. Apabila musuh Islam tidak dapat menjatuhkan Islam dengan fakta dan hujah, mereka akan menggunakan kekuasaan dan kezaliman.


 

NABI MUSA عليه السلام MEYAKINKAN KAUMNYA

A’raf Ayat 128: Ini adalah tasliah (pujukan) untuk kaum Bani Israel daripada dugaan ugutan Firaun. Tentunya mereka telah mendengar arahan daripada Firaun itu dan mereka telah ketakutan. Maka sekarang Nabi Musa عليه السلام memberi nasihat kepada mereka untuk menenteramkan mereka.

Begitulah tugas pemimpin haruslah memberikan motivasi kepada rakyatnya terutama sekali ketika berhadapan dengan musuh. Rakyat memerlukan kata-kata semangat daripada pemimpin mereka. Tugas pemimpin amatlah berat dan bukan senang-senang sahaja diraih dengan undi rakyat.

قالَ موسىٰ لِقَومِهِ استَعينوا بِاللَّهِ وَاصبِروا ۖ إِنَّ الأَرضَ لِلَّهِ يورِثُها مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said Moses to his people, “Seek help through Allāh and be patient. Indeed, the earth belongs to Allāh. He causes to inherit it whom He wills of His servants. And the [best] outcome is for the righteous.”

MALAY

(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hamba-Nya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.

 

قالَ موسىٰ لِقَومِهِ استَعينوا بِاللَّهِ وَاصبِروا

Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, 

Nabi Musa عليه السلام menasihati mereka untuk meminta bantuan kepada Allah ﷻ dan bersabar. Mereka diajar tauhid dalam berdoa iaitu berdoa terus kepada Allah ﷻ. Mereka disuruh untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ kerana apa sahaja yang mereka hadapi itu, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat membantu mereka. Kita diajar di sini yang jikalau kita ada masalah, maka berdoalah berterusan kepada Allah ﷻ.

Bersabar itu adalah ibadah hati iaitu tawakal kepada Allah ﷻ. Bersabarlah dalam dugaan yang mereka sedang hadapi itu kerana itu adalah ujian. Letakkan harapan kepada Allah ﷻ sebulatnya.

Di sini mengajar kita dua perkara yang kita perlu ada apabila ada masalah dan dugaan apa sahaja:

1. Minta pertolongan kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu menyelesaikan masalah kita.

2. Bersabar sehingga keadaan berubah. Tidak ada kejayaan kecuali diberikan kepada orang yang sabar.

Mungkin ada yang tidak suka jika diminta bersabar. Namun itulah sahaja senjata  yang kita ada. Ini sebagaimana kaum Bani Israel itu, di mana mereka tidak boleh melawan Firaun yang begitu kuat dan berkuasa ketika itu. Mereka dikehendaki bersabar sehinggalah datang ketetapan daripada Allah ﷻ. Kita pun tahu yang selepas itu mereka diselamatkan juga daripada Firaun. Namun sebelum itu kenalah bersabar. Maka jangan pandang rendah dengan kuasa sabar.

 

إِنَّ الأَرضَ لِلَّهِ

sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, 

Nabi Musa عليه السلام mengingatkan mereka bahawa bumi Mesir ini semua milik Allah ﷻ, bukan milik Firaun. Memang Firaun rasa dia boleh berbuat apa sahaja di negeri Mesir namun keputusan dan qadar bukan di tangannya tetapi di tangan Allah ﷻ. Maka serah sahajalah kepada Allah ﷻ.

 

يورِثُها مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya;

Memang pada waktu itu nampak seolah-olah Firaun berkuasa penuh di Mesir, namun oleh kerana Mesir bukan miliknya tetapi kepunyaan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ boleh mewariskan kepada sesiapa sahaja. Nabi Musa عليه السلام menjanjikan dalam ayat ini, jika mereka berdoa kepada Allah ﷻ dan bersabar, ada kemungkinan mereka akan dapat menguasai Mesir nanti.

Walau bagaimanapun mereka mestilah layak untuk menguasainya kerana Allah ﷻ akan memberi kekuasaan kepada umat yang soleh sahaja seperti disebut dalam [ Anbiya’: 105 ]

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ

Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.

 

وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ

dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Nabi Musa عليه السلام menjanjikan kesudahan baik sentiasa kepada pihak yang bertaqwa. Asalkan mereka terus bertaqwa dan menjaga hukum, tawakal kepada Allah ﷻ dan berdoa kepada-Nya dan bersabar, mereka akan mendapat keputusan yang baik.


 

A’raf Ayat 129: Akan tetapi Bani Israil tidak boleh menerima nasihat daripada Nabi Musa عليه السلام. Sangat degil mereka ini.

قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا ۚ قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ فَيَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We have been harmed before you came to us and after you have come to us.” He said, “Perhaps your Lord will destroy your enemy and grant you succession in the land and see how you will do.”

MALAY

Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu”

 

قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا

Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami 

Inilah kata-kata (rungutan) kaum Bani Israel: dulu kami sudah diseksa sebelum kamu datang ajak kami beriman. Mereka dahulu menjadi hamba abdi dan orang suruhan Firaun dan bangsa Qibti. Mereka telah mendapat kehinaan yang amat lama. Susah betul hidup mereka pada waktu itu sedangkan mereka sepatutnya bangsa yang mulia.

 

وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا

dan sesudah engkau datang kepada kami”.

Mereka kata sekarang setelah Nabi Musa عليه السلام telah datang pun, mereka masih lagi diseksa. Semasa tidak ada agama, diseksa dan sekarang sudah ada agama pun kena seksa juga?

Di sini kalimah yang digunakan جِئتَنا sedangkan sebelum ini digunakan kalimah تَأتِيَنا. Ini kerana kalimah تَأتِيَنا bermaksud datang kosong sahaja, tetapi kalimah جِئتَنا bermaksud datang dengan membawa bukti. Bukankah Nabi Musa عليه السلام telah menunjukkan segala mukjizat?

Mereka berkata begitu kerana mereka risau tentang apa yang akan terjadi kepada mereka. Mereka tidak terkesan pun dengan motivasi daripada Nabi Musa عليه السلام sebelum ini. Mereka sangka dengan adanya Nabi Musa عليه السلام, masalah mereka akan selesai. Akan tetapi ini datang musibah lain pula, maka perlu berdoa dan bersabar pula?

Inilah masalah Bani Israel dan juga Bani Melayu pun. Mereka sangka hidup mereka setelah masuk Islam sepatutnya senang lenang sahaja. Mereka tidak sedar bahawa sudah masuk Islam pun tetap ada ujian daripada Allah ﷻ juga.

Mereka yang jahil tidak sanggup menerima kesusahan dalam kehidupan. Mereka mahu hidup senang lenang sahaja. Ini kerana mereka tidak tahu yang sabar dengan ujian disakiti itu akan mendapat balasan yang hebat seperti yang disebut dalam [ Ali Imran: 195 ]

فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَٰرِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ

maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

 

قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم

Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu

Ini adalah jawapan Nabi Musa عليه السلام kepada mereka, yang nampak sebagai rungutan daripada mereka: Nabi Musa عليه السلام menenangkan mereka dengan mengatakan mudah-mudahan Allah ﷻ akan membinasakan musuh mereka, iaitu Firaun dan pembesar-pembesarnya.

Maknanya, Nabi Musa عليه السلام tidak layan sangat rungutan mereka kepada baginda itu. Baginda terus memberikan harapan kepada mereka dan suruh mereka berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Sebab rungutan-rungutan itu tidak perlu dilayan.

Kalimah yang digunakan di sini adalah عَسىٰ yang bermaksud mudah-mudahan. Baginda tidak menggunakan kalimah yang lebih pasti kerana mereka masih tetap kena berusaha juga. Ini kerana sekiranya digunakan kalimah pasti, nanti mereka goyang kaki sahaja dan hanya berpegang kepada janji Allah ﷻ sahaja.

 

وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ

dan menggantikan kamu jadi khalifah di bumi,

Baginda kata, bukan sahaja Allah ﷻ boleh mematikan musuh mereka, tetapi Allah ﷻ boleh juga menjadikan mereka sebagai pengganti untuk memerintah Mesir. Tentu sahaja Allah ﷻ mampu seperti disebut dalam [ Ali Imran: 26 ]

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.

Ini tentunya memberi motivasi kepada mereka. Bayangkan selama hari ini mereka ditindas dengan teruk sekali, tetapi sekarang mereka dikatakan ada peluang untuk memerintah Mesir dengan segala kekayaan yang ada. Namun begitu, jangan bergembira lagi…

 

فَيَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ

kemudian Dia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu”

Allah ﷻ mahu melihat tindak tanduk manusia, bagaimana mereka menghadapi segala dugaan dalam kehidupan ini. Terutama sekali setelah mereka mendapat kuasa. Begitu juga dengan Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام itu. Nabi Musa عليه السلام mengingatkan mereka yang Allah ﷻ akan memerhatikan segala tindak tanduk mereka. Nanti selepas Firaun hancur dan mereka mendapat pemerintahan Mesir, Allah ﷻ akan lihat dan menilai apakah yang mereka akan lakukan.

Ini kerana objektif utama dalam hidup bukanlah untuk mendapat kekuasaan dan kekayaan. Akan tetapi yang dinilai adalah apa yang akan kita lakukan dengan pemberian daripada Allah ﷻ itu. Itu semua adalah ujian daripada Allah ﷻ sebenarnya. Bagi para pemimpin yang berkempen mestilah ingat, bukan untuk mendapat kerusi sahaja, tetapi ada tugas yang perlu dijalankan.

Janji ini terbukti selepas wafatnya Nabi Musa عليه السلام. Ia terjadi pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام ketika Bani Israel mempunyai kerajaan yang besar dan hebat. Kemudian selepas itu mereka mempunyai kekuasaan sekian lama di atas muka bumi ini. Allah ﷻ akan menilai bagaimana mereka menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

Begitu jugalah dengan Muslim dari dahulu sampai sekarang. Kita pun dinilai juga sepanjang masa. Islam dahulu bermula dengan lemah, namun kemudiannya diberikan kuasa memerintah di dunia ini oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ juga menilai bagaimana kuasa itu diperintah oleh orang Islam.

Kita boleh belajar daripada sejarah bagaimana kuasa yang besar itu telah disalahgunakan dan agama tidak diamalkan dengan sepatutnya. Pemerintah berfoya-foya menikmati kesenangan dunia sahaja dan kebajikan rakyat tidak dijaga. Maka kuasa itu telah ditarik balik daripada tangan orang Islam dan diberikan kepada orang kafir. Kita telah diuji dan kita telah gagal dengan ujian Allah ﷻ.

Sekarang kita lemah dan disepak di sana sini oleh orang kafir. Namun itu semua tidak semestinya akan berterusan. Jika kita kembali menjaga agama kita dan menjalankan tugas kita sebagai orang Islam yang sejati, Allah ﷻ boleh memberikan kuasa memerintah dunia kembali kepada kita. Namun kena ingat yang itu juga adalah ujian. Manusia sering lupa bahawa kesenangan dan kekayaan juga adalah ujian.

Kuasa juga penting kerana dengan kuasa, kita dapat menegakkan keadilan dan hukum Allah ﷻ. Maka jangan lari dan tolak kuasa setelah tahu ia adalah ujian. Kita kena tahu kalau kita lemah, kita tidak dapat mengamalkan hukum Allah ﷻ di mukabumi dan tidak dapat menegakkan keadilan kerana orang jahat yang berkuasa. Oleh hal yang demikian, kita tetap mesti berusaha untuk mendapatkan kuasa. Akan tetapi jangan sekali-kali lupa yang ia juga adalah merupakan ujian.

 

Habis Ruku’ 15 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien